Selasa, 13 November 2012

Menuju Kesempurnaan Iman


Syed Mahadzir Syed Ibrahim

Bersyukur apabila mendapat nikmat. Sabar apabila mendapat kesulitan. Tawakal apabila mempunyai rancangan atau program. Ikhlas dalam segala amal perbuatan. Jangan membiarkan hati larut dalam kesedihan. Jangan menyesal atas sesuatu kegagalan. Jangan putus asa dalam menghadapi kesulitan. Jangan usil dengan kekayaan orang.
Jangan hasad dan iri atas kejayaan orang. Jangan sombong kalau memperolehi kejayaan. Jangan tamak kepada harta. Jangan terlalu keterlaluan dalam cita-cita akan sesuatu kedudukan. Jangan hancur kerana kezaliman. Jangan goyah kerana fitnah. Jangan berkeinginan terlalu tinggi yang melebihi kemampuan diri. Jangan campuri harta dengan harta yang haram.
Jangan sakiti ayah dan ibu. Jangan usir orang yang meminta-minta. Jangan sakiti anak yatim. Jauhkan diri dari dosa-dosa yang besar. Jangan membiasakan diri melakukan dosa-dosa kecil. Banyak berkunjung ke rumah Allah s.w.t (masjid). Lakukan sembahyang dengan ikhlas dan khusyu. Lakukan sembahyang fardhu di awal waktu, berjamaah di masjid. Biasakan sembahyang malam. Perbanyakkan zikir dan doa kepada Allah s.w.t. Lakukan puasa wajib dan puasa sunat. Sayangi dan santuni fakir miskin.
Jangan ada rasa takut kecuali hanya kepada Allah s.w.t. Jangan marah berlebih-lebihan. Cintailah seseorang dengan tidak berlebih-lebihan. Bersatulah kerana Allah s.w.t dan berpisahlah kerana Allah s.w.t. Berlatihlah konsentrasi fikiran. Penuhi janji apabila telah diikrarkan dan mintalah maaf apabila kerana sesuatu sebab tidak dapat dipenuhi.
Jangan mempunyai musuh, kecuali dengan iblis atau syaitan. Jangan percaya ramalan manusia. Jangan terlampau takut miskin. Hormatilah setiap orang. Jangan terlampau takut kepada manusia. Jangan sombong, takabur dan besar kepala. Berlakulah adil dalam segala urusan. Biasakan istighfar dan taubat kepada Allah s.w.t. Bersihkan rumah dari patung-patung berhala. Hiasi rumah dengan bacaan Al-Quran. Perbanyakkan silaturrahim. Tutup aurat sesuai dengan petunjuk Islam. Bicaralah secukupnya.
Beristeri atau bersuami kalau sudah sedia segala-galanya. Hargai waktu, disiplin waktu dan manfaatkan waktu. Biasakan hidup bersih, tertib dan teratur. Jauhkan diri dari penyakit-penyakit bathin. Sediakan waktu untuk santai dengan keluarga. Makanlah secukupnya tidak kekurangan dan tidak berlebihan. Hormatilah kepada guru dan ulama.
Sering-sering berselawat kepada nabi. Cintai keluarga Rasulullah s.a.w. Jangan terlalu banyak hutang. Jangan terlampau mudah berjanji. Selalu ingat akan saat kematian dan sedar bahawa kehidupan dunia adalah kehidupan sementara. Jauhkan diri dari perbuatan-perbuatan yang tidak bermanfaat seperti berborak (membebel) yang tidak berguna. Bergaullah dengan orang-orang soleh.
Sering bangun di penghujung malam, berdoa dan beristighfar. Lakukan ibadah haji dan umrah apabila sudah mampu. Maafkan orang lain yang berbuat salah kepada kita. Jangan dendam dan jangan ada keinginan membalas kejahatan dengan kejahatan lagi. Jangan membenci seseorang kerana fahaman dan pendiriannya. Jangan benci kepada orang yang membenci kita. Berlatih untuk berterus terang dalam menentukan sesuai pilihan
Ringankan beban orang lain dan tolonglah mereka yang mendapatkan kesulitan. Jangan melukai hati orang lain. Jangan membiasakan berkata dusta. Berlakulah adil, walaupun kita sendiri akan mendapatkan kerugian. Jagalah amanah dengan penuh tanggung jawab. Laksanakan segala tugas dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan. Hormati orang lain yang lebih tua dari kita. Jangan membuka aib orang lain.
Lihatlah orang yang lebih miskin daripada kita, lihat pula orang yang lebih berprestasi dari kita. Ambilah pelajaran dari pengalaman orang-orang arif dan bijaksana. Sediakan waktu untuk merenung apa-apa yang sudah dilakukan. Jangan sedih kerana miskin dan jangan sombong kerana kaya. Jadilah manusia yang selalu bermanfaat untuk agama, bangsa dan negara. Kenali kekurangan diri dan kenali pula kelebihan orang lain. Jangan membuat orang lain menderita dan sengsara.
Berkatalah yang baik-baik atau tidak berkata apa-apa. Hargai prestasi dan pemberian orang. Jangan habiskan waktu untuk sekedar hiburan dan kesenangan. Akrablah dengan setiap orang, walaupun yang bersangkutan tidak menyenangkan. Sediakan waktu untuk bersenam yang sesuai dengan norma-norma agama dan kedudukan diri kita. Jangan berbuat sesuatu yang menyebabkan fisikal atau mental kita menjadi terganggu.
Ikutilah nasihat orang-orang yang arif dan bijaksana. Pandai-pandailah untuk melupakan kesalahan orang dan pandai-pandailah untuk melupakan jasa kita. Jangan berbuat sesuatu yang menyebabkan orang lain terganggu dan jangan  berkata sesuatu yang dapat menyebabkan orang lain terhina. Jangan cepat percaya kepada berita jelek yang menyangkut teman kita sebelum  dipastikan kebenarannya. Jangan menunda-nunda pelaksanaan tugas dan kewajiban.
Sambutlah huluran tangan setiap orang dengan penuh keakraban dan keramahan  dan tidak berlebihan. Jangan memforsir diri untuk melakukan sesuatu yang diluar kemampuan diri. Waspadalah akan setiap ujian, cubaan, godaan dan tentangan. Jangan lari dari  kenyataan kehidupan. Yakinlah bahwa setiap kebajikan akan melahirkan kebaikan dan setiap  kejahatan akan melahirkan kerusakan. Jangan gembira di atas penderitaan orang dan jangan kaya dengan memiskinkan  orang.

Laluan Menuju Ke Kubur

a. Jauhkan dari perbuatan mengumpat dan mengeji
b. Hindarkan perasaan iri hati (benci)
c. Jangan terpengaruh dengan emas atau perak
d. Sucikan qadha’ hajat dengan istibra (berak atau kencing)

Laluan Untuk Berjumpa Izrail

a. Bersihkan diri dengan bertaubat
b. Gembirakan hati orang Mukmin
c. Bayar semula kadha’ yang tertinggal
d. Kasih sepenuh hati kepada Allah s.w.t

Laluan Untuk Bertemu Mungkar Nangkir

a. Mengucap dua kalimah syahadat
b. Suka memberi sedekah
c. Berkata benar
d. Bersihkan dan perbaiki hati

Laluan Untuk Memberatkan Timbangan

a. Belajar atau mengajar ilmu yang bermanafaat
b. Sucikan perkataan dan pakaian
c. Bersyukur dengan yang sedikit
d. Suka dan redha dengan yang didatangkan oleh Allah s.w.t

Laluan Memantapkan Amalan

a. Jauhkan perkataan yang sia-sia
b. Pendekkan cita-cita dunia
c. Banyakkan puji-pujian kepada Allah s.w.t
d. Banyakkan sedekah dan khairat

Laluan Melalui Titian Sirat Al-Mustakim

a. Kasihilah aulia Allah s.w.t
b. Berbaktilah kepada kedua ibu bapa
c. Berpegang teguh dengan hukum syarak
d. Bercakap perkataan yang baik sesama makhluk

Laluan Menjauhkan Diri Dari Neraka

a. Banyakkan membaca Al-Quran
b. Banyakkan menangis kerana dosa-dosa yang lalu
c. Tinggalkan perkara yang maksiat
d. Jauhkan segala yang haram

Laluan Untuk Memasuki Syurga

a. Membuat kebajikan seberapa banyak yang boleh
b. Kasihi orang yang soleh
c. Kerjakan segala suruh-suruhan Allah s.w.t
d. Merendahkan diri di antara semua makhluk Allah s.w.t

Laluan Berjumpa Dengan Rasulullah s.a.w

a. Kasihilah Nabi Allah s.w.t
b. Kasihilah Rasulullah s.a.w
c. Tuntutilah yang difardhukan oleh Allah s.w.t
d. Banyakkan selawat kepada Rasulullah s.a.w

Laluan Untuk Bertemu Allah s.w.t

a. Serahkan seluruh jiwa raga kepada Allah s.w.t
b. Hindarkan diri dari menderhaka kepada Allah s.w.t
c. Betulkan dan baikkan iktikad kepada Allah s.w.t
d. Bencikan segala yang diharamkan-Nya

Sekadar Renungan


Syed Mahadzir Syed Ibrahim

Maksud sebuah hadis daripada Muazd Bin Jabal r.a. berkata, ‘Aku telah mendengar Rasullullah s.a.w bersabda: ‘Ambillah pemberian itu selagi masih sebagai pemberian. Tetapi apabila ia telah menjadi rasuah dalam pandangan agama maka jangan kamu mengambilnya. Namun kenyataanya kamu tidak akan dapat meninggalkan rasuah itu kerana kamu takut fakir dan kamu sangat berhajat untuk mengambilnya.’
Maksudnya: Di dunia akhir zaman ini rasuah semakin menjadi-jadi. Dengan adanya rasuah mereka berkuasa untuk membeli pangkat serta kedudukan dan dengan adanya wang juga mereka mampu mendapat kemudahan dari yang berpangkat dan berkuasa untuk kepentingan peribadi tanpa memikirkan orang yang lain.
Dalam erti kata lain, wang telah menjadi Tuhan yang disembah dan dipuja oleh setiap insan yang tamak dan rakus. Dalam erti kata yang sebenar mereka ini tidak lagi mengenali atau mempedulikan sesiapa, maka musnahlah akhlak dan budi pekerti sebagai seorang yang beriman. Dan wujudlah kezaliman serta penindasan dari lapisan yang berkuasa serta berpangkat terhadap insan yang lemah. Dengan yang demikian sedarlah kita janganlah terlalu memuja wang dan rasuah.
Bertakwalah kepada Allah s.w.t di tempat yang sunyi atau ramai. Ucapkanlah kata-kata yang benar pada waktu suka (senang) dan marah. Sederhanalah pada waktu miskin dan kaya. Berlaku adil terhadap teman dan musuh. Berlaku adil pada waktu rajin dan malas. Cinta kepada Allah s.w.t pada waktu senang dan susah. Tidak ada satu kejahatan pun yang membawa ke dalam syurga serta tidak ada satu kebaikan yang membawa dalam neraka. Semua kesenangan dianggap hina dan menipu selain kesenangan syurga. Semua kesusahan masih dianggap ringan selain daripada seksa api neraka.
Siapa orang yang mengakui kesalahannya, bererti dia memaafkan kesalahan orang lain. Siapa yang tiada bahagian kepada rezeki yang sudah dibahagi Allah s.w.t, bererti dia tidak merasa sedih bila rezeki itu ditarik semula darinya. Barangsiapa yang menggali lubang untuk saudaranya, dialah yang akan masuk lubang. Barangsiapa yang membuka tabir orang lain, aurat anaknya akan terbuka.
Barangsiapa yang lupa akan kesalahannya bererti ia suka mengatakan kesalahan orang lain. Barangsiapa yang kagum kepada pendapatnya adalah sesat. Siapa yang hanya mengikut pendapatnya sesat. Siapa yang sombong terhadap manusia sesat. Siapa yang bergaul dengan orang jahat adalah hina, orang yang bergaul dengan ulama akan tenteram fikirannya, sedangkan berkawan dengan orang jahat tidak akan selamat.
Sesiapa yang berkawan dengan orang soleh akan mendapat kemudahan, sedangkan bergaul dengan orang jahat akan dicurigai. Siapa yang tidak sanggup mengekang diri (dari mengikut hawa nafsu) pasti akan menyesal. Siapa yang banyak bergurau dipandang remeh. Orang yang dipandang remeh, bererti diperolok-olokan. Siapa yang banyak bertingkah, mudah akan dikenali. Siapa yang banyak bercakap, banyak pula kesalahannya. Orang yang banyak kesalahannya, bererti sedikit malunya. Orang yang sedikit malu, bererti sedikit waraknya. Orang yang sedikit waraknya, bererti sudah mati hatinya, orang yang sudah mati hatinya akan dimasukan ke dalam neraka.
Adab adalah sebaik-baik warisan, sedangkan akhlak yang baik adalah sebaik-baik teman. Kesejahteraan yang menyelamatkan ada sepuluh, sembilan di antaranya diam, kecuali untuk berzikir kepada Allah s.w.t dan satu lagi ialah meninggalkan bergaul dengan orang-orang yang bodoh.
Tidak ada paling mulia selain daripada Islam. Tidak ada kemuliaan lebih daripada takwa. Tidak ada pemikiran yang lebih terjamin daripada warak. Tidak ada penyelamat yang paling ampuh selain dari taubat. Tidak ada pakaian yang paling cantik selain keselamatan. Rakus adalah punca kepenatan dan penyebab kesukaran. Berfikir sebelum tertindak, akan terselamat dari penyesalan.
Sejahat-jahat bekalan akhirat adalah memusuhi hamba Allah s.w.t. Beruntunglah orang yang berilmu dan amalannya ikhlas kerana Allah s.w.t. Dalam suasana suka dan duka, pada waktu mengerjakan suruhan-Nya atau meninggalkannya, bercakap atau diam, perkataan dan perbuatannya semuanya ikhlas kerana Allah s.w.t.
          Ini ada sebuah kisah yang seronok juga untuk dibaca. Sarinya sesuatu yang wajar kita halusi demi memantapkan lagi keimanan kita kepada Allah s.w.t. Kisahnya berbunyi begini:
Seorang lelaki yang baru pulang dari luar negeri dengan angkuhnya telah bertanya pada setiap orang tentang keesaan tuhan. Tetapi belum ada yang dapat memberikan satu jawapan yang memuaskan. Lalu dia telah menemui seorang Imam untuk menguji pengetahuannya.

Lelaki: Bolehkah tuan memberikan jawapan pada soalan saya ini. Telah ramai bijak pandai yang saya soal belum dapat memberikan jawapan yang memuaskan.
Imam: Insya-Allah,dengan izinnya saya akan cuba untuk menjawab setiap pertanyaan tuan.
Lelaki: Baiklah, saya ada tiga soalan, begini:

1.      Benarkah Tuhan itu ada? Sedangkan kita tak nampak akan kewujudannya.
2.      Apakah itu takdir? Benarkah kita tak tahu takdir kita.
3.      Kita diajar bahawa Iblis dan Syaitan itu dicipta dari api dan mereka akan dibakar dengan api di akhirat kelak. Tidakkah Tuhan tahu api dibakar dengan api adakah akan terasa sakitnya seksaan itu.

Apabila Imam itu mendengar tiga soalan tersebut, dia pun memberikan satu tamparan yang kuat ke muka lelaki tadi.

Lelaki: Adakah tuan marah sehingga menampar muka saya? (sambil mengosok mukanya yang perit kerana ditampar)
Imam: Itulah jawapan kepada ketiga-tiga soalan tuan tadi. Apakah tuan rasa apabila ditampar tadi?
Lelaki: Tentunya rasa sakit.
Imam: Bolehkah tuan gambarkan sakit itu macam mana rupanya? Adakah ia besar, leper atau sebagainya?
Lelaki: Tentulah tidak boleh.
Imam: Begitulah juga dengan Tuhan. Kita tidak dapat menggambarkannya. Tetapi kita tahu Dia ada. Adakah semalam ada orang memberi tahu atau adakah semalam tuan ada bermimpi yang saya akan menampar muka tuan hari ini?
Lelaki: Tidak.
Imam: Itulah yang dinamakan takdir. Tuan tak akan tahu apa akan jadi pada keesokan hari atau selepas ini. Dari apakah tangan saya ini diperbuat?
Lelaki: Dari kulit dan daging.
Imam: Dari apakah pipi kamu diperbuat?
Lelaki: Tentulah sama dari kulit dan daging.
Imam: Dua benda dari ciri yang sama, tuan sendiri telah merasa sakitnya. Begitulah ketentuan Tuhan apa yang akan terjadi  kepada Iblis dan Syaitan.
Lelaki: Allahhuakbar.

Hidup Kita Cuma Dalam 3 Hari:

1.      Semalam - Sudah menjadi sejarah.
2.      Hari Ini - Apa yang sedang kita lakukan.
3.      Esok - Hari yang belum pasti.

Hisablah hari pertama semoga hari yang kedua kita lebih baik dari hari yang pertama? Jangan mengharap hari yang ketiga kerana mungkin ajal kita pada hari yang kedua.

Hidup Kita Cuma Dalam 2 Nafas:

1.      Nafas naik.
2.      Nafas turun.

Hargailah nafas yang naik kerana udara yang disedut adalah pemberian Allah s.w.t secara percuma dan carilah keredhaan-Nya dalam menggunakannya. Bertaubatlah dalam nafas yang kedua kerana mungkin itu nafas yang terakhir keluar dari tubuh bersama nyawa dan roh untuk meninggalkan dunia yang fana ini.

Hidup Kita Cuma Ada 2 Pilihan:

1.      Hidup dalam keredhaan Allah s.w.t.
2.      Hidup dalam kemurkaan Allah s.w.t.

Hidup Kita Yang Abadi Cuma Ada 2 Tempat:

1.      Kekal di dalam neraka.
2.      Kekal di dalam syurga.

Ingatlah kecelakaan neraka itu amat mengerikan dan kita hanya diyakinkan oleh keyakinan kita kepada Rukun Iman. Rukun Iman itu pula ada 6 dan hilang salah satu darinya maka hilanglah ia. Kelazatan dan kesejahteraan syurga itu maha hebat. Tidak terduga oleh fikiran kita dan untuk mendapatkannya? Terjemahkan rukun Islam yang 5 itu dan puncaknya adalah solat.
Amat sukar untuk dipercayai bagi yang ingin ke syurga tetapi tidak bersolat, umpama seorang yang mahu menaiki kapal terbang tetapi tidak mempunyai boarding pass. Dan mereka yang sengaja melalaikan solat, umpama mengirimkan sepucuk surat tanpa melekatkan setem. Apabila ditanya bagaimana surat itu akan sampai pada penerimanya lalu dia pun berkata setemnya akan dihantar kemudian. Ada 2 penyelesaian dalam kes ini iaitu:

1.      Dia mungkin didenda.
2.      Segala suratnya masuk tong sampah.

Tidakkah kita semestinya bersyukur atas segala nikmat yang Allah s.w.t telah kurniakan kepada kita. Sekurang-kurangnya Allah s.w.t telah beri udara secara percuma untuk kita berzikir mengingati Allah s.w.t setiap detik dan ketika, hinggalah kita kembali kepada-Nya dalam keadaan jiwa yang tenang lalu masuk ke dalam syurga dalam keadaan kita redha dan Allah s.w.t meredhai. Wallhualam.

Jadikan Al-Quran Itu Kekasih


Syed Mahadzir Syed Ibrahim

Tidak salah malah dituntut supaya Al-Quran dijadikan kekasih kita. Yang saya maksudkan ‘kekasih’ ialah sesuatu ang kita sayang, kita cintai dan kita kasihi sepenuh hati. Ibaratkan seorang gadis atau seorang jejaka yang kita jadikan kekasih, apakah bentuk kasih sayang yang kita mampu berikan? Tentu sekali kita tak mahu berpisah dengannya walau sesaat. Sebab itulah saya menggunakan perkataan ‘kekasih’ untuk lebih memudahkan saya membuat ulasan di dalam rencana ini.
Anggapkan Al-Quran itu seumpama seorang kekasih kita. Mungkin ini merupakan tamsilan mudah untuk menerangkan perkaitan Al-Quran dalam kehidupan kita seharian. Ternyata, apabila sesuatu itu menjadi kekasih hati kita, maka pelbagai cara kita menzahirkan rasa cinta yang begitu mendalam, apa bentuk dan cara sekalipun. Dan sememangnya jika kita bercinta dengan sesuatu itu mengharap cinta kita tidak bertepuk sebelah tangan! Dari itu, marilah kita merenung sejauh mana hati kita benar-benar mencintai Al-Quran kalam Allah Yang Maha Agung ini.

1. Kekasih Yang Terlalu Istimewa

Sekeping warkah daripada orang yang kita cintai, pasti akan ditatap sepuas-puasnya malah berulang kali dibaca. Namun, hakikatnya akan timbul juga rasa jemu kelak. Tidakkah ia hanya sekadar bahasa yang tidak memiliki sebarang keistimewaan?
Berbanding dengan Al-Quran, biarpun kita membacanya berulangkali, tidak sedikit pun kita akan merasa jemu apatah lagi membencinya. Allah s.w.t telah berfirman, maksudnya; ‘(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan ‘zikrullah.’ Ketahuilah dengan ‘zikrullah’ itu, tenang tenteramlah hati manusia.’ (Surah Ar-Rad: 28 )
Malah dijanjikan oleh Allah s.w.t sesiapa yang ikhlas mengharap keredhaan-Nya. Dengan memperbanyakkan zikrullah (mengingati Allah) maka dia akan memperolehi ketenangan yang membahagiakan. Dan zikrullah yang paling afdal (terbaik) itu ialah membaca Al-Quran.
Seterusnya Allah s.w.t juga menyatakan keistimewaan kekasih ini iaitu Allah s.w.t menurunkan dengan sebaik-baiknya perkataan sebagai firman-Nya dalam surah az-Zumar, ayat 23 bermaksud; ‘Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Quran yang bersamaan isi kandugannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan pelbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. Kitab suci itulah hidayah petunjuk Allah; Allah memberi hidayah petunjuk dengan Al-Quran itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya.’

2. Kekasih Yang Perlu Dimuliakan

Al-Quran juga merupakan kekasih yang perlu dimuliakan kerana sifatnya yang berkat dan banyak manfaatnya. Dengan itu Allah s.w.t telah menyeru kita agar mematuhi kandungan kekasih itu kerana dengan itu kita akan memperolehi keberkatan daripada-Nya.
Firman Allah s.w.t bermaksud: ‘Dan ini sebuah kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang ada berkatnya (banyak manfaatnya),  itu, hendaklah kamu menurutnya; dan bertakwalah (kepada Allah), mudah-mudahan kamu beroleh rahmat.’ (Surah Al-An’am: 155)
Malah Allah s.w.t juga menggariskan adab-adab bagaimana memuliakan kekasih kita ini. Antaranya ialah apabila kita mendengar bacaan Al-Quran, maka kita perlu mendengar dan berdiam diri, sebagaimana ingatan Allah s.w.t dalam surah al-A’raf, ayat 204, maksudnya: ‘Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.’

3. Kekasih Yang Setia

Kesetiaan dalam percintaan adalah jaminan kebahagiaan hati. Begitulah juga seandainya kita menjalinkan cinta bersama Al-Quran. Namun begitu, orang yang bercinta dengan Al-Quran akan sentiasa mengukur kesetiaan dirinya terhadap Al-Quran. Lalu apakah ukurannya?
Bukankah qiamullail itu adalah satu pengukur yang paling relevan? Ini kerana kesukaran untuk menunaikan ibadah pada malam hari dengan tidur yang sedikit itu menggambarkan pengorbanan.
Maksud firman Allah s.w.t: ‘Ahli-ahli Kitab itu tidaklah sama. Antaranya ada golongan yang telah (memeluk Islam dan) tetap (berpegang kepada agama Allah yang benar) mereka membaca ayat-ayat Allah (Al-Quran) pada waktu malam, semasa mereka sujud (mengerjakan sembahyang). Mereka beriman kepada Allah s.w.t dan hari akhirat, dan menyuruh berbuat. Segala pekara yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), dan mereka pula segera pada mengerjakan berbagai-bagai kebajikan. Mereka (yang demikian sifatnya), adalah dari orang-orang yang soleh.’ (Surah Ali Imran, ayat 113-114 )
Malah at-Tabrani meriwayatkan daripada Sahl bin Sa’ad r.a daripada Rasulullah s.a.w, sabda baginda; ‘Kemuliaan seorang Mukmin ialah qiamullail (bangun pada waktu malam untuk beribadat).’
Baginda juga menceritakan tentang kelebihan dan ganjaran yang diperolehi seseorang yang berqiamullail dan membaca Al-Quran. Sabda Baginda: ‘Sesiapa yang melakukan qiamullail dengan membaca sepuluh ayat, dia tidak tertulis daripada kalangan orang-orang yang lalai. Sesiapa yang melakukan qiamullail dengan membaca seratus ayat akan ditulis daripada kalangan orang yang beribadat. Sesiapa yang melakukan qiamullail dengan membaca seribu ayat akan ditulis daripada kalangan orang yang berlaku adil.’ (Riwayat Abu Daud)

4. Kekasih Yang Perlu Dibelai Sentiasa

Kekasih yang perlukan belaian bermaksud kita perlu menjaganya dan sentiasa mendampinginya. Dari itu, Rasulullah s.a.w sering memberi amaran dan memerintahkan agar umatnya menjaga Al-Quran dan tidak melupakannya.
Daripada Anas bin Malik r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Dibentangkan kepadaku pahala umatku, sehingga pahala hasil perbuatan seseorang yang membuang kotoran daripada masjid. Dibentangkan juga kepadaku dosa-dosa umatku. Aku tidak dapati dosa yang lebih besar daripada satu surah atau satu ayat yang dikurniakan kepada seseorang kemudian dia melupakan.’ (Riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)
Selain itu, kita membelai kekasih ini dengan sifat kita berlumba-lumba untuk membacanya pagi dan malam malah berasa iri hati dengan ‘kegilaan’ orang lain membaca Kalamullah itu. Dari Ibnu Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Hasad (iri hati) itu tidak dibenarkan melainkan dua pekara, seseorang yang dirahmati Allah dengan bacaan Al-Quran dan terus berada dalam keadaan demikian siang dan malam dan seorang lagi yang dilimpahkan dengan harta yang banyak oleh Allah dan dia membelanjakannya siang dan malam.’
Hasad dan iri hati semestinya dilarang oleh Allah s.w.t. Bagaimanapun ulama mentafsirkan hasad di sini sebagai ghitbah  yang dimaksudkan sifat ingin berlumba-lumba. Sifat ini menggambarkan keinginan memperolehi sesuatu sama seperti orang itu dan berlumba-lumba untuk lebih terhadapan dalam beramal.
Semoga kita akan terus konsisten atau beramal secara berterusan untuk menjaga hubungan baik kita bersama Al-Quran. Bukankah dia kekasih yang membahagiakan?

Keutamaan Membaca Al-Quran

Membaca Al-Quran mempunyai banyak keutamaan, antaranya ialah:

1.      Ibadat yang paling utama dari segi bacaan, manakala sembahyang sebesar ibadat dari segi gerak laku atau perbuatan.
2.      Pahala membaca Al-Quran: 1 huruf 10 kebajikan, dan menurut Ibnu Majah diganda sampai 400 dan menurut Ibnu Al Jauzi diganda 700 kali.
3.      Balasan satu huruf yang dibaca ialah bidadari di syurga.
4.      Juga dikatakan balasan sebatang pokok di syurga.
5.      Pahala membaca satu huruf Al-Quran;
·         Dalam sembahyang - 100 kebajikan
·         Di luar sembahyang berwudhuk 50 kebajikan
·         Tanpa wudhuk - 10 kebajikan
6.      Pembaca Al-Quran adalah hartawan dan pahala membaca tidak akan putus mengikut Ibnu Abbas.
7.      Untuk selamat daripada api neraka.
8.      Mendapat kedudukan yang tinggi dan mulia bersama Malaikat.
9.      Pada hari kiamat, Al-Quran menjadi pembela.
10.  Pembaca akan memperolehi keamanan.
11.  Membaca sebelum tidur akan mendapat kawalan Malaikat.
12.  Pembaca dimasukkan ke dalam golongan siddiqin.

Benarkah Islam Disebarkan Dengan Pedang?


Syed Mahadzir Syed Ibrahim

Dalam melayari laman web, saya terbaca sebuah artikel yang berjudul terorisis. Dalam tulisan itu penulisnya mengulas tentang sebuah fenomena yang cukup membimbangkan dalam perkembangan gerakan Islam moden. Kebimbangan yang cukup beralasan kerana ditunjang kenyataan objektif yang telah terjadi dalam beberapa tahun terakhir di mana agama mulai bergeser dari nilai kelembutan menuju bentuk kekerasan.
Memang hanya sedikit dari segi kuantiti mereka yang tergerak untuk melakukan kekerasan dengan alasan agama tersebut, tetapi akibat yang ditimbulkan melebihi akibat yang dibimbangkan oleh mereka sendiri terhadap golongan progresif yang mereka anggap muslim-muslim yang wajar dipersoalkan keislamannya.
Dalam ulasannya, penulis artikel tersebut mempersoalkan dengan nada sindiran yang tidak kurang tajam terhadap prinsip yang dipegang oleh golongan ini. Pada satu sisi mereka seringkali protes ketika dituduhkan bahawa Islam disebarkan dengan pedang, sedang pada sisi lain mereka sendiri masih berpegang pada prinsip dikotomi Darul Islam dan Darul Harb.
Sedangkan golongan Islam yang lebih mementingkan kedamaian dan cinta kasih menganggap mereka ini sebagai orang-orang Muslim yang keliru dalam memahami Islam yang sebenarnya. Tetapi anggapan ini dengan sendirinya tertolak dengan kenyataan bahawa mereka mendasari prinsip-prinsip gerakan dengan inti ajaran yang menjadi dasar legitimasi mereka.
Sebagaimana yang diulas oleh penulis tersebut dengan menyemak wawancara akhbar Tempo dengan Imam Samudera boleh disimpulkan bahawa Imam Samudra sama sekali tidak keliru dalam memahami Islam. Beliau berpegang pada prinsip ajaran yang menurutnya sahih dan layak untuk diadopsi menjadi prinsip pergerakan.
Selain wawancara tersebut, penulis artikel itu juga mengulas realiti yang sedang berlangsung secara umum dan yang beredar di sekitar lingkungan beliau sendiri secara khusus sehingga beliau menyimpulkan: ‘Cara berfikir Imam Samudera ini kalau diturut sampai ke tingkat ideologi dan teologi akan terlihat kemiripannya dengan rakan-rakannya yang memandang dunia ini dalam kategori dar al-Islam dan dar al-harb/kufr. Bezanya, tentu saja Imam Samudera sudah berjaya mewujudkan keyakinannya, sedangkan kawan-kawannya yang lain tinggal didorong sedikit lagi. Atau dalam bahasa Imam Samudera, kawan-kawan tersebut masih ‘pengecut’.’
Dari ulasan tersebut, saya melihat penulis artikel tersebut perlahan-lahan terseret kepada pandangan yang membenarkan bahawa Islam dulu disebarkan melalui pedang lalu cuba mengajak orang-orang Islam untuk meninggalkan cara yang beliau anggap keliru tersebut sebagaimana beliau tuliskan pada bahagian akhir tulisan: ‘Mari kita tunjukkan bahawa cara-cara yang pernah dilakukan para sahabat dengan menyebarkan Islam melalui pedang itu keliru.’
Anggapan penulis yang menyatakan bahawa benar Islam dulu disebarkan melalui pedang adalah sama dengan golongan keras yang beliau ulas itu. Hanya bezanya, beliau menganggap cara itu keliru dan harus ditinggalkan sedang golongan keras termasuk di antaranya bibit-bibit baru yang masih berpegang pada dikotomi darul Islam dan darul harb menganggap cara itu sebagai dalil yang boleh dijadikan prinsip pergerakan.
Kalau yang dimaksudkan dengan cara ‘disebarkan melalui pedang’ itu adalah kenyataan objektif dari sejarah yang pernah terjadi dalam Islam dulu tentu kita semua memang mengakui peperangan-peperangan yang telah terjadi tersebut. Tetapi apakah peperangan itu bertujuan untuk menyebarkan Islam sehingga boleh kita sebut Islam disebarkan melalui pedang? Walau pada masa sekarang kita menganggapnya sebagai cara yang keliru atau barangkali peperangan-peperangan itu sendiri bukan tujuan utamanya untuk menyebarkan Islam?

1.      Pertama sekali mengamati pendapat yang dilontarkan.
2.      Kedua, mengamati kembali sejarah Semenanjung Arab ketika kita melihat tawaran yang dilontarkan dalam setiap peperangan yang dilancarkan, berupa:
·         ajak mereka masuk Islam
·         kalau mereka enggan, suruh mereka bayar jizyah
·         kalau enggan masuk Islam dan enggan bayar jizyah, maka perangilah mereka.

Tiga tawaran yang diberikan memang disebutkan dalam buku-buku sejarah dan dalam atsar-atsar yang sahih. Bahkan juga sahih bahawa Rasulullah s.a.w setelah Fathu Mekah mengirimkan surat ke berbagai wilayah Arab waktu itu untuk meminta mereka tunduk dan menawarkan perkara-perkara tersebut.
Pada tawaran kedua jelas disebutkan apabila enggan masuk Islam maka harus bayar jizyah. Kalau demikian, boleh kita bayangkan seandainya  waktu itu mereka memilih tawaran kedua saja, boleh jadi Islam tidak menyebar luas seperti sekarang dan tawaran itu juga bererti bahawa peperangan yang pernah terjadi bukan bertujuan agar wilayah yang diserang mengganti keyakinan agar menjadi Islam.
Kalau peperangan itu bertujuan menyebarkan Islam dan penyebaran itu memang harus dengan pedang, semestinya tawaran kedua itu tidak perlu dan hanya dengan itu boleh kita benarkan peperangan yang dilancarkan memang menginginkan agar-agar orang-orang yang diserang masuk Islam.
Persoalan seterusnya, kalau peperangan itu bukan bertujuan menyebarkan Islam dan anggapan atau keyakinan kebanyakan orang bahawa menyebarkan Islam dengan pedang itu adalah anggapan atau keyakinan yang keliru, lalu untuk apa peperangan itu mesti terjadi?
Untuk menjawab persoalan ini, penting bagi kita untuk melihat kembali sejarah Semenanjung Arab dan sekitarnya dan peristiwa-peristiwa yang berlangsung ketika itu. Kemudian bagaimana kedudukan sosial budaya bangsa Arab yang terdiri dari kabilah-kabilah bebas di wilayahnya masing-masing. Dan dari sana boleh kita fahami bahawa peperangan yang terjadi lebih menunjukkan peranan Islam dan inti ajarannya yang mengutamakan nilai-nilai persatuan, nilai-nilai perdamaian, dan membangkitkan kembali jati diri manusia untuk tetap menjadi manusia yang bermartabat.
Sebelum Islam datang, Semenanjung Arab merupakan wilayah konflik peperangan antara dua empayar besar iaitu Romawi dan Persia. Sedangkan orang-orang Arab sendiri ketika itu tercerai-berai dalam kabilah-kabilah yang tidak sedikit dan di antara mereka sendiri terjadi peperangan dahsyat yang tidak kunjung habisnya.
Peperangan-peperangan yang terjadi di antara mereka secara substansi berbeza dengan peperangan antara Romawi dan Persia yang lebih terfokus kepada perluasan wilayah, hegemoni politik, dan ekonomi. Sehingga wajar saja di satu wilayah tertentu kabilah Aus dan Khazraj sedang berperang (terkenal dengan hari Buast), sedang di wilayah lain merupakan rebutan strategik antara Romawi dan Persia.
Kabilah-kabilah Arab yang ada di wilayah rebutan strategik tidak terkait dengan peperangan kabilah lain tetapi mereka secara tidak langsung terlibat dengan peperangan yang berlangsung di wilayah perebutan itu. Seperti misalnya dinasti Sasanid yang menyokong Persia dan al-Manadzirah yang menyokong Romawi.
Pergolakan peperangan terus berlangsung bertahun-tahun yang pada intinya orang-orang Arab tidak lagi menjadi tuan di tanahnya sendiri. Masing-masing berada dalam pengaruh kekuatan asing yang saling berebut untuk menguasai wilayah.
Pada waktu yang sama, Mekah adalah daerah yang tandus dan tidak diambil kira oleh kekuatan-kekuatan besar tersebut. Secara geografi dalam perhitungan ekonomi dan politik kedua empayar yang berseteru, Mekah juga dipandang tidak strategik, sehingga Mekah merupakan wilayah yang jauh dari konflik.
Pada sisi lain, kabilah-kabilah Arab mengakui eksistensi dan kepemimpinan Quraisy di Mekah dengan sistem pengaturan yang sistematik dan demokratik yang dibangun dan disempurnakan semenjak masa Qusay ibn Kilab. Amat demokratiknya, sehingga berhala setiap kabilah diletakkan di Kaabah dan pada setiap tahun ada jadual-jadual resmi yang sudah diatur dan biasanya didahului dengan pertemuan dan perayaan resmi, seperti Pasar Ukaz di pinggir kota Mekah yang sangat terkenal di mana setiap penyair kabilah bertanding untuk menunjukkan kebolehan dan ada ‘dewan juri’ dari para sasterawan yang sudah diakui berbagai kabilah.
Tidak jarang, pertandingan ini juga seringkali membuahkan pertumpahan darah kerana bagi kabilah Arab waktu, bagi kabilah yang tidak mempunyai penyair sebaiknya tidak usah tunjuk diri. Sebulan (lebih kurang) setelah Pasar Ukaz, para kabilah kemudian menuju Mekah untuk mengadakan perayaan dan melakukan peribadatan mereka.
Merupakan hikmah yang luar biasa dari sebuah kebesaran Allah yang maha menentukan, di Mekah yang tidak masuk dalam konflik ketika itu dan tidak strategik menurut kekuatan-kekuatan yang berperang dalam kepentingan mereka tetapi mempunyai pengaruh strategik di kalangan kabilah-kabilah Arab sendiri.
Pada ketika Mekah sudah mulai dibawa masuk ke dalam konflik yang ditandai dengan penyerangan tentera bergajah Abrahah dari Yaman dan para ketua Quraisy ketika itu hanya boleh pasrah dan menyerahkan semuanya kepada Rabbul Bait (ungkapan Abdul Muttalib). Dan kekuatan dahsyat pun terjadi, tentera-tentera ini dikalahkan oleh burung-burung Ababil yang melemparkan mereka dengan batu dari Sijjil. Pada ketika itu dan di negeri inilah Muhammad s.a.w dilahirkan.
Setelah berhasil membangunkan kembali mental dan spiritual kabilah-kabilah Arab dengan agama dan keyakinan yang diemban oleh Muhammad s.a.w di mana konflik sosial, agama, dan budaya berakhir dengan Fathu Mekah, mulailah risalah rahmatan lil alamin menggema di seluruh wilayah Semenanjung Arab dan mengajak kepada seluruh wilayah untuk menjadi tuan di negeri sendiri bukan menjadi tawanan lebih-lebih lagi hamba kekuatan asing yang hanya ingin memperluaskan wilayah kekuasaan dan melindungi kepentingannya saja.
Tidak syak lagi, yang menolak bererti perang, sedang yang mahu menjadi tuannya sendiri dengan membayar jizyah dipersilakan tanpa harus merubah keyakinannya, dan yang menerima Islam menjadi keyakinannya lebih dialu-alukan lagi.
Tentu saja sudah boleh diduga dengan akal yang sederhana, Romawi dan Persia tidak mungkin dengan begitu mudah melepaskan wilayah yang mereka kuasai dengan susah payah dan perang bertahun-tahun. Dan dengan ini, peperangan tidak lagi antara Romawi dan Persia tetapi ditambah kekuatan ketiga yang juga sudah mandiri ingin membebaskan wilayahnya agar menjadi tuan di tanah sendiri.
Tidak seperti dulu lagi, kekuatan ketiga ini kalau tidak berperang sesama mereka, berperang untuk membela kekuatan yang disokongnya, penyokong Persia atau penyokong Romawi. Kalau peperangan tiga kekuatan besar ini melebar hingga ke luar wilayah Arab, itu merupakan konsekuensi yang wajar dari peperangan yang terus berlanjutan.
Peperangan Romawi dan Persia ini juga yang sebelumnya sudah diberitakan oleh Al-Quran dan merupakan sebahagian dari mukjizatnya ‘Gulibatir Ruum’. Dengan demikian boleh diteliti lagi ternyata peperangan-peperangan yang berlangsung bukan untuk menyebarkan Islam tetapi untuk manusia menjadi tuan di negeri sendiri dan menjadi manusia yang utuh dan bermartabat (i’tizaz bin nafsi).
Kerana prinsip yang jelas seperti itulah, ketika Saidina Umar r.a. menerima surat permintaan dari penguasa Mesir untuk membebaskan mereka dari tindasan dan kekuasaan Romawi, beliau mengirimkan pasukan yang dipimpin oleh Amr bin ‘Ash dan memberikan pesan agar jangan sama sekali menyentuh gereja apalagi menghancurkannya dan memberikan kebebasan kepada penduduk peribumi bagaimana kepercayaan yang mereka yakini.
Bahkan ketika sudah berjaya menguasai Mesir, Amr bin ‘Ash menemui kebiasaan yang tidak manusiawi dari penduduk Mesir berupa mempersembahkan manusia untuk Sungai Nil. Setiap tahun Sungai Nil mengalami banjir dan menurut keyakinan mereka kerana dewa marah sehingga ada yang perlu dikorbankan untuk dewa sungai tersebut.
Melihat kenyataan ini, Amr bin Ash mengirimkan surat kepada Saidina Umar menceritakan hal tersebut. Saidina Umar r.a. membalas suratnya dengan mengatakan kepada Amr bin Ash supaya menghentikan perbuatan tersebut dan apabila kamu baca suratku ini lemparkanlah ke Sungai Nil.
Semenjak itu, Sungai Nil tidak pernah mengalami banjir lagi yang menyebabkan kerosakan sawah-sawah penduduk. Dengan sikap seperti itu, kita boleh menyaksikan sendiri gereja-gereja tua masih kukuh hingga sekarang di Mesir seperti gereja tergantung di Mathariyah dan gereja tertua di dunia di daratan Sinai. Dan kalau penduduk Mesir kemudiannya ramai yang memeluk Islam, saya kira merupakan sesuatu yang wajar ketika menerima sikap dan perlakuan seperti itu.
Peperangan dengan Romawi masih terus berlangsung sampai pada masa Abbasiyah, dan bukan tidak mungkin perang Salib sebenarnya juga adalah kesinambungan dari peperangan-peperangan tersebut. Salah satu kemenangan terhadap Romawi itu sendiri terdapat dalam syair-syair Mutanabbi yang memuji Saifud Daulah yang berjaya memenangi pertempuran, awal qasidahnya berbunyi ‘ala qadri ahlil ‘azmi ta`til ‘aza`imu-wa ta`ti ‘ala qadril kiraami al-makaarimu @ wa ta’zhumu fi ‘ainis shagiiri shigaaruhaa - wa tashguru fi ‘ainil azhiimi al-’azhaa`imu.
Akhthal adalah salah seorang dari trio pujangga (Farazdaq, Jarir, Akhthal) pada zaman Umawiyah. Beliau adalah seorang pemeluk Nasrani dan dikenali sebagai orang yang takut kepada pendeta. Apa saja kata pendeta, beliau paling tidak berani membantah. Yang terpenting di sini, semua riwayat tidak ada yang menyebutkan Akhthal membayar jizyah dan beliau tetap Nasrani bahkan bakatnya membuatkan beliau menjadi salah seorang penyair terbaik yang digolongkan oleh Abdus Salam dalam Thabaqatnya sebagai penyair teratas pada masa Umawiyah.
Ini hanya salah satu contoh dari sekian banyak contoh yang ada. Seperti juga salah seorang penterjemah pada zaman al-Ma’mun (awal perkembangan ilmu pengetahuan) adalah seorang Yahudi.
Jihad yang disebutkan dalam Al-Quran dalam makna angkat senjata adalah wajib ketika memang terjadi peperangan dan itu berlaku pada masa-masa tersebut. Dan bahkan Al-Quran sendiri menyebutkan seandainya dalam peperangan itu kemudian pihak musuh mengajak perdamaian maka itu harus disambut dengan baik dan jangan sampai dilanggar kecuali mereka sendiri melanggarnya.
Dan pada saat-saat seperti itu wajar saja jika ada dikotomi antara Darul Islam dan Darul Harb dan itu diperlukan secara lebih khusus lagi oleh para fuqaha yang melakukan penelitian hukum kondisional. Sayangnya Darul Harbi yang bererti wilayah konflik peperangan itu diertikan oleh kalangan tertentu sebagai wilayah yang harus diperangi. Betapa jauh maknanya dengan yang dimaksudkan oleh penggunaan istilah itu sebenarnya.
Boleh disemak kembali pembicaraan tentang darul harbi dalam kitab-kitab fikih lebih banyak membicarakan tentang tawanan perang, gencatan senjata, dan berbagai kes hukum yang berkaitan dengan suasana yang tidak dalam damai sehingga menghasilkan hukum yang boleh jadi berbeza dengan wilayah damai.
Dengan prinsip seperti itu boleh dimaklumi bahawa orang-orang muslim yang berada di Kanada misalnya harus menerapkan hukum yang berlaku dalam suasana damai bukan hukum yang berlaku dalam suasana perang. Memang sekali lagi agak aneh kalau makna seperti itu tiba-tiba masa sekarang darul harbi diertikan sebagai wilayah yang layak diperangi. Perubahan makna ini lebih tajam lagi setelah ditonjolkan oleh Sayyid Qutub pada era 50-an.
Dari kenyataan sejarah yang ada itu, anggapan bahawa Islam disebarkan melalui pedang merupakan sebuah pandangan yang keliru dan itu sama sekali bukan cara Islam dalam menyebarkan ajarannya dan peperangan yang terjadi bukan kerana perintah atau ajaran bahawa peperangan itu harus dilakukan untuk menyebarkan agama. Peperangan yang berlangsung ketika itu tidak juga kerana masyarakat pada masa awal Islam keliru dalam menerapkan cara menyebarkan ajaran tetapi merupakan konsekuensi yang berlanjutan dari peperangan yang memang sedang berlangsung.
Alasan paling utama di mana Islam dan ajarannya sangat berperanan adalah mempersatukan kembali kekuatan yang hancur dan terpecah-belah dan mengambil kembali wilayah yang telah diduduki pihak asing dan menjadi tuan di negeri dan tanah sendiri. Sedangkan penyebaran Islam sendiri tetap berlaku prinsip rahmatan lil alamin dan itulah kenyataan disaksikan sejarah masuknya Islam di wilayah nusantara ini yang memang jauh dari wilayah konflik peperangan Romawi dan Persia tersebut.
Kekeliruan anggapan itu lebih lagi bagi mereka yang menganggap angkat senjata untuk menyebarkan Islam sebagai suatu kewajiban dan prinsip yang harus ditegakkan. 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA