Rabu, 11 April 2012

Fahami Prinsip Penerimaan Dalam Gagasan 1Malaysia

SMAHADZIR

GAGASAN 1Malaysia yang bercambah dari ilham YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak bermatlamat untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan dalam kepelbagaian yang selama ini menjadi kekuatan Malaysia serta rakyatnya dan kelebihan ini akan dipelihara sebagai bekalan terbaik kita untuk menghadapi sebarang cabaran. Gagasan 1Malaysia juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat seperti yang terpamer melalui slogan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, prinsip penerimaan merupakan salah satu dari tiga prinsip teras gagasan 1Malaysia selain dari prinsip kenegaraan dan prinsip keadilan sosial. Prinsip penerimaan bererti walaupun rakyat Malaysia terdiri dari pelbagai kaum yang mempunyai cara hidup, amalan dan kebudayaan yang berbeza, tetapi kita menerima antara satu sama lain sebagai rakan setia yang akrab dan bersatu.

Memang tidak dapat dinafikan akan kata-kata YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak bahawa gagasan 1Malaysia itu merupakan suatu kesinambungan dari perjalanan sejarah negara sejak kemerdekaan negara 1957. Gagasan 1Malaysia tegak bersandarkan prinsip-prinsip penerimaan, teras Perlembagaan dan Rukun Negara serta keadilan sosial. Ketiga-tiga prinsip itu hendaklah dihayati dan difahami sepenuhnya oleh rakyat Malaysia dalam usaha merealisasikan cita-cita murni perpaduan.

Dalam ertikata yang lain, rakyat Malaysia yang cintakan perpaduan nasional harus memangkas sebarang tunas kesuburan pohon perkauman dan menjauhi sebarang ancaman yang boleh merosakkan tonggak-tonggak kenegaraan. Setiap rakyat Malaysia tanpa mengira ras, budaya, agama dan kepercayaan perlu berpegang teguh dan sedia mempertahankannya tanpa sebarang kompromi.

Prinsip penerimaan yang harus segenap lapisan masyarakat Malaysia hayati dan fahami ialah mengenai perbuatan, sikap, anggapan dan pandangan terhadap hakikat sesuatu kebenaran fakta, misalnya hakikat sejarah Malaysia dan sifat kepelbagaian yang ada. Prinsip penerimaan itu ditandai oleh suatu perlakuan yang positif, menerima sesuatu kebenaran dengan hati yang tulus, ikhlas dan terbuka. Jangan ada sebarang rasa tidak puas hati terhadap apa juga yang telah termaktub dalam Perlembagaan dan tercatat dalam Rukun Negara. Persetujuan bersama antara para pemimpin silam harus diakuri tanpa sebarang kompromi demi perpaduan dan kesejahteraan bersama.

Lantaran itu, impian untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang benar-benar bersatu padu hanya boleh dicapai sekiranya rakyat mengamalkan nilai yang terkandung dalam gagasan 1Malaysia. Nilai itu jika dikaitkan dengan pemikiran rakyat untuk berubah dari satu paradigma dengan pradigma asas ialah sikap bertolak ansur, saling hormat menghormati antara satu sama lain, akur dengan apa yang telah dipersetujui bersama. Dalam gagasan 1Malaysia, bertoleransi hanya permulaan, paradigma selepas itu ialah berubah dari bertoleransi kepada penerimaan sepenuhnya. Hakikat ini harus difahami oleh semua rakyat Malaysia yang cintakan perpaduan.

Dengan lain perkataan, apabila kita ikhlas menerima perbezaan dalam masyarakat kita, tulus menerima kepelbagaian sebagai sesuatu yang unik, sesungguhnya ini adalah sesuatu yang memberi kekuatan kepada kita dan bukan sebaliknya. Menurut YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak, “Jika kepelbagaian diterima sepenuhnya di kalangan masyarakat sebagai satu sumber kekuatan dan sesuatu yang unik, barulah ‘kita bergerak dari satu peringkat ke satu peringkat yang lain’. Dan apabila kita bergerak dari paradigma bertoleransi kepada penerimaan sepenuhnya, terdapat satu kemuncak muktamad iaitu meraikan kepelbagaian kita. Apabila kita meraikan kepelbagaian kita barulah ia bermakna kita telah mencapai destinasi akhir Bangsa Malaysia 1Malaysia, dan barulah kita akan berfikir dan kita akan bertindak sebagai 1Rakyat, 1Negara dan 1 Impian.”

Sebenarnya, jika kita selak kembali catatan sejarah negara kita Malaysia, nilai penerimaan ini sudah lama kita praktikkan antara rakyat Malaysia pelbagai kaum. Kita mengambil contoh tentang Kontrak Sosial, di mana masyarakat Melayu, Cina dan India sudah pun bersetuju dan berjanji dengan menerima beberapa perkara untuk bersatu. Bagi masyarakat Melayu, mereka sudah bersetuju untuk menerima masyarakat Cina dan India untuk menjadi warganegara Malaysia.

Manakala bagi masyarakat Cina dan India mereka telah bersetuju untuk menerima dan mengakui tentang perkara Hak Keistimewaan Melayu, Kedudukan Raja-Raja dan Sultan, Islam sebagai agama persekutuan dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Inilah hakikat yang kita tidak dapat menafikannya di mana nilai penerimaan ini sudah lama dilaksanakan di di negara kita.

Sejarah juga telah mencatatkan bahawa sejak ribuan tahun negara kita Malaysia adalah sebahagian daripada sejarah Asia Tenggara, sebelum kedatangan pengaruh asing atau setelah dijarah pemerintahan kolonial. Jika negara Indonesia dengan pengaruh Belanda, maka negara kita Malaysia pula dengan penjajah Inggeris. Hakikat bahawa kolonial itu bukan sahaja membawa pengaruh ke atas sistem pemerintahan atau kehidupan ekonomi kerana memenuhi revolusi industri abad ke-19 di barat, bahkan mendatangkan pengaruh budaya baru melalui sistem pendidikan adalah sesuatu yang jelas. Kedatangan orang Cina dan India secara besar-besaran dua abad lalu tidak sama konteksnya dengan hubungan antara empayar pada abad ke-15.

Menurut Dato’ A. Aziz Deraman, mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), rantau ini sejak zaman berzaman mewarisi tradisi kesultanan dan institusi Raja-raja Melayu. Kecemerlangan kerajaan-kerajaan awal Melayu dari sejak awal Masehi itu diakuri timur dan barat. Dunia Melayu adalah milik azali umat Melayu dan bangsa serumpunnya di serata gugusan kepulauan. Konsep ibu pertiwi atau tanah air (motherland atau paterland) terletak di situ.

Seterusnya jelas beliau lagi, fenomena terkemudian boleh dianalogikan sebagai sebuah rumah besar yang menerima kedatangan ‘tetamu’ yang kini telah memilih hidup bermastautin dan menjadi rakyat di rantau ini. Di negara kita Malaysia, penerimaan rakyat asalnya yakni bangsa serumpun Melayu terjelma melalui sikap meraikan, menyediakan peluang dan tapak kehidupan untuk ‘rakan-rakan’ baru tadi. Jika realiti ini difahami, dihayati dan diakuri, maka rakyat akan lebih memahami makna ‘orang memberi kita merasa, orang berbudi kita berbahasa’. Justeru akurilah hakikat hahawa tanggapan dan penerimaan tidak akan menjadi mudah, jika rakyat menolak hakikat sejarah.

Tidak dapat dinafikan bahawa rakyat asal Malaysia sudah lama sedia dan sanggup berkongsi kuasa politik, ekonomi dan sama-sama membina kesejahteraan sosial. Selama ini negara kita Malaysia sangat menghormati kepelbagaian dan perbezaan rakyatnya. Selain daripada mementingkan kedudukan bangsa serumpun Melayu atau peribumi secara adil sesuai dengan aspirasi Perlembagaan, Malaysia tidak meminggirkan rakyatnya dari keturunan Cina, India dan lain-lain lagi seperti Serani, Benggali, Portugis dan sebagainya. Kini mereka sudah berstatus warganegara Malaysia. Dasar-dasar negara digubal untuk kepentingan semua kaum tidak kira bangsa, keturunan, budaya dan agama demi mencapai matlamat perpaduan. Kendati begitu, kita harus secara rasional menerima hakikat bahawa golongan manakah yang berada di lembah kemiskinan dan kedaifan sejak sebelum dan selepas merdeka!

Lihat pula secara sedar bagaimana status ekonomi, pendidikan, taraf kesihatan, prasarana luar bandar? Majoriti penduduk luar bandar itu terdiri daripada masyarakat Melayu dan suku bangsa serumpunnya seperti Iban, Kadazandusun, Bidayuh, Rungus, Melanau, Orang Sungai, Dayak, Bajau, Melanau, Negrito, Mahmeri, Semang, Senoi, Jakun, Sakai, Kenyah, dan puluhan yang lain di Sabah dan Sarawak. Jadi, formula tertentu perlu digarap bagaimana sewajarnya membina ‘Kesatuan Dalam Kepelbagaian’ tadi.

Kepelbagaian itu sewajarnya berada di dalam penerimaan segenap lapisan rakyat. Di negara kita Malaysia, masyarakat berketurunan Cina, India, Portugis, Baba, Benggali, Serani dan lain-lain lagi mempunyai ciri budaya, bahasa, adat resam, agama, kepercayaan, dan warisan seni masing-masing. Nilai-nilai hidup yang terbaik bersifat universal perlu dipupuk menjadi nilai-nilai nasional. Penerimaan apa yang terbaik daripada bangsa induk Melayu dan suku bangsa serumpunnya dan menyaring nilai-nilai budaya positif masyarakat Cina, India, Portugis, Baba, Benggali, Serani dan lain-lain lagi itu boleh dilakukan untuk tujuan perkongsian nilai-nilai bersama.

Malahan sebahagian unsur-unsur warisan budaya masyarakat Cina, India, Portugis, Baba, Benggali, Serani dan lain-lain lagi itu sudah terserap ke dalam kebudayaan nasional di bidang bahasa, pakaian, perhiasan, makanan, kesenian dan sebagainya. Amalan asal bersumberkan kaum dan sukuan itu, suatu waktu dalam proses masa akan mengambil tempatnya yang baru pula. Contoh amalan 1Malaysia sudah lama dipraktikkan di Sabah malah menjadi budaya harian masyarakat di Negeri Di Bawah Bayu tersebut.

Persoalannya sekarang ialah bagaimanakah setiap individu masyarakat yang pelbagai ras, budaya dan kepercayaan ini dapat saling mengenali, memahami lalu menerima antara satu sama lain? Contoh terdekat yang boleh kita ambil ialah dalam aspek kontrak sosial. Kita boleh kaitkan kontrak sosial dengan nilai penerimaan yang dicadangkan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak dari segi sosial. Pendidikan yang utamanya, di mana semua rakyat perlu menerima dengan kuota yang diberikan kepada orang Melayu, contohnya kuota untuk memasuki Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Matrikulasi dan universiti-universiti awam. Begitu juga dengan kuota untuk biasiswa-biasiswa kerajaan, seperti biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan menetapkan kuota Melayu dengan nisbah kaum lain ialah 55%:45%, dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) khas untuk Melayu dan Bumiputera.

Seterusnya dengan penerimaan agama Islam sebagai agama Persekutuan Malaysia, semua kaum perlu menerima hakikat ini memandangkan ia sudah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, malahan bangsa-bangsa lain juga boleh mengamalkan agama masing-masing di negara ini. Amat penting bagi semua rakyat Malaysia untuk memahami nilai penerimaan dalam perkara sosial ini.

Sementara dalam aspek ekonomi pula nilai penerimaan ini amat penting juga untuk kita memahami supaya kita dapat menerimanya dengan hati yang tulus. Dengan mengambil contoh dari pembahagian Amanah Saham Malaysia (ASM), di mana kerajaan telah menetapkan bahawa pembahagian saham antara kaum dengan nilai-nilai yang tertentu berdasarkan taburan penduduk di Malaysia iaitu Melayu 55%, Cina 25%, India 7%, dan lain-lain kaum Bumiputera 12%.

Jika kita lihat dari taburan penduduk di negara kita, majoritinya adalah bangsa Melayu. Maka kita dapat lihat, walaupun dari segi angka yang diterapkan dalam gagasan 1Malaysia untuk masyarakat Melayu adalah tertinggi berbanding kaum lain, tetapi masyarakat Melayu sebenarnya memang berhak mendapat bahagian yang tertinggi. Maka semua kaum di Malaysia ini perlu menerima hakikat ini dengan hati yang ikhlas dan berlapang dada. Justeru, kita dapat lihat di sini nilai penerimaan amat penting dalam menjayakan gagasan 1Malaysia ini.

Seterusnya mari kita lihat dari segi politik pula. Nilai penerimaan sudah lama dilakukan dalam kerajaan Barisan Nasional, di mana pembahagian kerusi-kerusi Parlimen mengikut perjanjian yang telah dimetrai dalam perlembagaan Barisan Nasional. Kita boleh lihat bilangan dan peratus kerusi parlimen yang dimenangi oleh Bumiputera dan bukan Bumiputera serta bilangan dan peratus Bumiputera dan bukan Bumiputera dalam kabinet Kerajaan Malaysia.

Bilangan kerusi Bumiputera dalam Parlimen ialah 83.57% sementara bilangan Bumiputera dalam kabinet ialah 69.57%. Manakala bilangan kerusi bukan Bumiputera dalam Parlimen ialah 16.43% dan bilangan bukan Bumiputera dalam kabinet ialah 30.43%. Justeru, jika kita kaji statistik ini, jelas menunjukkan bahawa dalam kerajaan Barisan Nasional, nilai penerimaan sudah pun dilakukan. Kita dapat lihat bahawa jumlah kerusi yang dimenangi oleh kaum bukan Bumiputera adalah sedikit iatiu 16.43% sahaja, tetapi disebabkan nilai penerimaan oleh ahli Parlimen Bumiputera dalam kerajaan Barisan Nasional, jumlah bilangan ahli Parlimen bukan Bumiputera yang memegang portfolio Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet adalah tinggi iaitu sebanyak 30.43% berbanding jumlah yang dimenangi dalam kerusi Parlimen.

Sejarah juga telah mencatatkan bahawa di dalam Islam kepelbagaian itu sudah menjadi fitrah kehidupan. Ia adalah anugerah Allah s.w.t. Justeru itulah agaknya, umat Islam tahu menilai dan meraikan kepelbagaian. Justeru, prinsip penerimaan dalam gagasan 1Malaysia sesungguhnya tidak lari dari ketentuan Islam.

Pendekatan 1Malaysia jika benar-benar dihayati dan difahami dengan mendalam pasti akan memperkukuhkan konsep perpaduan dan kesatuan negara. Gagasan 1Malaysia bolehlah diibaratkan sebatang sungai yang lebar dan panjang, maka akan ada pertemuan alirannya, beza anak sungai dengan sungai induk yang arusnya mengalir sehingga ke muara. Gagasan 1Malaysia bukannya retorik politik atau agenda politik, tetapi cita-cita kenegaraan untuk kemajuan dan kesejahteraan semua rakyat yang bergelar warganegara Malaysia. Jadi, janganlah jadikan ia diterjemah dalam konteks yang bersimpang-siur dan mengelirukan. Berpegang teguhlah kepada sistem pemerintahan yang satu, dan dipayungi rimbun Perlembagaan yang satu. Bukankah negara kita Malaysia ini tidak lahir dari sesuatu yang vakum, ada kesepakatan asal berlandaskan kontrak sosial?

Setiap perkara sudah termaktub dan terkanun dalam Perlembagaan. Maknanya prinsip penerimaan akan sebuah Perlembagaan menunjukkan hakikat kehidupan kita berbangsa dan bernegara. Itu adalah prinsip yang utama. Parti-parti politik mana pun yang menguasai pemerintahan, keluhuran Perlembagaan wajib dijunjung. Setiap individu rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan budaya perlu memahami hakikat ini dengan benar dan tanpa sebarang kompromi.

Konsep dan falsafah gagasan 1Malaysia dengan slogan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ dan penerapan nilai-nilai murni itu bukannya sukar untuk difahami. Jadi, prinsip penerimaan itu tidak boleh lari dari undang-undang tertinggi negara yakni Perlembagaan Persekutuan dan pada masa yang sama dengan penuh rasa kecintaan terhadap negara, patriotisme, kesetiaan politik dan keikhlasan, rakyat Malaysia akan mempertahankan negara sendiri sebagai sebuah negara bangsa, bukannya ‘kaki di sini, akal di sana’.

Kesimpulannya, semua rakyat Malaysia yang bergelar warganegara Malaysia tanpa mengira fahaman dan ideologi politik harus sama-sama berganding mahu memantapkan barisan memperkukuhkan tunjang perpaduan sebagaimana yang dihasratkan oleh gagasan 1Malaysia. Dalam aspek politik, gagasan 1Malaysia ini perlu tulus dan mencakupi pelbagai fahaman politik negara. Semua pihak tanpa mengira fahaman dan ideologi politik bukan sahaja perlu bersama dalam menjayakan gagasan ini malahan perlu mengetepikan perbezaan mereka. Perkara ini kerana keperluan dan kepentingan rakyat menjadi keutamaan negara yang harus didahulukan sebelum kepentingan politik mengambil tempat. Semua pihak perlu bersifat glokal bagi mencari usaha ke arah pembangunan modal insan yang jitu dan mapan serta mampu bersaing dengan arus permodenan dunia. Persaingan politik perlu diketepikan dan pembentukkan sahsiah yang baik merupakan contoh yang berguna kepada masyarakat. Sikap suka menjatuhkan pula amat bertentangan dengan gagasan 1Malaysia yang lebih bersifat menggalakkan dan mendukung usaha ke arah pembentukkan Bangsa Malaysia.

Rujukan:

Ibrahim Ali. (2009). “1Malaysia: Perspektif Generasi Kemerdekaan”. Kertas kerja dibentangkan pada Seminar Kebangsaan 1Malaysia, yang diselenggarakan oleh Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM (Universiti Sains Malaysia) di Putrajaya pada 11 Ogos.

Islar, Mine. (2007). The Current Nation Building Process in Malaysia: A Critical Look at the English-Medium of Instruction Policy. UK: Lund University, Center of East and Southeast Asian Studies Master Programme in Asian Studies East and Southeast Asia Track.

Jurij Hj. Jalaludin. (1991). Wawasan 2020. Kuala Lumpur: Arena Ilmu Sdn. Bhd.

Kamarulzaman Askandar. (2004). The Making of Ethnic & Religious Conflicts in Southeast Asia: Cases and Resolutions. Yogyakarta, Indonesia: Center for Security and Peace Studies, Universitas Gadjah Mada.

Kamarulzaman Askandar. (2007). Promoting the “Peace Dream”: Creating & Supporting the Dream Keepers in Southern Thailand. Pulau Pinang, Malaysia: USM [Universiti Sains Malaysia].

Mansor Mohd Noor [ed]. (2005). Integrasi Etnik di Institut Pengajian Tinggi Awam. Pulau Pinang: Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara.

Mohammad Redzuan Othman. (2006). Sejarah Pembinaan Negara Bangsa: Siri Khas Sastera dan Sains Sosial. Kuala Lumpur: Penerbit UM [Universiti Malaya].

Nik Hassan Shuhaimi Nik Abd Rahman, Mohd Samsudin & Kamaruzaman Yusoff [eds]. (1998).

Prosiding Kongres Sejarah Malaysia II: Sejarah dan Proses Pemantapan Sejarah Bangsa. Kuala Lumpur: PSM [Persatuan Sejarah Malaysia].

PPM [Pejabat Perdana Menteri]. (2009). Booklet 1Malaysia. Putrajaya, Malaysia: Pejabat Perdana Menteri.

Rita Sim. (2010). What it Takes to Make 1Malaysia a Success. Putra Jaya, Malaysia: PPM [Pejabat Perdana Menteri].

Shamsul Amri Baharuddin. (1990). Masyarakat Malaysia yang Membangun. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

1Malaysia: Prakarsa Kesinambungan Usaha Pengukuhan Perpaduan Nasional

SMAHADZIR

SEBAIK sahaja gagasan atau konsep ini dijelma dan disebarluaskan di pelbagai dada media massa perdana negara, pelbagai peringkat masyarakat bercakap tentang 1Malaysia. Di mana-mana sahaja ianya diperkatakan. Ada pelbagai pandangan, spekulasi, pendapat, argumentasi, dijelmakan. Ada yang sengaja memutarbelitkan pengertiannya yang sebenar untuk kepentingan tertentu dan menyedapkan halwa telinga.

Akibatnya sehingga kini masih ramai warganegara yang keliru dan tertanya-tanya apakah definasi sebenarnya gagasan 1Malaysia terutamanya generasi muda termasuk para pelajar sekolah dan universiti. Tidak kurang juga kakitangan kerajaan sendiri yang masih ramai lagi belum faham akan makna gagasan 1Malaysia sebenarnya yang seharusnya sudah fasih dalam diri masing-masing.

Sebagaimana yang sudah mangli ditegaskan oleh YAB Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa gagasan 1Malaysia bukanlah konsep atau formula baru dan matlamat akhirnya ialah perpaduan nasional yang juga merupakan wawasan utama semua Perdana Menteri negara kita terdahulu yang telah diterjemahkan dalam pelbagai rupa bentuk dan jelmaan prakarsa sepanjang lebih lima dekad negara merdeka.

Dalam erti kata yang lain, gagasan 1Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berbilang budaya, berbilang kepercayaan, berteraskan beberapa nilai penting yang seterusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia. Jika dikaji secara mendalam, apa yang berubah adalah pendekatan dan gerak kerja menurut kesesuaian zaman dan generasi yang silih berganti. Begitulah yang harus difahami oleh kita sebagai rakyat Malaysia terhadap gagasan terbaru 1Malaysia cetusan minda YAB Datuk Seri Najib Tun Razak ini.

Sesungguhnya pemimpin yang baik ialah pemimpin yang berpendidikan dan terpelajar, mempunyai visi dan pandangan jauh untuk membina bangsa dan negara. Pemimpin yang dapat mengkosepsikan satu amalan biasa di dalam masyarakat bertujuan untuk menjadikannya satu plan tindakan yang konkrit untuk dilaksanakan sebagai agenda negara, adalah pemimpin yang berwibawa dan dapat mengorak langkah untuk menyusun satu strategi bagi membangunkan bangsa dan negara dalam mencapai kemajuannya.

Di samping mengkonsepsikan sesuatu amalan yang dianggap biasa dan mudah di dalam masyarakat itu, maka pemimpin tersebut juga dapat menginstitusikan konsep tersebut di dalam satu visi dan gagasan yang lebih konfrehensif untuk menjadi agenda perjuangan bangsa. Maka pemimpin tersebut adalah merupakan pemimpin yang cemerlang. Hal inilah yang saya rasa menjadi inspirasi dan pandangan pemimpin kita Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak ketika merangka satu gagasan perjuangan yang hendak dilaksanakannya seperti gagasan 1Malaysia ini.

Gagasan 1Malaysia merupakan satu konsep yang dikonsepsikan oleh YAB Perdana Menteri untuk menjadikannya satu tindakan strategik dalam mewujudkan kesatuan bangsa Malaysia yang terdiri daripada kepelbagaian kaum dan budaya. Konsepnya amat penting seperti yang digagaskan dalam lapan nilai yang menjadi teras gagasan ini, iaitu budaya cemerlang, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti. Nilai-nilai ini semua merupakan amalan baik yang dilaksanakan oleh masyarakat kita selama ini, sama sahaja seperti amalan tolong menolong dan hormat menghormati yang merupakan budaya bangsa Malaysia di kalangan semua kaum dan etnik sejak sekian lama.

Tidak dapat dinafikan bahawa gagasan 1Malaysia merupakan satu usaha yang teratur untuk mengumpul segala nilai dan amalan baik agar dapat difahami oleh semua kalangan dalam masyarakat Malaysia, dan seterusnya dapat menghayati dan merealisasikannya dengan penuh kesedaran demi kepentingan bersama. Generasi yang baru mungkin tidak memahami perjuangan mencapai kemerdekaan dan pengisiannya oleh Perdana Menteri yang pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra bersama-sama dengan rakan seperjuangannya Tun Tan Siew Sin dan Tun Sanbanthan. Mungkin ramai orang muda sekarang tidak mendalami falsafah perjuangan ketiga-tiga pemimpin yang ketika itu mewakili tiga kaum terbesar di tanah air kita, dan yang benar-benar memahami sensitiviti kaum masing-masing, sehingga mereka bertiga terpaksa mengamalkan dasar toleransi yang cukup tinggi untuk menjaga kesepaduan kaum dan bersama-sama membangunkan bangsa dalam semua aspeknya.

Gagasan 1Malaysia diwujudkan berdasarkan kepada konsep keadilan kepada semua. Ini bermakna tidak ada kumpulan yang akan dipinggirkan, dan bantuan serta peluang akan diberikan berdasarkan kepada keperluan dan merit. Namun demikian, hak yang termaktub dalam Perlembagaan tetap akan dipatuhi dan pembangunan pada tahap yang berbeza bagi kumpulan yang berlainan harus diambil kira. Prinsip ‘Rakyat Didahulukan’ bermakna kerajaan akan menumpukan perhatian kepada bidang yang sangat diperlukan dan dikehendaki oleh rakyat dan kerajaan akan mengagihkan sumber yang terhad lebih kepada bidang-bidang itu.

Bagaimanapun, kerajaan akan mengimbangi keperluan jangka masa pendek dengan membuat pelaburan dalam bidang yang akan mendatangkan kesejahteraan dalam jangka masa sederhana dan jangka masa panjang. Dengan ‘Pencapaian Diutamakan’, satu tahap baru telah ditetapkan bagi ketelusan dan kebertanggungjawaban kerajaan. Keberhasilan yang ketara yang dapat dilihat dan dirasai oleh rakyat dan disampaikan dengan serta merta adalah diperlukan.

Kita harus faham bahawa dalam semua perjuangan untuk kesepaduan dan keamanan, terutamanya di dalam negara kepelbagaian kaum dan keturunan, masing-masing kaum tentulah seharusnya sanggup berkorban demi kesejahteraan dan perdamaian, dan menunaikan tanggungjawabnya dengan penuh sedar untuk menjaga kepentingan rakyat keseluruhannya, bukan untuk satu kaum yang tertentu. Bidang-bidang keberhasilan negara yang diinstitusikan untuk mencapai matlamat 1Malaysia juga merupakan satu pelan tindakan yang akan dijalankan bagi mencapai matlamat gagasan tersebut, terutamanya apabila telah dilibatkan beberapa kementerian yang tertentu untuk mengambil tindakan yang sesuai dengan tugas masing-masing dalam merealisasikan matlamat tersebut.

Yang penting bagi rakyat ialah memahami hakikat bahawa segala sesuatu yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara dan perundangannya masih tetap kekal terpakai sebagai sesuatu yang telah diterima oleh semua rakyat. Demikian juga dengan beberapa konsep, seperti kesamarataan, keadilan, hak istimewa, status Raja berperlembagaan dan sebagainya haruslah ditafsirkan dalam konteks yang betul dengan fakta walaupun gagasan 1Malaysia kelihatannya boleh dimengertikan sebagai sesuatu yang mutlak dan mengatasi peruntukan Perlembagaan dan undang-undang. Gagasan 1Malaysia adalah merupakan satu institusi dan mekanisme pelan tindakan untuk pembangunan bangsa dan negara Malaysia yang bersatu.

Sesungguhnya kita berbeza etnik, bahasa, warna kulit, agama dan cara hidup tetapi kita disatukan di bawah langit Malaysia dan sedang berdiri di buminya yang makmur. Demi Malaysia kita sanggup melupakan perbezaan untuk berkongsi nilai yang serupa iaitu kedamaian dan kemakmuran. Di mana bumi Malaysia dipijak di situlah langit Malaysia dijunjung. Kita berbeza dalam banyak perkara tetapi kita berkongsi Malaysia yang satu. Di sinilah kita mencari rezeki, beribadat, belajar dan menikmati hidup dengan aman dan tenteram. Di atas tanah Malaysia nan satu ini kita 1Malaysia hanya ingin hidup aman, bahagia dan sejahtera. Tiada sebarang peperangan dan tiada sebarang kekacauan.

Lantaran itu kita harus sedar dan meyakini bahawa gagasan 1Malaysia bukanlah satu pendekatan yang terpisah daripada dasar-dasar kerajaan sebelum ini, sebaliknya ia merupakan pelengkap kepada pendekatan-pendekatan sedia ada untuk mengukuhkan lagi perpaduan bagi menjamin kestabilan ke arah mencapai kemajuan dan pembangunan yang lebih tinggi bagi rakyat dan negara. Lantaran itu gagasan 1Malaysia dijelmakan sebagai satu formula yang menjadi pra-syarat bagi memastikan aspirasi negara mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 tercapai, jika ia diterapkan ke dalam sanubari rakyat dan diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat.

Jika ‘Bangsa Malaysia’ yang diilhamkan melalui Wawasan 2020 adalah matlamat akhir perjalanan ini, maka gagasan 1Malaysia adalah penunjuk haluan ke arah matlamat tersebut. Perpaduan yang digambarkan oleh gagasan 1Malaysia amat berbeza dengan konsep asimilasi yang diamalkan di negara-negara lain di mana identiti kaum-kaum etnik dilenyapkan dan digantikan dengan satu identiti nasional yang sama.

Gagasan 1Malaysia juga sangat berbeza daripada konsep ‘Malaysian Malaysia’ kerana 1Malaysia tidak menyimpang daripada roh Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang negara sama ada secara tersurat atau tersirat. Gagasan 1Malaysia kekal menjunjung kesemua peruntukan teras yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Oleh yang demikian, janganlah mana-mana pihak berasa khuatir atau menaruh syak serta bimbang bahawa konsep ini akan terpesong daripada apa yang telah dipersetujui dan dimuafakat oleh bapa-bapa negarawan suatu ketika dulu. Sebaliknya, 1Malaysia menghargai dan menghormati identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia, dan menganggapnya sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan.

Gagasan 1Malaysia menekankan sikap ‘penerimaan’ di kalangan rakyat berbilang kaum, di mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain seadanya agar kita dapat hidup bersama dalam keadaan saling hormat-menghormati sebagai rakyat dalam satu negara. Ia adalah peningkatan ketara daripada sikap toleransi semata-mata. Apa yang menjadi asas gagasan 1Malaysia adalah prinsip keadilan untuk semua kaum dan ini bermaksud nasib semua rakyat Malaysia akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan. Keadilan ini mestilah mengambil kira taraf kemajuan kaum-kaum yang berada pada tahap yang berbeza. Oleh itu, dasar-dasar kerajaan dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang memberikan pembelaan kepada golongan yang memerlukannya, akan tetap dilaksanakan.

Gagasan 1Malaysia merupakan penerusan agenda membina negara dan untuk mencapai kemajuan bagi negara, rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu, dan ini dimulakan dengan membentuk sikap penerimaan antara kaum, yang membawa kepada perpaduan yang utuh. Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar.

Formula 1Malaysia yang digagaskan akan terlaksana dalam dua aspek utama iaitu penerapan Teras-Teras Perpaduan, manakala aspek kedua adalah penerapan Nilai-nilai Aspisari. Teras-teras perpaduan ini didokong oleh nilai-nilai murni yang perlu menjadi sebahagian daripada budaya hidup rakyat Malaysia termasuk nilai-nilai seperti hormat-menghormati, tawaduk, kesederhanaan dalam tingkah laku dan tuturkata serta kebijaksanaan dalam sebarang keputusan dan tindakan.

Aspek kedua formula 1Malaysia pula menekankan elemen-elemen yang perlu menjadi amalan mana-mana masyarakat yang ingin berdaya maju dan berjaya. Elemen-elemen itu merangkumi budaya kecemerlangan dalam melaksanakan semua tugas dan tanggungjawab; budaya ketepatan dari segi menghormati waktu serta meningkatkan kecekapan; keberanian untuk berinovasi dan meneroka peluang-peluang baru serta meritokrasi dalam memberikan tugasan kepada yang paling layak melaksanakannya berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan dasar negara.

Selain itu, kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada tanah air tercinta; ketabahan dalam mengharungi sebarang cabaran yang mendatang dan integriti dalam segala urusan dan transaksi. Pembudayaan nilai-nilai aspirasi ini akan menyerlahkan masyarakat Malaysia yang berwibawa, dihormati dan disegani, bersesuaian dengan identiti sebuah negara bangsa yang maju dan berjaya.

Dalam melaksanakan komitmennya terhadap rakyat, kerajaan telah mengutarakan tema ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ sebagai sebahagian daripada konsep 1Malaysia. Tema ini membawa maksud bahawa di samping menekankan peri pentingnya perpaduan rakyat Malaysia, kerajaan juga akan memberikan keutamaan kepada isu-isu yang dianggap penting oleh rakyat. Kerajaan juga menekankan prestasi dan pencapaian oleh semua kakitangannya apabila berurusan dengan rakyat. Dalam kata lain, kerajaan amat memahami betapa pentingnya kecekapan dan kualiti perkhidmatan awam dalam meningkatkan mutu hidup rakyat, justeru itu pendekatan mesra-rakyat akan diberi keutamaan oleh semua agensi-agensi kerajaan.

Sehubungan itu, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) akan digunapakai dalam urusan kerajaan bermula dengan pemantauan KPI bagi semua menteri. Seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri ditugaskan khas untuk memastikan kelancaran pelaksanaan KPI dan menteri berkenaan akan memberi penerangan selanjutnya tentang KPI dan perancangan spesifik yang akan dilaksanakan bagi menterjemah hasrat kerajaan. Segala inisiatif-inisiatif ini diharapkan akan membawa perubahan yang nyata bukan sahaja kepada urusan pentadbiran negara, tetapi lebih penting ia akan membawa penambahbaikan kepada kualiti hidup rakyat Malaysia.

NKRA telah diidentifikasi sebagai bidang utama bagi negara. Ianya mewakili sebuah gabungan keutamaan jangka masa pendek untuk menangani tuntutan terdesak rakyat dan tidak kurang pentingnya isu jangka masa panjang yang memberi kesan kepada rakyat yang memerlukan perhatian kerajaan sekarang. Untuk menunjukkan bagaimana pentingnya NKRA itu, ianya merupakan tanggungjawab bersama Kabinet, dengan akauntabiliti untuk menyampaikan keberhasilan terletak pada menteri peneraju, yang mana mereka ini telah dilantik dan akan dipantau secara formal oleh Perdana Menteri. Kewujudan NKRA bukan bererti bidang lain tidak akan mendapat perhatian. Bidang-bidang yang lain ini akan diliputi di peringkat Menteri dan disebut sebagai MKRA.

Setiap menteri yang berkaitan akan dipertanggugjawabkan untuk menyampaikan keberhasilan masing-masing. Zaman ‘kerajaan maha mengetahui’ telah berlalu. Bagi memastikan yang kerajaan mempunyai ukuran yang tepat dan merasakan bidang apa yang perlu diutamakan untuk rakyat, berbilang sumber input telah dipertimbangkan termasuk undian pendapat rakyat, kaji selidik persepsi, analisis media (alternatif dan aliran perdana), dialog dengan ahli akademik dan pemimpin dari sektor awam dan sektor swasta.

Selepas dibincangkan dengan cermat oleh Kabinet, enam NKRA dan menteri peneraju masing-masing telah diumumkan oleh Perdana Menteri ketika menyampaikan ucapan beliau semasa meraikan 100 hari dalam pentadbiran pada 11 Julai 2009, iaitu: mengurangkan jenayah (diterajui oleh Menteri Dalam Negeri), membanteras rasuah (diterajui oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, bahagian Undang-undang), mempertingkatkan pencapaian pendidikan (diterajui oleh Menteri Pelajaran), mempertingkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah (diterajui oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), mempertingkatkan infrastruktur asas luar bandar (diterajui oleh Menteri Luar Bandar dan Wilayah) dan memperbaiki pengangkutan awam bandar (diterajui oleh Menteri Pengangkutan).

Di atas segalanya, 1Malaysia ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ diyakini akan menjana satu transformasi ketara, ke arah sebuah negara Malaysia yang maju, didokongi oleh rakyat yang utuh perpaduannya dan tinggi martabatnya pada pandangan dunia. Kita harus sedar bahawa matlamat perpaduan kebangsaan tidak akan mampu direalisasikan jika pendekatan ke arah pencapaiannya tidak berpijak di bumi nyata dan bersifat utopia. Mana mungkin juga ia akan berjaya jika mengabaikan sensitiviti dan realiti kontemporari. Sebenarnya, dalam sejarah ketamadunan manusia telah acap kali menyaksikan bagaimana niat baik sahaja tanpa kebijaksanaan yang bersandar kepada realiti telah membuka laluan kepada ketidakadilan.

Dalam aspek pengurusan kemajmukan kaum seperti di Malaysia yang menuntut hemah dan hikmah yang tinggi, seandai dan sekiranya kita tidak berwaspada, sudah tentu akan muncullah sama ada satu suasana rasisme di mana kaum minoriti ditindas oleh kaum majoriti ataupun situasi aparteid di mana kaum minoriti pula akan menindas kaum majoriti. Lantaran itu, kerajaan pimpinan YAB Datuk Seri Najib kini telah mengangkat gagasan 1Malaysia sebagai paksi pentadbiran. Gagasan ini ditunjangi oleh beberapa teras utama antaranya penghijrahan daripada perpaduan yang berpaksikan toleransi kepada yang berlandaskan penerimaan, keadilan sosial dan nilai-nilai dikongsi bersama yang mengambil kira realiti sejarah berpandukan keluhuran perlembagaan serta prinsip rukun negara.

Sejarah telah mencatatkan bahawa semenjak mula para patriot memperjuangkan kemerdekaan tanah air hingga ke hari ini, usaha mencapai perpaduan nasional telah, sedang dan tetap menjadi prioriti utama. Ini kerana semua pihak sedar bahawa tanpa perpaduan yang mantap dan jitu tidak mungkin segala matlamat dan wawasan nasional akan dapat diterjemahkan.

Mantan Perdana Menteri, Almarhum Tunku Abdul Rahman telah mengasaskan penubuhan Parti Perikatan yang merupakan langkah konkrit sulung dalam sejarah negara bagi mencapai perpaduan kaum di bidang politik. Terbukti apabila masyarakat pelbagai ras di bumi tercinta ini bersatu hati, bersatu tekad dan berkongsi matlamat mereka mampu mendaki tembok yang paling tinggi, menuruni lurah yang paling curam dan menyelami lautan yang paling dalam. Perkara ini terbukti apabila negara mencapai kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957 dan tertubuhnya Malaysia pada tanggal 16 September 1963.

Kendati begitu tragedi hitam 13 Mei 1969 pula telah menyentak hati dan perasaan rakyat Malaysia kepada realiti bahawa penyuburan perpaduan nasional tidak boleh dianggap sebagai usaha bermusim sebaliknya ia memerlukan komitmen yang berterusan. Bertitik tolak dari situlah, Allahyarham Tun Razak selaku Perdana Menteri Malaysia Kedua telah pun meluaskan konsep kerjasama antara kaum melalui penubuhan Barisan Nasional termasuklah penggubalan Dasar Ekonomi Baru dan penciptaan ideologi kebangsaan yakni Rukun Negara. Usaha-usaha murni ini telah dilangsungkan oleh Allahyarham Tun Hussein Onn. Kemudiannya prakarsa-prakarsa ini telah dilonjak ke tahap baru oleh Tun Dr. Mahathir melalui konsep Bangsa Malaysia dan Gagasan Wawasan 2020 yang selepas itu dilestarikan pula oleh Tun Abdullah melalui Misi Nasional.

Justeru, wajar dipertegaskan di sini bahawa gagasan 1Malaysia tidak sekali-kali menyimpang daripada roh Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang negara sama ada secara tersurat ataupun secara tersirat. Malahan Kerajaan kekal menjunjung kesemua peruntukan teras seperti Perkara 3, Perkara 4, Perkara 152, Perkara 153, Bahagian 2 dan Bahagian 3 seperti ditintakan dalam Perlembagaan Persekutuan. Oleh yang demikian, janganlah mana-mana pihak berasa gundah-gulana atau menaruh syak wasangka ataupun bimbang bahawa gagasan ini akan terpesong dari apa yang telah dipersetujui dan dimuafakatkan oleh negarawan-negarawan kita suatu ketika dahulu.

Selanjutnya, salah satu teras utama perpaduan adalah keadilan sosial berasaskan kepada pengagihan yang saksama. Untuk hal ini dimanifestasikan, negara memerlukan kepada pertumbuhan ekonomi yang mapan dan dinamik. Lagipun, kekayaan tidak boleh diagihkan jika kek ekonomi tidak tumbuh dan membesar. Lantaran itulah baru-baru ini kerajaan telah membuat kemas kini dan penggubahan kepada dasar-dasar bagi mendepani kemelut ekonomi global. Kerajaan mempunyai tiga matlamat utama iaitu memastikan negara akan mengalami impak yang seminima mungkin kesan kegawatan ekonomi global, berusaha untuk keluar dari kemelut ekonomi dan kewangan yang ada dengan kadar paling pantas dan secara keseluruhan membantu rakyat menangani keperitan hidup yang dialami.

Bagi memastikan matlamat negara untuk berubah dari negara berpendapatan menengah tinggi kepada negara berpendapatan tinggi tercapai, maka kerajaan akan melakukan pembaharuan dan perubahan struktural secara komprehensif kepada ekonomi negara berasaskan satu model baru ekonomi. Model baru ekonomi ini akan menuas kreativiti, menuil inovasi serta menunjang nilai tinggi. Sehubungan dengan itu sebuah majlis penasihat ekonomi telah dibentuk untuk menjayakan hasrat pembentukan model baru ekonomi ini. Dalam mencapai matlamat ini kerajaan akan menimbang semua opsyen termasuklah yang bersifat tidak konvensional dan di luar kotak pemikiran lazim untuk diperhalusi.

Bak kata pepatah Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Maka salah satu inisiatif bagi menjayakannya ialah dengan melihat semula sistem pendidikan negara dengan memasukkan elemen-elemen inovasi, kreativiti, keusahawanan dan nilai-nilai budaya tinggi. Langkah ini diharap akan dapat melahirkan guna tenaga yang akan mampu menghadapi cabaran dan persaingan era ekonomi baru.

Kerajaan juga dilihat begitu komited dengan mengambil langkah-langkah yang jitu bagi merangsang pelaburan terus asing di dalam membantu merealisasikan model baru ekonomi ini. Untuk menjayakan matlamat ini kerajaan telah menyemak kembali dasar-dasar, undang-undang dan peraturan yang sedia wujud bagi memastikan persekitaran pelaburan yang lebih kondusif.

Semoga gagasan ‘1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ ini dapat memberi manfaat kepada seluruh warganegara Malaysia. Marilah kita bersama merealisasikan gagasan 1Malaysia sebagai wadah utama pembangunan negara menuju tahap negara maju pada tahun 2020. Gagasan 1Malaysia yang dicetuskan YAB Perdana Menteri ini adalah sesuatu yang bertepatan dengan kehendak Islam. Sifat kehidupan manusia yang diciptakan oleh Allah s.w.t secara berbeza keturunan, etnik, budaya dan latar belakang secara alami adalah cabaran yang wajib manusia laksanakan untuk mendekatkan diri antara satu sama lain. Manusia perlu berkongsi aspirasi dan keperluan, dan sebahagian keperluan itu tidak terdapat dalam semua orang, maka dari situlah proses perkenalan, perundingan dan persefahaman menentukan arah yang perlu dilaksanakan. Hal ini adalah selaras dengan kandungan Al-Quran, yang menjadi pegangan dan keyakinan utama masyarakat Islam.

Kesimpulannya, gagasan 1Malaysia adalah sebuah gagasan yang dijelmakan sebagai prakarsa kesinambungan usaha pengukuhan perpaduan nasional. Kita wajar bersyukur kerana dikurniakan Allah sebuah kerajaan yang begitu bertanggungjawab terutama dalam usaha-usaha mengukuhkan perpaduan antara kaum di negara kita dengan pelbagai gagasan.

Kendati apa pun dasar dan program pembangunan yang telah digubal, semuanya telah mengarah kepada cita-cita perpaduan merentas kaum dan wilayah sebagai satu integrasi dalam kepelbagaian bangsa Malaysia. Apa yang jelas dengan tuntutan gagasan 1Malaysia ialah bukan sekadar batas fizikal dari sudut geografi dan demografi bahkan ia merangkumi pengertian luas fikiran dan semangat yang menyeluruh.

Kesimpulannya, untuk merealisasikan gagasan 1Malaysia, sekalian rakyat haruslah beriltizam untuk mendaki puncak-puncak yang baru, memecah tembok-tembok prasangka, menyemai bibit-bibit persamaan dan mencipta ramuan-ramuan baru dalam satu saf yang padu bagi membangunkan ‘baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur’ yakni sebuah negara aman makmur lagi dirahmati Tuhan.

Rujukan:

Abdul Rahman Embong. (2001). Negara Bangsa: Proses dan Perbahasan. Bangi, Selangor D.E.: Penerbit UKM [Universiti Kebangsaan Malaysia]

Ahmad Fawzi Basri. (1987). Isu-isu Perpaduan Nasional. Sintok, Kedah: Sekolah Pengajian Asasi UUM [Universiti Utara Malaysia].

Akhbar Utusan Malaysia. Kuala Lumpur: 13 Ogos 2009.

Atan Long. (1984). Pendidik dan Pendidikan. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti.

Awang Had Salleh. (1980). Pendidikan ke Arah Perpaduan. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti.

Berita “Wawasan 2020” dalam akhbar Utusan Malaysia. Kuala Lumpur: 28 Februari 1991.

Fauzi, M. (1987). Isu-isu Perpaduan Nasional. Kuala Lumpur: Penerbit Seasons.

Mahathir Mohamad. (1991). Melangkah ke Hadapan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Miall, H., O. Ramsbotham & T. Woodhouse. (1999). Contemporary Conflict Resolution. UK: Polity Press.

PPM [Pejabat Perdana Menteri]. (2009). Booklet 1Malaysia. Putrajaya, Malaysia: Pejabat Perdana Menteri.

Rita Sim. (2010). What it Takes to Make 1Malaysia a Success. Putra Jaya, Malaysia: PPM [Pejabat Perdana Menteri].

Shamsul Amri Baharuddin. (1990). Masyarakat Malaysia yang Membangun. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Gejala Merempit Mengundang Padah Di Jalan Raya

SMAHADZIR

Sering dilaporkan dalam pelbagai media massa bahawa gejala ’Mat Rempit’ adalah menyebabkan pelbagai kemalangan yang membabitkan nyawa berlaku di jalan raya. Sejak kebelakangan ini pula, kegiatan ‘Mat Rempit’ semakin menjadi-jadi terutamanya di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Ipoh dan Pulau Pinang. Kegiatan ‘Mat Rempit’ ini bukan sahaja telah mengundang pelbagai musibah kepada diri pelakunya, malah membahayakan orang lain.

Walaupun pihak polis sentiasa bertindak tegas, namun aksi berani mati golongan ‘Mat Rempit’ dan aktiviti tersebut tidak pernah berkurangan. Keberanian mereka memperagakan pelbagai gaya sewaktu menunggang motosikal seolah-olah mencabar undang-undang negara dan tidak prihatin langsung kepada nyawa sendiri dan orang lain yang menjadi pengguna jalan raya.

‘Mat Rempit’ dalam konteks masyarakat sekarang merujuk kepada sekumpu-lan pelumba haram yang menjadikan jalan raya sebagai gelanggang untuk menunjukkan kehebatan dan kemahiran menunggang motosikal. Kegiatan yang dilakukan oleh mereka adalah salah di sisi undang-undang negara dan boleh mendatangkan maut jika tersalah langkah.

Kesan utama yang bakal ditanggung oleh ‘Mat Rempit’ ialah kemalangan jalan raya. Perlakuan dan cara pengendalian motosikal yang tidak berhati-hati bakal mengundang padah bukan saja kepada mereka, malah orang awam dan pengguna jalan raya yang lain. Aksi lagak ngeri yang dipamerkan sering menjadi punca kemalangan jalan raya. Lebih malang, kemalangan tersebut sering menjadi penyebab kematian kepada kedua-dua belah pihak.

Menurut kajian, rata-rata mereka yang terlibat dalam gejala ’Mat Rempit’ ini terdiri daripada golongan remaja yang berumur antara 16 hingga 25 tahun. Terdapat juga antara mereka yang masih di bawah umur serta tidak memiliki lesen motosikal yang sah.

Kegiatan ‘Mat Rempit’ yang bermaharajalela di jalan-jalan bandar jelas mengganggu ketenteraman dan keselamatan awam. Dengan deruan bunyi kuat motosikal yang telah diubahsuai, suasana malam yang damai menjadi amat membingitkan telinga warga kota. Bagi warga kota yang mempunyai anak kecil atau bayi, maka sudah pasti yang membingitkan ini mengganggu anak-anak kecil tersebut.

Selain itu, tingkah laku dan bunyi motosikal yang bising ini sudah tentu memberikan gambaran buruk kepada pelancong asing terhadap negara. Tindakan mereka yang mencabar kesabaran dan kewibawaan pihak polis ini juga menjadi asas kepada pengembangan gejala keruntuhan akhlak dan perlakuan jenayah. Di sinilah berkembangnya gejala ‘Minah Bohsia’.

Lebih teruk lagi apabila ada dalam kalangan gadis remaja ini dijadikan ‘habuan’ kepada pemenang dalam sesuatu perlumbaan haram. Selain itu, gejala minum minuman haram turut berleluasa. Ini bermakna, golongan ini bukan sahaja tidak tahu menghormati undang-undang negara tetapi mereka juga tidak takut lagi kepada undang-undang agama.

Secara tuntasnya, kegiatan perlumbaan haram yang sering dikaitkan dengan ‘Mat Rempit’ ini harus dibanteras dengan segera. Ini adalah kerana gejala ini sudah menjadi semakin tidak terkawal dan mendatangkan pelbagai musibah.

Antara sebab golongan ini merempit ialah ingin memenuhi keperluan naluri yang ketagih kepada desakan adrenalin. Ketagihan ini dikatakan jauh lebih kompleks berbanding ketagihan dadah kerana individu yang terbabit akan cenderung untuk melakukan perkara yang lebih berisiko. Contohnya, mereka sanggup menggadaikan nyawa untuk menunjukkan aksi-aksi berbahaya seperti mencangkung di atas motosikal, tidur di atas motosikal dan menunggang motosikal ala ‘superman’. Mereka juga melakukannya hanya untuk keseronokan dan menunjukkan kejantanan mereka. Ketika ini mereka berasa mereka adalah seorang juara yang hebat dan tidak mampu ditandingi oleh sesiapa pun.

Kajian juga mendapati golongan ini kurang mendapat didikan agama dan kasih sayang. Dikatakan bahawa ibu bapa kini asyik membanting tulang empat kerat dalam mencari nafkah atau kemewahan hidup. Mereka alpa akan tanggungjawab hakiki mereka. Mereka lupa bahawa pada peringkat umur antara 16 hingga 25 tahun, anak-anak perlu diberi perhatian yang sewajarnya. Peringkat umur antara 16 hingga 25 tahun ini dikatakan peringkat yang kritikal kerana mereka masih tercari-cari identiti diri yang menyebabkan mereka sering terkeliru dalam menentukan hala tuju hidup yang sebenarnya. Mereka juga kekurangan belaian dan kasih sayang. Hala tuju hidup mereka akan tersasar kerana mereka tidak beroleh bimbingan daripada keluarga. Justeru mereka mencari keseronokan bersama dengan kawan-kawan dengan merempit pada waktu malam. Anak-anak yang kedangkalan kasih sayang daripada ibu bapa akan mendorong mereka terbabit dalam sebarang gejala negatif termasuklah gejala ‘Mat Rempit’.

Kata orang tua-tua, malang tidak berbau tetapi sebenarnya pelumba-pelumba haram ini sengaja menempah maut, ibarat tak ada beban batu digalas. Mereka sanggup menerima apa sahaja risiko. Mereka yang terbabit dalam nahas kemalangan ini ada yang terkorban atau cedera parah dan kemudian menjadi cacat atau lumpuh seumur hidup. Akibatnya boleh menghancurkan masa depan mereka sendiri dan menyusahkan ibu bapa atau penjaga mereka.

Selain itu mereka turut memperjudikan nyawa orang awam yang tidak berdosa termasuklah anggota polis yang bertugas membuat sekatan jalan raya dirempuh sehingga cedera parah dan ada yang meninggal dunia.

Kerajaan amat prihatin dalam menangani gejala ini. Kementerian Belia dan Sukan misalnya telah melancarkan Program Sukan Malam di mana golongan remaja dapat memanfaatkan masa malam mereka dengan kegiatan sukan lasak yang digemari seperti go-kart dan perlumbaan motor di litar yang sah. Juga mengadakan kempen katakan ‘Tak Nak Kepada Lumba Haram’. Kempen yang murni ini perlu disokong oleh semua pihak termasuklah para remaja yang terlibat dengan gejala ’Mat Rempit’. Mereka perlu tampil ke depan bersama-sama berjuang untuk menyedarkan rakan-rakan mereka yang suka merempit di jalan raya.

Ibu bapa juga perlu memantau pergerakan anak-anak mereka, di samping mengesan sebarang perubahan tingkah laku yang wujud sekiranya anak-anak mereka terbabit dalam sebarang gejala negatif. Harus diinsafi bahawa anak-anak ibarat rebung yang masih boleh dilenturkan. Jikalau sudah menjadi buluh tentulah sukar untuk dilenturkan, malah mungkin akan patah. Didikan agama dan moral perlu disemai dalam diri anak-anak sejak kecil lagi supaya dapat menjadi benteng yang kukuh untuk menghadapi sebarang cabaran dan godaan dalam hidup.

Kesimpulannya, gejala merempit telah mengundang pelbagai padah di jalan raya. Lantaran itu, marilah kita buang sikap apati dan enau dalam belukar yang hanya ingin melepaskan pucuk masing-masing. Jadilah diri anda pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara kerana di tangan andalah letaknya masa depan negara tercinta ini.

Kesedaran Masyarakat Tentang Pengurusan Air

SMAHADZIR

Sejarah telah mencatatkan bahawa air telah lama digunakan untuk pembangunan. Ini terbukti dengan wujudnya tamadun-tamadun silam di sekitar sungai yang menjadikan tanah tersebut subur dan dibangunkan. Sebagai contoh, tamadun Mesir di sepanjang Sungai Nil, tamadun China purba di Sungai Kuning dan tidak kurang juga penempatan awal di Tanah Melayu adalah di tepi sungai dan di persisiran pantai.

Namun begitu, dewasa ini kesedaran masyarakat tentang pengurusan air amat membimbangkan. Di samping gagal menguruskan air dengan baik, pelbagai kegiatan yang telah mencemarkan kualiti air juga telah dilakukan oleh masyarakat. Sumbangan besar air terhadap produktiviti ekonomi dan kehidupan harian jarang dihargai walaupun semua kegiatan sosial dan ekonomi bergantung sepenuhnya kepada bekalan dan kualiti air. Antara kegiatan yang telah dikenalpasti mencemarkan kualiti air ialah aktiviti dalam bidang pertanian yang menggunakan racun dan baja kimia, aktiviti dalam sektor penternakan yang menyalirkan najis haiwan ke sungai, aktiviti dalam perindustrian yang melepaskan influen atau sisa kilang, aktiviti dalam sektor pelancongan yang melepaskan sisa kumbahan, aktiviti dalam sektor pengangkutan yang menyebabkan tumpahan minyak dari kapal tangki, aktiviti pembandaran yang menyebabkan peningkatan pembuangan sisa domestik, aktiviti dalam pembangunan yang melibatkan sumber tenaga seperti pembinaan awal empangan hidroelektrik, aktiviti perkembangan sektor perlombongan yang menyebabkan sisa perlombongan dan lain-lain lagi.

Masyarakat harus sedar bahawa sebagai sumber yang sangat bermanfaat, air boleh digunakan bagi melaksanakan pelbagai aktiviti kehidupan. Bagi memenuhi keperluan harian, air digunakan sebagai minuman, mencuci, mandi dan keperluan-keperluan lain seperti membersihkan halaman, persekitaran dan menyuburkan tanaman-tanaman. Usaha memanfaatkan air seumpama ini sudah tentunya dapat meningkatkan taraf kehidupan yang sihat sejahtera dan mengelakkan dari segala kekotoran, pencemaran dan penyakit.

Dalam melaksanakan projek-projek pembangunan, air sangat diperlukan di sektor-sektor pertanian, perikanan, perkilangan dan industri-industri lain. Air juga boleh dijadikan sumber ekonomi seperti menjadikannya sebagai minuman yang dibotolkan atau ditinkan, tambahan kepada jus buah-buahan, pencair, pewarna atau sebagai bahan untuk dibuat kajian saintifik. Malah air juga berguna bagi bahan-bahan konkrit untuk membina rumah dan bangunan.

Dari pelbagai sumber air yang ada di muka bumi ini, air sungai dan laut telah menjadi penyumbang rezeki dan makanan laut yang banyak dan beraneka kepada makhluk bernyawa di muka bumi ini termasuk manusia. Sebagai sumber asli yang meliputi persekitaran, air juga digunakan bagi pengaliran di saluran pembentung-pembentung dan parit-parit serta kawasan tertentu untuk mengelak banjir. Di empangan-empangan air, air juga terus dipelihara dari segi kebersihan, kesihatan dan keselamatannya supaya boleh digunakan. Sebagai air bersih yang terjamin, air digunakan dalam pelbagai cara seperti sebagai pencuci dan membersihkan produk-produk dan hasil-hasil perindustrian dan perusahaan.

Sebagai sumber yang dapat menambah keindahan tempat-tempat rekreasi dan tarikan pelancong, air memainkan peranan penting bagi sesebuah tasik, air terjun atau pantai. Memajukan tempat-tempat seumpama ini bukan saja dapat mengekalkan keindahan alam sekitar yang ada, malah dapat dinikmati bagi memenuhi keperluan dan pembangunan sosio-ekonomi.

Namun begitu, dengan pertambahan penduduk serta kegiatan ekonomi, banyak negara termasuk negara kita akan menghadapi masalah kekurangan bekalan air atau menghadapi pembangunan ekonomi yang sudah hampir batasannya. Permintaan bekalan air semakin bertambah sejak 10 tahun yang lalu dengan kadar 70% - 80% diperlukan untuk penyaliran, kurang daripada 20% untuk perindustrian dan 6% untuk kegunaan domestik. Satu pengurusan menyeluruh bagi air sebagai satu sumber terhad dan terancam dan persepaduan di antara rancangan sektor air dengan program dalam rangka dasar sosial dan ekonomi nasional adalah amat penting.

Hakikatnya, kehidupan manusia yang semakin memerlukan sumber alam telah menjejaskan kualiti air di sesebuah lembangan saliran. Sering didapati kualiti air di sesebuah sungai terjejas kerana mempunyai nilai bio oksygen demand yang tinggi. Kegiatan perindustrian kimia sering membebaskan bahan bertoksid seperti magnesium dan plumbum dan bahan kimia ke dalam air sungai. Kualiti air dari segi kejernihan juga sering terjejas akibat kegiatan perlombongan, pembinaan, pertanian dan pembalakan. Kegiatan tersebut telah melonggarkan lapisan tanah-tanih dan menghasilkan banyak sedimen. Air akan menjadi semakin keruh.

Ekologi akuatik dalam air sungai juga turut terjejas dan musnah. Pencemaran air yang disebabkan oleh pelbagai kegiatan manusia telah membebaskan pelbagai jenis bahan kimia yang telah mengubah isi kandungan kimia, nilai pH dan suhu air. Perubahan yang melampau boleh membunuh hidupan akuatik, flora dan fauna kerana habitatnya telah terjejas.

Kualiti air sungai juga terjejas dari segi warna dan bau. Pelbagai bahan buangan dari kilang memproses hasil keluaran pertanian (bahan kimia), industri makanan dan minuman (bahan pengawit dan perasa), kegiatan domestik (sampah-sarap), kegiatan penternakan (bahan kimia dan hormone) dan pertanian (racun makhluk perosak dan baja kimia) telah menjejaskan warna dan bau air. Air bertukar menjadi warna hitam, berbau dan bertoksik serta tidak sesuai untuk sebarang kegunaan manusia.

Kehadiran kandungan bakteria yang semakin banyak dalam air sungai juga turut menjejaskan kualiti air. Kegiatan penternakan ayam itik dan khinzir serta pembentungan najis yang tidak terkawal dari kawasan petempatan dan perhotelan sering mencemari air sungai dengan pelbagai jenis bakteria seperti escherichia coli, dan taun. Air sungai seperti ini sangat berbahaya untuk kegunaan manusia.

Sesungguhnya, pembangunan jangka panjang bagi air memerlukan pengurusan sumber yang menyeluruh. Masalah besar yang memberi kesan terhadap kualiti air timbul mengikut kepentingan bagi keadaan yang berbeza iaitu dari kumbahan domestik yang tidak terolah dengan sempurna, pelepasan effluen dari industri, kehilangan dan kerosakan kawasan tadahan, penempatan kawasan perindustrian yang tidak dibuat dengan betul, kehilangan hutan, pertanian pindah yang tidak terkawal dan amalan pertanian yang buruk. Ini menyebabkan nutrien dan racun serangga melarut resap. Ekosistem akuatik terganggu dan sumber kehidupan air terancam. Di dalam keadaan tertentu, ekosistem akuatik juga mendapat kesan dari projek pembangunan pertanian sumber air seperti empangan, lencongan sungai, skim pemasangan dan penyaliran air.

Hakisan, pemendapan, kehilangan hutan dan penggunaan telah menyebabkan peningkatan susutan tanah dan menyebabkan kesan buruk terhadap ekosistem. Banyak dari masalah ini timbul dari model pembangunan yang merosakkan alam sekitar dan kurangnya kesedaran orang ramai terhadap pemuliharaan air. Kesan yang boleh diukur ialah kesan ekologi dan kesihatan manusia. Kaedah pencegahan amat perlu bagi mengelakkan kos yang tinggi berikutan langkah bagi membaikpulih sumber air yang rosak, mengolah dan membangunkan bekalan air baru.

Antara langkah-langkah yang boleh dilakukan bagi mengatasi kemerosotan kualiti sumber air ialah penguatkuasaan undang-undang pengawasan atau pemantauan yang teliti serta tindakan tegas termasuk denda dan kompaun, menarik balik lesen operasi dan penjara ke atas mana-mana pihak yang dikenalpasti mencemarkan sumber-sumber air sama ada dari pekilang, penternak, pemilik kapal, orang perseorangan dan sebagainya.

Langkah lain ialah mengawalselia aktiviti pembalakan dan penyahutanan terutamanya di kawasan rizab sungai, kawasan tadahan atau hutan simpan dan sebagainya bagi menjamin sumber air sungai sentiasa bersih dan berterusan. Misalnya kawasan 10 km dari tebing sungai merupakan kawasan rizab atau kawasan penampan yang tidak boleh diusik untuk pembalakan dan penyahutanan.

Selain itu merawat air yang tercemar khususnya akibat sisa kilang dan air kumbahan juga mesti dilaksanakan. Di samping memperbanyakkan loji rawatan air. Menyediakan perangkap sampah yang berkesan untuk membersihkan sungai dari pencemaran sampah-sarap dan melicinkan kadar alirannya. Meningkatkan R&D dan teknologi ke arah yang tidak mencemarkan alam sekitar khususnya sumber air.

Kerajaan juga harus meningkatkan kerjasama serantau bagi mengawal pencemaran laut melalui rondaan bersama, perkongsian teknologi dan kos pemuliharaan atau pembersihan air laut yang tercemar. Termasuk juga melaksanakan kempen dan pendidikan alam sekitar - menyedarkan masyarakat tentang pentingnya air bersih dan menjadi sumber air sebagai penerus kehidupan.

Di samping itu terdapat juga beberapa langkah yang boleh dibuat bagi menyepadukan elemen kualiti air ke dalam pemuliharaan sumber air, antaranya ialah penyelenggaraan persepaduan ekosistem, mengikut prinsip-prinsip pemuliharaan bagi pengekalan ekosistem akuatik termasuk sumber kehidupan dan memelihara ekosistem dengan berkesan dari sebarang bentuk susutan; pemeliharaan kesihatan orang awam, iaitu satu tugas yang memerlukan bukan hanya membekalkan bekalan air minuman yang selamat tetapi juga pengawalan vektor penyakit di dalam alam persekitaran akuatik; pembangunan sumber manusia yang menjadi kunci kepada peningkatan keupayaan dan satu keperluan awal bagi melaksanakan pengurusan kualiti air dan lain-lain lagi.

Alam ini bukan kita warisi daripada nenek moyang tetapi ianya kita pinjam daripada anak-anak masa depan. Masyarakat harus sedar bahawa sungai yang bersih boleh menyumbang ke arah kegiatan ekonomi, aktiviti riadah, industri pelancongan dan keharmonian alam sekitar. Persekitaran sungai yang kemas dan cantik boleh mewujudkan kawasan riadah yang sihat dan menarik. Program pengindahan sungai perlu digandingkan dengan pelaksanaan landskap yang indah dan bersesuaian dengan unsur alam dan tradisi setempat supaya suasana yang tercipta menjadi serasi dan mesra dengan alam persekitaran. Dengan itu kawasan berkenaan akan menjadi tumpuan dan kebanggaan penduduk setempat dan terus dipelihara untuk keperluan bersama.

Bekalan air bersih dan selamat amat penting kepada semua aktiviti kehidupan manusia. Menurut kajian, sebanyak 80% dari semua penyakit dan lebih dari satu pertiga kematian di dunia ini disebabkan oleh pengambilan air tercemar.

Dengan kesedaran bahawa air merupakan sumber yang sangat sensitif kepada pencemaran, maka wajar bagi kita mengambil inisiatif yang perlu bagi menangani sebarang permasalahan yang dihadapi. Salah satu daripada strategi penting bagi memastikan sumber air dijaga oleh semua pihak ialah dengan meningkatkan kesedaran dan kecintaan masyarakaat negara ini terhadap alam sekitar.

Dengan pelbagai usaha yang dijalankan seperti kempen ‘cintai sungai kita’, dan usaha-usaha menerusi media cetak dan elektronik, kita semua perlu disedarkan tentang hubungan akrab antara manusia, alam sekitar dan juga Allah s.w.t. Walaupun keadaan pemuliharaan dan penjagaan alam sekitar terutamanya sumber air yang unggul masih belum tercapai, namun kita tidak boleh berputus asa daripada terus berusaha. Insaflah bahawa nasib generasi akan datang terletak di tangan kita.

Ahad, 8 April 2012

Penginapan Di Glory Beach Resort, Port Dickson Mengeratkan Ikatan Kekeluargaa

SMAHADZIR

Dalam negara kita sendiri masih banyak lagi tempat yang menarik yang boleh kita lawati dalam usaha kita untuk mendamaikan perasaan bersama sanak-saudara atau ahli keluarga. Negara kita kaya dengan tempat-tempat rekreasi keluarga dan serasa penulis masih belum kita terokai sepenuhnya. Sekitar 90 km dari tempat kediaman penulis iaitu Banting, Selangor terdapat sebuah pantai peranginan yang menarik lagi tersohor sejak sekian lama iaitu Port Dickson.

Pantai di Port Dickson yang mendamaikan perasaan dengan sepoian bayu laut Selat Melaka. Suasana pagi di sini masih lengang kerana belum lagi dikunjungi para tetamu untuk berkelah

Begitu sinonim dengan bandar pantai, Port Dickson terkenal sebagai destinasi percutian yang menarik untuk aktiviti bersantai seperti mandi-manda dan berkelah. Keindahan pantainya yang bersih dan pemandangan alam semula jadi memberikan pengunjung seribu satu kenangan manis bersama insan tersayang. Sudah tentu aktiviti sukan air seperti jet ski dan banana boat antara yang menarik untuk dilakukan bersama.

Penulis bersama keluarga dari Kedah di ruang tamu apartement penginapan di Glory Beach Resort, Pantai Tanjung Gemuk

Terdapat beberapa buah pantai peranginan di Port Dickson yang menjadi tumpuan pengunjung dari luar dan dalam negara. Antaranya ialah Pantai Teluk Kemang, Pantai Tanjung Gemuk, Pantai Tanjung Rusa, Pantai Blue Lagoon, Cape Rachado dan lain-lain lagi. Di samping pantai yang indah, terdapat juga beberapa buah kampung yang masih lagi mengekalkan ciri-ciri tradisionalnya. Antaranya ialah Kampung Pasir Panjang iaitu sebuah kampung tradisional kecil yang wajar dikunjungi sekiranya kita hendak melihat ciri-ciri tradisi yang terdapat di sini.

Isteri, anak dan cucu penulis di gigi air Pantai Teluk Kemang

Port Dickson juga merupakan tempat untuk mengadakan pertemuaan keluaarga, mesyuarat, berkelah seisi keluarga, berenang dan sebagainya. Bandar yang paling hampir dengan Port Dickson ialah Lukut. Di Lukut terdapat Kota Lukut yang menempatkan kubu pertahanan warisan Sungai Ujong. Mukim-mukim di Port Dickson merangkumi Si Rusa, Telok Kemang, Pasir Panjang dan Linggi.

Anak dan cucu dengan kucing liar yang ditemui di tepian pantai. Di tengah hiruk pikuk perjalanan hidup manusia ada makhluk Allah yang lain mencelah untuk memohon simpati minta dikasihani.

Port Dickson terletak 32 km dari Seremban dan lebih kurang 90 km dari Kuala Lumpur. Dengan adanya Lebuh Raya Seremban - Port Dickson, hanya 3 jam setengah sahaja dari Singapura. Asal nama Port Dickson diambil sempena nama Sir John Frederick Dickson, seorang pegawai British pada zaman penjajahan British. Nama asal Port Dickson ialah Tanjung atau Tanjung Tin. Ini kerana muka bumi pantainya berbentuk tanjung kecil yang membolehkan kapal-kapal berlabuh. Nama lainnya ialah Arang kerana ada kilang menghasilkan arang di hadapan pantainya.

Isteri dan anak sulung penulis mengambil kesempatan untuk menatih cucu kami belajar berjalan

Pada tahun 1901, kilang Shell didirikan di sini. Shell merupakan syarikat petroleum multinasional berasal dari Belanda. Kilang ini didaftarkan sebagai Syarikat Shell Petrol and Trading dapat menghasilkan 700 liter tan minyak. Keperluan kilang penapisan petroleum amat penting agar Malaysia tidak bergantung kepada minyak dari Pulau Bukom, Singapura. Petroleum mentah diimport dari Arab Saudi, Kuwait, Iraq dan Iran.

Penulis bersama anak isteri dan cucu di tepian pantai Teluk Kemang sedang bersantai sambil menyaksikan gelagat para pengunjung yang riang di gigi air. Bersama ombak yang menerjang lembut, keriangan terbaur bersama bayu laut yang berhubub segar.

Pada tahun 1902 sebuah stesen kereta api telah dibina hingga ke pelabuhan Port Dickson. Kelebihan keretaapi ialah dapat mengangkut barangan secar banyak, pukal dan murah. Contohnya kayu balak, bijih timah, petroleum, kelapa dan lain-lain.

Kali pertama cucu penulis bermain dengan pasir. Ini salah satu aktiviti mengajar anak-anak kecil bersahabat dengan alam. Dalam konteks hubungan dengan makhluk Allah, aktiviti begini boleh menyuburkan rasa kasih kepada alam.

Pada tahun 1933 Port Dickson telah dipilih sebagai penempatan kem Angkatan Tentera Melayu dan Maktab Tentera Persekutuan. Kem ini dinamakan Kem Si Rusa. Manakala pada tahun 1964 pula Esso telah membuka kilang penapisannya sebagai saingan kepada Shell. Ramai warga tempatan telah diambil bekerja di dalam kilang ini.

Pada tahun 1965 Stesen Janaelektrik Tuanku Jaafar Port Dickson telah dibina bagi membekalkan tenaga elektrik. Janakuasa ini menggunakan petroleum sebagai bahan bakar. Janakuasa ini sering disalah anggap sebagai kilang Shell dan kilang Esso. Manakala pada tanggal 1 Disember 1979 Majlis Daerah Port Dickson telah ditubuhkan.

Anak dan cucu sulung penulis di ruang lobi Glory Beach Resort sewaktu menunggu bilik penginapan disediakan oleh pihak pengurusan resort

Sekiranya anda berminat untuk menyelusuri kampung tradisi, anda boleh melawat Kampung Pasir Panjang. Kampung Pasir Panjang berada berdekatan dengan sempadan antara Negeri Sembilan dan Melaka. Malah, laluan jalan raya di kampung ini merupakan laluan jalan raya biasa untuk ke Melaka melalui Port Dickson - Linggi. Walaupun terletak agak pedalaman, perkembangan teknologi tidak pernah dilupakan. Perpustakaan Desa Pasir Panjang menjadi sebuah pusat ilmu tumpuan penduduk kampung. Lokasi Perpustakaan Desa Kampung Pasir Panjang pula terletak di tengah-tengah Pekan Pasir Panjang. Kedudukannya strategik kerana berhampiran dengan sekolah, pasar dan dewan balai raya.

Dari beranda pangsapuri penginapan Glory Beach Resort dapat dilihat kolam mandi

Lokasi yang strategik ini menjadi daya tarikan buat Perpustakaan Desa Kampung Pasir Panjang. Pekan Pasir Panjang bukan sahaja menjadi pusat tumpuan aktiviti masyarakat yang berbilang bangsa. Malah, Perpustakaan Desa Kampung Pasir Panjang ini merupakan pusat ilmu di tengah-tengah pekan. Perpustakaan ini menjadi tempat untuk pelajar sekolah melakukan kerja sekolah dan mencari bahan rujukan. Lazimnya, ia menjadi tumpuan penduduk-penduduk Kampung Pasir Panjang pada waktu petang.

Dari beranda pangsapuri penginapan Glory Beach Resort juga dapat dilihat air laut yang sedang pasang di pinggiran pantai

Untuk pengetahuan para pembaca, Port Dickson atau lebih dikenali dengan nama singkatannya sebagai PD merupakan sebuah bandar pantai dan daerah di Negeri Sembilan yang penulis sering kunjungi bersama anak-anak terutama jika kelapangan. Sudah pelbagai hotel dan resort penulis tumpangi dan boleh dikatakan semuanya berhampiran dengan pantai.

Mengajar cucu bermain dengan air di kolam renang

Jika anda ke Port Dickson, penulis pasti anda tidak akan jemu berada di sini kerana pelbagai aktiviti boleh dilakukan bersama keluarga dalam usaha menyisihkan rasa jelak dan bosan. Jika anda berminat untuk berekreasi di laut, anda boleh memilih jek ski, banana boat atau menaiki bot mengelilingi sekitar persiaran pantai. Di setiap pantai, ada puluhan pengusaha yang menyediakan aktiviti ini untuk anda.

Rekreasi di kolam renang dapat menyegarkan minda dan kesegaran perasaan dari himpitan dan henyakan masalah hidup

Menurut catatan geografi, Port Dickson terletak di tepi pinggir laut, berperanan sebagai pelabuhan untuk import dan eksport minyak, bijih timah, arang dan lain-lain keperluan. Ia ialah kawasan yang kedua terkecil di Negeri Sembilan. Port Dickson menawarkan pantai yang tidak terlalu jauh dari bandar raya untuk para pengunjung sama ada pelancong dari luar atau tempatannya bersantai bersama ahli keluarga.

Penulis turut mengambil kesempatan bermain bersama anak cucu di kolam renang yang disediakan oleh pihak pengurusan Glory Beach Resort

Sekiranya anda ingin menikmati keindahan laut dan pantai, anda boleh beriadah di Tanjung Tuan. Di sini terdapat sebuah pantai yang terkenal iaitu Pantai Teluk Kemang. Pantai Teluk Kemang memang cantik dan ia terletak di Batu 8 dan Batu 7. Keadaan pantainya landai, bersih, pasir putih halus dan dilengkapi dengan kedai makanan, bilik mandi dan tandas serta pondok-pondok rehat.

Kolam yang bersebelahan dengan laut begitu indah suasananya terutama sewaktu hari menjelang petang

Terdapat banyak hotel, chalet dan resort dibina di sekitar pantai Teluk Kemang khususnya malah Port Dickson secara amnya. Antaranya ialah Ilham Resort, Port Dickson Marina, Tanjung Tuan Beach Resort, Guoman, Tiara Resort, Corus Paradise Resort, Glory Beach Resort, Residensi Hotel, Hotel Costa Rica dan Hotel Sri Malaysia. Untuk penginapan keluarga yang besar anda boleh memilih apartement atau pangsapuri yang menyediakan penginapan yang luas beserta ruang tamu, ruang memasak, dua atau tiga bilik tidur dan lain-lain kemudahan sampingan.

Sekali sekala bermesra dengan cucu dapat mengeratkan kasih sayang. Menjelang usia tua begini penulis begitu teruja untuk selalu berehat dan menenangkan perasaan di tempat-tempat begini.

Pada tanggal 7 April 2012, penulis sekeluarga berkesempatan menghabiskan cuti hujung minggu di Port Dickson. Penulis memilih Glory Beach Resort yang terletak di pantai Tanjung Gemuk sebagai tempat penginapan. Penulis menyewa sebuah apartement 3 bilik yang selesa dan luas untuk sekeluarga. Harga sewaannya sekitar RM 350 sahaja semalam.

Suasana riuh rendah dengan suara keriangan para pengunjung terutama kanak-kanak dapat dirasai dengan jelas menggambarkan betapa seronoknya dapat berekreasi bersama keluarga terutama kala musim cuti

Glory Beach Resort merupakan sebuah apartement atau pangsapuri atau hotel tepian pantai bertaraf 4 bintang terletak di Tanjung Gemuk. Resort ini terbentang seluas 10 ekar dan terletak 15 minit dari bandar Port Dickson. Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur berada 40 minit dari sini. Dan dari rumah penulis di Banting, Selangor mengambil masa sekitar satu jam untuk sampai ke sini melalui jalan kampung.

Kolam mandi yang luas, yang membahagikan kepada tiga kawasan iaitu untuk kanak-kanak kecil, kanak-kanak sekolah rendah dan orang dewasa disediakan oleh Glory Beach Resort

Glory Beach Resort mempunyai 269 buah pangsapuri dan dilengkapi dengan kemudahan membuat teh atau kopi, peti sejuk dan televisyen. Hotel atau apartement atau pangsapuri kelas perniagaan ini juga mempunyai televisyen kabel dan internet wayarles berkelajuan tinggi. Semua pangsapuri mempunyai dapur kecil dan ruang tamu atau makan. Kebanyakannya menawarkan pemandangan cantik dan luas Selat Melaka yang mempersonakan. Tetamu boleh memilih pelbagai pilihan tempat makan dan pelbagai aktiviti rekreasi yang ideal untuk golongan dewasa dan kanak-kanak, seperti kawasan barbeku, bola tampar pantai, kolam renang luaran, dua buah restoran dan taman permainan.

Rakaman gambar dari tingkap bilik pangsapuri penginapan Glory Beach Resort

Hotel atau apartement atau pangsapuri ini juga menawarkan gelanggang tenis, mandian wap Turki dan gelanggang skuasy. Perkhidmatan dobi dan urut turut disediakan di atas permintaan. Manakala hidangan masakan antarabangsa dan Asia ada disediakan di Coral Café. Hidangan tempatan dan muzik live ada terdapat di Kokomo Beach Café yang dibuka pada waktu malam.

Isteri, cucu dan ibu penulis di ruang makan di Glory Beach Resort

Bagi penulis, bilik yang luas dan selesa adalah sangat sesuai untuk bersantai bersama keluarga. Kolam renang yang luas terbahagi kepada dewasa dan kanak-kanak juga tidak mengecewakan di Glory Beach Resort ini. Taman permainan untuk kanak-kanak juga memuaskan. Bagi yang gemar aktiviti bermotor, kemudahan trek untuk ATV juga tidak mengecewakan. Sarapan pagi juga disediakan dengan pelbagai jenis makanan sama ada hidangan Barat atau Malaysia. Bagi pengulis, percutian di Glory Beach Resort merupakan suatu pengalaman yang sempurna dan boleh diulangi semula sekiranya ada kesempatan yang lain.

Penulis, isteri, anak dan cucu tidak melepaskan peluang untuk bermandi manda bersama para pengunjung yang lain

Glory Beach Resort menyediakan pangsapuri 2-bilik tidur, pangsapuri 3-bilik tidur dan pangsapuri tiga-bilik tidur dengan akses internet. Polisi-polisi pembatalan dan bayaran pendahuluan berbeza mengikut jenis bilik. Seorang kanak-kanak di bawah umur 12 tahun boleh menginap secara percuma bila menggunakan katil yang sedia ada. Manakala seorang kanak-kanak yang lebih tua atau dewasa akan dikenakan bayaran sebanyak RM 30 setiap malam setiap orang untuk katil tambahan. Kapasiti maksimum katil tambahan di dalam bilik ialah satu. Namun begitu tiada kapasiti bagi katil bayi di dalam bilik.

Seronok juga mengajar cucu berenang

Sebenarnya rancangan untuk berkumpul dengan adik beradik di Port Dickson ini tercetus sewaktu penulis pulang ke kampung di Kedah untuk bertemu dengan ahli keluarga di sana sempena cuti persekolahan bulan Mac yang lalu. Ini bermakna sudah sebulan dibuat, kebetulan pada tanggal 7 April 2012 merupakan hari tamat latihan anak saudara penulis di Kem RAMD Port Dickson. Justeru dapatlah kami berkumpul di Port Dickson di samping dapat menyertai acara tamat latihan di pusat latihan tentera tersebut.

Sepasang ikan arapaima yang terdapat di Glory Beach Resort. Ia dipelihara di sebuah kolam berhampiran dengan kolam mandi.

Selepas menyertai acara tamat latihan di pusat latihan tentera Port Dickson, penulis sekeluarga lebih banyak bersantai di apartement penginapan di samping bermandi-manda di kolam mandi yang disediakan oleh pihak resort. Suasana riuh rendah oleh suara-suara para pengunjung agak menceriakan dan serasa melenyap sejenak segala sesak jiwa.

Apa lagi yang boleh dibuat oleh orang tua seperti penulis selain bermain dengan cucu apabila ada waktu yang terluang.

Percutian bersama ahli keluarga di Glory Beach Resort ini sesungguhnya boleh mendekatkan lagi tali ikatan kekeluargaan. Penulis menyaranklan agar para pembaca yang ingin berehat bersama ahli keluarga, bolehlah memilih Glory Beach Resort ini sebagai tempat penginapan. Harganya berpatutan dan sesuai untuk merealisasikan matlamat bebatan ukhuwah anda.

Port Dickson terkenal sebagai destinasi percutian yang menarik untuk aktiviti bersantai seperti mandi-manda dan berkelah. Keindahan pantainya yang bersih dan pemandangan alam semula jadi memberikan pengunjung seribu satu kenangan manis bersama insan tersayang. Sudah tentu aktiviti sukan air seperti jet ski dan banana boat antara yang menarik untuk dilakukan bersama.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA