Isnin, 15 Mac 2010

Jalan Pulang Dari Israel

(Cerpen ini telah disiarkan dalam majalah Dakwah terbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan telah diantologikan dalam antologi Jihad)

SMAHADZIR 

MATAHARI memancar terik, membahang dan melengas setiap tubuh. Angin berbunga hangit bertebar di mana. Sambil menyandarkan badannya ke dinding, tangan Saeb Hadif usil dan cekat memasukkan beberapa helai pakaian ke dalam sebuah beg kain. Hafouza di sisinya sejak tadi kelihatan resah dan gelisah. Bila-bila masa saja kediamannya akan digeledah. Dia tentunya akan dihukum dengan hukuman yang berat seandainya pemerintah tahu yang dia sedang menyembunyikan seorang rakyat Palestin di kediamannya. Suasana sekitar sudah pun heboh, kalut dan membahang. Gamat dan gawat. Dia harus berhati-hati.


Israel Raya sudah hancur!!

Israel Raya sudah hancur!!!

Israel Raya sudah hancur!!!!

Laungan itu meledah di mana, bersipongang dan menggerutup sejuruh juzuk Israel. Pendukung wawasan itu begitu kecewa dengan kejadian mutakhir yang berlaku. Impian mereka seolah-olah sudah hancur berkecai, yang selama ini sering membayangkan Israel akan menguasai seluruh wilayah yang diduduki kaum Yahudi, termasuk bahagian tengah Tebing Barat sebelum mereka diusir oleh tentera Rom hampir 2,000 tahun yang lalu.

Hafaouza, antara segelintir Yahudi yang berpegang teguh pada agamanya melihat usaha merampas balik Tebing Barat itu sebagai kewajiban agama. Tetapi ramai Yahudi nasionalis sekular yang lain menganggap Tebing Barat sebagai aset penting dari segi strategi. Namun, dalam suasana sekarang, Hafouza lebih mementingkan seorang sahabat yang pernah berbudi kepadanya.

“Kau harus segera tinggalkan Jabal Abu Ghneim, Saeb!” ujar Hafouza. “Maaf, aku bukannya nak menghalau kau dari kediamanku tetapi aku bimbang, orang-orang Yosef Burg dapat mencium tempat ini. Kau bukan tak tahu, konco-konconya bertebaran di mana saja. Mereka akan bertindak bukan saja pada aku tapi pada kau juga!”

“Aku faham, Hafouza! Dan aku juga ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kerana sudi melindungi aku di sini sekian lama!”

Sebenarnya, Hafouza berasa amat berat rasa hatinya meluahkan kata-kata itu terhadap Saeb Hadif. Sudah seminggu dia menyembunyikan Saeb Hadif di kediamannya selepas rumah sahabatnya itu dimusnahkan oleh militan Yahudi tempoh hari. Sekitar rumah penduduk di kawasan Baitulmaqdis Timur semuanya sudah digeledah untuk mencari saki baki orang Palestin yang masih bersembunyi.
Rakyat Israel yang didapati menyembunyikan orang Palestin akan menerima hukuman yang berat lagi menyedihkan. Mereka akan ditembak oleh tentera Israel. Begitu yang Hafouza tahu kerana berita itu sudah meniti dari mulut ke mulut menyebabkan tidak seorang pun rakyat Israel yang berani berbuat demikian. Dalam soal ini, dia telah membayar dengan harga yang mahal. Kalaulah tentera Israel tahu yang Saeb Hadif ada di kediamannya, dia yakin, nyawanya juga akan turut melayang.

Saeb Hadif diam selepas pakaiannya sudah terperok dalam bungkusan kain yang menyerupai sebuah beg. Wajah Hafouza dicerlung tunak. Dia sedar, sahabatnya yang berbangsa Yahudi itu ikhlas mahu menyelamatkannya. Siang tadi, sewaktu dia mengintai melalui celah-celah daun tingkap, beratus-ratus orang Yahudi kelihatan berarak di sekitar kawasan Jabal Abu Ghneim.

Mereka membawa sepanduk-sepanduk yang mengutuk Netanyahu. Mereka mendakwa gagasan ‘Israel Raya’ yang menjadi intipati perjuangan mereka selama ini telah dikhianati. Mereka kecewa kerana benteng terakhir yang memisahkan bumi Yahudi dengan Palestin sedang dipecah dan dicaing-caingkan.

“Ini hari duka, kelam dan penuh kemarahan!!” laung dan tempik mereka bergema, bergomol-gomol dalam asakan demi asakan seraya membakar gambar Netanyahu.
Saeb Hadif menggeletar dengan suasana yang dilihatnya itu.

“Sempadan sudah dikuasai askar-askar Israel. Bagaimana aku harus keluar dengan selamat?” jelas terbayang gambaran resah di hati Saeb Hadif kala meluahkan ungkapan tersebut.

“Itu kau jangan bimbang, Saeb!” pujuk Hafiuza. “Aku mempunyai seorang rakan baik di Tebing Barat yang boleh membantu kau menyelusup keluar ke Jordan tanpa sebarang kesan atau disedari oleh sesiapa.”

“Bolehkah aku percaya dengan temanmu itu?” tanya Saeb Hadif.

“Ya... aku mempercayainya dan kau juga harus begitu! Dia kawan baik aku, Saeb! Jangan kau risau tentang kesanggupan dan kejujuran dia mahu membantu kau.”

Saeb Hadif senyum. Betapa lega hatinya dengan bantuan yang bakal diperolehi nanti. Dia sudah bercadang, dari bumi Jordan nanti dia akan terus ke Palestin. Itu bukan menjadi masalah yang besar. Cuma, yang menjadi masalah sekarang ialah keluar dari kediaman Hafouza sebelum penggeledahan dilakukan.

“Ayuh, mari kita bertolak sekarang!” ujar Hafouza. Kala itu hari sudah jauh malam. Rata-rata warga Jabal Abu Ghneim sudah lama berdengkur dan dibuai mimpi bidadari. Tiada sebarang bunyi lagi yang kedengaran. Segalanya sepi dan hening.
Saeb Hadif akur Dalam kegelapan malam yang pekat itu, mereka mulai melangkah penuh berhati-hati meninggalkan Jabal Abu Ghneim menuju ke Tebing Barat. Di dalam hati Saeb Hadif, tidak putus-putus dia berdoa agar perjalanannya itu akan selamat dan dia berjaya menjejakkan kaki semula ke bumi Palestin.

Menurut Hafouza, teman yang akan mereka tandangi itu bernama Ben Zeev. Dia telah menjadi sahabat Hafouza sejak kecil lagi. Ben Zeev juga telah dihubungi Hafouza dan bersetuju untuk membantu. Segala rancangan sudah pun diatur dan Hafouza yakin Saeb Hadif akan berjaya keluar dari bumi Isreal ini dengan selamat. Begitulah yang dijanjikan oleh Ben Zeev beberapa hari yang lalu sewaktu meletusnya kegawatan itu.

Apabila Saeb Hadif mengenang kembali kisah silam hubungan intimnya dengan Hafouza, mendadak senyum lebar terukir di bibirnya. Dia yakin sahabatnya itu kini sungguh-sungguh mahu membalas segala budi baik yang pernah dicurahkannya dulu.

Pada suatu petang yang bercuasa agak gobar, bumi Israel telah bergegar dengan dentuman roket Al-Qassam milik Briged Al-Qassam. Semuanya akibat dari krisis serangan Israel ke atas wilayah Gaza dan kawasan penempatan masyarakat Palestin. Akhbar Haaretz telah melaporkan tiada seorang pun rakyat awam Israel yang cedera tetapi di sebalik sebuah bangunan usang, sekujur tubuh lelaki tertiarap berlumuran darah akibat disergap serpihan dentuman. Di atas sifat kemanusiaan, Saeb Hadif membawa lelaki itu pulang ke rumahnya. Lelaki itu ialah Hafouza.

“Kenapa kau menolong aku?” tanya Hafouza sewaktu menerima rawatan dari Saeb Hadif. Dia tahu yang Saeb Hadif beragama Islam kerana beberapa potong ayat Al-Quran tergantung kemas di dalam frame di dinding. “Bukankah bangsa kita telah bermusuhan sejak lama?”

“Jangan banyak bercakap! Luka di tubuhmu itu masih parah!” balas Saeb Hadif seraya menyuapkan Hafouza dengan bubur roti.

Hafouza akur namun hatinya begitu terharu dengan bantuan yang telah diterimanya. Setelah luka-luka di tubuhnya sembuh dan dia sudah mampu berjalan dengan segar, mereka berdua berkenal-kenalan dalam usaha mengenali diri masing-masing.

“Kita ini sama-sama dijadikan Allah, Hafouza! Sama-sama berasal dari ibu dan bapa yang sama iaitu Adam dan Hawa. Kenapa antara kita harus ada persengketaan? Lagipun, bagi kami penganut agama Islam, semua ini adalah ibadah. Menolong sesama manusia tidak kira bangsa dan agama adalah ibadah yang amat dituntut oleh agama. Ianya juga merupakan satu perjuangan harga diri dan nur Allah yang besar ganjarannya di akhirat nanti!”

Hafouza terkedu lidah. Dapat dirasakan betapa mulianya hati Saeb Hadif, seorang rakyat Palestin yang sering diburu, dihina, dicerca dan diinjak-injak di bawah tapak kaki oleh rakyat Israel tetapi masih sanggup menolongnya. Demi sebuah rasa kemanusiaan, Saeb Hadif telah mengketepikan semua itu semata-mata untuk berbakti kepadanya.

Sejak hari itulah mereka berdua menjadi sahabat yang baik. Dalam suasana rejim zionis Israel memuntahkan peluru-peluru hidup dan dibalas dengan ketulan-ketulan batu oleh pemuda Palestin, mereka terus bersahabat tanpa disedari oleh sesiapa pun. Sewaktu disembunyikan oleh Hafouza di kediamannya, Saeb Hadif mengambil kesempatan menjelaskan keluhuran agama Islam. Kemuliaan hati Junjungan Besar SAW dan kejernihan jiwa para sahabat telah dijadikan contoh untuk menambat hati Hafouza.

Ketika Rasulullah SAW memimpin ummah dan ketika zaman para sahabat serta pemerintahan kerajaan Islam yang lain, umat Islam tidak pernah berpecah atau menyimpan perasaan hasad dengki juga tidak pernah menindas serta menipu masyarakat yang berlainan agama dengan mereka. Seluruh rakyat tidak kira apa pegangan agama yang mereka anuti, hidup dalam keadaan aman sentosa, rukun damai serta penuh dengan kasih sayang antara sesama, juga saling hormat menghormati. Sifat tolong menolong dan bekerja sama sentiasa berjalan tanpa diganggu oleh mana-mana pihak.

Sewaktu menjadi khalifah, Saidina Umar al-Khattab pernah membawa pulang seorang Yahudi tua ke rumah baginda. Yahudi itu hidup melarat, bergelandangan dan ditemui khalifah sedang meminta sedekah. Setibanya di rumah, baginda memberikan pakaian dan pelbagai lagi keperluan yang sewajarnya kepada Yahudi tersebut. Kemudiannya baginda mengarahkan supaya Yahudi itu dihantar kepada pegawai Baitulmal berserta sepucuk surat tulisan tangan baginda sendiri yang berbunyi, ‘perhatikan dan layanilah Yahudi ini dan orang-orang lain yang senasib dengannya. Adalah tidak adil, pada zaman mudanya kita memungut jizyah darinya dan kemudiannya kita membiarkan dia hidup dalam keadaan terlantar sereta meminta-minta kala usianya tua.’

Apa yang telah dilakukan oleh khalifah Saidina Umar al-Khattab itu difahamkan Hafouza bahawa syariat Islam tidak sekali-kali membenarkan penganutnya menganiayai atau memandang hina kepada mana-mana manusia biar mereka berlainan agama, adat resam dan warna kulit. Nyawa setiap manusia itu adalah terpelihara sebagaimana nyawa orang-orang Islam yang lain dalam konteks kemanusiaan yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Malam terus berinsut dalam kepayahan. Pundak langit masih dilitup gumpalan awan tebal. Sinar bulan tidak berupaya menerjahkan cahayanya ke bumi. Bintang-bintang juga diam kaku diselimut kegelapan.

Hafouza menarik tangan Saeb Hadif supaya mempercepatkan perlangkahan. Kalau boleh, mereka mahu tiba di kediaman Ben Zeev sebelum Subuh menjelang. Saeb Hadif akur. Dia gesit membontoti Hafouza sambil memegang erat bungkusan pakaian di tangan kiri. Hanya tangan kana yang terayun mengikut ritma ayunan kedua-dua belah kaki. Sesekali melirik kasut kulit daif di kaki. Ibu jari kakinya kadang-kadang dapat mencecap batu-batu keras di muka jalan kerana hujung kasutnya sudah berlubang.

Saeb Hadif tersenyum sendirian. Dalam kegelapan malam yang pekat itu dia masih mampu membayangkan kedaifan kasut kulit di kakinya. Kasut sebelah kanan yang sudah lama terkoyak itulah yang membuatkan sekali hujung jarinya mencium batu suam dan keras menggerutu dalam perjalanan.

“Ah, itu semua sekadar halangan yang terlalu kecil!” bisiknya.

Tok! Tok!! Tok!!!

Lamunan singkat Saeb Hadif gesit bubar kala ketukan tangan Hafouza menyergap muka pintu sebuah rumah. Sudah sampai rupanya destinasi mereka. Sejurus kemudian, wajah Ben Zeev yang agak garang dengan sepucuk pistol tersisip kemas di pinggang, muncul di muka pintu sebaik pintu tersebut dikuakkan.

“Oh, Hafouza! Sila masuk!” pelawanya mesra seraya mengangguk kecil.

“Errr, inilah Saeb Hadif yang aku ceritakan dulu!” jelas Hafouza memperkenalkan Saeb Hadif kepada Ben Zeev.

Saeb Hadif tersenyum seraya menghulurkan tangannya untuk menyalami tangan Ben Zeev namun tidak bersambut. Dia kehampaan. Kenapa begini sikap rakan Hafouza yang sudah bersetuju mahu membantuku? Saeb Hadif agak terkilan dengan niat baik yang telah dipamerkannya.

“Kau sudah bersedia?” tanya Ben Zeev seraya melabuhkan punggungnya di sebuah bangku kayu berhadapan dengan Hafouza.

Saeb Hadif sekadar mengangguk perlahan dan terus duduk di sebuah bangku yang lain berhampiran sebuah meja tulis sambil menyeluruhi sekitar juzuk ruang rumah itu. Dia dapat rasakan yang keadaan rumah tersebut hampir sama dengan kediaman Hafouza di Jabal Abu Ghneim, mempunyai sebuah katil bujang dan sebuah meja tulis yang lengkap dengan lampu kalimantang pendek. Di tingkapnya tergantung langsir kain tebal berwarna hitam kelabu yang sudah terbarai di sana sini.

Diperhatikan dindingnya, nampak tegap, tebal dan kukuh. Tidak mungkin sebarang peluru senapang dapat menembusinya biar dari jarak yang dekat sekali pun. Dua keping poster gambar Netanyahu dengan tompokan dakwah merah dipangkah-pangkah di seluruh ruang dan gambar Benny Begin. Elok dan cantik, tidak pula comot oleh contengan.

Pada perkiraan Saeb Hadif, Ben Zeev itu tentunya penyokong kuat anak lelaki pengasas Likud, Menachem Begin yang telah melepaskan kemarahannya dengan meletakkan jawatan selaku menteri sains kerana membantah perjanjian damai Hebron-Tebing Barat yang ditandatangani oleh Netanyahu dengan Yassir Arafat itu. Hatinya tiba-tiba berdebar kencang, menggerutup dan menggigir ruang dada. Siapakah Ben Zeev ini yang sebenarnya? Apakah dia seorang musuh atau seorang kawan? Ya Tuhan… Lindungilah aku dari sebarang mala petaka…

“Kau sudah bersedia untuk keluar dari bumi Israel?” Ben Zeev tiba-tiba bertanya lagi membuatkan Saef Hadif tersentak kecil. Gesit dia berpaling memandang wajah Ben Zeev yang seolah-olah mahu mendengar jawapannya.

Saeb Hadif tidak menjawab sebaliknya mengangguk-angguk.

“Aku bertanya dengan mulut dan kau juga seharusnya menjawab dengan mulut!” sinis Ben Zeev bagaikan kurang senang dengan anggukan Saeb Hadif.

“Ya… er… ya… ya, aku… aku memang sudah bersedia!” ujar Saeb Hadif serba salah. 
“Terima kasih kerana sudi membantuku!” tokoknya lagi seraya meletakkan bungkusan pakaian yang dipegangnya sejak tadi.

“Kenapa kau begitu yakin terhadap bantuan dari seorang Yahudi seperti aku?” Ben Zeev bertanya lagi sambil mengurut-urut dagunya yang berceracak dengan janggut yang tidak berjaga. Nampak jelas kering dan kersang.

Saeb Hadif terdiam dan terkedu. Agak sukar untuk menjawab soalan begitu. Wajah Hafouza di sisi agak berubah. Baginya, tidak wajar Ben Zeev mengeluarkan pertanyaan begitu. Ini bagaikan membongkar identiti diri yang sengaja disembunyikannya. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu Saeb Hadif mengetahui siapa Ben Zeev yang sebenar.

Sesungguhnya, sampai sekarang Saeb Hadif belum lagi didedahkan identiti Ben Zeev - pendukung gagasan ‘Israel Raya’ yang kental dan tidak mudah luntur semangat juangnya. Punya leluhur bekas pejuang perang tahun 1948 yang berakhir dengan penubuhan Israel, golongan zionis dipimpin oleh pesaing Jabotinsky, David Ben-Gurion. Tetapi Ben Zeev penentang kuat David Ben-Gurion yang dianggapnya seorang tokoh pragmatik yang hanya berpuas hati untuk manakluk hanya sebahagian bumi Israel mengikut kitab Yahudi, dengan membiarkan Jordan menguasai Tebing Barat dan Mesir memerintah Tebing Gaza.

Saeb Hadif membiarkan tulang belakangnya menyandar kerusi kayu. Dalam situasi begini, dia tidak dapat lari keluar atau berbuat apa-apa lagi walaupun setiap baris perkataan Ben Zeev itu sungguh-sungguh terselit retorik, mendebar dan mengejutkan.

Dia sedar, bangsa Yahudi memang tidak boleh dipercayai. Sejak lama dijadikan ikhtibar, sejak hijrah Rasulullah SAW ke Yathrib lagi. Lima pemuda kabilah Yahudi yang sudah berpakat hendak membunuh baginda pada malam itu sendiri tidak dapat berpegang pada janji sesama mereka, inikan pula dengan musuh mereka orang Islam. Saef Hadif mengeluh rengsa dan berat.

“Barangkali Hafouza sudah terangkan siapa aku!” Ben Zeev bersahaja.

Saeb Hadif menggeleng-geleng. “Aku tidak tahu siapa kau dan aku sendiri tidak pernah bertanya dari Hafouza.”

“Kenapa begitu?” Ben Zeev tersenyum nipis tetapi bersemarak sinis.

“Aku mempercayai Hafouza dan persahabatan kami telah terjalin sejak lama. Tak mungkin dia sanggup mengahncurkan kemesraan tersebut semata-mata kerana mahu menurut kemahuan hati!”

Hafouza yang berumur dalam lingkungan 38 tahun itu segera memandang ke arah Ben Zeev, “Aku sendiri tidak mahu Saeb tahu siapa kau, Ben!”

“Kenapa? Bukankah lebih baik dia tahu?”

Hafouza jadi serba salah dengan pertanyaan tersebut. Beberapa kali direnungnya wajah Saeb Hadif. Dia bimbangkan rakannya itu mulia mencurigai kejujurannya selama ini.

“Bukankah kalau dia tahu siapa aku, lebih baik lagi?” Ben Zeev mengulangi pertanyaannya.

“Errr… aku… aku bimbang tentu dia takut menerima pertolongan kau yang sudah bersetuju untuk membawanya keluar dari bumi Israel ini dengan selamat!” ujar Hafouza dalam keadaan yang serba salah.

Saef Hadif meneguk air liur berkali-kali. Kini sudah jelas siapa Ben Zeev yang sebenarnya. Namun begitu, dia terpaksa juga menerima hakikat depan mata. Dia tidak mungkin dapat berpatah balik lagi dan apa yang dapat dilakukannya sekarang ialah bertawakal kepada Allah. Hanya kepada Yang Maha Kuasa itu saja tempatnya mampu menyerah dan pasrah akan apa yang bakal dilaluinya nanti.

Ben Zeev tersenyum sinis. “Hei Hafouza! Kau fikir dengan menyembunyikan identiti aku yang sebenarnya kepada dia, dia tetap akan selamat?”

Hafouza tersentak besar. Dia bagaikan tergamam jola dengan ungkapan yang dilafazkan oleh sahabatnya itu. “Apa ertinya semua ini, Ben?” Sesungguhnya, dia tidak tahu yang persahabatannya dengan Saeb Hadif akan berakhir dengan pembeleton begini. Maafkan aku Saeb…

Ben Zeev terus tersenyum, lebih sinis. Saeb Hadif semakin gelisah dan resah. Dia tidak menyalahkan Hafouza. Rakannya itu telah berusaha begitu gigih mahu membantunya. Hanya Ben Zeev saja yang telah merosakkan segalanya.

“Bukankah kau sudah bersetuju mahu membantu Saeb?” suara Hafouza bagaikan merayu.

“Benar! Memang aku telah bersetuju mahu mengeluarkan dia dengan selamat dari bumi Israel ini!” jawab Ben Zeev.

“Jadi, apa lagi yang kau mahu? Setiap ungkapan yang lahir dari bibir kau seolah-olah Saeb akan dibeloti!” tegas Hafouza.

“Aku tidak pernah berjanji yang dia akan dapat keluar dengan selamat!” Ben Zeev terus tersenyum, semakin sinis pada pandangan mata Hafouza dan Saeb Hadif.

“Hei Ben! Jangan biarkan bangsa Yahudi dianggap manusia yang tidak boleh dipercayai!” Hafouza seolah-olah memberi amaran.

Ben Zeev ketawa berdekah-dekah. “Perjuangan orang Yahudi tidak pernah kenal erti sahabat lebih-lebih lagi dengan musuh yang sekian lama diburui. Ingat Hafouza... ini hari kelam, penuh duka dan kemarahan!”

Saeb Hadif mulai dihenyak cemas. Seluruh tubuhnya mendadak menggigir kecil. Ruang dadanya menggerutup dengan degupan jantung yang kasar lagi kuat. Dia gesit melihat daun tingkap. Melihat siling dan dinding. Tiada langsung ruang untuknya meloloskan diri sekiranya sesuatu yang tidak diingini berlaku. Ben Zeev sudah acap kali meraba-raba pistol di pinggangnya seolah-olah cuba menakutkan Hafouza.

Saeb Hadif sedar, kata-kata Ben Zeev tadi bercorak militan. Tidak semena-mena sorak tempik yang serupa yang meledak hebat di Jabal Abu Ghneim siang semalam mengasak gegendang telinganya. Sekarang, kata-kata begitu sudah mencerlus dari mulut seorang yang telah berjanji mahu membantunya.

Hafouza menarik nafas panjang dan berbaur resah. Sesekali melirik wajah Saeb Hadif yang kelihatan pucat di sisinya. Masing-masing resah dengan keadaan yang tidak diduga ini. Dia bagaikan sudah dapat meneka apa yang sedang berlegar dan tersirat di hati Ben Zeev sebenar. Ini satu perangkap yang sungguh tidak diduga.

“Kau harus akui, Ben!” suara Hafouza tiba-tiba bergema semula.

“Akui apa?” Ben Zeev terlunga.

“Realiti yang sudah berubah, “ujar Hafouza.

“Apa maksud kau?”

“Tanggungjawab seorang negarawan seperti Netanyahu adalah untuk menggabungkan wawasan dengan realiti. Kita perlu menyatakan yang benar. Kita telah pun meninggalkan gagasan Israel Raya!”

“Siapa yang telah meninggalkan gagasan itu? Aku atau kau?” Ben Zeev mulai gerah. Jelas nada suaranya kurang senang dengan tukasan Hafouza.

“Kita, Ben! Kita semua… errr… semua rakyat Israel…”

“Arghhhhhh, apa yang diperjuangkan oleh Vladimir Jabotinsky masih menjadi intipati perjuangan dan tindakan kami!” Ben Zeev bangun dan bercekak pinggang. Wajahnya jelas merah padam dan penuh semangat penentangan. “Aku tetap tak bersetuju bumi Israel diberi kepada orang-orang Palestin walau seinci pun! Kami sanggup mati, kami sanggup lakukan apa saja. Kalau Hamas dan PLO sanggup bergadai nyawa, kami juga begitu!”

Hafouza turut bangun. Dia sedar, keselamatan Saeb Hadif sudah tergugat. “Kau jangan apa-apakan Saeb. Dia sahabat baikku. Ingat Ben, jangan kau rosakkan persahabatan kami hanya semata-mata untuk menegakkan gagasan yang tidak akan menjadi realiti itu!”

Ben Zeev gesit menarik pistol di pinggangnya namun tiba-tiba satu ketukan kasar bergema di muka pintu. Dummm!! Dummmm!!! Dummmmmm !!!! Apabila pintu tersebut tidak dibuka, satu tendangan bertalu-talu menyusul. Ben Zeev tersenyum lebar. Saeb Hadif dan Hafouza saling berpandangan dalam debaran di dada yang kian menggelugut.

“Buka pintu ni!!” satu tengkingan langsing membebarkan keheningan malam.

“Sudah aku katakan… orang Yahudi tak boleh dipercayai!” senyum Ben Zeev semakin sinis di hujng kata-katanya. “Kalau kalian mahu tahu yang sebenarnya, akulah antara kakitangan Yosef Burg, yang sejak puluhan tahun memimpin Parti Agama Kebangsaan (PAK), menjadi wadah untuk mendidik pendatang Yahudi paling militan! Haaaa!! Haaaa!!! Haaaaa!!!!!”

Tatkala itulah daun pintu terkuak lebar dengan gesit bagai diterajang garang dan kuat. Di muka pintu tercegat gagah empat orang, kesemuanya tidak dikenali Hafouza. Yang apsti, dua orang dari mereka berpakaian seragam PAK. Dua orang lagi memakai pakaian seragam tentera rejim zionis.

“Jangan bergerak!!” Mereka berempat memekik hampir serentak seraya mengacung otomatic short gun masing-masing ke arah Hafouza dan Saeb Hadif. Dua sahabatnya itu gesit meletakkan kedua-dua belah tangan tegak ke atas.

“Awak ditahan di atas tuduhan menghalang dan menyembunyikan orang Palestin keluar dari negara ini!” tengking seorang lelaki berpakaian seragam PAK kepada Hafouza.

Hafouza tergamam dengan tuduhan tersebut. Senyum Ben Zeev semakin lebar.

“Awak juga ditahan!” ujar pula seorang lelaki yang berpakaian seragam tentera rejim zionis kepada Saeb Hadif. “Kesalahan kamu kerana keras kepala tidak mahu keluar dari negara kami walau sudah berkali-kali diberi amaran!”

“Tidakkkkkkkk!!!!!” Tiba-tiba Hafouza menghambur serntak menerkam garang ke arah Ben Zeev. “Kau memang pengecut, Ben! Kau telah menghancurkan persahabatan aku dengan Saeb. Kau pembelotttt!!!”

“Diaammmm!!”

Satu hentakan bontot otomatic short gun gesit hinggap di belakang kepala Hafouza. Dia terhoyong hayang namun sempat berpaut pada birai meja. Darah memercik ke atas lantai. Serentak tiga das tembakan meledak dari muncung pistol di tangan Ben Zeev. Peluru menembusi tengkorak. Tubuh Hafouza tertiarap berlumuran darah.
Saeb Hadif terkedu dan terkejur tidak dapat berbuat apa-apa.

Malam mulai menjujaikan gerimis embun Saeb Hadif digari dan dibawa ke muka pengadilan rejim zionis dengan tuduhan membunuh Hafouza, seorang rakyat Israel.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan