Sabtu, 6 November 2010

KAJIAN-KAJIAN BUDAYA: Senibina Rumah Melayu Tradisional, Tarian Piring, Adat Bersompoh, Kesenian Tembikar Ponggal Dan Adat Membakar Mercun Dan Bunga Api Masyarakat Cina Di Daerah Kuala Selangor

KAJIAN I

1. SENI BINA RUMAH MELAYU TRADISIONAL

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

SENI BINA RUMAH Melayu tradisional dikaitkan dengan sifat kreatif masyarakat Melayu serta hubungan mereka yang sangat erat dengan alam sekitar. Rumah orang Melayu berbumbung panjang dan bertebar layar serta tidak berpaku. Rotan atau akar digunakan untuk mengikat persendian. Bahagian dalaman rumah dihiasi dengan pelbagai bentuk ukiran yang bermotifkan alam semula jadi. Seni bina rumah Melayu tradisional juga dipengaruhi oleh unsur-unsur dari luar khususnya dari alam Melayu seperti Minangkabau, Pattani, Acheh, Jawa, Bugis, Riau, Jambi dan Bajau.

Aspek estetika rumah Melayu terpancar pada reka bentuknya yang indah, bermula dari halaman yang redup oleh pepohon bunga dan ulaman, lewat tangga yang tersusun, anjung yang nyaman, serambi yang luas serta bilik dan dapur yang selesa. Konsep rumah Melayu ini kemudian dikembangkan kepada istana, masjid dan surau.Aspek kekuatan pada seni bina orang Melayu pula terlihat pada binaan kota-kotanya yang besar dan tegap yang kekal hingga ke hari ini. Orang Melayu juga amat kuat berpegang kepada adat dan suruhan serta tegahan agama Islam. Dengan demikian kita dapat melihat seni bina masjid yang indah di seluruh Alam Melayu. Keindahan seni bina Melayu yang awal ini dapat dikesan melalui epigrafi Islam pada nisan-nisan yang awal.

Kreativiti minda bangsa Melayu yang diwarisi oleh tukang-rukang yang mahir ini telah menghasilkan reka bentuk seni bina yang bukan sahaja indah malahan halus dan kaya dengan falsafah yang tersirat tetapi mudah difahami. Tradisi ini tidak lagi dapat bertahan dalam arus pemodenan bangsa Melayu dan haruslah dikekalkan dalam bentuk yang kekal dan selamat.

Antara faktor yang mempengaruhi seni bina rumah Melayu ialah faktor iklim, agama Islam, sosial dan alam sekitar. Faktor agama Islam menyebabkan rumah didirikan mengikut arah kiblat dan ruang di antara kaum lelaki dan perempuan dipisahkan. Faktor iklim pula menyebabkan sebahagian besar rumah Melayu tradisional ini bertiang atau berpanggung dengan lantainya tinggi daripada permukaan tanah yang dapat mengatasi kelembapan tanah. Selain itu dapat mencegah ruang di dalam rumah ditenggelami air jika berlaku banjir.

Pada peringkat awal rumah Melayu tradisional berbentuk rumah asas yang dikenali rumah pisang sesikat. Bentuk rumah ini berubah mengikut arus perubahan di mana kemudiannya muncul pula rumah bertiang atau berpanggung dengan kedudukan lantainya yang tinggi dari aras tanah dan mengandungi ruang serta berdinding. Bentuk bumbung seperti huruf V terbalik diperkenalkan. Pada pertemuan di sebelah puncak tutup bumbungnya dipisahkan oleh banir yang dipanggil tulang perabung atau tulang bumbung. Bentuk bumbung ini dikenali juga dengan bumbung lipat kajang atau bumbung panjang. Selepas kedatangan penjajah Belanda dan Inggeris, rumah berubah bentuk kepada bentuk limas atau bumbung Belanda.

Selaras dengan perubahan dan perkembangan teknologi, kaedah membina rumah juga berubah. Di peringkat awal, sistem mendirikan rumah hanya dengan cara diikat dan tarahan tanggam. Sistem tebuk kemudiannya diperkenalkan. Begitu juga penggunaan paku kayu yang dikenali juga dengan pemeting untuk menguatkan persediaan rangka rumah. Pada peringkat awal tiang rumah berbentuk bulat dan rotan atau akar digunakan untuk menguatkan persendian. Tarahan tanggam dibuat untuk mengejapkan persendian seterusnya tiang bersegi dan ditebuk untuk laluan kayu rasuk dan alang serta dibaji.

Penggunaan alat seperti ketam, gergaji dan alat tebuk menebuk membolehkan lantai dan dinding rumah yang lebih baik bagi menggantikan balak kayu yang digergaji. Penggunaan papan untuk dinding dan lantai diperkenalkan untuk menguat dan merapi rumah. Susunan sambung menyambung untuk dinding yang dikenali dengan sambungan tindih kasih dan sambung berlidah telah memperlihatkan susunan dinding secara melintang, menegak dan juga menyerong.

SEJARAH ASAL USUL

Pengaruh kebudayaan luar khususnya daripada Kepulauan Melayu seperti Pattani, Acheh, Minangkabau, Jawa, Bugis, Riau, Jambi, dan Bajau telah mempengaruhi senibina dan reka bentuk rumah Melayu. Maka lahirlah rumah berbentuk Pattani, Acheh, Minangkabau, Jawa, Bugis, Riau, Jambi, Bajau dan lain-lain. Kedatangan penjajah Barat khususnya Belanda dan Inggeris telah menyebabkan rumah Melayu berubah bentuk daripada rumah bumbung panjang kepada rumah limas iaitu berbeza pada kedudukan bumbungnya.

Imigrasi masyarakat Acheh, Minangkabau, Jawa, Bugis, Riau dan Jambi ke negeri Selangor antara tahun 1700 – 1800 telah membawa bersama kesenian nenek moyang mereka. Begitu juga dengan kesenian membina rumah kediaman. Seni ukiran kayu di rumah-rumah Melayu daerah Kuala Selangor terutama pada papan, tangga, tiang, alang dan sebagainya jelas memperlihatkan pengaruh bangsa-bangsa ini. Warisan ini diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi sehinggalah ke hari ini.

Dikatakan semua negeri di Malaysia, rumah Melayu tradisional terdiri dari rumah bumbung panjang tetapi selepas kedatangan penjajah ia berubah bentuk kepada bentuk limas atau bumbung Belanda. Di Kedah dan Perlis, rumah Melayu yang berbumbung panjang dikenali dengan Rumah Serambi Kedah atau kadangkala dipanggil, rumah panjang sahaja. Di Kelantan dan Terengganu, terdapat dua jenis rumah bumbung panjang iaitu rumah tiang dua belas dan rumah bujang. Di Pulau Pinang dan Seberang Prai, rumah berbumbung panjang ini dipengaruhi oleh senibina rumah panjang di Melaka. Di Perak, rumah bumbung panjang dikenali dengan Rumah Kutai dan Rumah Potong Pattani.

Di Selangor dan Wilayah Persekutuan, rumah bumbung panjang dipengaruhi oleh senibina rumah bumbung panjang di Melaka dan Negeri Sembilan. Di Negeri Sembilan, rumah bumbung panjang dipengaruhi oleh senibina rumah adat atau rumah gadang dari Minangkabau dan terbahagi kepada rumah bujang, rumah tiang dua belas dan rumah tiang enam belas. Di Melaka rumah bumbung panjang juga dikenali dengan Rumah Serambi Melaka dan terbahagi kepada rumah tiang dua belas dan rumah tiang enam belas.

Di daerah Kuala Selangor, senibina rumah Melayu di sini dipengaruhi oleh senibina rumah bumbung panjang di Melaka dan Negeri Sembilan. Bentuk sesebuah rumah dikenal pasti berdasarkan bentuk bumbung. Bumbung merupakan elemen terpenting yang membezakan bentuk–bentuk rumah tradisional di Kuala Selangor. Bentuk rumah terawal dibina di Kuala Selangor ialah bentuk bumbung panjang dan bertebar layar dikenali dengan dangau atau teratak atau dikenali dengan rumah gajah menyusu kerana rumah ini disambung dengan satu unit lagi rumah yang lebih kecil ukirannya. Bumbung serta lantai lebih rendah daripada rumah ibu dan ruang tambahan dijadikan ruang dapur. Dibina dengan menggunakan bahan-bahan seperti buluh, kayu bulat, kulit kayu dan beratap daun. Sistem sendi yang mudah iaitu diikat dengan rotan atau akar kayu.

Bentuk rumah Melayu paling popular di Kuala Selangor sebelum kedatangan pengaruh asing ialah rumah berserambi. Rumah ini mempunyai bumbung yang panjang dan melintang. Biasanya rumah jenis ini mempunyai dua pemeleh yang besar dan tebal di setiap hujung perabung. Terdapat beberapa bentuk rumah ini dengan berbagai nama berdasarkan ruang dan tiang. Jika rumah dibina atas enam batang tiang dikenali dengan rumah bujang atau rumah berpeleh tiang enam. Jika terdapat dua unit rumah tiang enam yang bercantum dikenali dengan rumah bujang atau rumah tiang enam berkembar. Jika didirikan di atas dua belas batang tiang dikenali dengan rumah berserambi atau rumah tiang dua belas dan jika ditambah empat batang lagi maka ia dikenali dengan rumah berserambi tiang enam belas.

Di Kuala Selangor, rumah berserambi biasanya menggunakan empat keping pemeleh di setiap hujung perabung. Jika menggunakan tiga keping pemeleh, ia dikenali dengan rumah berserambi selasar dan lantai ruang selasar lebih rendah daripada lantai serambi. Terdapat sebuah tangga yang menghubungkan serambi dan selasar dan antara selasar dengan tanah.

Wawancara dengan Mohd Azrin Hussein pada 29 November 2006 di No. 165, Jalan Sekendi, Kampung Batu 38, Sabak Bernam, Selangor

Setiap ruang mempunyai makna dan fungsinya. Di peringkat awal, rumah ibu sahaja yang dibina tetapi bila anggota keluarga bertambah, ruang rumah juga bertambah. Maka lahirlah rumah tiang dua belas atau rumah serambi dua ruang, rumah tiang enam belas atau rumah serambi tiga ruang. Terdapat tiga ruang utama iaitu ruang formal, ruang aktif dan ruang pasif. Ruang formal merupakan ruang bagi tuan rumah menerima kunjungan tetamu iaitu seperti di serambi, selasar dan dapur. Ruang aktif pula merupakan ruang bahagian belakang di m na aktiviti harian keluarga berlaku. Manakala ruang pasif ialah bahagian ibu rumah dan bilik-bilik tidur yang terletak di antara ruang aktif dan ruang formal.

Terdapat juga ruang yang dikhaskan untuk kaum lelaki dan ruang untuk kaum perempuan. Mengikut adat resam orang Melayu, orang lelaki tidak dibenarkan memasuki ruang orang perempuan tanpa izin kecuali anggota keluarga sendiri. Walau bagaimana pun terdapat ruang yang digunakan oleh kedua jantina ini seperti perigi dan dapur. Ruang rumah Melayu Kuala Selangor juga tidak berbilik kerana masyarakat Melayu mementingkan perjumpaan atau berkumpul secara beramai-ramai untuk majlis keramaian dan juga upacara keagamaan.

Secara terperinci, ruang-ruang yang terdapat pada rumah Melayu tradisional di Kuala Selangor ialah anjung atau sorong serambi, selasar, rumah ibu, bilik, serambi dalam, dapur, pelantar atau lambur atau jemuran dan ruang bawah rumah. Pengurusan ruang dalam rumah Melayu sedemikian rupa adalah untuk memenuhi kehendak penghuni dan masyarakat berdasarkan sosio budaya, ekonomi dan agama.

Ruang lambur merupakan ruang yang terbuka, tidak berdinding dan tidak beratap bagi sesetengah rumah. Kedudukan di antara tangga dan selasar, serambi, sorong atau beranda di bahagian hadapan rumah dan di antara tangga dengan dapur di bahagian belakang rumah. Lambur berfungsi sebagai tempat berinteraksi secara tidak formal. Di bahagian belakang lambur dipanggil ruang menjemur atau membasuh pakaian, pinggan mangkuk, atau berinteraksi dengan jiran-jiran.

Tangga sesebuah rumah biasanya tidak disambung terus ke ruang selasar atau dapur. Tujuannya untuk memberi peluang seseorang yang telah keluar rumah dan bila pulang ke rumah berhenti sekejap di lambur sebelum masuk ke serambi atau dapur. Masyarakat Melayu percaya bila seseorang itu keluar rumah, makhluk halus selalunya akan mengikutinya.

Ruang beranda ialah ruang yang menghubungkan tangga, dan ibu rumah. Kedudukan lantai beranda lebih rendah dan ia berfungsi sebagai tempat berehat kaum lelaki pada waktu petang. Di samping itu juga menjadi tempat tidur anak-anak muda pada waktu malam. Ruang anjung pula biasanya digunakan kaum lelaki untuk menjalankan kerja-kerja rumah seperti menganyam bakul, membaiki pukat, jaring dan lain-lain.

Biasanya lantai serambi sama tinggi dengan lantai rumah ibu pada rumah serambi. Ruang ini juga dikenali sebagai ruang lelaki kerana keseluruhannya digunakan oleh lelaki seperti untuk berehat dan tempat tidur anak-anak lelaki. Oleh kerana ruang ini terbuka , maka majlis adat dan agama seperti perkahwinan, tahlil dan lain-lain diadakan. Sementara ruang tengah pada sesetengah rumah di Kuala Selangor adalah terdiri daripada rumah ibu. Kedudukannya ialah di antara ruang hadapan dan ruang belakang. Ruang ini dikhaskan untuk keluarga sahaja. Biasanya dibatasi dengan dinding.

Ruang dapur pula dikenali sebagai ruang perempuan iaitu sebagai ruang untuk meraikan tetamu perempuan selain daripada tempat memasak. Kedudukan lantai dapur lebih rendah daripada rumah ibu dan serambi. Manakala ruang bawah rumah pula menjadi tempat bengkel atau stor. Berbagai aktiviti dijalankan seperti bertukang, menumbuk padi, menerap batik dan lain-lain. Juga sebagai tempat menyimpan barang seperti alat pertanian, kayu api atau memelihara binatang.


2. TARIAN PIRING

PENDAHULUAN

DAERAH KUALA SELANGOR memang popular dengan ‘Seni dan Budaya’ yang merangkumi semua aspek kehidupan masyarakatnya. Selain daripada adat, ‘Seni dan Budaya’ daerah ini juga mempunyai keunikan yang tersendiri, yang mungkin berlainan dengan seni dan budaya di tempat-tempat lain. Keunikan yang tersendiri inilah, yang memberi imej dan jatidiri yang tersendiri kepada negeri ini berbanding dengan negeri lain.

Sesungguhnya, suatu ketika dulu, terdapat suatu kesenian yang indah dan menarik di dalam sistem adat perkahwinan masyarakat Melayu di daerah ini. Jika di daerah-daerah lain, pasangan pengantin atau mempelai yang sedang menjadi ‘raja sehari’, di atas pelamin, di dalam atau di halaman rumah, hanya disajikan atau ‘diacarakan’ dengan adat seni persilatan, berinai dan tepung tawar oleh kaum kerabat dan sahabat handai, tetapi bagi ‘raja sehari’di daerah ini, mereka mempunyai satu acara tambahan lain iaitu Tarian Piring.

Tidak dapat dinafikan bahawa perkataan Tarian Piring sudah pastilah berasal daripada perkataan ‘tari’ dan ‘piring’. Hakikat ini tidak dapat disangkal, yang memang terbukti kebenarannya. Seseorang penari amat bergantung kepada piring-piring untuk mencantikkan persembahannya. Tanpa piring di tangan mereka, tarian akan menjadi hambar.

Piring-piring yang diletakkan di tangan kanan dan kiri boleh mempengaruhi rentak dan gaya tarian seseorang. Oleh itu dapatlah dirumuskan bahawa perkataan Tarian Piring adalah membawa maksud ‘piring yang ditarikan’ atau ‘tarian yang menggunakan piring’.

SEJARAH DAN ASAL USUL

Tidak dapat dipastikan dengan tepat mengenai sejarah Tarian Piring. Namun, dipercayai bahawa ia telah wujud sekian lama di kepulauan Melayu sejak lebih 800 tahun yang lalu. Tarian ini dipercayai telah bertapak di Sumatera Barat atau lebih dikenali sebagai Minangkabau, dan berkembang hingga ke zaman Sri Viiaya.

Kemunculan kerajaan Majapahit pada kurun ke 16, yang menjatuhkan kerajaan Sri Vijaya telah mendorong perkembangan Tarian Piring ke negeri-negeri Melayu bersama-sama penghijrah atau orang-orang pelarian Sri Vijaya ketika itu. Di daerah Kuala Selangor, adalah dipercayai bahawa Tarian Piring di hadapan pengantin telah dibawa bersama oleh masyarakat Minangkabau dari Sumatera Barat semasa mereka berhijrah ke Tanah Melayu kira-kira tiga atau empat abad yang lalu.

Mulai daripada masa tersebut hinggalah ke hari ini, Tarian Piring telah diterima sebagai sebahagian daripada upacara adat di majlis perkahwinan yang melibatkan persandingan di kalangan masyarakat di daerah ini suatu ketika dulu. Walaupun kesenian ini telah lama pupus di daerah ini namun kewujudannya suatu ketika dulu sempat juga mencuri hati para pengkaji untuk mengenalinya secara lebih dekat.

Tarian Piring dikatakan tercipta daripada ‘wanita-wanita cantik yang berpakaian indah, serta berjalan dengan lemah lembut penuh kesopanan dan ketertiban ketika membawa piring berisi makanan yang lazat untuk dipersembahkan kepada dewa-dewa sebagai sajian.

Wanita-wanita ini akan menari sambil berjalan, dan dalam masa yang sama menunjukan kecekapan mereka membawa piring yang berisi makanan tersebut’. Kedatangan Islam telah membawa perubahan kepada kepercayaan dan konsep tarian ini. Tarian Piring tidak lagi dipersembahkan kepada dewa-dewa, tetapi untuk majlis-majlis keramaian yang dihadiri bersama oleh raja-raja atau pembesar negeri.

Keindahan dan keunikan Tarian Piring telah mendorong kepada perluasan persembahannya di kalangan rakyat jelata, iaitu di majlis-majlis perkahwinan yang melibatkan persandingan. Dalam hal ini, persamaan konsep masih wujud, iaitu pasangan pengantin masih dianggap sebagai raja iaitu ‘Raja Sehari’ dan layak dipersembahkan Tarian Piring di hadapannya ketika bersanding. Adat ini kian pupus dan jarang diamalkan di daerah Kuala Selangor hari ini.

Namun begitu, sekali sekala ada juga dipersembahkan, walaupun ia tidak lagi ditarikan atau dipersembahkan oleh wanita kerana pegangan, pengamalan dan pendekatan terhadap Islam yang semakin kuat dan menyeluruh di kalangan masyarakat.

Tarian Piring tidak banyak menggunakan peralatan tambahan semasa menari. Kebiasaannya, mereka hanya menggunakan piring atau ceper dan cincin khas yang disarungkan di hujung jari. Jumlah piring yang biasa digunakan ialah sekurang-kurangnya dua buah, iaitu satu di tangan kanan dan satu di tangan kiri. Namun, tiada jumlah maksima yang ditetapkan, kerana ia bergantung kepada kebolehan penari itu sendiri.

Saiz piring pula adalah bergantung kepada keselesaan penari untuk memegangnya. Piring atau ceper yang berukuran garispusat kurang daripada lima belas sentimeter sering menjadi pilihan penari, kerana pada saiz ini, mereka lebih mudah untuk menyeimbangkan antara gerakan atau hayunan tangan dengan kedudukan piring di tapak tangan.

Sesekali, para penari mungkin perlu mencengkam piring di tapak tangan menggunakan hujung jari agar tidak jatuh. Oleh itu, piring yang terlalu besar akan menyukarkan penari itu sendiri. Malah para penari akan menerima aib atau malu jika piring di tapak tangannya jatuh atau terlepas semasa menari.

Piring Batu yang berwarna putih pula sering digunakan semasa menari Tarian Piring. Penggunaan piring jenis ini disebabkan oleh warnanya yang mudah dilihat, khususnya ketika menari, disamping boleh menghasilkan bunyi yang lebih nyaring dan gemersik apabila diketuk. Selain piring, Tarian Piring juga memerlukan sejenis cincin yang disarung pada hujung jari penarinya. Tidak ada jenis cincin khusus yang ditetapkan dan mesti dipakai oleh penari Tarian Piring. Namun, setiap cincin yang dipakai oleh penari Tarian Piring mestilah mampu menghasilkan bunyi ‘ting ting ting...’ yang nyaring apabila diketuk di bahagian bawah piring semasa menari.

Oleh itu, demi menghasilkan bunyi yang menarik dan nyaring, kebanyakan penari lebih gemar menggunakan cincin jenis logam seperti timah yang diambil daripada jala ikan. Terdapat juga setengah-setengah penari menggunakan cincin yang dibuat khas daripada tempurung atau biji kelapa sawit yang telah dibuang isinya. Setiap penari mestilah memakai sekurang-kurangnya dua bentuk cincin, iaitu satu di tangan kiri, dan satu lagi di tangan kanan. Sementara jari yang biasa digunakan untuk cincin tersebut ialah sama ada Jari Telunjuk, Jari Manis atau Jari Hantu kerana ia lebih mudah untuk diketukkan ke piring ketika menari, berbanding dengan Jari Kelingking atau Ibu Jari.

Alat muzik yang digunakan untuk mengiringi Tarian Piring, memadai dengan pukulan Rebana dan Gong sahaja. Pukulan Gong amat penting sekali kerana ia akan menjadi panduan kepada penari untuk menentukan langkah dan gerak Tarian Piringnya. Pada kebiasaannya, kumpulan Rebana yang mengiringi dan mengarak pasangan pengantin diberi tanggungjawab untuk mengiringi persembahan Tarian Piring. Namun, dalam keadaan tertentu Tarian Piring boleh juga diiringi oleh alat muzik lain seperti Caklimpung dan Gendang.

Tarian Piring mempunyai peranan yang besar di dalam adat istiadat perkahwinan masyarakat Melayu khususnya di daerah Kuala Selangor suatu ketika dulu. Pada dasarnya, persembahan sesebuah Tarian Piring di majlis-majlis perkahwinan adalah untuk tujuan hiburan semata-mata. Namun persembahan tersebut boleh berperanan lebih daripada itu. Persembahan Tarian Piring di dalam sesebuah majlis perkahwinnan boleh dirasai peranannya oleh empat pihak iaitu;

  1. kepada pasangan pengantin
  2. kepada tuan rumah
  3. kepada orang ramai
  4. kepada penari sendiri

Pasangan pengantin adalah orang yang diraikan di dalam majlis perkahwinan. Mereka digelar ‘Raja Sehari’. Oleh itu, persembahan Tarian Piring di hadapan mereka adalah pelengkap kepada hari bersejarah tersebut. Dalam masa yang sama pasangan pengantin akan merasa bahawa kehadiran mereka sebagai ‘raja sehari’ sedang dinanti-nantikan oleh orang ramai dengan simbolik ‘selamat datang’ melalui Tarian Piring tersebut.

Hal yang sama juga akan dirasai oleh kedua-dua ibu bapa serta keluarga pengantin. Mereka merasakan bahawa majlis persandingan tersebut belum tamat dan tidak lengkap jika tidak disertai dengan persembahan Tarian Piring.

Di kalangan orang ramai yang menghadiri majlis perkahwinan itu pula, selain sebagai suatu hiburan, mereka boleh memberi semangat kepada para penari Tarian Piring agar membuat persembahan yang lebih baik dan menyeronokkan. Malah, kadangkala orang ramai yang menonton akan turut serta menyertai persembahan tersebut, semata-mata untuk memeriahkan suasana atau untuk menunjukkan kebolehan mereka. Keadaan ini agak berbeza pula kepada para penari Tarian Piring itu sendiri. Setengah daripada penari Tarian Piring yang masih bujang, menunjukkan kehebatan mereka menari adalah untuk ‘memikat’ gadis-gadis pengiring daripada pihak yang bertandang atau gadis-gadis sekampung yang sedang menonton persembahan mereka.

Secara umumnya, Tarian Piring di dalam adat perkahwinan di daerah Kuala Selangor mempunyai ciri-ciri yang tersendiri yang amat jelas untuk dibezakan dengan lain-lain tarian. Ciri-ciri tersebut dapat digalurkan seperti berikut;

  1. Tarian Piring dipersembahkan di hadapan pasangan pengantin di sesuatu majlis perkahwinan.
  2. Tarian Piring dipersembahkan pada waktu siang.
  3. Tarian Piring kebiasaannya dipersembahkan di halaman atau di hadapan rumah
  4. Tarian Piring hanya ditarikan oleh orang lelaki sahaja.
  5. Tarian Piring boleh dipersembahkan oleh lebih dari seorang dalam sesuatu masa dengan jumlah penari yang ganjil, sama ada satu, tiga, lima, tujuh atau sembilan.
  6. Tarian Piring hendaklah dilakukan dengan menggunakan piring dan cincin sebagai peralatan atau hiasan.
  7. Tarian Piring mestilah diiringi muzik tradisional.
  8. Tarian Piring mesti dimulakan dengan sembah pengantin dan diakhiri juga dengan sembah pengantin.
  9. Tarian Piring disertai dengan bunyi ‘ting ting…’


3. ADAT BERSOMPOH

PENGENALAN

Masyarakat Melayu begitu berpegang teguh dengan adat resam kerana ia dipercayai mempunyai kesan dalam kehidupan. Bagi masyarakat Melayu, adat resam perkahwinan begitu dititikberatkan. Sesuatu upacara dalam peringkat perkahwinan itu akan dijalankan dengan meriah dan penuh adat istiadat. Dalam adat perkahwinan masyarakat Melayu, terdapat beberapa peringkat penting. Salah satunya ialah adat bersompoh yang dilakukan sewaktu hari persandingan.

Bersompoh bermakna mendukung pengantin lelaki dan perempuan dari hujung jalan sehinggalah ke tengah halaman atau hadapan rumah. Pengantin lelaki akan duduk terkangkang di atas bahu pengusung manakala pengantin perempuan akan duduk secara sisi. Ini mencerminkan kesopanan dan kesusilaan seorang wanita di pandangan mata masyarakat.

Setelah kedua-dua pengantin ini duduk di atas bahu pengusung masing-masing maka mereka akan dibawa berjalan sambil diringi oleh paluan kompang atau dabus sehinggalah tiba di halaman hadapan rumah. Di sini sebuah pelamin sudah tersedia dan setelah kedua-dua pengantin ini duduk di atas pelain, muzik berentak silat pula akan dimainkan. Para pesilat akan mula mempersembahkan aksi mereka di hadapan pengantin atau raja sehari. Selalunya silat yang sering dipersembahkan ialah Silat Pulut, Silat Bunga dan Silat Pengantin.

SEJARAH ASAL USUL

Adat bersompoh yang dilakukan kepada kedua-dua pasangan Raja Sehari dalam masyarakat Melayu di daerah Kuala Selangor dikatakan berasal dari zaman silam. Adat ini dipercayai dicipta oleh segelintir anggota masyarakat yang terlalu gembira dengan majlis persandingan yang telah diadakan.

Ada sesetengah pendapat mengatakan bahawa adat ini tercipta kerana nazar. Contohnya Hassan bernazar sekiranya Si Milah atau Si Mamat berkahwin, dia akan mengusung kedua-kedua pengantin tersebut dari hujung jalan sehingga ke tengah halaman. Maka pada hari perkahwinan Milah dan Mamat, Hassan pun melampiaskan nazarnya.

Menurut Tuan Haji Zakaria Bin Haji Jamhari, adat bersompoh ini telah diamalkan oleh masyarakat Melayu di daerah Kuala Selangor sejak tahun 1940-an lagi. Boleh dikatakan adat ini akan dilakukan pada setiap pengantin dan akhirnya ia menjadi satu tradisi sehingga sekarang. Namun begitu, sejak akhir-akhir ini adat ini tidak lagi dipraktikkan oleh masyarakat.

Kali terakhir adat bersompoh dilakukan oleh Tuan Haji Zakaria ialah pada tahun 1998, pada hari perkahwinan anak bongsunya. Tujuan beliau ialah untuk menghidupkan kembali adat warisan lama ini di tengah masyarakat.


4. KESENIAN TEMBIKAR PONGGAL

PENDAHULUAN

PERIBAHASA Melayu ada mengatakan: Ditetak belah, dipalu belah tembikar juga akan jadinya yang membawa erti walau bagaimanapun diseksa atau disakiti, kesudahannya jadi mayat juga. Melalui peribahasa Melayu, kita dapat membuat kesimpulan bahawa tembikar memainkan peranan yang penting dalam kehidupan orang Melayu pada masa dahulu. Namun begitu, tembikar juga terkenal di kalangan masyarakat India terutama di Batu 2, Jalan Klang, Kuala Selangor di mana kesenian membuat tembikar ponggal telah berjalan sejak lebih dari 60 tahun yang lalu.

Di negara kita, kegunaan tembikar telah wujud sejak beribu-ribu tahun dahulu. Ini dapat dibuktikan dengan penemuan serpihan-serpihan tembikar di Bukit Tanjung Lembu, Perlis, di Gua Cha, Kelantan dan Ulu Tembeling, Pahang. Tembikar merupakan salah satu daripada hasil kraftangan tradisi. Ia diperbuat daripada tanah liat dan antara barang-barang yang diperbuat dari tembikar ialah cawan, mangkuk, pinggan, pasu dan sebagainya.

Di negara kita, terdapat empat kawasan utama sebagai pusat kegiatan pengeluaran barangan ialah di Kampung Mambong, Kuala Krai, Kelantan, di Sayong, Kuala Kangsar, Perak, di Kampung Pasir Durian, Hulu Tembeling, Pahang dan beberapa tempat di Sarawak. Salah satu barangan tembikar yang begitu popular di Malaysia ialah labu sayong. Cara menghasilkan tembikar juga dipanggil seramik di empat kawasan tersebut tidak banyak berbeza cuma jenis barangan yang dihasilkan dan reka corak hiasan atau pengemasannya.

Perbezaan ini wujud kerana pengaruh adat dan cara hidup mesyarakat tempat, serta daya cipta pengusahanya. Hal ini juga memberi gambaran bahawa barangan tembikar tradisional mengutamakan ciri fungsional dari ciri perhiasan. Labu ialah sejenis buyong, takar atau kendi tembikar yang bentuk asasnya menyerupai buah labu. Sayong pula nama merupakan sebuah kampung yang terletak di Kuala Kangsar.

SEJARAH ASAL USUL

Kesenian tembikar ponggal di Kuala Selangor ini telah diusahakan oleh Encik Krishnan A/L Rashapan. Beliau yang telah berusia 60 tahun mewarisi kesenian ini dari mendiang bapanya sejak kecil dan kini telah lebih 50 tahun menceburkan diri di bidang ini. Bersama dengan beberapa orang pekerja termasuk dua orang anaknya, Encik Krishnan mengusahakan kesenian membuat tembikar-tembikar ponggal di sebidang tanah di No 3555, Batu 2, Jalan Klang, Kuala Selangor.

Menurut beliau, pembuatan tembikar ponggal berasal dari India. Di India, Maisur Maharaja merupakan pembesar negara yang amat meminati kesenian pembuatan tembikar ponggal. Sementara kesenian ini dibawa ke Tanah Melayu sekitar tahun 1918 oleh imigran-imigran India. Pada mulanya mereka datang ke sini atas usaha penjajah British untuk bekerja di ladang-ladang getah atau sebagai buruh kasar. Mereka datang ke negara ini bersama kemahiran dan kesenian membuat tembikar ponggal.

Pembuatan tembikar ponggal ini bermula sewaktu masyarakat mereka mahu merayakan perayaan ponggal. Oleh kerana pada waktu itu, tembikar ponggal tidak lagi dicipta di Tanah Melayu, maka mereka terpaksa membuatnya sendiri. Pada mulanya pembuatan tembikar ini hanyalah untuk kegunaan sendiri atau untuk jumlah komuniti yang kecil tetapi lama kelamaan, ianya menjadi satu industri yang besar. Sehingga sekarang, permintaan tembikar ponggal ini amat besar terutama pada musim perayaan.

Menurut Encik Krishnan A/L Rashapan, tembikar ponggal buatan beliau telah mendapat perhatian ramai pembeli dari seluruh Semenanjung Malaysia. Beliau bukan saja membuat pasu ponggal tetapi juga lampu minyak atau lampu untuk sembahyang yang sering diletakkan di hadapan tokong di kuil, periuk dan belanga tanah, cawan, pasu bunga, buyong, takar atau kendi, pasu hiasan, labu sayong, bekas pelbagai saiz untuk kolam ikan, bekas minyak kelapa, tabung duit berbentuk ayam, gajah, ikan, itik, harimau dan lain-lain lagi. Encik Krishnan mendapat bekalan tanah liat dari Batang Berjuntai di mana beliau membelinya secara pukal dan dihantar oleh penjual setiap minggu dan beliau mampu menyiapkan antara 5,000 – 6,000 biji tembikar pelbagai jenis setiap bulan. Pendapatan beliau juga sekitar RM 4,500 – RM 5,500 sebulan dan beliau berhasrat untuk meneruskan kesenian ini kepada anak-anaknya agar tradisi ini tidak pupus ditelan zaman.


5. ADAT MEMBAKAR MERCUN DAN BUNGA API MASYARAKAT CINA

PENGENALAN

Setiap kali menjelang Tahun Baru Cina akan kedengaranlah bunyi bergerapak letupan mercun dibakar oleh masyarakat Cina. Tahun Baru Cina merupakan perayaan yang paling penting bagi orang Cina khususnya di daerah Kuala Selangor, seperti Hari Raya Aifilfitri bagi orang Melayu. Tahun Baru Cina adalah hari pertama bulan satu bagi Imlek Cina, tetapi aktiviti perayaan Tahun Baru Cina bukanlah pada hari itu sahaja, biasanya aktiviti perayaan Tahun Baru Cina berlangsung selama beberapa hari berikutnya.

Menurut pandangan orang Cina, Tahun Baru Cina merupakan perayaan untuk menyambut musim bunga. Musim bunga datang, pemandangan berubah, dan penanaman padi dimulakan, orang Cina dengan pelbagai cara yang bahagia akan merayakan perayaan tradisional yang paling meriah dalam sepanjang tahun. Di negeri China, bukan sahaja etnik Han yang merayakan Tahun Baru Cina, etnik yang lain termasuk etnik Manzu, Mongol, Yaozu, Zhuangzu, Baizu, Gaoshan, Hezhe, Hani Daur, Dongzu, Lizu dan lain-lainnya juga mempunyai adat resam untuk merayakan Tahun Baru Cina.

Walaupun kita tidak mengetahui bila orang Cina mula mempunyai adat resam membakar mercun pada Tahun Baru Cina, tetapi menurut sarjana, tradisi ini sekurang-kurangnya mempunyai sejarah selama seribu tahun. Sekarang, sebahagian adat resam yang bercorak tahayul termasuk memuja dewa langit telah secara beransur-ansur tidak diamalkan lagi, sedangkan adat resam yang baik termasuk menampal kuplet, menampal lukisan tahun baru, menampal tulisan perkataan ‘bahagia’, mengukus kuih tahun baru, memasak ‘Jiaozi’, membakar mercun, tidak tidur pada malam sebelum Tahun Baru Cina dan saling mengucapkan selamat Tahun Baru Cina masih sangat popular di kalangan masyarakat Cina di negara kita. Tradisi ini juga masih giat diamalkan di kebanyakan tempat di negara Cina, khususnya di desa dan sebahagian pekan dan bandar yang kecil.

Sebelum merayakan Tahun Baru Cina, masyarakatnya telah menampal kertas merah yang ditulis ‘selamat tahun baru’ dengan berus bulu di sebelah kedua-dua daun pintu, atau menampal bermacam-macam lukisan adat resam yang melambangkan bahagia di daun pintu, jendela atau dinding, mengharapkan kedatangan nasib baik pada tahun yang akan datang. Kuplet dan gambar Tahun Baru Cina mempunyai sejarah yang lama, dan juga untuk mengusir hantu dan mendapat nasib baik pada zaman kuno sama seperti membakar mercun, dan beransur-ansur menjadi adat resam Tahun Baru Cina.

Sempena Tahun Baru Cina, masyarakat Cina juga menggantung tanglong merah yang ditampal tulisan perkataan ‘nasib baik’ atau gambar dewa kekayaan di depan pintu, untuk menunjukan hasrat baik. Biasanya perkataan ‘nasib baik’ mesti ditampal secara terbalik, sebutan perkataan ‘terbalik’ sama dengan perkataan ‘datang’ dalam bahasa Mandarin, maksudnya ialah ‘nasib baik datang’.

Tahun Baru Cina sama seperti Hari Raya, untuk anggota keluarga berkumpul. Orang yang tinggal di tempat lain tidak kira orang dewasa atau kanak-kanak dengan sedaya upaya berkumpul dengan keluarganya pada hari perayaan itu. Orang Cina sangat mementingkan makanan dan pakaian waktu merayakan Tahun Baru Cina, biasanya makanan dan pakaian yang bermacam-macam telah disediakan sebelum merayakan Tahun Baru Cina. Semasa Tahun Baru Cina datang, orang Cina memakai baju yang paling cantik, dan menyediakan kuih-muih, manisan dan makanan ringan, untuk menjamu tetamu di rumah pada bila-bila masa.

Pada malam sebelum Tahun Baru Cina, orang Cina biasanya makan bersama-sama sekeluarga, lauknya banyak jenis. Selepas itu, biasanya anggota keluarga akan bersama-sama makan Jiaozi. Di negara Cina terdapat satu peribahasa yang berbunyi ‘Jiaozi adalah paling lazat’. Kulitnya diperbuat dari tepung gandum, intinya biasanya daging campur sayur, kemudian direbus. Orang Cina makan Jiaozi pada malam sebelum Tahun Baru Cina, melambangkan anggota keluarga terkumpul.

Malam sebelum Tahun Baru Cina adalah waktu yang paling penting dalam perayaan Tahun Baru Cina. Malam itu secara umumnya juga dipanggil ‘Chuxi’. Pada malam itu, anggota keluarga berkumpul, makan bersama-sama, dan tidak tidur sepanjang malam. Apabila fajar menyingsing pada keesokan harinya, tahun baru sudah bermula, orang Cina memakai baju baru, mengucapkan selamat tahun baru dan panjang umur kepada orang tua dalam keluarga, kemudian menziarahi saudara-mara dan sahabat, untuk saling mengucapkan selamat tahun baru.

Sejak kebelakangan ini, seiring dengan perkembangan ekonomi yang pesat, orang Cina sudah biasa berkumpul satu keluarga untuk menonton Pesta Malam Tahun Baru Cina yang disiarkan di tv. Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, menonton opera, wayang gambar dan menikmati konsert, makan di restoran atau keluar melancong sudah menjadi popular, aktiviti perayaan Tahun Baru Cina semakin hari semakin bertambah. Sekarang, perubahan yang paling besar pada Tahun Baru Cina ialah anggota keluarga bersama-sama makan di restoran.

SEJARAH ASAL USUL

Terdapat dua versi tentang sejarah asal usul tradisi membakar mercun dan menyalakan bunga api pada hari Tahun Baru Cina.

VERSI PERTAMA

Sejarah Tahun Baru Cina bermula beribu-ribu tahun dahulu, di mana seekor makhluk ganas yang bernama ‘Nian’ membuat huru-hara di Tanah Besar China. Ini membuatkan manusia hidup dalam ketakutan dan kesengsaraan. Mereka mencari ikhtiar unutk menewaskan makhluk tersebut. Akhirnya mereka berjaya menakutkan makhluk ini dengan melemparkan reben merah ke udara, meletupkan mercun dan membakar bunga api siang dan malam.

Tahun Baru Cina mempunyai sejarah yang lama, itu berasal daripada kegiatan memuja dewa dan nenek moyang sempena hujung tahun dan permulaan tahun baru di negara Cina pada zaman kuno. Tahun Cina dipanggil ‘Yuanri’, ‘Yuandan’ atau ‘Tahun Baru’ pada zaman kuno. Selepas revolusi 1911, kerajaan pada waktu itu secara rasmi menetapkan hari pertama bulan satu Imlek sebagai Tahun Baru Cina.

Tahun Baru Cina juga secara umumnya dipanggil ‘Guonian’. Apa itu ‘Nian’? menurut riwayat asal usul Tahun Baru Cina, ‘Nian’ adalah sejenis binatang bayangan yang membawa nasib buruk. Semasa ‘Nian’ tiba, semua tumbuhan mati; semasa ‘Nian’ pergi, tumbuhan hidup lagi dan bunga berkembang. Jadi orang Cina akan membakar mercun dan bunga api untuk menakutkan juga untuk mengusir ‘Nian’. Itulah asal usul adat resam membakar mercun dan bunga api sempena Tahun Baru Cina. Tradisi ini dibawa dari Negara China ke Tanah Melayu oleh para imigran zaman penjajahan dan akhirnya berkembang di sini sehingga sekarang.

Perayaan Tahun baru Cina menandakan permulaan tahun baru bagi kalender masyarakat Cina. Bersama-sama dengan warna merah, tanglung, mercun dan pakaian ‘cheongsam’, menjadi simbol tradisi kemeriahan masyarakat Cina. Perayaan yang bersamaan dengan permulaan kepada musim bunga di China adalah permulaan kepada bulan baru dan zodiak baru. Seperti yang kita ketahui, terdapat 12 ekor binatang yang menjadi simbol tahunan kepada orang Buddha.

Legenda meriwayatkan bahawa suatu masa dahulu Buddha telah menjemput semua binatang untuk mengadapnya, tetapi cuma 12 binatang sahaja yang sampai. Sebagai penghargaan dari Buddha, kesemua binatang ini diberi penghormatan menjadi zodiak yang mulia bagi masyarakat Cina Buddha. Binatang-binatang itu ialah anjing, khinzir, tikus, monyet, harimau, kambing, ayam, kuda, ular, naga, lembu dan arnab. Kononnya dikatakan bahawa mereka yang lahir dalam tahun-tahun ini akan mewarisi sifat dan untung nasib binatang tersebut.

Di Malaysia, telah diisytiharkan bahawa dua hari pertama bagi Tahun Baru Cina adalah cuti umum. Namun hari kelima belas bagi perayaan ini iaitu hari ‘Chap Goh Mei‘ tidak kurang pentingnya. Ia adalah hari terakhir bagi bulan penuh, menandakan penutup bagi perayaan ini. Hidangan makan malam Tahun Baru biasanya adalah tradisi turun temurun seperti itik panggang, khinzir, tiram berkicap, dan sayuran ‘prosperity’ yang dimakan bersama arak.

Selesai makan, semua ahli keluarga akan berdoa dan menjalankan upacara ‘shuo sui’ yang dipercayai akan memanjangkan umur seseorang. Bagi yang tua, malam tahun baru akan dihabiskan dengan bermain ‘mah jong’ sebagai hiburan untuk merapatkan hubungan antara ahli keluarga. Tepat detik tengah malam, mercun dan bunga api akan dibakar, menandakan sambutan Tahun Baru bermula.

Apabila hari siang, lilin upacara akan dibakar, pakaian baru yang berwarna merah akan memeriahkan suasana, di samping ucapan ‘Kong Hee Fatt Choy’ akan diucapkan sesama penganut. Ia membawa maksud ‘semoga tahun ini akan membawa kebaikan’. Tetamu mula berkunjung membawa limau mandarin, yang bermaksud kekayaan manakala tradisi memberi ‘ang pow’ diteruskan kepada kanak-kanak dan orang yang belum berkahwin. Ia bersamaan dengan memberi duit raya di kalangan umat Islam pada masa Hari Raya.

Terdapat juga tradisi larangan semasa Tahun Baru Cina ini. Adalah dipercayai sepanjang 15 hari sambutan perayaan tidak dibenarkan sesiapa pun membuka perniagaan, atau ia akan ditimpa kerugian. Tidak dibenarkan juga menyapu sampah di rumah kerana ia akan menghalau keluar tuah dari ahli rumah. Tarian singa juga dipersembahkan, sebagai tanda memuliakan haiwan ini yang membantu menumpaskan raksasa jahat.

Pada hari ketujuh sambutan Tahun Baru, yang juga dipercayai hari kelahiran manusia, masyarakat Kantonis akan menyediakan sejenis hidangan yang dinamakan ‘yee sang’. Ia kaya dengan herba dan menjadi simbol kehidupan, murah rezeki, dan panjang umur. Masyarakat Hokkien pula menyambut hari kelapan dengan bersembahyang kepada ‘Tian Gong’, iaitu Dewa Syurga.

VERSI KEDUA

Kononnya pada zaman dahulu yakni ribuan tahun yang lalu, di negara China terdapat sejenis binatang galak yang bernama ‘Nian’. Pada malam terakhir setiap tahun, ia pergi ke setiap kampung dan keluarga, untuk memakan manusia. Pada suatu malam, ‘Nian’ pergi ke sebuah kampung untuk memakan manusia lagi, tetapi kebetulan terdapat dua orang kanak-kanak yang sedang bermain cambuk, dan mengeluarkan bunyi yang menakjubkan. Setelah terdengar bunyi itu, ‘Nian’ sangat terkejut lalu melarikan diri. Ia pergi ke sebuah kampung lagi, dan melihat sehelai baju merah yang digantung di hadapan pintu sebuah rumah. Ia berasa pelik dan takut dengan baju merah tersebut, dan secara kelam-kabut melarikan diri.

Kemudian ia pergi ke sebuah kampung lagi dan melihat ke dalam sebuah rumah, dan dalam rumah itu sangat terang, lalu ‘Nian’ terus melarikan diri lagi. Sejak waktu itu, orang sudah tahu bahawa ‘Nian’ takut kepada bunyi, warna merah dan cahaya yang terang, dan telah mendapat banyak cara untuk menangkisnya, misalnya membakar mercun, menampal kuplet dan memasang lampu, dan ini secara beransur-ansur menjadi adat resam pada Tahun Baru Cina. Tradisi ini juga dipercayai dibawa dari Negara China ke Tanah Melayu oleh para imigran zaman penjajahan dan akhirnya berkembang di sini sehingga sekarang.

Sumber, rujukan dan bibliografi:

  1. Haji Mokhtar bin H. Md. Dom, 1977, Istiadat Perkahwinan Masyarakat Melayu, Federal Publication, Selangor.
  2. Amran Kasimin, 1989, Istiadat Perkahwinan Melayu: Satu Kajian Perbandingan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur.
  3. H.M. Sidin, 1964, Asal Usul Adat Resam Melayu, Penerbitan Pustaka Antara, Kuala Lumpur.
  4. Siti Haidah Asri, Berandam Mengintai Si Dara, Wanita, Oktober 1998, Utusan Melayu (M) Berhad, Hal. 175.
  5. Nik Mustapha Nik Mohd Salleh, Alat Muzik Tradisional Dalam Masyarakat Melayu Di Malaysia, Kementerian Kebudayaan, Kesenian Dan Pelancongan Malaysia
  6. Wawancara dengan Tuan Haji Zakaria Bin Haji Jamhari pada 3 Januari 2007 di No. 247, Batu 6, Jalan Rawang, Kampung Kuantan, Kuala Selangor, Selangor.
  7. Wawancara dengan Puan Hajah Robaiyah Bte Haji Bohari, pada 3 Januari 2007 di No. 247, Batu 6, Jalan Rawang, Kampung Kuantan, Kuala Selangor, Selangor.
  8. Wawancara dengan Puan Encom Bte Shamsudin pada 3 Januari 2007 di No. 247, Batu 6, Jalan Rawang, Kampung Kuantan, Kuala Selangor, Selangor.

KAJIAN-KAJIAN BUDAYA

KAJIAN 1
Kraftangan Etnik Mah Meri

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM


Saya pernah mendapat tugasan penyelidikan dari Jabatan Warisan Negara, Jabatan Kebudayaan Dan Warisan Negeri Selangor dan ASWARA untuk menjalankan kajian kebudayaan masyarakat Mah Meri suatu ketika dulu. Bersama Prof Datuk Hud Salleh dari UKM, Prof Dr Noriah Mohammad dari ATMA, UKM dan Dr Zulkifli dari ASWARA, kami memberi tunjuk ajar kepada pegawai-pegawai kebudayaan dari seluruh negara proses membuat kajian budaya di kampung masyarakat Mah Meri di Pulau Carrey, Kuala Langat, Selangor. Dan hasilnya pelbagai kesenian dan kebudayaan masyarakat Mah Meri yang berjaya diketengahkan untuk pengetahuan masyarakat umum.

Mah Meri ialah suku orang Asli Senoi yang ramai tinggal di Pulau Carey, Selangor Darul Ehsan. Mah Meri bermakna “Orang Hutan” sementara dalam istilah Mah Meri disebut “bersisik”. Mereka juga dikenali sebagai Orang Laut kerana mereka tinggal berhampiran dengan laut dan bekerja sebagai nelayan. Mereka ini dipercayai berhijrah dari pulau-pulau di selatan Johor ke pantai negeri Selangor kerana lari dari musuh. Kini masyarakat Mah Meri telah mengalami perubahan dari segi pemikiran dan pembangunan hasil dari percampuran dengan masyarakat lain.
Ramai di antara mereka kreatif mengukir patung-patung yang dibuat daripada kayu. Ukiran mereka berbentuk dewa-dewa, manusia, alam flora dan fauna. Objek yang cukup menghiburkan ialah patung anak kera yang bergayut pada emaknya. Patung-patung ini mendapat pengiktirafan UNESCO. Kepercayaan tradisional orang Asli Mah Meri berkaitan dengan perubatan dan penyakit. Upacara mengubat orang sakit ‘Genggulang’ bagi orang Mah Meri sangat penting untuk mengubati penyakit mereka. Dalam penyelidikan yang telah kami jalankan, saya amat tertarik dengan hasil kraftangan masyarakat Mah Meri yang begitu unik dan amat mengagumkan. Hasil kraftangan masyarakat Mah Meri di Sungai Bumbun, Pulau Carey, Kuala Langat, Selangor mempunyai nilai seni yang tinggi dan berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa.

Nilai kesenian produk masyarakat itu telah menarik minat wakil Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Seni kraf masyarakat Mah Meri kini telah mendapat pengiktirafan dalam dan luar negara. Antara seni kemahiran yang telah mendapat pengiktirafan tersebut adalah ukiran patung dan topeng. Salah seorang pengukir patung yang terkenal ialah Pion Anak Bumbung yang dilahirkan pada 8 Ogos 1947. Pion Anak Bumbong merupakan anak jati Kampung Orang Asli Pulau Carey. Beliau adalah dari kalangan etnik Mah Meri yang mengusahakan kraf ukiran kayu dengan membuat ukiran topeng dan patung hampir 40 tahun. Seni ukiran ini telah diwarisi sejak turun temurun dari nenek moyang beliau. Keunikan hasil rekaan patung dan topeng yang dihasilkan oleh beliau adalah dari ukiran tangan dan tidak menggunakan sebarang peralatan seperti mesin.
Manakala bahan mentah yang digunakan ialah kayu Nyireh Batu yang banyak terdapat di pantai Negeri Selangor. Ukiran kayu Nyireh Batu adalah salah satu hasil kraf yang dibanggakan oleh masyarakat Mah Meri kerana keunikan kayu tersebut dan ukiran merupakan kerja tangan yang amat sinonim dengan masyarakat Mah Meri. Sehingga kini, banyak ilmu serta kemahiran diturunkan kepada anak beliau. Selain itu atas dasar dan kesedaran untuk mengekalkan warisan ini, beliau banyak mengajar golongan muda dan pelapis di Kampung Sungai Bumbun, Pulau Carey, Selangor. Kemahiran beliau mendapat pengikitrafan dan pada tahun 2006, beliau telah dilantik sebagai Adiguru Kraf Ukiran Topeng Atau Patung oleh Kraftangan Malaysia.


KAJIAN 2
Falsafah Hidup Temiar

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM


BERKESEMPATAN bertamu ke sebuah perkampungan masyarakat Temiar telah mendorong saya memaparkan maklumat ini untuk para pembaca. Kajian ini bukanlah sebuah kajian yang menyeluruh dan saya catatkan tatkala bertemu dalam sebuah majlis yang terlalu singkat namun atas dasar ingin mendalami budaya kepelbagaian etnik saya sempat juga bertemuramah dengan beberapa orang Batin masyarakat Temiar. Orang Temiar merupakan Suku Senoi, masyarakat orang asli yang terbesar di Semenanjung Malaysia. Selain Temiar, suku Senoi terdiri daripada Semai, Che Wong, Jahut, Semoq Beri dan Mah Meri. Kepercayaan turun temurun orang Temiar ialah animisme yang percaya bahawa setiap ciptaan atau benda di dalam hutan mempunyai semangat. Pokok dan batu mempunyai semangat begitu juga sungai dan air terjun. Matahari dan bulan dikatakan sebagai semangat yang paling utama sekali dan bintang-bintang adalah anak-anak mereka.

Orang Temiar mempunyai sistem tuhan yang rumit tetapi mirip dengan tuhan nenek moyang kaum asli yang lain. Bagi mereka setiap tuhan adalah sama dari segi kuasa dan amat mereka takuti. Hal ini bermakna bahawa tiada tuhan yang lebih berkuasa daripada yang lain. Kaum ini juga percaya tentang perihal syurga iaitu tempat segala roh dan semangat bebas bergerak serta tempat pulangnya seseorang Temiar. Biarpun sekarang ramai orang Temiar beragama Islam, kepercayaan nenek moyang yang mereka warisi tetap sebati dalam diri mereka. Paling menarik, adalah 3 falsafah hidup orang Temiar iaitu tentang jati diri, sikap menghormati dan mimpi. Ketiga-tiga falsafah orang Temiar jelas memancarkan keikhlasan hidup mereka.

Jati Diri

Orang Temiar tidak menganggap diri mereka ‘penghuni hutan’ tetapi ‘orang yang tinggal di tanah lapang, di kelilingi hutan rimba’. Mereka berpendirian bahawa tanah milik semua makhluk. Mereka tidak boleh memiliki tanah tetapi hanya boleh memiliki apa yang ditanam atau yang dijumpai. Pada masa dahulu orang Temiar dikatakan akan berpindah ke kawasan yang lain jika salah seorang ahli kaum mereka mati. Kini mereka dikatakan akan berpindah jika terdapat ramai anggota mereka yang mati. Juga, mereka jarang berpindah melainkan untuk tujuan ekonomi, berada dekat dengan kawasan tanah yang subur.

Penempatan rumpun bangsa Temiar yang teramai adalah di daerah Gua Musang, Kelantan yang menganjur hingga ke sempadan Perak dan Kelantan. Pada peringkat awal, mereka membuat rumah seperti keadaan rumah panjang di mana lokasinya ditentukan oleh Penghulu atau Batin melalui kaedah ‘berhalaq’. Kemudian mereka akan mula membina kediaman sendiri setelah sekian lama di rumah panjang tersebut. Mereka menyara kehidupan dengan bercucuk tanam, berburu dan mencari tumbuhan hutan. Kemajuan negara telah merubah cara hidup mereka khususnya dalam bidang ekonomi masa kini, di mana kebanyakannya mengusahakan tanah kebun dan juga bekerja dalam pelbagai sektor yang lain.


Sikap Menghormati

Orang Temiar adalah masyarakat yang mesra alam, harmoni dan sedapat boleh menjauhi keganasan serta kerosakan. Mereka pantang sekali merosakkan atau menganiaya makhluk alam. Bagi mereka, semua makhluk alam termasuk tumbuh-tumbuhan berhak untuk hidup. Menebang atau memusnahkan hutan secara membakar dengan sengaja dilarang sama sekali melainkan ia digunapakai untuk bertani. Sekiranya mahu membuka ladang baru, mereka mesti meninggalkan sebatang pokok di hujung atau di pangkal ladang. Biasanya, pokok itu adalah pokok yang lebih besar dan unik (pokok yang diminati burung). Sebelum membakar untuk membuka ladang, orang Temiar mesti mengambil kira musim dan kedudukan angin untuk memastikan api tidak merebak sehingga merosakkan flora dan fauna hutan.

Jika mereka melalui laluan denai, mereka tidak menggunakan parang untuk mencantas semak tetapi hanya menyelak semak samun. Makanan utama Temiar ialah ubi dan setiap tiga atau empat hari barulah mereka makan nasi. Justeru mereka hanya keluar berburu sekali bagi setiap kira-kira sepuluh hari. Hanya satu jenis binatang sahaja yang boleh diburu. Pantang bagi mereka memburu binatang berlebihan tetapi cukup sekadar keperluan makanan sekeluarga untuk sehari. Mereka turut memasang perangkap di sekitar kediaman mereka tetapi lebih sebagai perlindungan. Binatang liar yang masuk ke dalam kampung tidak boleh diburu untuk makanan. Aktiviti berburu hanya boleh dilakukan di hutan.

Mimpi

Orang Temiar menganggap ‘mimpi’ sebagai asas kearifan dalam hubungan kemasyarakatan dan dapat mengatasi masalah, keganasan serta jenayah. Budaya mereka adalah berbincang tentang mimpi dengan keluarga pada waktu sarapan pagi. Orang-orang yang lebih tua akan membuat takrifan tentang mimpi itu. Sekiranya mimpi itu menakutkan, orang itu akan digalakkan ‘mengubah’ bentuk mimpinya dan kemudian cuba bermimpi lagi.

Mimpi yang lebih sulit difahami akan dirujuk secara musyawarah kepada orang tua yang lebih arif dalam masyarakat mereka. Bagi orang Temiar, manusia boleh mengawal mimpi untuk mengurangkan perasaan takut dan meningkatkan kenikmatan hidup. Mimpi boleh dikawal atau dibentuk melalui interpretasi dalam musyawarah berkumpulan untuk mengecap kehidupan yang lebih harmoni.


KAJIAN 3

Kajian Beberapa Tradisi Masyarakat Lombok


SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM


DALAM memperkatakan tentang tradisi budaya masyarakat di daerah Lombok, kita tetap tidak dapat lari dari membicarakan tentang seluruh cara hidup sesuatu masyarakat atau seluruh aspek pemikiran dan tingkah laku manusia yang diwarisi dari satu generasi ke generasi yang lain melalui proses pembelajaran. Bidang seni budaya itu secara luasnya bolehlah dilihat di antaranya melalui fikiran atau idea seperti ilmu pengetahuan, bahasa, falsafah, persuratan, metos, legenda, kesusasteraan, kepercayaan dan cerita-cerita lisan, kebendaaan seperti seni bina, bangunan, alat-alat-alat mesin, object de art, pakaian, makanan ubat-ubatan dan perabot, kesenian - dilihat dari dua bidang kemahiran iaitu seni lakon (teater, tarian, muzik, nyanyian) dan seni tampak (ukiran, lukisan, seni pahat, tenunan, takat dan anyaman), serta nilai dan norma - seperti peraturan-peraturan undang-undang, adat resam, folk-ways & mores, gaya dan perlakuan, pantang larang, upacara dan nilai-nilai keagamaan dan bersopan santun. Namun begitu, kajian yang penulis lakukan hanya terbatas kepada beberapa tradisi sahaja. Dalam menyelusuri aspek ini, penulis cuba mendapatkan sebanyak boleh fakta yang berkaitan daripada pelbagai sumber yang terdapat di Lombok terutama melalui individu yang penulis ketahui mempunyai maklumat dan pengetahuan mengenai kebudayaan tempatan. Permasalahan Kajian Kajian ini adalah untuk mendalami beberapa tradisi masyarakat di Lombok. Selain itu kajian ini juga bermatlamat untuk mencari apakah keistimewaan tradisi-tradisi ini berbanding dengan tempat-tempat lain di Indonesia.

Objektif Kajian


Kajian hanya ditumpukan kepada daerah Lombok sahaja dan penulis memilih beberapa buah kampung sebagai tapak tugasan. Kawasan kajian yang menjadi fokus penyelidikan merangkumi kampung yang dikira masih tradisional dan warganya masih mengumandangkan tradisi-tradisi warisan di kalangan masyarakat.

Batas Kajian


Kajian telah dijalankan dengan membuat wawancara dengan beberapa orang individu tempatan yang dipercayai mempunyai banyak maklumat tentang pelbagai tradisi masyarakat di Lombok. Selain itu kajian juga didapati dari bahan-bahan bacaan seperti majalah lama, buku, jurnal dan sebagainya di perpustakaan, internet dan juga orang-orang perseorangan.

Metodologi Kajian


Dalam usaha untuk menjalankan kajian penyelidikan ini terdapat beberapa kaedah yang telah penulis gunakan bagi memudahkan proses pengumpulan maklumat. Kajian yang telah penulis dijalankan ini mempraktikkan dua kaedah utama iaitu kajian lapangan atau field research dan kajian perpustakaan atau library research. Sementara sumber-sumber sekunder pula diperolehi daripada maklumat-maklumat yang relevan. Kaedah perpustakaan meliputi usaha-usaha pengumpulan sumber-sumber bertulis di institusi seperti perpustakaan daerah, perpustakaan peribadi, makalah, jurnal, majalah dan buku termasuk bahan-bahan yang didapati dari arkib. Kaedah lisan digunakan untuk mendapatkan maklumat lisan mengenai kesenian dabus daripada individu yang sudah diakui pengetahuannya. Rumusan akan dibuat untuk disesuaikan dengan kajian yang dijalankan di daerah Lombok.

Sumber Kajian


Dalam kajian ini, penulis telah menggunakan dua jenis sumber iaitu sumber sekunder dan sumber lisan. Sumber sekunder meliputi bahan-bahan dan maklumat-maklumat bercetak seperti buku, makalah, majalah, jurnal, internet dan kajian-kajian lepas yang berkaitan dengan beberapa tradisi masyarakat di daerah Lombok. Sumber lisan pula diperolehi daripada wawancara atau temubual dengan individu yang berpengetahuan di daerah Lombok.

Pendahuluan


Penulisan dan kajian mengenai Indonesia termasuk di daerah Lombok khususnya dalam aspek seni budaya sudah agak banyak dilakukan sama ada secara ilmiah mahupun bukan ilmiah. Ini termasuklah usaha-usaha penulis, sarjana dan juga pengkaji budaya yang telah membuat penyelidikan dalam pelbagai aspek yang tentunya turut menyentuh tentang seni budaya tempatan. Sejak zaman sebelum merdeka lagi sehingga kini, maklumat tentang seni budaya Indonesia khususnya di Lombok ini banyak dibicarakan oleh para penulis sama ada dari kalangan pegawai tadbir kolonial, pengembara Eropah mahupun penulis tempatan. Begitu juga dengan usaha pihak institusi pengajian tinggi tempatan yang mempunyai program ilmiah yang didapati terus giat melahirkan kajian-kajian dan penyelidikan ilmiah dari kalangan pelajarnya dalam pelbagai peringkat ijazah. Kendatipun begitu, maklumat tentang seni budaya tempatan di Lombok yang disorot dari pelbagai aspek dan bersifat menyeluruh masih terhad. Secara umum, Lombok mempunyai hampir 3 juta penduduk. Ia merupakan sebuah pulau yang terpisah oleh Selat Lombok dengan Bali dan Sumbawa. Ibu negerinya ialah Mataram.

Lombok juga terkenal sebagai ‘Pulau Seribu Masjid’, iaitu masjid dibina berdekatan dalam sesebuah kawasan. Pulau Lombok memiliki lokasi geografi di Asia Tenggara Koordinat 8.565° S 116.351° E Gugusan Pulau-pulau Kepulauan Kecil Sunda. Luas pulau ialah 4,725 km². Tempat tertinggi adalah Rinjani (3,726 m). Pulau Lombok menjadi sebahagian dari Wilayah Nusa Tenggara Barat. Ibu kota wilayah, Mataram ada di pulau ini. Secara demografi, penduduknya sekitar 2,736,000 orang (data tahun 2007) dengan kepadatan penduduk 537 orang/km². Penduduk peribumi bersuku Sasak. Tetapi di Pulau Lombok terdapat beberapa suku pendatang dari berbagai daerah seperti suku Bali, Jawa, dan lain-lain lagi. Suku Sasak adalah penduduk asli yang menduduki Pulau Lombok berjumlah 2.6 juta orang (85% jumlah keseluruhan penduduk Lombok). Mereka mempunyai hubungan dengan orang Bali dari segi budaya dan bahasa.

Sejarah


Kerajaan Selaparang merupakan salah sebuah kerajaan tertua yang pernah tumbuh dan berkembang di Pulau Lombok, bahkan disebut-sebut sebagai embrio yang kemudiannya melahirkan raja-raja Lombok. Kedudukan ini selanjutnya menempatkan Kerajaan Seiaparang sebagai ikon penting kesejarahan pulau ini. Terbukti penamaan pulau ini juga sering disebut sebagai ‘Bumi Selaparang’ atau dalam istilah tempatannya sebagai ‘Gumi Selaparang’. Menurut Lalu Djelenga (2007), catatan sejarah kerajaan-kerajaan di Lombok yang lebih bermakna dimulai dari masuknya Majapahit melalui ekspedisi di bawah Mpu Nala pada tahun 1343, sebagai pelaksanaan Sumpah Palapa Maha Patih Gajah Mada yang kemudiannya diteruskan dengan inspeksi Gajah Mada sendiri pada tahun 1352. Ekspedisi ini, papar Djelenga, meninggalkan kesan kerajaan Gelgel di Bali. Sedangkan di Lombok, dalam perkembangannya meninggalkan kesan berupa empat kerajaan utama saling bersaudara, iaitu Kerajaan Bayan di barat, Kerajaan Selaparang di timur, Kerajaan Langko di tengah, dan Kerajaan Pejanggik di selatan. Selain keempat-empat kerajaan tersebut, terdapat kerajaan-kerajaan kecil seperti Parwa dan Sokong serta beberapa buah desa kecil, seperti Pujut, Tempit, Kedaro, Batu Dendeng, Kuripan, dan Kentawang. Seluruh kerajaan dan desa ini selanjutnya menjadi wilayah yang merdeka, setelah kerajaan Majapahit runtuh.

Di antara kerajaan dan desa itu yang paling terkemuka dan paling terkenal adalah Kerajaan Lombok yang berpusat di Labuhan Lombok. Disebutkan bahawa kota Lombok terletak di Teluk Lombok yang sangat indah dan mempunyai sumber air tawar yang banyak. Keadaan ini menjadikannya banyak dikunjungi oleh pedagang-pedagang dari Palembang, Banten, Gersik, dan Sulawesi. Kemudiannya, ketika kerajaan ini dipimpin oleh Prabu Rangkesari, Pangeran Prapen, putera Sunan Ratu Giri datang mengislamkan kerajaan Lombok. Dalam Babad Lombok disebutkan, pengislaman ini merupakan usaha dari Raden Paku atau Sunan Ratu Giri dari Gersik, Surabaya yang memerintahkan raja-raja Jawa Timur dan Palembang supaya menyebarkan Islam ke pelbagai wilayah di nusantara. Proses pengislaman oleh Sunan Prapen menuai hasil yang menggembirakan, hingga beberapa tahun kemudian seluruh Pulau Lombok memeluk agama Islam, kecuali beberapa tempat yang masih mempertahankan adat istiadat lama.

Geografi


Secara geografi, Pulau Lombok dan Pulau Bali memang terpisah. Sempadannya jelas. Selat Lombok, yang membentang di sepanjang pesisir barat Pulau Lombok atau di pesisir timur Pulau Bali, menghubungkan kedua pulau kecil di wilayah Nusa Tenggara ini. Tetapi, dari sisi sejarah dan budaya, kedua-duanya memiliki keakraban khusus yang menjadikan Lombok dan Bali seperti dua saudara sekandung. Bahkan, sehingga muncul ungkapan, ‘di Lombok kita boleh menemui Bali’. Keakraban budaya Bali dan Lombok memang tidak dapat dipisahkan dengan sejarah kedua-dua pulau bertetangga ini. Dimulai dengan masuknya pengaruh fahaman Siwa-Buddha dari Pulau Jawa yang dibawa oleh para pendatang dari kerajaan-kerajaan Jawa sekitar abad ke-5 dan ke-6 Masehi, sehingga ke infiltrasi Kerajaan Hindu Majapahit yang mengenalkan ajaran Hindu-Buddha ke penjuru timur wilayah nusantara pada abad ke-7 Masehi. Sejumlah penanda masih kelihatan jelas hingga kini.

Di sejumlah tempat di Pulau Lombok dan Bali terdapat nama-nama desa yang mengadopsi nama tempat di Jawa. Sebut saja, Kediri, Pajang, ataupun Mataram, yang kini menjadi nama ibu kota Wilayah Nusa Tenggara Barat. Pendatang asal Bali yang bermigrasi ke Lombok pada zaman kerajaan itu memanggil penduduk Sasak dengan sebutan ‘semeton’, yang bermakna ‘saudara’. Sebaliknya, terhadap warga Bali dan etnik bukan Sasak lainnya, masyarakat Sasak memberikan panggilan hormat, ‘batur’, yang bermakna ‘sahabat’. ‘Batur Bali’ bermakna ‘sahabat dari Bali’, ‘Batur Jawa’ bermakna ‘sahabat dari Jawa’.

Bahasa Bali-Lombok

Salah satu keakraban budaya antara Lombok dan Bali lainnya adalah bahasa. Sebelum ramai didatangi beragam etnik, Pulau Lombok sudah dihuni masyarakat Sasak yang disebut sebagai penduduk asli. Ragam bahasa antara Lombok dan Bali hampir serupa, sama-sama bersumber dari bahasa Kawi dengan aksara Jawa Kuno. Huruf aksara Sasak dan Bali 100 peratus sama, hanacaraka-nya berjumlah 18. Ini berbeza dengan aksara di Jawa yang lebih banyak dua aksara. Bezanya, penulisan aksara Sasak lebih tegas dibandingkan aksara Bali. Begitu juga dalam teknik pencatatan. Tradisi menulis di daun lontar dilakukan pujangga dan sasterawan di Bali dan Lombok. Teknik ini diteruskan dengan tradisi membaca naskhah sastera, ‘pepawosan’ dalam budaya Sasak dan ‘mabebawos’ dalam budaya Bali. Dalam ritual upacara masyarakat Hindu di Lombok dikenali tradisi melantunkan tembang ‘Turun Taun’ ketika berlangsungnya upacara sakral memohon turunnya hujan. Upacara ini digelar ‘dipura setempat’ menjelang datangnya musim tanam. Meskipun dilantunkan masyarakat Hindu, ragam bahasa dan lagunya jelas menunjukkan pengaruh Sasak, ditambah beberapa sisipan kata-kata bernuansa Islam. Sebait lagu ini, misalnya:

1. Turun Taun Leq Gedong Sari
2. Mumbul Katon Suarge Mulie
3. Langan Dee Sida Allah Nurunang Sari
4. Sarin Merta Sarin Sedana, yang intinya kira-kira bermakna ‘semoga Tuhan segera menurunkan hujan sebagai inti kebahagiaan’. Kata ‘sangkaq’ dan ‘kembeq’ (kenapa), ‘lasingan’, ‘timaq’ (walau), ‘aro’ (ah), ‘kelaq moto’ (sayur bening), dalam bahasa Sasak, kata Mandia, antara lain juga diadopsi sebagai percakapan sehari-hari masyarakat Bali di Lombok.

AKULTURASI KEARIFAN


Akulturasi budaya antara penduduk tempatan dan Bali serta Jawa juga kelihatan dalam busana dan tradisi masyarakat. Misalnya, ikat kepala, yang dalam tata busana adat Sasak disebut ‘sapuk’ (dipakai lelaki), mirip dengan destar dalam busana Bali. Kebiasaan ‘nebon’, suami yang membiarkan rambutnya panjang selama isteri hamil, dikenali dalam tradisi Sasak dan Lombok. Rambut si suami baru dipotong setelah isterinya melahirkan anak. Selama ‘nebon’, kegiatan rumah tangga ditangani suami.

Kebiasaan ini dipertahankan dengan tujuan demi melahirkan generasi yang bibit, bebet, dan bobotnya berkualiti, juga kesihatan jasmani dan rohaninya lebih baik. Dulu, kalau mahu berkunjung ke rumah seorang gadis, meskipun keduanya sama-sama keluarga Bali, si pemuda harus boleh membacakan isi lontar ‘Pesasakan’, yang bahasa pantunnya murni menggunakan bahasa Sasak. Akulturasi budaya juga kelihatan dalam agama ‘Wetu Telu’. Kelompok penganut agama sinkretisme Islam, Hindu dan Animisme. Penganut ‘Wetu Telu’ majoriti tinggal di Kampung Bayan, tempat di mana agama itu dilahirkan. Sebahagian besar ‘Wetu Telu’ juga boleh didapati di Mataram, Pujung, Sengkol, Rambitan, Sade, Tetebatu, Bumbung, Sembalun, Senaru, Loyok dan Pasugulan.

PEGANG TEGUH BUDAYA


Dalam perjalanan sejarah orang-orang Sasak Lombok sejak eksistensinya di Gumi Sasak tentu memiliki nilai-nilai yang diekspresikan, dihormati, dan dipegang teguh (budaya). Seiring perjalanan waktu, budaya-budaya tersebut mengalami pasang surut perkembangan kerana munculnya tokoh-tokoh pembaharu yang berusaha untuk mengkaji kembali dengan tujuan menggantikannya atau memperbaiki sebahagiannya. Bagaimanapun proses perubahan-perubahan yang terjadi, penulis akan cuba mengkaji juga peranan budaya dalam kehidupan bermasyarakat.

Budaya kadang-kadang bersifat sangat abstrak dan menjadi wadah perekat sosial dalam kehidupan bermasyarakat. Di dalamnya terjadi interaksi sosial yang dapat menjalin dan menumbuhkembangkan rasa persaudaraan dan kebersamaan. Untuk memberikan gambaran tentang peranan budaya sebagai perekat sosial dalam kehidupan bermasyarakat, dihuraikan tradisi-tradisi (kebiasaan), antara lain:

1. Saling sapa dan berjabat tangan, kelihatannya perlakuan seperti ini biasa saja akan tetapi orang lain dapat memberikan penilaian yang baik sehingga akan semakin tumbuh kebersamaan dan rasa kekeluargaan.
2. Bersilaturrahmi, menjenguk orang sakit. Bersilaturrahmi yang dilakukan bukan hanya sebatas ketika memerlukan orang yang berkaitan. Hal ini memiliki dampak psikologi yang kurang baik terhadap orang yang didatangi.

Oleh kerana itu, tepat untuk terus dilakukan, ditumbuhkembangkan dalam kehidupan bermasyarakat. Selanjutnya, menjenguk orang yang sakit, hal ini boleh memberikan motivasi, semangat yang besar bagi yang sakit sehingga proses penyembuhannya semakin cepat. Tentunya, orang yang sakit selalu akan mengingatkan kebaikan-kebaikan dari penjenguk. Hal ini merupakan suatu bentuk perekat sosial yang sangat baik 3. Saling menghargai. Adanya penerimaan dan bersedia sebagai objek ketika subjek memiliki pendapat. Saling menghargai bukan hanya dalam kelompok akan tetapi juga antara kelompok termasuk perbezaan suku, ras, dan agama. Di Lombok secara lebih khusus, haruslah melestarikan hubungan dengan beberapa etnik yang ada seperti etnik Bali, Cina, Arab dan sebagainya. Dalam hal ini, harus menghilangkan atau meminimakan pertelagahan antara golongan tersebut. Dalam hal ini, perlu disajikan apa yang ditulis dalam artikel Melestarikan Hubungan Harmonis Antara Etnik Sasak dan Bali di Lombok (2002), sebagai berikut:

* ‘Khususnya kami yang mewakili etnik Bali menyampaikan terima kasih yang dalam, kepada saudara-saudara kami etnik Sasak yang dalam hal ini sebagai tuan rumah yang bukan saja baik, tapi sangat baik. Bukan saja baik terhadap etnik Bali tetapi kepada semua etnik pendatang’. Akan tetapi perlu juga disajikan apa yang ditulis oleh Ir H. Jelengga dalam tulisan ‘Kerajaan Pejanggik & Pasca Pejanggik (Sejarah Lombok Versi Pejanggik)’ sebagai berikut:

* ‘Kewujudan suku Bali yang beragama Hindu di Lombok, telah melalui proses yang panjang dan kenyataan sejarah, sehingga mereka berhak disebut dan menyebut diri mereka sebagai Orang Lombok Beretnik Bali. Ekspansi Karang Asem berlatar belakang ekonomi bukan politik kerana pada kenyataannya lebih banyak orang Hindu masuk Islam daripada orang Islam khususnya Sasak yang masuk Hindu. Bahawa sejarah adalah masa lalu yang telah lenyap. Kita tidak boleh memutar peredaran waktu mundur ke belakang menghapus dan meniadakan yang pahit dan yang buruk dan tidak bias diukur dengan nilai masa kini. Yang terpenting adalah mengambil hikmah dan pengajaran dari masa lalu untuk menapak masa depan. Bahawa kita bias hidup dengan kebersamaan di tengah perbezaan kerana perbezaan adalah hikmah. Tuhan sengaja menciptakannya untuk kita saling kenal mengenal’. Selain peranan-peranan tersebut, budaya memiliki peranan-peranan yang sangat strategik untuk menunjukkan karakteristik masyarakat, aset pariwisata budaya, rekreasi bagi bagi masyarakat dan lain-lain. Untuk memaksimakan peranan budaya tentunya harus didukung oleh etika, sopan santun agar membuahkan pandangan yang menyenangkan baik dari segi martabat ‘quality’ dan penampilan ‘appearance’ yang baik, meliputi: (Umar Berlian, 2008) 1. Keluwesan ‘charme’ iaitu suatu sikap dan keadaan peribadi seseorang yang menggambarkan kebaikan hati dan perhatian terhadap sesama manusia. 2. Cara berpakaian yang berkaitan dengan kesesuaian, keserasian, dan ketepatan situasi dan keadaan, harus menampakkan kerapian, dan senang dipandang, lebih-lebih lagi bila berada dalam suatu pergaulan resmi seperti menghadiri acara resmi kemasyarakatan

3. Cara bercakap. Orang boleh menarik percakapannya kerana ia berpengalaman luas atau cara ia menerangkan sesuatu. Perlihatkan bahawa kita memberikan perhatian terhadap orang lain. Jikalau kita tidak memiliki pembawaan untuk bercakap-cakap dengan mudah, kita dapat menyesuaikannya dengan cara mendengar pembicaraan orang lain sepenuhnya. 4. Menata gerak-geri fizikal seperti berjalan, duduk, makan dan minum dan berbicara di hadapan umum (public speaking). Pada prinsipnya kita harus boleh melakukannya dengan baik dan mengaplikasikan sesuai dengan situasi dan keadaan yang ada.

NILAI-NILAI


Budaya memiliki nilai-nilai yang boleh membawa masyarakat pendukungnya menuju ke arah kehidupan yang lebih baik. Budaya Sasak memiliki nilai-nilai falsafah yang agung, justeru menjadi sebuah konsep dalam peradaban moden. Beberapa konsep yang dimaksudkan antara lain ialah:

1. Pemerintahan yang bersih (clean goverment) bebas dari korupsi, kolusi, dan nepotisme telah dilakukan oleh nenek moyang kita. Ketika mereka menyelesaikan sebuah kes (problem solving), mereka melalui musyawarah (demokrasi) yang dilaksanakan di tempat terbuka seperti ‘berugak’, mereka duduk secara bersama tanpa ada yang harus disembunyikan.
2. Perlindungan terhadap alam (save our nation), permasalahan yang kini sedang berlaku adalah ‘pemanasan global’. Perlindungan terhadap alam, para pendahulu sebelum melakukan proses penanaman padi ataupun penebangan kayu mereka mulai dengan upacara ‘Ngayu-Ayu’, yang berisi pesan-pesan moral untuk tetap memperhatikan kelestarian alam, mereka tidak sembarangan kalau mahu memanfaatkan sumber daya alam.
3. Ketahanan makanan (food survival), nenek moyang di Gumi Sasak, jauh sebelum Indonesia merdeka, mereka menyimpan padi di lumbung (jelapang padi) dengan menggunakan sekat-sekat. Sekat-sekat tersebut menunjukkan adanya tahap pemanfaatan secara tersusun ertinya bila telah sampai pada tahap akhir. Harus diberi amaran untuk mereka berjimat cermat dalam mempergunakan bahan makanan.
4. Persatuan, kesatuan dan rela berkorban, budaya bau nyale memiliki nilai falsafah yang sangat dalam. Dalam sebuah legenda, berbanding dengan akan menimbulkan perpecahan di antara sesama, maka Puteri Mandalika mengorbankan dirinya sehingga seluruhnya dapat mengambil manfaat darinya.
5. Keselamatan, seperti acara Rebo Buntung yang dilaksanakan pada hari Rabu, minggu terakhir bulan Safar. Khusus di Pringgabaya, tradisi tersebut dilakukan dengan membuang tiga macam ‘sunsunan’ sebagai perlambangan adanya tiga fasa yang dilalui oleh masyarakat Sasak serta bertujuan untuk menolak bala. Tiga macam ‘sunsunan’ tersebut iaitu:

* Sunsunan Ratu, yang di dalamnya terdapat Ayam Hitam melambangkan bahawa pada masyarakat Sasak telah melalui fasa animisme
* Susunan Wali, yang di dalamnya terdapat Ayam Bengkuning melambangkan bahawa pada masyarakat Sasak telah melalui fasa Islam Wetu Telu (Sinkretisme antara ajaran Animisme, Hindu dan Islam)
* Sunsunan Rasul, yang di dalamnya terdapat Ayam Putih Mulus melambangkan bahawa pada masyarakat Sasak sedang melalui fasa Islam Waktu Lima (sesuai dengan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w) seperti sekarang ini.

6. Peranan terhadap Allah s.w.t, dalam berpakaian masyarakat suku Sasak menggunakan ‘sapu’ (ikat kepala) yang hujung bahagian depannya lancip ke atas, menunjukkan akan pengakuannya terhadap Allah s.w.t di mana saja dia berada harus ingat kepada Sang Khalik yang menciptakannya.

TRADISI PERISEAN


Perisean dalam budaya Lombok sering kita temui, Lombok memiliki keragaman budaya dan unsur tradisi yang masih hidup di kalangan masyarakat. Tradisi perisean ini bahkan sering kita tonton, dan juga sebagai ajang tontonan bagi masyarakat Lombok. Orang yang biasanya ikut andil dalam pertandingan perisean ini berupa orang dewasa yang memiliki mental dan fizikal yang kuat.

Perisean adalah sukan tradisional yang dilakukan oleh masyarakat suku Sasak Lombok. Perisean ertinya tameng (alat pelindung atau penangkis pukulan) lawan, alat pemukul tersebut disebut cemeti (penjalin) yang biasanya dibuat dari rotan sedangkan alat penangkis disebut ende yang dibuat dari kulit lembu. Perisean dahulu kala biasanya dilakukan oleh masyarakat Lombok (suku Sasak) iaitu sukan saling pukul dengan rotan yang diselenggarakan pada musim kemarau yang bertujuan untuk meminta hujan pada sang pencipta. Para pemain yang bertanding disebut pepadu sedangkan sistem pertandingan dipimpin oleh seorang wasit yang disebut pekembar dan di samping pekembar dikenali sebagai tukang adu disebut pengadok. Dalam perisean, pertandingan akan terus dihentikan jika salah satu pepadu yang pada waktu bertanding mengeluarkan darah (bocor) akibat pukulan musuh.

Pepadu yang menang mahupun yang kalah tetap diberi hadiah yang disebut peris. Dalam perisean juga dikenali semangat sukan yang tinggi, kalah mahupun menang tetap saudara ertinya tidak diteruskan dendam di luar gelanggang. Perisean biasanya diiringi dengan muzik yang disebut gendang (gending) Alat-alat muziknya terdiri dua buah gendang, satu buah petuk, satu set rencek, sebuah gong dan sebuah suling (seruling) sebagai penghalus. Jenis-jenis gending perisean dibahagi 3 (tiga) jenis iaitu:

1. Gending Rangsang disebut Gending Ngadokang iaitu gending yang dimainkan sewaktu Pekembar dengan dibantu Pengadok mencari Pepadu dan lawan tandingnya yang akan bertanding (bertujuan mengadu Pepadu yang satu dengan yang lain).
2. Gending Mayuang iaitu gending yang bertujuan untuk memberi tanda bahawa telah ada Dua Pepadu yang sedia dan sama-sama berani untuk melakukan perisean atau setuju.
3. Gending Beradu iaitu gending yang bertujuan untuk membangkitkan semangat Pepadu mahupun para penonton dan dimainkan selama pertandingan berlangsung pusingan demi pusingan.

Busana Perisean

1. Menggunakan sapuk (ikat Kepala) dari kain (batik)
2. Menggunakan kain (kereng leang).
3. Menggunakan sabuk dari kain yang dilingkarkan dibpinggang atau bebet (biasanya dalam bebet diselitkan azimat atau guna-guna yang disebut juga sebagai Bebadong).

KESENIAN GENDANG BELEQ


Kesenian ini biasanya dimainkan oleh banyak orang dengan irama tertentu. Biasanya kesenian ini sering dimainkan sewaktu upacara perkahwinan iaitu sering disebut dengan nama nyondol. Alat-alat yang digunakan untuk memainkan kesenian ini berupa gendang, gong, seruling, dan lain-lain lagi. Gendang beleq digunakan sebagai gendrang perang iaitu untuk mengiringi dan memberi semangat kepada perajurit ke medan perang atau menyambut kedatangan para perajurit dari medan perang.

Oleh kerana itu digunakan gendang beleq yang menghasilkan suara yang besar, kuat dan menggema sehingga dapat membangkitkan semangat para pejuang. Sehingga disebut gendang beleq. Alat yang digunakan:

Gendang

Berbentuk silinder dengan lubang yang besar di tengahnya, dibuat dari kayu dan ditutup oleh kulit lembu atau kambing yang telah disamak. Gendang ini dimainkan dengan cara ditepuk dengan dua telapak tangan pada kedua sisinya. Gendang ini dimainkan oleh dua orang sukaha dan gendang ini merupakan alat yang paling utama dalam permainan gendang beleq.

Terumpang

Berbentuk mangkuk besar yang salah satu sisinya ada terdapat bulat kecil yang berupa benjolan. Terumpang dibuat dari tembaga dan dimainkan oleh satu orang sukaha dengan cara dipukul oleh kedua tangan.

Gong

Berbentuk bulat yang di tengahnya terdapat sebuah bulatan lagi dan tepat di bulatan tersebut jika dipukul akan menghasilkan suara yag berdengung. Gong ini dibawa oleh dua orang iaitu satu sebagai pemukul dan yang satu lagi sebagai pemikul kerana gong ini berat. Dalam permainan gendang beleq terdapat dua buah gong. Semua pemukul gong berjumlah 4 orang. Gong dibuat dari tembaga.

Kenceng

Berbentuk seperti piringan kecil yang mempunyai pegangan. Kenceng ini terdiri dari dua pasang, masing-masing pemain memegang sepasang. Sedang kenceng dimainkan oleh 14 orang sukaha dan dimainkan dengan cara ditepuk.

Suling

Dibuat dari bambu (buluh) dan diberi lubang agar menghasilkan bunyi yang merdu. Suling (seruling) dimainkan oleh seorang sukaha dengan cara ditiup. Oncer Berbentuk seperti gong tapi dimainkan oleh satu orang. Dibuat dari tembaga dan dimainkan dengan cara dipukul.

Pencek

Berbentuk seperti kenceng tetapi bentuknya kecil-kecil dan diletakkan pada sebuah papan yang digantung di leher. Jumlah pencek pada papan tersebut maksimanya lapan buah dan dimainkan dengan cara ditepuk oleh seorang sukaha. Dan banyak lagi, selain itu boleh juga dimankan dengan alat alat moden seperti guitar, bass, dan drum.

TRADISI BAU NYALE

Tradisi Bau Nyale adalah sebuah pesta rakyat yang secara rutin dilakukan setiap tahun. Upacara ini dilakukan atas dasar sebuah cerita legenda atau cerita rakyat yang berkembang di daerah Lombok Tengah bahagian selatan tepatnya dalam masyarakat komuniti Pujut. Nyale dimaksudkan binatang kecil, yang akan ditangkap oleh masyarakat dan boleh dimakan. Kononnya, tradisi ini diambil dari sebuah dongeng atau legenda masa lalu. Pujut adalah sebuah nama kampung yang merupakan sebahagian dari wilayah Kabupaten Lombok Tengah, berada pada kedudukan selatan atau tenggara dari ibu kota Lombok Tengah (Praya) dengan jarak sekitar 15 km menuju selatan.

Berikut ini gambaran dongeng atau legenda rakyat tersebut: Menurut kebiasaan masyarakat dalam melakukan upacara ini dilaksanakan di Pantai Seger Kuta (Pantai Selatan). Konon kisahnya, ada seorang raja bertakhta di sebuah kerajaan bernama kerajaan Tunjung Bitu atau dalam literatur Jejawen disebut kerajaan Tonjeng Beru. Sang Raja memiliki seorang puteri yang cantik jelita, cerdas dan bijak, bernama Puteri Mandalika. Kelebihan yang dimiliki Sang Puteri tersebar ke seluruh kerajaan bahkan sampai di negeri seberang. Tersebutlah pula tentang tujuh orang raja bersaudara dan masing-masing memimpin kerajaan, di antara semua raja yang mengetahui adanya puteri yang sangat cantik di Kerajaan Tunjung Biru.

Akhirnya mereka memerintahkan Putera Mahkota masing-masing supaya meminang Puteri Mandalika. Lantaran arif dan bijaknya Puteri Mandalika, semua Putera Mahkota yang datang melamarnya diterima sebagai tunang. Di luar kesedaran Puteri Mandalika, sikapnya itu sebenarnya sikap yang kurang baik dan akan menjadi masalah bagi dirinya. Sebagai seorang Puteri Raja, Puteri Mandalika memiliki sikap yang pendiam, sukar untuk mengutarakan permasalahan yang sedang dihadapinya. Semua tunangnya itu disanggupi pada tanggal dua puluh bulan sepuluh penanggalan Sasak, di mana pada waktu yang ditentukan puteri tersebut adalah musim hujan.

Tiba saatnya janji Puteri Mandalika, maka semua Putera Mahkota datang bersama pasukan pengawal dengan membawa harta lamaran masing-masing. Tidak dapat dielakkan lagi pertempuran terjadi di sepanjang jalan menuju Tonjeng Beru sebagai akibat dari janji kolektif yang diucapkan Puteri Mandalika kepada semua calon suaminya. Puteri Mandalika mendengar berita tentang terjadinya pertempuran dalam perjalanan. Dia menjadi panik bahkan gusar sekali, akan tetapi dia tidak akan mencetuskan perasaannya hatta kepada dayangnya sekalipun apalagi mahu meminta pendapat dari ayahandanya. Adalah hal yang sangat tidak disangka keputusan yang diambil dalam rangka mempertahankan pegangannya, Puteri Mandalika terjun ke laut iaitu tepatnya di Pantai Segter.

Ketika Puteri Mandalika terjun ke laut itu, dia berpesan kepada segenap yang hadir dengan kata-kata: ‘Wahai kakanda-kakandaku yang sangat aku cintai dan kasihi, serta seluruh warga Kerajaan Tonjeng Beru atau Tunjung Biru! Aku ini telah melakukan kesalahan (nyalaq) kerana semua kakandaku adalah sateria yang gagah berani dan sakti mandraguna, di samping itu aku sangat mengasihi kalian sebagai kalawarga Tunjung Biru. Jika aku diambil oleh salah seorang kesateria yang ada ini, jelas akan timbul pertumpahan darah dan aku tidak akan bersama lagi dengan kalian. Hal ini yang tidak dapat aku lakukan dan tidak akan pernah ada di hati dan fikiranku. Sebagai seorang puteri Raja yang teguh tidak akan pernah mengingkari janjinya, maka untuk memenuhi janji yang pernah aku ucapkan, maka aku akan terjun ke dalam laut selatan ini.

Kelak pada tanggal 20 bulan 10 penanggalan Sasak, aku akan muncul dengan wujud lain agar semua orang akan menikmati dan merasakan kehangatanku.’ Begitu kata-kata terakhir Puteri Mandalika, pada ketika itulah dia terjun ke dalam laut. Sebagaimana kata-kata Puteri Mandalika, hingga kini oleh masyarakat komuniti Pujut khususnya setiap tahun selalu merayakan pesta Bau Nyale sesuai dengan waktu yang telah ditentukan.

TRADISI PERANG TOPAT


Perang Topat biasanya dilakukan seminggu setelah perayaan Aidil Fitri. Perang Topat merupakan satu acara saling lempar-melempar dengan ketupat antara peserta yang ada di halaman kemaliq iaitu tempat yang sangat disucikan atau dikeramatkan oleh sebahagian suku Sasak, dengan di luar kemaliq mahupun Pura Gaduh iaitu sebuah bangunan pura yang terdapat di Pura Lingsar. Dalam pelaksanaan upacara Pujawali dan Perang Topat ini terdapat berbagai persiapan yang dilakukan, yang juga termasuk sebahagian dari upacara ini secara ritual, persiapan upcara ini sudah dimulai beberapa hari sebelumnya.

Sedangkan untuk memeriahkan dan menyemarakkan upacara ini beberapa hari sebelum dan sesudahnya diadakan berbagai macam hiburan dan kesenian untuk rakyat. Sebelum Perang Topat dimulai Kebon Odek dikeluarkan dari kemaliq yang terdapat di Pura Lingsar Kecamatan Narmada yang bertujuan untuk menjemput pesajik (sesajen) kemudian dikelilingi sebanyak 3 kali di kemaliq lalu diupacarakan. Sesudah upacara Pujawali, dilakukan acara Perang Topat. Bahan (ketupat) perang dibuat oleh masyarakat Subak, baik disuruh mahupun tidak oleh para pekasih. Mereka membawa ketupat ke kemaliq bila acara Pujawali tiba, dan dikumpulkan oleh pekasih. Ketupat untuk perang sebelumnya ditempatkan di kemaliq untuk turut serta diupacarakan atau disucikan. Ketupat (kecil) dibuat dari janur muda serta diisi beras dan dimasak.

Perang Topat mempunyai makna: ‘Permohonan kemakmuran agar mendapat rezeki yang berlimpah bagaikan hujan ketupat tersebut.‘ Diyakini sebagai anugerah sesari yang dianggap mengandungi (air kehidupan) diperebutkan oleh masyarakat yang percaya, kemudian ditaburkan di atas tanah pertanian mahupun di tempat yang di jadikan sumber penghasilan. Perang Topat dimulai pada petang hari yang istilah bahasa Sasaknya - Waktu Rorok Kembang Waru (gugurnya kembang pohon waru) sekitar jam 16.00 dan berakhir menjelang malam tiba. Pada malam harinya diteruskan dengan pertunjukan kesenian drama gong dan berbagai jenis kesenian selama tiga hari yang diselenggarakan oleh Kerama Pura hingga berakhirnya rentetan kegiatan acara Perang Topat.

TRADISI NYONGOLAN


Nyongolan adalah tradisi adat dalam acara perkahwinan yang juga dikenali dengan istilah ‘Sorong Serah Aji Krama Adat’, yakni kedua pengantin diarak, dibawa untuk memperkenalkan mereka kepada masyarakat umum, khususnya di tempat tinggal keluarga pengantin perempuan. Iring-iringan panjang ini tidak hanya berisikan dua pengantin dan keluarganya, melainkan juga diikuti para pengiring pengantin yang memakaai baju seragam dengan warna-warna yang cerah. Rumah pengiring boleh mencapai puluhan, baik untuk mengiringi pengantin perempuan mahupun pengantin lelaki.

Biasanya pengantin perempuan ada di tengah barisan dan dikawal satu kelompok pengiring ýang semuanya perempuan. Di belakang barisan pengantin perempuan dan pengiringnya, barulah pengantin lelaki ada di kedudukan depan dalam rangkaian barisan dua kelompok pengiring yang semuanya juga lelaki. Sungguh menarik melihat pemisahan jelas antara kelompok perempuan dan lelaki ini. Menikah di usia muda masih banyak terjadi di Lombok. Adat mereka juga mengenali istilah kawin lari yang disebut sebagai merari dan biasanya terjadi kerana perkahwinan tidak sepenuhnya disetujui oleh salah satu pihak keluarga. Prosesnya sangat panjang dan cukup unik, dimulai dengan keinginan dan persetujuan calon pengantin perempuan untuk ‘disandera’ atau ‘diculik’ oleh calon pengantin lelaki. Kemudian calon pengantin lelaki harus melaporkan masalah ini pada Kepala Desa dari mana calon pengantin perempuan berasal. Laporan ini disebut selabar.

Berikutnya dilakukanlah mesejati, iaitu utusan pihak calon pengantin lelaki memberitahu pihak keluarga perempuan tentang kebenaran masalah kahwin lari tersebut, dengan siapa perempuan itu lari, di mana ia ditempatkan, serta pada tanggál dan hari apa ia dilarikan. Setelah itu, pernikahan baru boleh dilakukan sesuai ritual agama Islam yang dilakukan di kediaman pengantin lelaki. Proses pernikahan ini disebut sebagai Mbait Wali. Dua hari kemudian, diadakan Mbait Janji, di mana pengantin lelaki berbincang dengan keluarga perempuan untuk menentukan berapa besar biaya yang diperlukan untuk perkahwinan. Setelah persetujuan dicapai, adat Nyongkolan pun dilakukan. Tidak semua wisatawan yang datang ke Lombok beruntung mendapat suguhan proses yang terjadi di jalan raya dan sering menyesakkan arus lalu lintas ini.

TRADISI KAWIN LARI


Membawa lari gadis Lombok untuk dikahwini bukanlah menjadi kesalahan di Lombok, kerana itu adalah adat budaya masyarakat yang telah diamalkan sejak turun-temurun. Kahwin lari memang satu taboo bagi masyarakat Melayu Malaysia, namun ia menjadi kebanggaan bagi masyarakat Lombok. Sesuatu yang menarik untuk bernikah di sini. Kalau kita di Lombok dan ingin menikah, bawalah lari anak gadis yang kita berkenan itu. Kita bawalah lari gadis tersebut tanpa pengetahuan keluarganya. Bila sehari semalam tidak ada khabar maka dianggap bahawa gadis itu telah menikah! Inilah antara budaya masyarakat Lombok yang dipraktikkan hingga ke hari ini.

Bagi masyarakat Lombok, mencuri dan membawa lari anak gadis orang untuk menikah lebih kesateria dibandingkan meminta dengan baik kepada orang tuanya. Namun ada aturan dalam mencuri gadis di suku asli di Pulau Lombok ini. Memang cukup unik dari suku Sasak penduduk asli warga di Pulau Lombok wilayah Nusa Tenggara Barat. Untuk urusan perjodohan suku ini menyerahkan semuanya kepada anak. Bila keduanya sudah saling suka, tidak perlu menunggu lama untuk menikah, curi dan bawa lari saja anak gadis itu, pasti menikah. Mencuri dan bawa lari anak gadis orang itu lebih diterima keluarganya.

Merarik istilah bahasa setempat untuk menyebutkan proses pernikahan dengan cara dibawa lari. Caranya cukup sederhana, jika keduanya saling menyukai dan tidak ada paksaan dari pihak lain, gadis pujaan itu tidak perlu memberitahu kepada kedua orang tuanya. Bila ingin menikah terus saja bawa gadis itu pergi dan tidak perlu keizinan dari sesiapa pun termasuk dari kedua ibu bapanya. Mencuri anak gadis orang dengan melarikannya dari rumah menjadi proses pernikahan yang lebih terhormat dibandingkan meminta kepada orang tuanya. Ada rasa kesateriaan yang tertanam jika proses ini dilalui. Lebih-lebih lagi kelas bangsawan yang di sana menyandang gelaran Lalu dan Raden.

Namun jangan lupa aturan, mencuri gadis dan melarikannya biasanya dilakukan dengan membawa beberapa orang saudara atau teman. Selain sebagai saksi saudara yang dibawa untuk mencuri gadis itu juga sebagai pengiring dalam proses tersebut. Dan gadis itu tidak boleh dibawa lari terus ke rumah lelaki, harus dititipkan kepada saudara laki-laki. Setelah sehari menginap, pihak saudara laki-laki mengirim utusan kepada pihak keluarga perempuan sebagai pemberitahuan bahawa anak gadisnya telah dicuri dan dilarikan dan kini berada di satu tempat tetapi tempat persembunyian gadis itu dirahsiakan, tidak boleh diketahui keluarga perempuan. Nyelabar, istilah bahasa setempat untuk pemberitahuan itu, dan dilakukan oleh saudara pihak lelaki tetapi orang tua pihak lelaki tidak dibolehkan ikut.

Rombongan nyelabar terdiri lebih dari 5 orang dan wajib berpakaian adat. Rombongan tidak boleh langsung datang kekeluarga perempuan. Rombongan terlebih dahulu meminta izin daripada kliang atau ketua adat setempat, sekadar rasa penghormatan kepada kliang, datang pun ada aturan. Rombongan tidak diperkenankan masuk ke rumah pihak gadis. Mereka duduk bersila di halaman depan, seorang utusan dari rombongan itu yang nantinya sebagai juru bicara menyampaikan pemberitahuan.

Memang unik budaya yang ada dalam suku Sasak namun kini ada pergeseran budaya merarik, seperti adanya proses meminta kepada orang tua dan bertunangan yang sebelumnya kurang dikenali oleh mereka. Tetapi seiring berkembangnya budaya luar dari masyarakat perantau yang datang dan menetap, akulturasi budaya mulai terjadi. Lahirlah istilah sudah menikah tetapi belum nikah adat. Ertinya proses menikah itu dilakukan dengan cara meminang tetapi belum menikah secara merarik, mencurinya dari rumah si perempuan. Ini akulturasi budaya yang muncul, meminang dan mencuri anak gadis, bersamaan dengan proses nikah yang dijalankan.

Pengaruh Budaya Bali

Budaya merarik ini sangat kental dipengaruhi oleh budaya Bali. Dalam sejarah, suku sasak Lombok menjadi wilayah di bawah kekuasaan kerajaan Karang Asem yang dirajai oleh Anak Agung. Kentalnya budaya Bali diakar budaya suku Sasak tidak mudah dihapuskan begitu saja. Namun tidak semua wilayah di Pulau Lombok menjadi wilayah kekuasaan Anak Agung, sehingga semakin ke timur budaya khas yang bernuansa Bali cenderung memudar. Untuk wilayah timur kentalnya budaya Islam cukup ketara, sebab pengaruh sejarah kedatangan Islam ke Pulau Lombok melalui dua pintu dari timur dan utara.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA