Khamis, 12 September 2013

Kemuliaan Wanita Solehah


SMAHADZIR

TITIK permulaan segala sesuatu di sisi kita ialah menghidupkan umat Islam dengan ilmu dan tarbiyah Islamiyyah. Secara mudah, lelaki soleh dan wanita solehah adalah mereka yang bersedia memenuhi segala tuntutan Islam ke atas mereka. Dua elemen inilah yang akan membentuk sebuah unit yang dinamakan keluarga. Keluarga pada fitrahnya adalah unit asas dalam sesebuah masyarakat dan merupakan unit yang paling penting dalam sesebuah masyarakat.

Dinyatakan di dalam kitab Fiqh al Sunnah bahawa Imam Tarmizi dan Imam Ibnu Majah meriwayatkan sabda Rasulullah s.a.w mengenai ayat 34 surah at-Taubah semasa dalam satu perjalanan Rasulullah s.a.w bersama para sahabat, maka sebahagian para sahabat berkata: “Telah ada ayat yang turun mengenai harta dan perak, maka sekiranya diketahui bahawa ada yang lain yang lebih utama maka kami akan mengambilnya.” Rasulullah bersabda: “Lidah yang selalu berzikir, hati yang sentiasa bersyukur dan isteri mukminah yang mengukuhkan iman suaminya.”

Rasulullah s.a.w bersabda lagi: “Bagi mukmin, tidak ada hal yang terlebih baik sesudah bertakwa kepada Allah selain mendapat isteri yang solehah.” Rasulullah s.a.w juga bersabda: “Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik berhiasan adalah wanita solehah.”

Di dalam satu riwayat yang lain ada dinyatakan berkenaan perihal wanita solehah: “Apabila diperintahkan kepadanya, dia taat. Apabila melihat kepadanya akan menyenangkan. Apabila diberi janji, dia menerima dan apabila dia ditinggalkan, dia menjaga diri dan harta suaminya dengan baik.”

Sabda Rasulullah s.a.w: “Janganlah kamu berkahwin dengan perempuan kerana kecantikannya, barangkali kerana kecantikan itu membinasakannya. Janganlah kamu berkahwin kerana hartanya, barangkali kekayaannya itu menyebabkan dia derhaka, tetapi kahwinlah dengan perempuan kerana agamanya. Sesungguhnya perempuan yang tidak berhidung lagi budak adalah lebih baik (daripada yang lain).”

Jawapan Rasulullah s.a.w ketika ditanya oleh kaum Muslimat tentang jihad seharusnya dijadikan panduan bersama iaitu: “Sampaikanlah kepada perempuan-perempuan yang kamu temui bahawa taat kepada suami dan mengakui hak-haknya adalah sama dengannya (jihad di jalan Allah).”

Wanita solehah perlu mempersiapkan diri dengan ilmu Islam yang secukupnya kerana kecintaan kepada ilmu dan kesungguhan dalam menimba ilmu adalah merupakan sifat para wanita solehah sejak zaman Rasulullah s.a.w. Sejarah menceritakan bagaimana luasnya ilmu yang ada pada Saiyidatina Aisyah dan betapa dalamnya ilmu yang ada pada Zainab. Keperibadian mulia, sikap berani dalam membela hak dan menegakkan keadilan menjadi ciri-ciri yang menghiasi perbadi dan mewarnai hidup seorang wanita solehah seperti yang ditunjukkan oleh Khaulah binti Tha’labah.

Wanita solehah itu, sifat malu membenteng diri, pergaulan yang dipagari, kecantikan bukan berada pada wajahnya, kemanisan bukan berada pada kemanjaannya, kemanisan bicara tidak menjadi daya penariknya yang bisa menggoyah iman kaum Muslimin tetapi terletak pada perjuangannya menjaga dan memartabatkan agamanya. Kata orang, nafsu kata wanita cantik pada paras rupa, akal kata wanita cantik pada ilmu dan hati kata wanita cantik pada akhlaknya. Wanita solehah itu adalah yang menjaga kecantikan luaran dan mengutamakan kecantikan dalaman.

Wahai kaum lelaki, jangan terlalu mencari-cari dan menanti-nanti ‘si solehah’ yang diimpikan akan menjadi milik kita sebalik menjadikan diri kita benar-benar soleh serta sanggup memenuhi segala tuntutan Islam keatas kita adalah lebih utama. Sekiranya syarat ini dipenuhi pasti ‘si solehah’ yang diidamkan yang mencari dan menanti kita.

Wanita Solehah Idaman Lelaki

1. Kecantikan Dalaman

Wanita yang tulen adalah wanita yang lemah lembut dalam pewarakannya tetapi prinsip dan nilai hidupnya begitu agung dan tinggi merantai dirinya. Itulah kecantikan dalaman yang sukar ditandingi.

2. Keanak-anakan

Lelaki suka membela, menjaga, membimbing dan melindungi justeru mereka boleh berperanan menjadi pelindung kepada mereka. Keperibadian wanita yang manja keanak-anakan memang merupakan salah satu keindahannya namun tidaklah berkeanak-anakan yang melampau kerana akan menunjukkan bahawa diri wanita itu tidak matang.

3. Cantik

Nafsu mengatakan wanita cantik pada rupanya, AKAL mengatakan wanita cantik pada ilmu dan kepandaiannya, HATI mengatakan wanita itu cantik pada akhlaknya.

4. Berakhlak Mulia

“Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.” Sebagai ibu, terukir di paparan dada. Sebagai isteri, pengubat duka nan lara. Sebagai kekasih, dirindui saban ketika. Sebagai mujahidah, berdiri dibelakang mujahidin. Ciri-ciri wanita yang solehah, taat kepada Allah. Berbuat baik kepada ibu bapa. Sentiasa taat dan berkhidmat kepada suami dengan sepenuh hati. Menutup dan menjaga aurat. Tidak berhias apabila keluar rumah. Tidak keluar bersendirian atau bersama lelaki ajnabi kecuali bersama mahram. Berbuat baik dengan jiran tetangga. Suka mempunyai anak yang ramai dan berusaha untuk mendidik mereka.

5. Berpegang Pada Agama

“Dikahwini wanita itu kerana empat perkara iaitu: kecantikannya, hartanya, keturunannya, dan agamanya. Pilihlah yang paling beragama.”

6. Dari Keturunan Yang Baik-Baik

Seorang wanita yang dari keturunan yang baik-baik mudah diterima lelaki. Namun wanita yang berasal dari keturunan yang hina seperti anak zina atau sebagainya tidak wajar merasakan dirinya tidak layak menjadi wanita idaman. Islam mengangkat tinggi umatnya yang bertaubat dan sentiasa memperbaiki diri kerana takwa menjadi darjat kemuliaan di sisi Allah.

7. Bijaksana

Saiyidatina Aisyah r.a. merupakan seorang tokoh intelektual terbilang. Sebanyak 2,210 hadis sahih berjaya diriwayatkan selama 9 tahun hidup bersama Rasulullah s.a.w. Beliau merupakan fuqoha’ (ahli hukum) Madinah yang unggul dan juga berpengetahuan dalam bidang perubatan. Wanita idaman lelaki ialah wanita yang pandai tetapi tidak menunjuk-nunjuk pandai kerana ianya mencabar ego lelaki lalu menyebabkan lelaki menyampah terhadapnya.

8. Tidak Mempamerkan Keseksian

“Wanita yang berpakaian tetapi sebenarnya telanjang untuk mencari perhatian lelaki, yang melenggok-lenggokkan tubuhnya, yang kepalanya seperti punuk (bonggol) unta, mereka itu tidak akan masuk syurga.” (Hadis Riwayat Muslim)

9. Tidak Cerewet

Wanita yang cerewet boleh merimaskan lelaki dan mudah menyebabkan lelaki menyampah terhadapnya.

10. Memahami Lelaki

Contoh: Yang berlaku: “Itulah abang! Asyik bekerja saja. Mementingkan diri sendiri Tak ingat nak balik rumah Tak habis-habis layan kawan... kawan… kawan! Hal rumah ni takkan nak suruh saya buat sorang!” Yang sebenarnya berlaku: “Di pejabat, bos sambung meeting hingga pukul 7 malam. Singgah solat Maghrib di masjid. Ada penceramah idola. Dengar ceramah sehingga solat Isyak. Dalam perjalanan pulang, kawan lama telefon minta jumpa di warung ada hal penting katanya. Pukul 10 malam baru sampai di rumah.”

11. Tidak Terlampau Cemburu

“Tidak boleh iri hati melainkan dalam dua perkara iaitu seseorang yang telah dikurniakan Allah harta lalu dihabiskan dijalan Allah dan orang yang dikurniakan ilmu pengetahuan, lalu ia mengeluarkan hukum berpandukan ilmunya (Al-Quran dan Hadis) serta diajarkan kepada orang lain.” (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

12. Sejuk Mata Memandang

Bersopan-santun, sentiasa memaniskan muka. Sentiasa senyum. Menutup aurat. Ramah dan mesra. Menundukkan pandangan.

13. Pandai Menaikkan Semangat Dan Bermotivasi

Lelaki lebih tertarik untuk mencari wanita yang pandai menaikkan semangat dan bermotivasi ketika dia memerlukannya.

14. Canggih

Wanita yang pandai menyesuaikan diri dengan arus perkembangan semasa tetapi masih mengekalkan ciri-ciri wanita Islam yang berakhlak mulia dan menutup aurat.

15. Mempunyai Persamaan Yang Bermakna

Suatu hari, Imam Malik hairan melihat burung merpati dan gagak berkumpul bersama. Dengan spontan beliau berkata, “Kedua-duanya bersatu padahal jenisnya tidak sama.” Ketika burung itu terbang, beliau melihat kedua-duanya masih ada persamaan iaitu kedua-duanya cacat. Lalu beliau berkata, “Sebab itulah burung itu dapat bersatu.”

16. Pemaaf

Wanita yang suka mendahului meminta maaf walaupun dirinya tidak bersalah digambarkan mempunyai peribadi yang unggul dan mudah disayangi.

17. Seimbang

Seimbang dari sudut pergaulan, keagamaan, pengurusan diri, dan pengurusan masa.

18. Berkeyakinan Diri

Keyakinan diri merupakan satu sifat yang mampu menaikkan lagi semangat terutama dalam menguatkan kemimanan kepada Allah s.w.t.

19. Mempunyai ‘Body Language’ Yang Baik

Maksud ‘body language’ di sini adalah cara percakapan, kawalan diri di hadapan orang ramai dan sebagainya.

Darjat Wanita Solehah

  1. Doa wanita lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayang yang lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah s.a.w akan hal tersebut, jawab baginda: “Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia.”
  2. Semua orang akan dipanggil untuk melihat wajah Allah s.w.t di akhirat, tetapi Allah s.w.t akan datang sendiri kepada wanita yang memberati auratnya iaitu memakai purdah di dunia ini dengan istiqamah.
  3. Wanita yang solehah (baik) itu lebih baik daripada 70 orang lelaki yang soleh.
  4. Seorang wanita solehah adalah lebih baik daripada 70 orang wali.
  5. Seorang wanita jahat adalah lebih buruk dari daripada 1,000 lelaki jahat.
  6. Wanita yang menguli tepung dan gandum dengan kata-kata Bismillah, Allah s.w.t akan berkatkan rezekinya.
  7. Wanita yang menyapu lantai sambil berzikir akan mendapat pahala seperti menyapu lantai di Baitullah.
  8. Wanita yang memerah susu binatang dengan kata-kata Bismillah akan didoakan oleh binatang itu dengan doa keberkatan.
  9. Barang siapa yang menggembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang senantiasa menangis kerana takut akan Allah s.w.t dan orang yang takut akan Allah s.w.t diharamkan api neraka atas tubuhnya.
  10. Barang siapa yang membawa hadiah (barang makanan dari pasar ke rumah) lalu diberikan kepada keluarganya, maka pahalanya seperti bersedekah. Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka barang siapa menyukai anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail.
  11. Barang siapa mempunyai tiga orang anak perempuan atau tiga saudara perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan, lalu dia bersikap ihsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka dengan penuh rasa takwa serta bertanggungjawab, maka baginya adalah Syurga.
  12. Daripada Aisyah: “Barang siapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuannya, lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang daripada api Neraka.”
  13. Syurga itu di bawah telapak kaki ibu.
  14. Apabila memanggil engkau oleh dua orang ibu bapamu, maka jawablah panggilan ibumu terlebih dahulu.
  15. Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya, akan tertutup pintu Neraka dan terbuka pintu-pintu Syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang dia kehendaki tanpa dihisab.
  16. Wanita yang taat kepada suaminya, semua ikan-ikan di laut, burung di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan, semuanya beristighfar baginya selama mana dia taat kepada suaminya dan ditemaninya (serta menjaga solat dan puasa).
  17. Perempuan apabila bersolat lima waktu, puasa bulan Ramadhan, memelihara kehormatannya serta taat kepada suaminya, masuklah dia dari pintu Syurga mana saja yang dia kehendaki.
  18. Wanita yang melayani dengan baik suami yang pulang ke rumah di dalam keadaan letih akan mendapat pahala jihad.
  19. Jika wanita melayani suami tanpa khianat akan mendapat pahala 12 tahun solat.
  20. Aisyah r.a berkata: “Aku bertanya kepada Rasulullah, siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita? Jawab baginda, “Suaminya.” Siapa pula berhak terhadap lelaki? Jawab Rasulullah: “Ibunya.”
  21. Tiap perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka Allah s.w.t memasukkan dia ke dalam Syurga terlebih dahulu daripada suaminya (10,000 tahun).
  22. Wanita yang melihat suaminya dengan kasih sayang dan suami yang melihat isterinya dengan kasih sayang, akan dipandang Allah s.w.t dengan penuh rahmat.
  23. Jika wanita memicit suami tanpa disuruh akan mendapat pahala 7 tola emas, jika wanita memicit suami bila disuruh akan mendapatkan pahala 7 tola perak.
  24. Wanita yang meninggal dunia dengan keredhaan suaminya akan memasuki Syurga.
  25. Jika suami mengajar isterinya satu masalah akan mendapat pahala 80 tahun ibadah.
  26. Wanita yang menyebabkan suaminya keluar dan berjuang ke jalan Allah s.w.t dan kemudian menjaga adab rumah tangganya akan masuk Syurga 500 tahun lebih awal daripada suaminya, akan menjadi ketua 70,000 malaikat dan bidadari dan wanita itu akan dimandikan di dalam Syurga dan menunggu suaminya dengan menunggang kuda yang dibuat daripada yakut.
  27. Apabila seorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah s.w.t mencatatkan baginya setiap hari dengan 1,000 kebaikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahatan.
  28. Dua rakaat solat wanita yang hamil adalah lebih baik daripada 80 rakaat solat wanita yang tidak hamil.
  29. Wanita yang hamil akan mendapat pahala berpuasa pada siang hari.
  30. Wanita yang hamil akan mendapat pahala berpuasa pada malam hari.
  31. Apabila seseorang perempuan mulai sakit hendak bersalin, maka Allah s.w.t mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah s.w.t.
  32. Wanita yang bersalin akan mendapat pahala 70 tahun solat dan puasa dan setiap kesakitan pada satu uratnya Allah s.w.t mengurniakannya satu pahala haji.
  33. Apabila seorang perempuan melahirkan anak, keluarlah dia daripada dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.
  34. Sekiranya wanita mati dalam masa 40 hari selepas bersalin, dia akan dianggap sebagai mati syahid.
  35. Apabila telah lahir anak lalu disusui, maka bagi ibu itu setiap satu tegukan daripada susunya diberi satu kebajikan.
  36. Jika wanita menyusui anaknya sampai cukup waktu (2 1/2 tahun), maka malaikat-malaikat di langit akan khabarkan berita bahawa Syurga wajib baginya.
  37. Jika wanita memberi susu badannya kepada anaknya yang menangis, Allah s.w.t akan memberi pahala satu tahun solat dan puasa.
  38. Wanita yang memberi minum susu kepada anaknya daripada badannya akan dapat satu pahala dari pada tiap-tiap titik susu yang diberikannya.
  39. Apabila semalaman (ibu) tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah s.w.t memberinya pahala seperti memerdekakan 70 orang hamba dengan ikhlas untuk membela agama Allah s.w.t.
  40. Wanita yang tidak cukup tidur pada malam hari kerana menjaga anak yang sakit akan diampunkan oleh Allah s.w.t akan seluruh dosanya dan bila dia hiburkan hati anaknya Allah s.w.t memberi 12 tahun pahala ibadah.
  41. Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku (Rasulullah s.a.w) di dalam Syurga.

Wanita Solehah Permata Suami

Allah s.w.t mengurniakan keupayaan intelektual dan kognitif untuk berfikir kepada makhluk-Nya yang bergelar manusia. Dengan kemampuan itu, manusia diberikan kebebasan membuat pilihan, mahu taat dan patuh secara sukarela, atau mengingkari seruan mentauhidkan Allah s.w.t serta tahu akibatnya.

Kapasiti menggunakan akal dianugerahkan Allah s.w.t yang akan membezakan manusia dengan makhluk lain. Malaikat dikurniakan akal tanpa nafsu, menjadikan mereka makhluk paling taat serta tidak langsung membantah segala ketetapan dan perintah Allah s.w.t. Sementara haiwan melata diberikan nafsu tanpa keupayaan akal sofistikated, sehingga mereka hanya mampu bertindak menuruti keperluan nafsu syahwat semata-mata.

Individu yang memilih jalan ketakwaan, ketaatan dan keimanan akan mendapat kemenangan serta kejayaan besar. Sementara mereka yang memilih dengan penuh sedar jalan kefasikan, kemungkaran dan kemunafikan, akan menempa azab sengsara yang berkekalan.

Firman Allah s.w.t: “Demi jiwa (manusia) dan penyempurnaan (kejadiannya). Maka (Allah s.w.t) mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan dan yang membawa kepada ketakwaan. Sesungguhnya berjayalah orang yang menyucikan jiwanya: dan sesungguhnya hampalah orang yang mengotorinya.” (surah Asy-Syams, ayat 7-10)

Dengan penuh kasih sayang Allah s.w.t, diberikan petunjuk kepada manusia melalui perutusan para Rasul dan Nabi yang membawa kitab petunjuk, panduan menerangi jalan kehidupan. Maha adil Allah s.w.t yang memberikan peluang terbuka seluas-luasnya untuk manusia membuat pilihan mereka. Sesungguhnya Allah s.w.t Maha Berkuasa memaksa kita menyembah zat-Nya yang Maha Tinggi dan Mulia, namun Dia lebih suka hamba-Nya menyerahkan diri mereka serta kembali kepada-Nya dengan penuh keikhlasan dan kerelaan.

Tiada bezanya jalan ketaatan seorang wanita dan seorang lelaki yang mahu mencapai status soleh dan solehah di sisi Allah s.w.t. Mereka mestilah memastikan dua suntikan ini mampu dilaksanakan terlebih dulu. Pertama, menyuntik akal dengan ilmu pengetahuan yang sahih dan benar, manakala yang kedua, menyuntik hati dengan iman serta takwa kepada Allah s.w.t.

Seorang wanita mestilah mencapai tahap kecerdasan dan kecerdikan yang tinggi untuk meraih gelaran solehah. Dia akan mencari-cari dan mengutip semua permata ilmu berharga di mana saja dia menemuinya. Motivasi tinggi mendorong wanita solehah menggunakan potensi akal yang luar biasa dalam menentukan keputusan kritikal. Wanita solehah bukan seorang yang sekadar menurut membabi buta, perempuan biasa yang tiada minat kepada ilmu pengetahuan dan penambahbaikan diri.

Dia tidak boleh menumpang tuah suami atau bapanya yang tersohor dengan perilaku dan amalan soleh selama ini. Belum tentu dia boleh diterima secara automatik masuk ke Jannah Allah s.w.t kerana sudah puluhan tahun menjadi isteri mithali kepada suami yang terkenal soleh dan warak.

Wanita harus mampu menggerakkan akalnya dengan berfikiran kritis dan sentiasa menagih penjelasan bagi setiap yang kabur dan belum difahaminya. Akalnya tajam, pemerhatiannya mendalam dan kesimpulannya mengagumkan. Penuh keyakinan diri, wanita cerdik yang solehah mampu menganalisa situasi dengan objektif dan tidak semata-mata dipengaruhi emosi yang dangkal.

Dia menyedari tugas dan peranan sebagai khalifah Allah s.w.t di muka bumi ini memerlukannya keluar dari zon selesa, menjalankan fungsinya dengan efektif di samping memberi manfaat sebanyak mungkin kepada orang lain. Kepintaran wanita solehah menguruskan kehidupannya dan keluarga memberi nilai tambah yang tiada bandingannya kepada suami, anak serta keluarganya. Dia bijak membahagikan masa, ruang dan peluang 24 jam sehari semalam yang dikurniakan Allah s.w.t untuk kebajikan manusia yang lain.

Ayuh, tingkatkan keazaman di hati untuk menjadi wanita cerdik yang solehah, yang akan menjadi obor penerang kemajuan wanita Muslim, di mana juga mereka berada.

Kelebihan Untuk Wanita Solehah

Bila dikatakan bahawa para bidadari di syurga nanti kesemuanya jelita, terlalu rupawan serta serba-serbinya paling menarik, maka bagaimana pula dengan kedudukan kaum perempuan ‘Ahli Dunia’ akan muncul yang akan mengisi mahligai syurga kelak? Di dalam syurga kelak kaum perempuan ‘Ahli Dunia’ akan muncul jauh lebih rupawan dan menarik dari para bidadari itu sendiri. Wajah mereka lebih cantik dan jelita, kulit tubuh mereka lebih halus dan licin, demikian juga dengan perhiasan dan pakaian mereka jauh lebih menarik dan berharga dari perhiasan para bidadari di syurga.

Pada waktu yang sama kaum perempuan dari dunia yang menjadi pengisi taman syurga nanti dijadikan sebagai ketua bidadari bagi suami masing-masing. lnilah ganjaran yang paling bernilai untuk mereka di mana nanti mereka akan diberi tempat yang istimewa sesuai dengan kebajikan dan amal ibadat yang telah mereka kerjakan di dunia.

Kaum perempuan diberi kemuliaan dan tempat yang lebih tinggi dari para bidadari biasa di syurga lantaran mereka telah melalui berbagai-bagai ujian yang pahit dan manis serta telah pun bertungkus lumus beribadat kepada Allah s.w.t ketika hidupnya dulu. Di syurga nanti seorang perempuan yang telah bersuami akan terus kembali berpasangan dengan suami asalnya ketika di dunia dulu dan di sana nanti dialah yang bakal menjadi ketua para bidadari di mahligai suaminya.

Manakala bagi seorang yang telah berkatwin dengan lebih dari seorang lelaki ketika di dunia, maka di syurga nanti yang kelebihannya mereka akan di beri kebebasan untuk memilih salah satu dari lelaki yang pernah mereka kahwini dulu.

Perempuan-perempuan ini nanti akan tujuh puluh kali ganda lebih baik mutunya dari kemuliaannya daripada bidadari biasa di taman syurga. Dan seperti yang telah di nyatakan bahawa para penghuni taman syurga nanti tidak akan menghadapi masa yang gelap seperti malam. Sebaliknya di syurga nanti para penghuninya melalui hari-harinya seperti bertemu pagi dan petang dengan suatu nur ajaib menjadi cahaya yang bakal meliputi seluruh taman syurga.

Di dalam syurga itu kelak tidak akan berlaku sebarang kekecohan, pergaduhan, pertengkaran, sakit hati, hasad dengki dan berbagai-bagai lagi di kalangan para penghuninya yang ramai itu apa lagi di kalangan berpuluh orang bidadari yang menjadi isteri setiap seorang dari lelaki syurga.

Ini kerana segala bibit perasaan dengki, irihati, sombong, bongkak serta sesuatu yang seumpamanya dikikis dan dibersihkan dari hati para penghuninya. Maka aman dan damailah dan akan sentiasa bergemerlapanlah perkampungan syurga setiap saat. Apabila lelaki yang beruntung mula dihantar ke mahligai masing-masing di perkampungan syurga maka akan menunggulah para bidadari yang bakal menjadi isteri masing-masing di pintu mahligai itu dengan kerinduan yang amat sangat.

Akan berkatalah para bidadari itu ketika menyambut suami mereka pada hari pertemuan paling bererti di syurga nanti. Terlalu lama kami menunggu kedatanganmu. Kami sentiasa riang dan tidak pernah bersedih. Kami sentiasa lurus dan tidak pernah berlaku serong, kami juga hidup dan tidak pemah mati. Mata bidadari itu mengerdip redup dan manis dan tidak henti-henti menatap wajah suami masing-masing dengan hati yang penuh kerinduan. Berkatalah lagi para bidadari itu, “Engkau adalah kekasih kami. Dan kami adalah kekasihmu dan kami juga tidak mengenal orang lain selain darimu.”

Demikianlah suci dan bersihnya cinta dan kasih para bidadari di taman syurga terhadap suami masing-masing. Cinta mereka sentiasa tidak berbelah bagi, mereka tidak akan terpikat dengan lelaki lain meskipun semuanya tampan dan bergaya. Suami kepada para bidadari itu telah ditentukan awal-awal lagi. Mereka sudah tahu siapakah bakal suami mereka di akhirat kelak. Mereka mulai mengenal suami masing-masing sejak kelahiran lelaki berkenaan di dunia lagi. Apa yang berlaku ke atas diri lelaki tadi sentiasa di perhatikan oleh para bidadari ini yang tidak sabar menunggu saat pertemuan yang paling bererti di Syurga nanti.

Apabila seorang isteri di dunia menyakiti hati suaminya dan menyebabkan suami tersebut tersinggung atau marah maka akan segeralah para bidadari di syurga yang bakal menjadi isteri kepada suami dengan berkata: “Janganlah engkau menyakiti dia kerana ini akan menyebabkan kepada kemarahan Allah s.w.t ke atasmu. Di sisimu cuma untuk sementara sahaja sebab di akhirat nanti yang menjadi suami kami pula.”

Di syurga nanti kaum lelaki yang menjadi penghulu dan raja di mahligai masing-masing akan menghadapi tempoh perkahwinan dan perkelaminan yang paling nikmat dan lazat.

Perkelaminan mereka tidak akan pernah digugat oleh perasaan resah dan tenaga yang melemahkan, tanpa dihambat oleh perasaan bimbang kerana mungkin akan memperolehi anak yang ramai lantaran mereka tidak akan beranak lagi di syurga nanti. Kemewahan, kebahagiaan dan kesejahterasan para penghuni syurga menghadapi suatu kehidupan yang sebenar dengan kesenangan yang tidak pernah susut mahupun berkurangan iaitu suatu kehidupan yang kekal abadi.


lnilah taman syurga untuk manusia yang mahu berfikir dan menggunakan akalnya kepada perkara-perkara yang kebajikan dan di redhai oleh Allah s.w.t. Dan syurga itu sendiri bukanlah untuk golongan manusia yang melampaui batas dalam kehidupan mereka setiap hari ketika di dunia. 

Ilmu Dan Wanita Solehah


SMAHADZIR

SESUNGGUHNYA dalam hal ilmu atau menuntut ilmu, Islam tidak membezakan antara lelaki dan wanita. Wanita juga diperintahkan agar membekalkan diri mereka dengan ilmu yang bermanfaat, yang dapat mendorongnya sehingga mengenal Allah dan agama-Nya. Rasulullah s.a.w bersabda, “Menuntut ilmu adalah fardhu setiap Muslim.” (hadis riwayat Thabrani)

Perkara ini terungkap dalam sabda-sabda Baginda s.a.w yang lain. Baginda s.a.w bersabda, “Sesiapa lelaki yang mempunyai hamba sahaya wanita lalu ia mengajarnya dan membaguskan pengajarannya dan adabnya serta mendidiknya kemudian mengahwinkannya, maka baginya dua pahala.” (hadis riwayat Abu Daud).

Rasulullah s.a.w bersabda lagi, “Barangsiapa yang memilki tiga saudara perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan lalu mereka dididik dengan adabnya, berbuat baik kepadanya dan sampai mereka dinikahkan, maka baginya syurga.” (hadis riwayat Abu Daud)

Saiyidina Ali Bin Abi Thalib r.a. berkata, “Sebaik-baik wanita adalah wanita-wanita Ansar. Mereka tidak malu mempelajari dan mendalami pemahaman agama.” (Abdur Razak)

Rasulullah s.a.w sentiasa mengkhususkan pada hari-hari tertentu untuk mengajar kaum wanita mengenai hukum-hukum agama. Sehingga kaum wanita juga dapat belajar dan mengajar sesama wanita. Kerana ada satu masa di mana Rasulullah s.a.w pun merasa malu untuk menjelaskan beberapa hukum agama yang khusus bagi wanita. Maka di situlah kaum wanita berperanan untuk saling belajar dan mengajar. Sehingga tidak timbul fitnah dalam ajar mengajar. (hadis riwayat Bukhari, Muslim).

A’isyah r.a berkata, Ada seorang wanita bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang bagaimna cara mandi sesudah bersih dari haidh. Lalu Rasulullah s.a.w menyuruh wanita itu memperagakannya dan berkata, “Ambillah wangian itu dan sucikanlah ia.” Wanita itu bertanya lagi, “Bagaimana caranya?” Rasulullah s.a.w menjawab, “Ya pakai saja.” Wanita itu nampaknya belum puas dengan jawapan Rasulullah s.a.w, jadi dia bertanya lagi, “Bagaimana caranya, ya Rasulullah?” Rasulullah s.a.w menjawab, “Subhaanallah, ya pakai saja!” Selanjutnya baginda s.a.w memanggil aku untuk menggantikan Baginda dalam menjelaskan hal ini.” (hadis riwayat Bukhari, Muslim)

Ibnu Hazm menjelaskan persekutuan wanita dengan lelaki dalam mencari ilmu, berkata, “Setiap Muslim yang sudah baligh dan berakal, lelaki dan wanita, orang merdeka dan hamba sahaya, adalah wajib. Tidak seorang pun dari kaum Muslimin yang menyanggahnya bahawa ia harus mengetahui mana yang halal dan mana yang haram bagi dirinya, siapa pun ia. Mereka semua diwajibkan adil dalam proses belajar. Seorang imam dapat memaksa para wanita dan wanita yang ‘terpandang’ sekalipun agar belajar sendiri atau memberi peluang kepada mereka untuk belajar. Imam juga layak bertegas dalam hal ini serta mengatur orang-orang untuk mengajar orang lain yang masih jahil.”

Wanita Berhak Menuntut Ilmu 

Sabda Rasulullah s.a.w. ”Dunia ini adalah kesenangan dan sebaik-baik kesenangan ialah wanita yang solehah.” (Riwayat Muslim dan An-Nasa’ei)

Wanita yang solehah ialah wanita yanbg berpendidikan baik dan berakhlak mulia sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. Sekiranya wanita tidak diberikan pendidikan yang sewajarnya, amat sukar sekali hendak menjadikan mereka sebagai wanita solehah sebagaimana yang diharapkan. 

Sejarah telah membuktikan bagaimana seorang ibu telah dapat membakar semangat perjuangan ke dalam anak lelakinya. Wanita tersebut ialah Asma Binti Abu Bakar. Asma telah memberi perangsang kepada anaknya ketika pertempuran sengit berlaku di antara Abdullah bin Zubir (anak lelakinya) dan tentera-tentera Yazid bin Mu’awiyah. Di antara kata perangsang yang diucapkan oleh Asma kepada anaknya itu ialah, ”Hai anakku, jika engkau yakin bahawa engkau di atas kebenaran yang engkau seru maka teruskanlah dan janganlah sekali-kali engkau biarkan tengkukmu dipermain-mainkan olah hamba-hamba Bani Umaiyah. Akan tetapi, jika engkau mengkehendaki keduniaan, maka alangkah celakanya engkau sabagai hamba Allah dan dengan demikian engkaulah sendiri yang menghancurkan diri sendiri dan orang-orang yang bersama-sama itu. Akan tetapi, jika engkau berkata, ‘Aku berada di atas kebenaran tetapi apabila sahabat-sahabatku menjadi lemah semangat maka aku pun turut lemah semangat.’ Maka sikap seperti ini bukanlah sikap orang-orang yang merdeka, malah bukan sikap orang yang berkebajikan kerana berapa lama sangatkah hidupmu di dunia, hai anak Zubir. Demi Allah! Dipancung dengan pedang dalam kemuliaan lebih baik bagiku dari pukulan cemeti dalam kehinaan.” Abdullah Bin Zubir meneruskan perjuangan dan akhirnya beliau gugur sebagai seorang syahid. 

Begitu juga isteri Saiyidina Ali r.a. iaitu Saiyidatina Fatimah Az-Zahrah telah dapat mendidik kedua-dua orang anaknya iaitu Hasan dan Husin sehingga mereka akhirnya menjadi orang yang mulia di sisi Allah s.w.t. Kedua-dua wanita yang sepatutnya dicontohi oleh generasi wanita Islam hari ini adalah terdidik dalam suasana Islam dan hidup mengikut tuntutan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. 

Wanita-wanita yang tidak mendapat didikan Islam yang sempurna tidak mungkin dapat memberikan contoh yang sedemikian rupa. Begitulah pentingnya ilmu pengetahuan Islam dan pendididkan bagi kaum wanita kerana mereka adalah institusi pendidikan bagi anak-anak mereka. 

Kepentingan Menuntut Ilmu

Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya seorang wanita itu dicipta dari tulang rusuk. Sekali-kali ia tidak akan lurus bagimu di atas satu jalur. Jika engkau bersenang-senang dengan wanita maka engkau akan mendapatkannya sedangkan pada dirinya tetap ada bengkok.” (hadis riwayat Muslim)

Syeikh Abu Muhammad Jibril menyatakan bahawa dari penyelidikan para ahli ilmu jiwa dan menurut kenyataannya bahawa wanita, meskipun ianya telah dewasa namun tingkah lakunya masih seperti anak-anak, tabiat manja dan suka merajuk selalu ada padanya. Selanjutnya beliau berkata selain sifat suka merajuk, mudah menangis dan putus asa.

Wanita mempunyai sifat hiba hati yang sangat dalam, pendiriannya mudah berubah dan ketabahannya mudah goyah. Kerana sifat-sifat itulah. kaum waita wajib dididik, di ajar dan diberi bimbingan yang cukup. Jika tidak memperolehi bimbingan yang memadai bahaya akan datang segenap lingkungan masyarakat dan kerosakan pun akan terjadi di mana-mana akibat kebodohan mereka. Sebab pada hakikatnya wanita itu adalah fitnah dan ujian terbesar, juga sumber kerosakan yang dasyat jika tidak diiringi dengan iman dan ilmu yang baik.

Dalam hal ini, para suami juga bertanggungjawab untuk memberi pengajaran, pengetahuan agama kepada isterinya. Syeikh Ibnu Abdullah berkata: “Jikalau isteri mengabaikan hukum dari hukum-hukum haid dan istihadhah dan lelaki-lelaki tidak mengajarkannya, maka lelaki-lelaki terseut keluar bersama dengan isterinya dan ia bersekutu dalam dosa.”

Ilmu Yang Wajib Dituntut

Firman Allah s.w.t: “Maka ketahuilah bahawasanya tiada Tuhan selain Dia.” (surah Muhammad: 19)

Hendaklah difahami bahawa yang diwajibkan untuk dipelajari bagi kaum Muslimin dan Muslimaat adalah ilmu agama. Imam Al-Ghazali r.a menuliskan bahawa jika seseorang yang sudah baligh, maka pertama sekali wajib baginya mempelajari dua kalimah syahadah dan memahaminya. Wajib baginya mengenal Allah s.w.t, siapa Allah, bagaimana sifat dan kebesaran Allah s.w.t. Kemudian apa-apa ilmu yang untuk mentaati Allah s.w.t.

Contohnya, jika sampai waktu solat maka wajib baginya belajar tentang solat. Jika tiba bulan Ramadhan maka wajib baginya mempelajari tentang Puasa. Jika akan berangkat haji, maka wajib baginya belajar tentang haji. Jikandia memilki harta, maka wajib ke atasnya mempelajari tentang zakat. Setelah ilmu-ilmu fardhu ini sudah sempurna ia pelajari, maka wajib baginya untuk mempelajari sunnah-sunnah Rasulullah s.a.w. Apabila ini pun sudah dipelajari, barulah ia boleh belajar hal-hal yang lainnya.

Urutan ilmu pengetahuan yang harus diketahui oleh seseorang wanita solehah adalah seperti berikut:

1)     Ilmu Tauhid dan permasaalahan agama
2)     Ilmu Sunnah dan Adab
3)     Ilmu Mu’ammalah sesama manusia, terutama bagaimana berbakti kepada suami, orang tua, tarbiyyah kepada anak-anak dan sebagainya
4)     Ilmu-ilmu lain yang bermanfaat bagi kehidupan dunia dan akhirat.

Dr Abdullah Nasih Ulwan juga menyatakan bahawa wanita wajib mempelajari keterampilan yang sesuai dengan tugas dan specialist-nya sebagai ibu dan isteri. Tetapi sayang yang terjadi di saat in iadalah kaum wanita (bahkan juga kaum lelaki) meremehkan ilmu-ilmu agama dan menganggap bahawa belajar ilmu agama adalah sia-sia. Ilmu pengetahuan dan teknologi dianggap satu kehebatan yang luar biasa. Ini adalah satu ‘tipuan’ yang melanda umat ini. Maka diharapkan dari wanita-wanita solehah agar dapat mengidupkan kembali semangat ilmu agama.

Etika Wanita Dalam Menuntut Ilmu

Takwa adalah modal utama. Firman Allah s.w.t: “Bertakwalah kamu kepada Allah, nescaya Allah akan mengajarimu.” (surah Al Baqarah: 282)

Dengan menjaga diri dalam garis-garis ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya, maka secara automatik akan menambah keilmuan dan pengetahuan dalam masaalah agama. Ilmu yang diiringi dengan ketakwaan akan mendekatkan diri dengan Allah s.w.t.

Utamakan Belajar Daripada Mahram

Di sinilah manfaat dan kepentingan menghidupkan majlis taklim di dalam rumah. Dengan taklim bererti kita telah menjadikan rumah sebagai ‘asas’ madrasah bagi keluarga. Salah satu manfaat daripada taklim, bagi kaum lelaki di masjid, apabila mereka (para suami) pulang ke rumah masing-masing dapat mengajar isteri-isteri mereka daripada apa-apa yang telah mereka pelajari dari taklim di masjid-masjid mereka.

Dengan ini dorongan isteri kepada suami untuk meluangkan masa mempelajari agama adalah sangat penting sekali, sebagaimana dorongan isteri kepada suami dalam mencari nafkah.

Jika terpaksa sekalipun untuk keluar mencari ilmu haruslah dijaga dalam batas-batas ketakwaan dan dengan redha daripada suami. Ibnu Abdullah berkata, “Manakala isteri belajar dari fardu-fardu yang wajib atas dirinya maka ia tidak berhak untuk keluar ke majlis lelaki dan tidak berhak untuk belajar keutamaan kecuali dengan redhanya (suami).”

Hijab Antara Bukan Mahram

Ini adalah suatu hal yang sangat penting dalam pendidikan wanita. Demikianlah yang dicontohi oleh para solehiin dulu dalam mencari ilmu. Diriwayatkan bahawa jika sesudah salam dari solatnya, maka Rasulullah s.a.w berdiam beberapa saat. Dan jemaah pada masa itu mengetahui akan sikap Baginda s.a.w ini, yang dimaksudkan agar wanita keluar lebih dahulu sebelum lelaki. Diriwayatkan bahawa Masjid Nabawi mempunyai pintu khusus bagi wanita dan Umar r.a melarang kaum lelaki masuk dari pintu-pintu ini.

Kewajiban menuntut ilmu adalah sama sengan lelaki tetapi cara dan sistemnya jelas berbeza bagi kaum wanita. Bukan seperti yang dicontohkan oleh ‘Penghancur Islam.’ Dr Anwar Jundi mengatakan bahawa sistem belajar telah diatur sedemikian rupa oleh Islam dijadikan sasaran propaganda ‘busuk’ oleh kalangan musuh-musuh Barat yang tidak senang terhadap Islam. Mereka meneriakkan dengan lantang, bahawa sistem belajar seperti ini hanya mengongkong kaum wanita, mengurangi kebebasan.

Oleh kerana itu mereka meniupkan propaganda busuknya ke telinga kaum Muslimaat agar merosakkan tata aturan Islam yang telah sempurna tersebut. Salah satu daripada propaganda mereka adalah dengan mencampurkan lelaki dan perempuan dalam satu ruamg dalam pendidikan.

Imam al-Qabisi di makalahnya tentang pendidikan berpendapat bahawa walaupun Islam memberikan kebebasan kepada kaum wanita untuk menuntut ilmu seperti kaum lelaki tetapi dalam praktik pengajarannya mesti dijauhkan dari kaum lelaki dan tidak mencampurkan lelaki dalam pendidikan.

Ibnu Sahnun ketika ditanya tentang pengajaran yang mencampurkan lelaki dan wanita, beliau menjawab, “Saya memakruhkannya.” Abdullah Nashih-ulwan menuliskan bahawa mereka yang menghalalkan percampuran lelaki dan wanita dengan membebaskannya dengan alasan adat istiadat, sosial dan sebagainya. Padahal Allah s.w.t telah menjadikan lelaki dan wanita, dan melengkapi kedua-duanya dengan kecenderungan seksual antara masing jenis. Itulah fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu, “Tidak ada perubahan pada fitrah Allah.” (surah Ar-Ruum: 30)

Pergaulan Wanita

Setiap manusia perlukan pergaulan dan Islam mengatur pergaulan bagi kaum Muslimah dengan pergaulan yang suci, selamat, dan mulia kerana syaitan laknatullah berusaha untuk menghancurkan keimanan kaum Muslimah dengan segala tipuannya. Yang paling banyak menyelewengkan wanita dari agama dalam pergaulan adalah ajakan mereka mengenai kebebasan wanita, emansipasi dan sebagainya. Ditambah lagi dengan suapan-suapan globalisasi yang berkiblatkan budaya-budaya Barat sehingga, seolah-olah memaksa kaum Muslimah untuk keluar dari budaya Islam yang aman dan bijaksana.

Untuk itu Rasulullah s.a.w mengingatkan kaum lelaki, “Berhati-hatilah kamu berkhalwat dengan wanita. Demi diriku yang berada di dalam genggaman-Nya, tidak akan pernah seorang lelaki yang berduaan dengan wanita melainkan syaitan akan masuk di antara mereka. Seorang lelaki yang rapat dengan babi yang penuh dengan lumpur masih lebih baik daipada dia merapat dengan peha wanita yang tidak halal baginya.” (hadis riwayat Thabrani).

Syeikh Muhammad bin Abdullah mengulas dalam hal tipuan syaitan ini bahawa pergalan bebas antara lawan jenis seperti yang sering kali terjadi hanya akan mendorong wanita untuk bersolek, berpenampilan menantang, menarik pandangan kaum lelaki dan membangkitkan pesona mereka. Sebab keinginan seksual yang sudah menjadi fitrah lelaki dan wanita akan bertambah kuat kerana adanya pergaulan antara lawan jenis dan jika pembatasannya mudah ditembus.

Dalam masyarakat yang membuka pergaulan seperti ini akan muncul pembawaan baru dalam diri lelaki dan wanita iaitu saling menampkkan keindahan dan pesonanya untuk menarik minat lawan jenis. Lama Kelamaan tindakan ini bukanlah sesuatu yang perlu dingkari dan dicela kerana adanya perubahan teori moraliti. Bahkan kemudian semua itu dianggap sesuatu yang perlu disenangi. Kemudian berkembang semakin jauh hingga masing-masing tidak memiliki lagi satu sempadan pun.

Islam yang bijaksana tahu bahaya akibat pergaulan yang tiada tara dalam kehidupan individu dan ummat tatkala dorongan berahi sudah memuncak. Syariat Islam sudah membuat berbagai cara penjagaan dan perlindungan yang boleh menghalangi terlepasnya keinginan berahi dari pagarnya. Maka Islam memberi perhatian dalam penguatan ketakutan kepada Allah dalam diri manusia dengan memperkuatkan fitrah dengan rasa malu agar perasaan ini boleh menjadi pengawal secara dalaman.

Islam juga mensyariatkan hijab kepada wanita agar dia menutupi keindahan dirinya daipada lelaki, meminta izin tatkala memasuki suatu rumah, memerintahkannya agar menundukkan pandangan mata, baik lelaki mahupun wanita, melarang secara bebas antara lelaki dan wanita, memperingatkan wanita berpergian tanpa disertai mahram, kemudian meletakkan hukuman bagi orang yang melanggar larangan ini.

Muhammad Qutub mengatakan bahawa nafsu berahi atau seks itu sendiri bukanlah sesuatu yang kotor atau haram tetapi harus diletakkan dalam suatu lingkungan yang benar lagi bersih. Sedangkan kebebasan yang dilakukan wanita di dunia Barat dan diseru oleh para propagandis kebebasan di negara Timur yang beragama Islam, justeru akan merosakkan wanita dan lelaki serta generasi seterusnya.

Padahal dalam Huququl Mar’ah di tulis bahawa kebebasan sebenarnya adalah melepaskan diri dari bisikan hawa nafsu dan syahwat, juga dari tradisi dan kebiasaan-kebiasaan yang menyimpang dan sesat. Dari sini jelaslah majlis yang di situ ada kaum lelaki wanita bercampur sama sekali tidak sesuai dengan tabiat Islam dan ajaran Islam. Sebab pesona berahi yang ada dalam naluri lelaki dan wanita mempunyai suatu kekuatan yang tidak boleh di elak, yang akan menjadi bertambah kuat jika keduanya saling berkumpul.

Disebutkan dalam Nailul Autsar bab ‘Larangan Berkhalwat Dengan Wanita Bukan Mahram’: “Berkhalwat dengan wanita lain sudah disepakati oleh para ulama tentang pengharamannya sebagaimana hal ini telah dikisahkan Al-Hafizh di dalam Al-Fath. Alasan pengharaman tersebut kerana apa yang disebut di dalam hadis tentang kewujudan syaitan sebagai orang ketiga daripada keduanya yang boleh mengheret keduanya ke dalam kederhakaan. Namun jika khalwat itu disertai oleh mahram, itu dibolehkan kerana kemungkinan terjadinya kemaksiatan boleh dicegah kerana kehadiran mahram tersebut.”

Sebab tabiat kekeluargaan itu cenderung mendorong lelaki berani memasuki tempat wanita kerana beralasan adanya hubungan saudara. Sehingga mereka berani mengetuk pintu baik pada siang mahupun malam hari, baik ada kepentingan ataupun tidak ada. Tetapi justeru sering terjadi akhirnya hal ini menimbulkan akibat yang sangat fatal dan boleh merenggangkan hubungan kekeluargaan atau bahkan penceraian.

Luqman Hakim berwasiat kepada anak lelakinya: “Takutlah kamu terhadap wanita yang buruk kerana ia membuatmu beruban sebelum kamu beruban. Dan takutlah wanita-wanita yang jahat kerana mereka tidak mengajak kepada kebaikan dan jadilah kamu berhati-hati dalam memilih mereka.”

Wanita Dan Politik

Rasulullah s.a.w bersabda “Tidak beruntung suatu qaum yang menyerahkan kepimpinan negaranya kepada seorang wanita.” (hadis riwayat an Nasa’i)

Dalam Huququl Mar’ah ditulis bahawa Muslimah pada awal Islam tidak mempunyai peranan apa pun dalam urusan politik, meskipun Islam memberinya hak yang sama dengan hak lelaki. Tidak pernah diriwayat bahawa selepas Rasulullah s.a.w wafat, ada wanita yang ikut bermusyawarah dengan kaum lelaki, ikut serta dalam membuat keputusan siapa yang akan menjadi khalifah sesudah Baginda s.a.w. Juga dalam memilih salah seorang di antara Khulafa’ur Rasyidin yang empat itu.

Tidak pula diriwayat bahawa Khulafa’ur Rasyidin mengumpul para wanita secara khusus untuk mengajak bermusyawarah dalam berbagai urusan daulah seperti yang mereka lakukan bersama kaum lelaki. Kalau pun ada dalil yang digunakan oleh orang-orang yang beranggapan bahawa wanita juga ikut turut campur dalam urusan politik serta hukum. Mereka menguatkan pendapat itu dengan alasan bahawa Aisyah r.a pernah keluar untuk menuntut pembunuhan Saiyiina Ustman r.a.

Padahal ternyata Aisyah r.a telah menyesal atas perbuatannya itu. Sehingga perbuatan ini tidak boleh dijadikan dalil untuk menciptakan sesuatu yang baru di dalam Islam. Tatkala Saiyidina Ali r.a menulis surat kepada Ummul Mukminin untuk mengingatkan bahawa apa yang hendak dibuatnya itu adalah melanggar ketetapan syariat, maka dia berkata di dalam suratnya itu: “Amma ba’d, sesungguhnya engkau keluar dalam keadaan marah kepada Allah dan Rasul-Nya. Engkau menuntut sesuatu yang engkau sendiri tidak memiliki kemampuan. Apa urusan wanita dan peranan serta perbaiakan yang boleh dilakukan di antara manusia? Engkau menuntut darah Ustman r.a. Demi hidupku, apakah yang mendorong engkau untuk membuka diri bagi bencana yang membawamu kepada kederhakaan yang justerunya dosanya lebih besar bagimu daripada orang-orang yang membunuh Ustman r.a?”

Kemudian tatkala Perang Jamal telah berakhir, maka Saiyidina Ali r.a. datang menemuinya, seraya berkata kepadanya, “Wahai wanita yang berada di dalam hijab, Allah memerintahkan agar engkau berdiam di dalam rumahmu namun engkau keluar untuk berperang.” Maka Aisyah r.a tidak mampu memberikan jawapan yang dapat menyokong perbuatannya itu dan bahawa Islam membolehkan hal itu baginya. Padahal beliau adalah orang yang memiliki ilmu pengetahuan.

Bahkan diriwayatkan bahawa Aisyah r.a masih bergelut dengan rasa sesal atas perbuatannya hingga kemudian hari. Diriwayatkan di dalam Al’Isti’ab oleh Ibnul Abdil Barr bahawa Aisyah r.a mengadu kepada Ibnu Umar r.a seraya berkata: ”Mengapa dulu engkau tidak melarangku sama sekali keluar, wahai Abu Abdurrahmaan?” Ibnu Umar r.a menjawab. “Kerana aku melihat ada seorang lelaki telah menguasai urusanmu dan aku tidak melihatmu menentangnya sama sekali.” Aisyah r.a berkata, “Andaikata engkau melarang aku dahulu, tentu aku tidak akan pergi.”

Maka apa lagi alasan bagi wanita solehah untuk terjun dalam urusan politik dan pemerintahan? Dalam Balaghat Annisaa diceritakan bahawa pada saat dekat ajalnya, Aisyah r.a rasa gelisah ketika ditanya apa sebabnya, Aisyah r.a menjawab, “Sesungguhnya hari terjadinya Perang Jamal telah menghalang tengggorokanku! Ahh, seandainya aku lupa atau dapat melupakan peristiwa itu.”


Syeikh Sulaiman Arafah mengatakan bahawa sungguh sangat tidak logik jika wanita dilarang menjadi pemimpin terhadap rumah tangganya, tetapi kemudian dia diberi hak kepimipinan terhadap berbagai urusan umat. 

Aurat Dan Tugasan Wanita Solehah


SMAHADZIR

SESUNGGUHNYA dari Ibnu Mas’ud r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Wanita itu seluruhnya aurat.” (hadis riwayat Thabrani)

Aurat, menurut bahasa adalah sesuatu perkara yang ‘memalukan’ jika diperlihatkan. Boleh juga disebutkan bahawa aurat adalah sesuatu yang menjadi keaiban atau tercela apabila diperlihatkan. Maka seseorang yang menampakkan auratnya di hadapan orang lain adalah mereka yang tidak memiliki rasa ‘malu’ atau mereka yang memiliki aib.

Allah s.w.t berfirman, “Wahai Nabi katakanlah kepada isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri kaum mukminiin, hendaklah mereka memanjangkan jilbab mereka ke seluruh tubuh. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal dan kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (surah al-Ahzab: 59)

Syeikh Rasyid Ridho dalam kitabnya Nida Lil Jins al-Lathif menerangkan latar belakang turunnya ayat ini bahawa sebelum ayat ini diturunkan, wanita mukminaat biasanya memakai pakaian seperti lazimnya wanita-wanita bukan Islam pada masa jahiliyyah, iaitu terbuka leher dan sebahagian dada-dada mereka. Hanya sesekali sahaja mereka memakai jilbab, itu pun tidak semua.

Jilbab adalah sejenis pakaian luar yang menutupi anggota badan. Jika mereka rasa perlu mereka memakainya tetapi jika tidak perlu maka mereka tidak akan memakainya. Orang-orang yang gemar mengusik lantas mengganggu mereka kerana wanita-wanita itu disangka hamba sahaya. Sebab kebiasannya hamba sahayalah yang sengaja memperlihatkan aurat mereka.

Kebiasaan itulah yang dijadikan alasan kaum munafiqin untuk mengganggu wanita mukiminah termasuk isteri-isteri Nabi s.a.w. Mereka beralasan bahawa mereka sangka wanita-wanita itu adalah hamba sahaya. Kerana itu Allah s.w.t memerintahkan kepada seluruh wanita mukminaat supaya mememanjangkan jilbab-jilbab mereka dengan menutup kepala dan leher hingga ke dada mereka. Dengan demikian mereka dapat mengenali bahawa wanita-wanita yang memakai jilbab adalah wanita-wanita mukminaat.

Menutup aurat bagi wanita adalah hikmah daripada Allah s.w.t untuk menyelamatkan kaum wanita dari bahaya fitnah. Sebagaimana ditegaskan oleh Umar ibnu al-Khattab r.a, beliau berkata, “Bertakwalah kepada Allah, Tuhan kalian semua dan jangan biarkan isteri dan anak perempuan kalian mengenakan pakaian Qibthi, kerana sekalipun tidak nipis namun ia dapat membangkitkan rangsangan dan mengundang fitnah.” (Tarikh at-Thabari, 4/215)

Dr Anwar Jundi menulis bahawa Islam menekankan supaya wanita melindungi diri dengan cara memakai pakaian yang menutup seluruh tubuhnya. Mengharamkan berdua-duaan dengan lelaki yang bukan mahramnya dan apa saja aktiviti yang akan mendatangkan maksiat. Usaha-usaha ini adalah untuk menyelamatkan wanita Islam dari fitnah dan juga menyelamatkan masyarakat daripada fitnah wanita.

Beliau menambah bahawa dengan berbagai cara pula musuh-musuh Islam mempropagandakan ‘bugilisme’. Mereka mencanangkan falsafah buruk yang keluar dari norma-norma masyarakat. Mereka menciptakan rancangan pakaian yang tidak dapat dibezakan yang mana pakaian lelaki dan yang mana pakaian wanita. Sehingga sudah tidak ada lagi batas-batas yang memisahkan antara pakaian lelaki dan wanita. Akibatnya perbuatan haram pun berkembang iaitu wanita kelihatan seperti lelaki atau lelaki kelihatan seperti wanita. Ini kerana dipengaruhi oleh fesyen pakaian.

Berjilbab

Allah s.w.t berfirman, “Hendaklah mereka menjulurkan jilbabnya.” (SURAH an-Nuur: 31)

Dengan beralasan demi kecantikan dan rasa malu sekiranya menutup aurat, ramai kaum wanita mengatakan, ‘belum waktunya untuk menutup aurat.’ Padahal waktu demi waktu, mangsa-mangsa akibat kelalaian menutup aurat sudah berleluasa di mana-mana. Tidak mengenal siapa, pemuda atau pemudi, orang dewasa atau orang tua, anak-anak pun telah menjadi mangsa panah-panah beracun iblis laknatullah tersebut.

Dalam kepentingan menutup aurat ini, marilah kita menyemak beberapa hadis lagi yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w kepada para sahabatnya.

  1. Rasulullah s.a.w ketika memerintahkan kaum wanita untuk keluar melakukan solat Hari Raya, mereka (para wanita) berkata, “Wahai Rasulullah s.a.w, salah seorang daripada kami tidak mempunyai jilbab.” Maka jawab Rasulullah s.a.w, “Haruslah saudarinya meminjamkan jilbabnya.” (hadis riwayat Bukhari, Muslim)
  2. Rasulullah s.a.w bersabda, “Barangsiapa yang mengeluarkan kakinya ke bawah kerana sombong, Allah tidak akan melihat kepalanya pada hari kiamat.” Ummu Salamah r.a bertanya, “Apa yang harus wanita buat dengan baju panjangnya?” Rasulullah s.a.w menjawab, “Mereka hendaklah melebihkan lebih kurang sejengkal.” Ummu Salamah berkata lagi, “Kalau demikian akan terbuka tapak kaki mereka.” Rasulullah s.a.w bersabda, “Mereka harus melebihkan dalam satu hasta dan jangan ditambah lagi.”
  3. A’isyah r.a berkata, “Ada serombongan penunggang unta melewati kami ketika kami sedang berihram bersama Rasulullah s.a.w, maka ketika rombongan itu datang kepada kami, maka kami menutup muka kami dengan menjulurkan jilbab kami dari kepala dan apabila rombongan itu telah berlalu maka kami pun buka kembali wajah kami.” (hadis riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah)
  4. Hafizd Ibnu Hajar r.a berkata bahawasanya Umar ibnu Khattab r.a pernah di ingatkan oleh Rasulullah s.a.w dengan sabdanya, “Berilah pakaian yang menutupi wajah isteri-isterimu.”
  5. Rasulullah s.a.w pernah menegur dua orang isterinya, Maiymunah dan Ummu Salamah ketika masuknya Abdullah ibnu Ummiy Maktum, ‘‘Pakailah hijab.” Kemudian mereka berkata, “Abdullah ibnu Ummiy Maktum itu buta.” Maka Rasulullah s.a.w bersabda, “Apakah kamu berdua juga buta, bukankah kamu berdua dapat melihat?’’
  6. Rasulullah s.a.w bersabda, “Ada dua golongan ahli neraka yang aku belum pernah melihatnya iaitu:

  • Suaru kaum yang membawa cambuk seperti ekor lembu yang dipukul pada manusia.
  • Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi hakikatnya mereka itu telanjang, jalannya lenggang-lenggok, sanggul mereka seperti punuk-punuk unta yang miring. Mereka tidak akan masuk ke Syurga dan tidak akan mencium baunya padahal sesungguhnya bau syurga itu dapat dicium dari jarak perjalanan sejauh sekian-sekian.” Dalam riwayat lain disebut, “Dan sesungguhnya tercium dari jarak perjalanan sejauh 500 tahun.’’ (hadis riwayat Muslim)

Aturan Busana Muslimah

Dalam hal ini ada beberapa aturan bagi kaum wanita solehah dalam berpakaian, agar tidak termasuk dalam golongan, ‘Yang berpakaian tetapi sesungguhnya mereka itu telanjang: iaitu berpakaian hendaklah:

  1. Tidak terlalu nipis sehingga terlihat bahagian badan dari luar.
  2. Tidak terlalu ketat sehingga membentuk tubuh badan.
  3. Tidak memakai wangi-wangian.
  4. Tidak menyerupai pakaian lelaki.
  5. Tidak menyerupai fesyen pakaian orang-orang kafir.
  6. Tidak untuk menyombongkan diri atau bermegah-megah.

Fungsi pakaian itu sendiri adalah untuk menutup aurat, maka apalah ertinya pakaian sekiranya tidak menutup aurat dalam cara pemakaiannya? Untuk itulah ia dinamakan sebagai ‘wanita yang berpakaian tetapi sesungguhnya mereka itu telanjang.’

Rasulullah s.a.w bersabda, “Barangsiapa yang memakai pakaian untuk menyombongkan diri, nescaya pada hari Kiamat Allah akan memakaikannya pakaian kehinaan kepadanya.’’ (hadis riwayat Ahmad, Abu Daud, an Nasaa’i)

Seorang lelaki bertanya kepada Ibnu Umar r.a tentang pakaian apa yang dia pakai, maka Ibnu Umar r.a berkata, “Pakaian yang biasa aku pakai adalah yang tidak dihinakan orang-orang bodoh dan tidak dicela orang-orang cendikiawan’’. (Iaitu tidak terlalu jelek dan tidak terlalu menjolok mewahnya). Jadi pertengahan antara keduanya.

Menutup Wajah

Wanita solehah selayaknya memiliki rasa malu yang tinggi dan memahami batasan-batasan aurat tubuhnya yang seharusnya tidak diperlihatkan kepada sebarangan orang. Wajah wanita sudah pasti adalah salah satu darinya. Kerana dari wajahlah yang paling dahulu memberikan godaan. Wajah yang menarik akan mudah menggoda kaum lelaki.

Thabrani meriwayatkan bahawa Allah s.w.t telah memerintah kepada kaum mukminaat jika mereka hendak keluar dari rumah kerana sesuatu hajat, maka hendaklah mereka menutup jilbab atau furdah ke wajah mereka dari atas dan menampakkan sebelah matanya.

Ibnu Jarir meriwayatkan: Aku bertanya kepada Ubaiydah ibnu Haris tentang firman Allah: “Hendaklah mereka menjulurkan jilbabnya.” (surah an-Nuur: 31), beliau menjawab sambil memperagakan dengan pakaiannya. Ia menutup kepala dan wajahnya dan menampakkan sebelah matanya.

Allamah Abu Bakar al-Jasyhsyah mengatakan bahawa di dalam ayat ini terdapat sebuah dalil bahawa seorang wanita diperintahkan untuk menutup wajahnya agar tidak dilihat oleh lelaki asing, menampakkan jilbabnya dan menjaga kehormatannya ketika keluar rumah.

Al-Qadhi Baidhawi mengatakan dalam menafsirkan, “Hendaklah menjulurkan jilbabnya ‘iaitu hendaklah mereka menutup wajahnya dan tubuh badan mereka dengan jubah mereka jika mereka hendak keluar untuk sesuatu hajat.”

Said Ibnu Musaiyyid mengisahkan pertanyaan Saiyidina Ali ibnu Abi Thalib r.a kepada Fathimah r.a tentang manakah wanita-wanita yang baik? Fathimah r.a menjawab, “Iaitu wanita yang tidak mahu dilihat lelaki dan tidak mahu melihatnya.” Saiyidina Ali r.a pun menanyakan hal itu kepada Rasulullah s.a.w, yang dijawab oleh Baginda s.a.w bahawa Fathimah r.a adalah darah daging Baginda.” (Maksudnya bahawa jawapan Fathimah r.a sama seperti jawapan Rasulullah s.a.w).

Jumhur ulama mujtahid yang dipimpin oleh Asy-Syafi’e Hanbali dan Maliki menyatakan bahawa ‘wajah adalah aurat’ kecuali para fuqaha daripada Hanafiyyah yang membolehkan membukanya dengan syarat jika tidak ada fitnah. Sedangkan perkataan-perkataan yang menjadikan hadis Fadhal Ibnu Abbas yang membonceng Rasulullah s.a.w ketika haji wadaa lalu dia melihat wajah wanita yang lalu di hadapannya, kemudian Nabi s.a.w memalingkan wajah Fadhal Ibnu Abbas.

Mereka mengambil dalil dari hadis ini, “Sekiranya wajah itu aurat tentu wanita itu menutup wajah mereka sehingga Fadhal tidak melihat mereka.” Jumhur ulama menjawab hal ini dengan mengatakan bahawa:

  1. Sangat jelas dinyatakan dalam hadis tersebut bahawa kejadian itu berlangsung ketika haji wadaa’ ketika mereka sedang berihram. Sedangkan dalam ihram para wanita dilarang menutup wajah dan tangannya.
  2. Kaum wanita pada zaman Nabi s.a.w telah terbiasa memakai tutup wajah dan tangan mereka. Kemudian Rasulullah s.a.w melarang hal itu dilakukan ketika berihram.

Bahkan dalam al-Muwattha’ Imam Malik, diriwayatkan bahawa Fathimah Binti Munzir berkata, “Pernah kami menutup wajah dalam ihram ketika itu kami bersama Asma’ binti Abu Bakar. Dia tidak menyalahkan perbuatan kami.”

Dalam Fathul Bari diriwayatkan dari A’isyah r.a, ‘‘Hendaklah wanita mengeluarkan jilbabnya dari atas kepalanya hingga wajahnya.”

Dalam kitab Ash-Shihah diriwayatkan bahawa ada seorang Muslimah mengerjakan urusannya di pasar Bani Qainuqa’, wanita Muslimah ini memakai jilbab. Lalu seorang lelaki Yahudi menyekatnya, mengejek dirinya dan jilbab yang dipakainya. Yahudi itu memaksanya untuk membuka wajahnya tetapi wanita itu menolak dan menjerit meminta tolong. Maka salah seorang kaum Muslimin menyerang Yahudi itu dan membunuhnya.

Untuk itulah Rasulullah s.a.w bersabda, “Memandang itu bagaikan anak panah beracun daripada iblis.” (hadis riwayat Thabrani)

Nabi Isa a.s juga ada berkata, “Takutlah akan memandang kerana memandang akan menimbulkan syahwat dalam hati. Dan cukuplah memandang wanita itu sebagai fitnah.”

Imam Mujahid pernah berkata, “Jika ada seorang wanita yang datang, maka duduklah iblis di kepalanya. Lalu iblis meriaskan wanita itu dari pandangan orang yang melihatnya. Jika wanita itu membelakang, maka iblis laknatullah akan duduk di punggungnya dan menghias wanita itu dari pandangan orang yang melihatnya.”

Bersabda Rasulullah s.a.w, “Sesungguhnya iblis yang terlaknat berkhutbah kepada para syaitannya, ‘Hendaklah kalian menggoda manusia dengan khamar dan segala sesuatu yang memabukkan dan dengan wanita. Sesungguhnya aku tidak mendapati suatu kumpulan kejahatan kecuali di dalamnya.” (hadis riwayat Hakim).

Rumah Wanita Solehah

Allah s.w.t berfirman, “Janganlah kamu keluarkan mereka dari rumah mereka.” (surah at-Tolaqq: 1)

Allah s.w.t berfirman lagi, “Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu.” (surah al-Ahzab: 33)

Syaikhul Hindi berkata mengenai ayat Al-Quran di atas bahawa ayat tersebut dilafazkan kepada para isteri Rasulullah s.a.w tetapi ia juga ditujukan kepada wanita mukminaat seluruhnya. Sedangkan untuk isteri-isteri Rasulullah s.a.w mempunyai peraturan lebih khusus lagi yang berbeza dengan wanita umumnya.

Anjuran ini begitu keras, mengingatkan begitu pentingnya pengaruh wanita dalam kehidupan bermasyarakat kerana pergaulan dan tingkah laku wanita akan memberi kesan pada lingkungannya. Sehingga syaitan laknatullah mewarnai kesan itu dengan kesan yang buruk dan jahat.

Syeikh Muhammad Sulaiman mengatakan bahawa untuk melaksanakan aturan Allah ini. Islam membebaskan wanita daripada semua kewajipan yang berkaitan dengan urusan di luar rumah. Sehingga mereka tidak wajib menunaikan solat Jumaat, berjihad, menyertai jenazah dan sebagainya.

Seorang wanita dapat mengubah rumahnya menjadi syurga yang agung atau neraka yang menyala. Justeru itu, Islam menghendaki agar para wanita solehah merasakan dan menjadikan empat penjuru rumahnya adalah syurga baginya. Di situlah tempat yang hakiki bagi wanita solehah, di situlah dia meniti jalan dan membangun cita-cita menuju redha Ilahi.

Keutamaan Rumah Bagi Wanita

Rumah adalah tempat tinggal yang sesuai dengan tabiat fitrah wanita. Kewujudan wanita di dalam rumahnya adalah merupakan benteng pertahanan yang dapat menjauhkan dirinya daripada berbagai macam fitnah dan cubaan. Sesiapa yang tidak bersependapat dengan ini bererti dia bertentangan dengan fitrah dan tabiat kejadian manusia. (Huququl Mar’ah)

Rasulullah s.a.w bersabda, “Sedekat-dekat keadaan seorang isteri atau wanita kepada wajah Tuhannya adalah apabila dia berada pada bahagian terdalam dari rumahnya. Sesungguhnya solatnya di teras rumahnya adalah lebih utama daripada solatnya di dalam masjid. Solat di dalam rumah adalah lebih utama daripada solat di teras rumahnya.” (hadis riwayat Ibnu Hibban)

Rasulullah s.a.w bersabda lagi , “Wanita itu seluruhnya aurat. Sesungguhnya apabila dia keluar dari rumahnya maka syaitan akan bersamanya, dan sesungguhnya tempat paling mendekatkan dirinya dengan Allah s.w.t adalah di sudut rumahnya.” (hadis riwayat Thabrani)

Tinggal di rumah adalah satu nikmat yang besar bagi seseorang wanita yang solehah. Rasulullah s.a.w bersabda, “Barangsiapa yang di suatu pagi tinggal dalam keadaan aman di dalam rumahnya, sihat tubuh badannya dan dia mendapati persediaan makan pada hari itu, maka seolah-olahnya dia telah dikurniakan dunia dengan segala isinya.” (hadis riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)

Syeikh Muhammad ibnu Abdullah mengatakan bahawa rumah bagi kaum wanita adalah hijab daripada berbagai macam fitnah. Akan tetapi yang dimaksudkan hijab di sini tidak seperti gambaran-gambaran orang bodoh, iaitu membelenggu wanita di dalam rumah, sehingga tidak boleh menghirup udara segar dan harus menjauhi segala aspek kehidupan.

Yang dimaksudkan menetap di rumah bukan bererti setelah berkahwin lalu tidak boleh keluar sama sekali kecuali apabila sudah meninggal. Wanita tetap boleh keluar dari rumahnya dan boleh saja dilihat oleh lelaki-lelaki bukan mahramnya dan juga wanita juga boleh melihat lelaki-lelaki itu. Kerana hal-hal seperti itu harus berlaku dalam kehidupan tetapi semua itu mesti dilakukan menurut batasan-batasan yang telah ditetapkan oleh Islam.

Lowe Brozo seorang cendiakawan mengatakan bahawa, kelemahan wanita menyebabkan serangan penyakit kepada dirinya berlipat kali ganda. Oleh kerana wanita merupakan sasaran berbagai macam penyakit. hal ini membuktikan bahawa kehidupan yang ideal bagi kaum wanita adalah di dalam rumah bukan di luar rumah.

Seorang wanita solehah sebenarnya akan berbangga diri dengan peraturan yang diberikan ke atasnya dalam masaalah rumah ini kerana wanita mempunyai tugas khusus yang istimewa berbeza dengan kaum lelaki. Ustaz al-Aqqad berkata, “Kalau tidak kerana adanya pengiringan kekurangan pada diri wanita, tentu akan merasa bangga terhadap kerajaan di dalam rumahnya dan sebagai orang yang membentuk generasi mendatang, yang tidak kalah bangganya dari kaum lelaki.” (Al-Falsafah Al-Quraniyyah)

Bahaya Keluar Rumah Bagi Wanita

Sesiapa sahaja yang menentang fitrah jelas akan menghadapi bahaya dan kesukaran. Syeikh Rasyid Ridha berkata di dalam bukunya, Nida’un lil-Jinsil lathif, “Siapa yang pernah membaca berbagai berita tentang berpergian pada masa ini dan melihat yang seringkali terjadi kerana lelaki-lelaki berkumpul dengan wanita dalam kenderaan dan di tempat-tempat penginapan. Tentunya ia boleh memahami hikmah larangan ini bahawa berpergian itu berlaku dalam jarak jauh mahupun dekat. Juga berlaku bagi wanita yang berpergian tanpa disertai mahramnya.’’

Wanita yang keluar rumah tanpa mengikuti ajaran agama seperti:

  1. Memakai wangi-wangian
  2. Tanpa izin dari suami atau ibu bapa
  3. Tanpa diiringi dengan mahramnya
  4. Tidak menutup aurat
  5. Untuk tujuan yang tidak diredhai oleh agama
  6. Tidak menundukkan pandangan
  7. Tidak perbanyakkan zikir selama perjalanan.

Maka keluarnya wanita tersebut dari rumahnya akan membuatkan syaitan laknatullah bergembira dan mereka akan bersorak-sorai atas pemergiannya. Wanita seperti inilah syaitan akan mudah menggoda manusia. Memang ada arahan daripada Rasulullah s.a.w agar para suami jangan melarang kaum wanitanya untuk pergi ke masjid berdasarkan daripada hadis Rasulullah s.a.w, “Janganlah engkau melarang hamba-hamba Allah yang wanita mendatangi masjid-masjid Allah. Sedangkan rumah-rumah mereka adalah lebih baik bagi mereka.” (hadis riwayat Muslim)

Dalam Ahkamun Nisaa’, Ibnul Jauzi mengatakan bahawa seseorang yang rasa khuatir akan isteri atau saudara perempuannya terkena fitnah maka lebih baik dia melarangnya dari keluar rumah. Wanita sekarang tidak sama lagi dengan wanita dahulu. A’isyah r.a pun menyebutkan bahawa seandainya Rasulullah s.a.w melihat keadaan wanita sekarang, pasti Baginda s.a.w melarang dan mengharamkan wanita keluar rumah.

Ibnu Abbas menjawab pertanyaan Sa’ad ibnu ‘Ash tentang keadaan wanita sekarang, “Sebaiknya wanita terutama yang masih remaja tidak dibolehkan keluar mengerjakan solat Hari Raya, yang boleh hanyalah wanita yang telah berumur dan lanjut usia. Wanita-wanita tentu akan berdandan secantik mungkin dan seharum mungkin. Padahal Abu Hurairah r.a berkata tentang sabda Rasulullah s.a.w yang melarang wanita yang memakai wangi-wangian mengikuti solat jemaah.”

Usaha Musuh Untuk Menjauhkan Wanita Dari Rumah

Bermula daripada syaitan laknatullah yang sentiasa berusaha menggelincirkan orang-orang yang beriman dari jalan yang lurus, ditambah dengan usaha kaum yahudi dan nasrani yang sentiasa menginginkan kaum Muslimin mengikuti cara hidup mereka, maka berbagai macam rayuan dan godaan diarahkan kepada kaum wanita Muslimah agar mereka keluar dari rumah-rumahnya.

Dr Anwar Jundi menjelaskan bahawa usaha yang berbahaya dalam rangka menghancurkan masyarakat Islam adalah dengan cara mengeluarkan wanita dari rumahnya dari fungsi dan misinya dan membawa mereka terjun ke dunia pekerjaan pada siang hari dan pada malam hari. Memasuki dunia huru-hara sehingga tiada waktu tersisa untuk diberikan kepada anak-anak dan keluarganya. Akibatnya anak-anak kehilangan kasih sayang ibu.

Mereka hidup di bawah asuhan para pembantu dan mendapat air susu bukan daripada ibunya. Mereka mencari kasih sayang di sekelilingnya akan tetapi yang mereka dapat hanyalah kebengisan sehingga si anak berbalik memusuhi masyarakat dan lingkungannya. Mereka tidak memiliki keperibadian yang utuh. Perasaan untuk mencintai dan menyayangi juga menipis dan akibatnya parah apabila tidak adanya idola bagi anak-anak, tidak ada sikap keteladanan dari ayah dan ibunya. Maka anak-anak akan mengalami perasaan terasing, resah dan patah semangat.

Oleh kerana itu semangat kembalinya wanita Islam ke jalan Allah perlu disambut dan didukung dengan membentangkan jalan agar ia tahu fungsinya, tanggungjawab dan cabaran yang harus ia hadapi dengan harapan ia dapat menemui jalan yang benar, biasa mengenali kudratnya yang asli, beristiqamah menuju jalan Allah s.w.t.

Selanjutnya beliau menulis bahawa sebenarnya dorongan dasar kepada seorang wanita adalah sangat suka senantiasa menjaga dan membina keadaan rumahnya, dia ingin mencurahkan kasih sayangnya untuk anak-anak dan suami. Dorongan ini sifatnya fitrah, akan tetapi kita masih sering menemui wanita yang enggan terhadap kehidupan rumah tangganya. Mereka terperangkap kepada strategi yang diterapkan oleh protokol Yahudi dan Zionis yang merayu kaum wanita untuk memberontak terhadap statusnya sebagai suri rumah tangga.

Salah satu propaganda mereka adalah ‘mengembalikan wanita ke dalam rumah tangga tidaklah mudah sebab usaha seperti ini bererti menentang arus masyarakat umum. Usaha serupa hanyalah merupakan langkah mundur ke belankang dan tidak akan diterima di mana-mana pun juga.’

Sebaliknya Islam menganjurkan agar wanita pandai menjaga diri dari fitnah. Sehingga Islam mengajarkan kepada kaum wanita untuk melakukan solat di rumah apabila dikhuatirkan terjadi fitnah dan itulah sebaik-baik tempat bagi kaum wanita.

Keizinan Wanita Keluar Rumah

Rasulullah s.a.w bersabda, “Janganlah kamu melarang isteri-isterimu mendatangi masjid dan rumah mereka adalah lebih baik bagi mereka.” (hadis riwayat Ahmad, Abu Daud)

Rasulullah s.a.w bersabda lagi, “Allah s.w.t mengizinkan bagi kalian para wanita keluar dari rumah untuk keperluanmu.” (hadis riwayat an-Nasaa’i)

Ibnu Jauzi menulis bahawa wanita yang keluar rumah hendaklah selalu waspada. Memang dia mampu menyelamatkan diri namun orang lain sukar untuk menghindar daripada fitnahnya. Wanita yang terpaksa keluar haruslah:

  1. Dengan izin suaminya.
  2. Berpakaian tidak menarik atau menjolok mata.
  3. Melalui jalan yang sepi bukan jalan orang ramai
  4. Pasar-pasar.
  5. Jangan berjalan di tengah jalan.
  6. Berhati-hati dengan suara.

Rasulullah s.a.w telah bersabda bahawa setiap wanita membuka baju di luar rumahnya, maka terungkaplah hijab atau dinding antara dia dengan Tuhannya. Tetapi hendaklah diingatkan bagaimana para sahabat mentafsirkan bahawa suasana itu boleh berkehendakkan lain kerana melihat kebiasaan para wanita pada masa Bani Umaiyyah, yang suka menyalahgunakan kebolehan wanita pergi ke masjid. Maka A’isyah r.a berkata, “Andaikata Rasulullah s.a.w apa yang dilakukan para wanita ini tentu Baginda s.a.w akan melarang mereka mendatangi masjid, sebagaimana masjid itu juga dilarang dihadiri para wanita Bani Israil.”

Dibolehkan bagi kaum wanita untuk keluar rumah, tetapi dengan syarat mengikuti aturan syariat Islam demi menjaga daripada berbagai macam fitnah. Hal ini disiratkan oleh Rasulullah s.a.w dengan sabdanya, “Sebaik-baik kaum lelaki adalah saf pertama dan seburuk-buruk saf kaum lelaki adalah yang paling akhir. Dan sebaik-sebaik saf kaum wanita yang akhir dan seburuknya saf kaum wanita adalah yang pertama.” (hadis riwayat Abu Daud, Bukhari, Ahmad)

Dalam Ahkamul Nisaa’, Ibnu Jauzi kembali mengingatkan bahawa apabila dikhuatirkan timbul hal-hal yang tidak diingini maka sebaiknya wanita dicegah keluar dari rumah. Wanita sekarang amat jauh berbeza dengan wanita dahulu. Wanita memang sumber godaan bahkan suaranya pun ada sebahagian yang berpendapat bahawa haram untuk didengar oleh kaum lelaki.

Az-Zubaidi menyatakan bahawa wanita itu dituntut untuk berkurung dalam rumah seperti ular yang terkurung dalam lubangnya bahkan Atha’ al-Khurasan memarfu’kan hadis bahawa wanita tidak diwajibkan mengucapkan salam ataupun menjawab salam.

Ahmad Ibnu Hanbal menguatkan hal itu bahawa dia pernah didampingi oleh seorang lelaki tiba-tiba isteri Ahmad bersin maka lelaki itu mengatakan kepadanya, “Yarhamakallah.” Ahmad pun menyahut, “Lelaki yang bodoh.” Juga diriwayat orang-orang dahulu bahawa jika ada lelaki mengetuk pintu sedangkan di rumah itu tidak ada seorang lelaki pun, si wanita diharapkan meletakkan tangan pada mulut dan mengeluarkan kata-kata mengejutkan supaya tidak menggoda.

Panduan Rumah Ideal

Disebabkan seorang wanita solehah lebih banyak menggunakan waktunya di dalam rumah maka selayaknya wanita solehah mengetahui beberapa kriteria dari rumah yang patut diwujudkan oleh wanita solehah, di antaranya iaitu:

a. Rumah Yang Penuh Dengan Amalan

Rasulullah s.a.w bersabda, “Jangan jadikan rumah-rumah kalian sebagai kubur. sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibacakan surah al-Baqarah.” (hadis riwayat Muslim)

Dan seperti yang telah diungkapkan oleh Syeikh Abdul Halim Hamid bahawa juga yang termasuk mendatangkan kebahagiaan bagi jiwa suami adalah ketika ia melihat isteri gemar membaca, menghafal dan merenungi Al-Quran. Demikian para Ummuhatul Mukminiin r.a sentiasa mendengar, membaca dan mengajarkannya.

Diriwayatkan bahawa pada suatu ketika Rasulullah s.a.w keluar dari kamarnya untuk solat Subuh, sementara Juwaiyriyyah r.a ada di tempat solatnya. Ketika Rasulullah s.a.w pulang setelah dhuha, Baginda mendapati isterinya masih duduk di situ. Lantas Rasulullah s.a.w berkata, “Engkau masih duduk seperti ketika aku meninggalkanmu tadi?”

Juwaiyriyyah berkata, “Ya!” Rasulullah s.a.w berkata, “Aku telah mengatakan kepadamu empat kalimah yang diucapkan tiga kali yang apabila kamu timbang dengan apa yang kamu baca semenjak tadi, akan menyamainya. Iaitu, “Subhaanallah, wa bihamdihi adada bikhalqihi, wa ridho nafsihi, wa zinata arsyihi, wamidada kalimatihi.” (Maha Suci Allah dan segala puji-Nya sebanyak makhluk-Nya, serela diri-Nya, setimbang Arsy-Nya dan sebanyak tinta kalimah-Nya)

Demikian juga sebagai wanita solehah hendaknya memperbanyakkan zikrullah, membiasakan wiris harian meskipun sedikit, terutama selepas Subuh dan petang hari. Lebih besar lagi rasa bahagia muncul saat-saat isteri membaca wirid selepas Subuh, kemudian mengajak suaminya yang baru pulang dari masjid ikut wirid bersamanya sebelum ia memikirkan tentang tidur pagi ataupun pekerjaannya.

b. Rumah Yang Rapi dan Terpelihara

Ummu Salamah r.a bertanyakan kepada Rasulullah s.a.w, “Bagaimanakah pahala seorang wanita yang mengurus rumah?” Rasulullah s.a.w menjawab, “Setiap wanita yang mengurus rumahnya agar nampak rapi akan memperoleh rahmat Allah dan barangsiapa memperoleh rahmat Allah, maka ia tidak akan mendapat murka-Nya.”

Syeikh Abdul Halim Hamid menganjurkan, “Aturlah suasana rumahmu dengan baik.” Dalam hadis Abu Dzarah menyebutkan sebuah sanjungan bagi seorang khadimah yang mengatur dan membersihkan rumah dengan baik: ia tidak memenuhi rumah kita dengan sarang burung.” (hadis riwayat Muttafaqun Alaihi)

Rasulullah s.a.w bersabda, “Allah s.w.t memasukkan tiga golongan ke dalam syurga lantaran satu suap roti dan satu jemput kurma yang bermanfaat untuk orang miskin iaitu suami yang memerintahkan, isteri yamg menyiapkan dan pelayan yang menghantarkan kepada orang miskin.” Dan Rasulullah s.a.w bersabda lagi, “Segala puji bagi Allah yang tidak melupakan kita.” (hadis riwayat Thabrani, hakim)

Yakinilah bahawa suami pasti menginginkan isteri yang bersih dan menawan di dalam rumah, juga keadaan rumah yang terpelihara, bersih dan rapi. Hal itu jelas akan membuatkan suami suka untuk tinggal di rumahnya.

c. Rumah Sederhana

Hal penting bagi wanita solehah adalah menjadikan rumahnya sesederhana mungkin jauh daripada kemewahan dan pemborosan. Sederhana bukan bererti miskin bahkan sederhana dapat menolak kemiskinan. Sebagaimana Rasulullah s.a.w bersabda, “Tidak miskin orang yang hidup sederhana.” (hadis riwayat Ahmad, Thabrania)

Rasulullah s.a.w bersabda, “Jika salah seorang daripada kamu melihat kepada orang yang dilebihkan oleh Allah dalam harta dan bentuk ciptaan-Nya maka hendaklah melihat kepada orang yang lebih rendah daripadamu, daripada orang yang dilebihkan atasmu.” (hadis riwayat Bukhari, Muslim)

Sa’ad ibnu Abi Waqqas mengirimkan sepucuk surat kepada Umar r.a, isi suratnya meminta izin bahawa dia akan membina rumahnya. Kata Umar dalam surat balasannya: “Binalah rumahmu secara yang sangat sederhana, yang penting boleh melindungimu daripada terik matahari dan dingin hujan.”

Rumah yang mewah dan penuh dengan perabot akan menimbulkan beberapa hal negatif bagi pemilik dan penghuninya, di antaranya ialah:

  1. Menambahkan beban Yaumil Hisab, walaupun halal.
  2. Menambahkan rasa cinta terhadap kebendaan, kerana sentiasa memanjakan nafsunya
  3. Waktu lebih tersita untuk mengurus dan memperhatikan kebendaan dalam rumah, sehingga banyak amalan soleh berkurang kerana kesibukan tersebut.
  4. Harta mulai digunakan untuk hal-hal yang sia-sia, sementara masih banyak kewajipan terhadap orang-orang yang atas hartanya, menderita kelaparan dan memerlukannya.
  5. Bertolak belakang dengan kehidupan Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya.

Sebaliknya jika rumah seorang wanita solehah itu sederhana, maka lebih sedikit masa untuk mengurus rumahnya, sehingga lebih banyak masa untuk memperbanyak amal soleh dan lebih ringan hisabnya nanti di akhirat.

Umar r.a berkirim pesan kepada Abu Musa al-Asya’ari yang isinya antara lain: “Amma ba’d, Pelajarilah secara mendalam sunah Rasulullah s.a.w dan bahasa Arab. Al-Quran diturunkan di tengah-tengah orang Arab, kerana ia berbahasa Arab. Tirulah kehidupan orang-orang Bani Ma’ad Ibnu Adnan yang keras dan sederhana. (Kanzul Ummal, X/252)
                                 
d. Kosong Daripada Perabot Haram

Jelas bahawa rumah seorang wanita solehah sentiasa jauh dari benda-benda yang jelas keharamannya ataupun yamg menyebabkan terjauhnya rahmat Allah ke atas rumah seorang Muslim. Rasulullah s.a.w melarang minum dari bejana emas dan perak dan makan daripadanya dan melarang memakai sutera yang tipis dan tebal dan duduk di atasnya.

Rasulullah s.a.w juga bersabda, “Benda-benda tersebut adalah kepunyaan orang-orang kafir di dunia dan kepunyaan kita di akhirat.” (hadis riwayat Bukhari)

Rasulullah s.a.w bersabda lagi, “Sesungguhnya orang yang makan dan minum dari bejana emas atau perak, maka hakikatnya ia sedang memakan api jahannam ke dalam perutnya.”

Abdullah Nasihah Ulwan mengatakan, dari hadis ini jelas bahawa menjadikan emas dan perak sebagai tempat makan minum dan membuat tempat duduk daripada sutera asli adalah haram. Pengharaman ini mencakupi lelaki dan wanita. Hikmahnya adalah pensucian rumah Muslim dari material mewah yang tercela dan menghindarkan gejala kesombongan dan kebongkakan yang dimurkai Allah.

Abu Wail r.a meriwayatkan, aku menyertai peperangan Syria bersama-sama Umar r.a, kami pernah tinggal di suatu tempat. Seseorang bangsawan di tempat itu datang mencari Umar r.a apabila mendekati beliau bersujud di hadapannya. Umar r.a bertanya, “Mengapa berbuat seperti itu?” Beliau menjawab bahawa itu adalah adab kebiasaan mereka apabila menghadapi raja-raja. Umar r.a mengatakan kepadanya, “Sujud hanya dibolehkan kepada Allah yang Maha Perkasa sahaja, yang telah menciptakanmu.”

Kemudian orang bangsawan itu berkata, “Aku telah menyediakan makanan untukmu. Aku sangat berhajat supaya tuan datang ke rumahku dan makan bersama-samaku.” Umar r.a bertanya kepada pengawalnya, “Apakah ada terdapat gambar-gambar di rumahnya?” Ketika orang itu menjawab ada, maka Umar r.a enggan pergi ke sana dan beliau hanya berpesan agar dihantarkan satu jenis makanan sahaja kepadanya. Lalu orang bangsawan itu menghantarkannya dan Umar r.a pun menerimanya.” (hadis riwayat Hakim)

e. Ada Suasana Agama Dalam Rumah

Ini adalah kewajipan yang paling utama bagi wanita solehah kerana di rumahlah markaz pusat bagi setiap generasi dalam membentuk keluarga yang beriman dan bertakwa kepada Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w bersabda, “Dan tidaklah berkumpul satu kumpulan di suatu rumah dari rumah-rumah Allah yang dibacakan di dalam kumpulan tadi kitab Allah dan saling ajar mengajarkan satu sama lainnya, kecuali akan diturunkan ke atas mereka ahli majlis tadi, sakinah (ketenangan batin) dan dicucurkan ke atas mereka rahmat dan para Malaikat akan mengerumuninya dan Allah akan menyebutkan nama-nama mereka di sisinya.” (hadis riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis di atas, maka untuk mewujudkan rumah yang penuh sakinah, mawaddah dan rahmah adalah dengan menghidupkan halaqah majlis taklim dalam keluarga. Mempromosikan keutamaan-keutamaan iman dan amal di tengah-tengah keluarga, iaitu dengan membacakan firman-firman Allah s.w.t ataupun hadis-hadis Rasulullah s.a.w.

Untuk membiasakan atas hal ini adalah dengan petunjuk seperti berikut:

  1. Tidak terlalu lama, cukup hanya beberapa minit sahaja, sehingga tidak menimbulkan kebosanan bagi ahli rumah.
  2. Rutin dilakukan setiap hari sekali sahaja.
  3. Memilih masa yang tepat, yang dapat dihadiri oleh seluruh anggota keluarga.
  4. Program ini dilaksanakan penuh adab tumpuan.

Jika ketengangan batin masuk ke dalam jiwa-jiwa anggota keluarga dan rahmat Allah bercucuran dalam rumah, maka adakah Allah s.w.t akan menurunkan murka-Nya? Tentu tidak, bahkan Allah s.w.t akan melindunginya dari segala kesusahan, bala, musibah dan lain-lainnya. Kemudian para Malaikat akan mengerumuni ahli rumah tersebut. Automatik sikap dan sifat Malaikat akan merasuki diri-diri penghuninya. Ketaatan, kesabaran, istiqamah, saling memaafkan, ghairah kepada ibadah dan amalan soleh akan menjadi sifat-sifat penghuni rumah tersebut. Sehingga rumah itu akan selalu dalam keadaan tenteram dan damai, penuh dengan rahmat Ilahi. Juga akan jauh dari keributan dan pertengkaran.

Sebaliknya, jika tidak diadakan majlis taklim dalam sebuah rumah maka rahmat Allah akan jauh dari rumah tersebut, ketenangan jiwa akan sukar diperolehi dan syaitan laknatullah pun akan mengerumuni penghuninya sebagai gani para malaikat. Sehingga sifat dan sikap syaitan pun akan memasuki jiwa anak-anak mereka dan anggota keluarga lainnya. Akhirnya yang terjadi adalah anak berani melawan orang tua, terjadi pertengkaran antara suami isteri, saling berbohong, saling cemburu, daling dengki dan sifat-sifat buruk lain akan masuk dalam diri para penghuni rumah tersebut. Ini semua disebabkan tidak dihidupkannya majlis agama dalam rumah seorang Muslim.

Sebagai contoh bahawa dari pengaruh taklim wa taklum dapat merubah jiwa jiwa yang jahat kepada kebaikan, adalah kisah Islamnya Umar ibnu al-Khattab r.a, iaitu beliau mendatangi rumah adik perempuannya, Fathimah r.a dengan kemarahan yang memuncak kerana adiknya telah masuk Islam tetapi disebabkan dalam rumah adik perempuannya telah hidup suasana taklim. Bahkan ketika itu adik perempuan beserta iparnya sedang mengadakan taklim halaqah Al-Quran, maka rumah yang penuh nuur, penuh rahmat Allah dan selalu dikeliling Malaikat ini, dapat memberi kesan pada hati Umar r.a. Sehingga pada ketika itu juga Allah telah melimpahkan hidayah-Nya pada diri Umar r.a.

Tugasan Dan Wanita Solehah

Dari Anas r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Sebaik-baik permainan bagi wanita adalah tenunannya (menjahit).” (hadis riwayat Dailami)

A’isyah r.a berkata, “Suara pintalan tenunan wanita dapat mengimbangi takbir di jalan Allah. Wanita yang memberikan pakaian kepada suaminya dari hasil tenunannya maka dari setiap jahitan dia akan mendapat 100 darjat ketinggian.”

Saiyidina Umar Ibnu al-Khattab r.a berkata, “Dan sebaik-baik kebiasaan bagi wanita adalah tenunan.” (Natsar al-Dur, 2/29)

Ustazah Aminah as-Sa’id dalam ulasannya menulis bahawa untuk meneruskan kehidupan, manusia harus mencari rezeki dan keadaan pun menjadi darurat dan memaksa wanita turut ikut mencari rezeki. Ada yang bekerja untuk memenuhi kekurangan suami, ada pula yang belum bersuami tetapi ibu bapanya sudah tidak mampu untuk mencari rezeki. Namun ada wanita yang terperangkap dengan pekerjaannya, kadang-kadang terpaksa melanggar nilai-nilai seorang wanita Muslimah bahkan, tidak sedikit dari kaum wanita meniru-niru pekerjaan lelaki atau mungkin lebih dari itu yang boleh membawa jauh dari nilai-nilai agama.

Dr Anwar Jundi menambah bahawa Islam tidak menghendaki seseorang wanita keluar dari rumahnya hanya sekadar untuk aktiviti yang tidak sesuai dengan kudratnya sama ada dengan dalih kemaslahatan masyarakat ataupun hanya sekadar keperluan peribadinya. Wanita dibolehkan bekerja sekiranya tidak ada yang dapat menanggung keperluan perbelanjaan untuk diri dan keluarganya sehari-hari dengan syarat pekerjaan itu sesuai dengan kudrat wanitanya.

Sedangkan Dr Alex Carl mengatakan bahawa masyarakat sekarang ini telah melakukan kesalahan besar dengan menggantikan tradisi wanita secara mutlak dengan kesibukan di luar rumah hingga banyak kaum ibu menyerahkan anak-anak mereka kepada pusat-pusat asuhan ataupun pembantu rumah.

Sebagai alasan atas hal itu maka Syeikh Ibnu Sulaiman mengatakan bahawa kita sama-sama mengetahui bahawa wanita adalah makhluk lemah yang sangat emosional, mudah terpengaruh oleh angan-angan dan pujukan, mudah tunduk dengan cubaan budaya moden dan hiasan kehidupan dunia yang menipu. Wanita mudah sekali berpaling dari kebenaran, terpengaruh oleh persekitaran, terbawa oleh arus hawa nafsu. Tanpa pengendalian agama dan gemar bertindak tanpa pertimbangan akal atau melihat akibatnya. Tidak semua pekerjaan sesuai dengan wanita dan tidak semua pekerjaan pula sesuai dengan lelaki. Masing-masing ada pekerjaan yang sesuai dengan kudrat dan fitrah sendiri.

Anjuran menjahit pada hadis di atas hanya sekadar contoh dari beberapa pekerjaan yang sesuai dengan kudrat wanita. Menjahit banyak hikmah dan pelajaran yang terdapat di dalamnya. Sebahagian daripada hikmah menjahit dan bertenun adalah:

  1. Menjahit dapat dilakukan di dalam rumah. Sehingga terhindar dari hal-hal yang tidak disenangi.
  2. Dapat dilakukan sambil memperbanyakkan zikir ataupun sambil membaca hafalan Al-Quran.

Mengeluarkan kaum wanita dari rumah dan menyibukkannya memang suatu rencana-rencana yang disusun oleh para musuh Islam. Sebagaimana yang dikemukakan oleh Syeikh Muhammad ibnu Abdullah dalam bukunya, beliau menulis bahawa: Orang-orang Barat menggunakan keadaan wanita Islam sebagai senjata untuk melukai Islam, lalu mencelanya sebagai agama yang tidak efektif untuk kehidupan dan tidak memberi keadilan yang layak kepada wanita. Mereka sibuk menggugat para wanita Muslimaat agar memberontak Islam. Mereka menuduh bahawa Islam merendahkan martabat wanita, melecehkan sebagai propagandanya.

Mereka menggunakan sarana-sarana informasi dan media massa. Mereka melepaskan semboyan kebebasan dan pembebasan wanita. Padahal yang sebenarnya hendak menipu para wanita agar menuntut hak-haknya, memberontak agar diberikan kebebasan, meninggikan hal-hal jahiliyyah dan mengikut budaya moden. Walhasil lahirlah emansipasi (pembebasan) wanita.

Dalam ‘huququl mar’ah’ disebutkan bahawa yang sebenarnya lebih banyak mudharat yang akan terjadi apabila wanita bekerja di luar rumah dibandingkan dengan manfaatnya. Antara lainnya ialah:

  1. Sering terjadi kemungkaran seperti percampuran dengan lelaki bukan mahram, perkenalan, komunikasi, bertemu muka dengan yang diharamkan. Memakai wangi-wangian. Mendedahkan aurat kepada yang bukan mahram sehingga menyeret kepada penzinaan.
  2. Tidak boleh melaksanakan kewajipan terhadap suami dengan baik.
  3. Meremehkan urusan rumah tangga yang seharusnya menjadi bidang wanita.
  4. Mengurangi hak-hak anak dalam banyak hal seperti kasih sayang, perhatian penyusuan, pendidikan dan sebagainya.
  5. Menyebabkan badan cepat penat dan letih sehingga mempengaruhi jiwa dan mental yang tidak sesuai dengan tabiat wanita.
  6. Mengurangi makna hakiki tentang kepimpinan suami dalam rumah tangga di hati wanita.

Di samping itu jika keinginannya telah tertumpu kepada pekerjaan, tabiat dan keperibadiaannya akan lebih mementingkan diri sendiri. Maka fikiran dan perasaannya menjadi sibuk, lupa dan bertambah jauh dari tugas-tugasnya yang hakiki iaitu kewajipan membina kehidupan suami-isteri, mendidik anak-anak dan mengatur urusab rumahtangga. Rasulullah s.a.w bersabda, “Wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan dia bertanggungjawab di atas kepimpinannya.” (hadis riwayat Bukhari)

Sememangnya ini adalah salah satu dari rencana mereka (musuh-musuh Islam) seperti yang dikatakan oleh Ustaz al-Hamid : Supaya bangsa yang dijajah tersebut tidak menyedari kewajipannya sehingga keluar dari cara hidup Islam sebenar sedikit demi sedikit.

Dr Nasih Ulwan menambah bahawa wanita bekerja diluar rumah tidak lain tidak bukan adalah termasuk dlam misi-misi musuh-musuh Islam yang hendak menghancurkan kaum Muslimin dan Muslimaat. Dengan memberi contoh-contoh kebebasan, persamaan dan sebagainya. Mengikut perilaku kehidupan orang-orang kafir adalah larangan keras bagi kaum Muslimin dan Muslimaat. Rasulullah s.a.w bersabda, “Bukan dari golongan kami orang-orang yang menyerupai selain kami. Janganlah kalian menyerupai Yahudi dan Nasrani.” (hadis riwayat Tirmizi)

Rasulullah s.a.w juga bersabda, “Barangsiapa menyerupai sesuatu kaum maka ia termasuk ke dalam golongan kaum tersebut.” (hadis riwayat Ahmad)

Oleh kerana itu kepada para wanita Islam yang belum puas dengan Islam dan terus menuntut kebebasan dan persamaan hak atas nama ‘pembebasan wanita’, katakan kepada mereka: “Tuntulah wahai wanita agar kamu berkumis atau berjanggut.”

Dibolehkan bagi wanita bekerja tetapi dengan syarat-syarat yang harus dipenuhi seperti:

  1. Ada izin dari wali, baik dari suami ataupun ibu bapa.
  2. Pekerjaan halal bukan pekerjaan yang haram atau syubhat.
  3. Tidak ada ‘ikhtilat’ atau percampuran bebas antara lelaki dan wanita.
  4. Tidak bertabarrujj, tidak menampakkan perhiasan.
  5. Tidak memakai pakaian yang ketat atau melanggar aturan berpakaian bagi wanita Islam.
  6. Ada hijab antara lelaki dan wanita.
  7. Jenis pekerjaannya pun tidak boleh melanggar kewajipan-kewajipannya yang lain seperti kewajipan terhadap suami, anak-anak dan urusan rumah tangganya.

Saiyidina Ali r.a pernah bertanya kepada Fathimah r.a, puteri Rasulullah s.a.w: “Wahai Fathimah apakah yang baik bagi seorang wanita?” Fathimah r.a menjawab, “Hendaknya dia tidak melihat lelaki yang ajnabi dan lelaki ajnabi tidak melihatnya.”


Ada yang mengatakan bahawa ‘wanita yang bekerja boleh menghilangkan rasa bosan yang berpanjangan kerana di rumah dia terus-menerus terkongkong di dalam rumah’. Dikatakan bahawa kepada mereka bahawa tugas wanita adalah di rumah suaminya, menjaga hartanya, mengatur urusan, menyedari tujuan kedudukannya sebagai isteri dan ibu rumahtangga dan tugasnya menjadikan rumahnya sebagai syurga. Itu sudah cukup untuk membunuh kekosongan hati. 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA