Ahad, 14 Mac 2010

Ciri-Ciri Generasi Terburuk

Artikel ini telah tersiar dalam laman sesawang Yayasan Dakwah Islamiah Islam (YADIM) pada 25 April 2005

Oleh SMAHADZIR

Salah satu impian atau harapan, juga cita-cita kita dalam hidup ini ialah lahir dan wujudnya generasi yang terbaik. Gambaran wujudnya generasi yang terbaik memang sudah ada, misalnya dengan ramainya Muslim yang memiliki iltizam yang begitu kukuh terhadap Islam sebagai agama yang harus diamalkan dalam kehidupan nyata dalam pelbagai aspek.

Bagaimanapun, apabila dibandingkan dengan generasi yang sebaliknya, rasanya wujudnya generasi yang terbaik masih amat jauh. Perkara ini terjadi kerana begitu banyak generasi manusia yang memiliki profil generasi yang terburuk. Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w telah menyebutkan tentang ciri-ciri generasi terburuk yang harus kita jauhi. Hadis tersebut bermaksud:

‘Akan datang suatu masa atas manusia: cita-cita mereka hanya untuk kepentingan perut, kemuliaan mereka dilihat daripada perhiasan mereka, kiblat mereka adalah wanita-wanita mereka dan agama mereka adalah wang dan harta benda. Mereka itulah sejahat-jahat makhluk dan tidak ada tempat untuk mereka di sisi Allah s.w.t.’ (Hadis riwayat Dailami).

Daripada maksud hadis di atas, terdapat empat ciri dari generasi terburuk.

1) Mementingkan Perut

Salah satu keinginan manusia dalam hidupnya adalah memiliki perut yang kenyang dengan pelbagai jenis makanan. Kenyang pada dasarnya bukanlah sesuatu yang dilarang, tetapi kalau segala yang dilakukan itu untuk kepentingan perut, ini merupakan sesuatu yang sangat berbahaya.

Itulah yang kini banyak terjadi dalam masyarakat kita. Mementingkan perut bererti seseorang itu ingin mendapat dan memiliki kekayaan meskipun dengan menghalalkan segala cara, meskipun seseorang itu sudah mendapat rezeki secara halal, perkara itu akan dimanfaatkan untuk kepentingan diri dan keluarganya sahaja sehingga tidak peduli dengan kekurangan yang dialami oleh orang lain.

Akibat lain yang sangat berbahaya daripada mementingkan perut ialah seseorang itu menjadi takut lapar, takut tidak mendapatkan rezeki yang membuatkannya takut pula menanggung risiko dalam menjalani kehidupan secara benar. Oleh hal yang demikian itu, orang yang mementingkan perut akan menjadi manusia yang berkeinginan melakukan sesuatu apabila menguntungkan secara material sehingga motivasi daripada apa yang dilakukannya adalah perkara-perkara yang dapat menyenangkan kehidupan duniawinya dan tidak mahu melakukan sesuatu yang baik.

Oleh hal yang demikian itu, ibadah puasa berupaya mendidik kita menjadi manusia yang mampu menghadapi kehidupan lapar atau sulit meskipun sebenarnya pendidikan ini hanya berlangsung dalam beberapa jam sahaja dalam sehari. Itulah sebabnya, kesabaran merupakan faktor penting dalam menghadapi cubaan lapar. Dalam hal ini, Allah s.w.t telah berfirman, yang bermaksud:

‘Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepada kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.’ (QS 2: 155).

2) Memuliakan Perhiasan

Dalam hidup ini, manusia menghiasi dirinya dengan berbagai-bagai perhiasan hidup seperti rumah yang besar dan indah, kenderaan yang mewah, pakaian yang mahal, perhiasan emas dan sebagainya. Semua itu dijadikan sebagai ukuran bagi kemuliaan seseorang, sedangkan kita tahu bahawa perkara-perkara itu hanya perhiasan dalam kehidupan manusia sahaja.

Adalah amat naif apabila semua itu dijadikan sebagai simbol kemuliaan kerana generasi terburuk menjadikan perhiasan hidup sebagai ukuran kemuliaan seseorang, sementara generasi yang mulia menjadikan ketakwaan yang mantap sebagai ukuran kemuliaan seseorang.

Sesungguhnya Allah s.w.t akan memuliakan seseorang itu berdasarkan ketakwaannya dan bukannya paras rupanya. Dalam hal ini Allah s.w.t telah berfirman, yang bermaksud: ‘Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah s.w.t adalah orang yang paling bertakwa di antara kamu.’ (QS 49: 13)

Apabila kemuliaan seseorang diukur berdasarkan perhiasan yang digunakannya, menunjukkan bahawa kita adalah hamba-hamba harta dan perhiasan yang sangat tercela. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w bersabda, yang bermaksud: ‘Binasalah hamba dinar, binasalah hamba dirham, binasalah hamba sutera atau perhiasan.’ (Hadis riwayat Bukhari).

3) Mengagungkan Wanita

Salah satu daripada ciri generasi terburuk ialah mengagungkan wanita. Apa yang dimaksudkan dengan mengagungkan wanita adalah menuruti syahwat atau nafsu seksual terhadap wanita yang tidak halal baginya atau memenuhi pujukan wanita untuk melakukan perzinaan. Ini merupakan sesuatu yang sangat hina, dan harus dijauhi. Dalam perkara ini Allah s.w.t telah berfirman, yang bermaksud: ‘Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.’ (QS 17: 32)

Oleh hal yang demikian itu itu, apabila seseorang Muslim mampu menolak pujukan wanita untuk berzina dengan perasaan takut kepada Allah s.w.t, maka dia termasuk dalam golongan orang yang akan mendapat perlindungan daripada Allah s.w.t yang pada hari itu tidak ada perlindungan kecuali hanya daripada Allah s.w.t. Perkara ini telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w, yang bermaksud: ‘Tujuh golongan orang yang akan dinaungi oleh Allah s.w.t yang pada hari itu tidak ada naungan selain naungan-Nya: ... seorang laki-laki yang diajak (berzina) oleh seorang wanita yang mempunyai kedudukan dan kecantikan, lalu ia berkata: Sesungguhnya aku takut kepada Allah s.w.t.’ (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Di samping itu, mengagungkan wanita juga dapat kita fahami sebagai memenuhi keinginan-keinginan yang tidak baik daripada wanita, termasuk seorang suami yang takut kepada isterinya sehingga harus memenuhi keinginan isterinya yang tidak benar sehingga ketakutan kepada isteri membuatkan si suami tidak berani melurus atau memperbaiki kesalahan isterinya, sedangkan isteri merupakan tanggungjawab suami untuk diselamatkan daripada api neraka. Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud: ‘Wahai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.’ (QS 66: 6)

4) Gila Harta

Dalam Islam, wang dan harta merupakan sesuatu yang boleh dicari dan dimiliki, namun semua itu harus dalam keadaan ´terterkawal´, bukan ´manusia dikawal oleh harta´. Apabila itu terjadi, maka harta telah dijadikan sebagai agama sehingga tujuan hidupnya adalah memperbanyakkan harta, termasuk dengan menghalalkan segala cara untuk mendapatkannya sehingga dengan demikian manusia dilalaikan oleh hartanya. Ini merupakan sesuatu yang amat buruk. Allah s.w.t telah mengingatkan di dalam firman-Nya, yang bermaksud: ‘Bermegah-megahan telah melalaikan kamu, sampai kamu masuk ke dalam kubur. Janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu) itu.´ (QS 102: 1-4)

Oleh kerana itu, Allah s.w.t telah berfirman untuk mengingatkan orang-orang yang beriman agar tidak lupa kepada Allah s.w.t hanya kerana persoalan harta. Allah s.w.t telah berfirman, yang bermaksud: ‘Wahai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu daripada mengingat Allah s.w.t. Barang siapa yang membuat demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.’ (QS 63: 9)

Daripada gambaran di atas, dapat disimpulkan bahawa ciri-ciri generasi yang terburuk sebagaimana yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w, ternyata dimiliki oleh generasi kita pada masa sekarang. Itulah sebabnya, ada di antara generasi kita yang hidup pada masa sekarang termasuk ke dalam golongan generasi yang terburuk. Oleh hal yang demikian itu, sudah menjadi kewajiban kita bersama untuk memperbaiki generasi kita agar kehidupan masa depan dapat kita jalani dengan penuh keyakinan dan berlandaskan Al-Quran dan Sunnah. Insya-Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan