Ahad, 14 Mac 2010

Makanan Penuh Hikmah

Artikel ini telah tersiar dalam laman sesawang Yayasan Dakwah Islamiah Islam (YADIM) pada 10 November 2006

Oleh SMAHADZIR

ORANG yang mahu mendalami ayat-ayat Al-Quran akan menyedari bahawa Allah s.w.t sudah merentangkan segala penjelasan di dalam kitab-Nya dan menunjukkan kepada manusia cara-cara untuk memudahkan hidup dan kehidupan, baik di dunia ini mahupun di alam seterusnya. Subjek lain yang menarik perhatian manusia yang memahami adalah yang diungkapkan oleh Al-Quran tentang makanan-makanan yang baik untuk kesihatan.

BUAH-BUAHAN

Al-Quran menyebutkan sejumlah buah-buahan yang diakui ilmu pengetahuan moden, memiliki khasiat untuk mencegah beberapa jenis penyakit. Buah-buahan yang memberikan manfaat kepada tubuh manusia dalam berbagai-bagai cara, juga enak rasanya. Di dalam beberapa ayat Al-Quran, Allah s.w.t menyeru manusia supaya memperhatikan kepelbagaian dan keindahan disertai seruan agar merenungkan ciptaan-ciptaan-Nya yang amat menakjubkan, sebagaimana firman-Nya: ‘Dan Dialah yang menurunkan air hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu segala macam tumbuh-tumbuhan, maka Kami keluarkan daripada tumbuhan-tumbuhan itu tanaman yang menghijau. Kami keluarkan daripada tanaman yang menghijau itu butir yang banyak; dan daripada mayang kurma menghurai tangkai-tangkai yang menjulai, dan kebun-kebun anggur, dan Kami keluarkan pula zaitun dan delima yang serupa dan yang tidak serupa. Perhatikanlah buahnya pada waktu pohonnya berbuah, dan (perhatikan pula) kematangannya. Sesungguhnya, pada yang demikian itu ada tanda-tanda (kekuasaan Allah s.w.t) bagi mereka yang beriman.’ (al-An’aam: 99)

Allah s.w.t menciptakan pelbagai jenis buah – setiap jenis memiliki rasa dan khasiat tersendiri meskipun semuanya tumbuh di tanah yang sama dan diairi dengan air yang sama. Sebagaimana penciptaannya, kenyataan bahawa buah-buahan dan sayur-sayuran merupakan sumber-sumber vitamin dan ‘nutrition’ penting, juga mengajak manusia berakal untuk berfikir. Buah-buahan, yang tumbuh dalam tanah lumpur hitam, hanya menyerap unsur-unsur khasiat yang diperlukan (mineral-mineral) yang bermanfaat bagi kesihatan manusia. Bagaimanapun, bagaimana tanah ‘dapat mengetahui’ apa jenis ‘nutrition’ yang harus dihasilkan? Begitu juga, apakah buah yang dihasilkan sesuatu tanaman itu mempunyai kemampuan dan pengetahuan untuk menghunjam ke tanah mencari komponen-komponen keperluannya dan menyerapnya dalam kuantiti yang diperlukannya?

Bagaimanapun, sistem ini bekerja dalam tatacara yang amat sempurna dan lengkap, sehingga setiap jenis tanaman mempunyai warna, rasa dan bau yang spesifik, serta mengandungi mineral dan vitamin dalam kadar yang lengkap. Sebagai contoh, buah tembikai tidak pernah berwarna biru atau masam, tidak juga berbau tanah melainkan sentiasa berbau dan mempunyai rasa tersendiri yang kita kenali. Allah s.w.t, pemilik tunggal dan penguasa jagat raya, menciptakan semuanya ini dan memperlihatkan kepada manusia agar mereka mengambil hikmah dan mensyukuri nikmat-Nya itu. Al-Quran menyebutkan begitu banyak jenis buah-buahan, yang akan tersedia bagi orang-orang yang beriman di dalam syurga. Secara ringkas, kita akan membincangkan hikmah dan manfaat daripada buah-buahan yang disebutkan di dalam Al-Quran.

1. Pisang

Al-Quran juga menyebut pisang sebagai salah satu buah-buahan syurga, sebagaimana firman Allah yang bermaksud: ‘Berada di antara pohon bidara yang tidak berduri, dan pohon-pohon pisang yang bersusun-susun (buahnya), dan naungan yang terbentang luas, dan air yang tercurah, dan buah-buahan yang banyak, yang tidak berhenti (buahnya) dan tidak terlarang mengambilnya.’ (al-Waaqi’ah: 28-33)

Seperti semua anugerah lainnya, buah pisang yang dinikmati para penghuni syurga tentu akan jauh lebih sempurna daripada pisang yang dapat dibayangkan tersedia di dunia kini. Betapapun, pisang-pisang yang tersedia di syurga tidak pernah jadi busuk dan akan memiliki rasa dan wangi yang tidak mungkin kita bayangkan sekarang. Bagaimanapun, di dunia ini pun Allah s.w.t sudah menciptakan sejenis buah yang sangat mirip dengan yang ada di syurga dan telah menyediakannya untuk kita. Pisang, buah yang sangat berkhasiat, terdiri atas air (75%), protein (1.3%) dan lemak (0.6%). Setiap biji buah pisang juga mengandungi karbohidrat dan potassium dalam jumlah yang mencukupi Di samping membantu menyembuhkan banyak penyakit, pisang juga berkhasiat untuk penyembuhan demam, gangguan sistem kerja pencernaan, kejang-kejang, dan tergeliat. Tingginya jumlah potassium yang dikandungnya (0.24%) melancarkan sistem perkumuhan di dalam tubuh.

Pisang menurunkan tekanan darah dan digunakan untuk penyembuhan pelbagai alahan atau elergi. Potassium berfungsi bersama sodium, meningkatkan pertumbuhan sel dan otot, dan mengatur ekuilibrium air dan degup jantung. Setiap perubahan pada keseimbangan sodium-potassium dapat mengakibatkan ketidakteraturan pada sistem kerja saraf dan otot. Oleh sebab itu, kita mesti menjaga ekuilibrium potassium tubuh. Di samping itu, kekurangan potassium memberi kesan kepada pada edema (air berlebihan pada sesuatu organ tubuh) dan menurunkan jumlah kitaran gula di dalam darah, maka keseimbangan ini perlu tetap dijaga.

Pisang, yang kaya vitamin B6, juga memainkan peranan penting dalam mengawal tindak balas unsur kimia dari protein dan asid amino, dan merupakan unsur penting untuk menjaga otak berfungsi secara normal. Unsur-unsur kimia ini meningkatkan pengeluaran sel darah merah, menjaga keseimbangan kimia dalam cairan tubuh, membantu pengeluaran tenaga, dan memberikan kemampuan bertahan terhadap tekanan (stres). Karbohidrat berfungsi sebagai enzim pembantu dalam proses metabolisme lemak dan protein. Selain itu, pisang berupaya menyembuhkan banyak jenis penyakit anemia (kekurangan sel darah merah dalam darah atau dalam kadar hemoglobin pesakit), adalah ‘instrument’ dalam pembinaan sel dan otot, memelihara keseimbangan cairan dalam tubuh, dan menyembuhkan penyakit-penyakit pada jantung.

Sebaliknya, kekurangan vitamin B6 boleh mengakibatkan letih, mempengaruhi konsentrasi seseorang, insomnia, anemia, penyakit kulit, dan lain-lain. Allah s.w.t telah menciptakan buah bermanfaat ini dan menjuruskan perhatian kita pada manfaatnya. Allah s.w.t menegaskan bahawa Dia sudah memberikan kepada manusia apa saja yang diinginkan, dan mengingatkan mereka agar tidak bersekutu dengan orang-orang yang tidak bersyukur, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: ‘Dan Dia telah memberikan kepadamu (keperluanmu) dari segala apa yang kamu mohonkan kepada-Nya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah s.w.t, tidaklah dapat kamu menghitungnya. Sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan amat mengingkari (nikmat Allah s.w.t).’ (Ibrahim: 34)

2. Anggur

Firman Allah yang bermaksud: ‘Lalu dengan air itu, Kami tumbuhkan untuk kamu kebun-kebun kurma dan anggur; di dalam kebun-kebun itu kamu memperoleh buah-buahan yang banyak dan sebahagian daripada buah-buahan itu kamu makan.’ (al-Mukminun: 19)

Anggur, yang berkhasiat tinggi dan kaya dengan pelbagai vitamin dan bahan-bahan metalik, merupakan sejenis makanan penting. Sekitar 20-25% isinya adalah gula, yang dapat dengan cepat masuk ke dalam aliran darah. Oelh sebab itu, anggur adalah baik untuk mereka yang banyak melakukan kegiatan fizikal dan mental, kerana anggur berupaya menghilangkan rasa penat dan menghapuskan anemia. Begitu banyak kandungan zat besi dan gula di dalam buah anggur yang juga berupaya melancarkan aliran darah dan menjadi ubat bagi pesakit ‘liver’, ginjal, dan sistem pencernaan. Anggur merangsang kepada berfungsinya ginjal dan membantu mengeluarkan hampas-hampas tubuh seperti urea.

Dengan mengeluarkan air yang berlebihan daripada tubuh, anggur menurunkan tekanan darah. Para penderita ulcer perut, magrain, radang sendi, radang usus kecil, rematik, dan mereka yang keracunan, disaran minum jus buah anggur. Anggur juga berupaya menguatkan organ jantung, bermanfaat dalam menyembuhkan ‘bronchitis’ dan batuk, serta meningkatkan kecantikan kulit kerana anggur membersihkan darah. Kerana anggur meningkatkan pengeluaran air susu. Ibu-ibu yang menyusui bayi disarankan minum jus buah anggur. Sejumlah unsur kimia yang terdapat dalam buah anggur dapat mengurangkan kemungkinan dijangkiti kanser kulit.

3. Delima

Firman Allah yang bermaksud: ‘Dan Dialah yang menjadikan kebun-kebun yang berjunjung dan yang tidak berjunjung, pohon kurma. Tanaman-tanaman yang bermacam-macam buahnya, zaitun dan delima yang serupa (bentuk dan warnanya), dan tidak sama (rasanya). Makanlah daripada buahnya yang berbagai-bagai itu apabila berbuah, dan tunaikanlah haknya pada hari memetik hasilnya (dengan mengeluarkan zakat); dan janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya, Allah s.w.t tidak menyukai mereka yang berlebih-lebihan.’ (al-An’aam: 141)

Delima, sejenis buah yang turut disebutkan di dalam Al-Quran, mengandungi potassium, selain daripada mineral-mineral lain seperti fosforus, kalsium, zat besi, dan sodium, dan vitaman-vitamin A, B1, B2, B3, dan C. Bertindak balas bersama sodium, potassium mengatur ekuilibrium air di dalam tubuh dan menjaga degupan jantung agar tetap normal. Dengan memelihara keseimbangan kadar potassium-sodium, buah ini juga membantu kepekaan saraf dan otot agar berfungsi secara teratur, mencegah edema, dan mengurangkan kadar gula yang di dalam darah. Delima menghilangkan rasa letih pada otot dan memungkinkan bergerak dengan mudah, dan juga menguatkan jantung.

4. Zaitun

Firman Allah yang bermaksud: ‘Dialah yang telah menurunkan air hujan dari langit untuk kamu, sebahagiannya menjadi minuman dan sebahagiannya (menyuburkan) tumbuh-tumbuhan, yang pada (tempat tumbuhnya) kamu mengembalakan ternakanmu. Dia menumbuhkan bagi kamu dengan air hujan itu tanaman-tanaman; zaitun, kurma, anggur, dan segala macam buah-buahan. Sesungguhnya, pada yang demikian itu benar-benar ada tanda (kekuasaan Allah s.w.t) bagi golongan yang berfikir.’ (al-Nahl: 10-11)

Daripada kajian para pakar, diketahui bahawa zaitun tidak saja lazat rasanya, tetapi juga merupakan sumber makanan yang bermanfaat untuk kesihatan. Kandungan asid linoleik yang terdapat pada buah ini secara khusus sangat bermanfaat bagi ibu-ibu yang sedang menyusui anak. Organisasi-organisasi kesihatan, termasuk WHO, menyarankan penduduk yang bermukim dalam masyarakat yang tinggi tingkat penderita diabetes dan arterioclerosis (penebalan saluran urat darah) supaya menggunakan minyak zaitun yang mengandungi paling kurang 30% asid linoleik.

Manfaat buah zaitun tidak hanya terbatas pada asid linoleik. Misalnya, unsur klorin di dalamnya berupaya meningkatkan fungsi jantung lebih sempurna, juga melancarkan sistem perkumuhan di dalam tubuh. Unsur-unsur tersebut juga baik untuk mencerna arteri otak. Selain manfaat-manfaat yang tersebut, minyak zaitun juga merupakan sumber penting bagi penjagaan kesihatan manusia. Berbeza daripada mentega, minyak zaitun tidak meninggikan tingkat kolesterol di dalam darah; sebaliknya minyak ini berupaya mengawal tahap kolesterol. Oleh sebab itu, banyak doktor menyarankan penggunaan minyak zaitun dalam memasak makanan.

Selain itu, sama ada dalam keadaan panas mahupun sejuk, minyak zaitun berupaya mengurangkan jumlah asid di dalam tubuh dan berupaya pula melindungi perut daripada penyakit seperti radang usus. Minyak zaitun juga membuatkan teraturnya gerakan pundi hempedu. Penelitian juga telah mengungkapkan bahawa minyak zaitun memiliki kemampuan tertentu untuk mencegah penyakit urat darah koroner melalui pengurangan ‘level LDL’, sejenis kolesterol yang mengganggu kesihatan, di samping meningkatkan tahap kolesterol yang bermanfaat untuk kesihatan HDL di dalam darah.

Vitamin E, A, D, dan K di dalam darah amat penting untuk pertumbuhan tulang dan kadar mineral dalam tubuh kanak-kanak dan orang dewasa. Vitamin-vitamin tersebut berupaya mengukuhkan tulang dengan cara menstabilkan kalsium. Minyak zaitun merupakan ‘bahan makanan’ yang berupaya membina organisme-organisme tubuh. Unsur-unsur antioksidan seperti ini dan asid-asid lemak seperti asid linoleik, yang amat penting bagi manusia, memperbanyakkan hormon dan sintesis membran sel-sel biologi. Oleh sebab vitamin-vitamin ini memperbaharui sel, ia juga digunakan untuk mengatasi penyakit-penyakit yang berkaitan dengan usia seseorang dan perawatan kulit.

Oleh sebab vitamin memberi sumbangan kepada pertumbuhan otak dan jaringan saraf bayi sebelum dan sesudah kelahiran, satu-satunya saranan para pakar kepada para ibu adalah minyak zaitun. Di samping memiliki satu peringkat asid linoleik yang mirip tarafnya dengan air susu ibu, minyak zaitun berfungsi sebagai sumber ‘nutrition; semula jadi seperti halnya air susu ibu apabila dicampur dengan susu lembu bebas lemak. Sebagai ‘harta; milik kesihatan yang penting, minyak zaitun mujarab untuk mengatasi penyakit-penyakit jantung dan saluran darah. Sehubungan dengan segala manfaatnya itu, minyak zaitun telah menarik perhatian para pakar kesihatan dalam abad mutakhir ini.

5. Kurma

Firman Allah yang bermaksud: ‘Dan di bumi ini terdapat sebahagian-sebahagian yang beriringan dan kebun-kebun anggur, tanaman-tanaman dan pohon kurma yang bercabang dan yang tidak bercabang, disirami dengan air yang sama. Kami melebihkan sebahagian tanaman-tanaman itu atas sebahagian yang lain tentang rasanya. Sesungguhnya, pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah s.w.t) bagi golongan yang berfikir.’ (ar-Ra’d: 4)

Kurma, buah-buahan yang disebut dalam surah Maryam, pohonnya tumbuh di padang gersang bersuhu panas dan begitu banyak manfaatnya. Allah s.w.t mengindentifikasikan khasiat penyembuhan daripada buah ini dengan menceritakan pada Maryam, yang sedang menghadapi waktu bersalin, supaya makan isi buah kurma, ‘Maka Jibril menyerunya dari tempat yang rendah: ‘Janganlah kamu bersedih hati, sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan anak sungai di bawahmu. Dan goyanglah pangkal pohon kurma itu ke arahmu, nescaya pohon itu akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadamu, maka makan, minum, dan bersenang hatilah....’ (Maryam: 24-26)

Allah s.w.t mempunyai maksud tertentu dengan menyeru kita untuk ‘mementingkan’ kurma. Dengan meneliti isi kandungan buah ini, akan membuatkan kita lebih faham tentang apa yang difirmankan Allah. Kurma, dengan kandungan 50 peratus gula, amat berkhasiat kerana isi buahnya mengandungi fruktosa dan glukosa berkalori tinggi, dan mudah serta cepat dicerna. Kandungan gulanya berupaya menenangkan saraf yang ‘gelisah’ serta memberikan rasa aman pada jiwa. Sudah pasti setiap ibu yang bersalin mengeluarkan banyak darah, yang dengan sendirinya jumlah gula dalam darah hilang dengan kadar yang banyak

Oleh sebab gula yang hilang itu perlu diganti, maka kepentingan kurma, seperti kisah Maryam itu, ternyataan kurman amat penting sebagai makanan tambahan. Memakan atau mengambil terlalu banyak daging, yang tidak dinafikan mengandungi banyak protein, tidaklah mustahil pada ketika yang sama boleh mengakibatkan keracunan. Jadi, makanan-makanan ringan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, yang tentu saja mudah dicerna, hendaklah lebih menjadi pilihan. Dalam ayat di atas, kita dapati bahawa kurma, khususnya, sungguh bermanfaat bagi wanita hamil dan ibu-ibu yang menyusui bayi secara semula jadi. Isi buah kurma meningkatkan kesihatan janin di dalam perut ibu, mencegah ibu daripada rasa lemah, dan memperbanyakkan air susu berkhasiat tinggi.

Pada waktu yang sama, kurma segar memberikan manfaat besar kepada otak. Kurma, dengan kandungan 2.2% protein, juga mengandungi banyak jenis vitamin A, B1, dan B2. Protein-protein ini melindungi tubuh daripada serangan penyakit, membantu pertumbuhan sel-sel, dan menyeimbangkan cairan-cairan di dalam tubuh. Vitamin A meningkatkan kemampuan pandangan mata dan kekuatan badan, juga kekuatan tulang dan gigi. Vitamin B1 membantu saraf berfungsi sempurna, membantu tubuh menukar karbohidrat menjadi tenaga, mengatur selera makan dan pencernaan.

Vitamin B2 membantu pembakaran protein-protein yang disebutkan di atas, karbohidrat, dan lemak yang diperlukan untuk penyediaan tenaga dan pembaharuan sel. Di samping itu, kurma juga mengandungi banyak mineral yang penting bagi tubuh (seperti potassium, sodium, kalsium, besi, mangan, dan tembaga). Apabila potassium dan sodium ‘bekerja bersama’, ia bertindak selaku pengatur ritma detak jantung.
Sebagai pengawal degupan jantung.

Dengan membantu penyaluran oksigen ke otak, potassium mampu membuatkan fikiran ‘jernih’. Lebih jauh lagi, ia menyediakan kandungan alkali secukupnya pada cairan tubuh, merangsang ginjal mengeluarkan buangan racun metabolis, membantu menurunkan tekanan darah tinggi, dan membantu pembentukan kulit sihat. Menarik juga untuk dicatatkan bahawa isi buah kurma secara khusus bermanfaat bagi mereka yang hidup dalam kawasan di mana kebun-kebun pohon-pohon ini tumbuh merata. Protein dan gula daripada buah kurma merupakan sumber khasiat yang paling utama bagi penduduk di padang pasir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan