Khamis, 4 Julai 2013

Timbangan Yang Teliti


Syed Mahadzir Syed Ibrahim

Sufyan Ats-Tsaury memberi nasihat kepada seorang pemuda ahli ibadah: ‘Wahai pemuda, ambillah sesuatu dari dunia untuk badanmu dalam hal yang memang kamu harus mengambilnya, dan ambillah akhiratmu untuk hatimu.’ Yakni sibukkanlah dirimu mengingati akhirat.
Betapa mudahnya konsep Islam dan betapa adil perlakuannya. Sesungguhnya seorang mukmin mengambil kenikmatan dunia sekadar mencukupi keperluannya yang mendesak, menyibukkan hatinya untuk memikirkan tempatnya di akhirat, melihat kehidupan hakikinya di negeri abadi dan tiada menyibukkan hatinya dengan harapan-harapan dunia dan rakus terhadapnya, kerana dia tahu bahawa dunia adalah fana dan akan sirna.
Namun ternyata kebanyakan manusia lebih mengutamakan dunianya dan lupa akan akhiratnya, sebagaimana yang difirmankan Allah s.w.t: ‘Tetapi kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan duniawi. Sedangkan kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.’ (surah Al-A’la: 16-17)
Ada juga segelintir manusia yang tenggelam dalam memikirkan akhirat belaka, zuhud terhadap dunia, berpaling dari dunia secara total hingga tidak mahu bekerja dan meninggalkan urusannya. Kedua kelompok ini sama-sama jauh dari manhaj pertengahan yang diserukan oleh Islam.
Dari sini maka harus senantiasa diingatkan tentang bahaya ghuluw baik dalam memandang aspek dunia ataupun aspek akhirat, kerana wasathiyah adalah ciri khas Islam, sebagaimana difirmankan Allah s.w.t: ‘Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah s.w.t kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari dunia.’ (surah Al-Qashash: 77)
Adapun ajaran yang dianggap zuhud namun ekstrim hanyalah warisan para pengikut tasawuf yang radikal, jauh dari manhaj Al-Kitab dan As-Sunnah. Pada abad ketiga hijriyah, muncul Muhammad bin As-Sammak, penasihat terkenal pada zaman pemerintahan Harun Ar-Rasyid yang mewarisi Dawud bin Nushair Ath-Tha’i yang tingkat kezuhudannya sampai pada menjauhi kehidupan dunia, bersikap keras dalam memperlakukan dirinya sendiri.
Penasihat tersebut mengucapkan pujiannya: ‘Wahai Dawud, kamu telah memenjarakan diri di rumahmu seorang diri, tiada yang kamu ajak bicara dan duduk bersamamu. Aku tidak tahu manakah dua perkara yang lebih berat bagi kamu? Apakah menyendiri di rumah hingga bertahun-tahun dan berbulan-bulan, ataukah meninggalkan makan dan minum, kamu tidak minum dan merasakan kesegarannya? Tidak ada pintu di rumahmu, tidak ada tempat tidur di bawahmu, tidak tersedia sedikit pun air sejuk di dalamnya dan tidak ada sesuap makan pun untuk dimakan tatkala pagi dan petang. Apakah kamu tidak menyukai air yang sejuk, makanan yang enak dan baju yang halus? Benar, sebenarnya kamu menyukainya, akan tetapi kamu berzuhud terhadapnya kerana seruan yang di hadapanmu dan kamu mengharapkannya.’
Kita mungkin hairan dengan kekuatan iradahnya dan tingkat kezuhudannya, akan tetapi kita tidak mengamalkan kezaliman tersebut terhadap diri kita sendiri, kerana hal itu termasuk melewati batas dalam menghindari dunia dan meninggalkan kenikmatan yang baik-baik, hingga tidak mahu dengan air yang sejuk atau tempat tidur yang nyaman. Akan tetapi yang dilakukan oleh orang yang tawasuth, maka dia akan mengambil dunia bagi badannya dan mengambil akhirat bagi hatinya.
Itulah yang difahami Islam dan konsep yang diajarkannya, yang memberikan kelapangan bagi manusia dan tidak mempersempitkan sesuatu yang longgar. Itulah timbangan yang teliti, memerlukan keluasan pemahaman, kepekaan bashirah serta kekuatan iradah dan istiqamah di jalan yang benar.

Wallahualam.

Prinsip Rahmatan Lil Alamin Dalam Menyebarkan Islam


Syed Mahadzir Syed Ibrahim

Dalam melayari laman web, saya terbaca sebuah artikel yang berjudul terorisis. Dalam tulisan itu penulisnya mengulas tentang sebuah fenomena yang cukup membimbangkan dalam perkembangan gerakan Islam moden. Kebimbangan yang cukup beralasan kerana ditunjang kenyataan objektif yang telah terjadi dalam beberapa tahun terakhir di mana agama mulai bergeser dari nilai kelembutan menuju bentuk kekerasan.
Memang hanya sedikit dari segi kuantiti mereka yang tergerak untuk melakukan kekerasan dengan alasan agama tersebut, tetapi akibat yang ditimbulkan melebihi akibat yang dibimbangkan oleh mereka sendiri terhadap golongan progresif yang mereka anggap muslim-muslim yang wajar dipersoalkan keislamannya.
Dalam ulasannya, penulis artikel tersebut mempersoalkan dengan nada sindiran yang tidak kurang tajam terhadap prinsip yang dipegang oleh golongan ini. Pada satu sisi mereka seringkali protes ketika dituduhkan bahawa Islam disebarkan dengan pedang, sedang pada sisi lain mereka sendiri masih berpegang pada prinsip dikotomi Darul Islam dan Darul Harb.
Sedangkan golongan Islam yang lebih mementingkan kedamaian dan cinta kasih menganggap mereka ini sebagai orang-orang Muslim yang keliru dalam memahami Islam yang sebenarnya. Tetapi anggapan ini dengan sendirinya tertolak dengan kenyataan bahawa mereka mendasari prinsip-prinsip gerakan dengan inti ajaran yang menjadi dasar legitimasi mereka.

Berpegang Pada Prinsip

Sebagaimana yang diulas oleh penulis tersebut dengan menyemak wawancara akhbar Tempo dengan Imam Samudera boleh disimpulkan bahawa Imam Samudera sama sekali tidak keliru dalam memahami Islam. Beliau berpegang pada prinsip ajaran yang menurutnya sahih dan layak untuk diadopsi menjadi prinsip pergerakan.
Selain wawancara tersebut, penulis artikel itu juga mengulas realiti yang sedang berlangsung secara umum dan yang beredar di sekitar lingkungan beliau sendiri secara khusus sehingga beliau menyimpulkan: ‘Cara berfikir Imam Samudera ini kalau diturut sampai ke tingkat ideologi dan teologi akan terlihat kemiripannya dengan rakan-rakannya yang memandang dunia ini dalam kategori dar al-Islam dan dar al-harb/kufr. Bezanya, tentu saja Imam Samudera sudah berjaya mewujudkan keyakinannya, sedangkan kawan-kawannya yang lain tinggal didorong sedikit lagi. Atau dalam bahasa Imam Samudera, kawan-kawan tersebut masih ‘pengecut’.’
Dari ulasan tersebut, saya melihat penulis artikel tersebut perlahan-lahan terseret kepada pandangan yang membenarkan bahawa Islam dulu disebarkan melalui pedang lalu cuba mengajak orang-orang Islam untuk meninggalkan cara yang beliau anggap keliru tersebut sebagaimana beliau tuliskan pada bahagian akhir tulisan: ‘Mari kita tunjukkan bahawa cara-cara yang pernah dilakukan para sahabat dengan menyebarkan Islam melalui pedang itu keliru.’
Anggapan penulis yang menyatakan bahawa benar Islam dulu disebarkan melalui pedang adalah sama dengan golongan keras yang beliau ulas itu. Hanya bezanya, beliau menganggap cara itu keliru dan harus ditinggalkan sedang golongan keras termasuk di antaranya bibit-bibit baru yang masih berpegang pada dikotomi darul Islam dan darul harb menganggap cara itu sebagai dalil yang boleh dijadikan prinsip pergerakan.
Kalau yang dimaksudkan dengan cara ‘disebarkan melalui pedang’ itu adalah kenyataan objektif dari sejarah yang pernah terjadi dalam Islam dulu tentu kita semua memang mengakui peperangan-peperangan yang telah terjadi tersebut. Tetapi apakah peperangan itu bertujuan untuk menyebarkan Islam sehingga boleh kita sebut Islam disebarkan melalui pedang? Walau pada masa sekarang kita menganggapnya sebagai cara yang keliru atau barangkali peperangan-peperangan itu sendiri bukan tujuan utamanya untuk menyebarkan Islam?

1.     Pertama sekali mengamati pendapat yang dilontarkan.
2.     Kedua, mengamati kembali sejarah Semenanjung Arab ketika kita melihat tawaran yang dilontarkan dalam setiap peperangan yang dilancarkan, berupa:

·        ajak mereka masuk Islam
·        kalau mereka enggan, suruh mereka bayar jizyah
·        kalau enggan masuk Islam dan enggan bayar jizyah, maka perangilah mereka.

Tiga tawaran yang diberikan memang disebutkan dalam buku-buku sejarah dan dalam atsar-atsar yang sahih. Bahkan juga sahih bahawa Rasulullah s.a.w setelah Fathu Mekah mengirimkan surat ke berbagai wilayah Arab waktu itu untuk meminta mereka tunduk dan menawarkan perkara-perkara tersebut.
Pada tawaran kedua jelas disebutkan apabila enggan masuk Islam maka harus bayar jizyah. Kalau demikian, boleh kita bayangkan seandainya  waktu itu mereka memilih tawaran kedua saja, boleh jadi Islam tidak menyebar luas seperti sekarang dan tawaran itu juga bererti bahawa peperangan yang pernah terjadi bukan bertujuan agar wilayah yang diserang mengganti keyakinan agar menjadi Islam.
Kalau peperangan itu bertujuan menyebarkan Islam dan penyebaran itu memang harus dengan pedang, semestinya tawaran kedua itu tidak perlu dan hanya dengan itu boleh kita benarkan peperangan yang dilancarkan memang menginginkan agar-agar orang-orang yang diserang masuk Islam.
Persoalan seterusnya, kalau peperangan itu bukan bertujuan menyebarkan Islam dan anggapan atau keyakinan kebanyakan orang bahawa menyebarkan Islam dengan pedang itu adalah anggapan atau keyakinan yang keliru, lalu untuk apa peperangan itu mesti terjadi?
Untuk menjawab persoalan ini, penting bagi kita untuk melihat kembali sejarah Semenanjung Arab dan sekitarnya dan peristiwa-peristiwa yang berlangsung ketika itu. Kemudian bagaimana kedudukan sosial budaya bangsa Arab yang terdiri dari kabilah-kabilah bebas di wilayahnya masing-masing. Dan dari sana boleh kita fahami bahawa peperangan yang terjadi lebih menunjukkan peranan Islam dan inti ajarannya yang mengutamakan nilai-nilai persatuan, nilai-nilai perdamaian, dan membangkitkan kembali jati diri manusia untuk tetap menjadi manusia yang bermartabat.
Sebelum Islam datang, Semenanjung Arab merupakan wilayah konflik peperangan antara dua empayar besar iaitu Romawi dan Persia. Sedangkan orang-orang Arab sendiri ketika itu tercerai-berai dalam kabilah-kabilah yang tidak sedikit dan di antara mereka sendiri terjadi peperangan dahsyat yang tidak kunjung habisnya.

Saling Berebut Untuk Menguasai Wilayah

Peperangan-peperangan yang terjadi di antara mereka secara substansi berbeza dengan peperangan antara Romawi dan Persia yang lebih terfokus kepada perluasan wilayah, hegemoni politik, dan ekonomi. Sehingga wajar saja di satu wilayah tertentu kabilah Aus dan Khazraj sedang berperang (terkenal dengan hari Buast), sedang di wilayah lain merupakan rebutan strategik antara Romawi dan Persia.
Kabilah-kabilah Arab yang ada di wilayah rebutan strategik tidak terkait dengan peperangan kabilah lain tetapi mereka secara tidak langsung terlibat dengan peperangan yang berlangsung di wilayah perebutan itu. Seperti misalnya dinasti Sasanid yang menyokong Persia dan al-Manadzirah yang menyokong Romawi.
Pergolakan peperangan terus berlangsung bertahun-tahun yang pada intinya orang-orang Arab tidak lagi menjadi tuan di tanahnya sendiri. Masing-masing berada dalam pengaruh kekuatan asing yang saling berebut untuk menguasai wilayah.
Pada waktu yang sama, Mekah adalah daerah yang tandus dan tidak diambil kira oleh kekuatan-kekuatan besar tersebut. Secara geografi dalam perhitungan ekonomi dan politik kedua empayar yang berseteru, Mekah juga dipandang tidak strategik, sehingga Mekah merupakan wilayah yang jauh dari konflik.
Pada sisi lain, kabilah-kabilah Arab mengakui eksistensi dan kepemimpinan Quraisy di Mekah dengan sistem pengaturan yang sistematik dan demokratik yang dibangun dan disempurnakan semenjak masa Qusay ibn Kilab. Amat demokratiknya, sehingga berhala setiap kabilah diletakkan di Kaabah dan pada setiap tahun ada jadual-jadual resmi yang sudah diatur dan biasanya didahului dengan pertemuan dan perayaan resmi, seperti Pasar Ukaz di pinggir kota Mekah yang sangat terkenal di mana setiap penyair kabilah bertanding untuk menunjukkan kebolehan dan ada ‘dewan juri’ dari para sasterawan yang sudah diakui berbagai kabilah.
Tidak jarang, pertandingan ini juga seringkali membuahkan pertumpahan darah kerana bagi kabilah Arab waktu, bagi kabilah yang tidak mempunyai penyair sebaiknya tidak usah tunjuk diri. Sebulan (lebih kurang) setelah Pasar Ukaz, para kabilah kemudian menuju Mekah untuk mengadakan perayaan dan melakukan peribadatan mereka.
Merupakan hikmah yang luar biasa dari sebuah kebesaran Allah yang maha menentukan, di Mekah yang tidak masuk dalam konflik ketika itu dan tidak strategik menurut kekuatan-kekuatan yang berperang dalam kepentingan mereka tetapi mempunyai pengaruh strategik di kalangan kabilah-kabilah Arab sendiri.
Pada ketika Mekah sudah mulai dibawa masuk ke dalam konflik yang ditandai dengan penyerangan tentera bergajah Abrahah dari Yaman dan para ketua Quraisy ketika itu hanya boleh pasrah dan menyerahkan semuanya kepada Rabbul Bait (ungkapan Abdul Muttalib). Dan kekuatan dahsyat pun terjadi, tentera-tentera ini dikalahkan oleh burung-burung Ababil yang melemparkan mereka dengan batu dari Sijjil. Pada ketika itu dan di negeri inilah Muhammad s.a.w dilahirkan.
Setelah berhasil membangunkan kembali mental dan spiritual kabilah-kabilah Arab dengan agama dan keyakinan yang diemban oleh Muhammad s.a.w di mana konflik sosial, agama, dan budaya berakhir dengan Fathu Mekah, mulailah risalah rahmatan lil alamin menggema di seluruh wilayah Semenanjung Arab dan mengajak kepada seluruh wilayah untuk menjadi tuan di negeri sendiri bukan menjadi tawanan lebih-lebih lagi hamba kekuatan asing yang hanya ingin memperluaskan wilayah kekuasaan dan melindungi kepentingannya saja.
Tidak syak lagi, yang menolak bererti perang, sedang yang mahu menjadi tuannya sendiri dengan membayar jizyah dipersilakan tanpa harus merubah keyakinannya, dan yang menerima Islam menjadi keyakinannya lebih dialu-alukan lagi.
Tentu saja sudah boleh diduga dengan akal yang sederhana, Romawi dan Persia tidak mungkin dengan begitu mudah melepaskan wilayah yang mereka kuasai dengan susah payah dan perang bertahun-tahun. Dan dengan ini, peperangan tidak lagi antara Romawi dan Persia tetapi ditambah kekuatan ketiga yang juga sudah mandiri ingin membebaskan wilayahnya agar menjadi tuan di tanah sendiri.
Tidak seperti dulu lagi, kekuatan ketiga ini kalau tidak berperang sesama mereka, berperang untuk membela kekuatan yang disokongnya, penyokong Persia atau penyokong Romawi. Kalau peperangan tiga kekuatan besar ini melebar hingga ke luar wilayah Arab, itu merupakan konsekuensi yang wajar dari peperangan yang terus berlanjutan.

Gulibatir Ruum

Peperangan Romawi dan Persia ini juga yang sebelumnya sudah diberitakan oleh Al-Quran dan merupakan sebahagian dari mukjizatnya ‘Gulibatir Ruum’. Dengan demikian boleh diteliti lagi ternyata peperangan-peperangan yang berlangsung bukan untuk menyebarkan Islam tetapi untuk manusia menjadi tuan di negeri sendiri dan menjadi manusia yang utuh dan bermartabat (i’tizaz bin nafsi).
Kerana prinsip yang jelas seperti itulah, ketika Saidina Umar r.a. menerima surat permintaan dari penguasa Mesir untuk membebaskan mereka dari tindasan dan kekuasaan Romawi, beliau mengirimkan pasukan yang dipimpin oleh Amr bin ‘Ash dan memberikan pesan agar jangan sama sekali menyentuh gereja apalagi menghancurkannya dan memberikan kebebasan kepada penduduk peribumi bagaimana kepercayaan yang mereka yakini.
Bahkan ketika sudah berjaya menguasai Mesir, Amr bin ‘Ash menemui kebiasaan yang tidak manusiawi dari penduduk Mesir berupa mempersembahkan manusia untuk Sungai Nil. Setiap tahun Sungai Nil mengalami banjir dan menurut keyakinan mereka kerana dewa marah sehingga ada yang perlu dikorbankan untuk dewa sungai tersebut.
Melihat kenyataan ini, Amr bin Ash mengirimkan surat kepada Saidina Umar menceritakan hal tersebut. Saidina Umar r.a. membalas suratnya dengan mengatakan kepada Amr bin Ash supaya menghentikan perbuatan tersebut dan apabila kamu baca suratku ini lemparkanlah ke Sungai Nil.
Semenjak itu, Sungai Nil tidak pernah mengalami banjir lagi yang menyebabkan kerosakan sawah-sawah penduduk. Dengan sikap seperti itu, kita boleh menyaksikan sendiri gereja-gereja tua masih kukuh hingga sekarang di Mesir seperti gereja tergantung di Mathariyah dan gereja tertua di dunia di daratan Sinai. Dan kalau penduduk Mesir kemudiannya ramai yang memeluk Islam, saya kira merupakan sesuatu yang wajar ketika menerima sikap dan perlakuan seperti itu.
Peperangan dengan Romawi masih terus berlangsung sampai pada masa Abbasiyah, dan bukan tidak mungkin perang Salib sebenarnya juga adalah kesinambungan dari peperangan-peperangan tersebut. Salah satu kemenangan terhadap Romawi itu sendiri terdapat dalam syair-syair Mutanabbi yang memuji Saifud Daulah yang berjaya memenangi pertempuran, awal qasidahnya berbunyi ‘ala qadri ahlil ‘azmi ta`til ‘aza`imu-wa ta`ti ‘ala qadril kiraami al-makaarimu @ wa ta’zhumu fi ‘ainis shagiiri shigaaruhaa - wa tashguru fi ‘ainil azhiimi al-’azhaa`imu.
Akhthal adalah salah seorang dari trio pujangga (Farazdaq, Jarir, Akhthal) pada zaman Umawiyah. Beliau adalah seorang pemeluk Nasrani dan dikenali sebagai orang yang takut kepada pendeta. Apa saja kata pendeta, beliau paling tidak berani membantah. Yang terpenting di sini, semua riwayat tidak ada yang menyebutkan Akhthal membayar jizyah dan beliau tetap Nasrani bahkan bakatnya membuatkan beliau menjadi salah seorang penyair terbaik yang digolongkan oleh Abdus Salam dalam Thabaqatnya sebagai penyair teratas pada masa Umawiyah.
Ini hanya salah satu contoh dari sekian banyak contoh yang ada. Seperti juga salah seorang penterjemah pada zaman al-Ma’mun (awal perkembangan ilmu pengetahuan) adalah seorang Yahudi.

Jihad Dalam Al-Quran

Jihad yang disebutkan dalam Al-Quran dalam makna angkat senjata adalah wajib ketika memang terjadi peperangan dan itu berlaku pada masa-masa tersebut. Dan bahkan Al-Quran sendiri menyebutkan seandainya dalam peperangan itu kemudian pihak musuh mengajak perdamaian maka itu harus disambut dengan baik dan jangan sampai dilanggar kecuali mereka sendiri melanggarnya.
Dan pada saat-saat seperti itu wajar saja jika ada dikotomi antara Darul Islam dan Darul Harb dan itu diperlukan secara lebih khusus lagi oleh para fuqaha yang melakukan penelitian hukum kondisional. Sayangnya Darul Harbi yang bererti wilayah konflik peperangan itu diertikan oleh kalangan tertentu sebagai wilayah yang harus diperangi. Betapa jauh maknanya dengan yang dimaksudkan oleh penggunaan istilah itu sebenarnya.
Boleh disemak kembali pembicaraan tentang darul harbi dalam kitab-kitab fikih lebih banyak membicarakan tentang tawanan perang, gencatan senjata, dan berbagai kes hukum yang berkaitan dengan suasana yang tidak dalam damai sehingga menghasilkan hukum yang boleh jadi berbeza dengan wilayah damai.
Dengan prinsip seperti itu boleh dimaklumi bahawa orang-orang muslim yang berada di Kanada misalnya harus menerapkan hukum yang berlaku dalam suasana damai bukan hukum yang berlaku dalam suasana perang. Memang sekali lagi agak aneh kalau makna seperti itu tiba-tiba masa sekarang darul harbi diertikan sebagai wilayah yang layak diperangi. Perubahan makna ini lebih tajam lagi setelah ditonjolkan oleh Sayyid Qutub pada era 50-an.

Pandangan Yang Keliru

Dari kenyataan sejarah yang ada itu, anggapan bahawa Islam disebarkan melalui pedang merupakan sebuah pandangan yang keliru dan itu sama sekali bukan cara Islam dalam menyebarkan ajarannya dan peperangan yang terjadi bukan kerana perintah atau ajaran bahawa peperangan itu harus dilakukan untuk menyebarkan agama. Peperangan yang berlangsung ketika itu tidak juga kerana masyarakat pada masa awal Islam keliru dalam menerapkan cara menyebarkan ajaran tetapi merupakan konsekuensi yang berlanjutan dari peperangan yang memang sedang berlangsung.
Alasan paling utama di mana Islam dan ajarannya sangat berperanan adalah mempersatukan kembali kekuatan yang hancur dan terpecah-belah dan mengambil kembali wilayah yang telah diduduki pihak asing dan menjadi tuan di negeri dan tanah sendiri. Sedangkan penyebaran Islam sendiri tetap berlaku prinsip rahmatan lil alamin dan itulah kenyataan disaksikan sejarah masuknya Islam di wilayah nusantara ini yang memang jauh dari wilayah konflik peperangan Romawi dan Persia tersebut.
Kekeliruan anggapan itu lebih lagi bagi mereka yang menganggap angkat senjata untuk menyebarkan Islam sebagai suatu kewajiban dan prinsip yang harus ditegakkan.
Wallahhu’alam.


Kaedah Asas Menghafal Al-Quran


Syed Mahadzir Syed Ibrahim


Sebagai seorang mukmin, kita tentunya berkeinginan untuk dapat menghafal Al-Quran dan setiap kita pasti memimpikan agar dapat melahirkan anak-anak yang hafal Al-Quran (hafidz atau hafidzah). Berikut ini ada beberapa cara atau kaedah asas untuk memudahkan menghafal, di antaranya:

1. Mengikhlaskan Niat Hanya Untuk Allah s.w.t

Memperbaiki tujuan dan bersungguh-sungguh menghafal Al-Quran hanya kerana Allah s.w.t serta untuk mendapatkan syurga dan keredhaan-Nya. Tidak ada pahala bagi siapa saja yang membaca Al-Quran dan menghafalnya kerana tujuan keduniaan, kerana riyak atau sumah (ingin didengar orang), dan perbuatan seperti ini jelas menjerumuskan pelakunya kepada dosa.

2. Dorongan Dari Diri Sendiri, Bukan Kerana Terpaksa

Ini adalah asas bagi setiap orang yang berusaha untuk menghafal Al-Quran. Sesungguhnya siapa yang mencari kelazatan dan kebahagiaan ketika membaca Al-Quran maka dia akan mendapatkannya.

3. Membenarkan Ucapan Dan Bacaan

Perkara ini tidak akan tercapai kecuali dengan mendengar dari orang yang baik bacaan Al-Qurannya atau dari orang yang hafal Al-Quran. Rasulullah s.a.w sendiri mengambil atau belajar Al-Quran dari Jibril secara lisan. Setahun sekali pada bulan Ramadhan secara rutin Jibril menemui baginda untuk murajaah hafalan baginda. Pada tahun Rasulullah s.a.w diwafatkan, Jibril menemui baginda sampai dua kali.
Para sahabat juga belajar Al-Quran dari Rasulullah s.a.w secara lisan, demikian juga generasi-generasi terbaik selepas mereka. Pada masa sekarang boleh dibantu dengan mendengar kaset-kaset murattal yang dibaca oleh qari yang baik dan bagus bacaannya. Wajib bagi penghafal Al-Quran untuk tidak menyandarkan kepada dirinya sendiri dalam hal bacaan Al-Quran dan tajwidnya.

4. Membuat Matlamat Hafalan Setiap Hari

Misalnya merancang sepuluh ayat setiap hari atau satu halaman, satu hizb, seperempat hizb atau boleh ditambah atau dikurangi dari matlamat tersebut sesuai dengan kemampuan. Yang jelas matlamat yang telah ditetapkan seboleh mungkin perlu dipenuhi.

5. Membaguskan Hafalan

Tidak boleh beralih hafalan sebelum mendapat hafalan yang sempurna. Perkara ini dimaksudkan untuk memantapkan hafalan di hati. Dan yang demikian dapat dibantu dengan mengamalkannya dalam setiap masa sepanjang siang dan malam.

6. Menghafal Dengan Satu Mushaf

Hal ini disebabkan manusia boleh menghafal dengan melihat sebagaimana mampu menghafal dengan mendengar. Dengan membaca atau melihat akan terbekas dalam hati bentuk-bentuk ayat dan tempat-tempatnya dalam mushaf.
Bila orang yang menghafal Al-Quran itu merubah atau mengganti mushaf yang biasa dia menghafal dengannya maka hafalannya pun akan berbeza-beza juga dan ini akan menyukarkan dirinya.

7. Memahami Adalah Salah Satu Jalan Untuk Menghafal

Di antara hal-hal yang paling besar atau dominan yang dapat membantu untuk menghafal Al-Quran adalah dengan memahami ayat-ayat yang dihafalkan dan juga mengenali segi-segi keterkaitan antara ayat yang satu dengan ayat yang lainnya.
Oleh sebab itu seharusnyalah bagi penghafal Al-Quran untuk membaca tafsir dari ayat-ayat yang dihafalnya, untuk mendapatkan keterangan tentang kata-kata yang asing atau untuk mengetahui sebab turunnya ayat atau memahami makna yang sukar atau untuk mengenal hukum yang khusus.
Ada beberapa kitab tafsir yang ringkas yang boleh ditelaah oleh pemula seperti kitab Zubdatut Tafsir oleh Asy-Syaikh Muhammad Sulaiman Al-Asyqar.
Setelah memiliki kemampuan yang cukup, untuk meluaskan pemahaman, boleh menelaah kitab-kitab tafsir yang berisi penjelasan yang panjang seperti Tafsir Ibnu Katsier, Tafsir Ath-Thabari, Tafsir As-Sadi dan Adhwaaul Bayaan oleh Asy-Syanqithi. Wajib juga menghadirkan hatinya pada ketika membaca Al-Quran.

8. Tidak Pindah Ke Surah Lain Sebelum Hafal Benar Surah Yang Sedang Dihafal

Setelah sempurna satu surah dihafalkan, tidak sewajarnya berpindah ke surah lain kecuali setelah benar-benar sempurna hafalannya dan telah kukuh dalam dada.

9. Selalu Memperdengarkan Hafalan (Disemak Oleh Orang Lain)

Orang yang menghafal Al-Quran tidak sewajarnya menyandarkan hafalannya kepada dirinya sendiri. Tetapi wajib atasnya untuk memperdengarkan kepada seorang hafidz atau menyesuaikannya dengan mushaf. Perkara ini dimaksudkan untuk mengingatkan kesalahan dalam ucapan, atau syakal ataupun lupa.
Ramai sekali orang yang menghafal dengan hanya bersandar pada dirinya sendiri, sehingga kadang-kadang ada yang salah atau keliru dalam hafalannya tetapi tidak ada yang memperingatkan kesalahan tersebut.

10. Selalu Menjaga Hafalan Dengan Murajaah

Bersabda Rasulullah s.a.w: ‘Jagalah benar-benar Al-Quran ini, demi yang jiwaku berada di tangan-Nya, Al-Quran lebih cepat terlepas daripada unta yang terikat dari ikatannya.’
Maka seseorang yang menghafal Al-Quran bila membiarkan hafalannya sebentar saja nescaya dia akan terlupa. Lantaran itu hendaklah hafalan Al-Quran terus diulang setiap hari. Bila ternyata hafalan yang ada hilang dalam dada tidak sewajarnya mengatakan: ‘Aku lupa ayat (surah) ini atau ayat (surah) itu.’ Akan tetapi hendaklah mengatakan: ‘Aku dilupakan.’

11. Bersungguh-Sungguh Dan Memperhatikan Ayat Yang Serupa

Khususnya yang serupa atau hampir serupa dalam lafaz, maka wajib untuk memperhatikannya agar dapat dihafal dengan baik dan tidak tercampur dengan surah lain.

12. Mencatat Ayat-Ayat Yang Dibaca Atau Dihafal

Ada baiknya penghafal Al-Quran menulis ayat-ayat yang sedang dibaca atau dihafalkannya, sehingga hafalannya tidak hanya di dada dan di lisan tetapi dia juga dapat menuliskannya dalam bentuk tulisan.
Ramai penghafal Al-Quran yang ditemui, mereka kadang-kadang hafal satu atau beberapa surah dari Al-Quran tetapi apabila diminta untuk menuliskan hafalan tersebut mereka tidak boleh atau banyak kesalahan dalam penulisannya.

13. Memperhatikan Usia Yang Baik Untuk Menghafal

Usia yang baik untuk menghafal ialah kira-kira dari umur 5 tahun hingga 25 tahun. Wallahu alam dalam batasan usia tersebut. Namun yang jelas menghafal pada usia muda adalah lebih mudah dan lebih baik daripada menghafal pada usia tua.
Pepatah ada mengatakan: Menghafal pada waktu kecil seperti mengukir di atas batu, menghafal pada waktu tua seperti mengukir di atas air.

Hal-Hal Yang Boleh Menghalangi Hafalan

Setelah kita mengetahui beberapa kaedah dasar untuk menghafal Al-Quran maka sudah sewajarnya bagi kita mengetahui beberapa hal yang menghalang dan menyulitkan hafalan agar kita dapat berwaspada dari penghalang-penghalang tersebut. Di antaranya ialah:

1.     Banyaknya dosa dan maksiat. Sesungguhnya dosa dan maksiat akan melupakan hamba terhadap Al-Quran dan terhadap dirinya sendiri. Hatinya akan buta dari zikrullah.
2.     Tidak adanya usaha untuk menjaga hafalan dan mengulangnya secara terus-menerus. Tidak mahu memperdengarkan (meminta orang lain untuk menyemak) dari apa yang telah dihafal dari Al-Quran kepada orang lain.
3.     Perhatian yang berlebihan terhadap urusan dunia yang menjadikan hatinya bergantung dengannya dan selanjutnya tidak mampu untuk menghafal dengan mudah.
4.     Bercita-cita menghafal ayat-ayat yang banyak dalam waktu yang singkat dan pindah ke hafalan lain sebelum kukuhnya hafalan yang lama.

Kita mohon pada Allah s.w.t semoga Dia menganugerahkan dan memudahkan kita untuk menghafal kitab-Nya, mengamalkannya serta dapat membacanya di tengah malam dan di siang hari. Insya-Allah.


Sukma Nurani Sukma Dhulmani


Syed Mahadzir Syed Ibrahim

Menurut para sufi, manusia adalah mahluk Allah s.w.t yang paling sempurna di dunia ini. Hal ini, seperti yang dikatakan oleh Ibnu ‘Arabi baawa manusia bukan saja merupakan khalifah Allah s.w.t di bumi yang dijadikan sesuai dengan citra-Nya, tetapi juga kerana ia merupakan mazhaz (penampakan atau tempat kenyataan) asma dan sifat Allah s.w.t yang paling lengkap dan menyeluruh.
Allah s.w.t menjadikan Adam (manusia) sesuai dengan citra-Nya. Setelah jasad Adam dijadikan dari alam jisim, kemudian Allah s.w.t meniupkan roh-Nya ke dalam jasad Adam. Allah s.w.t berfirman: ‘Maka apabila Aku telah menyempurnakan kejadiannya dan Aku tiupkan kepadanya roh-Ku.’ (surah 15: 29)
Jadi jasad manusia, menurut para sufi, hanyalah alat, perkakas atau kenderaan bagi rohani dalam melakukan aktivitinya. Manusia pada hakikatnya bukanlah jasad lahir yang diciptakan dari unsur-unsur material, akan tetapi rohani yang berada dalam dirinya yang selalu mempergunakan tugasnya.
Lantaran itu, pembahasan tentang jasad tidak banyak dilakukan oleh para sufi dibandingkan pembahasan mereka tentang roh (al-roh), jiwa (al-nafs), akal (al-’aql) dan hati nurani atau jantung (al-qalb).

Roh Dan Jiwa (Al-Roh Dan Al-Nafs)

Ramai ulama yang menyamakan pengertian antara roh dan jasad. Roh berasal dari alam arwah dan memerintah dan menggunakan jasad sebagai alatnya. Sedangkan jasad berasal dari alam ciptaan, yang dijadikan dari unsur material. Tetapi para ahli sufi membezakan roh dan jiwa. Roh berasal dari tabiat Ilahi dan cenderung kembali ke asal semula. Ia selalu dinisbahkan kepada Allah s.w.t dan tetap berada dalam keadaan suci.
Kerana roh bersifat kerohanian dan selalu suci, maka setelah ditiup Allah s.w.t dan berada dalam jasad, ia tetap suci. Roh di dalam diri manusia berfungsi sebagai sumber moral yang baik dan mulia. Jika roh merupakan sumber akhlak yang mulia dan terpuji, maka lain halnya dengan jiwa. Jiwa adalah sumber akhlak tercela. Al-Farabi, Ibn Sina dan al-Ghazali membahagikan jiwa pada: jiwa nabati (tumbuh-tumbuhan), jiwa haiwani (binatang) dan jiwa insani.
Jiwa nabati adalah kesempurnaan awal bagi benda semula jadi yang organik dari segi makan, tumbuh dan melahirkan. Adapun jiwa haiwani, di samping memiliki daya makan untuk tumbuh dan melahirkan, juga memiliki daya untuk mengetahui hal-hal yang kecil dan daya merasa, sedangkan jiwa insani mempunyai kelebihan dari segi daya berfikir (al-nafs-al-nathiqah).
Daya jiwa yang berfikir (al-nafs-al-nathiqah atau al-nafs-al-insaniyah) inilah, menurut para filsuf dan sufi, yang merupakan hakikat atau peribadi manusia. Sehingga dengan hakikat, ia dapat mengetahui hal-hal yang umum dan yang khusus, Zatnya dan Penciptaannya.
Kerana pada diri manusia tidak hanya memiliki jiwa insani (berfikir), tetapi juga jiwa nabati dan jiwa haiwani, maka jiwa (nafs) manusia menjadi pusat tempat tertumpuknya sifat-sifat yang tercela pada manusia. Itulah sebabnya jiwa manusia mempunyai sifat yang beraneka ragam dan corak sesuai dengan keadaannya.
Apabila jiwa menyerah dan patuh pada kemahuan syahwat dan memperturutkan ajakan syaitan, yang memang pada jiwa itu sendiri ada sifat kebinatangan, maka ia disebut jiwa yang menyuruh berbuat jahat. Firman Allah s.w.t, ‘Sesungguhnya jiwa yang demikian itu selalu menyuruh berbuat jahat.’ (surah 12: 53)
Apabila jiwa selalu dapat menentang dan melawan sifat-sifat tercela, maka ia disebut jiwa pencela, sebab ia selalu mencela manusia yang melakukan keburukan dan yang leka dan lalai berbakti kepada Allah s.w.t. Hal ini ditegaskan oleh-Nya, ‘Dan Aku bersumpah dengan jiwa yang selalu mencela.’ (surah 75:2).
Tetapi apabila jiwa dapat terhindar dari semua sifat-sifat yang tercela, maka ia berubah menjadi jiwa yang tenang (al-nafs al-muthmainnah). Dalam hal ini Allah s.w.t menegaskan, ‘Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan rasa puas lagi diredhai, dan masuklah kepada hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam syurga-Ku.’ (surah 89:27-30)
Jadi, jiwa mempunyai tiga buah sifat iaitu jiwa yang telah menjadi tumpukan sifat-sifat yang tercela, jiwa yang telah melakukan penentangan pada sifat-sifat tercela, dan jiwa yang telah mencapai tingkat kesucian, ketenangan dan ketenteraman, iaitu jiwa muthmainnah. Dan jiwa muthmainnah inilah yang telah dijamin Allah s.w.t terus masuk syurga.
Jiwa muthmainnah adalah jiwa yang selalu berhubungan dengan roh. Roh bersifat Ketuhanan sebagai sumber moral mulia dan terpuji, dan ia hanya mempunyai satu sifat, iaitu suci. Sedangkan jiwa mempunyai beberapa sifat yang ambivalen.
Allah s.w.t berfirman, ‘Demi jiwa serta kesempurnaannya, Allah mengilhamkan jiwa pada keburukan dan ketakwaan.’ (surah91:7-8). Ertinya, dalam jiwa terdapat potensi buruk dan baik, lantaran itu jiwa terletak pada perjuangan baik dan buruk.

Akal

Akal yang dalam bahasa Yunani disebut nous atau logos atau intelek (intellect) dalam bahasa Inggeris adalah daya berfikir yang terdapat dalam otak, sedangkan ‘hati’ adalah daya jiwa (nafs nathiqah). Daya jiwa berfikir yang ada pada otak di kepala disebut akal. Sedangkan yang ada pada hati (jantung) di dada disebut rasa (dzauq).
Lantaran itu ada dua sumber pengetahuan, iaitu pengetahuan akal (ma’rifat aqliyah) dan pengetahuan hati (ma’rifat qalbiyah). Kalau para filsuf mengunggulkan pengetahuan akal sementara para sufi lebih mengunggulkan pengetahuan hati (rasa).
Menurut para filsuf Islam, akal yang telah mencapai tingkatan tertinggi - akal perolehan (akal mustafad) - ia dapat mengetahui kebahagiaan dan berusaha memperolehinya. Akal yang demikian akan menjadikan jiwanya kekal dalam kebahagiaan (syurga). Namun, jika akal yang telah mengenali kebahagiaan itu berpaling, bererti ia tidak berusaha memperolehinya. Jiwa yang demikian akan kekal dalam kesengsaraan (neraka).
Adapun akal yang tidak sempurna dan tidak mengenali kebahagiaan, maka menurut al-Farabi, jiwa yang demikian akan hancur. Sedangkan menurut para filsuf tidak hancur. Kerana kesempurnaan manusia menurut para filsuf terletak pada kesempurnaan pengetahuan akal dalam mengetahui dan memperolehi kebahagiaan yang tertinggi, iaitu ketika akan sampai ke tingkat akal perolehan.

Hati Sukma (Qalb)

Hati atau sukma merupakan terjemahan dari kata bahasa Arab qalb. Sebenarnya terjemahan yang tepat dari qalb adalah jantung, bukan hati atau sukma. Tetapi, dalam pembahasan ini kita memakai kata hati sebagaimana yang sudah biasa.
Hati adalah segumpal daging yang berbentuk bulat panjang dan terletak di dada sebelah kiri. Hati dalam pengertian ini bukanlah objek kajian kita di sini, kerana hal itu termasuk bidang kedoktoran yang cakupannya boleh lebih luas, misalnya hati binatang, bahkan bangkainya.
Adapun yang dimaksudkan dengan hati di sini adalah hati dalam makna atau definisi yang halus, hati-nurani - daya fikir jiwa (daya nafs nathiqah) yang ada pada hati, di rongga dada. Dan daya berfikir itulah yang disebut dengan rasa (dzauq), yang memperolehi sumber pengetahuan hati (ma’rifat qalbiyah). Dalam kaitan ini Allah s.w.t telah berfirman, ‘Mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakan memahaminya.’ (surah 7:1-79).
Dari huraian di atas, dapat kita ambil kesimpulan sementara, bahawa menurut para filsuf dan sufi Islam, hakikat manusia itu jiwa yang berfikir (nafs insaniyah), tetapi mereka berbeza pendapat pada cara mencapai kesempurnaan manusia. Bagi para filsuf, kesempurnaan manusia diperolehi melalui pengetahuan akal (ma’rifat aqliyah), sedangkan para sufi melalui pengetahuan hati (ma’rifat qalbiyah). Akal dan hati sama-sama merupakan daya berfikir.
Menurut para sufi, hati yang bersifat nurani itulah sebagai wadah atau sumber ma’rifat - suatu alat untuk mengetahui hal-hal yang Ilahi. Hal ini hanya dimungkinkan jika hati telah bersih dari pencemaran hawa nafsu dengan menempuh fasa-fasa moral dengan latihan jiwa, serta menggantikan moral yang tercela dengan moral yang terpuji, melalui hidup zuhud yang penuh takwa, warak serta zikir yang berterusan atau istiqamah, ilmu ladunni (ilmu Allah) yang memancarkan sinarnya dalam hati, sehingga ia mampu menjadi sumber atau wadah ma’rifat, dan akan mencapai pengenalan Allah s.w.t. Dengan demikian, poros jalan sufi ialah moral.
Latihan-latihan rohaniah yang sesuai dengan tabiat terpuji adalah sebagai kesihatan hati dan hal ini yang lebih bererti berbanding dengan kesihatan jasmani sebab penyakit anggota tubuh luar hanya akan membuatkan hilangnya kehidupan di dunia ini saja, sementara penyakit hati nurani akan membuatkan hilangnya kehidupan yang abadi. Hati nurani ini tidak terlepas dari penyakit, yang kalau dibiarkan akan membuatnya berkembang banyak dan akan berubah menjadi hati dhulmani - hati yang kotor.
Kesempurnaan hakikat manusia (nafs insaniyah) ditentukan oleh hasil perjuangan antara hati nurani dan hati dhulmani. Inilah yang dimaksudkan dengan firman Allah s.w.t yang ertinya, ‘Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang mensucikan jiwanya, dan rugilah orang yang mengotorinya.’ (surah 91:8-9).
Hati nurani bagaikan cermin, sementara pengetahuan adalah pantulan gambar realiti yang terdapat di dalamnya. Jika cermin hati nurani tidak bening, hawa nafsunya yang tumbuh. Sementara ketaatan kepada Allah s.w.t serta keterpalingan dari tuntutan hawa nafsu itulah yang membuatkan hati-nurani bersih dan cemerlang serta mendapatkan limpahan cahaya dari Allah s.w.t.
Bagi para sufi, kata al-Ghazali, Allah s.w.t melimpahkan cahaya pada dada seseorang, tidaklah kerana mempelajarinya, mengkajinya, ataupun menulis buku, tetapi dengan bersikap asketik terhadap dunia, menghindarkan diri dari hal-hal yang berkaitan dengannya, membebaskan hati nurani dari berbagai pesonanya, dan menerima Allah s.w.t segenap hati. Dan barangsiapa memiliki Allah s.w.t nescaya Allah s.w.t adalah miliknya. Setiap hikmah muncul dari hati nurani, dengan keteguhan beribadat, tanpa belajar, tetapi melalui pancaran cahaya dari ilham Ilahi.

Hati atau sukma dhulmani selalu mempunyai keterkaitan dengan nafs atau jiwa nabati dan jiwa haiwani. Itulah sebabnya ia selalu menggoda manusia untuk mengikuti hawa nafsunya. Kesempurnaan manusia (nafs nathiqah), bergantung kepada kemampuan hati-nurani dalam pengendalian dan pengawasan hati dhulmani.

Jaga Lidah Dalam Menilai Sesuatu


Syed Mahadzir Syed Ibrahim


Bersyukur kita ke hadrat Allah s.w.t kerana melimpahkan nikmat yang tidak terkira banyaknya kepada kita. Di antara nikmat utama yang dikurniakan Allah s.w.t kepada hamba-Nya ialah lidah. Lidah mempunyai kebaikan dan manfaat yang amat banyak, bagi mereka yang menjaga dan menggunakannya ke arah tujuan yang sebenar seperti berzikir kepada Allah s.w.t, membaca Al-Quran, berdakwah menyeru manusia ke arah mentaati perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya dan memberi nasihat serta teguran yang berguna kepada sesama manusia.
Sesungguhnya lidah itu merupakan nikmat yang amat berharga kerana itu kita hendaklah menjaga dengan sebaik-baiknya, jangan sampai disalahgunakan seperti membuat fitnah, memaki-hamun, mencaci-cerca, mengadu domba dan sebaginya. Lidah diibaratkan seperti mata pedang yang amat tajam, mampu menyiat kulit dan hati sehingga tercetusnya pergaduhan, masam muka, persengketaan malah mampu menghasilkan peperangan antara  kaum. Apabila ini berlaku ia boleh menghancurkan sesebuah komuniti atau negara.

Mudah Membuat Penilaian

Dalam kehidupan seharian kita, kita amat mudah menilai seseorang hanya dengan melihat orang tersebut sekali imbas. Seorang wanita yang hendak ke pasar dituduh hendak ke tempat maksiat. Seorang bekas penagih dadah hendak ke masjid dituduh hendak mencuri kasut. Seorang peminta sedekah yang meminta sedikit derma dituduh cuba menipu orang ramai dan pelbagai lagi tuduhan tanpa siasatan yang teliti sehingga kadang-kadang apa yang diucapkan oleh kita merupakan fitnah yang amat dimurkai Allah s.w.t.
Justeru, janganlah cepat menilai seseorang atau sesuatu perkara tanpa usul periksa. Allah yang Maha Mengetahui segala-galanya. Firman-Nya bermaksud: “Manusia memang makhluk yang diciptakan suka tergesa-gesa dalam segala perkaranya.” (surah al-Anbia 21:37)
Menurut catatan sejarah, ulama-ulama terdahulu beristiqarah terlebih dahulu sebelum memulakan penulisan sesuatu buku. Antara yang tercatat melakukan amalan sebegini sebelum menulis adalah Imam al-Bukhari, al-Muzani dan Ibnu Khuzaimah. Mereka meminta petunjuk dari Allah s.w.t, apakah harus menulis sesuatu idea dalam minda mereka itu atau tidak, kerana seringkali sesebuah tulisan menjadi mangsa fitnah orang yang cepat menilai. Mengambil pelajaran inilah, kita  harus bersikap berhati-hati dalam membuat apa juga tulisan, kata-kata, penilaian dan sebagainya agar kita tidak terjerumus ke lembah fitnah.
Imam Ahmad bin Hambal, seorang ulama hebat pernah menghabiskan masa selama 3 tahun untuk memikirkan sesuatu hukum, namun katanya beliau masih belum menemukan jawapan yang meyakinkan. Belajarlah dari peribadi dan sikap ulama ini. Pandanglah dengan mata hati, kerana dengan pandangan mata hati sahaja seseorang akan memperoleh sesuatu yang sangat luar biasa.
Firman Allah s.w.t bermaksud: “Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau dengan telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta adalah hati yang ada di dalam dada.” (surah al-Hajj 22:46).
Melihat sesuatu masalah menerusi satu sudut yang tidak sempurna menatijahkan kesimpulan yang tidak sempurna. Berfikirlah dengan tenang, panjang dan berhikmah. Sebuah berita yang belum dikaji kesahihannya atau tidak sempurna versinya, kalau dinilai dengan negatif, tentu kita akan memusuhinya. Padahal, kalau kita bersedia membuka diri untuk versi lain dari berita itu, atau berusaha memahami mesej di sebaliknya, boleh jadi fikiran negatif itu tidak akan lahir dalam diri kita.
Apabila kita meninggalkan sifat tergesa-gesa dan sifat cepat menilai dan menggantikannya dengan sifat tenang dan berfikiran luas, kita akan menjadi insan baru yang terbuka, selesa dalam menelusuri hidup di dunia sementara ini.

Menganggap Diri Cukup Pengetahuan

Kita kadang-kadang terlalu yakin dengan pengetahuan diri. Kita merasa tahu segalanya sehingga seolah-olah memiliki autoriti untuk membuat kesimpulan mengenai sesuatu hal. Atau kalau berkaitan keperibadian orang lain, kita sering merasa tidak perlu informasi lebih lanjut kerana kita merasa cukup pengetahuan mengenai jati diri orang itu sebenarnya.
Kesalahan terbesar seseorang adalah ketika dia menganggap dirinya telah cukup pengetahuan sehingga dia tidak memiliki itikad sedikit pun untuk melakukan penelitian, tabayyun, atau pastikan betul-betul. Tentang suatu kejadian, dia langsung menyimpulkan begini begitu sesedap mulutnya saja. Tentang diri seseorang, dia terus menyimpulkan begini begitu sesedap cakapnya saja. Dengan pengetahuan sedikitnya, dia merasa sudah banyak pengetahuan. Dengan interaksinya bersama orang lain dalam masa yang sebentar, dia merasa sudah berhak membuat kesimpulan mengenai diri seseorang itu padahal boleh jadi apa yang disimpulkannya itu hanya akan membuahkan fitnah dan pembohongan, jauh dari fakta sebenarnya.
Keterbatasan yang dimilikinya tiada pernah disedari. Dia terjebak dalam ujub diri, merasa ada kemampuan untuk membuat penilaian terhadap sesuatu hal atau orang lain tanpa diiringi dengan sikap berhati-hatian. Maka dia pun mudah mengeluarkan pendapat tanpa difikir lebih dalam lagi. Dia mudah menilai sesuatu tanpa mencari dulu fakta yang benar.
Yang lebih malang lagi adalah ketika keburukan sikap ini disebarkan kepada orang lain. Kalau berkaitan diri seseorang, maka betapa dia akan menumbuhkan sikap kebencian dari orang yang dirugikannya atas pemberitaan yang tidak benar. Prasangka dikira kebenaran. Prasangka melahirkan pembohongan. Prasangka yang tidak disertai tabayyun akan melahirkan kerenggangan hubungan sesama.
Kita berlindung dari Allah s.w.t dari sifat sombong, ujub diri, dengki, dan fitnah. Kita ini makhluk yang sangat terbatas. Terbatas ilmunya. Terbatas pengetahuannya. Bila kita sedar bahawa kita terbatas, maka kita akan menjadi manusia yang sangat berhati-hati. Berhati-hati dalam menyingkapi sesuatu. Berhati-hati dalam menilai sesuatu. Berhati-hati dalam membuat kesimpulan terhadap sesuatu kejadian. Berhati-hati meski sekadar dalam hati.

Lidah Penyebar Fitnah

Dalam era kemajuan sains dan teknologi ini, manusia bukan sahaja menyebar fitnah menggunakan lisan, tetapi juga melalui kecanggihan teknologi maklumat, sama ada melalui media cetak mahupun media elektronik. Tujuan kemudahan itu dicipta adalah untuk memudahkan kita melihat, mendengar dan menyebarkan apa juga berita dan maklumat tentang keadaan yang berlaku di sekeliling kita, sama ada apa yang berlaku di dalam negeri mahupun di luar negeri.
Oleh itu kita hendaklah menggunakan kemudahan-kemudahan tersebut dengan baik dan bijaksana. Namun apa yang membimbangkan pada masa ini terdapat segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab dan menyalahgunakannya untuk menyebarkan berita-berita yang tidak benar, khabar-khabar angin apatah lagi yang mengandungi unsur-unsur fitnah.
Kita perlu mengetahui fitnah itu adalah satu perkara yang buruk dan boleh menjejaskan maruah seseorang. Fitnah ialah tuduhan, khabar, kisah dan lain-lain yang diadakan atau dibuat-buat untuk memburukkan seseorang dan memfitnah pula ialah membuat fitnah dan mengada-adakan sesuatu untuk memburuk-burukkan sesuatu pihak yang dilakukan sama ada dengan perkataan atau tulisan atau isyarat dan gerakan dan sebagainya, sama ada perkara itu sememangnya suatu keaiban atau kekurangan mahupun bukan. Orang yang membuat fitnah itu dikatakan juga sebagai orang yang membawa mulut atau mengadu domba.
Adapun perbuatan fitnah itu hukumnya adalah haram dan termasuk dalam perkara dosa-dosa besar. Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Qalam ayat 10-11 bermaksud: “Dan janganlah kamu menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina, yang suka mencaci, lagi yang suka menyabarkan fitnah hasutan.”
Diriwayatkan daripada Huzaifah r.a, beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Tidak masuk syurga orang yang suka memfitnah (mengadu domba).”
Daripada dalil-dalil tersebut jelas menunjukkan bahawa fitnah itu adalah suatu perkara yang sangat dilarang dan perlu dijauhi. Oleh yang demikian, kita hendaklah memelihara diri dan keluarga kita dari perbuatan menabur fitnah. Maka apabila disampaikan kepada kita suatu berita yang memburuk-burukkan orang lain, maka kita hendaklah memelihara diri kita daripada mendengarnya dan menghebah-hebahkannya kepada orang lain.

Berusaha Mengelakkan Diri

Memang tidak dapat dinafikan, dalam kehidupan kita berkeluarga, berjiran dan bermasyarakat, sememangnya kita tidak dapat mengelakkan diri dari mendengar berita-berita atau cerita-cerita yang diperbualkan ketika bertemu, sama ada ketika berada di majlis-majlis keramaian seperti majlis perkahwinan, majlis kenduri atau di kedai-kedai makan dan sebagainya.
Dalam hal sedemikian, jika kita mendengar perbualan yang boleh mendatangkan dosa seperti cerita yang direka-reka, memburukkan orang lain, memfitnah dan sebagainya, maka kita hendaklah berusaha mengelakkan diri kita daripadanya, seperti tidak membenarkan atau mempercayai apa yang disampaikan itu kerana orang yang membawa fitnah itu adalah termasuk dalam golongan orang-orang yang fasik dan berita yang dibawa oleh mereka itu tidak boleh dipercayai.
Selain itu, kita sepatutnya melarang orang yang membawa fitnah itu daripada meneruskan perbuatannya dan menasihatinya serta menerangkan kepadanya bahawa perbuatannya itu adalah salah di sisi agama. Janganlah pula cerita yang disampaikan oleh orang yang memfitnah itu membuatkan kita terdorong untuk menyelidiki dan mencari-cari sama ada benar atau sebaliknya. Allah s.w.t berfirman dalam surah Al-Hujuraat ayat 21, bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakkan dari sangkaan supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain.”

Mengembirakan Orang Yang Berhati Busuk

Ketahuilah bahawa tidak ada orang yang suka dirinya diperkatakan atau menjadi bahan cerita orang, apatah lagi cerita itu tidak berasas, tidak benar dan hanyalah fitnah semata-mata. Oleh itu jika mendengar sesuatu cerita, berita atau khabar-khabar angin, maka hendaklah orang yang mendengar cerita, berita atau khabar-khabar angin itu tidak menceritakan atau memanjang-manjangkan lagi apa yang telah diceritakan kepadanya. Sebagaimana kita tidak suka diri kita diperkatakan orang, sepatutnya kita tidak juga memperkatakan tentang orang lain.
Jika difikirkan, apakah kebaikan yang boleh diperolehi daripada perbuatan-perbuatan sedemikian? Ia tidak lain hanyalah mengembirakan orang yang berhati busuk. Sedangkan sebenarnya mereka itu telah diperdaya oleh syaitan sehingga mereka menjadi kabur, lalu merasakan apa yang mereka lakukan seolah-olah tidak salah tetapi sebenarnya adalah buruk dan berdosa besar.
Perkara ini bukan sahaja dilarang oleh agama Islam, bahkan undang-undang dalam bernegara juga menegahnya dan boleh diambil tindakan, lebih-lebih lagi jika fitnah itu boleh menggugat keselamatan dan keharmonian dalam beragama, bermasyarakat dan bernegara, begitu juga dengan perbuatan mereka-reka dan menyebarkan khabar angin, baik dilakukan secara individu atau kumpulan, yang bertujuan untuk memfitnah atau mengaibkan maruah atau martabat mana-mana pihak, maka dalam hal ini, perbuatan tersebut akan diambil tindakan oleh pihak-pihak yang berkenaan sebagai langkah dalam memastikan keharmonian dan kententeraman awam.

Jangan Terpengaruh Dengan Cerita Fitnah

Sebagai bahan renungan, pernah berlaku suatu peristiwa pada zaman Rasulullah s.a.w, yang lebih dikenalkan dalam kitab-kitab sirah Rasulullah s.a.w sebagai Hadisul Ifkhi, bila mana terjadinya fitnah ke atas isteri Rasulullah s.a.w iaitu Sayidatina Aisyah r.a. Dalam peristiwa tersebut, Sayidatina Aisyah r.a telah difitnah oleh orang-orang munafik yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai bin Salul, dan beberapa orang dalam kalangan Muslimin telah terpengaruh dengan cerita fitnah yang disebarkan itu.
Mereka menabur fitnah mengatakan bahawa Sayidatina Aisyah r.a telah berlaku curang atau membuat hubungan sulit dengan seorang sahabat yang terkenal jujur dan amanah iaitu Safwan bin Al-Muathal. Akhirnya Allah s.w.t menurunkan ayat Al-Quran sebagai penjelasan bersihnya Sayidatina Aisyah r.a di atas fitnah yang dilemparkan ke atasnya.
Allah s.w.t berfirman dalam surah Al-Nuur ayat 19, bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebahnya tuduhan-tuduhan buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan ingatlah Allah mengetahui segala perkara sedang kamu tidak mengetahui yang demikian.”
Membuat fitnah itu dipandang berat dan berat dan dilarang oleh agama Islam sebab ia boleh menimbulkan permusuhan dan permusuhan pula boleh menimbulkan kepada perpecahan dan huru-hara. Fitnah adalah tuduhan yang tidak benar dan tidak berasas dan perbuatan itu mendatangkan azab di akhirat kelak. Ingatlah! Bahawa semua anggota tubuh badan termasuk lidah akan menjadi saksi di depan penghakiman Allah s.w.t pada hari kiamat.
Akhirnya peliharalah diri dari perbuatan fitnah dan menaburnya. Didiklah diri kita, keluarga kita dan masyarakat dengan saling menasihati dan tegur menegur terhadap perbuatan yang membawa kepada dosa dan maksiat, apatah lagi membawa kepada dosa-dosa besar seperti membuat dan menabur fitnah. Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Baqarah ayat 191 bermaksud: “Dan ingatlah bahawa angkara fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan.” Semoga dengan sedemikian, kita dapat menikmati kehidupan yang aman tenteram, dan sentiasa mendapat petunjuk, hidayah dan berkat dari Allah s.w.t.

Wallahhu’alam. 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA