Sabtu, 26 Februari 2011

Membawa Bekal Makanan Ke Sekolah

SMAHADZIR


DEWASA ini sukar untuk melihat murid-murid membawa bekal makanan ke sekolah. Ramai murid sekarang tidak suka membawa bekal makanan dengan alasan malu, berat dan sebagainya. Ditambah pula ibubapa yang sibuk tidak dapat menyediakan bekalan makanan untuk murid.


Memang tidak dinafikan kantin sekolah ada menyediakan makanan yang mencukupi dan sentiasa dipantau oleh guru-guru yang ditugaskan. Pihak sekolah sentiasa memastikan tahap kebersihan kantin dan cara pengurusan stok kantin mengikut garis panduan yang telah ditetapkan. Walaupun pihak sekolah sentiasa memastikan kantin berada pada tahap terbaik untuk keselesaan murid, tetapi kadangkala peristiwa buruk seperti keracunan makanan tetap juga berlaku. Kadang-kadang keracunan ini bukan sahaja disebabkan oleh makanan yang dibeli dari kantin tetapi juga makanan yang dibeli dari luar.


Membawa bekal makanan merupakan satu penyelesaian yang baik bagi masalah keracunan dan khasiat makanan. Malah membawa bekal juga dapat menjimatkan masa murid. Ada sesetengah murid tidak dapat makan kerana tidak sempat membeli makanan.


Cuba kita bayangkan sebuah sekolah yang berkapasiti 1,000 orang murid. Waktu rehat biasanya dua sesi. Sesi tahap 1 dan sesi tahap 2. Jadi satu sesi dianggarkan 500 orang murid akan rehat.


Masa yang diperuntukan untuk rehat biasanya antara 25 hingga 30 minit. Jarak dari kelas ke kantin kadangkala mengambil masa sehingga 5 minit perjalanan. Jadi, jika waktu rehat adalah 30 minit, masa untuk murid rehat tinggal 20 minit jika ditolak dengan masa perjalanan pergi balik ke kelas. Dalam masa 20 minit ini, murid-murid terpaksa menunggu giliran untuk mendapatkan makanan, biasanya seseorang murid mengambil masa 1 hingga 3 minit untuk membeli makanan dan minuman. Jadi murid hanya tinggal 18 minit untuk makan. Memang masa ini sudah mencukupi untuk murid makan tetapi cuba fikir pula tentang murid ke-500.


Jadi membawa bekal makanan bukan sahaja menjamin murid dapat makanan yang sihat dan berkhasiat malah ia dapat menjimatkan masa. Jadi murid tidak perlu terburu-buru untuk mendapatkan makanan di kantin. Dan baki masa yang ada boleh digunakan untuk aktiviti yang berfaedah seperti ke perpustakaan dan ke bilik access.

Pengaruh Program Televisyen Dan Kesannya Kepada Pelajar

SMAHADZIR

TELEVISYEN adalah media yang menjadi kegemaran semua lapisan masyarakat terutama golongan pelajar. Televisyen menayangkan banyak perkara seperti politik, ekonomi, sosial, sukan dan hiburan. Pelajar merupakan golongan yang teramai menonton televisyen. Rancangan yang menjadi kegemaran mereka adalah hiburan, seperti kartun dan nyanyian. Hiburan boleh mendatangkan ketenangan, menghilangkan kekecewan, dan mengatasi masalah emosi, tetapi kartun di televisyen sering berorientasikan hiburan yang patut dijauhi kerana ia bukan mematangkan tetapi menjadikan pelajar berfikiran negatif.

Banyak kesan negatif menonton televisyen kepada golongan pelajar, bukan hanya terhadap fizikal menurut sains tetapi juga terhadap emosi dan tingkahlaku. Antaranya ialah menjejaskan prestasi akademik. Menurut laporan Jabatan Pendidikan Amerika Syarikat (1994), pencapaian akademik jatuh ketara bagi pelajar yang menonton lebih daripada 10 jam seminggu.

Otak direka bagi memenuhi cabaran-cabaran kognitif. Ia seperti otot: jika kita tidak membuat latihan ia akan lemah. Jika tidak melatih otak, ia juga akan lemah. Kemahiran bahasa boleh dirangsang melalui pembacaan dan juga perhubungan dua hala lebih-lebih lagi keluarga iaitu ibu bapa bukannya menonton televisyen. Menonton televisyen adalah proses interaksi sehala sahaja iaitu televisyen menayangkan rancangan dan pelajar sibuk menonton tanpa berfikir dan tidak kreatif.

Melalui televisyen, pelajar lebih banyak terdedah kepada unsur keganasan. Keganasan di televisyen terlalu banyak berbanding dengan dunia realiti seperti bunuh membunuh, pukul memukul, tembak menembak, tampar menampar, dan sebagainya yang boleh diistilahkan sebagai ganas. Unsur ini jika tidak dibendung mendatangkan mudarat yang besar pada emosi pelajar dalam kehidupan.

Rancangan yang ditayangkan juga mempunyai imej-imej seksi dan berunsurkan seks. Jika si hero mempunyai imej ganas, si heroin pula mempunyai imej seksi. Imej seksi ini menampakkan bentuk atau lekuk-lekuk tubuh wanita yang sepatutnya dijauhi oleh pelajar. Babak-babak cinta, cium dan tidur bersama adalah babak yang menjadikan pelajar terlalu cepat matang, bukan matang dengan perkara positif, tetapi matang dengan perkara negatif.

Khayalan dalam cerita-cerita di televisyen juga adalah khayalan yang melampau dan ditakuti menjadi habit atau cubaan kepada pelajar. Contohnya Superman atau Spiderman yang memaparkan khayalan yang mustahil berlaku, dan jika diterjemahkan oleh pelajar dalam dunia realiti ini dikhuatiri mendatangkan kesan buruk.

Selain itu terdapat juga pengaruh terhadap nilai-nilai keagamaan. Contoh yang paling ketara adalah ada rancangan televisyen kegemaran pelajar yang disiarkan pada waktu solat. Jika waktu ini disia-siakan maka tiang agama mudah dirobohkan. Selain waktu yang tidak sesuai, rancangan-rancangan berbentuk merosakkan akhlak juga banyak dipertontonkan seperti pakaian, atau watak-watak yang tidak senonoh.

Kesimpulannya, televisyen memberi pengaruh yang besar dan boleh mendatangkan kesan yang buruk kepada pelajar. Pelajar harus bijak memilih rancangan yang sesuai yang mendatangkan manfaat. Jauhi sebarang rancangan yang boleh merosakkan akal, fikiran dan tingkah laku.

Penyalahgunaan Kad Kredit Di Malaysia Dan Langkah Mengatasinya

SMAHADZIR

MENURUT Kamus Oxford, kad kredit ialah satu kad yang dikeluarkan oleh bank atau mana-mana pihak, yang mana ia memberi kemudahan kepada pemegangnya untuk memperolehi barang-barang keperluannya secara tangguh bayaran (hutang). Hutang pula dari sudut syarak menurut takrifan Al-Qadhi Ibn ‘Arabi ialah urusan pemindahan (pertukaran) hak milik (secara jual beli atau seumpama dengannya), yang mana salah satu pihak secara tunai manakala pihak kedua secara tangguh di atas tanggungannya (dengan masa yang ditetapkan atau tidak).


Manakala takrifan yang dikeluarkan oleh Ketetapan Majlis Kesatuan Fiqh Islam Sedunia (Majma’ Fiqh Islami) bagi kad kredit ialah ‘satu bentuk penyata sandaran (penyata keterangan) yang diiktiraf, diberikan oleh pengeluar kepada mana-mana individu atau pihak yang diiktiraf melalui kontrak di antara kedua-dua belah pihak, ia membolehkan pemegangnya membuat pembelian barangan atau khidmat-khidmat dari semua pihak yang mengiktiraf penyata sandaran (kad kredit) tadi, tanpa perlu membuat pembayaran tunai, kerana ia mengandungi jaminan pembayaran dari pihak pengeluar.’


Secara amnya, jenis kontrak yang dibuat antara pemegang kad, pengeluar dan pihak ketiga adalah diiktiraf dalam Islam. Pandangan yang terkuat dalam hal ini adalah hubungan al-kafalah (jaminan) di mana ‘kafil’ (adalah penjamin-pengeluar kad), ‘makful’ (yang dijamin - pemegang kad) dan ‘makful lahu’ (penjual). Semua ini adalah diiktiraf dan kontrak adalah sah di sisi Islam. Kesannya, semua pembelian dibuat dengan kad ini, tiada lagi hak tuntutan pembayaran dari peniaga kepada pemegang kad, kerana ia telah terpindah kepada pengeluar. Maka tidak harus peniaga menuntutnya daripada pemegang kad. Demikian pandangan Hasan Al-Basri, Ibn Sirin, Ibn Hazm dan Majoriti Fuqaha. Pandangan mereka adalah berdasarkan kefahaman terhadap tiga buah hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Tirmizi, Ahmad, Al-Baihaqi, Ad-Dar Qutni dan lain-lain.


Kini gerbang atau floodgate kad kredit telah dibuka seluas-luasnya kepada sesiapa sahaja untuk memilikinya. Kad kredit yang begitu eksklusif dan mewah suatu ketika dahulu, kini seolah-olah tidak bernilai lagi. Apatah lagi modus operandi permohonannya begitu mudah, hatta kita boleh memohonnya melalui khidmat pesanan ringkas, telefon, internet dan transaksinya juga boleh dilakukan secara faks sahaja. Keputusan dan status permohonan juga boleh diketahui dalam masa tidak sampai 24 jam. Begitu mudah dan murah sekali! Akibatnya ramai di kalangan kita yang terpaksa naik turun mahkamah, harta disita dan dilelong dan lebih malang lagi dijatuhkan hukuman bankrap apabila gagal membayar hutang tunggakan kad kredit.


Secara khusus, kad kredit sebenarnya banyak membantu kita dalam proses pembelian atau pembayaran. Tetapi berapa ramai di antara kita yang benar-benar mengetahui bagaimana cara sebenarnya menggunakan atau menguruskan perbelanjaan melalui kad hutang ini. Atau memang ada yang sengaja menjeratkan diri dengan menambahkan liabiliti atau tradisi hutang-piutang!


Tidak dapat dinafikan, sewaktu hujung bulan, kad ATM adalah teman setia untuk mengeluarkan wang dari mesin ATM. Namun sewaktu pertengahan bulan, ada segelintir individu lebih gemar menggunakan kad kredit sebagai medium untuk mengeluarkan wang dari mesin ATM. Ramai yang tidak menyedari bahawa kadar faedah yang dikenakan untuk pengeluaran wang dari kad kredit adalah 1.5% sebulan atau 18% setahun. Ini bukannya satu nilai yang rendah, alangkah indahnya jika memiliki pulangan dari pelaburan saham sebesar 18% ini.


Mengikut statistik Bank Negara Malaysia (BNM), sebanyak 15,000 kes muflis telah dicatatkan pada tahun 2005 dan jumlah tersebut telah menurun kepada 13,353 pada tahun 2006. Namun, setakat bulan Jun 2007, lebih 9,000 kes muflis telah dicatatkan, ini satu perningkatan yang agak membimbangkan. Isu hutang melalui kad kredit kalau tidak dibendung dari awal pasti akan menjadi barah. Lama-kelamaan ia akan menjadi lebih kritikal. Pada tahun 2005 saja, sebanyak 8% kes muflis yang telah dicatatkan terdiri dari golongan yang berumur kurang dari 30 tahun.


Sehingga April 2009, rakyat Malaysia mempunyai hutang tertunggak kad kredit sebanyak RM24.4 billion. Ini adalah satu jumlah yang banyak. Data juga menunjukkan lebih 10 juta kad kredit di Malaysia, hanya 30% daripada pemegang membayar baki penuh setiap bulan. Kajian juga menunjukkan bahawa orang yang menggunakan kad kredit akan berbelanja 17% lebih daripada orang yang menggunakan tunai.


Baru-baru ini pengguna kad kredit merasa lega dengan tindakan bank menurunkan kadar faedah hutang tertunggak. Namun tahukan kita bahawa kos untuk menggunakan dan berhutang dengan kad kredit masih tinggi walaupun bank telah menurunkan kadar faedah di antara 13.5% sehingga 17.5%? Ini kerana terdapat terma-terma yang diletakkan oleh pihak bank adalah tidak boleh dinikmati serta merta oleh pengguna kad kredit. Sebagai contoh, sebagai pengguna kad kredit yang kurang dari setahun, anda masih belum layak untuk mendapat pengurangan kadar keuntungan. Walaupun selepas setahun menggunakannya, anda tidak layak secara automatik kerana kegagalan untuk membayar minimum secara konsisten menyebabkan anda tidak layak untuk memasukkan ‘tier’ kedua kadar keuntungan.


Sama ada kita sedar atau tidak, sekiranya kita mempunyai hutang kad kredit sebanyak RM1000 dan hanya membayar jumlah minimum 5%, ianya akan mengambil masa selama lima tahun dan lapan bulan untuk menyelesaikan jumlah tersebut beserta dengan kadar faedah yang dikenakan. Sekiranya hutang kad kredit tertunggak sebanyak RM10,000 dan pemegang kad hanya membayar jumlah minimum 5% setiap bulan, hutang kad tersebut hanya akan selesai dalam masa tujuh tahun dan lapan bulan. Inilah hakikatnya. Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), jumlah orang yang diisytiharkan bankrap pada tahun 2008 adalah 13,907 kes, dan 10% daripada kes tersebut adalah daripada yang berhutang dengan kad kredit.


Sesungguhnya, penggunaan kad kredit merupakan pemangkin masalah inflasi yang sangat ketara. Salah satu daripada faktor yang menggalakkan orang ramai menggunakan kad kredit ialah mereka tidak perlu membawa wang tunai yang banyak untuk membeli-belah. Bagi sesetengah pengguna, membawa wang tunai yang banyak ketika membeli-belah merupakan suatu beban.


Pengguna kad kredit juga berasa lebih selamat menggunakan kad kredit berbanding dengan penggunaan wang tunai. Hal ini kerana semua kad kredit yang digunakan tidak boleh bertukar milik. Setiap kali mereka menggunakan kad kredit tersebut mereka dikehendaki menandatangani borang khas yang akan dapat mengesan pemilik sebenar kad kredit tersebut. Oleh yang demikian, pemilik kad kredit tidak perlu bimbang sekiranya kad mereka hilang atau dicuri orang.


Seterusnya, kebanyakan ahli masyarakat lebih gemar menggunakan kad kredit kerana mereka tidak perlu menukar mata wang ketika berada di luar negara. Sekiranya kita melancong ke luar negara, kita mungkin perlu menukarkan mata wang negara kita kepada mata wang negara yang kita lawati itu. Hal ini tidak demikian bagi pemegang kad kredit kerana pertukaran nilai mata wang asing akan dilakukan secara automatik setiap kali kad kredit tersebut digunakan.


Pengguna sekarang amat beruntung kerana terdapat plan penstrukturan kad kredit agar mereka boleh mengurangkan kadar faedah yang dikenakan oleh bank. Namun penyalahgunaan kad kredit masih juga berlaku. Justeru, kerajaan perlu memandang serius bagi membendung gejala penggunaan kad kredit secara berterusan dan melebihi pendapatan individu. Sebagai contoh, rasional mempunyai kad kredit melebihi dari tiga buah bank, serta menaikkan tahap minimum pendapatan untuk melayakkan pengguna diberikan kad kredit.


Selain daripada itu, pengetahuan tentang pengurusan kewangan perlu diterapkan di dalam diri masyarakat semenjak dari zaman persekolahan sehingga ke universiti. Jadikan ianya satu subjek yang wajib untuk setiap pelajar bagi melengkapkan pengetahuan asas tentang kewangan.


Implikasi negatif daripada penyalahgunaan dan kurang disiplin aplikasi kad kredit menyebabkan pengguna terpaksa berhutang dan terus berhutang; hati tidak tenteram; hidup dalam keadaan keluh kesah, ketakutan dan bimbang; terpaksa menanggung hutang di sana sini; amalan ‘korek lubang, tutup lubang’ menjadi kebiasaan; kehidupan dan keluarga tidak terurus; rasuah dan salah guna kuasa berleluasa; prestasi kerja menurun, tidak bermotivasi serta kurang produktif dan sebagainya.


Sebelum kita menerima kad kredit, kita harus betul-betul memahami bagaimana kad plastik ‘ajaib’ ini berfungsi. Kita diberi talian kredit, dengan had maksima yang boleh dicaj kepada kad - ‘had kredit’. Setiap kali kad ini dicaj melalui sebarang perbelanjaan (transaksi), kredit kita berkurangan. Penyata bulanan yang diterima memberi kita pilihan, sama ada untuk bayar baki sepenuhnya, atau hanya bayaran minima bulanan (tidak digalakkan). Apabila kita membayar bayaran bulanan kepada bank yang mengeluarkan kad, had kredit maksima dikembalikan. Walau bagaimanapun, pemegang-pemegang kad kredit seringkali hanya membayar jumlah faedah dan bayaran minima baki pokok yang terhutang, dan tidak akan bayar balik baki yang sepenuhnya.


Setelah menyelesaikan semua hutang kad kredit barulah anda boleh mempertimbangkan cara penggunaan kad tersebut dengan betul. Kad kredit ini sebenarnya adalah alat pengurusan wang yang sungguh berkesan, jika digunakan dengan waras. Pendekatan terpenting dalam penggunaan kad kredit adalah tanggungjawab untuk membayar jumlah baki dalam penyata setiap bulan. Bayangkan kredit kad itu sebagai wang tunai yang disimpan setiap bulan bagi barang-barang yang dicaj. Dengan perumpamaan ini, anda tidak akan dikenakan kos; kad kredit anda pula akan menjadi kemudahan kewangan yang amat berguna bagi anda. Kad kita menjadi seolah-olah pekerja kita dan kita pula bukan lagi diperhambakannya.


Kad kredit juga adalah satu-satunya sekuriti atau perlindungan tambahan dan kemudahan sewaktu membeli-belah dan berjalan, dengan syarat kita tidak menyalahgunakannya. Sebagai contoh, anda mempraktikkan bayaran hanya 5% atau RM50 minima setiap bulan, yang mana lebih tinggi. Bagi baki RM10,000 yang mengenakan caj kewangan sebanyak 18% setahun, anda akan mengambil masa 7 tahun dan 3 bulan untuk menyelesaikan seluruh baki hutang anda. Dan ini juga dengan anggapan bahawa anda tidak lagi menambahkan caj. Bayangkan betapa lajunya hutang anda akan meningkat jika apa yang dipraktikkan ini melibatkan banyak kad kredit lain pada masa yang sama.


Berikut ini adalah antara langkah-langkah yang wajar diikuti untuk mengelakkan diri anda dari terjerat oleh masalah hutang kad kredit:


1. Sebelum memiliki kad kredit, lebih baik anda berfikir dahulu, adakah menjadi satu kepentingan untuk anda memiliki kad kredit dan untuk apa anda memohon kad kredit tersebut. Jika anda rasa tidak mampu mengawal diri daripada berbelanja berlebihan menggunakan kad kredit, elok anda batalkan sahaja niat anda untuk memohon kad kredit. Ianya lebih selamat daripada anda terpaksa menanggung beban hutang yang tidak berkesudahan.


2. Jika sudah memiliki kad kredit, ingat dan sentiasa tanam dalam diri anda sifat tidak boros ketika berbelanja menggunakan kad kredit. Kalau boleh, beli secara tunai sahaja dan elakkan berhutang. Apa yang paling penting ketika menggunakan kad kredit ialah disiplin. Jika tiada disiplin yang kuat dalam diri, maka berlakulah penyalahgunaan kad kredit.


3. Jika anda terdesak untuk menggunakan kad kredit terutama dalam perkara-perkara yang tidak dijangka dan kebetulan ketika waktu tersebut anda tidak mempunyai wang yang cukup, maka gunakanlah kad kredit anda. Dan jika anda berhajat untuk membeli sesuatu misalnya televisyen baru, gunakanlah pelan bayaran tanpa faedah. Buat masa ini banyak kedai yang menawarkan skim bayaran tanpa faedah untuk kemudahan pembelinya. Carilah kedai-kedai yang menawarkan skim bayaran mudah yang menawarkan bayaran tanpa faedah untuk tempoh selama 6 bulan, 12 bulan, 24 bulan atau 36 bulan.


4. Jika anda memiliki baki tertunggak dalam sesebuah kad kredit, cubalah usahakan untuk memindahkan baki bayaran tertunggak anda kepada kad kredit yang menawarkan kadar faedah yang lebih rendah daripada kad kredit yang anda pakai sekarang. Tetapi yang pasti, jangan tambah kad kredit. Bila sudah memohon kad kredit yang baru, pastikan anda membatalkan kad kredit yang sebelumnya untuk mengelakkan bertambahnya beban hutang anda.


5. Cuba disiplinkan diri anda untuk membayar jumlah penuh setiap perbelanjaan yang anda buat setiap bulan menggunakan kad kredit. Ini ialah untuk mengelakkan anda dikenakan bayaran faedah oleh pihak pengurusan kad kredit anda. Biasanya setiap kad kredit menawarkan 20 hari tanpa bayaran faedah. Namun apa yang paling utama sekali ialah disiplin ketika menggunakan kad kredit. Jika tidak, sampai bila-bila pun anda akan gagal menguruskan kewangan anda dengan baik.

6. Cajkan hanya untuk barang yang anda mampu bayar – elakkan berbelanja melebihi pendapatan anda.

7. Gunakanlah kad kredit sebagai alat pembayaran dan bukan untuk kredit percuma. Jika anda tidak dapat menggunakannya dengan waras atau bertanggungjawab, mungkin lebih baik bagi anda untuk hentikan penggunaannya sama sekali.

8. Rancang perbelanjaan penggunaan kad kredit - mungkin digunakan untuk membayar bil, minyak kereta atau deposit untuk hotel. Seboleh-bolehnya, tetapkan kadar seminimum yang boleh, dan apabila bil kad kredit sampai kita dapat menjelaskan bayaran tersebut secara penuh.


9. Elakkan menggunakan cash advance atau pengeluaran wang tunai melalui kad kredit ini. Kerana kadar faedah yang dikenakan bukannya sedikit iaitu 1.5% sebulan atau 18% setahun.


10. Seboleh-boleh jangan menggunakan lebih dari satu kad kredit. Tiada istilah gaya, kaya, hebat dan sebagainya jika anda menggunakan banyak jenis kad kredit.


11. Apabila bil kad kredit sampai, bayarlah semaksimum yang boleh serta bayar sebelum tarikh akhir. Jangan ikut kadar minimum yang diberikan.


12. Pastikan penggunaan kad kredit diawasi, jangan sesekali memberikan nombor kad serta pin kepada pihak yang tidak dikenali dengan sewenang-wenangnya. Atau membuat transaksi online di laman web yang tidak dikenalpasti kesahihannya.


13. Semak semula bil-bil kad kredit. Lihat semua penggunaan atau perbelanjaan keluar kad kredit. Pastikan ianya merupakan transaksi yang sah dilakukan oleh anda.


Kesimpulannya, kad kredit mempunyai kebaikannya yang tersendiri. Namun begitu, sekiranya pemilik kad kredit menggunakan kad tersebut dengan bijak, mereka akan mendapat faedah yang banyak. Sebaliknya, jika kad kredit tidak digunakan secara berhati-hati, pemiliknya akan menderita akibat beban hutang yang terpaksa ditanggung sehingga bertahun-tahun. Walaupun penggunaan kad kredit didapati semakin popular dari setahun ke setahun, namun ‘wang plastik’ tersebut pasti tidak mungkin dapat menggantikan wang tunai yang sebenar.

Teknologi Hijau Merupakan Alternatif Untuk Mengurangkan Kesan Rumah Hijau

SMAHADZIR

SEJARAH dunia beberapa tahun kebelakangan ini telah mencatatkan satu perkembangan yang pelik. Pelik dengan bahang panas melampau di Amerika Syarikat dan Eropah tetapi keadaan sebaliknya di negara panas, Afrika Selatan yang dilitupi salji. Tidak ketinggalan beberapa siri taufan yang semakin kerap dan ganas, termasuk berstatus taufan raksasa menggegarkan China ketika banjir terus menelan korbannya dari Pakistan, Habsyah, Korea sehinggalah ke India

Keadaan cuaca tidak menentu itu menyaksikan beratus-ratus kematian dalam sekelip mata manakala lebih sejuta lain hilang tempat tinggal. Nilai kerugian akibat kehilangan jiwa dan kemusnahan harta benda mencecah berbilion dolar. Inilah senario terkini keadaan cuaca dunia yang lebih banyak pelik daripada kebiasaannya. Catatan rekod daripada panas dan sejuk melampau selain rentetan satu demi satu taufan ganas yang seakan-akan tidak memberi ruang bagi negara mangsa untuk bernafas.

Keadaan diburukkan lagi dengan ancaman gempa bumi kian kerap dengan catatan skala Richter lebih daripada sederhana sehingga menyebabkan amaran ombak besar atau tsunami yang amat asing bagi rantau Asia Pasifik, kini berlaku hampir setiap bulan. Pendek kata, bukan saja perkembangan politik dunia diselubungi pelbagai kekacauan, tetapi rekod alam sekitar juga tidak terkecuali kelam-kabutnya sebagaimana yang ketara di beberapa buah negara.

Namun, antara contoh ketara adalah membabitkan kejutan perbezaan cuaca ketara benua Eropah dan Amerika dengan Afrika. Apa tidaknya, Eropah dan Amerika yang lebih diketahui menikmati cuaca sejuk sebaliknya diselubungi panas melampau dengan paparan rakyatnya kepanasan terpampang di kebanyakan media utama dunia baru-baru ini. Keadaan sebaliknya berlaku di bahagian selatan dua benua itu apabila Afrika Selatan yang sudah sinonim dengan cuaca panas, menyaksikan kehadiran salji buat kali pertama sejak 1981.

Ramai kalangan saintis mengaitkan keadaan pelik itu sebagai kesan pemanasan global - satu keadaan yang dijangka berlarutan akibat pencemaran gas rumah hijau hasil pembakaran bahan fosil yang terperangkap dalam atmosfera. Biarpun sukar membuktikannya, seperti diakui Asher Timms, pegawai Pusat Penyelidikan Perubahan Cuaca Tyndall di Britain, corak cuaca bumi kini berubah. Akibatnya paras air laut semakin meningkat yang berkait rapat dengan salji yang semakin berkurangan atau cair di kebanyakan kawasan pergunungan serta bungkah ais Greenland yang mencair. Ini menyebabkan air laut semakin panas dan menyebabkan taufan makin ganas berlaku dengan kerap.

Malah antara bukti taufan yang mengganas adalah di China yang menyaksikan kemusnahan akibat serangan tiga taufan dalam tempoh sebulan. Dimulai taufan Bilis, Prapiroon dan terbaru taufan raksasa Saomai dengan angin selaju 216 kilometer sejam. Serangan taufan itu menyaksikan banjir dan tanah runtuh yang menyebabkan hampir 1,000 orang terbunuh termasuk 600 akibat taufan Bilis saja. Keadaan banjir itu turut meragut nyawa di pojok lain dunia seperti di Korea Utara, India dan di Habsyah. Malah di Habsyah selain 254 kematian, seramai 250 orang masih hilang sehingga hari ini.

Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, istilah pemanasan global atau global warming dikaitkan dengan kenaikan suhu dunia. Dunia dikatakan semakin hari semakin panas. Kenaikan elemen suhu di seluruh dunia ini berkait rapat dengan aktiviti manusia yang mengganggu keseimbangan sistem-sistem bumi khususnya sistem atmosfera. Daripada sudut imbangan haba, fenomena pemanasan global memberi makna wujudnya ketidakseimbangan dalam bajet haba. Input haba yang diterima oleh sistem bumi berlebihan berbanding dengan outputnya.

Oleh sebab itulah berlakunya kenaikan suhu pada semua skala sama ada mikro atau makro. Menurut Professor James G Titus dari Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat: ‘Terdapat peningkatan suhu dunia antara 0.4 hingga 0.5 darjah celcius pada setiap lima tahun bermula pada tahun 1952. Dianggarkan antara tahun 1990 hingga 2025 suhu dunia akan meningkat antara 0.8 hingga 3.6 darjah celcius.’

Pemanasan global terjadi melalui dua mekanisme penting iaitu melalui Kesan Rumah Hijau dan juga Penipisan Lapisan Ozon. Walaupun terdapat punca-punca semulajadi tetapi aktiviti manusia lebih banyak menyumbang terhadap kedua-dua mekanisme di atas. Antaranya ialah aktiviti perindustrian, penyahutanan untuk pelbagai tujuan, pembebasan cloroflorokarbon (CFC), punca kenderaan, pembakaran terbuka dan yang paling dashyat adalah melalui ujian nuklear. Kesan rumah hijau banyak disumbangkan oleh gas karbon dioksida.

Lantaran itu penekanan terhadap ‘teknologi hijau’ adalah altenatif yang tepat dalam menangani masalah kesan rumah hijau tersebut. Ia juga selaras dengan agenda utama kerajaan di seluruh dunia pada masa kini yang memberi keutamaan kepada isu-isu alam sekitar khususnya fenomena perubahan cuaca dunia. Kita sebagai penduduk dunia perlu bertanggungjawab untuk bersama-sama memainkan peranan dalam menjadikan dunia ini a better place to live in.

Sebagaimana yang kita tahu, teknologi hijau adalah aplikasi sains alam sekitar untuk memulihara sumber dan alam semulajadi bagi menangani impak negatif akitiviti manusia seperti pengeluaran asap hitam yang membahayakan oleh kilang, penggunaan bahan bakar kenderaan bermotor, pemusnahan alam semulajadi, pencemaran sungai, pelepasan karbon ke udara dan sebagainya. Teknologi hijau adalah teknologi rendah karbon dan lebih mesra alam berbanding teknologi sedia ada.

Teknologi hijau merujuk kepada produk, peralatan, atau sistem yang mampu meminimumkan degrasi kualiti persekitaran; ia mempunyai pembebasan Gas Rumah Hijau (GHG) yang rendah atau sifar; ia selamat untuk digunakan dan menyediakan persekitaran sihat dan lebih baik untuk semua hidupan; menjimatkan tenaga dan sumber asli; dan menggalakkan sumber-sumber yang boleh diperbaharui. Terdapat empat tonggak Dasar Teknologi Hijau Negara iaitu:

  1. Tenaga - mencari ketidakbergantungan tenaga dan mempromosikan kecekapan tenaga
  2. Alam sekitar - memulihara dan meminimumkan kesan kepada alam sekitar
  3. Ekonomi - meningkatkan pembangunan ekonomi negara melalui penggunaan teknologi; dan
  4. Sosial - meningkatkan kualiti hidup untuk semua.

Aplikasi Teknologi Hijau adalah selaras dengan konsep pembangunan mapan (sustainable development) di mana pembangunan yang dilaksanakan perlu memenuhi keperluan semasa tanpa menjejaskan keperluan generasi masa depan. Apabila kita menggunakan teknologi hijau, kita menggunakan sumber-sumber seperti tenaga, air, dan sebagainya secara minimum untuk menghasilkan sesuatu produk. Produk itu akan selamat digunakan dan menyediakan persekitaran yang sihat dan lebih baik untuk semua hidupan. Ia juga menjimatkan tenaga dan sumber asli serta menggalakkan sumber-sumber yang boleh diperbaharui. Objektifnya termasuklah mengurangkan kadar penggunaan tenaga dalam masa yang sama meningkatkan pembangunan ekonomi.

Selain itu, teknologi hijau juga memastikan pembangunan mapan dan memulihara alam sekitar untuk generasi akan datang serta meningkatkan pendidikan dan kesedaran awam terhadap teknologi hijau dan meluaskan teknologi hijau tersebut. Teknologi hijau juga mampu mengurangkan pelepasan gas karbon ke udara yang menyebabkan fenomena perubahan cuaca dunia.

Antara kesan-kesan fenomena perubahan cuaca dunia yang kita rasai ialah cuaca yang melampau seperti keadaan cuaca panas yang sedang kita hadapi kini. Selain itu, kejadian bencana alam seperti ribut taufan, kecairan ais di Kutub Utara dan Selatan, kenaikan paras dan suhu air laut, kepupusan spesies flora dan fauna dan sebagainya juga merupakan kesan-kesan fenomena perubahan cuaca dunia yang prominen pada masa sekarang. Oleh yang demikian, mitigasi fenomena perubahan cuaca dunia telah menjadi antara prioriti dalam masyarakat dunia pada masa kini.

Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa Dasar Teknologi Hijau Negara yang telah dilancarkan berasaskan kepada empat tonggak iaitu tenaga, alam sekitar, ekonomi dan sosial. Dari aspek tenaga, teknologi hijau akan mencari kaedah untuk mengurangkan penggunaan tenaga dan pada masa yang sama mempromosikan kecekapan guna tenaga. Dari aspek alam sekitar, kesan kepada alam sekitar dapat diminimumkan dan dipelihara. Dari aspek ekonomi, teknologi hijau meningkatkan pembangunan ekonomi negara. Manakala dari segi sosial pula, kualiti hidup rakyat dapat dipertingkatkan.

Sesungguhnya, proses perubahan cuaca global sememangnya tidak dapat dihalang. Walau bagaimanapun, usaha-usaha boleh dilakukan untuk melambatkan proses tersebut. Lantaran itu, aplikasi teknologi hijau merupakan salah satu alternatif bagi melambatkan proses perubahan cuaca dunia. Kita sebagai pengguna merupakan salah satu daripada penyumbang terbesar dalam pelepasan gas rumah hijau melalui aktiviti harian. Antara contoh aktiviti harian kita yang banyak menyumbang ke arah perubahan cuaca global ialah penggunaan kereta, tenaga elektrik, penggunaan bahan-bahan kimia seperti racun serangga dan sebagainya.

Hakikatnya, bumi ini sudah tidak lagi mampu menanggung beban penggunaan kurang mapan dan pembaziran dilakukan oleh manusia. Tenaga berperanan penting dalam semua aktiviti. Sumber tenaga di negara kita dibahagikan kepada 2 jenis iaitu sumber tenaga konvensional (tidak boleh diperbaharui) dan tidak konvensional (boleh diperbaharui). Sumber tenaga konvensional yang terbesar di Malaysia adalah petroleum dan jenis sumber ini akan semakin berkurangan serta habis jika digunakan secara berterusan. Contoh sumber tenaga bukan konvensional yang tidak terhad digunakan ialah biojisim dan solar.

Ketika Revolusi Perindustrian yang bermula di Britain sejak abad ke-18 hinggalah hari ini, tenaga yang menggerakkan pembangunan dan pertumbuhan dunia ialah bahan api fosil yang terdiri daripada minyak, gas dan arang yang merupakan sumber tenaga konvensional. Bahan api fosil banyak membantu dalam pembangunan tetapi ramai orang tidak sedar akan kesan penggunaan bahan fosil terhadap bumi ini. Penggunaan bahan bakar fosil yang semakin meningkat telah berperanan besar dalam fenomena pemanasan global dengan melepaskan karbon dioksida (CO2) ke udara bebas dan seterusnya mempengaruhi perubahan iklim dunia. Untuk mengurangkan bilangan manusia yang hanya memikirkan keuntungannya tanpa melindungi bumi, pemimpin dunia telah memperkenalkan pemakaian tenaga alternatif yang menggantikan bahan bakar fosil yang membahayakan.

Terdapat pelbagai bahan boleh dijadikan alternatif bagi mengurangkan penggunaan bahan bakar fosil seperti tenaga solar (matahari), tenaga air, tenaga angin, hidrogen, dan biojisim kelapa sawit. Malaysia merupakan negara yang beriklim panas dan lembap sepanjang tahun. Kita boleh memanfaatkan cahaya matahari pada waktu siang sebagai sumber tenaga untuk menggantikan tenaga elektrik. Walaupun kos untuk sistem solar tinggi dan sesetengah kawasan tidak mendapat cahaya matahari untuk jangka masa yang panjang kerana keadaan cuaca tidak menentu, tetapi kebaikannya tidak boleh diabaikan juga. Tenaga matahari dapat mengurangkan pencemaran udara dan kesan rumah kaca serta tenaganya boleh disimpan untuk penggunaan elektrik pada waktu malam. Tenaga ini boleh dimanfaatkan untuk tiang lampu yang banyak di negara kita.

Tenaga hidro berasal daripada air yang mengalir mengandungi tenaga yang boleh diubah menjadi tenaga elektrik. Tenaga hidro menampung keperluan pertanian. Tanah bumi Malaysia yang kaya dengan flora dan fauna telah menjadikan negara kita sebagai kawasan yang mempunyai bekalan air yang berterusan. Hampir 90% daripada sumber tenaga yang diperbaharui datang daripada kuasa hidro. Empangan telah digunakan sebagai sebuah stesen janakuasa hidro untuk menakung air sungai. Tenaga ini adalah percuma. Air juga boleh disimpan di dalam empangan dan sedia digunakan pada masa yang diperlukan serta tidak ada sisa buangan yang menyumbang kepada pencemaran. Tenaga ini juga lebih diyakini berbanding dengan tenaga angin, matahari dan gelombang.

Hidrogen juga merupakan bahan gantian untuk bahan bakar fosil. Hidrogen boleh digunakan sebagai sejenis bahan api yang menggerakkan kenderaan. Hidrogen dibakar dalam enjin melalui kaedah yang serupa dengan kereta petrol tradisional. Dalam penukaran sel bahan api, hidrogen bertindak balas dengan oksigen untuk menghasilkan air dan elektrik untuk menjana motor tarikan elektrik. Kenderaan yang menggunakan hidrogen sebagai bahan bakar dapat mengurangkan penggunaan gas rumah tanaman dan perosak lapisan ozon. Tetapi untuk mendapatkan bahan ini adalah sukar kerana hidrogen diperoleh melalui kaedah termokimia yang menggunakan gas asli, arang, gas petroleum cecair, biojisim, melalui proses termolisis atau dihasilkan dari air melalui elektrolisis. Oleh itu, hidrogen dikenali sebagai kaedah yang paling kurang cekap dan paling mahal untuk mengurangkan gas rumah hijau.

Biofuel juga merupakan bahan bakar alternatif untuk bahan bakar fosil yang dihasilkan dari bahan-bahan organik. Biofuel boleh dihasilkan secara langsung dari tanaman atau limbah industri, komersial, domestik, atau pertanian. Ada tiga cara untuk menghasilkan boifuel iaitu limbah organik kering (buangan rumah tangga), fermentasi limbah basah (kotoran haiwan) atau fermentasi tebu atau jagung dan tenaga dari hutan. Biofuel menghasilkan karbon dioksida yang jauh lebih sedikit daripada bahan bakar fosil yang mencemarkan udara. Biofuel boleh terurai dan sumber bahan buatan biofuel adalah terjamin serta mampu mengelakkan daripada rumah kaca.

Dalam mengaplikasi teknologi hijau, faedah terbesar ialah dari segi peningkatan kualiti hidup rakyat dengan jaminan kualiti alam sekitar yang lebih mapan. Pencemaran udara, air, bunyi dan sebagainya akan menjejaskan kualiti hidup rakyat sekiranya masalah tersebut dibiarkan berterusan. Apabila kita menggunakan teknologi hijau, kesan negatif terhadap alam sekitar adalah minima.

Kita harus mengamalkan amalan hijau sebanyak yang boleh, bermula dengan perkara-perkara mudah yang boleh kita laksanakan. Contohnya, kita boleh membawa air minum dalam bekas tanpa keperluan membeli botol-botol air. Kalau kita membeli makanan untuk dibawa balik ke rumah, eloklah kita menggunakan bekas makanan sendiri daripada menggunakan bekas styrofoam atau plastik yang tidak mesra alam. Bawalah beg sendiri ketika membeli-belah.

Kita sebagai pengguna juga harus mengutamakan pembelian peralatan elektrik jenis cekap tenaga. Utamakan penggunaan lampu cekap tenaga. Tindakan sedemikian akan menghasilkan penjimatan tenaga. Walaupun harga peralatan cekap tenaga lebih mahal sedikit berbanding peralatan biasa, namun penjimatan tenaga adalah banyak dan kurang menjejaskan alam sekitar. Yang penting adalah supaya kita mulakan dengan langkah-langkah yang mudah dan murah dahulu. Jadikan amalan hijau budaya hidup kita. Ibubapa harus menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak supaya mereka akan turut terdorong untuk mengamalkan budaya hijau.

Sebenarnya perubahan gaya hidup dan perubahan minda akan mengorak langkah ke arah penghayatan dan pengamalan teknologi hijau. Perubahan kecil yang kita buat pada hari ini akan memberi kesan yang besar pada masa hadapan. Yang penting, kita sebagai penduduk dunia perlu bertanggungjawab untuk bersama-sama memainkan peranan dalam menjadikan dunia ini a better place to live in. Dalam mengaplikasi teknologi hijau, faedah terbesar ialah dari segi peningkatan kualiti hidup rakyat dengan menjamin kualiti alam sekitar yang lebih mapan. Pencemaran udara, air, bunyi dan sebagainya akan menjejaskan kualiti hidup rakyat sekiranya masalah tersebut dibiarkan berterusan. Apabila kita menggunakan teknologi hijau, kesan negatif terhadap alam sekitar adalah minima.Teknologi hijau juga mempunyai potensi besar dalam memacu pembangunan negara. Industri yang menggunakan atau membangunkan produk berhubung teknologi hijau dapat menyediakan peluang-peluang pekerjaan untuk masyarakat tempatan. Kita boleh juga meneroka peluang mengeksport produk ‘hijau’ yang telah kita hasilkan. Pasaran untuk teknologi dan produk hijau amat besar, khususnya dalam sektor tenaga boleh diperbaharu atau renewable energy. Contohnya, industri solar photovoltaic telah dikenalpasti sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baru untuk negara kita.

Sebagai kesimpulannya, penekanan terhadap ‘teknologi hijau’ adalah altenatif yang tepat dalam menangani masalah kesan rumah hijau. Satu sistem pengurusan sumber yang berkesan perlu dilaksanakan bagi menjamin bekalan dan penggunaan yang berterusan bagi kegunaan manusia pada masa hadapan. Untuk mengelak daripada bumi kita dilanda masalah pemanasan global, pemakaian tenaga alternatif adalah amat digalakkan. Sesungguhnya, teknologi hijau akan dapat membantu dalam memuliharakan alam sekitar dan meningkatkan kualiti hidup makhluk sejagat. Sama-samalah kita merealisasikannya.

Potensi Dan Cabaran Industri Pertanian Negara

SMAHADZIR

Selepas merdeka, negara kita terkenal sebagai sebuah negara pertanian. Aktiviti ekonorni negara pada masa itu sangat bergantung kepada sektor pertanian dan perlombongan. Menurut catatan sejarah, sumbangan sektor pertanian kepada KDNK pada tahun 1957 ialah sebanyak 46%. Keadaan ini telah berubah pada tahun 2003 di mana sumbangan sektor pertanian kepada KDNK adalah 8.45%. Pada masa yang sama negara kita kini terkenal sebagai sebuah negara pengeluar produk pembuatan. Bilangan pekerja sektor pertanian pada tahun 1966 ialah 80.3% daripada keseluruhan jumlah pekerjaan berbanding 14.9% untuk tahun 2002.

Semenjak tahun 1984, tiga Dasar Pertanian Negara telah digubal untuk memajukan sektor pertanian iaitu Dasar Pertanian Negara Pertama (1984-1991) yang memberi penekanan untuk membangunkan sektor pertanian yang berorientasikan ekspot; Dasar Pertanian Negara Kedua (1992-1997) yang memberi penekanan kepada peningkatan produktiviti, kecekapan dan persaingan; dan Dasar Pertanian Negara Ketiga (1998-2010) untuk meningkatkan dayasaing sektor pertanian berikutan liberalisasi perdagangan antarabangsa.

Sektor ini kini masih menghadapi pelbagai cabaran, antaranya ialah tenaga kerja yang semakin tua, iaitu 21.4% adalah berumur 55 tahun ke atas. Sebahagian besar petani bekerja tidak sepenuh masa, iaitu 27 hari semusim bagi pesawah padi dan 16 hari dalam sebulan bagi pekebun kecil kelapa. Saiz tanah yang diusahakan adalah kecil dan kurang ekonomik, iaitu 65% darlpada pesawah padi mempunyai saiz sawah kurang daripada satu hektar. Penyertaan sektor swasta adalah kurang menggalakkan dan golongan muda menganggap pekerjaan di bidang pertanian adalah tidak menarik. Adalah didapati masih terdapat persepsi bahawa sektor ini mundur dan tidak membawa keuntungan berbanding dengan sektor pembuatan dan perkhidmatan.

Di peringkat antarabangsa pula kedudukan sektor pertanian negara menjadi semakin mencabar dengan terbentuknya WTO di mana liberalisasi perdagangan antarabangsa menyebabkan persaingan semakin sengit. Sektor pertanian negara terancam sekiranya tidak bersedia meningkatkan daya pengeluaran untuk memperolehi daya saing yang lebih tinggi.

Semenjak krisis kewangan Asia pada tahun 1997, imbangan dagangan makanan telah mengalami defisit sebanyak RM4.7 bilion pada tahun 1997 berbanding dengan defisit RM2.2 bilion pada tahun 1994. Defisit imbangan dagangan ini terus meningkat dari tahun ke tahun, terutamanya pada tahun 2001 yang mencatatkan defisit RM5.7 billon. Penurunan nilai ringgit juga menyebabkan peningkatan harga import bagi input pertanian dan makanan dari setahun ke setahun. Keadaan ini telah menimbulkan kesan yang negatif terhadap perkembangan sektor pertanian negara.

Lantaran itu, untuk merangsang sektor pertanian dan industri asas tani, kerajaan telah merancang untuk menjadikan sektor ini sebagal enjin ketiga pertumbuhan ekonomi, dengan memperluaskan tanggungjawab Kementerian Pertanian untuk merangkumi bidang industri asas tani. Tujuannya ialah supaya sektor pertanian dan industri asas tani dimajukan berdasarkan semua aspek pengurusan rantaian bekalan atau supply chain management, iaitu dari peringkat pengeluaran benih, pengeluaran (production), pengendalian lepas tuai, penyimpanan, logistik, penggredan, pelabelan, pembungkusan, pengangkutan, peruncitan, pemborongan, pemasaran, penjenamaan (branding), pemerosesan sehingga dijual kepada pengguna (from farm to table). Selain daripada pengeluaran pertanian, fokus masa hadapan telah diberi kepada industri asas tani yang boleh disertai oleh industri kecil dan sederhana terutamanya dalam bidang-bidang tambah nilai (value added) yang baru.

Selaras dengan keperluan untuk meneroka pasaran antarabangsa dan juga mengeluarkan produk yang bermutu tinggi untuk pasaran tempatan, tindakan perlu diambil untuk memenuhi permintaan pasaran terhadap makanan yang selamat dan berkualiti. Ini termasuk tindakan untuk menepati piawaian-piawaian antarabangsa serta pelabelan, penggredan dan pembungkusan yang boleh diterima di pasaran antarabangsa. Beberapa program jaminan kualiti hasil pengeluaran ladang dan pemprosesan yang sedang dilaksanakan seperti Skim Akreditasi Ladang Malaysia (SALM) oleh Jabatan Pertanian, Skim Akreditasi Ladang Ternakan (SALT) dan Veterinary Health Mark (VHM) oleh Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Skim Persijilan Ladang Akuakultur Malaysia (SPLAM) oleh Jabatan Perikanan, perlu dikuatkuasakan tanpa sebarang kompromi. Dua lagi program jaminan kualiti hasil makanan yang sedang digubal ialah Skim Organik Malaysia (SOM) oleh Jabatan Pertanian dan Quality Assurance System (QAS) oleh MARDI perlu direalitikan dengan segera.

Pengeluaran pertanian sekarang harus menepati aspek-aspek kualiti dan keselamatan kerana menerusi cara ini pengusaha pertanian mendapat jaminan pasaran tempatan dan luar negara, memperolehi harga yang lebih tinggi dan seterusnya memperolehi pendapatan yang lebih baik. Sekiranya semua pangusaha mengamalkan pendekatan ini, tidak mustahil daya saing pengeluaran pertanian negara akan berjaya dipertingkat dan dipertahankan. Di samping itu semua jabatan dan agensi yang terlibat perlu menyegerakan tindakan melaksanakan program jaminan kualiti den memastikan bahawa pengusaha memahami langkah-langkah yang perlu dipatuhi secara berterusan.

Kita semua sedia maklum bahawa perbelanjaan yang dilabur oleh Kerajaan untuk memajukan sektor pertanian adalah besar tetapi pendapatan yang diterima oleh golongan sasar masih rendah. Jadi, sudah sampai masanya pendekatan baru dilaksanakan untuk mengatasi masalah tersebut. Fokus utama boleh diberi kepada industri padi dan beras serta Dasar Pengeluaran Makanan Strategik, ternakan dan perikanan laut dalam. Cara-cara baru juga perlu dikenal pasti untuk memastikan bahawa pertubuhan-pertubuhan petani dan nelayan sebenarnya meningkat pendapatan ahli mereka secara berterusan dan tidak mengayakan pertubuhan-pertubuhan terlibat sahaja.

Tindakan ini perlu diambil supaya golongan yang disasar akan memperolehi pendapatan yang bertambah untuk mengatasi masalah kemiskinan dan sekali gus menaikkan taraf hidup mereka. Antara perkara-perkara yang perlu diberi perhatian dalam menggubal pendekatan baru ini termasuk memperkukuhkan organisasi yang menyelaras aktiviti, menyediakan skim pembiayaan yang bersesuaian termasuk penglibatan Kerajaan Negeri.

Petani, penternak dan nelayan perlu didedahkan kepada penggunaan teknologi terkini menerusi beberapa projek demonstrasi seperti Projek Sepuluh Tan Padi, Program Fertigasi Tanaman, Program Inkubator Industri Kecil dan Sederhana, Sistem Rumah Tertutup Ayam dan Amalan Pertanian/Ternakan/Akuakultur Yang Baik. Di samping itu, MARDI perlu berusaha untuk meningkatkan kadar pemindahan teknologi dan inovasi kepada usahawan kecil dan sederhana dan syarikat swasta yang terlibat dalam industri asas tani. Usaha ini boleh dilaksanakan menerusi program seminar menggalakkan penggunaan teknologi MARDI, mengadakan pameran bergerak yang memberl fokus kepada teknologi baru, menubuhkan pusat maklumat teknologi di sebelas stesen utama dan merancang untuk mengadakan ladang contoh di beberapa stesen MARDI untuk dijalankan oleh industri kecil dan sederhana dan syarikat swasta.

Masa depan sektor pertanian bergantung kepada bidang pertumbuhan baru atau new growth areas yang mempunyai potensi untuk dimajukan. Beberapa bidang baru yang perlu diterokai ialah pembangunan pusat makanan halal, ekuin dan haiwan eksotik, minimally processed food dan produk-produk bioteknologi seperti kultur sel, pharmaceutical, nutraceutical, produk-produk herba dan makanan ternakan atau bahan tambahan makanan ternakan. Inisiatif-inisiatif baru perlu diambil olah jabatan dan agensi di bawah kementerian untuk bekerjasama dengan pihak swasta bagi menerokai bidang-bidang ini.

Produk-produk yang telah dikenal pasti boleh menyumbang kepada pencapaian lebihan imbangan dagangan ialah ikan dan produk ikan, daging dan produk, buah-buahan, binatang hidup, telur, kopi, teh dan rempah. Usaha penjenamaan Malaysla’s Best oleh FAMA harus diperbanyakkan lagi agar dapat memperluaskan lagi pemasaran pengeluaran pertanian di dalam dan luar negara.

Selain itu, untuk meningkatkan pengeluaran dan kecekapan pengeluaran, kementerian perlu merealisasikan pembangunan kawasan-kawasan pengeluaran berteraskan Cluster seperti Zon Pengeluaran Buah-buahan, Target Area Concentration, Zon Industri Akuakultur dan beberapa pendekatan seperti Projek Pertanian Moden dan Taman Kekal Pengeluaran Makanan. Kesemua ini bertujuan untuk membangunkan komoditi dan produk yang berteraskan Industrial Districts di mana pemasaran, pengeluaran, innovasi dapat dirancang dan diperlengkapkan dengan infrastruktur sokongannya.

Di samping itu sumber pembiayaan pinjaman perlu juga diberi perhatian supaya pihak swasta dapat menjayakan projek-projek pertanian dan industri asas tani. Selain itu, selaras dengan keutamaan kerajaan terhadap sektor pertanian dan industri asas tani, institut-institut pengaiian tinggi di negara perlu mengkaji semula pengajian dan kurikulum yang disediakan pada masa ini supaya dapat melahirkan graduan yang sesuai selaras dengan kehendak industri. Dalam hubungan ini, dicadangkan supaya Universiti Putra Malaysia meneliti semula pengajian dalam bidang pertanian yang disediakan supaya selari dengan permintaan pihak swasta dan organisasi awam.

Usaha juga perlu dipertingkatkan untuk menarik minat gologan muda untuk menceburi bidang pertanian sebagaimana mereka berminat menyertai sektor pembuatan clan perkhidmatan. Ini termasuk mendedahkan golongan muda kepada peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan sebagai kerjaya mereka. Program Tunas Mekar perlu diteliti untuk dilaksanakan dalam sektor pertanian secara besar-besaran.

Peranan Kerajaan Negeri untuk bersama dengan kementerian membawa arus perubahan yang baru kepada sektor pertanian adalah sangat penting. Pembangunan pertanian memerlukan tanah sama ada di darat atau laut dan perkara ini adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri. Misalnya, Jabatan Perikanan telah merancang untuk membangunkan Zon Industri Akuakultur dan kawasan-kawasan yang dikenal pasti adalah terletak di negeri-negeri. Kejayaan projek ini sangat bergantung kepada kelulusan Kerajaan Negeri dan syarat-syarat lain yang dikenakan kepada pengusaha-pengusaha yang akan memaju projek.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bersama jabatan dan agensi di bawahnya perlu merancang dan melaksanakan program dan projek untuk meningkatkan pengeluaran makanan dan memajukan kumpulan sasaran iaitu petani, penternak dan nelayan. Dalam hubungan ini, kumpulan sasaran terdapat di peringkat daerah, kampung dan mukim. Oleh yang demikian, nisbah pegawai dan bilangan petani harus dilihat semula supaya bilangan pegawai yang ditempatkan di peringkat negeri dan daerah adalah pada tahap yang bersesuaian dengan bilangan petani, penternak dan nelayan. Ketua-ketua jabatan dan agensi perlu melihat semula cara-cara pengagihan (decentralization) tenaga kerja di peringkat bawah supaya perkhidmatan yang lebih cekap dapat diberikan.

Selaras dengan perkembangan semasa, Kementerian dan beberapa Jabatan dan agensi perlu di susun semula dengan pertambahan jawatan. Memandang kepada tambahan skop, kementerian ini perlu mengkaji semula keupayaannya untuk melaksanakan pembangunan industri asas tani. Amatlah wajar sekiranya Bank Pertanian Malaysia dikorporatkan untuk membolehkan bank tersebut memperkemaskan keupayaannya menyedia perkhidmatan perbankan kepada golongan sasaran.

Kementerian juga perlu memperkukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan melalui pelaksanaan konsep Ministry of Agriculture Incorporated. Pendekatan ini bertujuan menggembeling seluruh pemikiran, tenaga dan sumber manusia daripada semua jabatan dan agensi kementerian bagi mengubah sektor pertanian menjadi lebih moden, dinamik dan berdaya saing. Melalui proses ini semua jabatan dan agensi kementerian adalah terlibat dalam memberi perkhidmatan secara bersepadu kepada golongan sasaran. Perkhidmatan yang dimaksudkan ialah khidmat nasihat teknikal, pembiayaan kredit, penyediaan infrastruktur, aspek-aspek pemasaran dan pengurusan pertanian moden.

Beberapa jawatankuasa perlu ditubuhkan untuk mengawasi secara hands-on pelaksanaan beberapa projek keutamaan seperti untuk mengawasi prestasi program dan projek yang disasarkan dan untuk menyelaras pelaksanaan projek Zon Industri Akuakultur dengan kerjasama Kerajaan-kerajaan Negeri. Kementerian juga perlu menubuhkan sebuah pasukan audit yang akan mengkaji semula semua projek yang dilaksanakan oJeh jabatan dan agensi dari segi keberkesanan projek berkenaan untuk menepati objektifnya dan membuat keputusan dari segi kedudukan pelaksanaan projek pada masa hadapan.

Kesimpulannya, potensi dan cabaran industri pertanian negara adalah berat memandangkan kepada persaingan global. Walau bagaimanapun, cabaran-cabaran ini menyediakan peluang-peluang baru yang boleh diambil kesempatan oleh swasta dan golongan sasaran. Bidang pertanian boleh dimajukan untuk menjana keuntungan dengan syarat dilaksanakan secara bersungguh-sungguh dan sepenuh masa dengan menumpukan perhatian kepada kehendak pelanggan. Kerajaan perlu menjadi pemudahcara penglibatan semua pihak di dalam sektor ini dan segala tindakan perlu diambil untuk maksud tersebut. Semangat kerjasama teamwork antara semua yang terlibat dapat memastikan pencapaian yang lebih cemerlang.

Punca Kepupusan Hidupan Flora Dan Fauna Di Malaysia

SMAHADZIR

JIKA dikaji secara mendalam, punca masalah kemusnahan flora dan fauna di Malaysia adalah manusia sendiri. Antara faktor-faktor yang menyumbang kepada masalah ini ialah:

1. Kemusnahan Dan Perubahan Habitat

Aktiviti pemusnahan manusia yang paling jelas ialah pembalakan dan penerokaan kawasan baru untuk pembangunan. Aktiviti-aktiviti ini akan memusnahkan sesuatu habitat dan spesies haiwan dalam sesuatu jangka masa tertentu. Penerokaan kawasan-kawasan hutan boleh memusnah atau mengecilkan habitat haiwan tertentu seperti harimau dan gajah yang memerlukan kawasan yang luas untuk aktiviti-aktiviti hidup. Kawasan hutan yang kecil akan mengurangkan kemampuan haiwan-haiwan ini mencari makanan dan juga mencari pasangan untuk tujuan pembiakan. Kematian dan pengurangan bilangan adalah kesan utama yang akan berlaku disebabkan masalah ini.

2. Pembakaran Hutan

Pembakaran hutan secara terbuka akan menyebabkan spesies-spesies flora dan fauna terancam yang ada di kawasan tersebut akan musnah. Lebih menyedihkan, kebakaran hutan yang besar dan tidak dapat dikawal akan memusnahkan sesuatu spesies haiwan selama-lamanya.

3. Pemburuan Haram

Pemburuan haram berlaku akibat permintaan tinggi daripada negara-negara seperti Amerika Syarikat, Britian dan Eropah terhadap haiwan-haiwan eksotik yang hanya terdapat di Malaysia. Dianggarkan hampir 200,000 spesies primat dijual untuk tujuan penyelidikan setiap tahun sehingga menyebabkan beberapa spesies haiwan tersebut hampir pupus kini.

4. Keperluan Barangan Berasaskan Haiwan

Pembunuhan terhadap harimau, memerang, paus, badak, dan gajah untuk tujuan mendapatkan kulit, gading dan bahagian-bahagian lain yang dikatakan memberi kekuatan kepada manusia terus berleluasa. Permintaan yang tinggi terutama dalam bidang perubatan Cina menyebabkan Harimau Malaya kini hanya tinggal jumlah yang sedikit sahaja.

5. Pencemaran Alam

Hidupan seperti ikan lumba-lumba dan paus pembunuh (killer wale) semakin pupus disebabkan pencemaran air terutama disebabkan oleh tumpahan minyak dan kegiatan manusia yang suka mengotorkan laut.

6. Perubahan Suhu Dunia

Fenomena El-Nino umpamanya menyebabkan peningkatan suhu dunia secara mendadak, menyebabkan ada sesetengah spesies haiwan dan tumbuhan terancam terutama yang tidak sesuai dengan cuaca panas.

Penjagaan Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama

SMAHADZIR

Masalah alam sekitar seperti pencemaran, penebangan hutan, pengurangan sumber bumi dan sebagainya telah lama mengakibatkan hilangnya keseimbangan kepada alam. Permasalahan ini sering menjadi perbincangan hangat setiap lapisan masyarakat dunia. Sesungguhnya krisis ini telah menjadi begitu parah sehingga setiap kerajaan di dunia berusaha mengambil tindakan bagi menanganinya.

Manusia telah diberikan akal fikiran oleh Allah SWT di mana ini meletakkan taraf manusia melebihi makhluk yang lain. Dengan akal fikiran itulah manusia membuat pertimbangan sebelum melakukan sesuatu tindakan. Selepas pertimbangan dibuat, barulah unsur nafsu digerakkan ke arah mencapai keinginan itu. Bagaimanapun, ada kalanya wujud ketidakharmonian antara unsur akal dan nafsu dalam jiwa manusia. Akibatnya, tindak-tanduk itu memberi kesan negatif kepada kesejahteraan hidup manusia sejagat. Maka, timbullah krisis seperti masalah pencemaran alam sekitar.

Alam sekitar juga anugerah Allah bagi memudahkan manusia hidup sebagai khalifah-Nya. Pada alam sekitar yang terbentang luas, tersedia sumber asli seperti hutan rimba menghijau yang mengimbangi ekosistem, lautan dalam yang menakung limpahan karbon untuk menyejukkan suhu bumi, sekali gus menjadi tempat membiaknya pelbagai hidupan akuatik. Di samping mengetahui manfaat alam sekitar, kewujudan dan konsep manusia perlu difahami setepatnya untuk kita lebih memahami konsep agama terhadap alam sekitar.

Hal ini penting kerana manusia adalah makhluk yang menjadi khalifah, mempunyai kedudukan khusus dan mulia dalam struktur alam ini. Hakikatnya, manusia antara komponen alam yang juga tergolong sebagai makhluk Allah. Manusia mempunyai peranan dan keistimewaan tersendiri berbanding komponen alam lain. Status manusia tinggi di sisi Allah jika diterasi dengan keimanan, melebihi kemuliaan malaikat. Manusia juga boleh menjadi lebih hina daripada haiwan jika jiwa dan fikirannya kosong iman.

Firman Allah SWT bermaksud: ‘Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu daripada (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) seperti Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakan.’ (surah al-Qasas, ayat 77)

Tidak salah untuk melaksanakan proses pembangunan. Bagaimanapun, ia perlu dilakukan dalam bentuk terkawal agar agenda pembangunan yang dijalankan lebih banyak memberi manfaat bukannya keburukan kepada manusia dan alam sekitarnya. Etika berkaitan penjagaan alam sekitar ada digariskan dalam Islam. Contohnya, ketika peperangan, Nabi Muhammad SAW melarang umatnya memotong pokok atau membakar tanaman kecuali keadaan benar-benar memaksa supaya berbuat demikian. Malangnya, kemusnahan alam sekitar di beberapa kawasan di negara kita, adalah akibat kerakusan nafsu manusia.

Jika merosakkan alam sekitar, tentu sistem ekologi juga akan terjejas. Ia bukan saja akan menyebabkan kehilangan spesies alam dan fauna yang amat berharga, malah haiwan liar serta unggas turut diancam kepupusan. Di samping kesan ke atas ekologi, pembangunan yang tidak terkawal boleh memberi kesan terhadap topografi sesuatu tempat. Ramai antara kita tidak sedar bahawa kegiatan pembersihan hutan dan meratakan bukit, mengancam aliran sungai dan jalan raya, malah struktur bangunan di sesebuah kawasan. Bukit-bukau yang menjadi pasak kepada bumi seperti yang dijelaskan oleh Allah SWT dalam surah an-Naba’, ayat 7 tidak lagi berperanan untuk menstabilkan persekitarannya akibat proses meratakan kawasan.

Punca utama masalah ini adalah sifat rakus manusia yang mementingkan keuntungan wang ringgit. Mereka mengambil kesempatan atas platform yang didakwa sebagai pembangunan. Hal ini seperti firman Allah SWT bermaksud: ‘Telah nampak kerosakan di darat dan laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).’ (surah ar-Rum, ayat 41)

Dalam Islam, aspek akhlak meliputi semua perkara. Kita bukan saja disuruh berakhlak kepada Allah atau manusia, malah menjaga akhlak kepada haiwan, alam sekitar dan sebagainya. Contohnya, setiap haiwan itu ada hak yang perlu kita tunaikan, lebih-lebih lagi haiwan peliharaan. Begitu juga dengan alam sekitar. Kita tidak boleh rakus dalam usaha pembangunan, yang akhirnya bukan saja memusnahkan ekologi yang menjadi habitat kepada mahkluk lain, malah memudaratkan manusia.

Sebenarnya, segala hal yang berkaitan dengan pemuliharaan alam sekitar dan pelestariannya sangat berkait rapat dengan ilmu-ilmu Islam yang dasar. Ilmu-ilmu Islam dasar tersebut ialah kefahaman dan pendidikan alam sekitar serta kaitannya dengan ilmu usuluddin, etika, fikh, usul fikh (maqasid syariah) dan ilmu Al-Quran dan sunah. Ilmu usuluddin (ilmu tauhid) mempunyai hubungan yang erat dengan hal-hal yang berkaitan pemuliharaan alam sekitar serta semua elemen yang berada dalamnya, sama ada makhluk yang hidup atau mati, berakal atau sebaliknya.

Untuk membangunkan peradaban di muka bumi, ia telah dinyatakan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran, bermaksud: ‘Dia menciptakan kamu dari bumi (tanah) dan menjadikan pemakmurnya.’ (surah Hud: 61). Pengertian yang dapat difahami sebagai pemakmurnya di sini ialah manusia sebagai makhluk yang membangunkan bumi menerusi usaha-usaha seperti aktiviti pertanian, perindustrian, memperbaiki taraf hidup serta menghindarkan diri dan bumi daripada perkara-perkara yang boleh merosakkannya. Ilmu etika atau akhlak (tasawuf) adalah satu bidang ilmu yang sangat berkait rapat dengan alam sekitar.

Melakukan kebaikan terhadap alam sekitar yang menjadi elemen utama alam ini adalah sebahagian daripada tuntutan untuk menjadi hamba yang bertakwa dan diredhai Allah. Terdapat pelbagai perintah Allah supaya manusia memberi perhatian dan berbuat baik kepada alam sekitar berserta dengan seluruh unsur yang dikandungnya iaitu berbuat baik kepada sesama manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan, air, udara dan tanah. Berbeza dengan Barat yang menganggap bahawa antara punca menyebabkan berlakunya kemerosotan dan kerosakan alam sekitar ialah bertambahnya jumlah penduduk dunia dan permintaan terhadap sumber alam semakin meningkat, maka Al-Quran menyatakan bahawa nikmat Allah itu tidak dapat dihitung, sumber-sumber alam itu adalah sangat banyak dan subur.

Sebagai manusia yang berakal, kita perlu memahami bahawa segala usaha untuk memelihara atau membaik-pulih alam sekitar adalah sama halnya dengan usaha menjaga agama. Ini adalah kerana segala kemungkaran dan dosa mencemari dan memusnahkan alam sekitar sebenarnya mengganggu intipati hidup beragama kerana secara tidak langsung menodai kewujudan manusia di muka bumi ini. Perbuatan merosakkan alam sekitar adalah sama seperti menafikan sikap adil dan ehsan, sedangkan kedua-dua sikap ini merupakan perintah Allah yang perlu dilaksanakan.

Kita harus sedar dan insaf bahawa kepentingan alam sekitar menjangkaui keperluan estetika dan kebersihan fizikal semata-mata. Hakikatnya, keseimbangan alam sekitar memberi kesan ketara kepada keharmonian dan kesejahteraan hidup ke arah kemajuan negara. Tanpa hutan, maka tadahan hujan untuk bekalan air akan kurang dan tanpa udara yang bebas bahan cemar, kesihatan awam terganggu.

Jika kembali kepada ajaran pelbagai agama dan falsafah hidup, kita menemui asas kukuh peranan alam sekitar sebagai antara unsur terpenting dari segi ketuhanan dan kosmologi. Dalam apa juga agama, alam sekitar ditanggapi secara kudus dan tertib.

Perbuatan mencemar dan merosakkan alam sekitar juga menodai fungsi kekhalifahan yang telah dibebankan kepada manusia. Ini kerana bumi bukan milik manusia untuk dia berbuat sesuka hati tetapi bumi ini adalah milik Allah yang dipinjamkan kepada manusia yang kemudiannya dituntut untuk menjalankan segala perintah Allah di atasnya.

Kita harus insaf kerana kini pelbagai kerosakan telah melanda darat, pencemaran udara dan lautan. Ia adalah hasil daripada sikap dan tindak-tanduk kita sendiri yang cuai, pentingkan diri sendiri, rakus, tidak bertanggungjawab serta tidak bertimbangrasa terhadap alam sekitar. Kecuaian seperti ini amat bertentangan dengan kehendak apa juga agama, lebih-lebih lagi agama Islam. Islam sebagai cara hidup, menerangkan hakikat bahawa tiada pengasingan antara manusia, alam sekitar dan Allah.

Perkara ini telah diterangkan Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud: ‘Kepunyaan Allah SWT jualah apa-apa yang di langit dan di bumi, dan pengetahuan Allah maha meliputi segala sesuatu.’ (surah an-Nisa, ayat 126)

Rasulullah SAW juga bersabda, yang bermaksud: ‘Dunia ini hijau dan cantik, dan Tuhan telah melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan.’ (Hadis riwayat Muslim)

Ayat-ayat di atas jelas menunjukkan konsep yang harus dimiliki oleh umat manusia terhadap alam sekitar. Antaranya adalah peranan manusia sebagai khalifah atau wakil Allah di bumi. Ia adalah prinsip asas ajaran Islam. Manusia tidak sebebasnya memiliki semua khazanah di muka ini. Alam sekitar sekadar amanah Allah SWT kepada manusia dan kita berkewajiban mengurusnya dengan baik. Melakukan kerosakan dan kebinasaan kepada alam ini adalah tanda pengkhianatan terhadap amanah tersebut.

Alam sekitar turut berperanan sebagai kesatuan benda yang membuktikan kekuasaan Yang Maha Pencipta dan pembangkit kesedaran terhadap rasa dan jiwa ketuhanan. Dalam pengertiannya yang lebih utilitarian, alam sekitar juga petunjuk bagi memudahkan manusia menempuh ranjau kehidupan. Bintang, bulan dan matahari, misalnya, menjadi penunjuk arah dan waktu untuk mengingatkan manusia fitrah kewujudannya di dunia ini.

Alam sekitar juga buku ilmu pengetahuan yang sangat bermanfaat. Menerusi pengetahuan dan kajian mengenai alam sekitar, kita mengetahui dan memanfaatkan ilmu zoologi, botani, mikrobiologi, bioteknologi, fizik, kimia, geologi, geografi, kosmologi dan hidrologi. Dengan menekuni dan mendalami bidang ilmu berkaitan alam sekitar, jiwa dan fikiran manusia lebih dekat dan mesra kepada Yang Maha Pencipta. Inilah objektif dan gagasan sains dari perspektif Islam seperti yang dikemukakan ramai sarjana Islam.

Ingatlah, Allah SWT mencipta alam ini dengan segala keindahan dan kenikmatannya demi kebaikan dan faedah kepada manusia itu sendiri. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab manusia untuk sentiasa memelihara kelestarian alam sekitar, supaya ia dapat dimanfaatkan secara berterusan. Bahkan dalam ungkapan orang tua-tua Melayu turut dikatakan: ‘Kalau hidup hendak selamat, peliharalah laut beserta selat, peliharalah tanah berhutan lebat, di situ terkandung rezeki dan rahmat, di situ terkandung tamsil ibarat, di situ terkandung aneka nikmat, di situ terkandung beragam manfaat, di situ terkandung petua adat.’

Sebab itu juga dikatakan, ‘adat hidup memegang adat’: ‘beramu tidak merosak kayu, berotan tidak merosak hutan, bergetah tidak merosak rimba, berumah tidak merosak tanah, berkebun tidak merosak dusun, berkampung tidak merosak gunung, berladang tidak merosak padang.

Kesimpulannya, menjaga alam sekitar ini bukanlah menjadi tugas individu atau kerajaan semata tetapi menjadi tanggungjawab kita semua secara bersama. Semua makhluk yang bernama manusia, tidak kira apa bangsa dan agama harus bertanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar agar dapat merealisasikan dunia ini menjadi sebuah taman kehidupan yang indah, aman, sejahtera, harmoni dan terhindar dari sebarang bencana yang boleh menghancurkan spesies kehidupan bernyawa di atasnya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA