Sabtu, 25 Mei 2013

Berilmu Tetapi Tidak Berakhlak

Kes 1:

Ada seorang pelajar baru memasuki kuliah ilmu, lalu belajarlah dia dua, tiga hadis dari gurunya. Kemudian dia sudah menghafaz sedikit sebanyak ayat Al-Quran. Gurunya itulah satu-satunya yang dijadikan sumber rujukan. Segala-galanya yang betul datang dari gurunya. Pasti tiada salah. Lalu dia mula bermain dengan persoalan hukum. Sebab dirasanya diri sudah cukup ilmu untuk berfatwa. Mana-mana yang tidak berkenan atau bercanggah dengan pendapatnya dia mengatakan itu adalah sesat barat.

Sehinggakan habis dihukum ulama yang muktabar, mujtahid adalah tersilap pandangan mereka. Dengan memberi alasan yang dirasanya paling kukuh - ulama tidak maksum, berhujah mestilah mengikut dalil yang paling sahih dan terkuat.

Malangnya - yang betul baginya adalah ulama yang dia ikut, tetapi ulama yang lain pasti salah. Pasti salah hadisnya, dan berkemungkinan akidah ulama itu terkeluar dari ahlu sunnah wal jama’ah. Manakala dalil yang terkuat baginya - juga sebenarnya adalah dari apa yang dia dapat sendiri dari kitab yang dia baca. Tentunya dalil itu juga dari ulama yang dia taksubkan.

Bermulalah era baru yang dizikirkan di bibirnya adalah - itu haram, ini bida’ah, engkau sesat! Engaku kafir, engkau hina Islam dan lain-lain lagi.

Kes 2:

Seorang murid, sudah diajar akhlak oleh gurunya. Tentang adab percakapan, adab menuntut ilmu. Adab berhadapan dengan guru. Entah di mana silapnya, tetap sahaja murid itu lancang mulutnya bila berbual dengan gurunya. Tidak ada perasaan hormat. Bengkeng, bidas, dan sebagainya untuk menunjukkan dirinya yang jahil itu adalah benar.

Tahu dan Faham

Zaman ini ada golongan pelajar yang bersemangat belajar ilmu hanya untuk tahu. Tetapi dia lupa - pengetahuan yang dia ada hanya sedikit. Akhirnya tahunya itu menjadikan ia merasa hebat. Menjadikan dirinya terasa betul. Dia tenggelam dalam tahu tapi jahil akhlak.

Tahu sahaja tidak cukup tanpa kefahaman. Orang yang hanya tahu gula itu manis, tidak sama dengan orang yang sudah merasai kemanisan gula apatah lagi di mana dia perlu digunakan kemanisan gula tersebut. Allah dan Rasul-Nya mengajar kita agar mempunyai akhlak yang baik sesama manusia, sama ada dari segi pertuturan, perbuatan, bahkan dalam hati sendiri. Apatah lagi dengan sesama saudara Islam. Bukankah Rasulullah s.a.w diutuskan untuk menyempurnakan akhlak, bahkan akhlak Rasulullah itu sendiri adalah Al-Quran?

Kita diajar untuk beradab kepada guru-guru, ustaz-ustazah, alim ulama kerana keutamaan mereka. Firman Allah s.w.t bermaksud: “Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.” (surah az-Zumar: 9)

Bahkan di dalam urusan solat jemaah sekalipun, diutamakan adalah orang yang lebih yang mahir bacaannya di dalam Al-Quran. Telah dicontohkan oleh Rasulullah di s.a.w dalam peperangan Uhud, sahabat yang lebih banyak mengambil Al-Quran didahulukan untuk dimasukkan ke dalam liang kubur.

Dari Jabir r.a: “Sesungguhnya Nabi s.a.w telah menghimpunkan antara dua orang lelaki dari mereka yang terbunuh di dalam peperangan Uhud iaitu di kubur, kemudian baginda bersabda: ”Yang manakah dari keduanya yang lebih banyak mengambil Al-Quran?” Apabila ditunjukkan kepada salah seorang dari keduanya, baginda mendahulukan (orang yang tersebut) ke dalam liang lahad.” (hadis riwayat Bukhari)

Hakikat Ilmu Yang Kita Ada

Adab sebagai pelajar, jika ilmu masih sedikit (hakikatnya ilmu manusia tiada yang banyak melainkan Allah yang empunya ilmu), masih bertatih tahulah berakhlak. Sedangkan para ulama yang faqih, berkelana di bumi Allah untuk mencari ribuan guru, bahkan menulis kitab-kitab yang menjadi rujukan hingga kini amat menjaga akhlak sesama guru dan ulama yang lain. Sehinggakan sifat yang tercerna dari diri mereka menjadi ikutan bagi ulama yang takutkan Allah.

Firman Allah s.w.t, bemaksud: “Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.” (surah al-Fatir: 28)

Oleh itu, jika para ulama yang hebat ilmunya itu sendiri amat menjaga tutur katanya, tidak bermudah-mudah berhukum dengan apa yang tidak mereka ketahui. Mengapa kita sendiri yang amat sedikit ilmu tidak belajar untuk merendahkan diri? Adakah akhlak itu tidak termasuk di dalam halal dan haram di dalam perhubungan sesama manusia? Sudah bolehkah kita berlaku sombong dengan ilmu yang sedikit sedangkan kita lupa ilmu yang kita ada juga boleh ditarik pada bila-bila masa?


Ilmu tanpa akhlak menunjukkan kita sendiri menghina ilmu yang diberi oleh Allah.

Diri Mereka Saja Yang Betul

Hari ini hati saya ‘panas sedikit’. Sebenarnya telah lama melihatkan keadaan ini berlaku. Semenjak ada golongan yang mengatakan ingin mentajdid agama, dan mengatakan diri mereka sahaja yang mengikut Al-Quran dan Sunnah. Sedih melihatkan sesama saudara Islam bertelagah darihal perkara khilaf antara ulama. Yang seorang sibuk datangkan dalil mengatakan amalan itu bida’ah, dan kononnya disertakan dengan takhrij hadis seolah-olah pendapatnya sudah betul-betul benar.

Apatah lagi mempertikaikan akidah sesama umat Islam. Saya selalu melihatkan beberapa nickname di dalam beberapa forum yang sering mengadakan perbalahan dan ‘tidak reti bahasa’ di dalam mencari keharmonian. Perkara khilaf ulama sepatutnya kita sama-sama hormati dan berlapang dada.

Jika tidak bersetuju dengan hujah ulama yang membolehkan amalan bacaan Yasin 3 kali di dalam Nisfu Sya’ban terpulanglah dan tidak perlu membida’ahkan pendapat ulama lain. Sekiranya tidak bersetuju dengan mereka yang menerima bida’ah hasanah terpulanglah, maka kerana itu tidak perlu berlagak juga dengan kalam ulama lain untuk menghukum sesama Islam dengan gelaran sesat, duduk dalam neraka.

Seolah-olah hujah sudah menjadi qot’ie (secara pasti) bahawa hujah yang dibawakan orang lain (disertakan dengan dalil dan hujah) adalah tertolak. Hebat bila ada yang mengatakan ulama tersilap, tersalah. Dengan kalam siapa katakan ia tersilap dan salah? Adakah dengan ilmu kita yang tidak sampai pun sejengkal kaki ulama yang direndah-rendahkan tersebut.

Sedangkan bila dikaji semula antara para muhaddith pun mereka ada berkhilaf tentang kekuatan darjat sesuatu hadis sebagaimana juga ahli ilmuwan hadis seperti Albani yang ada kalanya dahulu dia mendhoiefkan hadis yang sahih dan mensahihkan hadis yang dhoief (ini juga telah ditegur sendiri oleh Dr Yusof al Qardhawi di dalam Feqh Muassaroh-nya).

Menghukum Saudara Islam Masuk Neraka Dengan Khilaf Ulama

Yang hanya pandai menghukum amalan orang lain sesat, masuk neraka. Adakah sudah pasti kita berada di mana? Adakah amalan kita sendiri tidak sesat apabila menyesatkan sesama umat Islam yang jelas sudah mengadakan dalil dan hujah. Tak perlu nak bicara tentang latarbelakang ilmu orang lain. Tetapi belajar dulu akhlak di dalam berbicara.

Yang rajin benar membawakan perbahasan ulama dengan kata ini batil, ini salah. Adakah sudah faham tentang feqh waqi’? Sedar atau tidak siapa yang membaca di dalam artikel, yang mendengar, melihat? Ada di antara mereka yang ingin belajar, mahu mengenal Islam, mahu melihat keindahan ukhuwah antara sesama Islam. Tetapi apa yang telah tunjukkan dengan perasaan emosi.

Di mana diletakkan akhlak yang sudah ditunjukkan di dalam Al-Quran dan hadis sahih? Atau letakkan di hujung-hujung kaki sahaja kerana kononnya ilmu lebih utama? Apa dahulu tidak diajar Rasulullah bagaimana berakhlak sesama saudara seIslam?

Memahami Perbezaan Dari Petunjuk Sirah

Apakah tidak belajar sirah bagaimana Rasulullah menanggapi khilaf antara sahabat? Tunjukkan bukti bahawa Rasulullah berwenang mengatakan sesat kepada para sahabat yang berselisih faham dalam ijtihad terutamanya ketika ada sahabat yang solat Asar sebelum bertolak dan ada yang solat asar selepas bertolak ketika hendak menghadapi kaum Yahudi yang melanggar perjanjian Piagam Madinah.

Sedangkan dalil-dalil sudah diberi, dan sibuk pula mempertikaikan ulama lain. Tidak belajarkah ijtihad yang benar akan diberi 2 pahala, dan ijtihad yang yang silap diberikan 1 pahala. Lihat bagaimana ketika ada 2 pendapat antara Saiyidina Abu Bakar dan Saiyidina Umar mengenai tebusan Badar. Kita nak perlekehkan yang mana satu? Banyak lagi perselisihan ijtihad dan amalan baru yang tiada pada zaman Rasulullah tetapi ada pada zaman sahabat, tabi’ien dan tabi’ut tabi’en. Sedangkan mereka semua mengikut Al-Quran dan Sunnah jua!! Ada sesiapa nak pertikaikan? Allahu Allah.

Bila mereka yang hebat-hebat ini mengatakan ulama itu tersalah, tak betul, kemudian pada masa yang lain pula telah menggunakan kalam mereka kerana ada pendapatnya yang sama dengan pendapat sendiri. Maka adakah ini bermakna kita sedang menggunakan hawa nafsu untung menang? Maka pendapat saya - dari belajar feqah dan hadis yang tinggi dan mendalam tetapi akhlak tiada. Baiklah belajar akhlak dahulu. Syaitan sudah ketawa lagi. Orang yang memusuhi Islam bergelak ketawa lagi. Sila rujuk link ini agar sama-sama kita dapat belajar akhlak - bagaimana beradab dengan khilaf ulama.

Peringatan Ulama Islam Tentang Golongan Pemecah-Belah

Pada sebahagian golongan, tuduhan-tuduhan ‘kafir’ dan menuduh orang lain masuk neraka lantaran tidak sealiran dengan kumpulan mereka digembar-gemburkan sebagai perkara qot’ie yang tidak boleh ada perbezaan pendapat di dalamnya. Mereka ini berkeyakinan pendapat yang benar hanyalah pendapat mereka sahaja.

Sementara orang yang berpendapat di luar apa yang mereka katakan adalah orang yang keluar dari agama, fasiq, menyimpang atau sekurang-kurangnya tidak komitmen (taat) serta cenderung kepada memudahkan masalah. Ramai yang dituduh tidak mencintai Rasulullah s.a.w, menghina Islam, menghina Allah, kafir dan masuk neraka, berhati keras dan kepala batu seperti orang-orang Arab Badwi pada masa lalu yang keras dan kasar. Malahan lebih daripada itu banyak yang dituduh kafir, munafik, zindiq, dan musyrik.

Akhirnya kaum Muslimin pun memeraskan seluruh tenaga dan pemikirannya dengan persoalan-persoalan ini; walaupun pada hakikatnya ia termasuk dalam lingkungan perbezaan pendapat serta setiap mazhab dan aliran mempunyai dalilnya masing-masing. Walau bagaimanapun jumlah masalah-masalah yang disepakati jauh lebih banyak daripada yang diperselisihkan.

Jika dihitung masalah-masalah fekah yang berasal dari ulama terdahulu dengan segala bentuknya, terdapat lebih daripada sejuta masalah. Apabila dihitung peratusan perbezaan pendapat maka rasionalnya tidak lebih daripada satu masalah pada setiap 10,000 masalah. Jadi apakah logik (masuk akal) dan dapat diterima bahawa kita sepakat di dalam 10,000 masalah, lalu apabila kita berbeza pendapat, setiap daripada kalangan kita menyerang dengan ungkapan yang tajam terhadap rakannya yang seagama? Sehingga hal itu menjadi suatu jihad tanpa peperangan. Hal seperti ini jelas hanya menggambarkan kekosongan fikiran, malahan rendahnya penguasaan ilmu fekah dan pemahaman terhadap agama secara keseluruhan.

Sesungguhnya benarlah apa yang pernah diungkapkan oleh ahli hikmah bahawa penawar boleh menjadi racun jika disalahgunakan atau jatuh ke tangan orang yang tidak ahli dalam menggunakannya. Demikianlah halnya apa yang berlaku ada hadis yang menyeru berpegang dengan sunnah dan menjauhkan bida’ah.

Pada hakikatnya bertujuan memelihara kemurnian ajaran Islam dan mengukuhkan persaudaraan dan perpaduan umat Islam. Namun terdapat pihak yang mengunakannya untuk membidaahkan amalan sebahagian besar umat Islam yang sebahagiannya merupakan pendapat jumhur ulama dan yang lainnya adalah masalah khilafiyyah di kalangan para fuqaha’. Keadaan ini telah menimbulkan ketegangan dan fitnah di kalangan masyarakat Islam di mana sahaja penyakit ini merebak.

Sheikh Muhammad Zaki Ibrahim ketika menggambarkan kesan yang ditinggalkan oleh kegiatan golongan ini terhadap keharmonian masyarakat Islam di Mesir dalam bukunya al-Salafiyyah al-Mu’assarah, menulis: “Kita sekarang berhadapan dengan satu gelombang taufan melanda secara membuta tuli, dengan pelbagai dakwaan dan dakyah yang memaklumkan sebahagian besar umat Islam terkeluar daripada agama Allah kerana mereka tidak mengikut dan berpegang dengan pendapat yang dipegang oleh golongan berkenaan hingga memporak-perandakan keluarga, anak menuduh bapanya kafir dan syirik, anak perempuan menderhaka kepada bapa dan menganggapnya ahli bida’ah dan fasik. Ada juga berlaku wanita kahwin dengan lelaki lain tanpa penceraian yang sah dengan suaminya berasaskan anggapan bahawa perkahwinan dengan suami pertamanya tidak sah kerana dia seorang yang kafir.’


Demikian besarnya fitnah yang ditimbulkan oleh penyalahgunaan tafsir nas-nas syarak tanpa berpandukan huraian oleh ulama muktabar. Hal ini memang telah diberikan peringatan oleh Rasulullah s.a.w di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidzi maksudnya: “Sesiapa yang mentafsir Al-Quran tanpa ilmu maka bersedialah menduduki tempatnya di dalam neraka.”

Islam Dan Peradaban Melayu

Islam dan peradaban Melayu tidak boleh dipisahkan. Kedatangan Islam telah mengubah dan merobah kehidupan keagamaan yang sebelum itu berabad-abad lamanya dipengaruhi oleh kepercayaan Hindu-Buddha. Dalam tempoh hampir 15 abad dari awal Masehi sehingga permulaan abad ke-15, turun naiknya Kerajaan-Kerajaan Melayu boleh ditelusuri dari Zaman Funan, Langkasuka, Sriwijaya, Majapahit dan kerajaan-kerajaan wilayah seperti di Kediri, Singosari, Kutai Kartanegara.

Sungguhpun disebut hubungan Tanah Melayu dengan dunia Arab sudah terjadi sejak abad ke-9 Masehi mungkin kerana dagang, tetapi kesan terbesar terjadi hanya sesudah terbentuknya Kerajaan Melayu Melaka dengan kekuatan sistem pemerintahan dalam bidang siasah, ekonomi, sosial dan kebudayaan, serentak dengan peranannya dalam penyebaran Islam ke seluruh Alam Melayu.

Kemunculan kerajaan-kerajaan Melayu Kesultanan Brunei, Sulu, Banjar, Makassar, Pontianak, Sambas, Mindanao dan keluasan pengaruh kuasa Empayar Melayu Melaka itu melebar dari seluruh Tanah Melayu sehingga ke Pattani di selatan Thai, menguasai sebahagian besar timur Sumatera [kota-kota pelabuhan seperti Siak, Kampar, Inderagiri dan sebagainya], menjadikannya sebuah pemerintahan yang disegani timur dan barat.

Tegaknya Kesultanan Melayu-Islam di Acheh (Perlak), Medang Bhumi (Kelantan), Champa, Terengganu, Jawa dan kemudiannya pengaruh Melaka dalam konteks hubungan serantau dan dengan Dinasti China, India, Rom dan Eropah - kekuatannya yang dibentuk oleh Islam itu - menandakan telah wujud pengembangan Warisan Nabawi yang luar biasa dalam konteks keserumpunan dan keserantauan yang tersendiri.

Kedatangan Islam

Setelah kedatangan Islam, kehidupan baru manusia Alam Melayu atau Nusantara dalam keserumpunan itu bertukar daripada kepercayaan tahyul kepada suatu keyakinan yang berpaksikan akidah yang didasari intelektualisme dan rasionalisme. Islam telah membawa kesan yang meluas dan mendalam terhadap kehidupan sosio-budaya massa dan membentuk corak kerajaan-kerajaan Melayu di Dunia Melayu dengan memperkenalkan pelbagai sistem, serta memperkenal dan meninggalkan tradisi keilmuan.

Islam dalam kebudayaan Melayu dikatakan denyut nadi dan degup jantung kepada kesinambungan sejarah rantau, kemajuan bahasa, persuratan dan budaya dalam suatu bahagian tamadun manusia di bahagian timur dunia sejak berabad-abad yang lalu.

Yang paling penting lagi Alam Melayu seolah-olah menjadi penyambut kepada kejatuhan Islam di Andalusia yang mencapai kegemilangannya pada abad 7 hingga 14 Masehi dan Empayar Melaka muncul sewaktu Barat memulakan penerokaan dunia baru dan bertarung dalam Perang Salib. Barat telah menggerakkan Zaman Pembaharuan (Renaissance) yang bertujuan mengubah dan menukar segala kemajuan ilmu dan pengetahuan termasuk sains Islam mengikut kehendak dan kaca mata mereka.

Mungkin Alam Melayu tidak menerima keseluruhan isi peradaban Zaman Andalusia, tetapi hakikat penerimaan akidah Islamiyyah dan tradisi keilmuan sudah cukup bagi mewarnai corak keperibadian baru dan pedoman hala tuju sebuah peradaban di timur.

Kesan kedatangan Islam terhadap kehidupan sosial dan kebudayaan Melayu dan sistem berkerajaan merupakan suatu proses pembudayaan yang boleh dikaji dari pelbagai sudut seperti pendidikan dan pengembangan ilmu, bahasa dan persuratan, kebudayaan dan kesenian, gerakan kesedaran politik dan pentadbiran, pembaharuan pemikiran, ketatanegaraan, soal hukum hakam, sejarah wilayah, sistem sosial, aspek nilai dan sebagainya.

Paksi kehidupan umat Melayu dan sejarah kebudayaannya menuju ke suatu sinar zaman baharu yang mendukung ciri-ciri rasionalisme, intelektualisme, keadilan dan menempatkan kemuliaan serta keperibadian insan pada tempatnya yang layak dan wajar. Suatu macam transformasi sosial dan transformasi budaya yang mengagumkan telah terjadi.

Dilihat secara menyeluruh, sejak zaman-berzaman umat Melayu mungkin dapat digolongkan sebagai umat yang taat beragama. Setidak-tidaknya penghayatan syiar-syiar agama masih bersemarak. Setiap tahun jemaah haji dari rantau ini terutamanya dari Malaysia dan Indonesia adalah antara yang terbesar jumlahnya. Sebahagian besar umat Melayu masih menghormati hukum-hakam agama. Yang paling jelas orang Melayu atau umat serumpunnya – betapa pun lemah penghayatan Islam mereka – masih menghormati ajaran-ajaran Islam tertentu seperti larangan makan babi dan binatang-binatang lain yang diharamkan, termasuk juga binatang-binatang halal yang tidak disembelih secara Islam.

Selain itu, fenomena bertukar agama atau keluar dari Islam boleh dikatakan jarang sekali terjadi. Lebih-lebih lagi di Malaysia, di mana Melayu telah begitu menyatu dengan Islam sehingga kejadian Melayu keluar dari Islam pasti menimbulkan kegemparan besar.
Islam: Kesannya Terhadap Sosio-Budaya dan Pemerintahan

Dalam konteks kesan kedatangan Islam terhadap perubahan sosio budaya ini, saya ingin menyentuh beberapa aspek penting yang berhubung dengan:

  1. Pendidikan dan pengembangan ilmu;
  2. Bahasa dan persuratan;
  3. Kebudayaan dan kesenian;
  4. Politik dan pentadbiran;
  5. Isu dan cabaran semasa kehidupan sosial umat.

Pendidikan Dan Pengembangan Ilmu

Pendidikan dan pengembangan ilmu adalah warisan Nabawi yang sangat utama. Firman Allah yang pertama disampaikan melalui Jibril kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. adalah kewajipan terhadap pencarian ilmu dengan perintah:
“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah. Yang Mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya”. Al ‘Alaq (Segumpal Darah) 96:1-5.

Perkembangan ilmu telah membawa kesan yang cukup besar terhadap perubahan sosio-budaya umat Melayu sesudah kedatangan Islam. Sistem awal yang diperkenalkan, mungkin pada mulanya dengan menadah kitab di surau, langgar dan masjid atau di kalangan istana, sehingga kemudiannya terdirinya pondok dan pesantren di serata wilayah dan daerah kepulauan Melayu. Ilmu adalah alat pertama bagi kesempurnaan keperibadian seseorang insan dan pembentukan akhlak.

Proses pembudayaan rantau Melayu banyak sekali dimainkan peranannya oleh para ulama yang bermula dari pusat-pusat pemerintahan Islam-Melayu seperti Melaka seawal abad ke-15, Jawa, Pasai, Acheh, Palembang dan Banjar, dan kemudiannya Kelantan–Patani, Banten dan Minangkabau.

Dari pusat-pusat inilah terpancar keluarnya pengaruh kebudayaan Islam di Alam Melayu dari Semenanjung sehingga ke kepulauan Indonesia, bukan sahaja melalui pengajian pondok atau kegiatan dakwah seperti yang dinyatakan, tetapi juga lewat pengaruh perdagangan dan perluasan wilayah geopolitik baharu seperti Aceh-Pasai dan Johor-Riau itu. Sehingga suku pertama abad ke-20, gerakan ulama mengembangkan ilmu menerusi pendidikan agama tidak pernah surut.

Sumbangan seperti ini, ditambah oleh hubungan dengan pusat-pusat kebudayaan Islam di al-Haramain atau Tanah Arab, Mesir dan Turki, juga India dan Pakistan, telah memberikan ciri-ciri khusus terhadap sebuah tamadun Islam di Asia Tenggara yang dikenali sebagai peradaban Melayu-Islam sebagaimana kita kenali adanya peradaban Arab-Islam, Parsi-Islam, India-Islam dan Turki-Islam. Peradaban Melayu-Islam berada dan berkembang di wilayah Alam Melayu.

Di pelbagai wilayah Alam Melayu luas, selain dari pusat-pusat kebudayaan Islam di atas tadi, terdapat cukup ramai para ulama yang berjasa besar dan terserlah sumbangan mereka dalam pembangunan tamadun Melayu. Nama-nama ulama besar itu termasuklah ulama-ulama dari Kelantan-Pattani, Terengganu, Pontianak, Sambas, Sumbawa, Makasar, Minangkabau, Kedah, Lingga dan sebagainya, bahkan tidak terkecuali, pada abad ke-19, Banten dengan tokoh besarnya – Syeikh Nawawie al-Bantaniy.

Penerimaan terhadap ajaran Islam dan kebudayaannya menyebabkan kebudayaan Melayu disejajarkan dengan Islam. Maka Islam itu tidak sukar diterima oleh sebahagian besar umat serumpun Melayu itu.

Kalau diteliti lanjut, ulama-ulama tadi cukup aktif menghasilkan karya tulis dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan agama. Dengan kedatangan Islam dan tersebar ajarannya di Nusantara atau Alam Melayu, maka telah tumbuh dan berkembang ilmu-ilmu yang menentukan ciri-ciri kebudayaan Melayu besar serantau itu. Antaranya, yang paling awal, tentu sahaja ilmu-ilmu yang membahaskan tentang ketuhanan dan tasawwur (world view) Islam, iaitu ilmu yang menghuraikan dasar-dasar akidah Islam.

Dalam bidang karya tulis, kita lihat tradisi yang sangat penting ini yang boleh disebut pada abad ke 16 dan 17, dengan tokoh-tokoh di Acheh seperti Hamzah Fansuri, Syeikh Abdul Rauf Singkel, Syeikh Nuruddin al-Raniri dan Shamsuddin al-Sumatrani, berlanjut di Banjar dengan tokoh-tokoh seperti Syeikh Muhammad Arshad al-Banjari dan Muhammad Nafis al-Banjari. Kemudian Terengganu dengan Syeikh Abdul Malik atau Tok Pulau Manis, penulis kitab Syarh Hikam yang terkenal itu, Palembang dengan Syeikh Abdul Samad al-Palembani, dan kemudian Patani dan Kelantan dengan tokoh-tokohnya dikenal seperti Syeikh Abdul Rahman Pauh Bok, Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani, Syeikh Haji Wan Ahmad bin Wan Muhammad Zain al-Fatani, Tuan Minal, Tuk Wan Ali Kutan, Haji Mohd Yusoff Ahmad al-Kenali (Tuk Kenali), Tuan Tabal dan lain-lain, lebih awal lagi di Jawa dengan Wali Songo dan ulama-ulama besar Minangkabau yang bergerak secara langsung dalam gerakan bahasa, persuratan, kesenian dan kebudayan selain dari keagamaan.

Hasil karya para ulama Melayu itu, antara lain, menghuraikan dasar-dasar pandangan hidup Islam dengan menerangkan hakikat ketuhanan dan hubungannya dengan kenyataan-kenyataan yang perlu diketahui dan direalisasi dalam kehidupan seorang Muslim, sehingga dengan demikian, dasar-dasar pandangan hidup Muslim menjadi lebih jelas dan tidak hanya sekadar menjadi suatu rukun daripada rukun-rukun iman yang dihafal dalam kepala sahaja.

Beberapa peribadi Islam yang dikenal masyhur dalam menghuraikan ilmu ini seperti al-Ash’ari, al-Maturidi dan al-Ghazaliy, antara lainnya, mempunyai penerjemah-penerjemah dan penghurai-penghurainya di Nusantara.

Selepas ilmu tentang ketuhanan dan world view, maka ilmu yang paling dekat selepasnya ialah ilmu-ilmu tentang ibadat dan hukum-hakam atau fekah, iaitu ilmu yang mengatur cara berhubung antara manusia sesama manusia dan manusia dengan Tuhannya. Hubungan antara manusia dengan manusia itu telah membentuk kebudayaan dan tata kehidupan sehingga proses penciptaan mereka tetap berpaut kepada akidah dan tauhid.

Manusia membentuk kebudayaan dan tamadun mereka tetapi terasnya adalah agama yang datangnya dari Allah s.w.t., Tuhan Yang Maha Esa. Kemudian, terhurai juga ilmu-ilmu yang menyangkut bidang etika dalam kerangka syariat yang syumul dan meliputi. Dalam bidang ini sifat-sifat utama yang merupakan nilai-nilai baik atau al-Mahmudah dan sifat-sifat tercela keji yang menjadi lawannya atau al-Mazmumah, dihurai dengan jelas dengan cara menghubungkannya dengan kehidupan sosial dan kehidupan seseorang.

Malah, tidak jarang perbahasan tentang ilmu ini dikaitkan dengan soal-soal metafizika dan ketuhanan. Antara nama-nama yang sangat terkemuka dalam bidang ini ialah Syeikh Abdul Samad al-Palembani dengan karya besarnya Siyar al-Salikin dan Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari dengan karya kontroversinya – al-Durr al-Nafis. Dengan berdasar kepada pemahaman doktrin dalam bidang ini serta pelaksanaannya dalam kehidupan perseorangan dan jamaah, maka terbentuklah suatu sistem nilai dan etika Islam di Nusantara, yang kemudiannya menjadi wadah dan acuan kepada sistem moral dan akhlak yang sekarang kita anuti sebagai nilai-nilai bersama.

Dari segi budaya intelektual, Dunia Melayu mempunyai sejarah dan tradisi intelektualismenya sendiri. Kedatangan Islam ke rantau ini telah memulakan tamadun keilmuan dan melibatkan para ilmuwan Melayu dalam perkembangan intelektualisme Dunia Islam. Memang rantau ini belum pernah melahirkan seorang ash-Shafiy atau al-Ghazaliy, tetapi setidak-tidaknya rantau ini memang sentiasa terdedah kepada pemikiran para ilmuwan besar Dunia Islam.

Khazanah intelektualisme Melayu tidak cuma mengandungi sastera lipur lara, tetapi meliputi juga terjemahan dan saduran karya-karya besar al-Baydawiy, al-Mawardiy, al-Ghazaliy dan lain-lain di samping karya-karya asli ulama Melayu. Tradisi pengajian pondok (pesantren) yang dianggap oleh setengah kalangan peneliti sebagai bersifat indigenous itu telah memainkan peranan besar sebagai jambatan budaya yang menghubungkan tradisi keilmuan rantau ini dengan tradisi keilmuan Dunia Islam terutama yang berpusat di Asia Barat.

Para ilmuwan Melayu tidak hanya menterjemah dan menyadur karya-karya dari luar, tetapi ada juga yang menghasilkan karya-karya asli termasuk karya-karya dalam bahasa Arab. Ash-Syeikh Nawawiy al-Bantaniy (Banten) misalnya telah menghasilkan beberapa buah kitab dalam bahasa Arab yang menjadi rujukan para ulama Hijaz.

Sejarah intelektualisme rantau ini juga mencatatkan adanya polemik-polemik intelektual yang menyegarkan budaya berfikir. Pada zaman tamadun Aceh telah terjadi polemik di sekitar faham wujudiyyah dan pada zaman kebelakangan ini lebih banyak lagi polemik-polemik tentang pelbagai isu termasuklah polemik Islam dan adat tentang pembahagian harta pusaka dalam sistem adat perpatih, polemik politik tentang Islam dan kenegaraan (antara Soekarno dengan Natsir) polemik Kaum Tua-Kaum Muda (tentang pembaharuan Islam), polemik di sekitar faham sekular, reaktualisasi Islam dan sebagainya.

Perkembangan-perkembangan mutakhir dalam bidang pendidikan di rantau ini telah membuka kemungkinan-kemungkinan baru. Penubuhan Universiti Islam Antarabangsa dan ISTAC (Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa) di Malaysia umpamanya telah menjadikan rantau ini sebagai salah satu pusat tumpuan para ilmuwan dunia. Sekarang ini pun kita sudah menyaksikan semakin ramainya para pelajar dari pelbagai rantau dunia termasuk Dunia Arab yang datang untuk belajar di kampus-kampus kita.

Dari segi tradisi kerohanian pula, memang sejarah pengislaman rantau ini berkait erat dengan peranan kaum sufi. Kerana itu hingga sekarang rantau Melayu adalah termasuk daerah yang paling subur dengan tradisi kesufian. Ilmu Tasawwuf adalah merupakan antara jenis ilmu yang popular dalam masyarakat Melayu. Karya-karya al-Ghazaliy khususnya kitab ihya’ Ulumi ‘d-Din telah sejak lama diterjemah dan tersebar luas. Tradisi kerohanian masyarakat Melayu pernah membuktikan peranan positifnya sebagai salah satu kekuatan umat.

Sejarah zaman penjajahan di Indonesia mencatatkan bahawa antara kekuatan yang paling ditakuti oleh Belanda ialah kumpulan-kumpulan tarekat pimpinan ulama-ulama rohaniah yang sangat berkarisma.

Isu Dan Cabaran Semasa Kehidupan Sosial Umat

Peredaran sejarah seperti telah membawa kembali unsur-unsur imperialisme budaya baru dalam konteks sezaman. Kebudayaan asing terutama budaya hedonisme Amerika dan Barat diterima tanpa ukuran moral atau akhlak dalam perspektif budaya dan agama sendiri lagi.

Maraknya gejala sosial dan budaya hedonisme di kalangan generasi muda terutama di kalangan anak-anak remaja dan penyakit rakus serta gila kuasa di kalangan orang dewasa dan para pemimpin, adalah bukti jelas daripada tindak tanduk penyimpangan daripada pola yang diterima turun temurun ini, suatu akibat daripada kecuaian dan kelalaian yang membawa kepada terhakisnya pendidikan agama dan nilai budaya.

Cabaran pada abad ke 21, mahu tidak mahu umat serumpun Melayu sama ada yang beragama Islam atau beragama lain akan menghadapi suatu zaman kemajuan yang luar biasa khususnya pengaruh teknologi moden. Pencapaian manusia dalam ilmu sains ini menjadikan kita berhadapan dengan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi, sehingga sesuatu yang tidak dapat kita bayangkan. Manusia kadangkala terjebak oleh akal dengan pengaruh pemikiran dan falsafah atau berasaskan kepercayaan ciptaan manusia sendiri.

Manusia mula menunjukkan tanda-tanda penolakan terhadap agama wahyu. Pengaruh globalisasi, pascamodenisme dan liberalisasi menuntut gerakan agama dan para ulamanya perlu bersama melibatkan diri menghuraikan kekusutan konflik peradaban corak baharu yang mengasak kesejahteraan dan kebahagian manusia. Ada suatu macam penolakan tentang the grand narrativeyang ditanzilkan dari langit itu.

Namun begitu dengan kepakaran dan pencapaian manusia sehebat itu pun, manusia belum dapat atau tidak berjaya sepenuhnya memberikan ketenangan kepada manusia sendiri. Mereka mengadu takut, luntur kebahagiaan, resah gelisah, berduka cita dan sakit jiwa. Di Eropah dan Amerika atau di kalangan penganut agama falsafah ciptaan manusia itu, ada penyakit rohani yang sukar diubati lagi. Mereka sendiri oleh kurangnya penghayatan dan gagalnya menghayati panduan sebenar terus tidak berdaya mengubatinya hatta dengan menggunakan unsur-unsur kemajuan dan kecanggihan teknologi baru yang dicipta itu.

Kini kerana pengaruh asing yang tidak terkawal dan salah tafsiran dalam kesepaduan ilmu antara tuntutan duniawi dan ukhrawi, maka perlumbaan memperoleh ilmu dibataskan kepada kemakmuran duniawi semata-mata. Matlamat keilmuan demi keimanan, ketakwaan, keikhlasan, warak dan tawadhuk dengan keunggulan akhlak mulia hilang daripada sahsiah para ilmuwan sendiri.

Krisis akidah dan lunturnya teladan Islam daripada para ilmuwan tadi mengakibatkan timbulnya aneka masalah keruntuhan akhlak umat Islam zaman moden ini. Jalan penyelesaian gagal dicari dan umat kekal terbelenggu dalam kemelut yang tidak menentu. Tujuan keseimbangan kehidupan antara duniawi dan ukhrawi, urusan agama dan dunia, pemerintah dan rakyat, manusia dan alam tabii, umat dan negara, hak dan kekuatan, benda dan roh, wahyu Ilahi dan kreativiti terlihat kehilangan konsep ‘al-hikmah’ dan ‘al-mizan’. Manusia dibelenggui belitan syaitan dengan kegilaan kepada kekayaan harta benda dan ketinggian darjat serta terpinggirnya upaya memperjuangkan ‘ketinggian kalimatullah’ dalam pendidikan manusia.

Di kalangan umat Islam global juga mula dibimbangi bahawa pengaruh-pengaruh sedemikian akan mula menyelinap masuk mempengaruhi kehidupan kebudayaan sejahtera yang mereka miliki. Ancaman pengaruh itu tersebar melalui media elektronik seperti televisyen, radio, CD Rom dan internet atau banyak juga melalui filem Hollywood dan Bollywood.

Negara-negara Islam dijebak oleh agenda perangkap persaingan agama atau perancangan strategik global yang dipasang oleh Yahudi dan Nasrani. Sesuatu perlu dilakukan bertujuan membetulkan kembali konflik budaya dan isu akidah umat masa kini.

Umpamanya sudah ada tendensi di kalangan belia Islam bukan sahaja di rantau Melayu bahkan di seluruh dunia Islam mengambil bahagian dan merayakan Hari Memperingati Kekasih (Valentine’s Day) pada 14 Februari setiap tahun, sesuatu yang mirip dengan agama asal perayaan itu, Kristian. Perayaan zaman pertengahan di Perancis dan England itu mengaitkan tarikh memperingati peristiwa Saint Valentine, seorang paderi yang dihukum bunuh oleh pemerintah Rom, Claudius II, kerana mengahwinkan seorang askar secara rahsia yang ditegah oleh undang-undang Rom ketika itu, sebagai hari mencari pasangan atau jodoh, anggapan ‘hari burung-burung mencari pasangan’.

Hal ini ternyata bercanggah dengan lunas-lunas Islam kerana Islam menganjurkan kasih sayang sepanjang masa dengan keutamaan kepada ibu bapa, suami isteri, keluarga, saudara Muslim dan sesama manusia.

Musuh-musuh Islam di mana-mana telah memulakan agenda dan menggunakan segala macam alasan bagi mensahihkan sesuatu tindakan termasuk pencerobohan, penaklukan dan peperangan. Peperangan dan pencerobohan di Afghanistan dan Iraq atau isu-isu kemanusiaan di Kosova, Bosnia-Herzevogina dan Chechen sukar sekali untuk dirasionalisasikan kebenaran dan keadilan tindakan oleh sesuatu adikuasa asing yang terlibat.

Dunia amat memerlukan suatu risalah yang boleh mengubah keadaan ini. Kelihatan benar bahawa tiada risalah lain lagi kecuali Islam. Risalah ini dimiliki oleh umat Islam. Suatu risalah yang membawa kepada kebahagiaan di akhirat dan tidak menegah kehidupan dengan segala kesejahteraannya di dunia dengan pola hubungan manusia dengan Tuhan (hablunminallah) dan hubungan yang saling membantu sesama manusia (hablunminannas).

Di tangan umat Islam adalah Al-Quran, sebuah kitab yang satu-satunya dipelihara Allah sesudah Taurat, Zabur dan Injil itu terbatal, sesuai dengan Islam itu sebagai agama samawi dan kitabnya ditanzilkan. Isu keganasan yang dicanangkan seawal abad ke 21 dengan mencorengkan arang fitnah ke muka Islam sengaja diada-adakan yang perlu diberikan penjelasan secara ilmu dan hakikat kebenaran.

Kitab itu menjadi bahtera kebahagiaan untuk umat Islam dan umat manusia sejagat. Umat Islam pula sebagai suatu umat pilihan tidak harus terperangkap oleh kelemahan diri, terpesong oleh arah pandu musuh dan semata-mata mempersoalkan perkara remeh temeh secara berlarutan tanpa mengambil kira masalah-masalah kehidupan dengan tidak meletakkan fekah mengikut keutamaan (fekah al-awlawiyat) dengan segala tindakan berpandukan kepada al-Quran dan al-Hadis.

Hakikat umat Islam itu sebagai umat yang satu perlu sentiasa kekal disemadikan di lubuk hati. Kekuatan rohani dan risalah Islamiah yang dimiliki umat Islam adalah anugerah yang teristimewa berbanding dengan mana-mana umat sebelumnya. Umat Melayu Islam seharusnya berada sama di barisan hadapan membawa risalah perjuangan (jihad) sejagat dengan mendukung kehidupan berpakat, bermuafakat, bermesyuarah atau mengamalkan tradisi budaya Melayu yang menekankan kerjasama dan gotong-royong itu dalam membangunkan umat sesuai dengan tuntutan Islam.

Umat Islam bukan lahir untuk hidup bersendirian dan meletakkan kepentingan diri sebagai agenda utama, tetapi bertindak membawa kebahagiaan dan kesejahteraan sejagat. Risalahnya menuntut perseimbangan antara keperluan jasmaniah dengan rohaniah, menghimpunkan antara iman, ilmu dan amal, mengimbangi dunia dan akhirat dan menyemarakkan kepentingan individu dengan kepentingan umum.

Sesungguhnya kita ingin melihat suatu kesegaran baru kebangkitan semula umat Islam di Dunia Melayu melalui dorongan keikhlasan para ulama di serata wilayah dan kota-kota penting dalam gerakan intelektualisme bangsa, ikut terlibat membangunkan kebudayaan tinggi dan mengisi segala sumber kekuatan peradaban Melayu. Umat perlu sedar dan insaf serta kembali kepada kesedaran akidah yang lebih mendasari berlandaskan ajaran Islam yang sebenar. Krisis umat Islam hari ini adalah krisis akidah sehingga tidak tahu lagi membezakan halal haram atau buruk baik.

Tradisi ilmu semakin menyempit dan gejala hiburan melampaui batas agama dan fitrah kemanusiaan sedang berleluasa. Lambat laun Dunia Melayu akan berwajahkan barat dan mengamalkan kebiasaan-kebiasaan budaya Barat. Saluran media elektronik rantau Melayu, terutama televisyen memaparkan segala keburukan Barat sebagai kebaikan untuk timur. Sesuatu tindakan mesti dilakukan segera agar umat Islam serantau tidak terjebak lebih meluas dan mendalam.

Kemajuan ekonomi dan kesejahteraan sosial bangsa, baik di Malaysia mahu pun di Indonesia, Brunei, Thailand dan Filipina tidak boleh dibiarkan tanpa perimbangan atau selitan keagamaan dan nilai budaya. Sistem politik sebagai teras kepemimpinan yang menentukan dasar-dasar sesebuah negara tadi tidak terlepas bebas dari keperluan kepada panduan Islam.
Penutup
Sesungguhnya citra Islam adalah citra ilmu, citra dakwah dan jihad, juga citra hidup bersih dan benar. Semoga kita pada hari ini mampu sedikit sebanyak memulihkan citra ini, atau setidak-tidaknya menyingkap kembali citra yang pernah dimainkan para ulama terdahulu dalam usahanya membimbing umat ke jalan hidup yang benar, disamping sekaligus membentuk budaya hidup dan pola berfikir masyarakatnya.

Kita ingin melihat satu suasana ilmu dan budaya berfikir kembali cemerlang dan mendapat tempatnya yang layak dalam era globalisasi, liberalisasi dan pascamodenisme sekarang ini, di samping tentunya, tanpa mengabaikan kemudahan kebendaan dan kesenangan hidup demi hasanah dunia dan hasanah akhirat.


Manusia akan menghadapi krisis tamadun atau pertembungan peradaban, seandainya tidak berpegang kepada keagamaan kerana ternyata gelombang baru peradaban manusia dalam konsep pascamodenismenya itu terang-terang menolak kehidupan yang berdasarkan kepada agama wahyu, apa lagi Islam.

Alam Melayu

Alam Melayu merupakan kawasan yang turut dikenali sebagai ‘Nusantara’. Ia merujuk kepada negara-negara Asia Tenggara iaitu kepulauan-kepulauan Indonesia, Malaysia dan Filipina. Konsep Alam Melayu yang dipakai oleh UNESCO mengambil kira seluruh rumpun Melayu Polonesia dari Pulau Malagasi di sebelah barat dan Pulau Paskah di timur, Pulau Formosa, Hawaii di utara serta kepulauan Indonesia dan New Zealand di sebelah selatan.

Alam Melayu terkenal sebagai ‘Mutiara Timur’. Muka buminya subur dengan pelbagai flora dan fauna serta menyimpan pelbagai khazanah sumber ekenomi di perut bumi dan di dasar lautnya. Di persadanya pelbagai kelompok etnik manusia hidup bersama. Ini menjadikan Alam Melayu sebagai ‘Taman Kesuma Wicitra’ atau ‘Taman Aneka Bunga’ yang melahirkan falsafah kepelbagaian budaya dalam satu rumpun Melayu yang besar.

Dari perspektif sejarah, tamadun Melayu telah berusia lebih 5,000 tahun dengan mengambil kira Tamadun Melayu Deutro yang wujud sekitar 3,000 tahun sebelum Masehi. Alam Melayu juga telah lama membina kebudayaanya yang tersendiri seiring dengan tamadun dunia yang lain. Dalam proses perkembangannya, ia melalui 3 peringkat utama iaitu:

  1. Tamadun Purba atau Pra-sejarah(sehingga abad ke-3 Masehi)
  2. Tamadun Hindu iaitu mulai kedatangan pengaruh Hindu (abad ke-3 Masehi & Arab Jahiliah, hingga tahun 1200 Masehi)
  3. Tamadun Moden iaitu selepas kedatangan Islam (1200 Masehi hingga kini)

Faktor-Faktor Perkembangan Islam Di Alam Melayu

Terdapat banyak faktor yang mempengaruhi perkembangan agama Islam di Alam Melayu. Antara faktor-faktor tersebut adalah seperti berikut :

1. Perdagangan

Ramai ahli sejarah bersetuju yang agama Islam telah diperkenalkan di Nusantara melalui perdagangan. Peranan pedagang Islam terutama pada zaman permulaan Islam di Nusantara amat penting sekali. Para pedagang dari Arab, India, dan Parsi telah menumpukan kegiatan perdagangan di rantau ini semenjak abad ke-8 atau ke-9 lagi. Manakala menurut catatan China, pedagang-pedagang Islam sudah ada di kawasan perairan Melayu semenjak pertengahan abad ke-7 lagi. Di antara barang-barang tersebut ialah lada, rempah, kemenyan dan terutamanya kapur barus. Khusus tentang kapur barus, ia pernah dianggap sebagai punca yang membawa orang-orang Arab ke Nusantara sejak awal lagi. Sebenarnya barang-barang ini bukan sahaja dikehendaki oleh orang-orang Arab bahkan juga orang-orang Barat.
Pedagang-pedagang Islam dipercayai telah mendirikan koloni-koloni mereka di Perairan Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera untuk menjalankan kegiatan perdagangan. Selain menjadi pedagang, saudagar-saudagar tersebut menjalankan kegiatan dakwah di kawasan-kawasan yang disinggahi. Ada antara mereka yang tidak menjalankan kegiatan dakwah tetapi telah memberikan kemudahan kepada golongan pendakwah menaiki kapal-kapal mereka bagi menyebarkan dakwah dari satu pelabuhan ke pelabuhan yang lain.

Dengan cara ini Islam cepat tersebar di Alam Melayu. Melaka telah menjadi sebuah negara Islam hasil daripada kegiatan perdagangan. Setelah Melaka menjadi negara Islam, kegiatan dakwah diperluaskan pula ke Jawa dan Brunei melalui cara yang sama. Akhirnya kedua-dua negara itu mengikut langkah Melaka.

2. Keunggulan Islam

Faktor-faktor penyebaran Islam di Alam Melayu juga datang daripada keunggulan Islam itu sendiri. Antaranya ialah kesederhanaan, kesucian, dan keluhuran agama Islam yang bertunjangkan kepada ketuhanan yang tunggal dan persamaan taraf antara sesama Islam, tidak sebagaimana agama Hindu yang dianuti oleh penganut-penganut Melayu sebelum itu yang bertuhankan kepada berhala dan dewa disamping mangamalkan sistem kasta.

Ahli-ahli sosiologi moden menjelaskan bahawa sentimen pro-Islam yang mendalam di kalangan penganut Islam di kawasan ini terutama sekali di kawasan Bandar adalah dipengaruhi dengan kuatnya oleh perasaan anti sistem kasta. Kelas-kelas bawahan dalam masyarakat menyedari bahawa kedudukan mereka tidak ada nilai dalam sistem masyarakat lama. Memeluk agama Islam adalah satu cara yang berkesan untuk membebaskan mereka dari belenggu kasta. Islam dengan ajarannya yang mementingkan persamaan taraf sesama manusia telah menjadi faktor yang utama dalam penukaran agama.

Sesungguhnya sistem-sistem kasta diikuti sebagaimana yang diamalkan di India, tetapi tidaklah benar sama sekali jika dianggap bahawa tidak ada perbezaan taraf dikalangan masyarakat orang beragama Hindu digugusan kepulauan Melayu pada masa itu.

3. Perkahwinan

Ramai saudagar yang datang ke Alam Melayu merupakan golongan yang kaya raya. Sesetengahnya mempunyai hubungan yang rapat dengan pembesar-pembesar tempatan. Dengan kekayaan yang ada, mereka berjaya mempengaruhi wanita-wanita tempatan untuk dijadikan isteri. Malahan ada saudagar yang dapat berkahwin dengan puteri-puteri dari kalangan anak pembesar terutamanya pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Perhubungan keluarga telah memudahkan para pedagang Islam berdakwah secara terus dengan kaum kerabat mereka sendiri.
Perkahwinan ini juga sekurang-kurangnya dapat menarik minat pembesar-pembesar tempatan untuk menerima Islam. Biasanya apabila pembesar-pembesar menerima Islam maka seterusnya akan diikuti golongan bawahan ataupun rakyat secara beramai-ramai. Hasilnya bertambahlah bilangan penduduk yang menganut agama Islam.

Agama Islam juga tersebar melalui perkahwinan antara raja sesebuah negara dengan puteri raja dari negara lain. proses ini biasanya dipanggil perkahwinan sahsiah. Langkah ini turut membantu perkembangan Islam ke sesebuah negara. Umpamanya perkahwinan puteri Pasai dengan Megat Iskandar Syah menyebabkan Islam tersebar dari Pasai ke Melaka. Begitulah juga perkahwinan anak-anak raja Melaka dengan putera puteri Pahang dan Kedah yang akhirnya telah menyebabkan kedua-dua menjadi negeri Islam kemudiannya.

4. Pengislaman Pemerintah

Pengislaman pemerintah merupakan salah satu faktor bagi perkembangan Islam di Alam Melayu. Contohnya ialah di Melaka, apabila raja Melaka Parameswara memeluk Islam ramai pengikut-pengukut dan rakyat jelata yang masuk Islam. Apabila pemerintah memeluk Islam, nama mereka ditukar dan digelar sebagai sultan. Dalam proses pengislaman pemerintah saudagar-saudagar berperanan sebagai pendakwah. Saudagar-saudagar ini bukan sahaja berdagang tetapi juga menyebarkan Islam. Selalunya saudagar ini terdiri daripada orang-orang yang kaya. dan dapat menarik minat golongan pemerintah dengan kekayaan yang mereka miliki.

5. Perlumbaan Penyebaran Agama Islam Dan Kristian

Satu lagi faktor yang bertanggumgjawab bagi perkembangan agama Islam di rantau ini disebabkan adanya perlumbaan penyebaran agama Islam dan Kristian, terutama di dalam abad ke-15 dan ke-16 yang dianggap ekoran dari Perang Salib. Sejak semenanjung Iberia ditawan oleh kuasa Islam dalam tahun 732 M berlanjutan hingga Peperangan Salib dan seterusnya dalam abad ke-15 telah meninggalkan kesan-kesan yang mendalam dan di dalam tulisan-tulisan orientalis Barat selalu mengecil-ngecilkan peranan Islam di samping usaha-usaha melemahkan agama Islam. Persaingan ini menjadi satu sebab Islam telah berkembang dengan pesat di kalangan penduduk Kepulauan Melayu.

6. Penaklukan

Penaklukan juga tidak kurang pentingnya menjadi faktor pendorong tersebarnya Islam di Nusantara ini. Apa yang dimaksudkan ialah penaklukan yang dilakukan oleh sesebuah negara Islam ke atas daerah lain. Jika daerah yang ditawan itu belum Islam maka dengan penaklukan itu para pembesarnya akan terpengaruh dengan Islam kerana motif politik, kedudukan, ekonomi dan sebagainya. Jika daerah yang ditawan itu telah Islam maka dangan penaklukan itu, Islam dapat dikembangkan dengan lebih berkesan lagi. Kerajaan Pasai sebagaimana yang diterangkan dalam catitan Ibnu Batutah telah meluaskan kuasa politiknya ke daerah sekitarnya dengan peperangan lalu Islam tersebar di daerah tersebut.

Melaka pada zaman kekuasaan Bendahara Tun Perak telah berjaya menakluki beberapa daerah diTanah Melayu dan Sumatera seperti Pahang, Terengganu, Petani, Kampar, Inderangiri, Rokan, Siak, Johor, Bangkalis dan lain-lainya. Oleh itu Islam tentunya dapat disebarkan dengan mudahnya di daerah jajahan takluk tersebut. Kerajaan Acheh yang merupakan sebuah empayar Islam yang tersebar di abad 16 dan 17 di Asia Tenggara ini yang mempunyai jajahan takluk yang luas di Sumatera dan Tanah Melayu tentunya dapat menyebarkan Islam dengan mudah juga di daerah tanah tajahannya itu.

Memangnya ada tercatit dalam sejarah Acheh bahawa kerajaan Acheh telah mengirimkan para pendakwah Islam ke daerah tanah jajahannya itu di Tanah Jawa. Kerajaan Islam Demak juga telah menakluki daerah-daerah yang diperintah oleh kerajaan-kerajaan Hindu. Misalnya kerajaan Hindu Majapahit telah ditewaskan dan dijadikan tanah jajahan takluknya. Dengan ini maka Majapahit bertukar menjadi sebuah negara Islam.

7. Kesusasteraan

Kesusasteraan juga telah menjadi saluran penting kepada penyebaran Islam di Asia Tenggara. Dengan kedatangan Islam, masyarakat di Alam Melayu sebagai bahasa perhubungan utama. Dengan adanya satu bahasa ini, kegiatan menyebarkan Islam menjadi lebih mudah dan lancar. Kedatangan Islam juga telah memperkenalkan tulisan jawi. Hal ini memudahkan para ulama dan pendakwah mengajar tentang ilmu yang berkaitan dengan Islam kerana mereka dapat menguasai tulisan jawi.

Dizaman keagungan Melaka dan Acheh, Bahasa Melayu telah dijadikan bahasa pengantar dalam system pendidikan mereka. Pelbagai bentuk sastera Arab seperti syair dan gurindam talah mempengaruhi Bahasa Melayu. Hasilnya sastera-sastera Islam telah dikembangkan melalui Bahasa Melayu dan ini sudah tentu dapat mengembangkan lagi fahaman orang-orang Melayu terhadap ajaran Islam. Beberapa tokoh karyawan dan ulama luar dan tempatan telah menghasilkan karya-karya yang berunsur Islam sama ada dalam bentuk asli ataupun terjemahan dan saduran.

Sebahagian besar daripada karya tersebut seperti Hikayat Nabi Bercukur, Hikayat Raja Khandak, Hikayat Amir Hamzah dan sebagainya begitu diminati oleh orang-orang Melayu. Karya-karya ini mengandungi pelbagai unsur yang boleh mendekatkan kefahaman pembacannya kepada ajaran Islam itu sendiri. Bidang kesusasteraan Islam begitu pesat berkembang di Acheh sehingga melahirkan ramai tokoh satera seperti Hamzah Fansuri dan Nuruddin al-Raniri yang berhasil mengarang pelbagai jenis kitab agama. Kitab-kitab ini kemudiannya disebarkan keseluruh jajahan takluk dan hal ini sudah tentu membantu penyebaran Islam ke Alam Melayu atau Nusantara.

8. Peranan Ahli Tsawuf Dan Sufi

Kegiatan penyebaran Isalm dikebangkan oleh ahli-ahli tasawuf dan sufi. Ahli tasawuf da sufu merupakan ulama Islam yang kuat beramal. Kedua-dua golongan ini telah menunjukkan teladan yang baik tentang islam itu sendiri. Mereka berpakaian bersih, bersopan satun dan bertatatertip sehingga tingkah laku dan tutur kata mereka mempersonakan orang ramai.

Pada zaman Melaka, golongan ini juga diberi penghormatan yang tinggi oleh pemerintah kerana bija dalam tutur kata. Nasihatnya di dengar oleh sultan dan par pembesar. Pada zaman kesultanan Acheh,golongan tasawuf telah diberi peranan penting dalam pentadbiran. Semasa pentadbiran Iskandar Muda,seramai 22 orang ulama(ahli tasawuf) telah menganggotai Balai Gadang yang menjadi pusat bagi membicangkan masalah pemarintahan negara dan masalah agama. Antara mereka adalah Hamzah Fansuri dan Nuruddin al-Raniri. Mereka telah memberi sumbangan yang besar kepada Acheh dalah kegiatannya sebagai pusat penyebaran Islam di Asia Tenggara.

Sementara pada zaman kerajaan Islam Demak, golonhan ini lebih dikenali sebagai Wali Songo. Mereka memainkan peranan penting dalam penyebaran Islam di Pulau Jawa. Tokoh-tokoh Sunan Ampel,Sunan Bonang dan Sunan gunung Jati memang tidak asing dalam sejarah perkembangan pengaruh islam di Jawa dan sekitarnya.

Kesimpulan


Agama Islam telah berjaya mempengaruhi sebahagian besar penduduk Alam Melayu walaupun agama Hindu lebih awal bertapak di rantau ini. Islam telah membawa tamadun yang tinggi dan seba lengkap meliputi semua aspek kehidupan. Asas asas tamadun Islam yang tersebar di nusantara semenjak awal abad ke 15 telah menjadi nilai hidup orang-orang Melayu sehingga kini.

Rabu, 1 Mei 2013

Pemikiran Hassan Al-Banna Menganalisa Senario Politik Semasa


SMAHADZIR

Hassan Al-Banna telah menyedari tentang bahaya dan ancaman ideologi Barat kepada bangsa Arab di Mesir. Semangat rakyat hancur berkecai akibat segala krisis yang melanda senario politik Mesir ketika itu. Jentera pentadbiran rakyat dicemari budaya mementingkan diri sendiri, menurut kepentingan parti, salah guna kuasa dan salah laku.

Pentadbiran pusat yang menyulitkan dan keranah birokrasi yang rumit, ditambah pula dengan masing-masing tidak mahu memikul tanggungjawab. Undang-undang tidak lagi berkuasa mendidik manusia dan budaya telah dicemari oleh amalan kronisme dan diskriminasi.

Harga barangan melambung tinggi. Kadar pengangguran yang semakin meningkat akibat tiada peluang pekerjaan. Taraf hidup yang semakin menurun dalam kalangan majoriti rakyat sehingga ke tahap yang tidak dapat dibayangkan oleh manusia. Sifat kasih sayang sesama insan semakin hilang, keganasan bermaharajalela, wujud kecenderunganbertindak kejam dan ganas.

Semua kemarahan rakyat yang bakal diluahkan melalui beberapa tunjuk perasaan dan demontrasi jalanan. Nilai-nilai akhlak semakin hilang kedudukannya di mata masyarakat. Amalan keji dan budaya yang bercanggah dengan nilai-nilai akhlak berleluasa di merata tempat. Masyarakat kita hari ini diselubungi kekeliruan. Keliru tentang identiti dan jatidiri yang perlu menjadi pegangan dan anutan. Krisis moral dan politik yang melanda masyarakat Kalau kita perhatikan apa yang dialami oleh bangsa Arab di Mesir pada zaman Hassan Al-Banna itu jugalah yang dialami oleh bangsa Melayu di bumi Malaysia.

Dalam usaha untuk menguasai jiwa dan hati bangsa, semua ideologi ini akan berjuang habis-habisan. Komunisme berusaha gigih menerapkan fahaman mereka ke dalam jiwa orang ramai. Kita berhadapan dengan komunisme dan sosialisme. Dalam kefahaman antarabangsa, kedua-dua fahaman ini dianggap sebagai sebahagian daripada nilai demokrasi.

Salah satu faktor yang menyebabkan bangsa Timur menyimpang daripada Islam dan memilih untuk meniru Barat ialah hasil kajian yang dibuat oleh pemimpin mereka terhadap kemajuan Barat. Mereka meyakini tamadun Barat hanya bangkit setelah mereka menolak agama dan menghapuskan gereja.

Setelah mereka menghapuskan kuasa Pope, paderi dan orang-orang agama, mereka membuang segala imej agama yang wujud pada bangsa mereka. Mereka juga memisahkan sepenuhnya agama daripada pemerintahan negara. Jika tindakan ini betul untuk bangsa Barat, aia sama sekali tidak betul untuk umat Islam. Ini kerana budaya pendidikan Islam berbeza dengan budaya pendidikan mana-mana agama yang lain.

Kuasa ulama dalam kalangan umat Islam amat terbatas. Mereka tidak mempunyai kuasa untuk mengubah keadaan dan menukar sistem. Umat Islam hari ini rata-rata kehilangan sahsiah atau identiti sebagai umat pilihan, hilang kekuatan dan terumbang-ambing menjadi buih, tidak digeruni atau disegani lagi seperti yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w yang bermaksud: ‘Hampir seluruh umat manusia bersatu menghancurkan kamu seperti orang yang sedang lapar menghadapi hidangan makanan. Mereka bertanya: ‘Apakah kita sedikit pada masa itu, wahai Rasulullah s.a.w?’ Jawab baginda: ‘Malah kamu banyak, tetapi kamu laksana buih air bah.’

Masyarakat kita berhadapan dengan krisis ekonomi dan sosial. Masalah ini berpunca daripada kepincangan akhlak, kehilangan role-model, mengutamakan kepentingan peribadi lebih daripada kepentingan umum, takut untuk berhadapan dengan kenyataan dan tidak mahu memikul tanggungjawab. Bagi mengatasi masalah ini, Hassan Al-Banna menggesa agar diri yang rosak itu perlu dirawat dan berusaha membetulkan akhlak masyarakat.

Fikrah Hassan Al-Banna Dalam Merangka Agenda Bangsa

Bagi menangkis fahaman dan ideologi Barat ini, Hassan Al-Banna telah merangka satu Model Fikrah Islam Syumul. Dalam model ini, Hassan Al-Banna menjelaskan tentang Islam sebagai agama dan negara. Menurut Hassan Al-Banna, agama itu membangun melalui jihad generasi silam yang berlandaskan asas-asas yang kukuh, iaitu keimanan kepada Allah s.w.t. mengetepikan kesenangan hidup yang sementara, mengutamakan kehidupan yang kekal abadi, berkorban dengan darah, nyawa dan harta demi menegakkan kebenaran, cintakan mati pada jalan Allah s.w.t. Semua ini dilalui dengan berlandaskan pimpinan Al-Quran al-Karim.

Islam merangkumi aspek keagamaan dan kemasyarakatan, masjid dan negara, dunia dan akhirat. Malah Islam juga menyentuh sudut praktikal dalam kehidupan dunia dengan meletakkan semua amalan yang baik adalah ibadat kepada Allah s.w.t.

Islam adalah sistem hidup yang lengkap, bersifat sepadu, saling berkait dan menguatkan antara satu aspek dengan aspek lain. Sistem ini berbeza daripada sistem lainnya dari segi wataknya, gagasannya tentang kehidupan dan cara pelaksanaannya. Perbezaan ini adalah perbezaan yang asasi dan menyeluruh. Oleh itu Islam tidak bertanggungjawab terhadap masalah yang timbul dalam masyarakat hari ini kerana masalah itu lahir akibat Islam dipisahkan daripada realiti kehidupan.

Sebenarnya untuk mengambil Islam sebagai penyelesaian masalah, terlebih dahulu Islam perlu dijadikan pengatur seluruh kehidupan individu, keluarga, masyarakat, negara dan dunia ini. Setelah itu apabila timbul persoalan atau permasalahan barulah wajar untuk meminta pandangan Islam mengenai persoalan itu kerana masalah itu timbul dalam sistem Islam, bukan ditimbulkan oleh sistem bukan Islam. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: ‘Wahai orang yang beriman masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.’ (surah Al-Baqarah: 208).

Islam mendidik manusia dengan sistem tertentu, memerintah dengan hukum tertentu, menyelesai masalah mereka atas dasar tertentu serta mewujudkan sistem kemasyarakatan, ekonomi dan politik yang tertentu. Jadi perkara utamanya ialah melaksanakan Islam sebagai sistem yang menyeluruh dalam semua aspek kehidupan. Semua aktiviti bersosial, berpolitik, berekonomi, berbudaya, berperang dan lain-lain adalah berpaksikan kepada agama yang suci ini.

Sebagai umat Islam, kita hendaklah yakin bahawa hukum dan ajaran Islam lengkap mencakupi seluruh urusan manusia di dunia dan akhirat. Mereka yang merasakan ajaran Islam ini hanyalah menyentuh aspek ibadat atau kerohanian tanpa membabitkan aspek-aspek lain, adalah silap. Islam adalah akidah dan ibadat, tanah air dan bangsa, agama dan negara, rohani dan amali, mashaf dan pedang. Al-Quran al-Karim menyentuh semua aspek ini dan meletakkan seluruh aspek ini sebagai Teras Islam.

Islam mengingatkan manusia supaya memenuhi seluruh aspek ini. Ini ditegaskan dalam firman Allah s.w.t. dalam surah al-Qasas ayat 77 yang bermaksud; ‘Dan carilah apa yang dikurniakan Allah s.w.t kepadamu pada hari Akhirat, dan jangan kamu lupa habuan kamu di dunia.’

Al-Quran al-Karim menjadi sumber inspirasi dan bimbingan Hassan Al-Banna ketika menterjemahkan makna Islam yang syumul. Seluruh aspek kehidupan umat hendaklah bersumberkan ajaran Islam, jika kita mahu menjadi umat Islam yang sebenar. Namun begitu, jika kita hanya mengambil aspek ibadat atau akhlak sahaja dalam amalan harian, dan meniru bangsa bukan Muslim dalam aspek kehidupan yang lain, kita telah menjadi umat Islam yang cacat Islamnya, menurut telunjuk mereka.

Asas kepada ajaran dan intipati Islam adalah Al-Quran al-Karim dan sunnah Rasulullah s.a.w. Sekiranya umat Islam berpegang teguh dengan kedua-dua sumber ini, mereka tidak akan sesat selama-lamanya. Oleh itu, sistem Islam yang sepatutnya menjadi asas kepada umat ini mestilah dipetik daripada sumbernya yang asli. Kita perlu memahami Islam sebagaimana yang difahami oleh para sahabat dan tabien yang saleh dan diredai Allah s.w.t. Kita tidak perlu mencorak zaman kita menurut budaya zaman yang tidak bertepatan dengan Islam.

Bagi menjamin perlaksanaan perkara ini dengan betul, Islam menitik beratkan soal pemulihan jiwa manusia yang merupakan teras kepada sistem ini. Inilah teras yang akan menjana pemikiran, penilaian dan pembentukan sistem Islam. Islam menyenaraikan penawar yang dapat membersihkan jiwa manusia daripada nafsu serakah. Islam menghalang jiwa manusia bersifat kejam, alpa dan zalim. Jika jiwa manusia berjaya dilentur dan dibersihkan, pasti setiap yang lahir daripada jiwa ini elok dan baik belaka. Atas dasar inilah, jiwa manusia mendapat perhatian utama dalam Kitab Allah s.w.t.

Manusia yang pertama dicorak oleh Islam kini menjadi model kepada manusia yang sempurna. Islam sebenarnya sesuai dengan semua zaman dan bangsa. Islam seiring dengan segala kehendak dan tuntutan. Islam tidak pernah melarang umatnya memanfaatkan apa jua yang sesuai selagi tidak bertentangan dengan dasar-dasar am Islam.

Ancaman Humanisme Dalam Menangani Masalah Pluralisme

Bila bercakap tentang humanisme secara global, bagaimana fikrah Hassan Al-Banna menentang humanisme dalam konteks negara Malaysia. Fikrah Hassan Al-Banna menuntut kepada kita meletakkan ketuanan Islam (siyadah Islam) dalam melaksanakan struktur kenegaraan.

Inilah yang dimaksudkan oleh Hassan Al-Banna sebagai Islam itu adalah sistem hidup yang syumul, yang merangkumi aspek akidah, ibadah, tanah air, bangsa, toleransi, kuasa, akhlak, budaya, ekonomi dan undang-undang.

Memahami Islam ialah merasai dan meletakkan Islam sebagai penguasa dan pemimpin kepada sebuah masyarakat majmuk. Perlembagaan Malaysia telah meletakkan Islam sebagai agama rasmi bagi negara Malaysia. Ini menunjukkan sebenarnya ketuaan Islam perlu dipertahankan dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia. Inilah yang berlaku dalam negara kita Malaysia apabila ketuanan Islam masih lagi menjadi dominan.

Namum begitu, baru-baru ini kita telah mendengar dan melihat banyak tuntutan yang telah dibuat oleh bukan Muslim di negara kita yang melibatkan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi mula tercabar dan status quo orang Melayu mula tergugat. Keadaan ditambah lagi dengan senario perubahan kuasa politik yang menyaksikan keberanian bukan Muslim yang begitu lantang dalam mengetuai arus reformasi. Desakan demi desakan yang dilakukan oleh bukan Muslim bagi menuntut hak yang sama rata seperti Interfaith Council (IFC), Su Qiu dan lain-lain telah disambut dan disokong oleh segelintir orang Melayu yang beragama Islam.

Yang paling terjejas dan rugi dalam isu ini ketuanan Islam itu sendiri. Ini juga menunjukkan umat Islam tidak bersatu dalam mempertahankan ketuanan Islam di bumi Malaysia. Arus berbilang agama telah lama wujud dalam kalangan masyarakat Malaysia. Persoalannya ialah bagaimana kita bangsa Melayu yang beragama Islam yang merupakan penduduk asal negara ini mampu menangani isu pluralisme dalam kalangan masyarakat yang berbilang agama ini?

Setengah pihak yang tertentu telah mengambil kesempatan di atas kelemahan yang ada untuk membawa agenda mereka ke tengah masyarakat. Arus dalaman yang semakin mendominasi ini telah mendapat sokongan padu daripada sekular luar telah memberi kesan yang tidak sedikit kepada status-qou bangsa Melayu.

Arus ini cuba membawa masyarakat Malaysia kepada satu arah yang melaksanakan konsep kesamarataan yang mutlak dalam masyarakat berasaskan kepada fahaman sekularisme Barat atau humanisme yang meletakkan semua orang mempunyai hak yang sama tanpa mengira agama, bangsa dan lain-lain.

Keadaan ini tentu sekali menjejaskan kepentingan umat Islam dari sudut kehendak agama yang mahukan mereka menjadi bangsa yang memimpin. Secara praktikalnya, bangsa Melayu yang beragama Islam mampu mengekalkan dominasi dan penguasaan ini secara realiti. Disebabkan keserabutan dan kekeliruan pemikiran yang berlaku dalam kalangan bangsa Melayu sendiri, maka mereka kehilangan punca dalam menyelesaikan kemelut yang semakin membarah ini.

Ada dalam kalangan masyarakat Melayu yang melihat isu di atas sebagai satu masalah atau isu yang tidak perlu diperbesar-besarkan. Ada sebahagian masyarakat Melayu yang menyedari isu dan masalah yang melanda dan yang paling menyedihkan ada dalam kalangan bangsa Melayu yang tidak faham dan menyedari bahaya yang sedang menimpa bangsa mereka. Bangsa Melayu adalah bangsa yang majoriti di bumi Malaysia. Mereka adalah kaum asal yang mendiami tanah pusaka ini. Mereka rela menjadi bangsa yang lemah dan hina. Ini satu kerugian besar kepada agama Islam dan bangsa Melayu sendiri.

Kita menyeru kepada kesatuan Islam. Kembali kepada fikrah Hassan Al-Banna yang mahu kita berpegang kepada Islam sebagai satu sistem hidup. Islam yang mendominasi. Islam yang menjadi pemimpin dan ketua. Tidak ada kompromi dengan bukan Muslim dalam hal yang berkaitan dengan agama dan kedudukan Islam.

Kita harus membuat pilihan. Pilihan yang tepat ialah mengekalkan dominasi umat Islam dan menyelesaikan isu bukan Muslim berdasarkan keadilan Islam, mengikut kaedah Islam. Bukan Islam mendapat hak kerakyatan dalam negara Islam adalah dalam bentuk kontrak, mereka boleh hidup aman dan selamat, tetapi mereka tidak boleh merubah struktur perlembagaan dan kenegaraan.

Mereka diberi kebebasan untuk bergerak dan hidup di bawah naungan sistem Islam. Sebaliknya, kita umat Islam akan hilang kuasa dan kedudukan, terpaksa berjuang untuk hidup di bawah sistem liberal Barat walaupun berada di tanah air sendiri.

Pada hakikatnya, kesan kita membelakangkan dan mengetepikan Islam sebenarnya membawa padah kepada kita sendiri. Selagi kita jauh dari roh Islam dan tidak melaksanakan ajaran Islam, kita akan terus terumbang-ambing dan semangat kita akan lemah. Kita akan berpecah dan kekuatan kita akan goyah.

Jika kita dengan tegas dan berani menyatakan bahawa kami seluruh umat Islam bukan penganut komunisme, bukan demokrasisme dan bukan apa yang kamu sangka, sebaliknya dengan segala puji bagi Allah s.w.t. kami adalah orang-orang Islam. Nescaya ketika itu akan terpampang jalan hidayah dan cahaya.

Islam akan menggabungkan kita. Seluruh saudara kita di seluruh muka bumi ini akan bersatu. Inilah satu-satunya kekuatan dan penyelamat kita untuk berhadapan dengan pencabulan penjajahan Barat yang telah menggugat identiti dan jatidiri kita bangsa Melayu yang beragama Islam.

Kesimpulan

Humanisme merupakan satu agenda yang terancang oleh Barat untuk menghapuskan semangat bangsa dan rasa izzah sebagai seorang Islam. Penyerapan fahaman ini ke dalam jiwa dan pemikiran umat Islam berlaku dalam keadaan yang halus dan sistematik. Dalam konteks bangsa Melayu yang hidup dalam masyarakat majmuk di Malaysia, agenda ini perlu difahami dan ditangani dengan bijak dan tegas.

Humanisme akan menjadikan orang Melayu manusia tanpa bangsa dan tanpa agama. Manusia yang tanpa bangsa dan agama menjadikan kita manusia yang tiada agenda. Manusia yang tiada agenda sendiri akan sentiasa tunduk dan dipergunakan untuk melaksanakan agenda orang lain.

Sehubungan dengan itu, setiap aktivis masyarakat, juru dakwah dan ahli politik perlu peka terhadap permasalahan ini dan tidak terjerat dalam perangkap agenda yang berasaskan humanisme Barat seperti hak asasi manusia, liberalisme dan sebagainya.

Justeru itu, penulis menyeru diri penulis dan seluruh bangsa Melayu agar bangkit dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar sebagaimana yang telah difahami oleh Hassan Al-Banna. Menjadikan Islam sebagai satu cara hidup. Meletakkan agama sebagai pertimbangan dan mizan kehidupan kita. Inilah sahaja yang dapat menyelamatkan kita dari terpengaruh dengan budaya dan fahaman sekular.

Seterusnya mencipta tamadun bangsa berpaksikan kepada agama, membina negara berpaksikan agama, menegakkan keadilan berpaksikan agama, mengembangkan ekonomi dan pendidikan juga berpaksikan agama. Katakanlah, sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku hanya untuk Allah Rabbul Alamin. 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA