Ahad, 14 Mac 2010

Filem Dan Keganasan Di Amerika

Artikel ini telah tersiar dalam laman sesawang Yayasan Dakwah Islamiah Islam (YADIM) pada 09 Februari 2006

Oleh SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

Thomas Alva Edison, seorang pencipta besar, memiliki impian hebat dalam bidang pembuatan filem. Dia mengajar manusia lain tentang apa yang boleh dilakukan oleh filem dan pengaruhnya di dunia. Tetapi ketika industri perfileman telah berkembang menjadi suatu pusat hiburan yang besar, Edison menyatakan bahawa dia memilih untuk meninggalkan bidang ini dan tidak akan turut campur di dalamnya.

Bertahun-tahun telah berlalu sejak Edison mengeluarkan kenyataannya itu. Namun, selain menjadi alat hiburan, filem telah menjadi satu alat pendidikan yang efektif dan digunakan di seluruh dunia dalam pelbagai bentuk. Namun, kualiti penggunaan sarana ini, memiliki hubungan yang erat dengan keadaan masyarakat yang di dalamnya filem berkembang dan maju.

Sebagaimana yang dikatakan oleh para peneliti masalah jenayah dan keganasan di Amerika, pelaku kriminal adalah mereka yang lebih banyak menonton filem dan televisyen. Di pihak lain, jenayah dan keganasan di seluruh dunia memberi pengaruh yang amat menakjubkan terhadap peristiwa dan kisah cerita dalam produksi filem.

Rata-rata, setiap kanak-kanak Amerika dalam setahun menonton kira-kira 12,000 tayangan keganasan di televisyen dan panggung wayang. Oleh kerana itu, para pakar sosial memperingatkan adanya pengaruh negatif tayangan keganasan ini. Pawagam dan televisyen Amerika amat biasa menayangkan berbagai jenis filem keganasan. Mulai dari filem Western lama sehingga ´film action´ yang dibintangi oleh Arnold Schwarzenegger, Sylvster Stallone, Bruce Willis dan Mel Gibson, semuanya mempropagandakan dan menyebarluaskan keganasan.

Tetapi ketika masalah ini disampaikan kepada para bintang filem itu, mereka kehairanan dan menyangkalnya. Sementara itu, para penerbit dan studio raksasa pembuat filem tidak menemukan jalan lain untuk menjamin lancarnya penjualan filem mereka dan mendapatkan keuntungan besar. Kelihatannya, satu-satunya jalan untuk mengatasi masalah ini ialah menghapuskan perdagangan filem yang menjadi pelindung adegan-adegan keganasan ini.

Para penerbit filem menyangkal pendapat ini dengan menyatakan bahawa senjata dan pistol adalah sebahagian daripada warisan Amerika dan oleh kerana itu, seluruh atau, sekurang-kurangnya majoriti pelakon dalam filem mereka, akan menggunakan alat ini. Seorang penerbit program televisyen, dalam menanggapi kejadian pembunuhan secara rambang yang dilakukan oleh seorang pelajar beberapa tahun yang lalu di Colorado, menyatakan, ‘Saya percaya bahawa Hollywood sedar terhadap adanya krisis ini. Tentu saja ada kemungkinan bahawa Hollywood akan membantu mengurangi keganasan semaksimum mungkin. Oleh kerana itu, jiwa keganasan itu harus dikenali dan kemudian dipisahkan daripada filem. Tidak ada yang menarik sedikit pun dalam adegan keganasan. Sebuah gerakan yang kuat dan serius harus dimulai untuk menghapus keganasan dalam filem di pawagam dan televisyen.’

Banyak tokoh sosial dan politik yang juga memiliki pandangan serupa. Menurut sebahagian besar golongan ini, filem dan kelompok penjenayah yang menggunakan keganasan memberi kesan yang sama terhadap masyarakat. Krisis moral dan kesan negatif filem ini tidak hanya terjadi di Amerika, tetapi juga menghantui rakyat di pelbagai penjuru dunia.

Beberapa tahun yang lalu, para pemilik sembilan buah studio raksasa pembuatan filem berkumpul untuk mencari jalan bagi mengatasi masalah ini. Mereka mengakui peranan mereka dalam masalah sosial ini dan menyatakan akan mengurangi sebanyak mungkin adegan keganasan yang tidak perlu.

Pada tahun 2004 ini, dalam dua peristiwa besar filem, iaitu dalam penyampaian Oscar di Amerika dan berlangsungnya Festival Filem Cannes di Perancis, kita menyaksikan dua peristiwa yang menarik dan penting yang ada kaitannya dengan tulisan ini.

Peristiwa pertama ialah penyampaian Oscar bagi produksi filem dokumentari terbaik jatuh kepada Michael Moore menerusi filemnya ´Bowling for Columbine´. Dalam filemnya itu, Moore menyerang budaya senjata yang menguasai masyarakat Amerika dengan menceritakan tragedi pembunuhan tahun 1999 di Sekolah Tinggi Columbine, Colorado.

Dengan menampilkan dirinya sendiri di hadapan kamera, Moore membawa penonton mengelilingi Amerika dan membahas tentang pencemaran udara, ´kejahatan´ kewangan dalam syarikat besar, rasialisme, dan masalah-masalah lainnya. Pada bahagian akhir filem itu, keganasan senjata ditampilkan dengan penuh kengerian. Peristiwa kedua adalah pemberian hadiah di Festival Cannes kepada filem Gus Van Sant yang berjudul ´Elephant’.

Filem ini juga memfokuskan tentang keganasan di sekolah Amerika berlandaskan kisah pembunuhan rambang di Colorado. Dia menggunakan pelajar yang mengalami kejadian tersebut untuk berlakon dalam filem itu. Para pelajar itu menceritakan tentang bagaimana peristiwa penembakan itu terjadi. Kesederhanaan filem ´Elephant´ yang dihasilkan dengan belanja AS$3 juta ini, menyebabkan juri Festival Filem Cannes memberikan hadiah terbaik kepada pengarah filem ini.

Jelasnya, terkenalnya kedua-dua filem dan pengarahnya itu di seluruh dunia sekali lagi membuatkan perbahasan mengenai keganasan dan peranan filem dalam menyebarkan keganasan ini kembali meluas. Meskipun jika dibandingkan dengan jumlah produksi filem-filem lainnya, jumlah filem yang memprotes keganasan tidaklah banyak. Namun, filem yang sedikit inilah yang mendapat perhatian daripada pakar filem dan festival filem dunia yang menolak keganasan di dalam filem.

Mengakhiri tulisan ini, penulis akan menyajikan sebahagian wawancara dengan Steven Spielbierg, seorang pengarah filem Amerika yang terkenal. Dalam mengecam keganasan, dia berkata: ‘Dunia menjadi gelap dan hitam, kerana kita telah meningkatkan angka keganasan dan membiarkan negara-negara dunia dengan mudah memulakan perang. Di negara kita sendiri pun, Amerika, keganasan sangat meluas. Ketika saya berjalan di jalan dan lorong-lorong, saya melihat kanak-kanak memegang senjata dan hati saya menjadi kacau. Saya berfikir sendiri, hari ini seorang manusia akan terbunuh, tetapi senjata itu boleh kembali meletup dan tidak tahu siapakah yang akan terbunuh berikutnya. Mungkin juga orang yang terbunuh berikutnya adalah saya sendiri. Selagi akar keganasan tidak dibanteras, kehidupan kita akan terus seperti ini.’

Tiada ulasan:

Catat Ulasan