Jumaat, 3 Disember 2010

Jangan Selewengkan Fakta Sejarah: Komunis Malaya Rata-Rata Bukan Melayu Tapi Siapa?

Secara ringkas dihuraikan, PKM juga dikenali sebagai Parti Komunis Malaya. Satu parti yang mengamalkan ideologi komunisme. Komunisme itu adalah sekular kerana ia memisahkan agama daripada politik. Komunis tidak percaya pada agama dan tuhan. Komunis memperjuangkan ketuanan rakyat dan hak sama-rata. Komunis juga menentang demokrasi.

Ada sesetengah pihak cuba meletakkan komunisme dan nasionalisme itu sama, hanya untuk membawa bekas-bekas komunis ini pulang ke Malaysia. Malah ada pihak yang sanggup meletakkan nasionalisme UMNO itu sama dengan komunisme. Kita harus tahu nasionalisme itu tidak sekular kerana ia tidak memisahkan agama dengan politik. Nasionalisme adalah satu semangat yang menolak sebarang bentuk penjajahan. Bukankah semua parti politik menentang sebarang penjajahan. Inilah dia nasionalisme tetapi bukan seperti ideologi komunis yang sekular.

Selepas bertapaknya Jepun di Tanah Melayu, wujudlah puak-puak yang berani menentang British. Ini kerana orang-orang Melayu mula sedar yang kuasa Asia seperti Jepun juga boleh menundukkan kuasa British. Dari sinilah wujudnya PKMM- Parti Kebangsaan Melayu Malaya dianggap sebagai puak pemimpin sayap kiri yang agresif menentang British. PKMM juga ketika itu menentang Malayan Union. Pada mulanya mereka tidak mengangkat senjata kerana parti ini juga sealiran dengan UMNO.

Di dalam penulisan Shamsiah Fakir juga ada menyebut bahawa PKMM dan UMNO adalah satu gerakan orang-orang Melayu yang berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu tetapi akhirnya UMNO berpecah dari PKMM untuk mencari jalan sendiri mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu. UMNO dianggap sebagai puak pemimpin sayap kanan yang lebih berminat menggunakan kaedah berbincang dengan British untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu.

PKMM ditubuhkan pada 17 Oktober 1945 yang diasaskan oleh Mokhtaruddin Lasso dan Ahmad Boestamam. Menurut catatan sejarah, Mokhtaruddin Lasso adalah seorang pemimpin komunis di Indonesia. Perbezaan ideologi yang ketara di antara kedua mereka menyumbang kepada wujudnya dua sayap di bawah PKMM iaitu API dan AWAS dipimpin oleh Ahmad Boestamam agar ideologi komunisme Mokhtaruddin dapat dihapuskan. API dipimpin oleh Ahmad Boestamam dan AWAS dipimpin oleh Shamsiah Fakir. Apabila Kesatuan Melayu Muda-KMM bergabung dengan PKMM, ideologi parti ini terus cenderung bersifat nasionalisme sepenuhnya selepas Dr Burhanuddin Helmi mengambil alih pucuk kepimpinan.

Pengaruh PKMM tidak kekal lama apabila UMNO diwujudkan. UMNO yang diasaskan oleh Dato Onn Jaafar adalah sebuah parti yang lebih diyakini oleh orang-orang Melayu ketika itu. Walau bagaimanapun Dato Onn Jaafar mengundurkan diri dari UMNO apabila cadangan Tuanku Abd Rahman untuk menerima segala syarat-syarat kemerdekaan dari British. Dato Onn Jaafar ingin membebaskan Tanah Melayu dari British tanpa sebarang syarat atau perjanjian.

Disebabkan sifat PKMM yang tidak mahu berunding dengan British dan menentang secara agresif, parti ini diisytiharkan pengkhianat bangsa oleh British ketika itu. Ramai pengikut-pengikut PKMM ditangkap dan dibunuh dengan kejam. Mereka melarikan diri ke dalam hutan lalu bergabung dengan Komunis Malaya untuk mendapatkan bekalan senjata. Tujuan mereka adalah untuk mempertahankan diri dari serangan tentera British yang di antaranya adalah orang-orang Melayu. Walaupun bergabung dengan komunis mereka tidak pernah mengamalkan ideologi komunisme seperti yang diputarbelitkan oleh Pakatan Rakyat.

PKMM bersifat nasionalisme kerana mereka tidak memisahkan agama dari perjuangan mereka. Mereka tidak membunuh melainkan mereka diserang. Mereka tidak pernah menentang demokrasi seperti kenyataan Pakatan Rakyat. Di dalam PKMM mereka mempunyai biro-biro keagamaan, dan kebajikan. Pakatan Rakyat menganggap PKMM sebagai Parti Komunis Melayu Malaya. Malaysia hari ini tidak pernah meletakkan PKMM sebegitu rendah kerana PKMM juga berjuang mendapatkan kemerdekaan. Cuma Malaysia tidak pernah mengiktiraf PKMM sebagai pejuang kerana tidak mahu ada pihak yang memutarbelitkan fakta seperti yang berlaku sekarang.

Melayu Malaysia perlu ingat, PKMM bukan dibayangi Chin Ping seperti kenyataan Pakatan Rakyat. PKMM adalah gerakan orang-orang Melayu yang berjuang untuk kemerdekaan. Silapnya PKMM mereka meletakkan senjata apabila PKM menyerah kalah. Kerana itulah PKMM disalahtafsirkan pembangkang. MEREKA BUKAN KOMUNIS MELAYU.

Nota:

Perjuangan Melayu (termasuklah PKMM) adalah untuk membebaskan tanah tumpah darah mereka, Tanah Raja Melayu dan orang Melayu bertapak, ketika itu.



Sejarah Penggubalan Perlembagaan

Apabila Inggeris kembali, mereka telah merancang untuk memperkenalkan Malayan Union yang kemudiannya mendapat tentangan hebat daripada orang Melayu. Akibat tentangan orang Melayu, Malayan Union kemudiannya telah dimansuhkan dan digantikan dengan perlembagaan baru iaitu Persekutuan Tanah Melayu 1948. Perlembagaan yang dibentuk dalam tahun 1948 ini berjalan dengan beberapa pengubahsuaian yang perlu hingga tahun 1957 apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.

Akta Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu menamatkan kedaulatan dan bidang kuasa Inggeris di Tanah Melayu. Perlembagaan Persekutuan 1957 berkuat kuasa sehingga sekarang dengan beberapa pindaan penting. Antara pindaan yang telah dilakukan ialah Akta Malaysia yang diluluskan pada tahun 1963 meminda inter-alia Perkara 1 (1) dan (2) untuk memasukkan Sabah, Sarawak dan Singapura serta menukarkan nama Persekutuan kepada Malaysia.

Kesatuan Tanah Melayu yang lebih dikenali dengan Malayan Union, merupakan satu cubaan kerajaan British untuk menukar taraf negeri-negeri Melayu yang bernaung sebagai tanah jajahan. Kerajaan British ingin menjadikan negeri-negeri Melayu sebagai tanah jajahannya seperti Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Pihak British akan mempunyai kuasa penuh di Tanah Melayu, dan kedaulatan raja-raja Melayu akan terhapus. Rancangan Kesatuan Tanah Melayu (Malayan Union) merupakan satu perkara yang sangat penting dalam sejarah Malaysia.

Pembentukan Malayan Union telah berjaya memarakkan semangat kebangsaan orang Melayu. Malayan Union juga telah menyatupadukan orang Melayu, sekurang-kurangnya buat beberapa ketika. Mereka memulakan gerakan politik anti-British secara terbuka dan merupakan bibit permulaan bagi perjuangan mencapai kemerdekaan serta menggubal undang-undang tertinggi negara yang mengambil kira unsur-unsur tradisi masyarakat di negara ini.

Secara ringkasnya kronologi penggubalan Perlembagaan persekutuan adalah bermula daripada Perlembagaan Malayan Union dan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

Malayan Union – 1946

Malayan Union diwujudkan pada tahun 1946. Idea dan rancangan menubuhkan Kesatuan Tanah Melayu atau Malayan Union sebagai satu bentuk pemerintahan yang baru bagi Tanah Melayu telah mula dikaji dan disusun oleh pihak Inggeris sejak Tanah Melayu mula jatuh ke tangan Jepun pada awal 1942.

Pejabat Tanah Jajahan Inggeris di London secara diam-diam, tanpa menghebohkan kepada Raja-raja Melayu dan orang Melayu, telah mengambil keputusan untuk menubuhkan suatu pemerintahan yang bercorak Malayan Union bagi menggantikan Pemerintahan Tentera yang diperkenalkan oleh mereka.

Perjumpaan Kongres Melayu Pertama – 1946

Pada 11 Mac 1946, satu perjumpaan telah diadakan dengan menggabungkan 41 pertubuhan Melayu bagi membentuk Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu. Ia bermatlamat untuk menyatupadukan orang Melayu dalam satu badan penyuaraan yang kuat supaya Malayan Union dimansuhkan. Ketika ini Kongres ini belum mempunyaai sebaaang rancangan kemasyarakatan dan ekonomi yang tertentu sebaliknya hanya mahu memulih kembali kedaulatan raja-raja Melayu dan hak-hak orang Melayu sebagai bumiputera.

Penubuhan UMNO – 1946

Pada 11 Mei 1946, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) telah ditubuhkan hasil perjumpaan yang diadakan oleh Kongres Melayu Pertama. UMNO banyak memainkan peranan dalam pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang baru hasil daripada beberapa memorandum yang dikemukakan oleh pertubuhan tersebut kepada pihak British.

Pada 2 Jun 1946, Malcolm MacDonald dan Sir Edward Gent memberitahu Persidangan Raja-raja bahawa Kerajaan British bersetuju menimbang syor Raja-raja dan Pertubuhaan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan akan menggubal perlembagaan baru untuk Tanah Melayu. Akhirnya pada 25 Julai 1946, Dato’ Onn Jaafar dan 11 lagi ahli jawatankuasa lain telah dipertanggungjawabkan untuk menggubal perlembagaan baru untuk menggantikan Malayan Union.

Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu – 1948

Jawatankuasa Kerja telah mengkaji syor dan membuat pindaan perlembagaan yang dicadangkan dan Kerajaan British akhirnya menerima perlembagaan tersebut dan dilaksanakan pada 21 Januari 1948 bagi menggantikan Malayan Union dengan Persekutuan Tanah Melayu. Penubuhan ini dilakukan melalui perjanjian yang dinamakan Perjanjian Persekutuan.

Dalam perjanjian tersebut terdapat beberapa perubahan penting yang dilakukan dalam Perlembagaan Persekutuan 1948. Berikutan perjanjian tersebut Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan pada 1 Februari 1948. Majlis Perundangan Persekutuan ditubuhkan di mana ia mempunyai kuasa membuat undang-undang. Pesuruhjaya Tinggi pula mempunyai kusa veto (pembatal) untuk menghalang rang undang-undang yang diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan.

Sejak tahun 1948, setiap negeri Melayu mempunyai perlembagaan masing-masing. Johor dan Terengganu telah pun mempunyai perlembagaan lebih awal lagi, masing-masing pada tahun 1895 dan 1911. Ianya dipinda supaya sesuai dengan kehendak Perjanjian Persekutuan 1948.

Pilihanraya Pertama

Hasil kegiatan politik dan tuntutan daripada pelbagai parti dan kumpulan politik pada penghujung tahun 1940-an dan awal 1950-an telah memaksa kerajaan Inggeris memutuskan untuk mengadakan satu pilihan raya bagi kawasan Perbandaran Kuala Lumpur pada Jun 1955. Pilihanraya pertama diadakan bagi memilih anggota-anggota Majlis Perundangan Persekutuan yang mengandungi 52 anggota yang dipilih, 34 anggota yang dilantik dan 12 pegawai kerajaan, dan seorang Pengerusi dilantik oleh Pesuruhjaya Tinggi dengan persetujuan Raja-raja.

Rundingan Kemerdekaan

Pada bulan Januari 1956, Tunku Abdul Rahman telah berangkat ke London untuk berunding dengan kerajaan Inggeris tentang kemerdekaan Tanah Melayu. Rombongan tersebut terdiri daripada 4 orang wakil parti Perikatan, 4 orang wakil Raja-raja Melayu dan wakil-wakil kerajaan Inggeris di Tanah Melayu.

Wakil-wakil Perikatan dan Raja-raja Melayu telah mencapai persefahaman sebelum mereka tiba di London. Dalam rundingan yang berlangsung dari 18 Januari hingga 6 Februari 1956, persetujuan telah dicapai iaitu melaksanakan penubuhan segera Persekutuan Tanah Melayu berpemerintahan sendiri dan kemerdekaan yang sepenuhnya.

Suruhanjaya Reid

Pada bulan Mac 1956, satu Jawatankuasa Perlembagaan telah dibentuk bagi mengkaji dan merangka Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan sebuah kerajaan pusat. Jawatankuasa yang diketuai oleh Lord Reid ini turut dianggotai oleh Sir Ivor Jennings, Sir William Mckell, En. B. Malik dan En. Abdul Hamid. Suruhanjaya ini berfungsi untuk mengesyorkan satu Perlembagaan Persekutuan berdasarkan demokrasi berparlimen, mengadakan majlis mesyuarat dwi-dewan dan mempunyai Kerajaan Persekutuan yang kuat.

Syor Suruhanjaya ini dibuat dengan mengambil kira unsure-unsur tradisi masyarakat Melayu di Tanah Melayu pada masa tersebut. Suruhanjaya ini juga diminta menjamin kedudukan istimewa orang Melayu dan hak-hak yang sah kaum-kaum lain. Semasa proses merangka rang undang-undang yang dimaksudkan, suruhanjaya ini telah menjalankan tugasnya pada Jun 1956, dan telah menggemukakan laporannya pada Disember 1956.

Sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 118 kali persidangan telah diadakan. Selain itu, suruhanyaya juga telah menerima 131 memorandum yang dikemukakan oleh parti-parti politik, pertubuhan dan orang ramai. Antara 131 memorandum yang bertulis, dua daripadanya telah dikemukakan oleh Raja-raja Melayu dan parti Perikatan.

Menggubal Rang Undang-Undang Perlembagaan

Pada bulan Februari 1957, Rang Undang-Undang Perlembagaan yang pertama diumumkan tetapi ia telah mendapat banyak tentangan. Justeru satu lagi jawatankuasa yang terdiri daripada 11 orang ahli, iaitu 4 orang wakil Raja-raja Melayu, 4 orang wakil Kerajaan Perikatan, Pesuruhanjaya Tinggi British, Ketua Setiausaha dan Peguan Negara telah dibentuk untuk mengkaji semula perlembagaan tersebut.

Kemerdekaan Tanah Melayu

Pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu telah diluluskan pada 27 Ogos 1957 dan dikuatkuasakan pada 31 Ogos 1957. Tarikh penguatkuasaannya adalah bersempena pengisytiharan Kemerdekaaan Tanah Melayu. Perlembagaan Persekutuan terbentuk hasil toleransi pelbagai kaum di negara ini, terutamanya tiga kaum terbesar, iaitu Melayu, Cina dan India.

Penubuhan Suruhanjaya Cobbold dan Referendum Di Singapura

Suruhanjaya Cobbold ditubuhkan bertujuan untuk meninjau dan mengkaji pendapat orang ramai di Sabah dan Sarawak tentang cadangan pembentukan Malaysia. Suruhanjaya ini telah memulakan tugasnya dalam bulan Februari 1962 hingga pertengahan bulan April tahun yang sama.

Sewaktu bertugas di Sabah dan Sarawak, mereka telah berkesempatan untuk berjumpa dengan lebih 4000 orang dan menerima lebih kurang 2000 memorandum dan surat yang dikemukakan oleh persatuan-persatuan politik, agama, kemasyarakatan dan kesatuan-kesatuan sekerja. Menjelang bulan Jun 1962, Suruhanjaya tersebut telah mengeluarkan satu laporan berhubung dengan maklum balas yang dikemukakan penduduk Sabah dan Sarawak tentang cadangan penubuhan Malaysia.

Penubuhan Malaysia

Pada bulan Julai 1963, satu lagi perjanjian telah ditandatangani di London, di antara kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak. Mengikut perjanjian ini Parlimen British akan meluluskan satu undang-undang untuk memberi kemerdekaan kepada Singapura, Sabah dan Sarawak yang masing-masing akan mempunyai perlembagaan baru. Bagi Persekutuan Tanah Melayu, Parlimen Persekutuan akan meluluskan satu undang-undang yang dipanggil Akta Malaysia untuk meminda Perlembagaan Persekutuan. Akta Malaysia ini telah diluluskan pada 26 Ogos 1963.

Sejarah Bagaimana Yang Kita Mahu?

Seterusnya, diikuti dengan dasar-dasar kerajaan selepas peristiwa 13 Mei 1969 sehinggalah hari ini. Kumpulan-kumpulan ekstrem ini asyik bercakap soal sumbangan bukan Melayu dan soal penentangan bukan Melayu terhadap Jepun 1942-1945. Sedangkan kita sedia maklum, sejarah penentangan terhadap Jepun penuh dengan kontroversi fakta dan dipertikaikan.

Adakah benar orang Cina mempertahankan Tanah Melayu atau sekadar membalas dendam terhadap Jepun?

Berkali-kali saya telah nyatakan bahawa penentangan terhadap Jepun, tidak banyak kaitan dengan kemerdekaan, tetapi lebih kepada dendam kedua belah pihak yang telah mengalami perang sebelum ini. Sila rujuk sejarah Perang China-Jepun 1894-1895 dan 1937.

Jika benar orang bukan Melayu mahu memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu selepas pengunduran Jepun, kenapa Malayan Union yang cuba diperkenalkan British pada 1946, tidak ditentang? Kenapa hanya orang Melayu yang bangun menentang? Ini menunjukkan perjuangan menentang kemerdekaan amat diragui sebelum detik 31 Ogos 1957.

Pada saya, kita serahkan semua sejarah kita kepada ahli sejarah. Janganlah doktor perubatan dan ahli ekonomi memandai-mandai bercakap banyak dalam isu ini. Walhal ilmu sejarah mereka amat cetek, hanya berasaskan kepada pandangan dan laporan ibu bapa murid yang tidak puas hati dengan silibus yang sedia ada.

Mereka yang bukan berlatarbelakangkan sejarah, duduk diam-diam, tidak perlu berkokok keterlaluan. Bagaimana kita menghormati profesion orang lain, begitu juga orang lain mesti menghormati profesion kita, barulah itu dinamakan profesional. Janganlah terlalu bertindak ekstrem dalam hal ini. Banyak masa terbuang dan tidak banyak membawa faedah.

Pada saya, sejarah sistem kenegaraan sesebuah negara mesti diajar. Sama seperti negara China dan India yang mempunyai sejarah sistem kenegaraan sendiri. Begitu juga dengan sistem kenegaraan Melayu, mesti ada sejarahnya sendiri. Adakah silibus ini langsung tidak boleh disentuh atau dimasukkan sebagai teras sejarah negara ini? Sedangkan negara lain, silibus seperti ini yang menjadi asas.

Negara Singapura sedang cuba dan telah pun memadamkan asas sebegini. Saya fikir MCA, DAP dan Gerakan, tidak perlu campur tangan dalam soal akademik. Biar orang akademik yang melakukannya. Orang politik, jaga saja kawasan dan kerusi masing-masing, serta tanggungjawab mereka terhadap rakyat.

Saya bukan bertujuan menjadi jaguh membela orang Melayu, tetapi saya suka berkata benar, sebab saya adalah seorang pengkaji. Dalam konteks ini, Malaysia telah wujud hasil daripada cantuman tiga wilayah Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Persekutuan Tanah Melayu pula diasaskan atas tapak kesultanan Melayu Melaka sebelum Melaka dijajah Portugis dalam tahun 1511. Perkataan ‘Negeri-Negeri Melayu Bersekutu’ dan ‘Negeri-Negeri Melayu Tak Bersekutu’ dan ‘Persekutuan Tanah Melayu’ masih wujud dalam undang-undang kita. Dengan lain- lain perkataan, negara Malaysia adalah berteraskan sejarah Melayu, evolusi politik Melayu, nasionalisme Melayu yang hidup subur dalam kepulauan Melayu yang mempunyai sejarah kebudayaan Melayu.

Berdasarkan hakikat itulah, maka Perlembagaan Malaysia digubal (Firdaus Abdullah, 24 & 25 Jun 2009). Sejarah sistem kenegaraan Melayu adalah akar umbi kepada sejarah negara ini. Bermula dengan perkataan ‘Melayu’ atau ‘Tanah Melayu’ itu sendiri yang bermaksud wilayah dan kepulauan di rantau ini. Nama-nama ini terkenal di kalangan negeri-negeri China, India dan Barat seperti Melayu (I-Tsing), Malaiur (Marco Polo), Malaiyur (inskripsi Tanjore-Sanskrit di India), Ma-Li-Yu-R (Yuan Shih/Cina), Mailiur (Siam) dan Malayo (Albuquerque/ Portugis) (R. Suntharalingam dan Abdul Rahman Haji Ismail, 1985: 85).

Hujah ini menunjukkan bahawa dari abad ke-6 hingga ke-10, perkataan Melayu adalah nama tempat dan bukannya nama khusus bagi rumpun bangsa. Hanya pada abad ke-11, barulah perkataan Melayu mulai dipakai bagi menamakan rumpun bangsa. Ringkasnya, istilah-istilah Tanah Melayu, Melayu dan Malaysia serta Malaya jelas merujuk kepada negeri-negeri Melayu atau Tanah Melayu atau Land of the Malays. Fakta ini menunjukkan bahawa Tanah Melayu (Malaysia) adalah kepunyaan satu bangsa yang bernama Melayu (Suntharalingam dan Abdul Rahman Haji Ismail, 1985).

Namun, kedatangan penjajah British telah merubah landskap politik Tanah Melayu. Tanah Melayu yang dahulunya dihuni oleh orang Melayu di Kepulauan Melayu telah menjadi sebuah negara berbilang bangsa.

Tunku Abdul Rahman pernah berkata pada tahun 1953, orang Cina melalui MCA telah menerima dan mengiktiraf negara ini sebagai negara Melayu dan segala hak kepada orang Melayu tidak boleh dipersoalkan lagi. Tujuan Tunku meletakkan syarat ini adalah untuk menarik kesedaran pihak MCA tentang taraf orang Melayu yang sebenar, sambil menguji tentang kejujuran pemimpin-pemimpin MCA dalam perhubungannya dengan UMNO.

Akhirnya pihak MCA telah menerima dan mengakui hakikat itu serta bersetuju rundingan tersebut berjalan atas dasar yang telah ditetapkan (Mansor et al, 2006). Hujah ini diperkukuhkan lagi oleh Chandra Muzaffar dengan menyatakan, sebuah negara berbilang kaum yang wujud daripada konsep Malay polity atau sistem kenegaraan Melayu. Perlembagaan Persekutuan pada 1957 memberikan kewarganegaraan secara terbuka kepada mereka yang berhak tanpa mengira latar belakang.

Keterbukaan itu harus difahami oleh semua pihak kerana melalui proses akomodasi para pemimpin pada masa itu, lebih sejuta orang bukan Melayu, sebahagian besarnya imigran, diterima secara automatik sebagai warganegara dan diberikan jus soli. Ini sesuatu yang luar biasa.

Melalui proses kewarganegaraan yang dikatakan sebagai stroke of a pen ini, demografi negara berubah serta-merta. Hampir 40 peratus daripada warganegaranya ialah orang bukan Melayu. Sebuah negara Melayu tiba-tiba menjadi masyarakat berbilang kaum. Ini tidak pernah berlaku dalam sejarah. Nasionalisme bangsa Filipina dan Vietnam melahirkan negara Filipina dan Vietnam tetapi nasionalisme Melayu yang diperjuangkan lama sebelum kemunculan UMNO sebaliknya tidak melahirkan sebuah negara Melayu. Inilah sifat negara ini yang harus kita fahami - berbilang kaum tetapi berakar umbi dalam sistem kenegaraan Melayu.

Perlu juga difahami bahawa Malaysia juga tidak sama dengan negara-negara lain yang menjadi berbilang kaum kerana tekanan kolonialisme. Ini kerana polity Melayu itu jauh lebih kukuh sebagai sistem kenegaraan. Kerajaan Melayu Melaka dan selepas itu Johor diiktiraf di peringkat antarabangsa. Ciri-ciri polity itu diterima sebagai ciri-ciri sebuah negara dan sistem pemerintahan. Ini adalah sebahagian daripada ingatan kolektif masyarakat Melayu. Perkara ini tidak difahami bukan saja oleh ahli-ahli politik, malah sebahagian besar cendekiawan serta mereka yang boleh mempengaruhi pandangan umum termasuk media.

Itu sebabnya dari semasa ke semasa timbul isu-isu yang menjadi kontroversi menyentuh soal bahasa, agama dan sistem pendidikan. Ini kerana tidak ada kefahaman tentang latar belakang sejarah dan polity Melayu dan pengaruhnya terhadap sistem kenegaraan Melayu. Malangnya, tidak ada usaha di kalangan pemimpin masyarakat untuk memahami perkara ini, bahawa kita masyarakat berbilang kaum yang berakar umbi dalam polity Melayu.

Menurut Chandra lagi, Malaysia lebih mudah untuk menghadapi cabaran-cabaran dalam konteks masyarakat berbilang kaum sekiranya memahami sejarah ini. Jika ada yang menafikannya, sengaja tidak mahu memahami, sukar untuk menjalinkan hubungan kaum yang harmonis. Oleh kerana wujudnya polity Melayu dalam sejarah, maka bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan, agama Islam sebagai agama rasmi dan raja-raja menjadi ketua negeri dan negara. Sejarah sebegini perlu difahami.

Oleh kerana adanya polity Melayu dan sebahagian besar masyarakat Melayu dan peribumi begitu miskin dan mundur pada 1957, dan dalam keadaan begitu, kewarganegaraan dianugerahkan dengan begitu liberal, masyarakat Melayu dan peribumi itu memerlukan perlindungan. Itu adalah tuntutan yang sah dalam konteks pembentukan negara. Perlindungan yang dipersetujui itu adalah untuk memperbaiki kedudukan masyarakat Melayu dari segi sosioekonomi.

Semua pandangan ini menunjukkan bahawa Malaysia tidak dapat lari daripada sistem kenegaraan Melayu. Justeru, tidak hairanlah bagi mereka yang memahami sejarah akan menghormati bukti-bukti dan seterusnya mengeluarkan kenyataan-kenyataan lunak, berhikmah dan begitu bertoleransi.

Jika benar-benar kita ikhlas dalam memahamkan sejarah, jauhkan penglibatan orang politik, biarkan ilmuan dan ahli akademik yang berhujah dan menulis fakta. Keadaan hari ini menjadi kelam kabut kerana kita terlalu banyak berpolitik. Setiap parti politik mahu menjadi jaguh bangsa, bukannya mahu berkata benar walaupun pahit.

Perlembagaan Payung Keselamatan

Matlamat Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan perlu dihayati semula sebelum pindaan dilakukan kepada mana-mana akta keselamatan negara, khususnya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960. Peruntukan ini memberikan kuasa kepada kerajaan untuk mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan jenayah yang memudaratkan awam.

Ia juga merupakan teras kepada undang-undang seperti ISA, di samping mencegah pelbagai ancaman yang dijangka muncul (perceived threats) dan ancaman keselamatan bukan tradisional seperti terorisme, sabotaj, cauvinisme dan pengkhianatan.

Dalam konteks kajian keselamatan kontemporari, peruntukan ini bukan sahaja menjamin keselamatan negara, malahan keselamatan politik, keselamatan masyarakat dan keselamatan ekonomi yang dikaji secara meluas dan mendalam berikutan beberapa konflik etnik di era pasca Perang Dingin.

Antara kajian ini terkandung dalam buku-buku Buzan (1991), Buzan, Waever, De Wilde (1998), Scherrer (2003), Mackerras (2003), Guzzini & Jung (2004), Sheehan (2005), dan Booth (2007).

Keselamatan Politik

Buzan (1991:19) menyatakan, keselamatan politik adalah mengenai keupayaan orang-oranganisational sesebuah negara, sistem kerajaan dan ideologi yang menjadi legitimasi kerajaan berkenaan. Aspek keselamatan ini terkandung dalam Perkara 149(1)(b) yang mencegah tindakan ‘membangkitkan perasaan tidak suka terhadap Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana kerajaan dalam Persekutuan.’

Dan, Perkara 149(1)(d) yang melarang tindakan ‘untuk mendapatkan diubah, dengan apa-apa cara lain daripada cara yang sah, apa-apa jua yang tertubuh menurut undang-undang’ di Malaysia.

Maksud 149(1)(d) diperjelaskan oleh mukadimah ISA yang menyatakan ‘untuk mendapatkan perubahan, selain dengan cara yang sah. Kerajaan Malaysia yang sah yang ditubuhkan menurut undang-undang.’

Kedua-dua peruntukan Perlembagaan ini menjamin keselamatan politik kerana institusi Yang di-Pertuan Agong adalah lambang demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan yang menjadi ideologi nasional negara. Tindakan merobah kerajaan secara tidak sah pula adalah mencanggahi prinsip-prinsip demokrasi.

Keselamatan Masyarakat

Keselamatan masyarakat adalah mengenai kemampanan pola tradisional bahasa, kebudayaan dan agama serta identiti dan adat resam dalam suatu keadaan yang melalui evolusi (Buzan (1991:19).

Lazimnya, keselamatan masyarakat juga merangkumi keselamatan insan seperti keselamatan peribumi, keselamatan etnik dan keselamatan identiti. Aspek keselamatan ini terangkum dalam Perkara 149(1)(a) yang mencegah tindakan ‘menyebabkan kekerasan yang dirancang terhadap orang atau harta, atau untuk menyebabkan sebilangan besar warganegara takut akan kekerasan itu;’
Perkara 149(1)(c) yang mencegah perbuatan ‘mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan antara beberapa kaum atau golongan penduduk yang mungkin menyebabkan kekerasan;’

Dan, Perkara 149(1)(f) yang melarang tindakan ‘yang mendatangkan mudarat ketenteraman awam atau keselamatan, dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya.’

Peruntukan ini juga terkandung dalam Mukadimah ISA yang melarang individu melakukan keganasan terancang dan Fasal 8(1) ISA yang mengizinkan tahanan pencegahan ke atas individu yang berhasrat mendatangkan mudarat kepada keselamatan Malaysia.

Seluruh peruntukan ini selaras dengan ciri-ciri keselamatan masyarakat kerana api perkauman dan konflik etnik, jika tidak dicegah, boleh menjejaskan kesejahteraan serta identiti rakyat Malaysia yang majmuk.

Ini membuktikan ISA yang bersumberkan Perkara 149 bukan undang-undang yang bertujuan untuk melenyapkan pengkritik kerajaan, ketua parti pembangkang, pemimpin pelajar dan peneraju kesatuan sekerja, seperti dipropagandakan oleh pemimpin pembangkang tertentu di Malaysia.

Sebaliknya, Perkara 149 dan ISA adalah undang-undang yang menghalalkan tindakan sesiapa juga yang memerintah Malaysia untuk melindungi keselamatan rakyat supaya identiti mereka tidak terjejas, konflik etnik dapat dibendung dan keganasan etnik dapat dielakkan.

Keselamatan Ekonomi

Buzan (1991:19) menghuraikan, keselamatan ekonomi melibatkan akses kepada sumber-sumber, kewangan dan pasaran yang diperlukan untuk memelihara tahap kebajikan rakyat dan kuasa negara. Aspek keselamatan ini termaktub dalam Perkara 149(1)(a) yang melarang tindakan ‘kekerasan yang dirancang terhadap harta’, dan Perkara 149(1)(e) yang melarang tindakan yang ‘mendatangkan mudarat kepada ketenteraman awam atau keselamatan dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya.’

Aspek ini juga terkandung dalam Fasal 8(1) ISA mengenai tindakan individu yang ‘boleh mendatangkan mudarat kepada penyenggaraan perkhidmatan perlu di dalam negara atau kepada kehidupan ekonominya.’

Huraian ini membuktikan bahawa keselamatan ekonomi negara dan rakyat adalah dilindungi oleh Perkara 149 dan ISA. Sebarang dakyah sebaliknya adalah bertujuan untuk mengelirukan rakyat supaya mendesak kerajaan memansuhkan ISA.

Keselamatan Rejim

Seluruh peruntukan dalam Perkara 149 dan ISA juga memberikan perlindungan kepada keselamatan rejim yang memfokus kepada negara, individu, dan kumpulan sosial di sesebuah negara.

Antara nilai-nilai teras yang dipertahankan menerusi konsep keselamatan rejim adalah ideologi politik pemerintah, perpaduan etnik, keharmonian agama, institusi raja, pembangunan dan kemakmuran.

Keselamatan rejim disifatkan sebagai keselamatan kerajaan (Buzan 1985) kerana ia memelihara kelangsungan negara Dunia Ketiga, khususnya bila masyarakat majmuknya tidak berkongsi nilai dan kepentingan nasional yang serupa.

Keselamatan Peribumi

Keselamatan peribumi dihuraikan secara tidak langsung menerusi konsep keselamatan etnik dan identiti yang antara lainnya adalah mengenai migrasi serta dampaknya kepada penduduk asal di sesebuah negara.

Menurut Sheehan (2005:92), Buzan menyifatkan migrasi sebagai ancaman kepada masyarakat kerana ia mengancam identiti warganegara (peribumi) di sesebuah negara. Isu migrasi dikategorikan sebagai ancaman keselamatan sejak tahun 1990-an.

Scherrer (2003:95-97) pula menyatakan, serangan terhadap identiti sesuatu kelompok boleh mendorong pemberontakan; perbuatan mempolitikkan etnisiti makin bertambah; dan etnisiti terus menjadi elemen dalam sesuatu pertelingkahan sosial.

Huraian ini membuktikan tindakan mempertikaikan peruntukan Perlembagaan mengenai Islam, Raja Melayu, Bahasa Melayu, orang Melayu, Bumiputera dan keistimewaan mereka, adalah tindakan anti-nasional. Ini kerana tindakan sedemikian boleh ‘menimbulkan perasaan jahat atau permusuhan antara beberapa kaum atau golongan penduduk yang mungkin menyebabkan kekerasan,’ seperti yang dihuraikan dalam Perkara 149(1)(c).

Tindakan Futuristik

Oleh sebab itu para pejuang kemerdekaan Malaysia menangani masalah etnisiti seperti ini secara proaktif. Ia dilakukan menerusi kewujudan konsep peribumi yang ditafsir secara Perlembagaan dalam Perkara 160, 161A, (6)(a)), 161A(7) dan 161A(6)(b) Perlembagaan Persekutuan.

Konsep kewarganegaraan rakyat bukan peribumi pula ditafsir secara Perlembagaan menerusi Perkara 14, 15, 15A, 16, 16A, 18, 19 dan 22 Perlembagaan Persekutuan. Tafsiran ini juga berasaskan prinsip muafakat dan toleransi antara kaum. Menurut Leong H. Liew (2005:88), pemberian hak-hak kewarganegaraan kepada bukan Melayu di Malaysia adalah sebagai pertukaran kepada pengiktirafan bukan Melayu kepada hak-hak istimewa orang Melayu.

Etnik keturunan Cina khususnya, wajar menginsafi hakikat ini kerana Mackerras (2003) membuktikan bahawa layanan terhadap masyarakat minority di Malaysia adalah lebih baik berbanding di China, Indonesia dan Thailand.

Etnisiti di negara-negara tersebut, melainkan di Indonesia dan Thailand, memang belum pernah mencetuskan konflik seperti tragedi 13 Mei. Ini kerana ketiadaan aktor politik yang mengeksploitasikan isu-isu etnisiti. Ini membuktikan bahawa masalah etnisiti di Malaysia boleh dibendung dan dielakkan sekiranya tiada pemimpin politik menggunakan isu berkenaan untuk mendapatkan pengaruh dan sokongan.

Menurut Leong H. Liew (2005: 92-93), eksploitasi isu-isu etnik dilakukan secara agresif oleh parti-parti pembangkang Cina sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 1969.

Mereka memperolehi pertambahan kerusi. Tetapi, tindakan mereka menyebabkan orang Melayu terancam sehingga mencetuskan ketakutan dan kemarahan yang belum pernah terjadi sejak Perang Dunia Kedua. Akibatnya adalah Tragedi 13 Mei 1969.

Pelindung Rakyat

Kesimpulannya, Tagedi 13 Mei boleh berulang jika masih ada pihak mengeksploitasi isu-isu etnik. Ia juga boleh meletus kerana isu etnik yang digandingkan dengan isu hak-hak asasi kini jadi semakin ketara. acana mengenai hak-hak asasi ini dimunculkan menerusi pelbagai tuntutan hak-hak sivil, politik, etnik dan demokrasi. Wacana ini terbahagi kepada aliran universalis yang menerima dukungan Barat dan aliran komunitarian yang wujud di Asia (Mackerras 2003:4-5).

Pendukung aliran universalis menitikberatkan hak-hak sesuatu kelompok. Mereka ketepikan elemen sejarah dan permuafakatan kaum. Mereka juga tidak pedulikan dampak negatif perjuangan mereka kepada keselamatan negara dan rakyat. Gerakan ini kian menonjol di Malaysia. Kes-kes membabitkan Islam diheret ke mahkamah sivil. Keistimewaan peribumi terus dipolitikkan. Bahasa Melayu cuba disinonimkan dengan bahasa etnik lain, termasuk untuk kegunaan di papan tanda jalan.

Fenomena ini membuktikan Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan dan ISA adalah penting untuk melindungi seluruh peruntukan Perlembagaan mengenai peribumi yang masih dipolitikkan oleh sesetengah pemimpin parti politik di Malaysia. Ia juga memperkukuhkan hujah bahawa seluruh peruntukan Perlembagaan mengenai Agama Islam, Raja-Raja Melayu, orang Melayu, Bumiputera, dan Bahasa Melayu tidak akan mencetuskan konflik etnik jika tidak dieksploitasi oleh sesetengah pemimpin politik dan pertubuhan sivil.

Oleh itu, rakyat Malaysia tidak harus terpengaruh dengan dakyah kononnya ISA yang bersumberkan Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan adalah akta yang menindas rakyat. ebaliknya, semua undang-undang keselamatan di Malaysia yang bersumberkan Perkara 149, termasuk ISA adalah penting untuk menjamin keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat jelata.

Undang-undang seperti ini tidak wajar dimansuhkan. Sebarang pindaan mengenainya tidak boleh mengkompromikan matlamat Perkara 149 yang melindungi kepentingan serta kelangsungan peribumi, rakyat bukan peribumi, dan lain-lain peruntukan strategik dalam Perlembagaan Persekutuan.

Nota:

Jika ISA hendak dimansuhkan, pastikan Akta Hasutan dipinda agar sesiapa yang menghasut terhadap hak istimewa orang Melayu hendaklah di sebat dengan rotan minima 6 kali sebatan dan penjara tidak kurang daripada 3 tahun.

Mimpi Penyatuan Bangsa Melayu Melalui Nusantara

SMAHADZIR

‘Saya berdoa yang universiti ini tidak akan hilang cita-cita kebudayaannya yang asasi, terutama di dalam konteks lautan Melayu di mana kita hidup. Saya selalu merasa yang dunia Melayu yang maha luas ini telah memberikan banyak iktibar.’ Begitu kata Tan Sri Profesor Emeritus Dato’ Pendita (Dr) Haji Ismail Hussein dalam Syarahan Perdana Profesor UKM pada 30 Januari 1990.

Dunia Melayu selalu terbuka luas, laksana samudera lepas yang mengelilingi dan selalu menerima serta menyedut akan pelbagai unsur yang menyentuh pantainya, tetapi di samping itu tetap mempertahan keperibadiannya yang unik. Dunia Melayu ini penuh keragaman daripada segi keagamaan, kebudayaan, kesenian serta adat resam, tetapi di bawah keragaman itu selalu terasa ada kesatuan yang mengikatnya.

Wajar dicatat dalam konteks peralihan masa ialah ucapannya kepada ahli-ahli Royal Asiatic Society Malaysia Branch di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 27 Februari 1966 manakala menghuraikan perkembangan bahasa Melayu. Lantas disebut betapa bahasa Melayu selepas tamat perang menjadi bahasa kebangsaan Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei. Betapa pengajian Melayu telah berkembang di negara-negara lain, terutama di Australia, Amerika, England dan Russia. Sebelum itu dari kedatangan penjajah Eropah mulai abad ke-16 tidak meminati langsung untuk membuat kajian mengenai budaya dan bahasa rakyat tempatan. Ini berlaku selama 300 tahun.

Perubahan berlaku kemudiannya seperti di Singapura di bawah pemerintahan Stamford Raffles. Di Indonesia pegawai penjajah Belanda Snouck Hurgronge menganalisis bahasa warga Aceh, manakala di Tanah Melayu antara yang berperanan ialah Richard Windstedt. Dalam pada itu para penyelidik Eropah tertarik minat mereka kepada pantun Melayu mulai tahun 1868. Ia menjadi bahan syarahan di sebuah universiti Belanda.

Profesor Ismail Hussein menyentuh pendapat yang menganggap Hang Jebat sebagai wira, bukan Hang Tuah. Menurut beliau tiada apa pun bukti bahawa Hang Jebat wira masyarakat Melayu zaman silam. Gambaran lebih jelas disebut dalam syarahan perdana di UKM (1990). Antara lain mengenai ‘kesedaran Melayu dalam erti luas serta penggunaan istilah ‘Melayu’ dalam ertinya yang umum, cukup berkembang di Filipina, masyarakat Nusantara paling terbaik kepada pengaruh Barat.

Wira Filipina yang terbilang Jose Rizal yang mendapat jolokan The pride of the Malay race atau The Great Malayan menjadi model kemelayuan yang klasik. Muncul juga ialah ‘jurubicara’ dunia Melayu yang utama di Filipina pada pertengahan abad ke-20, bernama Wanceslao Vinzons, seorang pemuja Rizal. Beliau menyampaikan pidato berjudul Malaysia Irredenta yang ‘memaparkan mimpinya akan penyatuan bangsa-bangsa Melayu - Polinisea. Beliau kemudian mengarang buku berjudul Malaysia Irrendenta yang mengandungi the history and civilisation of Southeast Asian Conturies belonging to the Malay race. Beliau adalah nasionalis yang menentang pendudukan tentera Jepun di Filipina dan akhirnya hilang pada 1942, khabarnya ditembak mati oleh tentera Jepun.

Di Indonesia pula tokoh pelopor kemerdekaan Indonesia, Muhammad Yamin dari Sumatera Barat memperlihatkan keyakinan mendalam terhadap ‘peranan bahasa Melayu dan impiannya yang bahasa itu harus dijadikan bahasa kesatuan yang lebih mantap lagi.’ Menurut beliau: ‘Selat Melaka ialah corong ke kepulauan kita, Malaya ialah batang leher kepulauan Indonesia daerah yang delapan. Menceraikan Malaya daripada Indonesia bererti dengan sengaja dari mulanya melemahkan negeri Rakyat Indonesia dalam perhubungan internasional.’

Tetapi kemerdekaan yang diumumkan pada 17 Ogos 1945 wilayah Indonesia merdeka dibatasi pada kawasan Hindia Belanda, ‘Dan selepas Muhammad Yamin gagasan Melayu Raya di Indonesia dari segi politiknya memang telah mati.’

Menurut Profesor Ismail Hussein pergerakan Melayu Raya yang lebih berkesan di Tanah Melayu timbul di daerah pedalaman, bukan di pesisiran atau di kota pelabuhan. Ini terjadi di Maktab Sultan Idris di Tanjung Malim. Anak-anak muda banyak berasal daripada masyarakat petani. Bagi beliau ‘akhir-akhirnya, tamadun Melayu adalah yang akan menjadi unsur penentu dan yang akan memberikan keperibadian yang lebih kepada kebudayaan kebangsaan Malaysia yang akan datang.’

Tan Sri Profesor Emeritus Dato’ Pendita (Dr.) Haji Ismail Hussein telah berkhidmat dengan Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau dipilih menjadi Ketua Satu GAPENA sejak ditubuhkan pada 23 Oktober 1970 dan menyandang jawatan hingga kini.

Kontrak Sosial Wajar Dipatuhi Rakyat Malaysia

Di Malaysia terma ‘kontrak sosial’ merupakan hasil daripada kompromi etnik Melayu, Cina dan India mengenai hak bersama dan masing-masing, kedudukan istimewa dan persetujuan antara raja-raja Melayu dengan British bagi mewujudkan suatu kerajaan dengan sistem demokrasi, beraja, bersekutu serta tidak teokratik.

Rukun Negara juga telah diwartakan sebagai hebahan kepada rakyat bahawa ia merupakan satu kontrak yang mengikat dan perlu dipatuhi oleh semua. Tujuan utama Rukun Negara diwujudkan adalah untuk mengembalikan keharmonian serta kesejahteraan rakyat berbilang bangsa dan agama serta berperanan memperkukuh semangat serta membentuk identiti nasional warganegara sebagai satu bangsa Malaysia.

Rukun Negara adalah ideologi kebangsaan Malaysia yang telah diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos 1970. Selepas Rukun Negara diisytiharkan, kerajaan juga telah mengambil langkah meminda Perlembagaan Persekutuan melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 1971 bagi memasukkan prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara ke dalam Perlembagaan Persekutuan.

Warkah Untuk Datuk Bendahara

(sempena menjejak Bandar Hilir menatap pesona Kota Melaka yang suatu ketika dulu menyaksi segala)


Datuk Bendahara,


Seisi Melaka kini mengerti Datuk, bahawa Hang Jebat merupakan penderhaka yang mengamuk, mengkucar-kacirkan istana dan seisinya serta berahi bermukah dengan 700 dayang dan perwara kesayangan baginda di kamar siraman mahupun di tampuk singgahsana. Datuk Bendahara, sesungguhnya perkhabaran ini adalah dusta dan dongeng belaka kerana ia hanyalah perkhabaran rupa tanpa wujud petanda kukuh dan nyata. Barangkali juga, ia adalah satu fitnah dina yang disampaikan oleh Dang Prani, perwara istana kesayangan Patih Karmawijaya yang gemar mencipta muslihat dan angkara di istana.


Bukankah Dang Prani juga telah mempergunakan Hang Tuah yang terlalu setia kepada baginda sultan untuk masuk ke kamar dayang-dayang suatu ketika dahulu? Lalu dengan muslihatnya bersama Patih Karmawijaya juga, Hang Tuah, pahlawan kesayangan Datuk Bendahara itu telah dijatuhkan hukum bunuh dengan tidak semena-mena? Namun, mujurlah dengan kebijaksanaan Datuk, pahlawan Melaka itu tidak langsung dibunuh tanpa usul periksa, sebaliknya hanya dipasung sahaja di dusun tua Datuk yang terletak di hujung rimbaloka.


Datuk Bendahara,


Jasad Hang Jebat telah selamat dimakamkan di hujung sebuah taman larangan di Duyong. Upacara kecil-kecilan ini nyata tidak banyak mengundang para jelata untuk bertandang ziarah ke upacara ini, lantaran nama Hang Jebat sudah busuk dalam fikiran rakyat Melaka sebagai penderhaka tegar dan pengkhianat kepada baginda. Khabarnya, berita kematian Hang Jebat juga sudah sampai ke pengetahuan Maharaja Baginda Pasai dan Sultan Pattani lantas ia menjadi buah mulut para marhaen di alam Melayu ini, lalu tersebar juga perkhabaran ini ke telinga ketua turus soldadu Peringgi, Alfonso d’ Albuquerque yang baharu sahaja merafak sembah ke bawah duli Tuanku sepurnama yang lalu.


Namun, ada berita yang lebih pahit dari itu. Ada cakap-cakap siang yang mengatakan bahawa jasad Hang Jebat telah dibuangkan ke laut, dibakar dan abunya ditanam di pinggiran rimba. Perkara ini ternyata mendukacitakan hamba, Datuk kerana adat Melayu matinya biar berkubur dan bernisan, walau hidup jasanya dilebur dan menjemala cacian. Patik pohon perkara ini diperbetulkan kembali lantaran ia adalah fitnah dina semata-mata. Hakikatnya kekanda Hang Jebat telah bersemadi dengan aman di alam barzakh yang fana.


Bukankah Datuk juga yang memerintahkan pengawal Datuk untuk menghantar jenazah Hang Jebat pulang ke rumah untuk hamba menguruskan pemakamannya? Bukankah Datuk juga yang memerintahkan agar keturunan kami diusir keluar dari bumi Melaka yang bertuah ini? Lantaran itulah, hamba bersama Lang Buyong membawa diri bersama anakanda hamba, Hang Kadim untuk menderap langkah jauh daripada fitnah dan cercaan jelata terhadap kami lantaran kami merupakan jurai keturunan Hang Jebat, pahlawan derhaka yang telah menconteng arang di muka Tuanku Baginda.


Datuk,


Ingin juga di sini hamba khabarkan kepada Datuk Bendahara perihal Tun Indera Segara, kepala angkatan soldadu laut Melaka yang menjaga urusan keluar-masuk kapal di gerbang laut Melaka yang agak musykil tingkah lakunya sejak beberapa purnama. Tun Indera Segara dilihat amat baik benar dengan Deigo Lopez d’ Squera, wizurai Peringgi yang meniaga senjata api di pasar Melaka itu. Hamba bimbang, kalau-kalau tersirat muslihat dan rahsia antara mereka, kelak bahanalah akibatnya segala kemakmuran negeri Melaka yang tercinta.


Bukankah adat Melayu itu ramah bersahabat namun waspada pada ciptaan helah tipu muslihat? Bukankah Melayu tu diajar menenun lembar persahabatan namun tidak akan sekali-kali terlupa pada bilah gunting di dalam lipatan? Melayu itu dididik membenci khabar fitnah dina nan karut, namun tetap berhati-hati pada hadirnya musuh di dalam selimut? Bangsa ini bukankah pemurah ketika memberi namun andai menerima jangan sampai mengemis diri, apa lagi Melayu itu kayanya pada seluhur budi, miskinnya dari sifat meninggi diri? Melayu itu pedomannya merendah hati tatkala diri dijunjung, mulia hati apabila jasa murni sudah mula tinggi disanjung!


Bukanlah nian di hati hamba ingin menjala prasangka kepada pedagang Benggali Putih itu Datuk, tetapi andai sumbang langkah dan terlalu tinggi empunya bukankah kita dapat menerka kebimbangan bahawa barangkali pada suatu hari nanti mereka bersedia memasang perangkap untuk menjerat kedaulatan bumi Melaka dengan mencipta kesulitan dan angkara?


Datuk Bendahara Melaka yang bijaksana,


Hamba tidak pernah menyaring sesal kerana kehilangan arjuna tercinta, apatah lagi nyawanya dicabut oleh saudara kandungnya sendiri, Hang Tuah. Sementelah, Hang Jebat juga berkali-kali menceriterakan kepada hamba bahawa janganlah nyawanya diragut lanun Melaka, atau terburai dek robekan taring singa di Inderapura, atau dirodok todak di pesisir laut Temasik bergelora, kerana arjuna hamba itu lebih rela mati dek tikaman Taming Sari Tuah yang racunnya berbisa tak terkata.


Ada pun, hanya kerana kepalsuan bondongan kisah pilu ini menyelubungi hamba, menjadikan hamba terkilan dan hilang pertimbangan duga. Maka beredarlah hamba dan Hang Kadim ke Temasik untuk merawat jiwa. Mengenangkan kematian Hang Jebat menjadikan luka di benak dan kalbu hamba bertambah lara. Bagaimanakah mungkin segala pengorbanan Jebat terhadap bumi Melaka dipandang sepi begitu sahaja? Apakah ertinya pertarungan saudara ini atas alasan setia? Bukankah maruah dan kebentaraan Melaka terletak pada panji keadilan yang dikibarkan megahnya sebuana?


Di manakah terpancangnya paksi ketinggian budi yang selama ini menjadi pegangan orang kita, Datuk? Ingatkah Datuk kepada peristiwa dua dasawarsa dahulu? Peristiwa hitam yang hampir meragut nyawa Datuk tatkala sekumpulan petualang mengamuk ketika Datuk mahu menghadiri pesta tari-menari di balairung istana untuk menjamu ketibaan pedagang Parsi di Melaka? Bukankah ketika itu mereka lima bersaudara telah menyelamatkan Datuk ketika sepuluh orang pengawal Datuk yang pengecut itu membuka langkah seribu?


Ingatkah Datuk bahawa antara mereka berlima, Hang Jebatlah yang mula-mula menerpa dan menghunus senjata demi mempertahankan nyawa seorang bendahara? Ingatkah Datuk bahawa Hang Jebat jugalah yang kemudiannya mengambil alih tugas untuk mengajar pengawal Datuk bermain senjata ketika Hang Tuah berlayar ke Terengganu untuk merencanakan muslihat untuk melarikan Tun Teja?


Aduhai Datuk Bendahara,


Mudahkah untuk Datuk melupakan jasa dan bakti Hang Jebat selama ini? Andai kata Datuk tidak mencanangkan bahawa Hang Tuah itu masih hidup, sudah pasti Melaka tidak akan kehilangan seorang pahlawan yang dibunuh tanpa usul periksa dan cukup petandanya. Datuklah yang mencadangkan supaya Baginda Sultan memaafkan Hang Tuah dan membuang si Jebat yang khabarnya derhaka itu.


Datuk jugalah yang melepaskan Hang Tuah dari pasungannya, memandikannya dengan air mandian istana yang diperbuat daripada sembilan puluh sembilan kuntum mawar sulung yang mekar di taman larangan istana dan sembilan puluh sembilan kelopak Daffodil kuning yang dihadiahkan oleh pedagang Belanda kepada Baginda Sultan. Lalu, Datuk jugalah yang telah memakaikan Hang Tuah dengan sepersalinan diraja yang diperbuat daripada tenunan sutera Cina dan benang emas yang dihadiahkan oleh seorang pedagang Arab dari Goa.


Usai segala urusan itu, Datuk jugalah yang memancing Baginda Sultan agar mengurniakan Keris Parung Sari Delima Sakti kepunyaan ayahanda baginda di Bukit Siguntang kepada Hang Tuah walaupun seisi Melaka mengerti bahawa selagi Taming Sari berada di tangan Hang Jebat, usahkan membunuh, melukai dirinya pun belum tentu dapat dilakukan oleh Hang Tuah. Lalu, Datuk jugalah yang mengajarkan Hang Tuah bicara manis untuk mencairkan hati Hang Jebat dalam pertarungan selama tujuh hari tujuh malam itu. Lalu, dengan takdir Allah Azzawajalla, terbunuhlah Hang Jebat setelah Hang Tuah berjaya mencipta muslihat untuk bertukar keris dengan Hang Jebat pada malam Jumaat, iaitu setelah enam hari mereka berpencak bermain senjata.


Maklumkah Datuk bahawa Hang Tuah telah menanggung bergunung sesal sejak kematian Hang Jebat itu? Saban hari dia akan menyalahkan dirinya atas kematian Hang Jebat. Apatah lagi, tatkala segelintir rakyat Melaka memasyhurkannya sebagai perwira, namun tidak kurang juga yang mencacinya lantaran mencabut nyawa Hang Jebat yang pernah disumpahnya bersaudara. Maklumkah Datuk, sejak membunuh Hang Jebat, Patih Karmawijaya bersorak-sorai dan kian arai mencipta bencana dalam pengenaan cukai di samping melebarkan pengaruhnya yang kian menjurai?


Datuk Bendahara,


Andai ada kisah hitam dalam riwayat keagungan empayar Kesultanan Melayu Melaka, maka pertarungan inilah satu daripadanya. Sebuah ceritera luka yang menyimpan sejuta rasa dalam lubuk jiwa yang bergelora. Pertarungan saudara atas dua rasa percaya yang berbeza. Satu setia kepada Raja dan tanah airnya, dan satu lagi setia membela kebenaran tanpa membenar kepalsuan bermaharajalela. Matinya Hang Jebat di tangan Hang Tuah bukan sahaja mengakibatkan hamba kehilangan kasihnya, tetapi juga laranya Hang Kadim kehilangan ayahandanya yang sebelum ini dikhabarkan sebagai ‘Singa Melaka’. Apatah lagi pabila mendengar perkhabaran bahawa ayahandanya mati di tangan Hang Tuah, bapa saudara yang sering mengajarnya bermain senjata dan menjerat pelanduk di hujung taman inderaloka.


Matinya Hang Jebat menjadikan Hang Kadim terpinga dan sering mempersoal musabab kepergian ayahandanya. Inilah fiil anak kecil yang sering merindui kelibat ayahandanya yang hilang secara tiba-tiba. Rajuk dan tangisnya berjela-jela dalam murung rutin hidup yang berdukacita. Tiada senyum suka atau ria ketawa. Geringnya juga sudah berlarutan setengah purnama namun tiada tanda-tanda mahu kebah jua. Ternyata perkara ini menimbulkan kegusaran di benak hamba memikirkan perihal anakanda hamba yang dikasihi sepenuh jiwa.


Namun, dalam pada kewalangan hati dan jiwa yang terluka, hamba sedikit terharu dengan perihal seorang pujangga berketurunan Banjar bernama Raja Abdullah yang sering sahaja mendekati hamba untuk mengetahui kisah kehidupan hamba lalu dihikayatkan ia di dalam senaskhah tulisan sejujur perinya. Pada firasat Raja Abdullah, kisah ini terlalu tragis dalam lingkaran peradaban kita dan ada juga kira-kiranya kelak kisah ini dapat diteladani oleh sekalian watan kita di kemudian hari agar mereka tahu membeza erti setia tumpul membuta dan tekal memperjuangkan keadilan meski nyawa menjadi taruhannya.


Datuk,


Andai ada kekhilafan laku pada sejalur sejarah kita ini yang masyhur peradabannya sebuana, inilah satu daripadanya. Pembunuhan Hang Jebat menjadikan dirinya tidak ubah seperti seorang sang pidana yang terpasung dalam jeriji keadilan yang marba. Tanpa belas dan pertimbangan nyata. Sarat duka dalam lipatan peristiwa yang mematahkan tangkai jiwa. Dirinya seperti seorang pidana yang terpenjara di kurungan keadilan yang tidak dipancangkan pada mohornya. Derhakanya di mata jelata adalah amukan bermaharajalela, meski dia hanya memperjuangkan keadilan yang menjauh dari tampuknya.


Dialah sang pidana yang terpenjara dalam mainan emosi dan runtun hatinya. Luluh jiwa berwalang rintihnya. Betapa apa jua akan dikorbankan demi sebuah keadilan walau nyawa dan jiwa menjadi galang gantinya. Betapa apa jua dugaan yang menimpa adalah lumrah seorang pejuang kebenaran yang sentiasa cuba untuk menggoyahkan paksi kepalsuan atas nama kesejahteraan. Betapa apa jua bentuk hukuman yang akan dihadapi perlu diredai lantaran percaya bahawa meski pejuang kebenaran itu mati, namun hakikatnya dia akan hidup seribu tahun lagi.


Demi Melaka dan kemasyhurannya, hambalah Dang Baru - srikandi seorang pidana yang sering menangis sambil membebat berbondong derita di pasungan sejalur sejarah luka yang palsu dan lara.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA