Lestari Bukit Menghijau

SYED MAHADZIR

KANDUNGAN

1. Perubahan
2. Fitnah
3. Memasang Hasrat
4. Bukan Sembarangan Orang
5. Sangkaan Yang Meleset
6. Karut-Marut
7. Kita Perlu Bertanggungjawab
8. Ada Kisah Tersendiri

Bab 1
Perubahan

BUKIT yang tersergam megah, menghijau di hujung kampung. Bukit itu banyak kisahnya, terselit suka dan duka perjuangan seorang tua yang tidak diketahui asal usulnya. Kerana bukit itu juga membuatkan Zahiran menjadi seorang pelajar yang kaya maklumat, mencintai alam sekitar, tumbuhan hijau dan berazam untuk menjaga kelestarian alam. Jadi, tidak salahlah apabila memandang ke arah Bukit Bintangor itu, segera mengingatkan Zahiran kepada Pak Tua. Segalanya masih terbayang mesra dalam ingatannya.

Pada mulanya, Zahiran tidak berminat langsung dengan tumbuh-tumbuhan apalagi terhadap pokok-pokok kayu yang terdapat di hutan. Baginya waktu itu, tidak ada apa yang menarik pada tumbuhan tersebut. Dilahir dan dibesarkan di kampung yang dikelilingi tumbuhan hijau membuatkan Zahiran menganggap tumbuhan adalah makhluk Tuhan biasa saja yang tidak perlu diberi perhatian sangat. Tetapi sejak bertemu, berkenalan dan selalu bersama Pak Tua di Bukit Bintangor itu, minat Zahiran terhadap tumbuh-tumbuhan hijau mulai bercambah. Rasa kasih dan sayang murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Alor Rambai itu kepada makhluk Allah itu kian mendalam.

Kulit depan novel asal Lestari Bukit Menghijau

Zahiran mulai sedar betapa manusia mempunyai hubungan yang rapat dengan alam tumbuh-tumbuhan. Kesejahteraan hidup manusia akan tergugat sekiranya tumbuh-tumbuhan hijau dimusnahkan. Ketenangan dan kedamaian Bukit Bintangor menghijau dan nampak tenang dari arah padang Sekolah Kebangsaan Kampung Alor Rambai. Di pinggir bukit yang kaya dengan pokok-pokok pelbagai jenis itu mengalir sebatang sungai iaitu Sungai Jeneri. Di sungai ini, banyak terdapat pelbagai jenis ikan air tawar seperti seluang, baung, sempilai, haruan, kenjeng, lais, ikan ubi, betuk, bujuk, tapah, kedak dan sebagainya. Khazanah sungai ini telah menjadi rezeki penduduk sekolah sejak lama.

Dahulunya sungai ini cetek sahaja tetapi selepas kerja-kerja mengorek pasir berjalan lebih lapan tahun membuatkan sungai ini amat dalam dan jarang sekali digunakan oleh penduduk sekolah untuk mandi-manda. Kala musim hujan lebat, Sungai Jeneri akan ini dilimpahi air yang deras dan amat berbahaya terutamanya kepada kanak-kanak. Semua orang Kampung Alor Rambai tahu dan sedar hakikat ini. Lama kelamaan, mereka tidak menggunakannya lagi sebagai sumber mandian tetapi sekadar untuk mencari rezeki dengan mengail, menahan taut atau menjala.

Setahu Zahiran, Pak Tua bukan anak jati Kampung Alor Rambai. Asal usulnya tidak diketahui. Orang-orang kampung pun tidak tahu dari mana dia berasal. Yang jelas, Pak Tua memang sudah tua, umurnya dalam lingkungan 60-an, selekeh, pendiam dan hidup sendirian di sebuah pondok kayu di bukit itu. Pada mula Pak Tua membeli bukit seluas empat hektar dari seorang tauke berbangsa Cina beberapa tahun yang lalu, semua orang Kampung Alor Rambai menganggap dia tidak siuman. Masakan siuman kalau seorang manusia setua dia sanggup membeli sebuah bukit yang penuh dengan hutan belantara tebal, penuh dengan pokok-pokok hutan yang tidak berfaedah langsung.

Kulit depan novel Lestari Bukit Menghijau edisi murid Tingkatan Dua - Novel Komponen
 Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia

Bagi orang kampung, kalau duit banyak, apa salahnya beli rumah atau kebun atau juga tanah ladang yang boleh ditanam dengan pelbagai pokok buah-buahan. Atau setidak-tidaknya simpan di Amanah Saham Bumiputera supaya beroleh dividen setiap tahun. Dengan alasan itulah, ramai yang mendecit dan menggeleng-geleng kala berita Pak Tua membeli tanah bukit itu tercetus beberapa tahun yang lalu. Tuduhan bahawa Pak Tua tidak siuman semakin menjadi-jadi bila belantara di bukit itu tidak ditebas atau ditebang sebaliknya dibiarkan begitu seperti asal. Di satu bahagian, pinggir jeram kecil, didirikan sebuah pondok kayu sebagai tempat tinggalnya. Sebatang jalan tanah merah turut dibina sebagai laluan perhubungan. Dengan jalan itulah Pak Tua turun ke Kampung Alor Rambai untuk membeli bekalan makanan.

Kemudian, segala tuduhan-tuduhan begitu terus reda. Penduduk Kampung Alor Rambai tidak lagi bercakap soal tersebut. Biarlah orang tua itu dengan caranya. Tanah bukit itu haknya. Dia berhak berbuat apa saja di bukit itu. Begitu fikir mereka. Untuk melihat Pak Tua tidak terlalu sukar. Setiap awal bulan dia akan ke kedai runcit Pak Da Hamad di kepala simpang di Kampung Alor Rambai, membeli barang-barang keperluan dapur. Barang-barang seperti beras, gula, kopi, garam, tepung, biskut dan sebagainya akan dibawa dengan jip buruk miliknya ke Bukit Bintangor.

Waktu solat Pak Tua akan datang berjemaah di madrasah pinggir sekolah rendah di hujung kampung. Itu pun bukannya selalu sangat. Perhubungannya dengan orang-orang kampung tidak terlalu rapat menyebabkan Pak Tua tersisih dari apa saja majlis yang diadakan di kampung seperti majlis kenduri-kendara, kesyukuran, gotong-royong dan sebagainya. Waktu itu Zahiran merasakan, memang wajar Pak Tua disisihkan oleh orang-orang kampung kerana sikapnya yang terlalu pendiam, suka memencilkan diri dan tidak mudah mesra itu. Sikap yang dianggap negatif begini agak janggal dengan kehidupan penduduk kampung.

Kulit belakang novel Lestari Bukit Menghijau edisi murid Tingkatan Dua - Novel Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia

Bagi warga kampung, sikap terlalu pendiam seperti Pak Tua, tidak harus ada. Kemesraan perlu wujud antara sesama kerana kemesraan boleh mengeratkan lagi tali persaudaraan. Seperti yang diamalkan oleh penduduk kampung kami sekarang di mana masyarakatnya yang berbilang kaum hidup dengan penuh muhibah kerana kemesraan tersebut. Lantaran itu, sikap yang ditunjukkan Pak Tua itu sukar diterima oleh orang-orang kampung. Akhirnya, dia tidak dipedulikan langsung. Pernah jip buruknya mengalami kerosakkan di tepi jalan menghala kepala simpang. Tentunya untuk ke kedai runcit Pak Da Hamad. Masalah yang dihadapinya tidak dipedulikan. Tidak ada siapa pun mahu membantunya.

Sebelum itu, Zahiran tidak pernah mahu mengambil tahu tentang Pak Tua walaupun orang tua asing itu selalu menjadi buah mulut orang-orang kampung. Tetapi, pada suatu pagi, sewaktu Zahiran sedang menebang beberapa batang pokok bunga cempaka putih di depan rumah, tiba-tiba saja orang tua itu menengking garang. Dari dalam jip buruknya, tergesa-gesa dia keluar lalu meluru ke arah Zahiran.

“Kenapa mahu ditebang pokok tu?” soal Pak Tua bernada marah membuatkan dada Zahiran berdebar, terpinga-pinga dan kehairanan.

Apa halnya orang tua ini mahu menghalangku dari membersihkan halaman rumah sendiri? Lagipun, aku sudah bercadang mahu membina sebuah gelanggang sepak takraw selepas pokok-pokok cempaka itu ditumbangkan, bisik hati Zahiran

“Kamu tahu pokok apa ini?” soal Pak Tua lagi.

“Err.. po.. pokok bunga cempaka, pak cik!” jawab Zahiran tergagap-gagap.

“Tahu nama saintifiknya…?”

“Manalah saya tahu, pak cik!” Zahiran bersahaja. “Saya bukannya pelajar universiti... saya baru dalam darjah enam....”

“Hah, kalau tak tahu nama saintifiknya, kamu tahu kebaikannya?” Pak Tua bertanya terus dengan biji mata yang sengaja dibeliak-beliakan seolah-olah mahu menakutkan Zahiran.

Zahiran tersengih sejenak. “Yang saya tahu cuma.... bunga ni orang perempuan selit di sanggul... nak bagi wangi!” ujarnya.

“Ha, sebab itulah kamu tak sayang pada pokok ni!” ujar Pak Tua. “Kalau kamu tahu kebaikannya, kamu tentu tak akan merosakkannya,”

“Err... apa kebaikan pokok ni, pak cik?” soal Zahiran tercolek ingin tahu.

“Hah... kamu nak tahu? Nama saintifiknya michelia alba, cukup baik untuk buat ubat bisul, kudis dan bronchitis atau radang tengkok,” jelas Pak Tua.

Zahiran mengangguk-angguk. “Penyakit apa tu, pak cik? Saya tak pernah dengar pun!”

“Kamu tu masih budak lagi, manalah kamu tahu semua tu!”

“Errr, apa kebaikannya lagi, pak cik?” tanya Zahiran.

“Hah, bunganya boleh diramas dalam air, buat mandian kalau demam panas. Daunnya ditumbuk lumat-lumat dan tempek pada kudis atau bisul. Tak payah pergi klinik atau hospital. Tahu tak?” tegas Pak Tua.

Zahiran diam. Golok puting di tangan segera dicampakkan ke tanah. Namun, mendadak pula hati terasa meluat yang meluap-luap. Sah, orang tua ini sudah gila. Memang patutlah dituduh begitu oleh orang-orang kampung, bisik hati Zahiran. Tak habis-habis dengan perkataan nama saintifiknya. Zahiran masih ingat, peristiwa yang sama begini turut berlaku kepada Lebai Jusoh tiga hari yang lalu. Ketua Kampung Alor Rambai yang mahu menebang pokok kacang kelo di pinggir kedai runcit Pak Da Hamad, tiba-tiba dihalang dengan kasar oleh Pak Tua. Ketika itu Zahiran bersama beberapa orang kampung yang lain, kebetulan berada di situ, tersentak dan tergamam dengan tindakannya.

“Eh, kenapa pula pokok ni tak boleh ditebang?” tanya Lebai Jusoh dengan muka yang merah kerana menahan marah.

“Saya sayang pokok tu!” ujar Pak Tua membuatkan orang-orang kampung yang berada di situ tersenyum-senyum simpul.

Ada yang terkekeh-kekeh ketawa. Bagi mereka, menyayangi pokok kacang kelo amat menggelikan hati. Selama ini, tidak ada seorang pun orang Kampung Alor Rambai yang menyayangi pokok kacang kelo seperti Pak Tua. Muka Lebai Jusoh yang pada mulanya merah menyala bertukar menjadi sengihan suka. “Kalau dah sayang sangat, cabut dan bawalah balik pokok ni! Tanam atas Bukit Bintangor tu!” ujarnya bersahaja.

“Janganlah perli pula. Saya cakap benda yang betul,” balas Pak Tua.

“Eh, siapa yang perli kamu? Saya pun cakap benda yang betul juga,” ujar Lebai Jusoh. “Hah, kalau kamu sayang sangat pada pokok ni, cabut sajalah! Siapa pun tak marah,”

Pak Tua terdiam seraya mengeluh pendek.

“Alah, pokok ni bukannya berguna sangat. Buat menyemak saja! Kalau kamu nak ambil, ambillah! Tak ada seorang pun orang kampung ni yang akan marahkan kamu!” ujar Lebai Jusoh lagi bersahaja.

Muka Pak Tua segera berubah merah.

“Lagipun, orang kampung dah jemu makan daun errr….. kacangnya. Kami lebih suka makan sayur bayam, sawi, kobis dan aneka sayur lain yang boleh dibeli di pasar!” tambah Lebai Jusoh lagi seolah-olah mengejek. Kapak di tangan segera dihayun.

“Itulah orang kita!” Pak Tua mendengus sambil pantas menghalang kapak Lebai Jusoh dari hinggap di batang pokok kacang kelo tersebut.

“Hah, kenapa dengan orang kita?” tanya Lebai Jusoh.

“Pokok ni banyak gunanya. Kalau tuan-tuan nak tahu, biar saya jelaskan!” jawab Pak Tua sambil menyeluruhi orang-orang kampung yang sudah berkumpul di situ.

“Nak jelas apa agi?” tanya Lebai Jusoh.

“Kebaikan dan khasiat pokok ni,” jawab Pak Tua.

“Hah, apa khasiatnya?” soal Lebai Jusoh.

Semua mata orang kampung yang ada di situ segera merenung tunak ke arah Pak Tua. Masing-masing bagaikan tidak sabar lagi hendak mendengar khasiat dan kebaikan pokok kacang kelo dari orang tua tersebut. Sejurus kemudian, Pak Tua pun terus menerangkan tentang faedah pokok tersebut. Katanya, nama saintifik kacang kelo ialah moringa oleifera. Daunnya boleh membantu membersih darah dan mengurangkan kandungan gula serta mengawal tekanan darah dalam badan.

Katanya lagi, melalui rujukan kajian farmakologi, telah membuktikan pokok kacang kelo ini mempunyai aktiviti inflammatory merawat luka. Caranya mudah saja. Beberapa helai daunnya ditumbuk dengan sedikit minyak masak dan sapukan pada luka. Sungguh berkesan. Tidak perlu ke hospital atau membeli ubat yang mahal. Penjelasan panjang lebar dengan beberapa perkataan saintifik yang terlalu asing bagi telinga orang-orang kampung itu, membuatkan mulut mereka melopong dengan mata terkebil-kebil. Mereka sungguh-sungguh tidak menduga, Pak Tua yang selama ini dianggap pendiam, tiba-tiba saja petah bercakap seolah-olah penceramah Forum Perdana. Mereka saling pandang memandang dan ada juga yang terteguk air liur akibat terkejut.

Lebai Jusoh terkedu. Pokok kacang kelo tidak jadi ditebang. Selepas Pak Tua meninggakan tempat itu, pokok itu ditebang juga. Mereka menganggap orang tua itu sudah nyanyuk, merepek yang bukan-bukan. Apa gunanya klinik desa kalau daun kacang kelo boleh merawat luka. Lagipun, kalau kata-kata orang tua tersebut betul, sudah tentu kerajaan menanam pokok itu banyak-banyak untuk tujuan perubatan. Hebohlah satu kampung mengatakan Pak Tua sudah nyanyuk. Ada juga yang mengatakan dia sudah gila. Perkataan saintifik yang mencerlus dari mulut Pak Tua dianggap kata-kata rekaan yang sengaja diada-adakan.

“Macam bahasa orang Sepanyol saja,” ujar Seleman bernada jengkel.

Semua orang kampung sekadar mencebek. Mereka bagaikan sepakat menganggap bahawa Pak Tua seorang yang sudah nyanyuk, tak cukup akal dan mereng.

* * *

SEJAK bertukar ke Sekolah Kebangsaan Kampung Alor Rambai, ada saja perkara baru yang dilakukan oleh Cikgu Kamarulzaman. Berusia lingkungan empat puluh lima tahun, mempunyai sepasang anak kembar, guru Bahasa Melayu merangkap Guru Besar itu cukup kreatif dan banyak idea yang kadang-kadangnya mengejutkan banyak pihak. Baru dua minggu bertugas, dia telah memperkenalkan satu kempen yang diberi nama ‘Kempen Amalan Hijau Sekolah’. Para pelajar tidak dibenarkan lagi membawa tisu kertas ke sekolah sebaliknya mereka dikehendaki membawa sapu tangan.

Katanya, dengan cara itu boleh mengurangkan sampah dan menjimatkan tenaga juga belanja. Pada mulanya, ramai yang merungut tetapi kerana semua pegawai di jabatan pelajaran daerah menyokong tindakan tersebut, akhirnya warga sekolah terpaksa menurut saja. Beberapa minggu selepas itu, satu lagi perkara baru telah dilakukan oleh Cikgu Kamarulzaman. Bersama guru-guru sekolah yang lain, dia telah memohon bantuan kewangan dari Wakil Rakyat. Dengan wang tersebut, tong-tong sampah yang diperbuat dari tin mudah karat di Sekolah Kebangsaan Alor Rambai telah ditukar kepada tong kitar semula. Warga sekolah diarah membuang bahan buangan seperti kertas, tin minuman dan kotak-kotak minuman ke dalam tong-tong kitar semula yang berasingan.

Masuk bulan ketiga, pejabat sekolah telah menggunakan sepenuhnya kertas yang dikitar semula. Kata Cikgu Kamarulzaman, ini satu tugas yang murni membantu negara menjaga alam sekitar. Cara ini dapat membantu mengurangkan bilangan pokok yang ditebang untuk membuat kertas. Klip kertas yang berwarna juga tidak digunakan lagi kerana boleh mengakibatkan keracunan kadmium. Sehinggakan mesin kira pun telah ditukar kepada yang berkuasa suria. Alasannya, ini dapat membantu menjimatkan tenaga. Ramai guru menggeleng-geleng dengan kerenah Cikgu Kamarulzaman. Namun ada juga yang memuji-muji dan menyokong penuh langkah tersebut.

Walaupun Cikgu Kamarulzaman seorang guru besar yang lemah-lembut dan mudah mesra tetapi dia juga seorang yang tegas. Disiplin sekolah tetap dijaga dengan ketat. Setiap arahan yang dikeluarkannya tidak boleh dibantah atau dilanggar oleh para pelajar. Ini membuatkan semua orang amat menghormatinya. Kerana ketegasannya dia dianggap guru, kerana kemesraannya dia dianggap kawan. Di sekolah, dia adalah seorang guru yang menyampaikan ilmu, di padang permainan dia adalah seorang rakan yang mencetuskan semangat. Begitulah Cikgu Kamarulzaman, seorang guru besar yang mempunyai sikap tersendiri dalam kehidupan sehariannya di Sekolah Kebangsaan Alor Rambai itu.

* * *

PAGI cuaca agak terang namun begitu awan di dada langit kelihatan bertompok-tompok. Pada sesetengah bahagian jelas berwarna gelap seolah-olah sedang mengumpul wap air yang semakin memberat, bergerak perlahan ke arah barat. Tatkala itu Zahiran, Kadir dan Osman bersama berbelas-belas orang lagi pelajar Sekolah Kebangsaan Alor Rambai dan remaja kampung yang lain sedang membina sebuah kolam ikan di hadapan blok pejabat sekolah.

Projek pengindahan kawasan sekolah telah mendorong Cikgu Kamarulzaman mengajak murid-murid dan remaja-remaja bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Kampung Alor Rambai yang tinggal di sekitar kampung supaya membina kolam ikan tersebut sebagai satu daya tarikan terutamanya kepada para pelawat yang berkunjung ke sekolah itu. Pun begitu, jabatan pelajaran negeri sedang mengenal pasti sekolah yang cantik untuk dinobatkan sebagai ‘Sekolah Tercantik’ pada penghujung tahun. Sekiranya sekolah tersebut berjaya merangkul gelaran tersebut, hadiah wang tunai sebanyak RM 10,000 bakal menjadi milik yang mutlak.

Selain dari itu, pelbagai kemudahan lagi akan dibina di sekolah tersebut. Itulah motif yang sebenarnya yang mendorong Cikgu Kamarulzaman selaku Guru Besar Sekolah Kebangsaan Alor Rambai itu begitu bersungguh-sungguh benar dalam merealisasikan hasrat murni tersebut. Cikgu Kamarulzaman sudah membuat perancangannya yang tersendiri. Di sekeliling kolam ikan itu nanti akan ditanam dengan pelbagai jenis pokok bunga. Sebuah sangkar burung juga akan dibina sebaik kolam ikan itu siap bagi mengindahkan lagi taman tersebut. Satu suasana alam semula jadi akan cuba diwujudkan di situ.

Selain dari itu, dia juga telah mengarahkan anak-anak muridnya itu mencipta sebuah nama yang sesuai untuk ditulis di atas sebuah papan tanda dan akan dicacakkan di hadapan kolam itu nanti. Kumpulan pelajar tahun lima dan enam yang menyertai program tersebut dibahagikan kepada empat kumpulan. Tugas kumpulan pertama ialah mencari pelbagai jenis pokok bunga. Kumpulan kedua akan menanam pokok-pokok bunga tersebut. Kumpulan ketiga dikehendaki menangkap burung. Burung-burung itu nanti akan dilepaskan ke dalam sangkar besi. Manakala kumpulan keempat akan mencari anak-anak ikan untuk diternak di dalam kolam. Demikianlah tugas setiap kumpulan yang sudah ditetapkan oleh Cikgu Kamarulzaman.

Zahiran, Kadir dan Osman telah diundi menduduki kumpulan ketiga. Ini amat mengembirakan hati ketiga-tiga sahabat baik itu kerana menangkap burung memang amat diminati oleh mereka. Sering juga mereka bertiga menangkap burung merbah kunyit di tepian Sungai Jeneri terutamanya di kaki Bukit Bintangor itu.

“Ingat, saya mahu projek kita ni berjaya seperti yang sudah saya rancangkan!” tegas Cikgu Kamarulzaman memberi semangat kepada anak-anak muridnya petang itu.

“Kenapa cikgu?” tanya Zahiran.

“Sebab keindahan taman ini akan diadili di peringkat daerah dan negeri. Sekolah kita akan menjadi terkenal jika taman kita cantik, kolam ikan kita berjaya dan sangkar burung kita dihias dengan pelbagai jenis burung serta pokok-pokok bunga,” jawab Cikgu Kamarulzaman.

Ketika itu kolam ikan yang digali oleh remaja-remaja bekas pelajar Sekolah Kampung Alor Rambai sudah siap sepenuhnya. Soal menampal simen dan meletakkan batu-batu sungai akan diuruskan oleh pekerja-pekerja yang sudah diupah oleh pihak PIBG, Jawatankuasa Keselamatan Kampung (JKK) dan Wakil Rakyat. Dinding kolam itu dianggar setinggi tiga kaki dengan sebuah air terjun turut akan dibina sebagai sumber udara bagi ikan-ikan yang akan dilepaskan di situ nanti. Ini juga bertujuan mewujudkan satu suasana sebenar untuk ikan-ikan tersebut hidup selesa dan gembira.

“Kamu semua sudah bersedia dengan tugas seterusnya?” tanya Cikgu Kamarulzaman sambil mengesat peluh yang memercik di dahi.

“Dah cikgu!” sahut murid-murid di hadapannya hampir serentak. Mereka kelihatan letih tetapi di setiap wajah mereka terlepa rasa ceria dan gembira kerana dapat berbakti kepada sekolah sendiri.

“Saya gembira kerana kamu semua ni adalah murid-murid yang baik dan berakhlak mulia!” puji Cikgu Kamarulzaman kemudiannya.

Semua murid yang berada di hadapannya tersengih bangga.

“Kepada bekas pelajar sekolah ini juga saya nak ucapkan tahniah dan syabas!” ujar Cikgu Kamarulzaman lagi.

“Kenapa, cikgu? Apa yang dah kami buat sampai cikgu kata begitu?” tanya Mustapha. Dia merupakan mahasiswa tahun tiga di Universiti Utara Malaysia. Suatu ketika dulu dia pernah menjadi murid Cikgu Kamarulzaman.

“Kamu semua tak pernah saya dengar terlibat dengan dadah, pil-pil haram, pecah rumah, samseng, lumba haram dan sebagainya,” ujar Cikgu Kamarulzaman.

“Itu semua kerja yang tak baik! Boleh merosakkan nama ibu bapa, keluarga, kampung dan seterusnya negara, cikgu!” balas Syukor yang kini menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia.

“Inilah remaja-remaja harapan bangsa dan negara pada masa akan datang. Saya harap kamu semua akan kekalkan sikap yang baik ini sampai bila-bila,” ujar Cikgu Kamarulzaman sambil tersenyum senang.

Semua pelajar di hadapannya hanya mengangguk-angguk.

“Jangan jadi sampah masyarakat yang tak berguna, dibenci dan dihina. Jangan memalukan ibu bapa, agama, bangsa dan negara. Dan yang lebih penting, kamu semua patut menjadi teladan kepada generasi kanak-kanak yang yang ada di sekolah kita ni. Mereka akan ikut perangai kamu bila besar nanti. Kalau kamu baik, maka akan baiklah mereka. Ingat tu!” tegas Cikgu Kamarulzaman.

“Baik cikgu!!!” sahutan bergema dari remaja-remaja tersebut.

Cikgu Kamarulzaman tersenyum bangga. Sejurus kemudian dia terpandang wajah Zahiran, Kadir dan Osman yang sedang duduk berehat di bawah sebatang pokok ketapang. Dengan segera dia menghampiri pelajar itu. Sebaik tiba di hadapan Zahiran, dia pun bersuara, “Ha, bagaimana dengan kamu bertiga? Dapat kumpulan mana?”

“Kumpulan tiga, cikgu!” jawab Zahiran bagi pihak rakan-rakannya yang lain.

“Bagaimana, dah bersedia ke belum untuk melaksanakan tugas tu?” Cikgu Kamarulzaman bertanya lagi.

“Kami bertiga ni dah lama bersedia, cikgu!” jawab pula Kadir sambil melirik wajah Zahiran dan Osman di sisinya.

“Bagus!” Cikgu Kamarulzaman tersenyum bangga dengan luahan kata yang dicerluskan. “Err, burung apa yang kamu nak cari?”

“Belum tahu lagi, cikgu!” jawab Zahiran.

“Saya cadangkan supaya kamu cari burung yang senang ditangkap dan tak salah di sisi undang-undang,” tegas Cikgu Kamarulzaman.

“Maksud cikgu?” tanya Zahiran.

“Jangan tangkap burung murai batu, sintar, wak-wak, punai tanah....”

“Burung pipit, cikgu?” cantas Zahiran.

“Burung pipit tak salah,” jawab Cikgu Kamarulzaman.

“Burung merbah, cikgu?” tanya pula Kadir.

“Burung merbah pun tak salah tapi jangan tangkap burung yang saya sebutkan tadi, sudahlah! Nanti kamu kena tangkap,” ujar Cikgu Kamarulzaman sambil tersenyum.

“Baiklah, cikgu!” balas Zahiran.

Cikgu Kamarulzaman memandang pula ke arah Hamzah yang duduk tidak jauh dari situ. “Kamu dalam kumpulan mana, Osman?” soalnya.

“Kumpulan empat, cikgu!” jawab Osman.

“Jadi kamu kena cari ikanlah ya!”

“Ya, cikgu!” jawab Osman.

“Errr, ikan-ikan apa yang ahli kumpulan kamu nak cari untuk kolam kita ni?” tanya Cikgu Kamarulzaman lagi.

“Entahlah, cikgu!” ujar Osman. “Kalau boleh kami nak tangkap apa saja ikan, tak kira kecil ke besar, asalkan dapat dibawa ke sini!”

“Janganlah bawa ikan-ikan yang besar sangat!” seloroh Cikgu Kamarulzaman seraya tersenyum. “Kalau besar, suruhlah emak kamu masak, buat goreng atau buat kari. Untuk kolam ni, yang kecil-kecil sudahlah!”

“Tapi, yang selalu kami dapat sewaktu memancing atau menjala ialah ikan sebarau, talapia putih, jelawat, lampam, tempiras dan ikan ubi, cikgu!” jelas Osman. “Saya rasa ikan-ikan tu amat sesuai untuk kolam kita ni!”

“Betul tu, Osman!” sokong Cikgu Kamarulzaman. “Itulah ikan-ikan air tawar yang senang nak dibela dan dijaga,”

Hamzah, Musa dan Khuzairi berasa bangga dengan kata-kata Guru Besar Sekolah Kebangsaan Kampung Alor Rambai itu. Sudah terbayang Sungai Jeneri pinggiran Bukit Bintangor di ruang mata mereka.

“Baiklah….. esok kamu semua dikehendaki memulakan tugas kamu!” ujar Cikgu Kamarulzaman sejurus kemudian sambil menyeluruhi semua pelajar yang ada di situ. “Saya mahu, dalam masa sebulan projek kita ni akan berhasil. Taman sekolah kita ni akan menjadi taman yang terindah sekali di seluruh daerah dan negeri,”

Menjelang jam 6.30 petang, semua pelajar tersebut pun bersurai dan pulang ke rumah masing-masing. Musim cuti, lebih-lebih lagi hujung minggu begini, jika ada kegiatan berfaedah seperti ini cukup menggembirakan mereka.

Cikgu Kamarulzaman seorang guru besar sekolah yang baik. Selain itu dia juga bergiat aktif sebagai Ahli Jawatankuasa Keselamatan Kampung atau JKK. Apa saja yang diminta oleh remaja-remaja kampungnya akan cuba ditunaikan. Jesi bola, padang bola, gelanggang sepak takraw, badminton dan sebagainya disediakan untuk mereka. Dia melakukan semua itu semata-mata tidak mahu remaja-remaja kampungnya terlibat dengan anasir yang tidak sihat.

Jika masa dapat dipenuhkan dengan aktiviti yang berfaedah, secara tidak langsung gejala-gejala yang tidak sihat itu akan hapus dengan sendirinya. Begitulah nasihat yang selalu disebutnya. Selain dari itu, Cikgu Kamarulzaman juga amat berdedikasi dan berinisiatif tinggi. Ketua Kampung, Wakil Rakyat dan Pegawai Daerah amat menyenanginya. Dia banyak menyumbangkan idea dan tenaga dalam menjayakan sesuatu projek sekolah.


Bab 2
Fitnah

SEWAKTU azan Maghrib berkumandang di masjid, boleh dikatakan hampir semua remaja Kampung Alor Rambai akan datang untuk bersolat jemaah. Di situlah selalunya mereka beramah mesra dengan orang-orang kampung yang lain terutamanya golongan tua.

“Hoi Zahiran! Bila kamu bertiga nak cari ikan untuk kolam kita tu?” tanya Hamzah sewaktu Zahiran, Ramli dan Junaidi pulang dari masjid malam itu.

“Esok atau lusa!” jawab Zahiran.

“Eh, kamu diundi dalam kumpulan mana?” tanya Kamal pula.

“Kumpulan ketiga.... cari burung!” jawab Zahiran sambil tersengih. “Saya sekarang ni dah mula pening….”

“Eh, kenapa pula?” Hamzah tercolek ingin tahu.

“Tak tahu nak cari burung apa?” ujar Zahiran.

“Alaa, apa susah Zahiran! Di kampung kita ni banyak burung gembala kerbau dan pipit uban. Burung-burung tu senang ditangkap!” ujar Hamzah.

“Kalau kamu nak, burung hantu pun ada,” seloroh Kamal. “Burung hantu pun senang tangkap juga. Kata orang, burung hantu tak nampak waktu siang,”

“His, kamu ni, Mal! Takkan saya nak bawa burng hantu ke sekolah pula. Tentu guru besar terbeliak biji mata tengok burung hantu tu!” balas Zahiran.

“Saya bergurau saja, Zahiran!” ujar Kamal sambil ketawa. “Sebenarnya, kalau kamu nak tangkap burung, kamu pergilah ke Bukit Bintangor. Di situ banyak burung. Kalau kamu nak tangkap burung enggang pun, ada di bukit tu!”

“Saya tahulah tapi yang jadi masalah saya sekarang ialah dua orang kawan saya tu dah demam!” jelas Zahiran dengan wajah yang kecewa.

“Siapa kawan-kawan kumpulan kamu tu?” tanya Hamzah.

“Kadir dan Osman!” ujar Zahiran.

“Hai, pagi tadi saya tengok mereka dua orang tu sihat bugar, tup-tup demam pula?” Hamzah seperti kehairanan.

“Mereka demam betul, Zah! Saya sendiri dah pergi tengok mereka!” jelas Zahiran cuba membetulkan salah faham yang mungkin bersarang di hati rakan sekolahnya itu.

“Barangkali sebab mereka tu tak tahan panas masa buat kolam semalam tak?” duga Kamal.

“Mungkin juga!” Zahiran mengangguk.

“Kalau kamu tak dapat nak buat kerja-kerja tangkap burung tu seorang diri, kamu boleh beli saja di Pekan Jeniang!” usul Kamal.

Zahiran mendengus.

“Saya tengok di Kedai Pheng San ada pelbagai jenis burung, ada merbuk, tiung, tekukur jawa, merpati, tekukur ladang, puyuh, serindit, tiak, murai cacing dan macam-macam lagi. Kerja senang, kamu tak payah susah-susah nak masuk hutan...” tambah Kamal lagi.

“Cadangan tu paling buruk dalam dunia yang pernah saya dengar!” Zahiran ketawa kecil.

“Terima kasih,” balas Kamal.

“Kalau nak bagi idea apa pun, janganlah bagi idea macam tu, Dir! Kamu bukannya tak tahu yang saya ni bukannya suka sangat tangkap burung. Apa lagi nak bela dan beli,” tegas Zahiran.

“Kamu sabar sajalah, Zahiran! Saya rasa demam Kadir dan Osman tu tak lama. Bila mereka dah baik nanti, masuklah belukar belakang kubur di hujung sekolah kita tu. Banyak burung yang boleh kamu dapat di sana,” Hamzah seolah-olah memberi cadangan yang agak baik juga pada fikirannya sendiri.

“Tapi, saya dah bercadang dengan Osman dan Kadir nak tangkap burung di Bukit Bintangor,” ujar Zahiran.

“Kalau kamu ke bukit tu, berjumlah kamu dengan orang tua gila tu!” balas Hamzah.

“His, tak baik kamu kata macam tu,” tegas Zahiran.

“Eh, apa yang tak baiknya pula? Semua orang kampung kata orang tua tu gila,” balas Hamzah.

“Biar mereka kata apa pun, tapi janganlah kita masuk campur. Kita ni budak-budak lagi. Kalau didengar orang, tentu tak manis,” tegas Zahiran.

Hamzah terdiam. Zahiran hanya mengeluh. Setelah mengucapkan salam, pelajar-pelajar sekolah kebangsaan itu pun berpisah untuk pulang ke rumah masing-masing.

* * *

CAHAYA matahari sudah meninggi di atas kepala. Sinarnya menjunam di celah-celah daun-daun pokok lalu menimpa tanah. Sewaktu Kasa, Seleman dan Setopa, tiga orang pemuda kampung yang sedang menoreh getah di sebelah Bukit Bintangor tiba-tiba telah melihat dua buah kereta mewah dengan lapan orang berpakaian kemas bersama Pak Tua di situ. Mereka mengintip gerak-geri orang-orang tersebut. Dari gaya berpakaian mereka, Seleman dapat agak yang mereka adalah orang kaya. Pak Tua dilihat sedang menunjukkan ke arah batang-batang pokok yang tumbuh tegak di sekitar pondok kediamannya. Orang tua itu seolah-olah sedang menerangkan sesuatu kepada tetamu-tetamunya.

“Aku agak, mereka tu orang jahat,” tukas Seleman.

“Jahat macam mana maksud kamu?” tanya Kasa.

“Mungkin penjenayah atau tauke dadah,” jawab Seleman.

“Mungkin juga,” Setopa seolah-olah menyokong.

“Kalau tidak, buat apa mereka datang jumpa orang tua tu!” ujar Seleman. “Ini tentu ada perkara yang tak baik dah berlaku di situ,”

“Tapi kita tak ada bukti, Leman!” tegas Kasa. “Kalau ada bukti, kita boleh bawa kes ni ke balai polis,”

Seleman diam. Begitu juga dengan Setopa. Masing-masing saling berpandangan sesama sendiri. Mereka tidak mampu berbuat apa-apa kerana tidak ada bukti yang boleh mengheret Pak Tua ke muka pihak berkuasa.

Namun begitu, seperti biasa, berita itu meledak heboh di kedai runcit Pak Da Hamad.

“Dah sah! Dah sah orang tua tu terlibat dengan benda haram di bukit tu!” dakwa Setopa lagi dengan raut wajah yang serius. Dia berkata begitu semata-mata untuk menarik perhatian Pak Da Hamad.

“Betul Pak Da!” sokong Kasa pula. “Kami nampak dengan mata kepala sendiri dia bersama beberapa orang dari bandar. Mereka berbincang sesuatu. Tentu sekali tentang benda haram err… barangkali juga tentang dadah!”

“Patutlah dia tinggal di pondok tu seorang diri supaya kegiatan jahatnya tak dihidu orang kampung!” balas pula Seleman. “Kalau begitu, kita tak boleh berdiam diri. Perkara ni mesti dilaporkan ke balai polis!”

“Jangan mudah buat tuduhan tanpa usul periksa!” Pak Da Hamad pantas meluahkan amaran sekali gus mengingatkan. “Siasat dulu. Aku bimbang nanti kamu semua menyesal pula kemudian hari!”

“Ni bukan menuduh, Pak Da!” Kasa sungguh kurang senang. “Entah-entah dia tu penjenayah yang lari dari buruan polis. Manalah kita tahu. Biarlah polis saja yang siasat perkara ni!”

“Aku tak menghalang kamu semua nak buat laporan polis!” Pak Da Hamad seolah-olah menyinis. “Tapi, bagaimana kalau tuduhan tu meleset? Bagaimana pula kalau dia saman kamu semua kerana buat tuduhan palsu? Mahu kamu bayar samannya? Kalau dia sanggup beli bukit tu dengan harga berpuluh ribu ringgit, takkan dia tak sanggup saman kerana memalukannya!”

Masing-masing terdiam dan saling pandang memandang. Berdebar juga hati mereka dengan kata-kata pekedai runcit itu. Sejak peristiwa itu, orang-orang Kampung Alor Rambai terus memandang serong kepada Pak Tua. Pelbagai tuduhan dilemparkan kepadanya. Ada yang mengatakan dia berpura-pura gila dan buat-buat nyanyuk untuk menutup kegiatan jahatnya dari pengetahuan orang kampung. Namun begitu, mereka tidak mempunyai bukti yang sahih untuk mendakwa Pak Tua ke muka pengadilan. Cuma Pak Da Hamad agak berkecuali. Dia tetap melayan orang tua itu dengan mesra di kedainya.

Begitulah antara kisah-kisah awalnya bersabit Pak Tua yang tinggal di Bukit Bintangor itu. Sebenarnya, pada mulanya bukit itu tidak bernama. Tetapi, pada suatu hari, Pak Tua telah mencacakkan sebuah papan tanda di kaki bukit itu, bertulis ‘BUKIT BINTANGOR’. Sejak itulah bukit tersebut dipanggil Bukit Bintangor oleh orang-orang kampung. Tiada siapa pun tahu apakah makna bintangor itu. Ada yang mengatakan bintangor sejenis binatang, ada juga yang mengatakan sejenis serangga, tak ketinggalan juga mengatakan bintangor itu nama dia.

* * *

PADA suatu hari, Seleman yang sedang mengayuh basikal tuanya menuju ke kedai runcit Pak Da Hamad telah melihat Pak Tua di tepi jalan. Orang tua itu sedang membaiki jipnya yang rosak. Sewaktu melihat Seleman, dengan segera Pak Tua melambai untuk meminta bantuan namun tidak dipedulikan oleh pemuda kampung itu. Pak Tua sedikit pun tidak berkecil hati. Baginya, biarpun tidak sudi dibantu, dia mampu melakukannya sendiri. Bukan pertama kali jipnya rosak begitu. Sudah banyak kali. Setiap kali jipnya mengalami kerosakan, dia akan memperbaikinya sendiri. Kadang-kadang dia bagaikan sudah tahu apakah kerosakan yang dialami oleh jip buruknya itu.

“Biar dirasakan!” ujar Seleman sewaktu melabuhkan punggungnya di atas kerudi di hadapan kedai Pak Da Hamad.

“Apa hal ni, Leman? Tiba-tiba saja kamu bersuara begitu!” tanya Kasa yang memang sering berada di kedai runcit tersebut. Sebenarnya, kedai runcit Pak Da Hamad merupakan tempat pemuda-pemuda kampung berkumpul.

Papan dam yang disediakan oleh Pak Da Hamad merupakan daya tarikan kepada pemuda-pemuda kampung untuk melepak di situ sambil minum air botol, makan kacang goreng, biskut, keropok dan sebagainya. Secara tidak langsung, bertambah juga rezeki pemilik kedai runcit tersebut.

“Menyampah betul aku tengok muka dia,” dengus Seleman.

“Hei Leman... siapa yang kamu maksudkan ni?” Kasa terus bertanya.

“Aku tengok dia terhegeh-hegeh melambai ke arah aku. Barangkali nak minta bantuan!” ujar Seleman tanpa menjawab soalan Kasa.

“Siapa yang kamu cakap ni?” tanya Setopa pula.

“Siapa lagi... orang tua gila itulah!” balas Seleman sambil menjuihkan bibirnya panjang-panjang.

“Hah, kenapa dengan dia?” tanya Kasa mulai tertarik.

“Jip dia rosak. Dia terhegeh-hegeh minta tolong dari aku,” ujar Seleman.

“Kamu tak tolongkah?” tanya Setopa.

Lagi sekali Seleman menjuihkan bibirnya panjang-panjang.

“Kenapa kamu tak tolong dia?” tanya pula Kasa.

“Siapa nak tolong orang macam tu. Sombong tak tentu hala!” tukas Seleman sambil masuk ke dalam kedai Pak Da Hamad untuk membeli sebatang rokok.

Kasa, Setopa dan Man Toya yang duduk di sisi Deraman di luar kedai, tersengih-sengih lebar. Mereka seolah-olah menyokong tindakan Seleman terhadap Pak Tua.

Namun Pak Da Hamad hanya menggeleng.

“Kenapa Pak Da menggeleng pula?” tanya Kasa.

“Aku kesal dengan perangai kamu ni,” ujar Pak Da Hamad.

“Kenapa?” tanya Seleman.

“Tak baik buat macam tu pada dia, Leman!” ujar Pak Da Hamad agak lembut.

“Apa yang tak baiknya?” tanya Seleman.

“Walaupun kamu semua tak suka dia, waktu dia dalam kesusahan perlu ditolong. Kita hidup satu kampung. Amalkan sikap yang baik. Bukankah ini yang kita lakukan selama ini!” tegas Pak Da Hamad. Sebagai seorang yang sudah berumur, memang wajar dia berkata begitu.

“Itu satu pengajaran untuk dia, Pak Da!” balas Seleman.

“Pengajaran apa?” tanya Pak Da Hamad sedikit melopong.

“Supaya tak terlalu sombong!” balas Man Toya sambil mengangguk-angguk kasar.

“Siapa kata dia sombong?” soal Pak Da Hamad kurang senang.

“Semua orang kampung kata dia sombong, dia gila, dia mereng, dia tak cukup akal...”

“Kamu jangan buat dosa kering, Leman,” cantas Pak Da Hamad. “Bukan semua orang kampung kata begitu..”

“Semua..”

“Aku tak pernah kata begitu,” tingkah Pak Da Hamad. “Cikgu Kamarulzaman pun sama dengan aku dan ramai lagi orang kampung tak kata macam apa yang kamu kata tu!”

Seleman, Man Toya, Deraman, Kasa dan Setopa saling berpandangan sesama sendiri.

“Selama dia berlanggan di kedai aku, tak pernah pula dia sombong dengan aku. Cuma dia agak pendiam, tak banyak cakap kecuali yang perlu saja. Itu bukan sombong namanya!” suara Pak Da Hamad mencerlus lagi.

“Terlalu pendiam begitu bermakna sombonglah, Pak Da!” balas Kasa. “Tak kan dia tak tahu kehidupan masyarakat kampung. Hidup di kampung mesti ramah, mudah mesra, mudah senyum dan bertanya khabar. Tapi, dia dah macam enau dalam belukar, macam kera sumbang. Menyombong tak tentu fasal!”

“Mungkin itu sifat semula jadi dia!” Pak Da Hamad bersahaja. “Kita harus ingat, tak semua manusia yang dijadikan Tuhan di dunia ni, peramah, mudah mesra atau mudah senyum seperti yang kamu semua kata tu. Lagipun, orang pendiam macam dia tu, tak banyak buat dosa kering!”

“Eh, yang Pak Da beria-ria sangat sokong dia ni, kenapa?” Seleman sungguh kurang senang. “Mentang-mentang dia banyak beli barang di sini, apa yang dia buat semua betul, semua baik? Begitu?”

“Aku bukan sokong dia!” balas Pak Da Hamad bersahaja. “Aku berkata yang benar. Kita ni mudah sangat berburuk sangka. Orang pendiam kita sangka sombong sedangkan kita tak tahu kenapa dia jadi begitu. Setahu aku, orang pendiam ni banyak berfikir. Berfikir dulu sebelum berkata. Bukan macam kita ni, berkata dulu baru berfikir!”

Kata-kata Pak Da Hamad itu mematikan segala perbualan. Seleman, Kasa, Man Toya, Setopa dan Deraman mencebek-cebek.

Zahiran yang kebetulan turut berada di pinggir kedai, sekadar mengangkat bahu melihat telatah warga kampungnya. Sejurus kemudian, deruan jip buruk Pak Tua berhenti di depan kedai runcit Pak Da Hamad. Dengan kedua belah tangan berselopiang dengan minyak hitam, termengah-mengah dia turun mendapatkan minyak tanah dari Pak Da Hamad. Setelah mencuci tangannya dengan minyak tanah tersebut dan membeli sedikit barangan keperluan dapur, Pak Tua terus berlalu menuju ke arah Bukit Bintangor. Namun begitu dia sempat menoleh ke arah Zahiran sambil tersenyum nipis. Lagi sekali mulut-mulut milik Kasa, Setopa, Seleman, Man Toya dan Seleman terjuih-juih seolah-olah meluat amat dengan orang tua tersebut. Kelima-lima pemuda sahabat baik itu turut meninggalkan kedai Pak Da Hamad sejurus kemudian.

* * *

PAGI masih lagi berkabus. Cahaya matahari masih lagi bersembunyi di sebalik bukit-bukau di hujung Kampung Alor Rambai. Suasana dingin dan segar.

“Hai, mimpi apa ni... pagi-pagi buta lagi kamu berdua dah menjengoi di rumah saya?” Zahiran separuh bergurau sewaktu menancap Kadir dan Osman di halaman rumahnya pagi itu.

Kadir dan Osman sekadar tersengih.

“Demam kamu dah baik ke?” tanya Zahiran lagi.

Osman mengangguk. Kadir tak berkata apa-apa.

“Saya pun memang bercadang nak ke rumah kamu pagi ni,” ujar Zahiran.

“Tak payahlah kamu pergi ke rumah kami. Kami dah pun datang ke rumah kamu,” balas Osman.

“Kenapa kamu datang awal sangat ni? Ayam pun belum lagi keluar dari reban,” Zahiran berseloroh.

“Kalau kita keluar pagi, tak berapa panas!” ujar Kadir.

“Mana kamu jumpa dengan Osman ni?” tanya Zahiran lagi. “Atau kamu dah berpakat nak datang ke sini bersama?”

“Secara kebetulan saja, Zahiran!” ujar Osman.

“Habis, mana sangkar dan getah perekat?” tanya Zahiran agak kehairanan kerana pada Kadir dan Osman tidak ada peralatan tersebut.

“Panjang cerita ni, Zahiran!” Osman seperti orang kecewa kala berkata begitu.

“Cerita apa pula ni?” Zahiran sedikit terjeda.

“Nanti kami cerita!” balas Kadir.

“Alaaa, cerita di sini saja apa salahnya?” Zahiran seperti mendesak pula.

“Sabarlah, Zahiran! Nanti kami ceritalah!” tegas Osman pula.

“Habis, nak cerita di mana?” Zahiran mengangguk sekali.

“Jom kita ke pangkalan!” ajak Kadir.

“Nak buat apa ke sana kalau tak bawa sangkar dan getah perekat? Macam mana kita nak tangkap burung?” balas Zahiran seperti terlunga dengan ajakan Kadir itu.

“Nanti kamu akan dapat cerita yang sebenarnya di sana,” ujar pula Osman.

Mahu tidak mahu Zahiran terpaksa mengikut Kadir dan Osman ke pangkalan yang terletak di tebing Sungai Jeneri. Pangkalan tersebut dahulunya adalah pangkalan penduduk kampung bermandi-manda dan membasuh pakaian. Tetapi sekarang tidak digunakan lagi. Pangkalan itu juga sudah dibesarkan oleh Ketua Kampung untuk kemudahan orang-orang kampung yang ingin menangkap ikan dengan sampan. Sampan-sampan atau perahu-perahu akan ditambatkan di pangkalan tersebut.

“Usaha kita bertiga nak menangkap burung di Bukit Bintangor tu mungkin tak akan berhasil, Zahiran!” ujar Osman sebaik mereka tiba di pangkalan Sungai Jeneri.

“Eh, apa pasal pula?” Zahiran bagai dijerba kehairanan.

“Orang tua gila yang tinggal di bukit tu tak benarkan sesiapa pun datang atau berkeliaran di pinggir Bukit Bintangor!” ujar pula Kadir sambil menudingkan jarinya ke arah pinggiran bukit yang tersergam menghijau tidak jauh dari pangkalan tersebut.

“Kenapa pula? Kita bukannya nak rosakkan bukit atau pokok-pokok di situ. Kita cuma nak tangkap burung saja!” ujar Zahiran dengan wajah yang kesal.

“Itu kata kamu, Zahiran! Orang tua gila tu tak pula fikir macam tu! Mungkin dia sangka kita nak rosakkan pokok-pokok di bukit tu,” ujar Osman.

“Kita bukannya nak rosakkan pokok....”

“Itu kata kita, kata dia lain,” cantas Kadir.

“Saya tak fikir begitu,” ujar Zahiran.

“Apa yang kamu fikirkan?” tanya Osman.

“Entahlah... saya sendiri tak tahu apa nak kata lagi,” ujar Zahiran sambil mengeluh kecil.

Masing-masing mendiamkan diri buat beberapa ketika. Zahiran melemparkan mata pandangnya ke arah Bukit Bintangor. Dapat dibayangkan kicauan unggas liar di bukit itu. Serasa dia ingin bertemu dengan Pak Tua di bukit itu untuk mendapatkan penjelasan yang sebenar.

“Yang saya hairan sangat… kenapa dia larang kita tangkap burung di bukit tu?” Zahiran tiba-tiba bersuara, sungguh kurang puas hati.

“Beginilah, Zahiran!” kata Kadir lalu menghela tangan Zahiran ke sebatang halban tumbang di pinggir pengkalan tersebut. “Mari kita duduk di sini sebelum kami cerita pada kamu lebih lanjut!” arahnya pula.

Masing-masing melabuhkan punggung mereka di atas batang halban tersebut. Di hadapan mereka sekarang ialah Sungai Jeneri yang alirannya begitu tenang. Angin yang bertiup mesra, menolak riak-riak kecil dari tengah sungai ke tepi tebing. Pelbagai jenis burung berterbangan riang ke sana ke mari.

“Waktu saya dan Osman merancang nak ajak kamu ke Bukit Bintangor, kami dah didatangi abang Seleman!” Kadir memulakan ceritanya sejurus kemudian. “Dia kata, mulai hari ni, tak ada siapa pun yang dibenarkan pergi ke bukit tu lagi…”

“Kenapa pula? Apa yang dia nak?” cantas Zahiran tidak sabar.

“Abang Seleman tak nak apa-apa, dia cuma beri amaran supaya jangan pergi ke bukit tu..”

“Sebabnya?” Zahiran mencantas lagi.

“Kawan-kawan kita yang lain pun kena halang juga!” tokok Osman pula.

“Sebab apa dia halang kita?” Zahiran bagaikan kurang puas hati.

“Dua hari yang lalu Pak Salleh pun beritahu saya begitu juga! Waktu dia nak pergi ke bukit tu, tiba-tiba abang Seleman menghalangnya!” ujar Kadir lagi.

“Wak Junuh pula kena halau dek abang Seleman waktu dia sedang menghala ke bukit tu. Lepas tu, Ajmain, Tong Beng, Maniam dan Senapi Pak Leh pun kena marah oleh abang Seleman tu waktu mereka sedang bersiap-siap nak cari getah pokok jelutung di bukit tu!” Osman meneruskan.

Zahiran melopong dan terbelangah. Matanya terkesip-kesip kurang percaya serentak menggaru-garukan kepalanya yang tidak gatal.

“Kamu percaya ke yang kami cerita ni?” tanya Kadir.

“Entahlah…. nak percaya pun susah, tak nak percaya pun susah!” jawab Zahiran seraya mengeluh. “Yang saya hairan, tak kan tak ada apa-apa alasan kenapa dia tak benarkan orang-orang kampung pergi ke bukit tu!”

“Memang ada alasannya!” jelas Osman.

“Ha, apa alasannya tu? Kalau logik, kita boleh ikut. Kalau tak logik, buat apa kita nak ikut!” tegas Zahiran.

“Alasan abang Seleman tu terlalu remeh dan tak logik pula kalau difikir sekali imbas!” ujar Osman.

“Yalah…. alasan apa?” Zahiran seperti mendesak.

“Alasan berbentuk buruk sangka!” ujar Kadir. “Abang Seleman dah sebarkan berita kononnya orang tua di bukit tu terlibat dengan dengan kegiatan haram kepada semua orang yang dihalangnya tu!”

“Kegiatan haram? Err, apa katanya?” Zahiran semakin ingin tahu. Dia bagaikan tidak sabar-sabar lagi hendak mendengar cerita lanjut dari Kadir atau Osman.

“Abang Seleman kata, orang tua di Bukit Bintangor tu ada memproses dadah untuk diedarkan ke bandar-bandar besar seluruh negeri. Katanya lagi, polis sentiasa membuat intipan di situ. Kalau nasib tak baik, sesiapa yang pergi ke bukit tu, akan kena tangkap oleh polis,” jelas Kadir dengan wajah yang serius.

“Habis, kamu berdua ni percayalah cerita abang Seleman tu?” Zahiran inginkan kepastian.

Kadir menarik nafas panjang sementara Osman sekadar diam. Mereka sendiri tidak dapat menjawab dengan tepat perasaan yang ada dalam diri masing-masing ketika itu.

Zahiran tersenyum sinis. “Sekarang, kita tak boleh percaya bulat-bulat sebab kita tak ada bukti yang kukuh. Kalau benar orang tua tu buat kerja-kerja haram, sudah tentu dia dah ditangkap polis!” ujarnya separuh menyedarkan.

“Mungkin betul kata kamu tu, Zahiran!” Kadir bagaikan menyokong.

“Saya rasa lebih baik kita ikut saja cakap abang Seleman tu. Mungkin benar!” Osman seperti mengingatkan. “Selalunya, tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata!”

“Saya bukan tak nak percaya cerita abang Seleman tu, Man!” Zahiran membetulkan salah faham Osman. “Saya sekadar bercakap apa yang benar. Kita tak boleh menuduh orang tanpa usul periksa,”

“Mungkin juga apa yang dikatakan oleh abang Seleman tu benar!” Kadir seolah-olah menyebelahi Osman pula. “Walaupun kita tak nampak dan tak ada bukti, tapi dari cara dan gerak geri orang tua tu, seolah-olah ada udang di sebalik batu!”

Zahiran terdiam seraya tunduk. Dua orang rakannya seolah-olah sudah termakan pendustaan yang disebarkan oleh Seleman. Perasaan ragu tiba-tiba murup subur dalam lipatan benaknya. Sudah bertahun-tahun Pak Tua tinggal di Bukit Bintangor Jeneri tetapi tidak pernah diserbu oleh pihak polis. Kalaulah dia benar-benar melakukan sesuatu yang menyalahi undang-undang, tentulah pihak polis akan bertindak. Kenapa baru-baru ini saja cerita tentang perkara itu dibawa oleh Seleman? Hairan sungguh dia memikirkan.

“Saya rasa kita ikut sajalah tegahan dan larang abang Seleman tu, Zahiran!” tegas Osman tiba-tiba.

“Kenapa pula?” tanya Zahiran.

“Tak usahlah kita cari penyakit!” tambah Kadir.

“Penyakit apa pula ni?” Zahiran menggeleng-geleng. “Setahu saya, penyakit boleh diubati. Ubat banyak terdapat di hospital atau klinik,”

“Janganlah buat lawak pula, Zahiran!” Osman membalas kurang senang. “Kamu tahu, baru saya perasan, patutlah sejak akhir-akhir ni tak ada lagi orang kampung yang pergi ke bukit tu. Rupanya mereka dah lama tahu tentang perkara ni. Cuma kita bertiga saja yang terlewat,”

“Betul kata kamu tu, Man!” sokong Kadir pula. “Orang-orang kampung dah tak berani lagi nak pergi ke kaki Bukit Bintangor tu. Mereka semua percaya, memang di situ ada kegiatan yang menyalahi undang-undang. Mereka tak mahu terlibat atau dituduh bersubahat,”

“Tak usah merepek yang bukan-bukan, Dir!” tukas Zahiran masih dengan pendiriannya tidak percaya tohmahan tersebut.

“Saya bukan merepek, Zahiran! Ini kenyataan!” tegas Kadir tidak mahu mengaku kalah.

Zahiran tersenyum hambar serentak menghela nafas panjang. “Dir, Man! Terus terang saya katakan yang saya tak percaya langsung dengan semua tohmahan tu!” tegasnya bersungguh-sungguh. Wajahnya nyata serius.

“Kenapa kamu kata begitu?” tanya Osman.

“Cuba kamu fikir, kalau betul-betul orang tua tu terlibat dengan kegiatan haram di Bukit Bintangor tu, sudah tentu dah lama dia diberkas polis. Tapi sampai sekarang, tak seorang pun polis yang pergi ke bukit tu?”

Osman dan Kadir saling berpandangan. Benar juga hujah Zahiran itu, fikir mereka. Ya, kenapa orang tua itu tidak pernah disoal siasat atau ditangkap oleh polis? Kenapa Ketua Kampung atau Cikgu Kamarulzaman tak pernah pula bercerita soal itu? Hanya abang Seleman seorang saja yang beria-ria benar menghebahkan cerita tersebut!

“Saya rasa, tentu ada sesuatu yang tak kena pada abang Seleman tu!” tukas Zahiran. “Barangkali juga dia tak sukakan orang tua asing tu, sebab itu dia buat fitnah yang bukan-bukan,”

Kadir dan Osman gesit mengangguk-angguk. Mendadak saja dakwaan Zahiran itu dirasakan ada kebenarannya.

“Cuba kamu fikir lagi… kalau benarlah orang tua tu memproses dadah di Bukit Bintangor tu, kenapa dia jarang keluar ke bandar untuk jual dadahnya? Tak ada pula orang luar yang datang ke bukit tu untuk beli dadah. Habis, kepada siapa dia jual dadah tu? Saya tak pernah nampak pula budak-budak hisap dadah pergi ke bukit tu,” Zahiran meneruskan logik segala dakwaannya.

“Jadi, maksud kamu, abang Seleman tu sengaja buat fitnah? Begitu?” Kadir seperti inginkan kepastian. Wajah Zahiran direnung dalam.

Zahiran mengangguk sekali. “Itulah yang berdetak dalam hati saya ni!” ujarnya dengan penuh yakin. “Saya terfikir juga, takkanlah orang tua tu orang jahat. Dia dah tua. Kalau dia nak buat jahat, buat apa dia nak beli bukit tu!”

“Ya, baru saya perasan!” Osman terus bangun. “Saya rasa abang Seleman tu sengaja buat fitnah sebab nak memburukkan nama Pak Tua,”

“Tapi.... apa sebabnya?” Kadir seperti kebingungan.

“Manalah kita tahu, Dir! Niat orang manalah kita tahu. Mungkin dia cemburu sebab orang tua tu, walaupun dah tua tapi ada jip. Dia.... jangankan jip buruk, basikal tua buruk cabuk pun tak mampu nak beli,” Osman separuh ketawa.

“Benar juga kata kamu tu!” Kadir mulai meyakini.

“Jadi, apa rancangan kita sekarang?” tanya Osman.

“Apa kata kalau kita pergi juga ke bukit tu!” usul Zahiran.

“Kamu tak takut ke?” Osman terlunga.

Zahiran terdiam. Kadir dan Osman juga begitu. Masing-masing bungkam. Berjurus-jurus ketiga-tiga pelajar itu mendiamkan diri sambil kotak fikir berkelintar mencari idea.


3
Memasang Hasrat

ANGIN yang bertiup dari arah Bukit Bintangor menderu segar membawa bersama keharuman alam semula jadi yang belum ternoda. Sungguh nyaman dan damai lebih-lebih lagi riak alun Sungai Jeneri turut sama bersisik menolak daun-daun kering ke tepian tebing.

“Saya ada satu cadangan!” tiba-tiba Zahiran bersuara membebarkan hening sekitar.

“Cadangan apa, Zahiran?” tanya Kadir ingin tahu.

“Kita pergi tangkap burung juga burung di bukit tu!” ujar Zahiran.

“Kamu berani ke?” Osman pula ingin tahu.

“Apa kita nak takut? Takkan orang tua tu nak bunuh kita!!” jelas Zahiran.

“Yalah!” Kadir seperti orang yang baru bangun dari tidur.

“Tapi, bagaimana kalau orang tua tu betul-betul orang jahat?” tanya Osman.

“Kita tangkap dia dan bawa dia ke balai polis,” ujar Zahiran sambil ketawa.

“Berani kamu?” tanya Kadir.

“Kita bertiga, dia seorang. Lagipun, dia dah tua, mana larat nak lawan kita,” ujar Zahiran bersahaja.

“Saya memang minat jadi polis!” balas Kadir turut tersengih.

“Saya pun minat jadi polis juga tapi biarlah jadi pegawai!” tokok Zahiran tak mahu lepas peluang. “Jadi polis bukan saja dapat membanteras jenayah, menjaga keselamatan orang awam tetapi juga dapat berkhidmat untuk negara, bangsa dan agama!”

“Baiklah, saya setuju seratus peratus apa yang kamu berdua dah katakan tadi. Habis, bila kita nak pergi ke bukit tu?” tanya Osman.

“Nanti saya beritahu kamu,” jawab Zahiran.

Osman dan Kadir tersengih. Sejurus kemudian, mereka bertiga meninggalkan pangkalan tersebut untuk pulang ke rumah masing-masing.

* * *

SEWAKTU pulang dari sekolah, Zahiran mengatur langkah melalui jalan ke Bukit Bintangor. Jalan itu merupakan jalan pintas ke rumahnya. Sewaktu dia tiba di selekoh menuju ke Bukit Bintangor, dia lihat jip Pak Tua tersadai di tepi jalan. Dia juga melihat orang tua itu terkial-kial membaiki sesuatu. Mendadak Zahiran rasa kasihan walaupun hatinya amat berdebar. Namun begitu, entah kenapa kakinya terus juga melangkah menghampiri orang tua tersebut.

“Kenapa pak cik?” soal Zahiran sebaik tiba di belakang Pak Tua.

Pak Tua segera menoleh. “Baru balik dari sekolah?” soalnya pula tanpa menjawab soalan Zahiran.

Zahiran mengangguk-angguk. “Kenapa dengan jip pak cik?” dia mengulangi soalan tadi.

“Tayarnya pancit!” ujar Pak Tua sambil mengeluh panjang.

“Mungkin dicucuk paku, pak cik!” duga Zahiran.

“Entahlah! Mungkin paku, mungkin batu tajam mungkin juga ada serpihan kayu tajam yang tercucuk tayar ni,” balas Pak Tua.

Zahiran membelek-belek tayar jip yang sudah kempes tersebut.

“Jip buruk ni ada-ada saja yang tak kena. Selalu buat hal. Kadang-kadang enjin rosak, kadang-kadang tangki minyak hitam bocor dan hari ni tayar pancit pula!” omel Pak Tua panjang lebar.

“Pak cik larat ke nak tukar tayar tu?” tanya Zahiran.

“Kuat tak kuat pun, terpaksalah pak cik buat sendiri,” balas Pak Tua. “Kalau tak buat sendiri, siapa yang nak tolong pak cik..”

“Err, boleh saya tolong pak cik?” tanya Zahiran.

“Kamu ikhlas ke?” Pak Tua sekadar menduga.

“Saya ikhlas, pak cik!” ujar Zahiran.

“Kalau kamu nak tolong, apa salahnya! Pak cik pun suka juga kalau kamu tolong pak cik... tapi..”

“Tapi apa, pak cik?” cantas Zahiran tidak sabar.

“Nanti baju putih kamu tu kotor pula,” ujar Pak Tua.

“Tak apa, pak cik! Saya boleh tanggal baju ni sebelum tolong pak cik,” balas Zahiran

“Kalau begitu, baiklah!” Pak Tua tersengih bangga dengan bantuan yang dihulurkan oleh Zahiran.

Tanpa banyak bicara Zahiran pun segera menanggalkan bajunya. Selepas baju itu disangkutkan pada pintu jip, dia segera menolong Pak Tua mengangkat sebiji tayar yang diletakkan di bahagian belakang kenderaan tersebut. Selepas beberapa minit kemudian, segalanya selesai.

“Terima kasihlah kerana menolong pak cik!” ujar Pak Tua.

“Ini dah jadi tanggungjawab saya, pak cik! Emak pesan, kalau ada orang dalam kesusahan, kita mesti tolong,” ujar Zahiran ikhlas.

“Kalau semua orang macam kamu, tentu aman dunia ni,” balas Pak Tua. “Tapi, lebih ramai orang yang tak baik. Sebab itulah dunia ni selalu saja berperang,”

Zahiran hanya tersengih dan mengangguk.

Pak Tua mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Zahiran. Sebelum Pak Tua menuju ke Bukit Bintangor, berkali-kali dia mempelawa Zahiran bertandang ke kediamannya.

“Nantilah bila saya ada masa, pak cik!” ujar Zahiran membuat janji.

Di dalam perjalanan pulang, Zahiran mulai berfikir. Pak Tua tidak sombong atau terlalu pendiam seperti yang disangka selama ini. Zahiran dapat rasakan kemesraan yang ditunjukkan. Lantaran itu, dia memasang hasrat untuk bertandang ke pondok Pak Tua di Bukit Bintangor.

* * *

PINGGIRAN Sungai Jeneri hening dan sepi. Air yang berkocak dibalun angin dari Bukit Bintangor sungguh mendamaikan perasaan. Ketika itu Hamzah, Khuzairi dan Marzuki sedang mencari tempat yang baik untuk memancing.

“Di depan sana ada lubuk,” ujar Marzuki. “Saya yakin, di situ banyak ikan lampam,”

“Buat apa ikan lampam.... ikan tu banyak tulang,” tukas Hamzah.

“Eh, kita bukannya nak makan ikan lampam tu. Kita nak bawa ke sekolah. Nak bela di kolam,” tegas Marzuki.

“Saya tahulah... tadi tu saya bergurau saja,” balas Hamzah bersahaja.

“Kalau begitu, ayuhlah kita ke sana,” tambah Khuzairi seolah-olah tidak sabar lagi.

Mereka bertiga pun terus mengatur langkah menyusur tebing Sungai Jeneri ke arah sebuah lubuk yang jauhnya sekitar 50 meter dari tempat mereka berdiri tadi.

“Saya pernah ikut ayah saya mengail di situ,” ujar Marzuki lagi. “Kalau hari senja, kita boleh dapat udang galah,”

“Eh, udang galah makan umpan kail ke?” tanya Hamzah.

“Mestilah... kalau tak makan matilah udang galah tu!” Marzuki bersahaja.

“Maksud aku, boleh ke udang galah makan umpan di mata kail,” balas Hamzah.

“Saya bercakap dari pengalaman. Kalau udang galah tak makan umpan di mata kail, macam mana ayah saya boleh dapat udang galah tu!”

Hamzah sekadar mengangguk seolah-olah mengiyakan kata-kata rakannya.

“Dalam sungai ni tak ada udang kara tak?” tanya Khuzairi.

“Udang kara? Udang apa tu? Udang harimau ke?” tanya Marzuki sambil terkesip-kesip biji matanya.

“Ala.... udang besar yang kulitnya menggerutu tu!” ujar Hamzah. “Takkan kamu tak pernah tengok!”

“Memang saya tak pernah tengok, sebab itulah saya tanya kamu,” ujar Marzuki.

“Setahu saya, udang kara hidup dalam laut. Dalam sungai air tawar, dia tak boleh hidup,” jelas Hamzah melalui pembacaannya.

Tanpa sedar mereka sudah sampai ke tempat yang dituju. Air di lubuk itu kelihatan kehitaman kerana kedalamannya. Di bahagian tengahnya kelihatan pusaran air seolah-olah berpusing-pusing bagai gasing kayu halban.

“Umpan apa yang kamu bawa?” tanya Hamzah kepada Marzuki sewaktu melihat rakannya itu menjulurkan batang joran ke tengah lubuk.

“Umpan cacing,” jawab Marzuki.

“Kamu, Zairi?” tanya Hamzah kepada Khuzairi pula.

“Saya bawa umpan anak kerengga,” ujar Khuzairi.

“Mana kamu dapat anak kerengga tu?” tanya Marzuki.

“Saya ambil dari atas pokok gajus di belakang rumah saya,” jawab Khuzairi.

“Macam mana kamu ambil? Tak kena gigit dek kerengga ke?” Hamzah sungguh-sungguh ingin tahu.

“Ada caranya nak ambil anak kerengga ni, Zah!” ujar Khuzairi bersahaja.

“Macam mana caranya?” tanya pula Marzuki.

“Mula-mula kita mesti bakar sarang kerengga tu. Lepas tu, barulah boleh ambil anak kerengga yang ada dalam sarang,” jelas Khuzairi.

Sebatang ranting mati yang tiba-tiba jatuh ke dalam sungai telah mengejutkan Hamzah, Khuzairi dan Marzuki. Perbualan mereka mendadak terhenti. Namun selepas itu mereka meneruskan kerja-kerja mengail. Di atas gigi air, anak-anak ikan tembiras kelihatan berenang-renang riang di celah-celah rumput dan riong yang tumbuh meliar. Pepatung dan kupu-kupu kecil turut berterbangan riang lalu hinggap di hujung rumput. Sesekali pepatung menjunam ke atas air dan terbang semula ke atas. Suasana itu sungguh mengasyikkan. Begitulah kebebasan hidup haiwan-haiwan ciptaan Tuhan itu. Masing-masing dengan dunianya yang tersendiri.

“Eh, siapa tu?” tiba-tiba Hamzah bersuara sewaktu terlihat kelibat dua orang lelaki meredah hutan pinggir Bukit Bintangor. “Kalau pengail atau penjala, tentulah mereka akan bawa alat-alat untuk menangkap ikan. Tapi, bawa kamera pula?”

“Mana?” tanya Marzuki.

“Tu... bawah pokok halban rendang tu!” tuding Hamzah ke arah Bukit Bintangor.

Dengan segera Marzuki dan Khuzairi melihat ke arah yang ditunjukkan oleh Hamzah.

“Eh, orang tua gila tu pun ada sama,” ujar Marzuki.

“Yelah!” sokong Khuzairi. “Mereka buat apa agaknya ye?”

“Entahlah, saya tak pernah lihat mereka sebelum ni!” jawab Hamzah, acuh tak acuh. “Saya rasa orang tu bukan orang kampung ni!”

“Tentulah kawan orang tua gila tu!” balas Khuzairi.

“Takkan orang tua tu gila pula. Kalau gila, macam mana dia nak berkawan?” balas Hamzah.

“Ah, biarlah! Bukannya dia kacau kita!” tingkah pula Marzuki seraya mencucuk mata kailnya dengan seekor cacing yang sudah kehabisan umpan.

“Apa kata kalau kita intip gerak-geri mereka,” Khuzairi tiba-tiba memberi cadangan. “Untung-untung kita dapat tahu apa yang mereka buat,”

“His, nak buat apa? Bukannya ada apa-apa faedah,” balas Hamzah.

“Lebih baik kita mengail dari ambil tahu pasal orang tua tu!” sokong pula Marzuki.

“Betul kata kamu tu, Zuki! Dari kita intip mereka, lebih baik kita teruskan memancing,” tambah Hamzah.

Khuzairi terdiam.

“Mungkin juga orang tua dan kawan-kawannya tu pencinta alam semula jadi, datang untuk merakam keindahan suasana sekitar tempat tu!” duga Hamzah pula.

“Pedulikan mereka! Buat apa kita nak ambil tahu hal mereka tu!” Marzuki seolah-olah kurang berminat lagi.

Ketiga-tiga remaja itu meneruskan kerja-kerja mengail mereka. Tiga orang lelaki yang mereka lihat juga sudah hilang di celah-celah batang-batang pokok yang terdapat di situ. Tidak ada siapa pun tahu bahawa dua orang lelaki tersebut adalah pakar-pakar botani dari Universiti Putra Malaysia yang sedang membuat penyelidikan di Bukit Bintangor.

* * *

TITIK-TITIK embun di atas dedaunan sudah mulai menghilang disedut oleh cahaya matahari. Suara ceridau unggas hutan mulai membingar di setiap penjuru hutan di Bukit Bintangor itu. Sejak pagi lagi Zahiran, Osman dan Kadir datang ke bukit itu untuk menangkap burung. Mereka bercadang hendak mencari pokok cenderai untuk menahan getah. Setelah beberapa lama meredah belukar pinggir Bukit Bintangor, akhirnya mereka bertemu dengan sebatang pokok cenderai yang sedang berbuah ranum. Buah cenderai yang berwarna hitam seaakan-akan menutupi sebahagian besar daunnya. Puluhan ekor burung kelihatan terbang ke arah pokok itu untuk mengecap rezeki kurniaan Tuhan.

“Kamu yakin ke yang orang tua tu tak tahu kita datang ke sini?” tanya Osman.

“Kalau dia tahu pun, takkan dia nak apa-apakan kita,” balas Zahiran.

“Tapi, Bukit Bintangoir ni dia punya. Tentu dia tak suka kita menceroboh hak miliknya,” ujar Kadir.

“Orang tua tu baik, Dir! Kamu berdua janganlah buruk sangka yang bukan-bukan,” tegas Zahiran.

“Mana kamu tahu dia baik?” tanya Osman.

“Saya pernah bantu dia waktu tayar jipnya pancit dulu. Dia baik, mesra dan saya tak percaya yang dia tu gila atau jahat seperti yang semua orang sangkakan selama ni,” tegas Zahiran.

Kadir dan Osman terdiam.

“Dia juga ada mempelawa saya datang ke pondoknya di atas Bukit Bintangor,” tambah Zahiran lagi.

“Kamu nak pergi ke? Kamu tak takut ke?” Osman seolah-olah mahu menegah.

“Apa yang saya nak takutkan? Dia bukannya makan orang..”

“Memanglah orang tua tu tak makan orang....” cantas Osman. “Tapi, bagaimana kalau kamu ditangkap dan dijualnya pada orang bandar yang datang ke pondoknya..”

“Apa kamu cakap ni, Man?” tingkah Zahiran sungguh kurang senang. “Buruk sangak kamu ni dah sampai tahap kritikal, tahu tak? Berdosa tau... Tuhan tak suka orang yang suka berburuk sangka macam kamu. Kamu mesti minta ampun dari orang tua tu!”

Osman segera ketawa. “Minta ampun kata kamu? Hei, Zahiran! Saya tak buat apa-apa salah. Buat apa saya nak minta ampun pula..”

“Kamu dah buat fitnah tadi. Kamu kata, orang tua tu akan tangkap saya dan jual saya. Itu fitnah namanya. Kamu mesti minta ampun dari dia,” tegas Zahiran.

“Sudahlah!!!!” ujar Kadir seolah-olah mahu menenangkan keadaan. “Buat apa kita nak bertengkar soal orang tua tu. Lebih baik kita teruskan kerja kita,”

“Betul kata Kadir tu,” balas Osman. “Lagi lama kita buang masa, lagi rugi kita. Kejap lagi burung-burung tu tentu terbang ke tempat lain,”

“Kalau begitu, ayuhlah cepat. Mari kita tangkap burung-burung tu!” ujar Zahiran.

“Kamu panjatlah pokok cenderai ni. Biar kami duduk di bawah,” usul Kadir kepada Zahiran.

“Kamu ni asyik suruh saya saja. Kamu panjatlah pula,” balas Zahiran.

“Saya tak pandai panjat pokok,” tegas Kadir.

“Saya pun tak pandai juga,” tambah Osman. “Saya gayat....”

“Kamu berdua ni memang banyak alasan,” tukas Zahiran sambil ketawa. “Tapi tak apalah. Biar saya panjat dan kamu berdua tunggu di bawah. Saya akan panjat dan tahan getah di atas ranting atas pokok sana. Kalau ada burung yang terkena getah dan jatuh, cepat-cepat kamu tangkap dan masukkan ke dalam sangkar,”

“Baiklah!” balas Osman.

Kadir hanya mengangguk.

Setelah memastikan getah perekat dan sebilah parang ada bersamanya, Zahiran pun segera memanjat pokok cenderai yang sedang berbuah lebat itu. Burung-burung merbah kunyit, merbah jambul, serindit, nuri, bayan dan pelbagai jenis lagi bercempera terbang kala ranting tempat mereka hinggap meliuk-lentuk dipegang oleh Zahiran. Zahiran tidak peduli. Dengan tenang dia meletakkan bilah-bilah kecil buluh yang bersalut campuran getah jelutung dan damar di atas ranting dan di tempat-tempat yang difikirkan akan dihinggapi burung. Dia pasti, jika burung yang cuai tentu akan jatuh apabila bulunya dilekati getah perekat tersebut. Beberapa minit kemudian, kerja-kerjanya pun selesai. Sewaktu sedang mencapai dahan sebesar lengan untuk turun, tiba-tiba kedengaran suara Osman dan Kadir di bawah pokok.

“Turun cepat, Matttt!!!! Lariiiii!!!! Lariiiiii!!!!”

Dari atas pokok Zahiran dapat melihat kedua rakannya lari susup-sasap lintang-pukang seolah-olah takutkan harimau. Sejurus kemudian kelihatanlah tubuh Pak Tua. Barulah Zahiran tahu yang Osman dan Kadir lari kerana takutkan Pak Tua.

Perlahan-lahan Zahiran turun ke bawah.

“Eh, bukan ke kamu yang tolong pak cik hari tu?” tanya Pak Tua sebaik Zahiran berdiri di hadapannya.

“Err, memang sayalah, pak cik!” jawab Zahiran sedikit menggigil.

“Siapa nama kamu?” tanya Pak Tua lagi. Nada suaranya tidak langsung mencerminkan kemarahan melepa dalam dirinya.

“Zahiran, pak cik!” jawab Zahiran.

“Kamu buat apa atas pokok ni?” Pak Tua terus bertanya.

“Err... sebenarnya.... sebenarnya saya dan kawan-kawan saya tadi nak tangkap burung, pak cik!” jelas Zahiran terus terang.

“Kamu nak buat apa dengan burung-burung tu?”

“Guru besar arahkan kami tangkap burung untuk dimasukkan ke dalam sangkar di taman sekolah,”

Pak Tua menganguk-angguk. “Err, kenapa kawan kamu lari bila nampak pak cik tadi?”

“Mereka takut agaknya,” ujar Zahiran.

“Pak cik ni bukannya harimau. Pak cik tak makan orang. Kenapa takut sampai macam tu sekali,”

Zahiran diam. Dia tidak mampu menjawab kata-kata itu.

“Mungkin juga mereka takut sebab datang ke sini tanpa kebenaran,” duga Pak Tua.

“Ya, itu salah satu sebabnya, pak cik!” balas Zahiran.

“Sebenarnya, Bukit Bintangor ni untuk semua orang..”

“Untuk semua orang?” Zahiran sedikit terperanjat. “Apa maksud pak cik?”

“Bukit Bintangor ni memang untuk semua orang. Pak cik jaga tumbuhan di sini untuk semua orang. Siapa pun boleh datang melawat Bukit Bintangor tapi dengan satu syarat..”

“Syarat apa, pak cik?”

“Syaratnya, jangan rosakkan tumbuhan yang ada di sini,” tegas Pak Tua.

“Kenapa, pak cik?” Zahiran sungguh-sungguh ingin tahu.

“Kita mesti sayangkan tumbuhan sebab kalau tak ada tumbuhan hijau, kita semua akan mati,” ujar Pak Tua.

Zahiran segera menggaru-garukan kepalanya.

“Takkan kamu tak belajar di sekolah. Tumbuhan hijau menyerap karbon dioksida dan membebaskan oksigen. Oksigen amat perlu untuk kita. Kalau tak ada tumbuhan, tak adalah oksigen. Kita semua akan mati kalau tak ada oksigen,” jelas Pak Tua sambil ketawa kecil.

Zahiran turut ketawa. Memang betul kata Pak Tua itu. Zahiran segera teringat tentang pelajaran sains yang dipelajarinya di sekolah. Selain dari apa yang telah dikatakan oleh Pak Tua tadi, tumbuhan juga perlu untuk manusia sebagai sumber makanan. Banyak tumbuhan yang boleh dimakan oleh manusia dan binatang. Tumbuhan juga boleh dijadikan ubat untuk sesetengah penyakit. Zahiran masih ingat, sewaktu dia masih kecil dulu, emaknya menggunakan daun pokok kapal terbang untuk mengubati kudisnya. Daun tumbuhan itu diupar bersama dengan sedikit kapur sehingga berbuih kuning. Buih itu dipalitkan ke atas kudis. Dalam masa lebih kurang seminggu, kudis akan baik.

Seekor burung merbah jambul terkena getah lalu jatuh telah mengejutkan Zahiran dari lamunan singkatnya. Pada mulanya dia enggan menangkap burung tersebut kerana bimbangkan kemarahan Pak Tua. Tetapi orang tua itu seolah-olah memberi lampu hijau kepadanya.

“Kalau kamu tak ambil burung tu, dia akan mati sebab tak boleh terbang,” ujar Pak Tua.

Setelah membersihkan bulu yang terkena getah, Zahiran memasukkan burung tersebut ke dalam sangkar yang dibawanya.

“Pak cik harap, selepas ni kamu tak usahlah tangkap atau bunuh haiwan lagi,” ujar Pak Tua. “Haiwan adalah rakan kita di dunia ini. Mereka pun nak hidup juga. Mereka turut menyumbang banyak faedah untuk kita. Kamu pun tahu kan?”

Zahiran segera mengangguk.

“Walau di mana pun kita berada, kesejahteraan tetap diperlukan oleh semua penghuninya,” ujar Pak Tua lagi. “Kita perlukan kesejahteraan hidup, burung juga memerlukannya. Mereka memerlukan udara yang bersih untuk hidup macam kita. Mereka mencari rezeki dan mengembangkan keturunan macam kita juga. Sekiranya udara tercemar, tentu sekali kehidupan kita dan mereka akan terganggu, keturunan akan pupus dan persahabatan mereka dengan kita juga akan lenyap,”

Zahiran masih diam.

“Sebab itulah pak cik nak nasihatkan kamu... dalam menjalani kehidupan di dunia ni, kita mesti menjalinkan ikatan persahabatan dengan setiap penghuninya. Kita mesti bersahabat baik dengan pokok-pokok, dahan-dahan, ranting-ranting, daun-daun, bunga-bunga, serangga-serangga, unggas-unggas, haiwan-haiwan dan sesiapa sahaja yang hidup dalam dunia ni,”

“Betul kata pak cik tu! Saya dah sedar sekarang,” balas Zahiran.

Pak Tua tersenyum sambil mengelus-elus kepala Zahiran. Mendadak Zahiran berasa seolah-olah ada satu siratan kasih-sayang antara dia dengan orang tua tersebut.

“Semua makhluk ada hubungan yang erat dengan cahaya matahari, mesra dengan hujan yang menitis dari langit dan manja dengan belaian angin yang menderu segar,” ujar Pak Tua lagi sejurus kemudian.

Zahiran sekadar mengangguk sahaja.

“Kehidupan kita mesti penuh dengan kasih sayang dan tolong-menolong. Kita akan berasa satu kehilangan yang besar jika cahaya matahari tak bersinar ke dunia kita. Kita tentu akan gelisah jika hujan tak bertandang menyuburkan tumbuhan hijau di dunia kita dan kita tentunya akan resah jika angin tidak datang mengusap tubuh-tubuh kita dengan kedinginannya,” Pak Tua terus bersuara.

Zahiran dapat merasakan betapa halusnya perasaan Pak Tua. Setiap patah perkataan yang terluah dari bibirnya penuh dengan nilai kasih sayang yang amat murni.

“Begitulah. Hakikatnya, kita mempunyai hubungan yang erat antara sesama. Kita memerlukan antara satu sama lain. Kita juga bergantung hidup antara satu sama lain,” Pak Tua meneruskan.

Zahiran dapat membayangkan kata-kata ‘hubungan’ yang disebut oleh Pak Tua. Maksudnya, kalau kupu-kupu memerlukan madu dari bunga, bunga juga memerlukan kupu-kupu untuk pembiakannya di mana selepas perut kupu-kupu kenyang dengan madu pemberian bunga, kupu-kupu akan membawa benih atau debunga dari stamen kepada stigma. Sebaik tiba di stigma, debunga yang kupu-kupu bawa ini akan mengeluarkan salur debunga ke dalam tisu pistil. Salur debunga akan terus tumbuh sehingga sampai ke ovul. Sel pembiakan jantan akan bergerak menuju ovul melalui salur debunga. Persenyawaan akan berlaku apabila sel pembiakan jantan bercantum dengan sel pembiakan betina dalam ovul. Selepas persenyawaan akan muncullah bunga dan buah. Buah pula akan dimakan oleh binatang atau manusia.

“Kamu dalam tahun berapa sekarang?” soalan Pak Tua yang muncul tiba-tiba itu segera mematikan ngeluyur fikiran Zahiran.

“Errrr, pak cik tanya apa tadi?” soal Zahiran kerana dia kurang jelas.

“Kamu sekarang belajar dalam tahun berapa?” ulang Pak Tua.

“Tahun enam, pak cik!” jawab Zahiran.

“Bermakna tak lama lagi kamu akan ambil UPSR,”

“Benar, pak cik! Tak lama lagi saya akan menghadapi UPSR. Emak selalu berdoa supaya saya lulus dengan cemerlang dan dapat meneruskan pelajar di MRSM atau sekolah sains,” jelas Zahiran terus terang.

“Baguslah, kalau begitu! Pak cik pun suka kalau kamu ambil aliran sains,” balas Pak Tua.

“Ayah kamu suka tak kalau kamu dapat masuk sekolah sains atau MRSM?”

“Ayah saya dah tak ada, pak cik! Dia dah meninggal dunia. Waktu tu, saya di tahun empat,” jelas Zahiran sedikit terharu.

Pak Tua terdiam. Jelas ada genang di kelopak matanya.


Bab 4
Bukan Sembarangan Orang

PANGKALAN yang masih teguh itu menjadi saksi kepada keriangan yang jelas terpancar pada wajah mereka. Beberapa ekor ikan lampam, tengas, sebarau dan anak tongsan berenang tercungap-cungap di dalam sebuah baldi plastik berwarna biru yang airnya setakat lima inci saja dari permukaan. Hamzah, Marzuki dan Khuzairi kelihatan puas dengan hasil tangkapan masing-masing. Walaupun dua tiga ekor ikan lampam dan sebarau sudah mati, mereka tetap berbangga kerana berjaya menunaikan tanggungjawab mereka kepada sekolah.

“Kalau sekolah kita menang tempat pertama peringkat negeri, tentu Cikgu Kamarulzaman akan jadi terkenal,” ujar Hamzah sambil ketawa.

“Terkenal macam Datuk Azhar Mansur,” tambah Marzuki turut ketawa.

“Nak jadi terkenal bukannya susah sangat,” balas Khuzairi.

“Cakap memang senang, Zairi!” tingkah Hamzah. “Kamu ingat senang ke nak belayar keliling dunia secara solo?”

“Saya tak kata senang,” balas Khuzairi bersahaja.

“Kamu ingat senang ke nak berenang merentas Selat Inggeris dalam suasana yang sejuk?” kata Hamzah lagi.

“Saya tak kata senang,” Khuzairi masih bersahaja.

“Tadi kamu kata, senang saja nak jadi terkenal....” tegas Hamzah.

“Maksud saya... bukan terkenal macam Datuk Azhar Mansur atau terkenal macam Malik Mohideen tu..”

“Habis tu, terkenal macam siapa?” cantas Hamzah.

“Terkenal macam orang tua atas Bukit Bintangor tu..” Khuzairi bersahaja.

“Apa yang dia dah buat?” Hamzah sedikit terjeda.

“Dia buat-buat gila, buat-buat mereng, buat-buat nyanyuk lalu jadi terkenal serata kampung,” ujar Khuzairi sambil ketawa.

“Saya rasa, tak usahlah kita umpat atau keji orang tua yang tak bersalah tu,” nasihat Hamzah.

“Kenapa?” tanya Marzuki.

“Dia bukannya ganggu kita. Walaupun semua orang kata dia gila, dia jahat dan macam-macam lagi, tapi dia tak pernah ganggu kita. Saya tak pernah dengar dia pukul orang. Jadi, buat apa kita nak buruk-burukkan nama dia!” ujar Hamzah.

“Betul kata kamu tu, Zah!” sokong Marzuki.

Khuzairi ingin bersuara namun jadi terbantut kerana tiba-tiba matanya terkelih kelibat Osman, Kadir dan Zahiran sedang berjalan menuju ke arah mereka. Tidak berapa lama kemudian, ketiga-tiga rakan sekolah mereka itu pun tiba.

“Hei, apa kamu buat di sini?” tanya Zahiran sebaik tiba di hadapan Hamzah.

“Buat bodoh!” seloroh Hamzah menyebabkan rakan-rakannya yang lain mendadak ketawa.

“Pandai betul kamu buat lawak ye! Macam Senario dalam TV3,” balas Zahiran.

Hamzah hanya tersengih.

“Apa kamu buat di sini?” Zahiran mengulangi soalannya.

“Buat apa lagi, Zahiran! Berbincanglah!” jawab Hamzah.

“Berbincang tentang apa?” tanya Kadir tercolek ingin tahu.

“Tentang sekolah kita,” jawab Khuzairi.

“Banyak ke kamu dapat ikan?” tanya pula Osman.

“Taklah banyak sangat tapi cukuplah untuk kolam ikan di sekolah kita tu! Kalau terlampau banyak sangat, nanti tak muat pula,” gurau Hamzah.

Zahiran, Kadir dan Osman segera menjengokkan kepala masing-masing ke dalam baldi. Beberapa ekor ikan kelihatan tercungap-cungap di permukaan air seolah-olah hampir kelemasan.

“Cepatlah kamu bawa ikan-ikan ni ke sekolah. Kalau lambat nanti mati pula,” gesa Zahiran.

“Dalam baldi tu ada air, macam mana boleh mati pula!” tukas Hamzah.

“Walaupun ada air tapi oksigen kurang,” tingkah Zahiran. “Pak cik Bukit Bintangor tu kata, dalam baldi begini ikan tak dapat hidup lama sebab kekurangan oksigen,”

“Eh, bila kamu jumpa dengan dia?” Hamzah bagaikan terkejut.

“Saya memang baik dengan orang tua tu,” Zahiran bersahaja.

“Dia tak gila ke?” tanya Khuzairi.

“Siapa kata dia gila?” tegas Zahiran. “Sebenarnya orang tua tu baik dan mudah mesra. Dia tak gila sebagaimana yang kamu semua sangkakan,”

“Betul ke apa yang kamu cakap ni, Zahiran?” Hamzah seolah-olah inginkan kepastian.

“Takkan saya nak menipu kamu pula. Betul, Zah!” ujar Zahiran. Jelas nadanya serius. “Saya rasa, suatu hari nanti, saya nak ajak kamu semua berjumpa dengan dia. Bila kamu dah berjumpa dengan dia nanti, barulah kamu tahu sendiri sama ada dia gila atau tidak,”

“Eh, saya tak naklah!!” Khuzairi seolah-olah membantah.

“Apa yang kamu takutkan?” tanya Zahiran.

“Saya bukan takut tapi..”

“Kalau kamu tak takut, kenapa tak nak jumpa dengan orang tua tu?” desak Zahiran.

“Mungkin dengan kamu dia tak gila tapi dengan kami... tiba-tiba saja dia jadi gila. Hah, siapa nak bertanggungjawab?” ujar Khuzairi.

“Biar saya yang bertanggungjawab,” balas Zahiran.

“Kamu nak bertanggungjawab macam mana kalau saya dah jadi arwah? Mahkamah tak boleh hukum orang yang gila. Paling berat hukuman yang dia akan terima ialah penjara atau dihantar ke Tanjung Rambutan,” ujar Khuzairi.

Zahiran terus ketawa.

“Kenapa kamu ketawa pula?” soal Khuzairi.

“Kamu jangan bersikap begitu, Zairi! Jangan mudah percaya dengan cakap orang yang sengaja buat fitnah. Saya dulu pun sangka dia gila juga tapi bila dah berjumpa dan bercakap dengan dia, rupanya dia seorang yang baik, penyayang dan sungguh mesra,” jelas Zahiran.

Khuzairi mengangguk. Tetapi rakan-rakan yang lain saling pandang memandang antara sesama sendiri. Sejurus kemudian mereka turut mengangguk-angguk seolah-olah mengiyakan apa yang telah dijelaskan oleh Zahiran tadi.

“Saya rasa, orang tua tu bukan sembarangan orang,” ujar Zahiran lagi. “Tak rugi kalau kita mendampingi dia,”

“Apa maksud kamu?” soal Hamzah.

“Saya fikir, tentu dia seorang yang kaya. Dia beli bukit tu dengan harga ribuan ringgit. Kemudian dia jaga bukit tu macam sebuah taman rekreasi,” jelas Zahiran.

“Mungkin dia bekerja dengan Jabatan Perhutanan,” duga Marzuki yang selama ini sekadar diam saja.

“Tak mungkin...”

“Alasan kamu?” cantas Hamzah.

“Dia dah tua. Umurnya dah lebih 60 tahun. Mana boleh orang tua bekerja kalau umur dah lebih dari 60 tahun. Setahu saya, kalau umur 55, mesti pencen,” jelas Zahiran.

“Mungkin juga dia nak jadikan Bukit Bintangor tu sebuah taman rekreasi,” duga pula Khuzairi.

“Mungkin juga, sebab dia ada kata, Bukit Bintangor tu untuk semua orang. Siapa pun boleh datang ke bukit tu,” jelas Zahiran.

“Kenapa dia buat begitu?” tanya pula Hamzah.

“Sebab dia mahu semua orang tahu tentang tumbuhan hijau, pokok-pokok dan alam semula jadi,” ujar Zahiran.

“Tapi, orang kampung dah tahu tentang itu semua. Buat apa dia suruh pergi ke bukit tu. Di kampung ni banyak pokok dan tumbuhan hijau. Tak payah pergi ke situ pun, kita boleh jumpa dengan pokok,” balas Hamzah.

“Betul kata kamu tu, Zah! Kalau setakat nak tengok pokok, tak payah pergi ke bukit tu. Di sini pun banyak juga pokok,” sokong Khuzairi sambil menjuihkan bibirnya ke arah pinggiran Sungai Jeneri yang dipenuhi semak-samun pokok-pokok mengkirai, paku-pakis, menerung dan ruyung.

“Tapi apa yang ada di bukit tu berbeza sikit dari sini,” ujar Zahiran.

“Berbeza macam mana pula?” tanya Marzuki.

“Di setiap batang pokok, dibubuhnya nama biasa dan nama saintifiknya sekali,” ujar Zahiran.

“Mana dia tahu nama saintifik pokok tu?” tanya Hamzah.

“Itulah.... saya yakin, orang tua tu bukan sembarangan orang. Dia ni orang bijak. Mungkin seorang yang pakar tentang tumbuh-tumbuhan,” tegas Zahiran.

“Habis, apa tujuan dia buat itu semua di bukit tu?” tanya pula Marzuki.

“Itu saya tak tahulah. Mungkin ada sebabnya yang tersendiri. Dia seolah-olah terlalu sayang pada semua pokok yang ada di bukit tu,” jawab Zahiran.

“Saya rasa mungkin juga dia nak buat Taman Pelancongan di bukit tu,” duga Hamzah.

“Mungkin juga,” tokok Khuzairi.

“Sebab itulah saya nak ajak kamu semua supaya berbaik dengan dia. Kita boleh tanya dia, apa sebabnya dia buat begitu. Kita juga boleh belajar macam-macam ilmu dari orang tua tu. Dia tak kedekut ilmu,” ujar Zahiran.

“Kalau kamu kata begitu, saya pun suka juga. Tapi bukan sekarang. Saya nak tanya ayah saya dulu. Kalau dia izinkan, barulah saya boleh ikut kamu pergi ke sana,” jelas Hamzah.

“Ya, itu satu sokongan yang baik,” balas Zahiran. “Kamu semua mesti minta kebenaran dari ayah dan emak masing-masing terlebih dulu. Kalau mereka izinkan, barulah kamu semua boleh ikut saya ke bukit tu,”

Rakan-rakannya mengangguk-angguk. Mereka seolah-olah tidak takut lagi dengan Pak Tua. Zahiran sangat gembira kerana rakan-rakannya sudah mula berfikiran positif.


Bab 5
Sangkaan Yang Meleset

ANGIN menderu, sejuk, segar dan lembut. Daun-daun hijau tua dan muda seolah-olah menari tarian kipas, lemah gemalai. Di bawah sinaran cahaya matahari yang suam, rama-rama berkejar-kejaran riang, bebas dan tiada sebarang rasa takut ataupun gentar.

Pagi tenang, segar dan nyaman. Cahaya matahari sudah menjalur melalui celah-celah daun lalu jatuh ke bumi. Dengan penuh debar, Zahiran mengatur langkah ke arah Bukit Bintangor. Tujuannya sudah bulat. Dia ingin berkenalan dengan Pak Tua lebih lanjut. Dia ingin mengetahui tentang diri Pak Tua yang selama ini dicaci dengan pelbagai tuduhan oleh orang kampung. Lagipun dia ingin menunaikan pelawaan orang tua tersebut tempoh hari yang belum ditunaikannya secara rasmi.

Ketibaan Zahiran di kaki Bukit Bintangor disambut oleh nyanyian dan siulan burung-burung hutan juga bisikan unggas yang berterbangan di situ. Dia mendadak diundang rasa kagum sebaik tiba di pertengahan bukit kerana keadaannya tidak semak seperti yang dia sangkakan. Ianya seolah-olah sebuah taman rekreasi yang dijaga rapi. Di kiri kanan jalan menghala ke atas bukit, tumbuh subur pelbagai jenis bunga. Seperti musim-musim bunga yang pernah Zahiran lihat, bunga-bunga yang berkembangan seolah-olah di Taman Botani Putrajaya. Ketika ini suasana laksana sebuah taman yang indah.

Di sepanjang jalan, mekar berkembangan dengan bunga-bungaan pelbagai warna. Ada kenanga, ada cempaka, ada mawar, ada kemboja, ada teratai, ada segalanya. Ada merah, ada kuning, ada jingga, ada perang, hijau muda pucuk pisang, biru lembut dan sebagainya - membuatkan bauran keharuman yang menggerbak di tengah-tengah bukit itu seolah-olah disihir oleh keindahan warna-warna tersebut. Sungguh mengasyikkan kala Zahiran mengatur langkah sambil menikmati nyanyian sang unggas berterbangan dan hinggap dari ranting ke ranting pokok. Bulu di badan haiwan itu berkilau-kilauan kerana disinar oleh matahari.

Zahiran dapat rasakan betapa bahagianya kehidupan ungas-unggas itu. Daerah kehidupan mereka sejuk dan segar, jernih dan hening, aman dan damai, tenang dan sejahtera, dan yang lebih penting tiada sebarang pencemaran yang berlaku. Zahiran juga dapati pada setiap batang pokok telah ditandakan dengan nama biasa berserta nama saintifiknya sekali. Walaupun dia tidak berapa tahu hendak menyebut nama saintifiknya tetapi dia dapati ada pokok surian baru, merbau, melembu, terap nasi, meranti nemusu, kasai, kapur, pulai, rattan, sesenduk, mengkirai, ubah, tapak hantu dan sebagainya. Zahiran tertanya-tanya sendiri. Tentulah ini semua dilakukan oleh Pak Tua. Mesti ada sebabnya kenapa dia lakukan begitu! Keadaan itu membuatkan Zahiran semakin tidak sabar mahu bertemu dengan Pak Tua. Sudah jelas sekarang, Pak Tua tidak gila. Tidak juga seorang penjenayah. Orang gila atau penjenayah tidak mungkin mahu menjaga hutan sebegini cantik dan lengkap dengan namanya sekali.

“Barangkali juga dia bekerja dengan jabatan perhutanan!” bisik hati Zahiran sekadar menduga.

“Tak mungkin!” fikirnya pula beberapa jenak kemudian. “Dia sudah tua. Pekerja setua begitu, selalunya dah pencen!”

Zahiran menjadi buntu dengan tekaan yang tidak berjawapan. Tanpa disedari, dia sudah hampir dengan pondok kediaman Pak Tua. Pondok itu terletak di pertengahan bukit, kemas buatannya, dari kayu-kayu hutan, berdiri teguh di pinggir sebuah jeram kecil. Sewaktu Zahiran tiba di pondok kayu itu, Pak Tua sedang membelek-belek sebuah buku tebal. Begitu asyik sehingga tidak sedar Zahiran sudah berada di depan pondoknya.

“Assalamualaikum, pak cik!” sapa Zahiran sebaik menjengul di muka pintu.

Agak terperanjat Pak Tua menjawab salam yang dihulurkan kepadanya. Sejenak terkebil-kebil memandang tubuh Zahiran dari atas ke bawah sebelum mempersilakan pelajar tahun enam itu duduk di sebuah bangku kayu.

“Kenapa tak beritahu nak datang?” soal Pak Tua sejurus kemudian. Mesra dan lembut.

Zahiran tidak menjawab sebaliknya tersengih-sengih.

“Kamu datang seorang saja?” tanya Pak Tua lagi.

Zahiran tidak menjawab, sekadar mengangguk.

“Kenapa tak ajak kawan-kawan kamu yang lain datang sama?” Pak Tua meneruskan pertanyaan.

“Err, saya dah ajak tapi mereka tak mahu datang ke mari,” ujar Zahiran.

“Tentu mereka takut dengan pak cik,” balas Pak Tua. Jelas wajahnya pudar.

“Entahlah, pak cik! Mungkin juga mereka tak suka datang ke mari sebab di sini bukannya pekan atau bandar besar. Di sini tak ada apa-apa. Yang ada hanyalah pokok-pokok dan haiwan-haiwan,” balas Zahiran.

Pak Tua segera ketawa. “Suatu hari nanti pak cik akan bina sebuah panggung wayang di sini, tentu kawan-kawan kamu akan datang,” katanya bernada seloroh.

Zahiran turut ketawa.

“Eh, perut pak cik dah berkeroncong ni! Mari kita sarapan dulu,” ajak Pak Tua tatkala melihat jam di pergelangan tangan kirinya.

“Err, siapa yang masak sarapan pagi untuk pak cik?” tanya Zahiran ingin tahu.

“Siapa lagi, pak ciklah!” ujar Pak Tua seraya tersengih. “Lagipun, waktu sarapan, makanannya ringkas. Kita tak boleh makan makanan yang berat-berat macam nasi,”

Selepas menjamu Zahiran dengan kopi panas, Pak Tua mengajak pelajar tahun enam itu berjalan-jalan sekitar Bukit Bintangor. Sambil berjalan mulut Pak Tua tidak henti-henti menceritakan tentang jenis dan habitat tumbuhan hijau yang terdapat di situ. Nyata Pak Tua seorang yang peramah dan mudah mesra. Mencintai kehijauan alam, mencintai makhluk Tuhan yang bernama tumbuhan, unggas, haiwan dan yang lebih penting mahu mengekalkan kelestarian alam semula jadi dari sebarang pencemaran semata-mata untuk generasi yang akan datang.

Pak Tua tidak mahu generasi yang akan datang tidak kenal lagi dengan pokok-pokok tersebut. Dia mahu supaya manusia sedar yang mereka mempunyai hubungan yang erat dengan tumbuhan-tumbuhan hijau. Mereka mesti memelihara hubungan tersebut supaya tidak berlaku sebarang bencana. Begitulah yang dapat Zahiran katakan dari perjelasan yang diluahkan oleh Pak Tua.

Selepas makan tengah hari dan tatkala menjelang petang Zahiran dihantar Pak Tua pulang dengan jipnya. Sejak hari itu, Zahiran selalu bersama Pak Tua di Bukit Bintangor. Jika tidak ada apa-apa kegiatan sekolah, pelajar tahun enam itu akan datang ke pondok Pak Tua. Kadang-kadang bermalam bersamanya.

* * *

BANYAK ilmu tentang tumbuhan yang Zahiran dapat dari Pak Tua. Pak Tua tidak lokek ilmu. Segala ilmu tentang tumbuhan hijau, spesies, habitat dan sebagainya disaratkan ke dalam dada Zahiran. Walaupun pada mulanya agak sukar untuk memahami, tetapi lama kelamaan Zahiran mulai fasih terutama menyebut nama-nama saintifik yang terlalu asing dan pelek itu.

“Ini pokok sentang. Nama saintifiknya azadiracta exelsa!” jelas Pak Tua suatu hari sewaktu dia dan Zahiran di sebatang pokok sebesar sepemelok berhampiran pondok.

Kata Pak Tua, pokok itu ada di situ sejak asal lagi. Beberapa meter dari pokok sentang itu terdapat sebatang pokok kapur dengan nama saintifiknya dryobalanops aromatica. Di tebing jeram kecil pula tumbuh subur beberapa batang pokok jelutong atau dyera costulata.

Begitulah, bersama Pak Tua telah mencelekkan Zahiran dengan pelbagai nama pokok hutan yang sebelum ini amat asing di pendengarannya. Zahiran sudah kenal pokok merawan siput jantan atau hoped odorata, sena atau pterocarpus indicus malah berupaya mengecam perbezaan antara daun meranti tembaga dan meranti sarang punai.

Pendek kata, dengan melihat batangnya saja sudah cukup untuk mengenalkan Zahiran yang mana satu spesies shorea leprosula dan yang mana satu spesies shorea parvifolia.Tidak jemu-jelak juga Pak Tua mengajar Zahiran cara-cara menanam, menjaga dan merawat pokok-pokok hutan.

“Di samping memelihara pelbagai biodiversiti, hutan juga berperanan sebagai tempat penakungan unsur karbon!” kata Pak Tua.

“Saya dah belajar di sekolah tentang itu, pak cik!” balas Zahiran.

“Hutan boleh mengurangkan jumlah karbon dioksida di atmosfera dan menambah peratus oksigen untuk hidupan bernyawa lain,” Pak Tua meneruskan.

Walaupun bahasa Pak Tua banyak terselit istilah-istilah saintifik tetapi dia akan menjelaskan makna istilah-istilah tersebut selepas itu. Ini membuatkan Zahiran semakin kaya dengan perbendaharaan kata. Penguasaan Bahasa Melayu Zahiran juga menjadi bertambah baik dari dulu. Kalau bercakap tentang tumbuh-tumbuhan, Zahiran tidak pernah lupa menyebut nama saintifiknya sekali sehinggakan dia digelar ‘Zahiran Saintifik’ oleh orang-orang kampung.

* * *

PETANG yang indah dan tenang. Angin yang segar menderu sepoi-sepi bahasa dari arah Bukit Bintangor. Ketika itu Hamzah, Osman, Kadir, Zahiran, Marzuki dan Khuzairi sedang bersiap-siap hendak bermain badminton di halaman rumah Zahiran. Zahiran dan Hamzah meregangkan jaring badminton di tengah-tengah halamn. Hujung jaring itu diikatkan pada dahan mempelam yang terjuntai ke arah halaman. Sementara hujung yang satu lagi diikatkan pada sebatang paku yang terlekat di dinding rumah.

Setelah segalanya selesai, enam pelajar Sekolah Kebangsaan Alor Rambai itu pun mulai bermain. Hamzah dan Osman berganding bahu menentang Zahiran dan Kadir. Selepas itu Marzuki pula menentang Khuzairi secara satu lawan satu. Begitulah sebahagian daripada rutin kehidupan mereka seharian. Selain dari mengulang kaji pelajaran, pada sebelah petang mereka akan bermain untuk menyihatkan badan.

“Macam mana dengan rancangan kita nak ke Bukit Bintangor?” tanya Hamzah sewaktu mereka sedang mengemas sebaik selesai bermain.

“Bila-bila pun saya tak kisah,” jawab Zahiran. “Tapi tanyalah rakan-rakan kita yang lain dulu,”

“Ha... kamu macam mana Zuki?” tanya Hamzah sedikit kuat.

“Macam mana apa?” balas Zuki yang berada di hujung halaman.

“Bila kita nak pergi ke Bukit Bintangor?” tanya Hamzah.

“Bila-bila pun boleh,” jawab Marzuki.

“Kamu Dir?” tanya Hamzah kepada Kadir pula.

“Minggu ni tak boleh sebab di rumah saya ada kenduri arwah,” jawab Kadir. “Saya mesti tolong apa yang patut waktu kenduri tu. Kalau minggu depan, bolehlah!”

“Kamu pula Man?” Hamzah mengalihkan pula pertanyaannya kepada Osman.

“Macam mana kalau kita pergi pada hari Ahad minggu depan?” tanya Osman tanpa menjawab pertanyaan Hamzah.

“Kalau semua setuju, apa salahnya,” balas Zahiran. “Saya dah selalu pergi ke sana. Hanya kamu saja yang belum pernah pergi lagi,”

Setelah perbincangan dibuat, akhirnya mereka bersetuju untuk bertandang ke Bukit Bintangor bertemu dengan Pak Tua pada pagi Ahad. Mereka sudah bercadang hendak berkelah bersama dengan Pak Tua di bukit itu.

* * *

PAK TUA sangat gembira menyambut kedatangan Zahiran, Osman, Kadir, Marzuki, Hamzah dan Khuzairi. Walaupun pada mula rakan-rakan Zahiran itu agak takut-takut namun kemesraan yang ditunjukkan oleh Pak Tua telah menyebabkan mereka berasa seronok pula. Pak Tua tersenyum melihat bekalan yang dibawa oleh pelajar-pelajar sekolah rendah itu. Setelah mempelawa mereka duduk di hadapan pondoknya, Pak Tua meminta mereka memperkenalkan nama masing-masing. Zahiran pun terus memperkenalkan rakan-rakannya kepada Pak Tua.

Pak Tua menyalami tangan seorang demi seorang sambil menggosok-gosok kepala mereka dengan lembut dan mesra. Masing-masing terpegun dengan keramahan dan kemesraan yang ditunjukkan oleh Pak Tua. Ternyata segala apa yang mereka sangkakan selama ini meleset dan tidak tepat. Benarlah, Pak Tua bukanlah seperti apa yang mereka dengar selama ini. Pak Tua seorang yang baik dan amat penyayang. Jiwanya keras tetapi tutur katanya lembut. Dia juga pandai mengambil hati.

Memerhatikan kawasan persekitaran yang dijaga rapi oleh Pak Tua, Zahiran dan rakan-rakannya yang lain terlonjak-lonjak ingin tahu sebab orang tua itu berbuat demikian. Hamzah mengharapkan supaya Zahiran bertanya kepada Pak Tua tetapi Zahiran tidak melakukannya. Mereka dapati, benarlah apa yang telah dijelaskan oleh Zahiran dahulu. Setiap pokok yang tumbuh di atas Bukit Bintangor diletakkan nama masing-masing berserta nama saintifiknya sekali. Kalau selama ini mereka langsung tidak kenal nama pokok tertentu, dengan melawat Bukit Bintangor mereka dapat mengenalinya.

Suasana Bukit Bintangor aman, damai, segar dan nyaman. Suara cengkerik rimba, riang-riang hutan, lotong, kera, monyet dan unggas-unggas yang lain ditingkah pula bunyi deruan air terjun dari jeram kecil di sisi pondok Pak Tua, bagaikan lagu yang sungguh mengasyikkan. Seperti biasa, selepas mereka menjamu selera dengan makanan yang dibawa, Pak Tua mengajak pelajar-pelajar itu berjalan sekitar kawasan. Tidak kering mulut orang tua itu menceritakan tentang kepentingan tumbuh-tumbuhan hijau kepada manusia dan makhluk-makhluk bernyawa yang lain. Lebih kurang jam 4.30 petang, mereka pun pulang ke rumah masing-masing. Dalam perjalanan pulang, Hamzah melahirkan rasa kekagumannya dengan usaha yang telah dilakukan oleh Pak Tua. Begitu juga dengan Marzuki dan Khuzairi.

“Secara tak langsung, orang yang datang ke sini akan dapat pengetahuan tentang tumbuh-tumbuhan hijau,” tambah Kadir.

“Betul, Dir!” sokong Osman. “Banyak maklumat yang kita dapat dari Pak Tua tadi. Betullah kata kamu dulu, Zahiran! Pak Tua tu baik, mudah mesra dan lembut orangnya. Kalaulah dari dulu lagi kita kenal dengan dia, alangkah seronoknya,”

“Itulah... dulu kamu semua tak percaya. Kamu lebih suka dengar cakap orang kampung. Ha sekarang, kamu dah lihat sendiri, kan?” Zahiran seolah-olah menempelak.

“Memang kami bersalah, Zahiran! Tapi itu dulu. Sekarang kami dah tahu siapa sebenarnya Pak Tua,” balas Hamzah seolah-olah mewakili rasa kesal dengan sikap dia dan rakan-rakannya yang telah lalu.

“Baiklah... sekarang kita mesti teruskan hubungan baik dengan Pak Tua. Banyak lagi ilmu yang boleh kita ambil darinya,” saran Zahiran polos.

“Tapi, mana kita ada masa nak datang ke bukit ni selalu,” ujar Marzuki.

“Saya bukannya nak suruh kamu datang selalu. Cukuplah sekali seminggu atau sekali sebulan,” ujar Zahiran.

“Kamu macam mana?” tanya Kadir kepada Osman.

“Macam mana apa?” tanya Osman sambil mengesip-ngesipkan matanya.

“Kamu nak datang selalu ke berjumpa dengan Pak Tua?” tanya Kadir.

“Seorang ke ramai?” tanya Osman. “Saya seganlah kalau datang seorang. Kalau ramai-ramai macam ni, tak kisahlah,”

“Kalau ramai, nak ke kamu datang selalu berjumpa dengan Pak Tua?” tanya Kadir lagi

Osman mengeluh sejenak sebelum bersuara, “Entahlah! Susah juga saya nak jawab,” ujarnya.

“Kenapa?” tanya Kadir lagi.

“UPSR kita dah tak berapa lama lagi. Tentu ayah saya tak benarkan saya selalu ke sana. Nanti, masa untuk ulang kaji pelajaran tak cukup,” jelas Osman panjang lebar.

“Betul juga kata kamu tu, Man!” sokong Hamzah. “UPSR kita dah hampir. Kita mesti banyak buat ulang kaji. Kalau asyik pergi ke Bukit Bintangor saja, bila masa pula nak baca buku,”

“Kalau kamu semua setuju, kita boleh buat ulang kaji dan baca buku di pondok Pak Tua,” balas Zahiran.

“Eh, Pak Tua benarkan ke?” Marzuki seolah-olah terperanjat.

“Pak Tua tentu benarkan kalau saya yang bawa kamu,” ujar Zahiran.

“Ah, tak naklah!” balas Khuzairi. “Kalau kamu nak, kamu seorang sajalah yang pergi,”

“Saya tak kisah,” Zahiran bersahaja. “Saya memang selalu buat ulang kaji di pondok Pak Tua tu..”

“Eh, iye ke?” Kadir separuh melongo.

“Takkan saya nak berbohong dengan kamu pula. Lagipun, saya memang seronok bila bersama Pak Tua. Dia dah anggap saya ni macam anaknya sendiri. Lagi... yang saya seronok sangat tu sebab kalau saya tak tahu, saya akan tanya dia. Apa yang saya tanya, semua dia boleh jawab,” jelas Zahiran beriak bangga.

“Pak Tua tu tak ada keluarga ke?” tanya Hamzah.

“Yelah... dia tak ada anak ke? Tak ada isteri ke?” tanya Marzuki pula.

“Kalau ada anak dan isteri, mana mereka semua? Kenapa Pak Tua tak ajak mereka tinggal bersama?” tambah Osman.

Zahiran terkesip-kesip dengan pertanyaan-pertanyaan tersebut. Dia sendiri tidak tahu sama ada Pak Tua mempunyai isteri atau anak. Tetapi dengan pertanyaan-pertanyaan tersebut dia sudah memancang tekad untuk bertanya kepada Pak Tua. Masanya akan tiba juga, fikirnya.


Bab 6
Karut-marut

PETANG yang ceria. Lambaian daun kelapa kerana dibuai angin sungguh cantik dan lemah gemalai. Suasana Kampung Alor Rambai aman dan tenteram. Tidak ada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. Zahiran mengatur langkah menuju ke arah kedai runcit Pak Da Hamat untuk membeli tepung, gula dan kopi yang disuruh oleh ibunya. Di sepanjang jalan yang dilaluinya, Zahiran melihat begitu banyak tumbuhan hijau yang dahulunya tidak pernah diketahui tetapi kini seolah-olah begitu rapat dalam kehidupannya. Dulu Zahiran tidak pernah kenal rupa bentuk pokok mengkudu, pokok seruntun, pokok senduduk, pokok temiang, pokok langkat, pokok terap, pokok sekentut dan sebagainya, kini hanya dengan melihat daunya saja sudah dapat dijelaskan bentuk pokoknya.

Begitulah.... sejak bersahabat baik dengan Pak Tua, pengetahuannya tentang tumbuhan yang hidup subur di sekitarnya, menjadi lebih luas dan padat. Dalam diam-diam dia berasa amat sayang kepada tumbuhan hijau. Baginya, tumbuhan hijau adalah sahabatnya yang wajar dijaga dan dipelihara. Jangan sesekali merosakkan tumbuhan hijau. Tumbuhan hijau adalah penyumbang oksigen yang memberikan kehidupan yang panjang. Jika tidak ada tumbuhan hijau, manusia akan mati. Zahiran tetap ingat segala nasihat Pak Tua. Kata Pak Tua, selagi kita menjaga tumbuhan hijau dengan baik, selagi itulah hidup kita akan selamat. Kalau kita merosakkannya, nescaya hidup kita akan ditimpa oleh pelbagai bencana.

“Zahiran, mari sekejap!” panggil Seleman membuatkan segala lamunan Zahiran mati secara tiba-tiba.

Ketika itu Zahiran sudah pun berada di hadapan kedai runcit Pak Da Hamad.

Zahiran segera mendekati Seleman. “Ada apa, bang?” soalnya sebaik tiba di hadapan pemuda itu.

“Aku nak tanya kamu sesuatu, boleh tak?” tanya Seleman.

“Nak tanya apa, bang?” soal Zahiran.

“Err… apa nama saintifik pokok ni?” tanya pemuda lewat tiga puluhan itu sambil menuding jarinya ke arah pokok-pokok cekur di dalam sebuah tayar buruk di pinggir kedai Pak Da Hamad.

“Kenapa abang nak tahu?” tanya Zahiran.

“Kenapa? Tak boleh ke aku tahu?” balas Seleman.

“Boleh... apa salahnya!” ujar Zahiran.

“Ha, kalau boleh... beritahulah aku apa nama saintifiknya pokok cekur tu?” ujar Seleman sedikit keras.

“Kalau abang nak tahu, nama saintifiknya ialah kaempferia galanga!” jawab Zahiran dengan ikhlas.

“Pokok tu?” tanya pula Setopa sambil menjuihkan bibirnya ke arah sebatang pokok jambu air tidak jauh dari situ.

“Err… eugenia aquea!” Zahiran menjawab penuh yakin.

“Pokok kelapa?” soal Kasa, tersengih-sengih.

Cocos nucifera!” bersahaja Zahiran menjawab.

“Wah……wah! Hebat betul kamu, Zahiran!” ujar Seleman sambil menggeleng-geleng.

Zahiran tersengih menerima pujian tersebut.

“Sejak kamu rapat dengan orang tua di Bukit Bintangor tu, pengetahuan kamu dah mengalahkan profesor!” tambah Seleman lagi, mendecit-decit pula seolah-olah kagum dengan pengetahuan pelajar tahun enam itu.

Zahiran sekadar tersenyum.

“Hoi Zahiran! Kamu jangan ingat pokok saja ada nama saintifik. Aku pun ada nama saintifik juga!” balas pula Setopa sejurus kemudian sambil tersengih-sengih lebar.

“Apa nama saintifik kamu, Topa?” tanya Seleman, turut tersengih-sengih.

“Setopa de Caprio!” jawab Setopa disambut hamburan ketawa rakan-rakannya yang lain.

Zahiran mendengus dan selepas membeli barangan dapur pesanan ibunya, dia segera berlalu dari situ. Dia tahu, mereka menyinis dan sengaja mempermainkannya. Walaupun begitu, di hatinya mercup rasa bangga kerana Pak Tua telah menjadikan dirinya seorang pelajar yang kaya maklumat terutama tentang tumbuh-tumbuhan.

* * *

“EH, mana Hamzah?” tanya Pak Tua sewaktu Zahiran, Osman, Marzuki, Kadir dan Khuzairi datang ke pondoknya. Petang itu merupakan kali ketiga mereka bertandang ke pondok Pak Tua.

“Entahlah, pak cik!” jawab Zahiran. “Tapi, sudah dua hari dia tak datang ke sekolah!”

“Dah dua hari tak datang ke sekolah? Kenapa pula?” Pak Tua kehairanan.

Zahiran tidak menjawab. Dia sekadar memandang wajah Osman dan Kadir di sisinya. Masing-masing angkat bahu.

“Barangkali bapanya tak benarkan dia datang lagi ke sini!” ujar Pak Tua sambil meneruskan kerja-kerjanya semula. Hampir pukul enam setengah petang, masing-masing pulang.

Dua hari kemudian, meledak berita mengatakan Hamzah demam kerana kononnya telah tersampuk hantu tanah di Bukit Bintangor. Maka terhebahlah pula cerita bahawa Pak Tua pengamal ilmu hitam. Pak Tua amat resah dengan berita tersebut. Ramai orang kampung mulai kurang senang dengan keadaan tersebut. Mereka menyalahkan Pak Tua dengan alasan mempergunakan pelajar untuk kepentingan diri sendiri.

Sewaktu Zahiran datang bertemu dengannya, Pak Tua pun menyuarakan hasratnya, “Zahiran, boleh tak temankan pak cik ke rumah Hamzah?”

“Tak ada masalah, pak cik!” balas Zahiran. “Bila pak cik nak pergi?”

“Kalau boleh pagi esok!” jawab Pak Tua.

“Bagus juga! Kebetulan esok cuti hujung minggu. Saya pun tak ke mana-mana!” Zahiran mengangguk-angguk setuju. “Pukul berapa?”

“Kamu tunggulah di rumah! Insya-Allah, lepas sarapan pak cik akan sampai!” ujar Pak Tua.

* * *

“SAYA rasa, lebih baik kita naik basikal!” cadang Zahiran sambil menyorong basikal yang dipinjamkan dari Kadir.

“Kenapa?” tanya Pak Tua.

“Rumahnya agak jauh ke dalam. Lebih kurang satu kilometer dari jalan besar. Untuk sampai ke sana, kita terpaksa menyusur jalan kecil, meredah dusun dan kebun kelapa!” jelas Zahiran.

Pak Tua diam sejenak sambil memikirkan penjelasan Zahiran. Agak lama juga dia berfikir, akhirnya Pak Tua mengambil keputusan untuk berjalan kaki. Alasannya, dengan berjalan kaki dapat menikmati keindahan alam dan menghidu kesegaran udara kampung yang tidak tercemar. Zahiran akur. Basikal itu segera disandarkan semula di tiang rumahnya “Ayuh, pak cik!” ujarnya. Sejurus kemudian, mereka pun mulai bergerak.

Hari masih pagi namun tidak lagi berkabus. Perlahan-lahan dan berhati-hati sekali Pak Tua dan Zahiran mengatur langkah menyusur jalan kecil berbecak Kampung Alor Rambai untuk ke rumah Hamzah. Pak Tua yakin, pelajar tahun enam itu demam bukan kerana dirasuk hantu tanah. Setahu Pak Tua, demam selalunya disebabkan oleh jangkitan penyakit yang disebabkan oleh nyamuk. Tidak mungkin pula seseorang itu boleh demam kerana dirasuk oleh hantu syaitan.

“Pak cik jangan terperanjat bila tengok keadaan rumah Hamzah nanti!” suara Zahiran pantas mematikan lamunan singkat Pak Tua.

“Kenapa pula nak terperanjat?” Pak Tua tertanya-tanya.

“Keluarganya miskin, pak cik!” jawab Zahiran. “Rumahnya kecil, beratap rumbia, berdinding papan dan daif keadaannya. Lebih-lebih lagi sejak ayahnya tak boleh lagi bekerja!”

“Kenapa dengan ayah Hamzah?” Pak Tua sungguh-sungguh ingin tahu.

“Pak Hamid mengidap penyakit untut sejak dua tahun yang lalu!” jelas Zahiran. “Sejak itulah Mak Limah mengambil alih tugas Pak Hamid mencari rezeki, menoreh getah dan mengopek kelapa untuk menyara keluarga dan persekolahan Hamzah. Nasib baiklah cuma Hamzah seorang saja anak mereka. Kalau tidak, tentu susah juga kehidupan Mak Limah!” tambahnya lagi panjang lebar.

Pak Tua mengeluh panjang. Mendadak rasa simpati menerpa hatinya namun langkah tetap juga diatur.

Di bawah redup pohon-pohon manggis, nangka, rambutan, bacang, cempedak, kelapa, mempelam dan sebagainya, perjalanan mereka disambut oleh dengung nyamuk bising di cuping telinga. Sudah berpuluh kali Pak Tua menampar lengan dan pipinya kerana dihinggapi serangga itu. Sedang di ruang kepala kerap saja terbayangkan wajah Hamzah.
“Banyak betul nyamuk di sini!” Zahiran turut merungut sambil menggaru-garu lengannya sewaktu mereka melintas sebuah kebun kelapa.

“Serangga kecil tu memang suka tempat-tempat begini, Zahiran!” balas Pak Tua. “Di sini banyak terdapat tempurung atau seludang kelapa berisi air yang memang sesuai untuk tempat pembiakannya!”

“Serangga kecil? Kenapa pak cik kata serangga kecil?” tanya Zahiran kehairanan.

“Nyamuk memang tergolong dalam serangga kecil!” jawab Pak Tua. “Dalam bahasa Inggeris dipanggil mosquito. Berasal dari bahasa Sepanyol iaitu muscato, muskitto atau musqueto yang bermaksud serangga kecil!”

“Ooo… begitu!” Zahiran mengangguk-angguk. Satu pengetahuan baru, fikirnya.

Sejurus kemudian, mereka sudah berada di pekarangan rumah Hamzah. Benarlah kata Zahiran. Keadaan rumah tersebut amat daif dan uzur, terletak di pinggir sebuah parit kecil. Parit tersebut pula penuh dengan sampah-sarap. Pelbagai puntung kayu, tin kosong, plastik dan sebagainya ada di dalam parit itu. Namun, suasana tenang dan segar kerana di kelilingi pelbagai pokok buah-buahan. Beberapa ekor ayam kampung berkeliaran di halaman. Riang dan bebas.

Pak Tua segera meluahkan salam sebaik tiba di hadapan tangga rumah. Agak lama juga barulah salamnya bersambut. Mak Limah terjengul di muka pintu dengan wajah yang sedikit terperanjat. “Silalah naik!” pelawanya pula dengan mesra sambil melebarkan senyum. Dia tahu, kedatangan dua orang tetamu itu tentulah kerana hendak melawat anaknya.

Pak Tua dan Zahiran terus naik ke atas rumah, bersalaman dengan Pak Hamid yang sedang duduk berjuntai di atas sebuah bangku kayu sisi tingkap sebelum menuju ke bahagian anjung kecil. Di situ, Hamzah kelihatan terbaring sambil mata terkelip-kelip. Di hujung kepalanya ada sebotol air kosong dan sebiji gelas.

“Dah enam hari Hamzah demam!” suara Pak Hamid bergema lirih sewaktu Pak Tua dan Zahiran duduk di sisi anaknya.

“Kami tahu, pak cik! Sebab itulah kami datang ke mari!” balas Zahiran.

“Dah pergi ke klinik?” tanya pula Pak Tua sambil meraba-raba leher Hamzah.

“Tak perlu pergi ke klinik!” jawab Pak Hamid. “Kata dukun Lebai Deraman, ini demam biasa saja kerana ditegur hantu tanah!”

Pak Tua dan Zahiran saling berpandangan. Wajah Pak Tua berubah mendadak. Dia mengeluh panjang. Negara sudah lama mencapai kemerdekaan, maju dalam pelbagai bidang tetapi kenapa ada lagi warganya yang masih mempercayai perkara karut-marut begitu, fikirnya.

Mak Limah datang bersama sedulang air kopi panas berserta sepiring biskut lemak lalu diletakkan di hadapan tetamu. “Minumlah!” pelawanya sebelum berlalu ke dapur.

Sewaktu Zahiran menuang air kopi ke dalam cawan, Pak Tua mengambil kesempatan meraba-raba lagi tubuh Hamzah. Jelas tubuh pelajar itu panas. Pernafasannya lemah dan keseluruhan mukanya pucat kekuningan. Dari pengetahuannya, Pak Tua yakin, Hamzah mengidap demam kuning.

“Hamzah mesti dibawa ke hospital!” ujar Pak Tua sejurus kemudian agak tegas. “Dia perlu menerima rawatan secara betul di sana!” tambahnya lagi sambil melirik wajah Pak Hamid.

“Dua tiga hari lagi, baiklah tu!” Pak Hamid seolah-olah kurang senang dengan kata-kata Pak Tua. “Lagipun, dukun Lebai Deraman dah bagi air penawar buat halau hantu tanah tu!”

“Saya bukan nak halang kamu percayakan dukun tu!” balas Pak Tua. “Saya yakin, Hamzah demam bukan kerana ditegur hantu tanah tapi dia demam kuning! Hamzah mesti dihantar ke hospital sebab demam ni bahaya. Boleh bawa maut!!”

Pak Hamid terdiam seraya berfikir.

“Tolonglah! Hamzah mesti dihantar ke hospital hari ini juga!” Pak Tua seolah-olah merayu, sekali gus mendesak.

Pak Hamid meneguk air liur berkali-kali sebelum bersuara, “Kalau begitu, saya ikut saja. Tapi……”

“Pak cik jangan bimbang soal nak hantar Hamzah ke hospital. Semuanya pak cik ni yang akan uruskan termasuk perbelanjaan yang perlu!” ujar Zahiran ikhlas.

Pak Hamid mengangguk-angguk. Tengah hari itu juga, Hamzah dihantar ke hospital yang letaknya lebih kurang sepuluh kilometer dari Kampung Alor Rambai. Pelajar itu terpaksa ditahan di wad. Benarlah kata Pak Tua, Hamzah mengidap demam kuning.

* * *

“APA yang menyebabkan seseorang tu mengidap demam kuning, pak cik?” tanya Zahiran.

“Gigitan nyamuk err…. nyamuk jenis aedes aegypti!” jawab Pak Tua. “Kalau kamu nak tahu, untut pun disebabkan oleh nyamuk juga!” tambahnya lagi seolah-olah mahu menyarat dada Zahiran dengan ilmu yang ada padanya.

“Eh, betulkah pak cik? Tak pernah pula saya dengar untut disebabkan oleh nyamuk!” Zahiran sedikit melopong.

“Penyakit untut atau disebut filariasis ditemui seorang pakar saintis bernama Patrick Manson tahun 1878. Waktu tu dia berkhidmat di Amoy, China Selatan. Setelah dibuat kajian, dia dapati penyakit tu disebabkan oleh gigitan nyamuk!” jelas Pak Tua.

“Jadi, penyakit untut Pak Hamid pun disebabkan oleh nyamuk juga?” Zahiran ingin tahu.

“Pak cik bukanlah pandai sangat!” Pak Tua bagaikan merendah diri pula. “Penyakit Pak Hamid tu agak berbeza dari filariasis biasa. Mungkin juga dari jenis advanced filarial lymphoedema elephanthialisis....”

Zahiran terkebil-kebil.

“Setahu pak cik, disebabkan oleh gigitan nyamuk culex SP. Nyamuk ni meninggalkan larva seni dalam tubuh pesakit sehingga memusnahkan salur limfa dan menghalang kelancaran pengaliran darah. Sebab tu, untut yang menyerang Pak Hamid berbonggol-bonggol!” sambung Pak Tua lagi.

Zahiran terdiam. Memang benar kata Pak Tua itu. Penyakit untut Pak Hamid agak berbeza dari biasa. Berbonjol-bonjol, semakin banyak dan membesar dari hari ke hari.

“Kita mesti bantu Pak Hamid!” suara Pak Tua bergema kembali sejurus kemudian. “Mahu kamu bantu pak cik lagi?” soalnya pula sambil merenung wajah Zahiran.

“Bantuan yang bagaimana?” Zahiran terkebil-kebil.


Bab 7
Kita Perlu Bertanggungjawab

PENYAKIT sebenar yang melanda Hamzah telah menutup mulut orang-orang kampung yang sebelum ini tidak senang dengan Pak Tua. Namun begitu, beberapa hari kemudian, beberapa orang lagi murid Sekolah Kebangsaan Alor Rambai telah dimasukkan ke hospital kerana mengidap demam yang sama. Peristiwa ini telah menyebabkan Cikgu Kamarulzaman terpaksa memanggil satu mesyuarat untuk membincangkan perkara tersebut. Lebai Jusoh selaku Ketua Kampung Alor Rambai pun turut dipanggil kerana beberapa orang kampung juga mengidap penyakit tersebut. Begitu juga dengan Pak Tua. Dia dipanggil kerana dialah orang pertama yang dapat mengesan penyakit tersebut.

“Demam kuning yang melanda sekarang ni berpunca dari nyamuk!” ujar Pak Tua sambil menyeluruhi wajah Cikgu Kamarulzaman, Cikgu Latif, Lebai Jusoh dan beberapa orang guru yang lain.

“Untuk mengelakkan penyakit tu dari merebak, persekitaran kampung yang kotor mesti dibersihkan. Itu saja cara yang paling baik dalam usaha kita membanteras penyakit tu!” tegas Pak Tua.

“Kita serahkan saja kepada Jabatan Kesihatan. Ini tugas mereka!” cadang Cikgu Latif.

“Tak boleh begitu, cikgu!” balas Pak Tua. “Walaupun tugas tu memang di bawah Jabatan Kesihatan tapi, kita sebagai rakyat perlu juga bertanggungjawab, bersama-sama menjaga kebersihan persekitaran kawasan kita. Secara tak langsung, kehidupan kita tak terbeban dengan masalah penyakit!”

“Bagaimana dengan pendapat Pak Lebai pula?” tanya Cikgu Kamarulzaman kepada Lebai Jusoh.

Ketua Kampung Alor Rambai itu mengeluh panjang sebelum bersuara, “Entahlah, cikgu! Saya ni bukannya pandai sangat dalam hal-hal begini. Elok kata cikgu, eloklah kata saya!”

“Saya cadangkan supaya kita sama-sama bergotong-royong membersihkan kawasan kampung, terutama kawasan sekitar rumah Pak Hamid!” suara Pak Tua bergema sejurus kemudian.

“Kenapa dengan kawasan itu?” tanya cikgu Latif.

“Kawasan itu agak kotor, banyak tempat pembiakan nyamuk, parit penuh dengan sampah-sarap, airnya tak mengalir dan pelbagai lagi pencemaran,” jelas Pak Tua.

“Eh, mana kamu tahu?” Lebai Jusoh terkedu.

“Saya dan Zahiran pernah ke kawasan tu sewaktu melawat Hamzah tempoh hari!” jawab Pak Tua. “Lagipun, kebanyakan mangsa demam kuning sekarang datangnya dari kawasan berhampiran dengan tempat tu!”

Lebai Jusoh mengangguk-angguk. “Jadi, apa yang perlu kita lakukan sekarang?” soalnya pula.

“Kita teruskan gotong-royong seperti yang dicadangkan tadi!” ujar cikgu Kamarulzaman. “Saya rasa, cara itu saja yang terbaik boleh kita lakukan. Bagaimana? Setuju?”

“Setuju!!” suara beberapa orang guru yang sejak tadi diam, tiba-tiba bergema menyahut pertanyaan cikgu Kamarulzaman.

“Bagaimana dengan Pak Lebai?” tanya cikgu Kamarulzaman lagi.

“Bagus! Itu memang bagus! Saya setuju!” jawab Lebai Jusoh sambil mengangguk-angguk.

“Kalau begitu, menjadi tugas Pak Lebai menjemput orang-orang kampung sama-sama bergotong-royong. Soal lain serahkan saja pada saya!” ujar Cikgu Kamarulzaman

“Maksud cikgu?” Lebai Jusoh ingin tahu.

“Saya akan menghubungi Jabatan Kesihatan bagi tujuan menyembur ubat pembunuh nyamuk. Selain dari itu, saya juga akan berurusan dengan beberapa buah jabatan lagi untuk tujuan mengangkut sampah-sarap dan mengorek lubang untuk menanam bahan-bahan buangan...” ujar cikgu Kamarulzaman.

Semua yang hadir mengangguk-angguk.

“Saya juga akan memanjangkan perkara ini ke pengetahuan Wakil Rakyat supaya dijadikan acara wajib setiap bulan atau dua bulan sekali. Saya yakin dengan cara ini, masalah pencemaran alam sekitar kampung dan wabak penyakit tak berlaku lagi!” jelas cikgu Kamarulzaman lagi.

Kata-kata itu mendapat tepukan bergemuruh dari semua guru yang hadir. Cikgu Kamarulzaman tersenyum bangga dengan kerjasama yang ditunjukkan oleh Pak Tua. Barulah mereka sedar, betapa selama ini mereka menyimpan prasangka yang buruk terhadap orang tua yang tulus itu.

Dua minggu selepas mesyuarat itu berlangsung, Kampung Alor Rambai riuh-rendah dengan suara penghuninya. Mereka bergotong-royong membersihkan kawasan kediaman mereka seperti yang telah dirancangkan. Beberapa buah lori pengangkut sampah dari Syarikat Alam Flora, lori penyembur ubat pembunuh nyamuk dari Jabatan Kesihatan dan jentera pengorek tanah dari Jabatan Kerja Raya telah turut serta. Wakil Rakyat sendiri telah bermurah hati menyediakan makanan dan minuman untuk majlis tersebut.

Pada pengakhir majlis, Wakil Rakyat telah menyedarkan warga Kampung Alor Rambai supaya menanam sikap bertanggungjawab terhadap alam sekitar. Dia memuji usaha yang telah dilakukan oleh Pak Tua, Lebai Jusoh, cikgu Kamarulzaman dan guru-guru Sekolah Kebangsaan Alor Rambai yang lain. Pegawai dari Jabatan Kesihatan turut memberi ceramah bagaimana mahu menjaga kebersihan rumah dari menjadi tempat pembiakan nyamuk. Ubat pembasmi nyamuk diedarkan kepada semua orang kampung. Setiap tempat takungan air bersih seperti di pasu bunga, bekas pelapik kaki meja, seludang kelapa, tempurung, lubang kayu dan sebagainya di sekitar rumah mesti dihapuskan. Inilah tempat-tempat yang amat digemari oleh nyamuk sebagai tempat pembiakan.

“Tugas kita belum selesai lagi, cikgu!” ujar Pak Tua pada suatu petang.

“Eh, tugas apa pula ni?” cikgu Kamarulzaman sedikit terjegil.

“Tugas membantu Pak Hamid!” jawab Pak Tua.

“Kenapa dengan Pak Hamid?” Guru Besar Sekolah Kebangsaan Alor Rambai itu kehairanan.

“Nanti kita bincang perkara ni kemudian!” ujar Pak Tua.

Cikgu Kamarulzaman tertanya-tanya.

* * *

SEMBAHYANG Isyak baru saja selesai. Lebai Jusoh, Pak Tua, Lebai Syukor, cikgu Kamarulzaman, Zahiran, Osman, Kadir dan beberapa orang kampung yang lain berehat di anjung masjid. Pelbagai cerita jadi perbualan. Dari soal kampung, ekonomi, sekolah sehinggalah ke soal-soal politik semasa. Pak Tua mengambil kesempatan membawa cadangannya untuk membantu Pak Hamid.

“Kutip derma?” Lebai Syukor meneguk liur berkali-kali dengan cadangan yang dikemukakan oleh Pak Tua. “Saya bukan tak setuju! Tapi, berapa sangatlah kita boleh kutip dari orang-orang kampung. Rawatan perubatan Pak Hamid tu bukannya sikit. Setahu saya, mencecah angka puluh ribu ringgit!”

“Itu saya tahu, Pak Lebai!” balas Pak Tua. “Belanja rawatan penyakit untut memang besar. Saya tak nafikan tapi, biarlah kita usaha dulu. Kalau tak berjaya juga, kita usaha pula cara lain. Yang penting, penyakit Pak Hamid dapat disembuhkan, sihat, dapat bekerja semula seperti dulu. Saya amat simpati dengan kehidupannya!”

Masing-masing terdiam dan saling pandang memandang. Cikgu Kamarulzaman menggeleng-geleng.

“Err, cuba encik jelaskan sikit bagaimana caranya kita nak laksanakan soal kutip derma ni?” minta cikgu Kamarulzaman sambil menyandarkan belakangnya ke dinding masjid.

“Begini, cikgu!” ujar Pak Tua. “Kita tubuhkan sebuah tabung atas nama ‘Tabung Pak Hamid‘. Tabung tu, kita letakkan di masjid, di sekolah, di jabatan-jabatan kerajaan dan di mana saja yang difikirkan sesuai...”

Semua yang ada menganguk-angguk.

“Soal kelulusan meminta derma, cikgu uruskanlah. Di samping tu, saya akan meminta bantuan akhbar Utusan Malaysia menyiarkan berita kesengsaraan Pak Hamid. Minta mereka tubuhkan pula sebuah tabung khas melalui ruangan ‘Khidmat Utusan’,” ujar Pak Tua.

“Bagus tu,” sampuk cikgu Kamarulzaman.

“Lagi…. err…saya ada seorang rakan di Yayasan Kebajikan Negara atau YKN yang boleh membantu kita. Kerajaan negeri juga melalui Wakil Rakyat pula tak mungkin pandang sebelah mata. Dari mereka juga kita boleh dapatkan bantuan. Bagaimana?” tanya Pak Tua.

Lagi sekali masing-masing berpandangan sesama sendiri. Ada yang ternganga, ada yang terbeliak dan ada juga yang terteguk-teguk air liur dengan penjelasan panjang lebar dari Pak Tua. Lebai Jusoh mengangguk-angguk kekaguman. Cikgu Kamarulzaman mendadak diterpa rasa terpegun kerana Pak Tua kaya dengan cadangan bernas. Zahiran menepuk-nepuk bahu Pak Tua. Dia turut bangga dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh Pak Tua.

“Saya akan usahakan!” cikgu Kamarulzaman bersuara, penuh bersemangat.

“Saya pun!” tambah Lebai Jusoh.

“Ini satu usaha yang memerlukan sokongan semua!” ujar Pak Tua lagi. “Pak Hamid adalah antara warga kampung ini, anak watan Kampung Alor Rambai ini. Kita mesti bantu dia. Kita sekadar keluarkan tenaga yang tidak seberapa jika dibandingkan dengan penderitaan hidupnya. Saya yakin, ini antara usaha yang murni, yang tulus dan perlu dilakukan sebagai satu tanggungjawab sesama manusia.”

“Betul kata kamu tu!” Lebai Syukor tersenyum. “Saya berasa malu pula kerana kamu bukannya orang sini tapi ada-ada saja usaha nak berjasa kepada Kampung Alor Rambai ni!”

“Jangan puji begitu tinggi, Pak Lebai! Nanti riyak pula!” balas Pak Tua. “Sebenarnya, ini semua lahir dari hati saya yang tulus. Semata-mata untuk kesejahteraan kita semua.”

* * *

MALAM itu semua bersetuju dengan cadangan Pak Tua. Dua hari kemudian disusul dengan satu lagi mesyuarat membincangkan cadangan tersebut secara mendalam. Akhirnya, cadangan Pak Tua jadi kenyataan. ‘Tabung Pak Hamid’ dilancarkan oleh Wakil Rakyat. Setiap hari Jumaat, khatib menyampaikan maklumat tentang hasrat tabung yang dilancarkan. Para jemaah diminta menghulurkan derma setulus hati kepada Pak Hamid.

Di setiap jabatan kerajaan, masjid-masjid seluruh daerah dan negeri turut menempatkan sebuah tabung untuk tujuan tersebut. Pihak Akhbar Utusan Malaysia juga turut membantu. Yayasan Kebajikan Negara bersama kerajaan negeri yang prihatin sama-sama menyumbang. Semuanya diusahakan oleh cikgu Kamarulzaman, Ketua Kampung dan warga yang lain hasil perahan minda Pak Tua.

Lapan bulan kemudian, penyakit untut Pak Hamid berjaya disembuhkan setelah menerima rawatan pembedahan di Hospital Appolo, Chennai, India. Kini Kampung Alor Rambai telah terhindar dari sebarang pencemaran alam. Setiap dua bulan, acara gotong-royong dilakukan oleh penduduknya. Lebai Jusoh telah berubah menjadi seorang ketua kampung yang tegas dan bertanggungjawab terhadap kebersihan, keindahan, kesegaran dan kesejahteraan penduduk kampungnya. Sebarang penyakit akibat dari gigitan nyamuk tidak lagi berlaku kerana tempat-tempat pembiakan serangga itu telah dimusnahkan. Pak Tua tersenyum puas dengan kejayaan segala usaha setulus hatinya.

* * *

“MULAI hari ni jangan panggil pak cik lagi!” ujar Pak Tua pada suatu pagi sewaktu Zahiran datang membantunya merawat beberapa batang pokok bintangor.

“Habis, saya nak panggil apa?” tanya Zahiran ingin tahu.

“Panggil saja Pak Tua!” ujar Pak Tua sambil tersenyum. “Panggilan Pak Tua lebih mesra dan mudah. Lagipun, Pak Tua suka dipanggil begitu!”

Sejak hari itu Zahiran tidak lagi memanggilnya dengan panggilan pak cik tetapi Pak Tua. Dengan panggilan itu juga membuatkan kemesraan dan hubungan mereka menjadi lebih erat. Mereka seolah-olah dua beranak yang sentiasa berdua ke mana saja. Ibu Zahiran tidak menghalang persahabatan anaknya dengan Pak Tua kerana Pak Tua selalu bertandang ke rumah. Kemesraan yang Pak Tua tunjukkan meyakinkan ibu Zahiran bahawa Pak Tua bukanlah seperti yang ditohmah oleh orang-orang kampung selama ini. Pak Tua juga sering membelikan barang keperluan dapur untuk keluarga Zahiran. Dia menolong keluarga Zahiran dengan ikhlas di atas kesedaran bahawa pelajar tahun enam itu sudah kehilangan bapa sewaktu masih kecil.

* * *

PADA suatu hari, sebaik Zahiran selesai makan, dia berehat di beranda rumah. Sewaktu dia melihat ke arah Bukit Bintangor, tiba-tiba dia terpandang kepulan asap tebal keluar dari pucuk-pucuk hutan di situ. Mendadak hatiku dirundung debar. Tanpa sedar, Zahiran terus melompat turun dari beranda dan tergesa-gesa berlari ke arah Bukit Bintangor. Dalam kepalanya terbayangkan pelbagai perkara buruk tentang Pak Tua. Apakah yang telah berlaku? Apakah Bukit Bintangor telah terbakar? Bagaimana dengan diri Pak Tua?

Sewaktu Zahiran tiba, Pak Tua sedang terselepok di tepi perdu sebatang bintangor yang sudah terbakar. Zahiran melihat air mata Pak Tua mengalir deras ke pipi.

“Kenapa Pak Tua? Apa yang sudah terjadi?” soal Zahiran tak dapat ditahan-tahan.

Pak Tua tidak menjawab pertanyaan Zahiran. Air mata di pipi dikesat dengan lengan baju. Zahiran turut diterpa sedih dengan keadaan. Dia tahu, Pak Tua terlalu sayangkan pokok bintangornya. Tapi, siapakah yang melakukan perkara ini? Zahiran tertanya-tanya sendiri.

“Api datang dari bukit sebelah!” ujar Pak Tua sambil menuding jarinya ke arah kebun getah milik Seleman dan Kasa.

“Tentu mereka berdua yang melakukan perkara ni!” Zahiran sekadar menduga.

“Tak baik tuduh orang sembarangan,” ujar Pak Tua. “Kita tak ada bukti,”

Zahiran terdiam.

Pak Tua mengeluh panjang. Jelas wajahnya terlalu sedih dengan kejadian tersebut.

* * *

BERITA tentang pokok bintangor Pak Tua dibakar orang merebak ke serata pelosok kampung. Seperti biasa di kedai runcit Pak Da Hamadlah berita itu dicanang. Kasa dan Setopa bermati-matian menafikan penglibatan mereka.

“Kebakaran bermula dari kebun sebelah Bukit Bintangor!” ujar Zahiran sambil melirik wajah Seleman dan Kasa.

Kedua-dua pemuda itu mengangkat bahu masing-masing seolah-olah tidak tahu.

“Pak Tua akan membawa kes ni ke mahkamah. Orang yang terlibat akan didakwa kerana membuat pembakaran secara terbuka,” ujar Zahiran lagi.

Wajah Seleman dan Kasa mendadak berubah pudar.

“Pak Tua akan saman mereka dan mereka mesti membayar harga pokok bintangor yang mati tu!” tegas Zahiran lagi.

Sebenarnya Zahiran sengaja berbohong begitu supaya Seleman dan Kasa mengaku kesalahan mereka.

“Berapa harga pokok tu?” tanya Pak Da Hamad.

“Entahlah, Pak Da!” jawab Zahiran.

“Hai, takkan kamu tak tahu... kamu kan rapat dengan dia?” ujar Pak Da Hamad.

“Harga sebenarnya memang saya tak tahu, Pak Da!” ujar Zahiran. “Tapi Pak Tua kata, harganya melebihi dua ratus ribu ringgit...”

“Sebatang pokok harganya lebih RM 200 ribu ringgit?” Pak Da Hamad melopong besar.

“Ini berpatutan, Pak Da! Sebab pokok bintangor tidak terdapat di Semenanjung,” jelas Zahiran.

“Kalau tak ada di sini, di mana dia ambil pokok tu?” Pak Da Hamad bertanya pula.

“Kata Pak Tua, dia ambil di Hutan Hujan Sarawak, sewa kapal terbang dan sebagainya untuk bawa ke sini!” jelas Zahiran.

Pak Da Hamad mengangguk-angguk kekagetan.

Kala itu Zahiran melihat wajah Seleman dan Kasa pucat lesi. Masing-masing kelihatan seperti serba-salah.

“Kalau kamu yang bakar pokok tu, mengaku sajalah!” sinis Pak Da Hamad sambil melirik wajah Seleman dan Kasa yang sedang duduk di hadapan kedainya.

“Betul kata Pak Da tu!” sokong pula Zahiran.

“Tapi…..tapi… kami tak sengaja!” tiba-tiba Kasa bersuara tergagap-gagap.

“Tak sengaja?” Pak Da Hamad membeliakkan biji matanya.

“Kami bakar reba kering di sempadan Bukit Bintangor. Tak sangka pula api boleh merebak begitu!” jelas Kasa.

Seleman tunduk tidak bersuara. Nampak jelas dia kesal dengan apa yang telah berlaku.

“Sebelum perkara ni dibawa ke mahkamah, lebih baik kamu berdua minta maaf dari orang tua tu!” Pak Da Hamad bersuara sambil menggeleng-geleng. “Mudah-mudahan dengan minta maaf begitu, hatinya sejuk dan memaafkan kesalahan yang telah kamu berdua lakukan tu!”

Seleman dan Kasa saling berpandangan sesama sendiri. Sejurus kemudian keduanya mengangguk-angguk. Hari itu juga mereka memohon maaf dari Pak Tua. Mereka berjanji tidak akan mengulangi lagi perkara tersebut. Kesempatan itu diambil oleh Pak Tua meluahkan kesedaran betapa pentingnya menjaga kehijauan alam. Seperti yang pernah disaratkan ke dada Zahiran, nasihat yang sama turut diberikan kepada Seleman dan Kasa.

Sejak peristiwa tersebut, kedua-dua pemuda itu menjadi rapat dengan Pak Tua. Mereka turut sama-sama membantu Pak Tua menjaga kehijauan alam Bukit Bintangor. Sejak kebakaran tersebut juga, hati Zahiran terlonjak-lonjak ingin tahu kenapa Pak Tua amat sayang kepada pokok bintangornya.


Bab 8
Ada Kisah Tersendiri

BULAN di dada langit sungguh cantik. Bulat dan terang. Cahayanya menyelinap di celah daun-daun lalu jatuh ke bumi. Angin malam yang masuk ke dalam pondok melalui daun tingkap yang sengaja dikuakkan oleh Pak Tua, terasa menyengat dinginnya.

Suara desingan cengkerik dan keridik hutan begitu menyakitkan anak telinga. Sesekali ditingkah oleh suara katak memanggil hujan di kejauhan. Pak Tua asyik bersandar di dinding sambil membaca sebuah buku tebal. Buku itu berbahasa Inggeris. Sedang Zahiran pula sekadar duduk sambil memeluk lututnya. Dia tidak mahu mengganggu pembacaan Pak Tua. Beberapa jurus kemudian, Pak Tua menutup bukunya lalu diletakkan di atas sebuah meja kecil di sisinya. Bekas air kopi yang dibuat dari batang buluh itu dicapai lalu ditogoknya sekali.

“Eh, kamu nak minum ke?” tanya Pak Tua kepada Zahiran.

Zahiran menggeleng nipis.

“Kamu tak mengantuk ke? Hari dah jauh malam ni!” suara Pak Tua mencerlus lagi.

“Esok tak sekolah, saya bangun lewat pun tak apa,” jawab Zahiran sambil meleraikan pelukan di lututnya.

“Kamu nak dengar cerita tak?” tanya Pak Tua.

“Cerita apa, Pak Tua?” tanya Zahiran.

“Cerita tentang kejayaan seorang doktor menemui kuman penyakit cacar!” ujar Pak Tua.

Zahiran menggeleng seraya mencebek.

“Nak dengar teka-teki?” Pak Tua bagaikan mahu menarik minat Zahiran.

“Teka-teki apa?” tanya Zahiran.

“Kamu mesti jawab teka-teki ni,”

“Pak Tua tekalah, saya akan jawab,” Zahiran seolah-olah tertarik.

“Ada sepasang suami isteri yang lama berkahwin tapi tak dapat anak. Suatu hari, isterinya telah mengandung lalu melahirkan seorang anak. Anak itu diberi nama Saloma. Setahun selepas tu, isterinya mengandung lagi lalu melahirkan seorang anak lagi. Anak itu diberi nama Siti Nurhaliza,” ujar Pak Tua.

“Habis, apa teka-tekinya?” tanya Zahiran.

“Teka-tekinya ... sebab apa anak pertama itu diberi nama Saloma dan anak kedua pula diberi nama Siti Nurhaliza?” tanya Pak Tua.

“Err... sebab mereka minat kepada Saloma dan Siti Nurhaliza. Sebab itu mereka beri nama anak mereka macam tu,” jawab Zahiran penuh yakin.

“Salah!” balas Pak Tua.

Zahiran menggaru-garukan kepalanya.

“Tekalah sebab apa anak tu diberi nama Saloma dan Siti Nurhaliza?” desak Pak Tua lagi.

“Saya tak dapat nak jawab teka-teki tu, Pak Tua!” Zahiran seolah-olah mengalah.

“Kamu nak tahu jawapannya?” tanya Pak Tua sambil tersenyum.

“Nak!” jawab Zahiran pantas.

“Sebab, anak mereka tu perempuan. Kalau lelaki takkan mereka nak beri nama Saloma dan Siti Nurhaliza,” Pak Tua bersahaja.

Zahiran terus ketawa.

“Kamu ada teka-teki untuk Pak Tua?” tanya Pak Tua sejurus kemudian.

Zahiran menggeleng.

“Takkan tak ada apa-apa yang kamu nak tanya Pak Tua?”

“Ada!” jawab Zahiran.

“Apa dia?” tanya Pak Tua.

“Yang saya nak tanya ni bukan teka-teki tapi tentang Pak Tua..”

“Tentang Pak Tua? Tentang apa?” Pak Tua seolah-olah tersentak.

“Saya tengok banyak pokok bintangor yang Pak Tua tanam di atas bukit ni. Kenapa Pak Tua tak tanam pokok lain?” tanya Zahiran.

Pak Tua terteguk-teguk air liur.

“Kenapa Pak Tua tak tanam pokok cempedak ke, nangka ke, rambutan ke, langsat ke atau lain-lain pokok yang buahnya boleh dimakan,” tanya Zahiran lagi.

Pak Tua mengeluh panjang.

“Pak Tua marah ke saya tanya soalan tu?” tanya Zahiran.

Pak Tua menggeleng lemah.

“Kalau tak marah, Pak Tua jawablah soalan saya tadi,” Zahiran bagaikan mendesak pula.

“Baiklah... Pak Tua akan jawab soalan kamu,” ujar Pak Tua berjurus-jurus kemudian.

Zahiran berasa lega amat dengan kesudian Pak Tua berkata begitu.

“Lebih suku dari kawasan bukit ini Pak Tua suburkan dengan bintangor, err…dari spesies leanigerum dan sedikit tesymanii!” ujar Pak Tua memulakan ceritanya.

Zahiran sekadar mengangguk.

“Seperti yang pernah Pak Tua katakan dulu, pokok bintangor ni sukar didapati di Semenanjung Malaysia. Tapi banyak terdapat di Hutan Hujan Sarawak!” tambah Pak Tua lagi.

“Tentu ada sebabnya kenapa Pak Tua tanam pokok bintangor tu!” Zahiran sungguh-sungguh ingin tahu.

Pak Tua tidak terus menjawab sebaliknya bersahaja menikmati sapaan angin malam yang menderu segar melalui tingkap dari arah atas bukit. Suara jeritan cengkerik umpama lagu yang menghiburkan. Tiba-tiba wajahnya pudar dan beriak sedih. Zahiran mendadak diterpa tanda tanya.

“Siapa pun sukar nak percaya!” suara Pak Tua bergema juga beberapa jenak kemudian.

“Percaya apa, Pak Tua?” tanya Zahiran.

“Entah apakah hasilnya pokok-pokok itu? Entah apa faedahnya dua spesies itu jika mahu dibandingkan dengan rambutan, durian, mangga siam, dokong atau lain-lain tanaman..”

“Sebab itulah saya nak tahu dari Pak Tua!” cantas Zahiran.

“Pak Tua tak peduli, biar pelbagai tuduhan dilemparkan. Biar orang kata Pak Tua dah gila atau nyanyuk, biar tuduhan tu meledak di mana-mana. Yang penting Pak Tua senang dengan bintangor spesies leanigerum dan tesymanii tu!” tegas Pak Tua.

“Tapi kenapa, Pak Tua?” Zahiran masih ingin tahu. Rasa tidak sabar mengasak rongga hatinya.

“Mereka makhluk Allah juga! Tumbuhan hijau juga!” jawab Pak Tua bersahaja sambil mengeluh berat dan panjang. Dapat dirasakan, Pak Tua seolah-olah cuba menyembunyikan sesuatu dari pengetahuan Zahiran.

“Barangkali batang bintangor mahal di pasaran!” Zahiran sengaja berkata begitu supaya Pak Tua segera menceritakan perkara yang sebenarnya. “Pak Tua nak jual batang bintangor ke?”

Pak Tua mengeluh lagi. Lebih panjang.

“Kenapa Pak Tua mengeluh pula?” Zahiran terus bertanya.

“Sebenarnya, bintangor ada nilai dan kisah tersendiri pada diri Pak Tua,” ujar Pak Tua. “Pak Tua suburkannya semata-mata kerana Kamariah!”

“Kamariah? Siapa Kamariah tu, Pak Tua?” Zahiran pantas bertanya.

“Dia isteri Pak Tua. Isteri yang telah menganugerahkan Pak Tua sepasang zuriat dambaan kasih - Zahirah dan Zuwairah namanya...”

“Tapi, di mana mereka sekarang?”

“Sayang, mereka semua telah pergi meninggalkan Pak Tua. Kamariah pergi sewaktu uji kaji kami di peringkat pengumpulan sampel. Sedih amat mengenangkan peristiwa itu. Sebak jiwa mengingatkan kisah itu,” jelas Pak Tua.

Diam.

Jelas, kelopak mata Pak Tua bergenang. Berjurus lamanya Pak Tua tunduk merenung meja kayu di hadapannya. Tentu ada kisah sedih yang ditanggung sekian lama. Zahiran diterpa tanda tanya yang sukar untuk dicari jawapannya.

“Kalau Pak Tua rasa sedih, tak usahlah Pak Tua cerita,” ujar Zahiran lembut. Dia seolah-olah rasa bersalah pula kerana mendesak Pak Tua tadi.

“Kamariah isteri Pak Tua tu seorang yang baik!” suara Pak Tua bergema juga setelah agak lama mendiamkan diri. “Kamariah juga seorang isteri yang luhur dan penyayang. Selalu mengingatkan Pak Tua tanggungjawab memelihara kelestarian alam supaya dapat dimanfaatkan oleh semua. Pak Tua penyambung misi cita-cita dan harapannya yang berakhir dengan renggutan maut virus durjana itu.”

“Virus durjana? Maksud Pak Tua?” Zahiran terlopong.

“Ya, virus itu memang durjana. Kamariah meninggal kerana virus HIV,” suara Pak Tua sebak.

“Ini sudah takdir Tuhan untuk Pak Tua. Terimalah dengan redha!” Zahiran separuh memujuk.

“Tidak sekali-kali Pak Tua mahu menyalahkan ketentuan atau takdir Allah,” balas Pak Tua.

Zahiran tersenyum dan mengangguk.

“Siapalah Pak Tua mahu menghalang nahas itu dari berlaku dalam perjalanan Kamariah sewaktu pulang dari membeli-belah di Kota Chicago,”

Zahiran melopong. “Kota Chicago? Chicago tu di Amerika, kan?”

“Ya!” jawab Pak Tua. “Masa tu Pak Tua sekeluarga tinggal di Amerika. Akibat kemalangan tu isteri Pak Tua mengalami pendarahan yang banyak. Dua anak Pak Tua juga turut terkorban...”

Zahiran terteguk-teguk air liur.

“Pak Tua juga tidak menyalahkan para doktor yang bertungkus-lumus menyelamatkan nyawa Kamariah. Tugas mereka amat murni dan berjaya biarpun beberapa tahun kemudian isteri Pak Tua terpaksa bertarung dengan virus HIV akibat dari darah yang dipindahkan ke dalam tubuhnya,”

Air mata Pak Tua kelihatan sudah meleleh ke pipi.

Zahiran terkedu.

“Betapa rakusnya serangan virus durjana itu laksana jentolak besi padu melanyak fauna dan flora. Kamariah kecundang. Sungguh-sungguh Pak Tua kesal dengan kehilangannya!” air mata Pak Tua terus menitis, semakin laju.

“Bermakna Pak Tua tidak redha dengan kehendak Tuhan!” ujar Zahiran cuba menyedarkan Pak Tua.

“Bukan! Bukan begitu maksud Pak Tua!” Pak Tua cepat membalas.

“Habis tu?”

“Kekesalan Pak Tua amat menghenyak seluruh hidup kerana Kamariah tidak sempat melihat kejayaan uji kaji kami pada sampel (+)-calanolide diekstrak dari bintangor spesies calophyllum lanigerum.” Pak Tua mengesat air mata dengan hujung lengan baju.

“Uji kaji kami? Maksud Pak Tua?”

“Ya, kami! Pak Tua….. Pak Tua bersama beberapa orang pakar botani University of Illinois, Profesor Albert - rakan dari Institut Kanser Kebangsaan Amerika Syarikat (NCI) juga Dr. Gine dari agensi Arnold Arboretum Research (sebuah agensi penyelidikan sintesis organik persendirian)...”

Zahiran kembali melopong.

“Bayangkan! Lebih dua ribu seratus enam puluh jam kami di perut belantara Negeri Sarawak - meredah paya beronak, mendaki bukit berduri, cerun tajam berbatu dan mendepani pelbagai cabaran, semata-mata mencari bintangor itu,” jelas Pak Tua.

“Pak Tua berjaya?”

“Ya, Pak Tua dan rakan-rakan Pak Tua berjaya!”

Zahiran mengangguk-angguk kekaguman. Kesedihan yang turut menekan hatinya sekejap tadi hilang entah ke mana. Sekarang Zahiran seolah-olah amat berminat dengan cerita Pak Tua yang dirasakan amat perlu diketahui walaupun penuh dengan istilah-istilah sains perubatan yang tidak pernah didengarinya sebelum ini.

“Kajian in vitro yang telah kami jalankan menunjukkan (+)-calanolide A, sejenis bahan bukan nucleoside memberi tindak balas berbalik kepada enzim perencat atau transcriptase (NNRTI),” Pak Tua meneruskan. “Ia bertindak aktif terhadap virus HIV-1 termasuk strain yang rintang terhadap ubat-ubatan seperti azt, nevirapine dan pelbagai NNRTIs,”

“Lagi?” Zahiran bagaikan tidak sabar. Mengangguk-angguk sambil terkebil-kebil kerana dia seperti kebingungan dengan istilah-istilah yang Pak Tua sebutkan tadi.

“Kami dapati, bahan itu juga menunjukkan kemampuan bersinergi bila digunakan secara in vitro bersama-sama dengan analog nucleoside seperti AZT, ddC, ddI, d4T dan 3TC; serta dengan bahan perencat bukan nucleoside seperti nevirapine; dan perencat protease seperti saquinavir dan nelfinavir,” ujar Pak Tua.

Pak Tua berhenti sekejap untuk meneguk air. Zahiran turut mencapai air sejuk yang ada di sisinya.

Sejurus kemudian Pak Tua menyambung semula ceritanya. “Kajian ke atas haiwan menunjukkan kompaun bahan itu boleh menembusi takungan virus dengan menembusi halangan pada bahagian otak dan memasuki bahagian otak, seterusnya berkumpul pada nidus limfa.”

“Cuma itu uji kaji Pak Tua dan rakan-rakan Pak Tua yang lain?” soal Zahiran.

“Tidak! Uji kaji kami pelbagai,” jawab Pak Tua. “Berjujukan, rawak, kawalan placebo termasuk ujian ciri-ciri keselamatan, pharmacokinetics serta kesan dua dos (+)-calanolide A dijalankan ke atas pesakit HIV positif. Keputusannya memberangsangkan. Didapati diserap dan beredar baik melalui saluran darah kendati wujud sedikit loya, pening radangan dan nausea ringan.”

Zahiran mengangguk puas dengan penjelasan Pak Tua. Namun kembali diterpa sebak apabila Pak Tua bersuara lagi.

“Apakah tidak wajar Pak Tua menyesali kehilangan Kamariah meski dalam waktu rakan-rakan yang lain bergembira dengan kejayaan penemuan itu?”

Zahiran tidak mampu menjawab. Sememangnya soalan itu bukanlah ditujukan kepadanya.

“Mereka berhak untuk bergembira setelah pelbagai kesulitan ditempuh sepanjang uji kaji berlangsung...” tegas Pak Tua.

Zahiran masih lagi diam.

“Penemuan penawar ini manis, kejayaan ini manis. Wajar mereka gembira. Sedang Pak Tua, wajar juga untuk bersedih...” ujar Pak Tua.

“Kenapa Pak Tua harus bersedih pula?” soal Zahiran.

“Penawar yang kami usahakan tidak sempat dinikmati oleh Kamariah. Pak Tua berasa sungguh kesal dan sebak bila diingatkan kembali!” Pak Tua mengesat lagi air matanya yang sudah banyak mengalir.

Zahiran turut sebak dengan kisah derita hidup Pak Tua. Malam itu dia tidak dapat tidur dengan nyenyak. Fikirannya beragaman dengan pelbagai bayangan. Siapakah Pak Tua yang sebenarnya? Benarkah dia antara seorang penemu penawar AIDS seperti yang diceritakannya tadi? Apakah benar isteri dan dua orang anaknya meninggal dunia di Kota Chicago? Apakah dia berbohong? Benarkah suatu ketika dulu dia tinggal di Amerika? Apakah istilah-istilah saintifik dan perubatan itu benar atau sengaja direka-reka? Sesungguhnya Zahiran sendiri tidak pasti. Pak Tua mampu membohonginya kerana Zahiran masih di bangku sekolah rendah.

Pak Tua mampu memperdengarkan ke telinga Zahiran dengan pelbagai perkataan dan istilah yang pelek-pelek kerana pelajar tahun enam ini masih berhingus. Namun begitu, Zahiran yakin, Pak Tua tidak mungkin sanggup menipunya. Pak Tua telah menganggap Zahiran seperti anaknya sendiri dan Zahiran juga begitu. Apakah seorang bapa sanggup menipu anaknya sendiri? Entah pukul berapa Zahiran terlelap malam itu.

Keesokan harinya, sewaktu Zahiran bangun dari tidur, Pak Tua sudah terbongkok-bongkok di perdu bintangor. Membuang rumput-rumput yang menjalar, mencantas akar-akar yang memaut dan memastikan bintangornya hidup tanpa gangguan.

* * *

MASA terus berlalu tanpa dapat ditahan. Hari berganti minggu. Bulan berganti tahun. Pada suatu pagi yang hening, empat hari sebelum Zahiran berangkat ke Maktab Rendah Sains MARA di Bandar Baru Serting, Negeri Sembilan kerana berjaya dengan cemerlang dalam PMR, Kampung Alor Rambai gempar lagi. Di kedai runcit Pak Da Hamadlah tempatnya meledak kegemparan itu.

Seleman yang membelek-belek muka depan akhbar Berita Minggu, tiba-tiba menjerit penuh sentak dan lantang. “Lihat ni! Ini wajah Pak Tua!” Beberapa orang kampung yang berada di situ segera menerpa ke arah Seleman.

Masing-masing melopong membaca tajuk besar di akhbar tersebut yang berbunyi: ‘PROFESOR OSMAN YUNUS - PESARA PAKAR PENYELIDIK SINTESIS ORGANIK TELAH MEWAKAFKAN TANAHNYA DI BUKIT BINTANGOR UNTUK TUJUAN PENDIDIKAN DAN PENYELIDIKAN’.

Wajah Pak Tua tersenyum manis di satu sudut akhbar itu. Zahiran turut tersenyum.

* * *

KINI, sudah lebih tiga tahun Pak Tua kembali ke rahmatullah. Memandang ke arah Bukit Bintangor, segera mengingatkan Zahiran kepadanya. Segalanya terbayang mesra. Cita-citanya sudah semakin membara. Dia akan menurut jejak langkah Pak Tua, menjadi seorang ahli sains yang berjasa kepada manusia dan masyarakat sejagat.

Glosari:

Aktiviti - kegiatan
Akur - bersetuju, menerima
Analog - sesuatu yang menyerupai sesuatu yang lain
Anasir - zat yang empat iaitu air, api, tanah dan angin
Atmosfera - lapisan udara yang melingkungi bumi
Bauran - campuran, adukan
Belantara - hutan tebal, rimba
Belukar - hutan kecil
Benak - otak
Bencana - bahaya, kecelakaan
Beragaman - berbagai-bagai, beraneka
Berbonjol - bengkak, berbonggol
Bercempera - bertempiaran
Berdedikasi - memberikan tumpuan yang sepenuhnya kepada sesuatu
Berdetak - terfikir, terasa
Berinisiatif - berdaya usaha, bertindak
Berjujukan - beraturan, berderetan mengikut susunan
Berkocak - bergoncang, bergelombang kecil, bergolak
Berkumandang - bergema, bergaung
Berlanggan - membeli dengan tetap
Berselopiang - berlemos, diselaputi seluruhnya, berselepong
Bersurai - bubar, berpisah, bercerai
Bertandang - datang melawat, bertamu
Biodiversiti - kajian biologi untuk menentukan sesuatu
Botani - ilmu biologi tentang kehidupan tumbuh-tumbuhan
Bronchitis - radang pada salur bronkus yang terdapat dalam paru-paru
Bungkam - diam
Cacar - sejenis penyakit kulit
Ceria - bersih dan cantik, riang, gembira
Ceridau - kicauan, gelicau
Daif - miskin, cacat, hina, lemah
Dakwaan - tuduhan, aduan, tuntutan
Dambaan - terlalu ingin akan sesuatu
Debuga - benih bunga jantan
Dibalun - dipukul, dihentam
Dicanang - dihebahkan, disiarkan
Dirundung - diganggu, dikacau
Disarankan - dicadangkan, diusulkan
Disiplin - latihan pemikiran dan kelakuan supaya patuh kepada tatatertib
Ditingkah - dicantas, menyelang, menyampuk, memotong percakapan
Dividen - keuntungan yang dibayar kepada pemegang saham
Dos - kuantiti tertentu ubat yang harus diberi kepada pesakit
Durjana - jahat, derhaka
Ekstrak - cabutan bahan tertentu daripada sesuatu bahan tumbuhan atau haiwan
Enzim - bahan kimia yang terdapat dalam benda hidup
Farmakologi - kajian tentang ubat-ubatan
Fauna - haiwan yang hidup dalam sesuatu kawasan tertentu
Flora - tumbuhan yang hidup dalam sesuatu kawasan tertentu
Gayat - berasa ngeri atau pening bila berada di tempat tinggi
Generasi - kumpulan individu yang lahir pada waktu yang lebih kurang sama
Gugat - goncang
Habitat - tempat haiwan atau tumbuhan hidup secara semula jadi
Hakikat - sesuatu yang tidak boleh dinafikan kebenarannya
Hambar - tawar, tidak ada rasa
Hening - sunyi, sepi, senyap, diam
Idea - buah fikiran, pendapat, pandangan
Istilah - perkataan atau rangkai kata yang mempunyai makna yang tepat dalam sesuatu bidang ilmu pengetahuan
Janggal - canggung, tidak sedap dilihat, tidak sesuai
Jemu-jelak - bosan, muak
Jengkel - sangat kesal, sebal hati
Jeram - air terjun kecil
Jerba - terkam, terpa
Kadmium - unsur logam berwarna putih kebiruan
Kecundang - gagal, kalah, tewas
Kekagetan - terkejut, terperanjat
Kelestarian - keadaan hutan yang tidak berubah, semula jadi
Kelibat - rupa seseorang yang dilihat seimbas lalu
Kendati - walau, meski
Khasiat - faedah atau kebaikan khusus dalam makanan
Khatib - pembaca khutbah, pegawai masjid
Kreatif - kebolehan mencipta, menghasilkan sesuatu idea
Kritikal - membimbangkan, kegentingan
Larva - anak serangga
Limfa - bendalir jernih kekuning-kuningan yang mengalir dalam salur limfa
Lintang-pukang - suasana yang berterabur, tidak teratur
Lirih - perlahan-lahan, tidak kuat, lembut
Logik - sains yang berkaitan dengan prinsip yang membolehkan pemikiran dibuat secara teratur
Lokek - kedekut, bakhil
Mahasiswa - pelajar lelaki yang menuntut di universiti
Manfaat - faedah, kebaikan yang boleh didapati
Melepa - melekat, tertera
Meleset - jauh dari sasaran, tidak tepat
Melongo - tercengang
Melopong - membuka mulut luas-luas kerana terperanjat
Membanteras - membasmi, menghapuskan, melenyapkan
Membebarkan - berselerak, keadaan tidak ketentuan
Mencerlus - muncul, menjelma
Menceroboh - memasuki sesuatu kawasan tanpa kebenaran
Menempelak - mengungkit kembali sesuatu yang sudah berlalu dengan tujuan untuk menyedarkan
Mengelus-elus - mengusap-usap dengan lembut, mengurut-urut
Menggerbak - mengharum, semerbak
Menggerutu - keadaan permukaan yang tidak licin, kasar seperti kulit katak puru
Menghela - menarik, mengheret, menyeret
Menancap - melihat dengan tepat, melihat dengan tunak
Menerpa - menerkam
Menjengul - tersembul keluar, menonjolkan kepala keluar untuk melihat sesuatu
Menjuihkan - mengunjurkan bibir ke bawah kerana benci atau meluat
Menyelinap - menyelusup di celah-celah sesuatu
Menyeluruhi - melihat secara keseluruhan, melihat semuanya sekali
Menyusur - berjalan di bahagian tepi atau sepanjang pinggiran
Mercup - kembang
Merealisasikan - menjadikan nyata, mewujudkan
Meredah - menempuh, mengharung
Misi - tugas khusus yang perlu dilaksanakan
Motif - sebab atau tujuan yang mendorong sesuatu tindakan
Murup - menyala dengan terang
Negatif - penyataan yang bersifat kontra, tidak setuju, penafian
Ngeluyur - suatu keadaan yang tidak keruan, merayau-rayau
Nyanyuk - sudah lupa, raban, orang tua yang kelakuannya seperti kanak-kanak
Organik - bahan atau proses yang ada kaitannya dengan haiwan atau tumbuhan
Ovul - struktur yang terdapat dalam ovari yang berkembang menjadi biji setelah berlaku persenyawaan
Pakar - ahli atau orang yang bijak dalam sesuatu bidang
Pancit - bocor, tembus
Pelosok - penjuru, sudut, ceruk, pojok
Penawar - ubat untuk melegakan rasa sakit, menghapuskan racun
Pencemaran - perbuatan memburukkan, merosakkan atau menghilangkan keindahansesuatu kawasan atau keadaan
Penjenayah - orang yang melakukan sesuatu yang salah dari segi undang-undang negara seperti membunuh, merompak, pecah rumah dan sebagainya
Perdu - pohon, rumpun pokok
Perencat - penyebab terbantut atau terhenti
Pistil - bahagian pembiakan betina bunga yang terdiri dari satu atau lebih karpel terpisah atau bercantum
Positif - pasti, tegas, tentu, tetap, memperlihat sesuatu yang baik atau yang boleh mendatangkan manfaat
Prihatin - mengambil berat atau ambil perhatian terhadap sesuatu perkara
Projek - rancangan kerja atau aktiviti pembangunan yang hendak dilaksanakan.
Pupus - lenyap, hilang, hancur
Rahmatullah - belas kasihan Allah, meninggal dunia atau mati
Rakus - gelojoh, lahap, serakah, tamak
Rasuk - kemasukan kuasa ghaib seperti iblis, syaitan, hantu dan sebagainya
Rawak - secara tidak teratur atau secara rencam
Rawatan - hasil dari menjaga, membela, memelihara, menyelenggara sesuatu supaya menjadi baik
Rekreasi - kegiatan yang menyeronokkan yang boleh menyegarkan kembali kesihatan badan
Renggutan - ragut, rampasan, menarik dengan kasar, menyentak, mencabut
Riyak - rasa bongkak, congkak, pongah, sombong
Rutin - kebiasaan atau cara melakukan sesautu mengikut kebiasaan
Saman - perintah rasmi yang menuntut seseorang hadir ke mahkamah untuk didakwa
Sampel - bahagian yang kecil yang mewakilibahagian yang jauh lebih besar – biasanya dijadikan contoh untuk penelitian
Saintifik - sesuatu yang dilakukan menurut kaedah atau prinsip sains
Saintis - ahli sains atau pakar dalam bidang sians
Saran - cadang, usul, pandangan
Seloroh - gurau, kata-kata atau gerak-geri yang boleh menimbulkan ketawa
Seni - kecil, halus, ciptaan yang luar biasa
Sentak - terkejut, terperanjat
Serangga - haiwan kecil yang mempunyai enam kaki, beruas-ruas, badannya bertekung tiga seperti nyamuk, lalat, belalang, lipas dan sebagainya
Serius - sungguh-sungguh, benar-benar, tegas dan bukan main-main
Simpati - berasa belas kasihan, timbang rasa terhadap seseorang
Sinergi - tindakan bersama dua atau lebih ubat untuk menghasilkan tindakan paduan yang lebih berkesan daripada tindakan bahan tersebut secara berasingan
Sinis - mengejek, memerli, mempersenda atau memandang rendah
Sintesis - proses penyatuan pelbagai unsur menjadi satu kesatuan, penggabungan atau keseluruhan yang kompleks
Siratan - jalinan
Spesies - golongan benda, seperti tumbuhan atau haiwan yang mempunyai sifat yang sama
Stamen - bunga jantan yang menghasilkan debunga
Stigma - bahagian hujung benang sari yang menerima debunga
Suria - matahari, mentari
Susup-sasap - menyelusup secara menyorok untuk masuk ke sesuatu kawasan
Takdir - sesuatu yang sudah ditentukan oleh Allah
Teladan - contoh, perbuatan yang patut dikuti
Tempek - tampal
Terbelangah - ternganga mulut kerana terkejut
Tercungap-cungap - akibat keletihan, termengah-mengah
Terkedu - tergamam kerana sesuatu peristiwa
Terkelih - terlihat
Terlepa - terlekat
Terlopong - ternganga, membuka mulut secara tidak sengaja
Terlunga - terpesona sehingga tergamam
Terpegun - kekaguman sampai tidak bergerak
Tersadai - terbiar, terdampar, terletak di tempat yang lebih tinggi
Terselepok - terduduk sehingga terhenyak ke bawah akibat terlalu sedih, terharu dan sebagainya
Tohmahan - tuduhan tidak berasas, cacian, celaan, umpatan
Tukas - dakwaan tanpa bukti yang cukup, menuduh sembarangan
Tulus - ikhlas, jujur, lurus hati
Uji kaji - ujian atau penyelidikan untuk mengetahui sesuatu percubaan
Undang-undang - akta yang telah diwartakan, peraturan yang mesti dikuti
Unggas - segala jenis burung
Unsur - bahagian terkecil daripada sesuatu benda
Untut - sejenis penyakit bengkak pada kaki akibat gigitan nyamuk
Upar - menggentel dengan tapak tangan
Virus - sejenis kuman yang lebih halus daripada bakteria yang boleh menyebabkan penyakit
Warga - ahli atau anggota sebuah keluarga, masyarakat, syarikat, kampung, daerah, negeri, negara dan sebagainya
Watan - tanah air, tanah tumpah darah, nusa

















LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA