Ahad, 19 Februari 2012

KITA BERTEMU LAGI DALAM REDHA-NYA

(Istimewa untuk sahabatku – Hasnan Manaf, Wan Johan, Abdullah Amin, Nor Asri, Daud, Ahmad Dahlan - sempena pertemuan kita di Majlis Walimatulurus Hasnan Haji Abd Manaf, di Kg Tersusun, Sri Kantan, Tronoh – 18 Februari 2012)

Bersama sahabat lama - Wan Johan, Nor Asri dan Abdullah Amin di Majlis Walimatulurus puteri sulung sahabat kami Hasnan Haji Abdul Manaf di Lot 27, Kg Tersusun, Sri Kantan, Tronoh pada 18 Februari 2012

Detik itu dalam redha-Nya – sebuah pertemuan terjadi lagi,

tangan yang dijabat, pelukan rindu yang akrab,

terasa hangatnya menjalar ke akar persahabatan,

sunyi tetapi berseni, diam tetapi tenteram.


Demikian persahabatan bagi kita yang sekian lama berjauhan,

yang mencicip kemesraan dalam perbualan walau hanya sekejap,

senyap tetapi akrab, diam tetapi cukup faham.


Sahabatku,

kita bukan lagi remaja sekolah yang galak melayah di gigi padang,

bermain dan bersenandung di sinar mentari petang,

tetapi kita adalah tetamu di jendela senja,

yang bakal menutup lawang usia dengan kehendak-Nya,

suatu ketika nanti,

aku ingin monumen persahabatan yang pernah kita ukirkan bersama,

tersergam di taman sejarah,

menjadi tatapan anakanda dan cucunda,

sebagai bukti bahawa persahabatan kita sejati,

tidak pernah berbelah bahagi.


Sahabatku,

sudah puluhan tahun kita belayar meninggalkan SMSAH,

dan sahabat semua seteguh kerikil melekat di kolek kencana,

membingkai jaluran pelangi menjadi untaian berseni,

lalu dilekapkan pada pintu-pintu jaya dan gemilang,

dan membiarkan lautan persahabatan meruah ke kamar rindu,

pada zuriat-zuriat permata yang cahayanya bersinar,

mengapung ke langit karmizi,

hari bahagia mereka kita raikan bersama.


Sahabatku,

maaf kerana aku sering menulis rasa hati di lipatan puisi,

untuk menulis puisi-puisi hidup dan berjiwa besar,

sebenarnya aku rasakan amat payah dan sukar sekali,

dalam resah rindu kepada persahabatan silam,

membuat aku tidak berupaya mendengar senandung pilu,

selain lagu mesra yang tidak pernah lekang dari hati,

dan mengertilah sahabatku; puisi riang mesraku tak akan mudah lahir,

jika tidak kerana rasa rindu yang membara.


Sahabatku,

maaf, kerana puisiku kali ini agak sedikit keakuan,

kerana puisiku kali ini berkisar di sekitar persahabatan silam kita,

bukan apa-apa, aku amat suka berterus-terang kerana usia yang sudah tua,

besok lusa mungkin akan ada gelombang mencipta gelora di samudera perjalanan hidup kita yang kian di penghujung ini,

ada bayu yang akan menjadi badai di hamparan padang kenangan,

namun aku harap masih lagi dapat berdiri teguh di pantai persahabatan ini,

menjadi pemikir bersama mencari redha mendatang,

tanpa dijerat falsafah manusia lupa pada peta sejarah,

kerana ketulusan persahabatan dan ikrar bersama,

telah menjadi jamung pemberi cahaya,

meredah kegelapan yang galak melanda.


Dalam sedar kita perlu akur dengan kesenjaan,

lalu kita perlu mencari kemuliaan Muhammad,

kita perlu membebat ketakwaan para sahabat,

kita perlu merajut ketabahan insa-insan solefus soleh,

agar kita dapat kembali kepada-Nya dengan penuh redha.


SMAHADZIR

19 Februari 2012


Selasa, 14 Februari 2012

KOMPILASI PUISI MODEN - Karya-karya Mutakhir SMAHADZIR

PUISI 1
Permata Berbudi

(Khas Buat Sek. Men. Sultan Abdul Halim, Jitra (SMSAH) – yang menyaratkan dadaku dengan ilmu)

Fajar 1963 telah bangun tersenyum,
Menyapa harimu SMSAH yang anggun,
Menjadi wadah bertuah, melahirkan anak watan berjiwa gagah,
Tegak memacu arah, menguak gundah.

Sejak 1963 menongkah gelombang memacu padu,
Gemilang namamu SMSAH ke mercu,
Adunan minda anak jatimu; berbekal harap selengkap ilmu,
Tiada buntu menyaring restu; para guru yang melangkah padu,
Ketika warga sekitar masih tersedu,
Kalianlah yang melonjak jauh,
Ketika prasaranamu dioleng tengkujuh,
Kalianlah yang menobat darjat,
Ketika anak bangsa memburu hajat.

Hari ini; tiada lagi orang berperi,
Tentang anak-anak warga buta huruf hilang peribadi,
Tentang generasi remaja hilang kemudi,
Tentang insan muda tua terhadang rezeki.

Setengah abad memerah kudrat,
Membina empayar SMSAH yang hebat,
Berdinding tembok agama yang kuat,
Berbumbung rabung siasah yang rapat,
Berteras tiang iktisad yang padat,
Dikau meraih berkat melimpah rahmat.
Dirgahayu untukmu, permata berbudi!
Dikaulah pejuang sejati, molek pekerti berhemah tinggi,
Menabur bakti menyemai budi dan ladangmu telah hijau kini,
Berbunga peribadi berbuah bestari,
Anak-anak watan semakin tegak berdiri,
Menjulang jati diri, berakidah murni!

Berdirilah untuk suku abad lagi, dengan restu inayah Ilahi.
Kerana kami masih mahu melangkah,
Di denai wawasanmu, lantaran perjuangan tidak akan berakhir,
Selagi laut perjuanganmu masih berdesir.

SMSAH masih dahaga,
Meneguk manis madu perjuangan, kemajuan dan keterampilan,
Justeru telah utuh keyakinan, setelah dikau melontar cahaya,
Menjana upaya pemangkin daya, warga tetap menaruh percaya.

Salam hormat buatmu,
Wadah semangat penjana ilmu, SMSAH!

SMAHADZIR
Jitra, Kedah – 2007

PUISI 2

Menatap Wajahmu, Sahabatku

(Mengenang Pertemuan Di Dewan Haji Kelana Jaya – Khas Buat Nor Asri, Idris, Megat, Zaini, Fareha, Yon, Sulha, Rokiah, Kanmany, Kak Jah, Kak Kiah, Kak Maliah, Kak Pah, Abg Dasilah, Abg Roslan, Abg Samsuri, Abg Hamid, Abg Kaswandi, Abg Bakar, Abg Hasbullah, Abg Razali, Abang Kahar, Abg Azman dan semua... yang tidak mampu dicatatkan...)

Menatap wajahmu, sahabatku!
setelah lebih 30 tahun diam di album sepi,
di ruang lebar Kelana Jaya Tabung Haji,
litar kenangan silam terpintas ke denyut sanubari,
bergentayangan layar-layar lama terpapar di hati,
dalam cerlung matamu,
kulihat saujana lestari benih persahabatan syahdu,
yang telah kita semaikan dulu,
pada helaian zaman persekolahan,
pada lembaran masa-masa yang berlalu,
terindah kata, termanis bahasa,
sewaktu menggarap ilmu berharga.

Dan aku menjadi bersemangat untuk mengenang kembali,
dalam sahara jerih sebuah persahabatan yang murni,
pernah kujengah dalam sepi,
lautan persekolahan silam kita yang lebar tidak bertepi,
dari padang yang hambar terbiar,
kita gubah kuntum-kuntum mekar,
mewangi setiap lembar,
menggerbak melingkungi pagar.

Dalam bicara paling sederhana,
di ruang lebar Dewan Haji Kelana Jaya,
setelah lebih 30 tahun diam tanpa suara,
kita semua melontar bicara pesona,
lalu masing-masing tunduk mengutip makna,
setiap butiran aksara,
yang terpahat pada lakaran kata-kata,
kini menjadi peta berharga,
meneroka wilayah sukma,
memercup selimpah rasa,
rindu, sedih, terharu dan gembira.

Menatap wajahmu, sahabatku!
setelah lebih 30 tahun diam di album sepi,
di ruang lebar Kelana Jaya Tabung Haji,
aku ingin bangun mentafsir erti,
menghurai makna-makna mimpi,
setiap baris keringat persahabatan silam,
setiap aksara soneta persekolahan dulu,
yang indah dan mulus kita garapkan bersama.

SMAHADZIR
Tabung Haji Kelana Jaya - 2010


PUISI 3

Bukit Hijau

Bukit Hijau yang merimbun jutaan flora,
menghijau kukuh terpasak dalam bumi,
tersergam gabai di belakang rumahku,
siulan unggas berterbangan bagai senandung mersik,
menyambut datang pagi menghantar senja hari,
anak-anak desa berkunjung untuk meragut rezeki,
rotan malau, daun bertam, umbut bayas, genuak dan tongkat ali,
di situlah punca kehidupan,
dari belenggu kemiskinan.

Bukit Hijau yang merimbun jutaan flora,
kini sudah gondol digulat kerakusan,
deruman lori balak bergema tanpa mengenal hari,
terang benderang di belakang rumahku,
tiada lagi subur kehijauan seperti dahulu,
sepi kini siulan unggas berterbangan bagai senandung mersik,
lenyap kini irama menyambut datang pagi menghantar senja hari,
sirna kini anak-anak desa meredah perutnya untuk meragut rezeki,
tiada kini rotan malau, daun bertam, umbut bayas, genuak dan tongkat ali,
pepohonan tumbang menyembah bumi,
air minuman menjadi kontang di serata kali,
berkeladak disalut segala kekotoran berdaki,
di mana lagi punca kehidupan anak-anak desa mengaut rezeki,
demi sebuah kehidupan di negeri sendiri.

Bukit Hijau yang merimbun jutaan flora,
kini sudah menjadi mangsa kemajuan,
manusia yang berjubah ketamakan,
sebenarnya rakus mengaut keuntungan,
slogan yang kononnya kekayaan untuk semua,
dari mulut pemimpin yang berlabelkan agama,
sebenarnya omongan kosong belaka,
hakikatnya menyarat poket segelintir kroni cuma,
kini Bukit Hijau dicangkul ditarah digali jadi rata,
jentolak dan jentera pembalak membingitkan anak telinga,
saban hari saban detik setiap masa,
memokah meruntuhkan segala warisan negara,
milik kita bersama.

Bukit Hijau yang merimbun jutaan flora,
kini di henyak lara,
kerana segala keindahannya sudah tiada,
segala kekayaannya sudah dijarah serigala,
yang bersekongkol dengan manusia haloba.

SMAHADZIR
Bukit Hijau, Baling, Kedah
2010


PUISI 4

Baling Kampung Kelahiranku

Baling, kampung kelahiranku,
tercatat dalam sejarah negara yang berliku,
tempat Chin Peng dan Rasyid Maidin bertemu Tunku,
minta menyerah tetapi bertembung jalan buntu,
sejak itu Baling destinasi disegani,
dulu daerahmu terlalu sunyi sepi tidak ramai penghuni,
unggas margasetua semua mematikan diri,
selorong denai mengharung dadamu yang cemburu,
sarat belukar semak samun penuh berdebu,
kedai-kedai kecil bagaikan termangu,
hening tiada dijengah warga tersisih,
kemiskinan melata menyemarak ke serata mandala,
Baling dihimpit derita bagaikan tiada pembela,
sebaris kedai papan menghadap sungai ke Kampung Lalang,
bagaikan mati tiada pembeli yang datang,
hingga berkurap barang-barang jualan,
yang tidak pernah mengerti erti belian,
jarang benar bertukar tangan.

Sungguh Baling dahulu pekan kecil yang berdebu,
tempat persinggahan komunis berhati batu,
sekitarnya kebun getah dan bendang yang lesu,
pinggiran pekan sungai mengalir layu,
alirannya berat muatannya sarat membeku,
bertahun-tahun kesengsaraan warga berlalu,
dalam kepayahan yang menghenyak kalbu,
kini bagai sebuah mimpi yang tidak disangka,
wajah Baling sudah berpoles nyata,
laksana gadis yang ceria berbedak muka,
harum wangi sepanjang masa,
tidak pernah warganya impikan,
rumah teres rumah banglo megah tepian jalan,
gedung membeli-belah mencanak ke awan,
sudah ramai warganya jadi jutawan,
kemiskinan sudah lama terhumban,
ke sungai zaman.

Kini Baling pekan yang sibuk,
menjadi tumpuan semua penduduk,
tempat membeli-belah mengatur strategi hidup,
tempat warga menukar pelbagai produk,
dari sebuah pekan sepi menjadi bandar yang mewah,
Baling meniti di setiap bibir pengunjung,
bandar satelit yang bakal menjana jalur lebar,
tiada lagi derita warga seperti dahulu kala,
kerana kerancakan ekonomi,
kerana gudang dan gedung,
kemewahan mengapung di puncak gunung.

Baling, kampung kelahiranku,
setiap tahun aku pulang menziarahimu,
kau tersenyum menyambut ketibaanku,
tetapi aku jadi terkedu,
melihat generasi remaja yang bercanda di dadamu,
amat menyesakkan hati kecilku,
kerana akhlak dan moral mereka terpoles debu.

SMAHADZIR
Baling, Kedah
Disember 2009


PUISI 5

Telah Dijemput Pergi

(Belasungkawa untuk Allahyarham Liya bte Haji Nordin Mehat yang telah kembali ke rahmatullah di Asrama Kolej Pelajaran MARA, Seremban – airmata kami juga mengiringi kehilanganmu....)

Telah dijemput pergi,
meninggalkan kami semua dalam sendu dan sepi,
dalam sederhana langkah,
bersama usia yang terlalu mentah,
kau menggalas semua sengsara dan derita,
kami termangu dalam genangan airmata,
percaya, tidak percaya,
terima, tidak terima,
namun kehendak Allah lebih dari segala.

Alfatihah untukmu Liya tersayang,
telah meruap segala jelu ke segenap ruang,
ke udara, intelegensia yang mesra tapi periang,
selama-lamanya telah diam,
dan kami kehilangan sekuntum kejora,
setiap kali melintasi hari bahagia,
kembali meniti sebuah nama,
di bibir ibu dan bapa,
Liya....

Alfatihah, untukmu Liya,
kami semua tidak pernah percaya,
bahawa telah pergi dia,
bahawa telah tiada dia,
meninggalkan kami dalam sendu dan airmata,
dalam longlai lambai,
dan lemah langkah gemalai,
teriring dalam syahdu yang membelai,
percaya akhirnya, dia telah pergi jua!
Liya telah pergi.

Percayalah, ini semua kehendak-Nya,
sudah tercatat pada lohmahfuz itu benar,
runtun sendu jatuh bersama,
di deraian mandian terakhir,
diserap takdir tanpa dapat dimungkir.

Alfatihah, untukmu Liya yang kami sayangi,
tiada lagi, tiada lagi,
indah peribadi,
yang terlindung dalam sederhana sarjana,
melempar senyum suka,
pada setiap tutur kata,
tolong ikhlas sepenuh rela,
tiada rungut, manis dan mesra.

Alfatihah,
tiada lagi, tiada lagi,
anak sebaikmu,
dan sukar dicari ganti.

Sejahteralah kamu, Liya tersayang!
dalam firdausi Ilahi berpanjangan,
dengan doa kami bersama sujud yang pasrah,
kami serahkan seluruh ketakwaan,
seperti yang kami telah janjikan,
bersemadi satu ingatan,
kita semua akan ke sana juga,
nantilah kami, kita akan bersama,
mungkin di jannah mungkin di makwa.

SMAHADZIR
Banting, Selangor

Sejarah Tidak Boleh Dipadamkan

KEBIASAAN zaman moden yang memprojek nilai-nilai dewasa ini ke masa lampau adalah salah, demikian menurut tokoh sejarah. Pepatah Cina pula mengingatkan: Mata tidak boleh melihat bulu mata sendiri.

Kerana, muncul kini ialah desakan supaya dipadam sebahagian pelajaran sejarah di sekolah untuk memenuhi tuntutan perkauman. Awang Selamat dalam pojoknya ada menulis: ‘Nampaknya sejarah negara mahu ditulis semula mengikut apa yang dimahukan dan bukannya berdasarkan fakta. Maka makin jelas bahawa bukan sahaja sisa kekuatan politik Melayu yang ada ini mahu dikuburkan malah sejarahnya juga mahu dinafikan’.

Pelbagai mimpi sesetengah gambong-gambong politik ada kalanya seperti disebut dalam dunia politik Inggeris merciless, vengeful - kejam, berdendam. Pelbagai perkara yang telah dipersetujui secara muafakat mahu digunting begitu saja untuk mencapai kuasa bagi diri sendiri.

Memberi pelajaran dengan itu ialah aspek-aspek sejarah dalam Monograph Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society yang menyambut ulang tahunnya yang ke-130 (1877-2007). Antara yang memberi sumbangan ialah Profesor-profesor Nicholas Tarling, Cheah Boon Kheng, Wang Gungwu, Ken Tregonning dan John Gullick. Prof. Cheah, antara lain menulis mengenai kontroversi politik yang tercetus manakala Alex Josey, seorang bekas wartawan British menyatakan bahawa orang Melayu tiada sejarah selain dari menjadi perompak lanun. Beliau membuat kesimpulan itu setelah membaca buku Dr. Tarling, Piracy and Politics in the Malay World (1963).

Lalu Prof. Cheah segera pergi ke kedai buku berhampiran untuk membeli suatu naskhah. Setelah membacanya beliau berpendapat bahawa Alex Josey telah tersalah baca atau sengaja memutar tulisan Tarling, ketika itu di Universiti Queensland, Australia.

Walhal, buku Tarling cuba menunjukkan betapa pihak British, ‘membesar-besarkan peristiwa-peristiwa perompak lanun dan menggunakan istilah itu untuk mengisahkan lain-lain perompak dan keganasan yang dihadapinya’.

Prof. Cheah menyebut mengenai Malaysianisasi pelbagai jawatan akademik lewat dilaksanakan dan hanya dipenuhi setelah Dasar Ekonomi Baru berlaku pada tahun 1970 di bawah pimpinan Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak. Dasar Ekonomi Baru itu mewujudkan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Sains Malaysia. Selanjutnya dicatat syarahan Prof. Tregonning di Singapura pada tahun 1958 yang mengkritik para sejarawan Barat, seperti R.O Windstedt dan D.G.E Hall kerana bersikap Europe-Centric. Lalu beliau menyeru para pelajar di Singapura dan Malaysia: ‘Asia, bukan orang Eropah di Asia, mestilah menjadi tema kita.’

Prof. Cheah sendiri pula bukan saja membuat penyelidikan mengenai nasib para petani, tetapi juga menulis sejarah Melayu pra-penjajahan, nasionalisme dan hubungan antara pelbagai kaum.

Prof. Wang Gungwu pula menyentuh sejarah Melaka menjadi tanah jajahan Portugis dan Batavia tanah jajahan Belanda, lalu menambah: ‘Ini tidak bererti bahawa orang Melayu dan Jawa tidak mempunyai empayar sendiri. Empayar mereka atau sebahagian darinya terus hidup berkurun-kurun lamanya’.

Sejarawan Yong Ching Fatt menulis mengenai kepimpinan China di Malaya semasa pemerintahan British. Antara yang disebut ialah peranan Kuomintang China pimpinan Jeneral Chiang Kai-Shak dan asal-usul gerakan komunis di Malaya. Lantas beliau menulis: ‘Komunisme China dan Komunisme Malaya lahir dari luar dan untuk terus hidup mereka terpaksa menyesuaikan diri dengan keadaan di Malaya.’

Menurutnya lagi, pihak British berjaya membendung gerakan komunis melalui tindakan undang-undang, kegiatan pihak Special Branch, kegiatan anti-komunis dan kekuatan tentera. Gerakan Komunis juga gagal kerana tiada sokongan daripada orang Melayu yang berjiwa kebangsaan. Seperti diakui sejarah Malaysia bukan hanya mengenai pemerintahan raja-raja, penjajahan-penjajahan Portugis, Belanda dan British serta golongan atasan atau elit, tetapi juga menyentuh social history.

Antara yang diceritakan ialah nasib penarik beca Melayu di Kota Bharu, Kelantan tahun 1960-an-1980-an sebagai ‘orang tengah para pelacur’. Hal ini ditulis oleh Haryati dan Hamidi Abd Hamid. Maklumat diperolehi daripada pemandu-pemandu beca daripada para pelacur dan daripada sumber-sumber rasmi, termasuk pejabat Menteri Besar, polis dan penasihat undang-undang.

Lalu dicatat bahawa kira-kira 7,000 keluarga bergantung kepada penarik beca, iaitu yang termiskin sekali di Kelantan. Sebilangan memiliki beca sendiri dan sejumlah besar menyewa daripada peniaga-peniaga Cina. Sewa tiap satu RM1.20 hingga RM1.40 sen sehari. Pendapatan pula RM3.50 hingga RM4.50 sehari.

Wajar dicatat dari negara asing ialah sejarah Zimbabwe di Afrika yang dulu bernama Rhodesia pemerintahan kulit putih yang minoriti. Tanah-tanah begitu luas dimiliki oleh pendatang-pendatang kulit putih yang menjajah hinggalah akhirnya Zimbabwe milik kulit hitam yang majoriti mencapai kemerdekaan. Sebelumnya ialah sejarah Afrika Selatan begitu lama dijajah oleh pendatang kulit putih dengan dasar apartheid. Akhirnya dasar menindas itu ditamatkan dan majoriti kulit hitam mencapai kebebasan. Presiden kulit hitam yang pertama Nelson Mandela puluhan tahun meringkuk dalam penjara.

Orang Melayu yang dijajah mencapai kemerdekaan melalui perjuangan UMNO dan kerjasama pihak MCA dan MIC. Dari Perikatan lahir Barisan Nasional pimpinan Tun Razak. Masakan ini boleh dipadam? Demikian juga kedaulatan bahasa, Dasar Ekonomi Baru yang menebus peminggiran orang Melayu. Dan dari Malaya merdeka lahir Malaysia bahtera negara terus belayar.

Sakit Mata, Sakit Hati, Bahasa Dan Bangsaku

Sakit mata. Sakit hati. Setiap kali lalu MRR2 menuju destinasi yang diingini, ada satu papan tanda sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang berbunyi ‘Another project by...’. untuk mengumumkan projeknya. Tak boleh ke tulis ‘Satu lagi projek oleh...’

Untuk apakah papan tanda ditulis dalam bahasa Inggeris itu? Untuk pelancong? Untuk pelabur?

Memanglah syarikat itu gergasi multinasional, tetapi ia adalah syarikat Malaysia, milik kerajaan pula.

Ini bukan soal mendaulatkan bahasa kebangsaan, tetapi dari segi praktikal, semua penduduk negara ini tahu Bahasa Malaysia, papan tanda itu adalah untuk penduduk negara ini. Tentulah sewajarnya dalam Bahasa Malaysia.

Keadaan ini sama juga dengan pusat-pusat membeli belah baru di merata-rata tempat yang meletakkan papan tanda Keluar sebagai Exit. Merata-rata Exit.

Adakah pengguna dan pelanggan pusat-pusat membeli belah itu terdiri daripada pelancong semata-mata yang tidak tahu berbahasa Melayu. Sedangkan hakikatnya kebanyakan pelanggan dan pengguna adalah dari kalangan penduduk negara ini, yang tentunya faham Bahasa Malaysia.

Dalam hal ini, untuk mengatasinya seringkali dilaungkan perlunya ada penguatkuasaan supaya Bahasa Malaysia digunakan di tempat-tempat awam. Tetapi apa gunanya penguatkuasaan kalau segala apa yang dilihat sebagai mendaulatkan Bahasa Malaysia adalah kerana takut pada undang-undang?

Soal mendaulatkan Bahasa Malaysia bukan isu perkauman. Yang keberatan mendaulatkan Bahasa Malaysia bukan saja orang bukan Melayu. Banyak orang Melayu pun sudah tidak gemarkan Bahasa Malaysia. Macam-macam alasan diberikan untuk tidak mendaulatkan Bahasa Malaysia. Bahasa Malaysia tidak komersial. Bahasa Malaysia tidak kompetetif. Kurang bahan bacaan Bahasa Malaysia. Dan macam-macam lagi.

Tetapi kalau sudah tidak suka, cakap saja tak suka. Tidak perlu alasan. Memang banyak orang tidak suka Bahasa Malaysia. Hati mereka sememang begitu. Bukan boleh dipaksa orang yang sudah tidak suka.

Biarlah orang yang tidak suka Bahasa Malaysia hidup dengan dunia mereka. Tetapi kita yang sayang kepada Bahasa Malaysia marilah gunakannya dengan baik dan kembangkannya. Bahasa Malaysia ini indah dan mengungkapkan jati diri dan citra budi kita sebagai rakyat Malaysia. Tanpa mengira kaum.

Sementara ada pula orang yang tidak suka nama Bahasa Malaysia. Mereka mahu ia disebut sebagai bahasa Melayu saja. Memanglah Bahasa Malaysia itu bahasa Melayu. Tetapi begitu juga dengan Bahasa Indonesia. Ia juga adalah bahasa Melayu. Bahasa Melayu itu luas. Tetapi keluasannya adalah kerana besarnya penggunaan Bahasa Indonesia lantaran bilangan penduduk negara itu yang tinggi.

Indonesia mempunyai pelbagai bahasa suku kaum. Yang terbesar ialah Jawa dan sudah tentu penutur bahasa Jawa lebih banyak daripada Melayu. Tetapi Indonesia melalui Sumpah Pemuda pada tahun 1928 dalam mengisytiharkan Gagasan Nasional Indonesia menyatakan bahawa Indonesia bertutur satu bahasa, iaitu bahasa Melayu yang dinamakannya Bahasa Indonesia, sebagai bahasa penyatuan.

Tujuan bahasa Melayu di Indonesia dinamakan Bahasa Indonesia adalah untuk nasionalisme negara itu dalam membina bangsa mereka. Tetapi nasionalisme bahasa ini menghasilkan kesusasteraan Indonesia yang merupakan gerakan budaya bagi tujuan memerdekakan negara. Pengaruhnya sampai ke Tanah Melayu dan turut menyumbang kepada perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu.

Semua parti yang memperjuangkan kemerdekaan sepakat bahawa bahasa Melayu dan bukannya bahasa Inggeris yang dijadikan bahasa kebangsaan. Ini bukannya nasionalisme bahasa. Ia adalah nasionalisme Malaya itu sendiri. Pembinaan negara memerlukan satu bahasa jati diri. Bukannya saja kerana mahu membesar-besarkan bahasa sendiri sebagai hegemoni bahasa.

Apabila kemerdekaan dicapai, bahasa Melayu tentunya diisytiharkan sebagai bahasa kebangsaan Malaya. Tanah Melayu tentunya bertutur bahasa Melayu. Bukan saja ia merupakan bahasa penduduk majoriti dan merupakan lingua franca antara kaum, tetapi ia adalah bahasa penyatuan warga negara. Maknanya Melayu adalah bahasa pembinaan bangsa.

Bahasa Inggeris tidak boleh menjadi bahasa penyatu dan pembina bangsa. Ketika itu pastinya bahasa Inggeris akan menjadi bahasa pemecah, antara bandar dan desa, antara elit dan rakyat biasa.

Apabila Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963, diisytiharkan bahawa bahasa Melayu adalah Bahasa Malaysia. Ia merupakan bahasa penyatu pelbagai kaum dan juga antara Malaysia Timur dan Malaysia Barat yang ketika itu, termasuk Singapura.

Siapa yang mencintai negara dan bangsa Malaysia, wajar mendaulatkan Bahasa Malaysia. Sesiapa yang memandang remeh kepada Bahasa Malaysia, mereka kurang cinta kepada negara. Ini kerana bagaimanakah hendak membina dan membangun bangsa dan negara tanpa Bahasa Malaysia?

Sebagai negara demokratik dan liberal sesiapapun bebas menggunakan bahasa yang mereka pilih. Tetapi dengan menjunjung bahasa-bahasa lain, adakah impian untuk mewujudkan satu bangsa Malaysia akan berjaya?

Kegagalan komunikasi antara penutur bahasa yang berbeza akan memecah belahkan kalangan rakyat, yang dengan ditambah faktor lain boleh membawa perbalahan kerana kurang saling faham-memahami.

Tetapi apakah institusi utama bagi mendaulatkan Bahasa Malaysia? Maka tentunya institusi pendidikan dari peringkat rendah iaitu Sekolah Kebangsaan.

Jangan Suka Menyalahkan Orang Lain

DARIPADA Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Jika ada seseorang berkata, ‘orang ramai (sekarang ini) sudah rosak’, maka orang yang berkata itu sendiri yang paling rosak di antara mereka’. (hadis riwayat Muslim)

Imam Nawawi menjelaskan dalam kitab Riyadhus Shalihin: ‘Larangan semacam di atas itu (larangan berkata bahawa orang ramai telah rosak) adalah untuk orang yang mengatakan sedemikian tadi dengan tujuan rasa bangga pada diri sendiri sebab dirinya tidak rosak, dan dengan tujuan merendahkan orang lain dan merasa dirinya lebih mulia daripada mereka. Maka yang demikian ini adalah haram.’

Ada pun orang yang berkata seperti ini kerana ia melihat kurangnya perhatian orang ramai terhadap agama mereka serta didorong oleh perasaan sedih melihat nasib yang dialami oleh mereka dan timbul daripada perasaan cemburu terhadap agama, maka perkataan itu tidak ada salahnya.

Hadis ini menjadi suatu peringatan kepada kita kerana di dalam hadis-hadis akhir zaman terkandung pelbagai realiti umat yang hilang nilai diri. Maka, apabila kita menyorot dan menghurai hadis-hadis tersebut hendaklah berlindung diri kepada Allah s.w.t dari bangga dan ujub kerana baiknya kita tetapi harus merenung dan menilai diri sendiri di manakah letaknya kita.

Zaman moden ini, kita cenderung untuk melihat betapa salahnya orang. Betapa teruknya orang tanpa sedar hakikatnya mereka itu adalah cerminan diri kita. New World Order membentuk pemikiran kita supaya lebih banyak berdebat, mengkritik dari mencari penyelesaiannya melalui filem-filem, media-media dan pelbagai lagi medium yang tanpa sedar meracuni pemikiran kita dari membentuk suatu keadaan mencari kesejahteraan. Menjauhkan kita dari berjalan melata melebarkan ‘SALAM’. Manusia diasah nilai haiwannya menjadi rakus. Tuding menuding. Saman menyaman. Salah menyalah. Kafir mengkafir dan sebagainya.

Apakah keadaan semakin baik? Apakah masyarakat kita menjadi masyarakat yang prihatin? Masyarakat yang peduli terhadap apa yang berlaku terhadap umat. Ambil tahu tentang kemelaratan, kesengsaraan dan serangan terhadap sesama bangsa sendiri. Apakah yang akan terjadi sekiranya tidak ada lagi orang yang peduli terhadap apa yang berlaku terhadap bangsa Melayu dan agama Islam ini? Inilah apa yang menjadi perancangan utama salibiah, zionisme. Menghilangkan perasaan kepedulian terhadap kesedaran bertuhan. Menghapuskan rasa peduli, kasih mengasihi di antara sesama manusia.

Berkenaan huraian Imam Nawawi yang kedua, orang seperti yang dihuraikan adalah sesuatu yang baik. Orang itu adalah orang yang punya kesedaran. Orang yang melihat dan berfikir tentang umat. Menganalisis, mencari punca, mencari jalan penyelesaian dan menyebarkan kesedaran.

Dato’ Dr. Siddiq Fadzil menyebut dalam ucapan beliau di muktamar ABIM, orang semakin hilang kesedaran tentang dosa, tentang akhirat. Dalam suasana seperti inilah perlunya kita tampil dengan semangat baru membina masyarakat yang beragama. Masyarakat yang beragama kalau hendak diungkapkan barangkali ada bermacam-macam versi. Yang dimaksudkan dengan masyarakat yang beragama seperti yang terdapat dalam ayat 112 surah At-Taubah:

‘Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, beribadah, memuji (Allah), mengembara (demi ilmu dan agama), rukuk, sujud, menyuruh berbuat makruf dan mencegah dari yang mungkar dan yang memelihara hukum-hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang yang beriman’. (rujuk ayat 111 untuk mengetahui siapakah ‘mereka’ yang disebut dalam ayat 112)

Masyarakat yang sentiasa bertaubat, mengintrospeksi diri, bermuhasabah. Masyarakat yang sentiasa mengabdi kepada Ilahi, masyarakat yang God Conscious. Masyarakat yang sedar peranannya terhadap perkara makruf dan mungkar. Masyarakat yang segala tindak tanduknya, segala langkahnya dipenuhi dengan kesedaran tentang hukum-hakam, nilai-nilai dan prinsip-prinsip ketuhanan.

Inilah yang menjadi kekuatan umat yang terdahulu. Umat zaman kegemilangan, zaman kemurnian Islam. Yang mengawal mereka bukanlah undang-undang, bukanlah pihak berkuasa tetapi ialah kepekaan, kepedulian masyarakat yang apabila melihat gejala-gejala penyelewengan, penyimpangan, mereka spontan akan bertindak. Masyarakat yang tidak tidur, tidak terpedaya dengan proganda dan permainan ilusi musuh-musuh Islam. Mereka menjadi The Enlightened Soul (TES). Dato’ Dr. Siddiq Fadzil juga menghuraikan tentang TES, seperti berikut:

Menurut Ali Shariati mereka ini bukan sekadar intelektual atau ilmuwan kerana banyak ilmuwan, banyak intelektual hilang kesedaran diri dan kesedaran kemasyarakatan. Yang disebut sebagai TES, jiwa yang mengalami pencerahan adalah yang punya kesedaran tentang hakikat dirinya dan punya sensitiviti dan kepekaan terhadap masyarakat. Jiwanya terpanggil untuk membela dan membina masyarakat. Ayat 20 dari surah Yasin menceritakan tentang manusia yang punya kepekaan yang mendalam. Yang sensitif. Yang sentiasa terpanggil untuk membina dan membela umat.

‘Dan datanglah dari hujung kota seorang lelaki dengan bergegas dia berkata, ‘Wahai kaumku! Ikutilah utusan-utusan itu. Ikutilah orang yang tidak meminta imbalan kepadamu; dan mereka adalah orang-orang yang mendapat petunjuk.’

Dari ayat tersebut menyatakan datang dari hujung kota, bermakna dari jauh dia datang dengan susah payah (dengan bergegas). Kalimah yas’a memberi makna berusaha dengan susah payah dari jauh. Dia datang dengan keadaan tersebut untuk mendatangi kaumnya yang menolak seruan rasul dan menyeru supaya kaumnya mengikut ajaran utusan-utusan (rujuk ayat 13, perkataan mursalin). Siapa orang ini? Inilah TES yang al-Quran sebut sebagai ’rojulun’ yang menunjukkan orang ini bukan orang besar, bukan orang kenamaan, bukan somebody.

Kita harus menjadi orang yang seperti ini. Bermakna tidak perlu menjadi orang besar untuk punya jiwa TES. Orang yang punya jiwa seperti ini punya matlamat, punya misi untuk memberikan pencerahan kepada orang lain. Dengan kata tindakan kita harus mencerahkan massa, masyarakat. Tanwir ul ummah. Memberikan pencerahan, kesedaran kepada umat. Membangkitkan umat memanfaatkan cahaya. Sekiranya kita tidak membina masyarakat yang sedar, masyarakat yang God Conscious, maka tidak akan ada lagi orang yang peka dan sensitif terhadap apa yang berlaku kepada umat. Terbiarlah umat berada dalam keadaan lalai dan ingkar terhadap Tuhan.

Sekarang ini sikap suka menyalahkan orang lain sentiasa saja kedengaran keluar dari mulut kita dan kadang-kadang begitu kasar memersik di gegendang telinga kita. Budaya menyalahkan orang atau pihak lain, atau blaming culture, sama ada kita sedar atau tidak memang sudah sebati dalam kehidupan kita, tidak kira di peringkat mana pun.

Sebenarnya, suka menyalahkan orang lain adalah satu perkara yang paling mudah bagi menutup kekurangan dan kesilapan diri. Di peringkat bawahan, seringkali kita menyalahkan pimpinan atas setiap perkara yang berlaku, misalnya jika anak kita mengalami masalah moral dan akhlak, kita salahkan guru dan sistem pendidikan. Jika anak kita tidak terpilih ke sekolah atau universiti yang bagus, kita salahkan orang lain yang kononnya amalkan kronisme. Anak kita terlibat dengan lumba haram kita salahkan rakan-rakannya. Anak kita lari dengan lelaki yang bukan muhrim kita salahkan media massa. Apa saja yang berlaku dalam kehidupan ini semuanya kita salahkan orang lain yang kononnya penyebabnya.

Lagi, bila kita tak boleh simpan duit di bank kita salahkan kerajaan kerana naikkan harga petrol, naikkan harga barang. Bila anak kita terlibat dengan seks haram kita salahkan kerajaan kerana wujudkan internet dan dunia tanpa sempadan. Bila di pejabat kita tak naik-naik pangkat, kita salahkan orang lain kaki bodek atau bos yang suka pilih kasih. Semuanya salah orang lain. Sehinggakan kerana banyak hutang pun kita salahkan kerajaan kerana wujudkan bank dan institusi kredit.

Memang tak salah pun kalau kita nak salahkan orang, lebih-lebih lagi kalau orang itu memang betul-betul bersalah. Tetapi ada beberapa perkara yang kita perlu fikir dan pertimbangkan dalam hal menyalahkan orang ini iaitu:

1. Memikirkan Tentang Orang Lain Adalah Membuang Masa

Terdapat satu riwayat menyatakan Lukman Hakim dan anaknya ke pasar, Lukman Hakim menaiki keldai manakala anaknya berjalan di belakang. Orang-orang yang memandang berkata: ‘Sungguh tak bertimbangrasa orang tua itu. Anaknya disuruh berjalan sedangkan dia menaiki keldai’.

Maka Lukman Hakim pun berjalan, dan anaknya pula yang menaiki keldai. Berkata pula orang-orang lainnya: ‘Kurang adab betul budak itu, adakah patut bapanya yang tua itu berjalan sedangkan dia menaiki keldai?’

Maka Lukman Hakim dan anaknya sama-sama menunggang keldai itu. Namun masih ada juga orang mengata: ‘Kejam sungguh mereka berdua ini, tergamak kedua-duanya menunggang keldai yang kecil itu’.

Akhirnya kedua-duanya sama-sama berjalan dengan keldai tersebut. Berkata pula orang-orang di pasar: ‘Bodoh sungguh mereka ni, ada keldai tapi tidak ditunggang.’

Walaupun kisah ini memberi pengajaran bahawa, ‘Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu dari percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah s.w.t sahaja. Barangsiapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap sesuatu’, ia juga boleh diibaratkan dengan memikirkan tentang orang lain.

Tidak lain tidak bukan ia tidak membawa kita ke mana-mana. Sunnatullah, setiap orang akan mendapat laba dari apa yang diusahakan, jika kita hanya menyalahkan orang, orang berkenaan tidak rugi apa-apa, sebaliknya kita yang tidak berubah nasibnya.

Seperti Lukman Hakim yang ‘mengikut’ kata-kata orang, mereka yang penat naik turun keldai, akan tetapi orang lain itu tidak mengalami sebarang untung atau rugi. Jadi kita tidak perlu terlalu menyalahkan orang yakni memikirkan tentang orang yang menyusahkan kita, sebaliknya kita yang perlu berusaha untuk mengubah nasib kita sendiri.

2. Propaganda Diri

Kadangkala apabila kita membuka internet, dan laman web yang terpampar di depan mata kita adalah sebuah laman hiburan yang penuh dengan pembukaan aurat, kita dengan cepat memberi pendapat: ‘Inilah dia kerja kerajaan, menyokong propaganda Yahudi, kerja orang nak sesatkan umat Islam.’

Memang benar, tetapi kita ada kuasa untuk mengawal semua itu. Kuasa yang paling kuat ialah dengan tidak membuka sebarang laman web yang boleh merosakkan pemikiran kita. Bukankah kita diberi akal oleh Allah s.w.t untuk menyaring mana yang baik dan mana yang buruk. Dalam internet bukan semua laman webnya buruk, ada juga yang baik dan berfaedah. Pilihlah laman web yang baik, yang boleh menjana minda kita menjadi orang yang baik.

Kita juga jangan terlalu fokus kepada ‘apa yang orang hulurkan kepada kita’, kadangkala ia boleh menenggelamkan potensi diri kita yang sebenar, iaitu mengatasi perbuatan tersebut. Masalahnya kita pun hanyut sama.

3. Budaya Burung Bangau

‘Bangau oh bangau kenapa engkau kurus?’

‘Macamana aku tak kurus, ikan tak mahu timbul’

Penudingan jari disebabkan di bangau kurus saja, akhirnya berterusan hinggalah kepada punca masalah iaitu ular yang nak makan katak. Akhirnya tiada siapa yang untung. Mungkin ular saja yang untung sebab dia boleh baham saja katak. Tetapi disebabkan semua pihak, terutama bangau yang tidak boleh fikir jauh sikit, bila ikan tak nak timbul, tak ada cara nak rasa ikan di lubuk lain, atau di kawasan lain, sedangkan ia boleh terbang.

Mungkin disebabkan bangau malas nak berusaha, malas nak cari, malas nak terbang, maka jalan pintas ialah salahkan ikan. Ikan pula salahkan rumput. Rumput salahkan kerbau... dan begitulah seterusnya menyalah orang lain kerana ketidakmampuan diri sendiri menghadapai sesuatu perkara.

Adakah kita masih mahu menjadi seperti burung bangau?

4. Lari Dari Tanggungjawab

‘Siapa buat ni?’ tanya seorang ibu kepada anaknya yang menangis.

‘Amin terhantuk dinding ni..’ jawab di anak dalam tangisan.

‘OOoooo nakal ye dinding, mari ibu pukul dinding ni!’ ujar si ibu sambil membuat aksi memukul dinding.

Perkara ini biasa terjadi, kan?

Mungkin benda ini kecil saja. Ibu nak diamkan anak jadi cari objek lain untuk dimarahi. Itulah sebenarnya yang menjadi budaya kita sampai bila-bila. Sejak kecil ibu suka mencari objek lain untuk disalahkan bila anak menangis. Bila anak besar, dia pula cari objek lain untuk dipersalahkan bila hidupnya susah.

Secara tidak langsung dia dapat lari dari menanggung dan menjawab. Bila ada benda tak kena, tuding jari kepada orang lain. Mudah saja kan? Sedangkan semasa dia kecil dulu, kalau dia tak lari laju-laju, takkan terhantuk pada dinding. Sepatutnya ibu nasihatkan anaknya supaya berjalan dengan perlahan dan berhati-hati supaya tak terlanggar dinding lagi, bukan salahkan dinding. Dinding tak bersalah apa-apa, dan tak ada perasaan pun. Cuma sikap menyalahkan benda lain saja yang ditanam dalam diri anaknya.

5. Siapa Yang Memandu Kehidupan?

Seorang lelaki berjalan seorang diri di hutan setelah terpisah dari kumpulannya selepas selesai menjalani perkhemahan di sebuah kawasan air terjun. Namun dia tidak terlalu panik kerana di tangannya ada peta dan kompas. Di dalam perjalanan, dia terlihat seorang lelaki yang sedang membawa gulungan rotan. Fikirnya itu mesti orang tempatan. Dia menegur dari jauh, ‘Nak ke mana bang?’

‘Keluar ke jalan, peraih sedang menunggu!’ jawab orang itu.

Di satu persimpangan, mengikut kompas dan petanya, jalan keluar adalah ke kiri, namun pencari rotan di hadapannya menghala ke kanan. Lelaki ini berfikir mesti orang ini tahu jalan pintas, lantas tanpa banyak soal dia terus mengekori pencari rotan itu. Sehinggalah hari hampir petang namun mereka belum sampai lagi.

‘Kenapa kau ikut aku?’ soal si pencari rotan setelah menyedari lelaki itu asyik mengekorinya.

‘Saya nak keluar ke jalan, saya ingat abang tahu jalan pintas,’ jawab lelaki itu.

‘Aku sesatlah…’ jawab si pencari rotan.

Bila kita tiada pendirian sendiri dan cuma mengikut orang sahaja, akhirnya merugikan diri kita juga. Tambah2 kalau kita tidak ada pengetahun langsung. Dalam dunia ini, semua orang ada masalah masing-masing, dan hampir tak ada orang yang sanggup nak tumpang masalah kita, melainkan dia memang kerja dalam bidang kebajikan atau sukarelawan.

6. Takkan Mengubah Nasib Kita

‘Aku dengar di kilang ais batu tu ada lori babi masuk!’

‘Ayam goreng di kedai AGB ni tak sembelih la!’

‘Makanan dalam tin ni ada gelatin haram, tau!’

‘Roti ni ada lemak babi, tau!’

Tapi kita masih juga menggunakan barang-barang di atas, disebabkan tidak ada alternatif, atau tidak ada alternatif terdekat. Kalau tak ada orang antara kita yang mengusahakan sesuatu, sampai bila2 pun dialog2 itu akan terus kedengaran. Atau mungkin saja ia cuma propaganda untuk menjatuhkan jemana berkenaan, tapi masalahnya kalau itu pun, kita terus-terusan ‘ditipu’ oleh benda yang kita tak pasti.

Maka jadilah kita sampai bila-bila pun macam itu saja. Hanya menjadi komentator, pemberi komen, peng-iya, dan itu sajalah.

Jadi haruslah kita memandu hidup kita ke arah yang lebih baik, menganjak paradigma dan cara berfikir, bukan semata-mata mengikut keadaan semasa, akhirnya menjadi mangsa keadaan.

Memilih Tafsir Kitab Suci Al-Quran

SEKURANG-kurangnya empat lagi tafsir Quran dalam bahasa Inggeris terbit sejak 2001. Antaranya ialah The Sublime Quran (Islamicworld) oleh Laleh Bakhtiar yang disebut sebagai ‘satu-satunya tafsir dalam bahasa Inggeris oleh seorang wanita.’ Yang lain ialah The Quran (penguin 556 muka berharga euro 25) oleh Tarif Khalidi, tafsir oleh M.A.S. Abdel Haleem (Oxford World’s Clasics) dan The Quran (Gibb Memorial Trust) oleh Profesor Alan Jones, sarjana bahasa Arab Universiti Oxford, juga pakar bahasa Arab zaman silam.

Laporan mengenai tafsir-tafsir baru itu terbit beberapa waktu lalu dalam jurnal Standpoint terbitan di London.

Jelas bahasa pelbagai hal bersangkutan agama Islam mendapat perhatian dewasa ini oleh para akademik dan penulis, terutama yang fasih dalam bahasa Arab. Penulisnya, Eric Ormsby memulakan laporan.

‘Beberapa minggu selepas peristiwa 11 September, 2001 beberapa sahabat warga Amerika bertanya pada saya: ‘Tafsir Quran yang manakah patut saya baca?’ (pertanyaan bagus walaupun datangnya dari yang lurus tetapi kurang pengalaman.) Apakah ada pula yang bertanya kitab Injil yang manakah mereka patut baca untuk mengetahui latar belakang kemelut di Ireland dahulu?’

Yang dimaksudkan ialah pelbagai tindakan ganas oleh golongan Irish Republican Army terhadap pihak Inggeris semasa dahulu, iaitu di kalangan yang beragama Kristian.

Ormsby menulis, antara lain mengenai orang-orang Islam begitu tersentuh jiwa mereka manakala mendengar bacaan Quran dengan khusyuk. Seperti disebut pula dalam sebuah jurnal bahasa Jepun: ketenangan meliputi makmum masjid manakala bilal menyampaikan azan. Terbit di negeri Jepun ialah tafsir Quran dalam bahasa Jepun (808 muka). Perkataan dalam tulisan jawi ..... ‘dicatat padanya.

Mengenai tafsir oleh Laleh Bakhtiar, seorang wanita Amerika, dijelaskan oleh Ormsby bahawa, ‘Ini kali pertama seorang wanita berani membuat tafsir’. Lalu disebut mengenai adanya lain-lain wanita yang pakar mengenai pelbagai aspek Islamisasi.

Sebelum 2001 telah pun terbit tafsir dalam bahasa Inggeris di Amerika ialah Al-Quran: The Guidance for Mankind oleh Muhammad Farooq Azam Malik (The Institute of Islamic Knowledge, Houston, Texas).

Tafsir bahasa Inggeris yang kerap menjadi panduan ialah yang ditulis oleh Abdullah Yusuf Ali (1872-1953) dari India yang melanjutkan pelajaran di Universiti Cambridge dan seterusnya menjadi pegawai Indian Civil Service, badan pemerintah penjajah Inggeris di India semasa dahulu. Beliau meninggal dunia di London ketika keseorangan diri.

Tafsirnya The Meaning of the Holy Qur’an juga telah diterbitkan di Malaysia oleh Islamic Book Trust dalam kata pendahuluan disebut betapa tafsir tersebut ‘paling popular dan ramai pembacanya’.

Satu ayat Quran dipetik oleh Omsby dan pelbagai tafsir yang dilaporkannya: ‘Tidak ada paksaan dalam agama Islam.’

Satu lagi ayat yang kerap disebut oleh penulis-penulis lain ialah ayat 286 dari Surah Al-Baqarah: ‘Wahai Tuhan kami janganlah pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami. Engkaulah penolong kami; oleh itu tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.’ (Tafsir al-Quran terbitan Darulfikr dengan izin dan di bawah kawalan JAKIM).

Juga terbit di Amerika ialah tiga naskhah The History of Islam (Darussalam Inernational Punlishers) yang mempunyai pejabat di New York dan Houston. Texas selain dari pejabat-pejabat di Riyadh (Arab Saudi), Lahore (Pakistan) dan Dhaka (Bangladesh).

Tafsir serba lengkap ialah The Holy Quran (2082 muka) terbitan di Arab Saudi. Ramai memperolehnya ketika menunaikan haji dan umrah.

Tahu, Tak Tahu Dan Tak Mahu Tahu

‘Pengetahuan adalah kuasa’ diterjemahkan daripada knowledge is power. Sesiapa yang ada pengetahuan, maka ia memiliki kuasa. Maka dari situ, manusia berusaha untuk mendapatkan pengetahuan, kerana dengannya ia akan dapat meraih kuasa. Sementara mereka yang berkuasa pula akan menghalang pesaingnya daripada memiliki pengetahuan.

Antara contoh ketara ialah Amerika Syarikat muncul sebagai negara kuasa besar antara sebabnya ialah ia mempunyai pengetahuan lebih daripada negara-negara lain di dunia. Antara caranya untuk menghalang sebarang pencabarnya pula ialah menyekat pengetahuan tertentu daripada dimiliki mereka. Umpamanya menghalang pengetahuan mengenai tenaga nuklear kepada Iran.

Begitu juga dalam negara yang autokratik atau kurang demokratik. Bagi menghalang sebahagian daripada rakyatnya muncul sebagai pencabar pihak berkuasa, maka kerajaan yang memerintah akan menghalang pengetahuan tertentu daripada diketahui oleh warganegaranya sendiri. Maka mereka melakukan penapisan atau mengharamkan buku-buku serta menghalang laluan kepada laman-laman web.

Contohnya ialah apa yang dilakukan oleh China. Menghalang pengetahuan daripada rakyat adalah apa yang menjadi amalan negara-negara komunis yang kebanyakannya telah tumbang. Tetapi amalan ini juga dilakukan oleh negara-negara bukan komunis yang masih tidak mempercayai perlunya pengetahuan dimiliki oleh rakyat, bukan saja sebagai hak warganegara tetapi untuk kemajuan negara.

Bagi pihak yang menghalang sesuatu pengetahuan daripada diketahui umum, antara alasannya ialah untuk memelihara ketenteraman. Ini kerana ada kalanya pengetahuan itu mendatangkan bahaya. Akhirnya apa yang dikatakan baik atau buruk adalah penilaian subjektif.

Maka dalam hal ini, knowledge is power berkaitlah pula dengan ignorance is bliss. Maknanya ialah kejahilan itu ketenteraman. Bliss bermaksud kebahagiaan dalam perkahwinan jika dirujuk kepada rumah tangga. Tetapi bliss dalam keadaan jahil juga boleh bermaksud kebahagiaan. Maka lebih tepat lagi ia dimaksudkan sebagai ketenteraman hati. Dengan tidak mengetahui sesuatu perkara, mungkin ia lebih mendatangkan ketenteraman. Lebih-lebih lagi jika tahu pun, seseorang tidak dapat melakukan apa-apa. Lagi sekali perkara ini juga bersifat subjektif.

Jadi bila masa pengetahuan itu menjadi kuasa, dan masa mana kejahilan itu mendatangkan ketenteraman? Adakah memiliki kuasa itu akan sentiasa mendatangkan ketenteraman hati?

Manusia mahukan kuasa, tetapi pada waktu yang sama, juga mahukan ketenteraman hati. Sementara hakikatnya pula ialah manusia tidak akan dapat memiliki semua pengetahuan. Kemampuan untuk memiliki pengetahuan adalah terhad, walaupun berbeza di antara satu sama lain. Begitu juga tidak ada pula manusia yang jahil mutlak. Semua manusia sedikit sebanyak mesti memiliki sesuatu pengetahuan.

Dalam hal kekuasaan dan ketenteraman, manusia juga akan membuat perkiraan yang serupa. Tidak ada manusia yang boleh memiliki kuasa mutlak, hatta seorang diktator sekalipun. Begitu juga dengan ketenteraman. Sebagai manusia, ada masa mereka akan menikmati ketenteraman, pada waktu lain pula ada juga masa kegelisahan. Otak manusia sudah berfungsi sebegitu rupa.

Akhirnya apa yang dapat dirumuskan ialah keseimbangan. Kita mahu pengetahuan tetapi berpadanan dengan keperluan kita. Ini kerana kuasa yang kita kehendaki dihadkan oleh alam. Begitu juga dengan ketenteraman. Ia juga dihadkan oleh alam.

Akhirnya dalam mendapatkan keseimbangan antara pengetahuan dan kejahilan, maka otak kita sendiri yang menentukan. Kalau terlalu banyak maklumat, otak kita akan terbeban, berasa bosan dan terus tidak ambil peduli.

Inilah yang sebenarnya sedang berlaku apabila manusia terdedah kepada banyak maklumat melalui pelbagai media termasuk Internet. Buat pertama kali dalam sejarah, manusia disogok dengan begitu banyak maklumat dan akses kepada pengetahuan.

Maka dalam keadaan begini, dalam berusaha untuk mendapatkan kuasa tetapi pada waktu yang sama mahu menikmati ketenteraman, dalam erti kata lain, usaha untuk mendapatkan pengetahuan diseimbangi dengan keinginan untuk kekal jahil dalam sesuatu perkara, maka apa yang diperlukan ialah keupayaan untuk memilih maklumat.

Ada maklumat yang wajar diserapi, tidak kurang pula yang perlu dielak. Terutamanya berita dan iklan yang tidak berkaitan dengan kita, atau lebih buruk lagi mengganggu emosi dan kehidupan.

Justeru seseorang tidaklah perlu melayari laman-laman web, blog atau apa saja dalam internet yang tidak digemari. Begitu juga seseorang tidaklah perlu membaca buku atau bahan cetak yang tidak bermanfaat kepada dirinya. Kesemua itu membuang masa dan perasaan saja. Begitu juga, elak daripada menonton filem atau televisyen yang akhirnya hanya mendatangkan perasaan negatif.

Ignorance yang diterjemahkan kepada kejahilan mempunyai akar kata ignore, atau tidak mempeduli. Justeru jika ia diterjemahkan untuk menjadi tidak peduli dan bukannya kejahilan, maka ignorance is bliss boleh membawa maksud sikap tidak mempeduli yang membawa ketenteraman.

Justeru di samping pengetahuan, kejahilan dan tidak peduli boleh dirumuskan sebagai tahu, tidak tahu dan tidak mahu tahu.

Maka dalam zaman ledakan maklumat yang membawa terlebih bebanan kepada minda manusia, sikap tidak mahu tahu mempunyai tempat tersendiri dalam zaman ini. Kalau sesuatu perkara atau isu itu tidak digemari, tidak perlu, tidak relevan dan tidak mendatangkan manfaat kepada seseorang, maka wajar diambil sikap tidak mahu tahu. Jika dapat diurus sewajarnya, maka akan dapat diwujudkan keseimbangan antara tahu dan tidak tahu dengan bersikap tidak mahu tahu.

Mitos Perjanjian Damai Paletin-Israel

Amerika tidak boleh kelihatan seperti berada ‘dalam saku’ Israel atau Palestin. ‘Kita mesti menikmati kepercayaan dan penghormatan dari kedua pihak.’

Demikian dinyatakan oleh bekas Presiden Jimmy Carter dalam salah satu buku sejarah dan memoirnya berjudul Palestine Peace Not Apartheid. Menjelaskan hal selama ini ialah sesuatu yang berlaku setelah Israel mengisytiharkan kemerdekaannya pada tahun 1948, seperti berikut: ‘Sebelas minit selepas Israel mengumumkan kemerdekaannya pada tahun 1948, Presiden Harry Truman mengiktiraf negara baru itu, dan sokongan Amerika penting sekali bagi keselamatan Israel serta menjadi asas dasar luar Amerika sejak itu.’ Ulasan tersebut terbit dalam majalah Newsweek baru-baru ini yang mengulas ‘hubungan istimewa Amerika dengan Israel.’

Reaksi begitu pantas dari Amerika mencerminkan simpati rakyatnya kerana tragedi yang menimpa warga yahudi, iaitu pembunuhan kira-kira enam juta Yahudi oleh rejim Nazi Jerman dalam masa Perang Dunia Kedua. Mereka diheret ke pusat-pusat tahanan dan dibunuh dengan gas racun, antara lainnya.

Antara pusat tahanan terbesar pada tahun 1940-45 itu ialah Auschwitz, sebuah pekan kecil di Poland dengan penduduk sejumlah 30,000 saja, tetapi yang menjadi korban gas racun berkali ganda lebih ramai.

Carter di dalam bukunya menulis mengenai perang pada tahun 1940 selepas kemerdekaan Israel dengan bala tentera Mesir, Lebanon, Syria, Jordan dan Iraq serta warga Palestin. Bala tentera Arab tewas kerana tiada koordinasi dan kerjasama teratur antara mereka, menurut Carter.

Semasa menjadi Presiden Amerika beliau menganjurkan rundingan-rundingan damai di antara Allahyarham Presiden Sadat dari Mesir dan Menachem Begin, Perdana Menteri Israel. Perjanjian yang tercapai pada tahun 1979 menghindar perang antara mesir dan Israel sehingga kini.

Carter menulis dalam memoirnya: ‘Dari hampir 100 ketua negara yang saya kenali semasa menjadi presiden, yang paling popular bagi saya dan menjadi sahabat karib ialah Sadat.’

Bagi beliau masalah utama sejak lebih 25 tahun lalu ialah tindakan beberapa pemimpin Israel yang bertentangan dengan dasar-dasar rasmi Amerika dan juga masyarakat antarabangsa.

Lalu pada peringkat akhir bukunya beliau menulis: ‘Kita mesti sentiasa menegaskan sokongan kepada keselamatan Israel, tetapi kita tidak boleh menjadi pendamai jika para pemimpin Amerika kelihatan sebagai penyokong setiap tindakan atau dasar mana juga kerajaan Israel. Ini hakikat penting yang mesti dihadapi.’

Bagi beliau, Amerika kehilangan kehormatan dan jalinan muhibah negara-negara dunia jika secara tidak rasmi tindakan Israel merampas dan menakluki wilayah-wilayah Palestin dibiarkan.

Beliau akhirnya mencatit: ‘Seorang bayi yang lahir dalam masa perang pertama antara Arab-Israel akan mencapai umur 50 tahun pada tahun 2008.’

Berlangsung kini di Washington ialah rundingan-rundingan antara pemimpin Palestin, diketuai oleh Presiden Mahmoud Abas dan para pemimpin Israel, diketuai oleh Perdana Menteri Benjamin Netanyahu. Berulang disebut ialah harapan tercapainya persetujuan untuk menubuhkan negara Palestin.

Menurut laporan-laporan terbaru sesetengah pemimpin dan rakyat Palestin sendiri ragu-ragu dengan konsep tersebut kerana yang bakal wujud nanti ialah sebuah ‘negara Palestin yang kecil.’

Antara lain disebut kenyataan Allahyarham Yasir Arafat pada tahun 2001, iaitu negara Palestin berupa sebuah ‘kandang berdaulat.’

Di kalangan warga Israel pula dicatit perasaan bahawa pihak Palestin kini terlalu lemah untuk mengadakan kata sepakat ‘kerana Hamas tidak mahu berdamai.’

Tindakan laskar Hamas membunuh empat orang Yahudi di Tebing Barat baru-baru ini dan serangan balas Israel yang mengorbankan dua warga Palestin di Gaza disebut sebagai contoh.

Desakan demi desakan supaya Israel menghentikan pembinaan perkampungan-perkampungan Yahudi di Tebing Barat dan di Baitulmuqadis juga menjadi tanda tanya. Di Israel sendiri hal tersebut dipersoal. Andainya perkampungan-perkampungan Yahudi itu disekat atau dimusnah, maka demonstrasi besar-besaran boleh berlaku di Israel dan ‘Kerajaan Netanyahu boleh digulingkan.’

Masih belum jelas ialah peranan Perdana Menteri Palestin, Salam Fayyad yang telah menyandang jawatan itu selama tiga tahun. Beliau dianggap telah berjaya memperteguh perkhidmatan kerajaan Palestin termasuk dari segi-segi politik.

Tercatit dalam buku-buku sejarah kini ialah nasib bekas Perdana Menteri Israel, Jeneral Ariel Sharon yang telah tiga tahun lamanya dalam keadaan kami dan dirawat di hospital.

Pada tahun 1983 sebuah suruhanjaya penyiasat mendapati bahawa sebagai Menteri Pertahan dalam masa perang di Lebanon pada tahun 1982, Sharon bertanggungjawab atas pembunuhan 500 orang awam Palestin di pusat perlindungan Sabra dan Shatila di Beirut. Beliau menjadi Perdana Menteri pada tahun 2004-2005 dan antara tindakannya pula ialah Israel berundur dari Gaza. Sharon diserang sakit jantung pada tahun Januari 2006.

Walau apa jua, harapan pelbagai pihak ialah tercapainya perjanjian damai akhirnya antara Palestin dan Israel. Masa kan perang berlarutan hingga hari kiamat?

Banjir Di Thailand Malaysia Terkena Musibahnya

Banjir di Thailand tetapi orang kita juga tumpang susah. Di negeri-negeri utara, misalnya di Alor Setar, pengguna amat terasa dengan kenaikan harga sayur-sayuran. Begitu juga dengan harga ikan dan ayam. Semuanya ini disebabkan kita masih bergantung kepada sumber makanan dari luar khususnya dari negara jiran. Bayangkan jika negara-negara yang menjadi tempat kita bergantung import makanan selama ini menghadapi bencana serentak - banjir, ribut, gempa bumi, kemarau panjang atau terlibat dalam kancah peperangan.

Pastinya keadaan lebih buruk dan rakyat pula tidak dapat menerima kenaikan harga itu malahan mungkin menyalahkan kerajaan walaupun mereka sedar punca sebenar yang menyebabkan kenaikan tersebut. Begitulah jadinya jika bekalan yang kita hasilkan di dalam negara untuk disuapkan ke dalam setiap mulut rakyat kita sebanyak 28.6 juta dan 2.3 juta pendatang asing tidak mencukupi. Suasana ini tentu lebih terasa di kawasan bandar.

Di kampung, keadaan ini boleh dikurangkan jika tanah yang ada dimanfaatkan dengan tanaman dan ternakan. Namun berapa banyak tanah yang terbiar serta tidak diusahakan? Berapa banyak pula tanah pertanian bertukar menjadi tapak rumah, kilang atau bangunan? Maknanya tanah pertanian semakin berkurangan. Maka sesuatu harus dilakukan untuk memanfaatkan tanah yang ada dengan menghasilkan makanan. Sekurang-kurangnya tanam untuk makan.

Justeru, cadangan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk melancarkan program ‘Laman Agro’ amat dialu-alukan. Program ini bagi menggalakkan masyarakat terutama di bandar supaya terlibat dalam kegiatan pertanian walaupun dengan kawasan tanah yang terhad untuk bercucuk tanam.

Menurut menterinya, Noh Omar, kementerian mahu orang ramai terlibat sama dalam aktiviti pertanian dengan menggalakkan mereka ‘tanam apa yang dimakan, makan apa yang ditanam’ bagi mengurangkan pergantungan kepada bekalan import.

Mereka boleh menggunakan kaedah pertanian seperti hidroponik yang pernah popular satu ketika dulu bagi mengatasi masalah bekalan sayuran. Langkah ini kena pada masanya. Masyarakat kita perlu digalakkan semula untuk bercucuk tanam kerana dunia dijangka mengalami krisis makanan pada tahun 2050.

Sebelum ini, Pengarah Eksekutif Pusat Alam Sekitar Serantau Yayasan Asia-Eropah, Marta Szigeti Bonifert meramalkan satu letusan demografi akan berlaku menjelang 2050 yang mengakibatkan berlakunya kekurangan bekalan makanan dan air serta terjadinya ekosistem dan memberi kesan buruk terhadap cuaca.

Katanya, menjelang tahun berkenaan, penduduk bumi akan mengalami masalah besar apabila jumlah mereka bertambah dengan pesat (ketika ini 7 bilion) manakala sumber alam pula sudah kehabisan.

‘Jika kita terus mengamalkan cara penggunaan yang ada sekarang, maka menjelang 2050, kita memerlukan sebuah lagi bumi’, katanya.

Malangnya, kita tidak ada bumi lain. Bumi bukan seperti kereta lama yang apabila tidak dapat digunakan lagi boleh dijual sebagai besi buruk dan membeli kereta baru. Bumi hanya satu. Maka bagaimana kita mahu menyelamatkan bumi?

Bagi mengurangkan penggantungan kepada makanan import khususnya beras, adakah kita perlu kurangkan makan?

Menyelak kembali isu ini, suatu masa dulu, Menteri Pertanian, Sanusi Junid pernah menganjurkan kempen kurang makan nasi bagi mengurangkan import beras yang meningkat setiap tahun. Buat seketika langkah itu menimbulkan polemik kerana ada pihak yang memutarbelitkan niat itu.

Kata Sanusi: ‘Bukan kurangkan makan nasi untuk lapar, tetapi kurang makan nasi untuk diganti dengan makanan lain. Banyak makanan lain yang boleh dimakan seperti telur, daging ayam, daging lembu, sayur dan buah-buahan.’

Sanusi juga pernah menimbulkan idea mengenai pertanian bertingkat yang jika tidak silap konsepnya melibatkan tanaman padi, ternakan ayam dan ikan air tawar di satu kawasan bertingkat. Ramai yang memandang sinis cadangan itu kerana masih banyak tanah terbiar di muka bumi ini. Tetapi mungkin pada suatu masa nanti, idea Sanusi itu akan menjadi kenyataan apabila sudah tidak ada lagi tanah untuk pertanian dan ternakan. Bagi menambah pengeluaran padi pula, beliau menyarankan program tanaman berkelompok tanpa perlu menambah keluasan tanah. Dalam erti kata lain mewujudkan estet padi. Kaedah ini akan membantu menjimatkan kos dan menambah hasil padi.

Bagi aktiviti pertanian lain yang melibatkan sayur-sayuran, buah-buahan, ternakan seperti lembu, kambing dan ikan, kita juga perlu mengurangkan import. Kita harus bersedia menghadapi kekurangan bekalan makanan ini. Harus diingat, hampir semua jenis makanan seharian kita masih diimport.

Menurut Sanusi: ‘Kita bercucuk tanam secara tanam main-main; tanam untuk makan sendiri; tanam untuk makan sesama sendiri,’ Malangnya bagi kebanyakan orang, ketiga-tiga kaedah itu tidak mampu dilaksanakan.

Konsep Kebun Masyarakat pula menurut Sanusi menghendaki orang kampung berpakat, rumah ini tanam cili, rumah itu tanam bawang, rumah ini tanam sengkuang, rumah itu tanam keledek, rumah ini tanam bendi, rumah itu tanam petola, rumah ini tanam bayam, rumah itu tanam kacang, di sana tanam timun, kita bahagi-bahagikan tugas, macam kita bahagi-bahagikan kuih antara rumah jiran pada bulan puasa.

Sanusi telah melakukan pelbagai usaha untuk menaikkan imej bidang pertanian. Beliau sudah pun menyebut mengeni agriculture dollar (ringgit pertanian). Beliau juga pernah mengingatkan kakitangannya: ‘Kementerian kita mestilah dipandang sebagai sebuah syarikat, sudah tiba masanya, kita menjadikan bidang pertanian sebagai sesuatu yang boleh mengubah kehidupan petani. Kita tidak mahu apabila disebut bidang pertanian, orang memandang lekeh, pandang miskin, pandang susah, kotor,’

Kini pertanian sudah berubah. Pertanian adalah perniagaan. Dan mungkin suatu masa nanti, di samping bisnes, setiap orang terpaksa ‘tanam apa yang dimakan dan makan apa yang ditanam’.