Rabu, 3 Januari 2024

PERPUSTAKAAN MENJANA KECEMERLANGAN AKADEMIK

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

UNTUK menjadikan perpustakaan sebagai komponen penting dalam menjana kecemerlangan akademik, sesebuah perpustakaan itu mestilah berperanan sebagai pusat penyebaran maklumat yang terbaik, mampu memberi perkhidmatan yang berkualiti, mampu mewujudkan budaya celik ilmu, mampu meningkatkan kadar literasi maklumat, mampu menjana budaya intelektualisme, mampu mewujudkan budaya menyanjungi ilmu dan pengetahuan, mampu merangsang konsep ‘mutual learning’, mampu mewujudkan budaya perkongsian maklumat dan lain-lain lagi dalam kalangan para pelajar.

Kita harus sedar bahawa usaha melestarikan kecemerlangan sektor akademik bukan hanya memerlukan kewibawaan dalam melahirkan golongan bijak pandai malah merangkumi kepelbagaian aspek lain. Ukuran pencapaian bukan saja diukur melalui kejayaan mengeluarkan graduan berstatus cemerlang, malah dinilai melalui aspek penghasilan bahan bacaan ilmiah.

Sayangnya, penghasilan bahan bacaan ilmiah yang dianggap tulang belakang dalam proses pembudayaan ilmu itu masih gagal menepati citarasa masyarakat yang lebih selesa dengan bahan bacaan ringan serta dianggap mampu merehatkan minda.

Buku bacaan ilmiah mampu melestarikan proses penjanaan ilmu menjadi lebih kritis dan profesional. Ini sekali gus bagai membenarkan tanggapan bahawa bahan bacaan ini memang tidak mampu dikomersialkan, namun dihasilkan bagi memenuhi tanggungjawab golongan tertentu semata-mata.

Persoalannya, mengapakah sukar menembusi minat masyarakat dan warga institusi pengajian tinggi, walhal kandungannya cukup lengkap untuk memenuhi keperluan kepentingan wacana pengembangan ilmu berteraskan pendidikan sepanjang hayat.

Kecenderungan mahasiswa dan generasi muda memilih bahan bacaan ringan kerana terdedah dengan budaya generasi baru yang dilahirkan dalam persekitaran mudah, mewah, pantas dan selesa. Menurutnya, budaya ini menjadikan mereka generasi malas berfikir, kurang berilmu dan hanya memberi fokus pada pendidikan berorentasikan akademik dan peperiksaan semata-mata. Inilah timbal balas daripada arus kemodenan dan peralihan zaman yang memperlihatkan semua aspek hanya ditangani secara mudah dan tanpa inisiatif. Hasilnya, banyak perlu dikorbankan termasuk ilmu pengetahuan.

Berdasarkan kajian dilakukan Perpustakaan Negara pada 2005, secara purata keseluruhan rakyat Malaysia membaca dua buku setahun berbanding purata sebelum ini dua halaman buku setahun, terendah antara negara di Asia. Dalam hal ini, rakyat India mendominasi dengan 35, Thailand (25) dan Indonesia (18). Dari situ, kita dapat melihat bagaimana penerimaan masyarakat terhadap aktiviti membaca. Jadi bagaimana ingin melonjakkan diri menjadi masyarakat berilmu jika aktiviti mudah ini sukar dilaksanakan?

Bahan bacaan ilmiah bukanlah menjadi kegemaran kerana fokus utama yang disasarkan lebih menjurus kepada keperluan pemprosesan ilmu berbentuk serius dan terhad. Secara amnya, mereka lebih menggemari bahan berbentuk ringan dan santai kerana proses pemahaman maklumat menjadi lebih mudah, selain tidak memerlukan ketelitian mendalam bagi memahami fakta.

Tidak hairanlah, bahan ilmiah sukar menembusi permintaan pasaran berbanding bahan bacaan lain kerana ‘sifatnya’ yang sangat serius, padat serta banyak membabitkan fakta saintifik. Jika diberi pilihan, ramai menolak bahan bacaan ilmiah kerana tidak mahu membebankan otak dengan penjanaan maklumat sangat kompleks. Namun tidak boleh salahkan mereka kerana pilihan di tangan individu. Cuma menyedihkan bahan ini seperti terpinggir jika dibandingkan dengan bahan lain berbentuk picisan. Bahan bacaan ilmiah cukup menguji kemampuan intelek seseorang selain menaikkan prestij pengetahuan ke tahap lebih baik.

Lambakan bahan ilmiah di pasaran kian membimbangkan golongan intelektual kerana bukan saja permintaan berkurangan malah merencatkan industri penulisan subjek kritikal kerana tumpuan lebih diberikan kepada bahan bacaan yang mampu menjana pulangan lumayan. Dengan kata lain, bahan ilmiah sukar dikomersialkan, sekali gus menghadapi masalah lambakan di pasaran mahupun pengeluaran terhad kerana permintaan yang sedikit.

Mengenai kelesuan minat dan permintaan, tiadanya daya tarikan terhadap kandungan mahupun cara susun atur selain penggunaan bahasa Inggeris sebagai antara faktor penyumbang terbesar. Bagaimanapun, faktor itu sukar dielak kerana penghasilan bahan bercetak berkenaan dibuat atas sasaran membudayakan peningkatan ilmu secara profesional, berilmiah dan fokus.

Buku ilmiah memang membosankan, terlalu profesional dan korporat. Namun, itulah identitinya serta sukar dielak kerana tujuan ia diterbitkan untuk membudaya wacana ilmu serta meningkatkan daya intelek individu. Bagaimana boleh dikatakan ilmiah jika penyampaiannya dilakukan secara santai? Itu tidak akan mencapai matlamat penulisannya selain akan memporak-perandakan proses pengembangan ilmu yang berpaksikan fakta serta penyelidikan.

Mesti ada perbezaan, cuma kehendak masyarakat suka kepada buku berbentuk ringan mengehadkan penjualan dan permintaan biarpun susun aturnya menarik. Budaya masyarakat tempatan yang sukar membaca menjadikan bahan ilmiah semakin terpinggir, ditambah pula tanggapan hanya untuk golongan ‘pandai’. Kebanyakannya pula dalam bahasa Inggeris. Masyarakat menjadikannya alasan untuk menolak sedangkan kini banyak bahan diterjemahkan ke bahasa Melayu. Hakikatnya, kita belum terbuka berbanding masyarakat antarabangsa yang sentiasa teruja dan terdedah dengan pelbagai bahan bacaan berat.

Namun, mengatakan kita langsung tidak suka, itu tidak benar tetapi jumlahnya kecil. Bahan ilmiah berkaitan pertanian, tumbuhan herba, landskap dan reka cipta dan perubatan sentiasa dicari. Mungkin kerana mudah difahami, bergambar atau lama di pasaran menjadikannya diterima dalam lingkungan masyarakat termasuk sebagai bahan rujukan. Usaha lebih padu perlu dilakukan bagi menjadikan bahan ilmiah diterima selain mendidik masyarakat jangan terlalu taksub pada bahan picisan.

Perangkaan 2005 mendapati hanya 10,310 judul buku dalam pelbagai bidang didaftarkan setahun berbanding 180,000 judul di China, 116,000 (United Kingdom), 60,000 (Amerika Syarikat) dan 45,000 (India). Daripada 10,310 judul buku berdaftar setahun itu, hanya 1,273 atau 32 peratus bahan bacaan santai di samping buku teks akademik dan kanak-kanak.

Kini kebanyakan institusi pengajian tinggi awam mempunyai bahagian penerbitannya sendiri selaras usaha memperkaya dan memperbanyakkan lagi penerbitan bahan berbentuk ilmiah kepada masyarakat. Antaranya Penerbit Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI).

 

NAK RAJIN BACA BUKU

SYED MAHADZIR SYED IBAHIM

ADA di antara kita yang mendapati amat susah untuk memulakan sesuatu perkara terutama yang tidak disukai ataupun yang tidak pernah kita cuba. Akibatnya apa yang perlu dilakukan sering ditangguh untuk menanti bila ada mood, idea, masa, daya penggerak semangat atau motivator untuk tolak atau dorong kita. Tunggu punya tunggu, akhirnya semua hilang. Mood hilang, idea hilang, masa terbuang, motivator lari. Akhirnya kita tidak buat langsung.

Contoh yang paling ketara ialah membaca. Rakyat Malaysia masih dianggap tidak suka membaca. Kalau kita buat kajian secara spontan di stesen komuter, LRT, lapangan terbang, stesen bas dan tempat-tempat menunggu pengangkutan awam, kita boleh kira dengan jari tangan... bilangan orang yang membaca, jumlahnya tidak sampai sepuluh orang yang akan kita lihat sama ada membaca buku, membaca majalah, membaca akhbar atau membaca apa juga bahan bacaan. Kebanyakkannya yang lihat lihat ialah ramai yang tidur, ramai yang makan di pelbagai tempat, ramai yang bergayut di telefon, ramai yang hanya duduk-duduk saja sambil memerhatikan orang lalu-lalang di hadapannya, ramai yang  bersembang, berbual, mengumpat, dan ramai juga yang termenung.

Jadi, macam mana nak didik diri suka membaca?

Pertama

Cari minat. Cuba perhatikan di sekitar kita, dalam kehidupan seharian, mesti ada sesuatu yang menarik minat kita. Contoh, kita suka membeli kasut, baju, seluar, jam tangan atau beg tangan. Dari situ kita latih diri kita untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang semua barangan yang hendak kita beli tersebut. Ciri-ciri kasut yang macam mana sesuai untuk jenis kaki, jenis baju atau seluar yang hendak kita beli, yang sesuai dengan bentuk tubuh kita, jenama jam tangan atau beg tangan yang bagaimana yang bakal kita beli dan sebagainya. Fesyen kasut, baju, seluar, jam dan beg tangan bagaimana yang sesuai mengikut usia, bahan buatan yang tahan lasak, harganya yang sesuai dengan kehendak kita dan sebagainya.

Selain itu mungkin kita juga ingin tahu panduan-panduan penjagaan kasut, baju, seluar, jam tangan atau beg tangan, yang pastinya berkaitan dengan cara dan jenis barangan tersebut yang kita pakai. Mungkin juga kita perlu tahu apa kesannya jika kita selalu pakai kasut tumit tinggi, pakai baju atau seluar yang ketat, pakai jam atau beg tangan yang muda luntur warnyanya. Sudah pastinya kita akan dapat maklumat sebegini sama ada dalam internet ataupun dalam buku. Secara tidak langsung, kita akan didik diri untuk membaca.

Kedua

Jangan tamak. Semua kita nak buat. Mulakan minat dengan memfokus kepada satu-satu bidang dahulu. Kalau kita suka makan, mengapa tidak kita cuba masak sendiri? Cari buku resipi dan cubalah pelbagai resepi. Atau cari resepi yang terdapat dalam internet. Kalau kita ni jenis suka makan di luar, kita fokus pada pengetahuan mengenai amalan pemakanan untuk kesihatan. Kalau kita suka pada pakaian cantik, carilah buku mengenai fesyen ataupun buku yang berkaitan dengan jahit menjahit. Kalau kita selalu tempah baju daripada tukang jahit, bayangkan diri kita menjahit baju sendiri. Carilah buku belajar menjahit. Dengan cara ini akan timbul minat membaca dalam diri kita.

Ketiga

Ketepikan atau peruntukkan sedikit duit untuk membeli buku. Pada setiap bulan, peruntukkan sedikit wang untuk beli apa juga bahan bacaan seperti novel, buku-buku berkaitan agama, buku berkaitan hobi dan sebagainya. Tidak perlu mulakan dengan yang mahal. Beli satu buku yang ada maklumat tentang apa yang kita mahu tahu. Yang harganya kurang dari RM10 pun tidak apa kerana ia adalah buku juga namanya. Saya percaya bahawa kualiti sesebuah buku tidak terletak pada harganya, tetapi ia terletak pada apa yang kita mahukan dari buku tersebut.

Keempat

Beli buku sendiri. Elak dari meminjam buku orang lain untuk kita baca. Nanti kita membaca tanpa kualiti kerana desakan masa untuk memulangkan buku. Sudah pasti kita akan membaca secara cepat kerana nak pulangkan kembali kepada tuan punya buku tersebut dengan kadar yang segera. Kalau beli buku sendiri, kita akan membacanya kerana kita dah kumpul duit sendiri, kita membeli buku tersebut dengan duit sendiri. Rugilah kalau kita tidak membaca buku yang sudah kita beli itu.

Kelima

Masa. Buku sudah dibeli. Jadi, kenalah baca. Bila nak baca?. Bila-bila masa yang boleh kita tentukan sendiri. Jangan ada orang lain tetapkan masa untuk kita membaca. Dalam masa 24 jam, pasti ada 20 minit yang kita terluang untuk membaca buku. Bohong kalau ada yang kata tiada masa langsung hendak membaca buku. Jangan pilih masa hendak tidur baru kita hendak membaca kerana ini akan membuatkan kita tertidur tanpa sempat membaca sampai habis. Kalau membaca waktu hendak tidur, ketika itu otak kita sudah kepenatan. Masa paling baik ialah ketika kita sedang menunggu. Dengan cara membaca, kita boleh atasi masalah jemu menanti atau menunggu, dalam masa yang sama kita dapat ilmu. Peribahasa Inggeris ada mengatakan ‘killing two birds with one stone’ atau dalam bahasa Melayunya, ‘sambil menyelam minum air’.

Keenam

Buku depan mata. Maksudnya, kita mesti letakkan buku di tempat yang kita selalu nampak, tempat yang mudah kita pegang atau capai, dan tempat yang sesuai untuk diletakkan buku. Jangan letak buku di tempat yang tinggi, yang sukar untuk kita ambil. Jangan letak buku di tempat yang tersorok seperti di belakang almari dan sebagainya. Jangan letak buku di dalam stor yang sukar dilihat oleh mata kita. Kalau setiap minit kita nampak buku, tak kan tidak mahu jenguk isinya langsung. Sudah pasti, ada ketikanya kita akan selak halaman buku tersebut lalu membacanya.

Ketujuh

Berdikit-dikit. Lama-lama jadi bukit. Membaca buku tidak semesti kita mengadapnya dari mula sampai habis dalam satu waktu, macam kita baca novel Enid Blyton masa sekolah dulu. Saya pernah membaca buku karangan Enid Blyton selama sebulan baru habis menelaah isi kandungan cerita yang dipaparkan. Jadi, ambil masa untuk selami kandungan sesebuah buku itu dengan penuh minat. Catat fakta-fakta yang penting, atau fakta-fakta  yang menarik di dalam buku yang kita baca tersebut.

Kelapan

Catatan tarikh baca. Catat dengan pensil, tarikh pada setiap muka surat yang kita telah baca. Tujuannya untuk mengingatkan kita, bila kali terakhir kita baca buku tersebut. Anggapkan ini satu catatan yang sentimental dan personal bagi kita. Anggapkan ini tarikh jumpa buah hati. Apa rasa kalau lama tidak berjumpa? Tentunya kita akan rindu, bukan?

Kesembilan

Anggap membaca seperti vitamin. Kalau tidak makan vitamin macam mana badan kita nak sihat? Tenaga tidak ada untuk melakukan kerja jika badan tidak ada vitamin. Lama kelamaan badan kita akan rasa lemah sangat. Begitulah otak yang tidak disemai dan dibaca dengan ilmu yang ada dalam buku. Otak tersebut akan jadi lemah, tidak bermaya dan akhirnya kosong.

Kesepuluh

Daftarkan diri untuk melanjutkan pelajaran. Pastinya kita mesti membaca walaupun terpaksa. Dengan cara ini lama kelamaan kita akan jadi terbiasa.

Banyak lagi yang boleh dikongsi tetapi nanti terlalu panjang pula nak dibaca. Apa-apa pun, mulakan dengan langkah pertama dahulu. Tanpa langkah pertama tidak akan ada langkah kedua, ketiga dan seterusnya. Jangan tunggu lagi, lakukan terus apa yang perlu dilakukan.

Selamat maju jaya. Semoga kita sama-sama berada dalam golongan orang yang minat membaca dan orang-orang yang mahukan otak sentiasa berkembang. Kurang membaca boleh menjadikan otak kita jadi tepu dan beku. Bila otak sudah tepu dan beku, mulalah kita akan memandang persekitaran kita dengan persepsi yang negatif sahaja akibat cetek fikiran. Jadi, berjinak-jinaklah dengan amalan suka membaca.

MEMBACA MASYARAKAT

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

APA perlunya sesebuah masyarakat membaca? Apa pentingnya pembacaan dalam sesebuah masyarakat? Dan apa pula risikonya jika konsep ‘masyarakat membaca’ gagal direalisasikan dalam sesebuah negara, bangsa yang sedang pesat membangun seperti Malaysia.

Konsep ‘masyarakat membaca’ sebenarnya bukanlah baru dalam kamus pendidikan. Konsep ini memperihalkan perkembangan masyarakat yang menjadikan aktiviti pembacaan salah satu prasyarat untuk terus menapak maju. Membaca bukan suatu natijah tetapi sebagai wahana dan salah satu peringkat dalam kemajuan sesebuah masyarakat. Oleh yang demikian, matlamat sesebuah masyarakat membaca bukan sekadar peratus literasi dan tabiat membaca yang tinggi semata-mata.

Matlamat masyarakat membaca ialah kelahiran budaya ilmu yang mantap. Dalam sesebuah masyarakat membaca, ilmu menduduki tangga teratas dalam sistem nilainya. Sementara aktiviti keilmuan berteraskan ketuhanan, keadilan dan kebenaran menjadi keutamaan berbanding kegilaan mengejar harta benda dan pangkat, apatah lagi hiburan dan sukan. 

Keutamaan terhadap ilmu seharusnya selari dengan pandangan hidup dan jiwa murni menuju status insan kamil. Masyarakat membaca juga menjadikan ilmu sebagai landasan hidup. Yang dicari dengan ghairahnya ialah ilmu, bukan maklumat. Yang dicitakan ialah tahap kebijaksanaan atau hikmah, bukan sekadar sijil akademik pelbagai tahap dan bidang. Justeru, masyarakat membaca sangat cintakan bahan-bahan ilmu, khususnya buku, jurnal dan majalah, yang menyalurkan ilmu dan menyuburkan hikmah.

Bagi sesebuah masyarakat membaca matang, bukan sahaja ghairah dan mengamalkan tabiat membaca. Malah mengutamakan mutu bahan bacaan. Mereka hanya membaca bahan-bahan ilmu yang terbukti keunggulannya. Dalam masyarakat Amerika Syarikat misalnya, kelompok masyarakat membaca yang diketuai oleh Mortimer J. Adler mengamalkan konsep karya agung atau great books yang mengandungi bahan-bahan klasik daripada pelbagai tamadun. Bahan-bahan ini bukan sahaja dibaca sebagai bacaan asasi, malah dibahaskan daripada pelbagai pendekatan dan teori.

Menerusi aktiviti sebegini, para pembaca akan terbiasa dengan bahan-bahan ilmu yang matang dan bernas. Pembaca juga boleh melatih minda berfikiran besar selari dengan gagasan-gagasan besar sebalik karya agung tersebut. Di Malaysia, hal seumpamanya sedang diusahakan Yayasan Karyawan, antara lain, sedang menterjemah dan menerbitkan siri karya agung dalam pelbagai tamadun. Kita berharap karya-karya agung ini dijadikan bahan bacaan oleh seluruh peringkat masyarakat sedikit masa lagi.

Natijahnya nanti, lahirlah masyarakat Malaysia yang lebih ghairah membahaskan idea dan gagasan besar, berbanding membicarakan hal-hal remeh-temeh apalagi gosip. Kita berharap gagasan karya agung ini juga akan menenggelamkan bahan-bahan bacaan status murahan dan longkangan, serta menangkis wibawa berita angin, persepsi dan reputasi surat layang.

Dalam hal ini, barangkali ada baiknya kita meneliti pepatah Inggeris ini: ‘Minda agung membicarakan idea; minda awam membicarakan peristiwa; minda kecil membicarakan hal orang lain; dan minda kerdil membicarakan diri sendiri.’

 

Mencorak Pemikiran Masyarakat Membaca

 

Malaysia tidak ketinggalan dalam menyemarakkan gerakan membaca, dengan memasukkan agenda sambutan Hari Buku Sedunia ke dalam kalendarnya. Negara-negara lain juga menyambutnya dengan meriah seperti Australia, Kanada, Ivory Coast, Cuba, Finland, Jerman, Greece, Itali, Madagascar, Maghribi, Mozambique, Puerto Rico, Sepanyol dan Sweden. Namun agak berbeza dengan United Kingdom, yang menyambutnya pada 1 Mac setiap tahun.

Namun satu persoalan penting yang perlu difikirkan bersama ialah sejauh manakah slogan-slogan ini memainkan peranan penting untuk mencorak pemikiran masyarakat bagi merealisasikan matlamat kewujudan masyarakat membaca. Seharusnya, slogan-slogan itu perlulah dirujuk kepada matlamat akhir sesuatu visi besar. Misalnya dalam konteks pembinaan negara bangsa, Malaysia sudah mempunyai Wawasan 2020.

Maka, seharusnya setiap visi dan misi tindakan setiap agensi kerajaan, mahupun swasta terarah ke Wawasan 2020. Meski Wawasan 2020 bukanlah satu wawasan sempurna. Malah, tidak ada yang sempurna di dunia ini, kecuali Allah. Maka, sebagai sebuah bangsa yang sedang menuju ke arah kejayaan, wawasan ini perlu sentiasa dibincang dan dibaiki.

Begitu juga setiap slogan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur perlu turut menghala ke arah Wawasan 2020. Kewujudan slogan-slogan ini sudah cukup baik untuk menjadi satu platform bagi menyediakan satu masyarakat benar-benar membaca. Namun, sejauh manakah kesediaan slogan-slogan ini dapat dipergunakan sepenuhnya oleh institusi-institusi berwajib dalam menjayakan gerakan membaca ini?

 

Bagaimana Membaca dan Memahami Masyarakat

 

Aset yang paling besar dalam sesebuah negara ialah putera dan puterinya atau pemuda-pemudinya. Ini kerana mereka adalah pelapis-pelapis atau pengganti generasi yang sedia ada. Masa depan sesuatu bangsa itu bergantung kepada mereka. Baik mereka, akan baiklah bangsa itu. Manakala jika mereka rosak, akan rosaklah bangsa tersebut.

Kerana itulah jika seseorang pemimpin itu baik, bertakwa dan bertanggungjawab terhadap Tuhan, agama dan bangsanya, dia akan menitikberatkan soal perkembangan pemuda-pemudi yang sedang membesar itu. Dia akan menganggap mereka adalah suatu aset yang penting. Andai tersilap dalam menjaganya, akibatnya akan punah dan rosaklah satu bangsa. Kesan negatif itu setidak-tidaknya akan berlanjutan untuk 100 tahun yang akan datang.

Sebaliknya kalau pemimpin itu jahat, tidak bertakwa, tidak takut Tuhan, tidak bertanggungjawab terhadap Tuhan, agama dan bangsanya, dia akan mengambil kesempatan ke atas aset penting ini untuk kepentingan peribadinya. Dia akan merancang satu sistem pendidikan yang membuatkan pemuda-pemudi itu rosak. Ini supaya apabila mereka rosak, hasilnya mereka tidak akan berfikiran panjang dan mudah diperalatkan untuk membuat kerja-kerja demi kepentingan peribadi pemimpin tersebut.

Memang terdapat pemimpin yang sanggup berbuat demikian demi kepentingan peribadinya. Pemuda dan pemudi yang telah rosak itu adalah ladangnya. Di situlah sumber kekayaan dan kesenangannya. Cuma hal ini tidak dapat dikesan kerana kerosakan itu sudah meluas dalam kalangan kebanyakan orang pada waktu ini.

Maka terkorbanlah agama dan bangsa selama beratus tahun. Sejak empayar Islam jatuh 700 tahun yang lalu, hingga kini masih belum ada bangsa atau negara Islam yang maju dan disegani kawan dan lawan. Umat Islam kini terhina di mana-mana bahkan di tanah air mereka sendiri. Mereka tidak dapat melepaskan diri dari menumpang musuh-musuh mereka sama ada dalam soal kehidupan, ilmu, ekonomi, teknologi dan lain-lain lagi. Begitulah keadaan umat Islam dan sehingga hari ini keadaan itu masih belum pulih lagi.

Sebab itu pemimpin yang takutkan Tuhan dan bertakwa kepada Allah, dia sangat menjaga aset ini walaupun dia terpaksa berkorban, tiada masa rehat bahkan sentiasa memimpin ketika sakit sekalipun. Pemuda-pemudi adalah pelapis pemimpin dan generasi yang sedia ada. Rosak mereka ini bererti tidak akan ada pemimpin dan generasi pelapis.

Tetapi tidak ramai bahkan boleh dibilang dengan jari umat Islam yang berfikiran begini. Hari ini kebanyakan umat Islam hendak jadi pemimpin kerana di situ ada kepentingan peribadi. Tidak mengapa kalau rakyat hancur dan jadi alat demi kepentingan mereka. Kerosakan dan keruntuhan akhlak para pemuda dan pemudi bangsa tidak menjadi kebimbangan mereka demi menjayakan agenda peribadi mereka. Begitulah cara berfikir kebanyakan umat Islam hari ini.

Tetapi bagi orang yang boleh berfikir dan boleh menganalisa masyarakat, apabila melihat kepada apa yang berlaku waktu ini, dia sudah tahu apa akan terjadi 50 tahun akan datang. Yakni dia melihat sama ada dari segi:

 

1.     perkembangan politik

2.     perkembangan pemuda-pemudinya

3.     perkembangan hasil pendidikannya

4.     ekonominya

5.     keadaan masyarakatnya.

 

Begitulah kaedahnya untuk membaca masyarakat. Untuk menjadi seorang yang peka dalam hal ini tidaklah susah. Caranya ialah dengan:

 

1.     mengasah akal

2.     menghidupkan roh

3.     memahami isu-isu semasa seperti perkembangan sistem pendidikan, politik dan sebagainya

4.     melihat buahnya atau hasil perkembangan tadi yakni apa yang telah terjadi kepada muda-mudi.

 

Dengan itu kita akan dapat menjangkakan apa yang akan jadi 100 tahun akan datang. Begitulah asas-asas untuk kita menjadi orang yang berfikir mengenai masa depan agama dan bangsa kita. Semua orang boleh berperanan sebegitu tetapi selama ini kita telah membunuh akal dan jiwa kita sehingga hilang kepekaan terhadap apa yang berlaku kepada agama dan bangsa, perkara itu tidak dapat kita fikir dan rasakan.

Selama ini kebanyakan orang Islam hanya memikirkan soal makan dan minum serta bagaimana untuk hidup senang dan berseronok sahaja. Justeru itu, tiada kepekaan terhadap apa yang akan berlaku kepada agama dan bangsa. Tetapi bagi mereka yang peka dan bertanggungjawab, dia akan rasa takut dan bimbang terhadap apa yang akan menimpa bangsa dan negaranya.

Walaupun tidak belajar tinggi hingga ke peringkat universiti, seseorang itu tetap boleh menjadi orang yang berjiwa besar dan berfikir mengenai masa depan bangsanya dengan menajamkan akal dan rohnya dan berguru dengan pengalaman dalam kehidupan yang dilaluinya. Dia akan dapat melihat apa yang akan berlaku pada orang Melayu 20 tahun lagi hingga dengan sebab itu dia akan sentiasa memikirkan nasib bangsanya.

Kalau kita lihat masyarakat, sewaktu taraf pendidikan masih di peringkat awal kemajuannya pada tahun-tahun 50 dan 60-an dahulu, tidak pernah pula berlaku kes-kes seperti murid melawan guru, murid bergaduh hingga berbunuh-bunuhan, gejala lepak dan sebagainya. Tetapi sekarang waktu sudah begitu ramai profesor dan tokoh-tokoh pendidikan, kita dapati ramai pula yang terlibat dengan masalah-masalah tadi termasuk penyalahgunaan dadah. Semakin ramai yang ditangkap dan dihantar ke pusat-pusat pemulihan dan pusat serenti.

Yang lebih menyedihkan lagi, kebanyakan yang masuk ke pusat-pusat pemulihan itu adalah dari kalangan bangsa Melayu. Dalam kalangan mereka itu ada guru, jurutera, pegawai dan sebagainya. Yang menjadi masalah kepada masyarakat, jumlah mereka mencecah angka ratusan ribu. Ia berlaku di tengah-tengah masyarakat yang ada ilmu. Begitulah hasil pendidikan pada hari ini. Walaupun perkembangan ilmu makin pesat namun gejala yang melanda masyarakat juga makin berleluasa.

Dari sudut perkembangan politik pula, masyarakat boleh berpecah belah bahkan suami isteri pun boleh bercerai disebabkan perbezaan fahaman politik. Dalam masjid pun boleh berlaku pergaduhan kerana perbezaan politik. Ini buah dari perkembangan politik hari ini. Ketika musim pilihan raya kita dapat lihat nanti ada emak ayah, adik-beradik dan suami isteri tidak bertegur sapa walaupun hidup serumah hanya kerana perbezaan fahaman politik. Begitu haru-biru dibuatnya. Itulah buah politik hari ini.

Manakala perkembangan ekonomi pula, kita dapati belum banyak lagi kemajuan pembangunan ekonomi yang berlaku di tangan orang Melayu. Walaupun sudah berbagai usaha dari pihak kerajaan bagi memajukan ekonomi orang Melayu namun keadaan masih tidak banyak berubah. Yang ada hanya ekonomi negara. Sejak tahun 1957 sampai sekarang, sudah adakah sebuah bandar yang dibangunkan dan dimajukan sepenuhnya oleh orang Melayu? Walaupun sudah lebih 59 tahun berusaha untuk membangunkan ekonomi orang Melayu, tetapi sebuah pekan orang Melayu pun belum ada.

Kebudayaan pula sudah rosak. Kebudayaan sebenarnya ialah cara hidup seperti cara berkeluarga, cara bermasyarakat, cara berekonomi dan cara berpendidikan. Kebudayaan itu dari perkataan budi dan daya. Budi itu akhlak manakala daya pula ialah usaha dan tatacara. Ertinya dalam pergaulan sesama manusia, apakah ada budi di situ? Apakah ada akhlak atau tidak? Apakah tata caranya betul? Budaya itu cara hidup dari semua aspek. Contohnya, umat Islam, budayanya apabila berhimpun, perempuan di satu tempat, lelaki di satu tempat yang lain. Tapi cuba lihat apa yang berlaku sekarang. Umat Islam bebas bergaul lelaki dan perempuan di mana-mana. Begitu juga dengan berpakaian. Budaya umat Islam berpakaian menutup aurat. Namun bukan sedikit umat Islam sekarang yang tidak menutup aurat, baik lelaki mahupun perempuan.

Jadi begitulah beberapa contoh bagaimana kita membaca masyarakat. Kita sudah dapat melihat buah atau hasil dari perkembangan empat sistem dalam kehidupan iaitu pendidikan, politik, ekonomi dan kebudayaan. Untuk memahami hal ini tidak semestinya kita mempunyai ijazah dalam bidang-bidang berkenaan. Jika kita tajamkan akal dan ada cita-cita untuk membaiki nasib bangsa, kita akan dapat melihat dan memahaminya.

 

MEMBACA JAMBATAN ILMU

 SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

'Membaca jambatan ilmu’ merupakan satu ungkapan yang sering kita dengar apabila berbicara tentang tabiat membaca. Melalui ungkapan itu, kita mengetahui bahawa membaca merupakan satu budaya atau tabiat yang penting untuk mendapatkan ilmu dan maklumat dalam era globalisasi ini walaupun kita telah dihidang dengan pelbagai sumber maklumat yang lain seperti internet.

Terdapat pelbagai langkah yang boleh diambil untuk memastikan tabiat atau budaya membaca dalam kalangan masyarakat, antaranya ialah peranan ibu bapa dalam membentuk minat membaca dalam diri anak-anak mereka sejak mereka kecil lagi. Melalui cara ini, kanak-kanak yang telah dididik dengan cara hidup sedemikian akan membawa tabiat itu sehingga mereka dewasa dan menerapkan perasaan minat membaca kepada generasi seterusnya. Hal ini secara tidak langsung akan meningkatkan budaya membaca di samping memastikan tabiat tersebut sentiasa berterusan dalam kalangan masyarakat.

Di samping itu, kerajaan turut mempunyai peranan yang penting dalam memastikan minat dan budaya membaca ini meningkat dalam kalangan masyarakat Malaysia. Kerajaan telah mengadakan pelbagai kempen yang mempunyai objektif yang sama iaitu memupuk minat membaca selaras dengan status negara kita sebagai sebuah negara yang sedang membangun di samping meningkatkan keberkesanan kempen yang sedia ada.

Walaupun mentaliti masyarakat kita masih berada pada tahap yang rendah, namun masih belum terlambat lagi untuk mengubah persepsi mereka terhadap budaya membaca yang selalunya dianggap sebagai sesuatu yang membosankan dengan menarik minat mereka untuk turut serta dalam kempen-kempen yang diadakan oleh kerajaan. Dengan cara ini, minat membaca boleh dipupuk dari segenap peringkat umur masyarakat di samping memastikan matlamat negara tercapai iaitu membentuk masyarakat yang mempunyai mentaliti kelas pertama setanding dengan negara-negara maju yang lain.

Di peringkat universiti pula, langkah yang boleh diambil untuk menerapkan minat membaca khususnya dalam kalangan pelajar, antaranya ialah meningkatkan keberkesanan pengurusan perpustakaan universiti dan membaiki suasana perpustakaan supaya lebih tenang dan menarik minat pelajar-pelajar untuk sentiasa mengujunginya.

Selain itu, pihak universiti boleh mengadakan lebih banyak program yang berkaitan dengan pembacaan seperti pertandingan pidato atau menulis cerpen atau esei. Hal ini akan menyuburkan budaya membaca dalam diri setiap pelajar di samping mewujudkan semangat untuk bersaing antara satu sama lain.

Media massa sama ada media cetak atau media elektronik merupakan sahabat karib kerajaan. Justeru, keberkesanannya dalam mempromosikan setiap kempen yang diadakan kerajaan tidak boleh disangkal lagi. Iklan-iklan yang berkaitan dengan kempen-kempen membaca yang diadakan oleh kerajaan atau badan-badan bukan kerajaan mestilah cukup menarik untuk mencuri perhatian masyarakat supaya sedar tentang kebaikan membaca di samping mendorong mereka untuk menyertai kempen yang diadakan.

Selain itu, media cetak seperti surat khabar atau majalah ilmiah hendaklah menyiarkan artikel-artikel yang menarik supaya pembaca tertarik untuk membacanya. Selain memupuk minat membaca, hal ini juga akan mendedahkan masyarakat terhadap isu-isu semasa di dalam mahupun luar negara.

Tuntasnya, amalan membaca yang mempunyai banyak kelebihan hendaklah dipupuk dalam diri setiap ahli masyarakat. Pihak-pihak yang bertanggungjawab seharusnya memikirkan dan mencari jalan supaya membaca menjadi amalan dan budaya masyarakat Malaysia dalam mengejar pembangunan global.

Pada zaman moden ini buku mengenai apa juga ilmu serta buku-buku cerita boleh didapati di mana-mana sahaja. Harga buku amatlah murah berbanding dengan ilmu yang terkandung di dalamnya. Kedai-kedai buku membekalkan ribuan buku dengan berbagai tajuk, sehingga dengan perbelanjaan sedikit sahaja kita dapat mendalami seribu satu bidang ilmu yang boleh memperkayakan akal fikiran kita. Hanya yang diperlukan ialah minat membaca. 

Pada zaman dahulu buku tidak begitu mudah didapati. Ia dianggap sebagai alat pengetahuan yang ajaib dan terhad kepada orang-orang tertentu sahaja. Kulit-kulit buku dahulu disalut dengan logam dan mempunyai kunci supaya hanya orang-orang yang tertentu sahaja boleh membuka buku dan membaca isi kandungannya. Ini adalah kerana isi kandungan buku memberi pengetahuan yang ditegah bagi orang biasa. Sebabnya ialah kerana pengetahuan yang mungkin didapati dipercayai boleh memberi kuasa istimewa kepada pemiliknya. 

Hari ini tidak ada lagi larangan bagi sesiapa pun untuk membaca dan menerap apa juga ilmu dalam mana-mana buku. Yang dahulu dilarang, sekarang sudah didedah dan dibukakan kepada sesiapa sahaja yang ingin mengetahuinya. Bagi manusia yang bersyukur, peluang keemasan ini tidak boleh dilepaskan. Secara kebetulan, membaca dan menerapkan ilmu dengan mudah ini adalah satu nikmat yang perlu kita hargai dan kita gunakan dengan sepenuhnya. 

Masyarakat yang jahil tidak akan mengecapi kebahagiaan. Mereka akan hidup untuk makan, minum, tidur dan memenuhi nafsu sahaja. Masyarakat yang hidup kerana memenuhi nafsu semata-mata akan ditindas dan diperalatkan oleh orang yang berpengetahuan. Mereka akan diperhambakan. Mereka akan menjadi masyarakat yang tidak bermaruah. 

Pada zaman di mana segala ilmu dibukukan dan banyak terdapat kemudahan membaca, tidak ada alasan bagi mana-mana masyarakat menjadi jahil. Sudah tentu di Malaysia, di mana pelajaran asas boleh didapati secara percuma, kegagalan menimba ilmu daripada buku-buku tidak boleh dipertahankan. Sudah tentu tidak ada sesiapa pun yang boleh mendalami semua ilmu yang dapat diperolehi sekarang.

Tetapi, rakyat di negara yang ingin maju mestilah faham dengan lebih luas akan perkembangan-perkembangan yang mempunyai kesan terhadap kehidupan mereka. Ini bermakna kefahaman serba sedikit berkenaan alam sekeliling, sejarah, sains dan teknologi dan agama. Rakyat yang lebih berpengetahuan akan menjadi lebih waras dan lebih cekap dalam mempertimbangkan reaksinya terhadap segala kejadian dan tindakan yang mempunyai kesan kepada diri mereka dan kepada masyarakat. Sudah tentu masyarakat yang dianggotai oleh rakyat yang waras dan bertanggungjawab akan menjadi lebih maju dan bahagia. 

Penerapan ilmu daripada buku-buku tidak bermakna membaca buku-buku yang khusus untuk ilmu-ilmu tertentu. Buku-buku novel juga dapat membekalkan berbagai ilmu kepada pembacanya. Di samping itu, kita dapat mengenali pemikiran penulis dan falsafahnya. Banyak daripada cerita yang dihasilkan oleh penulis-penulis terkenal seperti Tolstoy, Dickens, Pramoedya, Zurinah Hassan, Shahnon Ahmad dan lain-lain mempunyai analisa sosial yang mempengaruhi aliran pemikiran dan pembangunan masyarakat pada zaman-zaman tertentu. 

Untuk memperolehi ilmu, kita tidak boleh memiliki nasionalisme yang terlalu sempit. Sepertimana juga kita sanggup menjelajah ke negara jauh dan menguasai bahasa-bahasa asing untuk mendapat ilmu, begitu juga kita harus menguasai bahasa-bahasa lain untuk membaca buku-buku dalam bahasa asing. 

Walau bagaimana kita berusaha sekalipun, tidak mungkin kita boleh mengalih-bahasakan semua buku di dunia ini. Oleh itu, untuk mendapat faedah daripada pembacaan buku, penguasaan bahasa-bahasa asing amatlah penting. Jika kita ingin menterjemahkan buku bahasa asing sekalipun, kefasihan dalam bahasa-bahasa asing adalah perlu. Pada zaman moden ini, orang yang berilmu mesti menguasai sekurang-kurangnya dua bahasa iaitu bahasa ibunda atau bahasa kebangsaannya dan satu lagi bahasa asing. Orang biasa juga perlu mengetahui sedikit-sebanyak bahasa asing.

Dengan itu, maka akan terbukalah sumber ilmu yang lebih luas kepadanya terutama melalui pembacaan buku-buku dalam bahasa asing. Semangat kebangsaan seseorang itu tidak akan terjejas kerana ia faham dua atau tiga bahasa. Yang penting ialah ia tidak membelakangkan bahasanya sendiri dan menjadi warganegara yang berilmu. Warganegara yang jahil tidak dengan sendirinya menjadi warganegara yang setia.

Demikian juga warganegara yang boleh bertutur lebih daripada satu bahasa tidak semestinya tidak setia. Jika kerana mengejar ilmu kita perlu menguasai bahasa-bahasa lain, kita tidak harus teragak-agak menguasai bahasa-bahasa ini. Dengan keupayaan membaca buku-buku dalam bahasa lain, kita akan memperolehi ganjaran yang tidak ternilai harganya. Jika ilmu yang kita perolehi dalam bahasa lain diedarkan pula dalam bahasa kita sendiri, maka akan bertambah kukuh dan berkesanlah bahasa kita. 

Maklumat yang kita perolehi menunjukkan bahawa ramai daripada penuntut kita membaca hanya buku-buku teks mereka sahaja. Sebahagian besar daripada mereka yang tamat pelajaran, di semua peringkat, tidak membaca buku lagi, walaupun akhbar biasanya menarik minat mereka. Keadaan ini menyedihkan. Demikianlah keadaannya sehingga Kerajaan terpaksa mensyaratkan bahawa hanya calon yang membaca sekurang-kurangnya 3 buah buku, yang bukan buku teks, akan dipilih untuk menjadi guru. Alangkah sedihnya kerana kita terpaksa mengupah untuk menentukan kita membaca. Sepatutnya di Malaysia yang mewah dengan bahan-bahan bacaan, kita mensyaratkan hanya mereka yang banyak membaca buku sahaja yang akan dipilih untuk sesuatu jawatan. 

Minat membaca ini perlu dipupuk dari bangku sekolah lagi. Sepatutnya murid atau penuntut tamat membaca semua buku teks mereka pada bulan pertama buku-buku itu didapati. Sepatutnya semua murid meminjam buku perpustakaan untuk dibaca di rumah. Sepatutnya waktu rehat atau recess digunakan juga untuk membaca di perpustakaan. 

Dalam usaha menyemai minat membaca ini, para guru harus memainkan peranan utama. Pelajar-pelajar yang membaca buku-buku selain daripada buku teks mestilah diberi kepujian. Jika ia menggunakan buku-buku ini sebagai sumber dalam rencana atau apa juga kegiatan pelajaran, ini patut diiktirafkan. 

Guru sendiri haruslah lebih membaca, termasuk buku-buku perpustakaan yang mungkin dibaca oleh murid. Sudah tentu buku-buku lain yang boleh meningkatkan keupayaan guru mengajar perlu dibaca. Dengan ini, murid akan kagum terhadap pengetahuan guru dan mereka akan lebih menghormati guru. Ini akan memudahkan proses pemindahan ilmu dari guru kepada murid. 

Ramai orang suka membaca tetapi menghadapi masalah tidak tahu apakah buku-buku terutamanya buku-buku baru yang diterbitkan di negara ini. Ini ialah kerana maklumat atau publisiti mengenai buku-buku itu tidak mencukupi. Para pembaca terpaksa mencari-cari buku di kedai-kedai buku, dan malangnya tidak semua kedai ada menyimpan atau menjual buku-buku itu. Lagipun, kedai-kedai buku lebih banyak terdapat di kawasan-kawasan bandar, dan jarang atau tidak terdapat di kawasan-kawasan luar bandar. Jadi sukarlah pembeli hendak mendapatkan buku-buku yang mungkin mereka ingin beli atau baca. 

Untuk mengatasi masalah ini, disyorkan supaya Majlis Kemajuan Buku Kebangsaan (MKBK) atau Persatuan Penerbit Buku mengeluarkan katalog buku baru tiap-tiap tahun untuk diedarkan percuma atau dijual dengan harga yang berpatutan kepada orang ramai bagi panduan mereka. Di samping itu, peranan akhbar yang sekarang membuat ulasan mengenai buku-buku baru haruslah dipertingkatkan.

Satu halaman patutlah dikhaskan kepada ringkasan buku-buku yang dianggap bermutu tinggi, jika tidak oleh akhbar harian sekurang-kurangnya oleh akhbar mingguan. Kita tidak patut lupa bahawa akhbar juga merupakan bahan bacaan. Jika teknik akhbar diguna untuk mempopularkan bacaan rencana yang berilmiah, tidak dapat tidak negara akan mendapat banyak manfaat dan minat membaca akan dipertingkatkan. 

Mungkin ada baiknya juga buku umum untuk bacaan orang ramai diterbitkan dalam bentuk yang murah, misalnya dalam edisi ‘paperback’. Ini akan membolehkan lebih ramai lagi orang membeli buku. Di samping itu, lebih banyak buku terjemahan daripada bahasa-bahasa asing hendaklah diterbitkan, terutamanya karya-karya oleh penulis-penulis terkemuka dari seluruh dunia.

Jadikanlah buku sebagai teman hidup sehari-hari, kerana buku adalah jambatan ilmu yang dapat menghubungkan kita dengan alam persekitaran kita, dengan masyarakat kita, dengan negara kita dan dengan dunia luar. Melalui buku dan pembacaan, kita akan dapat membentuk suatu budaya dan tradisi nilai dan pemikiran bangsa yang akan menjadi asas kekuatan bangsa dan negara. 

KEMAHIRAN MEMBACA

 SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

SESEORANG pelajar lazimnya terpaksa banyak membaca. Dalam konteks sekolah bestari, pelajar digalakkan mendapatkan maklumat dari pelbagai sumber. Mereka membaca pelbagai tujuan. Ada masanya mereka perlu membaca secara meluas atau ekstensif. Ada masanya pula mereka perlu membaca secara intensif atau mendalam. Untuk menjadi seorang pembaca berkesan, pelajar perlu menguasai dan mengamalkan beberapa teknik membaca. Oleh kerana itu guru perlu membimbing pelajar menguasai teknik-teknik tersebut dari peringkat sekolah rendah lagi. Dalam konteks sekolah, pelajar membaca untuk tujuan-tujuan seperti berikut:

  1. untuk mendapatkan maklumat atau fakta berkaitan sesuatu tajuk
  2. untuk mendapatkan gambaran keseluruhan tentang sesuatu tajuk
  3. untuk memahami sesuatu persoalan atau menjelaskan kefahaman tentang sesuatu konsep
  4. untuk mengumpul pelbagai teknik membaca iaitu membaca pantas membaca kritis. Untuk membaca pantas seseorang boleh menggunakan teknik skimming dan scanning, manakala untuk membaca dengan kritis seseorang boleh menggunakan teknik seperti KWLH dan SQ3R. 

Teknik Membaca KWLH

 KWLH adalah singkatan bagi;

  • K (know) Apa yang telah diketahui (sebelum membaca)
  • W (want) Apa yang hendak diketahui (sebelum membaca)
  • L (learned) Apa yang telah diketahui (selepas membaca)
  • H (how) Bagaimana untuk mendapat maklumat tambahan yang berkaitan (untuk membaca seterusnya)

Dari penerangan di atas, diketahui membayang atau menentukan apa yang ingin diketahui melakukan pembacaan (bahan yang telah dipilih), mengetahui apa yang telah diperoleh dari pembacaan yang baru dilakukan menentukan apa lagi yang perlu diperoleh (sekiranya perlu membuat pembacaan seterusnya).

Teknik pembacaan akan membolehkan pelajar mengaitkan pengetahuan yang sedia ada dengan apa yang dibaca menentukan apa yang telah diperoleh dari pembacaannya, dan menentukan apakah lagi bahan yang perlu dibaca sekiranya ingin mendapat maklumat tambahan.

Teknik Membaca SQ3R

SQ3R ialah teknik membaca kritis yang telah diperkenalkan oleh Robinson (1961). Ia merupakan suatu kaedah membaca yang memerlukan seseorang mempersoal kesesuaian maklumat yang terdapat dalam suatu bahan yang dibaca dengan tugasan yang perlu diselesaikan. SQ3R adalah singkatan bagi;

  • S (Survey) tinjau
  • Q (Question) soal/tanya
  • R (Read) baca
  • R (Recite) imbas kembali nyatakan secara lisan
  • R (Review) baca semula

Survey (tinjau) ialah langkah membaca untuk mendapatkan gambaran keseluruhan tentang apa yang terkandung dalam bahan yang dibaca. Ini dilakukan dengan meneliti tajuk besar, tajuk kecil, gambar atau ilustrasi, lakaran grafik, membaca perenggan pengenalan, dan perenggan terakhir di bahagian-bahagian buku atau teks. Di sini juga pelajar sebenarnya menggunakan teknik membaca pantas iaitu skimming dan scanning.

Question (soal atau tanya) ialah langkah yang memerlukan pelajar menyenaraikan satu ciri soalan mengenai teks tersebut setelah mendapati teks tersebut berkaitan dengan keperluan tugasnya. Soalan-soalan tersebut menunjukkan keinginan pembaca tentang maklumat yang ingin diperoleh dari bahan tersebut, dan ianya menjadi garis panduan semasa membaca kelak. Pelajar akan cuba mencari jawaban kepada soalan-soalan tersebut.

Read (baca) ialah peringkat pelajar sebenarnya membaca bahan atau teks tersebut secara aktif serta cuba mendapat segala jawaban kepada soalan-soalan yang telah disenaraikannya sebelum ini. Ketika membaca, pelajar mungkin juga akan menyenaraikan soalan-soalan tambahan, berdasarkan perkembangan kefahaman dan keinginan sepanjang melakukan pembacaan. Pelajar mungkin juga mempersoal pendapat atau maklumat yang ditemuinya.

Recite (imbas kembali) ialah peringkat ketiga, setelah selesai membaca pelajar cuba ingat kembali apa yang telah dibaca dan meneliti segala yang telah diperoleh. Pemilihan maklumat yang sesuai dilakukan dalam konteks tugasnya. Pelajar juga boleh cuba menjawab soalan-soalan yang disenaraikan sebelumnya tanpa merujuk kepada nota atau bahan yang telah dibaca.

Review (baca semula) merupakan peringkat terakhir. Pelajar membaca bahagian-bahagian buku atau teks secara berpilih untuk mengesahkan jawaban-jawaban kepada soalan yang dibuatnya di langkah ketiga. Pelajar juga memastikan tiada fakta penting yang tertinggal.

Skimming dan Scanning

Teknik skimming dan scanning ini sesuai digunakan untuk pembacaan bahan yang ringkas seperti sesuatu petikan mahupun bacaan lebih panjang seperti buku, jurnal dan majalah. Dalam pembacaan sesuatu petikan, kita hanya memberi perhatian kepada idea penting setiap perenggan untuk mendapat gambaran umum. Idea-idea khusus sengaja diabaikan. Dalam pembacaan sebuah buku pula, fokus diberikan kepada bahagian tertentu dalam buku seperti pengenalan, prakata, isi kandungan, tajuk utama, rumusan pada akhir bab dan rujukan indeks untuk mendapat gambaran umum tentang perkara yang dibaca.

Scanning ialah pembacaan cepat untuk mendapat maklumat khusus dan bukan untuk mendapat gambaran keseluruhan sesuatu bahan bacaan. Pembacaan cara ini boleh melangkau bahagian-bahagian tertentu yang difikir kurang penting. Ketika membaca, kita akan menggerakkan mata dari atas ke bawah dengan pantas mengikut muka surat petikan yang dibaca sambil memberi tumpuan kepada maklumat yang dicari. Oleh yang demikian, pembacaan cara ini adalah lebih cepat daripada pembacaan cara skimming.

Dalam konteks pembelajaran, skimming dan scanning boleh digunakan bersama. Biasanya, boleh membaca cara skimming untuk menentukan kesesuaian sesuatu bahan bacaan. Jika bahan berkenan didapati sesuai maka boleh menggunakan scanning untuk mendapatkan maklumat khusus yang dicari.

Membaca Cepat dan Efektif

Membaca cepat dan efektif bukan bererti asal membaca cepat saja, sehingga setelah selesai membaca tak ada yang diingat dan difahami. Dua hal pokok yang harus dicamkan dalam membaca cepat adalah tingkat kecepatan dan peratus pemahaman bacaan yang tinggi.

Dikatakan sebagai pembaca cepat yang baik bila mampu mengatur irama kecepatan membaca sesuai dengan tujuan, keperluan, dan keadaan bahan yang dibaca, serta dapat menjawab sekurang-kurangnya 60% dari bahan yang dibaca. Untuk tingkat pemula, kecepatan membaca diharapkan dapat mencapai 120-150 kpm (kata per minit). Kecepatan tersebut diupayakan terus meningkat seiring latihan membaca cepat yang dilakukan. Kecepatan membaca yang dilakukan pasti tidak monoton atau konstan. Ertinya, sewaktu membaca bahagian yang tidak diperlukan kecepatan harus terus laju, tetapi pada bahagian yang diperlukan kecepatan membaca dikurangi.

Kecepatan membaca harus diimbangi dengan pemahaman terhadap bacaan tersebut. Sebagai pembaca yang efektif dan kritis harus mampu mencari bahagian penting dari bahan bacaan tersebut secara cepat. Dan sebaliknya, harus membiarkan, bahkan melewati bahagian yang kurang penting bila tidak diperlukan.

Pada umumnya, setiap baris dalam bacaan terdiri dari 8-12 kata yang terdiri atas satuan frasa dan klausa. Bila membaca harus memahami kata demi kata pada setiap baris. Maka diperlukan waktu baca yang lama. Selain itu, pemahaman terhadap bacaan akan terganggu kerana tidak memperhatikan makna kata dalam konteks kalimat.

Bila demikian, maka anda termasuk pembaca yang buruk. Bila pembaca yang efektif maka hanya akan melihat satuan-satuan fikiran pada setiap baris dalam bacaan, iaitu yang berupa frasa, klausa, atau kata-kata kunci. Kerana bahagian yang dilihat dari setiap baris bacaan hanya sedikit maka perpindahan gerak mata akan cepat, dan akhirnya anda dapat membaca lebih cepat.

Sebelum sampai pada latihan membaca cepat, hal utama yang perlu diingat adalah teknik membaca cepat yang benar. Berkaitan membaca cepat, ada beberapa tujuan dan manfaat yang anda peroleh:

1.     Mengenali topik bacaan. Jika anda pergi ke kedai buku atau perpustakaan, anda ingin mengetahui apa yang dibahas dalam buku yang anda pilih. Untuk keperluan tersebut, anda melakukan membaca cepat beberapa minit (browsing) untuk melihat bahan yang dibaca. Sekadar untuk mengetahui isi bacaan. Hal ini juga dapat dilakukan ketika akan memilih artikel di majalah dan surat khabar (kliping).

2.     Mengetahui pendapat orang. Di sini anda sudah mengetahui topik yang dibahas, selanjutnya anda ingin mengetahui pendapat penulis itu terhadap masalah yang dibahas. Untuk itu, anda membaca tulisan yang ada di tajuk surat khabar tersebut. Anda hanya membaca paragraf pertama atau akhir yang biasanya memuatkan kesimpulan yang dibuat oleh penulisnya (redaksi).

3.     Mendapatkan bahagian penting yang diperlukan. Anda perlu melihat semua bahan bacaan itu untuk melihat idea yang bagus, tetapi tidak perlu membaca setiap kata, kalimat, bahkan alinea secara lengkap.

4.     Mengetahui organisasi penulisan. Dengan teknik membaca cepat maka dapat segera mengetahui urutan idea pokok dan cara semua bahan disusun dalam kesatuan fikiran, serta mencari hubungan antara bahagian dalam bacaan itu.

5.     Melakukan penyegaran atas apa yang pernah dibaca. Misalnya dalam mempersiapkan ujian atau sebelum menyampaikan ceramah.

Albert dalam Harras (1997) mengemukakan tujuan utama membaca cepat iaitu:

  1. Memperoleh kesan umum dari sesebuah buku, artikel, atau tulisan.
  2. Mencari hal tertentu dari sesuatu bahan bacaan.
  3. Mencari atau menempatkan bahan yang diperlukan dalam perpustakaan.

Manfaat membaca cepat seperti berikut:

  • Untuk mencari maklumat yang diperlukan dari sebuah bacaan secara cepat dan efektif.
  • Dalam waktu singkat dapat menelusuri bahan bacaan.
  • Tidak banyak waktu terbuang kerana tidak perlu memperhatikan atau membaca bahagian yang tidak diperlukan.

Menguji Kemampuan Membaca Cepat

 

Apakah anda termasuk kategori orang yang memiliki kemampuan membaca secara efisien? Atau berapa efektifkah anda membaca? Juga berapa banyak waktu yang anda perlukan untuk membaca?

Untuk mengetahui berapa cepat, efektif dan efisien cara membaca, anda boleh melakukan pengujian terhadap kemampuan tersebut. Caranya sangat sederhana, minta bantuan seorang rakan untuk menjadi pengawas uji kemampuan anda membaca, meskipun ujian ini boleh anda lakukan sendiri.

Menguji kemampuan membaca ini, biasanya untuk yang akan melakukan atau mempelajari teknik membaca cepat (speed reading). Ini dilakukan sebagai titik awal untuk melihat tingkat kemajuan yang diperoleh setelah melakukan teknik membaca cepat. Dan pola yang sama, juga boleh dilakukan untuk melihat berapa efektif anda membaca. Ujian ini menitikberatkan pada pengukuran kecepatan membaca kata dalam setiap minit dan kemampuan memahami maknanya sekali gus.

Teknik ujian ini, anda hanya perlu menyediakan pengukur waktu (stopwatch, jam tangan atau jam meja), buku yang belum pernah anda baca sebelumnya sebagai bahan yang akan digunkan untuk mengukur kemampuan anda membaca dan menyerap maklumat yang anda baca dalam jangka waktu tertentu.

Umumnya setiap halaman buku yang berukuran setengah kuarto (105 x 148.5 mm) berisi sekitar 297 kata (setiap baris berisi sekitar 8-9 kata dan setiap halaman berisi sekitar 33 baris). Sementara jangka waktu membaca yang diberikan untuk setiap ujian, paling lama hanya 60 saat. Pada tahap ujian berikutnya, jangka waktu ini harus makin dikurangi.

Sebelum memulai ujian, buatlah lebih dulu table terdiri dari empat kolum (waktu, jumlah kata, peratus pemahaman isi, keterangan yang menjelaskan kualiti membaca) untuk ruang mencatat rekod anda membaca seperti berikut:

 

Ujian 1

 

Tetapkan satu halaman buku yang akan digunakan untuk menguji kecepatan anda membaca. Tekan tombol pengukur waktu, mulailah membaca dengan cara sebagaimana anda biasa melakukannya. Lalu hentikan membaca bersamaan dengan habisnya waktu (60 saat). Tandai kata di mana anda selesai membaca pada waktu habis.

Minta rakan yang mengawasi ujian untuk menghitung jumlah kata yang telah dibaca dalam waktu 60 saat. Lalu minta dia uji kemampuan anda menangkap isi tulisan yang dibaca dengan cara membandingkan cerita anda dan menyesuaikan dengan isi tulisan, berapa peratuskah anda mampu menyerap makna atau pesan yang disampaikan dalam tulisan yang dibaca. Catat semua hasil itu pada table.

 

Ujian 2

 

Buka halaman lain dan ulangi proses ujian pertama dengan cara membaca secepat mungkin yang boleh lakukan dalam waktu 60 saat. Jika waktu habis, tandai di mana anda berhenti membaca dan hitung kembali jumlah kata yang dapat dibaca dengan kecepatan maksimum.

Seperti pada proses ujian pertama, anda harus menceritakan kembali isi tulisan yang dibaca dan minta rakan anda menyesuaikannya dengan isi tulisan. Lihat dan bandingkan, adakah perbezaan signifikan antara kecepatan membaca dengan kemampuan menangkap isi tulisan antara ujian pertama dengan ujian kedua.

Pada ujian pertama, mungkin nilai pemahaman anda terhadap isi tulisan yang dibaca jauh lebih baik ketimbang pada ujian kedua. Tapi jumlah kata yang boleh anda baca di ujian kedua, tentu akan lebih banyak ketimbang di ujian pertama.

Sebagai pembanding, anda boleh lihat table di bawah ini yang menjelaskan perbandingan antara kecepatan membaca dan kemampuan menyerap isi bacaan berikut penilaian kemampuan membaca.

 

Jumlah kata /minit

Pemahaman isi

Profil Pembaca

110 kata/minit

50 peratus

Kemampuan kurang

240 kata/minit

60 peratus

Kemampuan sederhana

400 kata/minit

80 peratus

Kemampuan baik

1000 kata/minit

85 peratus

Sempurna

Untuk meningkatkan kemampuan membaca secara cepat dan efektif, seperti yang dikategorikan dalam table, boleh dilakukan bila anda cuba mempraktikkan teknik membaca cepat. Pilih salah satu, atau jika anda mahu, boleh anda cuba mempraktikkan semua teknik membaca cepat yang ditawarkan. Kemudian cubalah uji hasil kecepatan membaca anda (seperti prosedur ujian di atas) setiap kali anda selesai cuba mempraktikkan teknik membaca cepat yang anda pilih. Selamat mencuba.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA