Ahad, 5 Februari 2012

Melayu Se-Melayunya

DISELAMI semula oleh pelbagai pihak kini ialah kisah-kisah dari Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu. Antara yang dibaca ialah pidato Profesor Ismail Hussain, ‘Antara Dunia Melayu dengan Dunia Indonesia’ ketika menerima gelaran Doctor Honoris Causa dari Universiti Indonesia, Jakarta pada 15 Disember 1984. Antara sedutannya ialah: ‘Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah merupakan dua karya dari zaman pra-cetakan yang terulung di Tanah Melayu, kedua-dua karya itu berlatar-belakangkan Melaka dalam zaman pra-Kolonial dengan yang demikian kedua-duanya memancarkan cita-cita yang Melayu se-Melayunya.’

Tetapi kedua-dua karya itu tertulis dalam zaman Kolonial, Hikayat Hang Tuah jelas tertulis jauh lebih lewat daripada Sejarah Melayu - jadi kedua-duanya lebih merupakan satu macam ingatan malah satu macam mimpi tentang zaman gemilang Melayu itu.

Bagi kebanyakan anak Melayu di Semenanjung, Sejarah Melayu itu merupakan sebuah dokumen yang membanggakan tentang sejarah dan kebudayaan suku bangsanya, karya itu memberitahu tentang zaman bila Melaka itu seolah-olah menjadi pusat dunia dan bangsawan Melayu di puncak keutuhannya’.

Selanjutnya dicatat bahawa ‘teks Hikayat Hang Tuah tak mungkin ditulis di luar daripada wilayah Melayu ini atau di luar daripada daerah Melayu yang mewarisi secara langsung tradisi dan ingatan dari Melaka’. Lalu dijelaskan lagi: ‘Demikian teks Hikayat Hang Tuah itu diturunkan kepada kita dalam bentuk yang amat gagah - temanya adalah tema kemenangan dan keabadian dan ini agak berbeza dengan nada yang terdapat pada Sejarah Melayu.’

‘Hang Tuah itu ialah wira segala wira, tak pernah kalah, tak pernah derhaka dan tak pernah mati. Kesetiaannya yang luar biasa itu haruslah ditafsirkan sebagai kesetiaan kepada kebudayaan dan tradisi Melayu, bukan sekadar kesetiaan kepada raja. Dan penderhakaan yang dicemuhnya adalah penderhakaan terhadap sejarah dan tradisi bangsa sendiri. Dan dari pusat dunianya di Melaka, Hang Tuah memutar ke seluruh alam, menafikan ruang dan masa.’

‘Dan laungannya ‘Tak Melayu Hilang Di Dunia’ yang jelas didesak oleh ketakutan bawah sedar si pujangga, bergema sehingga abad ke-20 dan kata-katanya itu tetap mengobarkan semangat dalam detik-detik yang gelap bagi suku bangsa Melayu.’

‘Tetapi sejarah telah menyaksikan orang Melayu di Selat Melaka itu, betapa besar pun mimpi serta keazamannya tidak dapat menolak satu demi satu mala petaka melandanya. Masuk abad ke-19, kebanyakan bangsawan Melayu itu hilang segala kekuatannya, seperti terlihat dalam Kisah Pelayaran Abdullah Munsyi, apabila beliau memerikan dengan cukup sinis perihal hidup anak-anak raja di Pantai Timur Semenanjung.’

Demikian antara kandungan pidato Profesor Ismail Hussain berkelulusan Universiti Malaya (UM) dan Universiti Leiden, Belanda. Berikut ini pula penjelasan Dr. Cheah Boon Kheng, mengenai seorang bernama Raja Bongsu.

Ayat pertamanya: ‘Raja Bongsu ialah pemilik dan bukan penulis MS. Raffless No. 18, sebuah manuskrip asli Jawi berjudul Sulalatus-Salatin (Geneologi Sultan-sultan), kini dikenali sebagai Sejarah Melayu atau Malay Annals dalam bahasa Inggeris. Inilah manuskrip yang telah dirumikan dalam bahasa Melayu moden oleh Profesor Madya Abdul Rahman Ismail dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan diterbitkan oleh Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society (MBRAS) pada tahun 1998.

Raja Bongsu yang memberi perintah kepada penulisnya, Tun Bambang dari Patani yang bergelar Seri Nara Wangsa, yang menulis Sejarah Melayu. Dalam prakata buku terbitan tahun 2009 (ulang cetak 2010), Dr. Cheah menyatakan: ‘Ada 32 naskhah atau versi Sejarah Melayu yang berbeza-beza antara satu sama lain yang tersimpan di perpustakaan seluruh dunia, tetapi mengikut sarjana Inggeris R.O Winstedt, naskhah atau MS. Raffles no 18 adalah yang tertua.’

Majlis MBRAS kemudian memutuskan supaya MS. Raffles No. 18 itu dirumikan semula. Usaha tersebut dilakukan selanjutnya oleh Profesor Madya Abdul Rahman. Hasilnya ialah ‘suatu versi rumi yang baik dan sesuai untuk pelajar-pelajar sekolah dan universiti di Malaysia’.

Menurut beliau ‘Raja Bongsu ialah pemilik dan bukan penulis teks MS. Raffles No. 18 dan ia juga bersetuju bahawa naskhah ini merupakan naskhah Sejarah Melayu yang asal dan lebih tua daripada naskhah lain dan Tun Bambang ialah penulisnya.

Seperti yang telah disebut oleh Profesor Ismail, Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah ‘kedua-duanya memancarkan cita-cita yang Melayu se-Melayunya.

Segelintir Rakyat Malaysia Semakin Pentingkan Diri Sendiri

SEINGAT penulis, dasar luar Malaysia sejak azali mengutuk kekejaman rejim zionis Israel merampas tanah rakyat Palestin. Keganasan dan kerakusan Tel Aviv membentuk negara Israel di atas bumi Palestin bukan lagi rahsia malah berlaku secara terang-terangan. Malangnya, dunia hanya mampu melihat tanpa dapat berbuat apa-apa. Apa yang dapat dilakukan hanyalah mengutuk. Itu pun tahap kutukan itu tidaklah sekeras mana sehingga boleh menggelar Israel sebagai terrorist atau pengganas!

Namun penulis percaya, rata-rata rakyat Malaysia mengutuk keras rejim zionis Israel dan bersimpati dengan nasib rakyat Palestin. Justeru apabila seorang pemimpin yang berbangsa Melayu beragama Islam membuat kenyataan menyokong keselamatan `negara’ Israel baru-baru ini, ramai yang kecewa. Mungkin ada yang berpendapat; ‘Apa sangatlah kenyataan itu yang disiarkan dalam sebuah majalah antarabangsa. Asalkan pemimpin itu tak mengutuk perjuangan rakyat Palestin, rasanya tak apa.’

Cakap-cakap seperti ini sebenarnya menyerlahkan sikap tidak ambil kisah dan individualistik kita sebagai rakyat Malaysia. Kita menganggap, ‘Apa sangatlah kenyataan itu...’ sedangkan ia menggambarkan dasar atau hala tuju negara yang hendak dipimpinnya. Kita mengatakan, ‘Asalkan tak mengutuk Palestin... tak apa’ sedangkan ia jelas menyokong keselamatan Israel yang secara tidak langsung mengiktiraf `negara haram’ zionis.

Jika kita berhenti sejenak, renungkan dan selami makna kata-kata itu, tentulah kita dapat berfikir betapa kesan kenyataan itu amat menyedihkan. Bukan nasib rakyat Palestin yang teraniaya hendak dibela sebaliknya kedudukan zionis Israel pula yang sibuk hendak dijaga. Tetapi berapa ramaikah di antara kita yang memikirkan sejauh itu? Penulis percaya ramai yang tak ambil kisah pun mengenainya.

Mungkin ramai yang berfikiran ‘ia tak ada kena-mengena pun dengan Malaysia’. Kita bersimpati dengan nasib rakyat Palestin tetapi setakat itu sahaja. Kita tidak sanggup berkorban sedikit pun waima memboikot produk syarikat yang terbukti bersekongkol dengan rejim zionis. Kita tidak pernah terfikir malah enggan memikirkan langsung bahawa wang yang kita sumbangkan itu mungkin menjadi peluru yang membunuh satu nyawa kanak-kanak Palestin. Asalkan bukan aku, anak aku, keluarga aku atau rakan-taulan aku yang kena, lantaklah.

Sikap keakuan atau individualistik kalangan rakyat Malaysia kini sebenarnya dapat dilihat di mana-mana. Ramai yang merasakan dirinya sahaja yang penting. Di jalan raya atau di mana-mana sahaja, orang ini sentiasa hendak cepat seolah-olah mereka orang paling sibuk di dunia. Ketika kenderaan lain merayap di jalan dan lebuh raya yang sesak, akan ada kereta-kereta `orang penting’ ini yang memotong barisan dengan mencelah di lorong kecemasan.

Dalam keadaan tiada kesesakan jalan raya, orang ini akan memandu selaju-lajunya, menyalakan lampu besar dari jarak sebatu untuk memberitahu pemandu di depan akan kehadiran mereka dan mengekori rapat bumper kereta depan jika tidak cepat-cepat ke tepi memberi laluan kepada mereka. Ketika orang lain berkerumun di hadapan lif, orang ini dengan selamba akan pergi menekan butang (yang sudah pun ditekan) dan berdiri betul-betul di hadapan pintu lif seumpamanya orang lain halimunan.

Janganlah jadi enau dalam belukar yang hanya tahu melepaskan pucuk sendiri. Boleh dikatakan semua biasa melihat matahari tetapi berapa ramai di antara kita yang benar-benar melihat dan menikmatinya? Berapa ramai yang berhenti sejenak melihat keindahan langit yang kemerah-merahan ketika matahari terbenam di ufuk timur – lantas mengagumi kekuasaan-Nya. Rasanya lebih ramai yang menyumpah apabila sinar terang daripada matahari itu menyilaukan pandangan mata dan mengganggu pemanduan kita.

Penulis percaya masih ramai rakyat Malaysia yang tahu bersyukur. Bersyukurlah kerana pancaran matahari yang menyilaukan mata kita di bumi Malaysia bukannya percikan bom dan mortar seperti di sesetengah negara.

Perkembangan Islam Seluruh Dunia

TERNYATA kini banyaknya buku-buku mengenai Islam dalam bahasa Inggeris. Lalu dicatat oleh Profesor John Esposito: ‘Ramai percaya bahawa pada peringkat pertengahan pertama abad ke-21 Islam akan menjadi agama kedua terbesar di Amerika.’

Profesor John Esposito ialah Ketua Editor Oxford Encylopedia of the Modern Islamic World dan The Oxford History of Islam. Menurutnya kira-kira enam juta warga Islam di Amerika kini lebih ramai dari golongan Episcopalian. Lebih 2,100 masjid dan pusat-pusat Islam telah dibina di serata tempat di Amerika, di pekan-pekan kecil dan perkampungan serta bandar-bandar besar. Ini kerana warga Islam telah berada di Amerika sejak abad ke-19 lagi.

Kedatangan mereka dari waktu Columbus termasuk golongan Moriscos (Islam Sepanyol) selain dari hampir 20 peratus hamba abdi Afrika walaupun ada yang kemudian dipaksa masuk agama Kristian. Yang lain ialah warga India dan Arab. Masyarakat Islam paling ramai kini ialah di New York, Boston, Chicago, Los Angeles, Houston, Detroit dan Toledo. Pelbagai hal mengenai kehadiran mereka kian terserlah berikutan peristiwa-peristiwa termasuk revolusi Iran, Perang Teluk Parsi dan peristiwa-peristiwa di Pakistan.

Sementara itu bilangan warga Islam di Eropah Barat telah meningkat daripada 10 hingga 15 juta. Paling ramai ialah di negara Perancis, Jerman dan Britain. Bilangan kecil ialah di negeri Sepanyol, Belanda, Sweden, Denmark, Norway dan Austria. Paling ramai warga Islam di Eropah ialah di negeri Perancis sejumlah lima juta. Masjid-masjid besar telah dibina di Paris dan Lyons.

Bilangan warga Islam di Britain pula hampir dua juta dan lebih 600 masjid telah pun dibina. Berbanding keadaan di Perancis dan Jerman yang ramai warga Islam tidak berhak mengundi dalam pilihan raya, warga Islam dari negara-negara Komanwel mendapat kerakyatan British.

Profesor John Esposito ialah sarjana pengajian Islam dari pengarah pusat persefahaman Islam- Kristian di Universiti Georgetown. Beliau juga mendalami perbezaan di antara golongan Sunni dan Syiah dengan beberapa mazhab imam-imamnya.

Disiarkan dalam akhbar Times, London baru-baru ini ialah iklan jualan apartmen di Mekah dari satu hingga tiga bilik yang dari bilik itu boleh dilihat ke Kaabah. Iklan tersebut untuk makluman warga Islam di Britian, antara lainnya.

Menyertai Profesor Esposito sebagai pakar Islam ialah T. B Irving (Haji Ta’Lin Ali), pentafsir Quran dan Gai Eaton, lulusan Universiti Cambridge dengan bukunya yang berjudul Islam and the Destiny of Man.

Dari dunia timur pula ialah Historical Developments of Islam in China. Antara lain catatan mengenai 35,000 buah masjid di serata negara China. Di ibu kota Beijing saja terdapat 64 buah masjid. Antara masjid paling tua ialah di Guangzhou, selatan China yang dibina pada abad ketujuh. Menurut banci 1990, jumlah warga Islam China lebih 17 juta, tetapi punca-punca lain menyebut jumlah mereka sebenarnya antara 30 hingga 50 juta.

Menurut laporan Wikipedia, agama Islam tiba di negara China melalui seorang yang dihantar oleh Saidina Othman. Perkampungan Islam pertama wujud terdiri dari warga Arab dan para peniaga Parsi. Warga Islam menduduki pelbagai wilayah. Sebilangan kemudiannya menunaikan fardu haji antara abad ke-15 hingga abad ke-18. Bilangan mereka meningkat hingga 10,700 pada tahun 2007.

Menurut laporan pada bulan April 2001, kerajaan menubuhkan Persatuan Islam China untuk membantu menggalakkan pelajaran membaca al-Quran. Ia dikendalikan oleh 16 pemimpin Islam yang ditugas mengawasi pelaksanaan syariah-syariah Islam. Antara keistimewaan yang diluluskan bagi warga Islam ialah yang berikut:

  1. Di daerah-daerah yang warga Islam majoriti, pemeliharaan babi tidak diizinkan.
  2. Tanah-tanah perkuburan khas bagi warga Islam.
  3. Perkahwinan melalui imam dan cuti bagi para pekerja pada hari-hari kebesaran Islam.
  4. Izin untuk menunaikan haji ke Mekah.

Dalam pada itu banyak restoran mengadakan hidangan makanan halal. Dalam bahasa Cina terjemahan perkataan halal ialah qingzhen cai.

Laporan-laporan yang terbit ialah mengenai warga Islam yang minoriti di dunia Barat dan Timur iaitu sebahagian dari para ummah. Jelas bahawa mereka menghadapi ujian, cabaran dan ada kalanya penindasan dengan keteguhan iman.

Melayu Perlu Hijrah Sikap

DI BANGKU universiti dulu saya berminat dalam hal-hal pengguna selalu kena tipu oleh peniaga. Para pembaca juga sepanjang hidup masing-masing tentu pernah berasa ditipu oleh peniaga, lebih-lebih lagi setelah kembali ke rumah dan melihat barang dibeli tidak mencapai keadaan apa yang disangkakan.

Oleh kerana pengalaman seumpama ini, maka saya memandang serong kepada para peniaga, kecil dan besar. Saya berasakan bahawa peniaga sentiasa mencari jalan untuk menipu pelanggannya, walaupun mereka juga adalah pengguna dan turut sering ditipu.

Tidak ada siapa yang boleh melepaskan diri daripada peniaga. Keperluan kehidupan menghendaki seseorang itu menjadi pengguna dan justeru itu memerlukan peniaga. Tambahan pula untuk menyara hidup, semua orang secara langsung dan tidak langsung turut menjadi peniaga. Walaupun makan gaji tentulah syarikat tempat seseorang itu bekerja menjalankan perniagaan. Hatta kakitangan kerajaan juga hidup atas dana cukai yang dikutip daripada dunia perniagaan. Begitu juga dengan badan-badan sukarela, mereka terpaksa juga bergantung kepada dunia komersial. Tidak ada siapa yang dapat melepaskan diri daripada dunia perniagaan.

Justeru pandangan serong terhadap dunia perniagaan yang dilihat sebagai penuh tipu daya menjadikan saya cenderung kepada fahaman negarif. Iaitu sentiasa mencurigai sistem pasaran bebas, kapitalisme dan liberalisme. Tetapi saya sedar bahawa manusia tidak mempunyai pilihan lain untuk mencapai kemakmuran selain daripada melalui dunia perniagaan.

Dalam agama pun, orang Islam diajar bahawa rezeki paling besar adalah dari perniagaan. Tetapi ajaran agama ini disertakan dengan amaran keras terhadap para peniaga yang menipu. Maka dari dahulu saya berpendapat bahawa kerakusan para peniaga mesti diimbangkan dengan gerakan persatuan pengguna. Kalau persatuan pengguna lemah, maka bermaharajalelalah para peniaga.

Justeru saya suka membaca akhbar Utusan Pengguna. Untuk itu saya sekaligus menjadi ahli Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP). Lambangnya adalah dacing sebagai tanda keadilan bagi pengguna. Saya ingat ketika mula Barisan Nasional ditubuhkan, akhbar Utusan Malaysia menyiarkan jawapan kepada persoalan seorang pembaca yang mempertikaikan bahawa lambang BN sebagai meniru logo CAP. Maka disiarkan lambang-lambang itu untuk menunjukkan perbezaan antaranya, walaupun kedua-duanya adalah dacing.

Pada tahun 1999, saya berkesempatan mengenali Presiden CAP, SM Idris di sebuah simposium pengguna di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur. Itulah pertama kali saya bertemu dan mengenalinya dari dekat. Pada tahun 2007 ketika sibuk isu perjanjian perdagangan bebas dengan Amerika Syarikat, SM Idris datang ke pejabat Utusan bersama aktivis ekonomi global, Martin Khor di mana Mingguan Malaysia mengetengahkan hujah-hujah mereka mengenai isu itu.

SM Idris pernah dilihat membaca sebuah buku yang bertajuk The Armies of God. A Study of Militant Christianity karya Iain Buchanan terbitan Citizen International. Saya pernah melihat buku ini di Kedai Buku Popular di Kuala Lumpur tetapi tidak membacanya. SM Idris juga menulis beberapa tulisan tambahan yang ada kaitan dengan pengguna di Malaysia. Penting dan mengejutkan apabila isinya ditelaah.

Buku The Armies of God. A Study of Militant Christianity ini memaparkan pakatan antara golongan sekular dan agama di Amerika Syarikat untuk terus menguasai dunia sebagai lanjutan kepada penjajahan yang dahulu. Dalam pertemuan dengannya, SM Idris menyatakan kehairanannya mengapa akhbar Melayu tidak menjadi akhbar paling untung di negara ini.

Saya kata mungkin orang Melayu bukan bangsa perniagaan. Dunia perniagaan dikuasai oleh kaum bukan Melayu. Justeru tentulah akhbar bukan Melayu yang lebih menguntungkan kerana mereka berisi dengan iklan yang dibeli oleh peniaga. Bukan begitu, kata SM Idris. Bukanlah ahli perniagaan yang menentukan keuntungan. Tetapi para pengguna. Apa yang disebut sebagai pasaran adalah sebenarnya pengguna.

Majoriti pengguna di Malaysia adalah orang Melayu. Perniagaan di negara ini bergantung untung ruginya pada orang Melayu. Sesiapapun yang berniaga di negara ini perlu mendapatkan sokongan pengguna Melayu. Untuk mendapatkannya tentulah melalui iklan. Maka sepatutnya akhbar Melayu yang lebih untung.

Selanjutnya SM Idris memberi dua petua yang mana orang Melayu boleh berjaya dan bukan seperti sekarang di mana bangsa ini dilanda dengan pelbagai masalah. Dua perkara yang menyebabkan orang Melayu lemah dan dikuasai kaum lain ialah rasuah dan pemborosan. Rasuah dan pemborosan ini menjadikan orang Melayu sebagai pengguna yang memberikan kekayaan kepada kaum lain. Kalaulah orang Melayu dapat mengelak diri daripada rasuah dan bersikap jimat cermat, maka ia akan menjadi kuat.

Menurutnya kekuatan ekonomi kaum lain di negara ini antara lain berdiri atas rasuah dan pemborosan orang Melayu. Jadi, saya tertanya-tanya sendiri, mampukah orang Melayu berhijrah sikap?

Stephen Hawking Ibaratkan ‘Tuhan’ Sebagai Kiasan

Stephen Hawking membandingkan otak manusia dengan komputer, suatu ciptaan paling pintar oleh manusia. Namun, komputer masih rendah mutunya dari otak kurniaan Tuhan. Tiada manusia yang boleh mencipta kepintaran otak.

Pada hemat saya, satu-satunya kelemahan Hawking ialah beliau tidak mengenali Tuhan yang mencipta alam semesta.

Demikian kandungan dua pucuk surat para pembaca majalah Time ketika mengulas pelbagai pandangan Stephen Hawking, seorang ahli sains dari Universiti Cambridge yang pernah melawat Malaysia beberapa waktu dahulu dan disambut dengan meriah dan spontan oleh mereka yang kaget dengan kecerdasannya.

Stephen Hawking menjadi professor matematik selama 30 tahun hingga bersara pada tahun 2009. Antara pingat yang diterima olehnya ialah Presidental Medal of Freedom kurniaan peringkat awam paling tinggi di Amerika. Antara bukunya yang paling laris sekali jualannya ialah A Brief History of Time, tetapi menurut pelbagai laporan sorotan buku tersebut hanya segelintir yang membaca sepenuhnya kerana sukar difahami pembaca biasa.

Menurut satu laporan lain, Stephen Hawking menggunakan perkataan ‘Tuhan’ ibarat kiasan saja sambil menyatakan bahawa ‘wujudnya tuhan tidak perlu dijelaskan bersabit kelahiran alam semesta’. Ini antara yang dicatatkan dalam A Brief History of Time itu.

Bekas isterinya, Jane Hawking pernah menyatakan dalam perbicaraan perceraian mereka bahawa Stephen Hawking seorang ateis. Menurut kepercayaan Stephen Hawking ‘alam semesta lahir dari unsur-unsur saintifik’. Beliau disanjungi kerana kepintaran luar biasa dalam ilmu fizik. Beliau beransur-ansur hilang kekuatan menggunakan kedua-dua belah tangan, kaki dan suaranya hingga hampir lumpuh setelah jatuh dari tangga sewaktu belajar di universiti. Kerana kepintaran yang luar biasa, maka beliau dihormati oleh pelbagai pihak.

Juga dilaporkan ialah kepercayaan mengenai adanya makhluk asing di lain-lain bintang siarah. Interaksi dengan mereka mungkin membawa akibat kepada manusia’. Jika makhluk asing mengunjungi kita, akibatnya ialah seperti ketika Columbus dulu mendarat di Amerika, iaitu membawa nasib malang bagi peribumi Amerika’. Yang dimaksudkan ialah mereka yang kemudiannya dipanggil Red Indians.

Menurut laporan lain pula hanya 2.3 peratus penduduk seluruh dunia menganggap diri mereka ateis dan 11.9 peratus lagi di kalangan yang tidak beragama. Selanjutnya dicatatkan: ‘Di Eropah bilangan ateis dan seumpamanya tidak ramai seperti di Poland, Romania, Cyprus dan lain-lain negara. Bilangan mereka 85 peratus di Sweden, 80 peratus di Denmark, 72 peratus di Norway.

Menarik perhatian ialah hal-hal lain yang dihuraikan oleh Profesor Chandra Muzaffar dalam bukunya yang berjudul Exploring Religion in Our Time (Universiti Sains Malaysia Press). Ia berupa cubaan untuk ‘memahami sesetengah isu penting yang muncul di antara agama dan masyarakat sejak beberapa dekad lampau. Apakah peranan agama-agama Buddha, Kristian, Hindu, Islam dan Judaisme dalam pembicaraan umum dewasa ini’.

Antara persoalan: Apakah yang mendorong peralihan kepada peranan agama sebagai saluran untuk reformasi dan bantahan dalam beberapa masyarakat di Asia? Lalu dicatat antara lainnya: ‘Mempertahan identiti Melayu bererti mempertahan identiti Islam dan sebaliknya’.

Juga disentuh ialah sikap Islamophobia yang telah berlarutan selama seribu tahun dan terbitnya buku-buku anti-Islam seperti Satanic Verses atau kartun-kartun mempersenda Nabi Muhammad s.a.w dalam akhbar Denmark serta filem Fitna di negeri Belanda.

Eropah Tidak Akan Wujud Tanpa Islam

TANPA Islam, Eropah tidak akan wujud. Demikian salah sebuah makalah dalam buku yang berjudul Eropah: 50 Fakta Yang Perlu Diketahui. Lalu disebut betapa Islam pada masa lampau memerintah negara Sepanyol selama 800 tahun. Buku Eropah: 50 Fakta Yang Perlu Diketahui ini ditulis oleh Emma Hartley, wartawan dan penulis yang telah bertugas dengan empat buah akhbar bahasa Inggeris - Daily Telegraph, Evening Standard, The Independent dan Times, London.

Sorotan mengenainya bermula dengan kisah Abu Abdullah, Raja Islam yang terakhir di Sepanyol menunggang kuda dan berhenti di puncak sebuah bukit lalu memandang dari jauh bumbung Istana Alhamra. Ia berlaku pada abad ke-15 setelah tenteranya ditewaskan oleh laskar Raja Ferdinand dan Permaisuri Isabella. Wajahnya begitu sedih dan beliau menangis ketika memandang ke arah tempat tinggal nenek moyang yang dulu memerintah Andalusia sebegitu lama. Ibu yang mengiring memarahinya: ‘Menangis, menangislah kau seperti betina kerana kau tak dapat mempertahannya seperti anak jantan.’’

Dalam pelbagai buku dunia Barat, nama yang disebut ialah Boabdil. Para penulis tidak menyebut nama Abu Abdullah. Hal tersebut berupa satu penghinaan. Menurut Emma Hartley, pemerintahan Islam selama 800 tahun itu sesuatu yang ‘terbaik sekali’. Kerana waktu itu Eropah mengalami Dark Ages manakala dunia Islam telah pun memiliki pelbagai perpustakaan yang menyimpan karya-karya sastera, mempraktik ilmu-ilmu kejuruteraan, perubatan dan lain-lain jurusan sains.

Seperti yang ditulis oleh Hartley: In many ways Europe is a product of Islam. Lantas dicatatkan pendapat Dr. Tim Winter dari Universiti Cambridge: ‘Eropah yang kita kenali tidak mungkin lahir tanpa Islam. Bentuk rupa pelbagai bangunan berasal dari tenaga tukang-tukang bina mereka. Pelbagai teknik termasuk pemasangan cermin-cermin jendela yang cantik berasal dari mereka juga. Begitu juga pelbagai jenis kain, permaidani, pembikinan kertas tulis, pembinaan hospital-hospital serta buku-buku teks perubatan dalam bahasa Arab.’

Dr. Winter juga menyebut peranan Thomas Aquinas yang mengembangkan falsafah Barat: ‘Beliau menyebut tokoh yang dipanggil dengan gelaran The Philosopher, iaitu Aristotle dan pengarah The Commentator iaitu Ibni Rushd yang menulis pelbagai pendapat Aristotle. Lihat saja tingkah-laku pembesar Inggeris bila bangun pagi lalu minum kopi yang berasal dari Turki. Kakinya melangkah permaidani Turki atau Parsi. Beberapa ekor kuda kepunyaannya dibawa sejak abad ke-18 dari negara Arab. Jika sembahyang di gereja ia melakukannya dalam bangunan besar ciptaan idea dunia Islam’.

Seperti yang telah dicatatkan dalam buku sejarah, Sepanyol ditawan semula oleh golongan Kristian pada tahun 1492. Warga Yahudi dan Islam kemudian dipaksa menukar agama mereka. Kerana itu ramai membawa diri ke negara-negara lain termasuk di Afrika Utara, Mesir dan Turki. Berlaku kemudiannya adalah Spanish Inquisition. Yang dicurigai keteguhan agama, mereka disiksa dan jika sabit kesalahannya maka dibakar hidup-hidup.

Abu Abdullah (Boabdil) meninggal dunia di Afrika Utara dalam satu perjuangan lain. Mengenai nasib malangnya dikatakan: ‘Ia menjadi korban dalam satu perjuangan lain sedangkan dulunya ia mengelak maut dalam perjuangannya sendiri.’

Pemberontakan berlaku di kalangan rakyatnya kerana ia berunding untuk menyerah-kalah kepada Ferdinand dan Isabella. Juga menjadi bahan cerita adalah catatan seorang sejarawan Barat yang bertajuk: Naik dan jatuhnya syurga dunia: Manakala Arab dan Yahudi bersama membina negara di Sepanyol. Lalu diceritakan: ‘Manakala Tuhan mengisi tempat-tempat kosong di alam semesta, Al-Andalus memohon lima kurniaan - langit biru, lautan cantik penuh dengan ikan, pohon-pohon buahan, wanita-wanita cantik dan sebuah kerajaan yang adil. Kesemuanya dikurniai kecuali yang terakhir. Sebabnya, jika yang lain-lain dikurnai beserta sebuah kerajaan yang adil, maka Andalusia akan menyaingi syurga’.

Disebut antara lainnya adalah pengaruh Arab dalam muzik flamenco Sepanyol. Lalu muncul muzik Hispano-Arab. Tidak ada paksaan dalam pemerintahan Islam bersabit agama. Menurut laporan Ayan Bayaumi, seorang penulis Mesir dalam sebuah akhbar Amerika, warga Islam di Britain telah meningkat hingga 1.6 juta, di Itali satu juta dan di negara Perancis antara 4 hingga 5 juta.

Lain negara, lain kisah, dugaan dan cabaran. Namun, ada kalanya penulis bukan Islam membela mereka.

Bali Dan Tarian Pendet

SMAHADZIR

HEBOH dan menggegarkan apabila ada segelintir rakyat Indonesia yang berarak dan mengadakan tunjuk perasaan di Kedutaan Malaysia di Jakarta dengan alasan Malaysia telah mengambil budaya Indonesia tanpa kebenaran. Kononnya banyak lagi kesenian dan kebudayaan milik Indonesia yang telah diambil oleh Malaysia termasuk caklempong, batik, angklung, kompang, bongai, barongan, kuda kepang dan macam-macam lagi. Tambah semarak apabila ada seorang pemimpin pembangkang yang pergi ke sana dan turut menyokong penunjuk-penunjuk perasaan tersebut. Maka api yang tadinya hanya membara di dalam sekam mulai menyala. Ada penunjuk perasaan yang nak bunuh orang Malaysia yang ada di sana. Akibatnya bersembunyilah orang Malaysia kerana takut dibunuh. Kesihan...

Tetapi masih ramai orang Malaysia yang terus melancong ke Indonesia tanpa takut dibunuh terutamanya Bali, sebuah pulau peranginan yang indah. Antara yang menarik begitu ramai pelancong ke Bali ialah pelbagai tarian aslinya hingga ada pengunjung dari dunia Barat menulis buku mengenainya. Magis, kata mereka. Lalu tukang catat ini menulis kembali salah satu catatan berkenaan dalam bahasa Inggeris. Berikut terjemahannya dalam bahasa Melayu: ‘Tangisan orang-orang, tangan yang terjulur ke atas, hilangnya peranan-peranan individu dan melodi nyanyian yang terputus-putus, memperkuatkan pengaruh magisnya. Suara itu seperti esak tangis burung, ratapan orang yang kesepian, pekik orang yang mencapai orgasme, riuhnya orang berkelahi.’

Diskripsi yang berbunga-bunga bunyinya itu diulangi setelah membaca laporan mengenai tarian Pendet mencetuskan sentimen dan insiden anti-Malaysia.

Seperti yang telah dinyatakan oleh Menteri Luar, Datuk Anifah Aman, Malaysia telah pun menerima penjelasan pihak Discovery Channel mengenainya dan penjelasan itu juga telah disampaikan kepada kerajaan Indonesia dan mereka menerima penjelasan tersebut. Beliau menegaskan bahawa Malaysia tidak pernah mengakui tarian Pendet sebagai tarian Melayu dan ia adalah kesilapan pihak Discovery Channel. Menurut Anifah lagi, beliau juga telah membuat penjelasan dalam pertemuannya dengan rakan sejawat dari Indonesia, Hassan Wirayuda.

Seperti yang diakui, Bali adalah satu-satunya pulau di Indonesia yang memelihara budaya Hindu. To have preserved a predominantly Hindu culture intact, demikian disebut dalam bahasa Inggeris. Dengan demikian tidak mungkin tarian Bali diakui sebagai tarian Melayu yang Islam. Renungan beralih ke Tampaksiring, di Bali ke sebuah istana yang reka bentuknya diatur oleh Presiden Sukarno. Ia terdiri di atas sebuah bukit dan jauh di bawah ialah sebuah kuil berumur ratusan tahun yang dikatakan dibina pada suatu malam oleh dewa Hindu.

Pemandangan di sekitarnya indah sekali dengan barisan demi barisan tanaman padi di lereng bukit serta pohon-pohon kelapa yang daun-daunnya melambai-lambai dipukul angin. Keseluruhannya seperti gambaran simfoni keindahan alam. Dan seperti kata seorang petani ala Hindu kepada tukang catat ini: ‘Pada malam hari adanya kami hampir boleh mencapai bintang-bintang di langit.’

Di istana tersebut Sukarno dilaporkan kadangkala berulang-alik dari Jakarta untuk mendapat ilham bagi pidato-pidatonya kepada rakyat. Laporan bersambung pada tahun 1971 manakala berlangsung perhimpunan sebilangan ramai wartawan Asia, termasuk dari India, Sri Lanka, Jepun, Filipina, Singapura, Thailand dan Malaysia. Salah satu sesi membincangkan topik Indonesia, Dreams and Disappointments. Ia bermula dengan tokoh wartawan Indonesia, Mochtar Lubis (allahyarham) menyeru supaya jangan dihebohkan lagi kisah-kisah ‘tante girang’ dan ‘oom senang’ atau ‘bapa senang’ yang kaya (happy uncles, happy aunties, happy daddies) mengejar keseronokan hidup. ‘Memang ada yang melakukannya tetapi saya tidak percaya mereka itu mencerminkan generasi yang ada di Indonesia.’

Ingatan lain beberapa waktu selanjutnya disampaikan oleh seorang wartawan lain dan juga pengajar dari Universitas Indonesia, bernama Masimar Magiang, menulis dalam majalah Tempo: ‘Wartawan membicarakan banyak hal, menyangkut orang banyak. Kerana itu, banyak yang harus dilakukan, mulai dari penataran, pengaturan, bredel sampai aksi kekerasan. Dunia tidak pernah bebas dari persoalan ini. Dalam masa yang panjang, kebebasan akhbar dan hak publik mendapatkan informasi jadi topik perdebatan.’

Seperti yang telah dikatakan oleh sesetengah para pembaca pula ada kalanya sesuatu yang sengaja dirahsiakan dan tidak disiarkan oleh akhbar sama penting atau lebih penting daripada hal-hal yang disiarkan. Apabila menulis mengenai tarian, antara yang mendapat perhatian di Malaysia ialah peranan Ramly Ibrahim yang meminati pelbagai tarian India, termasuk yang gerak-gerinya begitu menarik dan klasik. Tidak timbul soal mencuri tarian atau mencuri lagu. Menemani beliau dalam tarian-tariannya ialah warga India dan juga Cina.

Syukur bahawa hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia kian pulih, umpamanya Kumpulan Utusan Melayu dan Maybank terus mengumpul Derma Nusantara bagi yang menjadi mangsa gempa bumi, ledakan gunung berapi atau banjir. Sementara itu lebih 10,000 (termasuk 4,000 di Jakarta) wanita Indonesia telah mendaftar nama dengan agensi-agensi pekerjaan negara mereka untuk mendapat peluang bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia.

Seperti yang telah dilaporkan dalam Mingguan Malaysia, alasan mereka berkaitan dengan adat, budaya, bahasa, agama serta gaya hidup tidak jauh berbeza dengan di Indonesia. Mereka akan menyertai lebih 1.8 juta warga Indonesia yang berada di Malaysia.

Dari aspek sejarah ialah pengajaran daripada hal-hal yang berlaku masa lampau, antaranya sejarah pemerintahan Nazi Jerman yang merasa dirinya begitu perkasa hingga berangan-angan mahu berkuasa selama 1,000 tahun. Tetapi, pemerintahan mereka hanya hidup selama 12 tahun saja.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA