Ahad, 1 Mei 2011

Reunion SMSAH 74-78 di De Palma Hotel Kuala Selangor Satu Memorabilia

Kecangggihan media baru begitu berjasa mempertemukan semula rakan-rakan terpisah sejak lebih 30 tahun dulu dalam satu pertemuan yang akrab dan sarat dengan kerinduan. Begitu yang penulis dapat katakan pada Reunion SMSAH 74-78 yang berlangsung di De Palma Hotel Kuala Selangor pada 30 April 2011 yang baru lalu. Pertemuan yang begitu nostalgik, satu memorabilia yang dapat dikenang sepanjang hayat penulis. Dikhabarkan bahawa De Palma Hotel merupakan antara hotel yang terbaik di Kuala Selangor. Tahniah kepada Puan Norizan Harun dan Saudara Idris Mat Ali yang begitu komited dan bijak kerana memilih hotel ini.

Zamri Hassan, Ramli dan penulis

Penulis pernah ke sini beberapa bulan yang lalu bersama Majlis Kebudayaan Selangor, memenuhi program Kembara Budaya di Bukit Melawati dan Old Dutch Fort. Setahu penulis, di hotel ini terdapat 48 jenis bilik deluxe and superior chalets and junior suites. Seperti lain-lain hotel juga, kemudahan yang terdapat di dalam bilik di sini adalah seperti katil single atau double dengan penghawa dingin dan bilik air, televisyen, telefon IDD, mini fridge, kemudahan membancuh air teh dan kopi.

Rakaman gambar untuk tatapan perpisahan

Menurut kacamata penulis, rancangan Reunion SMSAH 74-78 ini dibuat sudah lama, sekitar Januari 2011, akhirnya menjadi kenyataan juga pada tanggal 30 April 2011. Khabarnya, ramai juga yang memberi jaminan untuk hadir tetapi di saat akhir ada yang menarik diri atas pelbagai sebab tersendiri. Penulis sendiri sebenarnya punya tugasan yang sibuk juga kerana pada sebelah siangnya diminta menyampaikan ceramah budaya di Port Dickson tetapi lantaran terlalu rindu pada rakan-rakan sekolah, dan takut kalau-kalau tak mempunyai kesempatan di lain waktu, penulis gagahkan juga diri untuk hadir. Sebaik tamat ceramah penulis terus bergegas ke Kuala Selangor. Walaupun jalanraya agak sibuk dan macet namun syukur kerana sewaktu penulis tiba, acara belum dimulakan dan rakan-rakan sedang menjamu selera di bilik pertemuan.

Sahabat-sahabat perempuan bersama guru-guru

Aturcara yang bersahaja dipengacarakan oleh Saudara Idris Mat Ali telah menghidupkan suasana ceria. Rakan-rakan dipanggil ke pentas untuk memaparkan pelbagai kisah hidup. Penulis tertarik dengan luahan minda Dr Seri Buana tentang pelbagai informasi kesihatan yang memang tepat dengan usia kami yang rata-rata menjengah ‘senja’ ini kecuali Saudara Mat Rani yang setahun lebih muda. Begitu juga dengan kisah-kisah paparan rakan-rakan lain seperti Tarmizi, Mat Rani, Dr Reduan, Ramli, Zamri Tan, Raja Hamidah, Baynum, dan lain-lain lagi yang penulis tak dapat coretkan di sini, yang telah berjaya mengembalikan semula nostalgia lama sewaktu kami berada di SMSAH sekitar tahun 1974-1978. Ada yang begitu mencuit hati terutama kisah Tarmizi... (budak kecik hensem dan botak)

Agak kelam-kabut sikit waktu nak ambil gambar

Dalam senyum, ketawa dan rasa sebak mengimbau segala memori suka duka, kami juga terhibur dengan suara lemak merdu Noraini dengan lagunya Seri Dewi Malam. Begitu juga dengan Saudara Zack dan Zamri Hassan. Penulis tabik kagum dengan Zack yang memiliki suara yang masih bertenaga walaupun sudah berusia ‘veteran’. Dikhabarkan oleh isteri beliau (Puan Anom), Zack memang suka menyanyi, akan menyanyi jika ada kelapangan. Kadang-kadang dalam tidur pun dia menyanyi. Sebab itulah suaranya masih mantap. Tahniah Zack!!

Semuanya bergaya dan tersenyum. Lebih 30 tahun lalu semua gadis-gadis ni telah menjadi pujaan ramai...

Penulis juga terharu dengan kesudian tiga orang guru yang wajah mereka masih melepa erat dalam nubari penulis – Cikgu Fakhiruddin, Cikgu Abdullah dan Cikgu Sevarani. Walau telah lebih 30 berpisah tetapi wajah mereka masih seperti dulu, tenang, handsome dan ‘nampak garang’. Cikgu Fakhiruddin masih serius seperti dulu. Cikgu Abdullah pula masih ‘garang’ dengan lirikan matanya yang menyeramkan. Manakala Cikgu Sevarani masih lagi suka ‘bertanya’ dan punya ingatan yang masih kuat.

Bagi penulis, dalam keadaan serba ringkas, program Reunion SMSAH 74-78 ini telah berjaya meninggalkan kenangan yang terbaik untuk diri masing-masing. Berpeluang bertemu kembali kawan-kawan lama yang satu ketika dulu bersama-sama mengharungi suka duka hidup di asrama SMSAH. Kini walaupun sudah berkeluarga, ada yang sudah bercucu termasuk penulis sendiri, masing-masing sibuk dengan pelbagai urusan tersendiri, kenangan ini insya-Allah akan dibawa hingga ke akhir hayat.

Sahabat-sahabat lelaki bersama guru-guru. Tahun 1978, semuanya masih remaja tapi la ni dah hampir 'menapous' malah ada yang dah 'menapous' termasuk penulis. Begitu kata Dr Seri Buana

Hampir 30 tahun terpisah antara satu sama lain, pertemuan yang singkat ini dapat mengubat rindu seketika. Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang sudi hadir – Lokman, Bakar, Mat Rani, Dr Seri Buana, Dr Alias, Dr Reduan, Zamri Hassan, Zamri Tan, Ishak Saiman, Suhim Wahab, Bakri Saad, Ramli, Idris, Tarmizi, Zack, Zaini, Baynum, Laila, Norizan, Saadiah, Hapipah, Raja Hamidah, Norhana, Ainon, Yon, Bastiah, Rosnah, Sulha, Noraini, Kanmany, Tabarol, Kamaliah dan semuanya termasuk guru-guru, suami isteri dan anak-anak masing-masing.

Bergambar sambil mengenang kisah lama

Kepada Dr Seri Buana, terima kasih di atas cadangan Reunion SMSAH 74-78 akan datang, yang akan diadakan di Pulau Redang atau Pulau Hentian (maaf, penulis tak berapa pasti). Semoga segala yang dirancang akan menjadi kenyataan, kita akan berjumpa lagi. Itu pun jika hayat masih ada, kudrat masih melepa dalam diri, dan kesempatan masih diberikan Azzawajalla. Sama-samalah kita berdoa agar diberi Allah semuanya semoga hasrat murni kita tercapai dengan jayanya. Insya-Allah!

Antara sahabat yang masih penulis ingat. Hapipah... senyumnya masih belum berubah

Berikut ini adalah sajak yang telah penulis baca pada malam tersebut:

Buat Pertama Kalinya; Catatan Kenangan

(sajak buat sahabat-sahabat SMSAH 74-78 sempena pertemuan di De Palma, Kuala Selangor pada 30 April 2011)

i

Buat pertama kalinya,

selepas lebih 30 tahun berlalu meninggalkan,

kudatangi kehijauan halamanmu SMSAH,

keramahan tidak lagi seperti dulu,

waktu yang sudah berlalu mahal harganya,

untuk menebar jaring keriangan,

untuk menggerbak harum kenangan,

yang pernah mengapung seluruh ruang,

kita bersama berenang di lautan persahabatan,

mengurung kiambang dari menghempas tebing,

sama-sama sengsara dihempap gelombang,

sama-sama gembira menghitung untung,

titis-titis kenangan yang sudah menjadi monumen,

damai SMSAH semakin jauh kita tinggalkan,

di hujung langit yang semakin tinggi,

bulan tidak tergapai lagi,

wasiat para guru tertinggal di ambang waktu,

persahabatan tidak lagi seakrab dulu,

masing-masing bersemadi menggenang airmata,

menyirat jala kenangan di warung usia.

Norhana dan Zamri. Norhana selalu telefon penulis bertanya khabar. Terima kasih Norhana!

Kusinggahi bangunan-bangunan lama SMSAH,

tempat dulu kita pernah bermain mesra,

masih setia menyimpan seribu rahsia,

asrama penginapan yang usang hiruk pikuk suara,

senda gurau dan gelak ketawa,

tiada lagi langkah silat panglima yang setia,

tiada lagi laksamana pagan pengawal samudera,

tiada lagi menteri yang fasih lidah berbicara,

temenggung dan syahbandar entah di mana,

dan tiada lagi bendahara yang gagah perkasa,

semuanya diam tanpa suara.


ii

Buat pertama kalinya,

selepas lebih 30 tahun berlalu meninggalkan,

kusujud syahdu di masjidmu SMSAH,

marmar di dahi tidak lagi sedingin salju,

berdiri di saf ini tidak lagi seriang dulu,

tiada lagi sahabat-sahabat yang melentuk di serambi tepi,

menunggu solat berlalu,

ruang santapan C Moosa pun menjadi merah,

dengan terkaman lapar yang menyimbah,

maka nyaring azan muazin pun hilang di awan tebal,

imarah khutbah tenggelam di ombak gelisah,

mimbar tidak lagi membawa khabar,

serambi masjid tempat kita sering bersama menjadi khali,

tiada lagi suara mengaji,

gejolak resah meladeni semua mimpi.

Laila - sahabat sekelas dengan penulis, masih cantik macam dulu juga

iii

Buat pertama kali,

selepas lebih 30 tahun berlalu meninggalkan,

aku melewati seluruh pojok SMSAH untuk melihat dedaun duka,

yang pernah bertebaran di halamannya,

duka yang sering mengharuk mata fikir,

dengan semarak sedar menghantui padang takdir,

kembaraku mencari arah yang memang sukar ditemui,

begitu parah akal ini walaupun hanya sekadar berperang dengan lautan pilu,

yang berjalan di hujung belantara tafsir,

semakin jauh berkelana dalam kenangan,

lewat padang nestapa dan semarak derita.

Antara sahabat yang hadir - Bakri, Dr Reduan, Dr Alias, Bakar dan Ishak

Ketika kubelah malam dengan ratib,

isaksendu yang menghampiri,

menghulur keyakinan arus menyusur,

adalah ketika mengakrabkan,

aku didakap ketenangan,

aku dipeluk kebahagiaan,

tidak putus memaut pasrah.

Semuanya tersenyum simpul

Tibalah malam-malam putih lagi suci,

mubarak yang menyemarak warak,

rimbun pohon-pohon meneduhi pedoman,

walaupun ada goda menduga keyakinan,

ketika ini akrab-Nya jua,

terasa sasa menyambut imbauan makna,

menggamit makmur takbir, tasbih dan tawakal,

mengharungi samudera kesal.

Dalam sengsaranya,

kuangkat bakat sastera dan bahasa,

memperkasa sahsiah agama dan bangsa,

menyemarak minda oleh tinta,

sungguh utuh dan kental, juang dan jatidiri,

yang tidak pernah betah melangkah,

tidak pernah mengira jarak jejak,

memburu kemanusiaan, berpuncak kebenaran,

meski tidak perkasa di hadapan Yang Maha Perkasa,

namun perkasa dalam lingkaran pengorbanan,

perkasa di serata ceruk,

mengalirkan dakwat seperti gelora laut.

Yon nampak sibuk melayan rakan-rakan

iv

Buat pertama kali,

selepas lebih 30 tahun berlalu meninggalkan,

SMSAH masih berdiri di situ,

di sini aku sering bermimpi tentang sungai kenangan,

yang telah lama dengkil ditimbuni kelodak masa,

hingga pohon-pohon persahabatan di dua tebingnya tak lagi rimbun,

sasa bagai dulu, menyediakan tempat burung-burung mesra bersarang,

kerana di sini mentari lunak membelai bak sutera,

menusuk ke kalbu kita yang terpisah dek kehendak masa,

sedang purnama SMSAH tetap seperti dulu, anggun bak perawan,

sinarnya bak silau mata siluman,

sedia menyihir langkah kaki dan derap rasa.

Namun ingatanku masih lekap di sini, bagai lama dulu,

pada sungai kenangan yang mesra,

pada pohon persahabatan yang sentiasa rimbun,

pada matahari dan purnama SMSAH yang setia,

walau lautan hidup terlalu keras arusnya,

pohon usia semakin terkuras kulitnya,

matahari rindu yang kian nipis cahayanya,

purnama SMSAH yang tak berdaya menguak kenangan silam.

v

Hari ini, buat pertama kali,

selepas lebih 30 tahun berlalu meninggalkan,

aku datang ke sini untuk membuka kembali lembaran kenangan,

yang pernah kita tulis bersama,

di setiap pojok SMSAH.

Kenangan adalah sepadang lalang,

akar dan bunganya menyelinap ke kebun rindu,

kenangan adalah segunung janji,

yang tidak pandai berdusta,

kenangan sentiasa mengajar kita menjadi manusia.

SMAHADZIR

10 Januari 2011







Rabu, 27 April 2011

Babi Oh Babi Mengapa Engkau Babi!

Babi sering disebut secara sopan oleh orang Melayu dengan bunyi ejaan jawi ‘ba-alif-ba-ya’ atau dengan sebutan ‘ba’ sahaja. Saya tidak pasti mengapa orang Melayu (generasi lama terutama mak-bapa kita dulu) memanggilnya sebegitu, mungkin untuk menjaga hati rakan-rakan lain, atau kerana tidak sampai hati memanggilnya dengan sebutan yang sebenar - babi. Anak saya pernah buat lawak tentang babi. Katanya, anak babi jalan tunduk sebab malu emak bapanya babi. Sekarang orang lebih suka panggil khinzir. Tetapi saya lebih suka panggil babi.

Apa istimewanya haiwan yang bernama babi itu? Mengapa ia begitu penting kepada rakyat Malaysia? Hasil penyelidikan saya mendapati haiwan itu cukup penting dalam industri penternakan di Malaysia. Itu sebabnya banyak negeri tidak berapa peduli apabila bahan buangan daripada ladang-ladang ternakannya mencemarkan pantai-pantai dan sungai-sungai di negara ini. Yang penting industri ini amat menguntungkan. Contohnya, lihat apa yang berlaku kepada Pantai Morib, Banting, Selangor (berdekatan dengan rumah saya). Pantai Morib sudah lama dicemari najis babi yang dialirkan oleh kandang-kandang babi sekitarnya. Jadi, kalau nak bermandi-manda di Pantai Morib, fikirlah dua tiga kali.


Babi atau khinzir


Cuba lihat angka-angka ini. Mengikut perangkaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia melalui laman webnya www.dvs.gov.my - bilangan babi di Malaysia (Semenanjung, Sabah dan Sarawak) pada tahun 2008 ialah sebanyak 1,733,466 ekor; lebih banyak berbanding kerbau 133,381 ekor, lembu 847,757 ekor, kambing 437,805 ekor dan biri-biri 124,749 ekor. Statistik sembelihan ternakan yang direkodkan oleh jabatan itu pada tahun 2008 pula; babi disembelih sebanyak 1,715,890 ekor, kerbau 11,847 ekor, lembu 102,010 ekor, kambing 15,186 ekor dan biri-biri 4,197 ekor.


Dipendekkan cerita, ekoran betapa pentingnya industri itu, sila baca keratan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 18 April 2008 (yang turut dipetik oleh laman web Badan Peguam Malaysiawww.malaysianbar.org.com pada 19 April 2008).


KUALA LUMPUR 18 April - Sekumpulan ahli perniagaan China baru-baru ini telah mengemukakan cadangan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara pengeksport daging babi ke republik tersebut. Ketua Unit Penternakan Babi Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Beh Kim Hee berkata, cadangan itu dibuat kerana harga daging babi yang ditawarkan di ladang-ladang negara ini cukup kompetitif, malah antara yang termurah di Asia.


Pantai Morib yang dicemari najis babi dari kandang yang berhampiran


Sehubungan itu, katanya, beberapa syarikat dari China menyatakan minat untuk bekerjasama dengan penternak babi Malaysia bagi menampung permintaan daging babi yang semakin tinggi di negara itu. ‘Beberapa buah syarikat menyatakan minat, tetapi kita tunggu dulu kunjungan wakil syarikat China itu ke Malaysia hujung bulan ini untuk membolehkan perbincangan lanjut. Setakat ini semuanya masih di peringkat awal dan tiada keputusan muktamad diambil,’ kata Kim Hee ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.


Akhbar The Sun pula memetik laporan Nanyang Siang Pau yang melaporkan bahawa Malaysia dalam perancangan mengeksport daging babi ke China buat pertama kalinya. Kim Hee dalam laporan itu berkata, urusan berhubung hal tersebut dilakukan dengan dua buah syarikat dari China selain usaha untuk mengadakan pertemuan dengan Jabatan Perkhidmatan Haiwan. Beliau dipetik sebagai berkata, jika Malaysia dapat menjadi pengeksport babi ke China, para penternak akan berpeluang memperoleh pendapatan yang baik termasuk dari segi pertukaran wang asing memandangkan pasaran yang besar di negara itu.


China yang mempunyai penduduk lebih 1.2 bilion dilaporkan berhadapan dengan kekurangan bekalan daging babi berikutan permintaan yang semakin tinggi dalam kalangan penduduknya. Ekoran taraf yang semakin baik, permintaan daging babi di negara berkenaan dilaporkan meningkat hingga China terpaksa mengimport daging babi dari Thailand, tetapi langkah itu juga dikatakan tidak mencukupi.


Pantai Morib menggamit pengunjung dengan keindahannya


Malaysia sebelum ini turut mengeksport daging babi ke Singapura namun ia dihentikan selepas republik itu melarang import daging babi dari Malaysia berikutan penyebaran virus Nipah pada tahun 1998. Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Haiwan, Dr. Ibrahim Che Embong ketika diminta mengulas isu itu berkata, pihaknya belum menerima sebarang permintaan daripada para penternak babi berhubung penternakan besar-besaran untuk eksport ke China. Dari segi dasar, ujarnya, hanya ladang ternakan secara moden yang dibenarkan ditambah manakala soal sama ada boleh atau tidak bilangan babi ditingkatkan terletak dalam bidang kuasa kerajaan negeri.


Mengikut amalan, selaku tuan tanah, negeri yang buat dasar mengenai penternakan babi. Negeri-negeri memang hanya menumpukan untuk menampung keperluan babi dalam negara. Sejak dari tahun 2000, sudah tidak ada eksport babi termasuk ke Singapura. Statistik menunjukkan jumlah babi di Malaysia berjumlah 2.6 juta ekor tetapi babi boleh ditingkatkan pengeluarannya dengan cepat. Haiwan itu boleh beranak tiga kali setahun dan setiap kali beranak, ia boleh melahirkan 11 ekor anak. Mungkin sebab itu para penternak merancang terlebih dahulu dengan syarikat China kerana mereka tahu jumlah babi boleh ditingkatkan dalam masa yang singkat.


Berhati-hati jika nak bermandi-manda di Pantai Morib


Kesimpulan saya ialah: Industri penternakan babi ialah cukup lumayan. Oleh itu timbul persoalan sekarang... apakah ia membabitkan soal budaya atau ia telah menjadi isu komersial yang dikawal oleh kartel yang gagah dan orang politik hanyalah faktor untuk mengapi-apikan sahaja supaya isu itu kelihatan ‘amat penting’.


Kedua, besarnya industri penternakan babi di Malaysia menunjukkan bahawa rakyat Malaysia amat bertoleransi. Siapa kata orang Melayu Malaysia yang beragama Islam menentang penternakan itu? Jika tidak sudah tentulah tidak sebegitu besar industri tersebut. Kerajaan Negeri Selangor sendiri telah memperuntukkan RM 100 juta untuk industri penternakan haiwan ini dengan ladang moden yang sedang dirancangkan. Kalau dulu soal babi diketengahkan sebagai isu agama, kini soal komersial pula yang diagungkan!

Jom Kita Tengok Orang Kampung

SMAHADZIR

BEBERAPA minggu lalu saya berada di Kampung Bukit Hijau, Baling, Kedah. Kampung saya sebuah desa pingitan yang jauh dari proses modenisasi kota, sungguh mengasyikkan dan menginsafkan. Berada di sini boleh melupakan sejenak hal ehwal di bandar dan pelbagai prasarana mewah yang terdapat di bandar. Kehidupan orang kampung berjalan seperti biasa. Jarang-jarang yang bercakap soal politik perkauman. Tiada yang bercakap yang bukan-bukan. Adalah seorang dua yang bercakap soal politik. Itu tak betul, ini tak betul, itu tak Islam, ini kafir, itu fitnah, ini zalim dan sebagainya.


Penoreh getah


Yang ramai bercakap soal harga getah yang melambung menyebabkan orang-orang kampung yang ada pokok getah tersengih sakan sepanjang hari. Kalau dulu asyik makan ikan keli masak kari dengan timun huma, sekarang ni sudah rajin makan McDonald atau KFC terutama bila keluar ke Sungai Petani. Yang bercakap soal siput gondang emas yang semakin mengganas di sawah-sawah padi pun ramai juga. Soal ikan sepat ronggeng, ikan haruan, ikan karen dan ikan puyu yang tak lagi wujud dalam bendang-bendang di kampung saya. Sehinggalah kepada soal elaun bilal masjid yang belum dibayar kerajaan negeri berbulan-bulan.


Marilah kita tengok-tengok dan insafi kehidupan orang kampung kita yang amat dicintai. Kehidupan orang yang masih lagi menjadi majoriti negara ini. Orang Melayu kampung yang masih kais pagi makan pagi dan masih mengharapkan belas ihsan bumi tercinta ini untuk mengeluarkan hasil terbaik. Hidup mereka bukan macam rakan kita di bandar dan pekan yang kemewahannya melimpah-ruah.


Petani baru pulang dari bendang membawa jerami


Rata-rata rakan-rakan kita khususnya yang berbangsa Cina yang berniaga di bandar-bandar seolah-olah lupa di mana bumi mereka berpijak. Mereka hidup dikelilingi wang ringgit dan kemewahan. Siang malam mesti cari wang. Sebaliknya, kehidupan orang kampung bersama Melayu amat-amat sederhana. Mereka cukup menghargai langit yang mereka junjung ini. Soal kulat di batang getah, soal hutan Bukit Hijau yang dipokah kerajaan negeri, soal hutan yang selama ini menjadi tempat untuk mencari rezeki seperti petai, genuak, keranji, rotan dan sebagainya juga soal siput gondang emas harus difikirkan. Siput itu tidak membawa untung sesen pun walaupun namanya emas. Ia memakan umbut-umbut padi, sehingga menjahanamkan tanaman tersebut. Itu yang harus difikirkan.


Namun, walaupun itu masalahnya, kehidupan harus diteruskan. Satu transformasi minda harus diterapkan ke dalam fikiran mereka. Cara mereka harus diubah. Kehidupan mereka harus ditingkatkan. Kita tiada pilihan selain menjaga baik-baik spesies majoriti negara ini. Perancangan harus difikirkan untuk masa depan mereka dan generasi mereka akan datang. Orang kampung tidak mengerti apa itu konsep 1Malaysia, apa itu NKRA, tidak faham apa itu negara Islam, tidak pernah sedar yang suatu hari nanti bangsa Melayu akan merempat di tanah air sendiri dan juga tidak pernah ambil tahu apa yang akan berlaku jika parlimen tidak lagi dikuasai oleh orang Melayu kerana mereka hanya dikelilingi oleh orang-orang dan corak kehidupan mereka sahaja.


Penanam sayur secara tradisional


Mungkin disebabkan itulah mereka susah. Tapi itu bukan alasannya untuk memencilkan mereka, jika rakan-rakan bangsa lain tidak mahu membantu, maka kerajaan yang masih dinaungi oleh bangsa majoriti itulah yang harus membantu. Bantulah bangsa Melayu ini. Mereka amat-amat memerlukan bantuan.


Satu mekanisme yang lebih mantap diperlukan bagi menjana bangsa ini dan orang-orang ini. Jangan ditumpukan sangat kepada kemewahan rakan-rakan kita di bandar-bandar yang wang mereka telah memenuhi akaun-akaun di bank. Hidup orang-orang kita di kampung-kampung harus diperkemaskan. Orang bendang, penoreh getah, nelayan, petani jangan dibiarkan terus menerus hidup seperti satu dua dekad dulu. Hidup mereka harus meningkat dan dipertingkatkan. Jika mereka tidak boleh membangun sendiri, mereka harus dibantu.


Menanam padi di bendang


Walaupun ada bantuan yang diberikan, ia harus diselaraskan dengan baik. Kakitangan kerajaan yang membantu mereka harus mempunyai sentimen kecintaan kepada bangsa, daripada sekadar makan gaji semata-mata. Semua pihak harus memainkan peranan. Satu sistem yang lebih moden harus diterapkan dalam pengurusan masyarakat desa dan kampung. Kita tidak mahu lagi melihat hidup mereka hari ini dan 20 tahun dulu, masih seperti itu. Infrastuktur kemudahan asas, kesihatan, kebersihan, pendidikan dan keagamaan harus dipertingkatkan.


Membajak bendang

Ambillah contoh sistem di Jepun atau Korea dalam menangani dan memajukan kehidupan di kampung dan desa. Program agensi masuk kampung harus diperhebatkan. Pertingkatkan program pertukaran teknikal mengenai pembangunan desa dengan pihak Jepun dan Korea itu misalnya ke dalam sistem perkampungan kita. Jika program-program ini banyak dikendalikan sekitar 70-an dulu, mengapa sudah terhenti sekarang? Apakah negara kita sudah maju dan tidak memerlukan lagi program seumpama itu? Biar sukarelawan mereka tinggal selama mana yang mereka mahu, supaya satu kajian ke arah penambahbaikan dapat dijalankan.

Menoreh getah secara pawah


Usaha membuka minda kepada teknologi dan pengetahuan harus ditingkatkan. Universiti dan pusat-pusat pengajian harus memainkan peranan. Bawa masuklah program-program magang ke desa-desa. Biar para pelajar itu bergaul dengan orang-orang kampung. Lakukan kajian terhadap kehidupan desa. Inap bersama-sama mereka. Selami perasaan mereka dan kehidupan mereka sebenar.


Sayangilah orang kampung dan desa. Taburkan lebih banyak peruntukan kepada mereka. Mereka merupakan majoriti penentu kepada kesinambungan masa depan negara ini. Mereka harus dipeduli dan diendahkan.

Nilai RM1 Sekarang

RM1 syiling yang pernah digunakan suatu ketika dulu tetapi kini tidak sahlaku lagi di pasaran


Jom kita teliti not seringgit, atau RM1 kita. Teliti betul-betul wang kertas itu. Saya pun sambil menaip turut mengeluarkan not itu dan membelek-beleknya. Ia berwarna biru. Di bahagian belakang ada gambar Gunung Kinabalu, landskap tertinggi negara ini dan di Asia Tenggara. Wau bulan serta gambaran kepulauan nelayan dari arah laut turut terpapar di atas kertas itu.


Sebelum ini tiada siapa yang benar-benar membeleknya. Apalah sangat RM1. Mungkin ia hanya dibelek oleh pelancong yang baru pertama kali melihat not itu. Peniaga pun tak bimbang jika itu not palsu. Tiada apa yang istimewanya. Nak kata ia menarik, biasa saja. Berbanding dengan rekaan matawang asing lain, mungkin nilai seringgit kita itu tidaklah hebat mana. Itu dari segi rupa bentuknya. Bagaimana pula dengan nilainya? Denominasi seringgit itu dibentuk daripada mata desimal 100 sen. Dari nilai siling sekecil 5 sen, 10 sen, 50 sen ia boleh dicampur-campur membentuk RM1.


Wang kertas bernilai RM1 yang digunakan sekarang


Kini Bank Negara Malaysia (BNM), autoriti yang mengesahlakukan wang ringgit di negara ini tidak lagi mengeluarkan wang siling 1 sen. Mungkin BNM ada alasan berbuat demikian. Difahamkan untuk mengeluarkan siling 1 sen kosnya ialah sekitar 20 sen? Oleh itu ia dihentikan pengeluaran. Jadi nilai wang kita hanya bermula dari siling 5 sen.


Dari segi ilmu hisab, kita sudah rugi 4 sen. Tapi 5 sen pun sudah jarang digunakan oleh pekedai. Oleh itu kita sudah rugi 5 sen. Pekedai lazimnya akan mula mengira mulai 10 sen. Maka kita pengguna sudah rugi 9 sen!

Sering dulu jika harga gula naik 10 sen sekilogram, maka mamak-mamak stall akan menaikkan harga minuman kegemaran orang Malaysia, teh tarik dengan harga 10 sen segelas. Maka harga segelas teh tarik sekarang ialah RM1.20 sen. Mamak (harap jangan saman saya kerana guna istilah ini) enggan menggunakan 5 sen untuk menaikkan harga minuman itu. Mereka lebih gemar memilih 10 sen. Entah kenapa saya pun tak tau.


Budaya menggunakan 1 sen sudah hilang di negara ini. Sepatutnya nilai RM1 ialah 100 sen dan setiap sen patut diambil kira. Dulu jika kita beli kasut Bata, harga mengikut pecahan sen-sen amat popular, begitu juga di Mac Donald atau KFC dan bayar bil elektrik dan air. Kini semuanya dibulatkan kepada 5 sen dan 10 sen. Nilai 100 sen itu sudah mengecil. Dalam suasana inflasi yang semakin ketara sekarang, walaupun BNM hanya melaporkan angka yang rendah, nilai RM1 sudah hampir tiada. Harga teh tarik melebihi RM1. Masuk tandas awam kini ialah 50 sen, dua orang RM1. Belanja budak sekolah sekurang-kurangnya RM3.


Jika BNM mahu menjimatkan kos pengeluaran 1 sen, pengguna juga yang tertekan dengan kos barangan, turut rugi dari segi nilai sen-sen itu. Mungkin, jika nilai 1 sen itu dibudayakan semula - seperti di Amerika Syarikat yang masih aktif menggunakan Penny (1 sen), Nickel (5 sen), Dime (10 sen), Quarter (25 sen), Half dollar (50 sen) - maka nilai RM1 kita akan lebih bernilai lagi.


Pada masa itu mamak mungkin akan memikirkan untuk menaikkan teh tarik hanya kepada RM1.21 sahaja berbanding RM1.30 sekarang. Walaupun cadangan ini nampak bodoh dan mengarut kerana nilai 1 sen sudah dimansuhkan, kita berharap BNM boleh memikirkan sesuatu atau semula.


Rakyat kini sebenarnya mulai gelisah kerana nilai mata wang mereka semakin mengecil. Jika dulu orang kampung boleh berbelanja dapur dan petrol motosikal sekitar RM300 sebulan, kini nilainya sudah menjadi RM250 dan ke bawah dan ke bawah. Ia lebih memeritkan bagi mereka yang tinggal di bandar dan kota raya. Gaji RM2,500 ialah miskin bandar. Tapi majikan masih kedekut dan amat berkira untuk menaikkan gaji. Gaji yang diperoleh tidak setaraf dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. Kelok gaji dan kelok kos barang dan perkhidmatan tidak seimbang.


Kita berharap pakar-pakar ekonomi negara dapat memikirkan sesuatu mengenainya. Jika ke Britain nilai 1 Pound itu masih cukup besar, tapi RM1 kita sudah terlalu kecil. Bagi saya yang minum teh tarik bersama Prof Mad Syah, Zulkeply dan Dr Wan malam tadi di Restoran Uncle K di Shah Alam, nilai RM1 hanya untuk disedekahkan kepada orang buta yang silih berganti ke kedai-kedai makan sekitar ibu kota.


RM1 sudah mulai tidak dipedulikan. Tapi bagi orang buta yang mengutip RM1 bagi setiap meja - dan berjaya melakukannya ke atas beratus meja setiap malam - mereka itulah sebenarnya yang mewah. Dan dalam keadaan ekonomi baik atau tidak seperti sekarang, jumlah orang buta (dan buat-buat buta) seperti itu semakin hari semakin ramai.

Selasa, 26 April 2011

Ekosistem Belum, Banding Memikat Jiwa

Sebuah resort yang terdapat di Tasik Banding


Saya pernah berada di Pulau Banding dan sekitar Hutan Belum. Menghuni di salah sebuah pusat peranginan yang cukup istimewa iaitu Belum Rainforest Resort (BRR). Menulis puisi dalam suasana semula jadi ini amat tenang sekali. Lari dari hiruk-pikuk kota raya - yang tidak pasti bila akan reda keriuhannya.


Sebuah rumah Orang Asli di Kampung Orang Asli Chuweh


Di keliling pulau itu terletak Tasik Banding, yang di dalamnya terdapat beberapa buah pulau yang wujud akibat daripada buatan kejuruteraan manusia. Pulau-pulau itu timbul setelah kawasan seluas sekitar 80 kilometer dipenuhi air akibat pembinaan empangan janakuasa elektrik Temenggor, dalam daerah Gerik. Pembinaan itu diilhamkan oleh Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak pada 1974, antaranya bertujuan menghalau pengganas komunis yang banyak bersembunyi di hutan itu.

Tasik Banding memberikan pemandangan yang indah dan suasana yang tenang terutama kepada insan-insan yang berjiwa seni

Hasilnya, Banding (puncak tertinggi dalam lembangan Temenggor) bertukar menjadi pulau. Dengan Lebuh Raya Timur-Barat merentasi Pulau Banding, ia menjadi satu-satunya pulau yang dihubungkan dengan dua buah jambatan antara tanah besar Timur-Barat. Hasil idea bijak itu juga, pengganas komunis terpaksa melarikan diri ke selatan Thailand.

Sebuah resort di tepian Tasik Banding

Kini setelah lebih 30 dekad empangan ini terbina, kawasan tasik itu dianggap sebagai kawasan ekosistem rekreasi, ekonomi, budaya yang perlu didedahkan, diterokai, dirasai, dinikmati oleh setiap warga Malaysia. Ketika menyusuri tasiknya dengan bot dipandu pemandu pelancong, pemandangan mata umpama saujana. Kelihatan juga hutan hujan tropika paling tua di dunia, yang kini dipelihara sebagai salah satu khazanah alam negara iaitu Hutan Royal Belum.

Perkhidmatan melawat sekitar tasik dengan menaiki sampan berbumbung

Tidak keterlaluan jika diandaikan taraf tasik itu sama, malah lebih hebat daripada tasik Loch Ness atau Loch Lomond di Scotland - yang pernah saya jelajahi. Pelancongan di Tasik Banding, bagaimanapun harus diperhebatkan - setaraf kemasyhuran loch (istilah orang Scot bererti tasik) yang terdapat di utara United Kingdom itu. Di kedua-dua loch itu, penduduknya rata-rata mendapat faedah akibat limpahan wang pelancong yang datang dari segenap pelosok dunia.

Pemandangan dari jalan raya

Sebuah perkampung masyarakat Orang Asli


Bukan saja resort-resort mewah, rumah-rumah dijadikan inap bed and breakfast (B&B) yang murah. Pelancong yang datang ke situ semata-mata akibat teruja dengan omongan mitos yang mengatakan di Tasik Ness itu ada makhluk raksasa seakan-akan naga. Uniknya dengan Tasik Banding, ia mempunyai harta negara yang tiada tolok-bandingnya dengan mana-mana tempat di dunia, iaitu hutan tertua di dunia. Jika pakar arkeologi Thailand menemui fosil-fosil dinosaur di negara itu, tidak mustahil jika sisa-sisa tulang haiwan itu yang telah pupus kira-kira 150 juta tahun dulu, juga tertanam di Hutan Belum.


Bunga reflesia yang terdapat di Hutan Belum

Ketika sampai di sebuah pulau dekat Temenggor, dikenali sebagai Pulau Batu Putih, pemandu pelancong menerangkan bahawa ia adalah kawasan yang dipercayai pernah menjadi habitat dinosaur. Buktinya tumbuhan zaman jurasik dikenali sebagai pokok paku bogak jelas kelihatan di celah-celah batu kapur pulau itu. ‘Bogak adalah makanan dinosaur’, kata pemandu pelancong tersebut dengan penuh yakin. Saya yang mendengarnya juga terpegun. Walaupun pemandu pelancong itu hanya pemandu bot pelancongan dan bukan saintis atau ahli arkeologi, namun penerangan itu tidak boleh diketepikan. Saintis kitalah yang harus menjalankan lagi penyelidikan ke atas kawasan itu.

Di keliling pulau terletak Tasik Banding, yang di dalamnya terdapat beberapa buah pulau yang wujud akibat daripada buatan kejuruteraan manusia


Tasik Banding dan Hutan Belum terletak di dalam kawasan Banjaran Titiwangsa yang menyusur sehingga ke Thailand. Jika di Thailand, fosil haiwan itu ditemui, tidak mustahil Hutan Belum dan tasik itu juga merupakan habitat pelbagai jenis dinosaur pada masa itu. Ia sama seperti migrasi gajah kita sekarang yang turut memasuki daerah Thailand. Di Hutan Belum juga terdapat bunga rafflesia. Bunga yang terbesar di dunia itu mengambil masa beberapa bulan untuk berkembang dan mati beberapa hari kemudian. Saya berkesempatan melihat kembangan bunga itu setelah mendaki kira-kira 300 meter di salah sebuah kawasan. Saya juga melihat burung enggang (hornbill) berterbangan.


Pemandangan di jeti - membawa para pelancong ke resort yang terdapat di Tasik Banding


Kita juga boleh mempelajari eko-budaya Orang Asli yang cara hidup mereka di Royal Belum masih lagi asli. Mereka amat mesra, walaupun sedikit pemalu. Jika ke Kampung Orang Asli Chuweh, kita boleh inap di rumah yang disediakan dengan harga RM20 semalam. Saya difahamkan kumpulan mubaligh sebuah agama begitu rajin berkunjung ke kampung-kampung mereka untuk berdakwah.


Tasik Banding memberikan keindahan yang tersendiri

Anak-anak kita harus dihantar ke ekosistem Belum-Banding-Temenggor ini untuk mengetahui cara sebenar kehidupan - pokok-pokok hutan yang berusia ratusan tahun serta laluan migrasi rimau, gajah, rusa yang jarang mereka ketahui. Pernahkah kita tahu bahawa gajah mempunyai kawasannya yang tersendiri untuk menjilat garam galian dari tanah? Di sini terdapat lebih 60 kawasan menjilat seumpama itu di sekitar kompleks hutan hujan Belum-Temenggor. Generasi hutan batu wajib menjadikan kawasan Belum ini sebagai summer camp yang sebenar.

Kehijauan air yang terpantul dari belantara tepian tasik menggamit segala ingatan silam ke puncak memori


Malang sekali, ia belum lagi berlaku. Ada antara kita masih memandang jauh ke Barat untuk dijadikan contoh, sedangkan sebenarnya inilah tempatnya. Sepatutnya kita membawa anak-anak orang putih di Barat supaya menjadikan kawasan tasik dan hutan kita itu sebagai kem musim panas mereka. Hutan Belum, Tasik Banding adalah kem alam semula jadi yang wajib bagi setiap kanak-kanak sekolah kunjungi.


Saya mahu melihat anak-anak itu kemudiannya - secara sukarela - menjadi renjer-renjer hutan (atau tukar nama kepada renjer alam) bagi menjaga kawasan itu. Kita harus menerapkan budaya renjer ini yang lengkap dengan uniform menarik dan megah menjalankan tugasnya. Sesungguhnya dalam khazanah alam terbaik dunia yang kita ada ini, masih banyak yang perlu kita lakukan.


Sayang jika kita persiakan khazanah alam itu. Saya mengesyorkan kawasan Tasik Banding, Hutan Belum, Temenggor ditadbir dengan lebih berkesan. Kini Taman Negeri Royal Belum (Hutan Diraja Belum) terletak di bawah Perbadanan Taman-Taman Negeri Perak. Saya mengesyorkan kawasan hutan seluas 117,500 hektar itu serta sekitar kawasan Tasik Banding-Temenggor diletakkan di bawah satu perbadanan yang berasingan dan tersendiri.


Tak kenal maka tak cinta. Jika mahu kenal apa itu kedamaian alam, datanglah ke sini, kata Noraini Ahmad, Pengurus BRR, resort milik penuh Emkay Group. Masyarakat dunia juga harus tahu mengenai hutan hujan tropika yang tertua di dunia ini - bukannya di Brazil, tapi yang ada di Perak, Malaysia ini.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA