Isnin, 22 Mac 2010

Membaca Pokok Hari

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

Orang Melayu menjadikan alam sekitar sebagai panduan dalam membentuk budaya mereka yang meliputi segala aspek kehidupan seperti sosial, ekonomi, kesenian, agama dan kepercayaan. Hubungan orang Melayu dengan alam sekitar amat berkait rapat sehingga dapat dilihat jelas dalam budaya dan sastera lisan mereka.

Pokok Hari

‘Berpokok’ bermaksud berasal, bermula, berasas, berdasar, berpangkal, berlantaran, bersebab. Ungkapan ‘pokok hari’ bermaksud tahu membaca atau meramal cuaca pada hari itu. Masyarakat Melayu yang mesra alam ini memang pandai melihat pokok hari.

Pokok hari dapat dilihat pada waktu pagi, ketika sinar matahari mulai memancar. Melalui pengamatan darjah kepanasan terik matahari, rasa bahang dan perubahan awan, orang Melayu sudah dapat membaca pokok hari bahawa hujan akan turun pada waktu petang atau malam.

Sebagai contoh, sekiranya panas Matahari begitu menyengat bagai menggigit kulit, dikatakan hujan lebat akan turun pada waktu petang. Sekiranya awan kelabu berarak pada waktu petang, dikatakan akan turun hujan pada waktu malam.

Manakala jika tiada bintang kelihatan di langit pada waktu malam, dikatakan hujan akan turun awal pagi. Itulah yang dinamakan pokok hari, untuk menilik perubahan cuaca samada hujan atau panas.

Tanda Pada Awan

• Jika pagi hari berkabus tebal, musim itu adalah musim terang dan udara amat panas.
• Jika melihat awan tipis dan mudah ditiup angin, menandakan tidak akan turun hujan pada hari itu.
• Jika awan di bahagian bawah berwarna merah muda, akan berlaku hujan angin.
• Jika terlihat banyak sekali awan yang berwarna biru muda atau biru susu, akan turun hujan yang lama.
• Jika pada pagi hari awan kelihatan merah, akan turun hujan nanti.
• Jika awan berwarna putih susu, angin dan hujan akan datang bergantian.
• Jika siang hari panas dan matahari ditutupi awan, akan turun hujan yang lebat pada petang hari.
• Jika udara panas dan awan nampak bergerak ke kanan dan ke kiri, akan ada petir yang menyambar.
• Jika siang hari ada awan merah, akan berlaku angin kencang atau ribut.
• Jika pada pagi hari ada awan yang hujungnya berwarna merah, maka pada petang hari akan turun hujan lebat disertai angin kencang.
• Jika awan kelihatan mendung bergumpal-gumpal di kaki langit, akan berlaku hujan ribut.
• Jika matahari terbenam dan ada awan merah, maka pada pagi berikutnya menunjukkan udara akan terasa amat panas dan cuaca cerah.
• Jika terlihat awan menuju ke arah barat laut atau barat daya, hari terang dan tidak akan berlaku hujan.

Tanda Pada Teja

Teja bermaksud cahaya di langit. Teja juga boleh dikatakan awan merah atau kekuning-kuningan yang kelihatan di kaki langit sebelah barat ketika matahari masuk. ‘Teja keluang’ bermaksud cahaya terang yang nampak di langit setelah hujan ribut. ‘Teja Membangun’ atau ‘Teja Membatang’ bermaksud teja yang tegak lurus melintang di langit. Menurut bijak pandai orang Melayu dahulu, teja di langit dapat memberi makna pada kehidupan manusia.

• Jika hujung cahaya teja sampai ke sesebuah desa, ertinya desa itu akan menjadi kosong tak berpenghuni.
• Jika hujung cahaya teja sampai ke sesebuah masjid, ertinya akan berlaku banyak kematian.
• Jika kelihatan Teja Membatang, ertinya ada raja atau pembesar meninggal dunia.

Kesimpulan

Alam sekitar adalah bahan untuk manusia bertafakur yang membawa kepada pengertian dan kefahaman sebenarnya tentang Tuhan dan kehidupan. Alam sekitar adalah alam semesta yang merupakan ciptaan Allah yang menunjukkan Asma’ dan sifat-sifat Allah yang begitu sempurna. Memahami pokok hari hanyalah untuk meramal cuaca supaya dapat memudahkan pekerjaan masyarakat.

Kenali Air Liur

Syed Mahadzir Syed Ibrahim

Pernahkah kita bertanya kenapa haiwan menjilati tubuh mereka? Kenapa ibu kucing menjilat mata dan tubuh anak kucing yang dilahirkannya? Dalam dunia haiwan, haiwan dilindungi alam dan mempunyai naluri untuk mudah sembuh daripada luka yang biasa berlaku.

Luka yang disebabkan oleh haiwan pemangsa sering kali menyebabkan penularan bakteria kepada mangsa. Secara naluri, haiwan yang luka akan menjilati lukanya untuk membersihkannya dan menyebarkan minyak tubuh ke dalam jaringan yang terluka. Minyak ini bertindak sebagai anti-jangkitan bakteria dan seterusnya melindungi haiwan itu.

Kucing Pandai Mengesan Penyakit

Haiwan yang paling jinak dengan orang Melayu ialah kucing. Kucing dikatakan bagus dipelihara kerana kucing memiliki kebolehan untuk mengesan penyakit dan kemudian mengubatnya dengan menjilat. Sekiranya pemelihara kucing menderita sakit terkehel, salah urat atau pegal-pegal, hulurkan sahaja bahagian tubuh yang sakit itu kepada kucingnya.

Kucing itu akan menghidu-hidu seketika dan kemudian menjilatnya. Tidak lama kemudian, sembuhlah sakit itu. Justeru sekiranya pemelihara kucing tiba-tiba dijilat oleh kucingnya, jangan ditepis atau dipukul kucing itu. Bahagian yang dijilat itu mungkin merupakan punca penyakit dan jilatan yang mengeluarkan air liur itu pula merupakan penawar atau ubat kepada penyakit itu.

Air Liur


Air liur atau air liur (saliva) adalah cairan bening yang dihasilkan dalam mulut manusia dan beberapa jenis haiwan. Manusia mengeluarkan sekitar 700 ml air liur setiap harinya. Air liur berfungsi membasahi makanan untuk membantu mengunyah dan menelan. Air liur juga mengandung enzim-enzim yang memulai dan memudahkan proses pencernaan. Fungsi lain air liur adalah memberbersihkan mulut daripada bakteria dan membasuh partikel makanan.

Air liur yang berada di mulut merupakan bahagian terpenting dalam perawatan rongga mulut. Di dalam air liur terkandung sistem pertahanan alamiah yang berfungsi menjaga keseimbangan ekologi flora mulut. Cairan yang dikeluarkan oleh kelenjar ludah secara terus menerus membersihkan mulut. Oleh sebab itulah, jika seseorang kurang meminum air, maka kebersihan mulut akan berkurangan.


Kajian Saintifik Tentang Liur


Menurut satu kajian saintifik Belanda, zat dalam air liur dapat menyembuhkan luka. Saintis mendapati bahawa protein kecil di dalam air liur yang sebelum ini dipercayai hanya dapat membunuh bakteria, berguna juga untuk menyembuhkan luka.

Sebab itulah, luka pada gusi yang baru dicabut giginya cepat pulih berbanding dengan luka di bahagian anggota tubuh yang lain. Saintis juga menjangka, air liur boleh menjadi ubat kepada penderita penyakit kencing manis yang buruk kakinya atau mereka yang mengalami kelecuran atau kebakaran pada kulit.

Pengubatan Cara Lama


Menurut orang tua-tua Melayu dahulu, terdapat beberapa petua tentang penggunaan ludah sebagai ubat. Dikatakan, sekiranya bayi yang baru lahir panas suhu badannya, si ibu atau ayah disuruh menjilat ubun-ubun bayi, telapak tangan kedua tangan dan telapak tangan kedua kaki. Menjilat harus dimulai dengan anggota yang kiri dahulu. Panas tubuh bayi itu akan serta merta beransur turun.

Petua menggunakan ludah untuk mengubat luka kecil juga sering disyorkan oleh orang tua-tua. Sekiranya jari terluka atau terhiris, kita disuruh cepat-cepat masukkan ke dalam mulut. Dikatakan darah akan berhenti mengalir dan luka cepat sembuh.


Sekiranya bahagian lain yang luka, ambil sedikit air liur sendiri dengan satu jari. Selepas itu, baca selawat sebanyak 7 kali. Selepas membaca selawat, sapu di bahagian yang luka. Nescaya cepat sembuh.

Sekiranya seorang kanak-kanak masih lambat bercakap walau sudah berusia 3 tahun ke atas, petuanya mudah. Lidah kanak-kanak itu perlu ditarik keluar lalu dikerik dengan cincin. Menurut orang tua-tua, supaya ludahnya keluar sempurna, tidak bertakung di dalam mulut lantas dapat menggalakkan kanak-kanak itu segera bercakap.


Petua paling janggal kedengarannya adalah jika ada anak lelaki yang mandul anunya, si ibu disuruh mengulum anunya sekali. Menurut orang tua-tua, ‘buat syarat’ sahaja. Perbuatan itu bukanlah untuk mewujudkan sebarang erotis sumbang mahram. Orang tua tua amat yakin bahawa petua itu memang mujarab.


Kebiasaan orang Melayu dahulu ialah menjilat bahagian tubuh yang sakit kerana dikatakan, penderita akan cepat pulih. Kebiasaan ini mungkin didapati daripada pengamatan terhadap tingkah laku haiwan yang sakit.


Sirih Dan Liur


Pemakan sirih mempunyai air liur yang banyak kerana air liurnya terangsang oleh rasa sirih pinang dan tembakau. Disebabkan campuran ramuan sirih, air liur pemakan sirih berwarna merah. Dahulu, ada orang kampung mengamalkan mengunyah sirih dan membuang ludahnya ke dalam sebuah bekas khas.

Air liur yang terkumpul itu kemudian digunakan untuk tujuan pengubatan dan urut. Dikatakan, ramuan sirih yang sememangnya berkhasiat, apabila bercampur dengan air liur, menjadi bahan yang amat mujarab sebagai penyembuh penyakit kulit dan tulang.

Ini juga dapat menjelaskan mengapa dalam beberapa pengubatan tradisional mempunyai kaedah sembur. Maksudnya, bomoh akan mengunyah sirih pinang dan kemudian menyembur si pesakit. Ada juga yang hanya berkumur air jampi dan kemudian menyembur pesakit.

Air Liur Orang Mulia


Dahulu, sekiranya seseorang yang dianggap mulia dan berilmu tinggi seperti ahli agama atau guru minum air, ramai yang menantikan peluang mengambil bekas minuman orang mulia itu. Mereka percaya bahawa bekas air minuman itu amat berkat kerana mengandungi sisa air dan air liur orang yang mulia.

Bekas itu kemudian digunakan tanpa dicuci, dengan menambah air masak. Biasanya, air minuman itu diberikan kepada anak-anak mereka yang kurang pandai belajar atau nakal tingkah lakunya.

Kepercayaan ini turut tercatat dalam kitab Sulalatus Salatin. Diriwayatkan, pengislaman Raja Samudera iaitu Merah Silu, turut melalui mimpi. Baginda bermimpi didatangi Nabi Muhammad s.a.w. Mulutnya diludahi oleh Nabi. Apabila baginda tersedar, baginda sudah boleh membaca ayat-ayat Al-Quran dengan fasih dan lancar.


Festival Meludah


Festival Meludah diadakan secara tahunan di Mexico. Peserta festival diberi tembakau untuk dikunyah. Fungsi tembakau ini adalah untuk merangsang air liur dan dahak. Peserta kemudian berlumba-lumba menyemburkan ludah mereka sejauh-jauhnya. Peludah yang terjauh akan memenangi pertandingan itu.

Pantang Meludah


Kita meludah apabila air liur kita melimpah atau kelenjar air liur keluar lebih banyak daripada sepatutnya. Air liur yang dibuang itu adalah ‘meludah’. Faktor yang menyebabkan air liur keluar lebih banyak juga disebabkan rangsangan pancaindera kita.

Misalnya, rasa pahit, pedas dan masin. Bau busuk boleh membuat kita mual lalu meludah. Keadaan kerongkong yang tidak sihat menyebabkan batuk dan kahak juga membuat kita meludah. Begitu juga dengan emosi jijik, muak, menyampah, jengkel, geram dan marah.

Dewasa ini, meludah dianggap perbuatan yang kotor dan mengotorkan pemandangan. Ludah orang yang sakit juga membawa bakteria penyakit dan boleh mengakibatkan penyakit merebak. Meludah juga dianggap satu perbuatan yang negatif apabila perbuatan meludah dilakukan ke atas tanah di hadapan orang lain.


Apatah lagi, kalau kita meludah ke muka atau tubuh orang lain. Perbuatan itu boleh membawa pergaduhan kerana meludah sebegitu adalah satu penghinaan dan mencabar orang yang diludah.

Natijahnya, walaupun ludah dianggap ubat yang berkhasiat menyembuhkan luka, meludah sebarangan pula boleh mengakibatkan kekotoran dan persengketaan. Sesungguhnya meludah dianggap perbuatan negatif dan terpancar dalam peribahasa Melayu. Meludah ke langit hanya membawa kesusahan sendiri kerana cuba melawan orang yang berkuasa. Kalau meludah jilat kembali, samalah ertinya dengan orang yang tidak berpendirian kerana setelah menghina seseorang, orang itu dimuliakan kembali.

Panduan Pendidikan Anak Di Rumah

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

Nilai Anak Kepada Ibu Bapa

Anak-anak merupakan anugerah serta rezeki kurniaan Allah kepada pasangan suami isteri yang secara fitrahnya berhajat dan sentiasa mengharapkan kurniaan ini. Fitrah ini wujud di kalangan muslim mahupun bukan muslim.

Walaupun begitu, ibu bapa muslim sangat dituntut untuk mengetahui dan memahami nilai kurniaan Ilahi ini (anak-anak) kerana ketidakfahaman dalam perkara ini akan menyebabkan ibu bapa tidak dapat melaksanakan peranan dan tangungjawab ke atas anak-anak malah mungkin mereka tidak memberikan hak-hak asas anak, misalnya kasih sayang dan perhatian yang sewajarnya.

Menurut Akhlaq Hussain: ‘Anak-anak yang soleh menjadi sumber ibu bapa mendapatkan ganjaran di dunia dan di akhirat.’

Oleh yang demikian pendidikan anak-anak supaya menjadi muslim soleh adalah satu tanggungjawab deeniyyah, tetapi kegagalan dalam mendidik mereka juga akan membawa akibat yang berat di akhirat, sepertimana yang terdapat di dalam Al-Quran: ‘Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka, yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.’ (Surah at Tahrim: 6)

Anak-Anak Adalah Generasi Pewaris

Di samping anak-anak perlu dididik dan dibentuk menjadi anak-anak yang soleh, anak-anak juga perlu diproses dengan rapi supaya mereka bersedia untuk memikul tanggungjawab dakwah dan jihad. Anak-anak kita adalah pewaris perjuangan yang sedang kita laksanakan hari ini dan mereka dipertanggungjawabkan untuk meneruskan perjuangn suci ini dengan lebih berkesan kerana kesedaran yang telah ada di dalam hati kita.

Di atas hajat ini juga Allah s.w.t menyebutkan doa Nabi Zakaria: ‘Dan sesungguhnya aku khuatir terhadap mawaliku sepeninggalku, sedang isteriku adalah seorang yang mandul, maka anugerahilah aku dari sisi Engkau seorang putera yang akan mewarisi aku dan mewarisi sebahagian keluarga Yaakub dan jadikanlah ia, ya Tuhanku seorang yang diredhai.’ (Surah Maryam: 5-6)

Oleh itu perlulah kita bertanya kepada diri kita sendiri adakah kita peka atau prihatin dengan tanggungjawab pendidikan anak-anak kita? Jika kita peka, adakah kepekaan ini telah membuahkan perancangan untuk melaksanakan pendidikan yang berkesan? Persiapan apakah yang telah kita buat ke atas diri kita bagi melaksanakan tuntutan yang sangat besar ini, iaitu mendidik anak-anak kita?

Sistem Pendidikan Yang Sedang Berjalan

Kita sudah pun maklumi bahawa sistem yang berjalan, yang menguasai kehidupan kita adalah sistem bukan Islam. Sistem ini telah lama diambil untuk menggantikan Islam sebagai sistem hidup. Sistem ini menguasai segala aspek kehidupan kita dan meninggalkan kesan yang mendalam ke atas jiwa dan sahsiah kita.

Sistem yang tiada sebarang hubungkaitnya dengan akidah dan keimanan kita. Sistem ini terlalu asing bagi kita kerana ia tidak tumbuh seperti akidah Islam. Oleh itu sistem pendidikan yang dibangunkan dari sistem ini sudah pasti bukan sistem pendidikan yang boleh menyampaikan kita kepada matlamat Islam.

Walaupun Islam diajarkan sebagai sebahagian dari sistem pendidikan ini tetapi untuk menghasilkan natijah yang dikehendaki oleh sistem ini bukan natijah sistem Islam. Sekiranya anak-anak kita hanya menerima pendidikan mereka dari sistem ini semata-mata ataupun dilengkapi atau disempurnakan dengan ajaran-ajaran Islam sudah boleh ditentukan bahawa anak-anak ini tidak mungkin dapat menjadi muslim yang sebenarnya dan tidak akan mampu (mungkin tidak mahu) untuk memikul tanggungjawab dakwah.

Banyak unsur yang terdapat di dalam sistem pendidikan sekular ini bukan sekadar tidak dapat membentuk keimanan mereka dan menyuburkannya sebaliknya unsur-unsur ini akan memudharatkan keimanan mereka, apa yang diajar banyak menimbulkan keraguan bukannya keyakinan di dalam hati anak-anak kita yang akan menjadikan mereka muslim yang keliru ataupun yang paling baik natijahnya ialah muslim yang tidak memahami serta menghayati Islam dalam bentuknya yang asli, yang syamil dan kamil serta mutawazzin.

Perlu diingatkan di sini bahawa kita bukan sekadar membicarakan tentang sistem pendidikan yang formal di sekolah-sekolah sahaja, tetapi kita lebih perlu peka kepada sistem pendidikan yang sedang menguasai anak-anak kita. Ianya adalah persoalan yang berkait dengan sistem kehidupan itu sendiri iaitu pendidikan di rumah, di tadika, di sekolah, di universiti dan di semua tempat pendidikan yang dijalankan.

Hakikat Dan Sifat Deen Islam

Sebelum kita membicarakan dengan lebih lanjut tentang pendidikan Islam yang merupakan pendidikan yang hakiki, adalah lebih wajar untuk kita lebih memahami hakikat dan sifat deen ini. Islam adalah ciptaan Allah s.w.t dan didatangkan dari Allah s.w.t kepada hambanya melalui Rasullullah s.a.w. Islam diturunkan dengan lengkap dan sempurna dan telah direalisasikan kesempurnaannya serta dihayati oleh Rasullullah dan generasi yang pertama, sama ada penghayatan di dalam kehidupan individu mahupun kehidupan berjemaah.

Sekiranya kesempurnaan Islam dan hakikat menyeluruhnya diyakini tanpa sebarang ragu-ragu dan was-was, maka di manakah ruang untuk sesiapa menokok tambah atau mengurangkan walaupun satu juzuk daripada deen Allah ini? Oleh itu apakah logiknya masyarakat Islam muttakhir ini meminjam berbagai sistem untuk kehidupannya. Lebih-lebih lagi sistem pendidikan yang merupakan acuan generasi yang akan datang sedangkan dalam sistem pendidikan yang terbukti mampu menghasilkan natijah yang dihajati.

Pendidikan Islam:
Penjelmaan Kesempurnaan dan Penyeluruhan Deen Islam

Pendidikan Islam yang bercorak masyarakat bukanlah sistem pendidikan yang berasakan sesuatu yang asing daripada Islam, yang diimport dari barat, yang telah disempurnakan dengan memasukkan beberapa unsur Islam ke dalamnya (kerana sebagai contohnya sistem yang ada ini ketandusan aspek-aspek rohani mahupun akhlak)

Suatu sistem pendidikan itu hanya dapat dianggap sebagai sistem pendidikan Islam apabila segala prinsip, kepercayaan, serta kandungannya berasaskan sistem Islam. Pendidikan Islam yang terdapat di dalam Al-Quran adalah pendidikan yang menyeluruh. Yang tidak terbatas kepada masjid atau institusi pendidikan sahaja, tidak terbatas kepada ibadat dan melupakan tingkahlaku atau memberatkan individu dan melupakan amal tetapi meliputi segala aspek manusia dan bergerak dalam segala bidang kehidupan.

Pengertian Dan Matlamat Pendidikan Islam

Matlamat pendidikan Islam yang utama ialah untuk membawa manusia mengenali Rabb-nya seperti yang dinyatakan oleh Allah s.w.t di dalam Al-Quran dan diajarkan oleh Rasullullah s.a.w sehingga melahirkan pengabdian sepenuhnya hanyasanya kepada Allah semata-mata, melaksanakan segala yang diperintahkan dan berusaha mencegah dan meninggalkan segala yang dilarang dengan penuh redha.

Dasar Pendidikan Islam

Al-Quran adalah asas pendidikan Islam dan teras sistem pendidikan anak-anak ini adalah hakikat Tauhid Allah di dalam jiwa anak-anak. Di dalam Al-Quran dan sunah Rasullullah terdapat metodologi untuk mendidik manusia dan telah terbukti keberkesanan metodologi itu di dalam kehidupan generasi awal. Ini adalah kerana jiwa manusia itu umpama satu peti yang berkunci rapat.

Memahami jiwa ini adalah rahsia kejayaan mendidik manusia kerana pendidikan yang berbicara membawa perubahan yang menyeluruh dalam dirinya adalah pendidikan yang berbicara dengan jiwa ini. Hanya pendidikan Islam sahaja mempunyai metodologi yang terdapat di dalam Al-Quran yang mampu merawat jiwa ini.

Aspek Pendidikan Berasaskan Al-Quran

Pendidikan Islam bolen dibahagikan kepada beberapa aspek yang merangkumi seluruh fakulti hidup manusia. Aspek-aspek tersebut antaranya ialah:

1. pendidikan keimanan
2. pendidikan akhlak
3. pendidikan akal
4. pendidikan rohani
5. pendidikan jasmani

Metodologi pendidikan Al-Quran pula merangkumi:

1. metodologi fitrah
2. metodologi ilmu
3. metodologi pemikiran
4. metodologi akhlak
5. metodologi ibadah
6. metodologi dakwah dan pendakwah

Ibnu Khaldun telah mengingatkan kita bahawa di dalam Al-Quran itu terdapat asas asas semua pengajaran pada segala dasar pendidikan di rantau negara negara Islam kerana ia adalah syiar deen yang membawa kepada ketetapan akidah dan kemantapan iman.

Pendidikan Keimanan Asas Pendidikan Anak-Anak

Pendidikan keimanan bermaksud ‘memperkenalkan anak-anak sejak dari ianya beraqal dengan unsur unsur keimanan, membiasakannya dengan Rukun-rukun Islam serta mendidiknya prinsip-prinsip syarat yang mulia sejak dari usia tamyiz lagi’.

Apa yang dimaksudkan dengan unsur-unsur keimanan ialah semua yang telah sabit kebenarannya daripada berita-berita dan hakikat-hakikat keimanan dan perkara-perkara yang ghaib seperti beriman kepada Allah, Malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya yang telah diturunkan daripada langit, beriman dengan para Rasul dan dengan semua rukun iman yang lain.

Alam Sebagai Kitab Terbuka

Oleh yang demikian, pendidikan anak-anak di peringkat paling awal ialah untuk membina serta mengukuhkan keimanannya. Ini dapat dilakukan dengan mendekatkan anak-anak dengan alam yang terbentang luas yang merupakan kitab yang terbuka untuk kita mengenalkan anak-anak kita kepada pencipta-Nya.

Pendekatan ini bukanlah satu pendekatan yang baru kerana sekiranya kita membuka dan mengkaji Al-Quran terutama sekali surah-surah makiyyah kita akan dapati bahawa Allah s.w.t telah memperkenalkan Dirinya dengan mengalihkan pandangan manusia dari memandang kepada kehidupan ini dengan hati yang kosong, kepada memandang alam sekelilingnya dengan penuh kekaguman sehingga membuahkan penyerahan dan pengabdian yang total kepada Allah Rabbul alamin.

Kita pada hari ni bukan sahaja dapat mendedahkan anak-anak kita kepada yang ada di sekeliling mereka tetapi dengan bantuan alat-alat audio visual yang canggih kita dapat mempamerkan kepada mereka kehebatan kuasa Allah sebagai Pencipta, Pentadbir dan Penguasa alam ini.

Oleh itu apa yang perlu adalah perancangan kreatif kita untuk merangsang setiap falkuti anak-anak kita dalam menanamkan hakikat Tauhid tanpa menjemukan mereka di dalam proses pendidikan mereka terutama sekali pendidikan keimanan.

Masalah Pelaksanaan Pendidikan Jangka Pendek

Permasalahan anak-anak telah memasuki satu fasa yang baru apabila ibu bapa di dalam keghairahan menyediakan anak-anak untuk memasuki alam pendidikan telah terperangkap di dalam pendekatan yang dianggap Islamik tetapi pada pandangan syarak tidak memenuhi sepenuhnya hakikat pendidikan Islam.

Akhir-akhir ini ramai ibu bapa mahupun institusi pendidikan anak-anak mendidik anak-anak dengan mengasaskan pendekatan yang diilhamkan dari barat. Walaupun sebahagian dari pendekatan ini telah diubahsuaikan di mana yang perlu, tetapi pada dasarnya pendekatan ini tetap bukannya sistem Islam.

Sekiranya kita menganalisa sistem-sistem pendidikan ini kita akan sampai ke satu kesimpulan bahawa seluruh sistem pendidikan ini tiada hubungkaitnya dengan hakikat Rabbaniyyah. Sistem-sistem ini dari falsafahnya, objektifnya mahupun natijahnya yang diharapkan adalah sangat berbeza dengan hakikat pendidikan di dalam tasawwur Islam.

Sistem pendidikan dari barat ini mungkin mampu untuk menghasilkan anak-anak yang pintar, cerdas dan merealisasikan potensi aqli dan jasmani mereka dan ini sememangnya matlamat pendidikan mereka. Walaupun penekanan moral diberikan ruang di dalam sistem ini tetapi sistem moral bukan Islam sudah pasti tidak mampu menghasilkan sistem moral Islam. Walaupun kita berusaha menempelkan kekurangannya dengan menggabungkan unsur-unsur Islam di dalamnya.

Iqbal pernah mencatatkan bahawa sistem pendidikan barat mampu membawa anak-anak kita mengagumi dan mempelajari kemajuan dan teknologi tetapi ia tidak mampu untuk mendidik hati merka supaya takut hanya kepada Penciptanya.

Di sana terdapat satu jurang perbezaan yang besar di antara mengambil atau meniru kaedah pengajaran dan pembelajaran dengan mengambil pendekatan tokoh-tokoh dari barat dengan mengambil istem pendidikannya. Saya berpendapat bahawa untuk kita memanfaatkan kajian-kajian yang telah dijalankan oleh sesiapa pun mengenai kaedah-kaedah pendidikan atau teknik-teknik menguasai sesuatu kemahiran yang berkesan merupakan satu yang sangat baik. Ini berdasarkan Hadis Rasulullah s.a.w: (bermaksud) ‘Hikmah itu barang mukmin yang tercicir, barang siapa yang menjumpainya maka dialah yang berhak ke atasnya.’

Oleh itu kajian-kajian mereka ini boleh dan sewajarnya kita manfaatkan terutama sekali di dalam bidang kemahiran seperti membaca, menulis, mengira dan sebagainya. Begitu juga di dalam kajian mereka mengenai teknik berfikir dan pembangunan jasmani. Apa yan dibimbangkan ialah kita mengambil keseluruhan sistem pendidikan yang mereka kemukakan kerana ini adalah suatu yang merosakkan. Ini adalah kerana matlamat dan falsafah pendidikan mereka tidak berasaskan tauhid dan keimanan.

Ini hanya menghasilkan anak-anak yang pintar tetapi jiwa mereka tetap kosong, yang lebih membimbangkan ialah lahirnya tasawur yang terpisah di antara aspek kerohanian dan moral dengan aspek-aspek pendidikan yang lain. Pendekatan golongan Muslim yang ikhlas yang berpegang kepada sistem barat tetapi mereka menyedari kekurangan sistem ini dan cuba untuk memperbaiki keadaan ini dengan memasukkan unsur-unsur Islam juga tidak banyak membantu malah akan lebih mengelirukan masyarakat Islam. Langkah langkah ini tidak jauh bezanya dengan pendekatan pendidikan sekular hari ini.

Cabaran Dan Permasalahan Dalam Pendidikan Anak-Anak

Perlu disedari bahawa di sana terdapat satu jurang yang sangat jauh di antara memahami ilmu realiti yang ada hari ini dengan peringkat perlaksanaan tersebut. Asy-Syahid Imam Hassan Al Banna telah menggariskan bahawa keberkesanan pendidikan Islam bergantung kepada tiga faktor iaitu:

1. manhaj yang sahih
2. murabbi yang berkemampuan
3. suasana persekitaran yang soleh

Perlaksanaan pendidikan anak-anak secara individu di rumah ataupun sebagai suatu institusi menghadapi pelbagai cabaran. Di antaranya ialah:

Masalah yang paling utama ialah masalah menyediakan satu manhaj pendidikan yang sesuai mengikut peringkat umur anak-anak dan menyediakan modul-modul pendidikan yang praktikal yang dibangunkan berasaskan sumber-sumber rujukkan yang muktabar. Walaupun pada masa ini Al-Quran masih di tangan kita, begitu juga dengan hadis-hadis Rasullullah s.a.w serta kajian para ulama’, kita masih perlu menyusun segala objektif, kandungan pendidikan serta cara atau pendekatan perlaksanaannya. Objektif serta kandungan pendidikan ini bukanlah masalah yang sangat besar tetapi saya merasakan bahawa apa yang lebih sukar ialah menyediakan modul-modul perlaksanaan pendidikan yang bersepadu terdapat di dalamnya.

1. Pendidikan hati anak anak dengan hakikat Tauhid serta rukun rukun keimanan
2. Pendidikan ubudiyyah dan peribadatan
3. Pendidikan akhlak
4. Pendidikan sirah Rasulullah
5. Pendidikan Al-Quran (bukan setakat membaca, tetapi pendidikan yang membuahkan kecintaan kepada Al-Quran dan meyakininya) dan aspek pendidikan yang lain

Ini masih agak sukar ketika anak-anak itu masih muda dan mereka mudah bosan. Pelaksanaan pendidikan Islam juga menghadapi cabaran yang tidak kurang besar iaitu ketiadaan suasana dan contoh teladan yang boleh menyuburkan proses pendidikan tersebut. Ini adalah kerana para ibu bapa sendiri tidak pernah melalui proses pendidikan Islam yang sebenarnya dengan berkesan.

Oleh itu ibu bapa sewajarnya lebih serius untuk melalui tarbiyyah diri supaya pendidikan yang paling berkesan kepada anak-anak iaitu qudwah hasanah yang hidup dapat berjalan setiap masa dalam kehidupan anak-anak kita.

Aplikasi Hubungan Etnik Dalam Kehidupan Masyarakat Malaysia: Budaya India

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

MASYARAKAT di Malaysia merupakan masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai kaum seperti kaum Melayu, Cina, India, Orang Asli, Kadazan, Bajau, Murut dan sebagainya. Masyarakat India merupakan kaum yang ketiga terbesar. Mereka hidup dalam persekitaran budaya yang yang tersendiri yang diwarisi turun-temurun. Mereka dikenali sebagai ‘kling’ di kalangan masyarakat tempatan.

Setelah menetap di negara ini sekian lama, mereka membentuk komuniti yang tersendiri di kawasan-kawasan yang tertentu seperti di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Perak, Pulau Pinang dan beberapa negeri yang lain. Dengan itu, secara tidak langsung wujudlah sosioekonomi dan politik yang tersendiri di kalangan mereka.

Dalam pada itu, mereka bebas mengamalkan adat istiadat mereka yang terangkum dalam hal ehwal kelahiran, perkahwinan dan kematian. Di samping itu mereka juga mempunyai perayaan-perayaan yang khusus sebagaimana juga yang terdapat di kalangan masyarakat yang lain. Ketika ini jumlah mereka dianggarkan lebih 2.5 juta orang.

Kedatangan Masyarakat India Ke Malaysia

Sejarah telah mencatatkan bahawa, orang-orang India telah datang ke Tanah Melayu lebih kurang 2,000 tahun yang lalu dan mereka terbahagi kepada dua golongan iaitu pendatang awal dan pendatang moden. Pendatang awal merupakan golongan elit kerana mereka datang sebagai saudagar dan mereka menggelarkan Tanah Melayu sebagai Suverarnabhumi atau Tanah Emas.

Manakala pendatang moden pula adalah kalangan mereka yang datang pada zaman penjajahan British dan bekerja sebagai buruh kasar dan mereka dibayar dengan kadar bayaran yang rendah untuk bekerja di sektor-sektor perladangan dan pembinaan. Pada peringkat awal kedatangan mereka ke Tanah Melayu, kebanyakan mereka bekerja di ladang tebu dan kopi dan hanya pada abad ke-19, barulah mereka beralih pula kepada perusahaan getah yang sebelum ini dikuasai oleh kaum Melayu.

Sistem Kasta Masyarakat India

Secara umumnya, pembahagian kasta dalam masyarakat India terbahagi kepada empat pecahan yang besar iaitu Brahmin, Kshatriya, Vaisya dan Sundra.

BRAHMIN

Brahmin adalah golongan pertama atau golongan yang menduduki tempat tertinggi dalam hierarki sistem kasta. Golongan ini merupakan golongan pemimpin rohani dan pendeta. Mereka ini dikatakan mempunyai kemampuan untuk memiliki suatu penguasaan naluri yang tajam terhadap nilai-nilai hidup yang terpenting kerana amalan yang tinggi dari sudut kerohanian.

Malah lebih jauh daripada itu, mereka juga merupakan pemimpin yang bersifat intelektual. Golongan ini adalah golongan pendeta-pendeta agama iaitu lapisan yang tertinggi dan golongan ini adalah vegetarian. Mereka sangat dihormati oleh masyarakat dan disanjung tinggi serta mempunyai pengaruh yang kuat dalam sesuatu komuniti mereka dan daripada merekalah terbentuknya sami-sami dan guru agama. Di samping bertugas sebagai guru, mereka juga bakal menjadi hakim dan bakal menjadi perdana menteri atau ketua dalam sesuatu pemerintahan dalam sesebuah negara.

KSHATRIYA

Golongan ini menduduki hierarki yang kedua dan mereka memiliki keberanian, bercita-cita tinggi, suka bergaduh dan menimbulkan sedikit kesusahan. Mereka mempunyai bakat sejak lahir sebagai administers dengan kemahiran untuk memperjuangkan masalah-masalah manusia sehingga dapat membawa hasil terbaik.

Tanggungjawab puak ini ialah menjaga keselamatan dan keamanan dan daripada golongan inilah juga lahirnya pahlawan-pahlawan. Secara lebih khususnya tugas lapisan kedua ini adalah belajar dan memikul senjata untuk mempertahankan negara dan rakyat.

VAISYA

Merupakan golongan yang ketiga tingkat kasta dalam masyarakat India. Mereka lazimnya sebagai tukang atau penghasil barang untuk keperluan manusia. Sebilangan kecil daripada mereka bekerja sebagai tukang kayu, batu, dan petani. Mereka juga seperti Brahmin dari segi kesucian, perbuatan dan pertapaan tetapi tidak termasuk dalam golongan Brahmin.

Golongan ini secara khusus melibatkan diri dengan perniagaan. Di samping itu, golongan ini turut bercucuk tanam, berusaha mengumpulkan kekayaan sedaya mungkin dan menghulurkan perbelanjaan dan bantuan untuk kepentingan agama.

SUNDRA

Golongan ini merupakan para pengikut yang terdiri daripada buruh kasar yang terdidik. Jika mereka ingin memperolehi sesuatu pekerjaan, mereka harus mengikuti suatu masa latihan yang panjang. Mereka harus bekerja keras untuk mendapatkan apa yang dikehendaki dalam kehidupan. Golongan ini jarang-jarang memegang jawatan sebagai ketua atau penjaga kumpulan. Walau bagaimanapun mereka ini berupaya meningkat naik atau berjaya dalam kehidupan jika ada kesungguhan.

Adat Kelahiran Masyarakat India

Dalam masyarakat India, adat dan pantang larang ketika mengandung dan melahirkan bayi mesti dijalani oleh wanita yang beranak sulung sahaja. Anak yang berikutnya, cukup sekadar amalan-amalan tertentu sahaja. Antara pantang larang bagi ibu mengandung ialah:

1. Seorang ibu yang mengandung dilarang melakukan perbuatan-perbuatan buruk seperti mengumpat, membuat fitnah, bergaduh, menyembelih binatang dan sebagainya. Perbuatan tersebut dipercayai membawa dosa dan mendedahkan seorang ibu kepada kuasa-kuasa jahat dan seterusnya akan mempengaruhi kelakuan serta pemikiran anak yang bakal lahir.
2. Dilarang keluar rumah berseorangan pada waktu-waktu tertentu khasnya pada waktu malam. Ini kerana adanya kepercayaan bahawa kuasa-kuasa jahat (makhluk halus) lebih aktif dan kemungkinan ia akan membawa angkara atau padah kepada ibu dan kandungannya.
3. Dilarang tidur pada waktu siang atau tidur berlebihan. Dia juga tidak seharusnya berjaga hingga ke larut malam. Ini adalah untuk menjaga kecerdasan bayi dan ibu tersebut.
4. Suami dilarang memukul atau menyakiti isterinya yang mengandung.
5. Suami dilarang menebang pokok khasnya pokok pisang, menyembelih atau membunuh binatang.
6. Semasa berpantang, ibu juga mengamalkan minum arak dan mandi dengan rebusan daun-daun tertentu

Adat Perkahwinan Masyarakat India


1. Perkahwinan merupakan salah satu peristiwa penting dalam kehidupan masyarakat India. Mengikut adat orang-orang Hindu, cadangan perkahwinan (melamar) akan dibuat oleh pihak perempuan.
2. Perkongsian perbelanjaan juga biasa diamalkan antara kedua-dua pihak dan biasanya majlis perkahwinan akan diadakan dirumah pengantin perempuan, kuil atau dewan khas.
3. Pada hari perkahwinan, pengantin lelaki yang berpakaian pengantin tiba rumah pengantin perempuan yang akan diiringi oleh seorang pengapit khas, ibu, bapa, dan saudara-mara. Selepas upacara arathi (menghalau roh-roh jahat), pengantin lelaki duduk di atas pelamin.

Perayaan Masyarakat India


Orang-orang India mempunyai beberapa perayaan dalam setahun mengikut kalendar mereka iaitu:

DEPAVAALI

Menurut kalendar tamil, perayaan ini dirayakan pada bulan Aippasi. Hari tersebut dikenali sebagai Chaturdasu dalam kalendar Tamil. Depavaali dikenali juga sebagai Neraka-Chaturdasi-Snanam dalam bahasa Sanskrit yang bererti hari penewasan seorang raksasa yang zalim bernama Narakasura.

Perkataan Deepavali adalah suatu istilah yang diterbitkan daripada dua perkataan iaitu Deepam dan Vali. Depam bererti pelita, manakala Vali bererti barisan atau deretan. Sebenarnya, perayaan ini memberi ingatan kepada penganut Hindu supaya mengelakkan diri daripada segala kejahatan dan pemikiran negatif dalam kehidupan mereka.

THAIPUSAM

Perayaan ini disambut pada malam hari bulan purnama iaitu dalam bulan Thai (januari-februari) menurut kalendar tamil iaitu sewaktu bulan purnama melintasi bintang bersinar yang bernama pusam. Perayaan ini disambut oleh orang-orang Hindu yang tidak memakan daging atau vegetarian dan ia disambut juga oleh golongan lain.

Perarakan membawa kavadi ini merupakan kemuncak perayaan Thaipusam. Pada masa ini orang-orang yang membawa kavadi akan mencucuk badannya dengan jarum dan benda-benda yang tajam. Perbuatan menyeksa diri ini membawa makna membersihkan diri daripada dosa dan kesusahan.

THAIPONGGAL


Perayaan ini merupakan yang berkaitan dengan masyarakat tani. Sambutan perayaan ini boleh disifatkan sebagai pesta menuai. Perayaan ini lebih bersifat sosial dan dirayakan di rumah-rumah kediaman serta kuil. Thaiponggal membawa maksud Thai iaitu bulan Januari hingga Februari dan ponggal bererti meruap. Ponggal bermaksud nasi manis yang dimasak bersama susu. Perayaan ini juga dikenali sebagai perayaan makara sankranti di seluruh India. Perayaan ini disambut selama 4 hari.

Biasanya pada hari perayaan, satu tapak disediakan di halaman rumah untuk mengadakan ponggal (menanak nasi dengan campuran susu). Tempat ini dibersihkan dan dihias dengan koolam iaitu lakaran pelbagai corak dengan menggunakan tepung beras. Koolam dicorakkan oleh kaum wanita.

Nasi yang dimasak juga dikenali sebagai ponggal, pukkai, atau trincoru yang bererti manis. Nasi dihidangkan atas daun pisang bersama-sama kuih-muih seperti vaadai, buah-buahan untuk disajikan kepada Dewa Surai.

Peranan Sekolah Dalam Merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

PADA amnya, perkataan falsafah boleh difahamkan sebagai pemikiran atau pandangan yang benar, rasional dan bernas. Pemikiran atau pandangan ini dihasilkan daripada usaha kajian ahli falsafah dengan cara yang saintifik, sistematik dan logikal. Tujuan falsafah ialah mencari serta membuktikan kebenaran dan memberi arah tuju atau pedoman untuk perkara-perkara yang penting dalam kehidupan.

Berdasarkan huraian di atas, falsafah pendidikan boleh diertikan sebagai pedoman, arah tuju atau pandangan terhadap perkara-perkara yang berkaitan dengan pendidikan. Maka, Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) adalah digubal daripada usaha berfikir yang rasional dan kritis berlandaskan daripada ideologi negara sebagaimana yang telah dimanifestasikan dalam Laporan dan Dasar Pendidikan, termasuk Rukun Negara.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini akan menjadi suluh yang memberi pedoman dan hala kepada segala usaha pendidikan – sama ada di dalam institusi pendidikan atau di luar institusi pendidikan. Sehubungan ini, Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah digubal secara rapi dan teliti oleh pakar-pakar pendidikan yang mengambil kira seluruh aspek yang berkaitan dengan keperluan-keperluan individu, masyarakat dan negara.

Berdasarkan kepada pertimbangan-pertimbangan atas Laporan dan Akta Pendidikan, Rukun Negara dan ciri-ciri kebudayaan masyarakat Malaysia, maka Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang dinyatakan berikut digubal dan diumumkan secara rasmi pada tahun 1988.

‘Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia bertanggungjawab dan keupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.’

Berlandaskan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang telah dihuraikan diatas, maka Matlamat Pendidikan Negara ialah bertujuan melahirkan insan yang baik dan sempurna supaya menjadi warganegara Malaysia yang berguna. Dengan perkataan lain, Matlamat Pendidikan Negara bertujuan melahirkan rakyat Malaysia yang sempurna dan memiliki serta menghayati ciri-ciri berikut:

1. Percaya dan patuh kepada Tuhan.
2. Berilmu pengetahuan.
3. Berakhlak mulia.
4. Bertanggungjawab kepada diri sendiri, masyarakat, agama dan negara.
5. Memiliki sahsiah yang seimbang dan sepadu.
6. Memupuk perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum.

Peranan Sekolah Dalam Merealisasikan
Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Peranan sekolah begitu besar dalam melaksanakan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Sekolah merupakan institusi formal pertama di mana murid-murid memperoleh ilmu dan kemahiran asas. Sekolah juga adalah tempat pemupukan minat setiap murid untuk terus mencari ilmu dan selanjutnya memberi sumbangan kepada khazanah ilmu yang sedia ada.

Untuk merealisasikan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan, aspek-aspek kepemimpinan, budaya sekolah, aktiviti ko-kurikulum, peranan guru dan disiplin murid perlu diberi perhatian dan diaktifkan secara menyeluruh.

Aspek Kepemimpinan

Aspek pertama yang perlu diambil perhatian ialah kepemimpinan. Pemimpin sekolah iaitu guru besar merupakan orang penting dalam memajukan institusi pelajaran di Malaysia. Mereka perlu berfikiran kreatif dalam pengurusan dan berhubungan dengan guru dan juga murid. Mereka bertanggungjawab menetapkan falsafah sekolah, membentuk wawasan sekolah, membentuk visi dan misi sekolah yang berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Selain itu, pihak sekolah juga perlu memastikan aspek-aspek seperti budaya sekolah, aktiviti ko-kurikulum, peranan guru dan juga disiplin murid diberi penekanan dan perhatian yang sewajarnya supaya hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dapat direalisasikan.

Perkembangan semasa memperlihatkan peningkatan peranan guru besar sebagai peneraju utama di sekolah-sekolah. Penyelidikan oleh Morrisson (2005) mendapati bahawa perubahan peranan pentadbir sekolah perlu berlaku dalam aspek-aspek tertentu seperti kepemimpinan, tuntutan kerja, orientasi perniagaan, tanggungjawab, pengurusan sumber manusia, membuat keputusan, komunikasi, kuasa, dan perancangan. Peranan guru besar merupakan antara faktor utama yang akan menentukan kejayaan dan kecemerlangan sesebuah sekolah. Guru besar yang berkesan mampu mengubah keadaan sesebuah sekolah menjadi cemerlang.

Dalam melaksanakan amanah menyediakan sumber manusia menjelang tahun 2020, fungsi kepemimpinan, pengurusan, dan pentadbiran sekolah menjadi semakin mencabar. Peranan kepemimpinan di peringkat sekolah mestilah dalam bentuk instructional leader yang memainkan peranan tertentu pada tahap serta kedudukan masing-masing untuk melaksanakan sesuatu progam pendidikan. Kepemimpinan pendidikan juga haruslah berperanan sebagai transformational leader iaitu sebagai agen transformasi perubahan.

Pemimpin sekolah yang proaktif akan sentiasa membuat jangkaan-jangkaan tentang perubahan yang sedang dan bakal berlaku agar sentiasa berada dalam keadaan bersedia. Pemimpin sekolah mestilah juga mampu dan berupaya membimbing guru-guru di bawah pengawasannya untuk menjadi lebih berkesan.

Sekolah yang berkesan dapat dilihat berdasarkan stail kepemimpinan yang bukan sekadar mampu bertindak sebagai pemimpin pengajaran dan pembelajaran yang berkesan tetapi juga harus mampu membawa perubahan. Justeru itu, di mana-mana sekolah, guru besar merupakan individu yang paling berpengaruh dan bertanggungjawab terhadap sesuatu perubahan.

Menurut kata Wilson dan Corcoran (1988), segala kejayaan dan kegagalan murid terletak kepada pihak sekolah, iaitu guru besar dan guru. Kepemimpinan guru besar pula dikenal pasti sebagai pemboleh ubah yang penting sekali, yang mempengaruhi kualiti dan kuantiti hasil sekolah walaupun proses dalaman dan persekitaran sosial (iklim), atau budaya sekolah juga merupakan pemboleh ubah yang mempengaruhi dan menyebabkan perbezaan dalam pencapaian akademik murid (Rutter et al, 1979).

Aspek Budaya Sekolah

Aspek kedua yang perlu diberi penekanan ialah budaya sekolah. Budaya sekolah, kadang kala dikenali sebagai iklim sekolah merupakan salah satu aspek yang penting dalam merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Iklim sekolah yang terbuka menggalakkan murid bebas berinteraksi di antara murid dengan murid, murid dengan guru serta bebas melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti sekolah. Guru pula boleh bekerja dalam keadaan yang mesra, berasa tenteram serta melaksanakan tugas dengan adil, dedikasi, gembira dan sempurna.

Iklim sekolah yang terbuka seperti ini merupakan iklim sekolah yang demokratik dan iklim ini akan dapat membantu sekolah mencapai aspirasinya seperti membentuk murid lebih berdedikasi, lebih berinisiatif, lebih rela bekerjasama, lebih ramah dan mesra, lebih spontan dan berkreativiti serta lebih tinggi motivasinya.

Budaya sekolah atau iklim sekolah ini mengandungi empat aspek utama iaitu aspek fizikal, aspek sosial, aspek perkembangan intelek dan aspek penggunaan bahasa.

Aspek fizikal merangkumi perkara-perkara seperti kebersihan kawasan sekolah, keselamatan anggota-anggota sekolah, kemudahan-kemudahan sekolah yang lengkap, keselesaan yang kondusif untuk pengajaran dan pembelajaran dan juga keindahan sekolah.

Dari aspek sosial pula, ia merangkumi perkara-perkara yang berkaitan dengan keharmonian di antara anggota-anggota sekolah seperti budaya hormat-menghormati dan mengucap salam, kerjasama, rasa tanggungjawab, perpaduan, kemesraan dan keadilan.

Seterusnya aspek perkembangan intelek. Ia merangkumi aspek budaya ilmu seperti semangat mahu belajar sama ada dalam bilik darjah atau di perpustakaan sekolah. Sebagai contoh, sekolah memainkan peranannya melalui penganjuran program-program akademik seperti Program NILAM dengan tujuan membudayakan aktiviti membaca dalam diri murid-muridnya.

Program ini secara tidak langsung dapat mengembangkan daya pemikiran murid sama ada kritis atau kreatif. Menurut Ee (1994), tamadun atau bangsa hanya dapat dibina melalui masyarakat yang mengamalkan budaya ilmu. Cara utama membina budaya ilmu ialah melalui amalan tabiat membaca yang berterusan.

Aspek yang terakhir ialah penggunaan bahasa. Aspek ini meliputi penggunaan bahasa secara betul dan jitu sama ada di dalam bilik darjah atau di luar bilik darjah. Untuk meningkatkan prestasi dalam aspek penggunaan bahasa, aktiviti pertandingan, perbahasan, syarahan dan pidato boleh dianjurkan oleh pihak sekolah sebagai galakan penggunaan bahasa. Penggunaan bahasa kedua – Bahasa Inggeris juga perlu diberi perhatian sejajar dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang ingin melahirkan modal insan yang mampu berdaya saing di peringkat global.

Suasana sekolah yang ceria, kondusif dan meransang pembelajaran diwujudkan bertujuan menghasilkan murid-murid yang berkembang secara harmonis dan menyeluruh dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Aspek Ko-kurikulum

Aspek ketiga pula ialah ko-kurikulum. Untuk merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, sekolah juga perlu memainkan peranan yang berkesan dalam melaksanakan gerak kerja ko-kurikulum. Gerak kerja ko-kurikulum merupakan gerak kerja bercorak pendidikan yang dijalankan di dalam dan di luar waktu sekolah.

Gerak kerja merupakan aktiviti-aktiviti kumpulan secara informal. Gerak kerja ko-kurikulum berasaskan pembelajaran di bilik darjah adalah kesinambungan kurikulum yang dilaksanakan di sekolah. Walaupun aktiviti-aktiviti ko-kurikulum lebih bercorak informal, tetapi gerak kerja yang dijalankan adalah terancang.

Gerak kerja ko-kurikulum dilaksanakan di sekolah diharapkan akan menyemai sifat-sifat kepemimpinan, kerjasama, tolong-menolong dan sedia berkhidmat di kalangan murid. Aktiviti ko-kurikulum juga perlu dirancang supaya semua murid mempunyai perseimbangan antara perkembangan mental dengan perkembangan sosial, jasmani dan rohani. Pelaksanaan ko-kurikulum cuba melihat minat dan bakat murid-murid. Melalui kegiatan kumpulan, semua murid boleh dididik dan mendidik diri sendiri.

Sekolah ialah institusi yang bertanggungjawab dan boleh memainkan peranan dalam mendidik murid-murid untuk mengembangkan minat dan bakat. Begitu juga masyarakat yang bertanggungjawab boleh memainkan peranan mereka dalam mendidik murid-murid. Ini disebabkan alam masyarakat di luar sekolah sebenarnya amat kaya dengan ilmu pengetahuan yang boleh dimanfaatkan oleh murid-murid.

Aktiviti-aktiviti yang boleh dilaksanakan dalam gerak kerja ko-kurikulum ialah pasukan unit beruniform, persatuan/kelab dan juga sukan. Pihak sekoalh perlu memastikan semua murid melibatkan diri dalam ko-kurikulum ini kerana gerak kerja ini dianggap sebagai sebahagian daripada kurikulum sekolah dan sebagai satu bidang pendidikan.

Gerak kerja ko-kurikulum dilaksanakan di sekolah mempunyai beberapa matlamat penting yang merangkumi aspek pendidikan, aspek pembelajaran, dan aspek sosialisasi.

Dari aspek pendidikan, pelaksanaan gerak kerja ko-kurikulum di sekolah diharap akan dapat membina dan menyuburkan sahsiah yang seimbang di kalangan murid; memupuk nilai-nilai ahklak dan pendidikan yang diingini; memajukan kemahiran, minat dan bakat murid; meningkatkan disiplin dan kepemimpinan diri; mengukuhkan dan memperkayakan lagi pengetahuan dan kemahiran; menjadi asas kerjaya pada masa akan datang dan mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah dan menyeronokkan.

Dari aspek pembelajaran pula, kegiatan ko-kurikulum bertujuan untuk mewujudkan dan mempertingkatkan suasana sekolah yang lebih menarik dan menggembirakan murid-murid. Selain itu, perhubungan antara guru dengan murid juga dapat diwujudkan.

Dari aspek sosialisasi, gerak kerja ko-kurikulum ini dilihat mampu melahir dan membentuk murid-murid yang mempunyai semangat kekitaan dan kewarganegaraan serta mempunyai rasa dan tanggungjawab berkhidmat untuk masyarakat.

Secara keseluruhannya, pihak sekolah perlu mempertingkatkan kualiti pengurusan ko-kurikulum dan sukan dengan usaha memperkembangkan lagi potensi individu, membentuk sahsiah, membantu pertumbuhan jiwa bermasyarakat, meningkatkan mutu disiplin para murid bagi memperkukuhkan integrasi di kalangan mereka. Selain itu, pihak sekolah juga harus memberi peluang secukupnya kepada murid-murid untuk menyertai pelbagai aktiviti terancang bagi memperkembangkan minat, bakat serta kemahiran masing-masing.

Aspek Guru

Aspek yang seterusnya ialah guru. Peranan guru amat penting dalam merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Guru bertanggungjawab memperkembangkan potensi murid secara menyeluruh dan bersepadu yakni insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Dengan pengenalan KBSR dan KBSM di negara kita, peranan guru di sekolah juga bertambah lebih kompleks. Guru mula memainkan peranan sebagai pengajar, pengurus, fasilitator, pembimbing, penggalak, penyelaras dan juga sebagai inovator, iaitu orang yang mendatangkan pembaharuan.

Seseorang guru menjalankan seperti menggerakkan, mengatur dan menilai prestasi murid-murid. Sebelum memulakan satu-satu pelajaran, minat murid seharusnya ditimbulkan terlebih dahulu terhadap topik yang akan disampaikan. Proses pembelajaran berlaku dengan lebih cepat sekiranya murid-murid mempunyai minat terhadap pelajaran itu.

Oleh itu, adalah penting bagi guru menggerakkan muridnya dengan berbagai-bagai cara seperti menggunakan pelbagai jenis alat bantu mengajar, mengadakan main peranan (role playing), mengadakan simulasi dan sebagainya.

Selain itu, guru juga mengelolakan semua aktiviti yang dijalankan di dalam sesebuah bilik darjah. Dalam aktiviti pembelajaran mesti ada langkah pertama, langkah kedua, langkah ketiga dan seterusnya. Tiap-tiap langkah pembelajaran haruslah diatur supaya murid-murid mendapat faedah daripada setiap aktiviti pembelajaran. Gurulah yang menjalankan tugas mengatur setiap langkah pembelajaran.

Dalam mengatur langkah-langkah pembelajaran, guru akan merancang terlebih dahulu. Apabila membuat sesuatu rancangan, keperluan-keperluan murid, objektif-objektif pelajaran, bahan-bahan dan alat-alat mengajar seharusnya dipertimbangkan. Pengajaran yang dirancangkan dengan baik akan membawa faedah yang besar kepada murid-murid.

Guru juga membimbing murid-murid supaya mereka memahami topik yang diajar. Guru seharusnya mengaitkan tajuk yang diajar dengan pengalaman-pengalaman murid untuk membolehkan mereka memahami konsep-konsep dengan lebih mudah lagi. Perkataan-perkataan yang digunakan oleh guru sepatutnya mudah difahami dan penerangannya padat serta jelas.

Penggunaan alat bantu mengajar seperti carta, gambar, perbandingan dan graf dapat menjelaskan lagi sesuatu konsep yang disampaikan. Guru juga menolong murid-murid mengatur fakta-fakta supaya menjadi konsep yang konkrit dan bermakna. Idea yang abstrak boleh dijadikan konkrit dengan menggunakan carta dan alat bantu mengajar lain.

Guru perlu juga menolong murid-murid mempraktikkan dan mengulangi aktiviti sehingga pembelajaran itu menjadi berkesan. Guru juga menilai murid-muridnya dengan menjalankan berbagai-bagai ujian. Penilaian ini akan dapat mengesani sejauh manakah objektif pengajaran dan pembelajaran telah tercapai.

Ringkasnya, guru memikul amanah yang amat besar untuk melahirkan insan berilmu dan bersahsiah tinggi dan berperanan untuk merealisasikan matlamat kenegaraan yang akan menentukan jatuh bangun bangsa dan negara di masa hadapan.

Aspek Disiplin

Aspek yang terakhir ialah disiplin. Sekolah sebagai agen sosialisasi utama bertanggungjawab untuk membanteras masalah disiplin hingga ke peringkat akar umbi. Iklim dan persekitaran sekolah yang kondusif perlu diwujudkan bagi merangsang perkembangan murid dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran telah cuba mentakrifkan disiplin sebagai kesanggupan seseorang individu untuk menghormati dan mematuhi undang-undang, sama ada disiplin itu dikenakan dari luar atau dengan kerelaan sendiri; juga kesanggupan seseorang bekerja atau membuat sesuatu dengan cukup tertib, kesanggupan menghormati hak individu lain, mengamalkan tingkah laku hormat-menghormati di antara satu dengan lain dan mempunyai semangat tolong-menolong dan membaiki keadaan yang sedia ada menerusi usaha yang membina serta sanggup berkhidmat untuk masyarakat.

Disiplin juga ada kaitannya dengan tatatertib, tatasusila, kesopanan dan ahklak. Dalam konteks pendidikan, sekolah merupakan institusi yang penting dalam membentuk disiplin murid-murid. Masalah disiplin murid akan menjejaskan tumpuan mereka terhadap pelajaran.

Masalah disiplin ini seharusnya dikawal dengan kerjasama warga sekolah iaitu guru besar, guru disiplin, guru, pengawal keselamatan, masyarakat sekitar sekolah dan ibu bapa. Hal ini penting bagi memastikan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Pihak sekolah melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) boleh menubuhkan sebuah jawatan kuasa menangani gejala disiplin murid peringkat sekolah dengan melantik beberapa ahli terdiri daripada kalangan mereka yang tinggal berhampiran dengan sekolah bagi memantau disiplin murid. Pihak sekolah juga hendaklah memantau kawasan sekolah yang terdapat masalah disiplin.

Apa yang lebih penting, murid lemah dan berdisiplin memerlukan perhatian khas daripada pihak sekolah. Semua ini perlu dilakukan dengan bijak supaya tidak berlaku pengasingan dan perbezaan di antara mereka dengan murid lain di sekolah.

Peranan guru bimbingan dan kaunseling penting dalam membentuk dan membina semula sahsiah dan disiplin murid yang bermasalah. Antara tugas utama guru bimbingan dan kaunseling ialah menjalankan bimbingan dan kaunseling dengan murid-murid yang mempunyai masalah disiplin dengan tujuan mewujudkan tingkah laku yang diingini. Selain itu, guru bimbingan dan kaunseling juga berfungsi untuk membina perhubungan dengan ibu bapa atau penjaga murid-murid yang mempunyai masalah disiplin, pegawai kebajikan masyarakat atau pihak polis.

Disiplin yang baik membawa beberapa faedah kepada guru dan murid. Faedah-faedah tersebut adalah seperti berikut:

1. Pengajaran dapat dijalankan dengan licin dan teratur.
2. Pembelajaran dapat dilaksanakan dalam suasana yang tenang serta teratur.
3. Keberkesanan pengajaran-pembelajaran akan dapat ditingkatkan lagi.
4. Murid-murid menjadi lebih produktif jika mereka berdisiplin.
5. Keselamatan murid-murid dapat dijamin kerana setiap murid dapat mematuhi peraturan-peraturan sekolah.
6. Kemalangan yang berlaku di makmal atau bilik darjah dapat dikurangkan.
7. Segala tugasan dapat disiapkan dalam tempoh masa yang lebih singkat.

Masalah disiplin perlu ditangani dengan sebaik mungkin. Sesungguhnya persekitaran sekolah yang kondusif dan selamat amat penting dalam membentuk imej dan keyakinan diri murid ke arah kecemerlangan dan kegemilangan, selaras dengan hasrat negara yang menekankan usaha pembentukan modal insan yang cemerlang,gemilang dan terbilang.

Kesimpulan

Kesimpulannya, berdasarkan kepada semua huraian di atas, maka ternyatalah bahawa kejayaan sesebuah sekolah dalam merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah bergantung kepada aspek-aspek kepemimpinan, budaya sekolah, ko-kurikulum, guru dan juga disiplin. Semua aspek ini akan menentukan modal insan yang bakal dihasilkan sama ada memenuhi hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan atau tidak.

Kejayaan sekolah dalam merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan juga secara tidak langsung mampu menjana dan membina modal insan yang berkualiti. Merujuk kepada PIPP (2006), negara kita berhasrat untuk menghasilkan ‘modal insan yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketerampilan, berperibadi mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi… perlu mampu untuk berfikir secara kritis dan kreatif, berkemahiran menyelesaikan masalah, berkeupayaan mencipta peluang-peluang baru, mempunyai ketahanan serta berkebolehan untuk berhadapan dengan persekitaran dunia global yang sering berubah-ubah’.

Sekali lagi dinyatakan bahawa, peranan sekolah amat penting dalam menyahut cabaran yang terkandung di dalam FPK untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia bertanggungjawab dan keupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

Faktor Keberkesanan Proses Pendidikan

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

SESUATU teori pendidikan tidak akan sampai kepada matlamat yang dihajati jika teori atau idea itu tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan. Keberkesanan itu diukur dengan melihat sejauh mana natijah yang dihajati bertunas dan berkembang dalam diri individu yang dididik.

Pendidikan yang tidak berkesan bukan sahaja merugikan tenaga dan wang, tetapi yang dibimbangi ialah menghasilkan natijah yang bertentangan dengan yang dihajati. Oleh itu marilah kita bincangkan faktor-faktor yang boleh membawa kepada keberkesanan sesuatu proses pendidikan.

Faktor Pertama: Suri Teladan

Faktor pertama yang boleh membawa kepada penghasilan natijah Islam dalam diri anak-anak yang kita didik ialah qudwah hasanah (suri teladan). Kepentingan qudwah hasanah telah dijelaskan di dalam Al-Quran yang bermaksud: ‘Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu ada contoh teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut nama Allah’.

Peranan pendidik yang boleh diteladani adalah sangat kritikal kerana ia bukan hanya berfungsi untuk mengatur suasana belajar atau menyampaikan isi kandungan sesuatu perkara yang ingin diajarnya, tetapi ia juga berperanan membentuk kefahaman, keyakinan, penghayatan, pekerti serta peribadi anak-anak yang dididik.

Malah perkataan ‘tarbiyah’ itu sendiri antara lain bermaksud: ‘…pendekatan yang terbaik sekali dalam bertafa’ul (berinteraksi) dengan fitrah insan dan melaksanakan proses pendidikan melalui tunjuk ajar lisan dan teladan’.

Pengajaran dan pendidikan menjadi tidak berkesan apabila tindakan atau perilaku murabbi (pendidik) atau guru bertentangan dengan isi kandungan pengajarannya sendiri. Sebenarnya pengajaran melalui tindakan adalah lebih berkesan daripada pengajaran secara lisan. Peribahasa Melayu sendiri ada menyebutkan, ‘Jika guru kencing berdiri, murid kencing berlari’. Begitulah pentingnya kedudukan pendidik dalam pembentukan diri anak-anak.

Dalam konteks keluarga pula ibu bapa adalah murabbi kepada anak-anak mereka setiap kali berlaku interaksi antara kedua-dua pihak. Dalam pendidikan di rumah kedudukan ibu bapa sebagai qudwah (contoh) menjadi lebih penting kerana anak-anak lebih terdedah kepada peribadi dan tingkah laku ibu bapanya.

Kita semua menyedari bahawa sungguh banyak pengajaran dan pengalaman yang diperolehi anak-anak melalui interaksi dengan ibu bapa mereka sejak hari pertama kelahiran lagi. Pengajaran dan pengalaman ini mungkin membina keperibadian mereka. Kanak-kanak kecil belajar melalui pengamatan dan meniru perlakuan dan tindak tanduk ibu bapanya.

Melalui pengamatan, akan terbentuk sesuatu di dalam mental anak-anak dan akan menjadi satu pelajaran kepada mereka. Oleh itu, sesuatu tingkah laku ibu bapa yang dilakukan secara berterusan ataupun sekurangnya berkali-kali, akan membentuk proses pengukuhan dalam diri anak-anak. Akhirnya tindakan tersebut akan menjadi sebati dengan peribadi anak-anak.

Saya berpendapat pada tahap paling awal, anak-anak akan terdidik melalui pengamatan dan pemerhatiannya. Misalnya, apabila anak-anak (mungkin berumur dua tahun) mendapati setiap kali azan dilaungkan di surau yang berdekatan, bapanya bergegas menuju ke surau atau ahli keluarganya bersiap-siap untuk mendirikan solat bersama-sama, lama-kelamaan anak kecil itu akan memahami keperluan untuk memberikan tindak balas yang sewajarnya kepada laungan azan.

Perkara itu berlaku walaupun anak tersebut tidak memahami apa itu azan dan apakah tindakan yang perlu dibuat sebagai respons setiap kali azan dilaungkan. Begitu juga jika anak kecil itu melihat bapanya membaca Al-Quran setiap kali selepas solat Maghrib. Setelah memerhatikan beberapa kali, anak itu sudah boleh menjangkakan keperluan bapanya dengan cara si anak itu sendiri mengambil mushaf yang sering digunakan dan memberikan kepada bapanya. Inilah yang dikatakan pendidikan atau pengarahan secara teladan.

Saya pernah membaca tulisan asy-Syahid Sayid Qutb yang menceritakan tentang tangisan bapanya setiap kali mendirikan solat serta ketekunan dan kesungguhan ibunya membaca Al-Quran, meninggalkan kesan yang mendalam di dalam jiwanya sehingga beliau sendiri menghayati rasa nikmat beribadah kepada Allah s.w.t.

Pakar pendidikan di barat membuat kesimpulan bahawa anak-anak kecil (sejak umur beberapa bulan lagi) menerima rangsangan melalui indera mereka. Rangsangan itu meninggalkan kesan ke atas pembangunan diri mereka seperti pembinaan minda, perbendaharaan kata, gerak geri dan tingkah laku.

Oleh itu, ibu bapa bukan sahaja perlu menghiasi rumah dengan bahan-bahan yang boleh merangsang peribadi anak-anak (termasuk pemilihan barang-barang permainan yang sesuai), tetapi juga menghiasi tindakan dan perilaku mereka sendiri.

Keadaan itu sebenarnya tidak terhad sewaktu berinteraksi dengan anak tetapi juga sewaktu interaksi antara ibu dan bapa sendiri, terutamanya sewaktu di depan anak-anak. Sebagai contoh, sebahagian ibu bapa sering membimbing anak-anak dengan teriakan negatif seperti ‘Jangan usik ini’, ‘Jangan buat itu’ atau ‘Jangan pegang’. Tindakan itu mungkin menyebabkan anak-anak mentafsirkan bahawa membuat ujikaji atau melakukan suatu yang kreatif adalah satu kesalahan.

Faktor Kedua: Persekitaran

Faktor kedua ialah persekitaran yang membina dan memberangsangkan sesuai dengan pendidikan yang dilaksanakan. Hiasan dalam rumah sewajarnya merangsang dan memperkukuhkan nilai-nilai yang hendak dipupuk di dalam diri anak-anak. Suasana dalam rumah bukan sahaja perlu bersih daripada perhiasan yang terlalu mewah dan diharamkan oleh syarak, tetapi juga mestilah boleh menjuruskan anak-anak kepada hakikat ‘ubudiyah’ kepada Allah s.w.t dan mencintai Rasulullah s.a.w.

Oleh itu, hiasan di dalam rumah perlu dirancang untuk menjuruskan anak-anak kepada hakikat tauhid kepada Allah. Dinding rumah dan bilik bolehlah dihiasi dengan gambar pemandangan yang menunjukkan ciptaan Allah s.w.t seperti pemandangan gunung, matahari dan bulan serta dihiasi pula dengan ayat (berserta maknanya) yang sesuai dengan gambar tersebut.

Sekiranya anak-anak itu sudah boleh melukis, galakkan mereka melukis gambar-gambar seperti itu dan tampalkan di dinding bilik mereka. Ini bukan sahaja boleh memenuhi matlamat untuk menghiasi rumah tetapi juga memupuk bakat dan membina keyakinan diri anak-anak.

Faktor Ketiga: Kemahiran Ibubapa

Faktor ketiga ialah kefahaman serta kemahiran ibu bapa mendidik dengan mengambil kira tahap perkembangan umur dan kemampuan anak-anak. Kefahaman yang terpenting sekali ialah kefahaman terhadap pendidikan yang dituntut oleh Islam. Kefahaman yang tepat dan mendalam membolehkan anak-anak dibimbing peringkat demi peringkat sehingga tasawwur (prinsip) Islam terbina di dalam diri mereka.

Kefahaman dalam aspek perkembangan anak-anak adalah perlu bukan sahaja sewaktu mereka sudah menjangkau usia dua atau tiga tahun, sebaliknya sejak peringkat kelahirannya sehingga ia mula menunjukkan tindak balas terhadap persekitarannya dan seterusnya sewaktu dia sudah berumur hinggalah ke peringkat yang lebih matang.

Selain itu, ibu bapa perlu faham dan mahir untuk meluruskan tabiat atau kelakuan anak-anak apabila berlaku kegelinciran atau penyelewengan daripada sikap, akhlak dan adab keislaman. Dalam hal ini, Islam mempunyai pendekatan yang tersendiri bagi melakukan pembaikan atau rawatan kepada masalah-masalah yang berkaitan dengan tingkah laku anak-anak.

Penutup

Pendidikan anak-anak merupakan satu tanggungjawab yang perlu beri perhatian serius serta menuntut kesungguhan dan pengorbanan yang tinggi daripada ibu bapa. Masa depan generasi akan datang banyak bergantung kepada cara mereka dibimbing dan dibentuk. Oleh itu, ibu bapa perlu merasakan tanggungjawab ini dan perlu pula melengkapkan diri mereka dengan ilmu dan kemahiran keibubapaan secara Islam.

Jika kita pergi ke kedai-kedai buku, ada banyak buku yang berkaitan dengan keibubapaan yang ditulis oleh tokoh barat. Saya yakin ramai golongan terpelajar yang mengenali Dr Benjamin Spock, Dr Merriam Stoppard, Anna Montesorri dan Glen Dorman. Nama-nama ini adalah sebahagian sahaja daripada nama-nama yang terkenal di dalam pendidikan keibubapaan dan anak-anak. Selain buku-buku tulisan mereka, juga terdapat majalah-majalah cetakan barat khusus mengenai keibubapaan.

Walaupun terdapat manfaat daripada sumber-sumber itu, kita perlu sedar bahawa mereka mempunyai falsafah dan matlamat tersendiri dalam mendidik anak-anak. Sebagai Muslim kita mempunyai falsafah dan matlamat yang berlainan sama sekali daripada mereka.

Oleh itu kita perlu merujuk kepada tulisan-tulisan yang dihasilkan oleh ulama muktabar, cendekiawan dan tokoh-tokoh pendidikan Islam. Antaranya ialah Dr Abdullah Nasih Ulwan, Muhammad Qutb, Dr Adil Ghanam dan Dr Abdul Rahman an-Nahlawi. Tidak ketinggalan juga ulama-ulama silam seperti Hujjatul Islam Imam al-Ghazali dan Ibnu Khaldun.

Seperkara yang tidak kurang pentingnya ialah ramai ibu bapa yang merasakan tanggungjawab mereka telah terlaksana dengan menghantar anak-anak mereka ke taman-taman asuhan atau tadika Islam sehingga mereka hamper-hampir tidak lagi berperanan dalam proses pembentukan anak-anak.

Langkah menswastakan pendidikan anak-anak ini mungkin diambil di atas keperluan tertentu tetapi kita perlu sedar bahawa pembentukan anak-anak masih lagi dipertanggungjawabkan oleh Allah s.w.t ke atas diri kita dan kita perlu melakukan dengan segala daya dan upaya demi membentuk mereka menjadi pewaris dan pendokong risalah Islam pada masa depan.

Menangkis Serangan Nilai Dan Budaya Barat Terhadap Umat Islam

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

DALAM realiti kini aktiviti-aktiviti maksiat telah dimanipulasikan menjadi simbol kemajuan dan kemodenan. Manusia yang bernama muslim tidak lagi berkesempatan untuk berfikir amal baik apakah yang perlu dipersiapkan untuk hari esok. Mereka sering berfikir aktiviti leka apakah yang hendak dilakukan untuk menghabiskan masa siang dan malam. Rata-rata yang mengaku muslim dibelenggu oleh nafsu syaitan. Keperibadian mereka larut dalam budaya dan cara hidup barat.

Musuh Islam Sentiasa Bekerja Keras

Musuh Islam dari barat, secara terus menerus dan agresif, menanamkan nilai-nilai dan budaya jahiliyyah ke dalam jiwa umat Islam. Jiwa umat Islam dipupuk supaya merasai ‘rendah diri’. Dengan daKyah yang sistematik, misalnya melalui media cetak dan elektronik, ditanamkan satu pandangan bahawa apa-apa yang datang dari Islam adalah kuno dan tidak sesuai dengan zaman. Ataupun, apa yang datang dari Islam dianggap ganas dan ekstrim. Sedangkan apa yang datang dari barat dianggap baik, maju dan moden.

Tidak sedikit umat Islam di pelbagai belahan bumi telah merasa asing terhadap nilai-nilai Islam dan cara hidupnya. Pada masa yang sama, mereka berjinak dengan cara atau gaya hidup barat. Bahkan, lebih jauh dari itu, umat Islam merasa bangga dengan budaya barat.

Perhatikanlah dalam realiti kini, siapakah yang memenuhi panggung-panggung wayang? Siapakah yang melepak dan berpeleseran di tepi-tepi bangunan membeli belah? Siapakah yang kerap berkunjung ke pusat-pusat hiburan? Siapakah yang ramai menghisap rokok? Siapakah yang ramai menagih dadah? Siapakah yang membuang anak luar nikah hidup-hidup? Siapakah yang sering menjadi ‘kutu-kutu’ malam bersama-sama dengan motosikal-motosikal mereka? Siapakah yang paling ramai tercicir dalam pelajaran? Siapakah yang paling terkehadapan menentang perlaksanaan hukum-hukum Islam? Jawapannya jelas iaitu Umat Islam.

Usaha-usaha Pembaratan

Pada awal usaha gerakan pembaratan ialah supaya umat Islam merasa ragu-ragu dan asing terhadap deen mereka sendiri dan di hujung gerakan pembaratan ialah kristianisasi (riddah). Dengan kata lain, merosakkan akidah umat Islam. Antara serangan barat terhadap umat Islam adalah:

1. Menghalang tertegaknya kesatuan umat Islam dengan cara menghalang kekhalifahan Islam. Sekaligus, barat berusaha memperdalamkan perasaan kebangsaan dan kedaerahan di kalangan umat Islam.
2. Menegakkan pendidikan dengan sistem ‘co-education’ yang mencampurkan pelajar lelaki dan pelajar perempuan dalam sebuah sekolah atau dalam sebuah bilik darjah. Ini mendedahkan umat Islam kepada fitnah.
3. Melaksanakan sistem riba dalam ekonomi dan menghancurkan harta kekayaan umat Islam.
4. Memansuhkan undang-undang Rabbani yang berdasarkan syariat Islam, dan memaksa perlaksanaan undang-undang rekaan manusia yang meruntuhkan akhlak dan menghancurkan keluarga muslim.
5. Merosakkan ikatan kekeluargaan, merobohkan nilai-nilai sosial dan merangsang umat Islam mengamalkan akhlak serba boleh (tanpa batasan). Juga menggalakkan hidup berpecah-belah dan menghapuskan keperibadian insan yang soleh.
6. Memecah-belahkan daerah-daerah Islam dan menanamkan unsur-unsur asing di hati umatnya.
7. Menulis kembali sejarah Islam berdasarkan kaca mata barat yang bersifat kebendaan.
8. Membangkitkan rasa kebanggaan kedaerahan, kebangsaan dan kesukuan serta menghidupkan kembali sejarah kuno sebelum Islam.
9. Menyebarkan semangat materialisme, mengetengahkan teori Darwin sebagai pintu kepada atheisme dan menanamkan rasa ragu-ragu terhadap ajaran Islam mengenai asal usul kejadian manusia menurut Al-Quran.
10. Menyebarluaskan fahaman materialisme dalam hubungan antara manusia dan kehidupan sosial menurut teori Freud (mengenai dorongan seksual) dan teori Marxis (mengenai dorongan isi perut) serta menggambarkan manusia sebagai binatang yang dikuasai oleh nalurinya.
11. Mematikan bahasa Arab kerana ia adalah bahasa Al-Quran.
12. Menafikan keunggulan kaum muslimin dalam sejarah peradaban manusia.
13. Memaksa manusia memahami dan meyakini falsafah-falsafah materialisme seperti dialektika, permissivisme, eksistensialisme dan materialisme. Yang mana falsafah-falsafah ini menyemarakkan perasaan dengki, hawa nafsu dan angan-angan panjang. Juga, falsafah-falsafah ini mengingkari terhadap sesuatu yang tidak dapat dijangkau oleh pancaindera (atau yang tidak dapat dibuktikan secara empirikal).
14. Mengingkari agama dengan menganggapnya sebagai perkara yang membawa kemunduran hidup dan ketinggalan dari segi kemajuan sosial. Memisahkan Islam dengan politik dan akhlak manusia. Juga, menyerang akidah Islam dan nilai-nilainya.
15. Menyebarluaskan perpecahan dan permusuhan antara agama-agama dan ras-ras manusia.

Tujuan proses pembaratan terhadap umat Islam adalah:

1. Agar kaum muslimin menerima gaya hidup barat dan jahil terhadap sistem hidup Rabbani.
2. Agar kekuatan kaum muslimin lumpuh serta tidak berupaya lagi untuk menegakkan kembali peradaban Islam dalam ertikata sebenar.

Langkah-langkah Menangkis Serangan Barat

Untuk menangkis gerakan pembaratan terhadap umat Islam, maka antara langkah penting yang perlu diambil adalah:

1. Menyebarluaskan Dakwah Islamiyyah

Dakwah Islamiyyah yang menerangkan Islam berdasarkan sumber-sumber yang muktabar perlu diutarakan kepada masyarakat melalui pelbagai wasilah yang munasabah. Ketahanan jiwa umat perlu dibina dengan wa’Islami yang sebenar. Hati dan akal masyarakat perlu diselamatkan daripada racun yang disebarkan oleh musuh.

Satu hakikat yang tidak dapat disangkal bahawa kejayaan gerakan pembaratan selama ini adalah lantaran jiwa umat Islam yang lemah. Akal dan roh umat kosong daripada ajaran Islam sebenar.


2. Melaksanakan Tarbiyyah Islamiyyah


Tarbiyyah Islamiyyah untuk membentuk individu-individu muslim perlu dilaksanakan melalui pelbagai program. Individu-individu muslim yang soleh adalah umpama batu bata yang akan membangunkan bangunan Islam serta mampu untuk menangkis serangan musuh-musuh Islam.

Begitu juga kurikulum tarbiyyah Islamiyyah perlu dibina akan dapat dijalankan di sekolah-sekolah. Pelajar-pelajar dididik dalam bidang akidah, syariah dan akhlak. Tarbiyyah Islamiyyah bukan sekadar menjadikan Islam sebagai pengetahuan sahaja, tetapi juga melahirkan keyakinan dan amal Islami dalam kehidupan harian.

3. Mengetengahkan Islam Melalui Media Massa


Pekerja-pekerja Islam perlu memberi perhatian terhadap media massa. Seharusnya, pihak Islam mempunyai pusat maklumatnya sendiri yang dikendalikan oleh tenaga-tenaga mahir yang ikhlas dan mampu menyingkap pelbagai bahaya tersembunyi dalam dakyah yang disiarkan oleh musuh-musuh Islam.

4. Membina Kesatuan Umat Islam


Sewajarnya umat Islam berusaha ke arah kesatuan dan penyelarasan sehingga dapat berdikari dalam pelbagai bidang kehidupan. Pergantungan kepada pihak musuh, baik dalam aspek politik, ekonomi mahupun mana-mana keperluan hidup, akan hanya mengundang kelemahan dan perpecahan. Musuh-musuh akan mengambil kesempatan daripada kelemahan dan perpecahan itu untuk campur tangan dan, seterusnya, merosakkan urusan umat Islam.

Penutup

Di samping langkah-langkah di atas diambil untuk berhadapan dengan gerakan pembaratan oleh musuh-musuh Islam, umat Islam juga perlu berwaspada dan berhati-hati dalam menerima sesuatu yang datang dari luar. Jangan terjadi, dengan beralasan kepada sikap ‘toleransi dan terbuka’, maka gerakan-gerakan yang merosakkan akidah Islam dibiarkan begitu sahaja hingga boleh membawa kepada gejala riddah yang berleluasa. Wallahhualam.

Isnin, 15 Mac 2010

Kemerlap Bintang Di Puncak Grande Bibliotheque

(Cerpen ini telah memenangi Hadiah Utama Sayembara Jubli Emas MARA/RIDA dan telah diantologikan dalam antologi Perjuangan Yang Belum Selesai)

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

KELETIHAN membelah rangkasaraya dari KLIA ke Charles de Gaulle dua hari yang lalu persis hilang di telan Bateux Parisiens. Bot mewah bertutup itu mesra bergerak dari Versi Kecil Patung Liberty. Alun lunak bersisik kecil dan beriak damai Sungai Seine menempiarkan bebayang menara Eiffel kala domol bot itu melanggarnya di hadapan Esplanade du Trocadero.
Aku dan Ikram masih mendepani Victor Valjean dengan misi dan visi teguh sejak meninggalkan KLIA; mencari pasaran baru di Eropah. Tapak permulaan kami ialah Perancis. Aku dan Ikram berkeyakinan penuh visi dan misi ini akan berjaya kerana ijazah yang kami perolehi yang menjadi asas kepada segala penciptaan adalah dari Malaysia France Institute iaitu sebuah pusat pengajian yang ditubuhkan oleh MARA dengan kerjasama Association de Formation Professionnelle de L’industrie (AFPI). AFPI merupakan pusat latihan pekerja di Lyon yang menjalankan kursus peringkat profesional untuk industri di Perancis.
Kebetulan Victor Valjean juga berasal dari Lyon. Secara mantiknya, tentulah penciptaan kami akan diterima di sini. Begitu yang kami duga sejak mula. Namun, setelah dua hari mengadakan perbincangan dengan Victor Valjean, visi dan misi pertama kami seolah-olah terkucel lunyai. Kami terpaksa mencegatkan visi dan misi baru; merobohkan persepsi negatif ahli perniagaan itu pula bahawa produk ciptaan anak Malaysia masih kurang kualiti lalu gagal memenuhi standard piawaian untuk menembusi pasaran antarabangsa dan meyakinkannya bahawa produk ciptaan kami sebenarnya lebih berkualiti malah sepuluh kali lebih ringan daripada sistem konkrit tetulang biasa yang terdapat di Perancis atau di mana juga di Eropah.
Persis di majlis syarahan awam bersama ahli-ahli perniagaan Perancis di Hotel De Ville dua hari yang lalu, Victor Valjean juga seakan rengsa untuk mengukuhkan keyakinan diri seterusnya menerima dan mengakuri segala penjelasan, semakin menyedarkan kami bahawa bongkah kersani hipotisis Barat terhadap kemampuan anak Malaysia di bidang teknologi moden masih kukuh, penerimaan di tahap nihil dan sukar untuk dicaing-caingkan. Kendati begitu, ianya tidak mudah mengkucurkan azam dan usaha untuk terus mencegatkan bukti kemampuan kami.
Bateux Parisiens terus meredah alun bersisik Sungai Seine. Bot mewah lengkap ruang menjamu selera itu menggamit silir dingin menyapa muka melalui kuakan tingkap kaca kecil sisi. Redup teduh Jambatan Alexandre III, puncak Pusara Napoleon atau Invalides dan bumbung Grand et Petit Palais kian menghampiri, persis menghantar goda kepadaku untuk ditandangi. Aku melihat Victor Valjean seolah-olah mahu mencerluskan peri keindahan Paris - Kota Cinta kebanggaannya namun terbantut oleh lintasan suara Ikram kala Bateux Parisiens di pekarangan wajah tenang Muzium Legion d’Honneur.
“ANAMABO 2020 ciptaan kami adalah satu produk tercanggih abad ini berupa lantai, dinding dan atap yang menggabungkan lapisan keluli berprofil dengan lapisan kayu getah berbaur simen!”
Aku mengangguk mengiyakan seraya gesit membentangkan lagi gambarajah panel komposit ANAMABO 2020 di depan Victor Valjean, walaupun panel komposit itu telah ditunjukkan sewaktu di majlis syarahan awam di Hotel De Ville kepadanya termasuk rakan-rakan perniagaannya dari Perancis yang lain. Produk yang telah diisytiharkan sebagai produk yang berjaya memberi inovasi baru terhadap sistem tradisional seperti sistem konkrit tetulang terutamanya dari segi ciri yang lebih ringan menjangkau sepuluh kali lebih ringan daripada sistem konkrit tetulang biasa itu, tercipta setelah dua tahun kami menamatkan pengajian sarjana di Malaysia France Institute (MFI) di bidang teknologi fabrikasi logam dan kimpalan.
Dengan bantuan kewangan dari MARA, lebih lima tahun pula kami menjalankan penyelidikan, memerah kotak minda seterusnya mencipta produk tersebut. Kami menamakannya ANAMABO 2020, singkatan kepada slogan ‘Anak Malaysia Boleh’ merealisasikan Wawasan 2020. Produk ini lebih berupa satu sistem yang mudah dan cepat dibina. Pembinaannya kering, senang diangkat dan tidak memerlukan sokongan sementara pembinaan. Kini sistem yang kami cipta itu telah mencecah pasaran Asia Tenggara, Timur Tengah dan sedikit di kawasan Afrika. Permintaan terhadapnya amat menggalakkan dari hari ke hari.
Aku dan Ikram membiarkan Victor Valjean terkesip-kesip meneliti satu persatu huraian lengkap kebaikan sistem ANAMABO 2020 yang jelas tercatat di sisi kanan gambarajah panel komposit. Serasa kami tidak perlu lagi membuat penjelasan lanjut betapa sistem ciptaan kami itu mampu mengurangkan penggunaan tenaga buruh mahir, mempunyai keratan rentas yang langsing yakni jarak di antara lantai ke lantai yang lebih dekat, tidak memerlukan masa untuk proses pengawetan, tiada bahan buangan, keadaan tapak binaan yang lebih bersih serta selamat dan amat sesuai untuk kerja-kerja ubahsuai juga naik taraf bangunan.
Di samping itu juga, lantai, dinding dan atap mudah untuk dimasukkan saluran paip, elektrik dan sebagainya. Secara tidak langsung, dapat menjimatkan kos keseluruhan bangunan. Segalanya sudah terluah di majlis syarahan awam di Hotel De Ville yang mana Victor Valjean sendiri antara pendengarnya. Namun tiada sebarang respon positif dari mereka. Kesal. Sungguh kesal dan amat mengecewakan.
Aku mencuplik kerling jam di pergelangan tangan. Menurut Victor Valjean, kami akan berlabuh di Grande Bibliotheque. Sekarang Bateux Parisiens sedang menyusur pinggir Institu De France. Lebih kurang sepuluh atau lima belas minit lagi, kami akan tiba di Notre Dame sebelum berlabuh. Seboleh-bolehnya kami mengharapkan kata putus dari ahli perniagaan itu, lenggana atau sebaliknya, sebelum keretapi Eurostar membawa kami ke London keesokan hari.
“Anda perlu berputar di Notre Dame sebelum meninggalkan Kota Paris!” suara Victor Valjean yang tiba-tiba mencerlus mengubah tajuk perbincangan sebaik Bateux Parisiens melepasi Institu De France, menempiarkan segala ngeluyur benak. Panel komposit perlahan-lahan dihulurkan semula kepadaku tanpa sebarang reaksi membuatkan lirikan mataku gesit hinggap ke muka Ikram. Jelas rakanku itu kehampaan.
Kehampaan itu merupakan kehampaan kami yang kedua selepas kehampaan di majlis syarahan awam di Hotel De Ville. Seperti yang aku katakan tadi, tiada mercup sebarang riak minat ahli-ahli perniagaan Perancis untuk menerima sistem ciptaan kami apalagi mahu menyebarkannya di sini dan sekarang Victor Valjean juga telah mempamerkan situasi yang hampir serupa.
“Bandar lama Paris itu hebat dengan seni bina gereja, menempatkan Cardinal of Paris. Anda perlu tenangkan fikiran dengan melihat kehebatannya!”
Aku sedikit tidak teringin untuk menelan gizi sajiannya. Serasa ada kelir keegoan menggelincir buar menggelecakkan ruang dadaku. Hasrat merealisasikan visi dan misi awal kami seakan-akan sudah bertukar menjadi darmawisata. Victor Valjean seolah-olah pemandu pelancong bijak mempromosi tempat-tempat menarik negaranya. Aku membiarkan Ikram melayan bual ahli perniagaan Perancis itu.
Melalui tingkap kaca kecil di sisi, aku lebih rela menggelungsurkan biji mata menunak alun Sungai Seine tersisir mesra oleh tolakan Bateux Parisiens seraya merancang usaha-usaha yang serupa di London nanti. Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia di sana sudah diberitahu sejak kami di Malaysia lagi. Aku masih yakin, kegagalan kami mencari rakan kongsi bagi memasarkan ANAMABO 2020 di Paris akan berhasil di Tanah Queen Elizebert pula. Rezeki kurniaan Tuhan ada di mana-mana, bisikku meneguhkan turus azam dan iltizam.
Barat yang sinonim dengan kebimbangan terhadap apa juga kebangkitan Timur itu perlu diyakini bahawa ANAMABO 2020 ciptaan kami ini merupakan satu sistem yang ekonomi malah satu sistem yang boleh dilengkapkan dengan pelbagai bahan penebat haba, air, bunyi, api dan juga gegaran. Ia juga boleh direka bentuk untuk ketahanan terhadap beban yang dikenakan sama ada di dalam sesebuah rumah kediaman mahupun sesebuah bangunan kilang ataupun lain-lain jenis bangunan. Permukaan lantai di atas papan simen pula boleh dikemaskan dengan kemasan simen, marmar, jubin, atau digunakan sebegitu saja dengan mendedahkan papan simen yang sudah sememangnya digunakan sebagai lapisan di permukaan atas simen untuk menjimatkan lagi kos.
Reka bentuk sistem ciptaan kami ini juga amat anjal dan memberi ruang kepada perubahan-perubahan dilakukan untuk disesuaikan dengan keadaan dan keperluan sesebuah bangunan atau struktur itu sendiri. Seterusnya, sebagai lantai menanggung beban, ANAMABO 2020 mampu menanggung lenturan.
Aku tersentak dari lamunan kala Ikram mencuit iga kiri. Bateux Parisiens sudah berlabuh di Notre Dame. Victor Valjean bangun, Ikram mengekor dan aku terpaksa juga bangun membuntuti penumpang-penumpang bot yang lain.
“Anda boleh melihat sendiri Paris dan khazanah seni binanya, kekal sejak ratusan tahun hasil dasar kerajaan kami yang hanya membenarkan pengubahsuaian terhadap bangunan lama dilakukan di bahagian dalaman saja. Kerana itu, walaupun kami menikmati kemudahan moden seperti sistem pemanas di dalam kediaman tetapi di bahagian luarnya, wajah Paris yang anda lihat masih tidak berubah!” ujar Victor Valjean sewaktu kami tiba di pekarangan Notre Dame.
Aku jeling Ikram yang liar mata pandangnya melewar sekeliling. Dia seolah-olah terpesona dengan keunikan senibina yang terdapat di situ.
“Anda boleh mengintai Paris di puncak menara loceng!” telunjuk gabai Victor Valjean menuding jitu ke satu jihat. “Anda boleh lihat kemajuan yang serlah, yang telah kami capai!”
“Tidak perlu, Victor! Kami sudah mengintainya di Montmarte hari pertama kami di sini,” ujarku sedikit sinis. “Serasa tiada apa-apa yang perlu dibanggakan. Kemajuan Paris setara kami. Barangkali dalam sektor-sektor tertentu kami lebih ke hadapan dari anda!” Aku lihat muka putih pucat ahli perniagaan Perancis itu berubah jelas. Jerau tidak keruan.
“Apa sehebat La Concorde?” Victor Valjean cepat menduga. Jurai salji halus merencung mengkaburkan mataku. “Apa setinggi dan sesohor Eiffel? Sekukuh Esplanade du Trocadero. Apa Malaysia mampu mencabar Perancis dalam arus pembangunan dan kemajuan moden?”
Seperti yang kuduga sejak mula, memang orang-orang Barat kurang sopan dengan tetamu, lebih-lebih lagi tetamu dari Timur yang amat rendah di pandangan mata mereka. Bagaimana dapat aku tundukkan keegoannya. Ikram sudah menghilang di celah pusu-pusu orang ramai. Aku tertinjau-tinjau mencarinya namun tidak berhasil. Sebuah bot tetapi tidak berbumbung berlabuh di hadapan Notre Dame. Aku masih gusar menahan geram dengan cabaran Victor Valjean tadi.
“Tentu anda tidak mampu menafikan kenyataan depan mata!” Victor Valjean semakin mencabar sinis. Semakin menggelecak kuping.
“Jangan terlalu memandang rendah kepada kami, Victor!” aku sedikit gerah. “Seperti mana saya datang ke Paris, anda juga harus datang ke Kuala Lumpur untuk melihat sendiri kemajuan yang sudah kami capai. Di sana nanti anda akan bertemu ratusan malah ribuan bangunan canggih seperti yang terdapat di Paris. Bangunan-bangunan kami kaya perlambangan budaya bangsa sendiri. Kami ada bangunan berimej keris Taming Sari, Metaphor Pucuk Rebung, Tengkolok dan tak kurang juga bercorak geometri Islam!”
“Apa itu sudah cukup setanding kami?” Victor Valjean kian sinis melonjak beberapa takah rasa geram dan gelecakku.
“Apa di sini juga ada bandar sehebat Putrajaya?” aku sengaja meninggikan suaraku, mencabar keegoannya. “Konsep Bandar Raya Taman, menggunakan semua aplikasi teknologi maklumat, merangkumi aplikasi kerajaan elektronik, teleperubatan, perdagangan elektronik serta kad pintar yang sudah mengubah kehidupan penghuninya daripada kehidupan manual kepada kehidupan automasi. Apa ada bandar sebegitu di sini?”
Ahli perniagaan Perancis itu nampak tercengang.
“Paris tidak sehebat megacity Tokyo - Yokohama tetapi kombinasi Kuala Lumpur-Putrajaya-KLIA kami sudah mencecah taraf itu malah hebat setara beberapa kombinasi urban lain di dunia!”
Aku masih terintai-intai Ikram yang sudah lama lenyap serentak mengerling Victor Valjean yang masih tercenung kurang percaya. “Errr….. lagi, Victor!” aku belum puas. “Kami bukan lagi bangsa primitif yang hidup atas pokok. Itu persepsi prejudis dan hipotisis negatif penjajah. KLIA kami antara lapangan terbang tercanggih, lebih canggih dari Charles de Gaulle anda. Kalau anda ada Eiffel, kami ada Menara Kembar Petronas di KLCC. Kalau anda berbangga dengan Obelisque, kami juga patut berbangga dengan KL Tower. Anak-anak Malaysia sudah menjadi pakar dalam pelbagai bidang. Kami ada pakar teknologi maklumat dan komunikasi yang merangkumi bidang seperti pengiraan berprestasi tinggi, rangkaian, komunikasi, teleperubatan, gambaran imej digital multimedia, paparan definasi tinggi, ruang simpanan kepadatan tinggi, perisian, pemodelan dan simulasi!”
Victor Valjean bungkam, sekadar mengangguk-angguk.
“Kami juga ada pakar mikroelektronik yang merangkumi bidang-bidang seperti teknologi sensor, litar miktoelektronik dan bahan semikonduktor, optoelektronik, avionik, perkakasan semikonduktor termaju. Lagi, kami juga ada pakar-pakar bioteknologi dan sains hayat yang merangkumi bidang-bidang seperti bahan dan pemperosesan bioteknologi; perkakasan perubatan dan diagnostik; teknologi perubatan!”
Victor Valjean terus diam. Anggukannya juga nampak rengsa seolah-olah mengkagumi segala pencapaian anak Malaysia yang aku perdengarkan.
Aku tersenyum lega dan puas. Serasa keegoannya dapat ditewaskan.
“Setakat itu?” Victor Valjean turut tersenyum sejurus kemudian. “Kami juga tidak kurang dengan pakar-pakar sebegitu…”
“Mahu saya teruskan?” aku cepat mencantas. “Setidak-tidaknya anda tidak terlalu memandang rendah terhadap kemampuan kami menguasai teknologi moden!” Senyumku memurup kasar. “Victor, kami ada pakar-pakar teknologi pembuatan termaju seperti pakar pembuatan komputer bersepadu yang fleksibel, robotik dan kepintaran mesin, fabrikasi mikro dan nanom teknologi pengurusan sistem. Kami juga tidak kurang pakar-pakar teknologi bahan termaju seperti komposit, seramik, bahan fotonik, litar mikroelektronik dan bahan semikonduktor, sintesis dan pelbagai lagi. Saya rasa tak perlu untuk dijelaskan di sini secara lengkap. Yang penting sekarang, anda harus mengakui akan kebolehan dan kemampuan kami meneroka kemajuan sains dan teknologi moden setara dengan dunia Barat!” Sungguh, aku berasa amat puas dengan segala yang menggelungsur lancar dari kerongkongan.
Victor Valjean terus bungkam dengan penjelasan panjang lebar yang mencerlus. Aku terkelih riak sebal pada tampang bujurnya. “Sayang, anda terlalu ego, Victor! Ego anda tidak bertempat,” serasa tidak wajar lagi berlunak. “Anda terlalu prejudis sehingga sanggup menganggap diri sendiri lebih baik dari orang lain!” Sesegera itu Ikram menjengul di depan kami. Entah dari jihat mana.
“Ayuh, Bateux Parisiens jarang menunggu!” Victor Valjean cuba melorek senyum hambar. “Kalau anda tak mahu tertinggal, jangan lengah lagi!”
Gesit kami mengatur langkah. Terhenyak di perut Bateux Parisiens yang miang menolak riak alun Sungai Seine mencari rerumput Grande Bibliotheque.
Aku diam. Serasa rengsa untuk bersuara lebih-lebih lagi mengenangkan soal misi dan visi ANAMABO 2020 ciptaan kami. Namun Ikram seperti masih mahu mencolek minat Victor Valjean terhadap ANAMABO 2020 yang mungkin masih bersisa.
“Bagaimana dengan hasil perbincangan anda tadi dengan rakan saya?” soalnya. “Anda tentu belum mendengar tentang keputusan ujikaji pakar yang telah dibuat terhadap ANAMABO 2020.” Panel komposit segera dibentangkan lagi sekali. “Untuk pengetahuan anda, kekukuhan kepingan keluli berprofil produk ciptaan kami ini boleh ditingkatkan di antara 40 hingga 80 peratus apabila keluli berprofil itu digabungkan secara komposit dengan papan simen hanya dengan menggunakan penyambung mekanikal atau skru berjarak antara 100 hingga 300 mm di sepanjang paluh keluli berprofil ini!” Jari telunjuk menari-nari di atas panel komposit memberi penerangan kepada Victor Valjean. “Sebagai dinding pula, ciptaan kami ini mampu menanggung beban dengan baik dan menanggung deformasi serta ricihan sesatah. Dinding ini sekali gus akan menggantikan sistem tiang dan dinding isian tradisional!”
“Errr… boleh saya tahu sesuatu?” Victor Valjean tiba-tiba terhimbau untuk bertanya. “Boleh anda jelaskan siapa yang membuat kajian tentang keberkesanan ANAMABO 2020 anda ini?”
“Pakar-pakar penyelidik universiti tempatan negara kami!” ujar Ikram dengan wajah yang bangga.
Aku melihat Victor Valjean seperti mencemek.
“Mereka telah mengkaji kelakuan struktur yang terbentuk dengan menggabungkan panel-panel ANAMABO 2020 dalam bentuk struktur plat berlipat. Hasilnya, di dapati, kegunaan sistem ini sebagai struktur plat berlipat mempunyai banyak kelebihan dibandingkan dengan sistem atap berkekuda yang lazim. Sistem plat berlipat ini tidak memerlukan sebarang penyokong tambahan atau kekuda. Faktor ini dapat mempercepatkan masa serta kos pembinaan dan juga dapat memberikan ruang-ruang tambahan di dalam sesebuah bangunan!” tokok Ikram panjang lebar.
Aku ternanti-nanti respon balas dari Victor Valjean. Telinga mencapang hebat biar pun mata masih melekat di alun tenang Sungai Seine. Bateux Parisiens terus menginsut.
“Bagi kami, kejayaan sesuatu penciptaan baru bukan terletak kepada keputusan kajian yang dibuat oleh pakar tempatan negara sendiri!” Victor Valjean bersuara agak tegas, beriak sinis.
Aku gesit berpaling menunak wajahnya, persis ada lagi lonjakan prejudis yang mahu digelincirkan. “Anda masih memandang rendah ciptaan kami?” pertanyaan menggelongsor keluar tanpa dapat dibendung.
Victor Valjean tersenyum. Nipis. “Saya tidak memandang rendah kemampuan dan kebolehan anda mencipta sesuatu yang baru dan canggih untuk industri pembinaan, tetapi pengiktirafan dunia perlu ada sebagai bukti yang lebih meyakinkan. Setakat ini, setahu saya, ciptaan anda sekadar memenangi Pingat Emas Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar dan Anugerah Kualiti Penyelidik Muda-Sains Malaysia saja. Itu belum cukup untuk mengatakan ciptaan anda bagus apalagi meyakinkan kami!”
Aku dan Ikram saling pandang memandang dalam lunga yang tidak wajar. Dapat dirasakan segala kata-kata Victor Valjean itu sarat retorik. Sebaik tiba di Grande Bibliotheque, kami terus ke hotel penginapan di tengah pusat Paris. Rasa kecewa dan rasa tercabar seakan bersarang dalam udaranya yang nyaman pada penghujung musim dingin dan kala pucuk-pucuk hijau muda mula memurupkan keindahan taman yang gersang selama hampir lima bulan.
“Bintang kita tidak kemerlap di puncak Grande Bibliotheque!” aku mengeluh rengsa. Pudar dan sebam wajah Ikram persis dijerba silir langkisau.
Cabaran dan kekecewaan itu kami jinjing bersama meninggalkan bumi Eropah beberapa hari kemudian. Kami tidak pernah berniat lagi untuk cuba memasuki pasaran Eropah selepas itu. Bertahun kami memurupkan segala tenaga dan usaha kepada penciptaan-penciptaan baru di Taman Sains & Reka Bentuk Pintar (TSRBP), seluas tujuh hektar di pinggir Cyberjaya. TSRBP ini merupakan projek yang mendapat pembiayaan sepenuhnya dari MARA dan Kerajaan Malaysia.
“Ingat, Ikram! Victor telah mencabar kita!” ungkapan itu nyalar kutekankan ke telinga Ikram sebagai kata-kata perangsang dan semangat ke arah penciptaan yang lebih berkualiti.
“Kita akan buktikan sistem ANAMABO 2020 dan ciptaan kita yang akan datang mendapat pengiktirafan dunia!” balas Ikram penuh bersemangat. “Insya-Allah, suatu hari nanti bintang kita akan kemerlap juga di puncak Grande Bibliotheque itu, Hir!”
Kendati misi dan visi kami gagal di Eropah dan kecewa dengan segala penerimaan, tetapi usaha dan iltizam kami semakin mencanak. Kami telah berazam untuk menghasilkan penciptaan baru yang lebih baik dari apa yang pernah kami ciptakan sebelum ini. Syukur, selain dari mendapat bantuan MARA, Taman Sains & Reka Bentuk Pintar kami juga mendapat bantuan kewangan dari bekas pelajar-pelajar MARA yang kini sudah bergelar profesional, teknokrat dan usahawan yang berjaya. Antara mereka adalah peguam, jurutera, arkitek, juruukur bahan, banker, CEO syarikat kewangan, insurans dan syarikat-syarikat multinasional, pensyarah, pegawai kerajaan termasuk juga backbenchers, ADUN, timbalan menteri, menteri penuh, ketua menteri dan sebagainya. Mereka ini ikhlas menabur budi dan bakti kepada taman kami, sebagai mengenang kembali jasa MARA kepada mereka, kepada membesarkan bilangan bumiputera profesional dan kelas menengah menerusi pendidikan. Mereka adalah anak-anak petani, penoreh getah, pesawah, nelayan, penarik beca, buruh kasar dan guru yang berpendidikan menengah Inggeris. MARA telah melatih dan mendidik mereka menjadi profesional dan teknokrat, egen perubahan juga jentera penggerak pembangunan negara tercinta.
Demi memperbanyakkan lagi ciptaan dan rekacipta produk-produk terbaru yang boleh membantu manusia sejagat menikmati kehidupan yang lebih sempurna sejajar dengan perkembangan zaman, Taman Sains & Reka Bentuk Pintar kami menerima empat orang lagi anak Malaysia yang berminda kreatif dan inovatif. Osman, Hasyim dan Lofti merupakan pemegang ijazah di bidang Kejuruteraan Peralatan dan Mekatronik sementara Rasyidi pemegang ijazah Teknologi Perindustrian Automasi dan Robotik. Keempat-empat mereka dari German Malaysia Institute (GMI) dan British Malaysia Institute (BMI). Institute-institute ini juga merupakan Institute Kemahiran Tinggi Mara (IKTM) selain dari France Malaysia Institue (FMI).
Kehadiran tenaga cipta baru ini semakin menyuarkan lagi semangat kami mencipta sesuatu yang moden dan canggih. Dalam masa tidak sampai lima tahun, dengan perahan minda yang tidak mengenal jelak dan penat, kami telah berjaya mencipta roda kenderaan dari getah asli yang boleh bertaup kembali setelah disobek, mesin mengesan buah-buahan yang sudah tua dan sesuai untuk dipetik, alat penggera keselamatan rumah yang mampu mengesan pencuri dalam jarak 30 kaki. Alat ini menggunakan sistem deria bau yang cekap dan canggih.
Ianya mampu membezakan bau tubuh pencuri dengan bau tubuh penghuni rumah sebenar walaupun dalam hujan lebat. Selain dari itu, kami juga telah berjaya mencipta mangga kunci sesentuh yang paling canggih. Mangga kunci sesentuh ini tidak memerlukan anak kunci tetapi dapat dibuka hanya dengan meletakkan ibu jari pemiliknya yang sebenar. Mikrocip yang ditempatkan di dalamnya berupaya mengesan sebarang penipuan. Mangga kunci sesentuh ini juga dilengkapkan dengan satu sistem penggera keselamatan yang akan berbunyi sekiranya sebarang penipuan dan penyamaran dapat dikesan.
Yang paling mendapat perhatian pengguna ialah basikal - model biasa, model istimewa dan model rekreasi. Ketiga-tiga model ini diberi nama Basikal Majura 2020, singkatan ‘Maju & Mara’ - mesra alam, mesra pengguna dan berobjektif mengurangkan kesesakan jalanraya serta pencemaran pelepasan asap ekzos kenderaan bermotor. Ketiga-tiga model ini menggunakan kuasa bateri 12 volts. Kayuhan diperlukan untuk mencas semula kuasa bateri. Apabila kuasa bateri mencukupi, penunggangnya boleh berehat kerana kuasa bateri tersebut mampu menggerakkan basikal.
Model istimewa direka agak unik kerana dilengkapkan dengan tempat menyimpan fail, beg bimbit di bahagian kiri dan kanan basikal juga tempat meletakkan botol air mineral 1.5 liter. Kesemua model-model ini dilengkapi 6 gear, lampu depan, lampu belakang, lampu brek, lampu signal, cermin sisi dan meter kelajuan sejauh 80 km/j jika kuasa bateri digunakan. Kesemua model juga menggunakan sistem shaft, membuatkan ianya lebih selamat kerana gear dikawal sepenuhnya oleh sistem tersebut dan bahan asasnya ialah gentian karbon serta aluminium. Ianya ringan dan mudah dipindahkan ke mana saja.
Basikal ciptaan kami ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan di Malaysia, China dan Jepun. Sesungguhnya, kejayaan kami merekacipta pelbagai produk terbaru untuk dimanfaatkan oleh manusia sejagat, bukan sahaja kerana kemampuan minda tetapi juga amalan konsep 5T yang kami amalkan di Taman Sains & Reka Bentuk Pintar ini. Kami memahami makna bekerja yakni tugas dan tindakan untuk menuju matlamat disokong pula oleh persekitaran yang menggalakkan dengan jaminan kecemerlangan masa depan yang tidak terganggu.
Kami menakrifkan Taman Sains & Reka Bentuk Pintar kami sebagai sebuah jentera yang menggemblengkan kerja dan tenaga kami untuk mencapai sesuatu matlamat. Oleh itu taman kami mempunyai matlamat, objektif, strategi, peraturan dan budayanya yang tersendiri dan khusus. Kami melaksanakan sesuatu kerja yang berkualiti, kesetiaan, iltizam yang tinggi dan ikhlas menjalankan tanggungjawab yang sudah, sedang dan akan dipikul. Konsep 5T yang kami amalkan ialah taqarum, tafahum, tasamuh, taawun dan takaful.
Bagi kami, warga organisasi yang dianggap cemerlang adalah warga yang dapat melakukan tugasnya dengan penuh tanggung jawab di samping dapat memberi sumbangan berkesan kepada organisasi dan masyarakat. Lantaran itu, untuk mencapai peringkat cemerlang tersebut, kami mesti melangkaui daripada melakukan sesuatu kerja atau tanggungjawab yang biasa atau rutin saja yang sememangnya menjadi tugas kami. Kami mesti melalui peringkat menghasilkan output dari tahap biasa kepada tahap luar biasa, dari luar biasa kepada luar dugaan, dari luar dugaan kepada cemerlang.
“Workoholic! Sekarang waktu makan tengah hari!”
Aku dan Osman yang ketika itu sedang mendepani skrin monitor komputer Silicon Graphics Integrated (SGI), sedikit tersentak dengan suara Ikram yang mencerlus tiba-tiba. Segala lamunan panjang berjelaku gesit tempiar. Bagai kelinglungan aku berpaling. Ikram bersama Lofti dan Rasyidi sudah terjengul di depan pintu bilik pentadbiran. Tegurannya kujawab dengan gamitan jejari tangan kanan.
“Ada apa? Tak nak keluar makankah?” dia bertanya sebaik tiba di hadapan kami.
“Macam selalu. Tolong belikan!” ujarku seraya tersenyum. Senyuman yang juga macam selalu, tidak sukar untuk difahami Ikram. Sebaik Ikram, Lofti dan Rasyidi menghilang, aku dan Osman kembali mendepani skrin monitor komputer, mencari halaman web yang kami inginkan. Setagal kemudian tertayang secara hologram halaman tersebut.
“Inspirasi penciptaan kita bukan sekadar berpandukan kepada penciptaan tokoh-tokoh Barat seperti Edison, Newton, Graham Bell, Bohr, Albert Eistein, Ptolemy, Alpetragus, Asin Palacios dan sebagainya tetapi lebih dipengaruh Ibnu Tufail, al-Khindi, Ibnu Sina, al-Farabi, al-Biruni, Ibnu Rusyd Ibnu Bajja, Ibnu Khaldun, Ibnu Masarrah, Ibnu Miskawayh al-Razi, al-Khawarizmi dan lain-lain lagi!”
Osman mengangguk sekali. “Pemikir Islam kaya dengan falsafah, metafizik, etik, fizik, matematik, politik, geografi, perubatan, psikologi, astronomi, kimia, optik, muzik dan pelmacam lagi. Baitul-Hikmat sudah membuktikan. Tidak rugi penciptaan kita berakarkan Islam!”
Aku gesit senyum dengan ungkapan Osman. “Yang penting, penciptaan kita berupaya mencecah pasaran global terutama Barat.”
“Tidak mustahil!” balas Osman penuh yakin. “Anak Malaysia sekarang sudah berjaya merobohkan benteng IQ anak Malaysia sebelum merdeka. Kita sekarang generasi alaf baru, tahun 2005 kian menghilang dan sudah hampir 20 tahun dalam abad ke 21. Penciptaan kita selama ini merupakan satu inovasi baru yang tidak pernah disangkal dan dinafikan!”
“Cuma belum diiktiraf dunia sebagai pemangkin menawan pasaran Barat!”
Osman sedikit tergamam.
“Dengar sini, Man! Ini cabaran untuk kita sebenarnya. Penciptaan baru kita biar dianggap satu inovasi terkini tetap tidak bermakna selagi dunia tidak memberi pengiktirafan…”
“Maksudnya?”
“Mesti terbaik sehingga mampu meraih pengiktirafan itu!” Aku terus membuka kisah lama kami membawa ANAMABO 2020 ke Paris dan London suatu ketika dulu. Peri betapa misi dan visi kami gagal malah tercabar oleh tukasan prejudis Victor Valjean.
Perbualan kami terhenti kerana Ikram, Lofti dan Rasyidi sudah pulang bersama nasi bungkus di tangan masing-masing. Kami duduk melengkung di sebuah meja bulat. Seketika kemudian muncul Hasyim dari bilik sebelah. Bekas graduan dari German Malaysia Institute itu tersengih-sengih sebelum melabuhkan punggung di sisi Lofti.
“Hmmmmm, bagaimana dengan MaRo 2020 kita?” soal Ikram sewaktu Hasyim sedang leka menjamah sajian yang dibelikan Lofti. Nasi campur ala nasi kandar mamak Pulau Pinang itu nampak berselera sekali di dalam daun pisang beralas kertas akhbar.
Hasyim tersengih sejenak. MaRo 2020 dari singkatan ‘Mara Robot‘ ialah satu sistem di mana berfungsi untuk mengawal sesebuah bangunan menggunakan sistem robotik dan mekatronik ciptaan kami bersama. Hasyim telah ditugaskan menyelesaikan fasa terakhir penciptaan sistem tersebut.
“Apa perkembangan terbaru?” soal Ikram lagi.
“Dah siap dan terbukti berkesan!” ujar Hasyim. “Makmal B-09X telah digunakan sebagai percubaan dan di dapati berfungsi mengikut apa yang kita rancangkan!”
“Kau gembira?” tanyaku pula.
“Mestilah!” balas Lofti bagi pihak Hasyim yang agak terlunga memandang wajahku. “Ini kejayaan kita semua. Tentulah gembira dan sepatutnya kita semua perlu gembira dengan kejayaan ini. Lebih sembilan bulan kita memerah otak dan aku tak fikir ini bukan satu kejayaan!”
“Memang satu kejayaan!” ujarku bersahaja. Nasi berlauk ikan keli masak lemak cili padi campur ulam raja itu sungguh menyelerakan, segera kuhabiskan. Sebelum membasuh tangan di sinki yang terletak di bahagian belakang meja makan kami, aku bersuara, “Kejayaan lebih bermakna jika menempah sejarah bukan mengulangi sejarah silam yang kecewa dan luka!”
“Hei… hei… apa maksud kau hah?” Ikram tiba-tiba mencerlus gerah, nampak jelas rasa kurang senangnya dengan ungkapanku.
“Penciptaan kita patut mencipta sejarah, suatu inovasi terkini yang diiktiraf oleh dunia, Ikram! Ingat cabaran Victor Valjean dulu. Tidak bermakna jika hanya berbangga dengan kejayaan mencipta tetapi ciptaan kita tidak diakui oleh dunia. Aku tak mahu anak Malaysia cuma berjaya mencipta nama dalam negara sendiri saja!”
“Memang itu cita-cita kami dan kita semua!” Ikram menjeling wajah Hasyim sekilas. “Malah aku yakin, semua penciptaan kita bertaraf dunia cuma masa yang akan menentukan!”
Rakan-rakan yang lain diam, bersegera menghabiskan sajian tengah hari masing-masing. Pastinya, di dalam kepala masing-masing memikirkan perkara yang sama. Memang kami telah berazam untuk mencipta sesuatu yang mampu diiktiraf oleh dunia sebagai membuktikan bahawa anak Malaysia sekarang adalah anak-anak Malaysia yang boleh dan mampu melakukan sesuatu yang dianggap mustahil suatu ketika dulu.
Kami menamatkan bicara lalu beredar meninggalkan ruang makan tersebut. Kami berenam segera ke bangunan makmal dengan dada menggelodar mencegatkan tekad bahawa kami adalah anak-anak Malaysia yang cekal dan kental, yang sedang melalui dunia moden berbanding generasi sebelum merdeka. Dunia yang kami lihat ini semakin luas dan kian berkembang pesat dengan segala inovasi baru dan kami akan turut membina serta mencipta sesuatu yang lebih baru untuk dunia yang kami lihat itu. Kami sedar, tindakan dan keputusan yang kami lakukan selama ini adalah benar dan betul. Segalanya harus berjalan dan bertindak dalam suasana yang penuh kreativiti. Kreativiti yang maju dan canggih dalam penciptaan kerana itu merupakan asas Taman Sains & Reka Bentuk Pintar ini didirikan.
Tiba-tiba pundakku ditepuk orang. Aku tersentak lalu gesit menoleh ke belakang. Ikram tersenyum. Hasyim, Lofti, Rasyidi dan Osman turut memurupkan senyum. Kami segera berpautan tangan. Pautan itu tanda seiya sekata, satu hati dalam wasilah yang satu bahawa kami adalah anak-anak didik MARA yang akan terus mara membelah rangkasa - utara, selatan, timur dan barat.
Suatu pagi beberapa minggu selepas itu, ketika sedang berbincang di bilik mesyuarat di Taman Sains & Reka Bentuk Pintar, kami disentakkan dengan sebuah berita gembira. Majura 2020 dan MaRo 2020 kami telah mendapat Pingat Emas di dalam Pameran Antarabangsa Penemuan, Teknik-Teknik dan Keluaran Terbaru di Geneva sementara ANAMABO 2020 kami juga turut mendapat Pingat Emas Rekacipta Terbaik Keseluruhan daripada World Intellectual Property Organization (WIPO). Aku seperti mahu menjerit dengan kejayaan tersebut.
“Kita sudah berjaya membelah denai rangkasa dunia!”
Kami berenam segera menadah syukur.

* * *

“Alamak! Jem pula !!”
Pagi bening namun agak cabuh. Aku mengeluh rengsa, memutar punat radio serba tidak kena. Ikram di sisi sekadar tersenyum nipis melihat aku resah mendepani jejal-jejal kenderaan di atas jalan menghalang kelancaran perjalanan Waja kami ke Hotel Nikko. Pertemuan sulung di Malaysia dengan beberapa orang ahli perniagaan dari Barat yang amat berminat dengan produk ciptaan kami. Sudah lebih lima minit, begitu aku kelam kabut mengawal gear dan stereng WAJA mahu memecut. Lofti, Hasyim, Osman dan Rasyidi tentu sekali sudah lama menunggu bersama tetamu yang lain. Berita gembira bahawa produk ciptaan kami bakal memasuki pasaran Eropah sudah dicanang heboh dalam akhbar-akhbar perdana selepas dua minggu ANAMABO 2020, Majura 2020 dan MaRo 2020 kami mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
“Tenang Hir! Tenang… jangan gelabah sangat!” Ikram separuh memujuk melihat aku beberapa kali menghentak stereng kereta.
“Dalam waktu-waktu penting begini, jalan jem pula!” aku terus merungut.
Tiba di bilik mesyuarat Hotel Nikko, aku tercangip mendarat di kerusi. Beberapa orang ahli perniagaan Barat kelihatan tenang. Di sisiku, Lofti, Osman, Hasyim, Rasyidi dan Ikram juga beberapa buah fail produk ciptaan kami. Sesi syarahan awam berakhir dengan jaya. Sebelum majlis bubar, seorang lelaki kacak, berkot jerau tebal tiba-tiba datang menghampiriku.
“Saya Thierry Lemmerre. Rakan kongsi Victor Valjean!”
Kami segera bersalaman mesra, bertukar senyum. Sehelai sampul surat coklat tua bersaiz 120 cm X 210 cm bertulis Victor & Thierry -Vivende des Eaux di bahagian atas sebelah kiri, dihulurkan kepadaku. Agak menggigir menyiat bucu sampul, sepucuk surat bertulis tangan segera kubuka, sekeping gambar terlesit ke atas permaidani cantik sisi kaki. Aku gesit tunduk mengutipnya. Sedikit terkesima, gambar tiga orang lelaki kacak - aku, Victor Valjean dan Ikram berdiri segak di depan Grande Bibliotheque dengan sebahagian tubuh Bateux Parisiens mewah di atas air Sungai Seine.

Encik Zahir,

Tahniah di atas kejayaan anda memenangi pingat emas.
Maaf kerana saya pernah memandang rendah kemampuan dan kebolehan minda anda mencipta sesuatu yang berinovasi baru. Pengiktirafan itu telah meleburkan segala persepsi negatif saya.
Thierry Lemmerre membawa misi dan harapan saya - orang Perancis pertama akan menyuburkan produk ciptaan anak Malaysia di Eropah. Suaranya adalah refleksi murni nurani saya.
Beri kepercayaan kepadanya.

Victor Valjean.

Azan zohor berkumandang dari menara masjid KLCC. Aku seperti tidak sabar mahu ke sana untuk menangis syukur dengan ketentuan-Nya - membuka denai untuk kami terus mara membelah rangkasaraya dunia sebelah sana. Serasa bintang kami sudah kemerlap galak di puncak Grande Bibliotheque. Kita akan berjumpa lagi Victor Valjean!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Senarai Blog

ASMAUL HUSNA