Isnin, 16 Ogos 2010

Larangan Membuat Tato, Mencukur Alis, Merenggangkan Gigi

SMAHADZIR

YANG dimaksudkan dengan membuat tato adalah menusuk-nusukkan jarum atau sebangsanya dengannya di belakang telapak tangan, lengan atau bibir atau tempat-tempat lainnya pada tubuh wanita yang tidak mengeluarkan darah, kemudian memberikan celak atau kapur pada bekas tusukan tersebut sehingga kulitnya berubah menjadi warna hijau. Wanita yang menjadi tukang membuat tato itu disebut sebagai wasyimah, sedangkan wanita yang dibuatkan tato disebut mausyumah, dan yang meminta dibuatkan tato disebut mustausyimah. (Syarhu Sahihi Muslim, Nawawi IV/836)

Yang dimaksudkan dengan perenggangan gigi di sini adalah merenggangkan atau menggeser gigi taring dan empat gigi seri. (Gaharibu Al-Hadis, Khutabi 1/598). Hal ini sering dilakukan oleh wanita-wanita yang sudah tua dengan tujuan agar kelihatan lebih muda. Sebenarnya kerenggangan antara gigi seri ini terjadi pada kanak-kanak kecil. Setiap kali bertambah usia seorang wanita bimbang sehingga dia merapikan giginya dengan alat perapi gigi supaya kelihatan lembut dan baik serta tampak lebih muda. (Syarhu Sahihi Muslim, Nawawi IV/837)

Ketiga-tiga hal tersebut di atas merupakan perbuatan yang dilarang agama, dan pelakunya dilaknat, kerana hal itu termasuk perbuatan merubah apa yang telah diciptakan Allah s.w.t.

Dari Abdullah bin Umar r.a, yang bermaksud: ‘Rasulullah s.a.w melaknat wanita yang menyambung rambutnya dan wanita yang minta disambungkan rambutnya, wanita yang mentato (kulitnya) dan wanita yang meminta dibuatkan tato.’ (Muttafaqun ‘alaih).

Sedangkan dari Abdullah bin Mas’ud r.a, dia berkata: ‘Allah s.w.t melaknat wanita yang mencukur alisnya dan wanita yang minta dicukurkan alisnya, wanita yang minta direnggangkan giginya untuk mempercantikkan diri, yang mereka semua merubah ciptaan Allah.’

Abdullah bin Mas’ud menyebarkan hal itu sehingga terdengar oleh wanita dari Bani
Asad bernama Ummu Ya’qub. Setelah membaca Al-Quran, dia mendatangi Abdullah bin Mas’ud dan berkata: ‘Aku mendengar engkau melaknat wanita yang menyambung rambut dan wanita yang meminta disambungkan rambutnya, wanita yang mencukur alisnya dan wanita yang meminta direnggangkan giginya yang semuanya itu merubah ciptaan Allah s.w.t?’

Abdullah bin Mas’ud menjawab: ‘Bagaimana aku tidak melaknat orang-orang yang dilaknat oleh Rasulullah s.a.w dan semuanya itu telah diterangkan di dalam Al-Quran.’ Wanita itu berkata: ‘Aku telah membaca semua isi Al-Quran tetapi tidak mendapatkannya.’

Lalu Abdullah bin Mas’ud berkata. ‘Kalau engkau membacanya, pasti engkau akan mendapatkannya. Allah s.w.t berfirman, yang ertinya: ‘Apa yang diperintahkan Rasul kepada kalian maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagi kalian maka tinggalkanlah.’

Wanita itu pun berkata: ‘Sesungguhnya aku melihat hal itu pada isterimu sekarang ini.’ Abdullah bin Mas’ud pun berkata: ‘Temui dan lihatlah dia.’

Selanjutnya Abdullah bin Mas’ud menceritakannya. ‘Maka wanita itu pun menemui isteri Abdullah bin Mas’ud tetapi dia tidak mendapat sesuatu apa pun. Kemudian dia pergi menemui Abdullah dan berkata: ‘Aku tidak melihat sesuatu.’ Maka Abdullah pun berkata: ‘Seandainya ada sesuatu padanya nescaya kami tidak akan menggaulinya.’ (Muttafaqun alaihi)

Dan dari Abu Jahifah r.a, dia berkata, yang ertinya: ‘Rasulullah s.a.w melarang wang hasil penjualan darah dan penjualan anjing serta upah pelacuran. Dan baginda juga melaknat wanita yang menyambung rambutnya dan wanita yang meminta disambungkan rambutnya, orang yang memakan riba dan orang yang menjadi mitranya serta orang yang menggambar.’ (hadis riwayat: Bukhari).

Imam Nawawi r.a berkata: ‘Menurut hadis tersebut semuanya itu merupakan perbuatan haram, kerana hal itu jelas merubah ciptaan Allah s.w.t, selain juga sebagai kebohongan sekaligus sebagai tipu daya.’

Mengenai hal ini penulis katakan, adanya laknat bagi pelakunya menunjukkan bahawa perbuatan itu merupakan dosa besar. Oleh kerana itu, hal itu telah dikategorikan oleh Al-Hafidzh Al-Zahabi termasuk dalam enam puluh dosa besar.

Ramai wanita yang meminta nikah dengan melakukan hal itu terhadap dirinya sendiri, sehingga mereka mengira kelihatan lebih muda atau cantik. Yang lebih aneh lagi, beberapa orang dari para ibu melakukan hal tersebut terhadap puteri-puteri mereka yang masih kecil. Dalam hal itu si ibu yang berdosa sedangkan si anak tidak berdosa.

Salah seorang di antara mereka ada yang menanyakan mengenai wanita yang tumbuh janggut atau kumis kerana banyaknya hormon lelaki pada diri mereka, lalu apakah mereka boleh mencukurnya?

Mengenai pertanyaan seperti itu dijawab boleh, kerana Allah s.w.t tidak membebani seseorang di luar kemampuannya, melainkan sesuai dengan kemampuannya. Selain itu, Rasulullah s.a.w telah melarang wanita bertasyabuh (menyerupai) dengan laki-laki, sedangkan membiarkan janggut dan kumis tumbuh panjang merupakan tindakan menyerupai laki-laki. Tasyabuh seperti itu tidak dapat dihilangkan melainkan dengan mencukur janggut dan kumis tersebut.

Imam Nawawi r.a (Syarhu Sahihi Muslim IV/837): ‘Tindakan seperti itu jelas haram kecuali apabila pada diri seorang wanita tumbuh janggut atau kumis, maka dia tidak dilarang untuk mencukurnya, bahkan hal itu dianjurkan bagi kita.’
Selanjutnya dia mengatakan: ‘Larangan itu hanya diperuntukkan pada rambut-rambut yang tumbuh di beberapa bahagian wajah.’

Oleh kerana itu, pencukuran janggut dan kumis bagi seseorang wanita bukan merupakan tindakan merubah ciptaan Allah s.w.t, kerana dasar penciptaan wanita adalah tanpa janggut mahupun kumis. Bahkan sebahagian ulama mengharamkan laki-laki memotong janggutnya kerana hal itu termasuk tasyabbuh dengan wanita, dan itu jelas-jelas dilarang.

Demikian halnya perbaikan gigi kerana untuk berubat atau untuk menghilangkan aib dan semisalnya merupakan suatu tindakan yang tidak dilarang. Imam Nawawi mengatakan: ‘Dalam hadis di atas terdapat isyarat yang menunjukkan bahawa yang dilarang (haram) adalah orang yang meminta direnggangkan giginya dengan tujuan untuk mempercantikkan diri. Sedangkan apabila bertujuan untuk memperbaiki atau menghilangkan aib pada susunan gigi maka hal itu tidak dilarang.’ (Syahru Sahihi Muslim IV/837)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan