Isnin, 15 Mac 2010

Dari Kota Ramallah

SMAHADZIR 

YASSOIR termenung di hadapan rumah. Fikirannya melayang jauh ke kampung halamannya di Kota Ramallah yang sudah menjadi debu dentuman mortar rejim Israel. Sanak-saudara dan ayah ibunya sudah tuntas. Betapa hatinya terlalu sebak. Namun dia bersyukur kerana dapat diselamatkan lalu dibawa ke Malaysia. Kini sudah lebih sepuluh tahun dia berada di bumi Malaysia yang aman dan harmoni ini.

Tidak berapa jauh dari rumah kediamannya, sebuah ceramah agama sedang dijalankan. Ceramah itu bernama Forum Perdana. Khabarnya disiarkan secara langsung melalui televisyen ke seluruh pelosok Malaysia. Alangkah harmoninya agama Islam di negara ini, bisik hati Yassoir. Tidak seperti di negaranya Palestin, yang saban detik dicemari oleh mesiu tentera Israel yang mampu membunuh sesiapa saja tidak kira tua atau muda.

Suara orang ramai yang menghadiri ceramah perdana tersebut seolah-olah bunyi lebah mengangkut madu. Berdengung-dengung. Perlahan-lahan Yassoir bangun lalu perlahan-lahan juga menuju ke tempat di mana acara tersebut di adakan.
Dari tempat Yassoir berdiri, dia dapat melihat tiga orang penceramah agama yang begitu kusyuk memberi ilmu kepada para hadirin. Ceramah yang bertajuk ‘Jihad Dalam Kehidupan Manusia Mukmin’ itu begitu menarik hatinya. Ceramah berjalan dengan lancar dan mempersona-kan. Dari satu penceramah kepada satu penceramah yang lain, semuanya berkisar soal jihad.

Sewaktu sesi soal dan jawab yang dikemukakan kepada para hadirin, tiba-tiba Yassoir meluru ke arah mikrofon. Dia berhajat untuk bertanya beberapa soalan kepada penceramah tentang jihad yang masih belum dijelaskan secara terperinci oleh penceramah-penceramah tersebut.

“Tuan penceramah yang saya hormati!” ujar Yassoir sewaktu berada di hadapan mikrofon. “Izinkan saya bertanya beberapa soalan.”

“Err, siapa nama kamu wahai anak muda?” pengerusi majlis mencelah.

“Nama saya ialah Yassoir Abu Gneim. Saya berasal dari Kota Ramallah di Palestin. Sudah lebih sepuluh tahun saya berada di bumi Malaysia yang indah dan permai ini!”

“Baiklah! Sila kemukakan soalan kamu supaya dapat dijawab oleh para penceramah di atas pentas!” arah pengerusi majlis kepada Yassoir.

Semua mata para hadirin tunak mencerlung ke arah Yassoir. Masing-masing bagaikan tidak sabar untuk mendengar soalan dari pemuda yang tidak sebangsa dengan mereka itu.

Sejurus kemudian, Yassoir pun bersuara, “Wahai penceramah yang dihormati! Soalan pertama dari saya berbunyi begini. Apakah berperang pada jalan Allah hanya pada zaman dan era Rasulullah SAW atau pun adakah jihad ini satu kewajipan pada semua umat Islam sepanjang zaman sehingga hari kiamat? Saya juga mohon supaya tuan dapat menjelaskan sama ada pertolongan Allah ke atas para mujahid adalah untuk selama-lamanya atau pun hanya pada zaman tertentu sahaja. Begitu juga ayat-ayat Al-Quran seperti, “Sekiranya kamu tidak mara berjihad maka Dia akan menyeksa kamu dengan seksa yang pedih.” dan hadis-hadis seperti, “Apabila kamu meninggalkan jihad, kamu akan dihina.” Soalan yang ingin saya kemukakan, apakah kenyataan-kenyataan di atas bagi zaman tertentu atau untuk selama-lamanya?”

Penceramah pertama tersenyum lalu menjawab, “Sungguh cantik dan menarik soalan dari kamu itu. Untuk pengetahuan kamu dan semua yang hadir pada malam ini, jihad pada jalan Allah adalah satu kewajipan di dalam Islam. Malah kewajipan-kewajipan yang lain juga amat perlu dijaga oleh jihad. Hukum jihad ini berkekalan sehinggalah hari kiamat. Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya, “Jihad akan berterusan sehingga hari kiamat.” Baginda juga telah bersabda yang maksudnya, “Akan sentiasa ada segolongan dari umatku yang akan berperang pada jalan Allah.” Daripada hadis-hadis ini, jelas kepada kita bahawa jihad ini berkekalan sehinggalah hari kiamat. Manakala bantuan dari Allah pula akan sen-tiasa bersama-sama dengan para mujahid. Apabila seseorang mujahid itu mara ke medan perang, beliau tidak akan sekali-kali bersendirian, beliau akan sentiasa mendapat bantuan dari Allah, sama ada beliau kuat mahupun lemah, majoriti mahupun minoriti, berkelengkapan lengkap mahupun tidak. Allah akan sentiasa bersama-sama dengan para mujahid yang ikhlas berjuang pada jalan-Nya.”

“Saya ingin menyambung sikit apa yang telah dikatakan oleh penceramah pertama tadi,” tiba-tiba penceramah yang kedua pula bersuara. “Hadis-hadis yang telah kamu nyatakan tadi dan juga ancaman-ancaman dari Al-Quran tersebut, adalah benar. Perintah tersebut juga sehingga hari kiamat. Inilah sebabnya tidak pernah ada dari kalangan para ulama hadis mahupun fiqh yang menulis atau mengatakan bahawa perintah jihad itu telah ditarik balik. Sebaliknya memang ada usaha dari pihak British yang memperkenalkan seorang nabi palsu demi menghilangkan semangat dan kesedaran berjihad daripada umat Islam dan diikuti pula dengan menetapkan bagaimana pula sikap umat Islam yang ‘cintakan keamanan’. Semua ini adalah usaha-usaha jahat pihak British dan rakan-rakan mereka untuk menelan umat Islam dengan mudah. ‘Nabi’ British tersebut bernama Mirza Qadiani. Nabi palsu inilah yang telah mengisytiharkan bahawa jihad telah dibatalkan.”

Penceramah tersebut kemudiannya diam selepas memberikan jawapan yang begitu jelas sekali. Kemudian, penceramah ketiga pula membuat kesimpulan. Katanya, hasil dari soalan Yassoir itu dapat disimpulkan kepada lima iaitu:

1. Jihad (berperang) adalah kewajipan yang penting menurut Islam.
2. Jihad akan berkekalan sehinggalah ke hari kiamat.
3. Umat Islam tidak akan mendapat apa-apa selain kehinaan dengan meninggalkan jihad.
4. Seseorang yang menafikan jihad tidak layak mengaku Islam.
5. Seorang nabi palsu telah mengisytiharkan pembatalan hukum jihad untuk membantu pihak British.

“Bolehkah saya bertanya lagi?” tiba-tiba Yassoir bersuara, memecah kesunyian malam.

“Silakan!” ujar penceramah pertama.

“Sudah beberapa tahun berlalu, sejak saya tiba di sini dari bumi Palestin yang setiap waktu disimbah dengan darah umat Islam. Saudara yang menghadiri ceramah pada malam ini mungkin sedar bahawa Palestin adalah bumi umat Islam seperti Malaysia juga. Tetapi kini, bumi Palestin yang indah itu telah bertukar menjadi telaga api. Umat Islam dihapuskan atas kesalahan mengesakan Allah SWT. Serigala-serigala dari rejim Israel yang dahagakan darah berkeliaran di mana-mana. Sekolah-sekolah dimusnahkan dan anak-anak kita yang masih belum mengerti erti kehidupan dibakar hidup-hidup. Kisah pemusnahan dan pembakaran masjid-masjid dan madrasah-madrasah lebih dahsyat lagi. Penceramah yang dihormati, kesalahan yang paling berat di bumi Palestin kini adalah mengesakan Allah SWT dan insan-insan yang paling teruk dihukum adalah umat Islam. Ibu-ibu dan kakak-kakak kita di Palestin menjadi balu, anak-anak kita menjadi yatim. Tuan-tuan penceramah yang dimuliakan! Kezaliman yang berlaku di Palestin telah menggegarkan langit. Batang-batang besi ditujah ke dalam anggota sulit anak-anak gadis Islam dan kemudian peluru-peluru pembunuh diletuskan. Anak-anak gadis ummah ini yang tidak berdosa akan diperkosa dan dibunuh. Dalam keadaan yang semakin kritikal ini, kami pemuda-pemuda Palestin telah bertekad untuk mengorbankan segala-galanya demi Islam dan keagungannya. Wanita-wanita kami juga telah turun ke medan perang bersama-sama suami, abang dan bapa mereka menentang musuh-musuh Islam ini. Kami berperang bukan mempertahankan bangsa atau keturunan. Peperangan kami adalah peperangan mempertahankan Islam dan Al-Quran. Musuh-musuh kami dilengkapi dengan senjata-senjata berteknologi tinggi. Mereka sentiasa dahagakan darah-darah umat Islam dan mahu terus membalas dendam. Musuh-musuh Allah ini telah menceroboh bumi Palestin dengan tujuan menghapuskan sama sekali bumi Islam ini dan umat Islam di dalamnya. Mereka dilengkapi dengan pesawat-pesawat pengebom dan kereta-kereta kebal yang canggih. Kami lemah, tiada pengalaman dan tiada kelengkapan dan persediaan namun kami tetap mara ke medan perang dengan keyakinan sepenuhnya kepada Allah SWT. Kami menyesal kerana kami tidak pernah diberitahu tentang perintah jihad dan persediaan untuk berjihad yang terdapat di dalam Al-Quran. Sekiranya kami tahu, musuh-musuh Allah ini pasti akan kami sambut dengan ‘pukulan-pukulan maut.’ Malangnya, kami diajar segala-galanya tentang hukum dan kelebihan wuduk, haji dan zakat saja. Kami cuma diberitahu tentang hukum menghormati orang tua dan me-ngasihi yang muda. Kami tidak diingatkan tentang sejarah umat-umat Islam yang terdahulu. Hati-hati kami tidak dipenuhkan dengan rasa benci kepada sifat malas dan pengecut. Hanya baru-baru ini kami tahu bahawa Rasulullah SAW selalu mengobarkan semangat orang-orang beriman agar berperang. Baginda SAW mengajak orang berperang dan baginda sendiri menyertai peperangan tersebut. Lantaran itu, natijahnya, umat Islam pada zaman tersebut tinggi maruahnya, hukum-hukum Islam dihormati dan tidak mungkin diperlecehkan oleh musuh-musuh Islam. Mereka hidup dalam ke-amanan dan bermaruah tetapi kami tidak pernah diberitahu tentang ini dan kami juga tidak diajar bahawa perkara ini adalah dari Al-Quran. Kami tidak tahu ini adalah dari sunnah Rasulullah SAW. Kini, kami telah menyaksikan dengan mata kepala sendiri bagaimana musuh-musuh Islam menindas kami hanya kerana kami inginkan hak kami sebagai manusia. Kehormatan wanita-wanita kami dirampas di hadapan mata kami. Tuan-tuan penceramah yang amat saya hormati! Maafkan saya kerana ucapan saya ini terlalu panjang tetapi izinkanlah saya mencurahkan segala yang membuku dalam dada ini. Tuan-tuan mungkin sukar mempercayai hakikat ini, tetapi di bumi Palestin, seorang wanita Islam ditelanjangkan di hadapan saudara-saudaranya adalah perkara yang biasa berlaku. Seorang ibu dirogol di hadapan anak-anaknya, seorang isteri diperkosa di hadapan suaminya juga merupakan perkara yang sudah mangli bagi kami. Tuan-tuan penceramah dan semua hadirin yang saya dimuliakan! Betapa kami berharap kini, kami telah diberitahu bahawa agama kita ini menitik-beratkan pengetahuan menggunakan senjata. Kenapa perintah-perintah ini disembunyikan dari kami sejak lama? Kami kini, membayar kejahilan ini dengan maruah wanita-wanita Islam, dengan darah anak-anak muslim dan dengan nyawa umat Islam yang lain. Alhamdulillah, kami kini telah memulakan jihad walaupun tanpa latihan dan senjata, walau hanya menggunakan batu-batu kecil dan kami meletakkan seluruh keyakinan dan harapan kami kepada Allah SAW.”

Ketika itu juga laungan takbir dari para hadirin dan para penceramah yang berada di atas pentas bersipongang. Laungan itu membuatkan darah perjuangan di dada masing-masing bagaikan mencuar ke pintu langit. Yassoir tersenyum bangga dengan sambutan dan sokongan hebat yang diberikan oleh umat Islam di Malaysia pada malam itu.

Beberapa jenak kemudian, laungan takbir pun reda. Yassoir kembali menyambung ucapannya. “Saya mohon maaf kerana terpaksa menyambung semula kata-kata saya yang terbantut tadi. Sekarang saya telah tahu bahawa kami mempu-nyai saudara-saudara seagama dan seakidah, yang lebih 1 bilion jumlahnya termasuk di Malaysia yang aman dan harmoni ini. Ingatlah, kita semua adalah umat Islam, Islam yang menyebabkan Muhammad bin Qasim bergegas dari Hijaz ke Kabul atas teriakan seorang anak perempuan. Kita semua juga adalah penganut Islam bawaan Junjungan SAW yang membuatkan Tariq bin Ziyad melancarkkan peperangan yang bersejarah di pantai Andalusia suatu ketika dulu demi memberikan keadilan kepada seorang anak perempuan Kristian. Islam kita adalah sama dengan Islam yang menggesa Mahmud Ghaznawi dan Ahmad Shah Abdaal mara ke India dari Afghanistan. Lihatlah lembaran sejarah Islam ini, Islam yang anda dan saya dari Kota Ramallah ini anuti. Saya yakin bahawa apabila jeritan ibu-ibu dan anak-anak perempuan kami di bumi Palestin telah kedengaran dari setiap pelosok bumi Malaysia ini dan umat Islam keseluruhannya akan tersedar dari tidur yang panjang. Mereka akan bertambah segar apabila mendengar jeritan-jeritan anak-anak rakyat Palestin yang dibakar hidup-hidup.”

“Ya, kami semua telah dengar!” sahut orang ramai hampir serentak.

Yassoir tersenyum. “Wahai tuan-tuan penceramah dan semua para muslimin dan muslimat yang hadir pada malam ini! Ibu-ibu kami di bumi Palestin sentiasa berterusan memberikan kata semangat dan harapan kepada anak-anak yang sudah hilang segala harapan. Kegelapan penindasan ini akan berakhir tidak lama lagi. Percayalah, saya yakin bahawa seorang ulama dari ummah ini, seorang pengikut Rasulullah SAW, seorang pemuda yang beriman akan muncul dan sepertimana Salahuddin Al-Ayubi, beliau akan mengubah kehinaan kami kepada ketinggian maruah sebagaimana menjadi hak umat Islam ini.”

“Kami juga yakin dan percaya!” laungan sokongan bergema lagi. Wajah para penghadir ceramah tersebut bagaikan bersemangat.

“Tuan-tuan yang dihormati! Saya datang ke majlis ini pada malam ini adalah dengan mesej yang sama. Saya merayu kepada setiap individu yang ada di sini dan di mana saja siaran secara langsung ini dapat didengari. Saya ingin mengajak tuan-tuan semua atas dasar saudara seIslam, memberikan tuan-tuan semua sumpah atas nama Allah, memberi amaran akan masa depan yang mengancam terhadap umat Islam di bumi Palestin yang selama ini amat terhina kerana diinjak di bawah tapak kaki rejim zionis. Sebelum ini, ramai umat Islam di seluruh dunia sekadar mendengar dan menitiskan air mata mendengar penderitaan yang kami tanggung. Ada sesetengahnya yang merasa cukup simpati dengan penghinaan musuh-musuh Allah ini. Ada sesetengahnya sanggup membuktikan rasa simpati mereka dengan penulisan di dalam akhbar dan menganjurkan demonstrasi atau pelbagai persidangan. Namun, selepas itu semuanya sekadar duduk, tanpa apa-apa tindakan susulan yang membuahkan kejayaan. Tinggallah rakyat kami seperti dulu, tanpa pembelaan, tanpa bantuan dan semakin hari semakin ramai pula dibunuh. Tidak insafkah tuan-tuan semua mendengar ibu-ibu dan anak-anak di bumi Palestin, masjid-masjid yang dicemari dan dirobohkan, helaian-helaian Al-Quran yang dibakar, anak-anak yatim lelaki dan perempuan tidak punya lagi air mata atau kata-kata untuk diluahkan tentang betapa peritnya penderitaan yang ditanggung? Malah mereka tidak mendapat apa-apa manfaat dari persidangan-persidangan yang dianjurkan dan mereka tidak akan terbela dengan demonstrasi yang diadakan.”

Allah Huakbarrrrr!!!

Allah Huakbarrrrrrr!!!!!

Allah Huakbarrrrrrrrrrrrr!!!!!!!!!

Yassoir bagaikan disuntik dengan semangat yang bergejolak. Sebaik laungan takbir reda, dia terus menyambung semula ucapannya. “Maafkan saya kerana terlalu lama bercakap di sini. Namun begitu, saya berharap ini tidak menjadi satu kesalahan kerana inilah peluang yang terbaik untuk saya melahirkan penderitaan rakyat Islam Palestin di sini!”

“Teruskah!” pengerusi majlis mengangguk dan memberi keizinan. Begitu juga para penceramah yang berada di atas pentas forum.

“Terima kasih tuan pengerusi di atas keizinan yang telah diberikan. Semoga Allah saja yang dapat membalasnya,” ujar Yassoir. “Tuan-tuan dan puan-puan para hadirin yang saya hormati lagi dikasihi! Saya ingin bertanya kepada kita semua yang ada di sini, apakah hukum Islam dalam suasana kritikal sebegini? Adakah kita sebagai umat Islam yang dikatakan bersaudara mara perlu melihat saja penderitaan saudara seagama kita berterusan begini? Adakah kita patut berhenti menggelar diri kita sebagai seorang muslim lantaran tidak berani untuk turut sama menghulurkan tangan menentang musuh-musuh Allah SWT itu? Apakah hukum-hukum Islam dalam keadaan begini? Apakah hukum Islam ke atas kami dan saudara-saudara Islam kami yang lain, ke atas tuan-tuan dan seluruh hadirin yang ada di sini, ke atas lebih 1 bilion umat Islam di seluruh bumi ini?”

Semua terdiam. Masing-masing saling pandang memandang. Namun, hampir semua hadirin menitiskan air mata. Setiap hati-hati di situ bagaikan disaluti dengan kesedihan. Tangisan kecil berbaur simpati dan keinsafan kedengaran dari beberapa sudut. Para hadirin menunggu-nunggu para penceramah yang berilmu yang berada di atas pentas memberikan jawapan. Tetapi semua mereka seperti diulit kehairanan kerana ketiga-tiga orang penceramah yang begitu petah sekadar berdiam diri. Wajah mereka jelas menggambarkan keharuan hati. Air mata turut melepasi pipi dan membasahi janggut.

Melihatkan para penceramah yang terus berdiam diri, Yassoir tiba-tiba bersuara lagi. Suaranya lantang membelah ke setiap hati para hadirin, “Wahai tuan-tuan penceramah yang amat saya hormati! Sekiranya Islam dihapuskan dari bumi Palestin, saya yakin, penindasan yang sama akan tiba juga ke sini dan ke seluruh bumi umat Islam yang lain. Kosovo, Bosnia, Kashmir, Afghanistan, Sudan, Ambon dan lain-lain lagi sudah membuktikan hakikat ini. Matlamat musuh-musuh Allah tersebut bukan hanya sekadar bumi Palestin tetapi mereka juga mahukan negara-negara Islam yang lain. Pakistan, Malaysia, Brunei dan sebagainya tidak terlepas dari matlamat mereka yang akan datang. Wahai tuan-tuan penceramah yang amat saya hormati! Saya sekadar mahu mengatakan bahawa memang Islam itu sempurna tetapi tolonglah beritahu kami apakah yang digariskan oleh Islam bagi menjamin keselamatan dan mempertahankan agama yang sempurna serta ummah ini?”

Seorang penceramah tiba-tiba mengangkat wajahnya seraya berkata, “Wahai anak muda! Kamu telah membangkitkan semangat keimanan kami. Tiada syak lagi, Islam telah memerintahkan jihad dalam keadaan sebegini tetapi takutkan mati dan keinginan untuk menikmati kemewahan dunia telah menjauhkan kita dari kewajipan ini.”

“Benar wahai anak muda dari Kota Ramallah!” ujar seorang lagi penceramah. “Hakikatnya, rata-rata kami di bumi Malaysia ini tidak merasai api perjuangan yang membakar dada kamu itu. Kami di sini hidup dalam keamanan dan kemewahan. Kami seolah-olah hanyut dari kefahaman sebenar tentang hakikat jihad. Kadang-kala kami terasa bahawa agama Allah ini telah dihina. Hukum Allah seolah-olah diletakkan di bawah hukum British tetapi kami terpaksa mendiamkan diri. Ini bukan bermakna negara kami dan kami yang berada di Malaysia ini takut untuk berjihad tetapi kerajaan negara kami lebih mementingkan keselamatan rakyatnya dari turun ke medan perang berjihad bersama kamu. Kami mempunyai jalan jihad yang tersendiri. Kami melihat kekuatan musuh bukan dari segi keupayaan bala tenteranya saja yang mempunyai pelbagai kelengkapan yang canggih tetapi juga keupayaan mereka dari segi ilmu pengetahuan dan ekonomi. Mereka memegang ekonomi dan ilmu pengetahuan sedangkan umat Islam di dunia ini masih ketinggalan dalam soal ini. Lantaran itu, kami di Malaysia ini lebih mengutamakan kepentingan aspek itu kerana bagi kami, musuh Islam hanya dapat dikalahkan bila orang-orang Islam itu sendiri kuat dari segi minda dan ekonomi. Selagi orang Islam lemah dan ketinggalan dalam dua aspek itu, selagi itulah kita tak akan berjaya me-ngalahkan mereka. Saya berharap kamu faham kedudukan kami yang sebenarnya.”

“Betul apa yang dikatakan oleh sahabat saya tadi!” penceramah yang ketiga pula bangun dan memberi hujah. “Memang benar, maksud sebenar jihad hanya difahami oleh umat Islam yang telah menyaksikan peristiwa-peristiwa yang kamu telah nyatakan tadi. Kami melihat semua ini dari jarak yang jauh. Kami juga faham bahawa untuk menulis dengan pena atau bersuara dengan mulut adalah mudah tetapi bagi bapa yang dipaksa melihat anak perempuannya ditelanjangkan di hadapannya, sekiranya beliau ditanya tentang hukum syariah atas jihad, tentu beliau dapat menjawab dengan tepat. Walaupun mata-mata kami tidak buta tetapi persekitaran kami tidak mengizinkan kami melancarkan jihad seperti yang kamu kehendaki itu. Kami di Malaysia juga mengaku bahawa satu-satunya jalan ke arah menjaga maruah dan mengangkat martabat ilmu dan ulamak dan satu-satunya jalan ke arah keagungan Islam adalah jihad. Sekiranya kita meninggalkan jihad, maka musuh-musuh Islam akan menyesatkan ummah ini dengan terang-terangan. Mereka akan memasukkan kebencian ke dalam kotak fikiran ummah ini terhadap ulamak dan agama Islam yang murni. Kami, umat Islam di Malaysia juga tidak pernah menafikan bahawa menggalakkan ummah ini ke arah jihad dan mengajak mereka dengan perbuatan kita sendiri adalah kewajipan ke atas kita yang tidak boleh dielakkan. Inilah malangnya nasib kita. Ketika kuasa kuffar menindas umat Islam di Bukhara dan Samarqand, para ulamak Afghanistan sibuk berdebat tentang fardu ain dan fardu kifayah. Sedang persoalan tentang jihad, syarat-syarat jihad, jihad dalam syariah dan lain-lain, langsung tidak ditimbulkan. Apabila kuffar menyerang mereka baru mereka faham apa itu jihad yang sebenar. Mereka lantas mengeluarkan fatwa pada masa itu juga dan dengan kekuatan yang ada, mereka tabah menghadapi musuh-musuh Allah itu. Hari ini kita sedang melakukan perkara yang sama. Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah agar memberikan kita kefahaman akan soal ini sebelum terlambat.”

Yassoir mengangguk dan tersenyum. “Terima kasih kepada tuan-tuan penceramah yang sudi memberi penjelasan kepada saya dan semua hadirin yang ada di sini!” ujarnya dengan nada suara yang puas.

“Kami juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada kamu!” ujar penceramah yang pertama dengan polos. “Semoga Allah SWT akan memberikan ganjaran kepada kamu kerana telah mengingatkan kami tentang jalan untuk kami memperolehi kekuatan dan kebebasan. Jalan bagi kami mendapatkan keredhaan Allah SWT dan mengikut sunnah Rasul-Nya. Tiada syak langsung, Rasulullah SAW adalah Rasul keamanan juga Rasul dengan pedang. Tiada syak lagi, Junjungan Besar kita telah mara ke medan perang dengan baju besi dan pedang. Rasullah SAW juga telah memimpin para sahabat ke medan perang. Insya-Allah, suatu ketika nanti kita semua juga akan mengulangi sunnah ini. Kami semua akan tiba ke bumi Palestin bagi membela ibu-ibu, anak-anak dan saudara-saudara baik lelaki mahupun wanita kita di sana. Kami akan mengorbankan nyawa-nyawa kami kepada Tuhan kita dengan persaksian Keesaan-Nya dan keagungan agama Islam. Insya-Allah.”

“Ya Allah, berilah kami kefahaman tentang hakikat kewajipan kami terhadap ummah ini dan bantulah kami untuk mengambil bahagian dalam jihad ini dan terus istiqamah dalam perjuangan ini. Amin, Ya Rabbal ‘Alamin.” penceramah kedua pula menamatkan majlis pada malam itu.

Laungan Allah Huakbar terus bergema. Yassoir tersenyum puas. Ketika itu bagaikan terbayang di ruang matanya Palestin sudah tercegat sebagai sebuah negara yang berdaulat, merdeka dan bebas. Syiar Islam tersebar di setiap pelosok dengan keagungannya tinggi mencuar ke puncak langit karmizi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan