Ahad, 31 Disember 2023

KE AKHIRAT MEMBAWA BARANGAN YANG DIMURKA ALLAH

SMAHADZIR

KASIHAN manusia ini, ramai antara mereka membuat kerja-kerja yang tidak seimbang bahkan adakalanya membuat kerja-kerja yang sia-sia. Kerja dunia yang sementara bersungguh-sungguh mereka mengerjakannya. Dunia yang tidak lama bertungkus-lumus mereka mendapatkannya. Bukan sahaja dunia tidak lama yang disangka lama, hiduppun tidak sampai ke tua, ramai yang mati muda.

Ramai orang mengejar nama dan glamour, mereka tidak fikir lagi larangan Tuhan dan mereka menyangka glamour dan nama membawa bahagia. Kasihan mereka ini ditipu oleh angan-angannya. Mereka memburu nama dan glamour dengan bermacam dan berbagai cara. Ramai orang kerana hendak nama dan glamour, sanggup memanjat gunung, menyeberang sungai yang alirannya deras, merenangi lautan, mengembara ke kutub utara atau selatan, menggembara ke angkasa lepas dengan perbelanjaan yang sungguh mahal dan lain-lain lagi.

Apakah dapat bersembahyang atau tidak, tidak diambil kira, mereka melakukannya dengan bersusah payah untuk sanjungan manusia. Ada yang jatuh patah kaki, tidak kurang ada yang mati. Sama ada ketika mengejar nama dan glamour itu melanggar syariat atau as-sunnah tidak dipedulikan, yang penting berjaya, yang penting membina nama, media massa membuat berita, yang penting ada nama, bukan senang hendak terkenal.

Begitulah manusia pada hari ini, kerana nama dan glamour sanggup mati untuk mendapatkannya. Tetapi kalau kerana Allah sanggup berbuat bermacam-macam alasan untuk tidak melakukannya. Susahlah, sibuklah, tidak ada masa dan kerana itulah solat Subuhpun ramai orang yang tertinggal. Mungkin juga solat dibuat tetapi setelah matahari naik. Begitulah orang memperkecilkan Allah kerana berbagai-bagai alasan. Kerana nama dan glamour tidak ada yang mustahil, boleh sahaja melakukan apa saja.

Segala yang diusaha dan diperolehi di dunia ini bakal ditinggalkan, tidak boleh dibawa ke mati. Sedangkan usaha untuk akhirat adalah kekal abadi. Tetapi untuk akhirat itulah yang dicuaikannya. Mereka pergi ke negara yang kekal abadi tidak membawa apa-apa. Bekalan ke sana waktu di dunia telah dilupakan seperti tidak beribadah atau beribadah secara sambil lewa sahaja, tidak berjiwa langsung. Pemurahnya tidak ada, bermaaf-maafan tidak biasa, berkasih sayang sesama manusia telah dilupa. Sabar dan redha tak usah dikata, bukan budaya hidupnya mengutamakan orang lain. Ziarah-menziarahi bukan budayanya, menghormati hukum-hakam Allah dalam hidupnya bukan disiplinnya.

Islamnya hanya syahadah dan sedikit-sedikit ibadah lainnya, itupun bukan dari jiwa. Bertimbang-rasa tidak dianggap agama, jiran tidak dianggap macam keluarga yang ada, dia memikirkan kepentingan diri dan keluarga atau kroni-kroninya sahaja. Orang miskin, susah, dapat bala peduli apa! yang dibawanya ke akhirat ialah sifat sombong, tamak, bakhil, pemarah, zalim, megah, riyak, ujub, di samping lupa Allah, tidak takut dan tidak cintakan Penciptanya.

Sewaktu hendak mati masih dalam angan-angan lagi ingin menambah harta, mencari nama, ingin glamour. Ketika itu juga masih hasad dengki, masih menghina orang, masih mengangkat diri, ajalpun sampai, mati tidak membawa apa-apa kebaikan, dengan kata-kata lain tidak membawa sifat takwa sebagai bekalan. yang dibawanya hanya sifat-sifat mazmumah yang bernanah dalam jiwanya.

Aduh malang sekali, dia pergi ke dunia akhirat membawa barang-barang yang dimurka untuk ke neraka, barang-barang yang dibawa untuk ke syurga tidak ada, maka rugilah dia sepanjang masa buat selama-lamanya. Semoga kita dijauhkan Allah dari memiliki sifat-sifat seperti ini.

MENGHINA DIRI ITU AMALAN HATI

SMAHADZIR

MERASAKAN diri hina itu satu sifat yang mulia. Ia satu dari sifat kehambaan. Ia timbul dari merasakan bahawa Tuhan itu Maha Mulia. Merasakan Tuhan itu Maha Mulia ialah satu dari rasa-rasa bertuhan. Sebaik sahaja kita dapat merasakan Allah SWT itu Maha Mulia, maka secara spontan kita akan merasakan bahawa diri kita itu terlalu hina di sisi-Nya. Diri kita ini terlalu lemah tanpa bantuan dari Allah. Diri kita ini tiada apa-apa jika Allah tidak menghulurkan tangan-Nya untuk membantu.

Lawannya ialah rasa diri mulia. Ini satu sifat yang tercela. Rasa diri mulia bukan satu sifat kehambaan tetapi ia lahir dari sifat ketuanan yang bersarang di hati kita. Kita rasa kita tuan. Kita rasa kita lebih dari orang lain. Rasa diri tuan itu syirik khafi (syirik tersembunyi) hukumnya. Kita sudah hampir hendak menyamakan kedudukan dan taraf kita dengan Tuhan. Kita hendak pakai apa yang menjadi pakaian Tuhan. Ia tumbuh dari sifat kibir, ego, angkuh dan sombong.

Sifat kibir, ego, angkuh atau sombong ini, semua orang ada. Hanya ada yang kuat mengawalnya dan ada yang lemah mengawalnya. Kibir atau ego ini ibarat harimau yang sedang tidur. Bagi orang yang kuat mengawalnya, kalau dicabar, harimau itu akan terjaga tetapi ia tidak menerkam dan tidak membaham mangsanya. Tetapi bagi orang yang lemah mengawalnya, kalau dicabar, akan marah dan akan bertindak terhadap orang yang mencabarnya.

Lebih hina kita rasakan diri kita di sisi Tuhan, maka lebih tajam dan lebih mendalamlah sifat kehambaan kita dan lebih tinggilah darjat kita di sisi Tuhan. Sebaliknya, lebih mulia kita rasakan diri kita, maka rosaklah sifat kehambaan kita dan hinalah kita di sisi Tuhan.

Hina diri itu ialah amalan hati. Tidak payah disebut-sebut dan tidak payah ditunjuk-tunjuk. Kalau disebut-sebut, takut-takut ianya bukan datang dari hati. Ini sumah namanya. Kalau ditunjuk-tunjuk dan ia bukan datang dari hati, maka ini riyak pula namanya.

Dalam kita menghina diri, tidak payah kita tunjuk kotor seperti menyapu kotoran atau najis ke tubuh badan kita contohnya. Ini sudah jatuh haram. Ramai orang tunjuk kotor seperti peminta sedekah dan kaki dadah tetapi hati mereka penuh dengan ego dan keangkuhan. Mudah sahaja mereka ini menipu manusia dan berbuat maksiat kepada Tuhan.

Orang yang merasa dirinya mulia, sebenarnya di sisi Tuhan adalah hina. Ini kerana bagi Tuhan, sepertimana yang disebutkan-Nya dalam Al-Quran; orang yang mulia itu ialah orang yang bertakwa. Di mana kemuliaan orang bertakwa? Kemuliaan itu letak pada hatinya. Hati yang cukup tinggi rasa hamba dengan Tuhannya. Rasa hamba itu ada berbagai dan yang paling menonjol adalah rasa hina dengan Tuhan.

Rasa hina ini, biasanya ia menjadi subur di dalam sembahyang. Bila kita sembahyang, terutama pada waktu sujud, pada waktu itulah benar-benar dirasakan diri kita ini terlalu hina di sisi Pencipta-Nya. yang dirasakan dalam hatinya walaupun sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata tetapi bolehlah dimaksudkan sebegini: “Aku ini hina, wahai Tuhan… Kau jadikan aku daripada tanah. Aku ini hina, Tuhan… Kau jadikan aku daripada setitis air mani yang hina. Aku ini hina, Tuhan… Aku hina seperti najis. Kau Tuhan yang Maha Tinggi, aku hamba yang hina. Aku menghina diri di hadapan-Mu Tuhan dan itulah yang selayaknya buat aku sebagai hamba-Mu.”

Rasa hina seperti inilah yang dipandang Tuhan. Rasa seperti inilah yang membuatkan kita dimuliakan Tuhan. Kita tidak minta kemuliaan itu tetapi Allah muliakan kita. Allah iktiraf yang kita itu mulia. Kita dalam kemuliaan di Akhirat, walau di dunia belum tentu. Mungkin manusia memandang kita hina tetapi Tuhan memandang kita mulia. Orang seperti ini, kalau ditakdirkan menjadi pemimpin, rasa hina inilah yang dibawa dalam memimpin. Dia tidak sombong malah sangat berkasih sayang dengan anak buahnya. Cakapnya mesra dan berlemah-lembut. Dia tidak minta dimuliakan biarpun anak buah memuliakannya.

Malah, jika dia tidak dimuliakan oleh mereka, dia tidak terasa hati. Sama sahaja hatinya sama ada dia diberi layanan istimewa atau tidak. Tenang sahaja hatinya biarpun dia tidak dipuji atau disanjung. Pujian atau sanjungan hanya akan mencemaskan hatinya kerana takut-takut dia tidak layak menerimanya. Kalau dia ditakdirkan kaya, dia tidak bermegah-megah dengan kekayaannya. Digunakan kekayaannya itu untuk membantu perjuangan Islam. Juga kepada orang-orang yang memerlukan bantuan.

Samalah juga jika dia ilmuan atau ulamak, dia tidak sombong dengan ilmunya. Dia mengajar dan mendidik tetapi penuh berhikmah. Dia tidak suka menunjuk-nunjuk yang dia itu seorang ilmuan atau ulamak. Dia bercakap bila perlu sahaja. Cakap-cakapnya tidak membuatkan orang sakit hati kepadanya.

Begitulah sifat-sifat orang yang merasa diri hina. Tidak kira apa statusnya, walau diberi kelebihan oleh Tuhan, dirinya tetap merasa hina di sisi Tuhan. Rasa inilah yang menjadikan dia mulia di sisi Tuhan. Orang yang tidak ada rasa seperti ini, jangankan Tuhan, manusiapun tidak suka kepadanya.

Tetapi janganlah pula kita merasa diri kita hina dan tidak berguna di sisi manusia dan makhluk. Sifat begini sangat ditegah oleh Allah SWT. Ia merupakan sifat terkeji yang patut dijauhi. Firman-Nya yang bermaksud: “Janganlah kamu takut pada seseorang makhluk tapi takutlah kepada-Ku.” (surah Al-Maidah: 44). “Janganlah kamu rasa terhina dan sedih padahal kamulah yang tinggi selagi kamu beriman.” (surah Ali Imran: 139)

Rasa hina dan rasa lemah hanya dibenarkan oleh Allah SWT kepada kita ialah terhadap diri-Nya sahaja. Kita diperintahkan supaya berasa hina dan lemah hanya di sisi Allah. Kita tidak boleh merasa hina dan lemah di sisi manusia dan makhluk yang lain. Tiada sebab mengapa kita mesti melihat ada manusia lain lebih hebat dari kita sehingga kita takut dan rasa terhina di hadapannya.

Jangan sampai kita menghina diri pada sebarang makhluk. Kerana di sisi Allah, manusia itu sama saja kecuali hamba hamba-Nya yang bertakwa. Orang yang bertakwa lebih mulia daripada orang yang tidak bertakwa. Siapa yang lebih takwanya, lebih tinggilah darjatnya di sisi Allah SWT. Firman-Nya yang bermaksud: “Semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah mereka yang paling bertakwa dalam kalangan kamu.” (surah Al-Hujarat: 13)

Maka kalau begitu tidak boleh kita mengukur kemuliaan seseorang kerana ilmunya, jawatan, kekayaan, keturunan dan lain-lain lagi. Lagilah tidak boleh kita merasa diri hina, lemah dan kurang di hadapan seseorang yang lebih tinggi jawatannya, hartanya, kekayaannya atau ilmunya dari kita.

ISLAM MENGATUR PERGAULAN YANG SUCI, SELAMAT DAN MULIA

SMAHADZIR 

SETIAP manusia perlukan pergaulan dan Islam mengatur pergaulan bagi kaum Muslimah dengan pergaulan yang suci, selamat, dan mulia kerana syaitan berusaha untuk menghancurkan keimanan kaum Muslimah dengan segala tipu dayanya. yang paling banyak menyelewengkan wanita dari agama dalam pergaulan adalah ajakan mereka mengenai kebebasan wanita, emansipasi dan sebagainya. Ditambah lagi dengan suapan-suapan globalisasi yang berkiblatkan budaya-budaya Barat sehingga, seolah-olah memaksa kaum Muslimah untuk keluar dari budaya Islam yang aman dan bijaksana.

Untuk itu Rasulullah SAW mengingatkan kaum lelaki, “Berhati-hatilah kamu berkhalwat dengan wanita. Demi diriku yang berada dalam genggaman-Nya, tidak akan pernah seorang lelaki yang berdua-duaan dengan wanita melainkan syaitan akan masuk di antara mereka. Seorang lelaki yang rapat dengan babi yang penuh dengan lumpur masih lebih baik daripada dia merapat dengan paha wanita yang tidak halal baginya.” (hadis riwayat Thabrani).

Syeikh Muhammad bin Abdullah mengulas dalam hal tipu daya syaitan ini bahawa pergaulan bebas antara lawan jenis seperti yang sering kali terjadi hanya akan mendorong wanita untuk bersolek, berpenampilan mencabar, menarik pandangan kaum lelaki dan membangkitkan pesona mereka. Sebab keinginan seksual yang sudah menjadi fitrah lelaki dan wanita akan bertambah kuat kerana adanya pergaulan antara lawan jenis dan jika pembatasannya mudah ditembus.

Dalam masyarakat yang membuka pergaulan seperti ini akan muncul pembawaan baru dalam diri lelaki dan wanita iaitu saling menampakkan keindahan dan pesonanya untuk menarik minat lawan jenis. Lama kelamaan tindakan ini bukanlah sesuatu yang perlu diingkari dan dicela kerana adanya perubahan teori moraliti. Bahkan kemudian semua itu dianggap sesuatu yang perlu disenangi. Kemudian berkembang semakin jauh hingga masing-masing tidak memiliki lagi satu sempadan pun.

Islam yang bijaksana tahu bahaya akibat pergaulan yang tiada tara dalam kehidupan individu dan umat tatkala dorongan berahi sudah memuncak. Syariat Islam sudah membuat berbagai cara penjagaan dan perlindungan yang boleh menghalang terlepasnya keinginan berahi dari pagarnya. Maka Islam memberi perhatian dalam penguatan ketakutan kepada Allah dalam diri manusia dengan memperkuatkan fitrah dengan rasa malu agar perasaan ini boleh menjadi pengawal secara dalaman.

Islam juga mensyariatkan hijab kepada wanita agar dia menutupi keindahan dirinya daipada lelaki, meminta izin tatkala memasuki suatu rumah, memerintahkannya agar menundukkan pandangan mata, baik lelaki mahupun wanita, melarang secara bebas antara lelaki dan wanita, memperingatkan wanita berpergian tanpa disertai mahram, kemudian meletakkan hukuman bagi orang yang melanggar larangan ini.

Muhammad Qutub mengatakan bahawa nafsu berahi atau seks itu sendiri bukanlah sesuatu yang kotor atau haram tetapi harus diletakkan dalam suatu lingkungan yang benar lagi bersih. Sedangkan kebebasan yang dilakukan wanita di dunia Barat dan diseru oleh para propagandis kebebasan di negara Timur yang beragama Islam, justeru akan merosakkan wanita dan lelaki serta generasi seterusnya.

Padahal dalam Huququl Mar’ah ditulis bahawa kebebasan sebenarnya adalah melepaskan diri dari bisikan hawa nafsu dan syahwat, juga dari tradisi dan kebiasaan-kebiasaan yang menyimpang dan sesat. dari sini jelaslah, majlis yang di situ ada kaum lelaki wanita bercampur sama sekali tidak sesuai dengan tabiat murni dan ajaran Islam. Sebab pesona berahi yang ada dalam naluri lelaki dan wanita mempunyai suatu kekuatan yang tidak boleh dielak, yang akan menjadi bertambah kuat jika kedua-duanya saling berkumpul.

Disebutkan dalam Nailul Autsar bab ‘Larangan Berkhalwat dengan Wanita Bukan Mahram’: “Berkhalwat dengan wanita lain sudah disepakati oleh para ulama tentang pengharamannya sebagaimana hal ini telah dikisahkan Al-Hafizh di dalam Al-Fath. Alasan pengharaman tersebut kerana apa yang disebut di dalam hadis tentang kewujudan syaitan sebagai orang ketiga daripada keduanya yang boleh mengheret kedua-duanya ke dalam kederhakaan. Namun jika khalwat itu disertai oleh mahram, itu dibolehkan kerana kemungkinan terjadinya kemaksiatan boleh dicegah kerana kehadiran mahram tersebut.”

Sebab tabiat kekeluargaan itu cenderung mendorong lelaki berani memasuki tempat wanita kerana beralasan adanya hubungan saudara. Sehingga mereka berani mengetuk pintu baik pada siang mahupun malam hari, baik ada kepentingan ataupun tidak ada. Tetapi justeru sering terjadi akhirnya hal ini menimbulkan akibat yang sangat fatal dan boleh merenggangkan hubungan kekeluargaan atau bahkan penceraian.

Luqman Hakim berwasiat kepada anak lelakinya: “Takutlah kamu terhadap wanita yang buruk kerana ia membuatmu beruban sebelum kamu beruban. dan takutlah wanita-wanita yang jahat kerana mereka tidak mengajak kepada kebaikan dan jadilah kamu berhati-hati dalam memilih mereka.”
 
Wanita dan Politik
 
Rasulullah SAW bersabda, bermaksud, “Tidak beruntung suatu kaum yang menyerahkan kepimpinan negaranya kepada seorang wanita.” (hadis riwayat an-Nasa’i)

Dalam Huququl Mar’ah ditulis bahawa Muslimah pada awal Islam tidak mempunyai peranan apapun dalam urusan politik, meskipun Islam memberinya hak yang sama dengan hak lelaki. Tidak pernah diriwayat bahawa selepas Rasulullah SAW wafat, ada wanita yang ikut bermusyawarah dengan kaum lelaki, ikut serta dalam membuat keputusan siapa yang akan menjadi khalifah sesudah Baginda SAW. Juga dalam memilih salah seorang di antara Khulafa’ur Rasyidin yang empat itu.

Tidak pula diriwayat bahawa Khulafa’ur Rasyidin mengumpul para wanita secara khusus untuk mengajak bermusyawarah dalam berbagai urusan daulah seperti yang mereka lakukan bersama kaum lelaki. Kalaupun ada dalil yang digunakan oleh orang-orang yang beranggapan bahawa wanita juga ikut turut campur dalam urusan politik serta hukum. Mereka menguatkan pendapat itu dengan alasan bahawa Saiyidatina Aisyah r.a pernah keluar untuk menuntut pembunuhan Saiyidina Ustman r.a.

Padahal ternyata Aisyah r.a telah menyesal atas perbuatannya itu. Sehingga perbuatan ini tidak boleh dijadikan dalil untuk menciptakan sesuatu yang baru di dalam Islam. Tatkala Saiyidina Ali r.a menulis surat kepada Ummul Mukminin untuk mengingatkan bahawa apa yang hendak dibuatnya itu adalah melanggar ketetapan syariat, maka dia berkata di dalam suratnya itu: “Amma ba’d, sesungguhnya engkau keluar dalam keadaan marah kepada Allah dan Rasul-Nya. Engkau menuntut sesuatu yang engkau sendiri tidak memiliki kemampuan. Apa urusan wanita dan peranan serta perbaikan yang boleh dilakukan di antara manusia? Engkau menuntut darah Ustman r.a. Demi hidupku, apakah yang mendorong engkau untuk membuka diri bagi bencana yang membawamu kepada kederhakaan yang justerunya dosanya lebih besar bagimu daripada orang-orang yang membunuh Ustman r.a?”

Sewaktu Perang Jamal telah berakhir, maka Saiyidina Ali r.a. datang menemuinya, seraya berkata kepadanya, “Wahai wanita yang berada di dalam hijab, Allah memerintahkan agar engkau berdiam di dalam rumahmu namun engkau keluar untuk berperang.” Maka Aisyah r.a tidak mampu memberikan jawapan yang dapat menyokong perbuatannya itu dan bahawa Islam membolehkan hal itu baginya. Padahal beliau adalah orang yang memiliki ilmu pengetahuan.

Bahkan diriwayatkan bahawa Aisyah r.a masih bergelut dengan rasa sesal atas perbuatannya hingga kemudian hari. Diriwayatkan di dalam Al’-Isti’ab oleh Ibnul Abdil Barr bahawa Aisyah r.a mengadu kepada Ibnu Umar r.a seraya berkata: “Mengapa dulu engkau tidak melarangku sama sekali keluar, wahai Abu Abdurrahmaan?” Ibnu Umar r.a menjawab. “Kerana aku melihat ada seorang lelaki telah menguasai urusanmu dan aku tidak melihatmu menentangnya sama sekali.” Aisyah r.a berkata, “Andaikata engkau melarang aku dahulu, tentu aku tidak akan pergi.”

Maka apa lagi alasan bagi wanita solehah untuk terjun dalam urusan politik dan pemerintahan? Dalam Balaghat Annisaa diceritakan bahawa pada saat dekat ajalnya, Aisyah r.a rasa gelisah ketika ditanya apa sebabnya, Aisyah r.a menjawab, “Sesungguhnya hari terjadinya Perang Jamal telah menghalang tengggorokanku! Ahh, seandainya aku lupa atau dapat melupakan peristiwa itu.”

KEDATANGAN RASULULLAH SAW MENEPATI JIWA FITRAH SETIAP MAKHLUK DAN MENDAPAT REDHA ALLAH SWT

SMAHADZIR
 
RASULULLAH SAW adalah seorang manusia yang agung. Baginda adalah model dan ikutan sebenar yang telah memberi panduan kepada seluruh umat manusia dengan lengkap dan sempurna dalam seluruh aspek termasuklah dalam bidang pengurusan dan organisasi. Kelahiran baginda membawa rahmat ke seluruh alam, membawa ajaran yang suci menepati jiwa fitrah setiap makhluk, sesuai dan mendapat redha dari Tuhan semesta alam.

Ajaran Islam yang suci membasmi fahaman serta kelakuan jahiliyah, Ia menghancurkan kebatilan dan menegakkan kebenaran, mengubah kehidupan nomad yang berpindah-randah dengan berhijrah dan tinggal tetap di sesuatu tempat bagi mendirikan daulah Islamiah yang mempunyai prinsip kenegaraan yang telus, aman dan selesa. Sebuah negara yang didasari dengan undang-undang dan hukum-hukum Allah sebagaimana yang telah diwahyukan kepada Baginda SAW.

Sebagai pemimpin pilihan Allah SWT, Baginda SAW menjalankan segala tugas sebagai seorang Rasul dengan baik dan segala tindakan yang dilakukan adalah atas bimbingan wahyu. Ini telah dijelaskan oleh Allah SWT dalam surah An-Najmu ayat 3 dan 4 yang bermaksud: “dan tidaklah apa yang dilafazkan atas kehendak nafsunya. Ucapan itu tiada lain hanyalah wahyu yang telah diwahyukan melainkan ia atas bimbingan wahyu.”

Dalam amalan harian yang berkaitan dengan pengurusan dan organisasi, amalan organisasi yang utama dan terpenting yang diperkenalkan oleh Rasulullah SAW ialah sembahyang berjemaah. Ia menjadi kewajipan dan tunggak kepada ajaran Islam. dengan melakukan sembahyang lima waktu secara berjemaah, ia merupakan satu sistem dunia dan akhirat yang tidak pernah diperkenalkan oleh mana-mana pemimpin dunia.

Melalui amalan sembahyang berjemaah yang diperkenalkan ini, setiap muslim akan mematuhi beberapa disiplin tertentu yang terkandung dalam sembahyang seperti imam adalah sebagai ketua organisasi yang memimpin, sementara makmum akan mengikut segala pergerakan imam.

Di samping itu, sembahyang berjemaah dapat membentuk konsep perpaduan yang hakiki dan dapat mengeratkan silaturrahim, membentuk kemesraan dan kejituan dalam hubungan sesama muslim melalui barisan saf yang rapat dan lurus. Amalan yang diperkenalkan ini akan kekal hingga hari kiamat dan ia merupakan soalan pertama yang akan ditanya pada semua umat manusia pada hari kebangkitan kelak.
Sabda Rasulullah SAW, bermaksud: ‘Amalan yang pertama akan diperhitungkan oleh Allah SWT kepada hambanya pada hari kiamat ialah sembahyang.’
Baginda SAW telah memberi bentuk terjemahan dan panduan yang sempurna dan lengkap tentang hakikat Islam. Islam menekankan bahawa kehidupan ini hanyalah sementara dan matlamat utama adalah kehidupan akhirat yang kekal abadi.

Ibadah zakat yang disyariatkan dalam Islam adalah bagi menghapuskan amalan riba oleh masyarakat. Islam memberi penekanan ke atas rezeki yang baik dan halal, membersihkan harta pendapatan dan membezakan antara rezeki yang halal dan yang haram. Kedua-dua amalan ini adalah asas kepada organisasi sesuai dengan perintah Allah SWT yang sentiasa mengiringi perintah sembahyang dan zakat ini secara bersama.

Maka dengan demikian, jika kita lihat dan fahami bahawa tidak ada amalan Rasulullah SAW yang tidak bermatlamat ke arah keredhaan Allah SWT. Usaha yang dilakukan adalah untuk mencapai mardhatillah. Tidak ada dalam saat hidup baginda di mana ia diabaikan tanpa sesuatu yang bermanfaat. Baginda menyedari bahawa inilah tugas utama baginda diutuskan oleh Allah SWT sebagai manusia agung. yang demikian, tugas dan tanggungjawab baginda ini adalah untuk menyelamatkan umatnya dari balasan Allah dengan menegakkan risalah ilahi secara prograsif dan terancang.

Dalam konteks pengurusan dan organisasi hari ini, keperluan utama bagi menjayakannya adalah sifat manusia itu sendiri seperti berakhlak mulia, amanah, jujur, ikhlas, beriltizam dan sebagainya. Maka sifat, akhlak mulia dan nilai yang telah ditonjolkan dan dizahirkan oleh Rasulullah SAW ini sememangnya adalah peribadi baginda sendiri yang diakui ulung dan unggul, yang merupakan seorang pemimpin organisasi Islam.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Ahzab ayat 21, maksudnya: ‘Sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah SAW itu adalah contoh terbaik yang menjadi ikutan bagi sesiapa yang mengharapkan Allah dan hari akhirat, dan ingatlah Allah dengan sebanyak-banyaknya.’

Peribadi baginda adalah Al-Quran yang merupakan kalam Allah SWT. Baginda sebelum diutus menjadi Rasul, adalah seorang yang sentiasa benar dalam tutur kata dan perbuatan, amanah dalam kehidupannya dan selepas menjadi Rasul baginda menjadi contoh ikutan. Maka penyempurnaan nilai, etika dan akhlak yang unggul dan terpuji akan dapat mengelakkan daripada sebarang sifat yang tercela yang sentiasa menjadi virus di dalam sesebuah organisasi. dengan itu, akan lahirlah keberkatan dan melaluinya akan mendapat rahmat dan nikmat Allah SWT.

 Lantaran itu, contoh dan teladan yang baik adalah melalui Rasulullah SAW yang bekerja di dunia untuk mengejar akhirat dan beramal untuk akhirat dengan bekerja di dunia. Setiap muslim yang mukmin harus menyedari bahawa kita tidak dapat mencari akhirat melainkan dengan mengislahkan dunia dan tidak akan dapat sampai ke akhirat melainkan melalui jalan dunia. Kewajipan kita adalah untuk memakmurkan bumi Allah SWT serta menanam benih amalan agar dapat dituai di akhirat kelak.

Manusia sebenarnya mempunyai kekuatan roh yang boleh mengatasi segala halangan dan rintangan. Ramai dalam kalangan para sahabat yang dididik oleh Rasulullah SAW melaksanakan apa yang telah diajar dengan memikul amanah untuk memakmurkan bumi Allah SWT tanpa melupakan tanggungjawab sebagai seorang hamba dan anggota masyarakat yang mempunyai tanggungjawab sosial yang perlu ditunaikan.

Antara yang menjadi keutamaan Baginda SAW semasa mengetuai bidang pengurusan terdiri dari 3 aspek, iaitu:
 
1.     Aspek keilmuan
2.     Aspek kerohanian
3.     Aspek syura
 
Aspek Keilmuan
 
Kemajuan ilmu adalah prasyarat mana-mana pembangunan sesuatu tamadun. Justeru itu umat yang ingin maju, budaya ilmu haruslah disebatikan di antara pemimpin (ulil amri) dan juga rakyat. Pemimpin yang berilmu akan memimpin ke arah yang benar dan di redhai Allah SWT. Ia harus diberi peluang untuk membetulkan kesilapan dan ruang seluas-luasnya dan dengan sikap yang bersungguh-sungguh untuk memimpin sudah pasti rakyat yang dipimpin akan menghormati dan menyanjung tinggi.

Ini adalah sebagai contoh yang ditunjukkan oleh Baginda SAW. Kesilapan masyarakat kini mungkin adalah atas dasar sikap kurang prihatin terhadap nilai keilmuan sehingga terlalu mudah untuk melantik seorang pemimpin sedang masih terdapat banyak kelemahan dan kekurangan yang perlu diperbaiki.
 
Aspek Kerohanian
 
Aspek ini merupakan satu lagi prasyarat penting dalam sesebuah pentadbiran dan pengurusan. Kerohanian ini bermaksud menekankan hubungan yang kukuh antara makhluk dengan pencipta (hablumminallah). Ini termasuk hubungan dari segi iktikad dan hubungan amalan yang sentiasa mantap dan dijiwai.

Saiyidina Umar Al-Khattab pernah mengungkap kalimah yang menggambarkan peri pentingnya aspek kerohanian untuk menjamin sesuatu kemenangan dan untuk mendapat mardhatillahi. Maksudnya: ‘Kemenangan itu milik kamu adalah kerana ketaatan kamu kepada Allah dan kemaksiatan musuh Allah. Sekiranya kedua-duanya melakukan maksiat maka keutamaan dan kekuatan itu milik musuh kamu.’
 
Aspek Syura
 
Kepimpinan yang bercirikan syura bermaksud memberi ruang kepada kebebasan memberi pendapat, mengkritik, membeza pendapat demi mencari formula terbaik untuk masalah ummah. Di antara sebab mengapa dunia Islam masih lagi mundur, lemah dan berpecah-belah ialah kerana masalah kepimpinan berkualiti yang mampu menghayati ilmu, kerohanian dan syura.

Bagi menggambarkan betapa pentingnya sistem syura ini hatta ketika Rasulullah SAW wafat sekalipun para sahabat bersyura untuk memilih pemimpin yang terbaik dialam kalangan mereka. Khalifah Umar Abdul Aziz pula ketika dilantik menjadi khalifah, menyerahkan semula jawatan tersebut bagi membolehkan syura berlaku untuk memilih khalifah yang dipilih oleh rakyat bukannya dilantik oleh khalifah sebelumnya.

Rasulullah SAW adalah contoh pemimpin yang paling banyak bersyura, bagi menggambarkan begitu demokratiknya baginda ini. Seterusnya model pengurusan dan organisasi cemerlang yang diterapkan oleh Rasulullah SAW secara keseluruhannya meliputi rangka dakwah bil hal dengan prinsip-prinsip yang merangkumi:
 
1.     Mengambil Allah dan Rasul-Nya sebagai sumber rujukan atau sandaran, punca kekuatan dan pengharapan.
2.     Sentiasa sedar dan insaf akan tuntutan, amanah dan tugas serta tanggungjawab sebagai khalifah Allah di muka bumi.
3.     Bersedia untuk memberikan khidmat dalam mendedah, menyebar, melaksana dan menghayati Islam sebagai ad-din.
4.     Berusaha mencari, menambah, menghayati dan menyebarkan ilmu serta pada masa yang sama menterjemahkannya ke dalam amalan seharian.
5.     Bersedia untuk menyumbang dalam memberikan masa, tenaga, kemampuan intelek dan harta dalam usaha untuk pembangunan ummah.
6.     Berusaha untuk menjadikan seluruh anggota (organisasi atau masyarakat) sebagai anggota yang beriman, bertakwa dan beramal soleh.
7.     Melaksana, memperbaiki dan berusaha meningkatkan amal ibadah sama ada yang khusus mahupun umum dalam rangka untuk menyubur dan mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan.
8.     Sentiasa berusaha untuk menjadi manusia atau kakitangan atau pekerja yang boleh dicontohi oleh orang lain.
9.     Berusaha untuk menjadi manusia atau kakitangan atau pekerja yang dapat mengabdikan diri kepada Allah SWT dengan membina tamadun melalui perhidmatan atau sumbangan yang diberikan.
 
Justeru itu, penerapan nilai, etika dan akhlak dalam pengurusan membawa erti yang amat besar pada pihak pengurusan serta kakitangannya dalam mengurus atau mentadbir sesebuah organisasi yang mana Rasulullah SAW sendiri merupakan model yang cemerlang, mengurus dengan kekuatan hati dan akhlak mulia. Semoga dengan apa yang kita fahami akan dijadikan pengajaran.

JANGAN JADI MANUSIA ‘PENYEMBAH’ DAN BERTUHANKAN ILMU

SMAHADZIR

 

ILMU itu memang penting bagi manusia. dengan ilmulah manusia mengenal Tuhan. dengan ilmulah manusia berakhlak. dengan ilmulah manusia beribadah. dengan ilmulah manusia membina tamadun dan peradaban. dengan ilmulah manusia membangun dan berkemajuan. dengan ilmulah manusia memburu dunia. dengan ilmulah manusia memburu akhirat. Malahan ilmulah yang membezakan antara manusia dengan makhluk-makhluk yang lain.

Manusia berlumba-lumba untuk mencari ilmu kerana dengan ilmu manusia boleh jadi pemimpin. dengan ilmu, manusia boleh jadi kaya. dengan ilmu, manusia disanjung dan dihormati. dengan ilmu, manusia boleh mengawal, menjajah dan memperalatkan manusia lain. dengan ilmu manusia boleh dapatkan kekuatan, pengaruh dan pengikut.

Namun begitu, kalau ilmu tidak dikendalikan dengan betul, ia boleh mendatangkan mudarat. Ia boleh memakan diri. Manusia boleh jadi rosak dan keseluruhan tamadun dan peradaban manusia boleh musnah.

Dalam usaha mencari ilmu, Imam Al-Ghazali telah menetapkan bahawa yang dahulu mesti didahulukan dan yang kemudian mesti dikemudiankan. Mencari ilmu mesti mengikut tertibnya. Ada keutamaan dan prioritinya.

Tertib dalam mencari ilmu ini penting sekiranya kita mahukan natijah yang baik dari ilmu itu sendiri. Kalau tertib ini tidak dijaga dan dilanggar, ilmu boleh memudaratkan dan merosakkan. Berikut adalah tertib susunan ilmu oleh Imam Al-Ghazali:

1. Ilmu fardhu ain.

2. Ilmu fardhu kifayah.

3. Ilmu sunat.

4. Ilmu harus.

5. Ilmu haram.

 

Fardhu Ain 

Ilmu fardhu ain ialah ilmu yang wajib dipelajari oleh setiap individu yang mukalaf. Kalau tidak, maka seseorang itu berdosa. Ia khususnya melibatkan ilmu agama yang merangkumi: 

* Ilmu tauhid atau usuluddin

* Ilmu feqah

* Ilmu tasawuf atau akhlak

Ilmu fardhu ain ini bolehlah dianggap sebagai ilmu pendidikan. Ilmu ini ialah asas bagi agama seseorang. Ia mengenalkan manusia kepada Tuhannya. Ia membina peribadi dan akhlak melalui pengabdian diri dan ibadah kepada Tuhan.

Ilmu fardhu ain ini terutama tauhid dan usuluddin wajib diselesaikan dahulu bagi anak-anak kita sebelum mereka diberi ilmu-ilmu yang lain seperti ilmu fardhu kifayah, ilmu sunat atau harus. Ini sesuai dengan sebuah hadis: Maksudnya: Awal-awal agama ialah mengenal Allah SWT.

Kalau Allah SWT sudah dikenali, maka Allah-lah yang akan mengisi hati dan jiwa anak-anak itu. Allah-lah yang akan menjadi matlamat hidup mereka. Allah-lah yang akan menjadi perkara utama dalam apa sahaja yang mereka lakukan.

Kalau Allah SWT tidak dikenali, mana mungkin mereka akan dapat berbuat sesuatu kerana-Nya. Kalau Allah SWT tidak dikenali, apakah yang akan mendorong anak-anak kita untuk berbuat sesuatu kebaikan, selain dari dorongan nafsu dan duniawi semata-mata atau untuk mendapat pujian, glamour dan sebagainya.

Kalau Tuhan tidak dikenali, apakah yang akan menghalang anak-anak kita dari terlibat dengan maksiat, jenayah, pergaulan bebas, zina, rogol, bohsia, bohjan, black metal, budaya punk, gangsterism dan sebagainya. Apakah yang akan menghalang anak-anak kita dari mengangkat Tuhan yang lain sebagai Tuhan mereka atau dari meyakini ideologi-idelogi dan isme-isme ciptaan manusia atau dari menjadi sekularis, komunis, sosialis, free thinker atau terus menjadi ateis.

Jika Allah SWT sudah mereka kenali dan jiwa anak-anak diisi penuh dengan akidah dan ketauhidan, maka mereka akan selamat ke mana sahaja mereka pergi dan dalam apa sahaja yang bakal mereka tempuh dan pelajari. Mereka akan ada imuniti atau pelalian dari segala macam kekeliruan dan kesesatan, juga dari segala macam pengaruh, dugaan dan pancaroba.

Setelah Allah SWT dikenali, anak-anak akan menggunakan segala ilmu dan kemahiran yang mereka pelajari, untuk berbakti kepada Allah SWT dan untuk berkhidmat kepada sesama manusia, dan bukan untuk membuat kerosakan dan kemaksiatan di muka bumi ini. 

Fardhu Kifayah 

Bukan semua ilmu agama itu fardhu ain hukumnya. Ada yang fardhu kifayah. Contohnya ilmu hadis, ilmu tafsir dan sebagainya. Ilmu fardhu kifayah ialah ilmu yang wajib bagi sesuatu masyarakat. Mesti ada dalam kalangan anggota masyarakat tersebut yang mempelajarinya, barulah ahli masyarakat yang lain akan terlepas dari dosa.

Ilmu fardhu kifayah termasuklah juga ilmu-ilmu akademik seperti perubatan, kejuruteraan, perindustrian, perdagangan, pertanian, ketenteraan, perakaunan dan sebagainya. Ilmu agama lazimnya dinamakan ilmu akhirat. Ilmu akademik pula dinamakan ilmu dunia. Ada sesetengah pihak cenderung untuk menamakan ilmu akademik ini sebagai ilmu sekular. Ini sebenarnya kurang tepat.

Sekular atau tidaknya sesuatu ilmu itu bergantung kepada tujuan penggunaan dan matlamat pengamalnya dan bukan kepada jenis ilmu itu sendiri. Ilmu sekular ertinya ilmu yang khusus digunakan untuk tujuan dunia semata-mata tanpa ada apa-apa kaitan langsung dengan akhirat. Ilmu agama sekalipun, kalau tujuan penggunaan dan matlamatnya adalah untuk dunia semata-mata seperti untuk dipuji, disanjung, dimuliakan, untuk mendapat kerja dan jawatan dan sebagainya, maka jadi sekularlah ilmu itu.

Sebaliknya, kalau ilmu dunia digunakan dengan tujuan untuk berbakti dan mendapat keredhaan Allah SWT dan menepati pula syarat-syarat sebagai suatu ibadah, maka ia tidak boleh dianggap sebagai ilmu sekular kerana ada nilai akhiratnya. 

Ilmu Sunat dan Ilmu Harus 

Kalau sudah ada ahli masyarakat yang mempunyai ilmu fardhu kifayah yang cukup, maka bolehlah ahli masyarakat yang lain mempelajari ilmu yang sunat atau yang harus. Ilmu-ilmu yang sunat termasuklah ilmu bahasa, sejarah dan seumpamanya. Ilmu yang harus pula termasuklah ilmu melukis, sastera dan sebagainya. Sepertimana yang disebut di atas tadi, ilmu yang harus ini juga kalau menepati syarat-syaratnya maka ia juga boleh menjadi ilmu yang bernilai akhirat. 

Ilmu Haram 

Ilmu yang haram ialah ilmu yang ditegah kita mempelajarinya seperti ilmu sihir.

Perlunya Mengikut Tertib 

Antara sebab rosaknya masyarakat dan anak-anak muda kita hari ini ialah kerana mencari ilmu yang tidak mengikut tertibnya. Sebelum mereka mengenal Tuhan dan sebelum jiwa mereka diisi dengan akidah dan ketauhidan melalui pendidikan fardhu ain, mereka didedahkan dengan ilmu-ilmu akademik yang tidak mengandungi apa-apa nilai pendidikan atau tarbiah.

Di samping itu, mereka juga terdedah kepada berbagai-bagai pengaruh liar seperti rock, metal, rap, dadah, pergaulan bebas dan sebagainya, sama ada di dalam mahupun di luar sekolah. Disebabkan jiwa mereka kosong, pengaruh-pengaruh tersebut terus meresap masuk ke dalam hati mereka.

Mereka tidak disediakan untuk menghadapi pengaruh-pengaruh jahat seperti ini. Mereka tidak diberi imuniti atau pelalian dari pengaruh-pengaruh yang merosakkan ini. Kita biasanya sibuk memberikan anak-anak kita suntikan imuniti atau pelalian dari berbagai-bagai penyakit seperti batuk kokol, difteria, polio dan cacar, tetapi kita ambil ringan tentang kerosakan akidah, akhlak, peribadi dan kemanusiaan mereka. Walhal kerosakan akidah dan akhlak ini neraka padahnya.

Ilmu dunia itu sifatnya seperti pisau. Kalau digunakan untuk kebaikan maka baiklah jadinya. Kalau dihalakan kepada kejahatan maka jahatlah jadinya. Segala bentuk ilmu dunia boleh dijadikan modal atau alat untuk berbuat baik ataupun untuk berbuat jahat.

Oleh itu untuk mengelak dari berlakunya kerosakan dan bala bencana, manusia yang hendak diberi ilmu dunia ini mestilah dari kalangan orang-orang yang baik, yang kenal dan beriman kepada Tuhan, yang berakhlak dan yang bertanggungjawab. Kalau tidak, mereka akan gunakan ilmu, kepandaian dan kemahiran mereka untuk membuat kerosakan, untuk memutar belit, untuk menipu dan untuk memuaskan hawa nafsu mereka. Lagi banyak ilmu dan kepandaian yang ada pada mereka, lagi besarlah kerosakan yang akan mereka lakukan.

Sepertimana yang berlaku kepada anggota-anggota keselamatan seperti polis dan tentera, perkara utama yang ditekankan dan dididik sebelum mereka dibenarkan memegang senjata api ialah disiplin dan tata tertib. Hanya dengan disiplin dan tata tertib barulah senjata api di tangan anggota-anggota keselamatan itu dapat digunakan untuk menjaga keamanan dan mempertahankan kedaulatan negara.

Kalau orang yang tidak ada disiplin diberi senjata api, ini sangat berbahaya. Begitulah juga orang yang mempunyai banyak ilmu dunia tetapi jahat dan tidak kenal Tuhan. Mereka ini juga berbahaya.

Justeru itu, tertib dalam mencari ilmu seperti yang digariskan oleh Imam Al-Ghazali ini perlu dititikberatkan. Ia perlu diserapkan ke dalam sistem pendidikan kita. Anak-anak mesti mengenali Tuhan terlebih dahulu sebelum mereka mengenali perkara-perkara lain. Barulah mereka tidak mudah terpengaruh dengan perkara-perkara yang menyeleweng.

Barulah segala ilmu yang dipelajari dapat dijadikan alat untuk berbakti dan meninggikan kalimah Tuhan. Kalau tidak, manusia akan menggunakan ilmu untuk kejahatan dan untuk melawan Tuhan. Lebih dahsyat lagi, mereka akan ‘menyembah’ dan bertuhankan ilmu. 

TARBIYAH ISLAMIYAH MENGUATKAN UMAT ISLAM DARI SERANGAN VIRUS QUTSA’

SMAHADZIR

‘SESUNGGUHNYA Allah SWT telah memberi anugerah kepada orang-orang yang beriman ketika Allah mengutus di antara mereka seorang Rasul dari golongan mereka sendiri yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, membersihkan (jiwa) mereka, dan mengajarkan kepada mereka Al-Kitab dan Al-Hikmah. dan sesungguhnya sebelum kedatangan Nabi itu, mereka adalah benar-benar dalam kesesatan yang nyata.’ (surah Ali ‘Imran: 164 )

Menurut teks ayat di atas, bahawa manusia berpotensi untuk tersesat dari kehidupan yang sebenarnya. Mereka hidup tanpa konsep yang benar dan tanpa arah. Sehingga Allah SWT mengutus seorang Rasul untuk membawa manusia kepada petunjuk dan hidup yang terarah. Sebelum kedatangan Rasulullah SAW, masyarakat Arab dikenali sebagai masyarakat jahiliyah (tidak ma’rifah kepada Allah SWT dan manhaj yang benar). Beberapa ciri masyarakat jahiliyah adalah seperti berikut:

1. Tidak Bersatu, Sering Berperang

Masyarakat jahiliyah amat sering berperang, kesombongan, kedengkian, keserakahan dan kebanggaan kelompok seringkali menjadi penyulut api peperangan. Kehidupan masyarakat penuh dengan gejolak, tanpa ada ketenteraman dan kedamaian kerana perselisihan dan peperangan boleh terjadi waktu sahaja.

2. Hidup dalam Kemiskinan

Ekonomi masyarakat pada masa jahiliyah sangat rapuh. Meski perdagangan mereka sampai ke taraf eksport-import dan negeri mereka banyak menyimpan kekayaan alam, namun kemiskinan dan kesenjangan sosial sangat ketara. Hal ini disebabkan adanya sistem monopoli dan riba yang membudaya. dan riba tidak dapat memberikan keberkahan dan kemakmuran.

3. Tidak Berilmu, Jahil atau Bodoh 

Masyarakat jahiliyah (dulu, sekarang dan yang akan datang) adalah masyarakat yang tidak berilmu, jahil atau bodoh dalam menentukan jalan hidup dan peraturan-peraturan yang berlaku dalam masyarakat. Mereka hanya menduga-duga dan mengikuti ajaran nenek moyang dahulu. Beberapa contoh tingkah-laku tidak berilmu, jahil atau bodoh yang dilakukan oleh masyarakat jahiliyah ialah:

1.     Menjadikan berhala-berhala yang mereka buat sendiri sebagai sembahan. Akal sihat mereka sendiri sebenarnya menentang hal ini, namun kerana budaya yang sudah melekat, mereka tetap melakukannya.

2.     Tukar menukar isteri. Dua keluarga dapat mempertukarkan isteri mereka masing-masing. Si isteri harus mahu kerana itu merupakan aturan yang berlaku di dalam masyarakat.

3.     Poliandri yang bebas. Seorang wanita mempunyai banyak pasangan. Pelacuran berkembang pesat, dan sebagai akibatnya lahirlah bayi-bayi tanpa ayah yang jelas.

4.     Pembunuhan terhadap bayi-bayi perempuan. Masyarakat jahiliyah amat merendahkan golongan wanita. Bagi mereka yang memiliki bayi perempuan akan merasa malu dan segera mengubur bayi tersebut hidup-hidup untuk menutup aibnya.

4. Lemah, tiada Harga Diri, Terhina

Kerana selalu diliputi peperangan antara suku dan ekonomi yang tempang, maka masyarakat jahiliyah menjadi masyarakat yang lemah, yang tidak ada harga diri. Mereka dipandang sebelah mata oleh bangsa yang kuat, negara kuasa besar menganggap mereka bangsa yang bodoh, sebagai bangsa yang hina yang mudah dihancurkan bila-bila masa saja.

Keadaan yang demikianlah yang diungkap ayat di atas sebagai kesesatan yang nyata dan itulah inti dari jahiliyah (Al-Quran surah 62/3). Di tengah-tengah keadaan seperti itu Allah SWT menurunkan Rasul-Nya untuk mengubah dan membimbing masyarakat jahiliyah menjadi masyarakat Islamiyah. Rasulullah SAW memikul tugas sebagai seorang pembina umat (murobbi dan da’i) dengan langkah-langkah seperti berikut:

a. Tilawah

Melalui tilawah seseorang akan berinteraksi dengan kalam Allah SWT. dari tilawah lisan, mata (bagi yang dapat melihat) dan hati mendapat sentuhan bimbingan Rabbani. Tilawah yang disertai dengan tadabbur yang khusyuk dapat mempertajamkan pandangan yang sudah tumpul, memusnahkan pandangan-pandangan yang sempit dan mengubati hati yang sedang sakitt (spiritual dan moral). Seseorang yang konsisten membaca Al-Quran dengan taddabur, maka akan terbukalah belenggu-belenggu yang memborgol hati dan akan terpancar pula cahaya Al-Quran di dalam jiwa.

b. Membersihkan Jiwa

Menyedarkan apa yang dilakukan oleh masyarakat jahiliyah selama ini adalah salah dan membersihkan jiwa mereka dari syirik, dengki, dendam dan penyakit maksiat lainnya. Di samping itu menanamkan kesedaran dan semangat iman kepada Allah SWT, semangat ibadah yang sah dan berakhlak mulia.

c. Mengajarkan Al-Kitab dan Al-Hikmah

Setelah jiwa mereka bersih, maka Rasul menanamkan nilai-nilai yang terdapat dalam Al-Quran, memberi contoh cara melaksanakannya, dan mengamati secara cermat perkembangan masyarakat yang dibinanya.

Keseluruhan proses di atas itulah yang disebut dengan nama tarbiyah. Hasil dari tarbiyah ini adalah terbentuknya individu-individu muslim yang terwarnai nilai-nilai Qur’ani secara menyeluruh. dengan tarbiyah itu manusia mendapat nikmat, anugerah yang dapat menghantarnya menuju khoiru ummah. Adapun ciri-ciri khoiru ummah adalah seperti berikut:

1. Memiliki harga diri yang disegani

Pada masa itu masyarakat Islam menjadi pemimpin dunia, suara mereka amat berpengaruh dan diambil kira oleh musuh. Bahkan nama-nama seperti Umar bin Khattab, Ali bin Abi Thalib dan lain-lain lagi adalah nama-nama yang cukup disegani.

2. Kaya

Kerana memang pada dasarnya negeri muslim adalah negeri yang kaya, maka ketika monopoli dan riba dihilangkan maka kemakmuran dirasakan oleh seluruh lapisan masyarakat. Orang kaya yang sewenang-wenang akan diambil tindakan. Zakat sebagai tiang ekonomi yang dapat memberdayakan masyarakat luas.

3. Persaudaraan

Masyarakat hasil tarbiyah Rasulullah SAW adalah masyarakat yang tidak membeza-bezakan bangsa, warna kulit, bahasa, dan kedudukan. Lantaran itu terdapat persaudaraan yang erat dalam masyarakat, sebuah persaudaraan yang hakiki dan abadi.

4. Pandai

Kemajuan peradaban dunia dipelopori oleh masyarakat Islam. Masyarakat Islam amat cenderung mengkaji ilmu pengetahuan kerana dimotivasi dan berpijak kepada Al-Quran. Ibnu Rusyd, Ibnu Khaldun dan Ibnu Sina adalah beberapa di antara sekian ramai ilmuwan Islam.

Sekarang ini merupakan zaman globalisasi. Rasulullah SAW sudah tidak ada, tetapi peranan tarbiyah tetap memegang tugasan penting, setidak-tidaknya ada 3 aspek yang menguatkan betapa pentingnya tarbiyah Islamiyah dalam kehidupan manusia iaitu: 

Pertama:

Dalaman ajaran Islam, Rasulullah SAW diutuskan untuk membina dan mengarahkan manusia untuk keluar dari jahiliyah menuju kehidupan yang islami dan Rabbani (surah2/257)

Kedua:

Hakikat jiwa menghadapi dua persoalan.

1. Dalaman: Fitrah jiwa yang pada dirinya terdapat:

Kecenderungan kepada takwa dan kecenderungan kepada kesesatan. Kecenderungan kepada takwa hanya dapat dibimbing melalui Al-Quran.

·     Sementara kecenderungan kepada kesesatan mendapatkan godaan dan rayuan syaitan, kecintaan dunia dan nafsu syahwat. untuk menghindari itu semua, maka diperlukan tarbiyah yang berfungsi mengarahkan, membangun, menjaga dan memelihara jiwa untuk senantiasa berhubungan dengan Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.

2. Luaran: Adanya musuh yang tidak hanya membuat perencanaan yang matang tetapi juga merealisasikan, yang keduanya adalah sebahagian langkah-langkah syaitan. untuk menangkal serangan musuh diperlukan kesedaran kolektif, dan tindakan terpadu (amal jama’i) sebab berbagai persoalan tidak akan mampu dipecahkan dan diselesaikan oleh seorang diri, sehebat atau sesoleh apapun dia.

Untuk itu Rasulullah SAW menekankan wajibnya berjemaah, ‘Barangsiapa menghendaki pelataran yang luas, maka komitmenlah dengan jemaah kerana syaitan suka dengan orang yang menyendiri sedangkan terhadap dua orang syaitan menjauh.’ (Hadis riwayat Tarmidzi, hasan sahih).

Akan tetapi amal jama’i dalam kalangan kaum muslimin tidak akan terjadi kecuali jika didahului dengan proses tarbiyah. Sering kita temui orang-orang berkumpul dalam sebuah yayasan, organisasi, atau politik; mereka tidak mampu beramal jama’i tetapi justeru terjadi perpecahan dan permusuhan. Sangat mungkin hal itu terjadi kerana tidak ada tarbiyah di dalamnya.

Ketiga:

Waqiul ummah (kenyataan masyarakat dewasa ini). Masyarakat dewasa ini telah diserang oleh sejenis virus yang mematikan iaitu virus buih (qutsa’) yang meringankan bobot masyarakat dan membiat umat tidak ada arus. yang menjadi penyebab virus qutsa’ ini adalah kecintaan kaum muslimin terhadap kehidupan dunia sekali gus membenci kematian. Virus qutsa’ ini menyebabkan kaum muslimin menjadi santapan yang nikmat bagi para musuh Allah SWT.

Untuk membunuh virus tersebut, diperlukan terapi (‘ilaj) yang namanya tarbiyah yang insya-Allah dapat menambah berat timbangan, bobot dan syaukah serta mendatangkan arus, sehingga dapat menghancurkan thaghut.

Pembinaan ini harus rutin dilakukan, sebab sesaat saja kita lengah, maka ketika itu juga syaitan dan pengikutnya akan mendorong kita untuk kembali ke lembah jahiliyah. Beberapa contoh perbuatan dalam masyarakat sekarang ini yang menunjukkan kemiripan bahkan lebih parah dari masyarakat jahiliyah adalah:

1.     Penyembahan terhadap berhala berupa keris, kuburan, jawatan, pangkat, wang dan sebagainya.

2.     Kalau pada zaman jahiliyah dulu hanya bayi perempuan yang dikuburkan, tetapi pada zaman sekarang bayi yang belum diketahui laki-laki atau perempuan dibunuh hanya kerana mahu menutup aib dari perbuatan bejat orang tuanya.

3.     Pelacuran pada zaman sekarang lebih hebat dan lebih canggih. Di samping diberikan kebenaan operasinya, juga tempat dan fasilitinya. dan yang lebih hebat lagi pelacuran ini melibatkan anak-anak remaja bahkan laki-laki sebagai pelakunya.

4.     Pergaulan bebas remaja-remaja usia sekolah menengah yang semakin menyemarak.

5.     Perjudian pada zaman sekarang dikemas rapi. Pelakunya tidak merasa berjudi bahkan menjadi bangga kerana dicap sebagai seorang dermawan.

6.     Kenyataan lain adalah mudahnya masyarakat Islam dipecah-pecah oleh bangsa atau masyarakat lain.

Persoalan tarbiyah bukanlah persoalan ‘boleh atau tidak boleh. Sebab kalau disebut ‘boleh, maka semua orang boleh mendengar ayat Al-Quran, boleh menyemak ketika diajarkan Al-Kitab dan Al-Hikmah dan boleh menahan diri untuk meninggalkan perbuatan yang mengotori jiwa.

Persoalan tarbiyah bukan sekadar hanya di situ saja tetapi persoalan tarbiyah adalah persoalan ‘mahu atau tidak mahu’. Betapapun orang boleh mendengar, menyemak dan mengamalkan Al-Quran tetapi kalau orang tersebut tidak mempunyai kemahuan yang kuat, maka proses pembinaan tidak akan berjalan.

‘Sebaik-baik kalian adalah yang belajar Al-Quran dan mengamalkannya.’ (Al-Hadis)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA