Isnin, 15 Mac 2010

Pertemuan Ini Buktinya

SMAHADZIR

SUDAH dua sesi pengajaranku namun Beng Heng, Guan Teck dan Mei Yin masih belum kelihatan dalam kelas. Ketiga-tiga pelajar ini seolah-olah tidak berminat untuk belajar.
         Aku menyeluruhi ruang kelas. Rata-rata wajah pelajar di depanku sekarang seolah-olah tidak sabar lagi untuk menerima ilmu. Sejurus kemudian, aku terus memulakan sesi pelajaran bahasa Melayu yang telah diamanahkan kepadaku. Aku mengambil kesempatan pagi itu menerangkan tentang betapa pentingnya bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Semua pelajar kelihatan akur. Masing-masing mendengar dengan teliti dan penuh minat. Seterusnya aku bertanya: “Apakah wasilah terpenting untuk membentuk bangsa Malaysia?”
            Semua pelajar diam. Masing-masing mencerlung tunak ke arahku.
“Jawapannya ialah bahasa kebangsaan atau bahasa Melayu kerana ‘Bahasa Jiwa Bangsa’,” ujarku. “Ini bermakna, bahasa apa yang kita daulatkan, bahasa itulah yang membentuk jiwa kita, sekali gus memercikkan jati diri kebangsaan. Sebaliknya, jika kita mendaulatkan bahasa asing, akan terpancarlah ‘jati diri asing’. Lantas, akan terencatlah pembentukan jati diri kita sebagai bangsa Malaysia.”
            Semua pelajar mengangguk-angguk.
Tapi, zaman sekarang ini bukankah kita dituntut supaya menguasai bahasa Inggeris atau bahasa Mandarin, cikgu? Lagipun, bahasa Melayu bukannya dikuasai oleh semua orang di dunia ni,” tiba-tiba Beng Heng bersuara. Jelas wajahnya bagaikan kurang setuju denganku.
“Betul kata Beng Heng tu, cikgu!” sokong pula Mei Yin.
“Saya tidak pernah menghalang kamu belajar dan menguasai bahasa Inggeris dan Mandarin atau apa saja bahasa yang kamu suka,” jawabku. “Tetapi janganlah pula jiwa dan pemikiran dikuasai oleh bahasa asing itu. Ini bukanlah budaya bangsa maju. Bangsa yang maju-moden-perkasa menjunjung tiga pacak ketamadunan iaitu mendaulatkan bahasa kebangsaannya, menyintai jatidiri kebangsaannya, bukan perkauman-kesukuan dan setia pada nusanya yang satu.”
Beng Heng, Guan Teck dan Mei Yin tidak bersuara.
“Bahasa kebangsaan adalah wadah terpenting, selain wadah pendidikan dan kebudayaan kebangsaan, untuk membentuk keperibadian bangsa Malaysia bersemboyankan gagasan ‘satu bahasa, satu bangsa, satu nusa’, tidak sewajarnya disangsikan oleh sesiapapun,” tegasku.
            Semua pelajar mengangguk-angguk faham dengan kenyataan tersebut. Aku semakin bersemangat untuk menyarat minda mereka dengan ilmu yang ada di dadaku.
“Siapa antara kamu berminat mendalami bahasa Melayu?”soalku pula dalam usaha mencungkil minat dalam kalangan pelajar-pelajarku itu.
      Albert Choo dan Stanley Cheng yang duduk di pojok kiri kelas spontan mengangkat tangan masing-masing.
       “Bagaimana yang lain?” soalku lagi seraya menyeluruhi satu persatu para pelajar berbangsa Cina di hadapanku.
            Masing-masing saling berpandangan dan tidak menjawab soalanku.
            “Cikgu seolah-olah anti bahasa Cina!” tiba-tiba Beng Heng bersuara dengan wajah serius.
“Saya bukannya anti bahasa Cina,” tegasku. “Prinsip saya jelas dan tegas: Pelajari dan kuasailah bahasa Cina, tetapi pendaulatan hanyalah terhadap bahasa kebangsaan kita sendiri. Inilah sikap dan pemikiran yang betul.”
Rata-rata pelajar di hadapanku faham cuma Beng Heng, Guan Teck dan Mei Yin saja yang masih belum menampakkan sebarang reaksi positif malah sering saja memprotes di dalam kelas pembelajaranku.
            Hari berikutnya Beng Heng, Guan Teck dan Mei Yin tidak kelihatan di dalam kelas sewaktu sesi pembelajaranku. Melalui beberapa orang pelajar, aku mendapat tahu ketiga-tiga pelajar ini sengaja keluar dari kelas semata-mata tidak mahu mengikuti mata pelajaran bimbinganku. Sesungguhnya, situasi ini amat membingungkan. Aku menjadi resah tidak menentu memikirkan tindakan tiga orang pelajar yang agak pintar ini.

* * *

Hari pertama minggu kedua aku mengambil kesempatan bersoaljawab dengan pelajar-pelajarku. Harapanku semata-mata untuk mewujudkan bibit-bibit kemesraan antara kami.
            Jam 8.30 pagi aku sudah berdiri di hadapan kelas. Aku agak terkejut kerana Beng Heng, Guan Teck dan Mei Yin ada di dalam kelas. Tentu sekali mereka telah kesal atau juga ingin kembali belajar di bawah bimbinganku. Begitu yang terbetik dalam hatiku kala itu. Aku melemparkan sebuah senyuman mesra ke arah mereka namun tidak berbalas. Wajah Beng Heng, Guan Teck dan Mei Yin bagaikan meluat amat denganku. Masam mencuka. Aku diterpa kehairanan mendadak.
        “Kenapa kamu bertiga tidak hadir sewaktu saya mengajar dua hari lalu?” soalku beberapa jenak kemudian. Wajah Beng Heng itu kurenung dalam.
Beng Heng sekadar mencebek. Begitu juga dengan Mei Yin dan Guan Teck. Pelajar-pelajar lain kelihatan seperti kurang senang dengan tingkah laku tiga pelajar tersebut. Mereka seolah-olah resah dan gelisah.
     “Saya bertanya kamu, Beng Heng!” suaraku sedikit tinggi. “Kamu harus menjawabnya dengan jujur supaya saya dapat tahu apa sebenarnya masalah yang kamu hadapi.”
            “Saya, Guan Teck dan Mei Yin sependapat dalam soal tidak mahu menuntut ilmu yang tidak penting dari cikgu!” ujarnya seraya mencemek sinis.
            “Kenapa? Apa yang tidak kena dengan pelajaran bahasa Melayu yang saya ajarkan kepada kamu?” soalku sungguh-sungguh kurang senang.
         “Cikgu seolah-olah datang ke mari untuk menidakkan kewujudan bahasa ibunda kami. Cikgu juga seolah-olah cuba mahu menjahanamkan bahasa ibunda kami!” Suara Beng Heng semakin keras dan sinar matanya murup terpancar api marah yang menyala. Penuh penentangan.
            Aku tergamam jola. Pelajar-pelajar yang lain tidak bersuara. Mereka seolah-olah turut terkedu dengan penentangan yang dibuat oleh rakan sekelas mereka itu terhadapku.
         Aku masih lagi berdiri di hadapan kelas kerana waktu itu aku sedang menyarat minda mereka dengan ilmu yang ada padaku. Aku cuba memurup dan melebarkan senyuman semanis mungkin kepada Beng Heng tetapi nyata pelajar itu langsung tidak mahu membalas senyumanku. Sungguh benar dia anti dengan subjek bahasa Melayu kelolaanku.
          “Semua tuduhan yang kamu katakan tadi bersifat prejudis dan salah, Beng Heng!” aku bersuara beberapa jenak kemudian. “Saya bukan mahu menghancurkan bahasa ibunda kamu, tapi saya...”
          “Cikgu seolah-olah sedang memaksa kami, bukan?” cantas Beng Heng dengan kasar. Wajahnya nyata murup dengan rasa benci dan marah yang amat sangat, sarat juga dengan sinis yang tidak berpenghujung.
            Aku gontai melemparkan sebuah lagi senyuman kepadanya. Senyuman yang kukira serbat penyegar dan penawar buat diriku sendiri ketika itu.
            “Beng Heng bercakap benar, cikgu!” tiba-tiba Guan Teck bersuara pula.
            Aku pantas menoleh ke arahnya yang duduk di bahagian kiri belakang kelas. Aku dapati ketika itu dia sedang menjuihkan bibirnya seolah-olah jengkel amat memandang wajahku.
            “Cikgu memaksa kami menerima kepentingan bahasa Melayu supaya bahasa ibunda kami dilupakan!” Mei Yin pula bersuara dengan bibirnya semakin dijuihkan. Hodoh benar figura ayunya tatkala itu.
            Aku mengeluh rengsa. Lidahku bagaikan terkancing rapat. Sejak aku menjadi guru dan ditugaskan mengajar di sekolah ini, inilah pertama kali aku mendengar kata-kata seperti ini. Aku cuba juga mengeluarkan suara yang lembut supaya tidak kelihatan riak-riak kepedihan yang melepa di hatiku. Kupandang muka seorang demi seorang pelajar di hadapanku. Sejurus kemudian, perlahan-lahan aku bersuara tetapi agak serius.
            “Saya yakin, kamu semua pasti memberi peluang kepada kenyataan dan kebenaran...”
            “Untuk apa, cikgu?” Mei Yin mencantas kata-kataku yang belum tamat. Dia bagaikan mahu bertengkar denganku.
            “Untuk kesenangan dan kesejahteraan masa depan kamu dan negara kamu juga,” jawabku lembut.
            “Itu semua tak perlu, cikgu!” Beng Heng pula bersuara. Sekali gus mematikan segala hujah yang berligar di dalam kotak benakku.
“Kesenangan dan kesejahteraan itu sebenarnya ada pada diri cikgu sendiri, betul tak?” tanya Guan Teck seraya tersenyum sinis.
            “Apa maksud kamu?” soalku.
            “Cikgu datang ke sekolah kami ini bersama cita-cita supaya kami melupakan bahasa ibunda kami sendiri. Kalau ini berjaya dilaksanakan, bermakna cikgulah yang senang dan bahagia kerana cita-cita busuk cikgu tu sudah tercapai,” balas Beng Heng.
            “Betulllllll!!!!”
            Tiba-tiba sebahagian besar pelajar di kelas itu bersuara memberi sokongan sambil menepuk-nepuk meja. Aku diterpa gamam yang tidak wajar.
            “Kamu bertiga terlalu berburuk sangka, Beng Heng!” aku sungguh kurang senang dengan tukasannya. “Kamu juga sudah berjaya mempengaruhi fikiran rakan-rakan kamu yang lain. Ini amat tidak elok dipraktikkan oleh kamu sebagai pelajar. Apa yang harus kamu lakukan ialah dengar dulu segala ilmu yang akan saya terangkan. Sekiranya kamu tidak suka, kamu boleh diam saja atau kamu boleh memohon dari saya untuk keluar dari kelas. Ada di antara rakan-rakan kamu yang lain yang masih mahu belajar dengan saya.”
            “Saya ingin menyeru kepada rakan-rakan yang sudah dirasuk oleh kata-kata manis Cikgu Zulaikha ini. Untuk pengetahuan kamu semua, Cikgu Zulaikha adalah seorang Melayu yang diutus untuk menghancurkan bahasa ibunda kita. Kamu semua jangan mudah terpedaya dengan kata-katanya. Kenapa cikgu tak mahu berterus terang saja?” Mei Yin lantang bersuara sambil merenung wajahku tunak-tunak.
            Aku terkedu namun masih gagah untuk mengatur langkah ke sana ke mari di setiap pojok kelas. Mataku memerhatikan setiap biji mata para pelajar yang ada di situ. Dadaku tiba-tiba jadi jelu tidak menentu. Mengapa pelajar-pelajar ini masih ada perasaan sedemikian? Mengapa ada perasaan begitu di sanubari anak-anak di bangku sekolah? Sesungguhnya, aku akan menghadapi tugas yang amat berat dan mencabar. Fikiranku mulai bercelaru dan cabuh.
            Pelajar-pelajar ini bakal menjadi tulang belakang negara pada masa akan datang. Sudah aku jelaskan sebelum ini betapa bahasa Melayu adalah bahasa penyatuan antara kaum di negara ini. Kenapa ini pula yang aku terima?
            Aku ke sekolah jenis kebangsaan Cina ini sebagai seorang guru bahasa Melayu untuk mendidik anak bangsa Malaysia supaya menjadi rakyat atau generasi yang kaya maklumat. Ilmu ini amat penting untuk mereka sebagai warga yang bergelar bangsa Malaysia.
Saya ingin lihat kamu berjaya. Itu saja niat saya kerana masih ada di antara kamu yang bencikan bahasa Melayu, masih berfikir bahawa bahasa Melayu ini satu bahasa yang tidak bertaraf dunia. Kalau beginilah persepsi kamu pada bahasa Melayu, kamu akan menjadi satu bangsa yang tak akan berpadu. Relakah kamu lihat negara kamu tidak bersatu, berselisih faham antara kaum kerana tidak ada bahasa yang boleh menyatukan mereka?” suaraku mencerlus beberapa tagal kemudian.
            Semua pelajar tunduk merenung meja.
            “Relakah kamu melihat negara kamu asyik berperang saja sesama sendiri kerana tidak ada kesefahaman?” aku sengaja mengemukakan persoalan tersebut yang tentu sekali sukar dijawab sama ada oleh Beng Heng, Guan Teck atau Mei Yin yang terkenal dengan sikap anti bahasa Melayu itu.
            Beng Heng, Guan Teck atau Mei Yin diam. Aku yakin, bibit-bibit kesedaran sudah mulai menyelinap ke dalam diri mereka. Suasana bilik kelas kembali tenang. Masing-masing khali, melongo dan merenung jauh ke dalam mataku. Melihat suasana tersebut, aku memulakan semula pembelajaranku yang terbantut hari itu.
            “Saya tetap tak mahu belajar,” tiba-tiba Beng Heng bersuara lagi sambil gesit melangkah keluar dari kelas.
            “Tunggu dulu, Beng Heng!” aku cuba menghalang. “Dengar dulu penjelasan saya,” seboleh-bolehnya aku mahu pelajar itu duduk semula di bangkunya. Tetapi Beng Heng terlalu tegar. Dia tetap juga keluar sambil menjeling sinis kepadaku.
            “Saya minta maaf, cikgu! Saya telah berkasar dengan cikgu tadi!” Mei Yin tiba-tiba bersuara. Ada nada sebak yang terbungkus di suara itu membuatkan aku rasa amat terharu. Lantas sebuah senyuman yang penuh dengan kepuasan aku hadiahkan kepadanya. Aku berasa amat puas kerana berjaya mengubah pendiriannya.
“Saya juga begitu, cikgu!” suara Guan Teck pula mencerlus setagal kemudian. “Saya minta maaf atas kekasaran saya dengan cikgu tadi!”
           

* * *

Kini sudah empat tahun aku meninggalkan sekolah jenis kebangsaan Cina tersebut. Sekarang, aku sudah bergelar pensyarah di Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Bahasa Melayu (IPGMKBM) di Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Namun, kenangan sewaktu di sekolah jenis kebangsaan Cina itu tetap segar dan basah dalam ingatan. Dua tahun aku di sekolah tersebut yang terletak di selatan Semenanjung itu cukup mendewasakan aku sebagai seorang pendidik.
            Tok! Tokk! Tokkk!!!!
            Tiba-tiba pintu bilikku diketuk orang. Aku gesit tersentak dari lamunan singkat. Sejurus kemudian pintu dikuakkan lebar oleh rakan sejawatku. Aku agak terkesima tatkala melihat di sisinya seorang remaja berbangsa Cina yang sangat-sangat aku kenal. Walau lebih empat tahun tidak bertemu namun wajah itu masih erat memeluk lipatan hatiku.
            “Puan Zulaikha! Errr, ini saya kenalkan Beng Heng. Dia merupakan pelajar baru yang akan menuntut di sini mendalami bahasa Melayu. Dia sungguh-sungguh ingin bertemu dengan puan.”
            Aku masih mendiamkan diri sehingga Encik Abdul Rahim menghilang dari bilikku. Aku merenung wajah remaja Cina tersebut dengan perasaan yang sungguh bangga. Mulutnya terkumat-kamit, terjeda dan juga kelihatan terkesima seolah-olah ingin menyatakan sesuatu.
            “Sila duduk, Beng Heng! Saya amat gembira kerana dapat bertemu lagi dengan bekas pelajar saya suatu ketika dulu!” ujarku seraya tersenyum.
            “Saya amat terhutang budi kepada cikgu,” ujar Beng Heng sewaktu melabuhkan punggungnya di hadapanku. “Kesedaran yang telah cikgu serapkan ke dalam dada saya dulu amat berharga sekali. Kalau tidak kerana cikgu dan kesedaran yang telah cikgu tanamkan dulu, tak mungkin saya berada di IPGMKBM ni sekarang. Saya berjanji akan menjadi seorang guru bahasa Melayu yang baik seperti cikgu!”
            Aku tersenyum bangga. Perlahan-lahan aku bangun dan memegang bahunya. Aku lihat air mata bekas pelajarku itu mengalir perlahan-lahan ke pipi. Aku tersenyum lagi, lebih bangga kerana cita-citaku untuk melihat pelajarku yang bukan berbangsa Melayu menjadi guru bahasa Melayu sudah tercapai. Pertemuan ini satu buktinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan