Isnin, 15 Mac 2010

HUJAN AIR MATA GUMIHO


Hujan Air Mata Gumiho
SMAHADZIR

(cerpen ini disiapkan pada 12 Mac 2004 dan akan diedit dari masa ke semasa sebelum dihantar ke mana-mana media)

Tengah hari tadi, sewaktu matahari sedang bersinar terik dan begitu menyengat, tiba-tiba saja hujan turun dengan lebatnya. Aku menikmati tiap titisnya yang berjatuhan di tengah panas. Kelihatan unik. Kerana biasanya yang namanya hujan, identik dengan cuaca mendung yang buram dan sejuk. Tetapi kerana hujan di tengah panas, jadilah hujan yang cerah dan panas.
Dari jendela bilikku, kupandang hujan ini. Kebetulan di depan bilikku ada sepetak tanah yang dipenuhi rerumputan. Kerana hujan panas, rerumputan yang basah terkena hujan kemudian terkena sinar matahari dan bergoyang-goyang, kelihatan begitu berkilau dan indah seperti permata.
Jalanan yang beraspal mengeluarkan asap dan aroma terbakar. Seperti bara api disiram air. Rombongan burung berterbangan kerana kebasahan. Begitu juga dengan rombongan monyet yang sedari tadi asyik bermain, berayun di dahan pohon dan berkejaran di rerumputan. Kelihatan sibuk berlari mencari tempat berlindung di pohon rimbun. Sementara anak-anak kecil, begitu asyik berlarian dan berbasikal di tengah hujan. Terpancar rona ceria dan senang di wajah-wajah lugu mereka. 
Hujan panas ini mengenangkan aku pada Gumiho, siluman rubah ekor 9 yang merasa sangat sedih kerana patah hati. Hujan tiba-tiba turun dengan lebat membuat semua orang jadi kebingungan, padahal hari sangat panas terik. Air hujan yang jatuh itu adalah air mata Gumiho. Masyarakat Korea menyebut hujan panas itu sebagai ‘Hujan Rubah’.

* * *

Barangkali kau masih belum tahu tentang kisah ini: Pagi itu, selepas dia menyiapkan beberapa paragraf tulisan untuk akhbar SINAR HARIAN, dia duduk termangu dengan berselonjor kaki di anjung rumah. Menyulut rokok daun nipah tembakau Jawa kesukaannya sembari menghirup kopi yang setiap pagi kubuat khusus untuknya.
Sebagai seorang isteri, tentu aku harus selalu berusaha melayaninya: membuatkan kopi hangat ketika gigil pagi masih berkuasa, memberi kehangatan setiap malam-malam kami yang begitu berharga, juga berusaha memahami setiap keinginannya, termasuk ketika dia bertegas ingin menyapkan tulisan itu meski teramat berisiko untuknya.
Ya, sejauh yang kutahu, dia masih tetap memiliki semangat kebangsaan yang tinggi. Sebab itu, selalu kutemui dia mendatangi para pemuda supaya kembali bersatu melantunkan satu suara seperti yang dilakukan para reformis seabad lalu. Namun seperti yang kau tahu, tidak semudah itu menyatukan para pemuda dengan egoisme berbeza-beza: ada yang hanya mementingkan diri sendiri; ada yang sibuk mengelek laptop ke sana ke mari; ada yang berjalan tidak tentu arah dengan pakaian terdedah menghimbau berahi. Tidak ada lagi perbezaan antara bandar dan kampung, semuanya sama. Bukankah begitu dunia kita ketika ini?
Aku menghampirinya yang hanya menghabiskan waktu dengan duduk termangu pada pagi itu. Dia mengerutkan dahi seolah-olah sedang memikirkan sesuatu sebelum tersenyum lalu menoleh ke arahku.
“Err, tolong ambilkan peralatan lukis aku,” dia bersuara sembari senyum mengembang seperti ketika awal pertemuan kami dulu. Lalu aku beranjak menuruti permintaannya dengan sesungging senyum, meski ada kebimbangan yang perlahan menjalar di hatiku.
Dia masih gemar melukis seperti dulu, dan kau mungkin tidak pernah tahu, betapa awal pertemuan kami, dia seringkali melukis wajahku antara berbagai macam keindahan: cahaya rembulan, taburan bintang-gemintang, senja kemerah-merahan, serta kadang-kadang antara bianglala yang cagun selepas gerimis hujan. Lalu aku akan menjegilkan biji mata, mencebek, atau bermuka masam untuk mengganggunya melukis. Tetapi seperti yang sudah-sudah, dia hanya tersenyum lantas memperlihatkan hasil lukisannya padaku. Hal itu mampu membuatku tercenung, terpegun oleh keindahannya.
Dulu, seringkali dia mengajakku bermain hujan panas. Ketika rintik hujan mulai reda berganti gerimis, kami akan sama-sama mengenang satu perkara; perihal awal pertemuan kami yang tidak disengajakan ketika kami berdemontrasi antara rintik hujan panas yang masih berlarik dari angkasa. Memang ketika kuliah, kami aktif dalam pergerakan mahasiswa yang sering terjun secara langsung untuk memperjuangkan suara yang selama ini tidak didengari: tentang harga barangan asas yang semakin mencekik, kemiskinan rakyat yang mencengkam, serta ketidakadilan yang kian sirna di mana-mana. Ketika itulah kami seringkali berpandangan tidak sengaja. Dia semakin memperhatikan aku yang pada akhirnya membuatkan kami semakin akrab lalu mengambil keputusan besar; pernikahan.
Ah, sudahlah. Aku tidak boleh meneruskan ingatanku tentangnya. Aku belum mampu menerima kenyataaan bahawa dia tidak lagi di sampingku. Aku hanya ingin meneruskan kisah yang memang dan sengaja akan kuceritakan padamu seutuhnya: Antara mentari yang mulai meninggi, tangannya yang lincah mulai memolesi kanvas dengan warna beragam. Ketika itu, aku sudah dapat menyangka dia akan kembali melukiskan kesedihan. Ketidakpuasan terhadap pihak berkuasa, fanatisme kelompok, kebejatan moral generasi remaja, dan macam-macam lagi membuatnya tidak lagi melukiskan berbagai macam keindahan seperti dulu.
Kadang-kadang dia menangis sewaktu melukis. Tangisan panjang yang amat memilukan dengan isak tertahan. Dia tidak ingin orang lain tahu bahawa dia sedang bersedih. Sebab dia faham, kesedihan bukan hanya untuk diketahui, melainkan untuk diperhati dan ditanggapi. Mungkin kau juga takkan tahu jika tidak kuceritakan hal ini. Tentu kau hanya boleh menyaksikan gerakan gemulai tangannya memoles kanvas itu dengan warna beragam. Berbeza denganku yang jauh lebih tahu dan memahami keinginan, perasaan, juga setiap hal yang ada padanya.
Dia tetap kusyuk memoles kanvas itu antara asap rokok yang tidak henti dikelunkan. Mentari makin meninggi, menebarkan nuansa panas. Tetapi dia tetap tidak beranjak. Memang begitu. Dia tidak pernah bergeming sebelum kanvas di depannya menggambarkan sesuatu yang nyata. Tanpa kenal penat. Tidak peduli pada apapun.
“Sedikit lagi,” dia bersuara lirih ketika aku menghela keringat yang telah bercampur air matanya. Seperti biasa, dia selalu mencantumkan tempat, tanggal, bulan, tahun, serta selajur kalimat sebagai akhir lukisan. Selepas itu, baru dia akan tersenyum puas meski jauh di kedalaman hatinya, dia menyimpan kesedihan yang luar biasa.
Sebaik saja lukisan itu selesai, tiba-tiba hal yang paling kutakutkan selama ini benar-benar terjadi. Azam bersama rakan sejawatnya: Amin, Iman dan Ilham mendatangi rumahku. Tidak hanya itu, orang-orang yang sefahaman dengan mereka mulai berdatangan dengan gari tergenggam di tangan.
Ada kebimbangan yang hinggap di hatiku. Seolah-olah mengisyaratkan sesuatu yang jauh lebih dahsyat dari yang tidak kuinginkan selama ini. Kutatap wajah suamiku, jelas dia tenang saja seolah-olah boleh membayangkan takkan pernah terjadi apa-apa. Dia hanya tersenyum ke arahku lantas berkata, “Ani, bawa lukisan ini ke dalam. Simpan di tempat yang selamat.” Kembali dia tersenyum tenang seolah-olah sedang merasakan sebuah kedamaian.
Aku akuri perintahnya, beranjak ke dalam rumah dengan membawa lukisan itu. Tiba-tiba terdengar satu suara terlontar kuat: “Dasar pengkhianat negara! Nak jadi pejuang rakyat konon?” Azam berkata dengan nada geram. Kulitnya yang hitam, perut buncit, serta jambang yang tumbuh lebat membuatnya kelihatan amat bengis sekali.
Aku terus beranjak ke dalam rumah untuk meletakkan lukisan itu di tempat yang selamat sembari melepakan sebuah harapan; semoga tidak terjadi apa-apa pada suamiku di luar.
Dari dalam rumah kudengar suara semakin rusuh diikuti jerit seseorang kemudiannya. Ada detak kebimbangan di hatiku. Aku segera beranjak keluar. Dari ambang pintu rumah kulihat suamiku, orang yang amat kucintai sepenuhnya, diseret seperti binatang buruan yang tidak lagi berdaya. Tubuhku tiba-tiba longlai. Ingin sekali aku menjerit, menangis, dan menghampiri suamiku yang tidak lagi berdaya itu. Tetapi sayang aku tidak boleh. Aku seperti tidak lagi memiliki tenaga.
Ada sebersit harapan muncul ketika para pemuda yang sefahaman dengan suamiku, meredakan suasana dan berusaha menolongnya. Tetapi sayang mereka kalah jumlah yang pada akhirnya suamiku tetap diarak dan diperlakukan secara tidak wajar, tanpa belas kasihan.
Maaf, aku tidak boleh menceritakan klimaks kisah ini padamu, sebab aku terlalu sedih. Ketika ini, selepas tiga bulan dari peristiwa itu, aku hanya boleh termangu sebalik jendela. Menyaksikan hujan panas, hujan air mata Gumiho sembari mengenang segala kisah yang pernah tercipta antara kami. Aku tidak mampu menjadi siluman rubah ekor 9 untuk mengubah nasib suamiku. Aku merasa sangat sedih kerana patah hati.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan