Sabtu, 17 Februari 2024

DI TANAH TINGGI KINTAMANI

 

Makan tengah hari di Kintamani (Gunung Batur)

******

Kintamani merupakan sebuah tempat yang berhawa dingin seperti di Kundasang, Bukit Fraser, Genting Highland atau Cameron Highland di Malaysia.

Kintamani terletak di Kabupaten Bangli, memang tersohor dengan kearifan tempatan berbalut keindahan. Bagaimana tidak, jika majoriti orang mengenali Bali sebagai syurga pantai dan laut tetapi di Kintamani kita akan merasa suasana yang berbeza, yang tidak dibatasi oleh pantai-pantai seperti umumnya di Bali. Kintamani adalah satu-satunya wilayah di Pulau Bali yang merupakan daerah dataran tinggi dengan sejuknya hawa pergunungan. Di sini kita boleh menyaksikan keindahan Gunung Batur dan Danau Batur. Belum lagi kampung-kampung wisata dengan berbagai kearifan tempatan masyarakat di dalamnya yang sangat rugi jika tidak disinggahi. Bercakap tentang keindahan alam Kintamani rasanya belum lengkap kalau kita tidak mengenali sejarah yang membalutinya.

Sebagaimana tempat-tempat lain di Pulau Bali, Kintamani juga menyimpan jejak sejarah dan budaya yang menarik. Sejarah tersebut berkembang menjadi kearifan tempatan masyarakat setempat. Kintamani adalah kampung yang menyimpan jejak kerukunan dan harmonisasi kehidupan masyarakat tiga agama berbeza iaitu Hindu, Islam dan Konfusius China. Bukti kerukunan tersebut masih boleh dilihat hingga sekarang visualisasi Pura Batur.

Sewaktu menjejakkan kaki di Pura Batur kita akan menyaksikan sendiri bagaimana tempat tersebut didominasi oleh warna merah dan patung naga yang ditempatkan pada sisi kiri dan kanan. Ditambah dengan bau dupa yang menyengat ketika kita memasuki wilayah pura tersebut. Berbagai cerita melatarbelakangi kisah di Pura Batur yang merupakan pura kedua terbesar selepas Pura Besakih. Menurut Mas Arif, disebutkan bahawa di Danau Batur di Kintamani terdapat salah sebuah pura yang masuk ke dalam pura kayangan jagat.

Berbagai sumber menyebutkan bagaimana asal mula atau sejarah Kintamani yang kini cukup populer sebagai wisata alam di Bali. Berdasarkan dari berbagai sumber tersebut diketahui bahawa asal nama Kintamani adalah Cintamani dengan berbagai versi cerita yang menyertainya. Kintamani adalah sebuah kecamatan di Kabupaten Bangli. Kintamani juga merupakan kawasan wisata pemandangan alam di Bali, Indonesia yang terkenal.

Sumber-sumber yang menyebut tentang Danau Batur adalah Lontar Kesmu Dewa, Lontar Usana Bali, dan Lontar Raja Purana Batur. Disebutkan bahawa Pura Batur sudah ada sejak masa Mpu Kuturan, iaitu abad ke-10 sehingga permulaan abad ke-11. Luasnya kawasan dan banyaknya ‘pelinggih’ menandakan bahawa Pura Batur adalah ‘penyiwi raja-raja’ yang berkuasa di Bali, sekaligus merupakan Kayangan Jagat.

Di Pura Batur yang diistanakan adalah Dewi Danu yang disebutkan dalam Lontar Usana Bali yang terjemahannya seperti berikut: ‘Adalah ceritera, terjadi pada bulan Marga Sari (bulan ke V) waktu Kresna Paksa (Tilem) tersebutlah Betara Pasupati di India sedang memindahkan Puncak Gunung Maha Meru dibahagi menjadi dua, dipegang dengan tangan kiri dan kanan lalu dibawa ke Bali digunakan sebagai ‘sthana’ Putra dia iaitu Betara Putrajaya (Hyang Maha Dewa) dan puncak gunung yang dibawa tangan kiri menjadi Gunung Batur sebagai ‘sthana’ Betari Danuh, kedua-duanya itulah sebagai ulunya Pulau Bali. Kedua-dua gunung ini merupakan lambang unsur Purusa dan Pradana dari Sang Hyang Widhi. Pura Batur merupakan tempat Pemujaan masyarakat Hindu di seluruh Bali khususnya Bali Tengah, Utara dan Timur memohon keselamatan di bidang persawahan. Sehingga pada ketika puja wali yang jatuh pada Purnamaning ke X (kedasa) seluruh masyarakat terutama pada semua ‘kelian subak, sedahan-sedahan’ datang ke Pura Batur mengaturkan ‘Suwinih’. Demikian jika terjadi bencana hama.’

DI RICE TERRACE TEGALALANG

 

Setelah puas di Pura Puseh Batuan Temple,  kami dibawa pula ke Rice Terrace di Tegallalang, terletak di Dusun Ceking, Kecamatan Tegallalang, Kabupaten Gianyar. Datang ke sini membuatkan saya terkenang kembali zaman kecil-kecil dulu di Kedah, di mana lingkungan hidup saya adalah bendang. Tetapi rupa bentuk bendang di Tegallalang agak berbeza kerana bendang di sini berupa teres-teres yang dipotong dari bukit dan diairi untuk tanaman padi. Manakala bendang di Kedah berupa hamparan rata tanah yang diairi untuk tanaman padi.

Di Rice Terrace Tegallalang ini kita dapat berastirahat sembari menikmati kedamaian suasana ikonik Bali, teres sawah padi yang menghijau meliputi lereng bukit dan pohon kelapa melambai-lambai ditiup pawana. Kampung Tegallalang yang terletak di gaung sungai Bukit Ubud terkenal dengan teres sawah padinya. Bendang berteres ini adalah antara pemandangan yang sering dirakamkan gambarnya di Bali. Sedut udara yang segar, renung menembusi kabus yang meliputi gunung dan berteduh di bawah pokok kelapa sambil menikmati suasana kampung bersama anak dan isteri adalah antara aktiviti saya di sini.

Menurut Mas Arif, teres sawah padi ini berusia lebih 2,000 tahun. Para petani menggunakan alatan tangan klasik untuk membentuk teres seperti tangga di lereng gunung ini. Diperkukuhkan oleh tembok penahan, teres ini ialah sistem yang direka untuk memanfaatkan air yang mengalir turun dari puncak gunung. Padi ialah tanaman yang penting di Bali, ia merupakan makanan ruji dan teras upacara keagamaan. Pengurusan dan penanamannya diatur oleh pihak penguasa pusat kampung serta mengikut kalendar agama dan musim.

Kampung Tegallalang menjadi sesak kerana kampung ini digemari ramai. Untuk menyaksikan pemandangan yang indah dan kurang sesak, kita boleh pergi ke sebelah tepi teres tersebut. Kita juga boleh melihat pemandangan yang mengagumkan dari kafe di puncak bukit. Jika bercadang nak bersiar-siar sambil berjalan kaki, pastikan memakai kasut getah kerana ada bahagian jalan yang berair dan berlumpur.

Kampung Tegallalang turut terkenal dengan kesenian dan cenderahati kayu buatan tangan. Terdapat sebilangan peniaga yang menjual kraf tangan di bahu jalan dan kita boleh melihat-lihat barangan tempatan di kampung sekitarnya. Terletak di tengah-tengah Bali, Kampung Tegallalang sejauh 10 minit saja pemanduan dari Ubud.

DI PURA PUSEH BATUAN TEMPLE

 

Selepas lebih kurang dua jam di Tohpati Village, kami dibawa pula ke Pura Puseh Batuan Temple iaitu sebuah tempat bersejarah yang menampilkan candi Hindu di Kampung Batuan. Candi ini rekabentuknya sangat indah, unik dan sarat dengan ornamen Bali. Atap binaan candi ini dibuat dari ijuk pokok aren berwarna hitam. Berlokasi strategik di tepi jalan utama dari Denpasar ke Ubud. Selama lebih dari seribu tahun, Kampung Batuan telah menjadi kampung seniman dan para pengkarya, legenda tua dan kisah-kisah misteri.

Pura Puseh Batuan Temple didirikan pada tahun 944 Isaka (1020 Masehi). Hampir 1,000 tahun. Pura Batuan adalah kategori Pura Puseh berdasarkan konsep ‘Tri Kayangan atau Tri Murti’ yang diajarkan oleh Mpu Kuturan sekitar abad ke-10 kepada masyarakat Hindu Bali ketika itu. Tri Kayangan atau Tri Murti termasuk 3 pura iaitu:

1.         Pura Kampung sebagai tempat pemujaan Dewa Brahma (Sang Pencipta)

2.         Pura Puseh untuk memuja Dewa Wisnu (Pemelihara)

3.         Pura Dalem untuk memuja Dewa Siwa (Penghancur)

Menurut Mas Arif, Pura Puseh Batuan Temple ini adalah salah sebuah pura kampung paling populer dan indah yang merupakan sebahagian dari tiga pura besar yang disebut Tri Kayangan, dan dirancang oleh arkitektur Bali dengan gerbang terbelah, batu penjaga, kuil jerami, dan ukiran yang unik. Masyarakat tempatan menyebut tempat ini sebagai Pura Puseh Batuan, landmark utama Kampung Batuan, yang terkenal dengan seni dan lukisan tradisional Bali. Tempat ini juga adalah salah satu dari tiga kuil kampung yang didedikasikan untuk dewa-dewa triniti Hindu.

Pura Puseh Batuan Temple memiliki kompleks kuil yang megah, terletak di dalam kompleks seluas 0.65 hektar. Motif batu pasir dan arkitektur candi tradisional Bali yang terpelihara dengan baik adalah daya tarik utamanya. Pura Puseh Batuan Temple juga diunggulkan oleh tiga kawasan meliputi Nista Mandala (kawasan luar), Madya Mandala (kawasan tengah) dan Utama Mandala (kawasan pura utama). Pintu masuk candi kelihatan seperti gapura yang terbelah seolah-olah dulunya merupakan satu gapura yang terbelah menjadi dua bahagian. Gerbang ini mengarah ke halaman yang memiliki taman dan patung yang dipasang di berbagai lokasi.

Dari halaman, ada gerbang lain yang dibentang oleh lengkungan berukir rumit dengan relief bas di sisipannya dan terjalin dengan tanaman merambat dan pintu tertutup. Untuk masuk ke tempat suci perlu melalui dua gerbang. Tempat suci adalah tempat para dewa bertakhta selama waktu festival, melalui undangan khas untuk ‘turun ke dunia ini’. Para dewa yang diundang selama festival dipuja dengan pengabdian dan persembahan yang mendalam.

Sewaktu ditanya Mas Arif tentang sejarah Pura Puseh Batuan Temple ini, beliau tidak teragak-agak mengatakan bahawa nama ‘Batu’ atau ‘Baturan’ yang disebutkan di sini mendorong penduduk kampung untuk bercanda tentang menjadi ‘keras seperti batu’ atau ‘memakan batu’ kerana batu bermakna ‘batu’ dalam bahasa Bali. Tetapi itu berkemungkinan besar mengacu pada tradisi megalitik purba di mana batu berdiri berfungsi sebagai tempat pertemuan dan tempat upacara untuk pemujaan roh leluhur. Kerana Batuan menjadi pusat di mana pendeta Buddha dan Brahmana menyebar ke pusat pengadilan utama di Bali selatan, kampung ini memiliki jumlah Brahmana yang tidak biasa.

Masyarakat setempat sangat cakna terhadap penjagaan dan pelestarian arkitektur candi dan lingkungannya. Tidak semua binaan yang ada merupakan binaan tua di sini, ada beberapa binaan yang mengalami renovasi, pembaharuan dan perubahan dari abad ke-10 sehingga abad ke-13 dan juga abad ke-18 Masehi. Struktur dan asas candi ini sangat kukuh dan kuat. Ia memiliki ornamen asli Bali yang mendambakan keindahan di setiap binaan di kawasan pura ini. Beberapa ornamen merupakan refleksi dari cerita epik Ramayana dan setiap binaan suci memiliki fungsi falsafah yang berbeza.

Menurut Mas Arif, di kawasan parkir pura, berdiri sebuah binaan purba yang disebut Wantilan. Tempat ini digunakan sebagai ruang pertemuan dan untuk berlatih segala jenis tarian Bali seperti Tarian Gambuh, Tarian Pendet, dan lain-lain lagi. Sebelum kita memasuki pura ada beberapa penduduk tempatan di Wantilan akan meminjamkan kita ‘kamben’ (pakaian tradisional Bali). Wajib bagi para pengunjung memakai ‘kamben Bali’ untuk menunjukkan rasa hormat terhadap kesucian ‘Pura Puseh Kampung Batuan’.

Semuanya percuma, kita tidak akan dikenakan sebarang bayaran untuk masuk. Tetapi, masyarakat setempat mengharapkan setiap pelancong yang berkunjung ke candi ini dapat menyumbangkan wang dalam jumlah berapa saja untuk menyokong kos penjagaan candi. Di sini disediakan kotak sumbangan ynag para pengunjung. Setiap sumbangan yang kita berikan harus dilandasi dengan rasa keikhlasan, di mana masyarakat Bali mengenalinya dengan sebutan ‘medan punia’.

Di halaman tengah pura terdapat sebuah binaan atau bale panjang yang disebut Bale Agung dan Bale Kulkul (sebiji gong yang dibuat dari kayu atau buluh). Banyak patung penjaga bersaiz raksasa. Fungsi Kori Agung adalah pintu tempat keluar masuknya para dewa yang dilambangkan dengan patung kecil bernama Pratima. Di sebelah Kori Agung terdapat dua pintu kecil sebagai tempat keluar masuknya orang ke halaman utama pura. Di halaman utama pura ada sekitar tiga tingkat Meru dan Bale Pengiyasan sebagai simbol Pura Besakih, ada juga sebuah binaan yang disebut Padmasana sebagai tempat pemujaan kepada Sang Hyang Widhi, satu-satunya Dewa Hindu Bali.

Pura Puseh Batuan Temple tidak hanya memancarkan getaran spiritual yang tinggi, tetapi juga mewakili nilai-nilai sejarah. Kita boleh melihat di dalamnya terdapat banyak peninggalan purba yang menakjubkan dari zaman prasejarah. Bagaimana pengaruh budaya Hindu di Bali yang menjadikan batu alam di pura ini sebagai tempat pemujaan, baik kepada leluhur mahupun pemujaan Dewata Hindu. Kita juga akan takjub terhadap beberapa patung purba dan unik di sini. Berdasarkan jumlah arca yang terdapat di Pura Puseh ini, dapat dikumpulkan menjadi beberapa jenis iaitu Patung Dwarapala, Patung Perwujudan, Patung Haiwan, Sosok Status Memegang Ayam, Lingga, Syaitan (Waktu), dan banyak lagi.

DI BATIK TOHPATI VILLAGE, KUTA, BALI

Hotel penginapan kami… Hotel Swiss Bell Ekspress Kuta Legian terletak di Jalan Legian, Gg. Troppozone, Lingkungan Pelasa, Kecamatan Kuta, Kabupaten Badung, Bali…

 *******

 Selepas bersarapan di Hotel Swiss Bell Ekspress Kuta Legian, pemandu pelancong kami (Mas Arif) sudah menunggu di pekarangan hotel untuk membawa kami ke destinasi pertama iaitu ke Tohpati Village. Dari Hotel Swiss Bell Ekspress Kuta Legian sekitar 15 minit saja untuk sampai ke Tohpati Village, sebuah ‘Pusat Seni Batik Art Village’ yang terkenal di Bali. Sengaja kami memilih untuk melawat tempat ini kerana saya amat berminat dengan batik terutama batik buatan tangan.

Tohpati Village hanya berjarak sekitar 12 kilometer dari Kuta, dan terkenal dengan pusat tenun batik di Bali. Batik di sini dibuat secara tradisional iaitu dengan cara mencanting dan melukis. Pengkaryanya menggunakan titikan dan garis dari lilin untuk mencorakkan sesebuah karya di atas kain. Sangat menakjubkan kala melihat para pengkaryanya menghasilkan karya mereka. Serasa saya, tidak sah kalau datang ke Bali tetapi tidak mengunjungi tempat ini terutama bagi peminat budaya dan juga hasil karya seni tradisional.

Hakikatnya Tohpati Village adalah rumah industri batik, kita pasti akan merasakan sensasi luar biasa pada indera lantaran banyaknya warna, corak dan aroma batik yang sebenarnya. Hanya melalui kunjungan ke sini dan sedikit studi, jenis rekabentuk dan asal-usulnya akan dapat digarap buat menyaratkan minda dengan maklumat untuk dibawa pulang ke Malaysia nanti. Begitulah yang saya sering lakukan jika berkunjung ke mana-mana. Saya akan cuba mendapatkan sebanyak yang boleh maklumat tentang sesuatu perkara sebagai sajian minda saya.

Pada hari ini, banyak maklumat tentang batik di Tohpati Village ini disampaikan oleh Mas Arif. Menurut beliau, contoh awal batik telah ditemui di Timur Jauh, Timur Tengah, Asia Tengah dan India sejak lebih dari 2000 tahun yang lalu. Boleh dibayangkan bahawa daerah-daerah ini berkembang secara mandiri, tanpa pengaruh dari perdagangan atau pertukaran budaya. Namun, kemungkinan besar kraftangan itu menyebar dari Asia ke pulau-pulau di Kepulauan Melayu dan barat ke Timur Tengah melalui jalur karavan.

Setahu saya, batik telah digunapakai di China pada awal Dinasti Sui (581-618 Masehi), iaitu batik sutera dan ini juga telah ditemui di Nara, Jepun dalam bentuk layar dan dianggap berasal dari penggal Nara (710-794 Masehi). Kemungkinan besar ini dibuat oleh seniman China. Ia dihiasi dengan pohon, binatang, pemain seruling, adegan berburu dan gunung-ganang.

Batik juga wujud di India iaitu lukisan dinding di Gua Ajunta menggambarkan penutup kepala dan pakaian yang dipercayai adalah batik. Di Jawa dan Bali, reruntuhan candi berisi tokoh-tokoh yang pakaiannya bermotifkan batik. Pada tahun 1677 terdapat bukti perdagangan eksport yang cukup besar, sebahagian besar sutera dari China ke Jawa, Sumatera, Persia dan Hindustan. Di Mesir, linen dan kain wol dengan pola putih di atas tanah biru, merupakan batik tertua dan berasal dari abad ke-5 Masehi. Ia dibuat di Mesir, mungkin Syria. Di Afrika tengah, proses pencelupan batik menggunakan ubi kayu dan pasta beras telah wujud selama berabad-abad dalam suku Yoruba di Nigeria Selatan dan Senegal.

Indonesia, khususnya pulau Jawa, merupakan daerah di mana batik telah mencapai puncak pencapaian terbesarnya. Belanda membawa tukang Indonesia untuk mengajar kraftangan kepada warden Belanda di beberapa kilang di Belanda pada tahun 1835. Swiss menghasilkan batik imitasi pada awal 1940-an. Bentuk pencetakan blok lilin dikembangkan di Jawa menggunakan topi.

Pada awal 1900-an Jerman telah mengembangkan penghasilan besar-besaran batik. Ada banyak contoh bentuk batik ini serta hasil karya tangan di berbagai belahan dunia ketika ini. Komputerisasi teknik membatik merupakan perkembangan yang sangat baru.

Itulah antara serba ringkas yang sapat saya katakan tentang batik. Kerana terlalu meminati batik, dua tiga helai baju batik telah menjadi milik saya untuk dibawa pulang ke Malaysia. Meski harganya agak mahal berbanding harga di Malaysia, tetapi saya berpuas hati sebab corak batik di sini berbaza total ketimbang corak batik di Malaysia. Indonesia mempunyai gaya persembahan dan rekabentuk corak batik tersendiri, begitu juga Malaysia. Masing-masing mempunyai identiti tersendiri dalam mengetengahkan budaya bangsa kepada khalayak.

DARI NGURAI RAI KE DENPASAR

 

Dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, kami bertiga terus dibawa berkeliling bandar Denpasar sebelum ke hotel penginapan iaitu Hotel Swiss Bell Ekspress Kuta Legian Sunset Road. Denpasar adalah ibu negeri Bali. Dari sedikit maklumat yang sempat ditelusuri, nama Denpasar ni khabarnya berasal dari kata-kata Bali ‘den’, maknanya utara dan ‘pasar’, yang bermakna pasar yang menjadikan kota itu sebagai kota pasar. Di bandar ini banyak tempat menarik seperti kuil, istana, muzium dan juga pantai yang indah. Denpasar juga terkenal dengan hasil karya batik yang dibuat daripada kain kapas tulen dengan corak, gaya dan citarasa Bali. Ia dijadikan kain sarung bagi wanita, lelaki, kemeja lelaki serta seluar.

Denpasar berkeluasan lebih dari 120 kilometer persegi dan jumlah penduduknya sekitar 930,280 orang. Kumpulan etnik di sini terdiri daripada orang Bali, Jawa, China dan Sasak. Agama utama yang diamalkan di Denpasar adalah Hindu, diikuti oleh Islam dan Protestanisme. Masyarakat di sini menggunakan bahasa Indonesia sebagai bahasa utama untuk komunikasi bersama bahasa Inggeris kerana terdapat ramai pelancong dari negara-negara barat yang mengunjungi Bali. Disebabkan pertumbuhan pelancongan yang pesat di Bali, Denpasar juga menerima ramai pelawat sepanjang tahun.

Lebih kurang dua jam sekitar Denpasar, kami dibawa ke Hotel Swiss Bell Ekspress Kuta Legian yang terletak di Jalan Legian, Gg. Troppozone, Lingkungan Pelasa, Kecamatan Kuta, Kabupaten Badung, Bali. Hotel Swiss Bell Ekspress Kuta Legian ini bertaraf 4 bintang, bernuansa ceria dan unik, ideal untuk ahli perniagaan dan keluarga. Hanya 15 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai dan berdekatan dengan berbagai destinasi wisata seperti Legian, Pantai Kuta dan Seminyak. Hotel ini juga menyediakan berbagai layanan dan fasiliti seperti  restoran, perawatan tubuh dan ruang pertemuan.

TIBA DI BALI, INDONESIA



13 Februari 2024, saya, isteri dan puteri bongsu selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, Kuta, Bali dengan penerbangan Air Asia QZ551 tepat jam 2.00 petang. Tiba di ruang ketibaan antarabangsa, Mas Arif (pemandu pelancong) sudah menunggu dengan ‘nama saya’ di tangannya. Memang sejak di KLIA lagi kami sudah diberitahu oleh pihak ‘travel agensi’ bahawa Mas Arif akan menunggu kami di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai dan seterusnya akan bersama kami selama 5 hari 4 malam di Bali ini.

Lapangan terbang ini dikenali juga dengan nama Lapangan Terbang Antarabangsa Denpasar. Untuk percutian kali ini saya memilih pakej peribadi (Bali-Nusa Dua-Nusa Penida) iaitu hanya kami bertiga saja dengan seorang pemandu pelancong yang akan bersama sepanjang 5 hari 4 malam kami berada di Bali. Sengaja saya pilih pakej ini kerana serasa lebih selesa tanpa orang lain bersama yang kadang-kadang banyak sangat kerenah yang boleh menyebabkan keselesaan percutian tergganggu.

Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai merupakan lapangan terbang utama di Bali, sekitar 13 kilometer di selatan Denpasar. Ngurah Rai adalah lapangan terbang kedua paling sibuk di Indonesia selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta. Lapangan terbang itu dinamakan sempena Gusti Ngurah Rai I, seorang pahlawan Bali yang meninggal dunia pada tanggal 20 November 1946 dalam pertempuran menentang Belanda di Marga, Tabanan. Semasa Revolusi Indonesia pada tahun 1946, Belanda mengalahkan Indonesia dengan membunuh Ngurah Rai dan lain-lain pejuang. Pada tahun 2018, lapangan terbang ini menawarkan perkhidmatan kepada 23,779,178 penumpang kerana Bali merupakan salah sebuah destinasi teratas di dunia. Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai juga telah dianugerahkan gelaran lapangan terbang ketiga terbaik dunia berdasarkan perkhidmatan dan jumlah penumpang.

SAJAK-SAJAK BALI

sajak:
PESONA PANTAI TANAH BARAK

suara ombak
berhembus angin segar
mentari memancar
langit kebiruan 
pasir putih menghampar
tembang geciran air
ombak bergulung mesra
hati tenang mengapung
terayun dibuai nyaman
suara kanak-kanak
berlarian meligan ketam
mentari kian menghilang
sendalu menderu garang
tak terasa hari mulai petang

SMAHADZIR
Pantai Tanah Barak, 
Bali, Indonesia



sajak:
PANTAI PANDAWA

kali pertama
memeluk mesramu
Pantai Pandawa laksana dewata
pantai pemuja
jutaan pesona

nuansa bening segar di mata
sinar pagi mentari manja
membelai dan mencumbu
hati dan jiwa bersatu
senyumpun bercambah

Pantai Pandawa
riang menghampar
bersama butir pasir 
nan memutih

SMAHADZIR
Pantai Pandawa,
Bali, Indonesia



sajak:
SENJA DI PANTAI MELASTI

mentari terbenam di Pantai Melasti
temaram mengapung
menutupi pesona anggun
inginku berlari mengejar pawana
yang kian beradu
sembari tawapun menghias senja
langkah-langkah pulang
para wisata
dan kami bertiga

cinta lebih akrab di sini
seiring berlabuhnya tabir senja
pada siapa hati bertakhta
angin tetap menghembus kalbu
menyegar rasa menyemarak
kasih dan cinta
pesona dan anggunnya
keindahan pencipta

SMAHADZIR
Pantai Melasti,
Bali, Indonesia



sajak:
SEPAGI DI PANTAI KELINGKING

sepagi di Pantai Kelingking
kantuk masih merayap
namun ciumannya mengagetkan
mesra dan manja
galak mempersona

ghairahnya sepagi itu
bak Arjuna di ranjang asmara
dipanah Dewi Cinta
mentaripun menyeruak membelah kalbu
menyungging senyum
untuk para wisata

ini pantai pesona
pasirnya ramah
ombaknya mesra
belainya menggamit sejuta cinta
seluruh nusantara

SMAHADZIR
Pantai Kelingking,
Bali, Indonesia



sajak:
PERMATA DI PANTAI PERMATA

laksana kemerlap permata
menyilau iris memukau mata
Pantai Permata seindah namanya
langkah jejak-jejak kaki
menyusur pepasir halus putih
bak permaidani nusansa Bali
menawarkan sejuta kecanduan duniawi
menggoda kabus hati menutup ilusi
               
Pantai Permata
kueratkan genggaman tangan isteri
kami melakar aksara-aksara cinta
di tengah gelora mesra yang menghempas
kasih di binar mata
adalah tulus jiwa
merona dan menggerbak              
tak terasa, riak-riak kecil menjauh
hari kian senja              
ombak masih berdesir 
pasir putih masih membentang             
segalanya merajut kenangan

SMAHADZIR
Pantai Permata,
Bali, Indonesia



sajak:
DI PERKAMPUNGAN TOHPATI

batik dan perak
mengundang pesona
untuk dijamah dan didakap pulang
sebagai kenangan

jalan setapak menyusun langkah
kicau-gelicau sapaan ramah
menyambut kedatangan
pesona senyum
bayangan polos sebalik ketara ajakan
hamburlah jutaan rupiah
sebelum pulang ke Malaysia

mentari di sini panas
sepanas poket menggaring
bahang yang menggigit
tak terasa batik dan perak
jadi hakmilik

SMAHADZIR
Tohpati Village,
Bali, Indonesia



sajak:
KUIL PURA PUSEH BATUAN

bukan untuk memuji
sekadar meladeni sejarah lama
budaya manusia-manusia purba
membelakangi Yang Esa
pencipta segala hamba-Nya
hakikat nan nyata

Kuil Pura Puseh Batuan
pemuja Hindu
candi ijuk pohon aren 
jalan utama Denpasar ke Ubud
seribu tahun, desa seniman dan penukang
legenda tua kisah-kisah lama

konsep Tri Kahyangan 
ajaran Mpu Kuturan 
tempat memuja Dewa Brahma 
Dewa Wisnu dan juga Siwa

SMAHADZIR
Pura Puseh Batuan Temple,
Bali, Indonesia



sajak:
TERES PADI KAMPUNG TEGALALANG

sewaktu aku datang
suasana hijau merata
teres padi Kampung Tegalalang
begitu menggamit rasa
segar dan nyaman

kicau unggas sepoi pawana
sapa kabus dan belai embun
bergelombang halus di koklia
memang indah kurniaan Tuhan
untuk bumi Indonesia
bak taman inderaloka
menggerbak harum seantero buana
di naung langit biru mempersona

SMAHADZIR
Rice Terrace, Tegalalang Village,
Bali, Indonesia



sajak:
KOPI LUWAK YANG DIMINUM

sehitam tahi luwak
menelan biji-biji kopi
dari perutnya berupa najis
secawan kopi seharga sejuta rupiah
dihirup dalam debar dan gundah
kenapa mahalnya najis haiwan
yang kejadiannya di paras rendah
tidak berakal lagi pasrah
dan kita mengangkatnya
menjadi raja di istana mewah

kopi luwak yang diminum
adalah hitam kehidupan
manusia yang tertipu
oleh haiwan yang dungu

SMAHADZIR
Coffee Luwak Plantation,
Bali, Indonesia



sajak:
MELADENI KINTAMANI

Kintamani, panorama gunung dan tasik batur 
mempesona jiwa
desa-desa wisata 
berbagai kearifan tempatan 
kaya milik bangsanya
sejarah dan budaya 
berkembang kebanggaan warga
di tengah rukun beragama:
Hindu, Islam dan Cina 
penuh bahagia.

kisah Kintamani di Danur Weda
berfokus kepada ilmu senjata
Maha Rsi Wira Cintamani
nama terkenal pelopor legenda
milik akar bahasa Sanskrit 
bawa bahagia fizikal spiritual.

Raja Singha Mandawa memberi biksu 
tempat pertapaan di Bukit Cintamanimmal
ramai pengunjung datang bertandang
menyemai bibit cinta nan damai
dalam Lontar Wrahespati sloka 65
Cintamani: Asta Guna
mampu mencapai semua impian
dan hasrat terpendam.

SMAHADZIR
Kintamani (Tanah Tinggi Batur),
Bali, Indonesia



sajak:
AIR TERJUN TEGUNUNGAN

indah alamnya amat mempesona 
Air Terjun Tegunungan 
riang unggas gelicau ceria
suasana khas Pulau Dewata 
Desa Kemenuh tempat semayam
diapit bukit tumbuhan merambat
mengesan pancaindera
anak-anak tangga landai
sebalik semak pepohonan lebat 
kawasan Gianyar Bali
riuh pengunjung bermandi-manda
bersama kekasih bersama keluarga

dari aliran Tukad Petanu 
melewati bebatuan berlumut
aliran airnya gesit 
mengundang bahaya jika terleka
meski wisata alam nan tersohor
memukau dan sejuk
debur air berjatuhan
jernih, bersih dan segar
menggamit jutaan pengunjung

SMAHADZIR
Air Terjun Tegunungan,
Bali, Indonesia



sajak:
SEMALAM DI NUSA DUA

mewah dan indah
jadi tumpuan pelancong kaya
penginapan bertaraf bintang
objek wisata mesra layanan
semalam di Nusa Dua 
semarak pesona menggunung
Denpasar lokasi membeli-belah
Bali Collection jadi tumpuan
cenderamata dan buah tangan
Apurva Kempinski Bali jadi impian
luas dan cantik untuk sekeluarga
anak tangga ke Pura Besakih
juga pantai berangin segar
Restoran Koral di bawah air
makan dan minum dilingkung laut

semalam di Nusa Dua
intai budaya setempat
Pura Gegar tempat ibadah 
masyarakat Hindu penyembah berhala
Nusa Dua di sini tercegat
rasa insaf dan kukuh imamat
kepada Tuhan pencipta jagat

SMAHADZIR
Nusa Dua,
Bali, Indonesia



sajak:
CAK CAK CAK TARIAN KECAK

cak cak cak: Tari Kecak bunyi berentak
watak Ramayana kerincing di kaki
selamatkan Shinta dari Rahwana
ramai lelaki beraksi riang
duduk bersila berbentuk lingkaran
hitam putih papan catur
melingkar pinggang penari
para wisata jelas terhibur 

Dari tradisi Sanghyang
diangkat kisah Ramayana
menentang Jentayu serta Hanoman
bermohon pada Dewata
akhirnya Shinta di sayap Garuda 
mahakarya seni dan drama musikal
tempat terbuka hembusan udara 
menjelang matahari terbenam
di atas tebing menghadap laut
bermula ketika senja
hingga didakap gelap malam
di bawah sinar obor nan suram

SMAHADZIR
Bali, Indonesia



sajak:
SATU KETIKA DI KUIL ULUWATU

satu ketika di Kuil Uluwatu 
juga Pura Luhur Uluwatu
tebingnya curam
pantai terkenal tempat meluncur
kuil terbesar di pulau Bali 
antara langit dan laut
Lautan Hindi berombak besar 
menghempas batu-batu tebing

satu ketika di Kuil Uluwatu 
kisah legenda akrab terpateri
bot membatu Dewi Danu
diluaskan Dhang Hyang Dwijwndra
tempat berakhir perjalanan rohani
kilat membuatnya hilang sirna
jalan bertangga ke hutan kecil 
hutan larangan nama diberi
monyet menyeringai sepanjang jalan
panjang tangannya mengundang petaka

SMAHADZIR
Uluwatu Temple,
Bali, Indonesia



sajak:
INDAHNYA RANAH BALI

indahnya ranah Bali
mandala subur
sawah menghijau
aneka unggas berkicau
pasir pantai berhamparan
pepohonan rendang bertebaran
angin laut menyiram kalbu
menambah sejuk membuku
tak seindah tanah airku

indahnya ranah Bali
warganya ramah
senyumannya murah
budaya mesra berlimpah ruah
kaya persaudaraan melimpah
ramai wisata berdatangan
dengan riang menyaksikan
seni budaya sarat kemeriahan
menjadi kebanggaan 
dan impian 
semua wisatawan

SMAHADZIR
Bali, Indonesia



sajak:
NUSA PENIDA

betapa indahnya Nusa Penida
laut berombak alun berolak
lereng bertingkat pasir putih memikat
angin berhubub mesra
berdiri aku di tepi pantai
di bawah langit membentang
merasakan pulau keindahan
Nusa Penida yang ditandang
Bali mandala khatulistiwa
beribu pesona di dalamnya
pemberian Tuhan yang Esa
memeriahkan Indonesia jaya

Nusa Penida
kutulis dalam bait-bait indah
puisi tentang keindahan
dengan ungkapan cinta
akan pesonanya mandala
alam nan luas membentang
sawah dan lautan
gunung-ganang berjajaran
hutan hijau luas berhamparan
Nusa Penida jadi pujaan
wisata sepanjang zaman

SMAHADZIR
Nusa Penida,
Bali, Indonesia



sajak:
GUNUNG BATUR

dingin terapung
diselimut kabus
mandala segar
nyaman nan luas 
cinta di sini bersemayam panjang
dalam doa-doa kental
menitipkan rasa kasih semarak
sebalik malunya mentari
di pinggang Gunung Batur
bak jujai gerimis
menebarkan taburan molekul air
di sela-sela pepohonan hijau
subur menunjang bumi
di sini telah menenggelamkan sendu
yang selalu bergejolak
sinar dingin mentari
menggoda kehadiran
dalam gebar cinta nan bermekaran

SMAHADZIR
Kintamani, Bali,
Indonesia



sajak:
SEEKOR LUAK DAN SECAWAN KOPI

seekor luak dalam kegelapan
menelan biji-biji kopi
lalu dibuang kembali
menjadi najis berketulan
busuk dan hanyir
hampas perut seekor luak
yang kekenyangan

paginya seorang pengusaha kopi
mengutip ketulan najis
yang berlendir membusuk
dan dibawa pulang
dimasak dikeringkan
menjadi secawan kopi penyegar pagi
dihidangkan untuk anak dan isteri

di belukar hening
luak menyeringai senyum
sinis dan ketawa kecil
najisnya jadi hidangan
manusia kelaparan
sembari percaya
apa yang telah dibuangnya
hampas perut nan membusuk
masih jadi kegemaran

SMAHADZIR
Bali, Indonesia



sajak:
PESONA PANTAI TANAH BARAK

suara ombak
berhembus angin segar
mentari memancar
langit kebiruan 
pasir putih menghampar
tembang geciran air
ombak bergulung mesra
hati tenang mengapung
terayun dibuai nyaman
suara kanak-kanak
berlarian meligan ketam
mentari kian menghilang
sendalu menderu garang
tak terasa hari mulai petang

SMAHADZIR
Pantai Tanah Barak, 
Bali, Indonesia



sajak:
DI PUJA MANDALA

kagumku menyeruak
tersergam megah
Masjid Agung Ibnu Batutah
Gereja Katolik Maria Bunda
Vihara Buddha Guna
Gereja Kristian Protestan 
Pura Jagat Natha
lima pusat ibadah
di sini ada
kukuh berdampingan
satu lokasi memasak bumi

aku terkenang Bukit Kasih Kawangkoan
Kabupaten Minahasa, Sulawesi Utara
rumah ibadah lima agama
bermula dari keinginan warga
Muslim dari Pulau Jawa  
sekitar Benoa dan Nusa Dua
memiliki masjid sendiri.

Puja Mandala punya estetika
senibina aneka citra
budaya bangsa Indonesia

SMAHADZIR
Bali, Indonesia



sajak:
SELAMAT TINGGAL PULAU SERIBU PURA

hari ini hari terakhir
liburan pantai 
dan ladeni budaya warga
pulau seribu pura
kaya estetika meruah seninya
ramah dan santun
indah terkenang, elok dan mesra

mengingatmu sarat dewata
pulau seribu pura
bukan untuk memuja
napak tilas pada karya hamba
manusia yang dicipta
Tanah Lot menanti rindu
Bukit Kintamani kukuh berdiri
Blooms Garden masih di mata
Pantai Pandawa menyisakan cinta
Pantai Melasti takkan dilupa
bentang alam nan asri
udaranya segar tanpa polusi
peluk angin membelai sanubari
meladeni senja Jimbaran
damai ke relung hati terdalam
Joger tetap diingat
Krisna pujaan warga
Ubud pasti dirindui
Gianyar menjulur kenangan

pulau seribu pura
mandala budaya
Kuta menyisakan pesona
namun waktu tetap memisahkan
jiwa dan raga
selamat tinggal Bali
selamat tinggal Pulau Dewata
selamat tinggal Kota Budaya
jejak kaki tertanam di pasir putih
abadi kenangan
di gerbang I Gusti Ngurah Rai 
Denpasar lambaian tangan 
hingga jumpa lagi

SMAHADZIR
Bali, Indonesia



sajak:
PULAU DEWATA

indahnya semesta
Pulau Dewata
dari gigi pasir ke ibu kota
manja menatap senja
sirna rasa gundah gulana
Pulau Dewata nan mesra
pesona laut membiru
indahnya penyejuk kalbu
penawar jiwa sendu

Pulau Dewata, wisata pantai
masih asri bumi hijaunya
indah alam ciptaan Tuhan
buat manusia penghuni jagat

SMAHADZIR
Bali, Selangor

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA