Ahad, 14 Mac 2010

Tekanan: Pembunuh Dalam Senyap

Artikel ini telah tersiar dalam laman sesawang Yayasan Dakwah Islamiah Islam (YADIM) pada 08 Disember 2006

SMAHADZIR

Amat ironi apabila seorang doktor berkata penyakit berpunca daripada kuman tertentu, manakala doktor lain pula mengatakan, ia bermula daripada dalam diri. Kenyataan ini amat mengelirukan, namun apabila dikaji, kedua-dua pendapat tersebut ada kebenarannya, bergantung pada perspektif mana punca penyakit ini dikesan. Bayangkan anda kehilangan orang dikasihi dan sukar mengatasi kemurungan berbulan-bulan. Tanpa disedari anda berada dalam ketegangan (stress) – tekanan perasaan yang sekali gus mengubah corak kehidupan anda. Perasaan ini membuat anda berasa lemah, tidak bermaya dan ketika itu juga anda mudah dihinggapi penyakit – sakit perut, sakit tekak, selesema, atau demam.

KENAPA IA BERLAKU?

Apabila perasaan anda tertekan secara berpanjangan, daya tahan tubuh akan menjadi lemah, dan mudah dihinggapi penyakit. Jika dikatakan penyakit itu datang seperti ribut, pergi umpama semut, maka perumpamaan ini kurang tepat. Sebelum disahkan oleh doktor bahawa anda menghidap sesuatu penyakit, tanda-tandanya sudah ada. Cuma kerap kali tanda-tanda ini tidak begitu diambil berat, mungkin kerana kurang pengetahuan ataupun anda berfikir ia masalah kecil.

Sungguhpun banyak sebab ketegangan dikaitkan dengan tuntutan dan tekanan hidup, terdapat juga reaksi psikologi dan emosi seperti insomnia, ragu-ragu, risau, dan murung yang turut meninggalkan kesan pada tubuh badan. Ketegangan fizikal ini menjadi punca pelbagai penyakit.

KAJIAN

Pelbagai kajian dibuat bagi mengaitkan hubungan antara penyakit dengan ketegangan. Thomas Holmes dan Richard Rache, dua penyelidik Amerika, pada 1967 mencipta Social Readjusment Rating Scale (SRRS) bagi mengukur ketegangan yang dihadapi manusia. Mereka mendapati bahawa kematian pasangan, penceraian atau perpisahan, masalah berkaitan keluarga atau peribadi, meninggalkan kesan paling tinggi dalam hidup manusia. Manakala perubahan tabiat makan, bercuti, menyambut perayaan ataupun melanggar undang-undang kecil, kesannya paling rendah.


Bagaimanapun, penyelidikan mereka ini tidak menunjukkan keadaan yang sama di Malaysia kerana ia mengambil kira faktor kepercayaan, budaya, agama, keutamaan seseorang dan nilai hidup yang sentiasa berubah. Satu cabang perubatan, ‘psycho-neur immunology ‘(PNI) pula menunjukkan bahawa ketegangan dijadikan faktor asas, menurunkan daya ketahanan badan (faktor kedua) membuat badan lemah dan mudah dijangkiti penyakit termasuk kanser (kesan terakhir).


Dr Hans Selye, Dr Hans Selye, pakar endokrin Kanada (1956) membuktikan secara epidomologi kaitan antara tegangan dan barah usus (peptic ulcer). Kajiannya mendapati bahawa golongan ikhtisas seperti doktor, eksekutif perniagaan, dan guru mudah mendapat penyakit ini. Rawatan melalui pembedahan kurang berkesan, 80 – 90 peratus kes berulang. Tetapi apabila mereka mengubah gaya hidup (rawatan tanpa pembedahan), kurang menghadapi ketegangan, mengamal diet sihat, dan meditasi, didapati kesan pemulihannya lebih baik dan kekal.

Ivan Pavlov (1849 -1936) Ivan Pavlov (1849 -1936), ahli fisiologi Rusia mendapati jika perasaan gembira, marah atau ketegangan dapat dikawal, maka ‘H pylori’ (sejenis bakteria) tidak menimbulkan masalah di dalam perut. Melalui pemerhatian terhadap pesakit ‘gastric tula’ (perut ditebuk dan dilihat di dalamnya), apabila marah atau menghadapi tekanan, dinding perut akan berkilat, merah seolah-olah terbakar dan asid hidrokldrik, iaitu komponen jus gastrik mencurah keluar. Asid ini keluar tanpa dipaksa jika seseorang berada dalam keadaan tertekan. Ia mengganggu perut.

TINDAK BALAS TUBUH KEPADA TEKANAN

Menurut Anthony Yeo dalam bukunya, ‘Menangani Masalah Tekanan’, tubuh manusia memiliki satu pola tindak balas penyelamat hayat yang bertindak dalam pelbagai keadaan tekanan. Tindak balas ini ditemui Selye. Apabila berada dalam keadaan tertekan, tubuh badan bertindak seperti berikut:

1. Sistem saraf simpatetik, iaitu salah satu daripada dua cabang utama sistem saraf automatik akan menggerakkan kimia yang mengatur rembesan hormon.
2. Kelenjar pituari (di bawah otak) akan mengeluarkan hormon biasa ACTH (hormon adrenocorticotropic) ke dalam aliran darah.
3. Apabila ACTH sampai ke kelenjar tirenal yang terletak di atas buah pinggang, ia membentuk satu tindakan, lalu mempergiat pengeluaran adrenalin ke dalam aliran darah dengan sekumpulan hormon yang dipanggil corticoids. Kumpulan hormon ini menjadikan tubuh badan dalam keadaan terangsang.
4. Aliran darah - sistem perhubungan dan pengangkutan am bagi tubuh membawa kimia tekanan kepada setiap sel walaupun jauh kedudukannya, dalam tempoh lapan saat.
5. Pertambahan tindakan ini akan ‘diberitahu’ kepada jantung paru-paru dan otot melalui arahan menjalar melalui prat saraf.
6. Otot-otot menjadi lebih penuh dengan darah kerana saluran darah sempit dan meningkatkan tekanan darah. Pada waktu yang sama arah aliran darah juga diubah keterlaluan, menjadikan jari-jari tangan dan kaki berubah sejuk.
7. Rentak otot meningkat dengan cepat, menjadikan tindakan otot lebih cekap dan cepat.
8. Hati menukar glikogen yang tersimpan dalam bentuk glukosa yang diperlukan dengan banyak oleh otot dan otak.
9. Pemafasan deras dan berat, meningkatkan oksigen dalam darah supaya otot dan otak dapat membakar glukosa dengan berkesan.
10. Jantung berdenyut pantas, menghantar bekalan darah berlebihan ke bahagian tubuh yang memerlukan.
11. Peredaran darah berubah radikal. Sistem keutamaan dikaji semula. Bekalan darah berlebihan di dalam perut dan usus segera dikurangkan untuk memberi laluan kepada keutamaan lain. Ini menyebabkan sistem penghadaman terjejas apabila tubuh mengalami tekanan berat dan berpanjangan.
12. Kegiatan elektrik otak diperhebat apabila darah menyerap ke kepala. Keadaan ini membolehkan pengawalan kesedaran optimum tindakan tubuh badan. Sejumlah otak ditumpukan bagi menyediakan tindakan, yang menjelaskan kesukaran berfikir pada peringkat abstrak ketika berada dalam keadaan gugup.
13. Pendengaran menjadi tajam.
14. Anak mata terbeliak, penglihatan lebih sensitif.
15. Agen pembekuan meningkatkan pemekatan darah.

Karl Albrecht di dalam bukunya ‘Stress and the Manager’ (1979) menyatakan, ‘Tindak balas tekanan ialah pergerakan kimia yang disesuaikan di dalam seluruh tubuh manusia untuk memenuhi keperluan dalam pergelutan kehidupan dan kematian atau untuk mendapatkan kebebasan yang pantas dalam keadaan itu. Tindak balas tekanan ini bergantung kepada tanggapan otak terhadap betapa parahnya keadaan.’

Ketegangan dan tekanan yang tidak ditangani dengan wajar akan menyebabkan tubuh badan kita berhadapan dengan kemungkinan ‘hadirnya’ pelbagai penyakit. Oleh hal demikian, usah ‘tenggelam’ dalam lautan emosi yang tidak terkawal sewaktu berhadapan dengan ketegangan dan tekanan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan