Ahad, 5 Februari 2012

Eropah Tidak Akan Wujud Tanpa Islam

TANPA Islam, Eropah tidak akan wujud. Demikian salah sebuah makalah dalam buku yang berjudul Eropah: 50 Fakta Yang Perlu Diketahui. Lalu disebut betapa Islam pada masa lampau memerintah negara Sepanyol selama 800 tahun. Buku Eropah: 50 Fakta Yang Perlu Diketahui ini ditulis oleh Emma Hartley, wartawan dan penulis yang telah bertugas dengan empat buah akhbar bahasa Inggeris - Daily Telegraph, Evening Standard, The Independent dan Times, London.

Sorotan mengenainya bermula dengan kisah Abu Abdullah, Raja Islam yang terakhir di Sepanyol menunggang kuda dan berhenti di puncak sebuah bukit lalu memandang dari jauh bumbung Istana Alhamra. Ia berlaku pada abad ke-15 setelah tenteranya ditewaskan oleh laskar Raja Ferdinand dan Permaisuri Isabella. Wajahnya begitu sedih dan beliau menangis ketika memandang ke arah tempat tinggal nenek moyang yang dulu memerintah Andalusia sebegitu lama. Ibu yang mengiring memarahinya: ‘Menangis, menangislah kau seperti betina kerana kau tak dapat mempertahannya seperti anak jantan.’’

Dalam pelbagai buku dunia Barat, nama yang disebut ialah Boabdil. Para penulis tidak menyebut nama Abu Abdullah. Hal tersebut berupa satu penghinaan. Menurut Emma Hartley, pemerintahan Islam selama 800 tahun itu sesuatu yang ‘terbaik sekali’. Kerana waktu itu Eropah mengalami Dark Ages manakala dunia Islam telah pun memiliki pelbagai perpustakaan yang menyimpan karya-karya sastera, mempraktik ilmu-ilmu kejuruteraan, perubatan dan lain-lain jurusan sains.

Seperti yang ditulis oleh Hartley: In many ways Europe is a product of Islam. Lantas dicatatkan pendapat Dr. Tim Winter dari Universiti Cambridge: ‘Eropah yang kita kenali tidak mungkin lahir tanpa Islam. Bentuk rupa pelbagai bangunan berasal dari tenaga tukang-tukang bina mereka. Pelbagai teknik termasuk pemasangan cermin-cermin jendela yang cantik berasal dari mereka juga. Begitu juga pelbagai jenis kain, permaidani, pembikinan kertas tulis, pembinaan hospital-hospital serta buku-buku teks perubatan dalam bahasa Arab.’

Dr. Winter juga menyebut peranan Thomas Aquinas yang mengembangkan falsafah Barat: ‘Beliau menyebut tokoh yang dipanggil dengan gelaran The Philosopher, iaitu Aristotle dan pengarah The Commentator iaitu Ibni Rushd yang menulis pelbagai pendapat Aristotle. Lihat saja tingkah-laku pembesar Inggeris bila bangun pagi lalu minum kopi yang berasal dari Turki. Kakinya melangkah permaidani Turki atau Parsi. Beberapa ekor kuda kepunyaannya dibawa sejak abad ke-18 dari negara Arab. Jika sembahyang di gereja ia melakukannya dalam bangunan besar ciptaan idea dunia Islam’.

Seperti yang telah dicatatkan dalam buku sejarah, Sepanyol ditawan semula oleh golongan Kristian pada tahun 1492. Warga Yahudi dan Islam kemudian dipaksa menukar agama mereka. Kerana itu ramai membawa diri ke negara-negara lain termasuk di Afrika Utara, Mesir dan Turki. Berlaku kemudiannya adalah Spanish Inquisition. Yang dicurigai keteguhan agama, mereka disiksa dan jika sabit kesalahannya maka dibakar hidup-hidup.

Abu Abdullah (Boabdil) meninggal dunia di Afrika Utara dalam satu perjuangan lain. Mengenai nasib malangnya dikatakan: ‘Ia menjadi korban dalam satu perjuangan lain sedangkan dulunya ia mengelak maut dalam perjuangannya sendiri.’

Pemberontakan berlaku di kalangan rakyatnya kerana ia berunding untuk menyerah-kalah kepada Ferdinand dan Isabella. Juga menjadi bahan cerita adalah catatan seorang sejarawan Barat yang bertajuk: Naik dan jatuhnya syurga dunia: Manakala Arab dan Yahudi bersama membina negara di Sepanyol. Lalu diceritakan: ‘Manakala Tuhan mengisi tempat-tempat kosong di alam semesta, Al-Andalus memohon lima kurniaan - langit biru, lautan cantik penuh dengan ikan, pohon-pohon buahan, wanita-wanita cantik dan sebuah kerajaan yang adil. Kesemuanya dikurniai kecuali yang terakhir. Sebabnya, jika yang lain-lain dikurnai beserta sebuah kerajaan yang adil, maka Andalusia akan menyaingi syurga’.

Disebut antara lainnya adalah pengaruh Arab dalam muzik flamenco Sepanyol. Lalu muncul muzik Hispano-Arab. Tidak ada paksaan dalam pemerintahan Islam bersabit agama. Menurut laporan Ayan Bayaumi, seorang penulis Mesir dalam sebuah akhbar Amerika, warga Islam di Britain telah meningkat hingga 1.6 juta, di Itali satu juta dan di negara Perancis antara 4 hingga 5 juta.

Lain negara, lain kisah, dugaan dan cabaran. Namun, ada kalanya penulis bukan Islam membela mereka.

Bali Dan Tarian Pendet

SMAHADZIR

HEBOH dan menggegarkan apabila ada segelintir rakyat Indonesia yang berarak dan mengadakan tunjuk perasaan di Kedutaan Malaysia di Jakarta dengan alasan Malaysia telah mengambil budaya Indonesia tanpa kebenaran. Kononnya banyak lagi kesenian dan kebudayaan milik Indonesia yang telah diambil oleh Malaysia termasuk caklempong, batik, angklung, kompang, bongai, barongan, kuda kepang dan macam-macam lagi. Tambah semarak apabila ada seorang pemimpin pembangkang yang pergi ke sana dan turut menyokong penunjuk-penunjuk perasaan tersebut. Maka api yang tadinya hanya membara di dalam sekam mulai menyala. Ada penunjuk perasaan yang nak bunuh orang Malaysia yang ada di sana. Akibatnya bersembunyilah orang Malaysia kerana takut dibunuh. Kesihan...

Tetapi masih ramai orang Malaysia yang terus melancong ke Indonesia tanpa takut dibunuh terutamanya Bali, sebuah pulau peranginan yang indah. Antara yang menarik begitu ramai pelancong ke Bali ialah pelbagai tarian aslinya hingga ada pengunjung dari dunia Barat menulis buku mengenainya. Magis, kata mereka. Lalu tukang catat ini menulis kembali salah satu catatan berkenaan dalam bahasa Inggeris. Berikut terjemahannya dalam bahasa Melayu: ‘Tangisan orang-orang, tangan yang terjulur ke atas, hilangnya peranan-peranan individu dan melodi nyanyian yang terputus-putus, memperkuatkan pengaruh magisnya. Suara itu seperti esak tangis burung, ratapan orang yang kesepian, pekik orang yang mencapai orgasme, riuhnya orang berkelahi.’

Diskripsi yang berbunga-bunga bunyinya itu diulangi setelah membaca laporan mengenai tarian Pendet mencetuskan sentimen dan insiden anti-Malaysia.

Seperti yang telah dinyatakan oleh Menteri Luar, Datuk Anifah Aman, Malaysia telah pun menerima penjelasan pihak Discovery Channel mengenainya dan penjelasan itu juga telah disampaikan kepada kerajaan Indonesia dan mereka menerima penjelasan tersebut. Beliau menegaskan bahawa Malaysia tidak pernah mengakui tarian Pendet sebagai tarian Melayu dan ia adalah kesilapan pihak Discovery Channel. Menurut Anifah lagi, beliau juga telah membuat penjelasan dalam pertemuannya dengan rakan sejawat dari Indonesia, Hassan Wirayuda.

Seperti yang diakui, Bali adalah satu-satunya pulau di Indonesia yang memelihara budaya Hindu. To have preserved a predominantly Hindu culture intact, demikian disebut dalam bahasa Inggeris. Dengan demikian tidak mungkin tarian Bali diakui sebagai tarian Melayu yang Islam. Renungan beralih ke Tampaksiring, di Bali ke sebuah istana yang reka bentuknya diatur oleh Presiden Sukarno. Ia terdiri di atas sebuah bukit dan jauh di bawah ialah sebuah kuil berumur ratusan tahun yang dikatakan dibina pada suatu malam oleh dewa Hindu.

Pemandangan di sekitarnya indah sekali dengan barisan demi barisan tanaman padi di lereng bukit serta pohon-pohon kelapa yang daun-daunnya melambai-lambai dipukul angin. Keseluruhannya seperti gambaran simfoni keindahan alam. Dan seperti kata seorang petani ala Hindu kepada tukang catat ini: ‘Pada malam hari adanya kami hampir boleh mencapai bintang-bintang di langit.’

Di istana tersebut Sukarno dilaporkan kadangkala berulang-alik dari Jakarta untuk mendapat ilham bagi pidato-pidatonya kepada rakyat. Laporan bersambung pada tahun 1971 manakala berlangsung perhimpunan sebilangan ramai wartawan Asia, termasuk dari India, Sri Lanka, Jepun, Filipina, Singapura, Thailand dan Malaysia. Salah satu sesi membincangkan topik Indonesia, Dreams and Disappointments. Ia bermula dengan tokoh wartawan Indonesia, Mochtar Lubis (allahyarham) menyeru supaya jangan dihebohkan lagi kisah-kisah ‘tante girang’ dan ‘oom senang’ atau ‘bapa senang’ yang kaya (happy uncles, happy aunties, happy daddies) mengejar keseronokan hidup. ‘Memang ada yang melakukannya tetapi saya tidak percaya mereka itu mencerminkan generasi yang ada di Indonesia.’

Ingatan lain beberapa waktu selanjutnya disampaikan oleh seorang wartawan lain dan juga pengajar dari Universitas Indonesia, bernama Masimar Magiang, menulis dalam majalah Tempo: ‘Wartawan membicarakan banyak hal, menyangkut orang banyak. Kerana itu, banyak yang harus dilakukan, mulai dari penataran, pengaturan, bredel sampai aksi kekerasan. Dunia tidak pernah bebas dari persoalan ini. Dalam masa yang panjang, kebebasan akhbar dan hak publik mendapatkan informasi jadi topik perdebatan.’

Seperti yang telah dikatakan oleh sesetengah para pembaca pula ada kalanya sesuatu yang sengaja dirahsiakan dan tidak disiarkan oleh akhbar sama penting atau lebih penting daripada hal-hal yang disiarkan. Apabila menulis mengenai tarian, antara yang mendapat perhatian di Malaysia ialah peranan Ramly Ibrahim yang meminati pelbagai tarian India, termasuk yang gerak-gerinya begitu menarik dan klasik. Tidak timbul soal mencuri tarian atau mencuri lagu. Menemani beliau dalam tarian-tariannya ialah warga India dan juga Cina.

Syukur bahawa hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia kian pulih, umpamanya Kumpulan Utusan Melayu dan Maybank terus mengumpul Derma Nusantara bagi yang menjadi mangsa gempa bumi, ledakan gunung berapi atau banjir. Sementara itu lebih 10,000 (termasuk 4,000 di Jakarta) wanita Indonesia telah mendaftar nama dengan agensi-agensi pekerjaan negara mereka untuk mendapat peluang bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia.

Seperti yang telah dilaporkan dalam Mingguan Malaysia, alasan mereka berkaitan dengan adat, budaya, bahasa, agama serta gaya hidup tidak jauh berbeza dengan di Indonesia. Mereka akan menyertai lebih 1.8 juta warga Indonesia yang berada di Malaysia.

Dari aspek sejarah ialah pengajaran daripada hal-hal yang berlaku masa lampau, antaranya sejarah pemerintahan Nazi Jerman yang merasa dirinya begitu perkasa hingga berangan-angan mahu berkuasa selama 1,000 tahun. Tetapi, pemerintahan mereka hanya hidup selama 12 tahun saja.

Bahasa Melayu Di Jepun

SEBILANGAN orang Jepun mula belajar bahasa Melayu 100 tahun lalu, demikian menurut Moriyama dalam sebuah esei. Buku pertama terbit pada awal 1900-an dan kini jumlah pelbagai buku dan kamus Melayu lebih dari 200 buah. Beliaukan mencatat hal tersebut ketika mengisahkan perjalanan Marquis Yoshichika Tokugawa (1886-1976), seorang pembesar Jepun yang disebut sebagai pelopor pelajaran bahasa Melayu di negeri Jepun setelah menjelajah Semenanjung Tanah Melayu dan Pulau Jawa. Beliau kemudian menjadi ketua Muzium Singapura dan Botanical Gardens semasa Perang Pasifik.

Esei tersebut terbit dalam buku yang berjudul Lost Times and Untold Tales from the Malay World (NUS Press Singapore 2009). Lalu disiarkan gambar salah sebuah buku pertama bahasa Melayu itu yang terbit pada tahun 1912, berjudul Marai-go Dokusyu, lengkap dengan tulisan Jawi.

Moriyama mulanya bercerita mengenai sebilangan kecil warga Jepun merantau ke negeri-negeri sebelah selatan kepulauan Jepun. Antara mereka ialah peniaga-peniaga kecil dan juga pelacur. Sebilangan dari mereka berjaya memiliki ladang-ladang getah dan ada juga yang melabur dalam industri bijih timah. Kerana itu pengetahuan bahasa Melayu digalakkan.

Seperti yang dicatatkan oleh Moriyama: ‘Bahasa Melayu menjadi bahasa terpenting kerana digunakan secara meluas di negeri-negeri yang dijajah oleh Inggeris dan Belanda.’ Lalu, antara yang mula terbit ialah kamus dwibahasa Melayu dan Jepun. Pada peringkat permulaan disiarkan seruan: ‘Marilah kita pergi ke Selatan’. Pada peringkat persekolahan pula bahasa Melayu diajar bagi kali pertama pada tahun 1908 di dua buah sekolah di Tokyo.

Moriyama menambah: ‘Oleh kerana tiada guru Jepun boleh mengajar bahasa Melayu di sekolah maka guru-guru Melayu dipelawa datang ke negara Jepun untuk mengajar bahasa Melayu. Mereka mungkin menggunakan bahasa Inggeris ketika menyampaikan pelajaran. Sekurang-kurangnya lima orang guru Melayu datang dari Semenanjung Tanah Melayu untuk mengajar para pelajar Jepun di Tokyo.’

Lantas disebut nama salah seorang dari mereka iaitu Bachee bin Wan Chik (atau Bachik bin Wan Chik) yang kemudiannya menyusun sebuah kamus dwibahasa Melayu-Jepun. Beliau mengajar selama 19 tahun dan kemudian dikurniakan bintang kehormatan kerana sumbangannya itu.

Antara buku pelajaran Melayu yang paling laris ialah Marai-go yon shu-kan (Bahasa Melayu Dalam Empat Minggu) yang terbit pada tahun 1937. Ia diulang cetak hingga 30 kali. Turut menyusun buku tersebut ialah Marquis Yoshichika Tokugawa bersama gurunya Sumitake Asakuri, seorang professor bahasa Melayu di Universiti Tokyo.

Pelajaran bagi dua hari pertama ialah bunyi sesuatu perkataan dan perbezaan antara sebutan bahasa Melayu dan bahasa di negeri-negeri yang dijajah oleh Belanda. Pelajaran bagi hari ke-24 ialah bagaimana mahu menggunakan perkataan-perkataan seperti alkisah, arakian, sa-bermula. Pelajaran bagi hari ke-27 dan 28 mengandungi cerita-cerita dari Hikayat Pelandok, Dari Hal Tuan Raffles Hendak Pulang dan Pantun Melayu.

Pada satu peringkat lain diperturunkan kata-kata mengenai harimau: ‘Untung sekali sahaya sudah lihat harimau lebih dulu dia lihat sama sahaya dan dengan satu peluru boleh sahaya matikan dia.’ Kata-kata tersebut ialah dari Marquis Tokugawa yang gemar memburu beruang dan harimau.

Menurut yang empunya cerita, Marquis Tokugawa akhirnya memilih Tanah Melayu dan Pulau Jawa kerana kegemarannya itu. Juga diceritakan betapa beliau menjalin hubungan mesra dengan Sultan Ibrahim Negeri Johor setelah bersama-sama memburu. Dalam surat menyurat kedua menggunakan tulisan Jawi.

Pada 7 Februari 1929, dalam surat Sultan Ibrahim dari Istana Pasir Pelangi di Johor Bahru. Baginda menulis: ‘Sahabat saya Marquis Tokugawa.’ Selanjutnya pujian dari baginda pada Tokugawa kerana menggunakan bahasa Melayu yang baik.

Marquis Tokugawa memang menyedari pentingnya bahasa Melayu ketika perantauannya di Tanah Melayu dan Jawa. Hubungan mesra dengan Sultan Ibrahim mendorongnya mempelajari bahasa Melayu yang baik dan tulisan Jawi kerana dalam surat Sultan Ibrahim disebut mengenai warga kulit putih juga belajar bahasa Melayu, tetapi mereka lebih gemar menulis rumi.

Seperti yang diketahui semasa pemerintahan tentera Jepun di Malaysia selepas tewasnya tentera Inggeris dan Belanda, bahasa Jepun (Nippon-go) diajar di sekolah-sekolah yang dulu mengajar bahasa Inggeris.

Perhambaan Di Afrika Selatan

MASA lampau negara lain: Cara-cara mereka berbeza. Hanya satu dua peristiwa lebih luar biasa dalam masa 100 tahun lalu dari penjajahan dan kebebasan benua Afrika.

Demikian dicatatkan dalam buku yang berjudul Colonial Africa oleh A.J Christopher yang menceritakan betapa satu demi satu negara Afrika dahulu menjadi jajahan takluk kuasa-kuasa Barat, antaranya Portugis, Sepanyol, British, Perancis, Jerman, Belgium dan Itali. Berperanan penting ialah tokoh-tokoh politik, bala tentera dan para pentadbir pihak-pihak penjajah. Ada kalanya beberapa tokoh politik yang berperanan itu tidak pernah pun mengunjungi negara-negara yang mereka jajah.

Mulai abad ke-19 hanya kira-kira 25,000 warga kulit putih berada di Afrika. Bilangan itu meningkat hingga 2.2 juta menjelang tahun 1911. Mereka juga membawa masuk orang-orang India untuk menjadi buruh pelbagai perusahaan. Lalu disebut: Mereka diambil untuk kontrak kerja selama lima tahun dan disambung selama lima tahun lagi, iaitu menggantikan kepulangan ke India, atau mendapat sebidang tanah untuk terus bermastautin di Afrika.

Kebanyakan memilih untuk terus bekerja walaupun hanya sebilangan kecil saja mendapat tanah yang dijanjikan oleh pemerintah kulit putih. Sementara itu ramai sekali warga kulit hitam Afrika dicolek dan dihantar ke benua Amerika untuk menjadi hamba abdi. Mereka bekerja di ladang-ladang milik kulit putih di wilayah-wilayah selatan Amerika. Seperti catatan sejarah perang saudara berlaku kemudiannya di antara wilayah-wilayah selatan dan utara Amerika. Yang menang ialah pihak utara dan sistem hamba abdi kulit hitam beransur-ansur hapus.

Seorang ahli sejarah, Simon Schama kemudiannya mengulangi tulisan radikal seorang warga Inggeris yang bernama Thomas Day pada tahun 1976 seperti berikut: ‘Sungguh mengarut seorang Amerika yang patriotik menandatangani resolusi menuntut kemerdekaan dengan tangannya, tetapi sebelah tangan lagi menghayun cemati ke arah hamba-hamba abdinya’.

Penjajahan oleh kuasa-kuasa Eropah ke atas negara-negara Afrika di dorong oleh kepentingan-kepentingan ekonomi. Masing-masing bertindak dengan cara sendiri. Terlibat ialah bala tentera, para pentadbir, para peniaga, pemburu, para peladang, pelombong dan mereka yang mahu bermastautin. Juga terlibat ialah pengembang- pengembang agama Kristian. Kerana itu kemudiannya ramai yang memeluk agama Kristian. Sebelum itu telah pun merebak ke perkampungan-perkampungan Islam di Afrika Utara, Afrika Tengah dan lain-lain wilayah.

Bilangan warga Eropah sendiri di Afrika meningkat hingga enam juta pada tahun 1960. Seramai satu juta lagi ialah pendatang-pendatang dari Asia. Juga paling ramai ialah warga kulit putih di Afrika Selatan, antaranya dari negara Belanda yang mempunyai jajahan takluk di nusantara Indonesia, waktu itu dipanggil Duth East Indies. Bilangan kulit putih meningkat hingga 4.8 juta di Afrika Selatan.

Warga peribumi kulit hitam dipisahkan dari penduduk kulit putih, terutama di kawasan-kawasan perbandaran. Juga disebut: ‘Pendatang-pendatang bangsa Asia pula didesak supaya kembali ke negara masing-masing. Jika tidak, mereka diasingkan. Tiada yang bukan kulit putih boleh memiliki tanah’.

Dijelaskan lagi ialah keadaan di Afrika Utara. Pada tahun 1911 sejumlah 900,000 warga Eropah bermastautin di Algeria dan Tunisia. Selepas Perang Dunia Pertama (1914-1918) Maghribi menerima kedatangan 600,000 warga Eropah. Dengan itu Afrika Utara milik Perancis mempunyai 1.9 juta warga Eropah.

Di Tunisia pada tahun 1911 seramai lebih 46,000 warga Perancis, kurang dari bilangan warga Itali seramai 88,182 orang. Hampir dua pertiga penduduk Eropah di Tunis ibu kota Tunisia ialah warga Itali. Namun, akhirnya Algeria dan Tunisia mencapai kemerdekaan.

Mendapat perhatian ialah tindakan Belanda menggunakan ‘hamba abdi warga Asia’ di Afrika Selatan sejak tahun 1659. Pihak berkuasa Dutch East Indies Company mengambil keputusan untuk menggunakan hamba abdi Asia dari jajahan takluknya (Indonesia).

Dicatatkan pada bahagian akhbar buku Colonial Africas ialah kenyataan berbeza oleh Raja Baudouin, raja Belgium penjajah Congo: ‘Bandar-bandar besar telah dibina dan keadaan perumahan baik sekali’. Patrice Lumumba (mendiang), Perdana Menteri Republik Congo pula berkata: ‘... di pelbagai bandar rumah-rumah yang cantik ialah milik kulit putih dan pondok-pondok usang untuk si kulit hitam’.

Menjadi bahan-bahan berita dewasa ini ialah negara-negara Afrika yang merdeka berlaku kemelut politik, demonstrasi atau rusuhan, rampasan kuasa, perlantikan presiden yang tewas dalam pilihan raya antara lainnya. Itu semua adalah pertembungan sesama sendiri.

Nasib Umat Islam

ADAKALA ulang tahun peristiwa bersejarah mengulangi tuntutan maaf. Demikian halnya yang dilaporkan antara lainnya oleh akhbar Times, London. Tajuk beritanya ‘Moors want an apology after 400 years: Expulsion ‘first ethnic cleansing of Europe.’ Moors ialah panggilan bagi orang Islam di Sepanyol yang mereka perintah selama hampir tujuh abad hingga tewas kepada bala tentera Raja Ferdinand dan Permaisuri Isabella pada tahun 1492. Warga Moors itu berasal dari Maghribi.

Laporan bermula mengenai sikap Sepanyol masih keberatan untuk memohon maaf kerana apa yang berlaku masa lampau. Cerita bersambung: ‘Empat ratus tahun dulu hari ini (9 April) Raja Philip menandatangani perintah untuk mengusir 300,000 Moriscos – masih sedikit Islam - yang dulu Islam. Selama lima tahun berikutnya beratus ribu orang mati setelah diusir dari rumah mereka di Sepanyol ke Afrika Utara ketika memuncaknya tindakan Inquisition pihak Sepanyol.’

Menurut laporan tersebut, sebilangan penulis Islam dan aktivis Sepanyol serta Maghribi berpendapat bahawa telah tiba masanya pihak berkuasa Sepanyol memohon maaf. Ulang tahun peristiwa masa lampau itu menandakan kesekian kali hubungan tidak begitu mesra di antara Sepanyol zaman moden dengan pihak Maghribi atau warga Islam umumnya.

Selepas kemenangan Ferdinand dan Isabella ‘beratus ribu warga Islam yang terus bermastautin di Sepanyol dipaksa masuk agama Kristian tetapi ramai yang terus menggunakan nama-nama Islam dan mengamalkan cara hidup Islam. Menurut para sejarawan, beratus mati manakala dipaksa pindah ke Afrika Utara selama lima tahun berikutnya setelah Raja Philip mengeluarkan perintah menghalau mereka pada 9 April 1609.

Demikian berapa catatan masa lampau. Seperti juga disebut semasa pemerintahan Islam di selatan Sepanyol tidak ada pun kaum lain, Kristian atau Yahudi, dipaksa masuk agama Islam. Jatuhnya pemerintahan ialah kerana perpecahan di kalangan orang Islam sendiri, umpamanya di antara Boabdil dengan Grenada. Pemberontakan berlaku di kalangan rakyat terhadap Boabdil kerana berunding menyerah kalah kepada Ferdinand dan Isabella.

Menurut yang punya cerita, Boabdil kemudiannya berundur dari wilayah pemerintahannya. Ia singgah di lereng sebuah bukit yang diberi nama The Last Singh Of The Moors lalu menangis. Ibunya yang marah dengan sikap beralahnya lalu menyindir: ‘Kau menangis seperti perempuan kerana tidak mempertahankan sesuatu seperti seorang lelaki.’

Boabdil meninggal dunia dalam satu pertempuran di Afrika Utara. Mengenai dirinya dikatakan: ‘Beliau mati dalam satu perjuangan lain, tetapi takut mati dalam perjuangan diri sendiri.’

Mengenai negeri al-Andalus yang pada beberapa ketika begitu indah ialah cerita berikut: ‘Ketika Tuhan mengisi kekosongan di bumi al-Andalus, lima permohonan diajukan - langit terang benderang, lautan indah yang penuh dengan ikan, pokok-pokok dengan pelbagai buah-buahan, para wanita yang cantik dan sebuah kerajaan yang adil. Kesemua, kecuali yang terakhir dikurniai oleh Tuhan. Sebabnya, yang lain-lain itu dikurniakan juga kerajaan yang adil, maka Andalusia mungkin menyaingi syurga.’ Kisah ini dibawa oleh seorang penulis Barat. Tajuknya: The Rise and Fall of Paradise: When Arabs and Jews built a kingdom in Spain.

Dari Andalusia yang permai lahirnya muzik flamenco, kerana adanya campur-aduk muzik Sepanyol dan Arab. Seperti kemudian dicatat: Flamenco lahir ketika Arab, Yahudi dan Kristian bermesra satu sama lain. Dalam keadaan masa kini bilangan warga Islam telah merebak di beberapa negara Eropah: 1.6 juta di Britain, satu juta di Itali, 4 hingga 5 juta di Perancis (kira-kira 7 peratus daripada jumlah penduduk).

Di Britain sebuah pertubuhan hak asasi Islam di London menyebut tentang 344 tindakan ganas anti-Islam selepas peristiwa 11 September 2001. Di Itali beberapa orang tokoh politik, termasuk Perdana Menteri Silvio Berlusconi melafaz kenyataan anti-Islam. Ada yang berkata pendatang Islam ‘bahaya’ bagi negara Itali. Di Perancis pula wanita Islam bertudung menjadi masalah. Hal yang sama juga berlaku di negeri Jerman.

Apakah akan berlaku lain-lain hal terhadap warga Islam. Apakah juga nanti akan wujud sesuatu yang menyamai Alhambra di Sepanyol?

Sikap Prejudis Cerdik Pandai Terhadap Islam

PELBAGAI buku mengenai Islam oleh penulis-penulis Barat terbit dewasa ini. Masalahnya ialah yang menulis itu bukan Islam dan timbul tanda tanya betapa sahihnya aspek-aspek Islam yang dihuraikan. Antara yang terkenal ialah Profesor Bernard Lewis yang dianggap sebagai pakar Asia Barat. Menurut Wikipedia, beliau kerap diminta memberi nasihat oleh pihak-pihak atasan yang menentukan dasar kerajaan, termasuk pentadbiran Presiden George Bush dahulu.

Lalu disebut mengenai tiga buah buku yang ditulis olehnya selepas peristiwa 11 September: What Went Wrong? The Crisis of Islam dan Islam: The religion and the people.

Profesor Bernard Lewis ini berketurunan Yahudi yang lahir di London. Semasa Perang Dunia Kedua beliau berkhidmat dalam Angkatan Tentera British, termasuk pasukan perisik. Beliau melanjutkan pelajaran di Amerika dan menjadi warga Amerika sejak 1982.

Pernah dicatatkan debat antara beliau dengan sarjana Edward Said, keturunan Palestin yang mengajar di Universiti Columbia, New York. Debat berkisar pendirian Profesor Bernard Lewis sebagai ‘orientalis’’ Barat di dunia Arab. Tetapi Said dalam satu temuramah dengan akhbar Al-Ahram memberitahu: ‘Bernard Lewis tidak pernah pun menjejakkan kakinya di Asia Barat dan dunia Arab selama 40 tahun. Beliau tidak tahu apa jua pun mengenai dunia Arab.’

Sebaliknya pula ahli sejarah Amerika, Joel Beinin menganggap Profesor Bernard Lewis ini sebagai penyokong utama Zionis. Juga disebut kenyataan bekas Naib Presiden Amerika, Dick Cheney: ‘Pada abad baru ini, kearifannya diselami oleh penentu dasar kerajaan, para diplomat, sarjana-sarjana lain dan pihak media berita.’

Profesor Bernard Lewis ini juga dianggap tokoh pertama yang melahirkan istilah ‘fundamentalisme Islam’ di Amerika dan mendorong seorang lagi sarjana Amerika, Samuel Huntington menulis mengenai pertembungan antara pelbagai agama, termasuk antara Islam dan Kristian.

Profesor Bernard Lewis berhujah bahawa Asia Barat kini keciciran dan ia berlaku akibat budaya dan agama yang dianuti. Dalam bukunya Muslim Discovery of Europe, beliau menyatakan pendapat bahawa masyarakat Islam tidak boleh bersaing dengan dunia Barat dan ‘kejayaan Perang Sabil dahulu adalah kerana kelemahan pihak Islam.’

Tetapi tidak pula disebut betapa Saladin atau Salehuddin Al-Ayyubi (1137-1193), panglima tentera Islam akhirnya menawan Baitulmuqaddis setelah menewaskan pihak lawan. Salehuddin Al-Ayyubi juga telah mengalahkan Perang Sabil kali ketiga yang diketuai oleh King Richard dari England pada tahun 1190-1192.

Dalam salah satu bukunya mengenai agama Islam Profesor Bernard Lewis menulis: ‘Mereka yang kafir, hamba abdi dan kaum wanita berada pada peringkat rendah daripada pihak-pihak lain, demikian menurut Islam’.

Satu lagi perbicaraan mengenai aspek-aspek prasangka buruk adalah sikap Ezra Pound (1885-1972), pujangga Amerika yang anti-Yahudi. Sebagai contoh adalah sajaknya yang berjudul The Cantos. Karya tersebut memberi gambaran buruk sekali mengenai budaya dan bangsa Yahudi.

Menurut laporan, beliau cuba menyekat Amerika menyertai Perang Dunia Kedua dan memerangi Nazi Jerman yang dituduh membunuh enam juta orang Yahudi. Dari tahun 1940 hingga 1942, Ezra Pound berucap melalui radio dari bandar Rome menyebelahi diktator Itali, Mussolini.

Seperti dicatatkan kemudiannya: ‘Beliau berkali-kali membuat kenyataan ketika berjuta-juta orang Yahudi sedang dibunuh oleh pihak Nazi, bagaimanakah karya sajaknya itu boleh dianggap sebagai karya agung?

Ezra Pound didakwa sebagai penderhaka kemudiannya oleh kerajaan Amerika ketika menetap di Rome. Beliau ditangkap pada tahun 1945 dan ditahan di pusat tahanan selama enam bulan. Selama 25 hari beliau dikurung dalam sangkar besi dan hampir gila. Beliau meninggal dunia pada tahun 1972.

Seperti dilaporkan akhbar Inggeris, Ezra Pound ‘was sane and unashamed Fascist to last’ setelah tiga tahun lamanya membuat kenyataan melalui radio menyokong rejim Fasis di Itali dan rejim Nazi Jerman, keduanya pemerintahan diktator yang zalim dan kejam.

Ternyata bahawa sarjana, penulis ulung atau cerdik pandai juga tidak terlepas daripada cengkaman prejudis terhadap pihak-pihak lain. Jadi, kita orang Islam kena berhati-hati apabila membaca karya-karya yang ditulis oleh orang bukan Islam yang selalunya penuh dengan prejudis terhadap Islam.

Adab Jadi Biadab Dalam Internet

SETIAP pagi, nikmat seorang penulis ialah membaca akhbar harian. Sambil minum teh atau kopi dan beberapa keping roti Gardenia di ruang kerja hadapan komputer, maka dilahapnya semua akhbar harian yang boleh dibacanya: Utusan Malaysia, Berita Harian, The New Straits Times, The Star, Sinar Harian, Harian Metro, Kosmo, The Sun, The Edge, Financial Daily dan The Malaysian Reserve.

Tiga puluh tahun lalu, akhbar-akbar yang dilahap setiap hari ialah Utusan Malaysia, Utusan Melayu, Berita Harian, The New Straits Times, The Straits Echo, The Malay Mail, Bintang Timur, Warta Teberau dan Business Times. Sebahagian akhbar itu sudah tidak ada lagi. Tetapi sepanjang 30 tahun lalu, ada akhbar harian yang muncul tetapi tidak mampu bertahan. Mereka ialah Harian Nasional, Harian Kota, Harian Watan, The National Echo dan The Leader.

Walaupun kini ramai anak muda tidak membaca akhbar harian, tetapi mereka memperoleh berita daripada akhbar-akhbar yang sama juga, tetapi dari atas talian: Utusan Online, Berita Harian Online, NST Online, Star Online, MStar, Metro Online, Kosmo Onlie, Sun Online dan The Edge Online. Dua portal berita yang mereka tatap ialah Malaysiakini dan Malaysian Insider.

Selagi akhbar-akhbar itu ditulis dan disunting oleh orang profesional, bermaksud di sini, mereka yang mendapat latihan untuk menulis dan kemudian dibayar gaji untuk menulis atau menyunting, maka penggunaan bahasanya adalah lebih kurang bernada baik, tertib dan bersopan. Maknanya dalam tulisan itu tidak adalah memberi gelaran buruk pada orang, memaki hamun, apatah lagi mencarut atau menggunakan perkataan-perkataan yang kesat.

Tetapi dengan munculnya internet dan laman-laman web biasa yang boleh memaparkan apa saja tanpa kekangan media berlesen, maka mulalah orang awam disuap dengan tulisan dan komen-komen yang hanya berisi dengan maki hamun dan sumpah seranah, memberi gelaran buruk, mencarut dan menggunakan kata-kata yang kesat. Keadaan ini berlaku kerana ramai orang yang menulis tidak mampu mengungkapkan pemikiran dan perasaannya. Apabila mereka tidak berupaya mengemukakan hujah secara jelas dan teratur, maka apa yang dilakukan hanyalah memaki hamun.

Fenomena ini boleh dikatakan bermula pada tahun 1999 ketika berlakunya krisis ekonomi dan politik di negara ini. Timbul laman-laman web yang menentang kerajaan pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Kerana tidak berupaya untuk berhujah secara jelas dan bersopan, maka mereka sering menggunakan kata-kata yang kesat. Siapa yang tidak ingat tentang laman web yang bernama Mahazalim dan Mahafiraun. Tulisan-tulisannya bukan saja dangkal dari segi hujah, atau sarat dengan fitnah dan hasutan, tetapi bahasa yang digunakannya juga amat kesat dan menghina.

Dari situ keadaan bertambah parah dengan munculnya blog dan kini laman sosial seperti facebook. Ramai orang mengalu-alukan perkembangan baru ini dan menyatakan bahawa ruangan siber telah membebaskan suara dan pemikiran rakyat. Maka sebab itulah, kata mereka tarikan kepada akhbar tradisional semakin merosot. Buat apa orang ramai hendak membaca akhbar kalau mereka boleh mendapat banyak maklumat dan pandangan daripada laman web, portal berita, blog dan laman sosial secara percuma.

Tetapi mungkin penulis adalah tergolong dalam generasi lama, iaitu baby boomers atau generasi yang lahir lepas Perang Dunia Kedua dan bukannya generasi X, Y dan Z, sebab itu, nikmat membaca masih datang daripada bahan-bahan cetak iaitu akhbar, majalah dan buku. Tetapi sebagai penulis yang masih giat menulis buku, tentulah penulis sentiasa membaca apa yang dipaparkan dalam alam siber.

Internet membuka dunia yang luas kepada semua orang. Untuk itu penulis dapatlah membaca akhbar-akhbar dunia yang bermutu tinggi seperti The New York Times, Wall Street Journal, The Times of London, The Guardian, The Independent dan sebagainya secara atas talian setiap hari. Tidakkah dunia ini lebih luas berbanding 30 tahun lalu di mana bacaan dalam bahasa Inggeris hanya terhad kepada The New Straits Times dan The Star sahaja.

Tetapi apabila membaca bahan bahan-bahan berita dalam alam siber Malaysia yang meliputi portal berita, laman web, blog dan facebook, maka rasa tidak selesa yang amat ketika menatapi komen dan posting daripada orang ramai. Orang kata bahan bacaan tempatan termasuk di alam siber bermutu rendah berbanding daripada bahan-bahan bacaan dari negara-negara maju. Tetapi lebih buruk dan bersifat sampah adalah komen-komen pembaca dalam laporan-laporan itu.

Sememangnya ada pembaca yang berupaya mengungkapkan hujah-hujahnya seperti seorang penulis profesional, tetapi kebanyakan daripada mereka hanya tahu memaki hamun, memberi gelaran pada orang lain, menghina, tidak kira lagi memfitnah dan menuduh melulu. Mencarut dan menggunakan kata-kata kesat adalah lumrah dalam internet.

Mungkin orang akan kata bahawa inilah harga kebebasan bersuara dan membaca melalui internet. Apa saja boleh dicurahkan dalam internet walaupun bagi mereka yang tidak berupaya untuk berhujah. Berbeza pendapat dan bertukar fikiran adalah penting bagi pembinaan tamadun. Tetapi memaki hamun dan menulis dengan kata-kata kesat hanya menumpulkan minda seseorang. Sebab itulah penulis mengelak diri daripada membaca komen-komen itu bukanlah kerana tidak sanggup untuk membaca pandangan yang berbeza, tetapi jiwa bersih yang bersopan ini tidak sanggup membaca kata-kata buruk dan kesat yang sering orang tulis dalam komen-komen itu.

Cuba bayangkan, dari kecil dididik dalam keluarga dan masyarakat Melayu yang bersopan dan mengelak daripada menggunakan kata-kata kesat, serta dibesarkan dengan akhbar yang berbahasa tertib, tetapi kini tiba-tiba terasa seolah-olah hidup dalam zaman biadab.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA