Khamis, 17 Oktober 2013

Khutbah Rasulullah Tentang Dajjal

SMAHADZIR

DARI Abi Umamah Al-Bahiliy, beliau berkata: Rasululah s.a.w. telah berkhutbah di hadapan kami. Dalam khutbahnya itu Baginda banyak menyentuh masalah Dajjal. Baginda telah bersabda: Sesungguhnya tidak ada fitnah (kerosakan) di muka bumi yang paling hebat selain daripada fitnah yang dibawa oleh Dajjal. Setiap Nabi yang diutus oleh Allah s.w.t. ada mengingatkan kaumnya tentang Dajjal.

Aku adalah nabi yang terakhir sedangkan kamu adalah umat yang terakhir. Dajjal itu tidak mustahil datang pada generasi (angkatan) kamu. Seandainya dia datang sedangkan aku masih ada di tengah-tengah kamu, maka aku adalah sebagai pembela bagi setiap mukmin. Kalau dia datang sesudah kematianku, maka setiap orang menjaga dirinya. Dan sebenarnYa Allah akan menjaga orang-orang mukmin.

Dajjal itu akan datang nanti dari satu tempat antara Syam dan Irak. Dan mempengaruhi manusia dengan begitu cepat sekali. Wahai hamba Allah., wahai manusia, tetaplah kamu. Di sini akan saya terangkan kepada kamu ciri-ciri Dajjal, yang belum diterangkan oleh nabi-nabi sebelumku kepada umatnya.

Pada mulanya nanti Dajjal itu mengaku dirinya sebagai nabi. Ingatlah, tidak ada lagi nabi sesudah aku. Setelah itu nanti dia mengaku sebagai Tuhan. Ingatlah bahawa Tuhan yang benar tidak mungkin kamu lihat sebelum kamu mati. Dajjal itu cacat matanya sedangkan Allah s.w.t. tidak cacat, bahkan tidak sama dengan baharu. Dan juga di antara dua mata Dajjal itu tertulis KAFIR, yang dapat dibaca oleh setiap mukmin yang pandai membaca atau buta huruf.

Di antara fitnah Dajjal itu juga dia membawa syurga dan neraka. Nerakanya itu sebenarnya syurganya sedangkan syurganya itu neraka, yakni panas. Sesiapa di antara kamu yang disiksanya dengan nerakanya, hendaklah dia meminta pertolongan kepada Allah s.w.t. dan hendaklah dia membaca pangkal surah Al-Kahfi, maka nerakanya itu akan sejuk sebagaimana api yang membakar Nabi Ibrahim itu menjadi sejuk.

Di antara tipu dayanya itu juga dia berkata kepada orang Arab: Seandainya aku sanggup menghidupkan ayah atau ibumu yang sudah lama meninggal dunia itu, apakah engkau mengaku aku sebagai Tuhanmu?

Orang Arab itu akan berkata: Tentu. Maka syaitan pun datang menyamar seperti ayah atau ibunya. Rupanya sama, sifat-sifatnya sama dan suaranya pun sama. Ibu bapanya berkata kepadanya: Wahai anakku, ikutilah dia, sesungguhnya dialah Tuhanmu.

Di antara tipu dayanya juga dia tipu seseorang, yakni dia bunuh dan dia belah dua. Setelah itu dia katakan kepada orang ramai: Lihatlah apa yang akan kulakukan terhadap hambaku ini, sekarang akan kuhidupkan dia semula. Dengan izin Allah s.w.t. orang mati tadi hidup semula. Kemudian Laknatullah Alaih itu bertanya: Siapa Tuhanmu?

Orang yang dia bunuh itu, yang kebetulan orang beriman, menjawab: Tuhanku adalah Allah s.w.t., sedangkan engkau adalah musuh Allah s.w.t. Orang itu bererti lulus dalam ujian Allah s.w.t. dan dia termasuk orang yang paling tinggi darjatnya di syurga.

Kata Rasulullah s.a.w. lagi: Di antara tipu dayanya juga dia suruh langit supaya menurunkan hujan tiba-tiba hujan pun turun. Dia suruh bumi supaya mengeluarkan tumbuh-tumbuhannya tiba-tiba tumbuh. Dan termasuk ujian yang paling berat bagi manusia, Dajjal itu datang ke perkampungan orang-orang baik dan mereka tidak me-ngakunya sebagai Tuhan, maka disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman dan ternakan mereka tidak menjadi.

Dajjal itu datang ke tempat orang-orang yang percaya kepadanya dan penduduk kampung itu mengakunya sebagai Tuhan. Disebabkan yang demikian hujan turun di tempat mereka dan tanam-tanaman mereka pun menjadi.

Tidak ada kampung atau daerah di dunia ini yang tidak didatangi Dajjal kecuali Makkah dan Madinah. Kedua-dua kota itu tidak dapat ditembusi oleh Dajjal kerana dikawal oleh Malaikat. Dia hanya berani menginjak pinggiran Makkah dan Madinah.

Namun demikian ketika Dajjal datang ke pergunungan di luar kota Madinah, kota Madinah bergoncang seperti gempa bumi. Ketika itu orang-orang munafik kepanasan seperti cacing dan tidak tahan lagi tinggal di Madinah. Mereka keluar dan pergi bergabung dengan orang-orang yang sudah menjadi pengikut Dajjal. Inilah yang dikatakan hari pembersihan kota Madinah.

Dalam hadis yang lain, di antara fitnah atau tipu daya yang dibawanya itu, Dajjal itu lalu di satu tempat kemudian mereka mendustakannya (tidak beriman kepadanya), maka disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman mereka tidak menjadi dan hujan pun tidak turun di daerah mereka. Kemudian dia lalu di satu tempat mengajak mereka supaya beriman kepadanya. Mereka pun beriman kepadanya. Maka disebabkan yang demikian itu Dajjal menyuruh langit supaya menurunkan hujannya dan menyuruh bumi supaya menumbuhkan tumbuh-tumbuhannya. Maka mereka mudah mendapatkan air dan tanam-tanaman mereka subur.

Dari Anas bin Malik, katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: Menjelang turunnya Dajjal ada tahun-tahun tipu daya, iaitu tahun orang-orang pendusta dipercayai orang dan orang jujur tidak dipercayai. Orang yang tidak amanah dipercayai dan orang amanah tidak dipercayai.

Dari Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah s.a.w. ada bersabda: Bumi yang paling baik adalah Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal nanti ia dikawal oleh malaikat. Dajjal tidak sanggup memasuki Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal (di luar Madinah), kota Madinah bergegar tiga kali. Orang-orang munafik yang ada di Madinah (lelaki atau perempuan) bagaikan cacing kepanasan kemudian mereka keluar meninggalkan Madinah. Kaum wanita adalah yang paling banyak lari ketika itu.

Itulah yang dikatakan hari pembersihan. Madinah membersihkan kotorannya seperti tukang besi membersihkan karat-karat besi.

Diriwayatkan oleh Ahmad, hadis yang diterima dari Aisyah r.a. mengatakan: Pernah satu hari Rasulullah s.a.w. masuk ke rumahku ketika aku sedang menangis. Melihat saya menangis beliau bertanya: Mengapa menangis? Saya menjawab: Ya Rasulullah s.a.w., engkau telah menceritakan Dajjal, maka saya takut mendengarnya.

Rasulullah s.a.w. berkata: Seandainya Dajjal datang pada waktu aku masih hidup, maka aku akan menjaga kamu dari gangguannya. Kalau dia datang setelah kematianku, maka Tuhan kamu tidak buta dan cacat.

Dari Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: Dajjal muncul pada waktu orang tidak berpegang kepada agama dan jahil tentang agama. Pada zaman Dajjal ada empat puluh hari, yang mana satu hari terasa bagaikan setahun, ada satu hari yang terasa bagaikan sebulan, ada satu hari yang terasa satu minggu, kemudian hari-hari berikutnya seperti hari biasa.

Ada yang bertanya: Ya Rasulullah s.a.w., tentang hari yang terasa satu tahun itu, apakah boleh kami solat lima waktu juga?

Rasulullah s.a.w. menjawab: Ukurlah berapa jarak solat yang lima waktu itu.

Menurut riwayat Dajjal itu nanti akan berkata: Akulah Tuhan sekalian alam, dan matahari ini berjalan dengan izinku. Apakah kamu bermaksud menahannya?

Katanya sambil ditahannya matahari itu, sehingga satu hari lamanya menjadi satu minggu atau satu bulan.

Setelah dia tunjukkan kehebatannya menahan matahari itu, dia berkata kepada manusia: Sekarang apakah kamu ingin supaya matahari itu berjalan?

Mereka semua menjawab: Ya, kami ingin.

Maka dia tunjukkan lagi kehebatannya dengan menjadikan satu hari begitu cepat berjalan.

Menurut riwayat Muslim, Rasulullah s.a.w. bersabda: Akan keluarlah Dajjal kepada umatku dan dia akan hidup di tengah-tengah mereka selama empat puluh. Saya sendiri pun tidak pasti apakah empat puluh hari, empat puluh bulan atau empat puluh tahun. Kemudian Allah s.w.t. mengutus Isa bin Maryam yang rupanya seolah-olah Urwah bin Mas’ud dan kemudian membunuh Dajjal itu.

Dan menurut ceritanya setelah munculnya Dajjal hampir semua penduduk dunia menjadi kafir, yakni beriman kepada Dajjal. Menurut ceritanya orang yang tetap dalam iman hanya tinggal 12,000 lelaki dan 7,000 kaum wanita. Wallahu A’lam. 

Wangi Harum Masyithah

SMAHADZIR


DIRIWAYATKAN dari Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhu dia berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda,” Pada saat malam terjadinya Isra’ saya mencium bau harum, saya pun bertanya, “Ya Jibril, bau harum apakah ini?” 

Jibril menjawab, ”Ini adalah bau wangi wanita penyisir rambut puteri Firaun (Masyithah) dan anak-anaknya,”

Saya bertanya, “Bagaimana boleh demikian?” 

Jibril bercerita, “Ketika dia menyisir rambut puteri Firaun suatu hari, tiba-tiba sisirnya terjatuh. Dia mengambilnya dengan membaca “Bismillah (dengan nama Allah s.w.t.),”

Puteri Firaun berkata, “Hai, dengan nama bapaku?”

Masyithah berkata, “Bukan, Allah s.w.t. adalah Tuhanku dan Tuhanmu begitu juga Tuhan bapamu,”

Puteri Firaun bertanya, “Kalau begitu, kamu punya Tuhan selain ayahku?”

Wanita tukang sisir itu menjawab, “Ya,”

Puteri Firaun berkata, “Akan aku laporkan pada ayahku.”

Wanita tukang sisir menjawab, “Silakan!”

Puteri Firaun kemudian melaporkan kepada bapanya, dan Firaun pun kemudian memanggil Masyithah. Firaun bertanya, “Ya Masyithah, apakah kamu mempunyai Tuhan selain aku?”

Masyithah menjawab, “Ya, Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah s.w.t,”

Kemudian Firaun memerintahkan untuk mempersiapkan periuk besar dari tembaga untuk dipanaskan. Satu persatu anak wanita tukang sisir itu kemudian dilemparkan ke dalam periuk yang mendidih.

Beberapa saat kemudian, Masyithah berkata kepada Firaun, “Aku mempunyai satu permohonan,”

Firaun menjawab, “Katakanlah,”

Masyithah berkata, “Aku ingin engkau mengumpulkan tulang-tulangku dan tulang-tulang anakku dalam satu kain atau kantong untuk kemudian dikuburkan,”

Firaun menjawab, “Akan aku penuhi permintaanmu,”

Lalu satu demi satu anaknya dilemparkan ke dalam periuk mendidih itu di depan matanya, sampai akhirnya tinggal seorang bayi yang masih menyusu. Pada saat itu wanita tukang sisir nampak ragu-ragu.

Si bayi di atas gendongan Masyithah, atas izin Allah s.w.t. tiba-tiba berbicara, “Terjunlah ibu! Ayuh terjunlah, azab dunia lebih ringan daripada azab akhirat,” Mendengar anaknya berbicara si ibu pun terus terjun bersama bayinya.

Demikianlah sebuah kisah yang tercantum dalam Musnad Imam Ahmad, 4 atau 291-295 dan juga tercantum dalam Majma’uz Zawa’id, 1 atau 65. Anisul Jalabi II, Ali Al-Hazza’. Kisah dari seorang wanita bernama Mashithah yang menjadi penerang kegelapan istana Firaun. Dia mempertahankan kebenaran, meskipun berat dan pahit terasa. Lalu siapakah pembawa obor bagi kita di kegelapan abad dua puluh satu ini?

Pelajaran yang dapat dipetik:

1.     Anjuran untuk tetap sabar dan teguh ketika muncul fitnah.
2.     Balasan itu sesuai dengan jenis amal yang dikerjakan.
3.     Bagi yang bersabar dalam memegang teguh agama dan tidak takut dicela orang nescaya memperoleh pahala dan ganjaran yang sangat besar, sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam QS: Az-Zumar: 10,
4.     Seorang muslim dibolehkan mengajukan permintaan yang mengandungi kebaikan sekalipun kepada thaghut, sebagaimana kisah ini. Wanita tukang sisir anak gadis Firaun meminta agar tulang tubuhnya dan anak-anaknya dikubur menjadi satu.
5.     Sesungguhnya Allah Ta’ala senantiasa memberi jalan keluar untuk para wali-Nya dari musibah atau bencana yang menimpa.
6.     Ketetapan karamah Allah s.w.t. yang diberikan bagi orang soleh dan solehah.

7.     Karamah termasuk dalam kategori peristiwa langka dan luar biasa. 

Unta Patah Rancangan Abu Jahal

SMAHADZIR


SETELAH pelbagai usaha oleh kaum Quraisy untuk menyekat dan menghapuskan penyebaran agama Islam menemui kegagalan, maka Abu Jahal semakin benci terhadap Rasulullah s.a.w. Kebencian Abu Jahal ini tidak ada tolok bandingnya, malah melebihi kebencian Abu Lahab terhadap Rasulullah s.a.w.

Melihatkan agama Islam semakin tersebar, Abu Jahal pun berkata kepada kaum Quraisy di dalam suatu perhimpunan, “Hai kaumku! Janganlah sekali-kali membiarkan Muhammad menyebarkan ajaran barunya dengan sesuka hatinya. Ini adalah kerana dia telah menghina agama nenek moyang kita, dia mencela Tuhan yang kita sembah. Demi Tuhan, aku berjanji kepada kamu sekalian, bahawa esok aku akan membawa batu ke Masjidil Haram untuk dibalingkan ke kepala Muhammad ketika dia sujud. Selepas itu, terserahlah kepada kamu semua sama ada mahu menyerahkan aku kepada keluarganya atau kamu membela aku dari ancaman kaum kerabatnya. Biarlah orang-orang Bani Hasyim bertindak apa yang mereka sukai,” 

Tatkala mendengar jaminan daripada Abu Jahal, maka orang ramai yang menghadiri perhimpunan itu berkata secara serentak kepadanya, “Demi Tuhan, kami tidak akan sekali-kali menyerahkan engkau kepada keluarga Muhammad. Teruskan niatmu,” 

Orang ramai yang menghadiri perhimpunan itu merasa bangga mendengar kata-kata yang diucapkan oleh Abu Jahal bahawa dia akan menghapuskan Muhammad kerana jika Abu Jahal berjaya menghapuskan Nabi Muhammad s.a.w. bererti akan terhapuslah segala keresahan dan kesusahan mereka selama ini yang disebabkan oleh kegiatan Rasulullah s.a.w. menyebarkan agama Islam di kalangan mereka.

Dalam pada itu, terdapat juga para hadirin di situ telah mengira-ngira perbelanjaan untuk mengadakan pesta sekiranya Nabi Muhammad s.a.w. berjaya dihapuskan. Pada pandangan mereka adalah mudah untuk membunuh Nabi Muhammad s.a.w. yang dikasihi oleh Tuhan Yang Maha Esa serta sekalian penghuni langit. Padahal Allah s.w.t. tidak akan sekali-kali membiarkan kekasih-Nya diancam dan diperlakukan seperti binatang.

Dengan perasaan bangga, keesokan harinya di sebelah pagi, Abu Jahal pun terus pergi ke Kaabah iaitu tempat biasa Nabi Muhammad s.a.w. bersembahyang. Dengan langkahnya seperti seorang satria, dia berjalan dengan membawa seketul batu besar di tangan sambil diiringi oleh beberapa orang Quraisy yang rapat dengannya. Tujuan dia mengajak kawan-kawannya ialah untuk menyaksikan bagaimana nanti dia akan menghempapkan batu itu di atas kepala Nabi Muhammad s.a.w.

Sepanjang perjalanan itu dia membayangkan bagaimana keadaan Nabi Muhammad nanti setelah kepalanya dihentak oleh batu itu. Dia tersenyum sendirian apabila membayangkan kepala Nabi Muhammad s.a.w. pecah dan tidak bergerak lagi. Dan juga membayangkan bagaimana kaum Quraisy akan menyambutnya sebagai pahlawan yang telah berjaya membunuh musuh nombor satu mereka.

Sebaik sahaja Abu Jahal tiba di perkarangan Masjidil Haram, dilihatnya Rasulullah s.a.w. baru sahaja sampai dan hendak mengerjakan sembahyang. Dalam pada itu, Nabi Muhammad s.a.w. tidak menyedari akan kehadiran Abu Jahal dan kawan-kawannya di situ. Baginda tidak pernah terfikir apa yang hendak dilakukan oleh Abu Jahal terhadap dirinya pada hari itu.

Sebaik-baik sahaja Abu Jahal melihat Rasulullah s.a.w. telah mula bersembahyang, dia berjalan perlahan-lahan dari arah belakang menuju ke arah Nabi Muhammad s.a.w. Abu Jahal melangkah dengan berhati-hati, setiap pergerakannya dijaga, takut disedari oleh baginda.

Dari jauh kawan-kawan Abu Jahal memerhatikan dengan perasaan cemas bercampur gembira. Dalam hati mereka berkata, “Kali ini akan musnahlah engkau hai Muhammad,” 

Sebaik sahaja Abu Jahal hendak menghampiri Nabi Muhammad s.a.w. dan menghayun batu yang dipegangnya itu, tiba-tiba secepat kilat dia berundur ke belakang. Batu yang dipegangnya juga jatuh ke tanah. Mukanya yang tadi merah kini menjadi pucat lesi seolah-olah tiada berdarah lagi. Rakan-rakannya yang amat ghairah untuk melihat Nabi Muhammad s.a.w. terbunuh, tercengang dan saling berpandangan.

Kaki Abu Jahal seolah-olah terpaku ke bumi. Dia tidak dapat melangkahkan kaki walaupun setapak. Melihatkan keadaan itu, rakan-rakannya segera menarik Abu Jahal dari situ sebelum disedari oleh baginda. Abu Jahal masih terpinga-pinga dengan kejadian yang dialaminya.

Sebaik sahaja dia sedar dari kejutan peristiwa tadi, rakan-rakannya tidak sabar untuk mengetahui apakah sebenarnya yang telah berlaku. Kawannya bertanya, “Apakah sebenarnya yang terjadi kepada engkau, Abu Jahal? Mengapa engkau tidak menghempapkan batu itu ke kepala Muhammad ketika dia sedang sujud tadi?” 

Akan tetapi Abu Jahal tetap membisu, rakan-rakannya semakin kehairanan. Abu Jahal yang mereka kenali selama ini seorang yang lantang berpidato dan menyumpah seranah Nabi s.a.w., tiba-tiba sahaja diam membisu. Dalam pada itu, Abu Jahal masih terbayang-bayang akan kejadian yang baru menimpanya tadi. Dia seolah-olah tidak percaya dengan apa yang dilihatnya, malah dia sendiri tidak menyangka perkara yang sama akan berulang menimpa dirinya.

Perkara yang sama pernah menimpa Abu Jahal sewaktu Rasulullah s.a.w. pergi ke rumah Abu Jahal apabila seorang Nasrani mengadu kepada baginda bahawa Abu Jahal telah merampas hartanya. Pada masa itu Abu Jahal tidak berani berkata apa-apa pada baginda apabila dia terpandang dua ekor harimau menjadi pengawal peribadi Rasulullah s.a.w.

Kemudian setelah habis mereka menghujani Abu Jahal dengan pelbagai soalan, maka Abu Jahal pun mula bersuara, “Wahai sahabatku! Untuk pengetahuan kamu semua, sebaik sahaja aku menghampiri Muhammad hendak menghempapkan batu itu ke kepalanya, tiba-tiba muncul seekor unta yang besar hendak menendang aku. Aku amat terkejut kerana belum pernah melihat unta yang sebegitu besar seumur hidupku. Sekiranya aku teruskan niatku, nescaya akan matilah aku ditendang oleh unta itu, sebab itulah aku berundur dan membatalkan niatku,” 

Rakan-rakan Abu Jahal berasa amat kecewa mendengar penjelasan itu, mereka tidak menyangka orang yang selama ini gagah dan beria-ia hendak membunuh Nabi Muhammad s.a.w. hanya tinggal kata-kata sahaja. Orang yang selama ini diharapkan boleh menghapuskan Nabi Muhammad s.a.w. dan pengaruhnya hanya berupaya bercakap seperti tin kosong sahaja.

Setelah mendengar penjelasan dari Abu Jahal yang tidak memuaskan hati itu, maka mereka pun berkata kepada Abu Jahal dengan perasaan kehairanan, “Ya Abu Jahal, semasa kau menghampiri Muhammad tadi, kami memerhatikan engkau dari jauh tetapi kai tidak napak akan unta yang engkau katakan itu. Malah bayangnya pun kami tidak nampak,” 

Rakan-rakan Abu Jahal mula sangsi dengan segala keterangan yang diberikan oleh Abu Jahal. Mereka menyangka Abu Jahal sentiasa mereka-reka cerita yang karut itu, mereka mula hilang kepercayaan terhadapnya. Akhirnya segala kata-kata Abu Jahal mereka tidak berapa endahkan lagi. 

Orang Yang Terbaik

SMAHADZIR


HAZRAT UTHMAN R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Yang terbaik di antara kamu ialah orang yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya,” (Hadis riwayat Bukhari, Abu Daud, Tirmizi, Nisai dan Ibnu Majah)

Keterangan

Dalam kebanyakan kitab, hadis ini dinyatakan dengan perkataan ‘wau’ yakni ‘dan’ sebagaimana yang diterjemahkan di atas. Dalam keadaan ini ganjaran yang besar adalah bagi sesiapa yang belajar Al-Quran yang mulia dan kemudiannya mengajarkan kepada orang lain.

Namun demikian, dalam sesetengah kitab, hadis ini di riwayatkan dengan perkataan ‘alif wau’ yakni ‘atau’ yang memberi makna ‘yang terbaik antara kamu ialah orang yang belajar Al-Quran atau yang mengajarkan Al-Quran kepada orang lain. Setiap orang daripada mereka akan mendapat kelebihan dan ganjaran tersendiri.

Sebenarnya Al-Quran itulah Islam. Oleh itu, agama Islam bergantung sepenuhnya kepada pengekalan dan penyebaran Al-Quran. Oleh kerana itu, sudah jelaslah tentang kedudukan terbaik bagi orang yang mempelajari Al-Quran atau mengajarkannya dan tidak perlu kepada sebarang penjelasan lagi.

Walau bagaimanapun terdapat darjah kedudukan yang berlainan. Darjah yang terbaik ialah mempelajari Al-Quran dengan makna dan maksudnya dan darjah yang terendah ialah mempelajari lafaznya sahaja.

Mulla ‘Ali Qari menukilkan satu hadis lain bahawa sesiapa yang telah memperolehi ilmu Al-Quran, telah menyimpan ilmu kenabian di kepalanya. Hazrat Sahl bin Tustari rah. berkata “Tanda cinta kepada Allah s.w.t. ialah wujudnya cinta terhadap perkataan Allah s.w.t. di dalam hati,”

Dalam kitab ‘syarah Ihya Ulumuddin’ terdapat senarai orang yang akan diberi perlindungan di bawah naungan Arash Allah s.w.t. pada hari pengadilan yang menggerunkan, antara mereka adalah orang yang mengajar Al-Quran kepada kanak-kanak Islam dan juga mereka yang belajar Al-Quran semasa usia muda dan terus mengambil berat untuk membaca Al-Quran apabila sudah dewasa. 

Tilawah Dan Kalamullah

SMAHADZIR


HAZRAT ABU SA’ID meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Allah s.w.t. berfirman, ‘Jikalau sesiapa mendapati tidak ada masa untuk mengingatiKu dan berdoa kepadaKu kerana sibuk dengan Al-Quran maka Aku akan mengurniakan kepadanya perkara yang terbaik yang Aku kurniakan kepada orang yang berdoa kepada-Ku. ’ Ketinggian perkataan Allah s.w.t. ke atas segala perkataan adalah seumpama ketinggian Allah s.w.t. ke atas segala makhluk (ciptaan-Nya),” (Hadis riwayat Tirmizi, Darimi dan Baihaqi)

Keterangan

Maksud hadis di atas ialah seseorang yang sentiasa sibuk menghafal, mempelajari dan memahami Al-Quran sehingga tidak ada masa untuk berdoa maka Allah s.w.t. akan mengurniakan kepadanya sesuatu yang lebih baik daripada yang diberikan kepada orang lain yang berdoa kepada-Nya.

Suatu perkara yang lumrah di dunia ini adalah apbila ada seseorang yang sedang membahagi-bahagikan kuih dan salah seorang yang layak menerima kuih itu sedang sibuk melakukan urusan bagi pihak si pembahagi itu sendiri sehingga menyebabkan dia tidak dapat hadir untuk mendapatkan bahagiannya, maka sudah tentu bahagiannya akan disimpan terlebih dahulu.

Berkenaan keadaan yang sama seperti hadis di atas, dalam hadis yang lain dinyatakan bahawa Allah s.w.t. akan mengurniakan kepada orang yang sibuk dengan Al-Quran pahala yang lebih afdal daripada pahala yang diberikan kepada hamba-hamba-Nya yang bersyukur. 

Kisah Rasulullah Bersama Muaz

SMAHADZIR


DARI Muaz, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Puji syukur ke hadrat Allah s.w.t. yang menghendaki agar makhluk-Nya menurut kehendak-Nya, wahai Muaz!”

Jawabku, “Ya, Sayidil Mursalin,”

Sabda Rasulullah s.a.w., “Sekarang aku akan menceritakan sesuatu kepadamu yang apabila engkau hafalkan (diambil perhatian) olehmu akan berguna tetapi kalau engkau lupakan (tidak dipedulikan) olehmu maka kamu tidak akan mempunyai alasan di hadapan Allah s.w.t. kelak,”

“Hai Muaz, Allah s.w.t. itu menciptakan tujuh malaikat sebelum Dia menciptakan langit dari bumi. Setiap langit ada satu malaikat yang menjaga pintu langit dan tiap-tiap pintu langit dijaga oleh malaikat penjaga pintu menurut ukuran pintu dan keagungannya,”

“Maka malaikat yang memelihara amalan si hamba (malaikat hafazah) akan naik ke langit membawa amal itu ke langit pertama. Penjaga langit pertama akan berkata kepada malaikat Hafazah, “Saya penjaga tukang mengumpat. Lemparkan kembali amalan itu ke muka pemiliknya kerana saya diperintahkan untuk tidak menerima amalan tukang mengumpat,”

“Esoknya, naik lagi malaikat Hafazah membawa amalan si hamba. Di langit kedua penjaga pintunya berkata, “Lemparkan kembali amalan itu ke muka pemiliknya sebab dia beramal kerana mengharapkan keduniaan. Allah s.w.t. memerintahkan supaya amalan itu ditahan jangan sampai lepas ke langit yang lain,”

“Kemudian naik lagi malaikat Hafazah ke langit ketiga membawa amalan yang sungguh indah. Penjaga langit ketiga berkata, “Lemparkan kembali amalan itu ke muka pemiliknya kerana dia seorang yang sombong,”

Rasulullah s.a.w. meneruskan sabdanya, “Berikutnya malaikat Hafazah membawa lagi amalan si hamba ke langit keempat. Lalu penjaga langit itu berkata, “Lemparkan kembali amalan itu ke muka pemiliknya. Dia seorang yang ujubin Allah s.w.t. memerintahkan aku menahan amalan si ujub.”

Seterusnya amalan si hamba yang lulus ke langit kelima dalam keadaan bercahaya-cahaya dengan jihad, haji, umrah dan lain-lain. Tetapi di pintu langit penjaganya berkata, “Itu adalah amalan tukang hasad. Dia sangat benci pada nikmat yang Allah s.w.t. berikan pada hamba-Nya. Dia tidak redha dengan kehendak Allah s.w.t. Sebab itu Allah s.w.t. perintahkan amalannya dilemparkan kembali ke mukanya. Allah s.w.t. tidak terima amalan pendengki dan hasad,”

Di langit keenam, penjaga pintu akan berkata, “Saya penjaga rahmat. Saya diperintahkan untuk melemparkan kembali amalan yang indah itu ke muka pemiliknya kerana dia tidak pernah mengasihi orang lain. Kalau orang dapat musibah dia merasa senang. Sebab itu amalan itu jangan melintasi langit ini,”

Malaikat Hafazah naik lagi membawa amalan si hamba yang dapat lepas hingga ke langit ketujuh. Cahayanya bagaikan kilat, suaranya bergemuruh. Di antara amalan itu ialah sembayang, puasa, sedekah, jihad, warak dan lain-lain.

Tetapi penjaga pintu langit berkata, “Saya ini penjaga sum’ah (ingin kemasyhuran). Sesungguhnya si hamba ini ingin termasyhur dalam kelompoknya dan selalu ingin tinggi sewaktu berkumpul dengan kawan-kawan yang sebaya dan ingin mendapat pengaruh dari para pemimpin. Allah s.w.t. memerintahkan padaku agar amalan itu jangan melintasiku. Tiap-tiap amalan yang tidak bersih kerana Allah s.w.t. maka itulah riyak. Allah s.w.t. tidak akan menerima dan mengabulkan orang-orang yang riyak,”

Kemudian malaikat Hafazah itu naik lagi dengan membawa amal hamba yakni sembayang, puasa, zakat, haji, umrah, akhlak yang baik dan mulia serta zikir pada Allah s.w.t. Amalan itu diiringi malaikat ke langit ketujuh hingga melintasi hijab-hijab dan sampailah ke hadirat Allah s.w.t.

Semua malaikat berdiri di hadapan Allah s.w.t. dan semua menyaksikan amalan itu sebagai amalan soleh yang betul-betul ikhlas untuk Allah s.w.t.

Tetapi firman Tuhan, “Hafazah sekalian, pencatat amal hamba-Ku, Aku adalah pemilik hatinya dan Aku lebih mengetahui apa yang dimaksudkan oleh hamba-Ku ini dengan amalannya. Dia tidak ikhlas pada-Ku dengan amalannya. Dia menipu orang lain, menipu kamu (malaikat Hafazah) tetapi tidak boleh menipu Aku. Aku adalah Maha Mengetahui,”

“Aku melihat segala isi hati dan tidak akan terlindung bagi-Ku apa saja yang terlindung. Pengetahuan-Ku atas apa yang telah terjadi adalah sama dengan pengetahuan-Ku atas apa yang bakal terjadi,”

“Pengetahuan-Ku atas orang yang terdahulu adalah sama dengan Pengetahuan-Ku atas orang-orang yang datang kemudian. Kalau begitu bagaimana hamba-Ku ini menipu Aku dengan amalannya ini?” “Laknat-Ku tetap padanya,”

Dan ketujuh-tujuh malaikat beserta 3,000 malaikat yang mengiringinya pun berkata: “Ya Tuhan, dengan demikian tetaplah laknat-Mu dan laknat kami sekalian bagi mereka,” Dan semua yang di langit turut berkata, ”Tetaplah laknat Allah s.w.t. kepadanya dan laknat orang yang melaknat,”

Saiyidina Muaz (yang meriwayatkan hadist ini) kemudian menangis terisak-isak dan berkata, “Ya Rasulullah s.a.w., bagaimana aku dapat selamat dari apa yang diceritakan ini?”

Sabda Rasulullah s.a.w., “Hai Muaz, ikutilah Nabimu dalam soal keyakinan,”

Muaz bertanya kembali, “Ya, tuan ini Rasulullah s.a.w. sedangkan saya ini hanyalah si Muaz bin Jabal, bagaimana saya dapat selamat dan boleh lepas dari bahaya tersebut?”

Bersabda Rasulullah s.a.w., “Ya begitulah, kalau dalam amalanmu ada kelalaian maka tahanlah lidahmu jangan sampai memburukkan orang lain. Ingatlah dirimu sendiri pun penuh dengan aib maka janganlah mengangkat diri dan menekan orang lain,”

“Jangan riyak dengan amal supaya amal itu diketahui orang. Jangan termasuk orang yang mementingkan dunia dengan melupakan akhirat. Kamu jangan berbisik berdua ketika disebelahmu ada orang lain yang tidak diajak berbisik. Jangan takabur pada orang lain nanti luput amalanmu dunia dan akhirat dan jangan berkata kasar dalam suatu majlis dengan maksud supaya orang takut padamu, jangan mengungkit-ungkit apabila membuat kebaikan, jangan mengoyak perasaan orang lain dengan mulutmu, kerana kelak engkau akan dikoyak-koyak oleh anjing-anjing neraka jahanam,”

Sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud, “Di neraka itu ada anjing-anjing yang mengoyak badan manusia,”

Muaz berkata, “Ya Rasulullah s.a.w., siapa yang tahan menanggung penderitaan semacam itu?”

Jawab Rasulullah s.a.w., “Muaz, yang kami ceritakan itu akan mudah bagi mereka yang dimudahkan oleh Allah s.w.t. Cukuplah untuk menghindari semua itu, kamu menyayangi orang lain sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri dan benci bila sesuatu yang dibenci olehmu terjadi pada orang lain. Kalau begitu kamu akan selamat dan dirimu pasti akan terhindar dari api neraka.”

Wuduk Zahir Dan Batin

SMAHADZIR


SEORANG ahli ibadah bernama Isam Bin Yusuf, sangat warak dan khusyuk solatnya. Namun, dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih badahnya, untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasainya kurang khusyuk.

Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Assam dan bertanya, “Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?”

Hatim berkata, “Apabila masuk waktu solat, aku berwudukk zahir dan batin,”

Isam bertanya, “Bagaimana wudukk zahir dan batin itu?” 

Hatim berkata, ”Wudukk zahir sebagaimana biasa iaitu membasuh semua anggota wuduk dengan air,”

Sementara wudukk batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara:

1.     Bertaubat
2.     Menyesali dosa yang telah dilakukan 
3.     Tidak tergila-gilakan dunia
4.     Tidak mencari atau mengharap pujian orang (riyak)
5.     Tinggalkan sifat berbangga
6.     Tinggalkan sifat khianat dan menipu
7.     Meninggalkan sifat dengki,”

Seterusnya Hatim berkata, “Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat. Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku rasakan:

1.     aku sedang berhadapan dengan Allah s.w.t.,
2.     Syurga di sebelah kananku,
3.     Neraka di sebelah kiriku,
4.     Malaikat Maut berada di belakangku, dan
5.     aku bayangkan pula aku seolah-olah berdiri di atas titian ‘Siratal mustaqim’ dan menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhir bagiku, kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik,”

“Setiap bacaan dan doa di dalam solat, aku faham maknanya kemudian aku rukuk dan sujud dengan tawadhuk, aku bertasyahud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun.”

Apabila Isam mendengar, menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim. 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA