Jumaat, 17 Jun 2011

Mendekati Jawa Ponorogo Malaysia

RAMAI beranggapan masyarakat Jawa ini sama saja walau di mana saja mereka berada, biarpun hakikatnya kelompok ini terbahagi kepada beberapa etnik kecil yang menjurus kepada tanah asal mereka di Indonesia. Namun, pernahkah anda tahu mengenai kewujudan masyarakat Jawa Ponorogo di Malaysia? Mendengar namanya saja sudah pelik, apalagi penceritaan mengenainya sebegitu asing. Malah, dalam kalangan orang Jawa sendiri, khususnya generasi mudanya pun tidak mengenai kelompok Ponorogo itu.

Secara ringkas, Jawa Ponorogo adalah masyarakat terbesar bertumpu di kawasan Sri Medan, Batu Pahat dan antara teramai di daerah Johor itu. Malah, mereka juga kekal satu-satunya masyarakat Jawa yang tegar meneruskan cara hidup serta budaya asal Jawa dibawa dari Indonesia. Jawa Ponorogo berasal dari daerah di Jawa Timur iaitu Ponorogo dan kemasukan mereka ke sekitar Batu Pahat dan sebahagiannya di Selangor berlaku pada awal 1920 untuk memantapkan ekonomi mereka lantaran kesukaran membina kehidupan sempurna di tanah asal di Indonesia.

Tarian kuda kepang masyarakat Jawa Ponogoro di Malaysia

Kesempatan mendekati mereka di kawasan Sri Medan terutama di kampung Parit Warijo dan Parit Baru, menyerlahkan lagi realiti yang menampilkan kelainan sebagai penerus budaya Jawa asli dari Indonesia. Perbezaan yang ditampilkan pula bukan sekadar bahasa tetapi juga cara hidup serta wajah kampung itu sendiri. Penulis sendiri terpegun seketika melihat persekitaran ketika melintasi jalan Parit Warijo ke rumah Ketua Kampung, Sukadi Kusmadi, baru-baru ini. Di kiri kanan jalan, kami dihidangkan pemandangan rumah besar berhalaman luas dan bersih dikelilingi pokok kelapa sawit yang tersusun kemas. Bukannya tiada kampung lain sebersih itu tetapi pemandangan kali ini mengagumkan penulis kerana selain kebanyakan rumahnya ibarat banglo mewah, halamannya juga luas yang boleh memuatkan lebih 10 kereta sekali gus.

Biarpun dikelilingi pokok kelapa sawit, persekitarannya sentiasa bersih yang menjadi antara keunikan cara hidup atau budaya Jawa Ponorogo dan bukan Jawa lain secara umumnya. Malah Jawa Ponorogo juga unik kerana banyak perbezaan dengan Jawa lainnya termasuk aspek bahasa dan budaya berikutan asal usul mereka dari Jawa Timur di Kepulauan Jawa. Ramai warga tuanya juga mahir berbahasa Jawa Ponorogo halus.

Kanak-kanak masyarakat Jawa Ponogoro dengan pakaian tradisi

Keunikan lain mereka ialah sikap lemah lembut dan berbudi bahasa dalam kebanyakan urusan. Tidak sah bertandang tanpa hidangan sekurang-kurangnya air kosong. Seperti peringatan rakan Jawa lain yang mengetahui misi kajian budaya mendekati masyarakat itu kali ini, jangan sekali-kali menolak hidangan jika berkunjung ke rumah orang Jawa terutama Ponorogo kerana budaya mereka memastikan tetamu tidak pulang tanpa tekak dibasahkan dulu.

Merujuk kepada sejarah kedatangan mereka, meskipun merantau ke bumi orang dalam keadaan daif dan hanya berbekalkan kemahiran bertani, masyarakat itu berjaya membina kehidupan baik dengan kebanyakan keluarga memiliki tanah luas mencecah belasan ekar dengan pelbagai tanaman seperti kelapa sawit dan getah. Ia berkait rapat sifat berani meneroka kawasan baru serta rajin. Selain paparan keadaan rumah mereka yang mewah, masyarakat ini juga tebal tradisi mencari rezeki untuk diwarisi turun temurun. Lantaran itulah, meskipun Sri Medan sinonim dengan banjir selama ini, ia mampu dibangunkan dengan baik sampai sekarang atas kemahuan orang Jawa Ponorogo yang membina kehidupan lebih selesa untuk kesenangan anak cucu.

Pasangan pengantin baru masyarakat Jawa Ponogoro

Masyarakat Jawa Ponorogo juga memiliki keteguhan mempertahankan budaya tersendiri kerana sudah menjadi tradisi di Ponorogo, Indonesia, satu pesta kebudayaan ‘Reyog’ terus diadakan setiap tahun. Ia turut menjadi tunjang kepada keturunan Jawa Ponorogo di negara ini untuk terus mempraktikkan banyak aktiviti kebudayaan dan kesenian seperti kuda kepang, barongan, wayang kulit dan permainan muzik gamelan. Lebih ketara, perhubungan berterusan masyarakat itu dengan keluarga asal di Ponorogo, membolehkan budaya itu dikekalkan.

Kebetulan, ketika tugasan kajian budaya ini dijalankan, ramai masyarakat di Parit Warijo berkunjung ke Ponorogo kerana di sana bakal diadakan pesta Reyog yang kebiasaannya menjadi keramaian terbesar setiap kali tiba Awal Muharam. Kelebihan mereka juga terletak kepada darah pahlawan yang menebal dalam diri mereka, terutama jika merujuk sejarah mereka dalam perkembangan Islam dan tuntutan kemerdekaan daripada kerajaan Majapahit. Jawa Ponorogo ini turut dikenali pejuang ‘Warok’ yang diabadikan sebagai tugu besar di daerah itu di Indonesia.

Darah kepahlawanan dan keberanian itulah mendorong mereka untuk membina penempatan di kebanyakan kawasan di Batu Pahat. Malah, di Sri Medan sendiri, boleh dikatakan 80 peratus penduduknya berdarah Ponorogo selain etnik Jawa lain, Banjar dan masyarakat Cina yang bergelar minoriti di situ. Status diri sebagai ‘orang kaya’ juga sesuai bagi menggambarkan cara hidup mereka. Difahamkan, tidak banyak kenderaan awam yang sanggup memasuki kawasan itu kerana sukar mendapat penumpang lantaran setiap isi rumah memiliki kereta sendiri, termasuk berkereta mewah.

Jika ada pun, mungkin sekali bagi setiap dua ke tiga jam, kelihatan kelibat bas awam, itupun tidak ramai penumpang. Kemewahan masyarakat itu mungkin didorong keupayaan mengusahakan sektor pertanian dan perladangan. Difahamkan juga, ekonomi rumah tangga turut dibantu hasil usaha golongan wanitanya yang mahir mengusahakan pelbagai kerja tangan. Kendatipun kaya atau berkemampuan, mereka tidak lekang sikap ramah, merendah diri serta budi bahasa tinggi yang menarik hati penulis. Tidak hairanlah kerap juga program anak angkat diadakan di situ kerana mudah mendapat kerjasama keluarga yang sudi menerima tetamu.

Mereka juga dikatakan golongan kuat beribadat dan hebat berdakwah, termasuk penggunaan pentas wayang kulit sebagai saluran utamanya. Malah, ia menjadi alat utama pada zaman wali kesembilan di Jawa ketika penyebaran dakwah Islam kepada masyarakat Jawa Hindu. Namun, disebabkan Indonesia secara umumnya dan Kepulauan Jawa pada dulunya dimonopoli agama Hindu, ia sedikit sebanyak mempengaruhi budaya masyarakat Jawa termasuk Ponorogo, terutama struktur rumah.

Kebanyakan, malah mungkin semua rumah asal Jawa Ponorogo mempunyai ruang di tengah dinding berlubang dengan satu kayu setinggi paras betis di bawahnya dikenali sebagai ‘Undak Undaan’. Ia sebenarnya digunakan oleh masyarakat dulu untuk meletak kemenyan dan kelapa, kononnya untuk meraikan sesuatu. Ia nyata pengaruh Hindu yang dibawa mereka, namun sudah diketepikan kini.

Jawa Ponorogo mempunyai beberapa kelainan jika dibandingkan dengan masyarakat Jawa lain kerana mereka bukan sekadar berasal dari Jawa Timur, satu daerah dalam Kepulauan Jawa yang turut mempunyai Jawa Barat dan Tengah, malah masyarakat itu turut mempunyai bahasa pertuturan berbeza. Jika orang Jawa Ponorogo bercakap dalam bahasa mereka, ia mungkin tidak difahami masyarakat Jawa lain dan begitu juga sebaliknya. Lebih unik, Jawa Ponorogo mempunyai dua jenis bahasa iaitu bahasa pasar (pertuturan biasa) dan bahasa halus yang kini semakin pupus kerana kurang pengamalnya.

Satu keistimewaan masyarakat ini ialah ketegasan ibu bapa dalam memastikan bahasa Jawa Ponorogo terus diwarisi golongan muda sama ada dengan penggunaan secara kerap dalam rumah, mahupun menjadi bahasa pertuturan rasmi di mana saja mereka berada. Justeru, tidak menghairankan jika meskipun orang Jawa Ponorogo sedang berbual dalam Bahasa Melayu sesama rakan bukan Jawa, mereka akan dengan spontan menukar bahasa pertuturan itu ke bahasa Jawa sejurus ada seorang rakan Jawa menyertai perbualan itu. Ia juga sama dalam banyak urusan sama ada ketika menyampaikan ceramah dan ucapan sesama mereka. Sukar sekali untuk difahami lenggok bahasa Jawa Ponorogo ini kerana tiada langsung persamaan dengan bahasa Melayu.

Ketika melihat persembahan wayang kulit yang dibawa khusus dari Ponorogo, Indonesia di satu majlis perkahwinan, semua pengunjung Melayu hanya mampu terpinga-pinga, malah dalam kalangan orang Jawa juga ada yang asyik kehalusan sekali bahasa yang digunakan. Ia sekali gus menunjukkan begitu unik sekali bahasa Jawa Ponorogo dalam masyarakat itu, namun hakikat yang perlu diakui ialah ia semakin pupus kerana tidak ramai generasi baru termasuk golongan umur pertengahan yang menguasai bahasa Jawa Ponorogo halus.

‘Kue apik tenang. Ayo la neng ngomah ku. Aku madang sego.’ Rasanya bahasa itu kedengaran berbeza sekali dengan orang Jawa lain. Ayat itu yang membawa maksud - ‘Kamu sangat baik hati. Jemputlah ke rumah saya. Aku makan nasi.’ Ada antara isi ayat itu hanya ada pada orang Jawa Ponorogo. Namun, jika diteliti pula aspek bahasa halus mereka, nyata jauh sangat perbezaan dengan bahasa pertuturan harian. Malah, jika ditanya kepada orang Jawa lain, pasti ada yang langsung tidak tahu maksudnya sesuatu perkataan itu.

Sebagai contoh, makan dalam masyarakat Jawa adalah madang dan ada menyebutnya mangan. Namun, dalam bahasa halus Jawa Ponorogo, ia disebut dahar. Nyata jauh sekali perbezaannya, bukan sekadar mengubah satu dua suku kata. Tidur disebut turu dalam perbualan harian tetapi menjadi tilem dalam bahasa halus. Rumah atau omah menjadi griyo, manakala jalan atau dalan menjadi radosan. Apa sekalipun, keunikan itu pasti menjadikan masyarakat itu sangat menarik untuk didekati, bukan sekadar bahasa tetapi cara hidup dan budaya mereka tersendiri.

Ahad, 22 Mei 2011

Buku Tentang Peristiwa 13 Mei

SMAHADZIR

1. Buku ‘13 Mei Sebelum Dan Selepas’

Buat pertama kali saya baru sahaja selesai membaca buku ’13 Mei Sebelum Dan Selepas’ yang dikarang oleh Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri kita yang pertama walaupun buku tersebut telah lama ada dalam koleksi saya. Bagi saya, setiap tahun bulan Mei pasti bertandang dan saya yakin rakyat Malaysia terutamanya yang lahir sekitar tahun 1957-1962 tentu tidak dapat melupakan satu kisah hitam yang melanda negara pada 13 Mei 1969. Satu tarikh kepada episod hitam yang sentiasa segar dalam ingatan kita. Inilah buku yang menyatakan pandangan Tunku Abdul Rahman terhadap apa yang berlaku. Buku yang juga menyatakan perasaan kecewanya terhadap kejadian tersebut. Kekecewaannya pada gerakan komunis, parti pembangkang yakni GERAKAN, DAP dan PAS serta tidak kurang pada golongan ‘pelampau’ atau ‘ultra’ yang wujud di negara ini.

Buku ini ditulis oleh Tunku berasaskan pengalamannya yang lama sebelum dan semasa menjadi Perdana Menteri serta bersandarkan sumber sahih yang telah diberikan oleh Polis Diraja Malaysia. Keadaan ini berbeza dengan buku yang diterbitkan sebelum ini yang menyandarkan penulisannya semata-mata kepada sumber diplomat dan wartawan asing yang kesahihan sumbernya adalah diragui.

Mei 13 Sa-Belum Dan Sa-Lepas

Dalam bab pertama Tunku menekankan bahawa buku ini merupakan ikhtiar beliau untuk membuka mata ‘pendudok2 negeri ini (Malaysia) kapada hakikat2 yang sa-benar, dan membuka segala kepalsuan dan perbuatan2 tipu helah, supaya dengan itu timbullah kesedaran bagaimana kita semua dapat memainkan peranan masing2 dengan sa-baik2nya untok masa hadapan negara kita’. Buku ini ditulis hasil renungan Tunku ‘sa-lama sa-puloh hari dan sa-puloh malam’ sewaktu menerima rawatan dan pembedahan mata di Hospital Universiti, Kuala Lumpur yang bermula 6hb Jun 1969. Buku ini siap diterbitkan pada September 1969 dalam 3 edisi - Inggeris, Rumi dan Jawi.

Menarik sekali untuk difikirkan apabila Tunku memulakan buku ini dengan satu puisi oleh John Donne yang berjudul For Whom the Bell Tolls. Terjemahannya lebih kurang seperti berikut:

Tiada manusia ibarat pulau, terpencil sendirian; Sa-tiap orang sa-chebis dari Benua, sa-bahagian dari keselurohan. Kematian sesiapa pun memperkechil harga diriku, kerana aku sa-bahagian dari kemanusiaan; dan kerana itu janganlah bertanya untok siapa locheng kematian berbunyi; locheng kematian itu berbunyi untok-mu.

Buku ini adalah hasil renungan Tunku tentang peristiwa 13 Mei. Beliau terpanggil untuk menulis buku ini bagi menjelaskan ‘hal-hal sebenar yang telah berlaku menurut pandangan saya, sekalipun ia amat dahsyat’. Dalam penelitiannya, Tunku merumuskan bahawa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 itu adalah angkara golongan pelampau dan golongan komunis. Kedua-dua golongan ini, tegas Tunku, sejak sebelum merdeka lagi berusaha untuk mencetuskan kekacauan dalam negara. Golongan ini telah terlibat dalam mencetuskan ketegangan dalam peristiwa hartal (1967), hukuman gantung (1968) dan pemulauan pilihan raya (1969), perarakan mayat pada 9 Mei dan perarakan kemenangan oleh parti-parti pembangkang pada 12 Mei 1969. Akibat provokasi golongan ini ketegangan kaum terjadi dan rusuhan kaum berlaku.


13 Mei Sebelum Dan Selepas

Pada bulan April 1969, seorang petugas pilihanraya UMNO, Encik Kassim Bin Omar telah dibunuh dengan kejam oleh pemuda-pemuda Parti Buruh. Mayatnya diconteng dengan cat merah dan ditulis ‘Jangan Mengundi Dalam Pihanraya’. Hal ini menunjukkan pengaruh komunis dan sikap mengagung-agungkan Mao Tze Tung. Namun disebabkan takutkan tindak balas orang Melayu, gangguan PRU dan rusuhan kaum berlaku, berita pembunuhan yang kejam ini telah ditutup selepas kerajaan telah meminta pihak keluarga dan pemimpin Melayu bersabar.

Rupanya, bukan sekarang sahaja orang Melayu terpaksa bersabar atas tindakan orang lain, tetapi sejak dari dahulu lagi. Itulah jasa dan pengorbanan orang-orang lama terhadap negara. Berkorban hingga terkorban.

Pada 4 Mei 1969, ketika tiga orang mata-mata telah melakukan rondaan di Kepong, pinggir bandar Kuala Lumpur, mereka mendapati terdapat sekumpulan pemuda Cina yang menconteng jalan dengan cat-cat merah. Kumpulan mata-mata tersebut telah dicabar dan dibaling dengan kayu api, ketul-ketul besi dan besi-besi tajam. Kemudian pemuda-pemuda Cina tersebut telah melarikan ke sebuah pasar lama. Rupa-rupanya kumpulan pemuda-meuda Cina tersebut telah bersedia dengan segala kemungkinan. Satu pergaduhan telah berlaku, ekoran daripada itu satu tembakan telah dilepaskan oleh seorang mata-mata untuk mempertahankan dirinya. Akibatnya seorang pemuda Cina yang berumur 24 tahun bernama Lim Soo Seng telah cedera dan dikejarkan ke hospital, namun kemudiannya mati selepas itu.


Tunku Abdul Rahman

Lebih memburukkan lagi keadaan ialah apabila mereka yang ingin mengambil kesempatan telah mendesak pihak polis agar satu perarakkan mayat diadakan pada 10 Mei 1969, iaitu pada tarikh hari pengundian. Namun mereka hanya dibenarkan berarak pada 9 Mei 1969, mengikut jalan yang telah ditetapkan dengan seramai 1000 orang sahaja. Akibat campur tangan anasir-anasir jahat daripada komunis dan Parti Buruh, perarakkan itu telah melibatkan seramai lebih kurang 10,000 orang. Mengikut pegawai-pegawai polis yang hadir, keranda mayat telah diisikan dengan senjata dan mayat lelaki tersebut telah diletakkan di luar. Sambil berarak mereka telah menghina kerajaan, orang Melayu dan memuji Mao Tze Tung. Inilah detik-detik yang dapat saya ringkaskan sebelum negara dibakar.

Tunku Abdul Rahman telah menerima cabaran yang hebat, bukan senang hendak menjadi pemimpin. Seperti kata Tunku, “Memang mudah menabur janji yang kosong daripada menunaikannya.” Kisah Tunku Abdul Rahman difitnah bahawa beliau bukan Islam sebaliknya Siam banyak melukakan hati beliau. Bahkan atas jasa beliaulah lahirnya Tilawah Antarabangsa, Masjid Negara, Persidangan Islam Antarabangsa yang pertama kalinya menyatukan negara Islam di seluruh dunia dan lain-lain lagi.

Kisah yang menjadi duri dalam daging iaitu kisah surat terbuka Dr Mahathir kepada Tunku juga banyak menghiris kalbu Tunku. Di dalam surat yang ditulis oleh Dr. Mahathir ada juga benarnya, namun akibat daripada perbuatannya itu, Dr. Mahathir telah dipecat daripada UMNO. Dan ketika saya membaca buku ini juga saya dapati bahawa ada tindakan yang dibuat oleh Tunku Abdul Rahman betul dan ada yang dirasakan kurang tepat. Pada pandangan saya begitulah... apabila menjadi seorang pemimpin, setiap tindakan akan wujud serba tidak kena pada pandangan orang lain. Bukan semua yang dibuat oleh seorang pemimpin, disukai oleh orang ramai. Ada saja orang yang tidak suka. Hendak memenuhi kehendak semua orang memang sukar. Ada saja orang yang akan membangkang, memanipulasi, menjadikan isu terutama golongan yang berkepentingan dalam politik.

Antara korban tragedi 13 Mei 1969

Kemuncak peristiwa 13 Mei berdasarkan statistik diberikan Tunku dalam buku ini selepas tiga bulan dua hari dari tarikh 13 Mei ialah 184 orang telah terbunuh, 356 orang luka, 753 kejadian membakar bangunan dan 211 kenderaan dibakar. Kita berdoa agar peristiwa hitam sebegini tidak akan lagi berulang di negara kita. Hanya 14 tahun selepas merdeka, negara Malaysia dilanda krisis perkauman maha hebat yang pernah disaksikan.

Dakwaan kononnya rusuhan kaum dirancang oleh ‘kapitalis Melayu’ adalah tidak benar sama sekali. Dalam buku ’13 Mei Sebelum Dan Selepas’ Tunku tidak pernah menganggap peristiwa itu sebagai satu rampasan kuasa. Memang benar Tunku mengakui bahawa akibat peristiwa berdarah itu ada segelintir ahli UMNO yang beliau labelkan sebagai ‘pelampau’ ataupun ‘bijak pandai’ yang tidak menyenangi beliau kekal sebagai Perdana Menteri. Tetapi perasaan tidak puas hati bukan menjadi penyebab kepada berlakunyal rusuhan. Hal ini telah diperjelaskan oleh Tunku dalam Bab 15 bertajuk ‘Sepucuk Surat’ dan Bab 16 bertajuk ‘Perebutan Kuasa dalam UMNO’.

Buku ‘13 Mei Sebelum Dan Selepas’ ini wajar dibaca oleh generasi sekarang, dan untuk itu baiklah dicetak semula dalam edisi baru, boleh saja dijadikan Edisi 54 Tahun Merdeka supaya menjadi renungan. Goerge Santanaya kata sejarah akan berulang jika kita lupa sejarah. Saya yakin itu. Tapi saya juga percaya bahawa kuasa untuk mengubah sejarah yang bakal berulang juga ada dalam tangan kita sendiri; berkat usaha, doa dan tawakkal.

Perarakan meraikan kemenangan dalam pilihanraya oleh DAP

2. Buku ‘13 Mei 1969 Di Kuala Lumpur’

Manakala di pesta buku baru-baru ini saya berkesempatan membaca sebuah lagi buku yang berkaitan dengan peristiwa 13 Mei iaitu buku yang berjudul ‘13 Mei 1969 Di Kuala Lumpur’. Buku tersebut memaparkan kewujudan masyarakat majmuk dan hubungan kaum sejak kedatangan imigran ke negeri-negeri Melayu dan campur tangan British sehingga berlaku peristiwa 13 Mei 1969. Tahun 1960-an adalah era rusuhan kaum kerana sebelum tragedi 13 Mei 1969 yang dianggap sebagai kemuncak, turut berlaku beberapa rusuhan lain di Bukit Mertajam, Seberang Perai pada tahun 1964, Kuala Lumpur pada tahun 1965 dan Pulau Pinang pada tahun 1967.

Buku ini cuba menghubungkaitkan beberapa isu nasional yang dikatakan menjadi pemangkin kepada tercetusnya peristiwa 13 Mei. Rusuhan yang bermula di Setapak dan kemudiannya merebak ke pusat bandar Kuala Lumpur, Kampung Baru, Pudu dan Kampung Pandan telah menyebabkan 196 orang terkorban dan 149 orang cedera.

Antara isu-isu berkenaan adalah dasar-dasar yang diamalkan oleh British dan layanan tentera Bintang Tiga (komunis) terhadap orang Melayu selepas era pendudukan Jepun. Ia juga membabitkan dasar hak istimewa orang Melayu di negara ini yang dipertikaikan oleh kaum Cina, iaitu yang berkaitan dengan Perkara 152 dan 153 dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk tentang kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi bagi Malaysia.

Faktor pemangkin lain adalah berkaitan ketidakadilan dalam pendidikan dan perkhidmatan awam terhadap orang bukan Melayu. Ia juga melihat hubungan kaum antara orang Melayu dengan orang Cina yang sentiasa tegang pada akhir tahun 1960-an, serta melihat bagaimana konflik politik, sosial dan ekonomi mendorong kepada tercetusnya peristiwa tersebut.

Buku ini penting sebagai suatu usaha untuk memaparkan sejarah tanah air dengan lebih jelas kerana sejarah hitam itu kerap dilihat dari sudut yang emosional. Dalam usaha untuk mendapatkan gambaran tepat tentang apa yang sebenarnya berlaku, penulis buku tersebut telah melakukan wawancara dengan penduduk kaum Melayu, Cina dan India di Kuala Lumpur yang terlibat secara langsung dengan tragedi berkenaan. Ia turut membincangkan peranan media massa dalam merangsang ketegangan kaum antara orang Melayu dan orang Cina.

Buku berkenaan turut memuatkan gambar-gambar tragedi terbabit yang sebelum ini pernah disiarkan dalam buku tulisan bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bertajuk ‘Mei 13 Sa-Belum dan Sa-Lepas’. Semoga peristiwa ini menjadi iktibar, teladan dan pengajaran kepada kita semua. Jangan biarkan sebarang bentuk rasa tidak puas hati, isu agama, isu bahasa dan lain-lain lagi isu sensitif dimanipulasikan untuk kepentingan tertentu sehingga tercetus semula konflik antara kaum di negara kita.

Kita harus insaf bahawa peristiwa 13 Mei merupakan satu pengalaman dan pengajaran yang tidak dapat kita lupakan buat selama-lamanya. Kerana kejadian itu menunjukkan kepada kita tentang bahaya-bahaya yang boleh timbul sekiranya kita terlampau lalai atau cuai. Kita seharusnya bangga dengan apa yang telah kita capai. Dengan semangat perpaduan dan keharmonian serta kerjasama dan rasa muhibah, maka kita telah mengatasi segala kesulitan untuk mencapai kemajuan dan kemakmuran yang tidak ada tolok bandingnya. Oleh itu, amatlah mustahak bagi kita semua untuk cuba sedaya upaya hidup bersama-sama dan cuba memahami antara satu sama lain dengan semangat persefahaman, hormat-menghormati agar kita dapat memelihara keharmonian dan keamanan.

Rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 adalah peristiwa tragis yang terburuk dialami oleh Malaysia. Peristiwa itu hampir-hampir memusnahkan negara ini. Alhamdulillah, dengan kebijaksanaan pemimpin dan semangat setia kawan rakyat, bencana itu telah dapat ditangani dan negara kembali pulih seperti sediakala. Banyak pengajaran yang boleh dipelajari daripada bencana itu. Antara yang terpenting ialah peri mustahaknya memperkukuhkan perasaan muhibah dan ikatan perpaduan antara kaum demi kestabilan politik dan keselamatan Malaysia yang berbilang kaum ini.

Penerbitan buku ini adalah tepat pada waktunya memandangkan pada akhir-akhir ini terdapat usaha oleh pihak-pihak tertentu yang cuba memutarbelitkan fakta dan menimbulkan kekeliruan tentang peristiwa berdarah 13 Mei itu. Beberapa bulan sebelum Pesta Buku berlangsung, sebuah buku yang memperkatakan tentang peristiwa 13 Mei juga telah diterbitkan. Namun pendekatan yang digunakan jelas menolak bingkai kepercayaan lama bahawa kekacauan 1969 berpunca daripada ketidakseimbangan dalam sosioekonomi kaum di negara ini, sebaliknya penulis buku tersebut mengemukakan tesis baharu iaitu kapitalis Melayu yang diketuai Tun Abdul Razak yang cuba untuk menjatuhkan Tunku Abdul Rahman menjadi punca utama kepada tercetusnya peristiwa itu.

Walaupun sukar untuk mencari motif sebenar penulis buku itu membangkitkan sejarah berdarah 13 Mei, namun trend semasa menunjukkan wujud usaha untuk memburuk-burukkan pemimpin-pemimpin negara, khususnya Tun Abdul Razak, Datuk Harun, Tun Mohammad Ghazali Shafie dan lain-lain, termasuk juga anggota-anggota keselamatan. Pandangan serong tersebut jelas sekali bersifat prejudis dan olahan perbincangannya, kiranya dibiar tidak dijawab, ditakuti akan dianggap sebagai satu dokumen yang sah untuk melegitimasikan dakwaan bahawa peristiwa 13 Mei itu adalah dirancang oleh ‘kapitalis Melayu’.

Isnin, 16 Mei 2011

Bila Artis Baca Puisi

DEWASA ini kerap benar artis diundang untuk deklamasi puisi walaupun majlis tersebut dihadiri oleh ratusan penyair. Dalam satu majlis puisi, saya bersama Dr Ibrahim Ghaffar. Dalam majlis tersebut ramai artis yang dijemput untuk deklamasikan puisi termasuklah puisi ciptaan Dr Ibrahim sendiri.


Selepas acara tersebut selesai, saya bertanyakan kepada beliau, “Perlukah artis di acara deklamasi puisi?” Gesit dia menjawab, “Sama sekali tak perlu!” Saya tanya lagi, “Kalau tak perlu kenapa dalam majlis tadi saya tengok ramai artis deklamasi puisi. Dah tak ada lagikah penyair nak deklamasi puisi?” Dia jawab, “Yang deklamasi puisi tadi itu penyair. Yang baca puisi adalah artis. Maksud saya, baca macam membaca SMS. Puisi saya jadi lintang pukang!”


Salah seorang penyair Indonesia sewaktu mendeklamasikan puisi ciptaanya di Taman Marzuki, Jakarta


Sebenarnya saya suka bertanya, mengacah orang yang menjawab, sesekali melemparkan provokasi. Tradisi acara deklamasi puisi juga turut berubah selepas teater yang dulunya dilakonkan pelakon teater diganti dengan artis. Sejak itu acara deklamasi puisi pun telah disusupi oleh artis-artis popular. Saya tidak tahu siapa yang memulakan tradisi mengambil atau lebih tepat menyuruh artis-artis popular mendeklamasi puisi.


Untuk memahami kemudian menyampaikan secara deklamasi kepada orang, bukan kerja yang mudah. Tanpa memahami maksud puisi, bagaimana boleh menyampaikan kepada orang lain dengan deklamasinya? Tiada langsung penghayatan, nada, intonasi, artikulasi, bahasa tubuh, gaya dan sebagainya. Artis juga sebenarnya terpaksa berdiri dalam keadaan yang sangat canggung apabila disuruh mendeklamasi puisi. Mereka penyanyi atau pelakon. Deklamasi puisi bukan bidang mereka. Tetapi demi upah dan ganjaran, mereka sanggup berada dalam kedudukan yang tidak selesa itu.


Penyair Rendra dengan gayanya yang tersendiri di Rumah Gapena


Sejak dulu saya tidak pernah bersetuju mengundang artis popular mendeklamasi puisi. Orang yang datang ke majlis deklamasi puisi untuk menyaksikan kehebatan penyair. Gaya mereka ada berbagai-bagai. Ada gaya AGI, ada gaya Pian Habib, ada gaya Khalid Salleh, ada gaya Sazalee Yaacob dan macam-macam lagi. Namun, tidak semua penyair boleh mendeklamasikan puisinya dengan baik kendatipun dia penyair hebat. Tetapi di situlah keunikan acara deklamasi puisi kerana orang yang mendeklamasi itu adalah pencipta puisi. Lagipun kalau hendak menyaksikan penampilan artis, lebih baik orang pergi menonton Konsert Jom Heboh, mentor atau duduk di depan televisyen yang penuh dengan rancangan hiburan.


Acara deklamasi puisi tidak perlu diukur jumlah orang yang hadir. Apakah maknanya ramai penonton kalau puisi yang dideklamasi bukan selera mereka? Untuk adil kepada artis, eloklah kita mengundang mereka sebagai tetamu. Mereka juga perlu kenal puisi selain lirik yang mereka nyanyikan, atau skrip yang mereka lakonkan. Inilah cara terbaik memasyarakatkan puisi kepada artis. Bukan menyuruh artis deklamasi puisi sedangkan mereka tak tahu langsung tentang puisi. Puisi yang cantik jadi lintang-pukang!

Kencing Tepi Jalan

Selain Hyderabad, penulis juga pernah berada di Chennai, ibu negeri Tamil Nadu suatu ketika dulu. Terasa satu kelainan yang ketara ketika berada di negeri yang dipimpin oleh Ketua Menteri (KM), M. Karunanidhi ini. Setiap wilayah atau negeri pasti ada bezanya. Tidak banyak yang dapat disaksikan di bandar ini berbanding di Delhi. Bagaimanapun suasana di jalan raya tetap sibuk, sama seperti di New Delhi. Di jalan raya, meluncur laju kereta, bas, motosikal, tut-tut (teksi roda tiga) dan sebagainya. Seperti kata seorang pemandu teksi di New Delhi, keadaan kenderaan di atas jalan raya di India umpama satu permainan komputer. Membunyikan hon (ada juga menggunakan wisel) sudah menjadi satu kemestian.


Sebelum ke Chennai, cuaca sejuk di New Delhi menyebabkan kabus tebal sehingga kebanyakan jadual penerbangan di Lapangan Terbang Indira Gandhi tergendala. Ada yang terpaksa berada di dalam pesawat sehingga tiga atau empat jam, malahan dilaporkan ada yang menjangkau sehingga 12 jam sebelum pesawat berlepas. Apabila banyak pesawat lewat, balai berlepas di lapangan terbang sesak sementara ketika tiba di destinasi, keadaannya juga sama setelah beberapa buah pesawat dari pelbagai destinasi mendarat pada masa yang hampir sama. Begitulah suasana sibuk apabila pesawat gagal terbang akibat kabus tebal.


Tandas tepi jalan yang tiada pintu, boleh dilihat dari luar

Pertama kali menjejakkan kaki di Chennai terfikir seketika di benak penulis, apa yang ada di Tamil Nadu? Sekadar melihat risalah pelancongan, ada beberapa tempat menarik. Dengan menggunakan pengangkutan Hop-on Hop-off Tour antara Chennai dan Mamallapuran, tempat yang ditawarkan termasuklah Taman Buaya, Tiger Cave, Dolphin City, Muttukadu Boat House dan beberapa buah kuil lama yang ada antaranya diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Sejarah UNESCO. Tetapi setelah berada di tengah-tengah kesibukan masyarakat Chennai, barulah penulis teringat bahawa ada beberapa orang pelakon filem Tamil ternama yang mempunyai kaitan secara langsung dengan Tamil Nadu.


Pertama ialah aktor Shivaji Gaekwad atau nama glamournya Rajnikanth yang turut popular dengan filem Sivaji: The Boss. Siapa di kalangan masyarakat India lebih-lebih lagi etnik Tamil yang tidak mengenali beliau? Pelbagai watak yang dibawanya termasuk sebagai pembela masyarakat miskin yang tertindas mencuri tumpuan peminat. Beliau dianggap hero yang sukar ditandingi.


Kedua ialah Kamal Haasan, yang bukan sahaja pelakon tetapi pengarah dan penerbit filem. Beliau dilahirkan di Paramakudi, Tamil Nadu. Peminatnya memang ramai. Ketika beliau hadir untuk memberi satu syarahan mengenai kebudayaan di Anna University, Chennai, sebanyak 2,000 orang sanggup beratur seawal pukul 6.30 pagi untuk mendapatkan tempat. Tetapi hanya 200 orang saja yang dibenarkan masuk mengikuti syarahannya yang bermula pukul 9 pagi. Begitulah hebatnya sambutan kepada Kamal.


Walaupun di dinding tertera amaran, tetapi tiada siapa peduli!


Tidak hairanlah apabila di Chennai, wajah Kamal Haasan dan Rajnikanth menjadi hiasan di pelbagai iklan perniagaan dan sebagainya. Mereka sebaris dengan poster atau gambar KM, Karunanidhi. Mereka adalah antara hero yang disanjung di kalangan masyarakat di Tamil Nadu. Lebih teruja apabila menghampiri hotel penginapan, Sheraton Park Hotel & Towers. Chennai yang dulunya dikenali sebagai Madras, turut dihiasi poster wajah PM kita dan isteri, Rosmah Mansor.


Dianggarkan kira-kira 85% rakyat India di Malaysia berasal dari etnik Tamil. Majoriti penduduk Chennai adalah beragama Hindu tetapi tidak kurang juga yang beragama Islam. Di sini selain kuil, boleh didapati masjid dan gereja. Tersedia juga restoran makanan halal. Dalam erti kata lain, tidak sukar nak cari makan. Banyak juga barang dalam tin keluaran Malaysia dijual di sini. Di Delhi, Restoran Karim menjadi sebutan tetapi di Chennai, Restoran Pelita menjadi tumpuan. Lebih-lebih lagi bagi rakyat Malaysia yang tidak dapat memisahkan diri mereka daripada kari kepala ikan, roti canai, nasi lemak dan teh tarik. Menunya lebih kurang sama dengan Restoran Pelita Shah Alam atau Restoran Pelita Kuala Lumpur.


Seperti di New Delhi dan Hyderabad, membuang air kecil di tepi jalan juga adalah satu pemandangan yang biasa. Terpulanglah kepada kita untuk membuat andaian. Tetapi ada satu cerita lucu. Kisah benar di New Delhi. Seorang rakan penulis yang tidak tahan lagi membuang air kecil terpaksa mengikut tabiat orang tempatan. Daripada terkencing di dalam seluar, adalah lebih baik ‘buang’ di tepi tembok tepi jalan. Malangnya sedang asyik membuang air kecil, dia pula dikencing di atas kepalanya. Mujurlah bukan orang yang kencing tetapi beruk! Apakah moral ceritanya? Pembaca bolehlah membuat andaian sendiri.


Tabiat yang tak baik jangalah diamalkan di negara kita


Namun dalam kita memperkatakan tabiat orang lain, apakah kita juga sempurna? Walaupun kita mempunyai banyak tandas sama ada tandas awam, di restoran, pejabat atau rumah, tetapi salah satu rungutan pelancong di negara kita ialah tandas yang kotor dan memualkan. Maka samalah keadaannya - sesuatu yang kurang enak dilihat. Ada kemudahan tetapi tidak pandai menghargainya! Mungkin, jika kita diberi pilihan mana satu hendak dipilih - antara tandas kotor, busuk dan memualkan (sehingga tidak terkencing) atau pilih sahaja untuk ‘melepaskannya’ di tepi jalan.

Tumpang Semangkuk (Mangkuk Hayun)

BARU-BARU ini tercetus peristiwa rusuhan di Mesir. Maka cagunlah pelbagai pihak bertungkus-lumus mahu menyelamatkan rakyat Malaysia di negara tersebut. Menteri, timbalan menteri, setiausaha politik dan pelbagai agensi berada di Kaherah dan Jeddah untuk membantu. Pada hari yang sama juga rakyat Mesir terus mengadakan demonstrasi mendesak Presiden Hosni Mubarak berundur. Pada perhimpunan yaumul rohil atau hari pengunduran itu, mereka terus mengadakan demonstrasi besar-besaran. Kuala Lumpur turut terasa tempiasnya. Tiba-tiba sahaja di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, ada demonstrasi jalanan. Masalah di Mesir tetapi Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur jadi sasaran.


Tetapi pada masa yang sama, selepas solat Jumaat, ada juga yang buat solat hajat termasuk yang dihadiri Perdana Menteri, Najib Tun Razak di Masjid Negara. Eloklah kita mengadakan majlis solat hajat dan berdoa semoga rakyat Malaysia di Mesir selamat. Begitu juga doa supaya rakyat Mesir tanpa mengira fahaman politik serta seluruh insan yang ada di bumi para Anbia itu dalam keadaan selamat. Apa yang penting kedamaian manusia di negara tersebut.


Kekacauan di Mesir bukan sahaja menyusahkan rakyat negara itu sendiri tetapi juga rakyat dari negara-negara luar sama ada pelajar, pekerja atau pelancong. Kita di Malaysia turut bimbang dan resah apabila kekacauan berlaku di Mesir. Jika perkara yang sama berlaku di Malaysia, begitu jugalah perasaan rakyat negara luar yang anak-anak atau saudara mereka yang berada di sini sama ada untuk belajar, bekerja atau melancong.


Satu lagi pengajaran yang dapat dilihat akibat kemelut yang melanda, tentunya Sungai Nil, piramid dan pelbagai lokasi bersejarah yang sering menjadi tumpuan pelancong berada dalam keadaan sepi. Agensi pelancongan negara kita juga terasa tempiasnya dengan pembatalan lawatan ke negara itu. Sudah pastilah banyak gedung perniagaan yang sering menerima kunjungan para pelancong menanggung kerugian. Begitulah kesan daripada rusuhan yang dicetuskan oleh rakyat negara itu sendiri. Kita juga terasa tempiasnya kerana terdapat ramai pelajar Malaysia di sana. Ibu bapa tidak kira fahaman politik - yang anak-anak mereka sedang belajar di seluruh pelosok negara itu resah gelisah memikirkan keselamatan di rantau orang.


Mujurlah kerajaan tidak berdiam diri. Pelbagai usaha dibuat melalui Ops Piramid bagi mengeluarkan rakyat Malaysia dari negara yang sedang bergolak itu. Kerajaan melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM), AirAsia, Malaysia Airlines (MAS), Tabung Haji, Kelab Putera 1Malaysia dan sebagainya menunjukkan keprihatinan mereka selaras dengan slogan 1Malaysia ‘rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’. Malangnya ada juga pihak yang seolah-olah tidak senang dengan usaha kerajaan. Mereka tumpang semangkuk kemelut di Mesir tetapi lebih kepadamenangguk di air keruh’. Mereka menyebarkan khabar angin dan melemparkan pelbagai dakwaan yang tidak berasas. Ada yang kata kerajaan lambat bertindak dan mengenakan bayaran untuk membawa pulang rakyat kita. Dan seperti dijangka sikap tumpang semangkuk dan menangguk di air keruh ini berlaku dalam usaha mencari keuntungan politik. Ada pula yang mengaitkan pemerintahan Hosni Mubarak dengan sistem pemerintahan di negara kita.


Sepatutnya, semua pihak harus menyokong usaha yang telah dilakukan kerajaan dan tidak bertindak menyongsang arus. Jangan politikkan apa yang berlaku di Mesir. Bukan mudah untuk mengatur pelan menyelamat. Ia tidak semudah pergi ke sana bermodalkan air liur segalanya boleh selesai. Mujurlah hubungan baik Malaysia dengan Mesir serta Arab Saudi membolehkan segala urusan berjalan lancar walaupun masih banyak kerenah birokrasi. Bersyukurlah kerana Jeddah dan Kaherah tidak menutup lapangan terbang kepada Kuala Lumpur. Sebenarnya, memang ada puak yang suka ambil kesempatan ke atas isu yang boleh dijadikan modal politik untuk memburukkan kerajaan.


Ketika anak-anak muda kita di seluruh Mesir bertungkus-lumus mahu menyelamatkan diri, anak-anak muda kita di Malaysia pula mengadakan demonstrasi, membaling botol ke arah kedutaan Amerika Syarikat. Entah apa puncanya. Apakah ia satu keseronokan atau kepuasan dapat tumpang semangkuk suasana gawat di Mesir? Sudahlah tumpang semangkuk, tindakan yang dilakukan pula seperti kembang semangkuk atau lebih sudu daripada kuah. Mungkin lebih baik anak-anak muda itu menganjurkan aktiviti yang lebih berfaedah seperti bagaimana mahu membantu menampung kos yang ditanggung kerajaan walaupun kerajaan tidak akan meminta rakyat terutama ibu bapa berbuat demikian. Semua kos kerajaan tanggung!


Tidak pasti apakah tujuan sebenar demonstrasi itu. Adakah mereka mahu menuntut Amerika Syarikat tidak campur tangan dalam urusan di Mesir? Kalau itu tujuannya, baguslah. Urusan dalam negara, tidak perlu diundang orang luar terutama Amerika Syarikat untuk selesaikan. Kita harap kumpulan ini akan tampil jika ada puak yang mengundang Amerika Syarikat campur tangan dalam urusan politik dalaman negara kita sendiri disebabkan kepentingan politik orang tertentu. Janganlah pula dalam keghairahan mendesak Amerika Syarikat supaya tidak campur tangan, ada pula poster yang meminta Hosni Mubarak berundur. Secara tidak langsung mereka ini pun cuba campur tangan dalam urusan dalaman Mesir juga. Jadi janganlah menempelak orang lain sedangkan diri sendiri pun sama juga perangainya.


Bukan mahu membela Amerika Syarikat atau sebaliknya tetapi sejak awal lagi Amerika Syarikat sudah meminta Mubarak berundur sebagai jalan keluar dari kemelut yang sedang melanda negara itu. Sama ada Amerika Syarikat bersandiwara atau sebaliknya, itu soal lain tetapi Amerika Syarikat juga bimbang dengan apa yang berlaku di Mesir. Justeru apakah yang dikehendaki oleh demonstrasi jalanan di Kuala Lumpur itu? Memang pelik orang kita ni. Cepat kalut. Asal ada peluang dan ruang, mereka akan turun ke jalanan ‘mengganggu’ ketenteraman awam walaupun ketika rakan-rakan kita masyarakat Cina masih menyambut Tahun Baru Cina.


Apa yang diharapkan selepas ini, bertindaklah secara rasional bukannya terlalu emosional. Kata orangkhabar jauh dengar-dengarkan, khabar dekat fikir-fikirkan’. Kalau mahu tumpang semangkuk, biarlah kena pada isunya, jangan main hentam-keromo sahaja. Janganlah kekalutan di Mesir terbawa-bawa ke negara kita. Ingat sama hak orang lain. Di laluan itu - Jalan Tun Razak - ada banyak hospital termasuk Hospital Kuala Lumpur (HKL), Institut Jantung Negara (IJN), Pusat Perubatan Prince Court dan Pusat Rawatan Islam (Pusrawi). Bagaimana agaknya ketika anda sedang ‘mengganggu’ lalu-lintas di situ, saudara-mara anda sedang ‘bertarung nyawa’ di dalam ambulans atau dalam perjalanan ke hospital terperangkap di dalam kesesakan yang puncanya daripada perbuatan anda?


Fikirlah. Fikir itu pelita hati. Langit berkelikir, bumi bertemberang; salah-salah fikir menjadi hamba orang. Ingat juga peribahasa Melayu cepat tangan terjembakan, cepat kaki terlangkahkan, cepat mulut terkatakan.

Pi Mai Pi Mai Tang Tu Jugak

Usaha pihak berkuasa tempatan (PBT) mengadakan Hari Tanpa Plastik (HTP) memang dialu-alukan. Sebenarnya kempen mengurangkan penggunaan plastik sudah lama diadakan tetapi tidak mendapat sambutan. Bagaimanapun ia sedikit sebanyak dapat mendidik masyarakat untuk membantu usaha kerajaan memulihara alam sekitar. Seperti yang kita ketahui, plastik mengambil masa hampir 500 tahun untuk dilupuskan secara semula jadi dan pembakarannya akan membawa pencemaran. Maka kempen seumpama ini harus disokong. Peranan utama bagi menjayakan program ini tentulah pihak yang menyediakan beg plastik iaitu pusat membeli-belah termasuk pasar raya besar. Menjayakan kempen ini secara tidak langsung juga membantu akan peniaga mengurangkan kos untuk mengeluarkan beg plastik.


Tabiat masyarakat kita, membeli satu barang pun nakkan beg plastik. Justeru kempen ini juga memerlukan sokongan masyarakat. Tanpa kerjasama pengguna, program ini tidak akan ke mana. Bagaimanapun dalam kita mengalu-ngalukan usaha ini, terdapat beberapa kelemahan yang boleh diperbaiki supaya program yang diadakan secara sukarela tanpa paksaan ini memberi kesan. Antara kelemahan itu ialah HTP tidak dilaksanakan di seluruh negara, hari yang ditetapkan tanpa plastik tidak seragam dan beg plastik masih dijual pada HTP. Di Pulau Pinang, HTP dilangsungkan selama tiga hari iaitu Isnin, Selasa dan Rabu. Di Selangor pula pada hari Sabtu.


Tidak pasti pula di negeri-negeri lain. Keadaan ini menyebabkan pengguna dari Selangor yang pertama kali berkunjung ke Pulau Pinang akan terpinga-pinga apabila membeli-belah pada hari-hari berkenaan. Begitu juga keadaan sebaliknya apabila orang Pulau Pinang berkunjung ke Selangor. Mereka yang sudah biasa dengan hari Sabtu tanpa beg plastik pastinya kurang selesa apabila berkunjung ke pasar raya di Pulau Pinang pada hari Isnin, Selasa dan Rabu. Apa tidaknya jika kebiasaannya di tempat mereka, hanya Sabtu perlu bersedia dengan beg tetapi apabila di luar Selangor, hari lain pula menjadi pilihan.


Mereka akhirnya terpaksa membayar untuk beg plastik berkenaan. Setiap beg dikenakan caj RM0.20 sen. Berapa beg yang harus diberi apabila pelanggan membeli sakan terutama di bahagian makanan? Walaupun caj itu tidak masuk ke kantung pemilik pasar raya sebaliknya disalurkan kepada persatuan kebajikan tetapi mengenakan caj kepada pengguna yang tidak tahu menahu mengenai kempen ini adalah tidak wajar.


Timbul juga persoalan atas pertimbangan apa hari-hari berkenaan dipilih? Kenapa Selangor memilih Sabtu dan Pulau Pinang pula pada hari Isnin, Selasa dan Rabu? Kenapa tidak hari Ahad? Mana lebih baik Sabtu atau Ahad yang merupakan cuti hujung minggu yang kebiasaannya ramai akan membeli-belah? Mungkin ini juga faktor menyebabkan pemilihan hari dibuat. Walaupun tiga hari bekerja tetapi kesannya tidaklah seperti pada cuti Sabtu atau Ahad. Mungkin pemilik pusat membeli-belah pula meletakkan syarat kepada PBT untuk kempen ini dengan memilih hari yang jumlah pelanggan adalah kurang. Mereka juga tidak mahu kehilangan pelanggan disebabkan HTP ini.


Maka pemilik pasar raya akan memilih hari yang jumlah pengunjungnya kurang dan kuasa membeli juga merosot. Maka adalah lebih baik kempen ini diselaraskan di seluruh negara pada hari yang sama supaya pembeli lebih bersedia membawa beg sendiri. Pada masa yang sama adakan promosi lebih meluas terhadap program ini.


Mengenai ‘penjualan’ beg plastik, diharapkan hasil kutipan itu dapat sampai kepada sasaran. Cuma agak pelik juga kenapa perlu menjual beg plastik? Pelik kerana hari tanpa beg plastik tetapi pengguna masih boleh membelinya pada harga RM0.20 sen setiap satu. Bagi sesetengah orang, letaklah RM0.50 sen atau RM1, mereka akan membeli apabila terdesak untuk membawa barangan yang dibeli. Harga bukan lagi isu lebih-lebih lagi apabila ‘niatnya’ ketika membeli beg plastik itu untuk turut menderma kepada pihak yang dikatakan akan menerima hasil jualan tersebut. Kalaulah lima beg dibelinya maka apalah sangat RM1 untuk disumbangkan kepada aktiviti kebajikan? Akhirnya ia sedikit sebanyak menjejaskan matlamat HTP apabila pengguna masih diberi pilihan menggunakannya seperti biasa pada hari kempen berlangsung.


Bukanlah maksud penulis supaya tidak boleh jual beg pada hari berkenaan kerana jika ini dilakukan, ia pasti menimbulkan masalah kepada pengguna. Tetapi persoalannya kenapa plastik? Kenapa tidak menggunakan beg kertas yang lebih mudah dilupuskan? Juallah seberapa banyak beg kertas kerana melupuskan kertas tidaklah sesukar melupuskan plastik.


Sebenarnya bukanlah sesuatu yang pelik apabila beg kertas digunakan dalam urusan jual beli ini. Di beberapa buah negara maju seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Britain kebanyakannya menggunakan beg kertas yang lebih mesra alam. Penulis semasa berada di New Delhi tidak lama dulu juga menghadapi masalah beg ini. Bukan setakat beg plastik malahan beg kertas pun tidak disediakan. Di sebuah kedai buah-buahan, peniaga berkenaan tidak peduli sama ada anda orang tempatan atau orang luar (pelancong). Pandai-pandailah di mana untuk mengisi buah-buahan yang dibeli. Nasib baiklah kalau ada beg yang ‘sesat’ dalam kedai itu. Suka atau tidak, terpulang kepada pembeli. Kalau nak makan buah, beli dan bawa pulang dengan apa cara sekali pun. Terpulanglah kepada pembeli mengambil pendekatan sewajarnya.


Dalam hal ini, kempen tanpa beg plastik ini jangan sekadar melepaskan batuk di tangga saja. Apa ertinya jika ‘tangan kanan’ tidak memberi beg plastik tetapi ‘tangan kiri’ pula menjualnya. Oleh itu, sesuatu perlu dilakukan supaya kempen ini nampak lebih serius. Gunakan beg kertas yang pernah digunakan secara meluas satu masa dulu. Boleh juga diperkenalkan beg guni.


Suatu ketika dulu, suri rumah akan membawa bakul rotan dari rumah apabila membeli barang di kedai runcit. Mungkin orang lama masih ingat bagaimana kertas juga menjadi bahan utama untuk membalut, mengisi dan membungkus barang sama ada barangan basah atau kering. Tepung, gula, garam, sayur, ikan dan sebagainya dibungkus atau dibalut dengan kertas. Kacang putih di depan panggung pun diisi dalam kelongsong kertas. Ketika itu, pelbagai bentuk bungkusan dibuat daripada kertas surat khabar lama malahan menjadi sumber pendapatan bagi yang rajin menghasilkannya. Itulah bentuk kitar semula kertas pada satu masa dulu. Ketika itu juga tidak ada tali plastik untuk mengikat barang yang dibeli sebaliknya tali yang dibuat daripada batang pisang.


Pihak berkenaan boleh menjual beg kertas atau beg guni asalkan bukan plastik. Secara beransur-ansur didiklah pengguna beralih kepada beg kertas atau yang sesuai dengannya. Membawa beg sendiri juga perlu digalakkan. Tetapi berapa kerat yang akan membawanya dan berapa ramai pula yang lebih bersedia membeli beg plastik? Beberapa pasar raya besar menjual beg guna semula. Ada juga yang memberi secara percuma. Pasar raya besar Tesco pula menawarkan mata ganjaran kepada pelanggan yang membawa beg sendiri. Dengan insentif itu, pelanggan akan membawa beg berkenaan bukan sekadar pada HTP tetapi setiap kali mahu membeli-belah. Mungkin ia boleh diperluaskan dengan memberi ganjaran serta merta. Walaupun ia tetap beg plastik tetapi sekurang-kurangnya dapat membantu mengurangkan beg plastik biasa pasar raya.


Kita perlu mengajar rakyat Malaysia untuk mencintai alam sekitar walaupun hakikatnya ini satu kerja yang sukar. Lihatlah kempen ‘Tak Nak’ bagi mendidik perokok. Jumlah perokok meningkat juga dan asap rokok terus mencemari alam sekeliling. Kawasan larangan merokok diperluaskan tetapi perokok tidak peduli. Begitu juga dengan usaha kerajaan mendidik masyarakat mengenai bahaya mengambil gula secara berlebihan. Kempen entah ke mana, bekalan gula sering menimbulkan masalah. Inilah realiti dalam masyarakat kita. Ketika kerajaan berusaha mendidik masyarakat supaya mencintai alam sekitar, pada masa yang sama masyarakat pula gagal mendidik mereka untuk mencintai diri sendiri. Akhirnya, manusialah yang memusnahkan alam sekitar dan diri sendiri. Pi mai pi mai tang tu jugak!

Melayu Mudah Lupa

‘Melayu Mudah Lupa’ adalah kata-kata Tun Dr Mahathir yang amat terkenal. Jika ada yang terlupa atau buat-buat lupa eloklah diteliti semula kata-kata tersebut. Tun Dr Mahathir antara lain menyentuh isu-isu berkaitan pencapaian Melayu yang masih rendah, Melayu di zaman penjajah, kelemahan Melayu, Melayu sudah lupa perjuangan dan ubah sikap untuk selamat! Tun Dr Mahathir juga ada menulis mengenai Melayu dalam blognya, bertajuk ‘Melayu Ke Mana’. Perkataan Melayu mudah lupa tetap ada di situ. Banyak reaksi diberi terhadap tulisan beliau. Isu yang dibangkitkan dalam ‘Melayu Ke Mana’ adalah mengenai Melayu majoriti yang sudah menjadi minoriti kerana perpecahan.


Melayu berpecah kepada pelbagai puak dan parti politik. Seperti yang pernah diperingatkan oleh Tun Dr Mahathir suatu ketika dulu, Melayu memang mudah lupa padahal ‘orang dulu-dulu’ sudah mencipta pelbagai peribahasa, simpulan bahasa, perumpamaan untuk sentiasa mengingatkan orang Melayu supaya mereka lebih bersedia menghadapi pelbagai cabaran. Boleh dikatakan semua ungkapan yang dicipta oleh orang Melayu pada masa dulu sudah berlaku ketika ini. Malangnya semua ingatan itu sekadar catatan dalam buku-buku berkaitan untuk tatapan pelajar-pelajar. Begitu juga dengan pelbagai kiasan dan kisah untuk renungan seperti Pak Pandir, Pak Kadok, Lebai Malang dan Mat Jenin. Tidak lupa juga tentang Kitol dan Raja Mendaliar. Semuanya ini juga bertujuan memberi pengajaran kepada orang Melayu. Tetapi malangnya Melayu sudah lupa semua cerita dan kiasan tersebut.


Orang Melayu lupa tentang bersatu teguh bercerai roboh. Ketika ini Melayu berpecah kepada pelbagai puak termasuk dalam politik. Akhirnya mereka menjadi ‘minoriti’. Mereka lupa pesan orang dulu-dulu bahawa sebatang lidi mudah dipatahkan, seikat lidi sukar dipatahkan. Ada yang mengaku mereka mahu bersikap liberal yang mahu hak sama rata dan sama rasa di kalangan pelbagai kaum. Mereka mendakwa orang Melayu pada masa kini sudah mampu menari di tanah rata dan tidak lagi memerlukan ‘tongkat’ untuk berniaga dan belajar sedangkan hakikatnya ketika orang lain sudah mampu menari dengan baik tetapi ‘tarian’ orang Melayu sebenarnya masih sumbang dan keupayaan untuk berjaya dalam ekonomi dan pendidikan juga terbatas. Ada pula Melayu yang mempersoalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB), mendabik dada dengan kejayaan yang sudah dinikmati. Padahal mereka yang berjaya hari ini juga kebanyakannya disebabkan oleh ‘tongkat’ DEB. Tanpa ‘tongkat’ itu mereka tidak mungkin menikmati apa yang dimiliki sekarang. Malangnya apabila sudah berjaya, mereka bagaikan kacang lupakan kulit.


Dalam politik hari ini, orang Melayu sanggup melakukan apa sahaja asalkan mereka mendapat sokongan yang diharap-harapkan. Bak kata orang marahkan pijat, kelambu dibakar, tidur terdedah. Jika dulu bermusuh, kini bersahabat. Begitu jugalah yang berlaku sebaliknya. Jika dulu tidak boleh rapat sekarang sudah boleh berpeluk di atas pentas politik. Baguslah begitu... mengeratkan silaturahim. Tetapi akhirnya mereka gagal untuk mengenali musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan dan musang berbulu ayam. Mereka lebih selesa mendengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan. Maka ramailah juga di kalangan orang Melayu yang menjadi seperti Pak Pandir, Pak Kadok, Lebai Malang dan Mat Jenin. Apa yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran. Lebih malang, Yang dijolok tiada jatuh, penjolok tinggal di atas. Habis madu sepah dibuang. Ketika ini juga untuk berjaya, Melayu sanggup pijak kepala kawan dan tikam belakang.


Sedar atau tidak, orang Melayu ketika ini diasak dari pelbagai sudut disebabkan perpecahan dan kelemahan mereka sendiri lantaran kepentingan politik masing-masing. Ketika orang lain bersatu untuk kepentingan kumpulan mereka, ada pula orang Melayu yang sanggup membuka pekung di dada dan meludah ke langit.


Amat mendukacitakan sudah tidak ada perasaan cubit paha kiri, paha kanan pun sakit juga. Cubalah cubit paha sendiri dahulu, baru mencubit paha orang lain. Kita mengharapkan orang Melayu tidaklah menjadi seperti Pak Kadok, menang sorak kampung tergadai. Ketika orang lain dalam politik bersikap diam-diam ubi berisi menjelang pilihan raya umum akan datang tetapi orang Melayu pula seronok bertelagah sesama sendiri. Ada pula yang bersikap bertelur sebiji riuh sekampung. Melayu tanpa kuasa ekonomi nampaknya masih selesa sekalipun akan hilang kuasa politik.


Sebenarnya banyak lagi ingatan yang sudah ditinggalkan oleh orang Melayu pada masa lalu untuk diambil ingatan. Tetapi Melayu tetap leka dan lupa. Apakah orang Melayu masih berpegang kepada Melayu takkan hilang di dunia seperti diungkapkan oleh Hang Tuah? Memang Melayu tidak akan hilang di dunia tetapi Melayu mampu hilang dunia. Maka ketika itu, nyanyilah puas-puas lagu Warisan yang antara liriknya menyebut ‘bumi dipijak milik orang’. Dan jika Melayu sudah hilang dunia maka sekali lagi kita akan teringat kembali tulisan Tun Dr Mahathir iaitu ‘Melayu Ke Mana’.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA