Artikel ini telah tersiar dalam laman sesawang Yayasan Dakwah Islamiah Islam (YADIM) pada 11 Oktober 2006
Oleh SMAHADZIR
Meningkatnya tahap kesibukan berbelanja melalui internet menimbulkan sejumlah permasalahan besar. Perilaku pelanggan ketika berbelanja boleh jadi sama sekali berbeza daripada perkiraan umumnya, dan mungkin juga berbeza di antara satu pelanggan dengan pelanggan yang lain. Fenomena ini menyebabkan lalu lintas internet menjadi tidak teratur dan akhirnya berhujung pada penumpukan tiba-tiba pada server internet yang menangani belanja ´on-line´.
Para pakar dari Universiti Oxford dan The Georgia Institute of Technology melakukan kerjasama dalam rangka mengembangkan sejumlah teknologi yang mampu mengatasi penumpukan seperti itu. Para pengkaji ini mengambil model atau contoh-acuan berupa suatu masyarakat yang lalu lintasnya telah berjaya diatur dengan sangat baik. Contoh-acuan ini adalah perilaku masyarakat lebah madu yang telah ditiru dalam sejumlah teknologi yang bertujuan untuk meringankan beban pada ´server-server ´ pada ketika terjadi kepadatan lalu lintas yang luar biasa.
Lonjakan jumlah pelanggan belanja atau perdagangan saham secara tiba-tiba, naik turunnya kegiatan perniagaan melalui internet, memunculkan kesukaran besar pada syarikat-syarikat pengelola ´server´. Untuk meningkatkan keuntungan mereka sebesar-besarnya, syarikat-syarikat ini perlu memeriksa komputer-komputer mereka setiap saat bagi menjaga agar komputer tersebut tetap mampu menyesuaikan diri terhadap tingkat keperluan yang berubah-ubah melalui campur tangan secara cepat.
Bagaimanapun, pada kenyataannya, hanya satu aplikasi web saja yang mampu dimuatkan ke dalam komputer pada satu waktu, dan fenomena ini merupakan sebuah kendala. Perpindahan antara-aplikasi menyebabkan penghentian sementara selama lima hingga tujuh minit, waktu ini diperlukan untuk konfigurasi ulang pada komputer, dan ini bermakna kerugian.
Permasalahan serupa dihadapi dalam tugas-tugas yang dijalankan oleh lebah madu. Sumber-sumber bunga memiliki keragaman dalam hal mutu. Oleh sebab itu, seseorang mungkin berfikiran bahawa keputusan tentang berapa banyak lebah yang harus dihantar ke setiap tempat tersebut dan berapa lama mereka sebaiknya berada di sana merupakan satu permasalahan dalam sebuah koloni yang ingin mencapai kelajuan pengumpulan madu bunga (manisan) setinggi-tingginya. Bagaimanapun, berkat sistem kerja mereka yang sangat baik, lebah mampu memecahkan permasalahan ini tanpa mengalami sebarang kesukaran.
Sekitar seperlima daripada lebah-lebah di dalam sebuah sarang bertugas sebagai pengumpul manisan. Tugas mereka adalah ´berkelana´ di antara bunga-bunga dan mengumpulkan manisan sebanyak mungkin. Ketika kembali ke sarang, mereka menyerahkan muatan manisan mereka kepada lebah-lebah penyimpan makanan yang menjaga sarang dan menyimpan bahan makanan. Lebah-lebah ini kemudiannya menyimpan manisan di dalam petak-petak madu. Seekor lebah pengumpul manisan juga dibantu oleh rakan-rakannya dalam menentukan seberapa bagus mutu sumber bunganya.
Lebah pengumpul madu tersebut menunggu dan mengamati berapa lama waktu yang diperlukan untuk bertemu dengan seekor lebah penyimpan makanan yang sedia menerima muatan. Jika waktu menunggu ini berlangsung lama, maka lebah pengumpul madu memahami hal ini sebagai isyarat bahawa sumber bunganya bukan daripada mutu yang terbaik, dan bahawa lebah-lebah yang lain kebanyakannya telah melakukan pencarian yang berjaya.
Sebaliknya, jika ia disambut oleh sejumlah besar lebah-lebah penyimpan makanan untuk mengambil muatannya, maka semakin besarlah kemungkinan bahawa muatan manisan tersebut bermutu baik.
Lebah yang mendapat maklumat ini memutuskan apakah sumber bunganya senilai dengan kerja keras yang akan dilakukan berikutnya. Jika ya, maka ia melakukan tarian-getarnya yang terkenal agar difahami maksudnya oleh lebah-lebah lain. Lama tarian ini memperlihatkan berapa besar keuntungan yang mungkin mampu diperoleh dari sumber bunga ini.
Sunil Nakrani dari Universiti Oxford dan Craig Tovey dari The Georgia Institute of Technology menerapkan cara penyelesaian masalah oleh lebah madu tersebut pada permasalahan pada ´internet host´.
Setiap server mengambil peranan sebagai lebah pengumpul manisan, dan setiap permintaan pelanggan bertindak sebagai sumber bunga. Dengan cara ini, Nakrani dan Tovey mengembangkan sebuah algoritma ´lebah madu´ untuk server internet ´sarang.´
Sebuah ´host´ menjalankan tugas, sebagaimana yang dilakukan lebah dengan tarian getarnya, dengan membuat sebuah iklan dan mengirimkannya ke sejumlah ´server´ lainnya di dalam sarang. Lama masa penayangan iklan ini mencerminkan manfaat dan tingkat keuntungan yang mampu diraup melalui para pelanggan ´server-server´ tersebut.
Server lain membaca iklan ini dan berperilaku seperti lebah-lebah pekerja yang mengikuti petunjuk yang disampaikan melalui tarian getar tersebut. Setelah mempertimbang dan mengkaji iklan ini beserta pengalaman mereka sendiri, mereka memutuskan perlu tidaknya untuk beralih dari para pelanggan yang sedang mereka layani ke para pelanggan yang sedang dilayani oleh ´server´ yang mengirim iklan tersebut.
Nakrani dan Tovey melakukan uji banding antara algoritma lebah madu yang mereka kembangkan dengan apa yang disebut sebagai algoritma ´rakus´ yang ketika ini dipakai oleh kebanyakan penyedia ´internet host´. Algoritma rakus kelihatan ketinggalan zaman. Algoritma rakus membahagi waktu menjadi sejumlah penggal waktu yang tetap dan menempatkan ´server-server´ untuk melayani para pelanggan untuk satu penggal waktu berdasarkan pengaturan yang dianggap paling menguntungkan pada penggal waktu sebelumnya.
Para pengkaji mengungkap bahawa pada ketika lalu lintas berubah-ubah, algoritma lebah madu memperlihatkan hasil 20 peratus lebih baik daripada algoritma rakus. Sedikit masa lagi mungkin ´server-server´ yang bekerja menggunakan algoritma lebah madu akan semakin banyak, di mana internet akan lebih tepat disebut sebagai ´interkoloni.´
Dengan kata lain, kajian yang dilakukan oleh para ilmuwan ini menunjukkan betapa berbagai penyelesaian masalah yang masuk akal terdapat di alam. Permasalahan yang dihadapi server-server internet sangatlah mirip dengan permasalahan yang dipecahkan oleh koloni lebah madu. Sungguh, kejayaan yang dicapai pengkaji tersebut, yang dilakukan dengan menerapkan contoh dan rujukan koloni atau masyarakat lebah madu, menjadi isyarat akan hakikat ini.
Bagaimanapun, dari manakah asal usul rumusan penyelesaian masalah yang diberikan lebah madu kepada para ´programmer´ komputer tersebut?
Meskipun para ´programmer´ komputer boleh mengambil perilaku lebah madu sebagai contoh-rujukan mereka, lebah itu sendiri tidak dapat melakukan hal seperti itu. Ini disebabkan, meskipun tiruan algoritma lebah yang dibuat oleh ´programmer´ komputer merupakan hasil dari proses berfikir cerdas yang dilakukan secara sedar, lebah madu tidak memiliki kemampuan berfikir seperti itu.
Penyelesaian terhadap permasalahan tersebut memerlukan tindakan sedar, misalnya pertama sekali pemahaman tentang adanya permasalahan tersebut, pengkajian terhadap sejumlah penyebab timbulnya permasalahan itu, pengenalan atas pengaruh sejumlah penyebab itu terhadap permasalahan tersebut secara umum dan pengaruhnya terhadap satu sama lain, dan akhirnya pengambilan keputusan di antara beragam pilihan yang ada.
Sudah pasti penyelesaian masalah seperti itu tidak mungkin terjadi di dalam koloni lebah beranggotakan 20,000 hingga 50,000 ekor. Hanya ada satu penjelasan masuk akal terhadap kenyataan ini, di mana sedemikian banyak makhluk hidup menjimatkan tenaga dengan menerapkan cara pengumpulan manisan yang paling menguntungkan; meskipun kita biasanya menyangka akan wujud suatu kekacauan dan kekalutan di dalamnya.
Pemahaman terhadap permasalahan di dalam koloni lebah dan jalan keluar penyelesaiannya merupakan hasil karya Pencipta Yang Maha Mengetahui. Tidak ada keraguan, Allah-lah, pencipta langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya, yang telah menciptakan koloni lebah. Strategi yang diterapkan di dalam koloni lebah madu merupakan ilham yang berasal dari Allah s.w.t.
Allah s.w.t menyatakan hal ini dalam firman-Nya yang bearmaksud: ‘Dan Tuhanmu mewahyukan kepada lebah: ´Buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu, dan di tempat-tempat yang dibuat manusia. Kemudian makanlah dari tiap-tiap (macam) buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan (bagimu). Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang memikirkan.´(An-Nahl: 68-69)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan