Isnin, 16 Ogos 2010

Merdeka Menurut Kacamata Islam

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

SEBENARNYA, kemerdekaan melalui proses yang panjang dan penuh ranjau. Kita sudah sekian lama diinterpretasikan bahawa kemerdekaan dicapai tanpa pertumpahan darah tetapi melalui perundingan yang dilakukan dengan mudah. Ini menyebabkan, kita memahami bahawa ia bukan sesuatu yang melibatkan pengorbanan jauh sekali menuntut pengiktirafan. Kesannya, generasi pasca merdeka tidak memahami kesukaran yang dihadapi oleh para pejuang kemerdekaan. Malah, tidak mengetahui terdapat elemen penting yang membawa kepada kemerdekaan Tanah Melayu.

Gerakan menyedarkan orang Melayu bermula pada tahun 1906 dengan penerbitan akhbar al-Imam oleh Syed Syeikh al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin dan Abbas Mohd Taha. Ini adalah pendekatan berkesan untuk membangkitkan kesedaran orang Melayu pada waktu itu. Institut madrasah turut memainkan peranan penting terutama kaum muda yang menerima pendedahan pendidikan dari Asia Barat. Bagaimanapun, proses menimbulkan kesedaran berjalan agak perlahan dan mengambil masa yang panjang. Tidak mungkin masyarakat Melayu akan merdeka sekiranya tidak ditanamkan dengan unsur kesedaran.

Bagi generasi muda yang melihat perundingan bukan satu pengorbanan, mereka sukar menghayati semangat kemerdekaan. Pada tafsiran mereka, hari kebangsaan adalah hari yang perlu diraikan dengan gembira dan berpesta. Sekiranya masyarakat memahami begitu banyak darah dan air mata yang ditumpahkan, sudah pasti penghayatan erti kemerdekaan jauh berbeza.

Bagi menghayati semangat para pejuang kemerdekaan, masyarakat perlu kembali memahami sejarah. Bangsa yang tidak dapat menghayati sejarah akan diancam kepupusan jati diri. Dalam konteks negara kita hari ini, pengajian sejarah di sekolah-sekolah perlu diperkasakan dan bukannya sebagai subjek yang membosankan. Generasi muda perlu difahamkan tentang kepentingan sejarah.

Sebagai warga negara yang mempunyai semangat patriotisme yang tinggi, sewajarnya kita sering membelek-belek lembaran sejarah bagi mengetahui latar belakang pergerakan kemerdekaan negara, yang merangkumi motivasinya, pasang surut dan pasang naiknya perjuangan tersebut, pengorbanan para pejuang dan pahlawan dalam mencapainya, sejak bermulanya usaha ke arah itu hingga kepada pengisytiharan kemerdekaan yang dilaungkan oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, terus ke masa penyusunan negara hinggalah kepada pembangunan yang telah dicapai sekarang ini.

Sejarah sudah mencatatkan bahawa latar belakang kebangkitan perjuangan menuntut kemerdekaan Tanah Melayu pada zaman penjajahan dahulu adalah didorong oleh dua unsur kekuatan yang saling berkaitan antara satu dengan yang lainnya, iaitu kekuatan nasionalisme dan patritotisme serta kekuatan semangat dan ajaran Islam. Sudah menjadi naluri setiap bangsa untuk mempunyai rasa kebanggaan nasional dan kehormatan bangsanya, iaitu tidak mahu bangsanya diperhamba oleh bangsa lain, tetapi ingin duduk setaraf dengan bangsa-bangsa yang ada di dunia ini. Cinta kepada tanah air termasuk sebahagian daripada ajaran Islam, sebagaimana yang sering diungkapkan para hukama: ‘Cinta kepada tanah air adalah sebahagian daripada iman.’

Manakala dorongan semangat dan ajaran Islam jelas kelihatan dalam riwayat perjuangan datuk nenek kita, mereka berjuang bukan saja kerana hendak membebaskan bangsa Melayu dari kongkongan penjajah kuffar, yang datang ke negeri ini dengan membawa bersama misi keagamaan mereka, tetapi juga adalah untuk mempertahankan kesucian agama Islam. Perjuangan kemerdekaan yang dijiwai oleh semangat ajaran Islam itu dilakukan secara silih berganti daripada generasi ke generasi, yang bermuara pada tertubuhnya UMNO pada tahun 1946, sebagai sebuah organisasi besar yang menghimpun beberapa kesatuan Melayu di negara ini, semangat dan perjuangan UMNO dijiwai oleh semangat ajaran Islam.

Dipaparkan perkara ini tidak ada maksud sehujung rambut pun untuk memperkecilkan usaha perjuangan yang dilaksanakan oleh orang perseorangan atau pertubuhan-pertubuhan lain, atau perjuangan yang dilaksanakan atas dasar dorongan nasionalisme dan patriotisme, kerana nasionalisme dan patriotisme tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

Adapun yang kita ingini ialah wujudnya keseimbangnan penilaian dalam sejarah, bahawa kedua-dua unsur ini pada hakikatnya adalah satu, perbezaan nama dan sebutan itu hanya disebabkan oleh perkara yang ditonjolkan dalam pergerakan tersebut. Selain itu tulisan ini juga tidak bermaksud untuk mengecilkan usaha yang dilakukan oleh kaum dan agama lain dalam perjuangan merebut kemerdekaan. Namun perlu diakui bahawa keikutsertaan mereka dalam perjuangan boleh dikatakan apabila jalan ke arah itu sudah mulai terbuka.

Setiap perjuangan yang didorong oleh semangat roh Islam, pada umumnya sentiasa mendapat pertolongan Allah s.w.t atau Nashrun Minallah, yang adakalanya pertolongan itu datang tanpa disangka-sangka dan tidak dapat dicapai oleh perhitungan manusiawi. Dari sudut ini kita melihat bahawa kemerdekaan Malaysia yang dicapai pada tanggal 31 Ogos 1957, yakni 50 tahun yang lalu adalah atas izin dan restu Yang Maha Kuasa, yang membulatkan tekad pemimpin Melayu untuk sudi berkongsi kuasa dengan kaum lain untuk menuntut hak dari pihak penjajah. Bahkan restu dan pertolongan-Nya jugalah yang akhirnya meletakkan Negeri Melayu ini setaraf dengan negara-negara merdeka lain di dunia ini.

Bertitik tolak dari alam pemikiran yang diungkapkan di atas, maka setiap Muslim bahkan seluruh rakyat Malaysia amnya, akan menyedari sepenuhnya, bahawa kemerdekaan yang dicapai oleh Malaysia adalah rahmat dan kurnia Allah Yang Maha Kuasa, dan sentiasa berharap agar kemerdekaan yang diraih dengan harta, darah dan nyawa ini diberkati-Nya sentiasa.

Kini telah 50 tahun Malaysia hidup dalam alam merdeka, dan banyak atau sedikitnya rakyat Malaysia telah merasakan betapa nikmatnya kemerdekaan itu. Terutama bagi orang-orang yang pernah merasakan betapa pahit dan getinya hidup di bawah kuasa penjajah. Kemerdekaan yang diraih oleh sesebuah negara bermakna bahawa rakyat negara tersebut telah berhak sepenuhnya untuk mengatur, menyusun, menetapkan perlembagaan, merangka undang-undang dan akta serta pemerintahan negara tersebut. Semuanya ini adalah selonggok tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan baik. Pelaksanaan tanggungjawab ini bukan hanya teletak di bahu orang yang memegang tampuk pemerintahan, tetapi ianya terletak di atas bahu semua warganegara.

Lima puluh tahun tidaklah termasuk usia yang sudah boleh dikatakan lama bagi sebuah kemerdekaan, kerana hasil perjuangan sesuatu bangsa itu adakalanya memakan masa yang panjang hingga berabad atau berkurun. Namun sebagai sebuah negara yang dipimpin oleh pemimpin-pemimpin yang progresif, berwawasan dan kharismatik, Malaysia sudah mampu membangun infrastruktur dan prasarana untuk kemudahan rakyat, Malaysia telah mampu meningkatkan perekonomian rakyat, dan telah mampu melahirkan cendekiawan, ilmuwan ratusan pakar dalam bidang masing-masing, bahkan Malaysia telah tampil ke permukaan, telah mampu duduk sama rendah dan tegak sama tinggi dengan negara-negara yang lebih dahulu merdeka daripada kita.

Bahkan mahu atau tidak Malaysia telah dipandang sebagai syurga oleh orang-orang yang memerlukan pekerjaan di rantau ini. Semuanya ini adalah berkat kegigihan pemimpin dan rakyat negara ini di samping kurnia Ilahi yang tidak ada seorang jua pun boleh menafikannya, kecuali orang-orang yang tidak waras atau orang-orang yang tidak mampu melihat kebaikan yang ada ini dengan mata hati mereka.

Kemerdekaan bukanlah kebebasan yang tiada sempadan, bukanlah bermakna bahawa seseorang itu boleh melakukan sesuka hatinya tanpa mempedulikan hak dan kepentingan orang lain. Meraikan kemerdekaan bukanlah dengan menunggu countdown pukul 12 tengah malam, 31 Ogos setiap tahun yang selanjutnya diiringi dengan sorak-sorai. Menyambut ulang tahun kemerdekaan bukan dengan meningkatkan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan sehingga meningkat pula gejala keruntuhan moral di kalangan generasi harapan bangsa. Memperingati Hari Ulang Tahun Kemerdekaan adalah dengan mengenang kembali jasa pejuang dan pahlawan yang telah membasahi bumi ini dengan darah dan air mata mereka. Menyambut Hari Ulang Tahun Kemerdekaan adalah dengan meningkatkan kesyukuran kepada Ilahi yang telah mengurniakan kemerdekaan itu.

Kemerdekaan yang telah dicapai ini akan semakin bermakna dan berdaya apabila rakyat negara ini bersama-sama mengisinya dengan pelbagai kegiatan yang bermanfaat sesuai dengan kemahiran dan kepakaran masing-masing. Kemerdekaan yang telah diraih ini akan semakin indah apabila rakyatnya bersatu padu, menyelesaikan segala masalah yang timbul dengan mesyuarat dan perbincangan yang penuh ukhuwwah Islamiyah.

Mungkin ramai warga negara kita yang tidak mengetahui erti kemerdekaan yang sebenarnya. Makna merdeka secara ringkas difahami oleh kebanyakkan rakyat Malaysia adalah sebuah negara yang bebas dari cengkaman penjajah. Di dalam konteks ini, kita sedari bahawa negara Malaysia sememangnya bebas dari penjajah tetapi kita lupa bahawa sedikit demi sedikit minda kita ditarah serta dihakis dari menjiwainya. Keaslian dan ketulenan kemerdekaan serta pengorbanan yang dilakukan oleh pemimpin juga perwira negara dahulu dicemarkan oleh minda yang lupa asal-usulnya.

Minda yang dikatakan merdeka adalah minda yang bersih dari segala jajahan penyaluran informasi baik dari segi ikutan, budaya dan sosialnya. Kita mempunyai sejarah yang perlu diingati dan dipelajari dari masa ke semasa supaya kita tidak dijajah semula. Generasi sekarang perlu pandai menjana minda untuk menghadapi cabaran yang ada pada masa ini kerana pelbagai rasa bertentangan dengan budaya kita sedang berlaku. Profesor Diraja, Ungku Aziz masih mempertikaikan makna kemerdekaan yang belum dapat dicerap sepenuhnya oleh rakyat Malaysia. Malah, inilah yang menjadi keluhan seluruh kepimpinan negara, termasuklah rakyat yang memiliki daya minda berkualiti. Penilaian tentang kemerdekaan sebenarnya sangat kabur lantaran bahana imperialisme dan penjajahan dalam bentuk soft imperialism masih berlaku.

Penjajahan oleh kuasa-kuasa Barat bermula abad ke-15 dan 16 Masihi. Pedagang Eropah yang berorientasikan God, Gold, dan Glory (3G) mula mendendangkan imperialisme mereka. God membawa maksud penyebaran agama Kristian, Gold pula menghimpun kekayaan dari pelbagai ceruk dan Glory adalah kehebatan sesebuah kuasa melalui empayar jajahannya yang luas. Abad 18 dan 19 menjadi saksi pertembungan antara negara-negara penjajah meliputi British, Belanda, Perancis, Jerman, Portugal, Itali, dan sebagainya. Apatah lagi revolusi perindustrian yang berlaku pada abad ke-19 melihatkan Britain telah mengalami kemerosotan sumber bijih timah di Cornwall manakala getah merupakan bahan terpenting dalam industri automobil yang sedang berkembang.

British dengan gagasan Pax-Britannica bercita-cita besar untuk menerjah setiap inci ruang bumi. Malah, dengan idea ini, bekas tokoh pelajar Persatuan Mahasiswa Islam, Universiti Malaya (PMIUM), yang kini bertugas sebagai Timbalan Dekan Fakulti Sastera Dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Prof. Dr. Mohammad Redzuan Othman menjelaskan bahawa British tersohor dengan ungkapan ini: The sun is never set in the British empire (matahari tidak pernah terbenam di Empayar British).

Malah, Barat yang kononnya cuba memberikan tamadun dan melakukan pencerahan di dunia sebelah Timur daripada sebarang kemunduran dan kekolotan telah melakukan propaganda yang licik. Mereka tidak henti-henti mendendangkan tugas berat mereka itu kononnya dengan istilah The White Man Burden (Beban Orang Putih). 

Di Malaysia, rakyat telah bangkit untuk menentang penjajahan. Tok Janggut di Kelantan, Mat Kilau dan Tok Gajah serta Dato’ Bahaman di Pahang, Mat Saleh di Sabah, Rentap di Sarawak, Abdul Rahman Limbong dan gurunya Tokku Paloh di Terengganu, dan sebagainya bangkit menyatukan rakyat menentang penjajahan. Penentangan berdarah ini telah memberikan satu tamparan yang hebat kepada pihak penjajah yang tidak menyangka kekuatan yang dimiliki oleh rakyat di bawah jajahan mereka. Apatah lagi satu kajian menunjukkan sebenarnya penentangan itu merupakan satu jihad yang mendapat perintah daripada Khilafah Islamiyah yang ketika itu bertapak di Turkey.

Menurut Dr. A. Hamid Majid al-Quwaisi dalam mendefinisikan gerakan: ‘Aliran sosial yang merakyat; bertolak dari kesedaran khusus terhadap Islam sebagai suatu wawasan dakwah yang bergerak untuk merealisasi ajarannya dalam bentuk negara dan sistem politik khususnya - sekurang-kurangnya dalam peringkat awal, melalui beberapa tatacara dan wahana yang sah dari perspektif Islam.’

Fathi Yakan menambah bahawa gerakan itu mestilah memiliki wawasan Islam global, komprehensif, ilmiah, dan bersifat intelektual. Gerakan juga mesti memiliki keupayaan keimanan dan pengetahuan yang tinggi, daya untuk berkembang dan berdaya maju, memiliki kualiti produktiviti yang tinggi, dan lain-lain.

Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan kepimpinan Tanah Melayu ketika itu telah mengambil inisiatif yang agak berlainan dengan cara pemberontakan secara terang-terangan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan. Mereka menggunakan jalan perundingan yang mana akhirnya telah membuka kunci kemerdekaan yang dikehendaki oleh rakyat yang menderita ketika itu.

Namun sebagaimana yang dipaparkan, berkenaan dengan perancangan-perancangan sulit musuh, maka timbullah beberapa persoalan. Antaranya ialah, kenapakah kemerdekaan diberikan melalui perundingan? Adakah ketika itu penjajah sudah mula menggeruni pejuang kemerdekaan dan untuk mengelakkan malu, mereka terus mengalah secara terhormat? Bagaimana pula dengan tujuan pendidikan yang diperkenalkan penjajah yang bertujuan to combine the diffusion of general knowledge with the promotion of Christianity. Malah, misinya bukan untuk mengkristiankan anak-anak Melayu sebaliknya rather of inculting in them the tenest of Christianity dengan harapan supaya mereka akan menganut Kristian pada masa akan datang.

Masih bolehkah kita mengganggap 31 Ogos sebagai tarikh keramat sedangkan masih ramai anak muda yang rendah daya minda, beku intelektual dan longlai gerak langkah. Barat telah melahirkan ramai sarjana yang memiliki ufuk cendekiawan dan inteligensia yang berkualiti namun kita masih lagi meraba-raba dalam gelap kejahilan. Kabus akhlak kian terhakis dan motivasi keimanan semakin tercabut dari nilai kemanusiaan. Barat meneruskan penjajahan dan imperialisme mereka sehingga ke luar angkasa.

Kemajuan mereka berkembang pantas sehingga menampakkan kebejatan dan kelemahan umat Islam. Barat meskipun tidak dinafikan kebanyakan remaja mereka tenggelam kelemasan dalam dunia hiburan namun mereka juga tenggelam dalam keasyikan mengejar ilmu. Sedangkan kita di dunia Islam pula tenggelam kelemasan dalam hiburan tetapi tidak menguasai ilmu sebagaimana Barat.

Yang paling penting sekarang ialah kita perlu memahami apakah makna sebenarnya perkataan merdeka? Negara merdeka bermakna negara telah mendapat kebebasan dari penjajahan bangsa asing dan mendapat kedaulatan atau pengiktirafan sebagai sebuah negara yang ditadbir oleh rakyat negara itu sendiri (dalam konsep sesebuah negara merdeka). Manakala dalam konsep kemanusiaan, merdeka bermaksud fikiran yang ‘bebas’ dari sebarang penjajahan luar. Tetapi sekarang adakah kita benar-benar merdeka? Inilah persoalan yang timbul pada masa globalisasi dunia kerana pengertian merdeka adalah terlalu besar yang meliputi semua aspek dalam diri seseorang dan setiap individu mempunyai persepsi sendiri berkaitan dengan maksud kemerdekaan tersebut.

Sambutan hari kebangsaan kita ini juga sering dicemari oleh perbuatan segelintir warga yang tidak bertanggungjawab. Mereka begitu sinonim dengan konsep open minded yang juga merupakan salah satu faktor kemerdekaan pada hal inilah konsep yang cuba diterapkan oleh pemikir Barat untuk menghancurkan konsep keagamaan dalam diri seseorang manusia iaitu konsep takdir. Tumpuan utama populasi konsep ini bukan sahaja kepada orang Islam malah agama lain yang juga turut mengalami permasalahan yang sama. Konsep kebebasan pemikiran ini termasuk nilai diri, penampilan, pemakaian, cara hidup dan sebagainya adalah kebebasan berfikir tanpa had dan dinilai oleh logik akal yang akan menentukan kebaikan dan keburukan. Inilah konsep sebenar open minded atau dalam bahasa Melayunya kebebasan berfikir.

Tetapi kita perlu ingat dan mengkaji bahawa konsep kemerdekaan dan open minded ini telah diambil daripada konsep Islam, dari satu peristiwa yang patut kita selami sepenuhnya iaitu ‘HIJRAH’ Rasullullah s.a.w dan para sahabat yang memperjuangkan kemerdekaan keagamaan dan perpindahan fikiran kepada dunia yang lebih luas dan terbuka. Begitu juga konsep globalisasi yang telah wujud sejak dulu lagi dan hanya dapat dilihat setelah Islam menguasai 2/3 dunia beberapa konsep ketamadunan manusia seperti konsep Islam Hadhari atau Hadharah Islamiah. Konsep ketamadunan ini termasuk keilmuan, seni bina, seni muzik dan seumpananya telah diketengahkan oleh Islam di mata dunia yang juga merupakan globalisasi pada masa itu dan tamadun lain cuba menghalang globalisasi ini dengan cara peperangan.

Kita sebagai warga yang merdeka perlu tahu bahawa kemerdekaan itu adalah untuk mendapatkan kebebasan berlandaskan Islam yang bukan kebebasan sepenuhnya. Kemerdekaan perlu dijaga dengan undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Tiap tindakan kita ada dosa dan pahala, ada baik dan buruknya, ada halal dan haramnya, juga diberikan balasan baik di dunia mahupun akhirat dan mestilah berlandaskan ketetapan Allah s.w.t dalam Al-Quran dan diterangkan dengan Sunnah Rasullullah s.a.w. Kita juga perlu faham bahawa agama lain juga menuntut ke arah keamanan dan kebaikan dan konsep berfikiran terbuka juga perlulah berlandaskan kepada suruhan agama masing-masing.

Yang jelasnya, segelintir generasi remaja dan belia kita hari ini pada dasarnya belum benar-benar faham konsep kemerdekaan sebenar. Mereka kebanyakannya berpendapat bahawa merdeka adalah bersamaan dengan ‘kebebasan mutlak’ dalam semua aspek kehidupan. Mereka perlu ditanan dengan pemahaman bahawa ‘merdeka’ bukan sahaja bebas dari penjajahan secara fizikal oleh ‘orang luar’ malah termasuk dari aspek pemikiran, kerohanian, fahaman dan pengaruh yang lebih berbentuk subjektif. Konsep kemerdekaan perlulah difahami sepenuhnya secara keseluruhan bukan hanya mengambil sebahagiannya sahaja.

Tidak ada kemerdekaan mutlak dalam kehidupan insan. Jika insan berjiwa hamba atau menghina diri sesama mereka, maka dia tidak akan lagi menjadi hamba yang sebenar kepada Allah, Tuhan segala ciptaan yang wujud. Jika insan benar-benar menjadi hamba yang penuh ikhlas akidahnya kepada Allah, maka dia akan berjaya membebaskan diri dari cengkaman perhambaan sesama makhluk. Dalam erti kata lain, jika insan benar-benar tulus akidahnya, maka merdekalah dirinya dari kerendahan perasaan dan penghinaan jiwa terhadap selain Allah.

Begitulah sebaliknya. Tiada insan yang merdeka mutlak dalam hidupnya. Hingga mereka yang mendakwa tidak mempercayai Tuhan dan bebas dari sebarang peraturan manusia pun, mereka tetap menjadi hamba nafsu dan pemikiran sesat yang akhirnya merobohkan nilai keinsanan mereka yang sebenar. Lihatlah apa yang berlaku kepada penganut ajaran dan blok komunis. Akhirnya Lenin dan Karl Mark menjadi Tuhan baru dalam kehidupan mereka.

Firman Allah dalam surah al-Jathiyyah ayat 23 (maksudnya): ‘Maka tidakkah kamu lihat orang yang menjadikan hawa nafsunya tuhan (yang dipatuhinya), dan dia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahui (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan ditutupi pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (Wahai orang-orang yang ingkar) tidak insaf?’

Sebab itulah, apabila tentera Islam memasuki sesebuah negara maka itu tidak dinamakan dengan penaklukan atau penjajahan. Sebaliknya dipanggil al-Fath iaitu pembukaan seperti Fath al-Makkah yang bermaksud Pembukaan Mekah. Maka gerakan umat Islam pada zaman kegemilangannya apabila memasuki sesebuah wilayah dinamakan al-Futuhat al-Islamiyyah iaitu pembukaan-pembukaan Islami. Ini bermaksud kedatangan umat Islam kepada sesuatu wilayah atau negara bertujuan memberikan kemerdekaan jiwa dari penindasan, kehinaan, kekejaman kepada satu sistem yang adil, yang berteraskan akidah yang benar.

Jika hal itu tidak berlaku, maka bererti penaklukan atau penjajahan telah dilakukan. Ini menafikan tabiat Islam yang tulen, kerana Islam bukan agama yang diutuskan untuk menjajah orang lain, sebaliknya peranan umat ini adalah membebaskan kehidupan manusia keseluruhannya dari perhambaan sesama mereka, kepada mendaulatkan sistem Allah yang adil untuk semua. Inilah yang ditegaskan oleh Rib’i bin ‘Amir di hadapan angkatan tentera Parsi: ‘Allah yang membangkitkan kami agar kami mengeluarkan sesiapa yang dikehendaki-Nya dari pengabdian sesama hamba menuju pengabdian kepada Allah, dari kekejaman agama-agama kepada keadilan Islam, dari dunia yang sempit kepada keluasan dunia dan akhirat.’ *

Misi inilah yang cuba dilaksanakan oleh umat Islam pada zaman kegemilangannya. Maka apabila umat Islam menguasai dunia pada zaman tersebut mereka membina jiwa yang merdeka dan pembangunan tamadun untuk dikongsi oleh semua. Di bawah panji-panji Islam kaum Muslimin Arab telah berjaya membawa obor gemilang kepada manusia sejagat. Empayar Islam berkembang, bernaung di bawahnya manusia tanpa mengira bangsa dan agama, keadilan untuk semua. Tanyalah orang-orang Yahudi, bilakah penulisan ilmu mereka berkembang? Tidak lain hanyalah pada zaman mereka hidup di bawah kerajaan Islam di Baghdad.
Padahal sebelum itu mereka sentiasa ditindas oleh berbagai-bagai puak dan agama. 

Namun mereka bangsa yang melupai jasa. Tanyalah kepada agama-agama lain, pernahkah mereka diburu dan dibunuh secara kejam di bawah pentadbiran yang menjadikan Islam sebagai terasnya? Malangnya, umat Islam sentiasa mempunyai pengalaman diburu dan dibunuh secara rakus di bawah sistem kuasa yang mengambil agama selain Islam sebagai pegangan. Adapun umat Islam sesama mereka, tanpa mengira bangsa yang penting al-ukhuwah al-Islamiyyah iaitu persaudaraan Islam, mereka berkongsi ketamadunan yang agung. Sehinggakan lahirnya tokoh-tokoh besar yang bukan Arab ketika pemerintahan umat Islam berada di tangan yang berbangsa Arab.

Di dalam bidang hadis yang merupakan sumber agung Islam umpamanya; al-Imam al-Bukhari iaitu Abu Abdillah Muhammad bin Ismail (meninggal dunia 256H), pengarang Sahih al-Bukhari bukan seorang Arab. Beliau berasal dari Bukhara, Ukzbek. Al-Imam Abu Isa, Muhammad bin Saurah al-Tirmizi (meninggal dunia 297H), pengarang Sunan al-Tirmizi juga bukan seorang Arab.

Beliau berasal dari Tirmiz. Pengarang Sunan Abi Daud, Sulaiman bin al-Asy’ath al-Sajistan (meninggal dunia 275H) juga bukan seorang Arab. Berasal dari Sajastan. Demikian pengarang Sunan al-Nasai Ahmad bin ‘Ali bin Syu’aib al-Nasai (meninggal dunia 303H) juga bukan Arab. Berasal dari Nasa, salah satu negeri di Khurasan. Begitu juga pengarang Sunan Ibn Majah, Muhammad bin Yazid al-Qazwaini (meninggal dunia 279H), bukan Arab, berasal dari Qazwain. Adapun al-Imam Muslim bin al-Hajjaj (meninggal dunia 261H), pengarang Sahih Muslim, para pengkaji berbeza pendapat sama ada beliau seorang Arab atau tidak.

Ramai yang menyatakan beliau juga bukan seorang Arab. Walaupun mereka semua bukan Arab tetapi Islam menjadikan mereka tokoh-tokoh hadis umat, kedudukan yang begitu tinggi yang diiktiraf oleh Arab dan bukan Arab. Dalam politik, Salahuddin al-Ayubi (meninggal dunia 589H) juga bukan seorang Arab. Dia berbangsa Kurdi. Namun dia berjaya menjadi sultan yang disayangi Arab dan bukan Arab. Dia berjaya mentadbir kerajaan Islam pada zamannya sehingga berjaya mengembalikan al-Masjid al-Aqsa.

Namun apabila umat Islam gagal menunaikan misi ini, mereka menjadi umat yang amat hina. Bayangkan, bagaimana mungkin Belanda yang kecil boleh menyeberangi lautan yang luas lalu menjajah Indonesia yang besar? Begitu juga Portugis yang datang begitu jauh dengan beberapa buah kapal mampu menjajah Melaka. Demikian tentu lebih dahsyat halnya di negara-negara Arab. Satu umat yang pernah membina tamadun gemilang akhirnya bertukar menjadi bangsa yang dijajah dan melutut hina di hadapan penjajahan. Benarlah engkau Umar ibn al-Khattab, ungkapan keramatmu ketika pembukaan Masjid al-Aqsa: ‘Kita dahulunya adalah kaum yang hina, Allah telah memuliakan kita dengan Islam, andainya kita mencari kemuliaan selain dari apa yang telah Allah muliakan kita dengannya maka kita akan dihina oleh Allah.’ **

Namun dengan kurniaan Allah, penjajah kebanyakannya telah keluar dari bumi umat Islam. Itu pun setelah mereka merampas hasilnya dan memerah keringat dan darah umat ini. Mungkin kesan ajaran Islam, menyebabkan umat ini tidak dapat menerima kelangsungan penjajahan.

Firman Allah s.w.t dalam surah al-Nisa’ ayat: 75 maksudnya: ‘Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas dari kaum lelaki, perempuan dan kanak- kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: ‘Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri ini, yang penduduknya zalim, dan jadikanlah bagi kami dari pihak-Mu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan agama kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihak-Mu seorang pemimpin yang membela kami dari ancaman musuh.’ ***

Sama ada disebabkan kesedaran agama atau politik, kebangkitan menentang penjajahan berlaku hampir di seluruh negara yang dijajah. Namun, keluarnya penjajah dari sesebuah wilayah tidaklah bererti berakhirnya penjajahan dalam segenap aspek. Bangsa yang dijajah, jika gagal menegakkan identiti murni sendiri, mereka akan sangat terkesan dengan bangsa yang pernah menjajah mereka. Penjajah keluar meninggalkan tanah air, namun bangsa yang lemah selalu memandang tinggi dan ingin bersama bangsa yang lebih gagah dan hebat. Atau, manusia apabila tertindas, ada yang hanya memikirkan kepentingan diri, bukan umatnya.

Maka tidak hairan jika kita melihat ramai yang sanggup menjadi talibarut bagi setiap penjajah. Merekalah yang membawa misi dan polisi penjajahan. Sebab itu jika kita berjaya mempertahan identiti diri, kita akan merdeka sekalipun bumi terjajah. Dalam sejarah Islam, bangsa Mongol yang menjajah umat Islam bertukar menjadi Muslim. Walaupun ada kekurangannya, namun ia adalah lambang tidak tumpasnya umat yang dijajah sekalipun kekuatan ketenteraan gugur dan hancur. Dalam dunia tanpa sempadan, penjajahan tidak semestinya memerlukan tentera dan peralatan perang, sebaliknya kekuatan identiti dan propaganda. Demikian pemikiran Hollywood berjaya menjajah anak-anak muda kita. Dunia ini sebenarnya dalam banyak hal terus dijajah oleh propaganda Barat melalui media, kuasa ekonomi dan ketidakmerdekaan jiwa bangsa-bangsa lain.

Justeru bagi umat Islam, membina identiti Muslim dan jiwa yang merdeka adalah amat mustahak sebagai lambang kemerdekaan. Bukan kita tidak boleh mengambil manfaat dari Barat, namun identiti Islam mesti dipelihara. Saya amat bergembira apabila Tun Ahmad Fairuz mencadangkan supaya undang-undang Inggeris Common Law diganti dengan undang-undang yang berasal dari tanah air di sini serta yang sesuai dengan syariah. Hal ini disokong pula oleh Peguam Negara dan pimpinan kerajaan. Ini adalah perlambangan jiwa yang merdeka dan kembali kepada identiti asal. Namun hasrat itu mesti terus berkobar, bukan sekadar berita akhbar sahaja.

Kesimpulannya, makna kemerdekaan yang seperti ini perlulah sentiasa diterapkan. Sambutan kemerdekaan hendaklah tidak menenggelamkan makna kemerdekaan. Janganlah membiarkan generasi muda berkumpul dan melaung kemerdekaan bukan dengan jiwa yang merdeka, sekadar mengisi acara tanpa menghayati makna. Gaya dan cara mereka hendaklah melambangkan jiwa yang merdeka dari cengkaman penjajahan manusia kepada tauhid yang luhur. Kita amat tidak dapat menerima pelaksanaan perkara-perkara agama tanpa memahami dalil dan maknanya.

Tentu sekali kita juga tidak dapat menerima mereka yang menyambut kemerdekaan tetapi kontang dari segi penghayatan sebagai umat yang merdeka. Perhimpunan anak muda sempena kemerdekaan jika hanya untuk melihat hiburan di atas pentas semata-mata, tentu tidak mencapai matlamatnya. Sebaliknya, mereka hendaklah berhimpun bagi menggambar kecintaan yang jujur kepada negara yang telah memberikan perlindungan kepada rakyat, agama dan kehormatan diri. Bukan sekadar acara tahunan. Setelah memahami hakikat ini, maka laungkanlah Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Nota:

* Ibn al-Athir, al-Kamil fi al-Tarikh, 1/413.
** Riwayat ini sanadnya dinilai sahih oleh al-Hakim dan disokong oleh al-Zahabi, lihat: Al-Mustadrak, 1/237, Beirut: Dar al-Ma’rifah.
*** Kata al-Qurtubiy (meninggal dunia 671H): ‘Allah menggesa untuk berjihad bertujuan menyelamatkan golongan yang ditindas (Muslimin) oleh kuffar musyrikin yang menyeksa mereka dengan seburuk-buruk seksaan dan memfitnah agama mereka. Maka Allah s.w.t mewajibkan jihad untuk menegakkan kalimah-Nya, memenangkan agama-Nya dan menyelamatkan hamba-hamba-Nya yang lemah.’ (al-Qurtubiy, al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/279, Beirut: Dar al-Fikr).

Ketar Lutut

SMAHADZIR

"HUH, muka tak tau malu! Badan busuk macam sekerap ada hati nakkan anak dara aku!"

 Pagi hening dibebar cemuhan Munah Janda. Pelanggan Kedai Kopi Pak Coh tersentak. Masing-masing menunak mata ke arah Munah Janda yang sudah seperti orang gila di luar kedai.

 "Cermin sikit muka hang tu, Junuh! Muka macam tepung gomak, tak ingin aku nak bermenantukan penoreh getah macam hang, tau takkkkkkkkkkkkk!!"

Semua yang ada di Kedai Kopi Pak Coh di kepala simpang Kampung Tanjung Setoi itu menikus. Tiada siapapun berani bersuara. Junuh di satu sudut tunduk membungkam. Mukanya merah padam, cawan kopi O depan mata direnung penuh pedih. Rasa malu bukan kepalang.

            "Anak aku Si Leha tu hanya padan dan layak dengan pegawai saja. Bukan orang macam hang! Tuiiiihhhhh!!"

            Seketul kahak kuning pekat terloncat keluar bersama ludah di hujung penghinaan terakhir Munah Janda sebelum meninggalkan hening berjenak-jenak ruang Kedai Kopi Pak Coh. Kampung Tanjung Setoi pagi itu jadi heboh dengan kejadian tersebut. Ada yang bertindak-geleng, ada yang mendecit-decit dan boleh dikatakan semua warga kampung kurang setuju dengan tindakan janda tersebut.

Walaupun Junuh memang seorang penoreh getah, tetapi penghinaan begitu tidak sepatutnya terluah lebih-lebih lagi di depan khalayak.

            “Munah Janda tu memang dah melampau sungguh!” runut Pak Coh sewaktu bercerita tentang peristiwa tersebut kepada Lebai Senapi suatu hari. "Kalau dah tak suka Si Junuh tu, jangan sampai maki-hamun dia di kedai aku. Aku turut tumpang malu. Bergantang biji mata tengok kejadian tu. Dua tiga pelanggan aku tak jadi nak beli kuih yang aku jual kerana depa malu dengan maki-hamun yang janda tu luahkan!"

Lebai Senapi sekadar mengeluh panjang. Tidak mampu membuat sebarang komen. Dia tahu benar perangai Munah Janda yang memang lantang dan celupar sikit mulutnya dan dia juga tahu tentang Junuh. Sudah lama Junuh tergila-gilakan Leha. Itu bukan satu kesalahan besar. Adat muda memang begitulah.

Setahunya, Junuh telah masuk meminang secara beradat tetapi ditolak oleh Munah Janda. Dia menyangkakan peristiwa tersebut tamat di situ saja. Tidak sangka pula marah janda itu masih membengkak dengan pinangan yang dilakukan oleh Junuh sampai sanggup memalukan pemuda itu di kedai kopi pula.

Perbualan yang mahu dilanjutkan jadi terbantut kerana Munah Janda tiba-tiba sahaja sudah berada di depan kedai. Pak Coh tersengih-sengih seraya bangun lalu menghilang di bahagian dapur.

“Ha, di sini rupanya Pak Lebai!” ujar Munah Janda tatkala melihat Lebai Senapi. "Aku ke rumah Lebai tadi tapi bini Lebai kata Lebai ke kedai. Jadi, akupun terus ke mari!"

            “Apa halnya cari aku?” tanya Lebai Senapi.

            "Aku nak jemput Lebai datang ke rumah lepas maghrib malam ni! Nak buat kenduri kesyukuran sikit!" jelas Munah Janda sambil tersengih. Sentil tembakau kasi di mulutnya dikunyah-kunyah.

            “Eh, aku tak dijemput sama ka?” Pak Coh tiba-tiba bersuara. Bungkus mi goreng permintaan Lebai Senapi diletakkan di atas meja.

            "Ha, kaupun mailah! Aku memang nak jemput semua orang kampung. Kenduri ni tanda syukur sebab cita-cita aku nak bermenantukan seorang pegawai dah dimakbulkan Tuhan..."

            “Maksud kau, Leha tu dah dipinang orang?” Lebai Senapi sedikit terbeliak.

Munah Janda tersengih lebar. "Dah Lebai! Seorang pegawai dari Sungai Petani. Besaq pangkatnya. Huh, baru padan muka Junuh tu! Dia sangka aku sukakan dia. Mentang-mentang aku selalu panggil dia mai ke rumah tolong tebas semak-samun belakang rumah, dia sangka aku nak jadikan dia menantu! Dasar budak tak tau malu!"

            "Sudahlah Munah! Tak usahlah hang dok hina Junuh tu. Dah hang tak suka, diam sudahlah. Buat apa nak hina dia lagi!" Lebai Senapi seolah-olah kurang senang.

            "Aku bukan hina dia Lebai! Tapi, aku nak bagi dia sedar. Cermin dulu mukanya sebelum nak pinang anak dara orang!" dengus Munah Janda seraya mencebek. Bibirnya yang memang tebal sejak azali itu terjuih-juih hodoh.

            Lebai Senapi dan Pak Coh diam tidak bersuara. Masing-masing tak kuasa lagi nak layan janda separuh umur yang angkuh dan bongkak itu. Sejurus selepas Munah Janda menghilang, Lebai Senapi turut meninggalkan pekarangan kedai Pak Coh.

            Begitulah peristiwa yang berlaku beberapa bulan lalu. Sekarang Leha sudahpun menjadi isteri seorang pegawai bernama Leman.

 Munah Janda semakin sibuk mencanang pangkat besar yang dimilikinya. Semua orang Kampung Tanjung Setoi seolah-olah terpukau dengan cerita Munah Janda lebih-lebih lagi apabila mereka melihat Leman sering sahaja berpakaian kemas, berjenama mahal dengan dasi tersemat di dada dan beg hitam tidak pernah lekang dari tangan. Pakaiannya pelbagai corak dan warna, sering pula singgah di Kedai Kopi Pak Coh untuk menjamu selera selepas pulang kerja.

            Walaupun rata-rata warga kampung kurang senang dengan sikap Munah Janda tetapi mereka amat senang pula dengan sikap ramah dan mesra yang ditunjukkan oleh Leman. Menantu Munah Janda ini tidak suka bermegah-megah malah selalu pula merendah diri.

            "Kerja saya biasa saja, Pak Coh! Sekadar pegawai kecik di Sungai Petani!" berkata mesra dan lunak sewaktu disoal oleh Pak Coh suatu hari.

            "Janganlah merendah diri sangat, Leman! Dari gaya kau, kami semua tau yang kau ni pegawai besar!" balas Pak Coh.

            Leman tersengih. "Janganlah memuji tinggi-tinggi sangat, Pak Coh! Saya takut nanti jadi riyak pula!" katanya bersahaja.

            Namun begitu, orang-orang Kampung Tanjung Setoi sedikit rambut kerana Leman tidak mempunyai kereta. Setahu mereka, jika seseorang itu bergelar pegawai pasti mempunyai kereta sekurang-kurangnya Kancil. Apa yang mereka lihat ialah, setiap pagi sebuah van Rusa akan datang mengambil Leman untuk ke tempat kerja. Di dalam van tersebut terdapat beberapa orang lagi lelaki yang berpakaian kemas. Masing-masing bertali leher.

"Menantu aku tu tak suka bermegah-megah dengan kereta. Dia lebih suka tumpang kawannya ke tempat kerja. Lebih jimat belanja dan masa!" jelas Munah Janda kala disoal oleh Sepiah jirannya.

            “Baguslah kalau ada niat baik macam tu!” Sepiah menyokong. “Duit gaji boleh simpan untuk anak isteri.”

            "Memang menantu aku tu begitu, Sepiah oi! Duit gajinya semua diserahkan kat Leha. Sayang sungguh dia pada isterinya!" balas Munah Janda. Seperti selalu sentil tembakau tidak pernah lekang dari bibir. Gigi hitamnya terserlah kalau sentil tembakau itu digonyoh-gonyoh dengan hujung jari.

 

* * *

 

Pak Coh sedikit terperanjat apabila Junuh tercegat depan kedainya seraya memesan dua cawan kopi O. Wajahnya ceria dengan kotak rokok Kretek Kediri Gudang Garam dalam poket depan baju. Di sisinya, Harun seorang pemuda berpakaian kemas. Di sebuah kerusi panjang mengarah ke jalan besar mereka melabuhkan punggung masing-masing.

“Amboi… seronok sungguh jumpa hang hari ni, Junuh!” tegur Pak Coh sambil meletakkan dua cawan kopi O di depan Junuh dan Harun. “Lama tak mai, ke mana hang pi selama ni?”

            "Nak pi mana pula Pak Coh? Kan Kampung Tanjung Setoi ni kampung saya. Ke mana lagi saya nak pi!" balas Junuh bersahaja. Cawan kopi dibawa ke mulut. Air yang masih berasap di dalamnya dihirup sopan dan berhati-hati. Harun turut menghirup kopi yang terhidang.

            "Habis tu, lama sangat hang tak mai ke sini. Aku ingat hang dah pi luar negeri!" seloroh Pak Coh.

            "Mengarutlah Pak Coh ni! Penoreh getah macam saya ni mana mampu nak pi luar negeri. Lainlah kalau saya ni pegawai besar macam Leman tu!"

            Pak Coh tidak meneruskan perbualan kerana Setopa, Keria dan Salleh tiba-tiba sahaja masuk ke kedainya. Masing-masing memesan minuman. Sewaktu melihat Junuh, Setopa mengajak rakan-rakannya yang lain duduk di depan Junuh.

            “Mimpi apa jumpa hang hari ni!” tegur Keria. "Lama sungguh kami tak nampak kelibat hang. Hari ni hang kena loteri kot?"

            “His, aku tak pernah sentuh benda-benda haram tu, Keria oi!” balas Junuh kurang senang. Seketul karipap yang dicapai lalu disumbatkan ke dalam mulut. “Eh, aku lupa nak kenalkan kawan baru aku dari Sungai Petani ni!” Segera rakannya yang bernama Harun itu diperkenalkan kepada Setopa, Keria dan Salleh. Masing-masing berjabat salam sambil bertukar senyum.

            “Habis tu, yang hang nampak macam seronok sangat ni pasai apa?” tanya Salleh pula. "Setahu aku, sejak Leha kahwin dengan Leman pegawai tu, hang moyok saja macam ayam berak kapoq, berkurung, bertapa sampai tak nampak muka. Tup-tup hari ni keluar dari bertapa nampak ceria semacam pula. Itu yang kami musykil sangat ni!"

            Junuh tersengih. "Aku dah tak ingat dia lagi, Leh oi! Buat apa aku nak ingatkan Leha tu. Bukannya ada faedah apa-apa. Lagipun, bukan sekuntum. Aku seronok dan mai ke kedai Pak Coh hari ni sebab ada sebab yang hangpa semua patut dengaq!" katanya bersahaja. Sebiji lagi karipap disuapkan ke dalam mulut.

            "Bagi taulah! Menatang apa yang kami semua patut dengaq tu!" Pak Coh yang datang membawa minuman untuk Setopa, Keria dan Salleh tiba-tiba bertanya. Kerana amat berminat nak ambil tahu, punggung dilabuhkan di sisi Junuh.

            Junuh tidak terus menjawab sebaliknya rokok dari dalam poket baju dikeluarkan. Beberapa batang rokok buatan Indonesia itu dihulurkan kepada Setopa, Keria dan Salleh. Sebatang diselitkan di celah bibir, dicucuh dan disedut dengan gaya pelakon filem. Asap berkelun-kelun dari lubang hidung, cawan kopi dicapai lalu diteguk sekali.

 “Sejak aku selalu pi Sungai Petani, aku dah tahu apa kerjanya menantu Munah Janda tu!” ujar Junuh sejurus kemudian. "Kalau setakat kerja pegawai macam dia, kita semua boleh. Tak perlu masuk universiti atau sekolah tinggi!"

“Eh, apa yang hang cakap ni?” Pak Coh sedikit terbeliak. Wajah Harun dijeling sekilas. “Macam mana boleh jadi lagu tu pula?”

            “Pegawai macam Leman tu tak perlu sekolah tinggi atau ada ijazah dari mana-mana universiti, Pak Coh!” balas Junuh. "Saya ramai kawan di Sungai Petani yang kenal dengan Leman. Harun nipun pegawai macam Leman juga. Sebenarnya Harun mai ke sini kerana nak ajak kita semua jadi pegawai macam Leman tulah. Kalau semua setuju, esokpun boleh mula kerja!"

            Masing-masing saling pandang memandang seolah-olah kurang percaya dengan cerita Junuh. Wajah Harun di sisi Junuh direnung dalam seolah-olah meminta kepastian.

            “Betul apa yang dikatakan oleh Junuh ni!” ujar Harun. "Saya kenal baik dengan Leman walau saya tak tau di syarikat mana dia bekerja. Kami adalah Pegawai Pemasaran. Saya Pegawai Pemasaran barangan elektrik sementara Leman tu Pegawai Pemasaran barangan dari Siam!" tokoknya lagi bersungguh-sungguh benar.

            “Errr, betul ka hang mai sini nak ajak kami jadi pegawai macam menantu Munah Janda tu?” tanya Keria. "Kami ni bukannya sekolah tinggi. Setakat sijil darjah enam ada la!"

            Harun tersengih. "Nak jadi Pegawai Pemasaran macam saya atau Leman tu, tak perlukan kelulusan tinggi. Cukup kalau pandai baca dan tulis. Yang penting ada semangat nak maju, ada minat, tak malu, tak segan dan berani nak pasarkan barangan kepada pelanggan. Kita juga kena pandai bercakap supaya pelanggan jadi tertarik dengan barangan yang kita nak jual. Kita kena pandai pujuk sampai pelanggan jadi lemah lalu membeli barangan kita!" jelasnya panjang lebar.

            Pak Coh ingin bertanya lebih lanjut tetapi jadi terbantut kerana sebiji trak polis tiba-tiba berhenti di depan kedainya. Dua orang anggota polis segera turun.

            “Pak cik kenal orang di dalam gambar ni!” tanya salah seorang anggota polis tersebut sebaik sahaja tiba di depan Pak Coh. Sekeping gambar milik Leman turut dihulurkan.

            “Eh, ini gambar Si Leman, menantu Munah Janda tu… tapi awat tok tanya tentang dia pula?” Pak Coh sedikit gugup.

            “Dia dikehendaki polis kerana mengedar dan menjual barangan tanpa cukai dari Siam!” ujar anggota polis tersebut.

            Sewaktu trak polis itu menghala ke rumah Munah Janda, Setopa, Keria, Salleh, Junuh, Pak Coh dan Harun saling pandang memandang. Masing-masing bagaikan tidak percaya dengan berita yang didengari. Mereka yakin, Munah Janda pasti ketar lututnya apabila menantu kebanggaan dan kemegahannya digari dan diseret ke muka pengadilan.

 

 

Glosari:

 

awat               = kenapa

besar               = besar

dengaq           = dengar

hang               = kamu, awak

hangpa           = kamu, awak

kapoq             = kapur

lagu                = macam, seperti

mai                 = datang

pasai               = sebab, pasal

pi                    = pergi


Kedudukan Kekerasan Oleh Media Televisyen

SMAHADZIR

AKIBAT meniru adegan dalam tayangan televisyen Smack Down, seorang kanak-kanak meninggal dunia dan seorang kanak-kanak yang lain mengalami patah tulang. Masyarakat mulai bergerak, mendesak agar tayangan tersebut dihentikan bagi menghindari berlaku lagi tragedi yang serupa berulang.

Berhentinya tayangan tersebut bukan bererti televisyen kita bersih dari adegan kekerasan. Mulai dari berita hingga program yang dirancang sebagai hiburan seperti filem baik dari Asia – Amerika. Kekerasan hampir menjadi menu utama yang disajikan di layar televisyen.

Selain berita yang banyak diwarnai oleh tindakan anarkis para demonstran hingga liputan jenayah, televisyen kita masih menawarkan tayangan filem-filem asing yang tidak lepas dari adegan memukul, menendang, tembak menembak, sehingga darah yang berciciran sebagai hiburan. Seolah-olah, tidak ada filem lain yang menarik tanpa salah satu adegan tersebut yang patut dihadirkan di ruang keluarga penonton Malaysia.

Tayangan tempatan juga tidak mahu kalah, dari membentak, mata melotot, menampar dan melaungkan kata makian menjadi andalan di setiap iklan tayangannya. Cuba sesekali sediakan secarik kertas dan pena kala melihat tayangan berita, kiralah berapa banyak iklan tayangan baik filem asing atau sinetron yang menunjukkan adegan kekerasan.

Lain ketika, tambahkan kolum untuk mencatat berita kekerasan yang ditampilkan. Sungguh menakjubkan, untuk sebuah bangsa yang mengaku dan merasa sebagai bangsa yang ramah dan berbudaya.

Tinjauan Dan Analisis Tayangan Kekerasan

Secara literatur, beratus kajian telah menunjukkan dengan jelas bahawa.. ‘Exposure to media may indeed be one factor contributing to high peringkats of violence in countries where such materials are viewed by large numbers of persons.’ (e.g., Anderson, 1997; Berkowitz, 1993; Paik dan Comstock, 1994; Wood et al, 1991, dalam Baron dan Byrne, 2000)

Bagaimana media dapat memberikan kesan yang tajam dari tayangan kekerasan terhadap penontonnya, setidak-tidaknya ada tiga penjelasan yang menarik seperti berikut;

Pertama

Media memudahkan orang untuk mempelajari ‘cara-cara baru’ kekerasan yang kemungkinan besar tidak terfikirkan sebelumnya. Disebut juga sebagai ‘Copycat crimes,’ di mana kekerasan yang bersifat fiksyen mahupun nyata yang ditayangkan oleh media kemudian ditiru oleh orang lain di tempat lain dengan harapan akan mendapatkan hasil yang serupa.

Kes kanak-kanak korban Smack Down menjadi gambaran yang sedang hangat. Lebih-lebih lagi bagi kanak-kanak, tayangan tersebut boleh memberikan pemahaman yang keliru tentang rasa sakit dan keadaan tubuh manusia. Betapa tidak, tayangan yang menampilkan dua orang yang berbadan kekar saling beradu kekuatan dengan gaya bebas namun tetap kelihatan jelas ‘tiada sebarang kesakitan.’

Kanak-kanak akan menganggap bahawa meloncat dan menjatuhkan tubuh di atas tubuh kawannya, misalnya, tidak akan menimbulkan rasa sakit lebih-lebih lagi cacat tubuh bahkan meninggal dunia.

Kedua

De-sensitization effects, berkurang atau hilangnya kepekaan kita terhadap kekerasan itu sendiri. Kajian menunjukkan, akibat dari banyaknya menonton tayangan kekerasan, orang tidak lagi mudah merasakan penderitaan atau rasa sakit yang dialami orang lain (Baron, 1974 dalam Baron dan Byrne, 2000).

Secara biologi, ketika menonton tayangan yang menyakitkan atau kekerasan, aktiviti otak akan bergerak dari ranah bahasa di otak kiri ke otak kanan yang mendominasi proses emosi dan pengkodan gambaran visual. Itulah sebabnya menonton memberi kesan emosional yang lebih kuat daripada membaca. Jika perkara ini terlalu banyak, maka kita akan menjadi kebas dan tidak peka lagi dengan kekerasan (Flora, 2004).

Sejak merdeka, televisyen kita boleh lebih bebas dalam pemilihan tayangan. Seiring dengan itu, kekerasan pun merebak, berita mulai didominasi dengan tindakan-tindakan anarkis yang tidak jarang bersumber dari sesuatu yang remeh. Masyarakat menjadi sangat mudah disulut api kekerasan.

Sayangnya, televisyen juga makin getol dengan adegan kekerasan bahkan sebagai hiburan. Cuba telusuri program serangkaian filem asing yang dijanjikan akan diputar dalam satu bulan, sukar sekali menemui filem keluarga yang boleh menghasilkan senyum, tawa, perasaan santai, melepas beban rutin dan mendapatkan insight yang positif.

Padahal banyak sekali filem yang mengetengahkan nilai-nilai kehidupan dari perkara kecil seperti perasaan seorang kanak-kanak di tengah kesibukan ibu bapa yang disajikan begitu santun, menggelitik, tanpa didominasi teriakan amarah.

Mrs. Doubtfire, salah satunya yang sudah berulang kali ditayangkan oleh televisyen kita, dan masih banyak lagi yang lain yang semestinya boleh ditampilkan berbanding filem-filem yang lebih banyak mempamerkan kekerasan. Lebih miris lagi, sinetron-sinetron yang berbungkus nama agama juga diwarnai dengan umpatan, saling pukul memukul dan saling tamper menampar.

Ketiga

Pengiklanan menganggap tayangan kekerasan lebih bersifat menjual. Bushman (1998, dalam Baron dan Byrne, 2000) menemui perkara yang kurang menggembirakan, ternyata orang yang menonton tayangan kekerasan, kemungkinan besar hanya mampu sedikit mengenangkan isi dari suatu tayangan komersial atau iklan.

Bushman dan Bonacci (2002, dalam Gunter, Furnham dan Pappa, 2005) menemui betapa kuatnya pengaruh tayangan kekerasan terhadap penontonnya. Kajian mereka menunjukkan bahawa iklan yang tidak menampilkan kekerasan, jika ditayangkan di program televisyen yang menayangkan kekerasan, akan sukar diingat daripada jika ditayangkan di program televisyen bukan kekerasan.

Sebaliknya, iklan yang menampilkan kekerasan akan semakin mudah diingat ketika ditampilkan di program televisyen kekerasan. Perkara ini sdisebabkan tayangan tersebut menyokong dan memudahkan penonton untuk mengenangkan iklan yang juga berisi adegan kekerasan.

Cukup aneh, bukankah seharusnya pengiklanan justeru mendorong tayangan bukan kekerasan? Ataukah dengan tidak tertangkapnya isi iklan dengan baik oleh penonton kemudian menjadi nilai tersendiri bagi iklan tersebut?

Kemungkinan, iklan akan memetik keuntungan dengan tidak telitinya penonton dan hanya menangkap bahagian tertentu dari iklan tersebut. Perkara ini sangat menarik untuk dilakukan kajian lebih lanjut, termasuk di Malaysia.

Televisyen Adalah Pilihan

Protes dan desakan masyarakat atas kes Smack Down merupakan perkara positif. Tidak perlu dibahas jika perkara ini sebagai sesuatu yang terlambat, namun mestinya boleh menjadi stimulus bagi masyarakat untuk mampu mandiri dalam menilai, menyaring serta proaktif terhadap tayangan di televisyen. Kepekaan itu harus diciptakan, jangan sampai kelak masyarakat Malaysia benar-benar menjadi tidak sensitif terhadap kekerasan hingga menjadi bangsa Bar-Bar.

Masyarakat di sini juga termasuk kalangan akademik, asosiasi sosial dan kelompok masyarakat lain di samping individu yang berdiri sendiri. Salah satu dari keindahan reformasi yang harus dioptimakan dan ditumbuhkan adalah kemandirian masyarakat dalam menangani berbagai perkembangan, termasuk tayangan televisyen dengan kebebasan media, sehingga menjadi bangsa yang mandiri dalam berfikir dan bertindak.

Televisyen hanyalah sebuah kotak yang boleh dimatikan atau dibuang, boleh sebagai sumber malapetaka atau sumber pengetahuan. Kendali utama mestinya tetap pada pencipta televisyen, yakni manusia. Banyak bukti kesan tayangan kekerasan hendaknya menjadi maklumat tambahan untuk mengkaji ulang perilaku kita dalam menonton televisyen.

Sudahkah kita menjadikan televisyen sebagai pilihan di antara banyak pilihan aktiviti positif lain dalam melepas kepenatan, atau televisyen yang menguasai setiap detik kehidupan kita?

Adakah Kita Merasa Selamat Dari Kemurkaan Allah?

Syed Mahadzir Syed Ibrahim

SEMOGA semuanya sihat dan sentiasa mendapat rahmat, berkat dan redha Allah. Tetapi untuk mendapat itu semua tidak boleh hanya dengan berdiam diri tanpa mendekati pencipta kita. Sekarang adalah zaman yang mana pelbagai perkara, hal, urusan-urusan duniawi yang secara sedar atau tidak akan melupakan kita kepada pencipta kita. Secara langsung atau tidak langsung, sedikit demi sedikit atau sekaligus, kealpaan kita terhadap mengingati Tuhan tetap amat mudah di dunia yang serba canggih sekarang ini.

Pernahkah kita duduk termenung memikirkan, apakah kita ini akan selamat selama-lamanya?? Apakah kita sudah mendapat rahmat, berkat, redha dan hidayah Allah atau belum?? Apakah kita merasa yang kita akan sentiasa hidup dengan selesa di muka bumi yang bukan hak milik kita ini??

Tidak malukah kita yang hanya duduk menumpang tetapi beraksi seperti bumi ini kita yang punya? Tidak malukah kita, lebih suka ikut selera dan pendapat akal kita yang serba lemah ini daripada mengikuti wahyu dari Allah?? Tafakkaru!

‘Apakah kamu merasa selamat terhadap Allah yang (berkuasa) di langit bahawa Dia akan menjungkirbalikkan bumi bersama kamu, sehingga dengan tiba-tiba bumi itu bergoncang? Atau apakah kamu merasa selamat terhadap Allah yang (berkuasa) di langit bahawa Dia akan mengirimkan badai yang berbatu. Maka kelak kamu akan mengetahui bagaimana (akibat mendustakan) peringatan-Ku? Dan sesungguhnya orang-orang yang sebelum mereka telah mendustakan (Rasul-rasul-Nya). Maka alangkah hebatnya kemurkaan-Ku.’ (surah Al Mulk: ayat 16 – 18)

Terfikirkah kita, berapa banyak masa dalam sehari kita luangkan untuk mengingati Tuhan kita?? Berapa banyak masa yang kita luangkan untuk memuji-Nya?? Kita diberi 24 jam sehari, berapa jamkah yang kita gunakan untuk bersama Allah s.w.t? Masa solat 5 waktu sehari semalam??

Adakah masa solat itu hati kita boleh khusyuk sepenuhnya?? Jika masa solat tidak boleh khusyuk sepenuhnya, mana masa-masa lain untuk mengingati Allah? Ataupun kita lebih ingat pada bola, konsert, lagu-lagu yang melalaikan, lepak-lepak di wakaf dengan sembang kosong, mengintai pasangan sedang berdua-duaan di taman, lumba motor, kumpul harta dan macam-macam lagi.

‘Tidaklah Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri pada-Ku.’

Tidakkah kita berasa takut mendengar ayat dari surah Az Zaariyaat ini. Adakah kita telah menjalankan peranan kita sebagai hamba Allah?? Ingatkah kita, pada zaman dahulu kala, wujud perhambaan pada manusia. Bagaimana hamba-hamba itu diperlakukan?? Tuannya suruh buat itu ini, semuanya kena akur. Bolehkah hamba-hamba itu tidak akur?? Padahlah jawabnya!

Apatah lagi kita sekarang menjadi hamba kepada pencipta segala makhluk. Tetapi adakah kita berlagak sebagai hamba? Adakah kita masih sombong dengan kepandaian, jawatan, harta-benda, pangkat dan sebagainya yang kita ada?? Terasa mahu membanding-bandingkan kehebatankah lagi sesama insan??

Terasa mahu glamour, popular, ternama, tersohor di mata manusia yang hanya bakal menjadi mayat belaka nanti ini?? Apa guna kita mulia di mata manusia sedangkan pada pandangan Allah s.w.t kita selalu lupakan Dia??? Malah kita lebih ingat pada artis-artis, bangsawan-bangsawan, tokoh-tokoh, kekasih dan sebagainya. Berbaloikah kita nampak hebat di mata manusia yang bila-bila masa sahaja boleh menjadi buta??

Walau banyak mana pun mereka bertepuk tangan pada kita, adakah mereka akan ingat kita sampai bila-bila, bantu kita dalam kubur, melainkan semua itu hanya angan-angan kita yang tidak ke mana??

Di manakah rasa belas kasihan kita sesama manusia apa lagi sesama orang–orang yang beriman?? Sanggupkah lagi kita berseronok-seronok sedangkan nun di hujung kampung sana ada orang tua yang dhaif kelaparan, berpenyakit, serba susah?? Sanggupkah kita berlumba-lumba mencari harta benda dunia sedangkan ada insan lain yang menderita penyakit, kefakiran, tiada tempat tinggal, serba lemah dan sebagainya?

Perlu diingat bahawa banyak seronok maka akan banyaklah derita. Itu sudah menjadi sunnatullah dan ada hikmah belaka di sebalik segala sesuatu. Untuk itu bersungguh-sungguhlah kita mendengar pesan Rasulullah s.a.w iaitu: ‘Sebaik-baik perkara adalah pertengahannya.’ Terlalu kecewa pun bahaya, terlalu seronok pun bahaya, dan ketenangan itulah yang paling baik. ‘Hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang.’

Perlu juga kita ketahui ada 4 pintu besar bagi jin menguasai diri kita. Jika kita kalah dengan 4 perkara ini, kemungkinan besar jin akan mudah mengawal kita iaitu;

1. Terlalu marah
2. Terlalu kecewa
3. Terlalu seronok dan ketawa
4. Terlalu ikut syahwat

Adakah kita boleh menjamin yang kita akan dapat kekalkan iman kita sehingga ke akhir hayat? Adakah kita tahu bila kita akan mati hinggakan kita sanggup untuk menangguh-nangguhkan untuk bertaubat?? Terlalu mudakah kita untuk masih tidak beramal kerana agama dan mahu tunggu sampai kita kerepot dulu?? Ketahuilah bahawa dunia hari ini mencatatkan bilangan angka orang yang meninggal dunia adalah majoritinya golongan muda. Orang-orang muda lebih dahulu ataupun lebih awal mati dari orang-orang tua sekarang ini.

Sedarlah bahawa Allah s.w.ttelah memberi kita terlalu banyak nikmat. Dialah yang paling layak kita cintai kerana Dialah yang paling banyak berjasa pada kita. Jika kita kata ibu bapa kita yang paling banyak berjasa pada kita, adakah mereka berjasa pada kita 24 jam sehari??

Selamilah bahawa, Allah s.w.t memberi jasa kepada kita selama 24 jam sehari adalah perkara biasa bagi Dia. Tidakkah kita bersyukur pada-Nya?? Masihkah kita kecewa lagi dengan nasib kita? Masihkah kita mahu menyalahi Allah s.w.t lagi??

Cuba anda bayangkan sejenak, bagaimana anda rasa bila Allah s.w.t menyumpah anda sekarang?? Bayangkan jika Allah s.w.t tukar kita jadi katak. Dan kita berfikiran macam manusia, apa rasa?? Bayangkan Allah s.w.t jadikan kita jadi kecik dan dicampakkan kita ke dalam lubang tandas, apa kita rasa?? Pahitkan??

Tetapi Allah s.w.t masih tidak buat itu semua, Dia bagi lagi kesempatan pada kita untuk dapat beramal pada-Nya. Tetapi kita ini alpa, lalai, sombong, angkuh, tidak berterima kasih, tidak mengenang jasa pada Allah s.w.t pada kita… Alangkah sediihnya.

Renungilah keadaan hari ini, di mana manusia lebih cenderung kepada berlumba-lumba untuk mengumpul kekayaan, kemewahan, kemegahan. Sahabat-sahabat nabi dahulu berlumba-lumba untuk hidup serba susah, serba miskin, serba beramal ibadah kerana Allah s.w.t dan seumpamanya.

Tetapi umat Islam sekarang berlumba-lumba untuk mendapatkan kemewahan, harta dan pangkat. Apa yang kita kejar sebenarnya?? Mengapa perlu membeli kereta mewah?? Betul Rasulullah s.a.w ketika mahu berperang memilih kuda yang paling elok, tetapi kita tengok apa tujuannya.

Ada orang kata apabila umat Islam dapat pakai kereta besar, kita akan dipandang tinggi oleh bangsa asing. Tetapi sedarkah kita, wang yang kita kumpul dari hasil belian orang-rang miskin, hasil titik peluh golongan buruh kasar, tiba-tiba kita bagi sekaligus pada bangsa asing dengan membeli kereta mewah. Sedarkah kita dari mana kereta-kereta mewah itu dibeli?? Mercedes, Honda, BMW dan sebagainya itu dari mana??

Kita kata tujuan kita untuk dipandang tinggi, tetapi bagi orang asing yang mencipta kereta-kereta tersebut, kita tidak akan dipandang tinggi, malahan sebenarnya dipandang rendah kerana kita beli kereta buatan mereka. Tidak perasankah itu??

Sepatutnya kita buat sendiri kereta mewah untuk menyaingi mereka, bukannya dengan berlagak pada dunia dengan membeli kereta dari umat bukan Islam. Kita tidak dilarang untuk berlumba, tetapi berlumba apa? Itulah fastabiqul khoirot, iaitu berlumba-lumba membuat kebaikan.

Apakah itu kebaikan?? Kebaikan adalah segala apa yang diperintahkan oleh Allah s.w.t supaya kita melaksanakannya. Perlukah kita tahu macam mana yang dikatakan kebaikan?? Jawapannya tersangat perlu!!!

Setiap agama menyuruh membuat kebaikan. Boleh dikatakan tidak ada agama menyuruh membuat kejahatan, melainkan agama-agama baru sekarang seperti black metal dan sebagainya. Tetapi kebaikan yang macam mana kita perlu buat? Kenapa dipersoalkan begini?? Kerana ada kebaikan yang sebenarnya bukan kebaikan, tetapi nampak macam baik lantas itu dikatakan kebaikan.

Sebagai contoh, kita tolong membeli kaset lagu rock pada kawan kita. Nampak itu suatu perkara baik, tetapi adakah itu sebenarnya amal soleh?? Sedangkan kita tahu lagu-lagu rock itu melalaikan dari mengingati Allah s.w.t. Ataupun kita belanja kawan kita hisap rokok.

Adakah dapat pahala daripada usaha kita membelanjanya itu?? Nampak baik kan?? Cuba tanya orang-orang yang hisap rokok, mesti dia kata kawan dia yang selalu belanja dia isap rokok itu baik, tetapi adakah itu suatu perbuatan yang makruf??

Sama juga dalam soal penyanyi wanita. Kita tengok bagus dirinya itu kerana menghiburkan orang lain. Dia tidak mencuri, merompak, pukul orang dan sebagainya tetapi terfikirkah kita, adakah perbuatannya itu diredhai Allah??

Adakah agama menyuruh wanita-wanita menyanyi dan berjoget di atas pentas?? Kalau perbuatan itu bagus, bermakna baguslah semua orang Yahudi dan Nasrani yang saban hari menyajikan kita dengan hiburan-hiburan yang asyik, indah, syok dan sebagainya?? Sebab itulah pembaca sekalian, sesuatu perkara itu kita mesti rujuk pada Al-Quran dan hadis untuk menentukan sama ada ianya baik atau buruk.

Kita tidak boleh hanya ikut kepala kita ini semata, kerana sebagaimana kita tahu keupayaan kita berfikir ada batasnya. Sebab itulah kita wajib mengenal Allah dengan mempelajari ilmu Tauhid, agar akidah kita mantap. Dalam soal ini kita mesti tahu bahawa Allah bersifat antaranya dengan sifat iradah.

Iradah bermakna berkehendak. Tuhan kita berkehendak kita patuh pada suruhan-Nya dan jauhi larangan-Nya. Maka jika kita masih sombong dengan kejahilan dan kedegilan kita, maka tunggulah balasan dari Allah nanti, na’uzubillah.

Takutlah pada hadis Nabi s.a.w yang bermaksud: ‘Siapa yang menyerupai suatu kaum maka dia dari golongan mereka.’ Apakah kita mahu lagi ikut stail Barat?? Apakah kita berkenan, terliur lagi dengan budaya-budaya mengarut dari umat Yahudi dan Nasrani?? Apakah kita masih tidak mempunyai rasa takut pada larangan-larangan Allah s.w.t?? Adakah kita masih merasa selamat lagi dari seksaan-Nya di dunia mahupun di akhirat??

Allah s.w.t berfirman: ‘Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.’ (surah As Syams: ayat 8 – 10)

Allah s.w.t berfirman: ‘Kemudian mereka digantikan oleh sesuatu angkatan yang meninggalkan solat dan memperturutkan keinginan nafsu, maka oleh sebab itu, mereka akan menemui kebinasaan. Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh, maka mereka itu akan memasuki syurga dan tidak dianiaya sedikit pun.’ (surah Maryam: 59-60)

Waktu Paling Berharga Dalam Kehidupan Seorang Muslim

SMAHADZIR

BERSAMAAN dengan beredarnya waktu, keterampilan dan pengetahuan manusia mengalami perubahan-perubahan hingga saat ini. Kita merasakan betapa banyak kemudahan yang diperolehi oleh manusia dari ilmu pengetahuan. Jarak antara sesebuah dengan kota yang lainnya terasa semakin dekat kerana waktu tempoh yang dihabiskan semakin singkat. Hal ini memberi peluang kepada kita untuk memanfaatkan waktu kepada hal-hal yang lain yang lebih bermanfaat.

Namun hal ini tidak banyak disedari oleh manusia. Mereka lebih memilih hal-hal yang bersifat kesenangan hawa nafsu bagi menghabiskan waktu tersebut. Sehingga Allah s.w.t berfirman, yang bermaksud: ‘Demi waktu. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh yang saling menasihati dalam kebenaran dan saling menasihati supaya menetapi kesabaran.’ (surah Al-’Ashr 1-3).

Perhatikanlah alur hidup manusia ketika ini. Mereka menghabiskan waktu siangnya dengan mencari rezeki, bekerja dari pagi hingga petang, kemudian selepas itu mereka menghabiskan sisa waktunya dengan bermain dan bersantai hingga malam. Pada malam hari mereka habiskan dengan tidur. Demikianlah alur kehidupan yang kita rasakan ketika ini.

Ramai orang yang mencurahkan segala tenaga dan fikiran mereka tatkala mereka bekerja mencari rezeki. Kemudian sisa waktu yang mereka miliki dipergunakan untuk kesenangan hawa nafsu mereka. Sehingga Allah s.w.t berfirman, yang bermaksud: ‘Maka apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu main-main (saja) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami.’ (surah Al-Mukminun 115).

Mereka melupakan tugas pokok mereka iaitu beribadah kepada Allah s.w.t. Sebagaimana firman Allah s.w.t, yang bermaksud: ‘Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku. Aku tidak menghendali rezeki sedikit pun dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi Aku makan.’ (surah Adz-Dzariyat 56-57).

Allah s.w.t tidak memerlukan rezeki yang kita cari namun yang Allah s.w.t kehendaki dari makhluk-Nya adalah ketaatan mereka untuk beribadah hanya kepada Allah s.w.t. Beribadah kepada Allah s.w.t merupakan tugas pokok manusia dan tugas inilah yang akan ditanya oleh Allah di akhirat nanti.

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud: ‘Tidak akan beranjak telapak kaki seorang hamba sehingga ia ditanya 4 perkara: tentang umurnya bagaimana ia menghabiskannya, tentang ilmunya apa yang ia lakukan dengan ilmunya, tentang hartanya dari mana ia peroleh dan bagaimana ia gunakan, tentang badannya bagaimana ia memeliharanya.’

Waktu merupakan hal yang sangat penting dan harus mendapat perhatian yang penuh oleh kita. Sebab, kerana waktu seseorang boleh memperoleh syurga dan kerana waktu juga seseorang memperoleh neraka.

Waktu yang paling berharga pada setiap individu adalah umurnya. Ketika batas umur seseorang telah habis, maka tidak boleh ditunda kematiannya atau ditambah umurnya. Oleh kerana itu seharusnya kita gunakan umur kita ketika ini dengan sebaik-baiknya.

Isilah setiap detik dari umur kita dengan amalan-amalan soleh sebagai bekalan di akhirat kelak. Berfikirlah tentang risiko yang akan kita tanggung di akhirat nanti terhadap setiap perbuatan dan ucapan. Pergunakanlah umur kita untuk mengejar kebaikan-kebaikan akhirat.

Tawakal

SMAHADZIR

TAWAKAL adalah kesungguhan hati dalam bersandar kepada Allah s.w.t untuk mendapatkan kemaslahatan serta mencegah bahaya, sama ada berkaitan dengan urusan dunia mahupun akhirat. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud, ‘Dan barangsiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan jadikan baginya jalan keluar dan memberi rezeki dari arah yang tiada ia sangka-sangka, dan barangsiapa bertawakal kepada Allah, maka Dia itu cukup baginya.’ (surah Ath Tholaq: 2-3)

Makna Bertawakal Kepada Allah

Ramai di antara para ulama yang telah menjelaskan makna tawakal, di antaranya adalah Al-Allamah Al-Munawi. Beliau mengatakan, ‘Tawakal adalah menampakkan kelemahan serta penyandaran (diri) kepada yang ditawakali.’ (Faidhul Qadir, 5/311).

Ibnu ‘Abbas r.a mengatakan bahawa, ‘Tawakal bermakna percaya sepenuhnya kepada Allah s.w.t.’

Imam Ahmad mengatakan, ‘Tawakal bererti memutuskan pencarian disertai keputusasaan terhadap makhluk.’

Al-Hasan Al-Bashri pernah ditanya tentang tawakal, maka beliau menjawab, ‘Reda kepada Allah s.w.t.’

Ibnu Rojab Al-Hanbali mengatakan, ‘Tawakal adalah bersandarnya hati dengan sebenarnya kepada Allah s.w.t dalam memperoleh kemashlahatan dan menolak bahaya, baik urusan dunia mahupun akhirat secara keseluruhan.’

Al-Hafizh Ibnu Hajar Al-Asqolani mengatakan, ‘Tawakal iaitu memalingkan pandangan dari berbagai sebab setelah sebab disediakan.’

Mendapat Kebaikan dan Menghindari Kerosakan

Ibnul Qayyim berkata, ‘Tawakal adalah faktor paling utama yang boleh mempertahankan seseorang ketika tidak memiliki kekuatan dari serangan makhluk lainnya yang menindas serta memusuhinya. Tawakal adalah sarana yang paling ampuh untuk menghadapi keadaan seperti itu, kerana ia telah menjadikan Allah sebagai pelindungnya atau yang memberinya kecukupan. Maka barangsiapa yang menjadikan Allah sebagai pelindungnya serta yang memberinya kecukupan, maka musuhnya itu tidak akan boleh mendatangkan bahaya padanya.’ (Bada’i Al-Fawa’id 2/268)

Bukti yang paling baik adalah kejadian nyata. Imam Al-Bukhori telah mencatat dalam kitab sahih beliau, dari sahabat Ibnu Abbas r.a, bahawa ketika Nabi Ibrahim dilemparkan ke tengah-tengah api yang membara… baginda mengatakan, ‘Hasbunallahu wa ni’mal wakiil.’ (Cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung).

Perkataan ini jugalah yang diungkapkan oleh Rasulullah s.a.w ketika dikatakan kepada baginda, ‘Sesungguhnya orang-orang musyrik telah merancang untuk memerangimu, maka waspadalah engkau terhadap mereka.’ (Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dalam bab Tafsir. Lihat Fathul Bari VIII/77)

Ibnu Abbas berkata, ‘Kata-kata terakhir yang diucapkan oleh Nabi Ibrahim ketika baginda dilemparkan ke tengah bara api adalah: ‘Cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Allah sebaik-baik pelindung.’ (hadis riwayat Bukhori)

Bertawakal Kepada Allah Adalah Kunci Rezeki

Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Sungguh, seandainya kalian bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benarnya, nescaya kalian akan diberi rezeki sebagaimana burung-burung. Mereka berangkat pagi-pagi dalam keadaan lapar, dan pulang petang hari dalam keadaan kenyang.’ (hadis riwayat Ahmad, At-Tirmidzi, Ibnu Majah, Al-Hakim)

Dalam hadis yang mulia ini Rasulullah s.a.w menjelaskan bahawa orang yang bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benarnya, pastilah dia akan diberi rezeki. Bagaimana tidak, kerana dia telah bertawakal kepada Dzat Yang Maha Hidup yang tidak pernah mati. Abu Hatim Ar Razy berkata, ‘Hadis ini merupakan tonggak tawakal. Tawakal kepada Allah itulah faktor terbesar dalam mencari rezeki.’

Lantaran itu, barangsiapa bertawakal kepada-Nya, nescaya Allah s.w.t akan mencukupinya. Allah berfirman yang bermaksud, ‘Dan barangsiapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki-Nya). Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.’ (surah Ath-Thalaq: 3).

Ar Rabi’ bin Khutsaim berkata mengenai ayat tersebut, ‘Iaitu mencukupinya dari segala sesuatu yang membuat sempit manusia.’

Tawakal Bukan Bererti Tidak Berusaha

Mewujudkan tawakal bukan bererti meniadakan usaha. Allah s.w.t memerintahkan hamba-hamba-Nya untuk berusaha sekaligus bertawakal. Berusaha dengan seluruh anggota badan dan bertawakal dengan hati merupakan perwujudan iman kepada Allah s.w.t.

Sebahagian orang mungkin ada yang berkata, ‘Jika orang yang bertawakal kepada Allah itu akan diberi rezeki, maka kenapa kita harus letih, berusaha dan mencari penghidupan. Bukankah kita hanya perlu duduk-duduk saja dan bermalas-malasan, lalu rezeki kita datang dari langit?’

Perkataan itu sungguh menunjukkan kebodohan orang tersebut tentang hakikat tawakal. Nabi kita Muhammad s.a.w yang mulia telah menyerupakan orang yang bertawakal dan diberi rezeki itu dengan burung yang pergi pada pagi hari untuk mencari rezeki dan pulang pada petang hari, padahal burung itu tidak memiliki sandaran apa pun, baik perdagangan, pertanian, perkilangan atau pekerjaan tertentu. Ia keluar dari sarang dengan berbekalkan tawakal kepada Allah Yang Maha Esa sebagai tempat bergantung.

Para ulama - semoga Allah membalas mereka dengan sebaik-baik kebaikan - telah memperingatkan masalah ini. Di antaranya adalah Imam Ahmad, beliau berkata: ‘Dalam hadis tersebut tidak ada isyarat yang membolehkan meninggalkan usaha, sebaliknya justeru di dalamnya ada isyarat yang menunjukkan perlunya mencari rezeki. Jadi maksud hadis tersebut, bahawa seandainya mereka bertawakal kepada Allah dalam berpergian, kedatangan dan usaha mereka, dan mereka mengetahui bahawa kebaikan (rezeki) itu di tangan-Nya, tentu mereka tidak akan pulang kecuali dalam keadaan memperolehi harta dengan selamat, sebagaimana burung-burung tersebut.’ (Tuhfatul Ahwadzi, 7/8)

Imam Ahmad pernah ditanya tentang seorang laki-laki yang hanya duduk di rumah atau di masjid seraya berkata, ‘Aku tidak mahu bekerja sedikit pun, sampai rezekiku datang sendiri.’

Maka beliau berkata, ‘Dia adalah laki-laki yang tidak mengenal ilmu. Sungguh Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda, ‘Sesungguhnya Allah telah menjadikan rezekiku dalam bayang-bayang tombak perangku (baca: ghonimah).’

Dan baginda s.a.w juga telah bersabda, ‘Sekiranya kalian bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benarnya, nescaya Allah memberimu rezeki sebagaimana yang diberikan-Nya kepada burung-burung. Mereka berangkat pagi-pagi dalam keadaan lapar dan pulang pada petang hari dalam keadaan kenyang.’ (Hasan Sahih, hadis riwayat Tirmidzi).

Selanjutnya Imam Ahmad berkata, ‘Para sahabat juga berdagang dan bekerja dengan mengelola pohon kurmanya. Dan mereka itulah teladan kita.’ (Fathul Bari, 11/305-306)

Jikalau kita mahu merenungi maka boleh kita katakan bahawa pengaruh tawakal itu kelihatan dalam gerak dan usaha seseorang ketika bekerja untuk mencapai tujuan-tujuannya. Imam Abul Qasim Al-Qusyairi mengatakan, ‘Ketahuilah sesungguhnya tawakal itu letaknya di dalam hati. Adapun gerak lahiriah maka hal itu tidak bertentangan dengan tawakal yang ada di dalam hati setelah seseorang meyakini bahawa rezeki itu datangnya dari Allah. Jika terdapat kesukaran, maka hal itu adalah kerana takdir-Nya. Dan jika terdapat kemudahan maka hal itu kerana kemudahan dari-Nya.’ (Murqatul Mafatih, 5/157)

Di antara yang menunjukkan bahawa tawakal kepada Allah tidaklah bererti meninggalkan usaha adalah sebuah hadis. Seseorang berkata kepada Nabi s.a.w, ‘Aku lepaskan untaku dan (lalu) aku bertawakal?’

Nabi s.a.w bersabda, ‘Ikatlah kemudian bertawakallah kepada Allah.’ (hadis riwayat Tirmidzi dan dihasankan Al-Albani dalam sahih Jami’ush Shoghir).

Dalam riwayat Imam Al-Qudha’i disebutkan bahawa Amr bin Umayah r.a berkata, ‘Aku bertanya, ‘Wahai Rasulullah!! Apakah aku ikat dahulu unta tungganganku lalu aku bertawakal kepada Allah, ataukah aku lepaskan begitu saja lalu aku bertawakal?’ Baginda s.a.w menjawab, ‘Ikatlah untamu lalu bertawakallah kepada Allah.’ (Musnad Asy-Syihab, Qayyidha wa Tawakal, no. 633, 1/368)

Tawakal tidaklah bererti meninggalkan usaha. Hendaknya setiap muslim bersungguh-sungguh dan berusaha untuk mendapatkan penghidupan. Hanya saja dia tidak boleh menyandarkan diri pada keletihan, kerja keras dan usahanya, tetapi dia harus meyakini bahawa segala urusan adalah milik Allah s.w.t, dan bahawa rezeki itu hanyalah dari Dia semata.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA