Selasa, 14 Februari 2012

Mengenang Nasib Ribuan Wanita Malang

ADA peristiwa tidak boleh dilupakan. Seperti pembunuhan beramai-ramai 8,000 orang Islam, termasuk kanak-kanak lelaki oleh askar Serbia sekitar 15 tahun lalu. Peristiwa itu berlaku di Srebenica setelah askar Serbia menguasai sebilangan kecil tentera pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Mereka mulanya menghantar sebilangan wanita dan anak-anak perempuan ke tempat lain, dan kemudian membunuh kesemua lelaki termasuk kanak-kanak.

Upacara memperingati tragedi itu diadakan beberapa hari lalu kerana ketua askar Serbia, General Ratko Mladic masih bebas dan dilindungi oleh para pengikut yang setia. Walhal tokoh yang menjadi ketuanya, Radovan Karadzic telah pun ditawan dan sedang dibicarakan oleh Mahkamah Jenayah Perang Antarabangsa.

Kerajaan Serbia pada 31 Mac lalu melafaz ampun maaf atas apa yang berlaku pada tahun 1995. Ini berkait dengan permohonannya untuk menjadi ahli Kesatuan Eropah, dan pemberitahuan bahawa mereka mesti menawan Jeneral Mladic dahulu untuk dibicarakan.

Terdedah kini bahawa pihak berkuasa Serbia telah memperolehi 18 buah diarinya yang mencatat pelbagai kejadian. Sebuah akhbar Amerika melaporkan mengenai General Mladic bertemu dengan pihak-pihak lain dan membincangkan langkah-langkah untuk membahagikan Bosnia dan mengusir orang Islam dari pelbagai wilayah.

Lalu dilaporkan kenyataan ketua golongan Croatia, Jadrauku Piric: ‘Kita perlu sepakat untuk melakukan dua tiga perkara kerana orang Islam adalah musuh kita. Pertamanya, kita mesti menewaskan mereka.’

Berikutan pertemuan lain, Jeneral Mladic mencatatkan kenyataan seorang jeneral puak Croatia yang kini sedang dibicarakan atas tuduhan jenayah perang: ‘Kalau kita bunuh 50,000 lagi orang Islam, kita tidak akan mencapai apa-apa. Bilangan mereka akan pulih semula.’

Seterusnya dilaporkan, pegawai-pegawai Serbia, dari presiden ke bawah terus berjanji untuk menangkap Jeneral Mladic, tetapi ramai di kalangan kerajaan diketahui menentang langkah tersebut. Jeneral Mladic sendiri telah memberitahu dia tidak akan ditawan hidup-hidup.

Dalam keadaan ketua dan rakan seperjuangannya Radovan Karadzic dibicarakan oleh mahkamah jenayah perang, dia membela diri sendiri tanpa peguam. Telah pun dibicarakan ialah Presiden Siberia sebelum ini, Slobodan Milosevic yang kemudian meninggal dunia kerana sakit jantung.

Berikut adalah laporan bertarikh 13 Julai 1995 dari Bosnia mengenai apa yang berlaku. ‘Para pelarian menyerahkan segalanya kepada Allah kerana PBB telah mengetepikan mereka. Selama empat tahun lamanya perkampungan mereka dibedil dan akibatnya mereka kebuluran. Akhirnya mereka terpaksa meninggalkan rumah masing-masing dan segala harta yang dimiliki.’

Menurut Gerakan Wanita di Srebenica kira-kira 2,000 wanita dan anak-anak perempuan tidak diketahui betapa nasib mereka. Lebih 8,000 lelaki telah dibunuh. Semua pihak mengetahui apa yang berlaku.

Akhirnya setelah sekian lama bersengketa dan berperang ketiga pihak yang bersangkutan - Serbia, Croatia, Bosnia - dipaksa oleh Amerika supaya berdamai. Rundingan diadakan di Dayton, Ohio dan perjanjian tercapai tetapi tidak dilaksanakan sepenuhnya.

Terus menjadi tanda-tanya betapa nasib beribu-ribu wanita setelah lebih 8,000 lelaki dibunuh iaitu suami, ayah, nenek lelaki, abang, adik dan juga anak-anak lelaki. Kerana itu peristiwa sedih diperingati setiap tahun adanya.

Sejarah Melayu Dan Nasib Tulisan Jawi

PELBAGAI cerita dan laporan masa silam yang dicatat dalam tulisan jawi tidak begitu diketahui oleh orang Melayu dewasa ini. Hal ini terserlah, antara lainnya, dari buku mengajar tulisan jawi oleh M.B. Lewis, pensyarah bahasa Melayu Universiti London. Bukunya berjudul: Tulisan Melayu: A Handbook of Malay Script dicetak pada tahun 1954. Antara kandungannya ialah petikan dari sejarah Melayu seperti berikut: ‘Kalakian maka datang sebuah kapal Feringgi dari Goa maka ia berniaga di Melaka. Maka dilihat oleh Feringgi itu negeri Melaka terlalu baiknya dan bandarnya pun terlalu ramai. Maka segala orang Melaka pun berkampung melihat rupa Feringgi itu. Maka sekaliannya hairan melihat dia, maka kata orang Melaka, ia ini Benggali putih. Maka pada seorang orang Feringgi itu berpuluh-puluh orang Melaka mengerumuni dia, ada yang memutar janggutnya, ada yang menepuk kepala, ada yang mengambil chepiaunya, ada yang memegang tangannya. Maka kapitan kapal itu pun naik mengadap Bendahara Seri Maharaja, maka Bendahara diangkat anak kapitan itu dipersalin, maka kapitan kapal pun persembah pada Bendahara Seri Maharaja rantai emas berpermata seutas ia sendirinya memasakkan kepada leher Bendahara Seri Maharaja. Maka segala orang hendak gusar akan kapitan Feringgi itu tiada diperoleh Bendahara katanya jangan dituruti kerana ia orang yang (tiada tahu bahasa).’

Demikian petikan dari sejarah Melayu. Jelas bahawa segalanya berlaku sebelum kemudiannya Portugis menyerang dan menakluki Melaka. Buku-buku sejarah mengisahkan pelbagai aspek penaklukan dan penjajahan Portugis tetapi tiada cerita mengenai orang-orang Melaka pada mulanya seperti hairan ajaib bila menemui mereka bagi kali pertama. Kedatangan mereka ialah dari Goa di India yang telah ditaklukinya.

Lewis juga memetik tajuk-tajuk berita akhbar-akhbar Utusan Melayu, Majlis, Warta Melayu, Warta Negara dan Melayu Raya serta pantun-pantun Melayu, antaranya berbunyi:

Jangan lurut padi muda

pecah batang kena tangan

jangan diturut hati muda

rosak binasa panjang-panjangan.

Belah durian berpangsa-pangsa

belah sepangsa isi merah

jangan tuan memilih bangsa

darah juga sama merah.

Di muka surat akhbar Warta Malaya 9 Januari 1933 dicatat: Yang diterbitkan hari-hari, Muafakat dan bantuan itulah tangga kemajuan berkekalan. Mendapat tempat ialah kandungan surat kepada Sultan Ibrahim Shah, Negeri Selangor dari Residen Melaka, Walter Sewell Cracraft pada 26 April 1825 bersamaan 7 Ramadan 1240 mengenai Melaka menjadi pelabuhan bebas. Ayat pertama surat tulisan jawi itu berbunyi: ‘Bahawa ini surat tulus dan ikhlas serta kasih sayang yang tiada berkesudahan lagi selagi ada peredaran cakrawala matahari dan bulan...’

Lain-lain cerita tulisan jawi dipetik dari Hikayat Pelanduk Jenaka, Hikayat Sang Lomeri dan Hikayat Bayan Budiman. Menarik perhatian ialah sikap rendah diri dalam surat yang dikirim kepada Ratu Elizabeth, berbunyi: ‘Mengadap ke bawah Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen. Harap diampun Tuanku. Adalah patik sekalian yang bertandatangan di bawah ini iaitu yang Dipertua dan ahli-ahli Majlis mesyuarat undangan bagi pihak penduduk di negeri-negeri Melayu memohon ampun ke bawah duli mempersembahkan dengan beberapa hormat takzim dan takrim kehormatan dan tahniah pada hari kemahkotaan Duli Yang Maha Mulia Tuanku.’

Pada peringkat permulaan Lewis mencatat sumbangan Pendita Za’ba (Zainal Abidin bin Ahmad) menyusun daftar ejaan Melayu. Lalu dijelaskan: ‘Tentang ejaan jawi ini hanyalah pada umumnya sahaja dikatakan mengikut kebiasaan penulis-penulis yang lebih ramai. Yang sebenarnya kebiasaan itu ada banyak tentangannya yang berlain-lain pada lain-lain orang. Banyaklah perkataan yang belum tetap ejaan jawinya.

Lewis menyatakan harapan bahawa ‘para pelajar Asia dan juga Inggeris’ akan mendapat faedah dari buku panduan tulisan Melayu yang disusun olehnya itu supaya boleh membaca pelbagai bacaan jawi. Tetapi seperti diketahui semasa ini hanya Kumpulan Utusan Melayu menyiarkan sisipan khas akhbar tulisan jawi, iaitu pada tiap hari Isnin.

Jelas bahawa pelbagai hal kemudiannya ditelan masa. Ramai anak sebilangan ramai ibu bapa yang dulu fasih membaca jawi tidak boleh membaca jawi.

BIODATA PENULIS


SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM atau nama penanya SMAHADZIR dan SMSI dilahirkan pada 22 Januari 1961 di Sungai Tawar, Kedah. Beliau memulakan alam persekolahannya di Sekolah Kebangsaan Tawar, Baling, Kedah, Sekolah Kebangsaan Kota Bukit, Sik, Kedah, Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Jitra, Kedah, Institut Teknologi Mara (ITM) - Diploma Kajian Reka Bentuk dan Universiti Putera Malaysia – Ijazah Sarjana Muda Linguistik.

Beliau pernah bertugas sebagai Pegawai Penerangan di Jabatan Perhubungan Awam, Lembaga Letrik Negara, Pengurus Editorial di Food and Agriculture of Organization (FAO) of United Nation, Editor dan Pengurus Editorial di beberapa buah syarikat penerbitan dan kini merupakan Pengurus Pentadbiran Pujangga Gemilang Resources dan Ketua Fasilitator PPSB/PLKN, Dewan Bahasa Pustaka dan Jabatan Latihan Khidmat Negara, Exco Majlis Kebudayaan Negeri Selangor, Setiausaha Persatuan Penulis Dan Kebajikan Negeri Selangor (KEMUDI) dan Setiausaha Persatuan Penggiat Seni Budaya Daerah Kuala Langat (PESAT). Beliau sering dijemput sebagai hakim dalam pertandingan mendeklamasi puisi, syarahan, bercerita, tarian tradisional, teater, nyanyian lagu-lagu asli, nyanyian lagu-lagu patriotik, pantun dan juga nyanyian lagu-lagu irama Malaysia peringkat daerah, negeri dan juga kebangsaan.

Bidang penulisan beliau ialah cerpen, esei, fiksyen misteri, berita, puisi, skrip drama tv, skrip drama radio, skrip drama pentas dan novel. Sehingga kini beliau beliau telah menghasilkan lebih dari seratus buah buku dalam pelbagai genre. Antara hasil karya beliau yang telah dibukukan ialah Tiga Saudara (Makruf Publisher 1997), Di Bawah Lembayung (Fajar Bakti 1997), Shaufik Nabillah (Aneka Publications 1997), Sundang Hikmat (Makruf Publisher 1997), Puteri Intan Baizuri (Makruf Publisher 1997), Lukisan Cinta (Aneka Publications 1997), Sayang Sufi (Utusan Melayu Publication 1997), Antologi Cerpen Belia Madani (Yayasan Kobena 1997), Hartini Farah (Fajar Bakti 1998), Unting Kasih (Majlis Kebudayaan Negeri Kedah 1998), Korban Kasih (Fajar Bakti 1998), Kemelut (Edusystem 1998), Mengelamun (Aneka Publications 1998), Jejak (Aneka Publications 1998), Misteri Hatun (Aneka Publications 1998), Melarik Cinta Di Pinggir Musim (Creative Enterperise 1998), Jelaing, Geruh, Meredah Tekad, Di Alun Samudera, Pintu Hidayah, Ritma Seorang Ekspatriat (Penerbitan PCT 2000), Diburu Cinta Terlarang (Penerbitan PCT 2000), Jihad, Biasan, Villa Madonna, Genta Rasa Dari London, Liku-liku Pertemuan, Anak Kuala Sedeli, Putera Dari Sahara, Pertemuan Di Raudhah (Penerbitan PCT 2001), Anak Muda Desa Ziung Sha, Putera Tikus Dan Anak Gadis Pak Mulah, Seri Kencana Dewi, Sinbard Muo Albito, Nyanyian Cenderawasih, Princes Nagila Vious, Laing Jelita Ananda, Kancan Sateria Dan Cempaka Sari (Pustaka Segar 2002), Di Sinikah Langkasuka (Majlis Kebudayaan Negeri Kedah, 2004), 365 Hari Dalam Sejarah (Penerbitan Ilmu Sdn Bhd, 2006), 163 Tokoh Terkenal Islam (Penerbitan Ilmu Sdn Bhd 2006), Labuhan Cinta Terakhir, Safari Cinta Seorang Ekspatriat, Cinta Nadim & Mimpi Bush (Penerbitan Ilmu Sdn Bhd 2006), Menjana Patriotisme Remaja (Penerbitan Ilmu Sdn Bhd 2006), 365 Hari Dalam Sejarah Malaysia (Penerbitan Ilmu Sdn Bhd 2008), Hadirnya Antara Kita, Kita Umpama Sehelai Daun, Memoir Suatu Ketika, Paya Sengketa, Erti Kemerdekaan, Senja Pinggir Musim (Pekan Ilmu Publications Sdn Bhd 2007), Himpunan Herba Tradisi Terpilih Malaysia (Warisan INKED Sdn Bhd 2008), Gadis Dari Gunung, Rantai Emas Berloket Nilam, Meminta Bulan Purnama, Keputusan Maulana (Star Trading 2008), Lestari Bukit Menghijau, (Penerbitan Gema Insan 2008), Harta Tiada Ternilai, Balada Malam Minggu, (Penerbitan Generasi Baru 2008), Jutawan Bongkak, (Pustaka Sukses 2009), Permainan Rakyat Malaysia, Permainan Tradisi Rakyat, Tarian Tradisi Rakyat, Adat Resam Dan Makanan Masyarakat Melayu, Alat Muzik Tradisi Rakyat, Busana & Seni Bina Melayu (E1 Publications Sdn Bhd, 2009), Penyelidikan Seni Budaya - Dabus Daerah Kuala Selangor (Kementerian Penerangan, Komunikasi Dan Kebudayaan Malaysia 2009), 365 Hari Dalam Sejarah Malaysia Jilid 1 & Jilid 2 (Penerbitan Ilmu Sdn Bhd 2010), Gagasan Najib: 1Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan (Warisan INKED Sdn Bhd 2010), Penyelidikan Seni Budaya – Kompang Jawa (Kementerian Penerangan, Komunikasi Dan Kebudayaan Malaysia 2010), dan pelbagai lagi.

Selama bergiat di dalam bidang penulisan, beliau telah berjaya memenangi beberapa anugerah seperti:

  1. Anugerah Pertama Pertandingan Mengarang Program Pelancongan Rantau Lipur anjuran Hong Kong Tourist Association (HKTA)/Berita Minggu 1995 (Hong Kong Syurga Membeli Belah)
  2. Anugerah Pertandingan Mengarang Temu Sastera ASEAN 1995 (ASEAN Literature Meet) anjuran Persatuan Penulis dan Kebajikan Negeri Selangor (KEMUDI)/Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan 1995 (Kuala Langat Daerah Sejahtera Dan Penuh Sejarah)
  3. Anugerah Pertandingan Cerpen Belia Madani 1996 anjuran Yayasan Kobena/Berita Harian (Sehijau Bumiku, Mencanai Citra Baru, Darah Pejuang)
  4. Anugerah Utama Sayembara Puisi Ulang Tahun UMNO 50/Angkatan Sasterawan Kedah (ASASI) 1996
  5. Anugerah Cerpen Remaja Hadiah Sastera Utusan Melayu/Public Bank 1996 (Cinta Kak Ngah Beralih Arah)
  6. Anugerah Utama Pertandingan Karya Seni Kreatif Puisi Kebangsaan PNB 1999 (Syair Anak Bertuah Bentala Merdeka)
  7. Anugerah Mengarang Cerpen Peraduan Formula Malaysia Peringkat Umum 1999 (Puncak AMEBO)
  8. Anugerah Mengarang Esei Peraduan Formula Malaysia Peringkat Umum 1999 (Evolusi Pembinaan Negara – Katalis Kecemerlangan Sejak Merdeka)
  9. Anugerah Sayembara Cerpen Berunsur Sejarah Kedah anjuran Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah 1999 (Darah Bapa Masih Mengalir)
  10. Anugerah Utama Sayembara Cerpen Jubli Emas 50 Tahun RIDA/MARA (2000) - (Bintang Kemerlap Di Puncak Grande Bibliotheque)
  11. Anugerah Sayembara Esei Jubli Emas 50 Tahun RIDA/MARA (2000)
  12. Anugerah Pertandingan Mengarang Cerpen Kanak-Kanak Bertemakan Alam Sekitar anjuran Kementerian Teknologi Dan Alam Sekitar (2000)
  13. Anugerah Pertandingan Menulis Esei Peringkat Kebangsaan Minggu Saham Amanah Malaysia 2001 (Kategori Penulisan Umum) anjuran Permodalan Nasional Berhad
  14. Anugerah Utama Karya Kreatif Almanak (Puisi) 2001 anjuran Net Space Learning Sdn Bhd/Utusan Melayu (M) Bhd
  15. Anugerah Pertandingan Mengarang Esei Citra Wangsa Malaysia 2005 anjuran Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP)
  16. Anugerah Sayembara Puisi Dan Cerpen Kepenggunaan Peringkat Kebangsaan 2006 anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), PUSPITA cawangan KPDNHEP dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) – (Seloka Gula Manis)
  17. Anugerah Utama Pertandingan Penulisan Bahan-bahan Bacaan Remaja anjuran Penerbitan Fargoes Sdn Bhd. (2008) - Lestari Bukit Menghijau, Gadis Dari Gunung, Rantai Emas Berloket Nilam, Balada Malam Minggu, Meminta Bulan Purnama, Keputusan Maulana Arif, Harta Tidak Ternilai
  18. Anugerah Pertandingan Mengarang Esei 2009 (Kategori A), anjuran Dewan Bahasa Dan Pustaka (Pencemaran Alam Mempengaruhi Tahap Kesihatan Rakyat)
  19. Sajak berjudul DIARI LAMA telah terpilih untuk Edisi Pelajar Antologi bagi Komponen Sastera dalam Bahasa Malaysia Sekolah-sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia kegunaan tahun 2010 dan dimuatkan dalam antologi Kasut Kelopak Jantung.
  20. Anugerah Ketiga Pertandingan Menulis Artikel Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke 10 Pengisytiharan Shah Alam Sebagai Bandaraya anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam 2010. (Shah Alam – Destinasi Ziarah Penuh Memorabilia)
  21. Novel Lestari Bukit Menghijau telah terpilih untuk Edisi Pelajar Antologi bagi Komponen Sastera dalam Bahasa Malaysia kegunaan tahun 2011 bagi para Pelajar Tingkatan Dua Sekolah-sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia untuk Zon Timur (Johor, Pahang, Terengganu, dan Kelantan)
  22. Anugerah Pertandingan Mengarang Seloka Sempena Promosi Kerja Kahwin 2011 anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Kementerian Penerangan, Komunikasi & Kebudayaan. (Seloka Pengantin Baharu)
  23. Anugerah Ketiga Sayembara Menulis Novel & Skrip Drama Kanak-Kanak Dan Remaja 2011 anjuran Dewan Bahasa Dan Pustaka (Kategori Novel Kanak-Kanak - Demi Putat Unggai)
  24. Anugerah Pertandingan Menulis Esei 1Malaysia: 1Keluarga, 1Esei anjuran Kementerian Penerangan Komunikasi Dan Kebudayaan (KPKK) dengan kerjasama Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) 2011 (Fahami Prinsip Penerimaan Dalam Gagasan 1Malaysia)
  25. Anugerah Pertama Pertandingan Mengarang Cerpen Maulidur Rasul anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Hulu Bernam dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) 2012 - (Pancang Isbat)
  26. Anugerah Pertandingan Mengarang Pantun Empat Kerat Bertemakan Nilai-nilai Murni anjuran Klasik Nasional, Kementerian Penerangan, Komunikasi & Kebudayaan 2012.
  27. Anugerah Ketiga Pertandingan Mengarang Puisi Maulidur Rasul anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Hulu Bernam dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) 2012 - (Engkau Kekasih Mewangi Kasturi)

Forum Budaya: Seni Budaya Tanggapan Masyarakat Kini

Pada tanggal 9hb Disember 2011 saya telah terlibat sebagai moderator dalam Forum Budaya yang berlangsung di Pentas Awam, Pantai Morib. Forum ini anjuran Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara Negeri Selangor (JKKN) dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Negeri Selangor (MKN). Dua orang ahli panel telah dijemput untuk membincangkan tajuk ‘SENI BUDAYA TANGGAPAN MASYARAKAT MASA KINI’, iaitu Tuan Haji Aluwi Parman, Ketua Pendaftar Nikah Negeri Selangor, Setiausaha Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak (Fatwa) Negeri Selangor dan Ketua Penolong Pengarah Undang-undang Keluarga Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Dua orang ahli panel yang dijemput khas: Tuan Haji Aluwi Parman, Ketua Pendaftar Nikah Negeri Selangor dan Saudara Zainal Mohd Jais, Presiden Ikatan Sasterawan Universiti Malaya

Manakala seorang lagi ahli panel ialah Saudara Zainal Mohd Jais, Presiden Ikatan Sasterawan Universiti Malaya (ISUM), Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa Selangor Universiti Malaya (PERMAS), AJK Persatuan Penulis & Kebajikan Selangor (KEMUDI), Setiausaha Kehormat, kemudian Naib Yang Dipertua, kini Timbalan Yang Dipertua, Majlis Kebudayaan Negeri Selangor (MKN), Setiausaha Bersama Sekretariat Melayu Antarabangsa (SMA), Panel Pemikir Yayasan Basmi Kemiskinan Selangor (YBK), pengarang rencana disebuah akhbar, salah seorang tenaga pengajar di Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, & juga seorang perunding editorial & penerbitan.

Begitu asyik Tuan Haji Aluwi Parman menyampaikan ceramah beliau merangkumi pelbagai aspek kesenian dalam masyarakat

Pelbagai perkara telah dibincangkan. Pelbagai soalan telah saya tujukan kepada kedua-dua ahli panel pada hari tersebut. Termasuk seni dan budaya dari pespektif Islam. Kesimpulan yang dapat dinukilkan dari forum tersebut ialah seni adalah sesuatu yang bersifat abstrak, dapat dipandang, didengar dan disentuh oleh jiwa tetapi tidak dapat dinyatakan melalui kata-kata. Dalam jiwa, perasaan, nurani, dan keinginan manusia tertanamnya rasa sukakan keindahan dan keindahan itu adalah seni.

Forum budaya ini telah diadakan sempena Festival Kebudayaan Nedgeri Selangor 2012 di Pentas Terbuka Pantai Morib

Sebenarnya, kesedaran mengenai keindahan adalah satu faktor yang amat penting dalam Islam. Antara faktor yang penting dalam seni ialah hakikat, ketulenan/kesucian, kejujuran dan semua ini terjalin dalam jiwa orang-orang Islam. Seni menjadi bahan perantaraan yang menghubungkan satu jiwa pencipta dengan satu jiwa lain, iaitu pengamat. Sukar untuk mentakrifkan seni secara tepat sesukar untuk menerangkan konsep keindahan dan kesenangan itu sendiri. Al-Farabi menjelaskan bahawa seni sebagai ciptaan yang berbentuk keindahan. Al-Ghazali pula menjelaskan seni dengan maksud kerja yang berkaitan dengan rasa jiwa manusia yang sesuai dengan fitrahnya.

Saudara Zainal Mohd Jais, menjelaskan kesenian dari aspek antropologi

Sementara kesenian Islam pula adalah kesinambungan daripada kesenian pada zaman silam yang telah berkembang dan dicorakkan oleh konsep tauhid yang tinggi kepada Allah s.w.t. Kesenian Islam memiliki khazanah sejarahnya yang tersendiri dan unik. Kesenian Islam terus berkembang di dalam bentuk dan falsafahnya yang berorientasikan sumber Islam yang menitikberatkan kesejajaran dengan tuntutan tauhid dan syarak.

Sebahagian dari penonton yang hadir

Menurut perspektif Islam, daya kreatif seni adalah dorongan atau desakan yang diberikan oleh Allah yang perlu digunakan sebagai bantuan untuk ‘memeriahkan’ kebesaran Allah. Berseni haruslah bermatlamatkan kepada perkara-perkara makruf (kebaikan), halal, dan berakhlak. Jiwa seni mestilah ditundukkan kepada fitrah asal kejadian manusia kerana kebebasan jiwa dalam membentuk seni adalah menurut kesucian fitrahnya yang dikurniakan Allah s.w.t. Fungsi seni lebih kurang sama dengan akal supaya manusia menyedari perkaitan antara alam, ketuhanan dan rohani atau dengan alam fizikal. Lantas ia menyedari keagungan Tuhan dan keunikan penciptaan-Nya.

Konsep kesenian menurut perspektif Islam ialah membimbing manusia ke arah konsep tauhid dan pengabadian diri kepada Allah s.w.t. Seni dibentuk untuk melahirkan manusia yang benar-benar baik dan beradab. Motif seni bermatlamatkan kebaikan dan berakhlak. Selain itu, seni juga seharusnya lahir sebagai satu proses pendidikan yang bersifat positif dan tidak lari daripada batas-batas syariat.

Menurut perspektif Islam, daya kreatif seni adalah dorongan atau desakan yang diberikan oleh Allah yang perlu digunakan sebagai bantuan untuk ‘memeriahkan’ kebesaran Allah. Berseni haruslah bermatlamatkan kepada perkara-perkara makruf (kebaikan), halal, dan berakhlak. Jiwa seni mestilah ditundukkan kepada fitrah asal kejadian manusia kerana kebebasan jiwa dalam membentuk seni adalah menurut kesucian fitrahnya yang dikurniakan Allah s.w.t.

Islam adalah agama yang diturunkan oleh Allah s.w.t kepada seluruh manusia tanpa mengenal bangsa yang bersumberkan al-Quran, Sunnah dan Ijma’ Ulama. Islam adalah agama yang nyata (waqi’e) dan sesuai dengan fitrah manusia, pada semua tempat, zaman dan situasi menepati citarasa, kehendak, sifat, keinginan, nafsu, perasaan dan akal fikiran manusia.

Jelas bahawa seni dan budaya yang saya dan rakan-rakan yang lain laksanakan bukanlah berkedokkan Barat. Mengikut kebudayaan Barat, seni sebenarnya tiada hubungan dengan agama. Ini adalah disebabkan oleh dasar sekularisme yang mengasingkan hal keduniaan dengan agama. Walau bagaimanapun seni masih dianggap sebagai sesuatu yang ideal dan berkaitan dengan moral. Seni juga boleh dibahagi dengan dua tujuan iaitu seni untuk seni dan seni untuk masyarakat, di mana seni untuk seni adalah bertujuan untuk seni sahaja dan orang mencipta seni ini dibebaskan untuk apa-apa tujuan sama ada mengandungi unsur baik atau jahat. Manakala seni untuk masyarakat pula menyatakan bahawa seni dicipta untuk sesuatu tujuan maka ianya mestilah difahami oleh masyarakat yang digunakan untuk kemasyarakatan, politik dan akhlak.

Saudara Rafie Jafrani, Pegawai Kebudayaan dari Jabatan Kesenian dan Warisan Negara selaku pengacara majlis


Eugene Johnson dalam ’The Encyclopedia Americana’ menjelaskan seni (art) sebagai kemahiran, misalnya seni pertukangan yang membawa erti kemahiran pertukangan. Dari segi istilah ilmu berkebudayaan, ia membawa erti sebagai segala sesuatu yang indah. Keindahan yang dapat menggerakkan jiwa, kemesraan, menimbulkan keharuan, ketakjuban, kesenangan atau sebaliknya iaitu dendam, benci, cemas dan sebagainya.

Keindahan merupakan salah satu ciri keesaan, kebesaran dan kesempurnaan Allah s.w.t lantas segala yang diciptakan-Nya juga merupakan pancaran keindahanNya. Manusia dijadikan sebagai makhluk yang paling indah dan paling sempurna.

Drs. Sidi Gazalba dalam bukunya ‘Pandangan Islam Tentang Kesenian’ menjelaskan bahawa kesenian adalah sebahagian daripada kebudayaan yang dicetuskan oleh sesuatu kelompok manusia kerana setiap kelompok masyarakat mempunyai fitrah semulajadi yang cinta kepada seni yang menyenangkan hati melalui pancaindera yang lima. Justeru itu, manusia dikatakan sebagai makhluk seni yang cinta kepada sesuatu yang selamat, memuaskan dan memberi kepuasan melalui pancaindera. Seni secara ringkasnya dapat dibahagikan kepada empat bahagian utama:

1. Seni melalui pendengaran seperti muzik, deklamasi puisi, prosa, senia suara dan sebagainya.
2. Seni yang diperolehi melalui penglihatan mata seperti seni lukis, seni hias, seni bina, seni pakaian dan sebagainya.
3. Seni yang dapat diperolehi melalui pendengaran dan penglihatan seperti drama, tablo, teater, filem dan sebagainya.
4. Seni yang dinikmati melalui pembacaan seperti hasil karya sastera yang berbentuk puisi dan prosa.

Kesenian adalah satu keindahan yang dapat menggerakkan jiwa, kemesraan, menimbulkan keharuan, ketakjuban, kesenangan atau sebaliknya iaitu dendam, benci, cemas dan sebagainya.

Seni Islam merupakan sebahagian daripada kebudayaan Islam dan perbezaan antara seni Islam dengan bukan Islam ialah dari segi niat atau tujuan dan nilai akhlak yang terkandung dalam hasil seni Islam. Pencapaian yang dibuat oleh seni Islam itu juga merupakan sumbangan daripada tamadun Islam di mana tujuan seni Islam ini adalah kerana Allah s.w.t. Walaupun seni merupakan salah satu unsur yang disumbangkan tetapi Allah melarang penciptaan seni yang melampaui batas. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: ’Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas.’

Keindahan merupakan salah satu ciri keesaan, kebesaran dan kesempurnaan Allah s.w.t lantas segala yang diciptakan-Nya juga merupakan pancaran keindahanNya. Manusia dijadikan sebagai makhluk yang paling indah dan paling sempurna. Bumi yang merupakan tempat manusia itu ditempatkan juga dihiasi dengan segala keindahan. Allah s.w.t bukan sekadar menjadikan manusia sebagai makhluk yang terindah tetapi juga mempunyai naluri yang cintakan keindahan. Di sinilah letaknya keistimewaan manusia yang tidak dimiliki oleh makhluk lain sama ada malaikat, jin dan haiwan. Konsep kesenian dan kebudayaan dalam Islam berbeza dengan peradaban Islam yang lain.

Dalam pembangunan seni, kerangka dasarnya mestilah menyeluruh dan meliputi aspek-aspek akhlak, iman, matlamat keagamaan dan falsafah kehidupan manusia. Seni mestilah merupakan satu proses pendidikan yang bersifat positif mengikut kaca mata Islam, menggerakkan semangat, memimpin batin dan membangunkan akhlak. Ertinya seni mestilah bersifat ’Al-Amar bil Makruf dan An-Nahy ‘an Munkar’ (menyuruh berbuat baik dan mencegah kemungkaran) serta membangunkan akhlak masyarakat, bukan membawa kemungkaran dan juga bukan sebagai perosak akhlak ummah. Semua aktiviti kesenian manusia mesti ditundukkan kepada tujuan terakhir (keredhaan Allah dan ketakwaan). Semua nilai mestilah ditundukkan dalam hubungan-Nya serta kesanggupan berserah diri. Seni juga seharusnya menjadi alat untuk meningkatkan ketakwaan.

Prinsip-prinsip (ciri-ciri) Kesenian Islam
  1. Mengangkat martabat insan dengan tidak meninggalkan nilai-nilai kemanusiaan dan nilai-nilai persekitaran dan sejagat. Alam sekitar galerinya, manakala manusia menjadi seniman yang menggarap segala unsur kesenian untuk tunduk serta patuh kepada keredhaan Allah s.w.t.
  2. Mementingkan persoalan akhlak dan kebenaran yang menyentuh aspek-aspek estetika, kemanusiaan, moral dan lain-lain lagi.
  3. Kesenian Islam menghubungkan keindahan sebagai nilai yang tergantung kepada keseluruhan kesahihan Islam itu sendiri. Menurut Islam, kesenian yang mempunyai nilai tertinggi ialah yang mendorong ke arah ketakwaan, kemakrufan, kesahihan dan budi yang mantap.
  4. Kesenian Islam terpancar daripada wahyu Allah, sama seperti undang-undang Allah dan Syariat-Nya. Maknanya ia harus berada di bawah lingkungan dan peraturan wahyu. Ini yang membezakan kesenian Islam dengan kesenian bukan Islam.
  5. Kesenian Islam menghubungkan manusia dengan tuhan, alam sekitar dan sesama manusia dan juga makhluk.
Islam tidak pernah menolak kesenian selagi dan selama mana kesenian itu bersifat seni untuk masyarakat dan bukannya seni untuk seni. Terdapat lima hukum dalam seni jika diperincikan. Antaranya:

  1. Wajib: Jika kesenian itu amat diperlukan oleh muslim yang mana tanpanya individu tersebut boleh jatuh mudarat seperti keperluan manusia untuk membina dan mencantikkan reka bentuk binaan masjid serta seni taman (landskap) bagi maksud menarik orang ramai untuk mengunjungi rumah Allah s.w.t tersebut.
  2. Sunat: Jika kesenian itu diperlukan untuk membantu atau menaikkan semangat penyatuan umat Islam seperti dalam nasyid, qasidah dan selawat kepada Rasulullah s.a.w yang diucapkan beramai-ramai dalam sambutan Maulidur Rasul atau seni lagu (tarannum) al-Quran.
  3. Makruh: Jika kesenian itu membawa unsur yang sia-sia (lagha) seperti karya seni yang tidak diperlukan oleh manusia.
  4. Harus: Apa saja bentuk seni yang tidak ada nas yang mengharamkannya.
  5. Haram: Jika kesenian itu berbentuk hiburan yang:Melekakan manusia sehingga mengabaikan kewajipan-kewajipan yang berupa tanggungjawab asas terhadap Allah s.w.t khasnya seperti ibadah dalam fardhu ain dan kifayah.
  • · Memberi khayalan kepada manusia sehingga tidak dapat membezakan antara yang hak (betul) dan yang batil (salah).
  • · Dicampuri dengan benda-benda haram seperti arak, judi, dadah dan pelbagai kemaksiatan yang lain.
  • · Ada percampuran antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram seperti pergaulan bebas tanpa batas dalam bentuk bersuka-suka yang melampau.
  • · Objek atau arca dalam bentuk ukiran yang menyerupai patung sama ada dibuat daripada kayu, batu dan lain-lain.
  • · Disertai dengan peralatan muzik yang diharamkan oleh Islam seperti alat-alat tiupan, bertali, tabuhan yang bertutup di bahagian atas dan bawah serta alat-alat muzik dari tekanan jari. Sesetengah ulama mengatakan harus hukumnya jika digunakan untuk pendidikan dan tidak menarik kepada konsep al-Malahi (hiburan yang keterlaluan) juga alat-alat muzik di atas boleh digunakan untuk tujuan dakwah Islamiyyah, seperti yang pernah dibuat oleh Rabiatul Adawiyyah.
  • · Seni yang merosakkan akhlak dan memudaratkan individu atau yang berbentuk tidak bermoral seperti tarian terkini (kontemporari).
  • · Jenis-jenis seni yang dipertontonkan bagi maksud atau niat yang menunjuk-nunjuk dan kesombongan.
Ada segelintir anggota masyarakat yang menuduh bahawa seni budaya yang saya gelumangi ini haram dan dikutuk Allah Azzawajalla. Nauzubillah himinzalik. Semoga Allah s.w.t mengampunkan kita semua dan menghindarkan diri kita dari kesombongan yang melampau. Dalam semua perbuatan manusia biarlah Allah s.w.t yang menjadi neraca timbangannya. Janganlah kita sebagai manusia walaupun ada ketayap putih atas kepala sudah berasa bongkak untuk mengambil alih tugas Allah s.w.t menjatuhkan hukum kepada orang lain.

Wallahualam.

Ahad, 5 Februari 2012

Catatan Mengenai Sejarah Melayu

DUNIA Melayu begitu kompleks. Sempadan-sempadannya tidak dapat ditakrif dengan jelas sekali. Demikian dicatat antara lainnya dalam sebuah terbitan mengenai sejarah orang Melayu Singapura selama kira-kira 150 tahun. Lalu disebut mengenai orang-orang Minangkabau, Mandaleng, Kerinci, Aceh, Palembang, Jambi di Sumatera dari Riau. Sulawesi, Bawean dan Banjar dari Kalimantan. Juga dicatat perihal Orang Laut yang dikatakan melaksanakan peranan penting dalam kenaikan dan kejatuhan negeri-negeri Gugusan Kepulauan Melayu (Malay Archipelago). Dari kalangan mereka muncul kemudiannya Orang Suku Gelam, Orang Kallang dan Orang Seletar di Singapura.

Terbitan berkenaan berjudul Malays or Muslims in Singapore 1918-1965 (Pelanduk Publications) hasil dorongan dari Association of Muslim Professionals (AMP) Singapura. Ia mengandungi makalah-makalah oleh pelbagai penulis, termasuk dari Universiti Singapura dan Universiti Tekonologi Nanyang. Mengisi kata-kata pendahuluan ialah Profesor Wang Gungwu dan Profesor Khoo Kay Kim.

Antara tajuk pelbagai makalah pula: Kenapa Tengku Hussein menandatangani Perjanjian 1819 dengan Stamford Raffles? Soldadu Melayu di Singapura 1910-1942. Kegiatan-kegiatan politik Melayu Singapura 1945-1959 dan dari kerajaan sendiri hingga kemerdekaan: UMNO dan Politik Melayu di Singapura 1959-1965.

Profesor Khoo Kay Kim memberi penjelasan mengenai nama ‘British Malaya’ (Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura) yang diguna pada masa lampau. Juga dijelaskan mengenai takrif ‘Melayu’ yang digunakan oleh pihak Inggeris manakala meluluskan Malay Land Reservation Act pada tahun 1913. Paling penting ialah Melayu bermakna beragama Islam. Dua lagi syarat ialah berbahasa Melayu dan mengamalkan adat Melayu.

Keturunan India Islam yang berkahwin dengan wanita Melayu dipanggil Jawi peranakan atau ringkasnya Jawi Pekan. Istilah ‘Jawi’ digunakan oleh orang-orang Arab pada masa dulu mengenai orang Melayu. Antara lain-lain catatan menyebutkan:

  1. Presiden Pertama Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan di Ipoh pada tahun 1945 ialah Mokhtharuddin Lasso, seorang komunis dari Sumatera.
  2. Singapura menjadi pusat kegiatan-kegiatan sastera dan kewartawanan Melayu. Ia juga menjadi pusat industri filem Melayu.

Menarik perhatian ialah makalah oleh Elina Abdullah mengenai penghijrahan bebas pelbagai golongan etnik Gugusan Kepulauan Melayu selama beberapa abad. Lalu disebut betapa perkataan ‘Malay’ digunakan oleh orang-orang Eropah mulai abad ke-16.

Dari segi politik Orang Laut memainkan peranan penting kerana kehandalan mereka mengharungi lautan dan ketangkasan sebagai pejuang. Ertinya jika seseorang raja memperoleh sokongan taat setia Orang Laut, maka mereka akan mempertahankan kawasan-kawasan dagangan raja berkenaan. Ini berlaku sejak empayar Srivijaya.

Dicatat selanjutnya ialah penghijrahan Melayu dari Riau. Dari Semenanjung Tanah Melayu termasuk kedatangan orang-orang Melayu Melaka walaupun cuba dihalang oleh pihak Belanda. Juga kedatangan orang-orang Bugis selepas tahun 1819 dan orang Jawa. Dicatatkan juga kedatangan peniaga-peniaga dari Kelantan, Pahang, Terengganu, Brunei, Sulewasi dan Riau. Di samping itu ialah peniaga-peniaga Arab dan India.

Mengenai orang-orang Bugis diceritakan antara yang dibawa oleh mereka mulai abad ke-16 ialah hamba abdi. ‘Pada abad ke-17 dan berikutnya, orang-orang Bugis menjual orang-orang yang mereka tawan dalam serbuan demi serbuan di Pulau Sunda, Mindanao, Sulu dan Broneo untuk bekerja di ladang-ladang di Malaya, Sumatera dan Jawa. Penjualan hamba abdi itu begitu menguntungkan hingga orang Bugis sendiri ditawan dan dijual sebagai hamba abdi. Lelaki, wanita dan kanak-kanak tiba di Singapura dengan kapal.

Demikian kisah orang-orang Bugis menjual hamba abdi. Peniaga-peniaga Arab pula melaksanakan peranan penting sejak abad ke-14. Majoriti ialah dari Handhramout. Peniaga Arab di Singapura menguasai urusan menunaikan haji.

Turut mendapat perhatian ialah kemunculan bangsawan yang melahirkan pelakon-pelakon lelaki dan wanita di Singapura dan di Tanah Melayu kemudiannya di Indonesia. Lantas bagi kali pertama alat-alat muzik Barat seperti piano, biola, dan gendang menjadi alat-alat hiburan. Antara tuan-tuan punya bangsawan ialah Arab Peranakan, China, Filipina, Ceylon dan Serani. Turut mengambil sebahagian dalam pementasan bangsawan ialah ahli-ahli muzik Filipina.

Selanjutnya dicatatkan pengalaman Dato’ Onn, pelopor nasionalisme Melayu ‘yang berlindung di Singapura pada tahun 1927 setelah dibuang negeri dari Johor oleh Sultan Johor kerana pelbagai kritikannya. Beliau meneruskan kritikan mengenai pelbagai aspek raja-raja Melayu dan golongan aristokrat dalam akhbar Warta Malaya. Akhbar tersebut dibiayai ialah Syed Hussein Alsagoff dan keluarganya di Singapura. Mereka kemudian membiayai akhbar Lembaga Melayu pada tahun 1934.

Demikian antara sedikit catatan sejarah dalam Malays or Muslims in Singapore 1819-1965 yang dapat dikongsi bersama.

Sudah Lama Tak Naik Bas

Sudah lama penulis tak naik bas. Rasa teringin nak naik bas begitu mencengkam macam perempuan mengandung nak makan buah pelam muda. Rasanya telah hampir 20 tahun penulis tidak lagi naik bas. Sewaktu kecil-kecil dulu bas adalah pengangkutan awam paling sering penulis naik terutama sewaktu ikut arwah bapa penulis ke pekan Jeniang dari Kampung Kota Bukit untuk menjual sekerap atau getah kepingnya.

Selepas itu zaman penulis bersekolah menengah di Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Jitra sekitar tahun 1974-1978, bas masih menjadi pengangkutan utama yang membawa penulis pergi dan pulang dari sekolah terutama musim cuti sekolah. Sehinggalah penulis meneruskan pengajian di Kuala Lumpur, bas masih lagi menjadi pengangkutan utama termasuk kereta api untuk membawa penulis pergi dan pulang ke kampung terutama musim cuti semester.

Seingat penulis, sekitar tahun 1998, penulis tidak lagi naik bas sehinggalah sekarang. Lebih-lebih lagi sejak ada kereta sendiri, bas seolah-olah menjadi kenderaan yang pelik dan terasa janggal sekali untuk memijakkan kaki ke dalamnya. Namun, nostalgia zaman persekolahan dulu yang sering naik bas tetap bertandang dan sesekali menjadikan diri ini berasa teringin sangat nak naik bas. Tetapi sekarang ini amat sukar untuk mendapatkan bas untuk pergi ke pekan terdekat dari rumah kecuali bas pelancongan dan juga bas ekspres yang boleh dinaiki jika kita mahu pulang ke kampung atau melawat ke mana-mana secara rombongan.

Baru-baru ini kerajaan telah mengumumkan bantuan RM400 juta untuk membantu syarikat bas henti-henti di seluruh negara yang semakin kerap didengar terpaksa gulung tikar kerana tidak mampu bersaing. Bukan sekadar di luar bandar yang amat memerlukan perkhidmatan bas henti-henti ini malahan di pinggir bandar juga amat memerlukannya. Tetapi kebanyakan bas henti-henti ini semakin uzur, tua atau buruk. Pemilik tidak mampu mendapatkan bas baru yang lebih menjimatkan kos.

Maka sesuatu harus dilakukan supaya perkhidmatan bas ini mendapat ‘enjin baru’ yang boleh menjamin keselesaan penumpang. Peruntukan yang diumumkan Najib harus diagihkan dengan sebaik mungkin supaya kita tidak mahu wang habis, perkhidmatan dihentikan. Adalah lebih baik kita memberi kail, bukannya ikan.

Menyelak nostalgia lalu, di Kuala Lumpur, syarikat bas seperti Foh Hup, Tong Fong dan Sri Jaya adalah nama yang sudah tidak asing lagi kepada warga ibu kota. Bas syarikat ini dan yang lain termasuk bas mini menjadi nadi pengangkutan awam di ibu negara. Bagaimanapun ia beransur-ansur hilang selepas kehadiran pengangkutan awam moden serta syarikat baru mengambil alih perkhidmatan itu.

Begitu juga di luar bandar. Di utara, nama syarikat bas seperti Sri Negara, MPPP, United Traction Company (UTC), KGN, Lean Hock, Kenderaan Langkasuka Sdn. Bhd., Penang Yellow Bus dan macam-macam lagi tenggelam begitu sahaja atau jika ada pun sedang bergelut dengan masalah.

Syarikat-syarikat bas inilah yang menghubungkan penduduk antara negeri misalnya dari Butterworth (Pulau Pinang) ke Parit Buntar (Perak); Butterworth ke Sungai Petani dan Alor Setar (Kedah); Bukit Mertajam ke Sungai Petani; Bukit Mertajam ke Kulim dan sebagainya. Bas inilah yang merentasi setiap kawasan kampung mengambil penumpang untuk ke pekan berhampiran sama ada bagi urusan kerja, bank, pos, klinik, hospital dan membeli barang keperluan dapur atau menziarah saudara mara.

Malahan ada syarikat yang menyediakan bas sekolah khusus untuk murid-murid kerana ketika itu jarak sekolah dengan sesuatu kawasan agak jauh. Kini boleh dikatakan jarak sekolah semakin hampir dengan rumah dan kebanyakan ibu bapa boleh menghantar anak-anak atau membiarkan mereka berjalan kaki atau berbasikal. Tetapi secara keseluruhannya masih banyak yang memerlukan bas untuk ke sekolah.

Kembali ke kawasan bandar, khidmat bas henti-henti ini juga amat penting bukan sahaja kepada penduduk tempatan malahan kepada pelancong-pelancong yang mahu mendapatkan khidmat lebih murah di samping menikmati kawasan yang dilalui untuk ke destinasi tertentu. Di Kuala Lumpur, era bas mini sudah berakhir dan digantikan dengan bas Intrakota dan kini RapidKL. Ada cadangan bas mini dihidupkan semula.

Di samping bas dan teksi bermeter, warga KL juga mendapat kemudahan pengangkutan rel yang lebih pantas seperti ERL, monorel, transit aliran ringan (LRT) dan komuter. Tetapi harus diingat, jika tidak ada perkhidmatan bas di dalam bandar, apa akan terjadi jika sistem rel kita lumpuh?

Setiap hari, pengguna terus merungut terhadap mutu perkhidmatan rel terutama melibatkan komuter yang menjadi penghubung penduduk di Negeri Sembilan dan Selangor untuk ke Kuala Lumpur. Akhirnya ada pengguna yang sanggup mengambil kereta sapu atau van sapu. Kenapa? Tentulah perkhidmatan pengangkutan awam darat masih belum cekap. Kita ada sistem rel tetapi hubungan antara stesen komuter, LRT dan monorel ke destinasi yang dituju menimbulkan masalah. Di sesetengah stesen, pengguna terpaksa menggunakan teksi, kereta sewa atau kereta sapu disebabkan ketiadaan bas henti-henti.

Malangnya ada teksi yang enggan menggunakan meter malahan mengumpul sejumlah penumpang sebelum memulakan perjalanan dengan mengenakan tambang ikut ‘kepala’. Begitu juga dengan kereta sewa yang tambangnya tidak seragam dan membebankan pengguna. Kereta sapu juga menjadi sandaran penumpang apabila tidak ada perkhidmatan kereta sewa, teksi atau bas. Penumpang tidak ada pilihan. Mereka sedar risiko menggunakan kereta sapu. Tetapi apa pilihan mereka?

Di sesetengah stesen mempunyai teksi tetapi menggunakan kupon. Teksi bermeter jadi teksi berkupon. Malangnya kadar yang dikenakan juga membebankan berbanding jika mengikut meter. Inilah masalah yang perlu diselesaikan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), bukan sekadar memberi amaran kepada pengusaha dan pengguna. Carilah punca menyebabkan pengguna terus merungut mengenai perkhidmatan pengangkutan awam darat ini.

Begitu juga kenapa mereka menggunakan kereta sapu. Bagi penulis, tidak wajar ‘menghukum’ pengusaha kereta atau van sapu. Di sesetengah kawasan, kita sepatutnya berterima kasih kepada mereka kerana menyediakan perkhidmatan kepada pengguna termasuk murid dan pelajar institusi pengajian tinggi.

Dalam hal ini, khidmat bas di Putrajaya boleh dijadikan contoh. Walaupun jumlah penggunanya kurang tetapi perkhidmatannya menyenangkan. Sebaik turun dari ERL atau mana-mana bas dari luar di Putra Sentral sudah tersedia bas ke seluruh presint di Putrajaya. Pilihlah destinasi yang hendak dituju. Ada bas yang melalui laluan lebih jauh dan ada pula laluan lebih dekat. Semuanya bergantung kepada laluan ditetapkan. Lebih menarik lagi apabila tambang yang dikenakan hanyalah lima puluh sen sahaja.

Rasanya tidak ada di Malaysia, bas yang mengenakan tambang sebegitu murah. Bas mini yang tidak ada pendingin hawa dan panas membara pun mengenakan tambang RM1. Justeru, mungkin sudah tiba masanya, bas henti-henti mendapat pembelaan kerajaan sewajarnya seperti bantuan yang diumumkan baru-baru ini.

Model perkhidmatan di Putrajaya perlu diperluaskan. Setiap bas yang menjadi pengangkutan awam perlu seupaya mungkin menjimatkan kos yang selama ini menjadi punca kerugian syarikat bas berkenaan. Diharapkan penstrukturan semula sistem operasi pengangkutan awam darat oleh SPAD dapat menyelesaikan masalah yang timbul. Jika tidak lebih banyak syarikat bas henti-henti akan gulung tikar.

Tidak ada gunanya pihak berkuasa tempatan membina hentian atau tempat menunggu bas yang cantik tetapi tidak ada perkhidmatan bas. Semoga rakyat akan terus mendapat pembelaan sewajarnya.

Melayu Se-Melayunya

DISELAMI semula oleh pelbagai pihak kini ialah kisah-kisah dari Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu. Antara yang dibaca ialah pidato Profesor Ismail Hussain, ‘Antara Dunia Melayu dengan Dunia Indonesia’ ketika menerima gelaran Doctor Honoris Causa dari Universiti Indonesia, Jakarta pada 15 Disember 1984. Antara sedutannya ialah: ‘Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah merupakan dua karya dari zaman pra-cetakan yang terulung di Tanah Melayu, kedua-dua karya itu berlatar-belakangkan Melaka dalam zaman pra-Kolonial dengan yang demikian kedua-duanya memancarkan cita-cita yang Melayu se-Melayunya.’

Tetapi kedua-dua karya itu tertulis dalam zaman Kolonial, Hikayat Hang Tuah jelas tertulis jauh lebih lewat daripada Sejarah Melayu - jadi kedua-duanya lebih merupakan satu macam ingatan malah satu macam mimpi tentang zaman gemilang Melayu itu.

Bagi kebanyakan anak Melayu di Semenanjung, Sejarah Melayu itu merupakan sebuah dokumen yang membanggakan tentang sejarah dan kebudayaan suku bangsanya, karya itu memberitahu tentang zaman bila Melaka itu seolah-olah menjadi pusat dunia dan bangsawan Melayu di puncak keutuhannya’.

Selanjutnya dicatat bahawa ‘teks Hikayat Hang Tuah tak mungkin ditulis di luar daripada wilayah Melayu ini atau di luar daripada daerah Melayu yang mewarisi secara langsung tradisi dan ingatan dari Melaka’. Lalu dijelaskan lagi: ‘Demikian teks Hikayat Hang Tuah itu diturunkan kepada kita dalam bentuk yang amat gagah - temanya adalah tema kemenangan dan keabadian dan ini agak berbeza dengan nada yang terdapat pada Sejarah Melayu.’

‘Hang Tuah itu ialah wira segala wira, tak pernah kalah, tak pernah derhaka dan tak pernah mati. Kesetiaannya yang luar biasa itu haruslah ditafsirkan sebagai kesetiaan kepada kebudayaan dan tradisi Melayu, bukan sekadar kesetiaan kepada raja. Dan penderhakaan yang dicemuhnya adalah penderhakaan terhadap sejarah dan tradisi bangsa sendiri. Dan dari pusat dunianya di Melaka, Hang Tuah memutar ke seluruh alam, menafikan ruang dan masa.’

‘Dan laungannya ‘Tak Melayu Hilang Di Dunia’ yang jelas didesak oleh ketakutan bawah sedar si pujangga, bergema sehingga abad ke-20 dan kata-katanya itu tetap mengobarkan semangat dalam detik-detik yang gelap bagi suku bangsa Melayu.’

‘Tetapi sejarah telah menyaksikan orang Melayu di Selat Melaka itu, betapa besar pun mimpi serta keazamannya tidak dapat menolak satu demi satu mala petaka melandanya. Masuk abad ke-19, kebanyakan bangsawan Melayu itu hilang segala kekuatannya, seperti terlihat dalam Kisah Pelayaran Abdullah Munsyi, apabila beliau memerikan dengan cukup sinis perihal hidup anak-anak raja di Pantai Timur Semenanjung.’

Demikian antara kandungan pidato Profesor Ismail Hussain berkelulusan Universiti Malaya (UM) dan Universiti Leiden, Belanda. Berikut ini pula penjelasan Dr. Cheah Boon Kheng, mengenai seorang bernama Raja Bongsu.

Ayat pertamanya: ‘Raja Bongsu ialah pemilik dan bukan penulis MS. Raffless No. 18, sebuah manuskrip asli Jawi berjudul Sulalatus-Salatin (Geneologi Sultan-sultan), kini dikenali sebagai Sejarah Melayu atau Malay Annals dalam bahasa Inggeris. Inilah manuskrip yang telah dirumikan dalam bahasa Melayu moden oleh Profesor Madya Abdul Rahman Ismail dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan diterbitkan oleh Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society (MBRAS) pada tahun 1998.

Raja Bongsu yang memberi perintah kepada penulisnya, Tun Bambang dari Patani yang bergelar Seri Nara Wangsa, yang menulis Sejarah Melayu. Dalam prakata buku terbitan tahun 2009 (ulang cetak 2010), Dr. Cheah menyatakan: ‘Ada 32 naskhah atau versi Sejarah Melayu yang berbeza-beza antara satu sama lain yang tersimpan di perpustakaan seluruh dunia, tetapi mengikut sarjana Inggeris R.O Winstedt, naskhah atau MS. Raffles no 18 adalah yang tertua.’

Majlis MBRAS kemudian memutuskan supaya MS. Raffles No. 18 itu dirumikan semula. Usaha tersebut dilakukan selanjutnya oleh Profesor Madya Abdul Rahman. Hasilnya ialah ‘suatu versi rumi yang baik dan sesuai untuk pelajar-pelajar sekolah dan universiti di Malaysia’.

Menurut beliau ‘Raja Bongsu ialah pemilik dan bukan penulis teks MS. Raffles No. 18 dan ia juga bersetuju bahawa naskhah ini merupakan naskhah Sejarah Melayu yang asal dan lebih tua daripada naskhah lain dan Tun Bambang ialah penulisnya.

Seperti yang telah disebut oleh Profesor Ismail, Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah ‘kedua-duanya memancarkan cita-cita yang Melayu se-Melayunya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA