Khamis, 22 Disember 2011

Hayati Perjalanan Kehidupan Ini

SMAHADZIR

Kadang-kala dalam kejenuhan hidup di dunia ini kita perlu sering diingatkan agar balik semula kepada asas insani. Semoga dengannya, jiwa kotor kita dapat diredakan dari taufan kehidupan. Gagal mengingati asas menyebabkan kita hilang kompas dalam kembara hidup. Justeru, mari kita keluar seketika dari kegawatan isu, ketamakan dan kerakusan dunia dengan kembali merenung kepada hakikat hidup.

Walaupun bagi sesetengah orang, perbincangan tentang Hari Akhirat bagaikan kurang standard, namun mereka tetap tidak boleh menafikan bahawa hidup ini hanya sementara. Mereka tetap akan mati dan kehidupan dunia mereka akan berakhir tanpa tarikh yang dapat diberitahu oleh sesiapa pun. Sementara, di sana ada kehidupan yang lebih abadi yang sering kita lupai.

Justeru, Rasulullah s.a.w mengingatkan kita tentang kehidupan ini, sabda baginda: ’Aku di dunia ini hanyalah bagaikan seorang penunggang kenderaan yang berehat di bawah sebatang pokok, kemudian pergi meninggalkannya.’ (Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).

Demikian kita semua dan dunia ini. Malangnya, hakikat ini sering kita lupa. Kita lupa kita dalam pemusafiran yang sedang menuju ke suatu destinasi. Hari dan waktu yang berlalu saban detik adalah perjalanan yang mengheret kita ke sana, sama ada kita mahu ataupun tidak. Tiada siapa yang menongkat langit di dunia ini. Tiada makhluk yang kekal. Kata ‘Abdullah bin ‘Umar r.a: Rasulullah s.a.w memegang bahuku lalu bersabda: ’Jadilah engkau di dunia ini bagaikan orang asing, atau seorang musafir.’ (Riwayat al-Bukhari).

Hidup ini menjadi gawat apabila kita terlupa, atau tidak tahu ke mana destinasi akhir yang hendak dituju? Sehingga ke manakah kita mahu perjalanan hidup ini sampai? Di mana kompas perjalanan hidup? Ramai yang tahu apabila ditanya, tetapi sering terlupa apabila diburu urusan dunia. Lebih malang lagi, sekarang ini ramai yang memang tidak tahu atau tidak beriman dengan destinasi akhir kehidupan. Ramai yang menjadi lupa, dan ramai pula yang masih gilakan kuasa sehingga lupa kepada sesama bangsa yang seagama. Lalu mereka bertindak dalam hidup ini, seakan-akan dunia tiada Tuhan dan akhirat itu tiada wujud dalam kamus kehidupan.

Kita yang mengaku beriman pun sering terlupa tentang perjalanan ini. Allah s.w.t mengingatkan kita dalam Surah al-Takathur yang sering kita baca: ’(maksudnya) Telah melalaikan kamu perbuatan berlumba-lumba untuk membanyak-banyakkan (harta benda, kuasa dan pengaruh). Sehingga kamu masuk kubur. Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk)! Sekali lagi (diingatkan): jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak akibatnya yang buruk)! Demi sesungguhnya! Kalaulah kamu mengetahui (apa yang kamu akan hadapi) dengan pengetahuan yang yakin. Demi sesungguhnya! Kamu akan melihat neraka yang marak menjulang. Selepas itu, demi sesungguhnya! – Kamu akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin. Selain itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)!’ (Surah al-Takathur ayat 1-8).

Ya, kita sering dilalaikan oleh politik, kuasa, harta, anak-pinak, persatuan, masyarakat, teman rakan, kerja dan berbagai lagi sehingga kita lupa untuk apa kita lakukan itu semua? Sebagai bekalan perjalanan? Atau sekadar berlumba memperbanyak atau menguatkan kedudukan dan harta tanpa mempedulikan halal dan haram sehingga menjadi beban perjalanan?

Maka persaingan hidup membawa kita terlupa pada destinasi akhir yang disediakan untuk kita hanyalah dua; syurga ataupun neraka. Tiada yang ketiga buatnya. Firman Allah s.w.t: ’(maksudnya) Adapun sesiapa yang berat timbangan amal baiknya, maka dia berada dalam kehidupan yang senang lenang. Sebaliknya, orang yang ringan timbangan amal baiknya, maka tempat kembalinya adalah ‘Haawiyah’. Dan tahukah kamu apa itu ‘Haawiyah’ itu?. (Ia adalah) api yang panas membakar.’ (Surah al-Qari‘ah, ayat 6-11)

Kita lupa bapa kita Adam asalnya daripada syurga dan kita sepatutnya pulang ke sana. Kita bukan berasal daripada neraka. Al-Quran sering mengulangi kisah Adam, antara hikmahnya, agar kita sering mengingati hakikat ini. Tempat pulang kita adalah syurga yang dilimpahi dengan segala kenikmatan. Sehingga Rasulullah s.a.w jelaskan tentang keindahan syurga itu, sabda baginda: ’Allah berfirman: ‘Aku sediakan untuk hamba-hamba-Ku yang soleh itu apa yang mata tidak pernah melihatnya, telinga tidak pernah mendengarnya (kelunakan bunyiannya), dan tidak pernah terlintas (keindahan itu) dalam jantung hati manusia.’ (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ya, kita patut pulang ke sana. Bukan tersalah jalan akhirnya kita ke neraka. Pohon perlindungan Allah dari itu semua! Membaca kisah syurga dalam al-Quran dan as-Sunnah menjadikan jiwa kita rindu dan syahdu. Mendidik jiwa agar beriman dengan syurga dan neraka adalah ubat kepada kegawatan dan kerakusan hidup. Mengingati syurga menjadikan luka dan parah yang terkena dalam perjalanan ini amat kecil dan sedikit. Mengingati neraka menjadikan penderitaan atau susah payah hidup dalam mematuhi prinsip yang Allah dan Rasul-Nya perintahkan itu, amat ringan.

Rasulullah s.a.w menceritakan kepada kita tentang kedahsyatan neraka dan kenikmatan syurga dalam sabdanya: ’Pada Hari Kiamat dibawa seorang penduduk dunia paling nikmat kehidupannya yang menjadi seorang ahli neraka. Dia dicelup ke dalam neraka satu celupan sahaja, kemudian dia ditanya: Wahai anak Adam, pernah engkau melihat kesenangan? Pernah engkau mendapat kenikmatan? Jawabnya: ‘Tidak! Demi Allah, wahai Tuhanku! Lalu dibawa seorang penduduk dunia yang paling derita kehidupannya yang menjadi ahli syurga. Dia dicelup ke dalam syurga dengan satu celupan sahaja, kemudian dia ditanya: Wahai anak Adam, pernahkah engkau melihat penderitaan? Pernahkah engkau mengalami kesusahan? Jawabnya: Tidak! Demi Allah, wahai Tuhanku!. Aku tidak pernah melihat penderitaan. Aku tidak pernah mengalami kesusahan.’ (Riwayat Muslim).

Ya, syurga melupakan kita kepada segala derita dunia, sementara neraka melupakan kita kepada segala kenikmatan dunia. Jika kita ada kompas ini dalam kehidupan, tentu kita tidak akan terlajak terlalu jauh dalam kesalahan atau penyelewengan. Jiwa dan perasaan kita sentiasa rasa dikawal sehingga kita melihat dunia dengan segala kekerdilannya dan akhirat itu adalah kehidupan sebenar. Maka reda ombak duka, atau kerakusan jiwa.

Saya cuba bertanya kepada diri dan rakan-rakan apabila membahaskan sesuatu perkara ilmu; apakah perbahasan ini membawa ke syurga atau ke neraka? Jika saya boleh bertanya kepada orang politik; pergelutan kalian, cara kalian, bahasa kalian, gelagat kalian, loyar buruk kalian itu semua membawa ke syurga atau neraka? Ya, mungkin soalan itu dianggap tidak standard lagi oleh kelompok politik era moden ini, termasuk yang dahulunya bercakap tentang Islam, tetapi itulah hakikat perjalanan kehidupan.

Fitnah Dan Perjuangan

SMAHADZIR


Walaupun saya tidak belajar sastera sewaktu di sekolah menengah, tetapi saya amat berminat dengan sastera. Hasilnya saya mendalami dunia kesusasteraan tanah air sebaik lepas sekolah menengah dan terus mendalaminya di peringkat universiti. Justeru meminati bidang sastera, saya mengenali Prof Hamka. Bukan mengenalinya secara peribadi tetapi mengenalinya melalui hasil-hasil karya beliau yang tinggi nilai estetikanya.


Siapa tidak kenal Prof Hamka?! Tokoh ilmuwan agung Indonesia. Beliau seorang ilmuwan Islam yang menguasai berbagai bidang; tafsir, fikah, sejarah, politik bahkan sastera. Kebanggaan umat Nusantara. Karya-karyanya menjadi bacaan dan rujukan termasuk di negara kita ini. Bahkan bukan sedikit pula yang memperolehi Ph.D kerana mengkaji karya-karyanya, khususnya Tafsir al-Azhar karangan beliau yang terkenal. Beliau merupakan seorang ilmuwan dan pemikir yang mengukir sejarah kencana bagi dirinya. Manfaat dari perjuangan ilmunya dirasai oleh umat Islam di seluruh Nusantara.


Seperti mana kebanyakan tokoh yang berjasa, mereka dikecam atau dimusuhi oleh pihak-pihak yang berkepentingan semasa hayat mereka, namun akan dikenang apabila mereka meninggal dunia. Ini kerana, apabila seseorang tokoh itu muncul, hasad dengki turut muncul dalam jiwa sebahagian yang merasa mereka akan terpinggir atau terancam. Mereka ini akan mencari jalan untuk membuat fitnah dan onar bagi menghalang perjalanan atau perjuangan seseorang tokoh tersebut.


Demikian juga pihak yang tersentuh kepentingan mereka, akan bertindak balas merencanakan ‘perang’ menghadapi tokoh berkenaan. Namun apabila tokoh tersebut sudah tiada, yang hasad mungkin hilang atau berkurangan, yang rasa terancam sudah selesa atau turut meninggal dunia, maka penilaian waras akan dibuat dan jasa tokoh berkenaan akan dikenang. Demikianlah Prof Hamka, semasa hayatnya beliau dituduh sesat oleh ulama konservatif Tanah Melayu dengan tuduhan kaum muda dan Wahabi. Semuanya hanya kerana ilmu yang disampaikan itu didengki atau ada kepentingan pihak tertentu yang terganggu.


Hakikat ini bukanlah sesuatu yang pelik. Al-Imam al-Bukhari (194-256 Hijrah) atau namanya Muhammad bin Ismail yang agung dalam hadis itu, semasa hayatnya pernah dituduh menganut ajaran Muktazilah dan sesat, bahkan dikafirkan. Beliau terpaksa keluar meninggalkan negerinya Naisabur. Tuduhan bahawa beliau menyatakan al-Quran makhluk bukan sahaja mempengaruhi orang awam, bahkan mempengaruhi tokoh-tokoh ilmuwan hadis besar pada itu seperti Abu Hatim dan Abu Zur‘ah. Tuduhan ini datang daripada gurunya sendiri iaitu Muhammad bin Yahya al-Zuhli.


Apabila beliau berpindah ke Bukhara, beliau disambut hebat oleh penduduk negeri berkenaan. Malangnya, tokoh ilmuan yang hasad kepadanya itu menulis surat pula kepada Gabenor Bukhara: “Lelaki ini menonjolkan diri menyanggahi sunnah Nabi.” Lalu al-Imam al-Bukhari dikeluarkan dari Bukhara. Menariknya, apabila ditanya al-Imam al-Bukhari tentang ujian itu, beliau menyatakan: “Aku tidak peduli selagi agamaku selamat.”


Kemudian sebahagian penduduk Samarkand menjemputnya ke negeri mereka. Namun berlaku perbalahan dan fitnah di kalangan penduduk, ada yang setuju beliau datang, ada yang membantah. Akhirnya bersetuju menerima kedatangan beliau, tetapi ketika beliau menaiki kenderaan menuju ke sana, beliau meninggal dunia sebelum sempat ke Samarkand.


Demikianlah kisah sedih akibat hasad dengki yang menimpa seorang imam yang agung al-Imam al-Bukhari (lihat: al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 12/453-464, Beirut: Dar al-Fikr). Hidupnya dibuang orang, namun matinya tetap terbilang.

Antara Doa Dan Politik

SMAHADZIR

Sebagai umat Islam memang kita selalu berdoa agar dilimpahi rahmat dan inayah demi kelangsungan hidup lebih sejahtera bukan sahaja untuk diri kita sendiri tetapi juga untuk keluarga, masyarakat, dan negara. Dalam konteks negara, kita tidak pilih siapa dan bangsa apa kerana yang penting ialah negara. Ini bermakna, apabila negara kita aman dan sejahtera, diri kita dan keluarga kita akan turut sejahtera. Sebab itu semasa berdoa kita mendoakan agar seluruh penduduk di negara kita (secara keseluruhan) diberkati Allah s.w.t tanpa memilih sama ada penduduk itu Islam atau kafir. Kita mahu supaya semua penduduk diberi kesejahteraan. Dan kita juga tidak dituntut supaya mendoakan kecelakaan orang lain lebih-lebih lagi orang Islam walaupun orang tersebut tidak sehaluan dengan kita.


Di negara kita baru-baru ini heboh isu seorang tokoh politik telah mendoakan agar kecelakaan menimpa pemimpin negara. Doa ini adalah tindakan balas bagi isu royalti minyak Kelantan. Berbagai pandangan dikeluarkan. Biasanya, penyokong parti politik masing-masing akan memberikan pandangan yang berpihak. Kesemua pihak cuba membela tokoh partinya. Itulah salah satu keburukan politik kepartian apabila fanatik menyelimuti diri.


Golongan agama yang berkepentingan pun akan mengambil kesempatan mengampu pihak yang boleh memberi manfaat keduniaan kepada mereka. Maka pandangan dan hukum agama akan diberikan berasaskan kepada keperluan politik, bukan tuntutan nas dan penilaian realiti yang berlaku. Sedangkan nas syarak itu asas, sedangkan realiti itu dinilai dalam melihat adakah wujud keserasian untuk dipadankan nas tertentu dengan konteksnya yang sesuai.


Maka perkara pertama seseorang pengkaji Islam hendaklah memahami apakah dalil-dalil syarak dalam sesuatu perkara. Kedua, adakah dalil-dalil itu bertepatan dengan realiti atau konteks yang wujud. Umpamanya perkara yang pernah Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (mantan Mufti Perlis) sebutkan dalam akhbar Utusan Malaysia suatu ketika dulu tentang hukum menjawab salam bukan Muslim. Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya Yahudi apabila memberi salam kepada kamu, sebenarnya dia menyebut: as-samu ‘alaika (maut atau kemusnahan). Maka kamu jawablah wa ‘alaika (ke atas kamu).” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Maka ertinya menjawab salam bukan Muslim dengan ucapan ‘wa ‘alaika’ itu hanya dalam konteks di mana mereka memberi salam dengan cara dan niat yang jahat, bukan dalam keadaan yang apabila salam diberikan dengan sopan dan hormat. Ertinya melihat nas dalam realitinya adalah penting bagi seorang sarjana dalam memahami sesuatu hukum. Perbezaan keadaan boleh membawa kepada perbezaan hukum. Namun, dalam menilai hukum ia mestilah bertitik tolak dari dalil-dalil syarak, kemudian memahami dalil-dalil tersebut dalam realitinya yang sebenar.


Saya bukan ingin berbicara tentang doa pemimpin politik tersebut, tetapi ingin berbalik kepada isu doa kecelakaan kepada sesama Muslim, boleh atau tidak? Ada yang menjawab sama sekali tidak boleh. Ada pula yang menjawab sama sekali boleh. Mungkin ada yang fanatik terhadap parti akan menjawab, doa untuk parti musuh boleh, parti sendiri tak boleh. Itu pun belum lagi kita tanya dia ‘Bagaimanakah mengklasifikasi perkataan ‘musuh’ menurut Islam?!


Sebelum kita melihat ke dalam konteks persaingan politik dan salahguna agama dalam suasana politik yang ada, mungkin seseorang boleh menjadikan soalan itu lebih mudah dihayati dan difahami dengan bertanya; “Jika seseorang Muslim menzalimi saya, bolehkah saya doakan agar Allah s.a.w mengambil tindakan atau menghukumnya di dunia?”


Maka di sinilah memerlukan dalil-dalil syarak dalam menetap asas ini. Kemudian, barulah kita akan lihat konteksnya, iaitu adakah orang yang dikatakan zalim itu memang benar-benar zalim?! Kemudian, adakah setimpal kadar kezaliman itu dengan isi doa yang dilafazkan?!


Dalam hidup kita ini kita mungkin akan menemui manusia yang mengaku Muslim tetapi sangat jahat, menganiayai dan menzalimi kita. Menipu, memfitnah dan menyiksa kita; boleh atau tidak kita berdoa agar Allah s.w.t mengambil tindakan kepadanya?


Lebih jelas jika kita kenang wanita yang dirogol, atau diragut sehingga cacat, atau keluarga dibunuh, adakah mereka diizinkan Islam agar berdoakan kepada Allah s.w.t untuk menurunkan musibah atau balasan dunia kepada orang menzalimi mereka?!


Ungkapan sesetengah tokoh agama bahawa sama sekali tidak boleh doa bala atau kecelakaan kepada Muslim sekalipun zalim adalah kurang teliti dan menafikan nas-nas yang mengizinkan hal ini. Sementara kenyataan yang menyebut boleh secara mutlak berdoa agar diturunkan bala kepada Muslim atau bukan Muslim tanpa meneliti kadar yang dikatakan zalim itu, atau musibah yang diminta itu akan menyebabkan doa menjadi permainan lidah dan berlaku perbuatan melampau dalam berdoa.


Namun kita percaya Allah Yang Maha Bijaksana tidak akan menerima doa yang tidak betul atau disalahgunakan. Wallahualam.

Demi Ukhuwah Islamiyyah

SMAHADZIR

Saban hari kita mendengar tentang pembunuhan tragis kaum zionis Israel terhadap penduduk Islam Palestin malah kejadian ini telah berlaku begitu lama sejak tahun 1948 lagi. Pembunuhan kejam ini bagaikan mangli di telinga kita dan terasa tidak ada apa-apa lagi yang mengejutkan malah kita hanya mampu menerimanya dengan pasrah dan sekadar menadah tangan memohon agar Allah s.w.t membalas setiap perbuatan kejam kaum zionis tersebut dengan balasan yang setimpal.


Sesungguhnya pembunuhan kejam dan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan oleh Yahudi Israel di Gaza, Palestin amat memilukan. Ia bukan sahaja mencabar perasaan persaudaraan Islam atau ukhuwwah Islamiyyah kita, bahkan ia mencemar dan mengotori nilai kemanusiaan sejagat.


Di mana Amerika yang kononnya berjuang memerangi pengganas? Pelindung Israel tersebut pantang ada kegiatan yang dianggap ganas yang dilakukan mereka yang mendakwa Muslim terus sahaja dia akan besar-besarkan dan tindakan memeranginya secara membabi buta akan dilancarkannya. Namun setiap kali Israel melakukan keganasan, dialah yang akan mempertahankannya. Memang wajarlah Amerika itu digelar syaitan.


Suatu ketika dulu ketika Gaza diserang dengan kejam oleh Israel, Bush mengistiharkan Hamas itulah pengganas. Malanglah umat Islam jika masih ingin mengharapkan dari Amerika. Demokrasi yang kononnya hendak dijuarai oleh Amerika di dunia Arab hanyalah permainan politik semata-mata. Umpamanya Mesir, sekalipun tampuk kuasa yang ada pada hari ini meminggirkan demokrasi dan mengkhianatinya, namun tampuk tersebut terus dipertahankan oleh Amerika disebabkan berbagai kepentingannya. Antaranya, Mesirlah pada hari ini yang menghalang kemasukan bantuan melalui sempadannya dengan Palestin.


Sukar bagi syaitan berwatak malaikat. Saya tidak pasti dengan lobi Yahudi yang kuat dalam politik Amerika, apakah Obama akan mampu berbuat sesuatu?


Di seluruh dunia, pelbagai demontrasi dan bantahan telah dibuat untuk menyelamatkan rakyat Palestin. Ia melepasi batasan kepuakan atau kepartian yang sempit. Jika sesiapa yang hendak membantah Israel pun masih nak kempen parti, ternyata otaknya sama dengan Israel.


Bagi saya, demonstrasi menentang kekejaman zionis Israel, mempunyai peranannya yang tersendiri. Saya juga mengharapkan umat Islam dan masyarakat dunia akan terus mengadakannya. Ya, bagi umat Islam sepatutnya tugasan kita lebih besar daripada sekadar tunjuk perasaan. Kita diwajibkan membantu saudara seislam kita yang ditindas atau dikejami dengan harta dan nyawa kita.


Firman Allah s.w.t: “(maksudnya) Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas yang terdiri daripada kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri ini, yang penduduknya zalim, dan jadikanlah bagi kami daripada pihak-Mu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihak-Mu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh). Orang-orang yang beriman, berperang pada jalan Allah; dan orang-orang yang kafir pula berperang pada jalan taghut (pelampau). Oleh sebab itu, perangilah kamu akan pengikut-pengikut syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah.” (Surah al-Nisa, ayat 75-76).


Berdasarkan firman Allah s.w.t ini, kata al-Imam al-Jasas (meninggal dunia 370 Hijrah): “Adalah sesuatu yang diketahui umum bahawa telah menjadi iktikad seluruh kaum Muslimin; apabila penduduk sesuatu negeri (kaum Muslimin) dalam ketakutan dari serangan musuh, dan mereka tidak mampu menghadapinya merasa terancam negeri, nyawa dan kaum mereka, maka ketika itu wajib ke atas seluruh umat untuk keluar mempertahankan kaum Muslimin dari serangan musuh. Ini adalah perkara yang tiada khilaf lagi di kalangan umat. Tiada sesiapa pun yang menyatakan harus dibiarkan ditumpahkan darah kaum Muslimin.” (Abu Bakr al-Jasas, Ahkam al-Quran, 4/312, Beirut: Dar Ihya al-Turath al-‘Arabi).


Namun atas kekangan keadaan yang ada, ramai pemimpin umat Islam yang tunduk kepada kehendak Amerika, lalu mereka menjadi pelindung secara langsung atau tidak langsung kepada Israel. Lihat sahaja Mesir yang sanggup menutup sempadannya sehingga bantuan makanan dan ubatan tidak dapat sampai kepada rakyat Palestin, sehingga rakyat Palestin tidak dapat melepaskan diri dari kekejaman Israel.


Kita umat Islam menjadi umat yang tidak terdaya. Bukan sahaja bertindak, bahkan bersuara pun ramai yang takut. Tidak ramai pemimpin seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad yang lantang dan berani untuk mengkritik dan berusaha membantah Amerika dan Israel. Yang pakai serban dan jubah dan sering bercakap tentang Islam di negara kita pun tak selantang Tun Dr Mahathir mengkritik Israel dan Amerika. Mereka hanya lantang mengkritik pemimpin negara sendiri dengan pelbagai cacian dan makian. Ramai pemimpin negara Islam yang lain pula bergantung rahmat kepada Amerika. Bahkan bukan sedikit yang sedang ‘mengidam kerusi kuasa di Putrajaya’ bertawakal harap bantuan dari dari Amerika.


Maka, ketika ini, sekurang-kurangnya demonstrasi, atau apa sahaja bantahan yang tidak bercanggahan dengan Islam hendaklah dilakukan oleh umat Islam yang tidak berkemampuan. Demikian juga dengan bantuan kewangan. Di Malaysia, sepatutnya mereka yang memegang tampuk-tampuk pentadbiran agama, sama ada yang berada di atas kerusi politik, atau istana perlu menjadi kelompok yang paling lantang membantah dan menghulurkan bantuan.


Saya terharu ketika melihat sekumpulan wanita British di kaca televisyen yang tidak beragama Islam, mengikat serban Palestin di leher mereka dan memberitahu wartawan bahawa mereka telah mengambil cuti seminggu untuk menyertai bantahan terhadap Israel. Mereka mengedarkan risalah tentang kekejaman Israel. Malanglah, jika mereka yang seperti ini membantah Israel, tetapi golongan yang diberikan amanah menjaga agama tenggelam dalam keempukan takhta dan membisu seribu bahasa. Di mana pula Majlis Fatwa Kebangsaan ketika ini? Tidak adakah fatwa tentang apakah kewajipan umat Islam dalam isu Palestin? Setelah keletihan dengan isu yoga dan pengkid, tidakkah mahu difikirkan isu Palestin pula?


Jika tidak, malanglah bagi umat Islam yang terdedah kepada dunia berita dan maklumat, tiba-tiba tidak mengambil endah tentang apa yang berlaku di Palestin dan tanggungjawab Muslim membela saudara-mara kita kaum Muslimin. Sabda Rasulullah s.a.w: ”Bandingan orang-orang Mukmin dalam kasih-sayang, kasihan dan simpati sama seperti satu jasad. Apabila satu anggota merasa sakit, maka seluruh anggota lain turut berjaga malam dan demam.” (Riwayat Muslim).


Islam bersikap adil. Islam tidak pernah menyatakan bahawa setiap mereka yang tidak menganut Islam itu adalah musuh Islam. Demonstrasi di seluruh dunia pada hari ini turut dilakukan oleh mereka yang bukan Islam. Islam hanya bermusuh dengan mereka yang melancarkan permusuhan dan kezaliman kepada umat Islam. Sama ada permusuhan itu atas kebencian kepada agama ini, atau atas sikap yang ingin menzalimi orang lain.


Kemudian, Islam tidak menerima dan membantah kezaliman di mana sahaja ia dilakukan. Sama ada ke atas Muslim atau bukan Muslim, sama ada kepada insan atau binatang dan alam. Kita membantah kekejaman ke atas saudara seakidah kita di Palestin atas nama Islam dan kemanusiaan. Orang lain membantah atas dasar kemanusiaan. Jika mereka yang bukan Islam dizalimi, kita tetap akan membantah atas dasar Islam dan kemanusiaan. Ini kerana prinsip Islam merangkumi prinsip kemanusiaan sejagat. Namun jika ada yang langsung tidak membantah, maka dia ini bolehlah dikatakan tiada prinsip Islam dan prinsip kemanusiaan.

Sikap Fanatik Dan Jumud Pemikiran Yang Merugikan

SMAHADZIR

Suatu ketika dahulu sahabat saya Astora Jabat menyatakan bahawa ‘istilah negara Islam tiada dalam al-Quran’. Akibatnya ramai ahli sebuah parti Islam yang nak bunuh beliau. Satu rombongan dari Kelantan singgah di Taman Shamelin Perkasa dan beberapa orang menyerbu ke pejabat Utusan Melayu di taman tersebut untuk bersemuka dengan Astora Jabat. Namun ditahan oleh pak guard yang bertugas. Tetapi apabila YB Dato Haji Hadi Awang berkata ‘istilah negara Islam tiada dalam al-Quran’ dalam Muktamar Agung PAS baru-baru ini, tiada seorang pun ahli parti tersebut yang nak bunuh Haji Hadi.


Inilah yang dikatakan sikap fanatik terhadap sesuatu pegangan dan terhadap kumpulan tertentu. Yang memalukan apabila orang yang tidak sehaluan dengan kita berkata sesuatu atau berpegang kepada sesuatu fahaman yang tidak sejalan dengan kita maka kita akan ‘menentang’ sedaya upaya sehingga sanggup mengatakan seseorang itu kafir malah sanggup membunuh. Tetapi apabila puak kita berkata atau berpegang kepada kata-kata yang serupa tidak pula kita ‘menentang dan melenting’.


Ada dua sebab mengapa sikap ini wujud dalam diri seseorang. Pertama ialah kerana jahil tentang sesuatu perkara dan kedua kerana sikap fanatik atau jumud pemikiran yang menebal dalam diri seseorang itu. Inilah yang berlaku dalam masyarakat Melayu sejak dari dulu sehingga sekarang.


Sikap fanatik kepada sesuatu pegangan atau jumud pemikiran boleh menatijahkan beberapa akhlak yang buruk. Antaranya, ia menyebabkan seseorang itu selalu berfikiran negatif terhadap orang yang berbeza pendapat dengannya. Ini seperti menuduh orang yang berbeza pendapat dengannya itu sebagai kafir, derhaka, ahli neraka, menghina ulama, jahat, taghut, firaun, musuh yang wajar dibunuh, halal darahnya dan sebagainya.


Bahkan lebih buruk daripada itu mereka yang berpenyakit fanatik ini sering cenderung membuat fitnah dan tuduhan palsu kepada orang lain apabila mereka kehilangan hujah dan alasan bagi mempertahankan apa yang mereka pegang. Mereka akan mengada-adakan tuduhan palsu agar orang ramai terpengaruh dan tidak mendengar hujah pihak yang berbeza dengan mereka.


Baru-baru ini di negara kita Malaysia, ada pihak yang menyatakan ‘tiada dalil yang sahih yang menyatakan dikhususkan malam Jumaat untuk membaca surah Yasin, maka golongan yang tidak dapat menerima perbezaan ini membuat cerita bohong kepada orang ramai kononnya ‘puak tersebut menyatakan haram membaca Yasin’. Tentu mereka yang terpengaruh dengan tuduhan ini akan marah dengan kenyataan yang seperti itu. Mana mungkin haram untuk membaca surah Yasin sedangkan itu adalah salah satu surah dalam al-Quran?! Lihat bagaimana mereka mengubah kenyataan dan fakta sehingga orang menjadi keliru dan bersalah sangka terhadap maksud asal kenyataan.


Demikian juga apabila ada yang membuat kenyataan menyatakan ‘tiada sebarang solat khusus untuk malam Jumaat’. Mereka yang pantang berbeza pendapat itu memberitahu orang ramai ‘puak itu kata haram solat sunat malam Jumaat’. Padahal maksud tiada solat khusus itu ialah tiada solat khas sempena malam Jumaat sahaja, adapun solat-solat sunat yang biasa tiada halangan.


Ini disebut oleh baginda Rasulullah s.a.w:Jangan kamu mengkhususkan malam Jumaat dengan solat yang berbeza dengan malam-malam yang lain. Jangan kamu mengkhususkan hari Jumaat dengan puasa yang berbeza dengan hari-hari yang lain, kecuali ia dalam (bilangan hari) puasa yang seseorang kamu berpuasa.” (Riwayat Muslim).


Sikap ini akan terserlah buruknya apabila mereka pantang mendengar pandangan atau kritikan terhadap aliran mazhab yang mereka pegang sekalipun dalam keadaan yang ilmiah.


Tentu ada orang yang akan marah apabila dikatakan pandangan ulama dahulu bahawa tempoh mengandung mungkin sehingga dua tahun, atau empat tahun, atau enam tahun atau lebih daripada itu tiada asas yang kukuh. Katanya, ”Dia siapa hendak berbeza dengan ulama-ulama dahulu yang lebih alim dan warak?! Dia lebih alim daripada merekakah?!”


Padahal soal tempoh paling lama mengandung yang disebutkan itu memang tiada nas yang sahih daripada al-Quran ataupun Sunnah. Sementara yang ada hanyalah andaian beberapa ulama dahulu berasaskan khabar yang mereka dengar dari beberapa wanita. Wanita-wanita itu mungkin tidak berbohong, tetapi sangkaan mereka bahawa mereka mengandung itu tidak benar.


Apatah lagi ketika itu ujian kehamilan (pregnancy test) seperti sekarang belum wujud. Pakar perubatan moden menyatakan tempoh mengandung secara puratanya ialah 266 hari atau sehingga 280 hari. Untuk sampai sehingga dua atau tiga atau empat tahun tidak menepati perkiraan saintifik.


Justeru itu, seorang tokoh saintis muslim Dr. Muhammad ‘Ali al-Bar menyifat kenyataan ahli fekah silam tentang tempoh mengandung sehingga tiga atau empat tahun sebagai riwayat yang khurafat (tiada asas) (lihat: ‘Umar Ghanim, Ahkam al-Janin fi al-Fiqh al-Islami, m.s 74, Beirut: Dar Ibn Hazm).


Apatah lagi dakwaan itu boleh mempunyai kesan yang jelas dalam kehidupan. Umpamanya, dengan berpegang kepada pendapat yang menyatakan tempoh mengandung sehingga empat tahun membolehkan seorang wanita yang kematian suami dan melahirkan anak empat tahun kemudian mendakwa dia mengandung empat tahun anak arwah suaminya. Seterusnya menuntut harta pusaka. Maka pengkajian sains moden patut didahulukan berbanding pendapat ulama silam tersebut.


Menolak pendapat ulama yang lepas bukanlah bererti menghina mereka, sebaliknya berpegang kepada kajian dan ilmu. Namun golongan fanatik menganggap ini telah keluar mazhab dan tidak beradab malah menghina ulama tersebut.


Dalam sejarah perkembangan ilmu, umat Islam berbeza pendapat dan kritikan ilmiah tidak pernah dianggap sebagai dosa dan jenayah melainkan mereka yang fanatik. Contoh al-Imam al-Zahabi (meninggal dunia 748 Hijrah) yang merupakan jaguh ilmu hadis yang agung dalam Islam ketika mengulas tentang al-Imam al-Ghazali r.h, beliau menyebut: “Aku katakan: Al-Ghazali adalah seorang imam yang besar, namun bukanlah menjadi syarat seorang alim itu untuk dia tidak melakukan kesilapan.”


Kemudian al-Zahabi mengulas berbagai perkara mengenai al-Imam al-Ghazali, antara katanya: “Adapun kitab al-Ihya padanya ada sejumlah hadis-hadis yang batil. Sekiranya tidak ada padanya adab, cara dan zuhud yang diambil dari ahli falsafah dan golongan sufi yang menyeleweng, padanya ada kebaikan yang banyak.”


Kita memohon daripada Allah s.w.t ilmu yang bermanfaat. Tahukah anda apa itu ilmu yang bermanfaat? Ia adalah apa yang dinyatakan al-Quran dan ditafsirkannya oleh Rasulullah s.a.w secara perkataan dan perbuatan. Sabda Rasulullah s.a.w: ”Sesiapa yang berpaling dari sunnahku, maka dia bukan dari kalanganku.” (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala 19/339). Ini bukan permusuhan tetapi tugas kesarjanaan yang dilakukan oleh al-Imam al-Zahabi.


Tokoh ilmuwan besar al-Imam Ibn ‘Abd al-Barr (meninggal dunia 463 Hijrah) ketika mengulas pendapat tabi’i terkenal Mujahid bin Jabr mengenai maksud ayat 22-23 dalam Surah al-Qiyamah, beliau menyanggahi pendapat Mujahid bin Jabr. Padahal Mujahid merupakan anak murid sahabat ilmuwan besar dalam bidang tafsir iaitu Ibn ‘Abbas. Kata Ibn ‘Abd al-Barr: “Tetapi pendapat Mujahid ini ditolak dengan sunnah yang sabit daripada Rasulullah s.a.w, perkataan-perkataan sahabat dan majoriti salaf. Pendapat Mujahid ini di sisi Ahl al-Sunnah adalah pendapat yang ditinggalkan. Apa yang menjadi pegangan Ahl al-Sunnah ialah yang sabit daripada nabi mereka mengenai perkara tersebut (maksud ayat berkenaan). Tiada di kalangan ulama melainkan boleh diambil atau ditolak pendapatnya, kecuali Rasulullah s.a.w.” (Ibn ‘Abd al-Barr, Al-Tamhid, 7/157, Morocco: Wizarah ‘Umum al-Auqaf).


Ini bukan bererti menghina Mujahid ataupun gurunya Ibn ‘Abbas. Bahkan kita dapati dalam sejarah ilmuwan, pandangan sahabat Nabi s.a.w ada yang dikritik. Bukan tanda benci atau tidak hormat, tetapi tanggungjawab keilmuwaan. Umpamanya al-Hafizd Muhammad bin Tahir al-Qaisarani (meninggal dunia 507 Hijrah) ketika menceritakan ketokohan sahabat Nabi yang mulia lagi dicintai, ‘Abd Allah bin Mas’ud, beliau mengulas: “Sesungguhnya beliau (‘Abd Allah bin Mas’ud) adalah antara tokoh sahabat, jaguh ilmuan dan pemimpin kepada hidayah. Namun begitu beliau memiliki qiraat dan fatwa yang tersendiri yang disebut dalam kitab-kitab ilmu. Setiap imam itu boleh diambil dan ditinggalkan perkataannya, kecuali imam golongan ahli takwa, yang benar lagi diakui kebenarannya, yang amanah lagi maksum (Rasulullah s.a.w) selawat dan salam ke atasnya. Alangkah hairannya, apabila seseorang alim menjadikan agamanya mengikut diri seseorang imam dalam setiap apa yang diucapkan, sedangkan dia tahu wujudnya nas-nas nabawiyyah (sunnah) yang menolak mazhab imamnya. Tiada kekuatan melainkan dengan Allah s.w.t jua.” (Muhammad bin Tahir al-Qaisarani, Tazkirah al-Huffadz, 1/16, Riyadh: Dar al-Sumai’i).


Dalam dunia ilmu, berbeza pandangan tidak pernah dianggap jenayah. Namun golongan yang fanatik selalu mencari jalan permusuhan dengan mengandaikan sesiapa yang berbeza dengan tokoh tertentu maka dia menghina dan tidak beradab. Selagi pandangan itu diberikan dalam lingkaran ilmu dan perbincangan ilmiah tanpa maki dan cerca, maka itu adalah dunia ilmu yang patut diberikan haknya.


Jangan kerana kita begitu rakus agar semua cakap kita didengari apabila ada orang berbeza dengan kita, dia dianggap musuh. Marilah kita belajar menilai pandangan dan menghormati perbezaan. Berbeza bukan bererti menghina. Kata al-Imam al-Zahabi juga: “Setiap orang boleh diambil dan ditolak pendapatnya, kecuali Rasulullah s.a.w. Namun jika seseorang imam itu tersilap dalam ijtihadnya, tidak wajar untuk kita melupai kebaikan-kebaikannya dan menutup amalan-amalan makrufnya. Bahkan kita beristighfar untuknya dan memaafkannya.” (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 18/157).


Wallahualam.

Unsur Syiah Sudah Lama Ada Dalam Masyarakat Melayu: Akal Diperlukan Untuk Mengukur Maklumat

SMAHADZIR

Tanpa kita sedari proses asimilasi dan akulturasi telah berlaku dalam kehidupan kita seharian. Proses ini meresap ke dalam kehidupan kita sehingga kita tidak sedar bahawa unsur-unsur yang menerap tersebut bukanlah tuntutan agama. Paling ketara ialah unsur-unsur budaya seperti makanan, kesenian dan pakaian. Kadang-kadang dalam soal agama pun unsur-unsur Hinduisme telah wujud dalam masyarakat Melayu kita tanpa kita sedar dan menganggap bahawa itu adalah tuntutan agama Islam. Begitu juga dengan unsur-unsur Syiah.


Masalah paling besar dalam kalangan sesetengah yang memakai gelaran ‘agamawan’ atau tokoh agama adalah apabila mereka tidak memiliki manhaj atau method yang betul dalam memahami sesuatu fakta yang dikaitkan dengan Islam ini. Lalu, atas kurang teliti, atau ‘kurang fikir’ atau ‘memang tak fikir’ mereka menelan semua perkara yang dikaitkan dengan agama sama ada hasil percakapan orang atau bahan bacaan.


Dari situlah lahirnya khurafat, karut marut, tokok tambah, kekartunan pemikiran yang diberikan lebel agama. Jika hal itu berterusan, maka kekeliruan terhadap agama akan berkembang lantas agama akan dipersenda dan didustai. Inilah yang terjadi kepada agama Kristian di Barat pada hari ini sehingga penghormatan para penganutnya terhadap perlambangan utama agama tersebut; termasuk Tuhan dan Jesus menjadi bahan sendaan dan mainan.


Ini kerana ajaran agama di Barat gagal menghadapi perkembangan akal kritis yang ada dalam kalangan mereka. Ini berbeza dengan negara-negara yang rakyatnya berjiwa feudal, atau rakyatnya diharamkan berfikir lalu mereka menelan segala perkara, sama ada benar ataupun salah tanpa mampu, atau mahu berfikir. Inilah yang terjadi kepada penganut berhala totok yang menyembah apa sahaja yang terlintas atau difikirkan ajaib. Sesiapa yang pernah pergi ke India akan dapat melihat kemandulan akal dalam beragama.


Sesuatu riwayat atau kisah atau matan yang hendak dianggap benar untuk dikaitkan dengan Islam dinilai secara kritis sejauh manakah kesahihan maklumat tersebut. Ini mesti dilihat kepada sumber maklumat; sama ada ia berasal daripada al-Quran dan al-Sunnah atau tidak? Sementara jika riwayat itu bersumberkan hadis atau athar; hendaklah dipastikan ia riwayat yang diterima di sisi ilmu periwayatan. Bukan riwayat yang para perawi atau periwayatnya ditolak.


Setelah proses ini dilepasi, dinilai pula sejauh manakah kemunasabahan sesuatu teks atau riwayat itu. Adakah ia bertentangan dengan al-Quran, atau realiti yang nyata, atau sejarah yang tidak dipertikaikan, atau akal yang disepakati? Jika ini berlaku dan tiada jalan keluar untuk menserasikannya, maka riwayat itu ditolak. Contohnya cerita bahawa Bahtera Nabi Nuh a.s. tawaf Kaabah dan bersolat di makam Ibrahim dua rakaat. Ini semua adalah dusta. Tidak masuk akal.


Nabi Nuh a.s. wujud sebelum Ibrahim a.s. Sementara Kaabah dibina oleh Nabi Ibrahim dan Makam Ibrahim mengambil sempena nama Nabi Ibrahim a.s. Di mana Kaabah dan makamnya ketika itu untuk Bahtera Nuh bertawaf? Dengan itu para ulama hadis-hadis menolak cerita ini. Termasuk yang menempelak riwayat tersebut al-Imam al-Syafi‘I (al-Jurjani, al-Kamil fi Du‘afa al-Rijal, 4/270, Beirut: Dar al-Fikr). Malang sekali, masih ada penceramah agama yang mendendangkan kisah karut ini.


Saya pernah membaca tulisan dan juga mendengar ceramah agama seorang ustaz berjubah dan berserban yang menyatakan tentang sunat membuat bubur pada sepuluh Muharam kerana mengenangkan peristiwa pembunuhan Saidina Husain bin ‘Ali r.huma. Ada beberapa orang sahabat saya yang bimbang masuknya unsur Syiah ke dalam masyarakat yang tidak diajar menilai sesuatu dengan kritis. Saya kata; kita tidak perlu bimbang asal-usul sesuatu unsur pemikiran atau kefahaman dari mana datangnya. Selagi ia benar atau bertepatan dengan fakta, datanglah dari mana sahaja, sekalipun dari Yahudi. Kebenaran tidak memilih bulu.


Apa yang dibimbangi adalah unsur tersebut terpinggir jauh dari kebenaran. Soal kelebihan amalan atau fadilat adalah ditentukan oleh Allah dan Rasul-Nya. Dalam riwayat sahih yang manakah yang menyebut kelebihan membuat bubur hitam atau merah atau apa warna sahaja pada Hari ‘Asyura? Yang pasti ia tidak pernah ada. Apatah lagi peristiwa pembunuhan Husain bin ‘Ali berlaku pada tahun 61 Hijrah, pada zaman pemerintahan Yazid bin Mu‘awiyah. (lihat: Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 6/258, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).


Terlajak membicarakan tentang pembunuhan cucunda Rasulullah SAW ini, al-Husain bin ‘Ali yang amat kita cintai, ingin saya jelaskan bahawa ahli-ahli sejarah ramai yang berpendapat bukan Yazid yang membunuhnya seperti yang didakwa. Saya ingin memetik apa yang diulas oleh sejarahwan besar, al-Imam Ibn Kathir (meninggal dunia 774 Hijrah): “Orang ramai mempunyai berbagai pendapat tentang Yazid bin Mu‘awiyah. Ada yang mencintai dan mengangkatnya iaitu segolongan penduduk Syam yang beraliran Nasibiyyah. Adapun golongan Syiah Rafidah, mereka mengejinya dan mengada-adakan berbagai pembohongan yang Yazid tidak lakukan. Ramai mereka menuduhnya zindiq (kafir yang berpura-pura muslim). Dia tidak sampai begitu. Sementara pihak yang lain, tidak menyukainya dan tidak pula mencercanya. Ini kerana mereka tahu dia bukan zindik seperti yang dituduh oleh golongan Syiah Rafidah, namun pada zaman pemerintahannya berlaku berbagai peristiwa yang jelik dan perkara-perkara yang dibantah, hodoh dan keji. Paling teruk adalah pembunuhan Husain bin ‘Ali di Karbala. Namun dia tidak tahu (mengarahkannya) dan barangkali dia tidak meredhainya.” (al-Bidayah wa al-Nihayah, 6/256).


Kata tokoh pengkaji hadis al-Imam Ibn al-Salah (meninggal dunia 643 Hijrah): “Tidak sahih di sisi kami bahawa Yazid memerintahkan agar dibunuh al-Husain r.a. Riwayat mereka yang dipercayai bahawa perintah agar dibunuh al-Husain dari orang yang mengepalai dalam pembunuhannya iaitu ‘Ubaid Allah bin Ziyad, gabenor Iraq ketika itu.” (Ibn Tulun, Qaid al-Syarid min Akhbar Yazid m.s. 57, Kaherah: Dar al-Sahwah, Kaherah).


Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah (meninggal dunia 728 Hijrah) mempunyai ulasan yang menarik, katanya: “Apabila kaum keluarga Husain datang kepada Yazid, dia memuliakan mereka dan mengiringi mereka ke Madinah. Diriwayatkan dia melaknat Ibn Ziyad atas pembunuhan al-Husain. Katanya: “Aku meredhai ketaatan penduduk Iraq tanpa membunuh al-Husain.” Namun begitu beliau tidak menampakkan bantahannya, membela kematiannya dan mengambil tindakan membunuh balas sedangkan itu adalah kewajipannya. Maka dengan itu, pendokong kebenaran mengutuknya disebabkan dia meninggalkan kewajipan di samping perkara-perkara lain. Adapun musuh-musuhnya… mereka menokok tambah pendustaan ke atasnya berbagai-bagai lagi.” (Ibn, Taimiyyah, Majmu’ al-Fatwa, 2/253, Riyadh: Maktab al-‘Abikan).


Unsur Syiah bukan baru dalam masyarakat kita, walaupun ia belum lagi keterlaluan. Ini dapat dilihat bagaimana orang Melayu menamakan akar-akar kayu dengan nama ‘Ali dan Fatimah; seperti tongkat Ali dan Kacip Fatimah. Tidak dinamakan tongkat Abu Bakar atau ‘Umar, tidak juga Kacip ‘Aishah, atau Habsah. Dalam jampi juga ada menyebut: “fu kiri, fu kanan, berkat doa baginda ‘Ali”.


Jika sekadar nama ‘Ali atau Fatimah tiada salahnya. Mereka ialah kaum keluarga Rasulullah SAW yang amat kita kasihi. Sebaliknya yang ditakuti apabila perkara yang tidak agama dianggap agama dalam Islam. Itu yang menakutkan. Sehingga di Pakistan, Iraq, Iran dan kawasan-kawasan yang kuat pegangan Syiahnya, pada hari ‘Asyura mereka mencederakan diri masing-masing dengan alatan tajam kerana mengenangkan Saidina Husain dan kekejaman Yazid.


Ribuan bahkan ratus ribu kaum Syiah berkumpul pada sepuluh Muharam saban tahun melukai tubuh dengan darah dan membasahi pipi dengan airmata mendendami Yazid dan mengenang al-Husain bin ‘Ali. Lalu peristiwa pembunuhan antara puak Sunni dan Syiah, terus menjadi dendam hingga ke hari ini. Siapakah sasarannya? Apa pun jawapannya, ia adalah antara sebab terpisahnya Sunni dan Syiah. Satu ajaran yang hidup dalam nostagia luka yang sebahagiannya mungkin benar, sebahagiannya mungkin palsu.


Apapun, saya tidak dapat bayangkan jika seseorang yang ingin menganut Islam hadir menyaksikan upacara yang dikaitkan dengan Islam yang dipenuhi manusia yang mencedera dan melukai diri sendiri, apakah dia akan terus menganggap agama yang membangunkan akal dan jiwa, mudah dan lurus mencapai Tuhan? Atau mungkin dia tidak dapat membezakan antara ajaran Kristian yang mendakwa darah Jesus terpaksa ditumpahkan untuk menebus dosa manusia, atau mungkin dia akan keliru dengan agama sesat yang menyuruh penganutnya berjalan atas api dan melukai diri untuk menunaikan nazar atau menebus dosa? Saya tidak pasti. Apa yang pasti itu bukan sifat Islam seperti yang terkandung indah dalam al-Quran dan al-Sunnah.

Memalukan Bila Lelaki Melayu Berkahwin Dengan Lelaki Barat

SMAHADZIR

Baru-baru ini negara kita digemparkan dengan berita perkahwinan seorang lelaki Melayu yang merupakan bekas pelajar tajaan Petronas dengan seorang lelaki Barat. Lelaki Melayu itu siap berpakaian Melayu, bertanjak dan bersongket sewaktu berkahwin dengan lelaki Barat tersebut. Sungguh memeranjatkan sekaligus memalukan. Inilah hakikatnya apabila istilah kebebasan disalahgunakan tanpa paksi agama.

Semasa zaman remaja dulu saya pernah berkawan dengan seorang homoseksual. Pada mulanya saya tak tahu bahawa dia seorang gay atau homoseksual tetapi akhirnya tahu juga. Rakan gay atau homoseksual saya ini handsome, kacak dan begitu memikat sehingga jika kita berjalan bersamanya, seseorang gadis tak akan memandang kita walau sepicing pun. Mereka hanya akan memandang ke arahnya kerana kehandsomeman dan kekacakkannya itu. Namun di sebalik kehandsomeman dan kekacakkannya itu terukir sifat homoseksual yang begitu jijik dan memualkan. Akhirnya saya meninggalkannya kerana terlalu takut.

Itulah pengalaman berharga saya sewaktu remaja dulu – berkawan dengan seorang gay atau homoseksual. Dan sebelum kes lelaki Melayu berkahwin dengan lelaki Barat ini pula negara kita telah digegarkan dengan program Seksualiti Merdeka yang melibatkan golongan lesbian dan gay atau homoseksual ini. Menyebabkan ingatan saya kembali ke zaman remaja dulu.

Saya berasa syukur dengan reaksi awam mengenai program Seksualiti Merdeka tersebut yang akhirnya reda apabila Polis Diraja Malaysia mengeluarkan kenyataan perhimpunan itu adalah haram dan kemudiannya penganjur membatalkannya walaupun perjumpaan yang sama telah berjaya diadakan pada tahun 2008. Pengharaman itu kerana ia bertentangan dengan undang-undang negara, tetapi ada sedikit keraguan dalam kalangan pendokongnya apabila melihat tegahan tersebut sebagai tidak menghormati kebebasan individu sehingga ada andaian bahawa homoseksual adalah sesuatu yang lumrah dalam kehidupan manusia.

Pandangan itu sebenarnya adalah sebuah premis yang keliru, kerana seorang peguam menulis dengan nada menyindirnya sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya dijadikan isu kerana masalah rasuah adalah lebih serius berbanding kerosakan budaya yang dikaitkan dengan golongan yang celaru dan hilang jatidiri itu. Menurut pandangan peguam yang memperjuangkan kebebasan tersebut, ‘Kita mudah mengharamkan dan menghalalkan sesuatu tanpa berfikir panjang dan mengambil kira situasi dan keadaan semasa. Jika ia tidak halal pasti ia haram dan begitulah sebaliknya. Ketahuilah Islam lebih luas dari masjid dan surau kita.’ (Afiq M Noor, Catatan Ringkas: Islam dan Homoseksualiti, Malaysiakini, 5 November 2011).

Alasan beliau, mudah, kerana Islam merupakan agama yang diasaskan prinsip kasih sayang, maka mengharamkan homoseksual itu adalah tidak wajar kerana ia boleh mengaibkan mereka yang memangnya dilahirkan secara tabienya begitu. Kesimpulan itu, sebenarnya menggunakan premis yang salah, tidak melihat Islam dengan jelasnya menentang sebarang bentuk maksiat, termasuk berzina apatah lagi hubungan seks sejenis, berdasarkan al-Quran mengenai kisah manusia zaman Nabi Luth a.s. dan peraturan dalam pergaulan antara muhrim dan bukan muhrim.

Memang benar al-Quran bukanlah sebuah kitab hukum kerana daripada sejumlah lebih 6,000 ayat yang ada, hanyalah sekitar 81 ayat merupakan ayat-ayat hukum yang kemudiannya dilembagakan sebagai perimbangan haram dan halal. Maka, disebabkan zina itu termasuk dalam dosa besar, ia dijelaskan dengan begitu terang, bahawa seseorang yang berzina itu perlu dihukum termasuk rejam sampai mati.

Natijah peguam tersebut amat mudah kerana menganggap pengharaman dan kemarahan umat Islam terhadap Seksualiti Merdeka hanyalah sebuah petunjuk yang tidak menghormati tabie, kerana homoseksual itu adalah sesuatu yang semulajadi. Benarkah pandangan itu?

Allah s.w.t menjadikan manusia sebaik-baik kejadian dalam keadaan berpasangan-pasangan, iaitu lelaki dan wanita. Dari segi fitrahnya sudah jelas, tidak ada lelaki separuh dan separuh lagi wanita. Ini bermakna secara fizikal, seseorang lelaki adalah mereka yang mempunyai alat kelamin yang berlainan dengan wanita.

Secara saintifiknya, ada pemerhatian ilmiah dibuat ke atas mereka yang termasuk dalam kategori ketiga atau keempat (lesbian dan gay, maknyah atau pondan dan bapok atau khunsa). Lesbian asalnya diambil dari nama pulau iaitu Lesbos, terletak di tengah Laut Aegen. Pulau itu hanya dihuni oleh wanita. Sesiapa yang lahir di situ, di akhir namanya diletakkan nama Lesbos, dan dari situlah penghuninya dipanggil lesbian.

Konsep itu kemudiannya berkembang menjadi jalinan seks sesama wanita. Perlakuan ini turut mempengaruhi naluri sehingga tidak melihat bahawa keperluan untuk hidup adalah atas dasar hubungan sepasang manusia yang kelainan jantina. Ini mungkin disebabkan oleh tekanan persekitaran yang mempengaruhi kecenderungan otak sehingga memberikan kesimpulan bahawa lelaki adalah pasangan yang banyak mendatangkan kesan negatif.

Istilah gay pula merujuk kepada tabiat seks sejenis yang diamalkan oleh lelaki. Gay pada awalnya bermaksud ‘ceria’, ‘gembira’ atau ‘terang’ akhirnya disebabkan adanya perasaan sesama lelaki dianggap sebagai sesuatu yang menggembirakan, ia bertukar kepada penarikan seks sesama lelaki. Istilah ini sebenarnya merupakan dua struktur yang dikhaskan untuk menggambarkan orientasi seksual seseorang dalam sifat dan jenis homoseksual.

Istilah homoseksual diperkenalkan oleh seorang penulis keturunan Austria, Karl-Maria Kertbeny dalam sebuah risalah yang diterbitkan di Jerman pada tahun 1869. Homoseksual merupakan gabungan dua perkataan Yunani, iaitu homo yang bermaksud ‘sama’ dan seks yang bererti seks.

Berdasarkan pengalaman sejarah kuno, Charlotte Higgins dalam buku yang berjudul It’s All Greek to Me (2008), perilaku homoseksual sudah pun berlaku dalam negara polis iaitu Sparta. Pada waktu itu, lelaki diwajibkan menjalani kerahan tenaga dan mereka tidak dibenarkan berkahwin. Dalam situasi itulah perilaku tertariknya seks sesama jantina terjadi. Ia berbeza dengan Athens, yang mengamalkan prinsip kebebasan.

Di Athens, perlakuan seks sesama jantina sukar dikesan, kerana mereka mengamalkan kehidupan bebas, iaitu bebas memilih pasangan yang berlainan jantina. Mereka mementingkan prinsip kebebasan, kerana boleh memiliki seberapa ramai wanita asalkan pemilikan tidak berdasarkan paksaan.

Menerusi gabungan dua perspektif itulah kemudiannya homoseksual dilihat sebagai perlakuan seks sesama jantina dengan syarat dilakukan bukan dalam terpaksa. Prinsip ini kemudiannya berkembang hingga ke hari ini, dan dijadikan asas mendesak undang-undang sesebuah negara agar menghalalkan perkahwinan sesama jenis.

Berdasarkan kajian saintifik, faktor genetik bukanlah penyebab utama lahirnya pengamal homoseksual. Ia berkait rapat dengan persekitaran hormon dihasilkan oleh badan seseorang sehingga boleh mengawal struktur otak. Misalnya kajian Simon LeVay pada tahun 1991, kelompok kecil neuron pada anterior hypothalamus mengawal tabiat seksual dua kali ganda pada imbasan otak homoseksual berbanding mereka yang mengamalkan seks kelainan jantina.

Ekoran berkembangnya fahaman kebebasan, orientasi seks sejenis dijelmakan melalui pelbagai tulisan erotik dihasilkan oleh penulis-penulis yang merasakan dirinya tertekan oleh persekitaran lazim, kerana menganggap kelaziman itu sesuatu yang amat membosankan.

Dalam analisis Christopher Bram, Mapping the Territory (2009), ‘The flowering of gay and lesbian writing has been astounding, in an literary explosion that is positively uncanny in an age that many critics consider postliterate’ yang berlaku dengan hebatnya dalam tahun 1970-an. Dalam tempoh itu, beberapa universiti di Amerika Syarikat memulakan pengajian dalam bidang budaya gay dan lesbian manakala Universiti Harvard memulakannya sebagai satu pengkhususan dalam bidang sosiologi dan psikologi pada akhir 1990-an.

Keadaan itu, akhirnya memaksa negara Barat membuat penelitian semula mengenai kedudukan undang-undang sehinggalah membenarkan perkahwinan sejenis secara meluas pada pertengahan tahun 2011.

Islam melarang keras perkahwinan sejenis berdasarkan ayat 80 surah al-Araf: ‘Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: ‘Patutkah kamu melakukan perbuatan keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu?” Kemudiannya, Allah s.w.t menyambungnya dalam ayat ke-81: ‘Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.’

Seharusnya peguam yang mendakwa pejuang kebebasan itu meneliti dengan mendalam pengisahan yang berlaku pada zaman Nabi Luth a.s. sebelum membuat kesimpulan berdasarkan perspektif yang terkeluar daripada al-Quran yang dianggapnya bukan sebagai kitab hukum.

Homoseksual sebenarnya disumbangkan oleh persekitaran kekeluargaan, di mana seseorang itu pernah mengalami trauma dikasari oleh anggota keluarga akhirnya menyebabkan rasa benci kepada kelainan jantina. Predominan dalam pemilihan identiti itu juga berlaku dalam persekitaran perhubungan kekeluargaan yang renggang.

Tabiat pergaulan dan persekitaran menjadi faktor terbesar menyumbang kepada kecelaruan identiti di mana salah seorang anggota keluarga tidak menunjukkan kasih sayang dan sikap ibu bapa yang merasakan penjelasan mengenai seks adalah sesuatu yang taboo. Secara jelasnya, faktor pergaulan yang amat besar mempengaruhi perilaku seksual dalam kalangan mereka yang kehilangan jatidiri dan kecelaruan psikologi, maka itu menyumbang kepada kurang keyakinan diri terhadap keupayaan seks.

Tindakan polis mengharamkan perhimpunan tersebut amat wajar manakala desakan meluas masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan untuk dikenakan tindakan tegas kepada penganjur bukanlah bertentangan dengan prinsip kebebasan. Mereka sebenarnya ingin memugarkan hakikat kebebasan individu agar kehidupan lebih beradab dan bermoral.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA