Selasa, 27 Disember 2011

Polemik Budaya: Ke Mana Kita Sekarang?

Budaya dan pembudayaan negara Malaysia mengalami suatu proses kefahaman rakyat yang amat kritikal dan telah dipandang serong oleh setenggah pihak. Dari pihak yang bertanggung jawab hingga ke rakyat bawahan, strata kefahaman budaya dianggap remeh serta budaya dipandang sebagai upacara bawahan yang berkonsepkan ‘pesta.’ Pengertian konsep kepelbagaian budaya pada dasarnya dilihat sebagai suatu penyatuan tetapi kepelbagaian tersebut wujud pelbagai prasangka dan hak.

Hakikatnya, perlaksanaan serta pemahaman budaya pada pemikiran rakyat, secara reality lebih kepada berlandaskan perkauman. Tetapi apa yang diwar-warkan, konsep menyeragamkan kumpulan kaum yang ada dianggap ‘unik.’ Pemasaran budaya Malaysia yang dikatakan ‘unik’ itu sebenarnya membawa kepada jurang ketidak-samarataan antara budaya itu sendiri. Ini menimbulkan kekeliruan serta rasa prangsaka antara satu sama lain, kerana dari segi wajahnya ia mementingkan pola-pola kaum itu sendiri. Pola-pola kaum ini membawa kepada interpretasi segregasi dan pemisahan ‘rupabentuk’ kaum. Kepercayaan ‘rupabentuk’ kaum adalah faktor kegagalan integrasi kaum, yang mana sudah tentu sukar dilaksanakan seperti di Malaysia.

Budaya melalui definasi sudut antropologikal Clifford Geertz ialah, ’That culture is public because meaning is--systems of meaning are necessarily the collective property of a group. When we say we do not understand the actions of people from a culture other than our own, we are acknowledging our lack of familiarity with the imaginative universe within which their acts are signs.’

Kegagalan membawa kepada budaya dalam konteks ’systems of meaning’* - menjadikan pola kaum amat terpisah. Perkara ini juga telah dipersetujui dalam peta minda rakyat, di mana dari sudut etimologi ‘budaya’ adalah kata bahasa antara ‘budi dan daya’, di mana keseluruhan intipati berlandaskan ‘sistem makna’ yang didasari secara ’wisdom’ yang berlandaskan nilai rohani keseluruhan bangsa. Ia bukan berpegang kepada persoalan ‘rupabentuk’ namun yang penting apakah ‘tanda’ (signs) dan perlakuan yang disampaikan sebagai nilai rohani yang perlu diambil iktibar.

Perkara ini menjadi perlakuan dasar dan tubular rasa ‘pengalaman dasar suci’ (Ismail Zain), kepada keseluruhan pemikiran dan persepsi. Kehadiran bangsa dan kaum adalah demografik kepada kepelbagaian ‘sistem tanda’ yang perlu dinilai dan rangka pembangunannya berlaku daripada perencanaan pengetahuan serta visuallisasi pemikiran.

Namun dalam kancah kehidupan hari ini ‘budaya’ telah dijelmakan sebagai suatu ’political platform’ bagi mengelirukan pandangan. Pentadbiran pembudayaan tidak memainkan peranan secukupnya. Penyelengaraan kepada kefahaman kebudayaan berlandaskan kewangan serta bagi menyeronokan pihak-pihak tertentu. Formasinya hanya berlegar kepada ‘acara-caraan’ yang berpaksi kepada promosi pelancongan serta gubahan hotel. Pengertian antara ‘budi dan daya’ tidak distrukturkan secara konstruktif dan bagaimana permaknaan ‘tanda’ tersebut dibentuk.

Pihak yang bertanggung jawab hanya melihat sekadar kepada terjemahan bahasa yang agak naratif ‘tentang budaya’ serta bertindak daripada sudut makna permukaan. Erti kata lain, kajiannya tidak mendalam serta tidak pula dipopularkan. Apa yang dipopularkan adalah dari segi kepelbagaian kaum serta ‘gaya persembahan.’ Namun ‘pengalaman dasar suci’ apa yang digayakan itu tidak dimaknakan secara jelas. Ini adalah hakikatnya.

Keseragaman bangsa budaya bukan dilihat daripada pakaian etniknya, ia perlu diolah kepada ragam nilai secara kolektif. Ragam nilai adalah unjuran bahasa dan tanda kepada membina falsafah ‘budi dan ‘daya’, kerana keseluruham ‘ragam’ membawa kepada penilaian intipati intuitif dan penghargaan sejagat. Pemikiran terhadap kelainan dan kepelbagaian budaya bukan ditafsirkan sebagai suatu perpisahan kaum, tetapi kelainan (difference) adalah suatu lonjakan kepada pengetahuan dan ‘imaginative’ baru kepada perubahan ‘budi’ dan ‘daya.’

Perbezaan dan kelainan tersebut perlu dilihat sebagai ’intellectual competitive’ dan bagaimana ‘semangat dasar suci’ atas tapak ‘budi’ dihargai menjadi suatu penghormatan. Kerana keseluruhan ‘sistem budaya dan kehidupan’ memerlukan penghormatan antara satu sama lain. Yang menjadi persoalan sekarang adalah kata ayat ‘penghormatan’ tersebut tidak dilaksanakan. Kehormatan yang kita ada tidak dijaga dengan baik, dimana ‘budi’ yang kita katakan tidak difahami. Maka wujudlah sikap ragam nilai apa yang dikatakan sebagai ‘kurang ajar.’

Keputusannya kita hanya mementingkan sikap dan ragam kita sendiri, di mana ’When we say we do not understand the actions of people from a culture other than our own, we are acknowledging our lack of familiarity with the imaginative universe within which their acts are signs’. Kebuntuan dalam penciptaan ilusi dan sifat kefahaman kepada aksi manusia yang berbeda, memutuskan jalan singkat tentang ‘budi’ yang dicarakan.

Lantaran sistem tanda yang lahir tidak dinilai daripada bahasa mengikut terjemahan rohaninya. Malah pengetahuan kepada persoalan ‘budi’ tidak pernah dinobat sebagai sistem nilai dan ‘pengalaman dasar suci’ yang sepatutnya menjadi intipati kepada pembudayaan dan tradisi pemikiran bangsa Malaysia.

Maka tidak hairanlah wujudnya pertelingkahan makna (clash of meaning) antara kaum serta penyalah tafsiran antara satu sama lain. Hasilnya timbul kekeliruan terhadap bahasa, adat, agama, sistem masyarakat, hak dan keadilan. Perkara ini semakin hari semakin rumit kerana ’We are acknowledging our lack of familiarity with the imaginative universe within which their acts are signs.

Oleh itu, kedudukan dan memposisikan keseluruhan perencanaan kefahaman perlu dirancang oleh ‘tanda’ yang dipaparkan melalui keragaman bahasa atas pengetahuan ‘budi’ dan ‘daya’ serta perlaksanaan pemikirannya. Inilah yang dikatakan ‘unik’. Bukan unik dari segi ragam hias.

Bahasa perlu diletak dari kacamata budaya dan ilmu. Bahasa yang perlu diperjuangkan adalah bahasa ilmu. Sebagai contoh, dalam masyarakat melayu amnya, secara tradisinya, telah meletakan bahasa dan adat kepada pembentukan ‘budi.’ Di mana ia terungkai dari intipati dan ilusi budaya yang ada melalui cara pemikiran. Bibit dan perkataan dari bahasa adalah rangkaian corak serta ‘akal budi’ dalam membina kedudukan adat dan budaya sesuatu bangsa.

Bahasa bukan sekadar terletak kepada cara dan gaya pertuturan, tetapi kepada makna. Kerana kalau setakat gaya pertuturan, maka pemberita TV atau radio telah berupaya untuk menyampaikan sebaik mungkin, yang mana bertujuan untuk memberi maklumat, tetapi bukan kepada bahasa yang memberi ‘menafaat.’

Kesimpulan

Pemikiran tentang budaya perlu dirancang kembali dimana ianya bukan sekadar suatu aktiviti yang dianjurkan oleh pihak tertentu bagi urusan promosi pelancongan. Namun ia sebagai ‘sistem makna’ yang perlu dikupas dan perlu difahami oleh setiap individu dan bukan terletak kepada sesuatu pola kaum dan bangsa sahaja. Ia perlu dilihat secara kolektif serta berupaya menterjemah sistem tanda yang ada sebagai suatu bahasa dan ragam hidup. Ini amat berkait rapat mengenai Integrasi kaum di mana ia perlu berlandaskan kepada ‘akal budi’ yang terpahat disetiap individu agar kedudukan budaya itu dapat direncana atas ‘ragam nilai’ serta kedudukan mertabat budaya itu sendiri secara menyeluruh.

Rujukan:

Geertz.C. (1973): Emphasizing Interpretation. From The Interpretation of Cultures, 1973. - *System of meaning - A system of meaning is a set of relationships between one group of variables (like words, behaviors, physical symbols, etc.) and the meanings which are attached to them. Relationships in meaning systems are arbitrary: there is no particular reason why the word ‘cat’ should refer to a furry four-legged animal, for example. However, when a society agrees upon certain relationships between a certain class of variable (like words or behaviors) and their meanings, a system of meaning is established. Language is perhaps the most formal of human meaning systems. At the same time, we all know what it means to wink at someone or to give someone ‘the finger’; this suggests that human behavior, like language, can be a part of a complex and established system of meaning. (Ihsan dari glossary index) Ismail Zain: (1978). Masa Depan Tradisi - Dikhususkan kepada pengalaman Kuno di Malaysia 1978. Kertas dibentangkan di Bengkel Wayang Kulit anjuran KKBS: 23-26 April 1978.

Isnin, 26 Disember 2011

Dunia Internet Pengaruhi Sahsiah Remaja

GOLONGAN remaja sewajarnya berusaha untuk belajar menjadi seorang yang bertanggungjawab dan beretika ketika melayari internet. Ungkapan ini bukan ingin menuduh golongan remaja tidak bertanggungjawab ketika di dunia siber dan tidak juga mengiakan mereka ini lebih beretika lagi ketika di alam nyata kehidupan seharian mereka berbanding di alam siber.

Ini memandangkan kurangnya kajian secara empirikal dan mendalam berhubung salah laku moral remaja ketika di internet dan kaitannya dengan kegiatan mereka ketika di luar alam siber. Malah, penulisan ini sebenarnya cuba melihat perilaku yang berada di luar etika dan norma kemasyarakatan yang sering kali dikaitkan dengan golongan remaja ketika berinternet dan hubungannya dengan kehidupan realiti mereka. Namun apa yang pasti, kegiatan tidak beretika di alam siber sudah tentu akan mengundang golongan ini untuk terjebak dengan pelbagai gejala salah laku moral, sama ada di dunia siber, atau di alam nyata.

Perspektif masyarakat menilai golongan remaja sebagai kumpulan berisiko tinggi terbabit dengan pelbagai bentuk gejala salah laku sosial dan moral seperti suka bergaduh, gangsterisme, berlumba haram, merokok, melepak, ponteng kelas dan pembuli. Ada segelintir mereka terbabit dengan kegiatan jenayah berat seperti kes bunuh dan rompakan bersenjata.

Timbul persoalan mengapa golongan remaja sering dikaitkan dengan pelbagai bentuk gejala salah laku seperti ini. Jawapan yang sering diajukan kepada umum pula ialah peringkat kehidupan remaja adalah satu fasa peralihan daripada zaman kanak-kanak yang tidak matang kepada satu kehidupan alam dewasa yang lebih bebas dan berkuasa.

Mereka berada di tengah-tengah antara dua kelompok generasi masyarakat ini. Maka perilaku dan pemikiran mereka belum mantap. Ada ketika berkelakuan seperti kanak-kanak dan pada ketika yang lain sering memberontak bagi mendapatkan kedudukan istimewa sebagai individu dewasa yang lebih bebas, tiada kongkongan.

Pertembungan antara dua generasi dalam satu jiwa ini menjadikan mereka sering kurang stabil dari segi emosi dan pemikiran, kerap memberontak dan tidak sehaluan dengan generasi yang berbeza identiti dari mereka. Pada peringkat ini, remaja akan sentiasa mencari arah haluan bagi membentuk siapakah identiti diri mereka yang sebenarnya.

Pencarian ini akan berakhir apabila model identiti yang lebih sesuai dengan fitrah mereka ditemui, lantas dimantapkan dengan beberapa ciri tertentu yang menjadikan mereka sebagai insan unik. Pada peringkat perkembangan kritikal seperti ini, golongan dewasa dan ibu bapa perlu menyedari hakikat bahawa tanggungjawab mereka adalah untuk membantu membina golongan remaja membentuk personaliti dan sahsiah di dalam lingkungan peradaban murni.

Malah, remaja itu sendiri sewajarnya turut membantu diri mereka dengan berusaha mendidik dan membentuk diri serta kehidupan mereka agar sejajar dengan norma murni kerohanian dan kesusilaan. Ini bukannya satu harapan yang terlalu unggul sifatnya atau terlalu sukar untuk dicapai dan golongan remaja pula tidak perlu melihat ia sebagai satu kongkongan atau pertembungan di antara naluri keremajaan mereka.

Pertembungan seperti inilah yang dilihat masyarakat cendekiawan sebagai titik asas kepada konflik yang menghantui diri remaja. Sesuatu yang tidak wajar dilupakan, dalam era letusan teknologi maklumat dan dunia tanpa sempadan ketika ini, konflik naluri remaja menjadi semakin akrab dan jitu, lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan apa yang diungkapkan sebagai kelahiran 'millennials' atau 'Generasi Y'.

Mereka yang dilahirkan antara 1980-an sehingga penghujung 2001, menjadikan internet, terutama laman web berkaitan jaringan sosial seperti YouTube, Facebook, MySpace, Twitter dan sebagainya, sebahagian daripada hidup mereka. Trend ini sejajar di serata pelosok dunia, termasuk di negara ini. Pengaruh aktiviti internet seperti ini dalam kehidupan mereka amat besar. Malah, kajian di Amerika Syarikat mendapati satu pertiga aktiviti internet adalah berkaitan laman web sosial seperti itu dan ia begitu popular di kalangan remaja.

Di negara ini, remaja berusia antara 15-19 tahun mewakili peratusan terbesar pengguna internet, iaitu 17.9 peratus pada 2008, berbanding kumpulan umur lain. Apa yang amat dikhuatiri ialah kesan penggunaan teknologi ini yang memburukkan lagi konflik sedia ada dalam jiwa remaja. Ini kerana dalam peringkat usia sebegini, golongan remaja masih lagi melalui proses perkembangan dan kematangan intelek, emosi dan sosial. Namun, ketaksuban ruang dan masa di dunia maya tidak akan membantu mereka menjalani proses perkembangan ini secara sihat dan teratur.

Bahkan ini akan menjadikan mereka keliru dan tidak mampu menilai apakah gambaran interaksi sosial yang sebenarnya. Interaksi sosial pada mereka adalah bersifat maya (virtual), penuh kebebasan, malah sesuatu yang bersifat peribadi di alam nyata, tetapi di dunia siber, pengertian peribadi berbeza.

Ia boleh diperbahaskan secara meluas, bebas dan tanpa sekatan. Lantaran itu, pada mereka, inilah interaksi yang sebenarnya. Memandangkan remaja terlalu individualistik dan 'egosentrik', sikap menghormati hak dan kewujudan orang lain dalam kehidupan mereka, sebagaimana di dunia siber, tidak wujud sama sekali di alam nyata.

Interaksi secara bebas tanpa sekatan di alam maya lebih membentuk diri mereka melihat norma kehidupan alam nyata sebagai sekatan kepada kebebasan yang mereka idamkan. Ini akhirnya memberi kesan negatif kepada perkembangan personaliti golongan ini.

Akal Budi Dan Keterbukaan Minda Mahasiswa Melayu

Datuk Hassan Ahmad menyatakan bangsa Melayu mempunyai akal budi yang dianggap luar biasa. Akal budi bererti berakal (berilmu) dan beradab atau berbudaya atau bermoral. Inilah status minda Melayu. Jikalau kita mengkaji teks-teks Melayu ‘tradisional’ yang ditinggalkan oleh para seniman dan pemikir Melayu dahulu kala, misalnya pantun Melayu, peribahasa dan pepatah Melayu dan hikayat-hikayat Melayu, kita akan mengetahui betapa bijak atau kreatifnya minda Melayu, mampu berfikir secara abstrak. pragmatik, filosofik. analogis melalui bahasa yang metaforik, kiasan.

Perumpamaan dan simbolik sehingga ada orang yang berkata bahawa berdasarkan korpus budaya Melayu itu, orang Melayu sepatutnya boleh menjadi pemikir yang luar biasa dalam apa-apa bidang ilmu pun, termasuk bidang matematik dan sains. Bukan itu sahaja penjajah seperti Portugis juga pernah menyentuh tentang akal budi bangsa Melayu. Dokumen-dokumen Portugis mengenai Melaka Jilid 1 (1509-1511) dalam Dokumen 8: Chronicle of the Most Happy King D. Manuel of Glorious Memory (Part I). Damiao de Goes, Bibilotheca de Classicos Portuguezes, 1910 perenggan 15 menyatakan: ... Sultan dan penduduk peribumi beragama Islam.

Terdapat istana-istana indah. Penduduknya orang Melayu berkulit coklat. Bahasa mereka menarik dan mudah dipelajari. Mereka bersopan santun, gagah dan berpakaian kemas. Mereka meminati muzik; lelaki dan perempuan sama-sama mencintai kebahagiaan dalam kehidupan. Mereka merupakan askar yang gagah dan bersedia untuk bertaruh nyawa mereka dalam peperangan.

Kenyataan di atas menunjukkan bangsa Melayu mempunyai akal budi yang begitu tinggi dalam kehidupan harian mereka. Namun begitu banyak nada kecewa dilontarkan dengan sikap Melayu pada hari ini. Kenyataan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad pada 20 Jun 2002 dalam ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung UMNO Pusat Dagangan Dunia Putra antara lain menyentuh tentang sikap orang Melayu. Tun menyatakan: ‘Orang Melayu tidak kekurangan apa-apa. Mereka mempunyai akal fikiran yang cerdas dan pintar, kemampuan, kecekapan kerja tangan yang tinggi, tenaga yang sama dengan orang lain. Jika mereka tidak berjaya setelah diberi peluang berkali-kali, setelah dibantu dengan pelbagai kemudahan dan juga wang, sebabnya ialah (di sini saya pohon ampun dan maaf daripada orang Melayu) kerana mereka tidak rajin iaitu mereka malas dan suka kepada jalan yang mudah dan cepat, tidak kira apa akibatnya’.

Isu ini sering difokuskan kepada masyarakat Melayu secara umumnya. Namun dalam artikel ini, saya mengecilkan skop perbincangan kepada golongan mahasiswa di negara ini khususnya pemimpin mahasiswa Melayu. Kenapa pemimpin mahasiswa Melayu? Kerana mereka adalah golongan yang mendominasi kepimpinan mahasiswa dan dikatakan sering mencetuskan isu kemahasiswaan di negara ini.

Persoalannya apakah pemimpin mahasiswa Melayu di negara ini kehilangan akal budi? Fahamkah golongan ini tentang konsep akal budi? Terbukakah minda mereka dalam membina hala tuju gerakan dan menangani isu-isu yang berlaku di persekitaran mereka? Adakah akal budi dan keterbukaan minda pemimpin mahasiswa Melayu merupakan penyelesaian kepada isu-isu kepimpinan mahasiswa di negara ini?

Jika akal budi membawa erti berakal (berilmu), beradab, bermoral atau berbudaya, apakah kini kita boleh berbangga bahawa kita telah berjaya melahirkan mahasiswa yang mempunyai sifat-sifat sedemikian. Pemimpin mahasiswa sering berbicara tentang kepimpinan dalam sesebuah organisasi, seperti penghayatan budaya ilmu, berani dan sedia menanggung risiko, keterbukaan, pemimpin yang memberi dorongan, muhasabah diri, pemimpin yang sanggup berkorban dan lain-lain lagi. Kita tidak mempunyai pengukur sejauh mana akal budi seseorang itu tetapi apakah pemimpin mahasiswa Melayu khususnya ingin membiarkan persepsi negatif sering dilontarkan kepada mereka misalnya menyokong parti-parti politik tertentu, gerakan militan, demonstrasi jalanan, mahasiswa Melayu malas, pemimpin mahasiswa Melayu terlalu aktif dengan kegiatan politik kampus, menentang kerajaan dan lain-lain lagi.

Pemimpin mahasiswa begitu bangga dengan perjuangan era tahun 60-an dan 70-an. Lalu kepimpinan mahasiswa hari ini dikatakan lesu, tidak bermaya dan tandus idealisme.

Persoalannya mengapa pemimpin mahasiswa hari ini tidak boleh menjadi pemimpin mahasiswa seperti era tahun 60-an atau 70-an? Apakah kepimpinan mahasiswa dapat kembali ke era 70-an, sedangkan hari ini kita mempunyai ramai golongan cerdik pandai dan pertubuhan atau persatuan tertentu yang mampu memperjuangkan hak masing-masing selain kepimpinan mahasiswa berhadapan dengan isu yang lebih global seperti globalisasi dalam ekonomi, sosial, budaya dan lain-lain lagi?

Saya kira pemimpin mahasiswa Melayu khususnya hari ini lebih berani dan kritis mengetengahkan isu, hanya mungkin dari sudut kaedah sahaja yang berbeza. Jika tidak mana mungkin pemimpin mahasiswa yang rata-ratanya Melayu mampu mencetuskan tertubuhnya Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), dialog dan forum bersama pemimpin negara dan mengajak rakyat di negara ini memikirkan isu-isu semasa yang berlaku di negara ini.

Mengenai keterbukaan minda, hari ini segala masalah yang dihadapi oleh orang Melayu, baik masalah yang sebenarnya mahupun yang diada-adakan oleh orang Melayu, dikaitkan dengan ‘masalah minda’ orang Melayu. Dikatakan bahawa acuan pemikiran atau mindset Melayu mesti berubah dari ‘yang lama’ kepada ‘yang baru’. Biasanya orang tidak tahu dengan jelasnya apakah yang dimaksudkan dengan ‘mindset’ lama dan ‘mindset’ baru itu.

Bukankah bangsa Melayu 500 lahun dahulu dijajah oleh kuasa-kuasa Eropah dan melalui globalisasi penjajahan ekonomi, perdagangan, politik dan budaya? Tetapi hal yang penting ialah kuasa-kuasa barat tidak berjaya menamatkan tamadun Melayu dan kemusnahan identiti budaya Melayu. Mengapa? Kerana bangsa Melayu bertunjang kepada dua perkara penting iaitu agama Islam dan bahasa Melayu. Hari ini dua perkara ini terus menjadi nadi penting kepada bangsa Melayu seperti yang tercatat dalam Perlembagaan Malaysia. Pemikiran bangsa Melayu bersifat ‘logikal’ dan saintifik, kreativiti minda tidak hanya bersifat estetik atau ekspresif semata-mata tetapi juga bersifat ‘rasional’.

Islam menitik-beratkan ilmu dan akal sebagai kaedah untuk memahami rahsia alam ciptaan Tuhan ini. Ciri-ciri pemikiran rasional dan rnetafizik dalam pemikiran Melayu ini dapat dilihat melalui karya teologi dan tasawuf Nuruddin Al Raniri (Bustan Al Salatin). Hamzah Fansuri, Abd Rauf Singkel, Abd. Samad Al Palembangi dan lain-lain lagi. Mereka berhijrah keluar negeri, pergi ke tanah Arab dan pulang mengembangkan ilmu melalui tulisan dan perbahasan. Bukankah ini menunjukkan minda orang Melayu tidak pernah tertutup tetapi sentiasa mencipta dan menerima perubahan? Tidakkah boleh kita mengaku bahawa keterbukaan minda umat Melayu merupakan keterbukaan minda sepanjang zaman?

Pemimpin mahasiswa Melayu harus menerima keterbukaan minda merupakan satu daripada ciri bangsa Melayu yang telah berjaya membangunkan bangsa Melayu dan negara, seperti mana yang kita kecapi hari ini. Oleh itu keterbukaan yang bagaimanakah diperlukan oleh pemimpin mahasiswa hari ini? Mindset apakah yang perlu ditukar dalam minda pemikiran mahasiswa Melayu?

Saya fikir keterbukaan yang kita boleh maksudkan ialah kewajaran seseorang bersifat terbuka dan mengamalkan dasar pintu terbuka, bersedia mendengar. menerima pandangan, berbincang dan mengamal pentadbiran dengan cara muafakat dan mesyuarat. Pemimpin yang memiliki keyakinan diri yang kental dan tidak merasa terancam oleh pandangan, saranan dan idea orang bawahannya atau orang lain. Ada banyak pandangan dan pendapat yang dilontarkan oleh pelbagai pihak. Maka sebagai pemimpin mahasiswa, merekalah yang berhak menyaring maklumat yang diterima sama ada benar atau tidak.

Masalahnya ialah terdapat tendensi untuk menyokong dan menerima maklumat dari satu sumber sahaja. Misalnya sering dikaitkan dengan menyokong kerajaan atau pembangkang. Mindset yang perlu diubah ialah apabila mahasiswa menjadi pemimpin kepada persatuan atau pertubuhan maka ia dijadikan sebagai platform untuk menangguk pengaruh daripada parti-parti politik kerajaan atau pembangkang. Apabila satu pihak tidak memberi perhatian kepada kita, maka kita pun mencari pihak lain yang sudi mendengar keluhan, rintihan dan kekecewaan kita.

Kadang-kadang pemimpin mahasiswa Melayu sering terperangkap dengan slogan- slogan yang dilaungkan seperti Mahasiswa Juru Bicara Masyarakat, Mahasiswa Mengangkat Martabat Bangsa, Mahasiswa Pencetusn Reformasi, Mahasiswa Pendokong Aspirasi Kerajaan dan lain-lain lagi. Tetapi adakah maksudnya difahami dan dinilai sedalam-dalamnya? Adakah masyarakat merasa terbela dengan perjuangan mahasiswa ataupun hanya segelintir sahaja yang mendapat kepentingan daripada perjuangan yang dilaungkan? Bukankah ada banyak isu lagi yang perlu diperjuangkan?

Cuba fikirkan, apakah dengan bertambahnya orang Melayu berjaya dalam pelajaran maka masa depan Melayu terjamin? Apakah dengan pertumbuhan bilangan universiti, terbinanya banyak sekolah dan berkembang pesatnya institusi pendidikan lain bermakna orang Melayu telah berjaya dan ketuanan Melayu telah terbela? Yang mana satu isu yang perlu ditangani didahulukan atau mengikut prioriti?

Jadi, kalau orang Melayu, mahasiswa atau pemimpin mahasiswa Melayu hari ini mahu menjadi bangsa yang maju, mempunyai daya saing yang tinggi, mahu menjadi bangsa yang dikatakan progresif, inovatif, proaktif, berfikiran positif, dan entah apa lagi, seruan yang perlu kita buat berkali-kali sepatutnya ialah; mengingatkan orang Melayu supaya kembali kepada ‘warisan’ atau acuan pemikiran yang sudah ada dalam pandangan jagat atau world view Melayu sejak menerima Islam sebagai acuan hidup dan penghayatan kepada akal budi bangsa Melayu itu sendiri.

Rujukan:

Jabdin Cik Din, Akhbar Mahasiswa, Oktober/November 2002

Khamis, 22 Disember 2011

Fanatik Sentiasa Membuta Mata Ramai Orang

Al-Imam Muhammad bin Idris al-Syafi’e (150 H – 204 H) merupakan salah seorang tokoh ilmuwan agung yang pernah dilahirkan oleh sejarah kegemilangan Islam. Beliau sebaris dengan jaguh-jaguh ilmu seperti al-Imam Abu Hanifah, al-Imam Malik bin Anas, al-Imam Ahmad bin Hanbal, Ibn Abi Laila, Abi Thaur, al-Imam al-Auza’i, al-Imam Sufyan al-Thauri dan ramai lagi tokoh agung dalam sejarah perkembangan fekah Islam.


Beliau berketurunan Rasulullah s.a.w. Nasabnya bertemu dengan Rasulullah s.a.w. pada ‘Abd Manaf. Syafi’ bin al-Saib (nenek ketiganya) pernah berjumpa Rasulullah s.a.w, namun teragak-agak untuk menerima Islam. Adapun al-Saib adalah pemegang bendera Bani Hasyim menentang tentera Islam pada hari peperangan Badar. Beliau lalu ditawan oleh tentera Islam dan telah menebus dirinya sendiri, kemudian menganut Islam. (Ibn Khallikan, Wafayat al-A’yan, 2/312).


Telah disepakati bahawa beliau lahir di Ghazzah, sebuah bandar yang berada di selatan Palestin. Bapanya meninggal dunia semasa muda. Maka beliau hidup yatim di bawah jagaan ibunya. Ibunya bimbang gagal mendidiknya, maka ketika beliau berumur dua tahun ibunya memindahkannya ke tempat asal keturunannya iaitu Mekah (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 10/6). Semasa kecilnya beliau begitu gemar memanah, sehingga berjaya mengatasi saingannya. Kemudian berminat dengan bahasa ‘Arab dan sya’ir, sehingga menjadi pakar dalam bidang tersebut. Selepas itu beliau mencintai ilmu fekah, sehingga mengepalai manusia pada zamannya. (ibid, 10/6.)


Beliau terkenal dengan keikhlasannya terhadap ilmu. Walaupun amat menyayangi gurunya al-Imam Malik bin Anas dan gurunya juga menyayanginya, namun tidak pernah membuat beliau fanatik atau taksub kepada mazhab atau aliran fekah gurunya itu. Bahkan sejarah telah mencatatkan beliau telah menyanggahi pendapat-pendapat al-Imam Malik.


Apabila al-Syafi’e datang ke Mesir, pada awalnya dia disambut oleh para pengikut Mazhab Malik kerana dia adalah seorang murid utama al-Imam Malik. Namun lama-kelamaan apabila mereka dapati dia menyanggahi Mazhab Malik mereka meninggal dan membantahnya. Bahkan ada di kalangan mereka yang mendoakan agar Allah s.w.t mematikannya demi memelihara Mazhab Maliki (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala’, 10/71-72).


Namun bagi al-Imam al-Syafi’e nilai taksub ini tiada padanya. Kebenaran lebih dicintai walaupun terpaksa menyanggahi pendapat gurunya sendiri. Penghormatan bukan bermaksud mengikuti setiap perkataannya. Kata al-Zahabi: ‘Tidak syak sesungguh al-Imam al-Syafi’e apabila tinggal di Mesir lalu menyanggahi dan melemahkan beberapa pandangan fekah para ulama semasa dari Mazhab Maliki dengan dalil-dalil al-Sunnah, maka mereka terasa perit kerananya dan mereka menyakitkannya kembali. Berlakulah antara mereka ketegangan. Semoga Allah mengampunkan kesemua mereka...’( Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala’ , 10/95).


Kata Muhammad Abu Zahrah: ‘Sesungguhnya keikhlasan al-Syafi’e dalam menegakkan kebenaran sentiasa bersamanya sepanjang hayatnya. Sehingga dia menegakkan kebenaran di mana sahaja dia berada. Jika bertembung keikhlasannya itu dengan apa yang menjadi kebiasaan fahaman orang ramai, dia tetap akan menjelaskan pandangan-pandangannya dengan berani. Jika bertembung keikhlasannya kepada kebenaran dengan keikhlasannya kepada guru-gurunya, dia tetap akan mendahulukan kebenaran.


Keikhlasannya pada gurunya al-Imam Malik tidak pernah menghalang beliau menyanggahinya selepas beliau teragak-agak untuk mengistiharkannya. Namun setelah sampai berita kepadanya bahawa ada pihak di Andalusia yang meminta hujan dengan menggunakan tawassul dengan kopiah al-Imam Malik maka dia mengistiharkan bukunya untuk orang ramai. Tujuannya agar mereka tahu bahawa al-Malik adalah manusia yang terdedah kepada salah dan betul.’ (Abu Zahrah, Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah, m.s.455).


Fanatik mazhab telah menyebabkan dalam kalangan penduduk Andalusia ada yang apabila berlaku kemarau atau kelewatan hujan, maka mereka akan solat istisqa’ (minta hujan) dengan meletakkan kopiah al-Imam Malik di hadapan dan bertawasul dengannya. Bahkan di kalangan pengikut Malik di Mesir ada yang apabila dibaca hadis Rasulullah s.a.w, mereka menjawab dengan menyebut ‘berkata imam dan syaikh kami Malik...’ Mereka menolak hadis demi membela pendapat imam mereka (lihat: ‘Abd al-Rahman al-Syarkawi, Aimmah al-Fiqh al-Tis’ah,www.qudsway.com/Links/ Islamiyiat).


Al-Imam al-Syafi’e menulis kitab menjawab pandangan-pandangan al-Imam Malik demi memahamkan pengikut mazhab tersebut bahawa imam mereka tidak maksum.


Penampilannya dengan hujah dan ilmu menjadikan beliau seorang tokoh ilmuwan yang tidak diragui kehandalannya. Bahkan beliau tersenarai dalam kalangan mujaddid yang diiktiraf umat. Namun, seperti biasa setiap tokoh mempunyai penyokong dan musuh. Dalam kalangan musuh dan penyokong itu pula ada yang melampau dan ada yang sederhana. Golongan yang melampau dalam sokongan akan memuji melebihi batasan yang patut. Demikian juga yang memusuhi apabila melampau akan menuduh dan mencipta tuduh yang bukan-bukan.


Antara yang melampau memuji menyatakan di kuburnya ada tapak kaki Rasulullah s.a.w menziarahi al-Imam al-Syafi’e. Ini juga beberapa kali disiarkan di stesen televisyen kita. Sedangkan beliau meninggal dunia selepas hampir 200 tahun Rasulullah s.a.w wafat. Jika beliau membantah kemelampauan tindakan pengikut al-Imam Malik bin Anas, apakah beliau akan redha dengan dakwaan yang seperti ini?!


Saya agak tertarik dengan ulasan Muhammad Na’im al-Irqususi terhadap riwayat mimpi Abu Ja’far yang menceritakan: ‘Aku lihat dalam mimpiku Rasulullah s.a.w dalam masjid baginda di Madinah. Seakan-akan aku datang dan memberi salam kepada baginda dan berkata: ‘Aku tulis pendapat Malik? Jawab baginda: Tidak! Aku bertanya: ‘Aku tulis pendapat Abu Hanifah?’ Jawab baginda: Tidak! Aku bertanya: ‘Aku tulis pendapat al-Syafi’e? Baginda mengisyaratkan dengan tangan baginda begini – seakan-akan baginda mengherdikku- ‘Kau kata pendapat al-Syafi’e?!! Itu bukannya pendapat, tetapi jawapan kepada sesiapa yang menyanggahi sunnahku.’


Al-Irqususi mengulas: ‘Bila pula mimpi menjadi hujah di sisi ahli ilmu?!! Malik, Abu Hanifah dan selain mereka adalah dari kalangan para imam yang adil lagi dipercayai (thiqah). Mereka berijtihad. Mereka menepati sebahagian besar apa yang mereka ijtihadkan dan tersilap dalam sesetengah perkara. Setiap orang boleh diterima dan ditolak pendapatnya. Maka apa lagi?!! (Siyar A’lam al-Nubala, 10/43). Namun riwayat mimpi seperti ini selalu dijadikan hujah oleh golongan fanatik.


Dalam kalangan fanatik, permusuhan kepada imam yang agung ini ada yang menuduhnya sebagai syiah dan beberapa tuduhan yang lain. Sehingga pada zamannya beliau ditanggap dan digari. Al-Zahabi (meninggal dunia 748 Hijrah) menyebut: ‘Sebahagian manusia mencercanya, namun itu semua menaikkan ketinggian dan kemuliaannya. Ternyata bagi yang mereka yang insaf bahawa ulasan mereka yang menyaingi beliau (al-Syafi’e) mengandungi hawa nafsu. Jarang sekali seseorang yang muncul keimamannya (ketokohan ilmunya) dan menjawab sesesiapa yang berbeza pandangan dengannya melainkan dia akan dimusuhi. Kita memohon perlindungan dengan Allah dari hawa nafsu’. (Siyar A’lam al-Nabala, 10/9).


Bahkan ada yang mencipta hadis palsu kerana fanatik kepada Mazhab Abu Hanifah lalu mencerca al-Imam al-Syafi’e. Disebut dalam hadis palsu itu, kononnya Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Akan ada dalam kalangan umatku seorang lelaki yang dipanggil Muhammad bin Idris (al-Syafi’e), dia memberi mudarat kepada umatku lebih daripada iblis. Akan ada pula seorang lelaki di kalangan umatku dipanggil Abu Hanifah, dia adalah lampu umatku, dia adalah lampu umatku).’ Hadis ini direka oleh Makmun bin Ahmad al-Harawi yang dengki dengan perkembangan pengikut al-Imam al-Syafi’e di Khurasan (Al-Sayuti, Tadrib al-Rawi, m.s. 182).


Kata al-Jarahi (meninggal dunia 1162 Hijrah): ‘Tiada suatu pun hadis sahih mengenai pujian atau cercaan terhadap Abu Hanifah dan al-Syafi’e. Semua yang disebut mengenai hal berkenaan adalah palsu lagi dusta.’ (al-Jarahi, Kasyf al-Khafa, 2/420).


Sementara kisah bohong lain seperti dalam buku al-Rihlah ila al-Rasyid pula memfitnah al-Imam Abu Yusuf dan Muhammad bin Hasan al-Syaibani, dua tokoh dalam Mazhab Abu Hanifah berusaha membunuh al-Imam al-Syafi’e. Demikianlah timbulnya buruk-memburuk disebabkan fanatik mazhab.


Al-Imam al-Syafi’e ialah imam yang mulia seperti para imam tokoh ilmuwan silam yang lain. Mereka tidak maksum, tetapi mereka semua adalah sarjana besar. Kita tidak perlu fanatik kepada mana-mana dalam kalangan mereka, sebaliknya membaca dan cuba memahami penghujahan mereka secara terbuka dan membaca alasan-alasan mereka secara perbandingan. Tidak pernah mereka mengajar untuk kita berkata ‘siapa tidak ikut mazhab aku maka dia sesat’. Bahkan mereka menggalakkan penerokaan ilmu.


Kesemua kemelampauan itu datang dari golongan fanatik yang hidup selepas mereka. Bahkan ramai yang mendakwa Mazhab Syafi’e atau Hanbali atau Hanafi atau Maliki, tidak pula meneliti sendiri tulisan dan perkataan imam-imam itu, sebaliknya sekadar mengajuk dakwaan orang lain yang mendakwa demikian. Lalu ada yang menuduh orang lain tidak bermazhab Syafi’e hanya kerana menyanggahi pendapatnya, padahal belum tentu pendapatnya itu sama dengan al-Imam al-Syafi’e yang sebenar.


Sesungguhnya fanatik sentiasa membuta mata ramai orang.

Senjata Makan Tuan

Saya merenungi sebuah hadis yang selalu dibaca dan diketahui oleh kebanyakan kita iaitu sabda Rasulullah s.a.w: ’Bandingan teman duduk berbual yang baik dan yang buruk seperti pembawa kasturi dan tukang besi. Adapun pembawa kasturi, sama ada dia berikan engkau kasturi, atau engkau beli daripadanya, atau engkau dapati bau harumnya. Sementara tukang besi, sama ada ia membakar pakaian engkau, atau engkau akan dapati bau yang busuk.’ (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Sebelum disalahfahami, perlu dijelaskan Rasulullah s.a.w bukan bermaksud menghina tukang besi, tetapi sebagai contoh kesan keburukan yang mengenai seseorang yang berada di samping orang tertentu. Apatah lagi bukan sepatutnya ketika tukang besi sedang melakukan kerjanya seseorang datang untuk berada di sampingnya.


Mesej yang hendak disampaikan oleh Rasulullah s.a.w adalah agar kita memilih teman berbincang, berbual, berpakat, bermesra atau berdampingan dalam kalangan mereka yang baik. Kesan kebaikan itu akan datang kepada diri kita. Dalam hidup ini, betapa banyak ilmu pengetahuan, pengalaman yang baik untuk kehidupan dan hikmah diperolehi ketika kita bersembang, bergurau, makan sehidang dan bekerja dengan seseorang yang berilmu, baik dan jujur.


Justeru berusaha untuk berdamping dengan ilmuwan, orang yang baik dan jujur demi mengutip mutiara-mutiara hikmah dan manfaat ilmu serta akhlak adalah merupakan usaha yang tinggi nilainya di sisi Islam dan dihitung sebagai ibadah.


Orang yang baik itu bukan dilihat pada serbannya, atau jubahnya, atau bijian tasbih yang dibelinya, atau seumpamanya. Orang baik itu adalah insan yang mulia di sisi Allah s.w.t. Namun kemuliaan di sisi Allah s.w.t. tidak dapat untuk kita salami, cuma ada petanda dalam kehidupan.


Seseorang yang jujur dengan agamanya, berdisiplin dengan prinsip-prinsip mulia dan menghayati akhlak yang baik dalam hidupnya dapatlah pada zahirnya dihitung sebagai orang baik atau soleh. Ini dapat kita rasai apabila kita berada di sampingnya. Maka timbulnya perasaan untuk mendampingkan diri kepada Allah s.w.t., bersemangat dalam perjuangan dan perancangan kebenaran, dan merasa janggal untuk menyalahi disiplin kebaikan merupakan antara kesan berada di samping mereka yang seperti ini.


Setiap kali bangun meninggalkan majlisnya, atau perbualan dengannya kita akan terasa penambahan kebaikan, atau ilmu pengetahuan berguna, atau teladan yang baik, atau pemikiran untuk kebaikan umat, atau pengalaman yang membawa kita mampu mengharungi hidup dengan cara yang lebih baik dan Allah s.w.t. redha. Jika kita berjumpa dengan orang yang seperti itu, sama ada dia rakan kita, atau teman pejabat, atau orang bawahan kita, atau jiran tetangga atau suami, atau isteri maka tidak rugilah untuk kita berusaha berdampingan dengannya.


Tidak rugi untuk lama kita berbual. Tidak rugi untuk kita menemai perjalanannya, menjemputnya datang menjamah hidangan kita, menziarahinya dan apa sahaja yang membolehkan kita mendapat faedah daripada kelebihan yang dia miliki. Sehingga kadangkala tanpa kita sedari cara fikir, cara bertindak, sikap serta kematangan hidup kita dibentuk olehnya secara tidak langsung. Betapa ramai insan yang mengubah cara fikir dan sikapnya hanya kerana teman baiknya.


Sebab itulah dalam karya-karya hadis yang silam sering dimasukkan bab Mujalasah al-Salihin bermaksud bersampingan dengan orang soleh sebagai satu ibadah dan satu langkah penting dalam membentuk peribadi insan. Ada pula yang berkata, ‘Saya mana ada ustaz yang nak berkawan dengan saya’. Saya katakan, Rasulullah s.a.w menyebut al-jalis al-salih ’teman berdamping yang baik’, ia begitu umum.


Sesiapa sahaja yang membawa kebaikan apabila kita duduk berdampingan dengannya maka dia termasuk dalam hadis ini. Bukan semestinya yang diberikan gelaran ‘ustaz’ itu mesti menjadi teman yang baik. Entah berapa ramai yang memakai gelaran itu tidak menjadi teman yang baik, sebaliknya betapa ramai yang tidak bergelar ustaz merupakan teman yang baik untuk dunia dan akhirat kita.


Maka carilah di tempat kerja kita, atau tempat tinggal kita, atau di mana sahaja orang yang baik untuk kita berada bersama ketika waktu rehat, waktu makan dan waktu bergembira. Saya lihat ramai rakan yang mempelajari solat musafir, menyapu stokin atau kasut, solat dalam kenderaan dan berbagai ilmu hanya kerana menyertai perjalanan bersama mereka yang berpengetahuan lalu memahami agama dan keluasannya yang mungkin tidak dibiasakan atau dihayati jika dia tidak bermusafir dengan mereka.


Demikianlah sebaliknya. Jika teman berbual atau musafir atau bersahabat atau berpakat merupakan orang yang buruk akhlak, buruk bahasanya, buruk perangainya maka dia akan mempengaruhi seseorang. Melainkan jika dia sentiasa menasihatinya dan berusaha mengubahnya.


Namun, dalam banyak keadaan jika teman itu selalu menguasai suasana dan kita membiarkannya, kita akan berkongsi dosa, atau berkongsi nama buruk, lebih buruk lagi akan terkesan dengan akhlak yang buruk. Ada insan memang dahsyat mulutnya, pantang kita berbual dengannya ada sahaja orang yang akan dimaki hamunnya, dicerca dan dihina, bahkan kadangkala dia mencarut-marut terhadap orang lain.


Jika hal itu berlaku sekali-sekala, mungkinlah boleh dianggap sebagai terlanjur dan kesilapan lantas kita sering ingat mengingati. Namun jika itu menjadi kebiasaan, maka dia adalah teman yang buruk untuk kita bersamanya. Jika kita terus bersamanya, dosa pasti dikongsi, akhlak juga akan berubah.


Saya ada seorang sahabat, seorang pemuda yang berbudi bahasa, namun apabila dia terpengaruh dengan rakan-rakan politiknya, budi bahasanya hilang dan maki-hamun menjadi ringan di lidahnya. Semua orang yang tidak beraliran dengan partinya salah dan kafir. Saya kata kepadanya, sesungguhnya pertunjukan artis yang saudara dan kumpulan saudara sering bantah itu, lebih baik daripada rakan dan ceramah maki-hamun yang saudara sering hadir sehingga mengubah diri saudara itu.


Saya tidak menolak perbezaan aliran politik dan keluasaan untuk mengkritik dasar-dasar politik, juga disiplin ahli politik, namun maki-hamun dan carut-marut tidak pernah ditunjukkan oleh Islam. Dia berkata kepada saya, Saiyyidina Umar pun tegas. Saya kata kepadanya, tegas bukan bererti boleh maki dan carutkan orang sesuka hati di atas pentas. Dalam hadis al-Bukhari daripada Anas bin Malik r.a. katanya: ‘Bukanlah Rasulullah s.a.w itu seorang pemaki orang, tidak juga seorang pengucap kekejian dan bukan seorang pelaknat orang lain.’


Kemudian, kita hendaklah sedar bahawa teman yang kita sering duduk dengannya ketika dia memaki hamun orang lain, tidak mustahil esok dia akan duduk dengan orang lain pula untuk memaki hamun kita. Jikalah setiap orang yang dia tidak bersetuju dimaki hamunnya, apalah mustahilnya apabila dia tidak bersetuju dengan kita, dia akan memaki hamun kita pula. Tiada nilai takwa, tiada nilai bimbangkan hari Akhirat.


Saya lihat ramai orang politik yang kawan-kawannya yang dulu ‘sakan’ memaki-hamun musuh politik mereka, hari ini apabila berpaling tadah memaki mereka pula. Itulah bahaya berkawan dengan orang jahat. Hal ini berlaku bukan sedikit dalam PAS juga. Apabila berlaku persaingan jawatan, tuduh-menuduh, kutuk mengutuk dan cerca mencerca dihalakan kepada rakan sendiri sama seperti mereka maki dan kutuk musuh politik mereka yang lain. Mungkin di peringkat tertinggi setiap parti tidak berlaku, tetapi ‘anak buah’, ‘penyokong setia’ dan ‘jentera melobi’ yang sudah lama terdidik, atau mendapat tarbiah tidak rasmi memaki orang, dengan petah dan lancarnya memaki sahabat dan rakan sendiri.


Saya layari laman web parti-parti berkenaan yang anak-anak buah mereka memaki hamun pemimpin sendiri. Itulah latihan yang mereka dapat selama ini. Ada pemimpin mereka yang mengeluh kerana dituduh oleh ahli parti sendiri. Dalam isu kerajaan perpaduan, ada yang dituduh ‘gila kuasa’, ‘gila nak jadi menteri’, ‘nyayuk’ ‘nak mampus’ dan berbagai lagi yang jika dibaca di forum-forum internet mereka tidak tergamak hendak disebutkan.


Apa hendak dikatakan? Sudah begitu berjalan dalam dunia politik kita. Bagi saya, tidak menjadi masalah berbeza pendapat, bertegas, membantah kesalahan tetapi mengapa mesti memaki orang. Belajarlah untuk hidup sebagai pengkritik yang bernas, bukan pemaki hamun yang tiada nas. Didik anak buah dan rakan kita untuk tidak memaki dan menggunakan bahasa yang hodoh dan keji terhadap orang lain, tetapi mengkritik secara membina dan berwibawa. Mengkritik pula biarlah berpandukan fakta-fakta yang tepat dan sahih, ada rujukannya, bukan main sedap mulut saja.


Ada yang bersungut panjang apabila dia dimaki hamun oleh ahli partinya dalam ucapan, internet dan sms. Bagi saya, itulah senjata selama ini yang mereka gunakan untuk musuh-musuh politik mereka, atau biar digunakan oleh pengikut mereka untuk menikam orang lain, maka akan sampai masanya ‘senjata makan tuan’.

Nampak Saja Kuat Agama

Untuk membuat penilaian yang seimbang atau kesimpulan yang adil bukanlah mudah. Dalam kehidupan ini ramai orang selalu membuat kesimpulan daripada penampilan atau faktor luaran yang mereka lihat semata-mata.


Penilaian yang seimbang atau kesimpulan yang adil berbeza dengan sangkaan baik. Umpamanya, apabila kita melihat mereka yang kuat bersolat, atau berpuasa maka sudah pasti kita wajar bersangka baik terhadapnya. Namun dalam masa yang sama kita tidak akan membuat kesimpulan bahawa dia adalah pasti ahli syurga, atau pasti orang yang kuat berpegang dengan agama, atau seorang yang soleh.


Ini kerana solat dan puasa memanglah amalan yang baik dalam Islam, tetapi Islam bukan sahaja berkaitan soal solat dan puasa, sebaliknya Islam merangkumi pelbagai sudut kehidupan. Jika dia kuat solat dan puasa, tetapi dalam masa yang sama kuat memaki dan mencerca orang, atau menderhakai ibubapanya, atau tidak amanah, atau menzalimi orang lain dan seumpamanya, maka dia bukannya orang yang soleh dalam ertikata sebenar dalam Islam.


Tidakkah kita selalu membaca hadis:Tahukah kamu siapakah orang yang muflis? Jawab mereka: ‘Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta’. Sabda baginda: ‘Orang yang muflis dalam umatku ialah sesiapa yang datang pada Hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, juga dia pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka.’ (Riwayat Muslim).


Dalam hadis lain Rasulullah s.a.w menceritakan tentang akhir zaman ada para pembaca al-Quran kerana hendak dapat untung. Ini dapat kita lihat dalam negara kita mereka yang memakai ‘pakaian agama’ dan mengutip wang daripada orang ramai kononnya kerana hendak membuat penghantaran pahala kepada si mati. Mereka membuat untung yang besar saban tahun atas nama al-Quran dan orang menganggap mereka melakukan kebaikan sedangkan Rasulullah s.a.w menyindir perbuatan ini dengan sabdanya:Bacalah al-Quran dan mintalah daripada Allah (pahala), kerana selepas kamu akan ada kaum yang membaca al-Quran dan meminta (upah) daripada manusia.’ (Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).


Dalam sejarah ramai mereka yang menampil watak ‘agama’ tetapi sebenarnya penjenayah agama. Antara yang terkenal ialah Abu ‘Ismah Nuh bin Abi Maryam yang mencipta hadis-hadis dusta kononnya kerana ingin mendapat pahala dengan diadakan hadis-hadis fadilat itu dan ini khususnya tentang surah-surah al-Quran. Dia digelar Nuh al-Jami’ bermaksud Nuh yang menghimpunkan. Ini kerana dia menghimpunkan ilmu daripada berbagai tokoh-tokoh besar. Namun al-Hafiz Ibn Hibban menyatakan: ‘Dia menghimpunkan segalanya, kecuali cakap benar’. (lihat: al-Sayuti, Tadrib al-Rawi, 185, Beirut: Dar al-Fikr).


Pada zahirnya, dia tokoh agamawan namun pada hakikatnya dia sebenarnya pendusta agama. Bukan sedikit orang yang sepertinya dalam sejarah pengumpulan hadis. Kata seorang tokoh pengkaji hadis, Dr. Hammam Sa’id: ‘Telah zahir golongan ahli ibadat, zuhud dan nussak (penumpu penuh ibadah). Kejahilan dan kebodohan mereka telah membawa mereka mencipta hadis-hadis palsu dalam fadhilat-fadhilat amal, fadhilat surah-surah al-Quran dan solat-solat sunat, untuk menggalakkan orang ramai beramal. Seperti juga mereka mencipta hadis-hadis palsu dalam menakut orang ramai terhadap maksiat. Mereka menyangka mereka telah membela Islam. Golongan yang jahil ini tidak tahu bahawa pendustaan ke atas Rasulullah s.a.w boleh menurunkan mereka ke dalam tingkatan-tingkatan yang paling bawah dalam neraka jahannam.’ (Hammam ‘Abd al-Rahim Sa’id, Al-Tamhid fi ‘Ulum al-Hadith, m.s. 140, Jordan: Dar al-Furqan).


Ini kerana tindakan mereka telah menipu atas nama Rasulullah s.a.w dan merubah wajah asal agama. Jika dilihat atau dinilai pada zahir ibadah dan pakaian mereka, tentu kita menyangka mereka golongan yang soleh, tetapi di sisi agama mereka adalah para pendusta yang termasuk dalam sabda Rasulullah s.a.w:Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.’ (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Dalam sejarah pertelingkahan umat Islam kelompok yang paling kuat dan awal menggunakan isu agama untuk mengkafirkan orang Islam yang lain ialah puak Khawarij. Kelompok ini Rasulullah s.a.w sifatkan seperti berikut: ‘Seseorang kamu akan merasa lekeh solatnya dibandingkan solat mereka, merasa lekeh puasanya dibandingkan puasa mereka. Mereka membaca al-Quran, namun al-Quran itu tidak melebih halkum mereka. Mereka tersasar keluar dari agama seperti anak panah tersasar dari sasarannya...’ (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Inilah Khawarij yang kelihatan hebat dalam ibadah dan pidato agama mereka dengan menggunakan nas-nas al-Quran. Mereka mengkafirkan orang Islam yang melakukan maksiat, juga mengkafirkan orang Islam yang tidak mengikut kumpulan mereka. Puak Khawarij ini mengangkat slogan: ‘Tidak ada hukum melainkan hukum Allah’. Slogan yang kelihatannya berteraskan al-Quran, tetapi dengan tujuan yang buruk.


Kata Saidina Ali bin Abi Talib kepada mereka: ‘Satu slogan yang benar, tetapi dengan tujuan yang batil’. (Al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, 304/10, Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah).


Dengan slogan al-Quran:Sesiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah maka mereka itu orang-orang yang kafir.’ (Surah al-Maidah, ayat 44), maka mereka melancarkan kempen mengkafirkan dan memerangi orang Islam. Atas andaian yang tipis maka dengan mudah seseorang dijatuhkan hukuman murtad dan kafir. Hasilnya, pertumpahan yang dahsyat berlaku pada zaman pemerintahan Saidiyyida Ali bin Abi Talib.


Selepas zaman Ali pun, pemikiran Khawarij meresap ke dalam berbagai kumpulan dan organisasi. Hasilnya, kita mendengar isu kafir mengkafir muncul di pelbagai zaman dan tempat di seluruh pelosok dunia Islam. Pada zahirnya puak ini berwajah agama, namun pada hakikatnya Rasulullah s.a.w menyebut tentang mereka:Mereka itu berucap dengan ucapan sebaik-baik makhluk. Mereka tersasar keluar dari Islam seperti anak panah tersasar dari sasarannya. Iman mereka tidak melebihi halkum mereka. Di mana sahaja kamu temui mereka maka bunuhlah mereka kerana sesungguhnya membunuh mereka itu ada pahala pada Hari Kiamat.’ (Riwayat al-Bukhari).


Demikian getirnya kelompok ini. Sekalipun dengan ungkapan dan nas agama di mulut mereka, namun Rasulullah s.a.w memerintahkan agar pemerintah Islam membunuh mereka kerana mereka mengkafirkan bahkan sesetengah kelompok mereka seperti al-Azraqiyah membunuh orang Islam, anak kecil dan wanita yang tidak mengikut kumpulan atau jemaah mereka.


Dengan ini menyedarkan kita semua, di samping kita bersangka baik kepada golongan yang menzahirkan ciri-ciri agama, kita sayangkan mereka dan menghormati mereka, namun kita juga mestilah berhati-hati dengan tindakan setiap individu dan kumpulan. Janganlah penampilan zahir menyebabkan kita membuta mata atau memandulkan akal daripada membuat penilaian yang matang dan seimbang. Apa yang baik kita kata baik, apa yang salah tetap dinilai salah tanpa mengira dari mana dan siapa kesalahan itu datang.


Namun jika golongan tertentu menzahirkan ciri-ciri agama dan memegang prinsip agama dalam seluruh perjalanan mereka, maka merekalah golongan yang kita cinta dan kita bela dengan sepenuhnya.

Apabila Politik Mencorakkan Islam

Para sarjana sejarawan Islam berbeza pendapat tentang tarikh sebenar kelahiran Rasulullah s.a.w. Hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim hanya menyebut bahawa baginda lahir pada hari Isnin tanpa menyebut haribulannya.


Sesiapa yang membaca karya-karya sejarah Islam yang besar seperti al-Bidayah wa al-Nihayah oleh al-Imam Ibn Kathir (meninggal dunia pada 774 Hijrah) akan melihat berbagai pendapat tentang haribulan dan bulan kelahiran baginda s.a.w. Bagi yang berpendapat baginda lahir pada bulan Rabi’ul Awwal, mereka berbeza pendapat pula dalam menentukan haribulannya. Ada yang mengatakan pada 8 haribulan, ada yang pada 9 haribulan, ada pula pada 12 haribulan seperti yang menjadi anggapan ramai, ada juga pada 17 haribulan dan seumpamanya.


Di samping di sana ada pula sarjana Islam yang menyatakan baginda lahir pada bulan Ramadan dengan hujah-hujah mereka yang tersendiri. Apa pun yang penting, sejarawan Timur atau Barat, Utara atau Selatan tidak pernah berbelah pendapat tentang lahirnya seorang insan bernama Muhammad bin ‘Abdillah yang diikrarkan oleh umat Islam sebagai rasul terakhir yang diutuskan Allah s.w.t.


Hal ini berbeza dengan Jesus yang berada dalam gambaran Barat. Sesetengah ahli kajian mereka mempertikaikan tentang kelahiran Jesus itu sendiri.


Kelahiran Rasulullah s.a.w adalah peristiwa yang amat penting kerana ia peristiwa yang memulakan episod baru bagi kehidupan manusia sejagat. Penentuan haribulan atau bulan secara tepat bukanlah faktor utama. Tidak dapat menentukan tarikh lahir yang pasti, bukan bererti seseorang itu tidak wujud.


Entah berapa ramai nabi, tokoh, individu yang gagal dikesan tarikh kelahiran mereka, tetapi mereka wujud dan telah mewarnai sejarah. Kegagalan sarjana untuk mengetahui hari dan bulan sebenar kelahiran Rasulullah s.a.w antaranya berpunca daripada tindakan para sahabat Rasulullah s.a.w yang tidak merayakan tarikh tersebut. Walaupun dalam sejarah Islam, merekalah generasi yang paling mencintai Rasulullah s.a.w, namun mereka tidak membuat perayaan khas hari kelahiran baginda disebabkan kerana mereka tidak melihat baginda melakukan hal yang demikian.


Bahkan Ibn Kathir menceritakan bagaimana Saidina ‘Umar apabila dicadangkan permulaan tahun Islam dikira pada tahun kelahiran Rasulullah s.a.w, beliau menolaknya. Sebaliknya khalifah agung itu memilih tahun hijrah baginda sebagai permulaan kiraan.


Bukan kelahiran tidak penting, tetapi hijrah adalah permulaan kejayaan dan sejarah perjuangan. Perkara yang paling utama buat seorang rasul ialah baginda diikuti, bukan sekadar dirayakan. Saban tahun orang Kristian Barat merayakan kelahiran Jesus, namun apakah kehidupan mereka sama seperti yang diajar oleh Jesus?


Hari berganti dan bertukar. Dunia Islam beralun dengan berbagai krisis politik yang akhirnya mencetuskan mazhab. Antaranya Mazhab Syiah yang asalnya merupakan mazhab politik, bertukar menjadi mazhab agama dengan segala macam aliran di dalamnya.


Islam sepatutnya mencorakkan politik tetapi telah bertukar menjadi ‘politik mencorakkan Islam’. Lalu kefahaman agama dibina di atas blok-blok politik, bukan reka fikir politik itu diwarnakan oleh Islam. Maka perebutan kuasa berlaku atas agenda politik yang dimasukkan unsur Islam ke dalamnya. Maka berselerakanlah umat Islam akibat agenda politik berbagai aliran.


Di Mesir, Syiah Fatimiyyah pernah menguasai tampok kuasa. Berbagai agenda agama dilaksanakan dalam kerangka pemikiran mazhab politik yang bertukar menjadi agama. Berbagai perayaan agama dibuat dengan tujuan untuk mencapai matlamat politik yang tersendiri. Dalam Fatawa al-Azhar diakui bahawa ahli sejarawan Islam tidak mengetahui siapakah yang memulakan perayaan Maulidul Rasul melainkan Kerajaan Syi’ah Fatimiyyah di Mesir yang mengadakannya secara besar-besaran.


Mereka turut meraikan hari kelahiran tokoh-tokoh Ahlil Bait dan kelahiran Nabi Isa a.s. Kemudian pada tahun 488 Hijrah dihentikan oleh khalifah mereka al-Musta’la billah. Kemudian dihidupkan kembali oleh sesetengah kerajaan dan negeri. Demikianlah sejarahnya.


Ya, saya fikir, perasaan bersyukur mengenangkan sejarah kelahiran Rasulullah s.a.w dengan semangat untuk mengikuti baginda adalah wajar. Di samping kita perlu sedar fakta-fakta yang disebutkan tadi. Jika bulan Rabi’ul Awwal ini dikatakan bulan kelahiran Rasulullah s.a.w, maka tidak salah untuk kita berceramah menceritakan sejarah perjuangan dan prinsip-prinsip Islam yang dibawa oleh baginda. Sama ada pada bulan ini atau selainnya. Sama seperti apabila kita melintas suatu tempat bersejarah, kita mengenang sejarah tersebut. Cuma janganlah kita ini menjadi manusia bermusim yang hanya mengenang rasul dan ajaran baginda pada hari-hari tertentu, tetapi kita seakan-akan sudah tidak mengingati baginda selepas itu.


Di samping itu, hendaklah kita sedar, jika kita mengikuti Rasulullah s.a.w, maka pastikan kita tidak menokok tambah ajaran baginda apa yang baginda tidak izinkan. Baginda bersabda: ‘Sesiapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan daripadanya maka ia tertolak.’ (Riwayat Muslim).


Oleh kerana baginda tidak pernah menunjukkan kita ibadah khas sempena kelahiran baginda sama ada solat khas, atau puasa khas atau bacaan khas, maka kita tidak boleh mengadakannya. Jalan yang patut diikuti dalam masalah ini adalah jalan para sahabat baginda s.a.w. Sabda baginda s.a.w: ‘Sesungguhnya Bani Israil berpecah kepada 72 puak, dan umatku akan berpecah kepada 73 puak. Kesemua mereka dalam neraka kecuali satu puak’. Mereka bertanya: ‘Apakah puak itu wahai Rasulullah?’ Jawab baginda: ‘Apa yang aku dan para sahabatku berada di atasnya.’ (Riwayat al-Tirmizi dinilai sahih oleh al-Diya al-Maqdisi).


Perlu diingat, antara keistimewanya sejarah Rasulullah s.a.w kerana ia dapat dikenal pasti antara yang tulen dan tidak tokok tambah. Ini berbeza dengan sejarah pengasas-pengasas agama dalam dunia ini yang hampir keseluruhan sejarah mereka dibina atas sangkaan atau perkhabaran yang tidak pasti. Ilmu hadis yang menapis sanad dan matan telah memelihara fakta sejarah nabi kita Muhammad s.a.w. Hanya sejarah yang pasti sahaja yang menjadi ikutan kita, bukan yang direka.


Kata al-Sayyid Sulaiman al-Nadwi: ‘Sesungguhnya sirah yang berhak diikuti oleh manusia sebagai contoh yang baik dan teladan yang tinggi disyaratkan terlebih dahulu mestilah bersifat tarikhiyyah (sejarah). Adapun sirah yang tertegak di atas dongengan dan cerita-cerita khurafat yang tidak disokong oleh riwayat-riwayat yang dipercayai kesahihannya, adalah menjadi tabiat insan tidak akan terpengaruh dengan apa yang diceritakan kepadanya tentang sirah peribadi yang direka sedangkan sejarah tidak pernah mengenalinya’ (Sulaiman al-Nadwi, al-Risalah al-Muhammadiyyah, m.s. 41, Saudi: al-Dar al-Sa’udiyyah).


Buku Maulid al-Barzanji yang banyak dibaca dalam masyarakat kita ketika majlis kenduri-kendara atau selainnya mempunyai sumbangan yang tersendiri. Banyak sirah yang sahih dicatatkan oleh penulis karya tersebut iaitu Ja’far bin Hasan bin ‘Abd al-Karim al-Barzanji (meninggal dunia 1187 Hijrah). Namun satu hakikat yang boleh dinafikan dari segi ilmu hadis bahawa terdapat fakta-fakta yang tidak sahih dalam buku Al-Barzanji tersebut. Antaranya, beliau menyebut: ‘Telah hadirlah pada malam kelahiran baginda (Rasulullah s.a.w) Asiah (isteri Fir’aun yang beriman) dan Maryam (ibu Nabi Isa a.s.) dalam kumpulan wanita dari syurga)’.


Tiada satu riwayat yang sahih daripada Rasulullah s.a.w yang mengakui peristiwa seperti ini. Sehingga seorang pengkaji sejarah Muhammad Muhammad Hasan Syurrab menyebut: ‘Wajib kita berhati-hati ketika memetik dari buku-buku sirah terutamanya buku-buku sirah yang terkemudian. Para rawinya (periwayat) banyak menokok tambah cerita dan sirah Rasulullah. Mereka mengaitkan kepada baginda mukjizat dan perkara-perkara luar biasa sejak kelahiran sehingga kepada kewafatan baginda dengan perkara yang tidak ada sanad yang boleh dipegang. Seakan-akan para rawi ini melihat tujuan penambahan perkara-perkara luar biasa ini untuk memberikan kepada Rasul a.s. mukjizat-mukjizat yang tidak ada pada para nabi sebelum baginda. (Muhammad Muhammad Hasan Syurrab, Fi Usul Tarikh al-’Arab al-Islami, m.s. 84, Damsyik, Dar al-Qalam).


Kita semua bersyukur dan bergembira dengan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Namun kita wajib pastikan cara kita ikut dan faham mengenai baginda. Saban tahun banyak pihak yang meraikan maulid, apakah umat Islam bertambah dekat dengan baginda?

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA