Isnin, 15 Mac 2010

Mahkamah Malam

(Cerpen ini telah disiarkan dalam majalah Sinar Rohani terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan telah diantologikan dalam Insyiqaq)

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

MALAM gelemat. Bintang dan bulan menghilang entah ke mana. Seluruh juzuk jagat raya bagaikan disiram warna bolong. Suara-suara makhluk malam juga bagaikan lampus ditelah kegelapan. Sepi dan hening.
Zakir masih di perbaringan. Matanya masih belum berupaya dikatup. Terkesip-kesip di atas katil walau pun tiada satu pun yang mampu dilihat kala itu.
“Kau yang bersalah, Zakir!”
Tiba-tiba satu suara cagun di gegendang telinganya. Gesit dia menoleh ke kiri dan ke kanan namuan kegelapan saja yang menjamah matanya. Di serata juzuk ruang kamar itu hanya mempamerkan kabus-kabus bolong.
“Kau yang berdosa, Zakir! Kau yang menyebabkan Mirah dan Suhana mati. Kaulah penyebab segala peristiwa itu terjadi!”
Zakir terkesima. Dipejamkan matanya rapat-rapat. Seboleh-bolehnya, dia tidak mahu mendengar tuduhan-tuduhan begitu ditujukan kepadanya. Tuduhan-tuduhan itu bersifat prejudis dan penuh dengan buruk sangka. Tuduhan-tuduhan itu adalah fitnah semata.
“Kenapa kau tidak turut bersama mereka ke pantai itu? kenapa kau membiarkan Mirah dan Suhana ke sana dengan menaiki sebuah teksi sedangkan kau mampu menghantar mereka dengan kereta yang kau miliki itu? Kau lebih mementingkan diri kau sendiri, Zakir! Kau lebih mementingkan kepuasan hati sendiri. Jadi, kaulah yang bersalah dalam soal ini!”
Zakir terkedu.
“Kau lebih mementingkan hasil-hasil karya kau tanpa mengambil kira perasaan hati isteri dan anak kau. Kau yang seharusnya dipersalahkan, Zakir! Kau yang bersalah! Kau yang bersalahhhhhhh!”
Zakir bungkam. Matanya terbeliak. Di hadapannya sekarang adalah sebuah mahka- mah pengadilan. Seorang hakim yang kelihatan amat bengis, beberapa orang pendakwaraya dan juri awam sedang memerhatikan ke arahnya. Orang ramai yang menyaksikan kes tersebut sekadar diam.
“Mana peguam yang sudah kamu lantik untuk membela kamu?” tanya hakim.
Zakir gesit menoleh ke kiri dan ke kanan. “Saya ..... saya akan membela diri saya sendiri!”
Hakim mengangguk-angguk. Para pendakwa dan juri juga turut mengangguk-angguk. Debar di dada Zakir kian menggerutup kencang. Sesungguhnya dia belum bersedia dengan sebarang fakta untuk menangkis segala tuduhan. Dia tidak tahu entah bila dia dibawa ke mahkamah ini. kalau dia tahu lebih awal, tentulah dia akan mencari seorang peguam yang handal untuk membelanya.
“Ingat, Zakir! Sekiranya kamu didapati bersalah, mahkamah tidak ragu-ragu lagi untuk menghukum kamu dengan hukuman yang setimpal. Mengikut peruntukan yang kita ada, kesalahan kamu ini akan menyebabkan kamu akan dihukum mati di tali gantung!”
Suara hakim yang bergema garau itu semakin mendebarkan hati Zakir. Dia tidak mampu melarikan diri lagi kerana di sekelilingnya sudah siap sedia sekumpulan anggota polis lengkap bersenjata. Andainya dia cuba melarikan diri dari mahkamah itu, sudah pastilah peluru-peluru dari muncung senjata api di tangan anggota-anggota polis itu akan meletus menembusi tengkoraknya.
“Apakah kamu mahu mengaku salah di atas semua tuduhan yang sudah dibacakan kepada kamu tadi?” suara hakim terus bergema.
“Tidak!” jawab Zakir dengan tegas. “Saya tidak mengaku bersalah kerana semua tuduhan itu tidak berasas langsung! semuanya bersifat prejudis dan berunsur fitnah!”
“Sila jawab ya atau tidak!” tengking hakim. “Saya tidak menyuruh kamu berpanjang lebar kerana masanya belum tiba lagi. Kamu sekadar diarahkan berkata ya atau tidak sahaja. Sekiranya kamu rasa tidak bersabar, kata tidak. Sekiranya kamu rasa bersalah, kata ya. Faham?”
“Ya, tuan hakim!” Zakir mengangguk faham.
“Kamu mengaku bersalah atau tidak di atas segala tuduhan yang dikenakan oleh pihak pendakwa?”
“Tidak!”
“Bagus!” ujar hakim. “Oleh itu perbicaraan terhadap kamu akan dijalankan sekarang. Sudahkah kamu bersedia?”
“Ya, tuan hakim!”
“Bagus!” Hakim tersenyum dan mengangguk-angguk kecil.
Seorang pendakwaraya bangun dan terus bersuara. “Kamu tidak mengaku salah, bukan? Kalau begitu, siapakah yang bersalah dalam tragedi yang telah meragut dua nyawa tidak berdosa itu?”
“Bukan saya yang bersalah, tidak juga Mirah. Kami berdua tidak bersalah. Yang bersalah adalah takdir!” jawab Zakir dengan tegas dan waras.
“Kenapa kamu katakan takdir yang bersalah?”
“Takdir yang memisahkan kami dengan Suhana. Takdir itu tidak mengenal erti kasih sayang antara seorang ayah, ibu juga anak. Takdir tidak pernah menilai cinta antara kami bertiga. Cinta saya kepada Milah dan Suhana juga sebaliknya. Jadi, takdirlah yang sebenarnya harus disalahkan dalam tragedi ini!”
Semua diam. Hakim mencatat sesuatu. Para juri berbincang sesama sendiri. Para pendakwaraya mencari kata-kata yang lebih sesuai untuk mensabitkan Zakir dengan tuduhan tersebut.
Zakir di kandang tertuduh, segera melayan kotak fikir.… kau tahu Mirah, sejak anak kita Suhana itu pergi meninggalkan aku, dunia kurasakan sungguh sepi dan gelap sekali. Hidupku bagaikan terumbang ambing di lautan yang tidak bertepi. Jiwaku kosong. Tidak dapat aku garapkan walau secalit warna ke kanvas. Hasil-hasil karyaku sudah lama terhenti.
Aku sendiri tidak tahu, entah bila segala penderitaan ini akan berakhir. Kau pun tahu, Mirah! Suhana adalah anak kesayangan kita berdua. Dialah satu-satunya zuriat yang kita ada. Dialah sumber ilhamku selama ini. Kehialnagnya amat terasa sekali.
Koleksi-koleksi lukisanku juga sudah lama bersawang kerana aku bagaikan tidak berminat langsung hendak menjenguknya. Sejak tarikh tregdei ngeri itu, aku hanya berkurung di bilik tidur ini. Tidak pernah lagi aku hampiri bilik lukis itu, bilik yang banyak mencurahkan ilham kepadaku sebagai seorang pelukis.
Sesungguhnya, aku tidak berdaya untuk menghayati lukisan-lukisan itu. Tiadanya kamu berdua umpama tiadanya pelita lagi dalam hidupku. Aku seolah-olah mahu berhenti terus dari berkarya kerana selama ini pun aku berkarya semata untuk kamu berdua. Dengan hasil dari karya-karya itulah aku memberikan kebahagiaan dan kesenangan hidup kepada kamu - kau dan Suhana!
Sepi dan hening.
Bukankah sudah berkali aku katakan, Mirah! Kau dan Suhana adalah penyeri hidupku. Kalian berdua merupakan sumber ilham yang menyerlahkan segala inspirasi terhadap penghasilan lukisan-lukisanku. Kini aku umpama seniman malang tanpa ilham. Tanpa jiwa. Tanpa segala-galanya. Jiwaku kosong dan ilhamku juga kosong, Mirah!
“Kamu mengatakan kemalangan ngeri yang menimpa isteri dan anak kamu itu disebabkan oleh takdir?”
“Ya!”
“Huraikan alasan kamu!”
“Kemalangan ngeri yang menimpa mereka itu memang salah takdir. Saya tidak pernah mengharapkan sedikit pun peristiwa tragis itu terjadi di dalam hidup kami sekeluarga lebih-lebih lagi dalam suasana kasih sayang kami begitu erat dan mesra. Saya tidak pernah mendoakan kejadian hitam itu meragut segala cinta dan kasih sayang antara kami bertiga. Saya tidak pernah mendambakan itu semua. Tetapi, disebabkan oleh takdir, ia datang juga dalam hidup kami membuatkan saya sendiri terpaksa menanggung derita yang amat sangat!”
“Kenapa Mirah dan Suhana yang dipilihnya? Tidakkah lebih baik takdir itu memilih kamu?”
“Itu yang menghairankan saya. Saya lebih suka jika saya yang menjadi mangsa atau lebih baik lagi jika kami bertiga sekaligus supaya tidak ada sesiapa antara kami yang menderita, hidup terseksa, sentiasa diternak gundah dan gulana. Kalau kami bertiga yang menjadi mangsa nahas hari itu, saya tak mungkin berada di kandang tertuduh begini dan saya juga tidak menderita begini teruk! Sungguh saya hairan, kenapa tidak terlibat dalam tragedi ngeri itu!”
Diam dan hening lagi.
Ya Tuhan! Apakah dosa yang telah aku lakukan kepada-Mu sehingga sanggup Engkau pisahkan anak dan isteriku dari hidupku? Sesedarku, aku tidak pernah melakukan apa-apa dosa pada-Mu ya Tuhan! Aku tidak pernah mengabaikan segala suruhan-Mu. Aku tidak pernah lalai dalam semua suruhan dan tegahan yang telah Engkau tetapkan.
“Menurut hasil siasatan pihak polis, kamu banyak mengabaikan kasih sayang erhadap Mirah dan Suhana sehingga menyebabkan mereka mencari jalan keluar sendiri semata-mata untuk mendamaikan hati. Kamu terlalu mementingkan hasil karya dari menyelami perasaan anak dan isteri yang sering kekosongan. Apakah kamu mengaku atau tidak?”
“Tidak! Semua itu tidak benar. Sebagai seorang suami saya tidak pernah mengabaikan segala kasih sayang saya untuk anak dan isteri. Segala yang saya lakukan semata-mata untuk kesenangan dan kebahagiaan mereka berdua!”
“Apa yang kamu lakukan pada masa-masa terluang?”
“Saya menggarap hasil karya di bilik lukis. Saya mahu supaya lukisan-lukisan saya itu dihargai oleh semua orang. Saya inginkan kesenangan dan kekayaan dengan hasil-hasil karya itu!”
“Apakah kamu senang dan kaya seperti yang kamu harapkan itu?”
“Sememangnya saya layak menjadi senang dan kaya seperti yang saya harapkan jika semua orang tahu menilai dan menghargai hasil lukisan ciptaan saya tetapi malangnya ramai manusia yang buta dan jahil. Mereka tidak tahu langsung menghargai seni apalagi mahu membeli lukisan-lukisan saya!”
“Akibatnya ?”
“Saya seperti gelandangan seni yang merempat ke sana ke mari untuk mencari sesuap nasi!”
“Berapa lama sudah kamu menjadi hamba kepada seni itu?”
“Sudah terlalu lama, tidak terhitung oleh saya akan lamanya!”
“Selama kamu bergelumang dalam jagat seni itu, sudah berapa banyakkah anugerah atau penghormatan yang kamu terima?”
“Tidak ada!”
“Kamu puas hati dengan pencapaian tersebut?”
“Ya!”
“Cukup sekadar kepuasan hati sendiri? Bagaimana dengan hati isteri dan anak kamu? Tidakkah kamu terfikirkan bahawa mereka juga mahukan satu kepuasan dalam hidup mereka sebagai seorang isteri dan anak?”
Diam dan hening.
Mirah! Kau lihatlah, Mirah! Kau lihatlah bilik lukisku di anjung rumah kita itu adalah bunga-bunga kesenangan yang aku cuba ciptakan untuk keluarga kita. Betapa aku berkorban seluruh jiwa dan raga, masa seharianku tanpa pedulikan dunia luar yang ada di sekeliling semata-mata untuk memnuhi segala impian murni itu. Aku inginkan kita hidup senang. Aku inginkan kau dan Suhana dilimpahi kemewahan dengan wang ringgit dan emas permata. Aku inginkan rumah usang kita ini berganti dengan sebuah mahligai yang cantik. Aku inginkan kereta buruk kita itu bertukar dengan sebuah kereta yang lebih mewah.
Sesungguhnya, aku tidak mengerti ketentuan ini, Mirah! Ianya begitu rakus meragut segalanya dari kita dengan sekelip mata. Kenyataan ini terlalu berat untukku terima. Kehilangan kau dan Suhana dalam hidupku umpama mematikan segala buah inspirasi dan cita-citaku. Jiwa yang setiap saat kaya dengan buah-buah ilham ini seakan kering dan gersang. Ilham-ilham itu terlalu agung bagi seorang pelukis sepertiku, Mirah! Ilham-ilham itu terlalu mujarad untuk difahami oleh insan-insan yang lain. Kini aku bisu kata. Aku kaku ssegalanya. Mengertilah, Mirah! Aku tidak bersalah di atas kematian kau dan anak kesayangan kita itu.
“Kamu sayangkan anak dan isteri kamu?”
“Ya! Mereka adalah jantung, urat dan nadi juga nyawaku sendiri! Yang berdenyut saban detik. Yang mengalirkan darah ke seluruh jasad dan jiwaku. Kehilangan mereka tidak dapat saya terima dengan hati yang rela. Bukan saya yang bersalah dalam soal ini! Bukan saya!!!!”
Hening dan sepi. Ruang mahkamah bagaikan disergap geruda ganas. Para juri diam. Hakim juga begitu. Cuba para pendakwaraya dan orang ramai yang berbisik-bisik sesama sendiri.
Kata-kata doktor di hospital besar itu adalah satu tamparan yang paling hebat untuk Zakir terima. Bagaikan segunung geguntur dari langit ke tujuh jatuh menghempap kepalanya. Waktu itu dia rasakan seperti tidak berpijak di bumi nyata. Badannya bagaikan melayang-layang entah ke dunia mana dibawa ilusi ngeri yang terlalu sukar mahu diyakini. Pendarahan yang terlalu parah di kepala dan seluruh badan Mirah sudah terlalu kritikal. Begitu juga dengan Suhana. Teksi yang mereka naiki telah bertembung dengan sebuah lori tanah dari arah yang bertentangan. Doktor telah cuba sedaya upaya namun kejayaan tidak menyebelahi mereka.
“Bersabar dan banyakkan pasrah, Encik Zakir! Terimalah takdir ini dengan redha. Tuhan lebih menyayangi isteri dan anak encik!”
Kau tahu, Mirah! Anak kita juga tidak berjaya diselamatkan. Darah yang mengalir dari tubuh ecilnya bagaikan aliran air yang sukar untuk dibendung. Alirannya yang deras itu membawa bersama denyut nadi kecilnya. Jantungnya berhenti berdegup kala tubuh kecil itu kurangkul rapat ke dadaku. Terlalu sejuk, Mirah! Aku meraung macam orang gila. Aku tak pedulikan siap lagi waktu itu. Yang aku tahu Suhana kita telah tiada. Suhanaku telah pergi meninggalkan aku. Suhanaku sudah tidak bernyawa lagi. Kau lihat, Mirah! Itulan tanda kecintaan seorang ayah kepada seorang anak. Kasih sayangku pada Suhana tidak pernah pudar walau sesaat. Tidak pernah luntur, Mirah! Percayalah...
Mirah! Lihatlah potret kita bertiga yang tergantung megah di runag rehat itu. Suhana tersenyum manja dan ka begitu mesra sekali melentukkan kepalamu ke bahuku. Itulah lambang kemesraan kita bertiga.
Bukankah kita sama-sama tersenyum? Jelas keriangan dan kebahagiaan menyelubungi keluarga kita biar pun kehidupan kita dalam serba kekurangan.
Kau ingat Mirah, setiap malam aku akan memalitkan warna-warna indah alam impianku ke kanvas seni yang terpampang di depan koleksi-koleksi peribadiku. Waktu itu juga Suhana akan datang membawa secawan kopi pekat bersama sepiring biskut merri kesukaan aku. Kesukaan kita bertiga juga. Bukankah waktu itu kau akan memarahinya dan mengajaknya ke bilik tidur?
“Jangan ganggu ayah, sayang!”
“Kenapa ayah tak boleh diganggu?”
“Orang seni macam ayah memang tak boleh diganggu nanti ilhamnya akan hilang!”
“Tapi, saya rindukan ayah! Ayah asyik dengan melukis saja sampai tak ada masa nak bermain dan bergurau senda dengan saya!”
“Esok tentu ayah ada masa!”
“Tak nak! Saya nak main dengan ayah malam ni juga!”
“Jangan begitu sayang! Ayuh kita masuk tidur… hari pun sudah jauh malam ni!”
“Tak nak!”
“Suhana jangan degil nanti... ”
Itulah amaran kau, Mirah! Anak kita akur tegahan ibunya. Dia anak yang baik dan patuh. Itulah didikan dan asuhan kau sejak kecil. Kita inginkan anak kita menjadi seorang anak yang berguna bukan saja kepada keluarga tetapi juga kepada bangsa, agama dan negara.
Kita mahukan dia menjadi seorang manusia yang bersopan santun, tahu menjaga adap ketimuran yang kaya dengan keluhuran budi pekerti, akhlak dan tatasusila yang tinggi. Itulah harapan kita berdua.
Tentunya kau belum lupa, Mirah! Sewaktu kau sakit, terlantar di ranjang, siapakah yang mengambil berat soal kau kalau tidak aku? Aku sendiri yang menyediakan makan munim kita, membasuh pakaian kau dan Suhana. Aku bersengkang mata tidak lenyap tidur semata-mata untuk di sisimu. Bukankah itu buktinya kasih sayangku kepadamu?
“Itu definasi kasih sayang yang kamu faham?”
“Ya, begitulah!”
“Teruskan rasional kamu!”
“Apa lagi aksara yang sesuai untuk saya mengatakan keagungan kasih sayang saya kepada anak dan isteri tercinta? Saya tidak berdaya mendirikan sebuah mahligai besar sebesar istana Nebukadnezar untuk tatapan kekasihnya. Saya tidak mampu memuja bulan dan bintang supaya jatuh mengelilingi Mirah dan Suhana. Saya tak mamhu membawa cahayanya supaya terang benderang menyeluruh ke seluruh rumah kami. Hanya itu saja batas-batas kudrat saya. Apakah ini satu alasan untuk mengatakan saya tidak bertanggung jawab sebagai seorang suami dan kepala keluarga?”
“Hasil-hasil karya kamu selama ini menjanjikan pulangan yang menggembirakan anak dan isteri kamu?”
“Tidak! Sekadar cukup untuk membahagiakan kehidupan mereka saja!”
“Apa maksud kamu?”
“Saya terpaksa mengabdikan diri untuk kepuasan hati sendiri setelah tidak mendapat ganjaran yang memuaskan dari hasil-hasil karya tersebut. Saya terpaksa lakukan itu semua demi kerana minat. Kalau saya tinggalkan terus aktiviti melukis itu, bermakna bakat yang ada dalam diri saya akan turut melenyap. Jadi, walaupun hasil-hasil karya saya itu tidak mendapatkan pulangan yang memuaskan, saya terpaksa meneruskannya juga. Dalam soal ini, tuan hakim atau pihak mahkamah harus salahkan masyarakat yang tidak mahu menghargai seni lukis sebagai satu bahan seni yang bermanfaat bukan saja untuk bangsa tetapi juga untuk maruah budaya!”
“Bermakna kamu melukis untuk syok sendiri?”
“Begitulah agaknya. Itulah realiti kehidupan di negara ini yang tak mampu sidangkal oleh sesiapa pun terutama yang bergiat di bidang ini. Namun isteri saya pasrah dan redha bersuamikan seorang pelukis seperti saya. Dia tidak pernah merungut walaupun kehidupan kami tidak sekaya yang diharapkan. Dia tidak pernah bermasam mua walau pun hasil karya saya tidak mendapat tempat dihati pembeli dan dia juga sering memberi semangat dan perangsang supaya saya meneruskan aktiviti melukis itu!”
“Walaupun kerenah kamu lebih buruk dari kerenah kanak-kanak kecil?”
“Itu kerenah orang seni yang sudah masak di dada isteri saya. Dia tak kisah malah dia dapat menerimanya dengan tenang dan sabar kerana kadang-kadang pula kerenah saya lebih baik dari seorang ulama!”
Hening lagi.
Mirah! Datanglah untuk menjadi saksiku di mahkamah ini. Kau tahu segala-galanya. Apa yang aku lakukan selama ini adalah semata-mata untuk kau dan anak kita juga. Aku tidak akan berjiwa tanpa kau dan Suhana. Kamu berdua adalah sumber ilham dan inspirasiku. Kini aku sudah kelenyapan semuanya. Segala yang aku sayang sudah tiada. Segala yang aku cinta sudah lenyap dari pandangan mata. Tolonglah, Mirah!
“Mahkamah terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditentukan nanti. Pihak mahkamah akan menghubungi kamu kemudian!”
Hakim bangun. Para juri, orang ramai dan pendakwaraya turut bangun. Sejurus kemudian suasana mahkamah jadi hening dan perlahan-lahan gelap gelemat. Zakir diruntun kebingungan. Di mana aku kini?
“Engkau masih di sini, Zakir!”
Tiba-tiba suara itu datang lagi. Cagun menggemersik halus di gegendang telinga. Datangnya persis angin malam. Bersama bulan. Bersama bintang. Wujud dalam kekalutan jiwa Zakir. Datangnya dalam bentuk jasad yang lengkap. Berdiri betul-betul di pinggir ranjang. Zakir mampu melihatnya walau dalam kegelapan malam yang pekat.
“Kenapa kau datang ke mari?”
“Untuk berbicara denganmu, Zakir!”
“Soal apa?”
“Soal apa saja yang aku fikirkan sesuai dan wajar!”
“Tentunya soal kematian isteri dan anakku!”
“Kalau itu difikirkan wajar!”
“Hanya soal itu yang membuatkan engkau datang ke mari, bukan? Saban malam, saban detik kau hanya berbicara soal itu. Tempelakan dan tuduhanmu tak lain hanya mahu menyalahkan aku. Kononnya aku punca segala-galanya!”
“Benar!”
Zakir senyum. Kali ini dia begitu bersemangat sekali mahu berdepan dengan suara yang setiap masa mengganggu emosinya itu. Biar suara itu tahu bahawa dia juga berhak mempertahan diri dari sebarang tuduhan yang tidak berasas. Kematian Mirah dan Suhana adalah kehendak takdir. Dia tidak berdaya menghalang pemergian anak dan isterinya. Kenapa perkara ini harus diungkit-ungkitkan lagi. Mirah sudah tiada. Suhana juga sudah tiada. Dia sendiri telah cuba melupakannya walaupun tidak berjaya.
“Boleh aku tahu siapa kau yang sebenarnya?”
“Itu bukan sesuatu yang penting, Zakir!”
“Setidak-tidaknya aku dapat mengenali siapa kau!”
“Kau mampu mengenali siapa aku hanya dengan melihat dirimu sendiri, Zakir!”
“Maksudmu?”
“Suara kita sama, bentuk jasad kita juga sama! Sudah cukup bukan?”
“Bermakna kau adalah aku dan aku adalah kau?”
“Benar sekali! Aku sekadar wujud dalam emosimu yang berkecamuk, lara dan terhenyak lantaran tragedi ngeri yang tak pernah kau impikan dalam hidup itu!”
“Jadi, kau lahir dari takdir yang menimpa diriku?”
“Itu pun benar juga, Zakir! Aku tak punya ehsan, tak punya perasaan dan tak punya hati. Justeru itu aku tidak memahami apa yang kau rasa dan apa yang ada dalam hatimu. Dari itu, aku berhak untuk menempelakmu sesuka hatiku!”
“Teruskan jika begitu katamu!”
“Zakir, kau sendiri telah lihat kematian isteri dan anak kau di atas pangkuan kau sendiri, bukan!”
“Ya!”
“Kau meratap dan meraung macam orang gila dengan pemergian mereka!”
“Memang benar!”
“Untuk apa kau lakukan semua itu. Untuk apa kau tangisi kepulangan mereka yang sudah ditakdirkan itu?”
“Kenapa? Salahkah aku meratapi kehilangan orang yang aku sayang dan kasihi?”
“Bukankah itu semua disebabkan oleh kau juga. Kau sebenarnya hipokrit, Zakir! Kau sengaja meranung untuk memberitahu isi alam bahawa kau kehilangan orang yang paling kau kasihi dan sayangi. Tetapi yang nyata, adakah sudah cukup segala kasih sayang yang telah kau curahkan untuk Mirah dan Suhana selama hayat mereka? Apakah segala-galanya telah sempurna dari kau sebagai seorang suami dan seorang ayah? Kau terlalu banyak mementingkan segala hasil karya kau dari jiwa isteri dan anak kau sendiri. Masa kau banyak sekali terperap di bilik lukis itu tanpa pedulikan anak dan isteri sehinggakan makan dan minum kau pun terpaksa dihantarkan ke bilik itu. Alasan kau tak mahu ilham seni hilang. Mirah sering dibiarkan kesepian. Suhana juga sering ditinggalkan dalam kehausan belai manja dan kasih sayang seorang ayah. Kau hipokrit, Zakir! Kau sememangnya manusia yang hipokrittttttttttt!”
“Tidakkkkkkk!!! Aku tidak hipokrit!!! Kau jangan menuduh aku begitu. Kau terlalu biadap membuah tuduhan tanpa bukti yang jelas lagi konkrit! Mirah sendiri tidak pernah merungut dengan apa yang kami lalui selama ini!”
“Sebab dia tidak mahu dituduh isteri derhaka! Itulah pengorbanan yang terlalu besar dari dia kepada kau, Zakir! Dia tidak berdaya memaksa kau mencurahkan kasih sayang yang kau miliki. Dia menghormati kau sebagai seorang suami, seorang pelukis yang tidak boleh diganggu ketika sedang berkarja, seorang pelukis yang suka memencilkan diri dari khalayak ramai, seorang pelukis yang suka memerap dalam bilik lukis setiap ketika tanpa kira siang atau malam. Kau tidak pernah cuba menyelami perasaan sepi yang ditanggung oleh Mirah dan Suhana. Kau tidak pernah cuba memahami hati dan perasaan seorang isteri dan anak yang inginkan kau sentiasa memberi perhatian kepada mereka. Apa yang kau lebih pentingkan ialah lukisan. Akibatnya Mirah dan Suhana terpaksa mencari perhatian di langit lepas!”
Zakir diam.
“Kau hipokrit dalam menerajui sebuah kehidupan bersama anak dan isteri, Zakir! Kasih sayang kau hanya pada lukisan, cinta kau hanya pada ilham-ilham kau yang kosong, hambar dan tidak pernah dihargai itu. Kau sibuk memperagakan hasil karya kau ke sana ke mari. Kau sibuk memenuhi sepanjang hari dengan menatap lukisan-lukisan kau yang bisu itu. Kau sibuk menyertai pameran-pameran lukisan ke segenap pelosok rantau sedangkan hasilnya nihil lagi nol. Kau sibuk menyarati malam dengan mencoret warna-warna kesukaanmu ke atas kanvas yang kaku itu. Kau terlalu sibuk walau sesaat untuk bersama anak dan isteri sendiri. Kau tidak pernah cuba memahami jiwa dan perasaan mereka. Sesungguhnya, kau adalah seorang ayah yang tidak bertanggungjawab. Kau harus akui hakikat ini, Zakir!”
“Kau sebenarnya tak mengerti. Aku lakukan semua itu semata-mata untuk mereka!”
“Alasan itu terlalu klise dan mangli, Zakir! Muak aku mendengarnya. Usah membohongi diri sendiri. Kau gunakan bakat yang ada itu untuk menutup kelemahan kamu sebagai seorang suami dan ayah kepada seorang anak. Apakah yang sudah kau berikan kepada Mirah dan Suhana dengan hasil karya seni kau yang kosong itu? Pingat apakah yang telah kau dapat setelah bertahun-tahun menghambakan diri kepada lukisan itu? Sudah berapa jutakah wang yang terima hasil dari jualan lukisan-lukisan kau itu? Jangan berdusta, Zakir! Kau tak mampu mendustai diri kau sendiri. Kau sebenarnya nihil dan nol, Zakir!”
“Setan! Apa yang kau tahu tentang seni? Kau terlalu prejudis dan lancang tidak bertempat. Kau terlalu idios dalam seni sebenarnya. Bukan seperti aku. Aku mengabdikan diriku hanya untuk seni, bukan mengharapkan apa-apa anugerah atau wang ringgit yang berjuta. Seni itu satu budaya bangsa yang wajar dihargai, bukan disepahkan di pinggir jalan. Seni yang aku garapkan bukan untuk sanjungan khalayak, jauh sekali mengharapkan gelaran. Seni yang ada dalam tubuhku bukannya bersifat materialistik. Seni akau adalah satu kepuasan. Hasil karya aku adalah satu khazanah bangsa yang tidak ternilai. Apa kau tahu?”
“Kau masih sombong dan bongkak, Zakir! Jiwa seni yang ada dalam diri kau membuatkan kau bongkak dan ego dengan kepuasan yang tidak berpenghujung. Kepuasan yang kau sendiri tidak pernah kecapi. Kepuasan yang kosong. Sedangkan jiwa Mirah dan Suhana juga memerlukan kepuasan kasih sayang dan belai manja dari kau. Itu kau lupa. Mereka juga tidak pernah menikmati kepuasan dalam memahami jiwa seni kau. Kepuasan mereka juga kosong disebabkan oleh kau!”
“Ahhhh, aku bosan! Aku bosan dengan kau! Sebetulnya kau tiada hak untuk mencampuri urusan aku. Kau cuma sebuah ilusi yang lahir dari kekosongan hatiku. Kau sekadar datang untuk memenuhi jiwaku setelah semua kebahagiaanku hilang diragut keganasan waktu. Nyahlah kau dari sini. Biarkan aku menghabiskan malam-malam yang gelap ini dengan kenangan-kenangan manis aku bersama Mirah dan Suhana!”
Hening dan sepi.
Mirah! Seharusnya kau telah memahami jiwaku. Jiwa seniku. Hati senimanku. Aku seorang pelukis yang mendambakan setiap masa terluang hanya untuk lukisan tanpa mengabaikan tanggungjawabku sebegai seorang suami dan ayah. Betulkan?
Sepuluh tahun usia perkahwinan kita bukanlah satu jangkamasa yang singkat. Tahun kedua p[erkongsian hidup kita, Suhana dilahirkan ke dunia. Itulah bukti cinta dan kasih sayang kita yang sukar dimengertikan. Bukti kasih sayangku pada Mirah.
Dunia tidak pernah menyangkal hakikat itu. Anak yang lahir adalah dari hubungan cinta dan kasih sayang yang sejati lagi abadi. Dan benarlah aku menggarapkan hasil-hasil karyaku semata-mata kerana Mirah dan Suhana.
Aku akui, aku tidak punya yang terluang untuk bersama mereka. Setiap masa yang ada hanya untuk lukisan-lukisanku saja. Sejak Suhana meningkat umur lapan tahun, cintaku pada lukisan semakin bertambah. Siang malam aku memerap di bilik lukis tanpa mempedulikan anak dan isteri. Aku tahu mereka kesepian dan memerlukan aku.
Percayalah, aku tidak sedikit pun membenci mereka, tidak pernah jemu malah sayangkan mereka dengan sepenuh hati dan jiwa raga. Merekalah sumbur ilham seniku. Merekalah yang sering membuahkan inspirasiku dalam mencoret keindahan alam menerusi hasil-hasil karyaku.
Tetapi aku terlalu asyik memenuhi kepuasan jiwa seniku saja waktu itu. Aku menjadi seorang seniman yang mengharapkan pengertian dari Mirah dan Suhana sedangkan aku sendiri tidak mahu mengerti hati dan perasaan mereka.
Sebenarnya aku sengaja tidak mahu mengerti. Yang aku tahu, aku telah membakar lilin untuk menerangi orang lain yang hanya ingin menikmati hasil karyaku tanpa sebarang ganjaran yang wajar. Tanpa sebarang anugerah dan penghargaan. Cukupkah sekadar satu kepuasan jiwa yang aku sendiri tidak pernah rasa nikmatnya itu?
Kalau aku tahu semua ini akan terjadi, lebih baik aku ikut Mirah dan Suhana ke pantai itu. Tetapi aku terlalu ego dan bongkak sebagai seorang seniman. Egosentris yang menguasai diriku ketika itu membuatkan anak dan isteriku kecewa lalu berpiknik tanpa aku bersama.
Sedangkan waktu itu adalah kegembiraan bagi mereka. Akulah yang sepatutnya berada di samping mereka saat-saat mereka memerlukan kegembiraan itu. Menikmati keindahan pantai, kemesraan bayu laut yang bertiup segar sambil menyanyi dan berlari-lari di gigi alun seperti bapa-bapa yang lain. Memang aku bersalah, Mirah! Ayah berdosa, Suhana! Ayah yang sepatutnya mati hari itu, bukan kamu, bukan ibumu!
Tuhan, ambillah nyawaku sekarang. Bawalah aku pergi bersama anak dan isteriku. Aku ingin melutut kepada mereka berdua. Aku ingin memohon ampun dan maaf dari mereka. Akulah yang sebenarnya bersalah. Akulah yang sebenarnya berdosa. Aku gagal dalam menjalankan tanggungjawabku sebagai seorang suami dan ayah. Mirah kekurangan perhatian dan kasih sayang. Suhana kekurangan belai manja dan kemesraan. Rupanya mereka pergi dalam kehausan. Haus segala-galanya dari aku.
“Setelah mahkamah mendengar segala hujah dan meneliti segala bukti-bukti yang dipaparkan oleh pihak pendakwa, setelah meneliti juga alasan juri-juri, mahkamah merasakan tidak ragu-ragu lagi untuk membuat keputusan bahawa Zakir didapati bersalah menyebabkan kematian Mirah dan Suhana. Dengan itu, saya sebagai hakim yang mengadili kes ini, menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas kamu, berkuatkuasa dari tarikh kamu ditangkap!”
Malam masih gelemat namun beransur dinihari. Di kejauhan suara muadzin mendayu-dayu mengajak insan menemui-Nya. Perlahan-lahan Zakir bangun menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk.
Dia sudah tertekad mahu mengabdikan dirinya kepada Tuhan. Semoga Tuhan yang Maha Pengampun lagi Penyayang itu, mengampuni segala dosa-dosa silamnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan