Khamis, 22 Disember 2011

Senjata Makan Tuan

Saya merenungi sebuah hadis yang selalu dibaca dan diketahui oleh kebanyakan kita iaitu sabda Rasulullah s.a.w: ’Bandingan teman duduk berbual yang baik dan yang buruk seperti pembawa kasturi dan tukang besi. Adapun pembawa kasturi, sama ada dia berikan engkau kasturi, atau engkau beli daripadanya, atau engkau dapati bau harumnya. Sementara tukang besi, sama ada ia membakar pakaian engkau, atau engkau akan dapati bau yang busuk.’ (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Sebelum disalahfahami, perlu dijelaskan Rasulullah s.a.w bukan bermaksud menghina tukang besi, tetapi sebagai contoh kesan keburukan yang mengenai seseorang yang berada di samping orang tertentu. Apatah lagi bukan sepatutnya ketika tukang besi sedang melakukan kerjanya seseorang datang untuk berada di sampingnya.


Mesej yang hendak disampaikan oleh Rasulullah s.a.w adalah agar kita memilih teman berbincang, berbual, berpakat, bermesra atau berdampingan dalam kalangan mereka yang baik. Kesan kebaikan itu akan datang kepada diri kita. Dalam hidup ini, betapa banyak ilmu pengetahuan, pengalaman yang baik untuk kehidupan dan hikmah diperolehi ketika kita bersembang, bergurau, makan sehidang dan bekerja dengan seseorang yang berilmu, baik dan jujur.


Justeru berusaha untuk berdamping dengan ilmuwan, orang yang baik dan jujur demi mengutip mutiara-mutiara hikmah dan manfaat ilmu serta akhlak adalah merupakan usaha yang tinggi nilainya di sisi Islam dan dihitung sebagai ibadah.


Orang yang baik itu bukan dilihat pada serbannya, atau jubahnya, atau bijian tasbih yang dibelinya, atau seumpamanya. Orang baik itu adalah insan yang mulia di sisi Allah s.w.t. Namun kemuliaan di sisi Allah s.w.t. tidak dapat untuk kita salami, cuma ada petanda dalam kehidupan.


Seseorang yang jujur dengan agamanya, berdisiplin dengan prinsip-prinsip mulia dan menghayati akhlak yang baik dalam hidupnya dapatlah pada zahirnya dihitung sebagai orang baik atau soleh. Ini dapat kita rasai apabila kita berada di sampingnya. Maka timbulnya perasaan untuk mendampingkan diri kepada Allah s.w.t., bersemangat dalam perjuangan dan perancangan kebenaran, dan merasa janggal untuk menyalahi disiplin kebaikan merupakan antara kesan berada di samping mereka yang seperti ini.


Setiap kali bangun meninggalkan majlisnya, atau perbualan dengannya kita akan terasa penambahan kebaikan, atau ilmu pengetahuan berguna, atau teladan yang baik, atau pemikiran untuk kebaikan umat, atau pengalaman yang membawa kita mampu mengharungi hidup dengan cara yang lebih baik dan Allah s.w.t. redha. Jika kita berjumpa dengan orang yang seperti itu, sama ada dia rakan kita, atau teman pejabat, atau orang bawahan kita, atau jiran tetangga atau suami, atau isteri maka tidak rugilah untuk kita berusaha berdampingan dengannya.


Tidak rugi untuk lama kita berbual. Tidak rugi untuk kita menemai perjalanannya, menjemputnya datang menjamah hidangan kita, menziarahinya dan apa sahaja yang membolehkan kita mendapat faedah daripada kelebihan yang dia miliki. Sehingga kadangkala tanpa kita sedari cara fikir, cara bertindak, sikap serta kematangan hidup kita dibentuk olehnya secara tidak langsung. Betapa ramai insan yang mengubah cara fikir dan sikapnya hanya kerana teman baiknya.


Sebab itulah dalam karya-karya hadis yang silam sering dimasukkan bab Mujalasah al-Salihin bermaksud bersampingan dengan orang soleh sebagai satu ibadah dan satu langkah penting dalam membentuk peribadi insan. Ada pula yang berkata, ‘Saya mana ada ustaz yang nak berkawan dengan saya’. Saya katakan, Rasulullah s.a.w menyebut al-jalis al-salih ’teman berdamping yang baik’, ia begitu umum.


Sesiapa sahaja yang membawa kebaikan apabila kita duduk berdampingan dengannya maka dia termasuk dalam hadis ini. Bukan semestinya yang diberikan gelaran ‘ustaz’ itu mesti menjadi teman yang baik. Entah berapa ramai yang memakai gelaran itu tidak menjadi teman yang baik, sebaliknya betapa ramai yang tidak bergelar ustaz merupakan teman yang baik untuk dunia dan akhirat kita.


Maka carilah di tempat kerja kita, atau tempat tinggal kita, atau di mana sahaja orang yang baik untuk kita berada bersama ketika waktu rehat, waktu makan dan waktu bergembira. Saya lihat ramai rakan yang mempelajari solat musafir, menyapu stokin atau kasut, solat dalam kenderaan dan berbagai ilmu hanya kerana menyertai perjalanan bersama mereka yang berpengetahuan lalu memahami agama dan keluasannya yang mungkin tidak dibiasakan atau dihayati jika dia tidak bermusafir dengan mereka.


Demikianlah sebaliknya. Jika teman berbual atau musafir atau bersahabat atau berpakat merupakan orang yang buruk akhlak, buruk bahasanya, buruk perangainya maka dia akan mempengaruhi seseorang. Melainkan jika dia sentiasa menasihatinya dan berusaha mengubahnya.


Namun, dalam banyak keadaan jika teman itu selalu menguasai suasana dan kita membiarkannya, kita akan berkongsi dosa, atau berkongsi nama buruk, lebih buruk lagi akan terkesan dengan akhlak yang buruk. Ada insan memang dahsyat mulutnya, pantang kita berbual dengannya ada sahaja orang yang akan dimaki hamunnya, dicerca dan dihina, bahkan kadangkala dia mencarut-marut terhadap orang lain.


Jika hal itu berlaku sekali-sekala, mungkinlah boleh dianggap sebagai terlanjur dan kesilapan lantas kita sering ingat mengingati. Namun jika itu menjadi kebiasaan, maka dia adalah teman yang buruk untuk kita bersamanya. Jika kita terus bersamanya, dosa pasti dikongsi, akhlak juga akan berubah.


Saya ada seorang sahabat, seorang pemuda yang berbudi bahasa, namun apabila dia terpengaruh dengan rakan-rakan politiknya, budi bahasanya hilang dan maki-hamun menjadi ringan di lidahnya. Semua orang yang tidak beraliran dengan partinya salah dan kafir. Saya kata kepadanya, sesungguhnya pertunjukan artis yang saudara dan kumpulan saudara sering bantah itu, lebih baik daripada rakan dan ceramah maki-hamun yang saudara sering hadir sehingga mengubah diri saudara itu.


Saya tidak menolak perbezaan aliran politik dan keluasaan untuk mengkritik dasar-dasar politik, juga disiplin ahli politik, namun maki-hamun dan carut-marut tidak pernah ditunjukkan oleh Islam. Dia berkata kepada saya, Saiyyidina Umar pun tegas. Saya kata kepadanya, tegas bukan bererti boleh maki dan carutkan orang sesuka hati di atas pentas. Dalam hadis al-Bukhari daripada Anas bin Malik r.a. katanya: ‘Bukanlah Rasulullah s.a.w itu seorang pemaki orang, tidak juga seorang pengucap kekejian dan bukan seorang pelaknat orang lain.’


Kemudian, kita hendaklah sedar bahawa teman yang kita sering duduk dengannya ketika dia memaki hamun orang lain, tidak mustahil esok dia akan duduk dengan orang lain pula untuk memaki hamun kita. Jikalah setiap orang yang dia tidak bersetuju dimaki hamunnya, apalah mustahilnya apabila dia tidak bersetuju dengan kita, dia akan memaki hamun kita pula. Tiada nilai takwa, tiada nilai bimbangkan hari Akhirat.


Saya lihat ramai orang politik yang kawan-kawannya yang dulu ‘sakan’ memaki-hamun musuh politik mereka, hari ini apabila berpaling tadah memaki mereka pula. Itulah bahaya berkawan dengan orang jahat. Hal ini berlaku bukan sedikit dalam PAS juga. Apabila berlaku persaingan jawatan, tuduh-menuduh, kutuk mengutuk dan cerca mencerca dihalakan kepada rakan sendiri sama seperti mereka maki dan kutuk musuh politik mereka yang lain. Mungkin di peringkat tertinggi setiap parti tidak berlaku, tetapi ‘anak buah’, ‘penyokong setia’ dan ‘jentera melobi’ yang sudah lama terdidik, atau mendapat tarbiah tidak rasmi memaki orang, dengan petah dan lancarnya memaki sahabat dan rakan sendiri.


Saya layari laman web parti-parti berkenaan yang anak-anak buah mereka memaki hamun pemimpin sendiri. Itulah latihan yang mereka dapat selama ini. Ada pemimpin mereka yang mengeluh kerana dituduh oleh ahli parti sendiri. Dalam isu kerajaan perpaduan, ada yang dituduh ‘gila kuasa’, ‘gila nak jadi menteri’, ‘nyayuk’ ‘nak mampus’ dan berbagai lagi yang jika dibaca di forum-forum internet mereka tidak tergamak hendak disebutkan.


Apa hendak dikatakan? Sudah begitu berjalan dalam dunia politik kita. Bagi saya, tidak menjadi masalah berbeza pendapat, bertegas, membantah kesalahan tetapi mengapa mesti memaki orang. Belajarlah untuk hidup sebagai pengkritik yang bernas, bukan pemaki hamun yang tiada nas. Didik anak buah dan rakan kita untuk tidak memaki dan menggunakan bahasa yang hodoh dan keji terhadap orang lain, tetapi mengkritik secara membina dan berwibawa. Mengkritik pula biarlah berpandukan fakta-fakta yang tepat dan sahih, ada rujukannya, bukan main sedap mulut saja.


Ada yang bersungut panjang apabila dia dimaki hamun oleh ahli partinya dalam ucapan, internet dan sms. Bagi saya, itulah senjata selama ini yang mereka gunakan untuk musuh-musuh politik mereka, atau biar digunakan oleh pengikut mereka untuk menikam orang lain, maka akan sampai masanya ‘senjata makan tuan’.

Nampak Saja Kuat Agama

Untuk membuat penilaian yang seimbang atau kesimpulan yang adil bukanlah mudah. Dalam kehidupan ini ramai orang selalu membuat kesimpulan daripada penampilan atau faktor luaran yang mereka lihat semata-mata.


Penilaian yang seimbang atau kesimpulan yang adil berbeza dengan sangkaan baik. Umpamanya, apabila kita melihat mereka yang kuat bersolat, atau berpuasa maka sudah pasti kita wajar bersangka baik terhadapnya. Namun dalam masa yang sama kita tidak akan membuat kesimpulan bahawa dia adalah pasti ahli syurga, atau pasti orang yang kuat berpegang dengan agama, atau seorang yang soleh.


Ini kerana solat dan puasa memanglah amalan yang baik dalam Islam, tetapi Islam bukan sahaja berkaitan soal solat dan puasa, sebaliknya Islam merangkumi pelbagai sudut kehidupan. Jika dia kuat solat dan puasa, tetapi dalam masa yang sama kuat memaki dan mencerca orang, atau menderhakai ibubapanya, atau tidak amanah, atau menzalimi orang lain dan seumpamanya, maka dia bukannya orang yang soleh dalam ertikata sebenar dalam Islam.


Tidakkah kita selalu membaca hadis:Tahukah kamu siapakah orang yang muflis? Jawab mereka: ‘Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta’. Sabda baginda: ‘Orang yang muflis dalam umatku ialah sesiapa yang datang pada Hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, juga dia pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka.’ (Riwayat Muslim).


Dalam hadis lain Rasulullah s.a.w menceritakan tentang akhir zaman ada para pembaca al-Quran kerana hendak dapat untung. Ini dapat kita lihat dalam negara kita mereka yang memakai ‘pakaian agama’ dan mengutip wang daripada orang ramai kononnya kerana hendak membuat penghantaran pahala kepada si mati. Mereka membuat untung yang besar saban tahun atas nama al-Quran dan orang menganggap mereka melakukan kebaikan sedangkan Rasulullah s.a.w menyindir perbuatan ini dengan sabdanya:Bacalah al-Quran dan mintalah daripada Allah (pahala), kerana selepas kamu akan ada kaum yang membaca al-Quran dan meminta (upah) daripada manusia.’ (Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).


Dalam sejarah ramai mereka yang menampil watak ‘agama’ tetapi sebenarnya penjenayah agama. Antara yang terkenal ialah Abu ‘Ismah Nuh bin Abi Maryam yang mencipta hadis-hadis dusta kononnya kerana ingin mendapat pahala dengan diadakan hadis-hadis fadilat itu dan ini khususnya tentang surah-surah al-Quran. Dia digelar Nuh al-Jami’ bermaksud Nuh yang menghimpunkan. Ini kerana dia menghimpunkan ilmu daripada berbagai tokoh-tokoh besar. Namun al-Hafiz Ibn Hibban menyatakan: ‘Dia menghimpunkan segalanya, kecuali cakap benar’. (lihat: al-Sayuti, Tadrib al-Rawi, 185, Beirut: Dar al-Fikr).


Pada zahirnya, dia tokoh agamawan namun pada hakikatnya dia sebenarnya pendusta agama. Bukan sedikit orang yang sepertinya dalam sejarah pengumpulan hadis. Kata seorang tokoh pengkaji hadis, Dr. Hammam Sa’id: ‘Telah zahir golongan ahli ibadat, zuhud dan nussak (penumpu penuh ibadah). Kejahilan dan kebodohan mereka telah membawa mereka mencipta hadis-hadis palsu dalam fadhilat-fadhilat amal, fadhilat surah-surah al-Quran dan solat-solat sunat, untuk menggalakkan orang ramai beramal. Seperti juga mereka mencipta hadis-hadis palsu dalam menakut orang ramai terhadap maksiat. Mereka menyangka mereka telah membela Islam. Golongan yang jahil ini tidak tahu bahawa pendustaan ke atas Rasulullah s.a.w boleh menurunkan mereka ke dalam tingkatan-tingkatan yang paling bawah dalam neraka jahannam.’ (Hammam ‘Abd al-Rahim Sa’id, Al-Tamhid fi ‘Ulum al-Hadith, m.s. 140, Jordan: Dar al-Furqan).


Ini kerana tindakan mereka telah menipu atas nama Rasulullah s.a.w dan merubah wajah asal agama. Jika dilihat atau dinilai pada zahir ibadah dan pakaian mereka, tentu kita menyangka mereka golongan yang soleh, tetapi di sisi agama mereka adalah para pendusta yang termasuk dalam sabda Rasulullah s.a.w:Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.’ (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Dalam sejarah pertelingkahan umat Islam kelompok yang paling kuat dan awal menggunakan isu agama untuk mengkafirkan orang Islam yang lain ialah puak Khawarij. Kelompok ini Rasulullah s.a.w sifatkan seperti berikut: ‘Seseorang kamu akan merasa lekeh solatnya dibandingkan solat mereka, merasa lekeh puasanya dibandingkan puasa mereka. Mereka membaca al-Quran, namun al-Quran itu tidak melebih halkum mereka. Mereka tersasar keluar dari agama seperti anak panah tersasar dari sasarannya...’ (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Inilah Khawarij yang kelihatan hebat dalam ibadah dan pidato agama mereka dengan menggunakan nas-nas al-Quran. Mereka mengkafirkan orang Islam yang melakukan maksiat, juga mengkafirkan orang Islam yang tidak mengikut kumpulan mereka. Puak Khawarij ini mengangkat slogan: ‘Tidak ada hukum melainkan hukum Allah’. Slogan yang kelihatannya berteraskan al-Quran, tetapi dengan tujuan yang buruk.


Kata Saidina Ali bin Abi Talib kepada mereka: ‘Satu slogan yang benar, tetapi dengan tujuan yang batil’. (Al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, 304/10, Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah).


Dengan slogan al-Quran:Sesiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah maka mereka itu orang-orang yang kafir.’ (Surah al-Maidah, ayat 44), maka mereka melancarkan kempen mengkafirkan dan memerangi orang Islam. Atas andaian yang tipis maka dengan mudah seseorang dijatuhkan hukuman murtad dan kafir. Hasilnya, pertumpahan yang dahsyat berlaku pada zaman pemerintahan Saidiyyida Ali bin Abi Talib.


Selepas zaman Ali pun, pemikiran Khawarij meresap ke dalam berbagai kumpulan dan organisasi. Hasilnya, kita mendengar isu kafir mengkafir muncul di pelbagai zaman dan tempat di seluruh pelosok dunia Islam. Pada zahirnya puak ini berwajah agama, namun pada hakikatnya Rasulullah s.a.w menyebut tentang mereka:Mereka itu berucap dengan ucapan sebaik-baik makhluk. Mereka tersasar keluar dari Islam seperti anak panah tersasar dari sasarannya. Iman mereka tidak melebihi halkum mereka. Di mana sahaja kamu temui mereka maka bunuhlah mereka kerana sesungguhnya membunuh mereka itu ada pahala pada Hari Kiamat.’ (Riwayat al-Bukhari).


Demikian getirnya kelompok ini. Sekalipun dengan ungkapan dan nas agama di mulut mereka, namun Rasulullah s.a.w memerintahkan agar pemerintah Islam membunuh mereka kerana mereka mengkafirkan bahkan sesetengah kelompok mereka seperti al-Azraqiyah membunuh orang Islam, anak kecil dan wanita yang tidak mengikut kumpulan atau jemaah mereka.


Dengan ini menyedarkan kita semua, di samping kita bersangka baik kepada golongan yang menzahirkan ciri-ciri agama, kita sayangkan mereka dan menghormati mereka, namun kita juga mestilah berhati-hati dengan tindakan setiap individu dan kumpulan. Janganlah penampilan zahir menyebabkan kita membuta mata atau memandulkan akal daripada membuat penilaian yang matang dan seimbang. Apa yang baik kita kata baik, apa yang salah tetap dinilai salah tanpa mengira dari mana dan siapa kesalahan itu datang.


Namun jika golongan tertentu menzahirkan ciri-ciri agama dan memegang prinsip agama dalam seluruh perjalanan mereka, maka merekalah golongan yang kita cinta dan kita bela dengan sepenuhnya.

Apabila Politik Mencorakkan Islam

Para sarjana sejarawan Islam berbeza pendapat tentang tarikh sebenar kelahiran Rasulullah s.a.w. Hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim hanya menyebut bahawa baginda lahir pada hari Isnin tanpa menyebut haribulannya.


Sesiapa yang membaca karya-karya sejarah Islam yang besar seperti al-Bidayah wa al-Nihayah oleh al-Imam Ibn Kathir (meninggal dunia pada 774 Hijrah) akan melihat berbagai pendapat tentang haribulan dan bulan kelahiran baginda s.a.w. Bagi yang berpendapat baginda lahir pada bulan Rabi’ul Awwal, mereka berbeza pendapat pula dalam menentukan haribulannya. Ada yang mengatakan pada 8 haribulan, ada yang pada 9 haribulan, ada pula pada 12 haribulan seperti yang menjadi anggapan ramai, ada juga pada 17 haribulan dan seumpamanya.


Di samping di sana ada pula sarjana Islam yang menyatakan baginda lahir pada bulan Ramadan dengan hujah-hujah mereka yang tersendiri. Apa pun yang penting, sejarawan Timur atau Barat, Utara atau Selatan tidak pernah berbelah pendapat tentang lahirnya seorang insan bernama Muhammad bin ‘Abdillah yang diikrarkan oleh umat Islam sebagai rasul terakhir yang diutuskan Allah s.w.t.


Hal ini berbeza dengan Jesus yang berada dalam gambaran Barat. Sesetengah ahli kajian mereka mempertikaikan tentang kelahiran Jesus itu sendiri.


Kelahiran Rasulullah s.a.w adalah peristiwa yang amat penting kerana ia peristiwa yang memulakan episod baru bagi kehidupan manusia sejagat. Penentuan haribulan atau bulan secara tepat bukanlah faktor utama. Tidak dapat menentukan tarikh lahir yang pasti, bukan bererti seseorang itu tidak wujud.


Entah berapa ramai nabi, tokoh, individu yang gagal dikesan tarikh kelahiran mereka, tetapi mereka wujud dan telah mewarnai sejarah. Kegagalan sarjana untuk mengetahui hari dan bulan sebenar kelahiran Rasulullah s.a.w antaranya berpunca daripada tindakan para sahabat Rasulullah s.a.w yang tidak merayakan tarikh tersebut. Walaupun dalam sejarah Islam, merekalah generasi yang paling mencintai Rasulullah s.a.w, namun mereka tidak membuat perayaan khas hari kelahiran baginda disebabkan kerana mereka tidak melihat baginda melakukan hal yang demikian.


Bahkan Ibn Kathir menceritakan bagaimana Saidina ‘Umar apabila dicadangkan permulaan tahun Islam dikira pada tahun kelahiran Rasulullah s.a.w, beliau menolaknya. Sebaliknya khalifah agung itu memilih tahun hijrah baginda sebagai permulaan kiraan.


Bukan kelahiran tidak penting, tetapi hijrah adalah permulaan kejayaan dan sejarah perjuangan. Perkara yang paling utama buat seorang rasul ialah baginda diikuti, bukan sekadar dirayakan. Saban tahun orang Kristian Barat merayakan kelahiran Jesus, namun apakah kehidupan mereka sama seperti yang diajar oleh Jesus?


Hari berganti dan bertukar. Dunia Islam beralun dengan berbagai krisis politik yang akhirnya mencetuskan mazhab. Antaranya Mazhab Syiah yang asalnya merupakan mazhab politik, bertukar menjadi mazhab agama dengan segala macam aliran di dalamnya.


Islam sepatutnya mencorakkan politik tetapi telah bertukar menjadi ‘politik mencorakkan Islam’. Lalu kefahaman agama dibina di atas blok-blok politik, bukan reka fikir politik itu diwarnakan oleh Islam. Maka perebutan kuasa berlaku atas agenda politik yang dimasukkan unsur Islam ke dalamnya. Maka berselerakanlah umat Islam akibat agenda politik berbagai aliran.


Di Mesir, Syiah Fatimiyyah pernah menguasai tampok kuasa. Berbagai agenda agama dilaksanakan dalam kerangka pemikiran mazhab politik yang bertukar menjadi agama. Berbagai perayaan agama dibuat dengan tujuan untuk mencapai matlamat politik yang tersendiri. Dalam Fatawa al-Azhar diakui bahawa ahli sejarawan Islam tidak mengetahui siapakah yang memulakan perayaan Maulidul Rasul melainkan Kerajaan Syi’ah Fatimiyyah di Mesir yang mengadakannya secara besar-besaran.


Mereka turut meraikan hari kelahiran tokoh-tokoh Ahlil Bait dan kelahiran Nabi Isa a.s. Kemudian pada tahun 488 Hijrah dihentikan oleh khalifah mereka al-Musta’la billah. Kemudian dihidupkan kembali oleh sesetengah kerajaan dan negeri. Demikianlah sejarahnya.


Ya, saya fikir, perasaan bersyukur mengenangkan sejarah kelahiran Rasulullah s.a.w dengan semangat untuk mengikuti baginda adalah wajar. Di samping kita perlu sedar fakta-fakta yang disebutkan tadi. Jika bulan Rabi’ul Awwal ini dikatakan bulan kelahiran Rasulullah s.a.w, maka tidak salah untuk kita berceramah menceritakan sejarah perjuangan dan prinsip-prinsip Islam yang dibawa oleh baginda. Sama ada pada bulan ini atau selainnya. Sama seperti apabila kita melintas suatu tempat bersejarah, kita mengenang sejarah tersebut. Cuma janganlah kita ini menjadi manusia bermusim yang hanya mengenang rasul dan ajaran baginda pada hari-hari tertentu, tetapi kita seakan-akan sudah tidak mengingati baginda selepas itu.


Di samping itu, hendaklah kita sedar, jika kita mengikuti Rasulullah s.a.w, maka pastikan kita tidak menokok tambah ajaran baginda apa yang baginda tidak izinkan. Baginda bersabda: ‘Sesiapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan daripadanya maka ia tertolak.’ (Riwayat Muslim).


Oleh kerana baginda tidak pernah menunjukkan kita ibadah khas sempena kelahiran baginda sama ada solat khas, atau puasa khas atau bacaan khas, maka kita tidak boleh mengadakannya. Jalan yang patut diikuti dalam masalah ini adalah jalan para sahabat baginda s.a.w. Sabda baginda s.a.w: ‘Sesungguhnya Bani Israil berpecah kepada 72 puak, dan umatku akan berpecah kepada 73 puak. Kesemua mereka dalam neraka kecuali satu puak’. Mereka bertanya: ‘Apakah puak itu wahai Rasulullah?’ Jawab baginda: ‘Apa yang aku dan para sahabatku berada di atasnya.’ (Riwayat al-Tirmizi dinilai sahih oleh al-Diya al-Maqdisi).


Perlu diingat, antara keistimewanya sejarah Rasulullah s.a.w kerana ia dapat dikenal pasti antara yang tulen dan tidak tokok tambah. Ini berbeza dengan sejarah pengasas-pengasas agama dalam dunia ini yang hampir keseluruhan sejarah mereka dibina atas sangkaan atau perkhabaran yang tidak pasti. Ilmu hadis yang menapis sanad dan matan telah memelihara fakta sejarah nabi kita Muhammad s.a.w. Hanya sejarah yang pasti sahaja yang menjadi ikutan kita, bukan yang direka.


Kata al-Sayyid Sulaiman al-Nadwi: ‘Sesungguhnya sirah yang berhak diikuti oleh manusia sebagai contoh yang baik dan teladan yang tinggi disyaratkan terlebih dahulu mestilah bersifat tarikhiyyah (sejarah). Adapun sirah yang tertegak di atas dongengan dan cerita-cerita khurafat yang tidak disokong oleh riwayat-riwayat yang dipercayai kesahihannya, adalah menjadi tabiat insan tidak akan terpengaruh dengan apa yang diceritakan kepadanya tentang sirah peribadi yang direka sedangkan sejarah tidak pernah mengenalinya’ (Sulaiman al-Nadwi, al-Risalah al-Muhammadiyyah, m.s. 41, Saudi: al-Dar al-Sa’udiyyah).


Buku Maulid al-Barzanji yang banyak dibaca dalam masyarakat kita ketika majlis kenduri-kendara atau selainnya mempunyai sumbangan yang tersendiri. Banyak sirah yang sahih dicatatkan oleh penulis karya tersebut iaitu Ja’far bin Hasan bin ‘Abd al-Karim al-Barzanji (meninggal dunia 1187 Hijrah). Namun satu hakikat yang boleh dinafikan dari segi ilmu hadis bahawa terdapat fakta-fakta yang tidak sahih dalam buku Al-Barzanji tersebut. Antaranya, beliau menyebut: ‘Telah hadirlah pada malam kelahiran baginda (Rasulullah s.a.w) Asiah (isteri Fir’aun yang beriman) dan Maryam (ibu Nabi Isa a.s.) dalam kumpulan wanita dari syurga)’.


Tiada satu riwayat yang sahih daripada Rasulullah s.a.w yang mengakui peristiwa seperti ini. Sehingga seorang pengkaji sejarah Muhammad Muhammad Hasan Syurrab menyebut: ‘Wajib kita berhati-hati ketika memetik dari buku-buku sirah terutamanya buku-buku sirah yang terkemudian. Para rawinya (periwayat) banyak menokok tambah cerita dan sirah Rasulullah. Mereka mengaitkan kepada baginda mukjizat dan perkara-perkara luar biasa sejak kelahiran sehingga kepada kewafatan baginda dengan perkara yang tidak ada sanad yang boleh dipegang. Seakan-akan para rawi ini melihat tujuan penambahan perkara-perkara luar biasa ini untuk memberikan kepada Rasul a.s. mukjizat-mukjizat yang tidak ada pada para nabi sebelum baginda. (Muhammad Muhammad Hasan Syurrab, Fi Usul Tarikh al-’Arab al-Islami, m.s. 84, Damsyik, Dar al-Qalam).


Kita semua bersyukur dan bergembira dengan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Namun kita wajib pastikan cara kita ikut dan faham mengenai baginda. Saban tahun banyak pihak yang meraikan maulid, apakah umat Islam bertambah dekat dengan baginda?

Iman Tidak Boleh Dipaksa

KITA mungkin boleh memaksa manusia makan, atau bercakap, atau bergerak, atau diam atau apa sahaja tindakan fizikal. Namun kita tidak mungkin boleh memaksa keyakinan dan kepercayaan seseorang. Ini seperti memaksa seorang mempercayai apa yang dia tidak percaya, atau meragui apa yang dia yakin, atau mengkufuri apa yang dia imani, atau mengimani apa yang dia tidak dapat terima kebenarannya.


Demikian juga kita tidak boleh memaksa perasaan seseorang seperti cinta, benci, suka, marah, sayang dan seumpamanya. Jika kita terus paksa dengan kekuasaan dan kekerasan untuk mengungkap dengan lidah apa yang tidak terkandung dalam jantung hatinya atau perasaannya, dia mungkin menyatakannya dengan lidah tetapi iktikad dan perasaan akan tetap menolak. Tiada siapa pun dalam kalangan makhluk mampu memaksa akidah orang lain. Apa yang manusia mampu hanyalah paksaan fizikal, sedangkan iman atau kufur seseorang tidak dapat diubah jika tidak dengan kehendak dan kerelaan empunya diri.


Islam sebagai agama yang diturun oleh Allah s.w.t yang mencipta manusia, Allah Maha Mengetahui tentang hakikat hamba-Nya. Maka Islam mensyaratkan iman itu berteraskan keyakinan dalam jiwa insan. Tanpanya, iman tidak dikira atau dinilai. Seseorang yang mengakui beriman kepada Islam dengan cara paksaan tidak diiktiraf. Demikian juga seseorang yang mengakui kufur kepada Islam dengan paksaan juga tidak hukum bersalah.


Firman Allah s.w.t (maksudnya): ‘Tiada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Maka sesiapa yang tidak mempercayai taghut serta beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada pegangan yang teguh, dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.’ (Surah al-Baqarah ayat 256).


Ayat ini diturunkan kepada golongan Ansar di mana dalam kalangan mereka mempunyai anak-anak yang telah diyahudi atau dikristiankan. Apabila Islam datang, mereka ingin memaksa anak-anak mereka menganut Islam, maka Allah melarang mereka berbuat demikian sehingga mereka sendiri membuat pilihan. Lalu diturunkan firman-Nya tadi.


Kata Ibn ‘Abbas: ‘Ada seorang wanita yang tidak dapat mengandung. Dia bernazar jika dia dapat anak, dia akan jadikannya beragama Yahudi. Apabila Yahudi Bani Nadir dihalau keluar dari Madinah, ada dalam kalangan mereka anak-anak golongan Ansar. Kata ibubapa mereka: ‘Kami tidak akan biarkan anak-anak kami mengikut mereka, maka Allah turunkan ayat: (Riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani). Demikianlah ajaran Islam. Ibubapa pun tidak boleh memaksa agama atau keyakinan anak sendiri, inikan pula orang lain.


Begitulah juga, jika seseorang dipaksa mengkufuri Islam atau tidak percaya dengan Islam, sedangkan jantung hatinya tetap dengan keimanan dan keyakinan, maka sekalipun dia tunduk dengan paksaan tersebut, imannya tetap sah dan diiktiraf di sisi Allah s.w.t. Manusia hanya boleh memaksa lidah dan anggota yang lain, tapi tiada siapa mampu memaksa iman.


Firman Allah s.w.t. (maksudnya): ‘Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah beriman (maka baginya kemurkaan Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang jantung hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka dadanya menerima kufur maka atas mereka ditimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar.’ (Surah al-Nahl, ayat 106).


Jelas, iman tidak boleh dipaksa. Ia masuk ke dalam dada insan dengan rela dan keyakinan. Demikian kekufuran juga tidak boleh dipaksa. Ia bersarang dalam dada insan dengan pilihannya. Cumanya ada sebab-sebab yang membawa kepada iman atau tidak berimannya seseorang. Hujah dan alasan yang diterima oleh akal dan roh insani menyebabkan insan mempercayai sesuatu atau mengingkari sesuatu.


Maka Islam sebelum menghukum iman atau kufur atas seseorang mewajibkan iqamah al-hujjah (penegakan hujah). Setelah ditegakkan hujah dan alasan yang kukuh, jika dia terus membantah dan tidak menerima sedangkan dia tahu dari segi hujah dan alasan Islam ini benar, maka ketika itu dia dianggap sebagai kufur.


Firman Allah s.w.t. (maksudnya): ‘Sesiapa yang beroleh petunjuk (menurut panduan Al-Quran), maka sesungguhnya faedah petunjuk itu hanya kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga, dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain, dan tiadalah Kami (Allah) mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang rasul.’ (Surah al-Isra, ayat 15).


Ayat ini adalah kaedah teras yang mesti difahami oleh setiap Muslim. Allah Yang Maha Suci tidak akan menanggung dosa seseorang ke atas orang lain dan tidak akan mengazabkan seseorang melainkan setelah diutusnya rasul yang menegakkan hujah. Apabila datang rasul, atau wakil rasul, atau apa sahaja saluran yang menyampaikan hujah dan bukti rasul terhadap kebenaran petunjuk Allah s.w.t. kepada seseorang sehingga dirinya akur bahawa ini merupakan ajaran Allah, maka jika dia menolak, dia layak untuk dihukum di Hari Pembalasan kelak.


Sebaliknya, jika hujah yang kukuh mengenai Islam atau ajaran rasul itu tidak sampai kepadanya, maka dia tidak akan diazab oleh Allah sekalipun kita memanggilnya ‘kafir’ atau seumpamanya. Bahkan kita pula yang mungkin diazab oleh Allah s.w.t. jika kita tidak menerangkan ajaran Islam yang telah sampai kepada kita, atau kita tunjukkan contoh buruk sehingga dia salahfaham terhadap Islam.


Jika kita memahami hakikat ini, tentu kita akan mendahulukan dakwah daripada kekerasan. Persoalan yang patut kita semua tanya, apakah mereka yang kita anggap sebagai kaum kafir itu telah sampai kepada mereka hujah yang benar lagi teguh tentang Islam ini? Atau, mungkin kebanyakan mereka itu jahil? Atau mungkin sebahagian mereka telah disalahfahamkan hakikat Islam yang sebenar oleh musuh-musuh Islam, atau mungkin juga oleh tindakan sebahagian orang Islam sendiri.


Dalam kalangan manusia, golongan yang paling jauh dari Islam adalah puak atheis yang tidak percaya kepada Tuhan sama sekali. Manusia beragama, walau apapun agamanya, sekurang-kurangnya mereka maju setapak dengan percaya tentang kewujudan dan kekuasaan Tuhan. Justeru menghormati nilai tersebut maka Islam tidak memusnahkan tempat-tempat ibadat mereka tanpa alasan yang benar. Bahkan melindunginya, jika itu merupakan hak mereka.


Ini seperti firman Allah s.w.t. (maksudnya): ‘Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya; sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.’ (Surah al-Baqarah, ayat 251).


Ini menunjukkan walaupun Islam hanya mengiktiraf dirinya sebagai agama yang diredhai Allah s.w.t., namun dalam masa yang sama Islam menghormati hak dan nilai beragama, kerananya Islam melindungi mereka.


Dalam kalangan agama-agama yang ada, agama yang mempunyai unsur-unsur langit seperti Yahudi dan Kristianlah yang lebih dekat dengan Islam. Ini kerana kesan ajaran nabi-nabi terdahulu yang masih terdapat dalam agama tersebut menjadikan banyak persamaan antara mereka dengan Islam. Justeru, Islam walaupun mengecam Ahlul Kitab (Yahudi dan Kristian) atas pengubahan kitab, kesyirikan mereka dan salahguna agama tetapi Islam tetap mengizinkan memakan sembelihan mereka dan berkahwin dengan wanita mereka yang bukan pelacur. Tujuannya untuk membawa mereka kepada ajaran Islam yang sepatutnya mereka ikuti. Islam tahu kesan agama langit dalam jiwa mereka memudahkan mereka menerima Islam jika mereka tidak takabur.


Firman Allah s.w.t. (maksudnya): ‘Demi sesungguhnya engkau (Wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: ‘Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani’ yang demikian itu, disebabkan ada antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong.’ (Surah al-Maidah, ayat 82).


Iman tidak boleh dipaksa. Cuma sebab-sebab manusia menerima Islam disebabkan alasan yang dapat diterima oleh akal dan roh insan. Mempercayai Tuhan adalah selangkah ke arah Islam. Mengetahui dan mengiktiraf ajaran Allah s.w.t. kepada nabi-nabi yang terdahulu adalah selangkah yang mendekatkan lagi manusia kepada Islam.


Apa yang tinggal hanyalah peranan kita menjelaskan Islam yang sebenar. Janganlah pula kita yang merosakkan gambaran Islam yang mulia dan suci ini. Nanti akan menakutkan orang lain untuk mendekati Islam.

Mana Mekanisme Hudud?

Saya suka mengikuti setiap perkembangan yang berlaku dalam negara kita tidak kira apa isu sekalipun lebih-lebih lagi isu yang berkaitan dengan masyarakat dan negara. Salah satu isu yang sudah lama saya ikuti ialah isu hudud.


Dalam memperkatakan tentang isu ini, sukalah saya berkongsi maklumat dengan para pembaca salah satu perspektif mengenai hukum hudud dari sekian banyak yang saya sempat telusuri. Perspektif ini ditulis oleh Ustaz Abdul Halim Abdullah, Ketua Biro Dakwah, Ikatan Muslimin Malaysia – ISMA.


Ikuti tulisan beliau:


SEMASA saya belajar di University of Queensland 1984-1987 dulu, apabila pokok Jacaranda yang meranting kering di musim sejuk mula berbunga lebat berwarna ungu hampir di setiap jalan di universiti, di sebalik kecantikannya, jiwa para mahasiswa dan mahasiswi mula gundah gulana kerana ia menandakan peperiksaan hampir tiba.


Begitu juga di Malaysia, di setiap penghujung empat tahun lalu apabila isu hukum hudud mula dilemparkan melalui media massa ke tengah-tengah para pengundi, ia menandakan musim Pilihan Raya Umum Malaysia hampir tiba, hanya menunggu bila tarikhnya ditetapkan, bergantung kepada respons para pengundi di bandar dan kampung, tua dan muda, kafir dan Islam.


Bagi golongan masyarakat yang faham dan beriman, mereka melihat dan menilai isu ini dengan pandangan syarak dan pertimbangan realiti. Namun mereka adalah hanya segelintir dari masyarakat umum yang jauh lebih ramai dan tersebar di seluruh negara.


Adapun pada umum masyarakat, mereka kebingungan kerana sekali lagi isu ini diketengahkan dalam keadaan ilmu dan jiwa mereka yang tidak mampu memahaminya, dan ramai dari kalangan mereka yang akhirnya membuat pertimbangan dari neraca yang tidak Islamik lalu mengambil pendirian yang tidak tepat.


Syariat Islam dan hukuman Hudud mempunyai perbezaan yang sangat jauh. Syariat Islam adalah satu sistem hidup rabbani, keseluruhannya berasaskan al-Quran, kitab Allah dan petunjuk peninggalan dari Sunnah Rasul-Nya, Muhammad s.a.w, bermula dari membina ilmu dan akidah, melahirkan ibadah dan akhlak pada diri dan masyarakat dalam sesebuah negara, kemudian mereka meluaskan dakwah Islam ke negara-negara jiran sehingga Islam memimpin dan membimbing seluruh dunia, tanpa meninggalkan seinci pun bumi yang tidak diperintah oleh Syariat Islam.


Dengan ini Syariat Islam sifatnya membangunkan manusia dan dunia, lahir dan batin, manakala hukum menghukum seperti hudud, takzir dan seumpamanya boleh kita nisbahkan sebagai hanya 5% sahaja dari Syariat Islam yang sifat umumnya adalah membangun. Sebab itu al-Quran yang mempunyai lebih 6,000 ayat hanya mempunyai sekitar 500 ayat sahaja mengenai hukum hakam atau dipanggil ‘Ayat-ayat Ahkam’.


Dari sekitar 500 ayat-ayat ahkam, hanya sebahagian kecil sahaja yang menyentuh hukum hudud dan selainnya menggarap isu-isu ekonomi, muamalat, munakahat, hubungan antarabangsa dan sebagainya. Adapun hukuman yang digelar ‘hudud’, ia adalah tujuh hukuman yang telah ditentukan Allah s.w.t dalam al-Quran dan As-Sunnah.


Bagi mereka yang suka penerangan dengan angka, saya gambarkan di sini (sekadar mengemukakan angka yang tidak semestinya tepat, tetapi boleh memberi kefahaman yang lebih jelas), hukuman Hudud yang tujuh itu adalah seperti sekitar 5 peratus (%) dari undang-undang Islam yang 95% lagi adalah Takzir (denda) yang diserahkan kepada Dewan Rakyat di Parlimen menggubalnya dan hakim di kamar mahkamah menentukannya.


Oleh kerana 7 hukuman tersebut (1. bunuh, 2. zina, 3. menuduh zina/qazaf, 4. curi, 5. minum arak, 6. samun/qat’ tariq, 7. bughoh – menentang pemerintah dengan kekerasan) telah ditentukan Allah s.w.t, dan tidak boleh diolah lagi oleh Parlimen atau hakim, maka ia disebut Hudud, di dalam bahasa Inggeris bermakna ‘already defined’.


Kalau begitu, hukuman dan denda (termasuk Hudud) hanyalah 5% daripada ajaran Islam yang bersifat membina umat dan negara, bukan meruntuh dan menghukum, manakala hukuman Hudud hanya 5% daripada undang-undang Islam dalam sesebuah negara yang lengkap dan membangun, maka dari segi matematiknya hudud hanya 5% X 5% = 0.25% daripada keseluruhan ajaran dan Syariat Islam sebenarnya. Ia bukan segala-galanya mahupun juzuk besar daripada ajaran Islam yang sangat luas, membangun dan membahagiakan umat manusia.


Begitu juga yang kita maksudkan dengan rumah tangga Islam adalah ibu bapa yang berkeperibadian Islam, mendidik anak-anak dengan ajaran Islam, menjaga adab-adab Islam dalam rumah, suami isteri yang saling menghormati perjuangan Islam masing-masing, berdakwah kepada jiran-jiran, dan sebagainya, bukan semata-mata si ayah merotan anak (hukuman).


Begitu juga apabila kita maksudkan dengan sebuah Negara Islam, ia adalah negara yanag tertegaknya Syariat Islam dalam setiap bidang kehidupan rakyatnya, dan bukan semata-mata melaksanakan hukuman Hudud dan cuai dalam pelbagai aspek Syariat Islam yang lain.


Ringkasnya, apa yang rakyat Islam di Malaysia mahu adalah penegakan Syariat Islam dalam semua bidang media massa terutamanya di siaran televisyen, pendidikan, pengurusan negara, kementerian dan jabatan, membebaskan rakyat daripada belenggu budaya Barat, membina umat yang berjihad dan punya kekuatan di rantau, menguatkan kesatuan umat dan membanteras perpecahan, menguatkan hubungan di antara negara-negara Islam, menyebarkan roh Islam ke dalam jabatan dan sektor kerajaan dan swasta, membanteras rasuah, membanteras pelacuran, arak, judi, dadah, kelucahan, pergaulan bebas, bidah, khurafat, syirik, mendorong hafazan al-Quran dan bahasa Arab terutama kepada generasi baru dengan berbagai insentif, kesihatan, ekonomi, akhlak, berjimat dengan wang rakyat dan menyuburkannya, meneroka kekayaan dan hasil bagi negara dan mengelakkan pemborosan dan pelaksanaan undang-undang Islam termasuk Hudud.


Oleh kerana itu kita adalah rakyat yang lebih bijak dari terheret membincangkan isu hudud menjelang pilihan raya, sedang selama tempoh tenang 4-5 tahun di antara dua musim pilihan raya, media massa merosakkan umat dengan memaparkan budaya Barat yang negatif kepada anak bangsa kita, pelacuran, arak, judi, kelucahan, rasuah tersebar ke tahap yang sukar dibendung dan telah menghakis banyak tunggak-tunggak negara terutamanya akhlak dan jiwa rakyat serta wang dan kekayaan negara.


Semangat roh jihad di kalangan belia dan bebas dari pengaruh dominasi kuasa Barat merupakan tunggak penting yang masih di dalam keadaan yang minimum. Apa yang kita tuntut adalah Malaysia menjadi sebuah Negara Islam yang didefinisikan oleh Imam Hasan Al-Banna yang bermaksud ‘tidak akan tertegak Ad-Daulah Al-Islamiyah (Negara Islam) melainkan di atas asas dakwah, sehingga ia menjadi Negara Risalah (negara yang mempunyai visi dan misi menyebarkan Islam ke seluruh dunia), bukan (semata-mata) ia berbentuk pentadbiran, atau kerajaan material beku pekak yang tidak mempunyai roh. Seperti mana juga dakwah tidak (dapat) tertegak melainkan dalam satu perlindungan (iaitu negara) yang menjaga, menyebar, menyampai dan menguatkan dakwah tersebut)’. Satu persoalan yang sering dibicara oleh golongan terpelajar.


Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Kerajaan Negeri mempunyai kuasa kebanyakannya dalam hal ehwal tanah, adat resam dan hal ehwal agama Islam manakala Parlimen dan Kerajaan Pusat mempunyai kuasa dalam bidang jenayah berat lebih-lebih lagi yang membabitkan hukuman mati.


Malah dikatakan sebarang penggubalan hukuman jenayah berat di DUN seperti hudud yang bertentangan dengan Parlimen, maka ia terbatal dengan sendirinya dan tidak boleh dilaksanakan oleh pihak negeri.


Wacana ilmiah mengenainya perlu dianjurkan lebih meluas untuk memberi pengetahuan dan kesedaran kepada umat. Mereka yang benar-benar ikhlas bercakap mengenai hudud yang belum terjadi, seharusnya menegakkan Syariat Islam dalam bidang-bidang yang disebutkan di atas dalam masa yang sama yang sepatutnya telah lama terjadi dan mudah untuk dilaksanakan.


Adapun berbicara mengenai Hudud yang berkait dengan penggubalan dan sebagainya, tetapi membiarkan banyak perkara yang bertentangan dengan Syariat Islam di dalam pentadbiran dalam negara dan penghayatan dalam masyarakat adalah sebenarnya merupakan permainan kata-kata untuk mengeliru dan meraih sesuatu daripada masyarakat awam yang kurang mengerti apa yang sebenarnya sedang dan akan berlaku. Adalah lebih baik membuktikan keikhlasan dengan perbuatan daripada cuba meyakinkan dengan perkataan.

Begitu perspektif yang ditulis oleh Ustaz Abdul Halim Abdullah, Ketua Biro Dakwah, Ikatan Muslimin Malaysia – ISMA. Sekarang saya ingin mengajak para pembaca meneliti ‘hukuman sebat ke atas peminum arak’ di Pahang yang berlaku baru-baru ini. Hukuman sebab tersebut berlaku ke atas seorang model yang telah mengaku bahawa beliau terlibat dalam perbuatan tersebut.


Rasanya, sikap rela model berkenaan mengaku kesalahannya patut dipuji. Ya, arak itu haram di sisi Islam, tiada siapa pun yang beriman berbeza pendapat mengenainya. Namun apabila hukuman ke atas pesalah itu dilaksanakan, ia membabitkan dua aspek utama; pertama, hukuman yang dikenakan, kedua, individu yang dihukum.


Para sarjana hukum, walaupun ramai yang berpendapat kesalahan minum arak di bawah hudud, mereka berbeza pendapat pula tentang jumlah sebatan. Ini kerana al-Quran tidak menyebut hukumannya, cuma hadis ada menunjukkan dipukul empat puluh kali. Namun pada zaman Khalifah Umar al-Khattab r.a. beliau beliau berbincang kadar hukuman tersebut, lalu beliau menerima pandangan ‘Abd Rahman bin al-’Auf untuk melaksanakannya sebanyak lapan puluh kali (lihat: Riwayat Muslim).


Tindakan Khalifah ‘Umar ini menyebabkan sarjana berbincang apakah hukuman untuk peminum arak ini hudud atau takzir (discretionary punishment)? Ini kerana jika ia hudud, sepatutnya, tidak ditambah. Apatah lagi, Rasulullah s.a.w semasa melaksanakan hukuman ini tidak pula menjelaskan apakah ia hukuman yang ditetapkan oleh Allah s.w.t (hudud) atau ia hanya ketetapan pemerintahan berdasarkan kepada keperluan (takzir).


Lebih daripada itu, dalam hadis menunjukkan pesalah minum arak ada yang dipukul dengan tangan, kain, dan selipar sahaja. Tiada ketegasan yang jelas dalam kaedah pukulan. Pun memang hukuman sebat dalam Islam bukan seperti sebat yang ngeri di penjara sivil yang biasa kita dengar dan lihat hari ini.


Sebatan Islam sama sekali bukan untuk mencederakan, sekadar mengingat dan mengajar. Lebih daripada itu, Islam tidak benarkan kita mengutuk pesalah yang dihukum. Dalam riwayat al-Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah, beliau berkata: ’Dibawa kepada Rasulullah s.a.w seorang yang mabuk (minum arak), maka baginda memerintahkan agar dipukul, maka dalam kalangan kami ada yang memukulnya dengan tangan, ada yang memukul dengan selipar dan ada pula yang memukulnya dengan kainnya. Apabila selesai, seseorang berkata: Allah telah menghinanya. Maka Rasulullah s.a.w pun bersabda: Jangan kamu menjadi pembantu syaitan (merosakkan) saudara kamu.’


Maksudnya, mencercanya menyebabkan syaitan mudah untuk merosakkannya lagi. Dalam hadis ini menunjukkan hukuman itu berjalan hanya sekadar dengan kain atau tangan atau selipar, tujuannya bukan untuk menyeksa, tapi mengingatkan. Janganlah pula berlebihan, hukumannya hanya pukulan tersebut maka tidak perlu diikuti dengan cercaan. Maka sesiapa yang merasakan dirinya pejuang Islam, janganlah menokok tambah dengan makian kerana itu tidak serasi dengan tabiat perlaksanaan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w.

Sekarang ini ramai sangat yang bercakap tentang hudud. Namun ramai juga, sama ada yang bersetuju atau membantah tidak mempunyai pengetahuan yang jelas dalam banyak perkara mengenainya. Ramai yang blind imitation dalam memperkatakan hukuman jenayah dalam Islam ini.

Pada tanggal 25 Oktober 2011 pula saya ada terbaca New Straits Times (NST) mengenai langkah kerajaan PAS Kelantan menubuhkan sebuah jawatankuasa teknikal untuk mengkaji ‘kemungkinan melaksanakan’ Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan, atau hukum hudud di negeri itu. Jawatankuasa itu terdiri daripada panel 19 anggota. Yang amat menghairankan saya, kenapa selepas YAB Dato Nik Aziz Nik Mat berhempas pulas membangkitkan isu itu (terutamanya menjelang ketibaan pilihan raya umum) sejak 1990-an (kira-kira 20 tahun lalu), baru kini ia mahu dikaji? Sepatutnya ia hanya menunggu untuk pelaksanaan sahaja dan soal teknikal telah diselesaikan sejak belasan tahun malah puluhan tahun dulu lagi.

Saya dan mungkin jutaan lagi rakyat Malaysia amat hairan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Exco Pembangunan Islam Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah itu. Kata beliau: ‘Ia (panel itu) akan mengkaji kemungkinan melaksanakan enakmen itu, kerana ia mempunyai pandangan perundangan yang ia (hudud) boleh dijalankan, tanpa meminda Perlembagaan Persekutuan. Jawatankuasa itu akan melihat sebarang ruang yang ada untuk pelaksanaan. Jika ada, jawatankuasa itu akan membuat syor kepada kerajaan negeri.’


Sekali lagi saya kebingungan. Mahu kaji lagi? Mahu cari ruang lagi, mahu mencari syor lagi. Saya cukup sedih kerana selepas lebih 20 tahun soal hudud digembar-gemburkan ia masih dalam kajian? Kajian apa lagi yang nak dilakukan? Takkan selama 20 tahun asyik nak kaji saja tak habis-habis? Mana dia mekanisme pelaksanaannya? Sepatutnya setelah lebih 20 tahun memerintah sudah ada mekanisme pelaksanaannya dan bukannya asyik nak mengkaji saja.


Saya bagi contoh nak tanam pokok durian. Setelah lebih 20 tahun memerintah takkan asyik nak kaji macam mana nak tanam durian tersebut. Tentulah dalam masa 20 tahun itu sudah ada mekanismenya bagaimana nak tanam durian. Mekanisme di sini ialah kaedah pelaksanaannya. Apabila kita nak tanam durian tentulah kita sudah ada kaedah pelaksanaannya. Contohnya: Benih apa yang kita nak semai, besar lubang semaian, baja yang perlu digunakan, berapa banyak baja yang perlu dibubuh, kuantiti air jirusan, penjagaan tunas dari serangan serangga, jenis racun yang perlu digunakan untuk membunuh serangga pengganggu, siapa yang nak jaga, dan macam-macam lagi sehinggalah benih durian itu besar. Bila dah besar, apa pula yang perlu dilakukan sehinggalah durian itu berbuah. Apabila berbuah, bagaimana pula kaedah rawatannya dan lain-lain lagi. Inilah yang dikatakan mekanisme atau kaedah pelaksanaan.


Begitu juga dengan hudud. Sebagai seorang Islam, tentunya kita semua bukan hanya nak dengar orang kata nak buat hudud saja tetapi kita nak lihat bagaimana mekanisme atau kaedah pelaksanaan hudud tersebut. Dokumentasikan dulu mekanisme atau kaedah pelaksanaannya supaya orang ramai dapat tahu. Kita semua nak tahu apakah bentuk hukumannya, cara sebatannya, bagaimana nak cari 4 orang saksi, siapakah yang layak menjadi saksi, bagaimana nak hukum orang mencuri yang tiada tangan sebab sekarang ini orang yang tak ada tangan pun boleh mencuri iaitu dengan menggunakan komputer yang di’klik’ dengan menggunakan jari kaki. (Pernah berlaku di Amerika, seorang lelaki yang tiada tangan menggunakan kakinya untuk memindahkan wang jutaan ringgit ke dalam akaunnya). Apakah bentuk hukuman orang yang mencuri sebatang pensil di supermarket, apakah bentuk hukuman orang yang mencuri sebiji telur ayam, apakah bentuk hukuman budak-budak yang mencuri wang dari dalam poket baju ayahnya? Bagaimana nak menghukum orang berzina di tempat yang tidak dilihat oleh 4 orang saksi, contohnya berlaku dalam bilik-bilik hotel atau dalam hutan belantara. Apakah DNA boleh diiadikan saksi menggantikan 4 orang saksi tersebut? Apakah CCTV juga boleh dijadikan saksi menggantikan 4 orang yang disebutkan dalam Islam? Bagaimana pula dengan kes rogol? Bagaimana pula dengan kes zina tetapi pelakunya telah lari keluar negara dan pulang semula ke negara ini selepas puluhan tahun dan telah menyesali perbuatannya atau beliau telah bertaubat. Bagaimana pula jika pelaku zina tersebut pulang dalam keadaan telah menjadi seorang yang zuhud? Dan banyak lagi perkara yang perlu didokumentasikan sebagai modul untuk dijadikan arah tuju hukuman yang bakal dilaksanakan. Ini semua mesti dijelaskan secara terperinci dan edarkan kepada masyarakat keseluruhan supaya masyarakat faham.


Tetapi sehingga sekarang mekanisme atau kaedah pelaksanaan ini tidak ada. Yang ada hanyalah suara-suara nak kaji, nak buat hudud, nak buat hudud, nak laksana hudud tak habis-habis. Kaedah pelaksanaannya entah di mana.


Sepanjang saya mengikuti isu hudud ini terutamanya bersipongang di Kelantan, setiap kali isu hudud dibangkitkan, inilah bunyi ceritanya – nak kaji, nak kaji, nak kaji... tak habis-habis! Sungguh saya amat bingung dan keliru. Apakah YAB Dato Nik Aziz hanya mahu membingungkan rakyat Malaysia, terutamanya orang Islam? Apakah beliau sekadar mahu meraih undi untuk mengekalkan kekuasaannya di atas kerusi empuk Menteri Besar Kelantan sahaja? Sesungguhnya hanya Allah Azzawajalla saja yang tahu niat sebenar beliau.


Saya dan tentunya semua umat Islam di Malaysia yang mengikuti soal hudud ini sudah terlalu lama berharap agar Dato Nik Aziz cepat-cepatkanlah melaksanakan hukuman hudud itu di Kelantan dan negeri-negeri pakatan pembangkang lain, terutamanya di Pulau Pinang. Harus diingat bahawa Kelantan telah mencatatkan kes HIV/AIDS yang tertinggi di Malaysia, yang kini sudah mula menjangkiti isteri-isteri pasangan masing-masing. Di Pulau Pinang, sudah tentu Lim Guan Eng juga akan mengalu-alukan hukum hudud dilaksanakan di negerinya kerana ia boleh menjamin Pulau Pinang bebas daripada jenayah di negeri itu. Lagipun kan Guan Eng seorang pejuang atau advocate anti jenayah dan moral yang hebat, sehebat Khalifah Omar Abdul Aziz.


Sesiapa yang didapati melanggan GRO rakyat China yang terlalu ramai di negeri itu sekarang akan dihukum rotan di khalayak ramai, di hadapan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR). Saya yakin, dengan sendirinya tugas polis pun akan lebih ringan dan sekali gus rumah-rumah persundalan dan kelab-kelab GRO akan dapat ditutup. Selangor juga, dikhabarkan sedang menghadapi masalah kebanjiran rumah urut yang semakin bercambah. Ia juga boleh dilaksanakan di Selangor.


Bagi Karpal Singh, yang pernah berkata ‘langkah mayat’ dia dulu jika undang-undang dan konsep negara Islam itu mahu diadakan juga perlulah akur. Hormatilah sedikit YAB Dato Nik Aziz yang merupakan orang berpengaruh dalam pakatan. Bagi negeri-negeri lain pula, perkasakanlah isu-isu ekonomi, muamalat dan munakahat kerana ia akan menjamin kesejahteraan hidup umat Islam. Apabila perut kenyang dan terhindar daripada kemiskinan maka tiadalah wujud jenayah dan kekufuran yang bukan-bukan.


Saya amat berharap agar YAB Dato Nik Aziz, ikhlaslah kali ini. Laksanakanlah segera hudud di Kelantan. Jika boleh luluskanlah cepat. Kami semua sudah penat dengan isu yang tidak habis-habis ini. Jangan biarkan orang lain gelak kepada kita.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA