Isnin, 17 Oktober 2011

Ho Chi Minh Menyajikan Kejutan Menyeronokkan

SMAHADZIR

BERCUTI sememangnya cara terbaik melarikan diri daripada tekanan hidup. Bagi pelajar - tidak lagi diganggu loceng sekolah manakala pekerja dan majikan dapat menenangkan diri daripada kesibukan dan apa juga halangan yang mengekang hak untuk berehat. Walaupun mungkin hanya untuk seketika, bercuti adalah terapi minda serta jiwa selain masa terbaik mengucapkan selamat tinggal kepada tekanan yang melingkari hidup anda. Sudah pasti, destinasi pilihan terbaik mungkin di Vietnam atau ringkasnya katakan ‘Hello Ho Chi Minh!’

Saji tarikan unik tinggalan sejarah, seni bina Perancis selain syurga beli-belah dan makanan eksotik

Sebaik menjejakkan kaki, anda pasti terpesona dengan keindahan bandar raya ini hasil gabungan silam era kolonial, tamadun yang kaya tradisi dan budaya, keindahan seni bina, makanan eksotik, penduduk yang ramah dan sejarah mengagumkan. Tidak hairanlah Ho Chi Minh disifatkan destinasi ideal untuk percutian bersama keluarga. Hanya sejam penerbangan dari KLIA, anda akan tiba di tebing Sungai Saigon dan menyaksikan bukti kehebatan orang Khmer mewujudkan ketamadunan mereka yang berjaya mengelak penjajahan, memenangi perang melawan kuasa besar dan akhirnya membina bandar raya kukuh. Ho Chi Minh adalah paparan keberanian sekumpulan manusia yang berjaya menempuh segala kesukaran.

Daripada keajaiban struktur kolonial kepada bangunan tinggi yang makin berseri dilimpahi cahaya pada waktu malamnya, Ho Chi Minh yang dihuni hampir tujuh juta penduduknya, juga berperanan sebagai pusat kewangan dan ekonomi Vietnam. Pada waktu siang, bandar ini memukau dengan wangian dan pemandangan mengagumkan. Ke mana saja anda pergi di kota ini, bau-bauan aroma buah-buahan seperti nangka dan juga kopi memenuhi ruang udaranya. Pendek kata, Ho Chi Minh bandar penuh keriangan dan anda tidak boleh mengelak daripada merasai suasana girang baik ketika bersiar di lorong, singgah di kafe yang berderet atau pasar. Keriangan juga terserlah dalam senyuman masyarakatnya.

Lokasi penginapan terbaik adalah District One yang dipenuhi pelbagai produk pelancongan menarik. Di sini jugalah tersergam beberapa hotel terkenal seperti Hotel Continental, Rex, Majestic, Grand dan Caravelle, selain Park Hyatt Saigon, Riverside, New World dan Sheraton Saigon. Banyak cara sebenarnya untuk bersiar-siar di bandar ini, tetapi kaedah terbaik sudah pastinya berjalan kaki. Jangan bimbang jika tersesat kerana penduduk Vietnam begitu ramah dan mesra, lantas setakat bertanyakan arah bukanlah sesuatu yang sukar.

Dengan ruang pejalan kaki yang lebar dan villa Perancis mengagumkan, Ho Chi Minh ibarat ‘Paris Timur’ dengan beberapa tinggalan seni bina Perancis masih tersergam indah, termasuk Pejabat Pos Besar, Reunification Palace, City Hall, Municipal Theatre dan Notre-Dame Basilica. Selain berjalan kaki, tidak salah jika anda mencuba khidmat beca pelbagai warna yang memberi keseronokan sambil menjamu mata.

Mulakan kembara anda dengan melawat Muzium Sejarah yang menempatkan koleksi hebat artifak 2,000 tahun sejarah Vietnam. Lawatan singkat ke muzium ini amat berguna bagi mendapat maklumat awal mengenai banyak perkara yang bakal dilihat di bandar ini. Uniknya, muzium ini turut menempatkan panggung air bagi persembahan patung yang berkisar kisah mitos dewa dewi, naga dan ikan yang boleh bercakap. Setiap persembahan lazimnya mengambil masa kira-kira satu jam yang pasti menghiburkan anda.

Destinasi menarik untuk dilawati di kota ini ialah Pejabat Pos Besar yang juga terbesar di Vietnam. Ia dibina pada awal kurun ke-10 ketika negara ini di bawah jajahan Perancis. Ruang dalamannya begitu mengagumkan, manakala strukturnya serupa stesen kereta api Eropah dengan jam besar di tengah astaka, seni bina yang dipengaruhi era Renaissance atau Zaman Pembaharuan.

Singgah juga ke satu lagi bangunan menarik berbumbung kaca dan siling besar yang pasti cukup menjadikan anda untuk memukau anda. Dengan seni bina gaya neo-Romanesque, bangunan Notre-Dame Basilica tersergam pada 1960-an apabila seorang ketua paderi dihantar bertugas di Saigon. Dibina di bawah seliaan jurutera terkenal Perancis, asas bangunannya direkabentuk untuk menampung 10 kali ganda berat gereja, bata merahnya diimport dari Marseilles dan sehingga kini merahnya masih utuh. Keindahannya pula boleh dinikmati dari pelbagai sudut. Oleh itu, jangan sekali-kali lupa melawat struktur hebat yang berjaya melepasi Perang Dunia Kedua ini!

Tidak lengkap percutian jika tidak diselitkan agenda penting iaitu membeli-belah. Ini membawa kita ke destinasi seterusnya iaitu Cho Long - China Town di Ho Chi Minh yang dibangunkan golongan pendatang China pada 1778. Cho Long yang membawa maksud pasar besar, begitu berwarna warni dan menempatkan Pasar Ben Thanh. Barangan di sini pula bukan setakat menjadikan anda rambang mata tetapi sekurang-kurangnya setengah hari diperlukan jika mahu ke sini.

Di syurga beli-belah yang terbentang meluas seperti pasar eksotik Maghribi ini, kemahiran asas yang diperlukan adalah tawar menawar. Namun satu peringatan! Jangan cari produk berjenama di sini sebaliknya jika anda sabar, mungkin akan temui belian hebat dalam bentuk kasut, beg dan aksesori wanita. Bagi yang mahu bergaya, susuri sepanjang Jalan Dong Khoi, syurga produk fesyen berjenama menempatkan kedai menjual hasil rekaan Gucci dan Louis Vuitton - selain Roof Top Garden Restaurant di Hotel Rex - satu lagi tempat terbaik untuk menikmati makan malam di Ben Thanh.

Selepas penat membeli-belah, perut kosong harus diisi. Ada pelbagai restoran tepi jalan menyajikan makanan asli Vietnam - ikan goreng dan popia antara sajian istimewa. Makan malam di Ben Thanh, sekurang-kurangnya sekali adalah satu kemestian kerana ia pasti meninggalkan pengalaman sukar dilupakan. Cuba juga makan malam atas bot menyusuri sungai sambil menikmati pemandangan mempesonakan dan hidangan hasil laut yang pasti mengecurkan air liur.

Beberapa kilometer di luar District One, tersergam Pagoda Emperor Jade, terkenal dengan unsur gabungan tradisi Tao-Buddha. Bahagian luarnya diukir teliti dengan anekdot mistik ketuhanan, pagoda hebat ini diselubungi asap setanggi dan kelilingnya dipenuhi arca ketuhanan. Jika membawa anak, berikan mereka keriangan dengan mengunjungi Taman Hiburan Suoi Tien, mengandungi zoo, pantai buatan dan air terjun cantik yang direkabentuk mengikut nilai estetika Oriental-Disney. Ia menggambarkan imej kerohanian orang Vietnam melalui arca naga, singa, penyu dan merpati - pasti digemari kanak-kanak.

Kembara ke Ho Chi Minh tidak lengkap jika tidak melalui pengalaman di Terowong Chu Chi, laluan bawah tanah bersimpang siur sehingga ke Kemboja. Dibina oleh Viet Kong, terowong ini memainkan peranan penting semasa Perang Vietnam. Terletak hanya 30 minit memandu dari bandar, rangkaian terowong sepanjang 121 kilometer ini adalah komponen Taman Peringatan Perang. Jika mahu, cuba merangkak melalui terowong berkenaan, anda boleh juga merasai makanan yang pernah mengisi perut pejuang Viet Kong satu ketika dulu dan cuba juga kemahiran anda menembak di lapang sasar. Apa yang pasti, kota menarik ini wajar dilawati dan diterokai misterinya yang menyajikan kejutan menyeronokkan.

Karimun Mengundang Banyak Nostalgia

SMAHADZIR


SECARA geografi, ibu kota Kabupaten Karimun itu terletak di tenggara Pulau Karimun dan secara keseluruhannya, ia sebahagian daripada wilayah perdagangan bebas Batam-Bintan-Karimun (BBK). Kedudukannya dianggap strategik kerana terletak di jalur pelayaran antarabangsa di sebelah barat Singapura dan Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor.

Karimun lebih dikenali kerana Tanjung Balai, lokasi liburan tumpuan lelaki hidung belang. Namun, wilayah di Riau, Indonesia ini menawarkan lebih daripada itu. Ada pelbagai tinggalan sejarah bersama kisah misteri yang menarik, tidak kurang juga panorama alamnya yang menawan. Perjalanan menaiki feri ke Tanjung Balai, Karimun di Kepulauan Riau, Indonesia cuma memakan masa sejam dari jeti Kukup, Johor. Bayaran RM100 untuk perjalanan pergi balik itu dianggap berbaloi kerana jarak di antara dua lokasi berkenaan yang berhampiran, bahkan kedudukan pulau itu kelihatan jelas dari pantai Kukup.

Tanjung Balai, Pulau Karimun

Walaupun masih kekal dengan nilai tradisi, pembangunannya agak maju berbanding kawasan lain yang terletak di jajahan Kepulauan Riau. Kabupaten Karimun di bawah pemerintahan Bupati Dr Haji Nurdin Basiron dilihat bijak menggunakan kedudukan strategiknya untuk menarik pelabur asing.

Ada sembilan kacamatan di sini - Meral, Tebing, Karimun, Kundur, Kundur Barat, Kundur Utara, Moro, Durai dan Buru. Bagi perhubungan jalan laut, pulau ini dilengkapi tiga pelabuhan, Tanjung Balai untuk penumpang antara daerah dan antarabangsa, Bom Panjang bagi kegunaan domestik antara pulau dan Pelabuhan Roro khusus mengangkut kenderaan.


Pantai Pulau Karimun

Penulis lebih berminat membicarakan tarikan semula jadi Karimun yang dinamakan sempena nama dua gunung utama, dikategorikan oleh penduduk tempatan sebagai gunung jantan dan gunung betina. Yang jantan digelar Gunung Karim dan betina digelar Gunung Mun. Gabungan kedua-dua gunung tulang belakang pulau itulah yang membentuk Karimun. Sehingga kini, gunung jantan masih belum terusik, cuma kelihatan menara pemancar lama yang tidak digunakan, manakala sebahagian besar gunung betina mula terhakis akibat kerja kuari batu untuk pembangunan.

Karimun dibentuk 249 pulau kecil, termasuk sebuah pulau digelar Karimun Anak kerana bentuk gunung kecil di situ lebih mirip kepada dua gunung utama iaitu gunung betina dan jantan. Daripada keseluruhan pulau di kawasan itu, hanya 59 mempunyai penghuni. Kata pemandu pelancong kami, Atan, Karim bermaksud sifat yang mulia dan terpuji, Balai pula bermaksud tempat pertemuan dan atas sebab itulah ibu negerinya diberi nama Tanjung Balai sempena tempat pertemuan orang terpuji di hujung tanjung.

Di sebelah pulau itu, ada satu kawasan bersejarah yang tidak begitu terurus iaitu batu bersurat lama serta tapak kaki di atas bukit batu di Kacamatan Tebing. Batu bersurat itu cukup menarik, terdapat ukiran tulisan kuno dipercayai tulisan sanskrit yang dicetak secara melintang dua barisan. Kawasan itu dipagar dan jelas kelihatan beberapa keping gambar lelaki berjambang dipercayai keturunan India, Pakistan atau dari Asia Barat yang dikatakan pernah menjejakkan kaki di situ ratusan tahun dulu. Di sebelahnya, ada pula kesan tapak kaki bersaiz besar dianggarkan kira-kira 10 kali ganda tapak kaki lelaki dewasa.

Kedudukan bekas tapak kaki di atas batu menghala ke atas bukit menimbulkan banyak tanda tanya mengenai pemiliknya, lalu mengundang minat penulis merisik sebelum menerima pelbagai cerita mengenai pemilik tapak kaki misteri itu. Kesimpulannya, penduduk mendakwa ia milik individu mulia atau suci yang pernah datang ke situ.

Dulu, kawasan berkenaan terletak betul-betul di tebing batu paling hampir dengan laut. Jadi logiknya ia memang sesuai dijadikan tempat pendaratan anak kapal dagang. Kini semua sudah berubah kerana kawasan itu sudah ditambak dan termasuk dalam kawasan larangan kuari.

Dari bawah, kelihatan jelas lapan bekas tapak kaki menghala ke atas bukit. Ada yang mendakwa, di situlah orang suci berulang alik mengambil air dari perigi bersebelahan. Memang ada satu perigi lagi di celah batu bukit itu dan penduduk mendakwa airnya tidak pernah kering hingga sekarang.

Perigi yang terletak kira-kira 30 meter dari batu bersurat dan kesan tapak kaki terbabit dianggarkan mempunyai ukuran dua meter panjang dan semeter lebar. Tidak lengkap ke Karimun jika tidak singgah di beberapa lokasi lain yang menarik iaitu Masjid Agung Karimun, Pantai Pongkar, Air terjun Pantai Pongkar dan Pantai Pelawan yang terletak kira-kira 20 meter dari Tanjung Balai.

Tayangan Kekejaman Pol Pot Di Pasar Malam

SMAHADZIR


DARI luar pintu gerbang yang bertulis ‘Selamat Datang ke Pasar Malam Angkor’, mungkin tiada sebarang keistimewaan dapat dilihat pada pasar malam di Siem Reap ini, tetapi sebenarnya ia menawarkan keunikan tersendiri apabila anda meneroka bahagian dalamnya. Ia mungkin satu-satunya pasar malam yang menawarkan tayangan gambar mengenai sejarah paling menyayat hati pernah dialami rakyat Kemboja. Kisah silam itu dipertontonkan dalam panggung mini dilengkapi skrin bersama 3m X 2.5 m yang didirikan di sudut pasar malam ini.


Pasar malam Angkor di Siem Reap, Kemboja, bukan hanya sarat jualan produk termasuk kain sutera dan batu permata, tetapi turut menempatkan panggung mini memaparkan filem sejarah negara itu

Dokumentari selama 41 minit memaparkan mimpi hitam penduduk Kemboja, termasuk bagaimana penjenayah perang, Pol Pot mendapat idea untuk memulakan revolusi di negara ini dan bagaimana rejim Khmer Rouge akhirnya tersungkur pada 1979. Antara paparannya ialah bagaimana Khmer Rouge menawan Phnom Penh sehingga bandar itu menjadi padang jarak padang tekukur selepas penduduk lari menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa kekejaman unit S21 yang menangkap dan menyeksa sesiapa saja.


Mayat-mayat bergelimpangan hasil kekejaman Pol Pot

Bayaran masuk ke panggung mini ini hanya RM9 dan tayangan bermula jam 5, 7, 8, 9 dan 10 malam dalam bahasa Inggeris, kecuali 4.15 petang dalam bahasa Perancis. Pengunjung boleh menempah tiket terlebih dulu sebelum membeli belah di sekitar pasar malam ini. Selain tayangan cukup menusuk jiwa itu, pengunjung pasar malam ini juga boleh menonton tayangan mengenai kisah periuk api di Kemboja dan seluruh dunia. Dianggarkan empat hingga enam juta periuk api masih tertanam di bumi Kemboja yang memerangkap lebih 700 mangsa setiap tahun.

Ditayangkan dalam versi bahasa Inggeris selama 40 minit, ia mendedahkan dalang yang bertanggungjawab memasangnya, jenis periuk api digunakan dan mengapa tentera menggunakannya? Mangsa periuk api terpaksa hidup dalam kesempitan selepas hilang kaki dan tangan. Bagaimanapun, mereka enggan hidup sebagai pengemis, sebaliknya menubuhkan kumpulan untuk bermain muzik tradisional Kemboja di jalanan sekitar kawasan tumpuan pelancong termasuk di pasar malam ini dan Angkor Watt.

Bagi peminat haiwan, jangan lepaskan peluang menonton dokumentari unik mengenai spesies ular gergasi yang ada sekitar Vietnam dan Kemboja. Ditayangkan dalam bentuk 3 Dimensi, anda dapat menyaksikan sendiri sarang ular terbesar di dunia dan kemudian dibawa menyusuri kehidupan di Tasik Tonle Sap yang terbesar di negara ini. Di pasar malam ini, dikatakan hampir 90 peratus produk jualan adalah keluaran tempatan seperti sutera Kemboja, kraftangan termasuk ukiran kayu untuk perhiasan dan paling menarik adalah lukisan kehidupan masyarakat yang dijual dari harga serendah RM10.

Antara jutaan mangsa yang tidak dapat ditemui

Pengunjung juga pasti terpukau dengan aneka batu permata seperti zamrud, delima, nilam dan sebagainya yang dikeluarkan di Pailin, satu kawasan sebelah timur Kemboja dan dijual pada harga lebih rendah berbanding di negara kita. Bagi batu permata tiruan, harganya dari serendah RM30 manakala batu permata tulen pula dijual pada harga sekitar RM100 ke atas bergantung kepada reka bentuk, namun jangan mudah tertipu dengan penjual yang berusaha membuktikan ketulenan dengan membakar batu berkenaan.

Daripada maklumat yang diperoleh, taktik itu mungkin menggunakan alat khas kerana kemungkinan permata yang dibakar itu saja yang tulen, manakala yang dijual pula palsu. Seorang penjual batu permata mendedahkan mengenai alat yang digunakan untuk menguji ketulenan batu permata itu sebenarnya tidak tepat kerana ia tetap memberikan kesan yang sama jika diuji ke atas kaca atau kulit manusia.

Galeri Seni Di Tengah Rimba

SMAHADZIR

SIAPA sangka jauh di hulu dan utara Sarawak yang hanya boleh dihubungi pesawat kecil Twin Otter atau perjalanan dengan pacuan empat roda melalui jalan balak yang memakan masa sehingga 17 jam dari Miri, wujud sebuah galeri seni. Malah ‘Junglebluesdream Art Gallery & Homestay’ yang terletak di Rumah Panjang Ulung Palang, Bario, Tanah Tinggi Kelabit adalah satu-satunya galeri seni yang ada di rumah panjang di seluruh Sarawak. Menariknya, galeri seni milik Stephen Baya, 47, anak Kelabit tempatan itu lebih dikenali warga asing berbanding penduduk tempatan sendiri.

Selain mempamerkan tidak kurang 30 hasil lukisannya setiap masa, yang dibukanya di rumah panjang sama juga dihiasi dengan hasil seninya bukan saja dalam bentuk lukisan, malah seni hiasan buluh dan rotan. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan inap desa milik Stephen antara yang tercantik di Bario dengan konsep hiasan dalaman hasil sentuhan peribadi beliau sendiri yang banyak menggunakan tumbuhan di sekitar Tanah Tinggi Bario seperti periuk kera dan paku pakis.

Selain lukisan, Stephen turut menggunakan bahan terbuang untuk dijadikan koleksi pameran di galerinya. Rumah Panjang Ulung Palang serlah kreativiti anak Kelabit

Hasil seninya cukup unik dan halus dengan motif etnik menjadi sandaran utama dalam berkarya. Selalunya beliau menghabiskan masa awal pagi untuk duduk melukis dengan setiap lukisan disiapkan dalam tempoh antara empat hari hingga seminggu. Setakat ini kira-kira 100 lukisannya sudah berjaya dijual di galeri berkenaan dengan harga antara RM600 hingga RM1,500 setiap satu. Malah University of Sussex dan University Cambridge, United Kingdom turut menempah hasil seni Stephen untuk dipamerkan di universiti berkenaan serta dibuat kajian mengenai seni budaya kaum Kelabit.

Stephen yang turut dijemput oleh Cambridge untuk mempamerkan lukisannya di universiti itu awal tahun depan, berkata: “Pada mulanya saya cuma mahu menghasilkan lukisan kanvas secara suka-suka di galeri ini, sehinggalah ada pelancong dari Denmark datang menginap di sini tiga tahun lalu membeli lima lukisan saya dengan harga RM800 satu. “Dari situ saya terus bersemangat untuk melukis dan ramai pelancong asing termasuk dari kedutaan Amerika Syarikat, England dan Belanda yang datang ke Bario turut membeli lukisan saya. University of Sussex dan University Cambridge juga datang tahun lalu dan membeli lukisan saya.”

Ada juga lukisannya dibeli peminat seni dari Kuala Lumpur, namun tidak sebanyak yang ditempah pembeli luar negara. Selain menjadikan alam semula jadi dan corak etnik sebagai sumber ilham seninya, cerita epik seperti Tukad Rini yang diangkat sebagai pahlawan kaum Kelabit, turut diadaptasi Stephen dalam lukisannya yang lebih banyak berbentuk abstrak.

Menurut kepercayaan Kelabit, Tukad Rini mengisahkan pahlawan yang melompat dari bumi ke bulan. Tukad Rini dari bumi itu dipercayai paling kuat berbanding Tukad Rini di bulan, angkasa, atas gunung dan di dalam gua dengan kesemuanya ada lima Tukad Rini menurut kepercayaan mereka.

Stephen membuka galeri di rumah panjang itu sejak tiga tahun lalu selepas mengambil keputusan untuk meninggalkan kehidupan serba lengkap dengan segala kemudahan di Bandaraya Kuching untuk pulang dan menetap di kampung asalnya, Bario. Minat mendalam terhadap seni menyebabkan ayah kepada seorang anak ini meninggalkan pekerjaannya terdahulu yang menawarkan gaji tetap dan lumayan sebagai Artis Residen Hilton Kuching. Beliau juga pernah menjadi Artis di Holiday Inn Kuching; Artis Peragaan serta Pameran di Pritemps of Paris, Kuala Lumpur; Artis Sugarbun Kuching, Applebees dan Captain Morgan serta Ketua Instruktor Kasut Roda di King Centre.

Ketika di Hilton Kuching, Stephen pernah empat kali memenangi hadiah merit atas hasil kerja seninya. Kerana minat dalam seni jugalah beliau pernah mengadakan pameran hasil seninya di Muzium Sarawak pada 1988 selain di Copenhagen, Denmark pada 2006 dan pada 2011, menerima jemputan untuk mengadakan pameran di Cambridge, United Kingdom.

Bagi perniagaan inap desa, Stephen cuma menyediakan empat bilik memuatkan lapan orang dan tidak berhasrat menambah bilik penginapan di rumah panjang itu walaupun masih banyak ruang kosong. “Saya mahu pengunjung berasa mereka dilayan seperti keluarga dan kami mengajak mereka minum serta makan bersama. Kalau terlalu ramai susah untuk saya melayan semua seperti sebuah keluarga,” katanya.

Pelancong Denmark, Eva Hjetting, 43, yang membawa dua anaknya, Simon Vietland, 13, dan Laura, 10, bercuti 11 hari ke Bario turut memilih Junglebluesdream Homestay sebagai tempat penginapannya. Beliau cukup tertarik dengan konsep penginapan dan galeri seni milik Stephen selain keindahan alam semula jadi Bario, keramahan penduduk dan keenakan makanan tempatan.


Terkenang Trang

SMAHADZIR


WALAUPUN statusnya tidak sehebat Phuket atau Chiangmai, Wilayah Trang di selatan Thailand tetap ada keistimewaan tersendiri. Selain pantainya yang indah, turut menonjol tentunya dua gua unik bernama Morakot dan

Khao Kob.

Pantai Nha Trang


Berbanding Phuket atau Krabi, nama Trang umumnya tidak begitu dikenali kalangan pelancong asing walaupun kedudukannya berdekatan kedua-dua lokasi pelancongan pilihan itu. Pun begitu, wilayah yang terletak di selatan Thailand ini tetap mempunyai keistimewaan tersendiri untuk diterokai.


Seperti kebanyakan wilayah di selatan Thailand, keunikan Trang tentunya pada pantai, pulau dan lautan membiru kehijauan. Pantai Trang yang menghadap Laut Andaman begitu menarik hingga dianggap antara wilayah pesisir pantai yang indah di rantau ini. Trang juga antara pelabuhan terpenting di selatan Thailand dan mengikut lagenda, nama wilayah ini juga ada kena mengenai dengan fungsinya sebagai pelabuhan.


Mengikut cerita, pelabuhan ini sering disinggahi kapal dagang pada waktu pagi yang terang, lantas memberikannya nama Trang yang berasal daripada perkataan Melayu bermaksud cerah. Wilayah ini juga asalnya sebahagian daripada empayar Kedah Tua dan wujud lebih 900 tahun lalu. Bagaimanapun, hanya pada zaman pemerintahan Raja Rama II, wilayah ini diiktiraf dan mendapat gabenor pertamanya. Orang Barat pertama yang menjejakkan kaki di sini adalah Kapten James Low pada 1838 yang berkunjung untuk urusan perdagangan.


Di wilayah ini jugalah, kawasan penanaman getah pertama dibuka di Thailand selepas dibawa pulang oleh Gabenor Phraya Ratsadanupradit Mahison Phakdi dari Malaysia pada 1899. Kunjungan ke Trang, baru-baru ini memberi peluang kepada penulis menikmati angin sepoi-sepoi bahasa di pantai Pak Meng yang turut menjadi tumpuan percutian masyarakat tempatan. Selain mandi-manda dan bermain aktiviti air termasuk bot pisang, penulis dan rakan media lain juga dapat menikmati pemandangan lautan yang dipenuhi 46 pulau besar dan kecil di sekitarnya.


Kami sempat menaiki bot dan singgah di Pulau Mook yang menempatkan Gua Morakot atau turut dikenali Gua Emerald. Menariknya, satu-satunya cara untuk ke gua ini adalah dengan berenang dari pintu masuk merentasi air yang berjarak kira-kira 80 meter. Laluan ini hanya boleh dilalui ketika paras air surut. Sebaik tiba, penulis dan rakan media yang siap sedia memakai jaket keselamatan terjun ke dalam air dan berenang ke pintu masuk gua. Sebelum itu, kehadiran kami disambut pelbagai spesies ikan yang jelas kelihatan dari permukaan air laut yang sangat jernih.


Suasana di bahagian dalam laluan masuk ke gua ini amat gelap, jadi kami perlu saling memegang bahu satu sama lain dan mengikut panduan diberikan pemandu pelancong. Sempat menoleh ke belakang berdekatan pintu masuk Morakot, dapat dilihat warna air hijau terang akibat biasan cahaya matahari, antara sebab gua ini digelar emerald (zamrud).


Semakin jauh kami berenang, cahaya di hujung laluan mula menjengah. Akhirnya kami dapat menjejakkan kaki di pantai yang terkepung dalam Gua Morakot ini. Bahagian dalam gua tidak besar dan atasnya terbuka. Jadi, sambil berendam dalam air, anda boleh memandang ke langit yang membiru.


Jika Gua Morakot terletak di tengah lautan, satu lagi gua di daratan turut menarik untuk dikunjungi. Ia dinamakan Khao Kob yang menawarkan pengalaman penerokaan berbeza kepada pengunjung. Biarpun terletak di daratan, ruang gua ini disaliri air sungai dan untuk masuk ke dalamnya, perlu menaiki sampan.


Ada pelbagai bentuk stalagmit dan stalaktit yang menyerupai bermacam objek dan hidupan, ada kelihatan seperti anak gajah dan pelamin, ada juga tidak ubah bagai tulang belakang naga. Disebabkan ruang dalam gua ada saliran, sesetengah laluan memerlukan pengunjung menundukkan kepala bagi mengelak terkena siling gua yang begitu rendah. Lebih mencabar adalah perjalanan keluar kerana laluan kira-kira 350 meter menuju pintu keluar bukan saja memerlukan pengunjung tunduk, tapi ada kala berbaring lurus dalam sampan kerana jarak di antara sampan dengan siling gua tidak sampai sejengkal.


Kedua-dua pengemudi sampan yang penulis naiki awal-awal lagi memberi amaran kepada kami supaya tidak bergerak ketika berbaring bagi mengelak kecederaan atau sampan terbalik. Seorang pengemudi menolak siling gua untuk menggerakkan sampan manakala seorang lagi menyuluh jalan. Sebaik terlihat semula dunia luar dan naik ke daratan, barulah perasaan yang tadi cuak, bertukar lega. Semakin jauh sampan dikayuh, mata tidak lekang menatap keindahan alam yang ditinggalkan di belakang yang semakin mengecil sehingga langsung tidak kelihatan.


Tiba hari untuk berangkat pulang, Wilayah Trang kami tinggalkan, namun pengalaman meneroka keunikan dua keajaiban alam berkenaan pasti terpahat kuat dalam ingatan. Sehingga sekarang, minda masih terkenangkan Krang.

Apabila Alam Mengamuk

SMAHADZIR

DALAM tempoh sebulan ini, Amerika Syarikat, teruk diganyang alam apabila satu demi satu kejadian ribut yang membawa bersama puting beliung, meragut lebih 500 rakyatnya, setakat ini. Sejak puting beliung yang melanda selatan negara itu termasuk Alabama, Tennessee, Mississippi, Georgia, Arkansas, Virginia, Kentucky dan Louisiana, mengorbankan kira-kira 500 penduduk dengan kerugian dianggarkan bernilai RM18 bilion.

Puting beliung merujuk angin kencang ribut petir yang berputar secara ganas dari udara dan mencecah daratan. Ia terbentuk apabila angin panas, lembap bertembung dengan udara sejuk dan kering. Namun, amukan puting beliung terbaru di Joplin, Missouri, sudah pun menyebabkan 125 maut dan setakat ini jumlah kerugian mencecah RM9 bilion. Malah, bencana kali ini adalah paling bahaya pernah direkodkan sejak tahun 1950-an dan terburuk sejak 1974. Ia sekadar satu lagi musim penuh derita yang dilalui penduduk Amerika ketika kerajaannya turut terbabit dalam pelbagai operasi ketenteraan di Libya, Pakistan dan Afghanistan atas nama memerangi keganasan.

Malah, puting beliung di Joplin dilaporkan adalah fenomena pemusnah yang jarang berlaku dikenali sebagai ‘kepelbagaian putaran,’ mengandungi dua atau lebih taufan dengan bukaan angin lebih luas. Kebanyakan bahagian selatan Missouri yang dihuni 50,000 penduduk rosak teruk dengan gereja, sekolah, kawasan perniagaan dan rumah diranapkan angin dengan kelajuan sehingga 316 kilometer sejam!

Puting beliung itu turut mewujudkan laluan sepanjang 9.6 kilometer panjang dan 0.8 hingga lebar kira-kira 1.2 kilometer. Ia adalah puting beliung kelapan paling bahaya pernah direkodkan di Amerika dan bakal mencatat sejarah penyebab kematian tinggi disebabkan bencana alam itu. Apa tidaknya, belum pun 2011 melabuhkan tirainya, angka korban puting beliung dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini sudah melebihi apa yang dicatatkan sepanjang tahun 2010.

Ketika pakar dan penyelidik terus diselubungi kebuntuan mengenai amukan puting beliung dan ribut taufan kali ini yang dahsyat, di satu sudut lain penyelamat trauma apabila menemui mayat dalam keadaan yang menyayat hati - dalam kenderaan terbalik, putus anggota badan dan dihimpit seperti tin kosong. Mayat seorang kanak-kanak berusia lima tahun ditemui di bawah timbunan besi dan batu-bata.

Persoalannya bagaimanakah negara yang sedemikian maju tidak dapat mengelak amarah alam itu? Tiadakah sebarang sistem pengesanan yang berkesan dan mampu menepis bencana sedemikian? Namun seperti ditegaskan pakar cuaca yang juga Timbalan Pengarah Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Amerika Wilayah Tengah negara itu, Thomas Schwein, amaran yang dikeluarkan berdasarkan radar, bukan penglihatan.

“Petunjuk radar menyebabkan kami mengeluarkan amaran ketika ribut itu masih jauh daripada kawasan barat Joplin. Taufan itu berlaku 24 minit selepas amaran dikeluarkan. Ia cuma dikeluarkan apabila kami melihat puting beliung besar bergerak ke sesuatu kawasan dan mengesahkan ia sememangnya puting beliung. Dalam kes ini, amaran dikeluarkan berdasarkan radar. Tiada laporan puting beliung berlaku,” katanya.

Puting beliung Joplin adalah antara 68 bencana alam itu yang dilaporkan melanda tujuh negeri bahagian tengah utara Amerika, menurut Pusat Ramalan Ribut NWS. Kemusnahan di Missouri adalah terburuk, yang menyamai amukan puting beliung yang membunuh lebih 300 orang di seluruh selatan negara itu beberapa bulan lalu. Penduduk di selatan turut diberi amaran sekerap 24 minit sekali tetapi taufan itu terlalu kuat untuk dihalang. Ia melanda seluruh bandar dari Tuscaloosa hingga Bristol dalam apa yang dikatakan puting beliung terburuk sejak April 1974.

Menurut statistik Agensi Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Kebangsaan Amerika (NOAA), sudah 1,200 puting beliung melanda setakat tahun 2011 ini saja - dengan 875 berlaku sepanjang April lalu, sekali gus menyebabkan pakar tertanya-tanya mengapa 2011 menghasilkan sebegitu banyak ribut ganas.

“Lebih banyak ribut dalam kategori empat dan lima tahun ini berbanding tahun lalu,” kata Pengarah NWS, Jack Hayes, merujuk kepada dua kategori puting beliung paling ganas. Malah kali ini ia tidak menyentuh ladang dan kebun sebaliknya mengamuk di kawasan bandar raya seperti Joplin dan Tuscaloosa.

Satu badan penyelidik mengaitkannya dengan kitaran penurunan suhu di Lautan Pasifik sebagai sebahagian jawapan fenomena itu. Digelar La Nina, kitaran itu berlanjutan sekurang-kurangnya lima bulan dan berulang setiap tiga hingga lima tahun. Tahun ini, La Nina menolak arus kuat utara dan selatan, mengubah laluan angin yang biasa. Arus angin sejuk yang tinggi dalam atmosfera menolak udara panas daripada bawah, dan membentuk ribut petir. Pengarah Pusat Ramalan Ribut, Russell Schneider, berkata puting beliung mempunyai pelbagai putaran, yang muncul daripada dinding bukaan angin utama.

“Banyak puting beliung daripada kuat kepada bahaya serta ganas mempunyai banyak putaran. Ia selalunya singkat dan putaran pelbagai itu menyebabkan kemusnahan teruk kerana kelajuan angin boleh mencecah 80 hingga 128 kilometer sejam lebih kuat,” katanya.

Pakar berkata bukaan awan yang besar boleh menyembunyikan dua atau lebih puting beliung, fenomena dikenali sebagai ‘kepelbagaian putaran.’ Ia selalunya boleh meranapkan bangunan yang berada dalam laluannya tetapi tidak menyentuh struktur berhampiran.

Siapa sangka, di sebalik segala kecanggihan teknologinya, negara Uncle Sam ini tidak dapat lari daripada senjata ‘alam’ - daripada puting beliung dan selepas ini menanti musim taufan pula.

FAKTA:

Apa puncanya?

Pembentukan: Angin kencang ribut petir yang berputar secara ganas dari udara dan mencecah daratan. Ia terbentuk apabila angin panas, lembap bertembung dengan udara sejuk dan kering.

Musim: Bermula pada awal musim bunga di kawasan sepanjang Teluk Mexico.

Tempoh: Puting beliung yang turut diiringi ribut taufan, angin kencang dan hujan batu boleh berlanjutan beberapa saat hingga lebih sejam. Kebanyakannya tidak sampai 10 minit.

Fizikal: Purata ukuran puting beliung adalah lebar kira-kira 200 meter

Kekerapan: Kira-kira 1,300 puting beliung menyerang Amerika setiap tahun. Statistik Agensi Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Kebangsaan Amerika (NOAA), sudah 1,200 puting beliung melanda setakat tahun ini saja.

Laluan: Kebanyakan puting beliung bergerak dari barat daya ke timur laut, atau barat ke timur. Sebahagiannya menukar arah atau berpatah balik

Ramalan: Satu atau dua hari sebelum, pakar kaji cuaca melihat suhu dan aliran tiupan angin yang boleh menyebabkan kelembapan mencukupi, ketidakstabilan untuk menentukan kehadiran puting beliung.

Peralatan kesan: Pusat Kaji Cuaca Kebangsaan Amerika guna radar, satelit, belon cuaca dan komputer bagi memantau langit.

Pusat kejadian: Di sekitar Missouri, Arkansas dan Illinois dan bergerak ke arah Indiana, Ohio, Kentucky, Tennessee dan utara Mississippi, Amerika. Malah kawasan laluan utamanya Tornado Alley yang mrentasi Texas ke Nebraska serta kawasan Colorado, Iowa, Indiana, Illinois, Kansas, Missouri dan Arkansas.

Negara lain: Puting beliung turut dilaporkan di Britain, India, Argentina.




Damai Di Guangzhou

SMAHADZIR

DERETAN kilang, bangunan tinggi yang menjulang, jalan sesak, pelaburan yang masuk mencurah-curah, kepesatan pembangunan dan rakyat berdaya saing - itulah yang sering dikaitkan dengan Guangzhou. Dengan populasi lebih 12 juta penduduknya bersaing mencari rezeki, saya ada mendengar yang sektor pekerjaan di Guangzhou jauh lebih sengit - sama seperti di Hong Kong, manakala suasana kehidupannya juga pantas dan sukar.

Sebagai kota ketiga terbesar di China dan antara pusat perusahaan utama negara itu, Guangzhou sering disalah anggap sebagai kota comot yang padat dengan penduduk. Aktiviti masa lapang rakyatnya pula dikatakan hanya membeli-belah dan makan. Tiada tempat untuk pelancong - setidak-tidaknya itulah dalam fikiran saya pada mulanya.

Pemain muzik tradisional di Pulau Shamian.

Gambaran awal ketika menjejakkan kaki di kota ini seakan mengiyakan tanggapan itu. Guangzhou agak comot, bangunan berselirat dan semuanya pantas bergerak masa. Manusia berjalan pantas, kenderaan dipandu laju, malah dialek Kantonis yang dituturkan penduduknya kedengaran lebih cepat dan kasar berbanding di Malaysia atau Hong Kong.

Namun, semakin jauh mengembara dan menyelami kota ini, saya dapati ada aspek lain yang begitu berbeza di Guangzhou. Suasananya lebih sunyi, damai dan dipenuhi banyak tarikan, masyarakat penuh sopan santun serta pelbagai keistimewaan lain yang amat memukau.

Dewan Peringatan Sun Yat Sen menampilkan seni bina mengagumkan.

Guangzhou dipenuhi taman penuh kehijauan dan ketenangan. Keindahan itu diserikan elemen air seperti anak sungai, kolam dihias cantik atau tasik yang menyuntik suasana sejuk walaupun di tengah-tengah bahang kepanasan metropolitan.

Saya sendiri mendapati ada kira-kira 12 taman sedemikian di dalam dan sekeliling bandar, termasuk Renmin iaitu taman awam pertama di China yang dibuka pada 1921 dan Taman Sejuta Bunga Matahari, padang luas dipenuhi bunga-bungaan seluas saujana mata memandang. Beberapa taman di Guangzhou turut dilengkapi jambatan tradisional China, pagoda atau wakaf rehat yang membangkitkan kembali memori zaman silam. Ada juga yang dihiasi arca diperbuat daripada tanah liat, kayu, seramik, besi dan pelbagai jenis batu.

Di taman tertentu, anda boleh menemui teknik seni taman terkini, manakala beberapa taman lagi diperindahkan dengan seni landskap berasal usul dari zaman Dinasti Qing. Apa yang paling menarik perhatian saya ialah kewujudan pelbagai tugu, muzium, rumah suku kaum dan dewan peringatan yang begitu anggun.


Bandar ketiga terbesar China tetap tenang biarpun pesat membangun

Taman Yuexiu yang terletak di atas bukit contohnya, tersergam Menara Zhenhai atau dikenali juga sebagai Menara Lima Tingkat atau Menara Wanghai. Rujukan kedua itu mewakili struktur menara terbabit yang mempunyai lima tingkat, manakala Wanghai pula kerana ia pernah digunakan sebagai menara peninjau atau bangunan pengawal pantai suatu masa dulu.

Dibina pada 1380 iaitu zaman Dinasti Qing, Menara Zhenhai pernah menjadi bangunan tertinggi di Guangzhou. Ia dibina menggunakan batu pasir berwarna merah dan bata berwarna coklat kemerahan, membentuk gabungan menarik unsur seni bina moden Bauhaus dan pagoda tradisional China. Pada 1956, menara ini dijadikan Muzium Guangzhou.

Taman Yuexiu juga menempatkan Dewan Peringatan Sun Yat Sen yang dibina pada 1929 bagi mengenang tokoh revolusi hebat, Dr Sun Yat Sen. Tugu ini terletak di atas Bukit Guanyin dengan ketinggian 37 meter dalam gaya pagoda sambil dihiasi 12 arca kepala kambing di ruang bawahnya selaras simbol Guangzhou yang digelar kota legenda kambing.

Pada bahagian depan tugu pula, ada kepingan batu tebal sepanjang tujuh meter dan lebar empat meter mengandungi ukiran kata-kata wasiat terakhir Sun Yat Sen. Imej tokoh revolusi ini juga diabadikan di Taman Peringatan Huanghua Gang, kawasan indah dipenuhi bunga-bungaan cantik, astaka tersergam serta tugu dan hiasan taman yang mengagumkan.

Di Taman Baomo pula, pelawat akan terpegun dengan keanggunan Dewan Khazanah Baomo, Dewan Ju Bao dan Dewan Long Tu. Antara arca yang menyerikan taman itu adalah patung ilmuwan hebat China, Confucious yang saban tahun menarik ramai pengunjung.

Satu lagi lokasi menarik pilihan saya di Guangzhou ialah kawasan tenang yang terserlah gaya lamanya iaitu Pulau Shamian. Terletak di tebing Sungai Mutiara, pulau ini satu-satunya lokasi yang mana orang asing dibenarkan menetap sejak berdekad lalu. Di sini, anda pasti berasa tenteram sambil menikmati keindahan desa yang disulami ciri-ciri Eropah silam dan tarikan budaya Timur yang tidak hilang ditelan zaman. Ilmuwan China pernah berkata: “Guangzhou bergerak pantas, Shamian pula begitu tenang” - kesimpulan paling tepat bagi menggambarkan pesona destinasi ini.

Barisan pepohon tua berdaun lebat tegak berdiri di sepanjang jalannya, manakala bangunan era kolonial, rumah lama dan dua gereja besar dengan seni bina antara abad ke-17 dan ke-18 menjadikan Shamian tempat sesuai untuk bersantai dan menikmati kehidupan sambil bertemankan secawan kopi di kafe ala Perancis. Itulah yang dilakukan penduduk warga emas Guangzhou. Di laman yang redup dengan rimbunan pokok di Pulau Shamian sehinggalah jalan berselirat di pusat bandar dan kerusi selesa di taman, kalangan warga emas ini menambahkan lagi daya tarikan kota ini dengan sikap mereka yang penuh budi bahasa, bersopan santun dan mesra.

Di sebalik wajah berkedut, mereka petah berbicara mengenai penderitaan dan kegembiraan sepanjang dua abad lalu. Masih menyarung kemas pakaian tradisi, mereka mengisi masa lapang dengan aktiviti ringan seperti bermain dam, minum atau sekadar bersembang kosong dan disulami gelak tawa. Kehidupan mereka menyamai keunikan taman bersejarah yang terus segar di kota metropolitan ini - kedamaian dan ketenangan Guangzhou lama.



LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA